ALOR STAR - Perlawanan terakhir saingan Liga Perdana Kumpulan A antara Kedah dan Pulau Pinang NTFA di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam ini akan menentukan untung nasib skuad Sang Kenari sama ada mampu layak secara automatik ke Liga Super musim depan atau tidak.
Tatkala gelaran juara bagi saingan Liga Super dan Liga Perdana Kumpulan B masing-masing sudah dinobatkan kepada Negeri Sembilan Naza dan Melaka, status juara bagi Liga Perdana Kumpulan A pula hanya akan ditentukan kepada keputusan perlawanan malam ini.
Di atas kertas, pasukan Hijau Kuning memiliki kelebihan untuk menjuarai kumpulan itu apabila menerajuinya dengan kelebihan satu mata di hadapan Terengganu dengan masing-masing mempunyai satu perlawanan untuk ditamatkan.
Bagaimanapun, sekiranya skuad Sang Kenari tewas dan pasukan Terengganu berjaya menumpaskan Perak UPB di Stadium Perak, episod duka Kedah musim lalu yang kempunan untuk layak secara automatik ke Liga Super pasti berulang walaupun pasukan itu menunjukkan persembahan yang agak konsisten sepanjang musim.
Ia juga bermakna Kedah perlu mengharungi perlawanan playoff untuk layak ke Liga Super musim 2006/07 yang akan diadakan secara kalah mati timbal balik.
Menyedari hakikat itu, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah awal-awal lagi telah menetapkan misi `mesti menang' apabila berkunjung ke Stadium Batu Kawan, hari ini.
Katanya, hanya kemenangan sahaja boleh menjamin Sang Kenari terbang tinggi melayakkan diri secara automatik ke liga utama musim depan.
``Kami sudah lama menunggu saat ini dan tidak mahu melepaskannya. Para pemain tidak diberikan pilihan lain kecuali menang kerana jika menang, kami tidak perlu fikir apa-apa lagi,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Azraai, skuad Hijau Kuning telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan terakhir itu yang mana semangat pemainnya juga dilihat sedang memuncak ketika ini.
Malah katanya, kehadiran semula K. Soley yang pulih daripada kecederaan serta Khyril Muhymeen yang pulang selepas bersama skuad bawah 20 tahun kebangsaan semakin menyuntik semangat pemain-pemainnya.
Sementara itu, Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah (Pemikad), menyeru para penyokong dan peminat bola sepak Kedah supaya membanjiri Stadium Batu Kawan untuk memberi sokongan kepada pasukan Hijau Kuning.
Yang Dipertuanya, Abdul Ghani Mehat berkata, sokongan warga Kedah amat diperlukan bagi membakar semangat pemain negeri itu dalam usaha untuk muncul juara Liga Perdana Kumpulan A.
Pemikad juga katanya menyediakan kemudahan bas kepada para penyokong dan peminat sekiranya mereka memerlukan pengangkutan ke sana.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menggunakan kemudahan tersebut boleh menghubungi Pemikad di talian 019-4963451 atau 012-5654768.
UTUSAN MALAYSIA
0 comments:
Post a Comment