KUALA LUMPUR 2 Nov — Malaysia akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Angkasa Persekutuan Russia (Roscosmos) bagi membangunkan industri aeroangkasa negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata, dalam pertemuan terdahulu hari ini antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan wakil dari kerajaan Russia, Najib mengalu-alukan cadangan Roscosmos agar MoU itu dimeterai dengan Agensi Angkasa Negara, Malaysia (Angkasa) bagi membangunkan industri aeroangkasa di Malaysia.

Beliau berkata, MoU itu turut meliputi perjanjian untuk melatih dan menghantar seorang lagi angkasawan negara, Mejar Dr Faiz Khaleed ke angkasa sama ada pada 2010 atau 2011.

“Kementerian pada ketika ini sedang dalam peringkat akhir untuk menyediakan MoU itu dan sebaik sahaja perbincangan dengan Roscosmos selesai, kami akan membentangkannya kepada Kabinet berkemungkinan menjelang awal tahun depan.

“Apabila MoU itu ditandatangani, ia akan turut memasukkan pengesahan tentang penerimaan Malaysia terhadap tawaran untuk mendapatkan tempat pada 2010 atau 2011, dan mewujudkan pakatan (dengan Russia) dalam industri angkasa,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Menghuraikan lebih lanjut mengenai pakatan itu, Jamaludin memberikan contoh jemputan Russia kepada Malaysia untuk mengambil bahagian dalam Sistem Satelit Navigasi Orbit Global (GLONASS) Russia.

GLONASS, yang dikendalikan oleh Russian Space Forces, adalah sistem yang menggunakan isyarat radio bagi mengesan manusia dan kenderaan di atas permukaan bumi. Sistem serupa di Amerika Syarikat ialah Sistem Pengesanan Global (GPS).

Beliau berkata, Russia turut menawarkan pelancar bagi menghantar satelit komunikasi Malaysia ke angkasa, di samping membantu Razaksat, satelit remote sensing Malaysia.

Jamaludin berkata, satu upacara khas akan diadakan minggu depan sebagai penghormatan kepada angkasawan pertama Malaysia Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bakal angkasawan Malaysia Dr Faiz.

Kedua-dua mereka turut menghadiri sidang akhbar itu.

— Bernama

SEREMBAN 2 Nov — Tugas Datuk Ramli Yusuff sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mungkin digantung sementara menunggu kes terhadapnya diputuskan oleh mahkamah, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abd Aziz.

Katanya, tindakan menggantungkan kerja merupakan prosedur biasa dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana pegawai atau anggota yang sedang menghadapi tuduhan di mahkamah akan ditahan kerja.

“Kita cuma buat peraturan biasa sahaja seperti yang ditetapkan oleh Perintah Am. Selepas kes mahkamah selesai nanti, terpulang kepada pucuk pimpinan PDRM untuk memikirkan tindakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita sempena lawatan persaraannya ke Ibu Pejabat Polis Kontingen Negeri Sembilan hari ini.

Najib dijangka bersara mulai 13 Nov ini. Bagaimanapun, penggantinya belum diumumkan lagi.

Katanya, tindakan ke atas Ramli serta beberapa dakwaan rasuah terhadap pegawai-pegawai kanan PDRM sejak kebelakangan ini tidak akan menjejaskan moral anggota polis tetapi mengakui ia telah menjejaskan imej pasukan itu.

Ditanya sama ada tugas Ramli akan dipangku oleh timbalannya, Najib berkata ia terpulang kepada arahan Bukit Aman.

Semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mendakwa Ramli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan iaitu tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya dan pembabitan beliau sebagai penjawat awam dalam perniagaan.

Ramli, 55, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-ketiga tuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan 15 Jan depan.

Ramli, yang menyertai PDRM pada 1979, merupakan pegawai tertinggi polis yang didakwa BPR setakat ini.

- Bernama

SEREMBAN: Tugas Datuk Ramli Yusuff sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mungkin digantung sementara menunggu kes terhadapnya diputuskan oleh mahkamah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Najib Abd Aziz.

Katanya, tindakan menggantungkan kerja adalah prosedur biasa dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana pegawai atau anggota yang sedang menghadapi tuduhan di mahkamah akan ditahan kerja.

“Kita cuma buat peraturan biasa sahaja seperti ditetapkan oleh Perintah Am. Selepas kes mahkamah selesai nanti, terpulang kepada pucuk pimpinan PDRM untuk memikirkan tindakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita sempena lawatan persaraannya ke Ibu Pejabat Polis Kontingen Negeri Sembilan hari ini.

Najib dijangka bersara mulai 13 November ini. Bagaimanapun, penggantinya belum diumumkan lagi.

Katanya tindakan ke atas Ramli serta beberapa dakwaan rasuah terhadap pegawai-pegawai kanan PDRM sejak kebelakangan ini tidak akan menjejaskan moral anggota polis tetapi mengakui ia telah menjejaskan imej pasukan itu.

Ditanya sama ada tugas Ramli akan dipangku oleh timbalannya, Najib berkata ia terpulang kepada arahan Bukit Aman.

Semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa Ramli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan iaitu tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya dan pembabitan beliau sebagai penjawat awam dalam perniagaan.

Ramli, 55, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-ketiga tuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan 15 Jan depan.

Ramli, yang menyertai PDRM pada 1979, adalah pegawai tertinggi polis yang didakwa BPR setakat ini. — Bernama
Azamin Amin
Fri | Nov 02, 07 | 5:02:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Sekali lagi kewibawaan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tercalar dan dipersoal kerana kegagalannya mengemukakan nama calon Ketua Hakim Negara berikutan persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 31 Oktober lalu.

Persoalan timbul, memandangkan tempoh tamat itu diketahui umum termasuk Abdullah sendiri, yang sewajarnya telah mencadangkan nama-nama calon lebih awal kepada Majlis Raja-Raja yang bersidang baru-baru ini seterusnya setelah disepakati diserah kepada Yang Di Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar yang merasa sangsi dan aneh dengan tindakan Abdullah termasuk menganggap 'insiden' belum pernah terjadi dalam sejarah badan kehakiman negara.

Lazimnya sesuatu jawatan penting itu dipangku sekiranya berlaku kejadian yang tidak dijangka yang melibatkan Ketua Hakim yang bertugas seperti kemalangan, kesihatan kronik atau kematian sebelum tempoh bersara wajib namun yang berlaku adalah sebaliknya malah semua pihak sedar dan menjangka akan persaraan beliau itu.

"Adakah Pak Lah selama ini 'koma' kemudian baru tersedar bahawa Tun Fairuz sudah tamat tempoh dan terpaksa mengarahkan seorang hakim untuk memangku jawatan tersebut," katanya ketika menghubungi Harakah.

"Atau sememangnya Pak Lah ada hajat dan cadangan untuk melanjutkan tempoh khidmat beliau tetapi ini telah ditolak oleh Majlis Raja-raja," katanya yang turut merujuk dengan berita yang dipetik daripada akhbar Singapura di bawah tajuk Majlis Raja-Raja tolak cadangan sambung kontrak Tun Fairuz.'

Katanya jika benar seperti yang dilaporkan akhbar terbabit bermakna, keputusan Majlis Raja-Raja itu juga merupakan tamparan hebat kepada Perdana Menteri yang sudah tidak diyakini dapat mentadbir negara dengan baik bukan sahaja di kalangan rakyat malah oleh Raja-Raja Melayu sendiri.

Mahfuz turut menyelar 'hajat' itu kerana tidak sepatutnya ada dalam fikiran seoarang Perdana Menteri memandangkan Tun Fairuz kini dipersoalkan intergritinya termasuk telah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap sisitem kehakiman di negara ini.

Jika ada hajat seperti itu katanya bermakna Abdullah benar-benar mengabaikan luahan dan kebimbangan rakyat serta pakar perundangan selama ini dan 'berjaya' dipintas oleh Majlis Rja-raja yang lebih mengutamakan kredibilti badan kehakiman dan keyakinan rakyat selama ini. Katanya, situasi aneh ini perlu diperjelaskan oleh Abdullah kepada rakyat jelata dan pihak yang terlibat dengan perundangan negara kerana jawatan tertinggi di negara ini tidak diisi mengikut kaedah yang betul tetapi dilihat dibuat secara tergesa-gesa.

"Ini satu lagi contoh dalam ratusan kelemahan Abdullah yang tidak serius mengukuhkan institusi kehakiman negara dan begitu malanglah rakyat mempunyai PM yang 'lintang-pukang' seperti ini," katanya. v Semalam dilaporkan Presiden Mahkamah Rayuan, Dato' Abdul Hamid Mohamad akan memangku jawatan Ketua Hakim Negara mulai semalam sehingga pengisian jawatan dibuat, demikian menurut satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini.

Ini berikutan persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang genap 66 tahun hari ini, umur persaraan wajib bagi hakim di Malaysia, dilantik memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara itu pada 17 Mac 2003.

Menurut kenyataan itu lagi, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Ketua Hakim Negara, kuasa itu boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.

Maka dengan itu, Abdul Hamid akan memangku jawatan itu mulai 1 November sehingga pengisian itu dibuat, kata Abdullah sebelum ini. - mr
Saidah Hairan
Fri | Nov 02, 07 | 3:09:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Hrkh) - Muslimat PAS kesal dengan keterlibatan tuduhan rasuah terhadap sejumlah pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara, Dato̢۪ Musa Hassan.

Kekesalan itu dilahirkan Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang sebelum ini bimbang dengan krisis keyakinan terhadap badan kehakiman yang belum selesai dan kini rakyat dikejutkan pula dengan desas-desus pelbagai tuduhan di Bukit Aman.

Menurut beliau, segala desas-desus itu meletup apabila didedahkan Pengarah Siasatan Jenayah Komersial, PDRM, Dato' Ramli Yusuff dalam sidang media di mana beliau kini menghadapi tuduhan rasuah oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Beliau berkata, senario itu amat menakutkan rakyat termasuk golongan muslimat ditambah pula dengan situasi peningkatan jenayah yang berlaku sekarang.

"Saya berkongsi luahan kebimbangan seorang ibu bangsa Tionghua dalam sesi forum perdana anjuran DAP yang lalu yang terlalu bimbang terhadap keselamatan orang awam hingga tidak berani keluar sendirian pada bila-bila masa," katanya.

Nuridah berkata, sejak kebelakangan ini terlalu banyak persoalan keselamatan yang melibatkan orang awam.

Beliau mempersoalkan adakah petugas yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara benar-benar berfungsi dengan cekap.

"Kenapa sehingga ini banyak kes-kes jenayah yang masih tidak dapat ditangani oleh pihak polis. Benarkah mereka disibukkan dengan tindakan ‘perang dingin’ antara sesama mereka sehingga menjejaskan kualiti tugasan mereka," soalnya.

Sehubungan itu, Nuridah mendesak pihak polis menjelaskan persoalan bagi meredakan kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan orang awam.

Menurut beliau, tanpa tindakan yang cepat ia akan belarutan sehingga menghakis keyakinan rakyat malah kegusaran itu sangat dirasai oleh kaum bukan Melayu, terutama Tionghua hingga segelintir daripada mereka keluar berdemonstrasi di jalan raya di Johor Bahru bulan lalu. – lanh
Abdul Halim Mohd Rashid
Fri | Nov 02, 07 | 1:37:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Hrkh) - Tindakan Raja-Raja Melayu menolak supaya dilanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hakikatnya adalah gambaran rasa tidak percaya mereka kepada kepimpinan dan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan tindakan Raja-Raja Melayu itu adalah "tamparan maut" kepada kemampuan dan kebolehan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Keputusan Raja-Raja Melayu itu juga merupakan gambaran keprihatinan mereka kepada keresahan rakyat yang tidak berpuas hati terhadap institusi kehakiman," kata beliau.

Raja-Raja Melayu, katanya, memberikan isyarat yang jelas kepada semua pihak supaya institusi kehakiman diselamatkan dari "terus buruk dan busuk akibat manipulasi kuasa pemimpin-pemimpin politik yang mahu memusnahkan negara ini dan kepentingan tertentu yang hanya mahu memuaskan ketamakan mereka termasuk tauke judi".

"Mereka tentu tidak senang dengan perkembangan yang bukan sahaja akan memusnahkan negara ini malah mencemarkan maruah mereka kerana perlantikan hakim-hakim melibatkan perkenan Yang Dipertuan Agong," katanya.

Jika Perdana Menteri boleh berfikir dengan waras, kata Mahfuz, beliau sepatutnya melihat tindakan Raja-Raja Melayu itu sebagai kemurkaan mereka terhadapnya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri tidak cuba menunjuk samseng kepada Raja-Raja Melayu dan menunjukkan sikap keras kepala dengan mencadangkan apa yang jelas mengakibatkan kemurkaan mereka.

"Rakyat pula mesti memikirkan dengan serius kemampuan, kebolehan dan kelancaran Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri yang berkesan ketika beliau kelihatan begitu dimurkai oleh Raja-Raja Melayu," katanya lagi.

Beliau berharap rakyat bagun beramai-ramai supaya negara ini dapat diselamatkan dari mana-mana kepimpinan yang menggunakan institusi perundangan dan kehakiman untuk menghalalkan perbuatan rasuah dan jenayah mereka.

"Malah institusi perundangan dan kehakiman juga tidak boleh digunakan untuk memangsakan mana-mana pihak yang tidak disukai oleh pihak yang berkuasa atau memangsakan mereka yang terlibat membenteras kegiatan jenayah seperti along, sindiket pelacuran dan sebagainya," kata beliau.

Mahfuz juga berharap Raja-Raja Melayu turut membersihkan institusi-institusi lain yang perlantikan anggota-anggotanya melibatkan perkenan Yang Dipertuan Agong.

"Lebih dari itu, Raja-Raja Melayu telah memberikan isyarat yang jelas bahawa apa jua kuasa yang ada, walaupun sangat terhad seperti yang dimiliki mereka, mestilah digunakan untuk memastikan kerajaan tidak menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa.

"Sebab itulah semua rakyat yang prihatin mesti memastikan kehadiran mereka pada perhimpunan 10 November ini dan meastikan kuasa rakyat digunakan untuk menuntut demokrasi dan pilihan raya yang bersih di negara ini," katanya.
Aliza Jaffar
Fri | Nov 02, 07 | 6:45:08 am MYT

Berita perdana dan TV Malaysia terpaksa menyiarkan berita seorang wanita yang tidak dikenali naik ke pentas menghulurkan bunga dan berkata sesuatu kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Perdana Menteri melancarkan ECER peringkat negeri Pahang di Kuantan pada 30 Oktober 2007.

Siapakah wanita itu dan apakah sebabnya beliau memberanikan diri ambush Abdullah di hadapan ribuan penonton? Tidakkah para bodyguard beliau mengambil pengajaran daripada beberapa peristiwa yang sama juga telah berlaku beberapa tahun yang lalu?

Saya yakin wanita tersebut mesti ada sesuatu yang amat penting untuk disampaikan kepada Abdullah. Bukan sebab dia minat sangat pada Abdullah. Dia sudah tak tahan lagi. Dia nekadkan hati untuk melepasi segala rintangan.

Serbu Abdullah 7 April 2003

Saya juga pernah ambush Abdullah di lobi Parlimen pada 7 April 2003 bersama Zumrah Husni (isteri tahanan ISA, Dr Badrulamin) dan Bahirah Tajul Aris (isteri tahanan ISA Ezam Mohd Noor).

Masa itu Abdullah adalah pemangku Perdana Menteri Malaysia dan juga Menteri Dalam Negeri. Kami bertiga adalah isteri kepada tahanan ISA Reformasi yang ditahan di Kem Kamunting pada masa itu. Suami kami telah merengkok di penjara hampir 2 tahun.

Pada hari itu, kami bersama Gerakan Mansuhkan ISA menghantar memorandum kepada ketua pembangkang. Kami diberitahu bahawa pada hari itu Abdullah akan mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen.

Kami pun tidak melepaskan peluang sebaik sahaja beliau tamat sidang akhbar kami bertiga menyerbu beliau yang tersengih-sengih perasan bahawa kami adalah peminat beliau. Lobi Parlimen jadi gamat. Wartawan juga terpinga-pinga.

Pegawai keselamatan Abdullah tak boleh berbuat apa-apa sebab para wartawan dan juru gambar telah mengepung kami dan Abdullah yang ditemani oleh Tan Sri Khalil Yaacob (masa itu beliau adalah Menteri Penerangan). Kami minta Abdullah membebaskan suami kami.

Tan Sri Khalil kononnya hendak mententeramkan kami bertiga, dengan berkata, "Sabar, sabar, kita ambil perhatian." Saya tidak rasa gentar terus menjawab, "Mana boleh sabar, ini zalim." Saya pun menghulurkan buku yang ditulis oleh suami saya (Saari Sungib) yang bertajuk "Malaysia Boleh ... SB Lagi Boleh" yang baru diterbitkan dan telah diserahkan kepada SUHAKAM untuk siasatan.

Saya kata pada Abdullah: "Ni buku suami saya tulis. Datuk jangan aniaya kami ... baca! baca!", dengan nada marah.

'Lepaskan Abdullah pergi'

Saya nampak muka pegawai keselamatan seolah-olah merayu supaya kami lepaskan Abdullah pergi. Lepas itu mereka segera melepasi para wartawan dan jurugambar untuk membawa Abdullah pergi.

Adakah Abdullah ingat lagi peristiwa tersebut? Ia adalah pengalaman paling 'manis' buat saya dan kawan-kawan demi membela suami kami yang teraniaya. Ia adalah pengalaman 'pahit' buat Abdullah, seorang pemimpin yang zalim.

Lagi sekali Abdullah kena ambush. Ingat tak?

Pada Februari 2006, semasa Abdullah bertemu para peneroka Felda Sendayan di Negeri Sembilan, beliau kena ambush lagi dengan dua orang isteri tahanan ISA iaitu Norlaila Othman dan Siti Norma Ismail.

Mereka berdua juga mengambil peluang Abdullah berada di situ untuk menghulurkan surat terus di tangan beliau agar membebaskan suami mereka yang telah ditahan dengan zalim oleh Abullah selama lebih empat tahun. Kedua-dua isteri tersebut berjaya menembusi bodyguard Abdullah dan menghulurkan surat di tangan beliau sambil meminta agar Abdullah membebaskan suami mereka.

Beliau berkata, "Insya-Allah, insya-Allah". Tapi sampai hari ini suami mereka berdua dan ramai lagi masih ditahan di Kem Kamunting. Suami mereka kini hampir 6 tahun dianiaya, dipisahkan dari keluarga mereka.

Isteri-isteri tahanan ISA telah berusaha untuk bertemu beliau secara sopan tetapi tidak pernah mendapat layanan darinya. Begitu juga surat-surat kami juga tidak pernah dijawab oleh beliau. Kami tidak tahu sama ada beliau terima atau tidak, kalau terima pun sama ada beliau baca atau tidak.

Akhirnya kami tiada jalan lain selain ̢۪ambush̢۪ beliau di mana-mana saja yang kami boleh pergi. Kami mahu beliau hentikan kezaliman menahan rakyat tanpa bicara.

Membuku di hati

Seperti apa yang kami isteri-isteri tahan ISA lalui, sebab utama yang mendorong kami untuk ambush Abdullah adalah rasa mahu "melepaskan geram" terhadap beliau. Perasaan ini seolah-olah membuku di hati kami. Tidak ada rasa takut dan teragak-agak dalam jiwa kami untuk bersemuka dengan orang yang menganiaya kami!

Saya percaya, wanita yang mengulurkan bunga ketika Abdullah sedang berucap melancarkan ECER juga ketika itu berada dalam keadaan sama seperti yang kami alami. Beliau mahu menyampaikan suatu yang membuku lama di hatinya. Mungkinkah rasa tidak puas hatinya terhadap pentadbiran Abdullah yang tidak peduli terhadap nasibnya?

Apakah Abdullah ambil pengajaran daripada siri-siri ambush tersebut?

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM


RAMLI Yusuff ditemani isteri, Anita Harun dan anak perempuan mereka meninggalkan mahkamah selepas menghadapi tiga tuduhan di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. – Gambar HAFIZ JOHARI.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa dua petak ruang pejabat dan 154,000 unit saham serta terlibat dalam perniagaan.

Ramli, 55, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu selepas ia dibaca secara berasingan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa tidak mendedahkan maklumat melalui pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 17 September lalu berkenaan dua ruang pejabat iaitu Lot 144, Seksyen 44, petak 127 dan 128 yang bernilai RM1,032,840 di Tingkat 4, Bangunan M1-B, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Kedua-dua harta itu dipegang oleh dua pengarah sebuah syarikat pelaburan, Bonus Circle Sdn. Bhd. iaitu Rohmah@Hasmah Yusuff yang merupakan kakak tertuduh serta adiknya, Ruslina Yusuff.

Dia juga didakwa tidak mendedahkan maklumat berkenaan saham yang dimilikinya di dalam sebuah syarikat hartanah, Permaju Industries Sdn. Bhd. sebanyak 154,000 unit sebagaimana yang dikehendaki oleh pendakwa raya melalui notis bertarikh 17 Julai lalu.

Ramli didakwa melakukan semua perbuatan itu di pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat Badan Pencegahan Rasuah (BPR) Putrajaya, pada 17 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Ramli sebagai penjawat awam turut didakwa di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam perniagaan Kinsajaya Sdn. Bhd. sebagai pengarah syarikat itu pada 25 April lalu.

Perbuatan itu bertentangan dengan Peraturan 5(1)(a), Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002) yang mana dia boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi memohon agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.

Beliau yang memaklumkan akan memanggil 20 saksi bagi kes gagal isytihar harta dan 15 saksi bagi kes terlibat dalam perniagaan turut mencadangkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam bela, Datuk K. Kumaraendran bagaimanapun memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan bon peribadi atas alasan tertuduh merupakan pegawai kanan polis yang telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih dari 30 tahun.

Katanya, penyerahan pasport itu juga akan menyukarkan anak guamnya yang akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah pada Sabtu ini serta mengerjakan fardu haji pada minggu pertama Disember ini.

“Kerjayanya dalam PDRM kini tergugat berikutan tuduhan ini. Dakwaan ini menimbulkan prasangka terhadap perwatakan dan kewibawaannya sebagai pegawai kanan polis.

“Tertuduh mahu memulihkan nama baiknya dan tidak akan lari. Ini menjadikan sebab untuk beliau hadir dan melawan pertuduhan ,” katanya.

Mohamad Jazamuddin bagaimanapun memberitahu pasport hanya diserahkan selepas tertuduh selamat menunaikan haji dan umrah. Beliau turut mempersoalkan perbezaan tertuduh dengan tertuduh yang lain sehingga dia tidak perlu menyerahkan pasportnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Ramli dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 15 Januari 2008 bagi tuduhan pertama dan kedua dan sebutan bagi tuduhan ketiga.

Ramli yang memakai kot biru gelap dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 3.10 petang ditemani isterinya, Datin Anita Harun yang juga Hakim Mahkamah Sesyen di sini dan seorang anak perempuan mereka.

Ruang kaki lima mahkamah dipenuhi jurufoto yang berebut-rebut untuk merakam wajah Ramli sehingga menyukarkan pihak BPR untuk mengiringi tertuduh ke bilik bicara.

Galeri awam mahkamah juga penuh sesak dengan kehadiran media, anggota serta rakan-rakan tertuduh dan lain-lain yang mana sebahagiannya terpaksa berdiri untuk mengikuti prosiding itu.

Anggota dan pegawai polis yang bertugas di mahkamah juga masing-masing dilihat menghampiri dan bersalaman dengan Ramli.

Rosli Dahlan, 46, peguam yang dikaitkan dengan Ramli dan didakwa pada 12 Oktober lalu atas kesalahan yang sama juga hadir dan mengambil tempat di sebelah Anita.

Kumaraendran semasa ditemui selepas prosiding memberitahu anak guamnya akan didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Sabah pada 19 November ini.

Ramli kemudian dibebaskan dengan ikat jamin setelah seorang rakannya mengemukakan wang jaminan.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob dan Norhashimah Mohd Radzali


KENA DAKWA: Ramli ditemani isteri dan anaknya (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya, manakala satu lagi menjadi pengarah sebuah syarikat.

Pengarah JSJ boleh dipenjara 20 tahun jika salah

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, petang semalam atas tiga tuduhan - dua kerana tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya, manakala satu lagi menjadi pengarah sebuah syarikat.

Ramli, 55, yang ditahan selepas datang ke Ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Putrajaya, kira-kira jam 11.45 pagi, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga tuduhan itu. Beliau yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1979, adalah pegawai tertinggi polis yang didakwa BPR setakat ini.


Dalam pertuduhan pertama, Ramli didakwa tidak mendedahkan maklumat sebenar hartanya iaitu dua ruang pejabat, Unit B-3A-9 dan Unit B-3A-8, Bangunan Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini. Kedua-dua hartanah itu ketika perolehan bernilai RM1,032,840.

Harta berkenaan dipegang oleh kakak dan adik tertuduh, Rohmah @ Asmah dan Roslina, yang juga dua pengarah syarikat pelaburan, Bonus Circle Sdn Bhd. Maklumat itu tidak didedahkan seperti dikehendaki pendakwa raya melalui notis mengikut Seksyen 32 (1)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bertarikh 17 Julai lalu.

Notis itu mengkehendaki Ramli memberi pernyataan benar secara bertulis dengan bersumpah mengenai setiap harta dimilikinya, sama ada harta itu dialih atau tidak, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan dan pendapatan daripadanya.


Ramli juga menghadapi tuduhan kedua tidak mendedahkan maklumat mengenai 154,000 saham miliknya dalam syarikat hartanah, Permaju Industries Berhad. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, 17 September lalu.

Mengikut Seksyen 32 (2) akta yang sama, setiap tuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM100,000.

Tuduhan ketiga pula, Ramli didakwa membabitkan diri dalam perniagaan dengan menjadi Pengarah Syarikat Kinsajaya Sdn Bhd. Sebagai penjawat awam, tertuduh terikat dengan Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002) yang melarang penjawat awam mengambil bahagian dalam perniagaan.

Ramli didakwa melakukan kesalahan itu di ibu negara pada 25 April tahun lalu ketika menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Hakim SM Komathy Suppiah menetapkan perbicaraan tuduhan pertama dan kedua selama empat hari bermula 15 Januari depan. Sebutan kes tuduhan ketiga juga ditetapkan pada hari yang sama. Beliau turut membenarkan Ramli diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memutuskan pasportnya tidak diserahkan ke mahkamah.

Tertuduh kemudian dibebaskan selepas rakannya, Datuk Roger Tan, yang juga seorang ahli perniagaan, membayar wang jaminan itu.

Terdahulu, sepanjang prosiding bermula jam 3.30 petang, Ramli kelihatan tenang tetapi serius. Turut hadir ketika prosiding, isterinya, Datin Anita Harun, Hakim di Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta di sini serta anak perempuan mereka dan ahli keluarga lain.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi dan Zulqarnain Hasan, manakala tertuduh diwakili Datuk K Kumaraendran, Datuk C Vijaya Kumar dan Harvinderjit Singh.

Dalam prosiding yang berlangsung selama setengah jam itu, Mohd Jazamuddin memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Pihak pendakwaan juga memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebaik Ramli pulang daripada menunaikan haji. Ramli akan mengerjakan umrah Sabtu ini sebelum menunaikan haji bulan depan.

Mohd Jazamuddin sebelum itu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Kumaraendran bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 kerana tujuan jaminan adalah bagi memastikan tertuduh hadir di mahkamah ketika perbicaraan.

Beliau juga berkata, karier tertuduh selama 38 tahun dalam perkhidmatan polis dan kredibilitinya terjejas disebabkan tuduhan terhadapnya.

"Melihat tingkah laku anak guam saya yang tidak melarikan diri atau melindungi wajahnya ketika dibawa ke mahkamah, itu menunjukkan beliau ingin mempertahankan nama baiknya daripada tuduhan berkenaan," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ramli yang tiba di Ibu pejabat BPR, kira-kira jam 11.20 pagi diserbu puluhan wartawan yang menunggu sejak jam 9 pagi. Bagaimanapun, Ramli yang kelihatan mesra dan bersahaja terus memasuki pejabat BPR bagi memberi keterangan kepada pegawai agensi itu.

Difahamkan, beliau yang ditemani isteri dan peguamnya, turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, sebelum meninggalkan ibu pejabat agensi itu kira-kira jam 2.30 petang untuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, ketika dihubungi berkata berdasarkan prinsip dan peraturan perkhidmatan awam, penjawat awam akan digantung tugas sebaik mahkamah memaklumkan kepada jabatannya mengenai kes yang dihadapi kakitangan terbabit.

"Penjawat awam berkenaan hanya menerima separuh gaji bulanannya sehingga kesnya selesai di mahkamah.

"Jika mahkamah mendapatinya tidak bersalah, beliau akan dibenarkan bertugas semula, selain mendapat baki gaji bulanannya yang dipotong sepanjang tempoh perbicaraan tetapi jika sebaliknya, kakitangan terbabit akan dipecat serta merta tanpa kerajaan membayar apa-apa kepadanya," katanya.

KRONOLOGI Kes Datuk Ramli Yusof

  • 18 Julai - Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan surat mengikut Seksyen 32 Akta Pencegah Rasuah 1997 kepada Ramli supaya mengisytiharkan hartanya dalam tempoh 30 hari.

  • 26 Julai - BPR mengambil keterangannya selama kira-kira lima jam yang disiasat kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan gagal mengisytiharkan harta bernilai kira-kira RM27 juta.

  • 27 Julai - Media melaporkan beliau menjadi pengarah syarikat dan memiliki harta RM27 juta dipercayai diperoleh secara haram. Pada hari sama, Ramli menafikan dirinya disiasat.

  • 9 Ogos - BPR memberi tempoh sehingga 18 Ogos kepada Ramli untuk mengisytiharkan hartanya.

  • 16 Ogos - Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, mengesahkan siasatan kes berkenaan masih dijalankan.

  • 16 September - BPR mengesahkan tarikh akhir untuk Ramli mengisytiharkan hartanya ialah pada 19 September.

  • 17 September - Ramli mengisytiharkan harta di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat BPR di Putrajaya.

  • 11 Oktober - Seorang peguam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Ramli dilaporkan ditahan BPR kerana gagal mengisytiharkan hartanya seperti diarahkan pendakwa raya.

  • 12 Oktober - Peguam, Rosli Dahlan, 46, didakwa di Mahkamah atas tuduhan tidak mendedahkan maklumat mengenai hartanya dalam penyataan bersumpah bertarikh 20 September.

  • 13 Oktober - Ramli dilaporkan hanya mengisytiharkan aset berjumlah RM10 juta kepada BPR.

  • 30 Oktober - Ramli mengadakan sidang media mengaku beliau disiasat BPR tetapi menafikan pelbagai dakwaan dikaitkan dengannya termasuk memiliki harta RM27 juta.

  • 31 Oktober - BPR mengambil keterangan adik Ramli, Roslina dan kakaknya, Rohmah @ Hasmah, masing-masing di Ibu Pejabat BPR Putrajaya dan Kota Bharu Kelantan, berhubung siasatan itu.
  • Oleh Saufi Hamzah

    KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (IIM) menyifatkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan tugas mengikut prosedur, termasuk tidak mendedahkan identiti seorang pegawai kanan polis berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa serta memiliki aset bernilai RM27 juta sepanjang siasatan mereka.

    Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh, berkata pihaknya tidak menjangkakan bahawa BPR akan memberitahu maklumat rahsia kepada umum dan media ketika masih menyiasat sebarang dakwaan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

    "Kita bekerjasama rapat dengan BPR, setahu saya tidak ada maklumat rahsia dihebahkan berkaitan sebarang siasatan. Saya sendiri terperanjat apabila pegawai kanan polis itu memberitahu namanya dikeluarkan BPR kepada pihak media," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

    Mohd Tap diminta mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff yang mengaku beliau disiasat BPR berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa serta memiliki aset bernilai RM27 juta.

    Ramli dipetik sebagai berkata: �Belum apa-apa orang sudah tuding jari kepada saya kerana ada RM27 juta. Saya menderita lebih tiga bulan sejak perkara ini didedahkan kepada media. BPR tidak sepatutnya membocorkan maklumat siasatan yang belum selesai. Ia melanggar Seksyen 21 (4) Akta BPR sendiri kerana mendedahkan maklumat sulit.�

    Mohd Tap berkata, sekiranya benar BPR mendedahkan nama pegawai kanan polis itu ketika dalam siasatan, ia bukan saja tidak berintegriti kerana ia sepatutnya rahsia, malah mungkin menyalahi undang-undang.

    Bagaimanapun, beliau berkata, sebelum Ramli mengadakan sidang media tiada sesiapa tahu siapa pegawai kanan polis dimaksudkan.

    "Saya sendiri sebagai Presiden IIM tak tahu siapa dimaksudkan dan tertanya-tanya. Malah jika kita lihat di laman web dan blog tak ada nama ini. Memang tak ada...saya terperanjat apabila beliau (Ramli) kata BPR tak adil," katanya.

    Mohd Tap berkata, BPR sentiasa menjaga integriti badan itu dan tidak pernah mengeluarkan sebarang maklumat rahsia berkaitan siasatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

    Sementara itu, beliau berkata, pelbagai aktiviti berkaitan agenda integriti akan berlangsung di seluruh negara sempena sambutan Hari Integriti Nasional Isnin depan dengan tema Pengukuhan Integriti Tanggungjawab Bersama.

    Beliau berkata, Forum Integriti akan berlangsung di IIM dengan pembentangan kertas kerja oleh Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed bertajuk Laporan Audit Negara � Perlakuan Kesalahan Rasuah, Penyelewengan dan Salah Guna Kuasa Yang Dikesan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dijangka menyampaikan ucaptama dan merasmikan Hari Integriti itu serta melancarkan buku terbitan IIM bertajuk Sistem Integriti Nasional: Asas Panduan.

    Oleh Sharifah Salwa Syed Akil


    PANTAU HARGA: Tinjauan di sekitar pasar raya di Kuala Lumpur mendapati ada pengeluar roti mengekalkan harga, walaupun pesaing lain mula menaikkan harga antara 10 sen hingga 30 sen bermula semalam.

    KUALA LUMPUR: Selepas berdepan kenaikan harga tepung dan keperluan lain, pengguna kini terpaksa pula menghadapi kenaikan harga roti antara 10 sen hingga 30 sen bermula semalam.

    Tinjauan Berita Harian di sekitar ibu negara semalam mendapati, pelbagai jenis dan ukuran roti yang dibekalkan dua pengeluar kini dijual dengan harga baru.

    Roti bagi kedua-dua syarikat pengeluar itu dijual pada harga RM2.90 sebungkus untuk yang bersaiz besar, meningkat 30 sen berbanding harga lama RM1.80, manakala roti bersaiz kecil meningkat dari RM1.80 kepada RM2.10.


    Pengurus Pemasaran Bahagian Makanan Pengguna, Stanson Marketing Sdn Bhd, pengeluar roti jenama High 5, Tan Min Yee ketika dihubungi mengesahkan kenaikan harga itu.

    Bagaimanapun, ketika ditanya adakah kenaikan itu mendapat kelulusan pihak berkaitan beliau enggan mengulas.

    Berita Harian difahamkan, sesetengah pengeluar roti akan turut menaikkan harga roti keluaran masing-masing tidak lama lagi kerana dikatakan tidak mampu lagi untuk terus menanggung kos pengeluaran berikutan kenaikan harga tepung.


    Sementara itu, seorang pekerja sebuah pasar raya di Bangsar, di sini yang enggan dikenali berkata, kebanyakan roti sedia ada di beberapa rangkaian pasar raya berkenaan di ibu negara, dipulangkan kepada pembekal bagi membolehkan roti dengan harga baru diedarkan di pasaran.

    "Kebanyakan roti yang sebelum ini dijual di sini sudah diambil kembali oleh pembekal, walaupun tarikh luputnya masih belum tamat. Ia diganti dengan stok lain untuk dijual dengan harga baru," katanya ketika ditemui.

    Penasihat Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan ketika diminta mengulas kenaikan itu berkata, kenaikan itu walaupun tidak banyak masih membebankan pengguna, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

    Beliau berkata, kerajaan perlu membuat pemantauan serta menetapkan harga roti yang ada di pasaran kerana ia antara barang keperluan harian penduduk yang penting selain nasi.

    "Semua perlu diambil kira kenaikan harga barang tentunya membebankan orang ramai," katanya.

    KUALA LUMPUR 1 Nov. – Harga minyak mentah terus melambung dan hari ini ia melepasi paras AS$96 (RM320) setong berikutan kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS), setelah negara kuasa besar itu menurunkan lagi kadar faedah bagi membendung krisis kewangannya.

    Setelah turun ke paras AS$90.38 (RM301) setong semalam, harga minyak mentah global melonjak ke paras AS$96.24 (RM321) setong apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) AS menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.50 peratus.

    Kenaikan harga minyak juga disebabkan oleh ketegangan politik di Iraq dan Iran; permintaan tinggi komoditi itu menjelang musim sejuk; peningkatan permintaan dari China dan ketidaktentuan cuaca global.

    Harga minyak mentah ‘Light Sweet’ bagi penghantaran Disember naik AS$5.86 (RM19.56) kepada AS$96.24 setong dalam urus niaga di luar waktu dagangan elektronik di New York Mercantile Exchange (Nymex).

    Pakar Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua bulan, FOMC selaku bank pusat AS menurunkan kadar faedahnya bagi merangsang semula aktiviti perniagaan yang terjejas di negara itu akibat krisis subprima.

    “Langkah penurunan kadar itu telah menjejaskan nilai dolar dan menyebabkan harga minyak mentah yang didagangkan berasaskan mata wang itu terus melambung.

    “Tindakan AS itu akan menyebabkan tekanan inflasi di seluruh dunia,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau menjangkakan harga minyak mentah akan melepasi paras AS$100 setong dalam sedikit masa lagi jika dolar AS terus turun.

    PUTRAJAYA 1 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kejayaan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha membuka langkah lebih besar dalam usaha menjadikan industri angkasa lepas sebagai bidang yang dapat memberi banyak kebaikan kepada negara.

    Beliau menegaskan, kejayaan tersebut menjadikan Malaysia maju selangkah ke hadapan dalam industri berkenaan sekali gus menjadikan bangsa Malaysia lebih megah.

    ‘‘Misi seperti ini menjadi langkah pertama ke arah langkah yang lebih banyak. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Sheikh Muszaphar,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan dua angkasawan negara, Sheikh Muszaphar dan Mejar Dr. Faiz Khaleed di pejabatnya di sini hari ini.

    Menurut Abdullah, pemergian angkasawan pertama negara itu bukan sahaja membawa kebaikan kepada dirinya sendiri tetapi apa yang penting sekali ialah memenuhi kehendak misi.

    Katanya, walaupun misi berkenaan singkat dan Sheikh Muszaphar kembali ke bumi dalam keadaan yang mencemaskan akibat terhempas tetapi segala bahan ujian yang dibawa semuanya selamat dan boleh digunakan.

    ‘‘Jadi tak sia-sia kerana semuanya ada dan boleh digunakan oleh saintis untuk buat penyelidikan lanjut dan mengetahui pelbagai perkara daripada ujian itu.

    ‘‘Dalam hal ini saya tentu sekali rasa gembira kerana Sheikh Muszaphar dapat menjalankan eksperimen. Dia bukan seorang pelancong yang hendak pergi ke angkasa lepas,” katanya.

    Mengenai tawaran untuk menyertai misi-misi lain pada masa hadapan, Perdana Menteri berkata, cadangan dan tawaran itu akan dipertimbangkan dari semua aspek seperti kos dan faedah yang akan diperoleh.

    Oleh itu, katanya, para saintis perlu bergabung untuk menentukan kandungan misi serta faedah-faedah yang boleh diperoleh daripada misi itu.

    ‘‘Ini tidak bermakna Sheikh Muszaphar tidak akan terlibat lagi kerana beliau menjadi angkasawan yang ada pengalaman pertama.

    ‘‘Tetapi kalau diperlukan seorang yang belum ada pengalaman tetapi ada kebolehan dan kemampuan untuk menyertainya, kita ada Dr. Faiz,” katanya.

    Abdullah turut gembira dan bangga kerana pada hari ini, buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang angkasawan masuk ke Pejabat Perdana Menteri untuk membuat kunjungan hormat.

    Sementara itu, pada sidang akhbar berkenaan, Sheikh Muszaphar menyampaikan beberapa cenderahati kepada Perdana Menteri iaitu sebuah al-Quran kecil yang dibacanya semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

    Sepanjang berada di angkasa lepas, Sheikh Muszaphar sempat membaca 40 muka surat al-Quran itu termasuk Surah al-Kahfi.

    Selain itu, beliau menghadiahkan sebuah bingkai mengandungi Jalur Gemilang mini, Rukun Negara, logo Jata Negara, logo Program Angkasawan Negara dan gambar kenangan yang telah dibawa ke angkasa lepas.

    Beliau juga menghadiahkan jaket kulit Program Angkasawan Negara yang dipakainya sepanjang tempoh setahun menjalani latihan misi angkasa lepas.

    KUALA LUMPUR 1 Nov. – Peluang melaksanakan misi di angkasa lepas membolehkan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha melihat dengan lebih jelas kemusnahan yang sedang berlaku di Bumi disebabkan perbuatan manusia sendiri.

    Katanya, beliau sedih kerana manusia begitu rakus mengejar pembangunan tanpa mengambil kira keadaan sekeliling dan masa depan generasi akan datang.

    Sehubungan itu, beliau berharap dapat menerangkan kepada orang ramai tentang perkara itu semasa mengadakan pameran bergerak sebagai pengajaran dan iktibar supaya mereka lebih peka terhadap alam sekitar.

    “Pencemaran Bumi dapat dilihat dengan jelas dari ISS. Saya berharap setiap orang di seluruh dunia dapat melindunginya. Pastikan Bumi kita sentiasa hijau, ini tempat tinggal kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

    Beliau dan seorang lagi angkasawan negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed kini berada di tanah air sebelum kembali semula ke Rusia minggu depan bagi mendapatkan sijil pengiktirafan mereka sebagai angkasawan daripada pihak negara berkenaan.

    Jelas beliau, kehidupan di angkasa lepas telah mengajarnya erti kehidupan yang lebih bermakna.

    Oleh Wan Hazmir Bakar, Shamsul Azree Shamshir, Munira Yusoff dan Ahmad Johari Mohd Ali




    KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad, dilantik sebagai pemangku Ketua Hakim Negara berkuat kuasa semalam sehingga kekosongan jawatan berkenaan diisi.

    Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Ketua Hakim Negara, kuasa itu boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.

    Kenyataan itu menjelaskan pengisian secara hakiki bagi jawatan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin. Jawatan itu kosong berikutan persaraan wajib Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, mulai kelmarin.


    Sementara itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang ditemui pemberita selepas menemui angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed, berkata pelantikan Abdul Hamid sebagai pemangku Ketua Hakim Negara dibuat mengikut peraturan sedia ada.

    "Mengikut peraturan, kekosongan jawatan itu perlu diisi dan kita melantik Presiden Mahkamah Rayuan sebagai pemangku sementara tindakan diambil untuk mengisi jawatan itu secara tetap," katanya.

    Abdullah juga mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Fairuz atas sumbangan cemerlang beliau terhadap sistem kehakiman negara serta berharap bekas Ketua Hakim Negara itu terus memberi sumbangan kepada negara pada masa depan.


    Abdul Hamid, 65, yang dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada 29 September lalu, ketika dihubungi berkata beliau masih belum dimaklumkan secara rasmi mengenai pelantikan itu.

    Bagaimanapun, katanya, perkara itu bukan mengejutkan kerana Presiden Mahkamah Rayuan memang mempunyai tanggungjawab itu ketika Ketua Hakim Negara tiada atau sakit.

    "Itu memang antara bidang tugas Presiden Mahkamah Rayuan yang diperuntukkan undang-undang. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa-apa mengenai sebarang keputusan mutlak berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru. Saya rasa eloklah perkara itu ditentukan pihak berkenaan," katanya.

    Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, ketika dihubungi menganggap pelantikan Abdul Hamid sebagai wajar.

    "Pelantikan berkenaan dialu-alukan tetapi kekosongan itu masih perlu diisi secepat mungkin bagi memastikan kelancaran sistem kehakiman. Lebih wajar jika ada pengganti yang sudah bersedia mengambil alih tugas itu," katanya.

    Beliau berkata, perlantikan itu perlu dilakukan segera bagi mengelak persepsi negatif orang ramai jika jawatan itu terus dibiarkan kosong seperti isu kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya sebelum ini.

    Jawatan berkenaan kosong hampir lapan bulan selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob bersara wajib, mulai awal tahun ini sebelum diisi Datuk Alauddin Mohamed Sheriff pada 29 September lalu.

    Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pula berkata, pengganti Ahmad Fairuz sewajarnya diumumkan sebelum beliau bersara bagi mengelak sebarang spekulasi.

    "Mungkin kontroversi baru-baru ini adalah antara sebab yang menyukarkan pelantikan seorang ketua hakim baru, tetapi apa pun keputusan yang dibuat ia memang akan menjadi perhatian orang ramai kerana membabitkan institusi kehakiman.

    "Saya berharap pengganti baru akan diumumkan minggu ini bagi menamatkan sebarang persoalan," katanya.

    Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata pelantikan Abdul Hamid tepat dan wajar berdasarkan kelayakan Presiden Mahkamah Rayuan itu dan pengalamannya yang luas dalam bidang kehakiman.

    "Sebagai presiden, saya amat mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri berhubung pelantikan itu. Bagaimanapun yang paling penting, individu yang memegang jawatan terbabit dapat memartabatkan institusi badan kehakiman.

    "Harapan saya semoga masalah yang melanda badan kehakiman dapat diselesaikan dan berlaku perubahan positif dalam institusi itu bagi mengembalikan keyakinan orang ramai," katanya.

    Oleh WAN SYAMSUL AMLY dan MUZDALIFAH MUSTAPHA


    Siti Salmah Jasni.

    KUALA LUMPUR 1 Nov. – Siti Salmah Jasni, 18, yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari sejak lima tahun lalu malam ini menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru yang disumbangkan oleh seorang penderma wanita yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

    Gadis itu menjalani pembedahan selama lapan jam bermula tengah malam ini. Dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk persediaan pembedahan tersebut pada pukul 5 petang tadi sebaik sahaja tiba dari Kulai, Johor.

    Dalam sejarah IJN, inilah kali pertama jantung dan paru-paru dipindahkan secara serentak ke tubuh seorang pesakit.

    Organ jantung dan paru-paru untuk Siti Salmah dibawa ke sini dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat di Subang dekat sini pada pukul 12 malam.

    Dari Subang, organ-organ itu dikejarkan dengan ambulans ke IJN. Ketika itu Siti Salmah telah pun berada dalam dewan pembedahan untuk memulakan prosedur pemindahan jantung dan paru-paru baru itu.

    Pesawat C-130 TUDM itu membawa bersama sepasukan 19 pegawai perubatan dan jururawat.

    Antara pegawai perubatan yang terlibat dalam operasi pembedahan kali ini ialah Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib serta pakar bedah Dr. Suhaini Kadiman, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Dr. Ashaari Yunus.

    Ahli-ahli keluarga gadis itu berkumpul di IJN sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kesediaan sebuah keluarga dari Kedah mendermakan organ seorang anggota keluarga mereka yang mati otak selepas kemalangan jalan raya beberapa hari lalu.

    Siti Salmah menunggu organ yang sesuai dengan tubuhnya sejak lima tahun lalu. Kali terakhir dia menjalani rawatan rutin bulanannya di Institut Perubatan Respiratori (IPR) dan IJN ialah pada Isnin lepas.

    ‘‘Mereka (keluarga Siti Salmah) nampak gembira walaupun kelihatan sedikit tertekan menjelang pembedahan ini,” kata seorang pegawai IJN.

    Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai yang menunggu jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia dua minggu lalu. Sejak itu pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya mendapatkan organ baru sebagaimana pesakit jantung Tee Hui Yee yang selamat menjalani pembedahan pada awal bulan Oktober.

    Sebelum dibedah, Siti Salmah yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik terpaksa menggunakan tangki oksigen yang perlu ditukar setiap enam jam bagi kegunaannya ketika berjalan-jalan dan semasa tidur.

    Oleh Rozaman Ismail dan Helmi Mohd Foad


    ABDUL HAMID.

    PUTRAJAYA 1 Nov. – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad akan memangku jawatan Ketua Hakim Negara berikutan persaraan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mulai semalam.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan perkara itu berkata, Abdul Hamid memangku jawatan tersebut mulai hari ini sehingga pengisian tetap dibuat.

    “Mengenai Tun Fairuz, beliau telah bersara dan kita ucapkan terima kasih kepada beliau atas sumbangan cemerlang yang diberikan kepada sistem kehakiman negara.

    “Diharap beliau akan dapat terus memberikan apa jua sumbangan kepada negara pada masa depan,” kata beliau.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Mejar Dr. Faiz Khaleed di pejabatnya di sini, hari ini.

    Hadir sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

    Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan di sini menyebut, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Ketua Hakim Negara, kuasa itu boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.

    “Pengisian secara hakiki bagi jawatan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.

    Ahmad Fairuz yang mencapai usia 66 tahun semalam, usia persaraan wajib bagi hakim-hakim seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 17 Mac 2003

    Beliau yang dilahirkan pada 1 November 1941 memulakan tugas dalam badan kehakiman sebagai majistret pada 1 Jun 1967 di Pulau Pinang.

    Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang diikuti sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Johor dan Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian.

    Beliau turut menimba pengalaman sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah/Perlis dan Timbalan Penggubal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara.

    Pada 1 Disember 1988, Ahmad Fairuz dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman diikuti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1990.

    Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan (1 September 2000), Hakim Besar Malaya (1 September 2001), Presiden Mahkamah Rayuan (1 Disember 2002) dan Ketua Hakim Negara (17 Mac 2003).

    Oleh ROSMAWATI MION

    ALOR STAR 1 Nov. – Sekumpulan 19 pakar bedah dan jururawat dari Institut Jantung Negara (IJN) melakukan pembedahan untuk memindahkan organ seorang penderma di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini malam ini.

    Penderma tersebut yang berasal dari Alor Star merupakan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an.

    Wanita itu dipercayai meninggal dunia hari ini selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB akibat kemalangan jalan raya beberapa hari lalu.

    Pengarah HSB, Dr. Che Pah Ahmad berkata, pembedahan ke atas penderma organ itu bermula pada pukul 9 malam dan dijangka berterusan sehingga tiga jam.

    “Organ-organ yang didermakan akan dihantar malam ini juga melalui penerbangan ehsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Subang sebelum dibawa ke IJN,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Mejar Zulkiflee Abdul Latiff berkata, pesawat C-130 menerbangkan pasukan perubatan tersebut pada pukul 4 petang dari Pangkalan TUDM Subang.

    Katanya, penerbangan ihsan untuk memindahkan organ penderma itu adalah yang kedua dilakukan selepas kali pertama awal bulan lepas yang membawa jantung untuk didermakan kepada penerima jantung mekanikal, Tee Hui Yee, 14.

    Beliau berkata, pakar bedah yang terlibat dalam operasi itu ialah Pakar Perunding Jabatan Bedah Kardiothorasik IJN, Dr. Mohamad Ezani Md. Taib; Dr. Suhaini Kadiman; Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Dr. Ashaari Yunus.

    Turut terlibat, Abu Bakar Mamat, Abdul Quddus Yunus, Ahmad Jolladi Mohamad, Hayate Mohd. Tahir, Siti Noral Esniah Othmawi, Rohaiza Awang, Jaliah Kario, Santi Krishnan, Ahmad Tarmini Md. Termizi, Sukatini Nawang, Saufan Zakuan Salleh, Sivapakiam Shunmugam dan Siti Azhariah Abd. Rahim.

    Pesawat dari 20 Skuadron yang berpangkalan di TUDM Subang diterbangkan Kapten Azhar Abd. Rahman dan dibantu Kapten Azlan Ahmad Muniran, Kapten Azizol Ariffin, Leftenan Muda Tuan Azri Tuan Yusof.

    Beliau berkata, pesawat yang sama juga membawa bayi yang berusia tujuh hari, Mohammad Haziq Noorby yang disahkan mengidap penyakit jantung congenital - Infracardia Total Anomalous Pulmonary Veneus Racern.

    Bayi yang memerlukan pembedahan segera itu dibawa dari Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan ke Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur.

    ‘‘Bayi itu ditemani ibunya, Siti Rosmina Idayu Ismail dan pegawai perubatan, Dr. Nur Azuar Abdul Rahim,’’ katanya.
    Oleh Azman Zakaria dan Azis Ngah

    KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak sependapat sikap toleransi dan memahami sensitiviti antara agama dalam masyarakat majmuk mesti sentiasa diutamakan dalam menangani sebarang isu supaya perpaduan negara terus terpelihara.

    Mereka menyifatkan peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin supaya rakyat sentiasa mengawal sensitiviti agama dengan mengamalkan sikap toleransi untuk mengelak keadaan yang boleh merugikan semua pihak, sebagai tepat pada masanya.

    Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata jika isu sensitif diluahkan secara terbuka tanpa mengambil kira perasaan masyarakat dan penganut agama lain, ia boleh membawa kesan negatif yang besar kepada negara.

    "Kita perlu bijak dan tidak meluahkan perasaan secara tak tentu pasal kerana ia boleh menimbulkan masalah selepas itu. Kita mesti berhati-hati dan tidak bertindak atau mengeluarkan kata-kata sewenang-wenangnya," katanya ketika dihubungi semalam.

    Perdana Menteri ketika mengingatkan rakyat supaya mengawal sensitiviti agama dengan mengamalkan sikap toleransi, berkata langkah berbincang, bertukar fikiran dan meningkatkan pemahaman terhadap sebarang isu adalah cara paling berkesan untuk mencapai persefahaman.

    Abdullah mengakui setiap bangsa itu emosional terhadap agama masing-masing, tetapi menegaskan banyak perkara yang diketahui tidak sepatutnya disebarkan untuk mengelak salah faham.

    Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, meminta penganut Hindu supaya tidak terlalu mengikut perasaan dalam menyelesaikan isu membabitkan kuil sebaliknya mencari penyelesaian secara perbincangan melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan.

    Dalam sidang media sempena perutusan Deepavali di pejabatnya, di sini, semalam, beliau juga mengingatkan mereka supaya tidak membina kuil sesuka hati di merata tempat tanpa sebarang kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit.

    Presiden, Malaysia Hindu Sangam, Datuk A Vaithilingam, pula berkata semua pihak termasuk ahli politik, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan sehingga kepada rakyat seluruhnya mesti sentiasa mengambil berat ingatan Perdana Menteri itu.

    "Persefahaman yang wujud harus sentiasa dikekalkan... kita perlu saling memahami perkara yang boleh dan tidak boleh diterima di kalangan masyarakat yang menganut pelbagai agama seperti di negara ini," katanya yang juga Ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara, ketika dihubungi.

    Sejarawan, Profesor Datuk Dr Khoo Kay Kim, pula berkata rakyat pelbagai etnik terutama generasi muda perlu sentiasa bergaul dan berinteraksi supaya masing-masing dapat memahami sensitiviti agama sejak kecil.

    "Perkara ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi dengan bimbingan guru. Sekarang perbincangan mengenainya mungkin dianggap sesetengah pihak sebagai tidak boleh disentuh sedangkan ia tidak seharusnya begitu," katanya.

    Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff pula berkata, kestabilan negara yang wujud sejak merdeka terbina atas dasar saling menghormati antara agama dan budaya.
    KERAJAAN negeri disyor mengguna pakai undang-undang faraid dalam pembahagian harta pusaka dan mengambil langkah memupuk kesedaran umat Islam mengenai kepentingan waris membuat tuntutan itu.

    Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah, berkata Kerajaan Persekutuan belum ada penyelarasan mengenai undang-undang Faraid kerana isu berkaitan agama dalam bidang kuasa negeri.

    "Kerajaan sudah melipatgandakan usaha menyedarkan waris pemilik harta pusaka supaya jangan melengahkan tuntutan kerana harta pusaka bernilai lebih RM40 bilion belum dituntut setakat ini, termasuk RM38 bilion aset milik masyarakat Melayu.

    "Bagi meningkatkan kesedaran umum, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian mengadakan seminar dan Dialog Harta Pusaka supaya orang ramai mengambil inisiatif menyegerakan permohonan harta pusaka sebaik berlaku kematian pemilik harta.

    "Menerusi usaha itu, waris diberi penjelasan mengenai potensi tanah pusaka yang mempunyai nilai komersial untuk dimajukan bagi manfaat anggota keluarga," katanya menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang).

    Sepanjang tahun ini, enam seminar dan dialog dirancang termasuk empat yang sudah dilaksana selain 103 program turun padang Sehari Bersama Waris pada peringkat daerah, khususnya dengan kerjasama penghulu dan pemimpin masyarakat setempat.

    Tahun lalu, 31,377 kes tuntutan harta pusaka difailkan dan setakat 31 Ogos lalu, 28,125 kes didaftarkan, manakala tahun depan, tuntutan harta pusaka dijangka meningkat sehingga 42,187 kes.

    Sazmi berkata, kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang mewajibkan waris membuat wasiat kerana tidak praktikal untuk mendakwa mereka.