Perubahan strategik Pemuda
Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my
MENELITI keputusan pilihan raya umum yang lalu serta siri pilihan raya kecil selepasnya, semua telah maklum UMNO kini berdepan dengan satu cabaran besar untuk menawan kembali sokongan pengundi generasi muda.
Walaupun banyak sebab dan punca digariskan sebagai penyumbang kepada situasi tersebut namun apa yang pasti ia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap biasa sebaliknya ia senario yang cukup mendesak bagi UMNO.
Apatah lagi kekalahan Barisan Nasional (BN) pada beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini banyak dikaitkan kerana kegagalan menawan sokongan pengundi di saluran empat dan lima yang mewakili generasi muda.
Justeru sebagai mewakili generasi berkenaan, Pemuda UMNO pastinya memikul amanah besar untuk memastikan UMNO kembali menjadi pilihan pengundi di saluran berkenaan demi kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Sesungguhnya bagi mencapai matlamat tersebut, Pemuda UMNO di bawah kepimpinan ketuanya yang baru, Khairy Jamaluddin memerlukan perubahan serta pendekatan baru yang sesuai dengan keperluan semasa.
Ini terutama persekitaran yang ada pada hari ini cukup berbeza dengan dekad sebelumnya kerana peranan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan pengaruh besar membentuk pemikiran generasi muda.
Justeru Pemuda UMNO harus mempunyai pendekatan yang sentiasa segar dengan tuntutan semasa yang membentuk sikap dan kehendak pengundi muda.
Mengambil kira semua itu, Pemuda UMNO kelmarin mengumumkan penstrukturan kepada biro, sekretariat dan unit sebagai satu pendekatan perubahan strategik pergerakan itu bagi menarik sokongan pengundi muda.
Pendekatan baru itu juga bukan sahaja untuk menarik sokongan golongan muda Melayu tetapi juga merentasi batasan kaum untuk memastikan kejayaan BN.
Dalam pengumuman selepas Majlis Khemah Kerja Perdana Pemuda UMNO itu, Khairy menggariskan bahawa pendekatan tersebut adalah berdasarkan lima rukun Pemuda iaitu Berprinsip, Inklusif (merangkumi semua), Proaktif, Relevan dan Bersatu.
Menurut Khairy, Pemuda berprinsip bermakna Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO, agama, bangsa dan negara serta mempertahankan Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial dan perkongsian kuasa.
"Pemuda 'inklusif' adalah dengan memberi fokus kepada usaha bukan saja pada ahli UMNO tetapi juga generasi muda tanpa mengira kaum yang tidak berparti dan tidak menyokong kita," katanya.
Beliau berkata, Pemuda yang proaktif bermaksud tidak perlu menunggu sebarang arahan untuk menyelesaikan masalah dan ia perlu dilakukan dengan pantas dan berkesan sebelum ia menjadi krisis yang besar.
Katanya, bagi menjadikan Pemuda relevan, semua programnya diubah suai mengikut cita rasa golongan muda dengan menggunakan saluran komunikasi seperti media baru, facebook dan lain-lain.
"Dan yang terakhir (rukun kelima) adalah Pemuda yang bersatu. Pemuda tidak boleh berpuak-puak dan terikut-ikut dengan politik pecah-belah kerana ia akan menggagalkan usaha BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang," katanya.
Mengenai penyusunan semula biro, sekretariat dan unit Pemuda UMNO, sebanyak 28 biro baru sekretariat dan unit ditubuhkan dengan lapan daripadanya baru diwujudkan.
Khairy mewujudkan lapan yang baru iaitu Sekretariat Hal Ehwal Bandar; Profesional Muda; Pekerja Muda; Perhubungan Kerajaan; Pemuda BN dan Satu Malaysia; Unit Pidato dan Penghujahan Umum; Media Baru dan Perang Saraf.
Jika diselusuri satu per satu biro dan sekretariat baru yang diwujudkan itu, Pemuda UMNO dilihat berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan harapan parti kepada sayap tersebut.
Sememangnya menjadi keperluan untuk Pemuda mendampingi dan memfokuskan beberapa isu yang dilihat dekat dengan kelompok muda seperti soal pekerjaan, profesional muda, kehidupan di bandar serta peranan media baru melalui biro atau sekretariat yang diwujudkan.
Pemuda UMNO tidak boleh sama sekali dilihat terkebelakang dalam isu-isu berkenaan hingga membiarkan parti pembangkang menjuarai isu yang berkaitan.
Selain itu, Unit Media Baru, Pidato dan Penghujahan Umum antara beberapa unit yang dilihat punya peranan besar untuk memperkasakan parti dalam konteks mematahkan serangan pemimpin pembangkang.
Walaupun hujah pembangkang hanya berkisar tanpa asas dan kebenaran namun bagi kebanyakan golongan muda, mereka tidak mempedulikan semua itu.
Maka mahu atau tidak UMNO perlu menyediakan barisan pemimpin seawal di peringkat Pemuda lagi yang petah bercakap bagi menyaingi pembangkang kerana jika tidak, persepsi yang telah berjaya dibentuk pembangkang akan terus menyukarkan UMNO.
Selepas selesai pengumuman barisan peneraju negeri dan biro, maka kini masanya untuk Pemuda UMNO bergerak ke hadapan memberi khidmat kepada rakyat bagi membantu memperkasakan parti.
Sebagai sayap utama, Pemuda UMNO tidak boleh menoleh ke belakang sebaliknya mereka perlu bersatu memikul amanah yang cukup besar untuk mengembalikan sokongan pengundi muda.
Maka mereka yang dipilih untuk menerajui 28 biro, sekretariat dan unit perlu melakukan yang terbaik untuk kelangsungan parti.
Hanya dengan khidmat bakti yang berkesan dan dirasai rakyat, maka segala persepsi yang dilemparkan kepada sayap itu khususnya sebagai kelompok elitis boleh dihakis.
Dan paling mustahak dalam berusaha mencapai cita-cita ini, Pemuda UMNO harus dilihat benar-benar mewakili aspirasi dan kehendak golongan muda.
0 comments:
Post a Comment