Minda Pengarang: Sistem kupon mampu atasi penyelewengan beras rakyat miskin
KESUKARAN golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk membeli beras subsidi di pasaran diharapkan berakhir September depan. Ini berikutan langkah kerajaan memperkenalkan sistem kupon untuk diagihkan kepada kelompok terbabit. Sejak kerajaan memberi subsidi beras super tempatan 15 peratus hancur (ST15) yang juga dikenali Beras Nasional dua tahun lalu berikutan peningkatan harga beras di pasaran tempatan dan antarabangsa, golongan sasaran mendapat manfaatnya. Harga beras subsidi cuma RM17 bagi setiap 10 kilogram di pasaran sedangkan harga beras yang diapungkan harganya dijual pada harga antara RM24 sehingga RM40 bagi setiap 10 kilogram mengikut gred beras. Namun sejak awal tahun ini, beras ST15 sukar diperoleh di pasaran sehingga menyulitkan golongan berpendapatan rendah dan miskin membelinya. Malah, jika dijual pada harga RM20 sekampit bagi 10 kilogram sekalipun, kerajaan terpaksa membayar subsidi kepada pekilang untuk pengeluaran beras berkenaan. Sukar dipastikan punca beras itu sukar sampai ke pasaran, sedangkan kerajaan mengeluarkan subsidi, iaitu RM32 juta sebulan bagi pengeluaran 40,000 tan beras. Jumlah subsidi dikeluarkan kerajaan mencecah RM365 juta setahun yang mana faedahnya sepatutnya dinikmati rakyat golongan sasaran. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar menyalahkan pendatang asing dan pengusaha restoran sebagai antara punca kekurangan beras berkenaan di pasaran.
Namun, jika diteliti, didapati pihak pengilang sendiri, selain orang tengah turut memanipulasi harga untuk menjualnya pada harga lebih tinggi bagi mendapatkan keuntungan segera. Kemelut ekonomi yang mencengkam semua lapisan masyarakat sekarang turut menjadikan beras itu pilihan golongan menengah yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan, menyebabkan penawaran 40,000 tan beras jenis berkenaan sebulan tidak cukup untuk menampung permintaan tinggi. Ini menyebabkan pengilang dan orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga. Jika sebelum ini, harga sekampit beras berkenaan RM17, kini sudah meningkat kepada RM20 sekampit. Oleh itu, kita menyokong langkah kerajaan memperkenalkan sistem kupon untuk menyelesaikan kemelut ini, namun rakyat mahukan ia lebih telus supaya ia tidak dimanipulasikan pihak tertentu, sehingga menggagalkan hasrat kerajaan untuk meringan beban golongan bawahan dan miskin. Kajian terperinci dan pemantauan rapi perlu dilakukan. Malah, pengalaman pemberian subsidi minyak diesel kepada nelayan perlu dijadikan iktibar bagi mengelakkan masalah sama berulang. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi pegawainya di seluruh negara boleh membuat kajian di kawasan sasaran untuk melihat keperluan penduduk terhadap beras terbabit dan pengagihannya dilakukan berdasarkan kajian berkenaan, sebelum kupon diagihkan. Kerajaan juga perlu memastikan hak golongan berpendapatan rendah di bandar besar untuk menerima kupon berkenaan tidak dinafikan kerana mereka terjejas teruk berikutan tekanan ekonomi sekarang. Dengan menggunakan mekanisme terbaik, kita berharap pengagihan kupon kepada kumpulan sasar mencapai matlamat yang diharapkan. Rakyat tidak mahu lagi melihat kepincangan lalu dalam penyaluran subsidi yang dinikmati golongan yang tidak berhak.
0 comments:
Post a Comment