Mempolitikkan Islam jejas perpaduan Melayu

Oleh Md Shukri Shuib
md.shukri@uum.edu.my

SEHINGGA ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik. - Gambar hiasan

Sejarah perpecahan berlanjutan antara Umno, Pas bukti demokrasi kepentingan diri rugikan ummah

DALAM kancah politik umat Melayu dan Islam di negara ini, secara asasnya lingkungan penggunaan Islam sebagai asas berpolitik dan menegakkan perjuangan dilihat sebagai satu kaedah yang sering diguna pakai oleh ahli politik.

Walau apapun gelarannya, sama ada ustaz, haji malah tok guru, soal guna pakai Islam sebagai asas memperteguhkan ulasan politik yang diluahkan, dilihat lumrah. Bahkan, ahli politik bukan Islam juga dilihat lebih cenderung kini untuk menggunakan Islam sebagai asas hujah mereka dalam menarik minat dan keterujaan komuniti pengundi Islam di negara ini.

Inilah bahana mempolitikkan agama dalam kancah berpolitik. Dalam berpolitik, umat Melayu dan Islam seharusnya mengambil iktibar kisah dua khalifah ar-Rashidin, yakni Khalifah Uthman al-Affan dan Khalifah Ali Abi Talib yang dibantah kepemimpinan oleh golongan pembangkang.

Bantahan itu menyebabkan pemerintahan kedua-dua kepemimpinan terbabit selaku ketua negara dan kerajaan terganggu dan berlakunya perpecahan. Pada hal, kedua-dua Khalifah ini adalah sahabat dan menantu Rasulullah SAW yang turut dijanjikan syurga, namun ditentang dan dibunuh atas alasan kononnya mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam pentadbiran negara.

Pengajaran besar bagi umat Islam di negara ini, yang didoktrinisasikan politiknya berasaskan kepada demokrasi dan dengan itu demi menegakkan demokrasi, maka elemen berparti diadakan. Dulu umat Melayu di Tanah Melayu ini hanya mengenal erti kesultanan dan tiada parti politik wujud atas nama agama mahupun bangsa. Yang wujud hanyalah satu, iaitu demi kedaulatan negara masing-masing.

Dengan doktrin penjajah, akhirnya umat Melayu terpecah mengikut acuan politik. Dulunya Sultan dan Raja adalah satu-satunya ulil amri yang wajib ditaati, tetapi selepas demokrasi dijalankan, istilah ulil amri ada kalanya dipesongkan hinggakan seolah-olah setiap presiden parti atau pemimpin pertubuhan diangkat sebagai ulil amri.

Inilah natijah demokrasi kepada Islam hinggakan perkara utama dalam pembinaan negara mampu dipesongkan.

Mengimbau sejarah perjuangan Tanah Melayu, jika pada 1946 ketika Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar atau Umno) ditubuhkan, keseluruhan anak watan Melayu digabungkan di bawah satu payung politik perpaduan demi membanteras cita-cita penjajahan terus bangsa asing ke atas bumi bertuah ini.

Namun, lama kelamaan, elemen perpaduan itu luntur sehingga menyebabkan Pas yang dulunya di bawah payung Umno sebagai Biro Agama bertukar watak bukan lagi sebagai aktor perpaduan, sebaliknya lebih kepada aktor bangkangan. Membangkang hinggakan mampu menggugat kedudukan Melayu dalam menuntut kemerdekaan mutlak daripada Britain.

Umnolah satu-satunya parti anak watan yang dibina oleh bangsa Melayu di Tanah Melayu. Lain-lain gagasan sebelumnya dilihat bertaklik kepada Indonesia Raya. Untuk itu, hujah menyatakan Umno sebagai sebuah pertubuhan anak watan kesultanan serta pemelihara keutuhan politik Melayu adalah berasas.

Pada saat Umno dilahirkan, ramai daripada komuniti asal negara ini, iaitu umat Melayu hidup dalam daif dan tidak diberikan pelajaran sempurna oleh penjajah. Mujurlah segelintir bangsawan dan anak watan yang dihantar belajar hingga ke peringkat tinggi diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menggerakkan perpaduan Melayu hinggakan pada 31 Ogos 1957, tercapai kemerdekaan selepas 446 tahun terjajah diambil kira sejak Kejatuhan Kesultanan Melayu di Melaka pada Ogos 1511.

Sehingga ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik.

Pada anggapan dunia, hak asasi masa kini, demi hak asasi maka perpecahan adalah baik dan bermakna. Adakah prinsip Islam membenarkan perpecahan? Jika dibenarkan adakah pada era Rasulullah SAW wujudnya 'kepuakan' sebegini. Yang wujud adalah tiga golongan, iaitu yang beriman, yang munafik dan yang kafir. Tidak ada pula dalam kelompok beriman itu terpecah-pecah mengikut haluan masing-masing.

Adakah atas nama Islam, hubungan sesama Islam itu dapat dipecahkan? Justeru perpaduan dua parti Islam ini, iaitu Umno dan Pas seharusnya menjadi satu kenyataan. Retorik, sejarah dan peluang berpolitik seharusnya diamati dengan muhasabah yang hak, iaitu adakah dengan berpecah, umat Islam dapat dijaga kepentingannya? Adakah demokrasi itu dipertuhankan?

Selain parti politik, dalam konsep demokrasi, instrumen mengukur sokongan adalah pilihan raya. Dengan pilihan raya jugalah sebahagian besar dunia Islam dilanda perpecahan. Dengan pilihan raya ini jugalah timbulnya sengketa.

Lihat saja Iran, Iraq serta Pakistan yang sentiasa bergolak disebabkan oleh cetusan pilihan raya. Bukanlah pilihan raya itu perlu ditiadakan. Tetapi jika ini mampu menyatupadukan komuniti rakyat, ia baik untuk diadakan. Tetapi adakah kini pilihan raya dilihat sebahagian daripada usaha perpaduan ummah?

Dalam tingkah laku kempen, tawaran syurga serta merendahkan dan lebih daripada itu mengaibkan serta memfitnah sesama Islam yang dilakukan oleh umat Islam dan bukan Islam menunjukkan betapa ajaran Islam tidak dipraktikkan.

Amat menyedihkan ialah dengan elemen 'hak asasi' segala percakapan sudah tidak lagi menjadi salah dan jika dibendung kebebasannya, ia dianggap bertentangan dengan demokrasi tulen. Soalnya adakah Islam membenarkan sebarang kegiatan 'percakapan' dan kempen yang tidak merangsang perpaduan dilaksanakan?

Atas nama Islam, kedua-dua parti politik Umno dan Pas yang nyata sekali keahlian terbesarnya adalah dari kalangan umat Melayu yang juga Islam perlu bersatu dan berpadu demi kekuatan agama, bangsa dan negara.

Seteru politik dalam demokrasi dibenarkan, tetapi dalam Islam adakah kita dibenarkan untuk berseteru dengan sesiapa juga, walhal mereka ini adalah pengucap syahadah serta apa juga kesalahan sekalipun walau dihumban ke neraka akan tetap merasai syurga.

Inilah indah Islam yang menetapkan bahawa sebarang kesalahan tidak berkekalan, yang kekal adalah kebaikan.

Apakah atas nama demokrasi, maka umat Islam seolah-olah dibiarkan berpecah tanpa kesudahan sehingga berlaku pula pertentangan di antara sesama umat Islam yang menyatakan ini Islam dan ini tidak cukup atau tidak Islam.

Entiti politik Islam di negara ini, iaitu Umno dan Pas bukan saja harus berusaha untuk berdialog dan berdebat, malah berusaha untuk bersatu dengan ikhlas dan luhur. Rumusan daripada sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa 'manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dapat dijadikan sandaran muhasabah diri dalam tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan dua parti terbesar umat Islam di negara ini.

Penulis ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kedah
Minda Pengarang: Sistem kupon mampu atasi penyelewengan beras rakyat miskin

KESUKARAN golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk membeli beras subsidi di pasaran diharapkan berakhir September depan. Ini berikutan langkah kerajaan memperkenalkan sistem kupon untuk diagihkan kepada kelompok terbabit. Sejak kerajaan memberi subsidi beras super tempatan 15 peratus hancur (ST15) yang juga dikenali Beras Nasional dua tahun lalu berikutan peningkatan harga beras di pasaran tempatan dan antarabangsa, golongan sasaran mendapat manfaatnya. Harga beras subsidi cuma RM17 bagi setiap 10 kilogram di pasaran sedangkan harga beras yang diapungkan harganya dijual pada harga antara RM24 sehingga RM40 bagi setiap 10 kilogram mengikut gred beras. Namun sejak awal tahun ini, beras ST15 sukar diperoleh di pasaran sehingga menyulitkan golongan berpendapatan rendah dan miskin membelinya. Malah, jika dijual pada harga RM20 sekampit bagi 10 kilogram sekalipun, kerajaan terpaksa membayar subsidi kepada pekilang untuk pengeluaran beras berkenaan. Sukar dipastikan punca beras itu sukar sampai ke pasaran, sedangkan kerajaan mengeluarkan subsidi, iaitu RM32 juta sebulan bagi pengeluaran 40,000 tan beras. Jumlah subsidi dikeluarkan kerajaan mencecah RM365 juta setahun yang mana faedahnya sepatutnya dinikmati rakyat golongan sasaran. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar menyalahkan pendatang asing dan pengusaha restoran sebagai antara punca kekurangan beras berkenaan di pasaran.

Namun, jika diteliti, didapati pihak pengilang sendiri, selain orang tengah turut memanipulasi harga untuk menjualnya pada harga lebih tinggi bagi mendapatkan keuntungan segera. Kemelut ekonomi yang mencengkam semua lapisan masyarakat sekarang turut menjadikan beras itu pilihan golongan menengah yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan, menyebabkan penawaran 40,000 tan beras jenis berkenaan sebulan tidak cukup untuk menampung permintaan tinggi. Ini menyebabkan pengilang dan orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga. Jika sebelum ini, harga sekampit beras berkenaan RM17, kini sudah meningkat kepada RM20 sekampit. Oleh itu, kita menyokong langkah kerajaan memperkenalkan sistem kupon untuk menyelesaikan kemelut ini, namun rakyat mahukan ia lebih telus supaya ia tidak dimanipulasikan pihak tertentu, sehingga menggagalkan hasrat kerajaan untuk meringan beban golongan bawahan dan miskin. Kajian terperinci dan pemantauan rapi perlu dilakukan. Malah, pengalaman pemberian subsidi minyak diesel kepada nelayan perlu dijadikan iktibar bagi mengelakkan masalah sama berulang. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi pegawainya di seluruh negara boleh membuat kajian di kawasan sasaran untuk melihat keperluan penduduk terhadap beras terbabit dan pengagihannya dilakukan berdasarkan kajian berkenaan, sebelum kupon diagihkan. Kerajaan juga perlu memastikan hak golongan berpendapatan rendah di bandar besar untuk menerima kupon berkenaan tidak dinafikan kerana mereka terjejas teruk berikutan tekanan ekonomi sekarang. Dengan menggunakan mekanisme terbaik, kita berharap pengagihan kupon kepada kumpulan sasar mencapai matlamat yang diharapkan. Rakyat tidak mahu lagi melihat kepincangan lalu dalam penyaluran subsidi yang dinikmati golongan yang tidak berhak.
Cakap-cakap

MAMAT dengar ada pergaduhan di Manek Urai. Mamat juga dengar, yang cedera adalah wanita kerana terkena batu yang dibaling oleh pihak-pihak terbabit. Walau pun pergaduhan itu kecil, Mamat rasa ia sangat memalukan, apatah lagi kedua-dua yang bertanding adalah orang Melayu mewakili parti orang Melayu dan Islam. Dalam pertandingan sebegini sepatutnya, kedua-dua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Mereka juga sepatutnya meletakkan maruah Melayu dan Islam pada tahap yang tinggi, jika hendak dihormati.

Mamat � selalu gaduh main guli waktu budak-budak dulu.
Analisis: Kejayaan tipis Pas di Manek Urai beri kemenangan moral buat BN
Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

CALON Pas, Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan menang tanpa sorak gegak gempita di Dewan SK Sultan Yahya Petra Satu, malam tadi, apabila sekadar mendapat majoriti 65 undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Kejayaan tipis Pas itu bagaimanapun memberi kemenangan moral kepada Barisan Nasional (BN) kerana bukan saja berjaya menembusi kubu kuat Pas di Manek Urai, bahkan ia turut memberi isyarat lantang bahawa penduduk Kelantan kini tidak lagi mahu terus dibelenggu dengan hanya nasihat, doa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.

Malah, 'kejayaan' calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat bertapak di kubu kuat Pas, Manek Urai Lama ternyata memberi tamparan hebat kepada parti itu kerana undi penduduk di kawasan berkenaan diberi kepada BN hanya kerana sebuah jambatan usang yang tidak mampu disediakan kerajaan negeri Pas.

Ternyata pepatah yang pernah digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah, adalah ayat pertama menjalar di fikiran.

Kemenangan tipis Pas berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, boleh dikaitkan kepada beberapa faktor:

# Perubahan kepemimpinan BN yang diterajui Najib.

# Sikap BN yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan penduduk.

# Keinginan penduduk Manek Urai untuk menyertai arus perubahan yang semakin pantas di sekeliling mereka.

# Sikap dan kewibawaan calon BN yang dilihat amat ikhlas ingin membawakan perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk.

# Kerja keras Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta anak buahnya.

Nyata 'the feel good feeling' yang dicetuskan Perdana Menteri, terutama yang diikrarkan pada hari 100 pemerintahannya, juga antara penyumbang kepada perubahan sikap pengundi Manek Urai.

"Kekalahan tipis BN mungkin akan dikesali majoriti penduduk Manek Urai, terutama yang selama ini penyokong kuat Pas kerana mereka terlepas peluang untuk menikmati pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial lebih baik.

"Mereka tahu, semua janji BN seperti yang disampaikan Tan Sri Muhyiddin (Mohd Yassin) akan ditunaikan. Gelaran Manek Urai akan menjadi 'ának emas' Kerajaan Pusat sekiranya BN menang bukan diberi sewenang-wenangnya, kerana daerah ini memang akan menjadi anak emas BN sekiranya Tuan Mat menang,

"Namun, dengan kekalahan ini penduduk Manek Urai yang menginginkan perubahan terpaksa menggigit jari," kata seorang pemerhati.

Walau apapun analisis yang dibuat, tindakan YB Manek Urai yang baru keluar dewan tanpa senyuman manis juga adalah cerminan kepada wajah semua pemimpin tertinggi Pas yang sudah pasti turut terpaku dengan keputusan mengejutkan itu.

Walaupun tewas dan ada yang mengalirkan air mata kerana tewas amat tipis, BN kini boleh berikrar untuk bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang diterima semalam, akan berterusan sehingga 2012 nanti.

Tuan Mat mungkin pulang ke rumah dengan rasa kecewa, tetapi dia boleh berdiri bangga kerana berjaya menembusi kubu kuat Pas.

Yang pasti dia akan meneruskan perjuangan untuk terus membantu menaikkan martabat dan taraf hidup saudara mara serta sahabat handainya di Manek Urai.

Sekiranya itu berlaku, Mohd Fauzi atau Abang Uji, sudah pasti kepanasan sepanjang masa menjadi YB Adun Manek Urai dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Filet tilapia ke pasaran AS

Tasik Temenggor kini mempunyai produk terbaru yang mampu mempromosikan lokasi tersebut di mata dunia iaitu filet tilapia.




HUTAN Temenggor seluas kira-kira 300,000 hektar di Lembah Belum dan Royal Belum yang bersempadan dengan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan dipercayai wujud sejak 130 juta tahun dahulu. Ia lebih tua daripada hutan Amazon di Amerika Selatan.

Hutan hujan Khatulistiwa itu dikelilingi dengan Tasik Temenggor yang merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar negara selepas Tasik Kenyir, Terengganu.

Ia kaya dengan khazanah flora dan fauna seperti tiga jenis rafflesia iaitu bunga terbesar dunia dan spesies paku pakis yang dipercayai wujud sejak zaman purba lagi.

Selain itu, hutan berkenaan juga menjadi habitat beberapa mamalia yang hampir pupus seperti badak sumbu, gajah, harimau belang dan 10 spesies burung enggang yang jarang dijumpai.

Tasik Temenggor seluas 18,129 hektar pula adalah lubuk pelbagai spesies ikan air tawar seperti kelah, sebarau, lampan, temoleh, tengas, baung dan toman yang menjadi syurga buat kaki pancing.

Justeru, tidak hairanlah kira-kira 0.49 peratus daripada Hutan Temenggor bersama-sama Hutan Simpan Kekal Belum dan Hutan Simpan Gerik telah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007 dalam usaha kerajaan negeri Perak memelihara khazanah hutan berharga tersebut.

Duta kecil

Tasik Temenggor kini mempunyai produk terbaru yang mampu mempromosikan lokasi tersebut di mata dunia iaitu filet tilapia. Ia merupakan produk hasil ikan daripada ikan tilapia hitam yang diternak di Tasik Temenggor hasil usaha Trapia Malaysia Sdn. Bhd., (Trapia Malaysia) sejak setahun lalu.

Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping percaya produk filet tilapia yang menggunakan label Royal Tilapia itu mampu menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjadi duta kecil mempromosi Taman Negeri Royal Belum ke seluruh dunia.

Menceritakan latar belakang Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur itu, beliau memberitahu, Trapia Malaysia merupakan anak syarikat sebuah firma penternakan dan penghasilan produk makanan laut, Genomar AS yang berpangkalan di Norway.


SETIAP sangkar boleh memuatkan lebih kurang 40,000 ekor tilapia hitam seberat kira-kira 50 tan.


Beberapa tahun lalu, Genomar AS telah menghasilkan benih anak ikan tilapia hitam baru yang dikenali sebagai Tilapia GST yang merupakan benih anak ikan tilapia generasi ke-18 daripada spesies Tilapia Genomar AS.

Beliau berkata, pihak syarikat yang berminat melabur di negara-negara Pasifik telah menjalankan penyelidikan dan percubaan menternak anak ikan Tilapia GST di beberapa negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia, China dan Malaysia.

Menurutnya, hasil penyelidikan mendapati negara kita paling sesuai untuk menternak ikan tilapia itu.

"Tasik Temenggor di daerah Hulu Perak telah dipilih bagi tujuan tersebut. Sebelum ini, kajian telah dijalankan di beberapa lokasi seperti Kedah, Pahang, Terengganu dan Johor. Hasil kajian mendapati kawasan Tasik Temenggor paling sesuai untuk tujuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim ke tapak projek berkenaan di Tasik Temenggor baru-baru ini.

Turut mengiringi Rohani ialah Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub.

Sead Ping berkata, antara faktor pemilihan Tasik Temenggor adalah kualiti air di tasik itu yang sangat bersih dan bebas daripada pencemaran.

Katanya, percubaan menternak anak ikan Tilapia GST di lokasi berkenaan mula dilakukan pada November 2007 dan hasilnya menunjukkan perkembangan positif dengan tumbesaran ikan sangat cepat manakala saiznya juga seragam.

"Malah ikan-ikan tilapia yang diternak di sini juga mempunyai rasa yang enak, tidak berbau tanah dan menepati piawai yang ditetapkan negara pengimport terutamanya Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, pada 15 Januari 2008, Trapia Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi mengusahakan Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur yang dipantau rapi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Tasik Temenggor.

Beliau berkata, kira-kira dua bulan selepas itu, syarikatnya telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) untuk menjalankan projek ternakan ikan tilapia dalam sangkar berskala besar di tasik tersebut.

Permintaan tinggi

Sead Ping juga berkata, semua ikan tilapia hitam itu diternak di dalam sangkar bulat berteknologi tinggi bersaiz 20 diameter.


ANTARA faktor pemilihan Tasik Temenggor adalah kualiti air di tasik itu yang sangat bersih dan bebas daripada pencemaran.


Menurutnya, setiap sangkar boleh memuatkan lebih kurang 40,000 ekor tilapia hitam seberat kira-kira 50 tan. Ia matang dan boleh dipasarkan setelah enam bulan benih ikan dilepaskan ke dalam sangkar.

"Semua hasil ikan tilapia hitam ini akan dijadikan filet berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk berkenaan terutamanya di AS.

"Filet tilapia kian popular kerana isi ikannya yang rendah lemak dan rendah kalori serta mempunyai kandungan protein dan vitamin B 12 yang tinggi. Malah kajian membuktikan tilapia memiliki kandungan merkuri yang paling rendah berbanding dengan ikan komersial lain," katanya.

Sead Ping berkata, antara keistimewaan produk keluaran syarikatnya adalah berupaya untuk dikesan sekalipun sudah dipasarkan dengan teknologi pangkalan data Pengecaman Air Informatik Bio.

Berdasarkan teknologi tersebut, setiap anak benih ikan Tilapia GST yang diternak di dalam sangkar milik syarikatnya akan diambil sedikit sampel tisu semasa beratnya mencecah hampir 17 gram bagi setiap ekor.

Ia bertujuan mengenal pasti asid deoksiribonukleik (DNA) ikan tersebut yang akan dimasukkan ke dalam pangkalan data Trapia Malaysia.

"Ini bermaksud biarpun ikan tersebut sudah diproses menjadi filet dan berada di pasar raya, kami masih mampu mengesan sumbernya termasuk tempat dan penternak ikan tersebut.

"Itu jaminan kami bahawa ia tidak akan diberikan kepada pengeluar produk makanan laut lain di pasaran global masa kini. Teknologi pengesanan ini sangat unik dan pertama di dunia," katanya.


TILAPIA hitam inilah yang diternak di dalam sangkar di Tasik Temenggor, Perak.


Sead Ping berkata, sehingga kini Trapia Malaysia mempunyai dua modul yang setiap satu mempunyai 20 unit sangkar dan dijaga rapi oleh kira-kira 75 pekerja yang semuanya warga tempatan.

Pengeluaran hasil pertama sangkar tersebut dijangka pada Ogos ini dengan sasaran pengeluaran kira-kira 2,000 tan metrik setahun.

Trapia Malaysia juga akan mengembangkan projek berkenaan secara berfasa kepada 10 modul dengan 200 unit sangkar menjelang tahun 2013.

"Dalam tempoh empat tahun, kita menjangka dapat membekalkan hampir 40,000 tan metrik hasil ikan tilapia hitam setahun," katanya.

Sead Ping juga berkata, pihaknya berbangga kerana biarpun belum beroperasi sepenuhnya, filet Royal Tilapia berjaya menarik minat beberapa pengusaha pasar raya besar negara dan Singapura.

Beliau berkata, sebanyak 90 tan metrik hasil ikan tilapia hitam yang diternak dalam projek percubaan telah dipasarkan di pasar raya Carrefour, Mydin dan Econsave di seluruh negara dan Singapura mulai bulan Mei lalu.

"Pengurusan Carrefour juga berpuas hati dengan kualiti Royal Tilapia dengan memberi pengiktirafan pengakuan akreditasi Carrefour Quality Line kepada produk kami baru-baru ini," katanya.


ROHANI ABD. KARIM (tiga dari kiri) menabur makanan ikan di dalam sangkar ikan tilapia hitam di Tasik Temenggor, Perak.


Lebih membanggakan, Royal Tilapia bakal dieksport ke AS dan merupakan negara pengimport filet tilapia terbesar dunia mulai Ogos ini.

Sead Ping berkata, mulai tempoh berkenaan, sebanyak 16 tan metrik produk filet tilapia itu akan dihantar ke negara Uncle Sam itu dalam masa seminggu.

"Ini berikutan penyertaan Trapia Malaysia dalam satu misi perdagangan bersama Jabatan Perikanan di Pameran Makanan Laut pada Mac lalu.

"Nilai pasaran yang berjaya diterokai dianggarkan RM30 juta setahun," katanya.

Tenaga tempatan

Sementara itu, Rohani berkata, beliau bangga Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur Tasik Temenggor yang diusahakan Trapia Malaysia menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata, kerajaan yakin projek berkenaan mampu memberi kesan positif kepada pengeluaran akuakultur negara.

"Pada tahun depan, kita mensasarkan 507,558 tan metrik pengeluaran akuakultur dan 27 peratus daripadanya dihasilkan di Perak.

"Saya kagum dengan perkembangan projek penternakan ikan tilapia hitam ini dan percaya hasil makanan laut dari syarikat ini bakal menjadikan Perak dan negara antara pengeksport utama filet tilapia hitam dunia," katanya.

Dalam pada itu, jika kebanyakan pengusaha industri pertanian di negara ini lebih gemar menggunakan khidmat pekerja asing, lain pula dengan Trapia Malaysia.

Sead Ping menyatakan komitmen syarikatnya untuk menggunakan 100 peratus tenaga tempatan.

"Projek ini berimpak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta setahun.

"Bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak," katanya.


PROJEK ini mampu memberi kesan positif kepada pengeluaran akuakultur negara.


Menurutnya, pihaknya menyasarkan dapat membuka kira-kira 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan termasuk memberi peluang individu yang berminat untuk turut sama menceburi penternakan berkenaan.

Jelasnya, buat permulaan Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis dalam kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak dengan sasaran pendapatan sekurang-kurang RM2,000 sebulan.

"Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan, kerajaan negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik untuk memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam," katanya.

Sumber ekonomi sempadan

Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand tetap menjadi nadi ekonomi warga sekitar Kelantan dan Narathiwat, biarpun pelbagai penguatkuasaan dijalankan.


PGA tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas barang yang telah berada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa.


SELAMA lebih 50 tahun, beberapa pangkalan haram wujud di sepanjang Sungai Golok, sungai yang menjadi penghubung persaudaraan dan perniagaan penduduk Kelantan di sempadan Malaysia dan Narathiwat di Thailand.

Pangkalan haram itu menjadi 'penghubung diplomatik' di antara penduduk di kedua-dua belah sempadan kerana ramai daripada mereka mempunyai hubungan persaudaraan.

Namun, pangkalan itu juga menjadi pusat penyeludupan untuk memenuhi kehendak pasaran di kedua-dua negara.

Seorang peniaga di pekan sempadan Thai, Sungai Kolok, Seman Abdullah, 51, berkata, terdapat beberapa pangkalan yang cukup popular di Sungai Golok.

Pekan Thai itu dikenali sebagai Sungai Kolok sementara sungai yang membatasi sempadan bersama Malaysia-Thailand dipanggil Sungai Golok.

"Biasanya, nama setiap pangkalan ini berdasarkan nama individu yang tinggal paling hampir dengannya atau sesuatu yang boleh dijadikan penanda.

"Antara yang terkenal adalah pangkalan Syed Agil kerana rumah Syed Agil berdekatan dengan pangkalan tersebut," katanya.

Pangkalan lain yang terkenal adalah pangkalan MCA kerana dahulunya terdapat pejabat parti MCA di kawasan itu. Tidak kurang popular adalah pangkalan Pohon Jambu, Gergaji, Pohon Buluh, dan Pauh yang memiliki sejarah tersendiri.

Bolos daripada penguat kuasa

Dari satu segi, kewujudan pangkalan haram itu dikatakan satu daripada punca aktiviti penyeludupan yang gagal dibendung, selain kemasukan secara tidak sah di kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, jeti-jeti ini juga merupakan penyambung hubungan darah antara masyarakat kedua-dua daerah yang hanya dipisahkan sebatang sungai," katanya.


SESETENGAH daripada pangkalan ini tidak layak dipanggil jeti kerana pangkalannya hanya merupakan tebing sungai.


Sempadan yang memisahkan negara ini dengan Thailand dan sebahagian besar geografi politik kedua-dua negara, banyak ditentukan oleh aliran Sungai Golok sepanjang 95 kilometer.

Sungai sempit dengan kelebaran cuma beberapa meter yang banyak didindingi hutan dan belukar ini mudah diseberangi dengan mengharung, berenang atau bersampan, yang cuma mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke seberang.

Selain bergantung pada sumber pertanian, pekerjaan dan perniagaan yang merentasi sempadan, sungai itu juga merupakan pendapatan utama mereka dan kebanyakannya pula melibatkan aktiviti penyeludupan.

Ada yang beranggapan, tanpa kegiatan ini, ekonomi di kawasan sempadan di kedua-dua negara akan lumpuh dan penduduk setempat akan mengalami masalah dengan peluang pekerjaan yang terbatas manakala keadaan sempadan pemisah itu memudahkan mereka menjalankan urusan dan memboloskan diri daripada tindakan penguatkuasaan.

'Tentera semut'

Ramai penduduk Kelantan dan negara jiran yang terlibat sebagai 'tentera semut' mengambil upah menjalankan penyeludupan barang, haiwan dan manusia, di samping bertindak sebagai pembekal.

Barang pilihan penyeludup sudah pasti yang mendapat permintaan tinggi iaitu barang keperluan harian seperti pakaian, gula, beras, minyak masak serta gandum, haiwan ternakan, mercun dan bunga api, segala jenis dadah, minyak petrol dan diesel.

Sepanjang Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Rantau Panjang sahaja terdapat lebih daripada 130 pangkalan haram bagi kegiatan penyeludup.

Tinjauan Bernama mendapati pangkalan-pangkalan haram di sempadan tidak sehebat panggilan itu kerana semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Thailand itu amat daif, kayunya hampir reput dan tidak selamat digunakan.

Malah, sesetengah daripadanya langsung tidak mempunyai kayu atau binaan yang layak dipanggil jeti kerana pangkalannya hanya merupakan tebing sungai yang dipenuhi semak-samun.

Undang-undang perairan

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar turut mengakui faktor sungai itu adalah antara masalah yang dihadapi pihaknya bagi menangani masalah penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.


PGA bertanggungjawab mengawal sempadan Malaysia - Thailand sepanjang 29.9 kilometer dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.


Katanya, barang seludup mudah dibawa masuk ke negara jiran melalui rumah atau premis yang dibina terlalu hampir dengan tebing Sungai Golok dan ia berkait rapat dengan peruntukan rizab tanah sungai.

"Penyeludup biasanya akan menggunakan palung yang akan diisi dengan barang seperti gula atau minyak masak terus ke dalam perahu yang sedia menanti di sungai.

"Masalahnya, PGA tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas barang yang telah berada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa, walaupun lebar sungai itu hanya beberapa meter sahaja memisahkan antara kedua-dua negara," katanya.

PGA bertanggungjawab mengawal sempadan Malaysia - Thailand sepanjang 29.9 kilometer dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas melalui Ops Wawasan.

Selain itu, PGA menempatkan 16 pos kawalan di kawasan strategik dan sekat pintas di tujuh lokasi bagi mengawal kemasukan penyeludup.

Laut Lebanon kurang ikan

Kegiatan menangkap ikan yang keterlaluan, pencemaran dan letupan bahan-bahan berkaitan dengan tangkapan ikan telah menghapuskan hidupan laut di kawasan perairan selatan Lebanon.




Mustapha Shaalan sentiasa menunggu detik-detik lalu untuk berulang semula iaitu apabila dia ke laut, dia akan berjaya menangkap seekor ikan seberat 40 kilogram. Ketika itu, wajahnya pasti berkerut-kerut kerana banyak menghabiskan masa di tengah laut di bawah pancaran matahari yang terik.

Namun, keadaan hari ini jauh berbeza. Menurut Mustapha, seperti kebanyakan nelayan yang berada di bandar selatan Lebanon dan di mana-mana sahaja di negara ini, mereka sangat bertuah jika dapat menangkap satu atau dua kilogram ikan dalam sehari.

Kegiatan menangkap ikan yang keterlaluan, pencemaran dan letupan bahan-bahan berkaitan tangkapan ikan, kesemuanya itu telah menghapuskan hidupan laut di kawasan perairan berhampiran Mediterranean iaitu 220 kilometer sepanjang pantai Lebanon, sehingga dianggarkan kira-kira 8,000 nelayan kini hidup melarat.

"Pada era tahun 1960-an, 1970-an, dan 1980-an, laut ini penuh dengan ikan sehingga kami dicemburui penduduk di bandar lain," kata Mustapha, 68, yang berasa sayu apabila mengenang kembali kenangan dahulu sambil duduk di jeti pelabuhan Tyre.

"Ketika itu reputasi kami tersebar ke seluruh dunia," ujar bapa kepada tujuh orang anak yang memulakan kegiatan menangkap ikan sejak berusia 10 tahun.

Ketua kumpulan nelayan tempatan, Khalil Taha pula memberitahu bahawa kira-kira 2,000 keluarga nelayan tinggal di Tyre, sebuah bandar yang dihuni kira-kira 100,000 orang berhampiran sempadan Israel.

"Kocek saya pula selalu penuh dengan duit dan saya gemar melancong. Tetapi... tengok keadaan kami sekarang.

"Sepanjang era kegemilangan bandar ini, seorang nelayan dengan mudah dapat memperoleh sebanyak AS$500 dolar (RM2,462) dalam seminggu tetapi angka tersebut telah berkurang kepada AS$200 dolar (RM985) bagi setiap bulan pada hari ini dan angka itu adalah di bawah gaji minimum penduduk Lebanon sebanyak AS$333 dolar (RM1,639)," ujar Taha.

"Bapa saya sudah biasa mendapat gaji yang mencukupi dengan menjadi nelayan. Dengan duit daripada hasil lautan, dia mampu menghantar saya dan sembilan orang adik-beradik ke sekolah swasta.

"Malah kami juga selalu membeli pakaian di Nouveautes Khater, sebuah kedai serbaguna," tambah Taha, 49, yang mempunyai dua orang anak.

"Dahulu, ia merupakan kedai yang paling murah di Tyre, tetapi kini ia sudah agak mahal bagi kami," kata Taha yang secara tidak langsung menyalahkan sikap nelayan yang didakwanya menyebabkan laut kini tidak lagi mempunyai banyak ikan, selain menyalahkan pihak kerajaan yang katanya tidak mengambil sebarang inisiatif untuk melindungi industri penangkapan ikan atau membantu untuk membangunkannya.

Memburukkan lagi masalah ini adalah kekacauan politik yang berterusan di Lebanon selama bertahun-tahun. Perang saudara berlaku dari tahun 1975 hingga 1990, manakala pencerobohan tentera Israel di selatan Lebanon termasuk Tyre turut mengundang masalah.

"Kami telah mengeluarkan amaran lebih daripada 10 tahun yang lalu mengenai keadaan buruk ini tetapi tiada seorang pun yang mendengar dan ingin mengambil berat," kata Taha.

Lebanon yang terletak di Mediterranean merupakan kawasan yang 'malang'. Pakar-pakar alam sekitar berkata, kebanyakan spesies termasuk ikan merah, kerapu dan barakuda kecil mengalami kepupusan di perairan Lebanon disebabkan aktiviti menangkap ikan yang buruk diamalkan sejak dahulu.

"Kita memusnahkan laut kita, secara keseluruhan dan kesemuanya," kata seorang saintis akuatik dari Universiti Amerika Beirut, Imad Saoud.


KEBANYAKAN spesies termasuk ikan merah, kerapu dan barakuda kecil mengalami kepupusan di perairan Lebanon.


Menurut Saoud, mereka yang memperoleh manfaat yang tinggi dari laut satu ketika dahulu iaitu para nelayan merupakan orang yang memusnahkan laut.

Katanya, amalan haram dan bahan letupan pemusnah dan pemampat ikan telah memusnahkan ekosistem hidupan marin di pantai Lebanon.

Peralatan pemampat yang mengeluarkan udara ke dalam rekahan atau lubang di dasar laut menakutkan ikan dari tempat persembunyian mereka.

Pembuangan sampah-sarap di sepanjang pesisir pantai dengan bahan besi dari kawasan perindustrian termasuk tembaga, zink dan vanadium pula mengandungi kimia metalik.

Tambahan pula, pemaju-pemaju yang tamak telah menceroboh kawasan pantai dan merasuah tanpa menghiraukan kesan pada alam sekitar.

"Lebanon semakin musnah di semua tahap dan apa yang bakal berlaku lebih teruk," kata Michel Bariche, seorang ahli biologi di Universiti Amerika Beirut.

"Sejauh mana kerajaan mengambil inisiatif, jika ia dilakukan tanpa pengetahuan mengenainya. Ia hanyalah satu usaha yang sia-sia," ujarnya.

Bariche bekerja secara langsung dengan nelayan untuk memujuk dan membentuk kawasan simpanan marin kerana bimbang nelayan terbabit mungkin akan kehilangan terus tempat tinggal.

"Kami perlu menasihati mereka bahawa kawasan simpanan marin itu adalah untuk kegunaan mereka. Jika tidak, tiada apa yang tinggal untuk mereka," tambahnya.


KEKURANGAN ikan di laut menyebabkan kehidupan nelayan terjejas teruk di Lebanon.


Kebanyakan ikan yang ditangkap di Lebanon berasal dari Israel dan Mesir kerana anak-anak ikan menetas di sana dan kemudiannya mengikut arus menuju ke kawasan utara.

Ironisnya, kata Taha, apabila pihak Israel beroperasi di kawasan selatan Lebanon, lebih banyak ikan dapat ditangkap kerana para nelayan tidak dibenarkan masuk ke laut pada waktu malam.

Selepas Israel menarik balik peraturan di selatan Lebanon itu, para nelayan memasuki laut pada waktu siang dan malam sehingga tiada ruang untuk ikan bernafas.

"Seekor ikan tidak boleh mengangkat kepala untuk muncul di permukaan air kerana ada 20 orang nelayan akan pergi untuk menangkapnya," ungkap lelaki itu.

Ketua Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar di Kementerian Agrokultur, Dahej el-Mokdad, mengakui bahawa undang-undang dasar yang baru diperlukan untuk mengendalikan cara-cara penangkapan ikan di Lebanon tetapi kekurangan sumber kewangan dan perpecahan politik menjejaskan perkembangan itu.

"Kita tidak mampu untuk melakukan kerja ini," katanya. "Kita tidak mempunyai bot-bot peronda, jadi bagaimana kita mahu menganggap laut ini sebagai khazanah kebangsaan," tambah Mokdad yang sudah tiga tahun meminta satu strategi baru dilaksanakan bagi menjamin masa depan industri perikanan di Lebanon. Bagaimanapun, cadangan tersebut bagaikan didengari oleh si pekak. - AFP

Pemimpin jangan egoistik

UTUSAN MALAYSIA: Ada pihak melihat pemansuhan PPSMI seolah-olah menjadikan murid bahan uji kaji?

DR. PUAD: Kalau hendak kata pelajar jadi bahan eksperimen, itu tidak betul. Ini kerana pendidikan adalah satu proses berterusan di mana kita perlu tingkatkan tambahan nilai pada sistem pendidikan kita. Maka, ia perlu dilakukan pembaharuan demi pembaharuan, transformasi demi transformasi, pembaikan demi pembaikan berasaskan kepada tuntutan semasa.

Kita mesti responsif kepada tuntutan semasa dalam membangunkan kualiti pendidikan negara, kita tidak boleh statik. Jika didapati tidak berkesan, maka perlu lakukan pembetulan.

Saya yakin PPSMI bertujuan meningkatkan penguasaan ilmu dan bahasa Inggeris (BI) di kalangan pelajar supaya pendidikan kita semakin berkualiti. Namun kita kena terima hakikat jika tidak berjaya, kita kena perbaiki.

Pendidikan maksudnya kita tidak boleh mengorbankan pelajar itu sendiri jika satu dasar itu tidak berjaya dan kita tidak boleh korbankan masa depan pelajar, jika kita tidak mencuba suatu yang baru.

Berdasarkan kajian terakhir PPSMI, kita dapati pencapaian akademik murid minimum bahkan tidak dilaksanakan pun PPSMI. Memang betul saya melawat sekolah-sekolah luar bandar atau di bandar pun saya dengar mereka ajar dwi bahasa, tidak ajar sepenuhnya dalam BI.

Mengapa kita tidak menerima hakikat ini bahawa mesti dilakukan pembetulan, kalau tidak pelajar jadi mangsa iaitu sudahlah hanya lapan peratus guru mengajar sepenuhnya PPSMI dan kebanyakan dwi bahasa, sekarang ini ada sesetengah sekolah bahkan di luar bandar guna bahasa Melayu.

Saya pergi pedalaman Sabah dan Sarawak. Di kementerian, diperkenalkan Pedalaman 1 (P1), Pedalaman (P2) dan Pedalaman (P3). Guru yang mengajar di P1 akan terima elaun RM500, P2 (RM1,000) dan P3 (RM1,500). Namum, realitinya saya tidak jumpa di sekolah tersebut yang ajar PPSMI malah dalam BI campur pun tidak jumpa.

Benarkah dalam PPSMI, murid hendak memahami soalan Matematik pun payah, inikan pula mahu menjawab dengan betul?

Berdasarkan kajian, pencapaian ternyata merosot di sekolah rendah daripada 85.1 peratus untuk subjek Sains jatuh kepada 82 peratus. Demikian juga Matematik di sekolah rendah atau menengah, semuanya jatuh.

Didapati pelajar tidak jawab pun dalam BI. Dan kita bimbang kegagalan itu berpunca apabila dia tidak faham guru mengajar bercampuraduk bahasa.

Sebab itu saya risau melihat mereka yang menyokong PPSMI. Apa motif sebenar mereka? Adakah kerana ilmu? Kalau kerana ilmu, lebih baik kita belajar dalam bahasa ibunda yang lebih mudah kita faham. Macam kita belajar al-Quran, adakah kita belajar al-Quran, kita kena faham bahasa Arab sebab al-Quran itu bahasa Arab.

Hakikatnya, lebih mudah kita ajar dalam bahasa kita, maka baru kita boleh belajar al-Quran dengan betul apatah lagi untuk memahami tafsirnya.

Kadang kala kita salah dari segi berhujah. Kita dapati keputusan sekolah kebangsaan jatuh menjunam sedangkan SJKC naik mendadak, sebab sekolah mereka guna Mandarin, langsung tidak guna BI.

Jadi, saya ingin mencabar andaian bahawa penguasaan BI pelajar meningkat kerana PPSMI. Adakah mereka fasih BI kerana belajar Sains dan Matematik dalam BI. Majoriti anak bangsa kita tidak dapat kuasai BI dengan baik. Banyak kekurangan guru BI di luar bandar, guru tidak mencukupi dan latihan guru tidak ditingkatkan.

Jadi, bila sebut bilingualism kalau tengok contoh negara yang menjadikan bilingualism sebagai bahasa rasmi mereka seperti di Cameroon yang menjadikan BI dan Perancis sebagai bahasa rasmi, namun negara mereka tidak maju pun. Sama seperti di Surinam yang menjadikan BI dan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi. Adakah kedua-duanya negara maju.

Adakah PPSMI dipraktikkan di negara lain?

Saya tidak pasti, namun UNESCO menetapkan seseorang itu mesti diajar dalam bahasa ibunda mereka. Di Jepun, diajar dalam bahasa Jepun sebab ia lebih mudah. Dan siapa kata Jepun tertinggal dalam pelajaran. Di universiti negara ini yang bermula 1983, kita gunakan sepenuhnya dalam BM dan ini melahirkan ribuan doktor dan jurutera. Apakah mereka ini gagal menjadi pakar yang berjaya?

Kita berbelanja RM5 bilion untuk tingkatkan penguasaan BI dan kerana ilmunya? Lebih baik kita tingkatkan BI dengan mengambil guru berkualiti. Sebab itu kita nak ambil 1,000 guru dari luar negara dan bersara untuk mengajar subjek ini.

Apakah masalah makro yang sangat ketara dalam PPSMI?

Guru yang mengajar pun tidak dapat menguasai BI dengan baik, jadi macam mana nak ajar Sains dan Matematik kalau dia sendiri tidak fasih. Penguasaan BI di kalangan guru amat rendah walaupun kita berikan elaun khas kepada guru PPSMI.

Dan kita dapati mereka tidak menggunakan wang tersebut untuk tingkatkan penguasaan BI (peruntukan 10 peratus diberi untuk guru sekolah menengah serta 5 peratus sekolah rendah). Daripada jumlah gaji mereka sebulan, kita belanjakan hampir RM4 juta setahun untuk membayar elaun tersebut.

Saya tidak mahu berhujah telah berlaku pembaziran - kerana pembaziran akan berlaku jika kita meneruskan (PPSMI) setelah kita dapati ia tidak berjaya. Untuk pendidikan, adalah lebih baik kita berbelanja. Ia bukan suatu bentuk pembaziran tetapi pelaburan untuk pendidikan anak-anak.

Pemansuhan PPSMI ibarat membuka lembaran baru, bermaksud orang dalam kerajaan kini sudah berani berkata tidak, jika mereka nampak sesuatu dasar itu tidak boleh diteruskan?

Ya, sebenarnya ini dikatakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Bila kita buat keputusan mansuhkan PPSMI, kita tidak sebut pun pemansuhan tetapi soal memartabatkan BM serta memperkukuhkan BI.

Kita buat keputusan penuh bertanggungjawab kerana contohnya kita akan mansuhkan pada 2012. Bukannya kita buat keputusan hari ini, esok kita tutup terus. Kita akan benarkan kohort sedia ada hingga 2012.

Apa pun, saya hairan dengan kenyataan yang dibuat oleh Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said (yang menolak pemansuhan PPSMI sebaliknya menyifatkan sebagai penangguhan sementara). Adakah dia hanya dinilai kerana dia menulis cerpen atau novel dengan baik.

Dia mestilah seseorang yang mempunyai minda dan jiwa terbuka, berfikiran matang dan strategis dalam memahami tuntutan semasa dan memahami hikmah. Saya baca kenyataan dia semalam itu. Apa maksud dia? Dia juga berkata orang yang mengamalkan PPSMI sebagai peludah bahasa.

Adakah itu ciri-ciri Sasterawan Negara sedangkan pendirian kita jelas. Kita penuh hikmah dan strategi. DBP juga akan diperkasakan untuk menterjemahkan buku-buku ilmu. Jangan kerana ada dua kertas dalam nano teknologi, kita tidak boleh guna bahasa Melayu. Akhirnya nanti, kita tidak boleh puaskan hati semua.

Bagaimana pula dengan kedudukan elaun guru PPSMI?

Ia sedang dikaji oleh pihak kementerian. Mungkin sementara proses ini sedang berjalan, maka elaun guru masih berjalan kerana dasar PPSMI ini tamat berkuat kuasa 2012.

Selepas ini kerajaan kenalah buang sikap ego kalau sesuatu dasar itu memang terbukti tidak berjaya?

Ya, kerana sesuatu yang berkaitan dengan pendidikan kita memang tidak boleh bersikap egoistik bahawa apa yang kita buat itu selama-lamanya betul atau benar. Sebab itu kalau dulu kita belajar BI dengan tata bahasa, kemudian BI berbentuk komunikasi dan nampak ia berjaya.

Namun, kita tidak boleh ego bahawa selamanya hendakkan BI komunikasi. Sebab itu kita nak wujudkan makmal bahasa di sekolah seperti di universiti mengajar BI dengan pendekatan modul keseronokan bahasa seni supaya mereka belajar dengan seronok, di samping kita tingkatkan keupayaan institut perguruan kita untuk melahirkan guru BI.

Dalam tempoh enam tahun pelaksanaan PPSMI ini, apakah mesej daripada golongan guru?

Ya, kajian mendapati guru-guru sendiri tidak menyokong kerana mereka sukar mengajar dalam BI. Bulan lalu, saya pergi ke perjumpaan guru dan apabila saya sebut PPSMI akan dimansuhkan, mereka semua bertepuk tangan. Saya tidak tahu mereka tidak sokong pun sebab mereka berada di medan sebenarnya iaitu hanya dilatih mengajar Sains dan Matematik dalam BM bukannya BI.

Mungkin peranan guru akan lebih mencabar dan besar selepas ini?

Sebenarnya telah banyak kerajaan usahakan untuk memartabatkan golongan guru seperti menyediakan elaun guru pedalaman atau elaun kesusahan untuk dia pergi ke tempat mengajar. Maksudnya dia nak keluar mengajar ke pedalaman contohnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Abai, Sabah. Bila sudah masuk ke situ, nak keluar payah.

Dia kena sewa bot orang kampung kalau nak pergi ke pekan dan kena bayar tambang bot pergi-balik sebanyak RM500. Ini mencabar tugas seorang guru.

Pernah saya berjumpa dengan lapan guru dari Semenanjung yang rumah mereka agak daif. Terus saya minta pihak berkuasa bina semula rumah mereka. Juga ada rumah guru yang berbantalkan beg pakaian saja sebab dia nak beli bantal pun satu masalah.

Di Mulu, Sarawak pula, saya temui bot yang digunakan untuk ke kedai yang datang sekali sekala. Dan sebaliknya apa yang berlaku ialah guru-guru di situ terpaksa pula berkongsi melalui guru besar yang pergi ke Miri untuk membayar denda kerana membawa barang lebih lima kilogram.

Sebenarnya tugas guru amat mencabar, justeru masyarakat kena tahu peranan guru. Masyarakat terlupa akan peranan guru sehingga timbul soal disiplin di kalangan anak masing-masing, disaman pula guru itu. Kita tahu tekanan dan emosi guru. Malaysia pada keseluruhan ada 385,000 guru. Sebab itu kita mahu memartabatkan peranan guru supaya kerjaya guru dilihat sebagai kerjaya yang bermartabat tinggi.

Agaknya jika Datuk tidak turun padang, bagaimanakah permasalahan guru diketengahkan ke pengetahuan kementerian?

Sebenarnya mungkin pegawai-pegawai tahu tetapi ada kalanya dalam soal pendidikan ini memerlukan political wheel seperti PPSMI. Saya yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan berdasarkan political wheel leadership dan bukan kerana keputusan politik. Dan kerana kesungguhan politiklah sebagai contoh beliau melihat pelajar kita terlalu obses dengan pengambilan 20 subjek dalam SPM, maka dibuat keputusan cukup 10 subjek sahaja diambil selain wajib lulus BI.

Ramai mengakui bahawa pentadbiran sekarang ini lebih melihat kepada permasalahan rakyat yang mahu ia diketengahkan untuk penyelesaian awal?

Sebab itu pada saya, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tanggapan politik yang tepat terutama apabila beliau buat keputusan. Seorang pemimpin mesti ada banyak idea kerana hasil idea itu sebenarnya dia akan cari jalan bagaimana nak pimpin negara, nak selesai masalah serta bagaimana nak fokus kepada apa yang nak dilakukan.

Kehebatan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliau memiliki banyak idea dan begitu juga dengan Najib yang mempunyai banyak idea. Idea beliau bukan bertujuan populis tetapi idea yang berisi serta boleh diaplikasikan untuk kepentingan rakyat.

Adakah ini bermakna rakyat sekarang tidak lagi suka pemimpin yang retorik dan sloganis?

Saya sebenarnya kecewa ada yang tidak menyambut baik apabila Perdana Menteri menyatakan beliau ikhlas membuat itu dan ini. Saya yakin rakyat di peringkat bawah dan pertengahan suka benda ini (pembaharuan yang dilaksanakan).

Cuma saya tidak faham apabila ada yang bercakap kononnya orang UMNO ini nasionalisme. Apa yang saya faham tentang nasionalisme ini adalah juga yang memahami tentang Islam.

Saya tidak mahu menerima politik emosi tetapi politik hati nurani. Ia tidak menguntungkan sesiapa pun dalam soal meningkatkan martabat pendidikan, lebih-lebih lagi dalam memperkasakan orang Islam khususnya orang Melayu.

6 KRA Najib: Penentu survival BN

Oleh DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pada 11 Julai 2009, genap 100 hari Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara. Pelbagai penilaian diberikan ke atas kepimpinan beliau; ada yang bersifat positif dan ada yang negatif.

Namun begitu yang menarik adalah kesungguhan beliau untuk mengurus krisis kepercayaan, kesetiaan dan keyakinan dalam kalangan warga Malaysia. Lahir Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang dijadikan sebagai penanda aras atau kayu pengukur ke atas kewibawaan kepimpinan beliau.

Di samping '11 Hadiah Rakyat' yang mencakupi unsur ekonomi dan sosial, beliau muncul dengan enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang akan dijadikan sebagai 'petunjuk' sepanjang beliau memimpin supaya dapat mencapai matlamat KPI.

Keenam-enam bidang tersebut adalah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah serta memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan meningkatkan tahap pengangkutan.

Melihat kepada butiran ini, ia sudah pasti akan menjadi cabaran besar ke atas tadbir urus Najib kerana hampir kesemua pemimpin, baik dalam parti pemerintah mahupun pembangkang, masing-masing pernah dan masih melaungkan usaha yang hampir sama.

Sepanjang 100 hari, Najib bersedia membuat keputusan popular dan tidak popular; keputusan berisiko dan tidak berisiko; kesemuanya memperlihatkan nilai kepimpinan transformasi.

Bagaimanakah KRA ini boleh meningkatkan populariti BN? Apakah pendekatan yang boleh digunakan untuk memenangi hati pengundi dan adakah kesemua enam butiran ini merangkumi keseluruhan masyarakat?

Lebih daripada itu, bagaimana untuk meyakinkan penduduk Malaysia bahawa dengan KRA ini, kita boleh merasa selamat dari sudut ekonomi, politik dan sosial?

KRA merujuk kepada prestasi, keputusan dan pencapaian walau dengan apa cara sekalipun. KRA adalah kejayaan pelaksanaan dan rakyat akan menilai berdasarkan kepada sejauh mana enam butiran tersebut mendekati mereka sebagai kumpulan sasar.

Kumpulan sasar perlu dirunding melalui konsultansi yang berterusan jika Najib mahu melihat kejayaan. Pelaksana dasar kadang-kadang terlepas pandang kedudukan kumpulan sasar semata-mata mahu memenuhi matlamat pihak yang merangka dasar.

Kesemua agensi perkhidmatan awam perlu diberi penerangan mengenai kelonggaran dalam urusan dengan kumpulan sasar supaya birokrasi dan red tape dapat dikurangkan. Apa ertinya jika pemimpin bersedia untuk mengetepikan nilai formal dan protokol tetapi pegawai bawahan masih rigid dengan SOP (Standard Operation Procedure).

'Mesra Rakyat' bermakna kesemua yang terlibat mesti mengetepikan keangkuhan berjawatan tinggi dan berkuasa serta kedudukan mereka agar penilaian sewajarnya boleh dibuat oleh kumpulan sasar atau rakyat sendiri.

Urusan kerajaan mestilah kos efektif dan cepat diberi jalan penyelesaian. Pengagihan kuasa boleh dilakukan jika seseorang pegawai tidak ada atas kekerapan bermesyuarat dan merancang agensi mereka. Rakyat menilai prosedur dan proses di peringkat bawahan kerana kekerapan menggunakan sesuatu perkhidmatan.

Keenam-enam bidang yang dipilih oleh Najib wajar diberi keutamaan. Jalan penyelesaian yang bersifat praktikal perlu digunakan untuk menangani isu jenayah. Pelbagai jenayah saban hari mengambil tempat dalam masyarakat.

Rakyat mahu merasa selamat; mahukan jaminan keselamatan. Asas mengapa ia berlaku perlu diteliti baik di kawasan bandar dan luar bandar yang melibatkan bukan sahaja dalam kalangan dewasa tetapi pembabitan juvenil juga kian meningkat.

Apakah institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan? Bagaimana dengan peranan media dan rakan sebaya di sekolah? Guru sekolah mesti menjadi idola kepada remaja ini. Bagaimana pula dengan penglibatan pendatang asing dalam kegiatan jenayah yang dikatakan antara punca jenayah kian meningkat?

Oleh yang demikian, jelas Najib mempunyai tanggungjawab besar untuk sekurang-kurangnya mengurangkan kadar jenayah baik ringan mahupun berat. Tanggungjawab keselamatan bukan dibebani pada pihak polis sahaja. Pengambilan lebih ramai sukarelawan boleh membantu isu ini?

Dalam usaha melawan rasuah, sudah pasti persoalan besar yang timbul adalah ke atas pendefinisian 'rasuah' sendiri kerana kepelbagaian takrifan inilah menyebabkan ia masih sukar dibendung.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti telus dan diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana individu termasuk pemimpin. Apabila dikatakan wujud pemimpin rasuah dalam kerajaan, Perdana Menteri perlu atasi segera.

Adakah Najib sudah bersedia untuk menghukum 'jerung besar' untuk membuktikan keikhlasan beliau mencari jalan penyelesaian ke atas isu rasuah? Sikap tidak berkompromi ke atas rasuah sebenarnya penting kerana kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhakis kebelakangan ini kerana ia tidak diberi perhatian serius. Ia dikatakan bersifat retorik.

Ramai yang menyoal kejujuran dalam kalangan pemimpin. Najib boleh melakukannya kerana beliau bersedia mengakui kesilapan yang pernah dilakukan dalam beberapa dasar sebelum ini dan jika penambahbaikan dapat dilakukan dalam masa terdekat, ia akan mempengaruhi penerimaan ke atas kepimpinan beliau.

Kerajaan ini jika mahu dilihat sebagai 'kerajaan untuk semua' dan 'kerajaan yang bekerja', perlu mengubah cara kerja dengan lebih berorientasikan perkhidmatan dan bukan pertukaran dasar yang menyebabkan rakyat merasa muak dan menganggap kita masih mengamalkan budaya yang sama.

Hampir 30 peratus demografi negara ini menunjukkan mereka berada di paras bawahan susur lapis masyarakat. Ia merangkumi kesemua kelompok etnik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka bukan sahaja menghuni kawasan luar bandar tetapi juga bandar.

Kemudahan asas perlu diperluaskan. Dalam Malaysia berhadapan dengan usaha menjadi negara maju keseluruhan pelosok negara mesti sekurang-kurangnya sudah mempunyai kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan, hospital dan sekolah.

Barulah golongan ini yang majoritinya berpendapatan rendah mempunyai motivasi dan keazaman untuk mengubah taraf hidup mereka. Jurang antara kelas sangat besar.

Walaupun melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah membantu meningkatkan kadar kelas pertengahan; tetapi penstrukturan antara masyarakat hanya akan berjaya jika jurang antara kelas diatasi.

Sebagai 'kerajaan rakyat', kebajikan masyarakat perlu diberikan tumpuan sebagaimana yang dihajatkan oleh Najib dan rakyat akan menunggu pelaksanaan segera dari barisan kepimpinan beliau.

Dalam arus peralihan masa dan modenisasi yang dilalui oleh Malaysia, ramai yang sudah mula memberi kepentingan ke atas gaya hidup berkualiti termasuk dari aspek pengangkutan awam. Pengangkutan awam tidak bermakna hanya untuk penggunaan di kawasan bandar dan kawasan yang sering berhadapan dengan kesesakan.

Hampir kesemua kawasan memerlukan sistem pengangkutan yang baik dan menyeluruh. Ia perlu berlaku di seluruh negeri dan bukan sekadar di pusat bandar sahaja. Sistem Transit Keretapi Ringan (LRT) boleh diperluaskan di luar Kuala Lumpur. Penggunaan keretapi boleh digalakkan tetapi mesti meliputi kesemua kawasan utama baik dalam mahupun luar bandar.

Najib telah mengemukakan enam bidang yang dianggap relevan dengan kedudukan persekitaran hari ini. Walaupun begitu, beberapa perincian lain boleh diberi keutamaan termasuk dengan isu golongan belia, wanita, golongan yang merayu untuk diberi bantuan, orang kurang upaya, ibu tunggal, dan warga emas serta pesara kerajaan.

KRA merangkumi keseluruhan rakyat Malaysia. Ia boleh dilakukan dengan pemantauan berterusan; pemantauan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan lokal. Setiap kawasan Parlimen boleh diminta membuat penilaian menerusi Pusat Khidmat mereka termasuk di kawasan yang mereka tewas kerana kebajikan tidak mengira batasan kepercayaan politik, agama mahupun gender.

Yang penting adalah kejujuran dan ini yang akan dinilai dalam pilihan raya akan datang. Najib juga boleh mencari mekanisme untuk mengukuhkan parti kerana tidak ada gunanya dasar berjaya tetapi komponen parti sendiri masih bertelingkah antara satu sama lain.

Ada baiknya, parti kembali kepada perjuangan asal dengan menilai semula 'kompromi' dan 'pengorbanan' sehingga membawa kepada pengisian sebagaimana yang kita nikmati hari ini.

Najib memikul beban besar untuk memastikan kesemua butiran KPI akan tercapai dan ia juga bergantung kepada barisan Kabinet, kementerian, agensi di peringkat persekutuan dan negeri; tetapi lebih daripada itu, komitmen pemimpin atasan dan bawahan untuk mengetepikan kepentingan masing-masing dan bersedia menyuarakan kebenaran kepada Perdana Menteri untuk kepentingan dan kesejahteraan kehidupan berukun rakyat negara ini.

Masa tidak bersama Najib. Pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan jadi liabiliti dalam parti perlu dikorbankan untuk kepentingan 27 juta penduduk negara ini.

Tanamkan nilai kemanusiaan Satu Malaysia supaya masing-masing menikmati kehidupan yang aman, harmoni, sejahtera dan lestari; KPI akan tercapai dengan sendirinya jika masing-masing memainkan peranan dengan penuh hemah dan rendah hati serta bersedia mengaku kesilapan supaya amalan defensif dapat dikurangkan dan 'rakyat' terus diutamakan.

Dr. Sivamurugan Pandian ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Tidak harus terhenti setakat mansuh PPSMI

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

MAMPUKAH bahasa Melayu diangkat martabatnya hanya dengan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu? Atau keputusan kerajaan berbuat demikian hanya tertumpu kepada usaha untuk memastikan pencapaian cemerlang para pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran?

Mengaitkan kedudukan bahasa Melayu dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak enam tahun lalu sememangnya tidak salah.

Tetapi menjadikan alasan PPSMI sebagai faktor utama 'membunuh' Bahasa Kebangsaan adalah tidak tepat malah boleh saja dikatakan tidak betul.

Hasil pelaksanaan PPSMI menyebabkan keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik merosot. Data dan fakta mengenainya dibentangkan sebagai bukti. Namun tidak dibentangkan pula prestasi pencapaian para pelajar bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia begitu juga Bahasa Inggeris.

Apakah trend keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu - meningkat atau merosot atau mendatar? Tidak diketahui melainkan ada pihak yang berminat membuat rumusan.

Dan apabila banyak pihak mengalu-alukan pemansuhan PPSMI atas alasan mengembalikan martabat atau kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, maka komen mereka tidak harus terhenti setakat itu.

Ini kerana bahasa Melayu tidak akan dapat 'dimuliakan' sebagaimana Jepun dan Perancis mengagungkan bahasa ibunda mereka dengan hanya memansuhkan PPSMI.

Bahasa Melayu hanya akan menjadi relevan, berkesan dan tinggi kedudukannya jika rakyat Malaysia menghargai nilai serta peranan bahasa tersebut.

Paling penting apabila rakyat negara ini tanpa mengira bangsa tidak berasa malu bertutur dalam bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa untuk semua urusan.

Tetapi jika untuk urusan menamakan jalan pun masih riuh rendah bertelagah untuk menyeragamkan penggunaan Bahasa Kebangsaan, inikan pula soal meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang dihormati dan dipandang mulia.

Begitu juga apabila Dewan Bahasa dan Pustaka umpama 'harimau tanpa taring' untuk melaksanakan fungsinya memartabatkan bahasa Melayu. Adakah PPSMI perlu dipersalahkan seratus peratus sebagai penyebab runtuhnya bahasa Melayu.

Sebab itu pemansuhan PPSMI sebenarnya bukan jawapan mutlak kepada langkah memartabatkan bahasa Melayu. Pengumuman kerajaan baru-baru ini sebenarnya jika diteliti secara tersirat lebih kepada soal pencapaian pelajar terutama di luar bandar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Selain itu tumpuan diberi kepada usaha menambah baik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan pelbagai langkah baru dilaksanakan.

Justeru timbul persoalan apa lagi usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu selain memansuhkan PPSMI?

Adakah dengan mengembalikan bahasa ibunda bagi matapelajaran Sains dan Matematik cukup untuk memuaskan hati para pencinta bahasa tentang kedudukan bahasa Melayu sehingga mahu langkah itu segera dilaksanakan?

Ada bezanya apabila kita bercakap mengenai kedudukan bahasa Melayu dan pencapaian pelajar Melayu. Perbezaan itu mesti difahami.
BISIK-BISIK

BAGI masyarakat, perkhidmatan awam sering kali dikaitkan dengan keberkesanan kerajaan. Itu satu hakikat.

Dalam konteks 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan', peranan sektor awam menjadi semakin penting. Mutu penyampaian perkhidmatan awam perlu lebih cekap dan berkesan.

Kejayaan jabatan-jabatan kerajaan menterjemahkan peranan masing-masing secara berkesan sudah tentu akan merealisasikan hasrat kepimpinan kerajaan dan membangunkan negara dengan meletakkan kesejahteraan rakyat selaku pelanggan utama.

Kerajaan pula dari semasa ke semasa telah mempertingkatkan tempat kerja sektor awam menjadi kemudahan kelas pertama dan sudah tentu pada masa yang sama kerajaan mengharapkan perkhidmatan kelas pertama juga.

Justeru, kakitangan sektor awam perlu memastikan pentadbiran awam yang mereka dokong berkesan dan responsif terhadap permasalahan rakyat. Kerajaan mengharapkan sokongan dan kerjasama padu daripada mereka secara menyeluruh. Mereka perlu mengutamakan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Amatlah malang jika terdapat kakitangan awam yang masih tidak peka dengan tumpuan dan hasrat murni kerajaan untuk membina kesejahteraan rakyat.

Awang - Orang awam.
Tolong pantau kenaikan kadar premium insurans

PERMINTAAN agar kerajaan membantu rakyat dalam masalah kenaikan insurans 200 peratus bukan sahaja berkumandang di Dewan Rakyat tetapi juga di dalam ruangan Forum akhbar ini minggu lalu.

Hakikatnya kenaikan insurans kenderaan ini memberi tekanan kewangan kepada pemilik kenderaan terutama golongan berpendapat rendah dan sederhana.

Jadi tidak salah jika mereka memohon Bank Negara Malaysia supaya mengambil perhatian memantau kadar baru premium insurans.

Bank Negara Malaysia dalam reaksi terhadap aduan dan rungutan orang ramai menjelaskan akan membuat rombakan terhadap kadar premium insurans kenderaan bermotor bagi mencari satu kadar yang sesuai dan adil untuk semua pihak.

Kita juga mengharapkan polisi yang diguna pakai sejak lebih 30 tahun itu dikaji semula.

Kalau boleh dicari formula bagi mengira kadar baru premium insurans.

Jika difikirkan formula yang mengambil kira tiga faktor utama iaitu umur kenderaan, umur pemandu dan jumlah tuntutan yang pernah dibuat pemandu itu membebankan pengguna maka elok ia diubah suai.

Ada banyak pemilik kenderaan yang langsung tidak pernah membuat tuntutan insurans, jadi adalah tidak adil apabila kadar premium semakin tinggi berdasar tiga faktor itu.

Oleh itu Bank Negara perlu segera mengeluarkan satu keputusan mengenai isu ini secepat mungkin.

Lagi lama ia ditangguhkan makin banyak kerugian ditanggung oleh pemilik kenderaan yang ingin memperbaharui lesen kenderaan.

Sepanjang tahun ini, pemegang polisi insurans pihak ketiga yang paling menderita kerana terpaksa membayar kenaikan premium sebanyak 200 peratus.

Golongan ini adalah mereka yang kurang mampu untuk membeli kenderaan baru. Bahkan ada yang tidak mampu membayar insurans pihak pertama maka mereka terpaksa menggunakan insurans pihak ketiga.

Tetapi kita agak terkejut dengan sikap sesetengah syarikat insurans yang sombong dan tidak mahu menjual polisi perlindungan pihak ketiga.

Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap taktik dan tipu helah syarikat insurans.

Mengapa rakyat harus berhadapan dengan kenaikan kadar premium insurans untuk kenderaan bermotor setiap tahun?

Elok kita tanya kepada Bank Negara, adakah trend untuk menaikkan kadar insurans itu telah mendapat kelulusan Parlimen mahu pun Kabinet?

Jika tidak, tolong beri penjelasan.

Isu ini usah dipandang remeh kerana kesannya amat besar kepada rakyat yang tinggal di bandar mahupun di luar bandar.

Kerajaan tidak patut membiarkan kenaikan kadar premium insurans yang amat membebankan rakyat ini.

Syarikat-syarikat insurans tidak patut dengan sewenang-wenangnya mengaut keuntungan besar, sedangkan dengan peraturan mewajibkan semua pemilik kenderaan memiliki insurans - ia sudah menjamin pendapatannya. Apatah lagi jumlah pendaftaran kenderaan baru negara ini meningkat setiap tahun.

Dalam suasana ekonomi sekarang, syarikat insurans tidak harus menaikkan polisi insurans pihak ketiga hingga membebankan hidup rakyat.

Sekali lagi kita gesa Bank Negara agar percepatkan usaha mencari satu kadar premium insurans yang sesuai dan adil untuk semua pihak.
Keputusan profesional penuh justifikasi

KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.

Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.

Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.

Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!

Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur

Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.

Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.

Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?

Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.

Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.

Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.

Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.

Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.

Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).

Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.

Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)
Waspada cinta 'plastik' warga asing

CINTA itu hadir dalam diri setiap manusia tanpa mengenal siapa, rupa dan usia. Orang yang dilamun cinta hidupnya selalu dipanggang resah gelisah, siang dan malam terasa begitu lambat bertaut, kalau boleh ingin bersua selalu untuk melepaskan rindu di kalbu.

Begitulah gambaran mereka yang dilamun perasaan cinta. Namun hidup ini tidak selalunya indah bahagia yang dipinta tetapi kadang-kadang derita yang menjelma.

Belum pun reda isu percintaan gadis kita dengan jejaka dari seberang, kini digemparkan pula dengan 'perangkap' cinta dengan jejaka berhidung mancung dari negara padang pasir atau lebih dikenali dengan nama 'pak arab'.

Laporan khas Utusan Malaysia semalam cukup membimbangkan apabila ia menjadi satu trend di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Statistik sebelum ini menunjukkan lebih 49 kes gadis Malaysia yang diculik atau melarikan diri bersama jejaka warga asing kerana terpedaya dengan cinta 'palsu' sebaliknya mereka hidup melarat dan merempat apabila berada di negara suami pilihan mereka.

Statistik tersebut cukup untuk membuka mata kita semua ancaman 'cinta palsu' warga asing perlu diberi perhatian serius. Isu 'jerat percintaan' dengan jejaka Arab ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi mungkin sudah sampai masanya untuk kita sama-sama memainkan peranan untuk memastikan gadis-gadis Malaysia yang jelita, pintar, berdikari tidak menjadi mangsa lagi.

Kita tentunya tidak ingin melihat akan ada lagi gadis-gadis Malaysia termakan pujukan rayuan cinta asmara jejaka 'antarabangsa' ini kerana mereka hanya menumpang untuk mencari rezeki di negara kita.

Cukuplah dengan kes yang berlaku setakat ini. Jadikan apa yang terjadi sebagai satu pengajaran kepada yang lain. Trend ini perlu dihentikan.

Rakan, kawan atau sahabat perlu menasihati gadis yang dilamun cinta agar tidak terpengaruh dengan pujukan 'romantis' cinta warga asing. Kebanyakan mereka bercinta secara rahsia, jadi perlu diberitahu kepada kedua-dua orang tua mereka agar mereka tidak terus hanyut oleh mimpi-mimpi yang dicipta oleh warga asing.

Ibu bapa selaku tonggak keluarga pastinya dapat membaca gelagat atau tingkah laku anak-anak apabila dilamun cinta. Biasanya mereka akan menunjukkan tingkah laku yang 'luar biasa' seperti tersenyum tanpa bicara, memandang tanpa kata, tersengih tanpa usikan dan sebagainya.

Ibu bapa perlu bertegas sama ada melarang terus anak-anak daripada bercinta ataupun menguruskan cinta dengan cara yang baik. Tanamkan mereka dengan asas didikan agama yang kuat dan dekatkan mereka dengan majlis-majlis agama agar mereka tidak menjadi alpa.

Sekiranya kita dapat mengesan anak gadis sedang dilamun cinta janganlah kita cepat melenting, marah membuta tuli, sebaliknya berbincanglah secara dewasa dengan anakanak kita agar mereka tidak mengambil langkah 'lari' mengikut warga asing. Anak-anak kita mungkin akalnya pendek untuk membezakan antara cinta dan dusta.

Kita perlu mendidik anak kita dari kecil lagi dengan sifat malu sesuai dengan naluri seorang perempuan. Elakkan anak-anak gadis kita daripada didekati oleh kaum lelaki terutamanya warga asing.

Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dengan tidak hanya memandang dari jauh jika perkara berlaku di depan mata. Lakukanlah sesuatu demi untuk menyelamatkan mereka daripada terperangkap.

Kita tentunya tertanya-tanya apakah kelebihan jejaka-jejaka 'antarabangsa' ini menyebabkan ramai gadis-gadis kita terpikat? Adakah hidung mereka lebih 'tinggi' daripada orang kita? Adakah mereka ini lebih romantik daripada pemuda kita?

Apa kurangya teruna tempatan sehingga pemuda 'lombok' yang dipilih, apa kurangnya pemuda kita hinggakan 'abang Bangla' yang menjadi pujaan, apa kurangnya jejaka tempatan sehinggakan jejaka Arab yang menjadi pilihan.

Adakah kerana jejaka tempatan tidak romantik dan ramai yang merempit? Adakah kerana jejaka kita poketnya nipis dan suka membuang masa?

Namun begitu kita percaya tidak semua warga asing yang pandai bermain lidah menghulurkan kata-kata manis cinta 'palsu' kepada gadis kita tetapi pastinya ada di antara mereka yang berhati mulia menyulam kasih membina istana bahagia bersama gadis kita.

Untuk gadis-gadis Malaysia, ingatlah bahawa perkahwinan itu bukanlah satu 'permainan' tetapi merupakan satu ikatan yang suci penyatuan dua jiwa dan merupakan saluran untuk meneruskan keturunan manusia di muka bumi.

MOHAMMAD ISMAIL,

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Perniagaan

Universiti Teknologi Mara, Perlis
Kekejaman Israel bukan halangan teruskan misi kemanusiaan

Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my


HUWAIDA dan Ramzi (kanan) berbual dengan Dr Mahathir ketika tiba di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Free Gaza Movement mohon bantuan masyarakat antarabangsa dalam memastikan Palestin tidak berkubur

KERJA-KERJA kemanusiaan tidak mengenal erti penat, masalah atau halangan, malah sering kali ia melampaui kemampuan diri secara fizikal, mental atau kemampuan. Namun, setiap pengorbanan berbaloi apabila ia berjaya dilaksanakan.

Itulah wajah dipamerkan Huwaida Arraf dan Ramzi Kysia, apabila diterjah pelbagai persoalan mengenai pembabitan dalam Free Gaza Movement (FGM) yang menghapuskan latar belakang sebagai anak kelahiran Palestin, tetapi memiliki kewarganegaraan Israel, Amerika dan Lebanon.

Bekerjaya sebagai peguam, suara tegas mereka hanya untuk mendesak Israel supaya membebaskan rakyat Palestin daripada penderitaan yang sudah berlarutan hampir setengah abad

Tiba di Kuala Lumpur sebagai tetamu Yayasan Perdana, yang dinaungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Huwaida dan Ramzi, mengaku mereka sanggup bergolok bergadai untuk membantu rakyat Palestin secara langsung � tatkala majoriti masyarakat dunia hanya mampu melahirkan kata-kata simpati.

"Hari ini kami hampir muflis dan tidak tahu daripada mana mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin. FGM menerima semakin banyak sokongan global, malah yang mengikuti kami juga bukan calang-calang manusia kerana ia termasuk ahli politik, pemenang hadiah nobel dan wartawan.

"Tetapi misi ini memerlukan sumber kewangan yang besar dan apabila kapal kami Spirit of Humanity, dirampas tentera Israel, kami kini kembali ke perjuangan asal mengumpul semula wang atau mencari penderma yang boleh menyumbang sebuah kapal," kata Huwaida yang baru berusia 33 tahun, meninggalkan kerjaya sebagai peguam bagi menumpu sepenuh perhatian terhadap misi untuk membantu bangsanya yang masih berada di dalam 'kepungan' Israel.

Huwaira dan Ramzi memulakan FGM tiga tahun lalu dan terpaksa meminjam untuk melancarkan misi pertamanya pada 22 Ogos tahun lalu dengan menjadi kumpulan pertama menghantar bantuan kemanusiaan melalui jalan laut menerusi pelabuhan Cyprus.

Dengan dua bot nelayan yang belayar pada kelajuan 7 knot, seramai 44 orang daripada pelbagai kepakaran menjadi kumpulan antarabangsa yang pertama tiba di Pelabuhan Gaza dalam tempoh 41 tahun. Perjalanan lebih 30 jam dan mula diawasi tentera laut Israel sebaik saja dikesan, tetapi tidak diganggu sehingga membolehkan mereka menjejakkan kaki di bumi Palestin.

"Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu. Semua orang kata ia adalah kerja gila, belayar memasuki wilayah Israel dan lima bot tentera negara itu mengawasi perjalanan kami, tetapi kami amat bernasib baik kerana tidak ditahan.

"Mungkin ketika itu dengan publisiti besar-besaran dan ramai pula wartawan berada di dalam kapal terbabit, Israel tidak mahu menunjukkan sikap agresif kerana sedang diperhati masyarakat antarabangsa.

"Ribuan penduduk Palestin datang menyambut kami, walaupun bantuan yang dibawa tidak sebanyak orang yang berada dalam bot terbabit, ia sedikit sebanyak membantu dan lebih penting memberi mereka harapan bahawa ada kumpulan yang sanggup mengharungi lautan untuk menghulur bantuan," kata Huwaida mengenai misi pertama yang turut membawa keluar beberapa penduduk Palestin.

Sejak itu, empat lagi pengembaraan ke Pelabuhan Gaza tidak dihalang tentera laut Israel dan ia disertai pelbagai jenis manusia, termasuk Ahli Parlimen Barat dan Eropah, sukarelawan kemanusiaan dan wartawan menaiki bot lebih selesa, manakala perjalanan jauh itu dapat disingkatkan selama 15 jam saja.

"Kami berjaya membawa begitu banyak bantuan kepada rakyat Palestin seperti bekalan buku, sehingga kami melancarkan kempen 'Right To Read' yang membolehkan masyarakat dunia menghulur bantuan buku kepada rakyat Palestin," kata Ramzi.

Bagaimanapun, populariti yang semakin hebat diterima FGM menaikkan kemarahan Israel dan pada misi yang dilancarkan pada 30 Disember lalu, bot FGM ketika itu yang dikenali sebagai Dignity dilanggar tiga kali tentera laut Israel, iaitu 90 batu nautika dari pelabuhan Gaza.

"Bot itu hampir karam, namun kami bernasib baik kerana kapten kapal yang berpengalaman berjaya memperbaiki enjin bot dan membawa kami pulang ke pelabuhan Cyprus," kata Huwaida mengingatkan pengalaman pertama berdepan tentera Israel yang bertindak agresif.

Namun, itu bukan pengalaman pertamanya kerana misi FGM selepas itu turut dihalang Israel dan yang terakhir bulan lalu, bot baru FGM, Spirit of Humanity, dirampas dan semua anak kapal termasuk Huwaida, anggota Kongres Amerika, Cynthia McKinney dan pemenang hadiah nobel, Mairead Maguire, ditahan dan dipenjara.

Dr Mahathir ketika mendengar penangkapan itu terus membuat kenyataan membidas tindakan Israel kerana tergamak menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, lebih buruk tangkapan dibuat di perairan antarabangsa.

"Hakikat bahawa Kerajaan Israel melakukan tindakan ini ketika kapal dan sukarelawannya berada di perairan antarabangsa mencerminkan keangkuhan pentadbiran Zionis. Lebih buruk ia dilakukan dengan tujuan menghukum, langsung tidak mengendahkan bantahan masyarakat antarabangsa yang lebih menunjukkan bahaya Israel kepada keamanan dunia.

"Lebih menghina, Presiden Barrack Obama baru-baru ini berkata Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan disalur kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berada dalam kepungan Tel Aviv," tegas Dr Mahathir yang membuat kenyataan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana.

Ternyata Dr Mahathir tidak berhenti setakat mengkritik Israel, sebaliknya jemputan kepada kedua-dua orang kuat FGM ini mempunyai misi lain, dan bekas Perdana Menteri Malaysia ini dijangka akan ke Cyprus pertengahan bulan ini untuk melihat sendiri mengenai cara terbaik membantu kumpulan ini menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih berkesan.

Huwaida dan Ramzi juga tidak bertapis dalam memohon bantuan global, termasuk rakyat Malaysia untuk meneruskan impian mereka bagi membantu rakyat Palestin.

"Jika anda melihat sendiri cara kehidupan mereka, terkepung di dalam kawasan Israel dikelilingi tembok batu dan kawat besi, tanpa bekalan perubatan, makanan serta keperluan asas lain, anda juga akan menjadi seperti saya... sanggup melakukan apa saja untuk memastikan hak kemanusiaan dikembali kepada rakyat Palestin.

"Apa lagi saya seorang keturunan Palestin, kesedihan dan kemarahan saya sudah tentu berganda. Tetapi dalam hal ini, tidak kira siapa anda atau apa bangsa anda, Ramzi seorang Lebanon, suami saya seorang rakyat Amerika, kami sanggup mengorbankan apa saja untuk membantu segala yang terdaya bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel," kata Huwaida sayu.

Mereka yang ingin mengikuti misi kemanusiaan FGM perlu menandatangani surat 'berani mati' serta wasiat awal, tetapi bagi yang ingin menderma, terutama bantuan kewangan untuk membolehkan pertubuhan ini membeli sebuah lagi kapal kargo boleh melayari www.FreeGaza.org.

Minda Pengarang: Pembaharuan dilaksana Najib untuk rakyat

DALAM temu bual khas di RTM bertajuk '100 hari Perdana Menteri' malam kelmarin, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kerajaan memberi pertimbangan yang adil ketika membentuk sebarang dasar bagi memastikan semua kaum menikmati faedah yang saksama. Beliau membuktikannya ketika mengumumkan 11 hadiah untuk rakyat ketika berucap pada majlis sempena 100 hari beliau mentadbir negara, Sabtu lalu. Setiap pembaharuan diperkenalkannya tidak sama sekali mengetepikan mana-mana kaum termasuk di Sarawak dan Sabah. Jelas, dakwaan kononnya pembaharuan yang dilakukan, termasuk meliberalisasikan sektor ekonomi akan mengetepikan Bumiputera yang tidak lagi selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), adalah tidak benar. Sebaliknya, dasar makro yang dilakukan itu adalah dirangka dengan matlamat untuk mencipta sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Ia selari dengan matlamat asal untuk terus membela masyarakat Bumiputera. Apa yang berbeza mungkin kaedah atau pendekatan ke arah mencapai matlamat itu. Malah, perubahan yang dilakukan itu, sesuai dan lebih tepat dengan keadaan semasa, bukan mengetepikan matlamat yang menjadi impian Bumiputera.

Seperti kata Najib, jika kerajaan meneruskan dasar yang ada, kita tidak akan mencapai matlamat Bumiputera menguasai 30 peratus. Apa yang dilakukan kerajaan sekarang ialah menggunakan pendekatan membantu syarikat Bumiputera yang ada kemampuan berasaskan meritokrasi, yang ada potensi untuk menjadi syarikat lebih besar pada peringkat tempatan dan global. Inilah sebenarnya perubahan yang ingin dicapai Najib untuk mengubah minda masyarakat Bumiputera. Kita berharap masyarakat Bumiputera juga tidak terkeliru dengan slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', kerana niat dan matlamat slogan itu adalah murni demi kebaikan semua kaum. Kita tidak menolak kemungkinan ada rakyat yang terpinggir dari segi pertimbangan kerajaan untuk projek pembangunan sebelum ini, tetapi kini dengan konsep 1Malaysia, matlamatnya amat jelas, iaitu kerajaan untuk semua, adil untuk semua. Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat sekarang ialah memberi sokongan penuh kepada Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mencapai hasrat dan matlamat yang dihasratkan. Jika semua kita bersatu hati untuk memberi sokongan tidak berbelah-bahagi, maka hasilnya akan terus kita rasai, nikmati dan melihatnya bukan saja untuk tempoh 100 hari akan datang, malah ke arah mencapai status Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. Benar, amalan demokrasi membenarkan rakyat berpolitik dan memilih parti yang mereka suka, tetapi dalam hal berkaitan pembangunan sosioekonomi demi memartabatkan anak bangsa tanpa mengira etnik, sepatutnya kita semua memberi komitmen yang tinggi untuk bekerjasama dengan ikhlas.

Najib sudah memberikan yang terbaik sejak menjadi Perdana Menteri 102 hari lalu dan ia kesinambungan perjuangan yang kental. Pembaharuan yang dilakukannya sejak lebih tiga bulan lalu itu bukan bertujuan mempopularkan kerajaan, sebaliknya semua itu untuk rakyat. Malah, sebahagian pembaharuan yang dilakukan Najib adalah juga menepati kehendak global atau serantau. Walaupun keadaan ini sukar diterima, sudah sampai masanya kita membuka subsektor tertentu, tetapi pada masa sama, ada yang kita tidak buka dan kita mengawalnya dengan lebih ketat, untuk kepentingan rakyat dan negara.
Analisis: Pengundi Manek Urai mesti utamakan masa depan pewaris

Oleh Jamhariah Jaafar

PEMBANGUNAN lawan wakil rakyat yang baik hati dan disukai ramai. Itulah cabaran kepada 12,293 pengundi di Manek Urai apabila mereka turun membuang undi hari ini. Kedua-dua calon � Tuan Aziz Tuan Mat yang mewakili Umno (Barisan Nasional) dan Mohd Fauzi Abdullah daripada Pas � disukai dan popular di kalangan penduduk Manek Urai. Mereka masing-masing mempunyai keluarga, sahabat handai dan penyokong yang cukup kuat untuk membantu mereka mencatat kemenangan.

Kedua-dua calon mempunyai kelebihan tersendiri. Seorang lulusan universiti dan sanggup meninggalkan jawatan sebagai pegawai kanan Kesedar untuk berkhidmat kepada penduduk Manek Urai. Seorang lagi pemborong ikan yang berjaya. Melihat saja kereta Mercedez yang dipandu Mohd Fauzi, sesiapa saja boleh menilai betapa seorang peraih ikan yang berjaya boleh menjadi seorang pemimpin yang baik.

Apakah kelebihan serta keistimewaan antara kedua-dua calon yang bekerja keras untuk mempromosi diri masing-masing supaya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai?

Manek Urai bukan daerah asing bagi ramai yang menggunakan laluan Gua Musang untuk ke Kota Bharu. Namun, ia tenggelam dalam kehadiran pekan lebih besar seperti Gua Musang, Kuala Krai atau Machang. Justeru, pilihan raya kecil ini mempopularkan daerah kecil yang tenang dan indah ini.

Laluan di jalan besar antara Kuala Krai dan Gua Musang ini, tidak menyerlahkan keindahan Manek Urai. Tetapi jika kita meluangkan masa untuk memasuki Kampung Manek Urai yang sebenar, ramai akan terpegun melihat dua kampung utama yang memberikan nama Manek Urai ini terpisah oleh sebuah jambatan yang boleh dilalui hanya satu laluan kereta pada satu-satu masa.

Kampung Manek Urai baru menyerlahkan suasana kampung tersusun dengan kemudahan infrastruktur, termasuk sekolah yang selesa. Namun, di seberang jambatan terletak Kampung Manek Urai lama yang terpaksa memiliki kesabaran tinggi untuk menggunakan jambatan sempit yang sebenarnya sudah wajar diganti dengan yang baru, seiring dengan kewujudan Kampung Manek Urai baru.

Jambatan yang dianggar menelan belanja lebih RM7 juta itu adalah antara isu paling serius perlu ditangani mana-mana calon yang memenangi pilihan raya kecil kali ini. Wakil rakyat Pas sudah menguasai daerah terbabit sejak 1990-an lagi, namun isu jambatan ini masih belum dapat diselesaikan.

Penduduk Kampung Manek Urai lama yang turut menempatkan sebuah stesen kereta api kecil terpaksa terus menongkah kesesakan di jambatan itu. Apabila BN memenangi daerah terbabit pada Pilihan Raya Umum 2004, wakilnya berjanji untuk membina sebuah jambatan baru, tetapi peruntukan yang lewat membuatkan penduduk Manek Urai hilang sabar dan memberi kerusi N41 itu kepada Pas semula pada pilihan raya umum lalu.

Kematian Adunnya, Ismail Yaakob, membuka pintu semula kepada BN untuk menunaikan janji yang dibuat. Pemilihan Tuan Aziz, bekas pengurus Kesedar yang mempunyai rekod kerja dan disiplin tinggi, kriteria utama yang dicari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk merealisikan slogannya � 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' � jika diberi peluang boleh membawa 1001 rahmat kepada daerah kecil ini.

Mungkin pengundi Manek Urai boleh menjadi daerah pertama di Malaysia menguji kehebatan slogan yang menjadi pegangan Perdana Menteri Malaysia keenam ini. Jika sekadar sebuah jambatan, sekolah agama, menjadikan daerah aman ini sebagai kota agropolitan � rasanya calon BN adalah orang terbaik untuk melaksanakan semua hasrat pengundi Manek Urai ini.

Mohd Fauzi adalah calon Pas yang berwibawa. Namun, yang menguasai kerajaan negeri Kelantan mungkin tidak mempunyai sumber mencukupi untuk membangunkan daerah Manek Urai. Tuan Aziz pula sudah pasti terkilan kerana kesilapan dan sikap alpa yang didakwa dilakukan wakil rakyat BN sebelum ini akan terpalit kepadanya.

Melihat kepada cara Tuan Aziz berkempen, enggan diekori media massa pada setiap masa dan lebih banyak menggunakan masa untuk mendekati sendiri pengundi daripada berada di sisi pembesar BN yang datang dari seluruh negara � amat jauh bezanya daripada ramai calon BN yang terbabit dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Kini terletak di tangan pengundi Manek Urai � sama ada mahu mengekalkan wakil rakyat Pas atau memberi peluang kepada calon BN membawa perubahan kepada wajah Manek Urai yang semakin sepi daripada hilai tawa anak muda.