Bekas Pemuda Umno
Fri | Nov 09, 07 | 9:39:10 am MYT

Heboh panggilan 'beruk' terhadap mereka yang akan berhimpun di jalan raya pada 10hb Nov 2007. Apabila dipersoalkan mengenai tindakan beliau (Khairy Jamaluddin) sewaktu membantah kehadiran Condoleezza Rice di Malaysia, beliau menjawab mereka ada permit.

Dengan itu membezakan antara beruk atau tidak beruk adalah permit polis dan bukan perkara-perkara lain.

Namun sesuatu yang pasti ialah apabila sesuatu demonstrasi mahu dilakukan maka beberapa perkara seperti halangan jalan raya, tempat awam dan sebagainya perlu dikaji sebelum meluluskan permit.

Oleh itu permit polis mungkin di peroleh oleh Khairy selaku Naib Ketua Pemuda Umno untuk berhimpun dan berarak di KLCC menuju ke kedutaan Amerika dan polis dapati perhimpunan itu tidak akan menghalang jalan raya atau mengganggu lalu lintas.

Sebenarnya mungkin kenyataan Khairy bahawa dia ada "protection" seperti yang tertera pada kenyataan beliau dalam The Star, 3 November 2007, adalah alasan yang lebih konkrit untuk polis mengeluarkan permit.

Apa pun alasan sebenarnya adalah sekiranya mahu membuat sebarang demonstrasi dan membolehkan untuk permit dikeluarkan adalah seperti berikut:

1. Demonstrasi itu MESTILAH tidak membantah sebarang dasar atau tindakan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

2. Demonstrasi itu MESTILAH membantah perkara-perkara lain atau dasar negara lain.

3. Permit akan dikeluarkan biarpun melintasi jalan sesak dan mengganggu jalan raya sekiranya ia dipohon oleh Pemuda Umno, khususnya Khairy Jamaluddin.

4. Permit tidak akan dikeluarkan sekiranya ia dianjurkan oleh pembangkang atau NGO yang menyokong pembangkang.

5. 'Beruk' tidak boleh memohon permit kecuali menyokong kerajaan dan sekiranya 'beruk' menyokong kerajaan maka statusnya bukan lagi 'beruk' tetapi jadi Pemuda Umno.

Mungkin inilah yang dikatakan demokrasi. Mungkin inilah membuat kita tertanya-tanya siapa itu 'beruk' dan siapa bukan 'beruk'. Mungkin yang dapat pisang itu 'beruk' atau mungkin yang takut itu 'beruk'? Entah satu persoalan yang agak sukar di Malaysia, menentukan siapa 'beruk' dan siapa yang mungkin bermenantukan 'beruk'. Payah benar negara kita ini.

Dipetik dari artikel dengan tajuk asal "Siapa bermenantukan BERUK", www.antikhairy.blogspot.com - mr

Helmi Khalid
Fri | Nov 09, 07 | 9:11:16 am MYT

KUBANG PASU, 9 Nov (Hrkh) - Beratus keping cakera padat (VCD) tertera lambang BERSIH tetapi isinya adalah rakaman cercaan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim; dan dakwaan kononnya Himpunan Aman Seratus Ribu Rakyat 10 November di Dataran Merdeka adalah anjuran Interfaith Council (IFC) ditemui dalam kotak di salah sebuah masjid di Changlun.

Beberapa penduduk kampung yang melihat kelibat orang yang meletakkan kotak tersebut memberitahu, mereka mengenali salah seorang yang melakukan kerja jahat tersebut.

"Dia tak boleh lari, kami kenal siapa lelaki itu," dakwa mereka.

Tindakan itu menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu, Ustaz Yusuf Ahmad adalah untuk mengelirukan orang ramai terhadap peranan dan gerak kerja Bersih.

"Kita yakin perbuatan ini dilakukan oleh mereka yang terdesak dan takut dengan gelombang rakyat yang akan beramai-ramai hadir dalam himpunan aman 10 November ini di Kuala Lumpur," tegas beliau.

Sementara itu, sejak tengahari tadi (8 November), berpuluh sekatan jalan raya diadakan di bandaraya ini dan lebih memelikkan sekatan juga diadakan hampir di setiap jalan masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di Tandop dan Pendang yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ramai yang beranggapan tindakan mengadakan sekatan ini adalah sebagai 'bayangan awal' suasana di ibu kota menjelang Sabtu ini bertujuan menakutkan rakyat untuk hadir ke Himpunan Aman Seratus Ribu Rakyat di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Dalam satu perkembangan berasingan, seorang ahli Pemuda PAS cuba digertak dan ditahan dalam sekatan tersebut, bagaimanapun apabila diajukan beberapa soalan, polis tersebut terpaku kerana tiada hujah.

"Apa salah bawa pelekat Himpunan Seratus Ribu Rakyat, apa hak encik nak rampas, ini hak saya," demikian tegas salah seorang pemuda apabila polis cuba merampas pelekat Himpunan Aman 10 November ini ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Telok Wanjah, dekat sini.

Pemuda yang menemui Harakahdaily petang tadi turut memberitahu, anggota polis berkenaan turut mengugut dia akan ditahan di lokap polis kerana 'banyak cakap'.

"Saya bukan melawan dengan polis berkenaan, saya cuma tanya apa hak polis untuk merampas sticker itu; dan mengikut undang-undang mana yang menyatakan saya tidak boleh bawa sticker itu, bagaimanapun dia tak boleh jawab," cerita beliau.

Koordinator Bersih di Kedah, Mohd. Nasir Mustafa memberitahu pihaknya menjangkakan lebih sepuluh ribu peserta dari negeri ini akan membanjiri Dataran Merdeka nanti.

Katanya, sehingga 8 Oktober, hampir sepuluh ribu ahli PAS yang sudah mendaftarkan diri untuk hadir ke perhimpunan aman tersebut, ia turut mendapat sambutan dari ahli parti KeADILan, NGO serta masyarakat Cina dan India dari seluruh negeri Kedah.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut dijangka bertambah jika mengambil kira jumlah t-shirt Bersih (kuning) yang berjaya di jual di negeri ini. /tajdid

Malaysiakini
Fri | Nov 09, 07 | 9:09:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Bersih - gabungan 67 badan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang - merayu kepada polis untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama sewaktu mengadakan perhimpunan awam yang dirancang di Dataran Merdeka Sabtu ini.

Malaysiakini.com dalam laporannya menyebut perhimpunan itu diadakan untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil, sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mengenainya. Ia dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 orang, walaupun pihak penganjur gagal mendapatkan permit polis.

ImageDalam satu kenyataan daripada pengerusi penganjur perhimpunan itu, Mohamad Sabu, berkata Bersih akan mengambil semua langkah-langkah perlu untuk memastikan perhimpunan diadakan dengan selamat dan aman serta menjemput orang ramai mengambil bahagian.

Dalam kenyataan yang dibaca oleh anggota sekretariat Bersih, Aiman Athirah Al Jundi, Mohamad berkata orang ramai tidak perlu takut terhadap ancaman oleh pihak polis dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang lain.

Beliau berkata, pihaknya tidak berniat untuk bertembung dengan sesiapa juga, apatah lagi dengan polis "kerana kita telah buktikan bahawa kita adalah orang yang cintakan keamanan".

Konvoi publisiti

ImageKenyataan itu dibaca kepada pemberita di Dataran Merdeka petang semalam sebelum pelancaran konvoi 10 kenderaan yang akan mengelilingi Kuala Lumpur untuk menghebahkan tentang perhimpunan tersebut.

Ribuan anggota sukarela PAS, PKR, dan DAP - serta 600 individu lain - dikatakan telah ditugaskan untuk mengawal ketenteraman dan keselamatan sewaktu perhimpunan tersebut Sabtu ini.

Mereka termasuklah dari Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John̢۪s Ambulance.

Majlis Peguam, Suruhanjaya Suhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan beberapa anggota Parlimen dari Kanada juga dikatakan telah bersetuju untuk menghantar wakil masing-masing untuk memantau perhimpunan tersebut.

Mereka yang datang menyertai perhimpunan tersebut dinasihatkan supaya tidak membawa sebarang ojek yang boleh dianggap sebagai senjata merbahaya, termasuk payung, kata Aiman.

Beliau menegaskan bahawa ia bukanlah perhimpunan PAS atau PKR atau DAP, tetapi perhimpunan rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih dan adil.

Ditanya persediaan pihak penganjur sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini atau bertembung dengan pihak polis, beliau mengulangi bahawa Bersih yakin ia akan berjalan secara aman.

Tiada pilihan

Awal pagi semalam, Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga menggesa pihak berkuasa supaya menghormati hak untuk mengadakan perhimpunan aman dan hak bersuara dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan tanpa sebarang masalah.

Beliau mengkritik pihak polis menolak permohonan Bersih untuk mendapatkan permit hanya "atas alasan teknikal".

Amaran polis

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Zulhasnan Najib Baharuddin memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka itu Sabtu ini.

Bercakap dalam sidang akhbar semalam, beliau sekali lagi menegaskan bahawa penganjur perhimpunan itu tidak mendapat permit, dan jika diadakan juga, ia merupakan satu perhimpunan haram.

Zulhasnan mengingatkan orang ramai bahawa mereka yang menyertainya adalah melanggarkan Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan haram.

Beliau menegaskan mereka berdepan dengan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan sehingga setahun penjara.

Menurut Zulhasnan lagi, jalan-jalan di sekitar kawasan berkenaan akan ditutup dan polis akan mengadakan sekatan jalanraya untuk menghalang perhimpunan diadakan.

Beliau juga mengingatkan mereka dari negeri-negeri lain supaya jangan datang ke Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Katanya, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abd Rahman menerima permohonan Bersih pada 3 November, tetapi polis telah menolaknya pada 6 November.

Ditanya mengenai sebab permohonan itu ditolak, Zulhasnan berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Ditanya sama ada polis daerah Dang Wangi telah menerima arahan dari Musa supaya menolak permohonan permit tersebut, Zulhasnan berkata ia terpulang kepada budibicara Zulkarnian.

Ditanya mengapa balai polis Dang Wangi mengeluarkan permit untuk perhimpunan kepada pelbagai kumpulan sewaktu sidang puncak Asean Julai lalu, Zulhasnan berkata, polis membuat keputusan berdasar kepada kes demi kes.

Julai lalu, balai polis Dang Wangi mengeluarkan permit, termasuk kepada badan-badan yang tidakpun memohonnya, untuk mengadakan demonstrasi sempena lawatan Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice̢۪s.

Antara demonstrasi terbesar adalah anjuran Pemuda Umno dan diadakan berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tempat Rice menghadapi satu majlis.

Zulhasnan berkata, Bersih mempunyai 48 jam untuk merayu terhadap keputusan polis itu, mengikut Seksyen 27 Akta Polis.

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 09, 07 | 9:01:18 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Kenyataan terkini Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mendedahkan bahagian ketiga selepas mendedahkan hanya sembilan saat bahagian kedua mengenai 'Pita Lingam' ternyata boleh menggerunkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) berhadapan Pilihan Raya Umum akan datang.

Tersentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak segera menyatakan bahawa panel bebas khas yang telah melengkapkan laporannya mengenai kesahihan rakaman klip video perbualan mengenai pelantikan hakim boleh bermesyuarat semula, sekiranya ada perkembangan baru dalam kes itu.

Najib berkata walaupun laporan berkenaan telah siap, panel itu masih boleh meneliti semula bukti terkini mengenai rakaman perbualan seorang peguam kononnya dengan seorang hakim itu pada tahun 2002.

"Apa pun kami serahkan kepada panel itu untuk memutuskannya, biar panel itu melihatnya dulu, tetapi jika ada yang baru, panel itu boleh menimbangkannya, mereka masih boleh bermesyuarat lagi," katanya dalam satu laporan akhbar versi online semalam.

Sebelum ini dalam satu taklimat antara beberapa anggota kepimpinan PAS dengan KeADILan di Pejabat Agung PAS baru-baru ini sumber menyatakan ada membincangkan mengenai baki dalam rakaman 'Pita Lingam'.

Sumber berkata, pita seterusnya itu lebih menggemparkan dimana nama-nama individu tertentu secara jelas disebut dan kelibat beberapa orang ternama juga dapat dilihat dalam klip video itu.

Sumber berkata, rakaman enam minit lagi tidak dapat disiarkan buat sementara kerana ia mengandungi foto individu-individu lain di dalam bilik Lingam sedang bercakap melalui telefon yang dijangka boleh menjejaskan mereka selepas ini.

Dakwa sumber, dalam perbualan Lingam itu ada menjanjikan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Besar Mahkamah Malaya di samping itu, ia juga adalah satu usaha untuk melanjutkan usia persaraan hakim.

Sumber menyatakan, mereka mencadangkan enam nama calon untuk mahkamah rayuan.

"Kesan pendedahan pita rakaman ini ialah penglibatan Tan Sri Haidar Mohd Noor yang dilantik sebagai Pengerusi Panel Bebas siasatan awam kes pita lingam ini yang sebelum ini turut berperanan untuk menutup beberapa salah laku kehakiman yakni korupsi dalam kerajaan," kata sumber.

Pengaruh rasuah juga dilihat lebih menular pada zaman Tun Fairus Sheikh Abdul Halim menjadi Ketua Hakim Negara dan era pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata sumber memetik kepada inti perbualan dalam taklimat itu.

"Nama Menteri Pelancongan, Tengku Adnan Tengku Mansor juga disebut-sebut antara watak utama yang merancang untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Tengku Adnan pernah berperanan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan pada ketika itu Lingam adalah peguam yang terlibat dalam kes Air Molek. Mereka ini juga turut terlibat dengan kes Eric Chia,"kata sumber.

Pembongkaran ini berlaku setelah lima tahun apabila terdapat krisis yang dialami oleh pihak yang mendedahkan pita rakaman ini dengan Lingam

Dalam sidang medianya semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menayangkan bahagian kedua klip video selama 9 saat mengenai perbualan itu kepada media di pejabatnya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar dikatakan akan menayangkan bahagian ketiga klip video itu kepada media tidak lama lagi. Tempoh klip video penuh itu didakwa sepanjang 14 minit 16 saat.

Panel bebas yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dua anggota panel iaitu aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar telah menyiapkan laporan mengenai kesahihan rakaman video itu.

Laporan itu dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat.

Murtadza Ibrahim
Fri | Nov 09, 07 | 7:47:17 am MYT

Analisis Samsuri Roslan dalam laman Detikdaily.net mengenai calon-calon Ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Dato' Seri Hishamuddin Hussein, menarik perhatian saya, terutama apabila bekas Pengarang Rencana akhbar Watan itu meletakkan Dato' Shahrir Abd Samad, Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Awam) sebagai tokoh paling layak meskipun umurnya tidak lagi "pemuda".

Mungkin Samsuri mempunyai alasan dan analisis sendiri tetapi ramai berkongsi pendapat bahawa menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin sememangnya kurang layak mengetuai Pemuda, malah anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz dikira lebih matang untuk mengemudi sayap kanan Umno itu.

Dalam perhimpunan agung Pemuda Umno di PWTC baru-baru ini, Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda Umno diberi peluang untuk berucap dalam sesi penggulungan. Beliau berucap agak lantang dengan sedikit angkuh. Dalam ucapannya itu, antara lain Khairy menyebut: "Pada masa akan datang, siapa saja (ahli-ahli Pemuda Umno) yang tidak berani menghunus keris dan menjulang keris Panca Warisan, mereka adalah pengkhianat kepada bangsa dan parti."

Selain itu beliau juga mengingatkan parti pembangkang supaya menggunakan gelanggang yang betul iaitu pilihan raya umum jika mahu "melawan kerajaan" dan bukannya cuba menjadi hero dengan menganjurkan perhimpunan haram: "Jangan keluar di jalan raya, jangan cuba jadi hero di jalan raya, jangan buat seperti beruk di jalan raya."

"Kalau betul nak lawan, lawan dalam gelanggang sebenar, lawan seperti jantan dalam gelanggang sebenar, pilihan raya umum akan datang, kita lawan," tegas menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ini dengan penuh semangat berapi-api. Khairy juga meminta agar polis menangkap dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang hadir di Dataran Merdeka, 10 November 2007, dalam perarakan raksasa menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Khairy menuduh dan mencerca rakyat prihatin, pemimpin pembangkang dan aktivis NGO sebagai "beruk-beruk" di jalan raya hanya kerana mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memulihkan proses demokrasi yang teruk tercemar. Maka, apabila Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut hadir, malah mengetuai perhimpunan aman itu nanti, maka bagi Khairy, mereka juga umpama "beruk-beruk" di jalan raya.

Begitulah hebatnya "keberanian" Khairy membuat tuduhan dan cercaan kepada sesiapa sahaja yang dilihat bakal menggugat kerajaan pimpinan bapa mentuanya.

Jika menantu Presiden Umno ini begitu celupar menuduh pemimpin-pemimpin pembangkang, aktivis NGO dan rakyat prihatin sebagai "beruk-beruk", bagaimana pula dengan pergerakan Pemuda Umno itu sendiri?

Dalam persidangan yang lalu, wakil Pemuda Umno Negeri Sembilan semasa berucap mengucapkan tahniah di atas perlantikan Khairy sebagai Timbalan Presiden FAM. Bagaimanapun, ketika begitu bersemangat memuji menantu Presiden Umno itu, ia disambut dengan suara lantang, "bodek!!", daripada kalangan pemerhati perhimpunan. Seolah-olah mahu menunjukkan mesej tertentu, tepukan gemuruh diberikan kepada ucapan Dato Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Apakah suara-suara yang "mengherdik" perwakilan yang memuji Khairy itu juga boleh dikategorikan sebagai "beruk-beruk" di PWTC kerana menganggu perwakilan Negeri Sembilan berucap? Kenapa "beruk-beruk" di PWTC ini hanya "mencerca" perwakilan yang memuji menantu Abdullah itu tetapi tidak kepada pemimpin Pemuda Umno lainnya?

Pada tahun 2004, dalam persidangan tahunan Pemuda Umno juga, para perwakilan "boo" sebanyak dua kali apabila nama Khairy disebut Pengerusi Tetap ketika itu, Tan Sri Khalid Yunus. Apakah "beruk-beruk" dalam dewan ketika itu menjelma kembali pada tahun ini, dan mahu melakukan perangai yang sama? Soalnya, siapa "beruk dan siapa pula menjadi "bapa beruk-beruk"?

Sebagai pemimpin pelapis yang mahu menunjukkan kehebatannya, Khairy tidak perlu berucap dengan nada "mencerca" terutama dalam majlis-majlis yang formal yang dihadiri oleh para Pemuda Umno dari seluruh negara dan menjadi tumpuan media dan orang awam. Carilah istilah-istilah yang lebih sesuai walaupun untuk menzahirkan satu perasaan marah atau bertujuan untuk menunjukkan dirinya sebagai hero Umno bagi berdepan dengan pembangkang.

Mungkin kerana mahu menunjukkan lagi kehebatannya, Khairy menyebut "bonda baru" yang ditujukan kepada isteri baru bapa mentuanya, Datin Seri Jeanne Abdullah yang turut hadir dalam dewan persidangan Pemuda Umno itu. Jenaka ini disifatkan agar keterlaluan dan mungkin kurang manis sebagai adab anak dengan ibu sehingga Khairy terpaksa menyebut Jeanne sebagai "bonda' sahaja. Itu pun setelah beliau mendapat teguran salah seorang anggota Exco Pemuda yang berada di atas pentas bersamanya.

Walaupun Khairy mungkin mahu berjenaka dengan "bonda barunya" itu tetapi ia menggambarkan peribadi sebenar menantu Presiden Umno ini yang kini begitu ghairah mengatur strategi untuk bukan sahaja menjadi bakal Ketua Pemuda tetapi mahu mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang berumur di bawah 40 tahun!

Khairy mahu membuktikan bahawa dirinya begitu hebat, berpengaruh, sekali gus penuh kontroversi dan berani untuk berdepan dengan apa saja asakan pembangkang, walaupun pada hakikatnya beliau terlalu mentah dari segi pengalaman dan kematangan.

Beliau mahu membuktikan segala-galanya dalam waktu singkat dengan tergesa-gesa dan berlari (sebenarnya terbang) pantas menjulang naik semasa bapa mentuanya, Abdullah masih mengungguli puncak kuasa. Tetapi pada waktu sama dia ibarat "tin yang diisi separuh air". Bila digoncang memang berbunyi walaupun isinya hanya separuh sahaja.

Khairy mungkin tidak menghadapi masalah besar untuk dipilih sebagai calon BN di mana-mana kawasan yang selamat, dan seterusnya dilantik Abdullah ke jawatan strategik dan berpengaruh. Malah tanpa bertanding pun, Khairy masih boleh dilantik sebagai Senator dan kemudiannya boleh menyandang posisi hebat sebagai persiapan menggantikan Abdulah sebagai Perdana Menteri kelima nanti.

Namun begitu, mampukah Abdullah mampu mengulangi kejayaan besar yang diraihnya dalam pilihan raya umum Mac 2004 lalu? Jika Abdullah gagal menunjukkan prestasi cemerlangnya, mungkinkah ada gerakan dalaman Umno untuk menyingkirnya?

Hanya rakyat yang boleh menunjukkan jalan kepada Abdullah dan Khairy siapa sebenarnya yang akan menjadi "beruk" nanti. Apa pun, memetik kata-kata penulis buku politik, Yahya Ismail, bahawa persidangan "raja-raja beruk" sudahpun bermula baru-baru ini, yang membabitkan 'bapa beruk, anak beruk dan menantu beruk"! Pak Ya, Pak Ya ...


Mat Zain Mat Isa
Fri | Nov 09, 07 | 6:23:58 am MYT

Bagai diduga, Ucapan Dasar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno di perhimpunan agung partinya, 7 November, mendapat standing ovation (tepukan berdiri) dan tempik-sorak bergemuruh sidang hadirin. Tidak dapat dipastikan apakah kegemuruhan itu lantaran kepetahan pidato Abdullah dan ketajaman hujahnya, atau didorong ketaksuban hadirin kepada parti mereka.

Ataukah sorak-sorai mereka itu semata-mata dipaksa keadaan bagi meraikan tradisi parti itu yang sejak dulu hingga kini (dan mungkin selamanya) akan menunjukkan sikap ampu mereka kepada presiden yang selesai berucap, kononnya itulah ucapan terhebat yang pernah mereka dengar?

Biar apa pun sebab-musabab yang merasuk sekalian hadirin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam untuk bangun dan bertepuk, itu hak mereka. Namun, di luar kesedaran mereka tepukan dan sorakan itu bagai meraikan kelemahan dan kegagalan Umno yang baru didedahkan presiden mereka sendiri. Bukankah ucapan itu sarat dengan penegasan semula, ingatan dan rayuan kepada pelbagai pihak tentang perkara-perkara asas yang masih gagal diperjuangkan Umno?

Ulangsebut ratusan kali

Mengapa perlu mengulangsebut perkara sama puluhan, malah ratusan kali jika Umno sebagai tulang belakang kerajaan Barisan Nasional telah berjaya memperjuangkannya? Apa ertinya jika setelah lebih 50 tahun menerajui negara, Umno masih tercari-cari jatidiri bangsa, masih berusaha memartabatkan ekonomi Melayu dan masih merayu rakan-rakan bukan Melayu agar memahami sensitiviti kaum majoriti ini?

Bukan prejudis atau sinikal, tetapi bagi penulis ucapan dasar Abdullah itu (juga ucapan-ucapan seumpamanya oleh para pemimpin lain selama ini) sebenarnya lebih merupakan perakuan tentang kegagalan Umno memartabatkan bangsa Melayu dalam segala aspek yang diperjuangkan selama ini.

Apa yang sangat mendukacitakan kita, di saat para pemimpin Umno "memperakui" keterbelakangan bangsa Melayu itu (sebab kita pun Melayu juga!), mereka nampaknya masih tidak mahu mengakui kesilapan diri sendiri. Sebaliknya mereka lebih senang dan sangat terbiasa menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka. Dalam hal ini, ucapan dasar Abdullah kelmarin tidak terkecuali.

Pada suatu ketika dalam ucapannya itu, Abdullah mengingatkan ahli partinya dan rakan-rakan kongsi dalam BN supaya jangan sekali-kali terperangkap dalam isu agama dan perkauman yang dicetuskan oleh politik pembangkang.

Lebih kurang katanya, "kita adalah parti yang menguasai kerajaan, kita adalah parti didukung oleh kuasa eksekutif. Kita tidak harus merendahkan kedudukan kita, melatah dicucuk oleh pembangkang."

Sebagai Perdana Menteri, apa rasionalnya Abdullah terus mengkambing-hitamkan pihak pembangkang di atas isu-isu yang gagal diselesaikan di kalangan kerabat parti pemerintah?

Dari satu sudut, jika para pemimpin Umno mengiyakan dakwaan Abdullah kononnya parti-parti komponen BN yang membangkitkan isu perkauman dan agama adalah hasil terpengaruh dengan hasutan pembangkang, bererti mereka secara terbuka meletakkan mentaliti dan tahap pemikiran para pemimpin kerabat BN itu jauh lebih rendah daripada pihak pembangkang.

Jauh lebih bijak

Dalam ertikata lain, para pemimpin pembangkang jauh lebih bijak dan licik sehingga mampu menghasut dan mempengaruhi para pemimpin kerabat BN dalam isu-isu dimaksudkan. Apakah para pemimpin BN dapat mengakui hakikat ini?

Di satu pihak lain, apakah semudah itu rakyat dapat menerima kononnya segala isu berkaitan agama dan perkauman yang menjadi pertelingkahan di kalangan parti-parti BN adalah hasil cucukan pembangkang?

Mari kita perhatikan beberapa contoh berkaitan perkara itu. Ambil contoh kes kenyataan Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai perobohan kuil di Kampung Rimba Jaya, Padang Jawa, Shah Alam, 30 Oktober lalu. Insiden perobohan kuil itu adalah tindakan pentadbiran oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Presiden MIC itu bagaimana pun menyifatkan perobohan itu melukakan hati penganut agama Hindu. Beliau bagaikan merajuk, sehingga timbul perkhabaran bahawa MIC akan membatalkan semua majlis rumah terbuka sempena perayaan Deepavali kerana berkongsi kekecewaan penduduk kampung terbabit.

Polemik antara para pemimpin MIC dan kerajaan Selangor berlanjutan beberapa ketika dan mendapat perhatian media massa. Isu berkaitan agama sememangnya sentiasa di pandang sensitif oleh semua pihak dalam negara kita. Soalnya, adakah isu tersebut dicetuskan mana-mana pihak dari parti pembangkang?

Lihat pula contoh kes tuntutan MCA dalam beberapa perkara berkaitan bahasa Mandarin. Antaranya bagi mengekalkan pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda mereka sebagai membantah langkah Kementerian Pelajaran memaksa penggunaan bahasa Inggeris.

Begitu juga dalam isu menjadikan bahasa Mandarin sebagai pengantar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Jika mengikut logik Abdullah menerusi ucapan dasarnya semalam, isu-isu adalah cetusan pembangkang. Sejauh manakah benarnya dakwaan itu?

Bagaimana pula dengan tuntutan parti sahabat Umno itu agar kerajaan melaksanakan tender terbuka tanpa mengira kaum dalam pengagihan projek-projek kerajaan? Kononnya, jika langkah itu dilaksanakan, amalan 'ali baba' akan dapat dihapuskan dan akan mewujudkan persaingan lebih sihat dalam ekonomi negara.

Gesaan itu mendapat tentangan keras ahli-ahli politik Melayu, khususnya para pemimpin Umno. Soalnya, apakah cadangan disuarakan Presiden MCA sendiri itu ekoran dicucuk pihak pembangkang juga?

Kucup keris

Dalam ucapannya kelmarin, Abdullah juga menyentuh isu Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein menghunus dan mengucup keris pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Perbuatan itu dianggap ofensif dan mendapat kritikan pedas para pemimpin MCA. Cuba soal lagi, apakah isu itu juga dicetuskan pihak pembangkang?

Banyak lagi sebenarnya kes-kes yang boleh dijadikan contoh bahawa pertelingkahan antara parti-parti kerabat BN tidak ada kena-mengena langsung dengan pihak luar. Justeru, di mana rasionalnya Abdullah masih cuba mengkambing-hitamkan pihak pembangkang?

Barangkali Abdullah juga berkongsi tabiat para pemimpin Umno yang senantiasa cuba menakut-nakutkan rakyat terhadap kebangkitan pembangkang. Rakyat ditakutkan, jika pembangkang memerintah, negara akan huru-hara. Jika pembangkang berkuasa, negar akan mundur ke belakang dan berbagai lagi. Segala gambaran menakutkan itu sudah selalu kita dengar.

Jika atas alasan itu Abdullah cuba mengaitkan pembangkang dengan pertelingkahan di kalangan BN, bererti dia telah menjadikan ucapannya itu ibarat 'cakap tak serupa bikin'.

"Jangan lagi ditakutkan minda Melayu, seperti menakut-nakutkan anak kecil kepada hantu," itu antara kata Abdullah.

Apa pun maksud Abdullah atas ungkapan itu, telah terbukti bahawa pihak yang paling banyak menakutkan minda orang Melayu selama ini ialah para pemimpin kerajaan, termasuk Abdullah sendiri.

Perbuatan Abdullah itu mengingatkan penulis kepada kata-kata yang pernah diucapkan al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, "kita nak jual ubat kurap kat orang, kita sendiri bertompok kudis, siapa nak beli?"

Ertinya, jika kita nak nasihatkan orang agar jangan menakutkan minda orang Melayu, sedangkan kita sendiri sering menakut-nakutkan rakyat terhadap pembangkang, siapa akan dengar nasihat kita? Sebab itu dengan ucapannya, Abdullah tidak ubah seperti seorang yang berkudis tetapi mahu menjual ubat kurap kepada orang lain. Mana ada rakyat yang waras akan membelinya?

Anwar Ibrahim
Fri | Nov 09, 07 | 6:02:08 am MYT

Suara rakyat akan kembali ke Dataran Merdeka Sabtu ini apabila puluhan ribu rakyat Malaysia akan melaksanakan hak demokratik meeka untuk berhimpun secara aman menuntut perubahan sistem pilihan raya negara.

Desakan kami kepada kerajaan untuk melaksanakan perubahan ini tidak diendahkan. Mereka telah mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan institusi demokrasi di negara kita dapat berfungsi dengan baik. Maka rakyat Malaysia menuntut Raja-Raja Melayu untuk memastikan kerajaan Malaysia melaksanakan amalan asas bagi pilihan raya yang telus dan adil sebagaimana dilaksanakan di demokrasi moden di seluruh dunia.

Bukti penipuan cukup jelas dan lengkap. Skandal kehakiman terbaru membabitkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menunjukkan seluruh jentera kerajaan telah disalahgunakan untuk melindungi dan memelihara kedudukan pimpinan Umno.

Media bebas telah menerbitkan analisis yang cukup mendalam tentang kesan penipuan termasuk penggunaan pengundi hantu dan tekanan terhadap pengundi. Seramai 40,000 undi haram telah dikenal pasti di Selangor sahaja bagi Pilihan Raya Umum 2004. Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kami mempunyai bukti bagaimana pengundi yang dikira menyokong pembangkang dipindahkan keluar dari daerah-daerah di mana sokongan Umno lemah.

Jika Suruhanjaya Pilihan Raya yakin dengan ketelusan pengurusan pilihan raya, mengapa mereka tidak membenarkan pemantau antarabangsa untuk masuk ke negara bagi memerhati dan melaporkan proses pilihan raya kita? Mengapakah tawaran kerjasama oleh badan antarabangsa dan serantau tidak diendahkan atau ditolak?

Saya mendesak pihak berkuasa untuk menghormati hak rakyat unuk berhimpun secara aman.

Saya mengalu-alukan inisiatif Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) kerana menganjurkan perhimpunan aman ini dan saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam acara bersejarah ini. Rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah kerajan demokratik yang boleh dibanggakan dan kita mesti bersedia untuk berjuang mencapai matlamat tersebut.


KUALA LUMPUR 8 Nov. – Seorang pemimpin Puteri UMNO Kedah hari ini berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pilihan raya umum ke-12 pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO esok.

“Saya rasa Pak Lah akan mengumumkan sesuatu yang mengejutkan petang esok. Kalau pengumuman itu adalah mengenai tarikh pilihan raya umum, saya amat gembira,” kata Syarifah Adawiyah Syed Ismail, Ketua Puteri UMNO Bahagian Alor Star.

Katanya: “Kami telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya sejak setahun lalu.

“Kami sudah tak sabar. Pak Lah umumkan saja, Pak Lah arahkan saja, kami akan terus bekerja.”

Syarifah Adawiyah yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Kedah menyifatkan ucapan dasar Abdullah pada Perhimpunan Agung UMNO semalam sebagai ucapan politik yang terbaik pernah didengarnya.

“Saya sebagai perwakilan yang datang ke PWTC saban tahun nampak kualiti ucapan Presiden UMNO kali ini.

“Kita tahu Pak Lah jenis pemimpin yang lembut, tetapi dalam ucapan itu kita saksikan ketegasannya. Sebagai generasi muda dalam UMNO saya berasa amat bangga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau percaya jika Abdullah mengumumkan pilihan raya umum, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan besar.

“Di Kedah, sejak setahun lalu kita telah pantau sokongan rakyat dan kita nampak mereka benar-benar yakin kepada kerajaan,” kata beliau.

Syarifah Adawiyah berharap Abdullah tidak melengah-lengahkan tarikh pilihan raya kerana sekarang adalah masa terbaik untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Rakyat Kelantan perlu mencontohi pengundi Terengganu memilih Barisan Nasional (BN) sekiranya inginkan pembangunan di negeri itu.

Wakil Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, jika Kelantan diterajui oleh pemimpin BN ia memudahkan urusan dengan Kerajaan Pusat.

“Untuk rakyat Kelantan merasai pembangunan, mereka perlukan Menteri Besar yang boleh ‘berbisik’ dengan Perdana Menteri.

“Saya mengatakan demikian kerana Terengganu telah berasa betapa peritnya ketika berada di bawah kerajaan Pas.

“Anak-anak kecil dihalau dari Tadika dan apabila BN mengambil alih Terengganu, sebanyak 937 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun telah khatam al-Quran pada 2006 sementara tahun ini 2,010 orang berjaya melakukannya,’’ jelas beliau.

Wan Hisham berkata demikian ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menyentuh rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), beliau yakin ia akan memanfaatkan rakyat di negeri-negeri terlibat kerana Perdana Menteri adalah pemimpin yang mengotakan janji.

“Dahulu PM menjanjikan hanya satu universiti dibina di Terengganu tetapi hari ini ada empat universiti,’’ jelasnya.

Menurutnya, apabila ECER dilancarkan, pertumbuhan ekonomi negara untuk 12 tahun akan datang diunjurkan 6.3 peratus sementara Terengganu 7.5 peratus dan Kelantan sebanyak 7.2 peratus.

BUKIT MERTAJAM 8 Nov. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, BN tidak gentar dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang semakin agresif berkempen kononnya, untuk merampas negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Malah, bagi beliau, tindakan agresif PKR sejak kebelakangan ini tidak menghairankan kerana sudah menjadi lumrah bagi parti pembangkang itu untuk berbuat demikian pada saat-saat menjelang pilihan raya umum.

“Itu biasalah, kalau mereka (PKR) fikir pilihan raya sudah dekat, mereka akan mula berkempen habis-habisan. Tetapi bagi BN, kita sudah berkempen sejak diberi mandat awal-awal dulu dan bersedia bila-bila masa.

“Kalau mereka hendak berkempen, silakan. BN tiada masalah dan saya percaya, inilah yang membezakan BN dengan parti pembangkang. Kita tidak buat kerja saat-saat akhir tetapi kita bekerja sepanjang masa,” katanya.

Tsu Koon yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP) negeri, Datuk Dr. Loga Bala Mohan di Taman Bukit di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan PKR yang semakin giat berkempen di setiap pelosok negeri itu termasuk ceramah-ceramah oleh Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan keyakinan PKR mampu merampas Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang.

Tsu Koon berkata, semua jentera pilihan raya setiap parti komponen BN di Pulau Pinang sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tarikh pilihan raya bukan menjadi satu perkara yang penting kerana proses pemilihan pasti akan berlaku, sebaliknya setiap ahli perlu terus bekerja keras mendekatkan diri dan berkhidmat secara ikhlas kepada rakyat.

“Kalau kita buat kerja sejak awal, memberi khidmat bakti sejak awal, kita tidak akan terlalu memikirkan soal bila tarikh pilihan raya kerana sudah bersedia sejak awal lagi. Ini yang penting,” tegasnya.

BUKIT MERTAJAM 8 Nov. – Perang mulut membabitkan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M. Kayveas dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tidak menjejaskan perpaduan PPP.

Pengerusi PPP Pulau Pinang, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, kelantangan Kayveas dalam menangani pelbagai isu terutamanya membabitkan kepentingan PPP berjaya meningkatkan populariti pemimpin itu di kalangan ahli parti berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menafikan cakap-cakap yang mengatakan ramai pengikut PPP khususnya di Taiping, Perak yang didakwa bertindak keluar parti dan menyertai MIC kerana kecewa dengan kepimpinan Kayveas.

“Bagi saya perang mulut itu tidak lebih dari sekadar pertengkaran politik dan saya tidak melihat ia menjejaskan perpaduan di kalangan ahli PPP,” tegasnya.

Dr. Loga yang juga Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Deepavali anjuran beliau di kediamannya di Taman Bukit di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung berbilang kaum itu turut dihadiri, Ketua Menteri, Tan Sri. Dr. Koh Tsu Koon dan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN negeri.

Kayveas dan Samy Vellu baru-baru ini, menarik perhatian umum apabila saling mengeluarkan kritikan keras termasuk isu cadangan MIC untuk mengemukakan usul kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya PPP disingkirkan daripada pakatan BN.

KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2007, petang ini, pasti menarik perhatian umum, terutama 2,522 perwakilan dari 190 bahagian parti itu – sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi bayangan mengenai tarikh pilihan raya.

Dalam ucapan dasar selama 80 minit kelmarin bertema ‘Memperkukuh Keyakinan – Meneroka Era Baru’, Presiden Umno langsung tidak menyebut pilihan raya.

Hakikatnya, perhimpunan agung kali ini diadakan dalam suasana menjelang pilihan raya umum ke-12 yang diramal diadakan menjelang awal tahun depan. Justeru, ramai perwakilan yang menyertai perbahasan, turut menyentuh mengenai pilihan raya umum.

"Saya harap Pak Lah menyentuh mengenai pilihan raya dalam ucapan penggulungan itu nanti," kata Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Chik, yang dianggap antara pembahas terbaik ketika membahaskan ucapan dasar Presiden kelmarin dan hakikat ini diakui sebahagian ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, cuma tersengih ketika disapa ahli MT, Tan Sri Rahim Tamby Chik dengan kata-kata We rated you the best speaker (Kita meletakkan anda sebagai pembahas terbaik) ketika berbual menunggu ketibaan Perdana Menteri untuk majlis pelancaran buku mengenai pengasas Umno, Datuk Onn Ja'afar berjudul Pejuang Terbilang di sebuah hotel berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tengah hari semalam.

Tetapi, Ahmad Shabery berkata, orang Umno perlu lebih bersedia sekarang kerana pilihan raya umum diadakan sebelum pemilihan dalam parti, dan pada masa sama orang Umno hendaklah mengelak menjadi 'vertigo' iaitu penyakit gayat atau takut jatuh di kalangan pemimpin yang sudah lama berkuasa.

Sesetengah perwakilan cuba membaca yang tersirat kandungan ucapan dasar Perdana Menteri itu yang lebih banyak menekankan soal memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dan meminta dihentikan isu sensitif.

berkaitan agama dan kaum serta memperbaharui kerjasama politik melalui semangat berlandaskan perkongsian kuasa secara tulen.

Malah, satu babak dalam ucapannya mengenai usaha mengatasi kebimbangan masyarakat berkaitan kejadian jenayah dalam masyarakat, boleh dikaitkan dengan persiapan untuk pilihan raya supaya rakyat berasa lebih selamat dan selesa.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Presiden parti mungkin membiarkan orang ramai berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya kerana mahu semua ahli parti bersiap sedia.

"Pak Lah tidak menyentuh pilihan raya mungkin kerana mahu menumpukan kepada perkara lain untuk membantu rakyat. Ucapannya cukup padat dan berkesan," katanya.

Ucapan Perdana Menteri boleh dianggap sarat mesej penting yang perlu direnungi rakyat pelbagai kaum bagi memperkukuhkan BN, selain memberi keyakinan dan menekankan semangat kongsi kuasa.

serta jaminan bahawa Umno tidak akan melanggar janji kemerdekaan.

Penekanan kepada aspek membasmi kemiskinan yang terus dijadikan antara agenda utama Perdana Menteri, kini akan dijadikan Indeks Petunjuk Utama (KPI) kepada semua wakil rakyat BN.

Abdullah yang juga Pengerusi BN, mahu wakil rakyat diwajib meletakkan keutamaan kepada agenda kemiskinan, menjadikan kejayaan membasmikan kemiskinan sebagai petunjuk utama prestasi mereka di kawasan masing-masing.

Apakah ini juga bermakna kegagalan wakil rakyat menangani masalah kemiskinan di kawasan mereka memungkinkannya digugur sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) nanti?

Seperti kata Perdana Menteri, negara tidak akan tenteram jika rakyat miskin masih ramai. Kemiskinan punca ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah tinggi dan masalah sosial.

Nescaya, perhimpunan kali ini dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya itu, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun akan datang.
KUALA LUMPUR: Islam sebagai agama yang sempurna dan berkesan untuk diterapkan dalam melayari kehidupan, perlu dihayati secara menyeluruh bagi melahirkan generasi ulul albab yang disegani sejagat.

Menyedari pentingnya penghayatan Islam dalam konteks kesihatan, fizikal, pendidikan dan ekonomi, Wakil Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Yusof Abd Hamid mencadangkan kerajaan mengkaji sejauh mana keberkesanan dan pemahaman rakyat, termasuk kakitangan kerajaan terhadap Islam Hadhari.

“Apakah tahap pemahaman yang hendak dicapai kerajaan untuk orang Islam dan bukan Islam bagi konsep Islam Hadhari.

“Umno Wilayah Persekutuan juga hendak tahu, apakah langkah yang diambil kerajaan untuk memperkasa Islam Hadhari di kalangan rakyat," katanya ketika mencadangkan usul agama dan sosial di Persidangan Agung Umno 2007.

Ketua Umno Bahagian Batu itu menyampaikan hasrat akar umbi supaya fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Sekretariat pendekatan Islam Hadhari diperluaskan dan dimantapkan pada semua peringkat.

Beliau juga menyarankan supaya diteliti program Perkampungan Hadhari yang ketika ini turut diperuntukkan kepada kawasan Parlimen dan wakil di kalangan bukan Islam kerana ada yang menggunakan peruntukan RM50,000 untuk program itu bagi majlis di surau sempena Ramadan.

Sepanjang 2005, seramai 698,988 rakyat mengikuti program Islam Hadhari dan jumlah itu meningkat kepada 1.3 juta tahun lalu dengan peruntukan disediakan Jakim mencecah RM11.7 juta tahun ini, manakala untuk Perkampungan Hadhari pula berjumlah RM11.25 juta.

Umno Wilayah Persekutuan juga mencadangkan supaya Jakim diberi mandat menjalankan kajian terperinci pelan tindakan komprehensif dan dana untuk melengkapkan prasarana dan mewujudkan unit Islam Hadhari pada setiap negeri.

Sehubungan itu, katanya, Sekretariat Antarabangsa Islam Hadhari wajar ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi memperkenalkan pendekatan itu kepada dunia dengan kerjasama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Wajar juga dipertimbangkan melantik duta khas untuk mengetengahkan dan memperkenalkan dunia dengan Islam Hadhari,” katanya yang percaya pemantapan J-Qaf dan Islam Hadhari pada semua sistem pendidikan kebangsaan dapat mempercepatkan proses pembangunan generasi Ulul Albab.

Mohd Yusof juga menyarankan supaya pelaksanaan program J-Qaf yang merangkumi pendidikan jawi, al-Quran, Arab dan fardu Ain di sekolah rendah mulai 2005 diperluaskan ke semua sekolah segera.

Beliau juga mengetengahkan masalah kekurangan guru pakar untuk mengajar kurikulum J-Qaf dipercepatkan tanpa perlu menunggu hingga 2010, iaitu tempoh ia dilaksanakan sepenuhnya.

Malah, berlaku kekurangan guru mahir apabila jumlah yang diperlukan adalah 22,707, berbanding bilangan yang ditauliah untuk program sama hanya 12,330 orang. Begitu juga wujud masalah prasarana apabila hanya 1,555 makmal J-Qaf dilengkapkan di seluruh negara ketika ini, berbanding 6,058 makmal diperlukan.

Umno Wilayah Persekutuan juga menyentuh masalah sosial yang disumbang pendatang asing, terutama yang menjalin hubungan dengan rakyat tempatan tanpa batasan hingga menyebabkan anak gadis lari bersama mereka dan penjenayah.

Sehubungan itu, kaedah dan tata cara pengambilan jumlah pekerja asing perlu dikaji semula dengan mengambil kira keperluan sebenar dan membina pusat setempat untuk memantau perlakuan kumpulan itu.
WAKIL Rakyat Batu Kurau, Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz, yang diberi penghormatan untuk memperdengarkan hafazan ayat suci al-Quran pada permulaan Perhimpunan Agung Umno 2007, kelmarin, nyaris tidak dapat meneruskan bacaannya kerana terlalu sebak sehingga menangis.

Mohd Najmuddin, satu-satunya wakil rakyat di negara ini yang bergelar Al-Hafiz, berkata beliau tiba-tiba diselubungi perasaan itu kerana terkenangkan Allahyarham bapanya, Elias Che Mat, seorang bilal masjid.

"Sebelum bapa saya meninggal ketika usia saya lapan tahun, beliau pernah mewasiatkan kepada ibu supaya mendidik saya menjadi seorang tahfiz al-Quran.

"Ketika memperdengarkan hafazan, saya tiba-tiba teringatkan Allahyarham dan kalaulah beliau masih hidup sudah tentu beliau akan berbangga melihat impiannya menjadi nyata," katanya yang diundang untuk memperdengarkan hafazannya pada saat-saat akhir.

Mohd Najmuddin berkata, beliau juga nyaris tidak dapat menunaikan wasiat bapanya itu kerana lewat belajar membaca al-Quran, malah ketika usia remajanya, beliau langsung tidak mahir membaca kitab suci itu.

"Alhamdulillah, ketegasan guru di Pusat Islam dan doa ibu berjaya memberi kekuatan kepada saya untuk bergelar Al-Hafiz," katanya yang mengambil masa dua tahun setengah untuk menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, antara petua yang diamalkannya untuk menguatkan pemikirannya dalam hafazan ialah memakan 21 kismis merah setiap hari dan buah delima, selain mengelakkan makanan seperti otak udang, kepala ikan serta minuman berkarbonat.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, seorang lagi adiknya, Muhd Khazim, seorang pendakwah di Perak juga bergelar Al-Hafiz.
UMNO Perak mahu kerajaan mewujudkan Badan Pencegah Ketirisan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menangani masalah ketirisan dalam pengagihan kekayaan negara kepada Bumiputera.

Wakilnya, Datuk Saarani Mohamad, berkata pada masa sama Unit Penyertaan Bumiputera di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu diwujudkan semula bagi meningkatkan pembabitan usahawan Melayu yang jauh ketinggalan berbanding usahawan bukan Melayu.

"Walaupun pelbagai dasar sudah digubal, pelbagai kaedah sudah dicuba dan pelbagai bantuan diberi, kita belum berjaya mencapai apa yang kita hajati. Tentu ada sebabnya. Jika ia dianggap penyakit tentulah ada ubatnya dan jika dianggap masalah tentulah ada penyelesaiannya.

"Ia adalah sebahagian daripada karenah yang menyumbang kepada kegagalan pencapai ekonomi Melayu. Jika dibiarkan gejala ini berterusan, maka kita akan terus ketinggalan dan kehilangan kuasa ekonomi," katanya berucap mencadangkan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Cadangan lain ialah:

l Mewujudkan indeks pencapaian Melayu dalam ekonomi,

l Memastikan dasar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejajar Agenda Melayu

lMelantik profesional Melayu mengisi jawatan peringkat menengah dan tinggi dalam GLC

l Menggantikan peneraju GLC yang gagal memenuhi harapan Melayu

Saarani yang juga Ketua Umno bahagian Lenggong berkata, Umno yang menguasai portfolio penting berkaitan ekonomi dalam barisan Kabinet sekarang mesti mengambil langkah berani untuk menjamin penguasaan Melayu dalam ekonomi untuk fasa 50 tahun akan datang selepas kegagalan mencapai matlamat itu selama 50 tahun merdeka.

Sambil merujuk perangkaan yang menunjukkan pencapaian ekonomi Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum lain, beliau berkata Umno perlu insaf dan sedar kedudukan sebenar orang Melayu sekarang apabila membuat perancangan bagi memperbetulkan keadaan pada masa depan.

"Orang tua kita pernah berkata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia, tetapi Melayu macam mana? Di mana tempat tinggal mereka? Apa pekerjaan dan status ekonomi dan pencapaian pendidikan mereka? Maka Umno Perak mahu mengubah slogan ini kepada ‘Melayu Takkan Kehilangan Dunia’.

"Justeru, orang Melayu dalam fasa 50 tahun akan datang bukan saja mesti terus memerintah di bumi bertuah ini tetapi mesti juga menguasai kekayaan ekonomi dan bijak pandai yang dihormati.

"Dalam erti kata lain akan menjadi sia-sia perjuangan kita selama ini jika dalam 50 tahun akan datang orang Melayu hilang jati diri, tenggelam semangat juang, melarat hidupnya, sengsara keadaannya akibat kehilangan kekayaan ekonomi dan berada pada status pendidikan yang amat rendah pencapaiannya," katanya.

Menyentuh aspek pendidikan, Saarani berkata sistem pendidikan negara mesti mampu melahirkan graduan Melayu yang memiliki dan berupaya menggunakan ilmu dan kemahiran untuk diri, keluarga dan bangsanya.

Pada masa sama, guru dan tenaga pengajar perlu dipastikan berkaliber untuk membimbing dan mendidik anak bangsa menjadi Melayu Unggul yang akan meneruskan perjuangan bangsa.

"Sistem pendidikan kita dikira gagal jika berjaya melahirkan graduan Melayu dalam pengurusan perniagaan tetapi mereka gagal membantu menambah bilangan ahli perniagaan Melayu. Kita juga dikira gagal jika ramai pemegang ijazah pertanian gagal membantu meningkatkan kekayaan Melayu dalam bidang pertanian dan industri asas tani," katanya.
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu ahli Umno mencontohi semangat perjuangan dan nasionalisme pengasas parti itu, Datuk Onn Jaafar yang ketika hayatnya menjadi pemimpin Melayu ulung dan terbilang.

Presiden Umno berkata, ketika hayatnya, Allahyarham memperlihatkan ciri-ciri perjuangan mulia dan ikhlas yang perlu menjadi contoh serta teladan kepada bukan saja ahli Umno, malah orang Melayu secara keseluruhan.

Beliau berkata, Datuk Onn adalah pemimpin Melayu pertama mencetuskan gerakan nasional menyatukan semua kaum termasuk Bugis dan Aceh untuk menentang penubuhan Malayan Union dan menyelamatkan Tanah Melayu daripada menjadi tanah jajahan British.

"Perjuangan beliau harus menjadi kebanggaan kita. Beliau telah menyatukan kita semua sehingga melahirkan masyarakat Melayu yang berwibawa. Hasil perjuangan beliau berjaya mengangkat maruah bangsa, agama dan negara.

"Dengan mengingati Datuk Onn, saya berharap Insya-Allah akan melahirkan pewaris bangsa yang mencontohi perjuangan yang beliau telah pelopori," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan buku Onn Ja'afar Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa yang dihasilkan Badan Perhubungan Umno Johor sempena Perhimpunan Agung Umno 2007, semalam.

Abdullah berkata, Datuk Onn memperlihatkan ciri-ciri bukan saja kecemerlangan, malah pemimpin bangsa yang terbilang.

Katanya, Allahyarham adalah wira bangsa, memiliki semangat tinggi dan keberaniannya tiada tolok banding dalam menentang dasar British.

"Buku yang dilahirkan ini akan menjadi rujukan berguna untuk generasi muda bangsa supaya dapat sama-sama menghayati segala pahit maung perjuangan pejuang bangsa terbilang.

"Mudah-mudahan generasi muda kita akan dapat mencontohi perjuangan beliau supaya menjadikan masyarakat kita lebih bersatu dan berjaya," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu perlu sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada Datuk Onn kerana menubuhkan Umno yang masih kukuh sehingga hari ini dan terus menjadi tonggak kerajaan selepas 50 tahun negara merdeka.

Kepada Umno Johor, beliau mengucapkan tahniah kerana berjaya menghasilkan sebuah buku yang tinggi nilai sejarahnya itu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata penerbitan buku itu bukan saja membolehkan rakyat memahami perjuangan dan pengorbanan Allahyarham terhadap agama, bangsa dan negara, malah membolehkan rakyat melihat peribadi tokoh pemimpin terbilang dengan lebih dekat lagi.

Katanya, Datuk Onn bukan saja pengasas Umno, malah lebih jauh daripada itu, seorang pemimpin yang kuat memperjuangkan kepentingan Melayu, hak Raja-raja Melayu, agama Islam, kebudayaan Melayu, ekonomi orang Melayu dan pendidikan Melayu.

"Kita tidak seharusnya mudah lupa bahawa Datuk Onn adalah seorang pemikir, seorang pengkritik sosial dan reformis yang meletakkan asas kenegaraan yang kukuh.

Pengarang buku berkenaan, Fadzil Abdullah berkata, penghasilannya mengambil masa dua setengah tahun dengan kajian dan pengumpulan bahan bukan saja dari seluruh pelosok negara, malah dari Singapura dan London.

Sejarah dan peristiwa kehidupan Datuk Onn dimuatkan dan terkandung dalam 18 bab melebihi 100 muka surat, dipersembahkan dalam bentuk edisi khas bergambar. Ia dijual RM120 senaskhah.
WAKIL Perlis, Datuk Hashim Suboh meminta rakyat di tiga kawasan pembangunan wilayah ekonomi koridor merancang persediaan dengan semangat merebut peluang yang diwujudkan dan tidak terpengaruh dengan gambaran suram yang digemburkan pembangkang.

Beliau berkata, tidak wajar orang Melayu menyambut pelaksanaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan perasaan takut, prejudis dan terancam.

"Biar Pas dan Keadilan dengan cerita seram Misteri Nusantara ciptaan Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar yang cuba menakutkan kita dengan gambaran suram mengenai kesan pelaksanaan projek ini kepada bangsa Melayu.

"Koridor pembangunan ekonomi wilayah bukan agenda kecil, pendekatan sektor ini memberi kesan berganda kepada ekonomi negara dan memberikan kesan melata kepada rakyat," katanya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan dasar Presiden.

Hashim yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar, berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain mengemudi perancangan pembangunan ekonomi wilayah, mesti juga menjadi payung dalam membina Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Katanya, Melayu mahukan kesaksamaan peluang dan akan berjaya jika GLC mampu memayungi mereka dalam kontrak perladangan, pengeluaran dan pemasaran.

Beliau juga mencadangkan supaya gerakan koperasi diperkasa melalui penggabungan koperasi yang turut membabitkan pertubuhan perladangan untuk memberi kekuatan merebut peluang daripada pembangunan ekonomi wilayah koridor.

Katanya, gerakan koperasi juga mesti kembali diperkuatkan sebagai satu lagi instrumen agenda ekonomi.

"Dengan kekuatan hampir 5,000 koperasi dan enam juta ahli, nilai aset tidak kurang RM26 bilion dan keuntungan tahunan tak kurang RM800 juta setahun, gerakan koperasi sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi sektor ketiga ekonomi negara," katanya.

Katanya, kejayaan beberapa koperasi di luar negara seperti The National Cooperative Federation di Korea Selatan dengan hampir 4,000 koperasi pertanian yang mampu memiliki bank perdagangan kedua terbesar di negara itu dengan deposit berjumlah AS101 bilion, perlu dijadikan contoh.

Mengenai politik, beliau berkata, perbezaan antara Umno dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mesti diberi gambaran yang lebih jelas kepada rakyat.

Beliau menyatakan perbezaan Pas dengan Umno melalui seloka;

Umno parti terbuka, Pas parti tertutup,

Umno parti moderate, Pas parti konservatif

Umno parti dinamik, Pas parti jumud,

Umno parti bijaksana, Pas parti emosional,

Umno parti mesra, Pas parti bengis menyinga,

Umno parti penghayatan, Pas parti perlambangan,

Umno parti maju ke depan, Pas parti mundur ke belakang,

Umno membina tamadun, Pas berkhayal dengan tamadun.
PUTERI Umno menyarankan supaya Umno menjadi pemegang ekuiti terbesar di setiap koridor pembangunan ekonomi bagi memastikan orang Melayu tidak terpinggir, seterusnya dapat memperkasa ekonomi bangsa Melayu.

Wakil Puteri Umno, Norlaili Mohamed, berkata pemegang ekuiti itu pula mesti terdiri daripada ahli Umno yang benar-benar sayangkan bangsa tanpa perlu dipersoalkan kesetiaannya kepada parti dan keikhlasannya membantu bangsa sendiri.

"Puteri tidak mahu projek mega yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mewujudkan jurang ekonomi yang terlalu besar antara Melayu dengan bangsa lain, terutama orang luar.

"Kita juga tidak mahu melihat bangsa Melayu terpinggir, terutama selepas pembinaan semua wilayah pembangunan koridor," katanya ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan.

Beliau juga mencadangkan supaya syarikat yang beroperasi dalam koridor pembangunan ekonomi diwajibkan mengambil pelajar tempatan, terutama pelajar Melayu serta diambil menjalankan latihan praktikal di syarikat berkenaan.

"Ini adalah untuk mendedahkan graduan Melayu mengenai kemahiran serta cara pengoperasian syarikat bertaraf antarabangsa yang ada dalam wilayah pembangunan terbabit," katanya.

Norlaili juga menyarankan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diberi peranan dalam koridor pembangunan ekonomi kerana ada antara mereka yang sudah berjaya menjadi profesional seperti akauntan, peguam, pakar ekonomi, usahawan dan pentadbir berjaya.

Beliau berkata, Puteri tidak mahu melihat syarikat dalam Koridor Pembangunan Ekonomi mengimport lebih banyak tenaga buruh dan tenaga profesional dari luar.

"Pekerja mahir dari luar ada yang lebih murah, tapi percayalah jika kita mengimport pekerja asing kita bukan saja membawa masuk orang luar ke dalam negara malah kita sebenarnya turut mengimport 1,001 masalah sosial," katanya.

Norlaili yang juga Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Puteri Umno menyeru graduan agar tidak menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir.

"Sekarang ramai graduan lepasan ijazah yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kerana kurang yakin untuk bersaing dalam pasaran kerja.

"Jangan memperlekehkan kerjaya guru kerana tugas sebagai pendidik bukanlah mudah, tapi tanggungjawab yang dipikul sama beratnya dengan profesional lain," katanya.
KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan kaum lain tidak perlu mempertikaikan keikhlasan dan kejujuran Umno dalam memperkasakan agenda perpaduan nasional yang terbukti diterjemahkan sejak sebelum merdeka lagi, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, perkara itu jelas disentuh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin dalam ucapan dasarnya yang menjelaskan Umno tidak sekali-kali memungkiri janjinya dalam menegakkan perpaduan kaum.

"Jadi, janganlah mempertikaikan keikhlasan, kejujuran dan keterbukaan Umno dalam soal ini. Presiden parti sendiri memberi jaminan Umno tidak mengamalkan sifat lidah bercabang kerana setiap permasalahan kaum boleh dibawa di meja rundingan," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, semua pihak harus akur dengan mesej yang diketengahkan Abdullah dengan tidak membincangkan masalah perkauman secara terbuka serta menjadikan media massa sebagai medan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

Katanya, apa yang dikhuatiri isu perkauman digunakan oleh pihak tertentu untuk memenangi hati rakyat, terutama ketika pilihan raya.

Sambil menyifatkan ucapan dasar Abdullah kelmarin sebagai menyeluruh dan memberi fokus jelas peranan Umno sebagai parti tunjang kerajaan, beliau berkata, Umno bukan saja komited dalam memperjuangkan agenda perpaduan kaum, malah membabitkan hak keistimewaan orang Melayu serta kedudukan agama Islam.

"Beberapa isu, termasuk hubungan sesama kaum, masalah jenayah dan keselamatan turut dihuraikan secara terperinci oleh Presiden parti.

"Rakyat tidak sepatutnya bimbang kerana kerajaan sudah dan sedang melaksanakan pelbagai langkah dan pendekatan bagi memastikan negara terus aman dan stabil," katanya.
KERAJAAN diminta menambah pegawai dan guru agama di luar negara untuk membantu pelajar menangkis cubaan pembangkang menyelewengkan akidah penuntut Malaysia.

Wakil Kelab Umno Luar Negara, Aminuddin Abd Nasir, berkata kumpulan propembangkang sudah lama menjalankan aktiviti mendekati pelajar baru menerusi senarai nama pelajar yang diperoleh di tanah air.

“Kita hairan bagaimana kumpulan pro pembangkang ini mudah mendapatkan nama pelajar baru sedangkan jika kami meminta senarai daripada kerajaan, lambat pula dikeluarkan,” katanya membahaskan ucapan dasar Presiden Umno.

Aminuddin yang mewakili Kelab Umno Leeds dan Bradford mendedahkan propembangkang bukan saja meracuni fikiran pelajar, malah mengeluarkan fatwa yang jelas bertentangan dengan Islam.

Katanya, golongan berkenaan membawa guru agama untuk dikahwinkan dengan pelajar wanita sebagai tiket untuk menetap dan menjadi pengajar di luar negara.

Beliau berkata, antara fatwa menyeleweng ialah pelajar lelaki yang menjadi pelatih perubatan tidak boleh merawat pesakit wanita dan lelaki serta wanita tidak boleh berkawan, sebaliknya kena berkahwin.

“Lebih menyedihkan pelajar yang terpengaruh ini berkahwin dan membelakangkan keluarga,” katanya.

Beliau turut mendedahkan di sesetengah negara, pelajar yang terpengaruh dengan aktiviti penyeleweng agama sudah mula menyokong parti pembangkang sehingga ada yang enggan berdaftar dengan Kedutaan Malaysia.

“Propembangkang ini meletakkan sasaran pada 2015, lebih 80 peratus pelajar di luar negara menyokong perjuangan mereka,” katanya.

Beliau menyarankan kerajaan menubuhkan Malaysia Hall di negara yang mempunyai ramai penuntut Malaysia bagi meningkatkan hubungan antara pelajar, selain merapatkan hubungan penuntut dengan masyarakat Malaysia di negara berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau turut membabitkan mengenai isu pengiktirafan pengajian Islam dan dana pendidikan untuk penuntut pengajian agama.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan garis panduan untuk memberi pengiktirafan kepada pengajian Islam terutama di Asia Barat supaya mereka dapat memasuki pasaran kerja apabila kembali ke tanah air.

Katanya, dana pendidikan untuk lulusan pengajian Islam juga perlu diselaraskan supaya mereka tidak ketinggalan.

“Kami menyeru yayasan negeri, Baitulmal dan Majlis Agama Islam negeri memberi perhatian kepada perkara ini kerana kebanyakan lulusan agama cemerlang,” katanya.

“Contohnya, Pengerusi Kelab Umno Pakistan, Kamarul Ariffin yang menulis kamus Ar Irsyad dalam empat bahasa, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Urdu," katanya.