Kelantan Hantar Husam Untuk Jumpa PM Perjelas Isu Dinar

KOTA BAHARU, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan menghantar Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakatnya, Datuk Husam Musa bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memperjelaskan cadangan negeri itu mempraktikkan penggunaan dinar emas dan dirham perak.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pada pertemuan itu nanti Husam akan memperjelaskan secara terperinci mengenai cadangan tersebut dan diharap Kerajaan Pusat dapat memahami maksud sebenar penggunaan dinar dan dirham itu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah sempena Seminar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Islam 2006 di sini, hari ini, Nik Aziz berkata cadangan penggunaan dinar dan dirham itu bukan satu perkara baru sebaliknya pernah dibincangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Husam berkata Kerajaan Kelantan akan menjadi negeri yang pertama memperkenalkan penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dalam tempoh tiga bulan lagi.

Katanya pajak gadai berasaskan sistem Islam, Ar-Rahnu sebagai platform pertamanya menggunakan mata wang itu yang kemudiannya akan diperluaskan seperti membayar gaji kakitangan awamnya dengan mata wang tersebut sebagai satu simpanan tunai kepada kakitangan terbabit yang menyimpannya di bank tempatan berasaskan akaun emas.

Husam bagaimanapun dilaporkan berkata ia bukan untuk menjadikan dinar dan dirham sebagai mata wang rasmi Kelantan dan kakitangan awam terbabit boleh memilih untuk menerima gaji dalam bentuk dinar atau pun ringgit seperti yang diamalkan sekarang.

Kenyataan Husam itu bagaimanapun mendapat reaksi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pertama yang tidak membenarkan Kelantan mengeluarkan mata wang sendiri menggunakan dinar itu.

Sementara itu, Husam ketika ditemui berkata, kerajaan negeri akan tetap melaksanakan cadangan tersebut.

Penggunaan dinar emas tidak akan dapat digugat oleh mana-mana mata wang termasuk dolar Amerika kerana emas adalah satu komoditi dan mempunyai harga yang sangat stabil, katanya.

-- BERNAMA

0 comments: