Ekonomi berteras kreativiti, inovasi

Ekonomi berteras kreativiti, inovasi

Oleh Dr Zaini Ujang

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pendekatan baru bagi meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pelaburan, pada masa sama menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, perlu difahami dalam konteks persekitaran baru ekonomi global.

Persekitaran itu sudah pasti ada kaitan dengan kemurungan ekonomi dunia, sekali gus memberi kesempatan untuk mengubah dasar lama supaya lebih berdaya saing dan lestari.

Antara lain, pengumuman Najib pada Persidangan Invest Malaysia 2009 baru-baru ini, membabitkan kelonggaran terhadap Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dalam soal pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan; kegiatan mendapat dana syarikat senaraian awam serta pembelian hartanah.

Sekali imbas, dasar itu nampak hanya terhad kepada sektor ekonomi. Banyak pihak mula berbincang beberapa isu membabitkan kepentingan Bumiputera dan tahap daya saing berbanding negara jiran rantau ini. Sudah pasti kaca mata politik kepartian turut digunakan untuk menilai kepemimpinan dan dasar Najib sebagai Perdana Menteri baru.

Biar apapun perspektifnya, namun ketara bahawa dasar baru itu mempunyai rasional yang memberi kesan langsung kepada corak pelaburan, bentuk industri dan jenis pemangkin ekonomi di Malaysia.

Kenapa kita memerlukan model ekonomi baru ketika ini? Pertama kerana model lama tidak lagi mampu menyediakan momentum baru kepada kemajuan ekonomi negara yang dirangka sejak lebih dua dekad lalu berasaskan persekitaran lama.

Kedua kerana kita memerlukan strategi dan pendekatan baru untuk menangani iklim ekonomi dunia merudum bermula dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Natijahnya, banyak negara rakan niaga utama kita mengalami pertumbuhan negatif, termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun menyebabkan pengurangan mendadak eksport barang dan perkhidmatan tempatan.

Ketiga kerana model baru ekonomi negara maju mengalami perubahan daripada industri konvensional kepada industri lestari. Secara fitrah, tidak semua krisis, pengurangan dan penguncupan ekonomi itu mendatangkan musibah. Pasti ada hikmahnya. Dari segi pembangunan dasar, ini adalah kesempatan terbaik untuk kita melakukan anjakan paradigma. Malah, menurut Najib, ini juga satu keperluan untuk terus maju dan berdaya saing.

Soalan kedua ialah apakah bentuk kreativiti dan inovasi yang perlu dimajukan untuk membentuk ekonomi model baru? Ketika ini banyak negara maju sudah melakukan anjakan paradigma untuk menjana nilai tinggi daripada kreativiti dan inovasi menggunakan paradigma lama kepada yang baru. Anjakan itu dilakukan bukan saja terhadap jenis dan bentuk industri atau perkhidmatan, malah terhadap sektor berkaitan secara holistik.

Penjanaan nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi baru ini dirangka membabitkan tiga dimensi yang digabung secara sepadu, iaitu pertumbuhan ekonomi, tanggungjawab sosial dan keprihatinan ekosistem. Hal ini terangkum dalam banyak laporan dan pernyataan dasar seperti Laporan Stern 2007 di United Kingdom atau manifesto politik Presiden Barack Obama.

Tidak dinafikan banyak pihak sinis terhadap kreativiti dan inovasi untuk membangunkan paradigma baru ini. Malah, sesetengah pihak industri sendiri menyatakan kebimbangan bahawa paradigma itu akan meningkatkan kos pengeluaran dan seterusnya mengurangkan daya saing.

Namun demikian kita juga perlu faham bahawa perkembangan teknologi berasaskan kreativiti dan inovasi ketika ini hampir semuanya menjurus kepada pendekatan holistik. Mereka yang nampaknya seolah-olah berdalih, pada hemat saya, kerana strategi untuk melekakan pesaing masing-masing supaya beranggapan bahawa mereka masih iltizam dengan paradigma lama.

Secara tidak langsung kreativiti dan inovasi baru itu bukan saja menjana nilai tinggi iaitu kenderaan yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api, bahkan mesra alam dengan harga jauh lebih murah. Selain itu, teknologi terbabit membolehkan Amerika Syarikat mengurangkan 30 peratus penggunaan bahan api dalam negara dengan penjimatan AS$45 bilion setahun.

Ini sekadar satu contoh penjanaan nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi baru yang diperlukan untuk membolehkan Malaysia membangunkan model ekonomi baru seperti ditegaskan Najib.

Hal ini menjadi lebih kritikal menerusi pelbagai protokol dan perjanjian antarabangsa, khususnya perjanjian perdagangan antarabangsa WTO dan ketetapan multi lateral pasca Protokol Kyoto mengenai perubahan iklim global yang dijangka akan diputuskan di Copenhagen Disember ini.

Malaysia harus bersedia untuk menangani perubahan berkenaan menerusi model ekonomi baru melalui penjanaan nilai tinggi berasaskan kreativiti dan inovasi lestari. Seperti kata Najib, model baru itu adalah langkah kritikal untuk mengekalkan momentum mesra pasaran sekali gus boleh mencipta sumber pertumbuhan baru.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

0 comments: