Bahaya lewat urus harta pusaka
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
TANGGAPAN di kalangan masyarakat Melayu bahawa pengurusan harta pusaka hanya boleh diselesaikan melalui hukum faraid sahaja adalah antara penyebab utama berlakunya kelewatan pembahagian yang membawa kepada pertelingkahan sesama waris.
Kelewatan urusan pembahagian harta pusaka itu bukan sahaja akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi kekeluargaan tetapi ia akan menyebabkan harta itu terutamanya hartanah akan menjadi statik dan tidak memberikan pulangan ekonomi yang sepatutnya.
Keadaan akan menjadi lebih serius lagi apabila pihak-pihak yang bertelagah mengambil jalan singkat dengan mengambil keputusan menjualkannya bagi membolehkan hasil jualan diagih-agihkan sesama mereka.
Apabila perkara ini berlaku, ia sebenarnya tidak akan menyelesaikan permasalahan utama malah ia akan membawa kepada masalah jangka masa panjang yang lebih serius, bila mana hak milik harta itu berpindah ke tangan pihak ketiga dan wujudnya salah faham sesama mereka yang tidak berpuas hati dengan ganjaran yang diperoleh.
Segala kemelut ini mampu ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat Melayu itu sendiri membuat perancangan awal dengan mengurus tadbir harta mereka secara teratur dan sistematik sebelum meninggal dunia.
Mengimbas kembali apa yang telah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu, secara asasnya terdapat tiga mekanisme utama yang diguna pakai apabila menyentuh soal pengagihan harta pusaka iaitu hukum faraid, hukum adat dan wasiat.
n Hukum faraid - pembahagian harta mengikut syariat Islam berdasarkan kepada hierarki waris.
n Hukum adat - amalan tradisi sejak berzaman lamanya yang ditentukan kepada konsep tolak ansur dan persefahaman antara waris.
n Wasiat - yang paling jarang diamalkan dan ia berdasarkan kepada peraturan tertentu.
Perlu diakui walaupun pahit, isu pembahagian harta pusaka merupakan suatu perkara yang amat sensitif kerana lazimnya terdapat dua tabiat buruk di kalangan Melayu Islam iaitu tabiat membolot kesemua harta pusaka dan tidak menghiraukan urusan pewarisan harta pusaka itu sendiri.
Gejala buruk ini wajar dihentikan kerana ia langsung tidak mendatangkan faedah kepada para warisnya, walaupun sekelumit.
Lebih menakutkan lagi apabila pemilik asal harta yang sedang bersemadi akan terus terseksa selama mana urusan pembahagian yang sepatutnya selesai secara aman dan harmoni, tidak menemui penyelesaiannya sehingga bertahun-tahun dan warisnya pula asyik bergaduh sesama sendiri.
Masalah tersebut tidak akan timbul sekiranya masyarakat sedar kepentingan menulis surat wasiat tetapi hakikatnya ramai orang Islam menganggap bahawa mereka tidak memerlukan wasiat kerana kewujudan hukum faraid - tanggapan ini ternyata silap.
Kaedah penulisan wasiat juga sebenarnya mampu mengatasi semua permasalahan itu kerana ia mampu membezakan antara harta pusaka dan pemberian atau hibah. Ini kerana wasiat pengagihan harta ditentukan semasa pemilik masih lagi hidup.
Kelebihan menulis surat wasiat antara lain mampu mempercepatkan proses surat kuasa pusaka, mengelak persengketaan antara waris di samping dapat melantik wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan.
Bagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat Melayu yang beranggapan apabila harta-harta diagihkan terlebih dahulu sebelum mereka meninggal dunia akan menyebabkan kebarangkalian untuk anak-anak mengabai dan menyisihkan mereka.
Jadi, dalam usaha memastikan kedudukan mereka daripada terkena sindrom dihantar ke rumah orang tua oleh anak-anak yang tidak berperasaan dan tidak mengenang budi.
Mereka kebanyakannya akan memilih jalan penyelesaian popular iaitu menyerahkan bulat-bulat kepada waris masing-masing untuk menyelesaikan segala kemelut sesama sendiri apabila mereka meninggal dunia kelak.
Para ibu bapa perlu bertanggungjawab mengelak waris-warisnya daripada pergaduhan sesama sendiri.
Pada masa inilah, perlunya peranan Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai badan bebas untuk mengendalikan dan menguruskan harta pusaka.
ARB, syarikat milik penuh kerajaan, dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1921 dan diperbadankan pada tahun 1995.
Selain menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti pentadbiran harta pusaka, pentadbiran harta amanah dan pemegang amanah bagi tabung-tabung harta amanah, ARB juga menawarkan khidmat nasihat dan panduan mengenai pembahagian dan pengurusan harta.
0 comments:
Post a Comment