Waspada cinta 'plastik' warga asing
CINTA itu hadir dalam diri setiap manusia tanpa mengenal siapa, rupa dan usia. Orang yang dilamun cinta hidupnya selalu dipanggang resah gelisah, siang dan malam terasa begitu lambat bertaut, kalau boleh ingin bersua selalu untuk melepaskan rindu di kalbu.
Begitulah gambaran mereka yang dilamun perasaan cinta. Namun hidup ini tidak selalunya indah bahagia yang dipinta tetapi kadang-kadang derita yang menjelma.
Belum pun reda isu percintaan gadis kita dengan jejaka dari seberang, kini digemparkan pula dengan 'perangkap' cinta dengan jejaka berhidung mancung dari negara padang pasir atau lebih dikenali dengan nama 'pak arab'.
Laporan khas Utusan Malaysia semalam cukup membimbangkan apabila ia menjadi satu trend di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Statistik sebelum ini menunjukkan lebih 49 kes gadis Malaysia yang diculik atau melarikan diri bersama jejaka warga asing kerana terpedaya dengan cinta 'palsu' sebaliknya mereka hidup melarat dan merempat apabila berada di negara suami pilihan mereka.
Statistik tersebut cukup untuk membuka mata kita semua ancaman 'cinta palsu' warga asing perlu diberi perhatian serius. Isu 'jerat percintaan' dengan jejaka Arab ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi mungkin sudah sampai masanya untuk kita sama-sama memainkan peranan untuk memastikan gadis-gadis Malaysia yang jelita, pintar, berdikari tidak menjadi mangsa lagi.
Kita tentunya tidak ingin melihat akan ada lagi gadis-gadis Malaysia termakan pujukan rayuan cinta asmara jejaka 'antarabangsa' ini kerana mereka hanya menumpang untuk mencari rezeki di negara kita.
Cukuplah dengan kes yang berlaku setakat ini. Jadikan apa yang terjadi sebagai satu pengajaran kepada yang lain. Trend ini perlu dihentikan.
Rakan, kawan atau sahabat perlu menasihati gadis yang dilamun cinta agar tidak terpengaruh dengan pujukan 'romantis' cinta warga asing. Kebanyakan mereka bercinta secara rahsia, jadi perlu diberitahu kepada kedua-dua orang tua mereka agar mereka tidak terus hanyut oleh mimpi-mimpi yang dicipta oleh warga asing.
Ibu bapa selaku tonggak keluarga pastinya dapat membaca gelagat atau tingkah laku anak-anak apabila dilamun cinta. Biasanya mereka akan menunjukkan tingkah laku yang 'luar biasa' seperti tersenyum tanpa bicara, memandang tanpa kata, tersengih tanpa usikan dan sebagainya.
Ibu bapa perlu bertegas sama ada melarang terus anak-anak daripada bercinta ataupun menguruskan cinta dengan cara yang baik. Tanamkan mereka dengan asas didikan agama yang kuat dan dekatkan mereka dengan majlis-majlis agama agar mereka tidak menjadi alpa.
Sekiranya kita dapat mengesan anak gadis sedang dilamun cinta janganlah kita cepat melenting, marah membuta tuli, sebaliknya berbincanglah secara dewasa dengan anakanak kita agar mereka tidak mengambil langkah 'lari' mengikut warga asing. Anak-anak kita mungkin akalnya pendek untuk membezakan antara cinta dan dusta.
Kita perlu mendidik anak kita dari kecil lagi dengan sifat malu sesuai dengan naluri seorang perempuan. Elakkan anak-anak gadis kita daripada didekati oleh kaum lelaki terutamanya warga asing.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dengan tidak hanya memandang dari jauh jika perkara berlaku di depan mata. Lakukanlah sesuatu demi untuk menyelamatkan mereka daripada terperangkap.
Kita tentunya tertanya-tanya apakah kelebihan jejaka-jejaka 'antarabangsa' ini menyebabkan ramai gadis-gadis kita terpikat? Adakah hidung mereka lebih 'tinggi' daripada orang kita? Adakah mereka ini lebih romantik daripada pemuda kita?
Apa kurangya teruna tempatan sehingga pemuda 'lombok' yang dipilih, apa kurangnya pemuda kita hinggakan 'abang Bangla' yang menjadi pujaan, apa kurangnya jejaka tempatan sehinggakan jejaka Arab yang menjadi pilihan.
Adakah kerana jejaka tempatan tidak romantik dan ramai yang merempit? Adakah kerana jejaka kita poketnya nipis dan suka membuang masa?
Namun begitu kita percaya tidak semua warga asing yang pandai bermain lidah menghulurkan kata-kata manis cinta 'palsu' kepada gadis kita tetapi pastinya ada di antara mereka yang berhati mulia menyulam kasih membina istana bahagia bersama gadis kita.
Untuk gadis-gadis Malaysia, ingatlah bahawa perkahwinan itu bukanlah satu 'permainan' tetapi merupakan satu ikatan yang suci penyatuan dua jiwa dan merupakan saluran untuk meneruskan keturunan manusia di muka bumi.
MOHAMMAD ISMAIL,
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara, Perlis
0 comments:
Post a Comment