Kebakaran hutan di California catat perpindahan terbesar dalam sejarah Amerika

SAN DIEGO: Kebakaran hutan yang menakutkan di selatan California mengancam hampir 70,000 rumah dan memaksa sehingga setengah juta penduduk meninggalkan rumah masing-masing dalam perpindahan besar-besaran di negeri itu sejak kelmarin.

Kebakaran terburuk California dalam tempoh empat tahun itu semakin teruk kerana angin panas Santa Ana yang bertiup sejak tiga hari lalu sehingga menjejaskan kawasan San Diego di selatan dan mengancam penduduk di kawasan pergunungan di utara.

Kira-kira 1,500 rumah dan struktur lain musnah dalam kebakaran berkenaan dan sehingga petang Selasa lalu kira-kira 500,000 penduduk dipindahkan yang disifatkan perpindahan terbesar di Amerika Syarikat selepas kejadian taufan Katrina yang melanda kawasan Gulf Coast pada 2005.


"Saya bimbangkan bayi saya, rumah, anak-anak dan semuanya," kata Ama Ramirez, 30 yang berlindung di Stadium Qualcomm, San Diego bersama anak perempuannya.

Kebanyakan rumah musnah adalah di kawasan San Diego kerana kebakaran hutan besar berlaku empat kali dan menyebabkan seorang terbunuh.

Empat lagi kematian dilaporkan di kalangan mereka yang berpindah dan berpuluh yang lain cedera termasuk 18 ahli bomba.

Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang setinggi lebih 30 meter ketika cuba menyelamatkan beberapa rumah berhampiran kebakaran terbabit.

Gabenor Arnold Schwarzenegger meminta Presiden George W. Bush meningkatkan status kawasan kebakaran di California itu kepada bencana terbesar yang membolehkan penduduk menerima bantuan persekutuan.

Bush awal Selasa lalu mengeluarkan perintah darurat tetapi Schwarzenegger memaklumkan beliau dalam surat terbaru bahawa bencana berkenaan adalah luar biasa dan tindak balas berkesan adalah di luar kemampuan kerajaan tempatan dan negeri.

Schwarzenegger berkata, sejumlah 68,000 rumah termasuk kabin dan vila mewah diancam bahaya dan 10,000 pekerja lelaki dan wanita cuba memadamkan api itu.

Lebih 120,000 hektar kawasan terbakar dan kerajaan negeri meletakkan kerugian berjumlah beratus juta dolar.

"Kita berhadapan dengan tiga perkara serentak iaitu kawasan paling kering, cuaca paling panas dan angin kencang. Ini membantu kebakaran itu merebak," kata Schwarzenegger di Lake Arrowhead di mana kebakaran mengancam penduduk di kawasan pergunungan berhampiran.

Bush dijangka melawat kawasan kebakaran terbabit hari ini. � Reuters

Rentetan pelancaran roket Long March 3A yang membawa pengorbit bulan Chang’e 1 selepas berlepas dari pusat pelancaran satelit Xichang di wilayah Sichuan, semalam. – Reuters.

BEIJING 24 Okt. – China berjaya melancarkan pesawat pengorbit bulannya yang pertama hari ini sebagai langkah penting dalam rancangannya untuk menempatkan angkasawan di bulan menjelang 2020.

Misi itu juga merupakan langkah pertama dalam rancangan 10 tahun untuk menghantar pesawat peninjau ke bulan dan mengembalikannya ke Bumi.

Televisyen kerajaan menunjukkan roket Long March 3A yang membawa pesawat pengorbit Chang’e 1 itu dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Xichang di wilayah Sichuan, barat daya negara ini sejurus selepas 6.00 petang (waktu sama di Malaysia).

Pegawai Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China sebelum itu mengesahkan keadaan cuaca baik untuk membolehkan pelancaran diteruskan.

Chang’e 1 akan mengorbit Bumi sementara pelarasan teknikal dilakukan dan akan memasuki orbit bulan pada 5 November.

Matlamat misi itu adalah untuk menganalisis komposisi kimia dan mineral di permukaan bulan.

Pesawat tersebut akan menggunakan kamera stereo dan spektrometer X-ray untuk menghasilkan imej tiga dimensi permukaan bulan dan untuk mengkaji debu bulan.

– AP

BRUSSELS, Belgium 24 Okt. – Hampir separuh penduduk dunia mahukan kuasa Amerika Syarikat (AS) dibataskan manakala Kesatuan Eropah (EU) berperanan lebih besar di pentas dunia.

Menurut Tinjauan Suara Rakyat 2007 yang dikeluarkan Gallup International bersama Majlis Hubungan Luar Eropah (ECFR) hari ini, lebih ramai penduduk dunia mahukan pengaruh kuasa global yang lebih saksama.

Bosnia Herzegovina yang pernah dibantu AS ketika Perang Balkan merupakan yang paling kuat membantah penguasaan global AS dengan 80 peratus rakyatnya mahukan kuasa AS dibataskan.

Pandangan serupa turut disokong 74 peratus penduduk Luxembourg, Greece (73 peratus), Serbia (72 peratus) dan 71 peratus rakyat Finland dengan keseluruhan kira-kira 40 peratus penduduk dunia menyokong sekatan ke atas pengaruh global AS.

Berdasarkan temuramah dengan 57,000 penduduk di 52 negara seluruh dunia antara bulan Jun dan Ogos tahun ini, tinjauan itu menunjukkan satu pertiga penduduk dunia berpendapat Iran, Rusia dan China juga telah diberikan gambaran umum yang buruk oleh sesetengah pihak tetapi mereka percaya dunia akan lebih aman jika kuasa ketiga-tiga negara itu turut dikurangkan.

Pengarah Eksekutif ECFR, Mark Leonard pula membuat kesimpulan bahawa sokongan terhadap negara-negara yang tidak dikaitkan dengan kuasa ketenteraan seperti Afrika Selatan, Brazil dan India juga semakin meningkat kini.

– AP

SYDNEY 24 Okt. – Kempen seorang calon pembangkang untuk mengambil alih jawatan seorang menteri kerajaan dalam pilihan raya 24 November ini tergendala akibat dicabar oleh bekas teman wanitanya sendiri.

Calon Parti Buruh itu, George Newhouse yang mempunyai peluang besar mengambil alih jawatan milik Menteri Persekitaran Malcolm Turnbull, kini dicabar pula bekas teman wanitanya Danielle Ecuyer yang mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Wentworth di Sydney.

Kempen Newhouse yang hanya ketinggalan 2.5 peratus di belakang Turnbull sebelum ini musnah apabila sebahagian penyokongnya beralih kepada bekas teman wanitanya itu yang memperjuangkan isu persekitaran di Australia.

Ecuyer bagaimanapun menafikan tindakannya bertanding di dalam pilihan raya itu adalah sebagai balasan terhadap Newhouse selepas hubungan mereka berakhir bulan lalu.

“Tiada dendam antara kami dan tindakan ini tidak berkaitan dengan George.

“Kegagalan perhubungan kami bermakna saya kini bebas untuk mengambil langkah penting yang saya fikir diabaikan oleh parti politik utama di negara ini,” katanya kepada akhbar Daily Telegraph.

Ecuyer juga menjelaskan dia telah menangguhkan cita-citanya di dalam bidang politik ketika masih bersama Newhouse tetapi enggan mendedahkan punca mereka berpisah.

– AFP

LONDON 24 Okt. – Sebuah naskhah al-Quran yang ditulis pada abad ke-13 dijual dengan harga tertinggi dalam sejarah, 1.14 juta pound sterling (RM7.89 juta) oleh gedung lelong Christie’s di sini semalam.

Kitab suci itu yang sebelum itu dijangka mencatatkan harga antara 250,000 hingga 300,000 pound (RM1.73 juta hingga RM2.08 juta) dijual sebagai sebahagian lelong hasil kesenian dari dunia Islam dan India.

Lelong semalam menghasilkan jualan berjumlah 5.9 juta pound (RM40.83 juta).

Naskhah berkenaan ditandatangani oleh Yahya bin Muhammad ibn Umar, bertarikh 17 Ramadan 599 (Jun 1203) dan ditulis sepenuhnya dengan dakwat emas berserta catatan tepi berdakwat perak.

Ia merupakan naskhah al-Quran lengkap, bertarikh dan bertulisan emas yang diketahui paling lama di dunia dan memecahkan rekod harga tertinggi bagi sebuah kitab suci al-Quran dan bagi mana-mana manuskrip Islam yang dijual semasa lelong.

Turut dijual semalam ialah sebuah naskhah al-Quran abad ke-10 yang hampir lengkap dalam tulisan Kufi.

Naskhah yang dipercayai berasal dari Afrika Utara atau Asia Barat itu dijual dengan harga 916,500 pound (RM3.12 juta) berbanding anggaran awal 600,000 pound (RMRM2.04 juta).

“Hasil jualan luar biasa hari ini adalah antara yang tertinggi bagi hasil Kesenian Islam di Christie’s, sekali gus mencerminkan betapa tingginya permintaan dan harga tawaran untuk seluruh hasil Kesenian Islam klasik,” kata Pengarah Kesenian Islam dan Permaidani merangkap Ketua Jualan Christie’s, William Robinson.

– AFP

KARACHI 24 Okt. – Agensi keselamatan Pakistan yang menyiasat serangan berani mati ke atas perarakan menyambut kepulangan Benazir Bhutto telah menahan sekurang-kurangnya 15 orang untuk disoal siasat.

Sebahagian mereka merupakan mangsa yang turut cedera dalam serangan berani mati minggu lalu dan ditangkap dari beberapa hospital.

Bagaimanapun, seorang penyiasat polis memberitahu, tidak ada tahanan terbabit yang dianggap suspek.

Seorang penyiasat yang enggan dikenali berkata, antara 15 hingga 16 orang telah ditahan, tetapi tidak mahu mendedahkan maklumat hasil soal siasat atau maklumat tahanan terbabit.

Pihak berkuasa menyatakan, serangan itu mungkin dilakukan oleh dua penyerang berani mati dan sudah mengeluarkan gambar kepala seorang penyerang terbabit yang masih tidak dikenali.

Sementara itu tahap keselamatan di Karachi masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas Benazir semalam mendedahkan telah menerima sepucuk surat ugutan mati.

– AP



TANYA KHABAR: Pemimpin Jamiat Ulma-e-Islam (JUI) berbincang dengan Benazir mengenai serangan bunuh diri yang mengorbankan 146 orang penyokong bekas pemimpin itu minggu lalu.

Presiden enggan pecat pegawai disyaki terbabit cubaan bunuh

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, menimbang semula perjanjian perkongsian kuasa kontroversi dengan Presiden Pervez Musharraf berikutan kerajaan menolak permintaannya untuk memecat pegawai tinggi didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan membunuhnya, minggu lalu.

"Benazir tidak begitu optimis mengenai perkara itu kerana berasa dia diperangkap," kata pembantu kanan bekas Perdana Menteri itu.

Sumber, yang terbabit dalam keseluruhan proses dialog, berkata keengganan memenuhi desakan Benazir, terutama menyingkirkan tiga pegawai atasan kerajaan, menyebabkan dia memikirkan semula perjanjian itu.


Benazir menyalahkan ketua biro perisikan negara itu, Brigadier Ejaz Shah, di atas serangan bom terhadap perarakan menyambung kepulangannya pada 18 Oktober lalu, yang mengorbankan 146 orang dan mencederakan lebih 500 lagi.

Dia mendesak pemecatan Ejaz Shah bersama-sama dua lagi pegawai kerajaan termasuk Ketua Menteri Punjab, Chaudry Perwaiz Elahi, pembantu rapat Musharraf, dan saudara lelaki presiden dari Liga Muslim Pakistan (PML), Chaudry Shujaat Hussein.

Agensi perisikan mengumumkan tiga �suspek� yang dinamakan Benazir itu tidak bersalah dalam sebarang salah laku dan menolak pembabitan mereka dalam serangan pengganas. Musharraf turut enggan memecat Ejaz Shah.


Benazir menegaskan bahawa lampu jalan di sepanjang laluan perarakan itu dipadamkan sebaik keadaan mula gelap.

"Saya yakin ia perbuatan disengajakan. Ia menunjukkan kepada saya bahawa pihak tertentu dalam kerajaan mahu membunuh saya," kata Benazir dalam sidang akhbar di kediamannya di Karachi.

Dia berkata, pihak berkuasa 'menyembunyikan sesuatu' selepas menolak desakannya mendapatkan pakar antarabangsa untuk membantu dalam proses siasatan.

Sumber juga berkata, Benazir amat kecewa dan gementar selepas cubaan membunuh.

"Dia sudah memaklumkan penjamin mengenai keadaan keseluruhan," katanya merujuk kepada pentadbiran Presiden George W Bush, yang memainkan peranan penting dalam mencadangkan perjanjian perkongsian kuasa antara dua musuh politik itu.

"Dengan menamakan Elahi sebagai tertuduh, Benazir memberikan isyarat jelas kepada Musharraf yang dia perlu memilihnya atau PML," kata sumber.

Di Karachi, pegawai kanan yang mengetuai siasatan ke atas cubaan membunuh Benazir, menarik diri daripada kes itu selepas bekas Perdana Menteri itu membantah pembabitannya.

Benazir menuduh ketua penyiasat, Manzur Mughal, terbabit menyeksa suaminya yang ditahan polis pada 1999 ketika era pemerintahan Nawaz Sharif.

"Pegawai itu meminta dibenarkan bercuti dan pegawai baru akan dilantik bagi mengetuai siasatan," kata Setiausaha Dalam Negeri Sindh, Ghulam Muhammad Mohtarram yang mengakui Manzur berbuat demikian kerana bantahan Benazir. � Agensi

ANKARA 24 Okt. – Turki telah mula menyerang kedudukan para pemberontak Kurdis di selatan Iraq sambil meningkatkan bilangan tenteranya di sempadan. Beberapa pesawat perang dan tentera darat Turki, telah menyerang kedudukan pemberontak berkenaan sejak Ahad lalu hingga malam tadi.

Menurut sumber tentera, dalam kejadian sebelum ini jet pejuang terbang sejauh 20 kilometer ke dalam wilayah Iraq, sementara kira-kira 300 askar darat mara kira-kira 10 kilometer dalam serangan yang membunuh 34 gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Unit artileri tentera turut membedil kedudukan pemberontak, katanya.

Sumber menyifatkan serangan itu merupakan operasi kecil ke seberang sempadan bergunung-ganang itu, dan bukan operasi besar-besaran yang ingin dielakkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan Iraq.

Sementara itu, jurucakap AS meminta kedua-dua pihak yang terbabit tidak bertindak lebih jauh kerana bimbang ia akan mewujudkan ketidakstabilan di wilayah Kurdish, Iraq.

“Serangan lanjut ke utara Iraq boleh dijangka,” kata seorang pegawai tentera ketika pihak kerajaan turut membincangkan untuk mengadakan serangan besar-besaran melepasi sempadan, tinadakan yang cuba dihalang oleh sekutu barat negara itu.

Serangan tentera dilancarkan selepas 12 askar Turki terbunuh dan lapan lagi hilang dalam serangan hendap oleh gerila PKK dekat sempadan Iraq pada Ahad lalu.

Turki yang memindahkan askar ke kawasan sempadan memberi amaran kepada Iraq dan sekutu-sekutunya di Barat semalam bahawa serangan ke utara Iraq boleh berlaku pada bila-bila masa kecuali kerajaan di Baghdad bertindak ke atas pemberontak tersebut.

Ankara juga menegaskan gencatan senjata tidak mungkin diadakan dengan gerila PKK.

Pemimpin Turki menghadapi tekanan hebat daripada rakyat supaya melancarkan serangan ke utara Iraq di mana gerila PKK mendirikan kem-kem untuk berehat, berlatih dan mendapat bekalan dalam situasi yang lebih selamat sebelum masuk semula ke Turki untuk melancarkan serangan.

Iraq bercadang untuk menghantar satu delegasi peringkat tinggi ke Turki dalam masa beberapa hari bagi membincangkan masalah itu.

Menteri Luar, Ali Babacan yang pulang dari Baghdad malam tadi berkata: “Kami telah menyatakan kami menghendaki mereka mengemukakan cadangan konkrit, kalau tidak lawatan saya tidak bererti apa-apa.”

Washington membuat tuntutan paling tegas setakat ini supaya tindakan diambil ke atas pemberontak oleh pemimpin Kurdis Iraq yang memiliki autonomi ke atas wilayah di utara negara itu.

“Kami bukan menagih janji sahaja.

“Kami menyatakan apa yang diperlukan ialah PKK dihalang menggunakan wilayah Iraq, bantuan lojistik dan semua aktiviti PKK di Iraq dihentikan dan semua kemnya ditutup,” kata Ali.

Beliau menambah, Ankara juga mahu para pemimpin PKK ditangkap dan diekstradisi ke Turki.

– AP

ANKARA: Pemimpin tentera dan awam Turki mengadakan mesyuarat semalam bagi membincangkan mengenai skop dan tempoh kemungkinan serangan melepasi sempadan ke atas pemberontak Kurdis di Iraq ketika sokongan rakyat semakin kuat terhadap tindakan itu.

Turki, yang sudah menggerakkan tentera ke sempadan Iraq, memberi amaran kepada negara jirannya itu dan sekutu Barat kelmarin bahawa serangan tidak dapat dielakkan kecuali kerajaan di Baghdad mengambil tindakan, dan menegaskan Ankara tidak akan mengadakan gencatan senjata dengan pemisah.

Pemimpin Turki berdepan desakan memuncak di negara mereka untuk melancarkan serangan di utara Iraq, lokasi pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) berlindung, berlatih dan mendapat bekalan sebelum kembali ke Turki untuk melancarkan serangan ke atas sasaran awam.


Iraq bercadang menghantar delegasi pegawai tinggi ke Turki dalam masa beberapa hari untuk membincangkan masalah itu.

Menteri Luar Turki, Ali Babacan, yang kembali dari Baghdad lewat kelmarin, berkata: "Kami menegaskan mahu mereka memberi cadangan konkrit dan jika sebaliknya lawatan itu tidak bermakna."

Amerika Syarikat mengeluarkan tuntutan secara langsung supaya penduduk Kurdis Iraq yang memegang kuasa autonomi di wilayah itu melancarkan tindakan antipemberontakan.

Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, mengarahkan penutupan semua pejabat PKK di Iraq dan berkata mereka tidak dibenarkan beroperasi di wilayah Iraq. � AP

WASHINGTON: Presiden George W Bush kelmarin berkata pelan mewujudkan sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah yang diketuai Amerika Syarikat amat diperlukan untuk menangani ancaman serangan daripada Iran.

"Jika Iran memilih untuk melancarkan serangan dan masyarakat antarabangsa tidak mengambil langkah menghalangnya, berkemungkinan Iran mempunyai kemampuan itu. Dan kita perlu mengambil serius perkara ini - sekarang," katanya.

Amaran terbaru Bush mengenai cita-cita nuklear Teheran disuarakan dalam mempertahankan dasar keselamatannya di Universiti Pertahanan Kebangsaan dan muncul tidak lama selepas Setiausaha Pertahanan, Robert Gates, memberitahu sidang akhbar di Republik Czech bahawa Washington mungkin menangguhkan proses mengaktifkan kawasan pertahanan peluru berpandu sehingga memperoleh 'bukti kukuh' mengenai ancaman peluru berpandu Iran.


Dalam ucapannya, Bush berkata anggaran perisikan menunjukkan Iran mempunyai kemampuan menyerang Amerika dan banyak sekutu Eropahnya menjelang 2015.

Amaran mengenai Iran itu jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, ketika melawat Tokyo baru-baru ini.

Katanya, inisiatif pertahanan peluru berpandu diketuai Amerika di Eropah dan Asia berasaskan penilaian salah mengenai ancaman dari Iran.

"Korea Utara yang memberikan ancaman, bukan Iran," Lavrov dipetik sebagai memberitahu Menteri Luar Jepun, Masahiko Komura.

Bush cuba mendapatkan perhatian Russia dan mengheret Moscow ke dalam rancangannya, dengan membayangkan sistem yang dirancang itu sebagai 'usaha kerjasama' menentang 'ancaman yang memberi kesan kepada semua.'

Dia memberikan pandangan positif kepada tawaran Presiden Russia, Vladimir Putih, menempatkan cadangan itu di Azerbaijan dan selatan Russia.� AP

Gambari diundang sekali lagi pada minggu pertama November

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Pemerintah Myanmar yang akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa semalam bersetuju mempercepatkan lawatan semula wakil PBB, Ibrahim Gambari kepada awal November.

Langkah itu dibuat sehari selepas junta tentera menerima lawatan pertama dalam tempoh empat tahun oleh pegawai hak asasi tertinggi PBB.


Gambari yang baru-baru ini dalam lawatan ke enam negara Asia dijangka melawat Myanmar dalam minggu pertama November berikutan kerajaan Myanmar bersetuju mempercepatkan undangan ke negara itu, kata jurucakap PBB, Michele Montas.

Minggu lalu, Gambari berkata bahawa beliau diundang untuk kembali ke Myanmar pada minggu ketiga November. Namun, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya menjelaskan mereka mahukan wakil PBB itu kembali semula ke Myanmar secepat mungkin.

Majlis Keselamatan PBB awal bulan ini mengutuk tindakan junta dan menggesa pembebasan awal banduan politik dan tahanan lain bagi memberi laluan kepada perdamaian kebangsaan dan perubahan kepada demokrasi.

Perancis dan Amerika kemudian memberi amaran kepada rejim tentera sekiranya mereka gagal mematuhi arahan majlis mereka akan dikenakan hukuman.

Jumaat lalu, Amerika mengetatkan sekatan terhadap pemerintah junta Myanmar dan menggesa China serta India mengenakan tekanan terhadap junta.

Menteri luar Kesatuan Eropah awal bulan ini meluluskan sekatan baru terhadap rejim Myanmar termasuk sekatan terhadap eksport kayu, batu permata dan besi, tetapi tidak membabitkan minyak.

Bagaimanapun, kesan sekatan Barat dilemahkan oleh China, India dan Thailand yang menggunakan sumber kekayaan Myanmar untuk pertumbuhan ekonomi mereka.

Seorang pegawai kanan Amerika Selasa lalu juga menggesa China dan India mengenakan sekatan jualan senjata atau tenaga kepada rejim tentera Myanmar berikutan masalah politik negara itu.

"Kini tiba masanya bagi Beijing dan New Delhi untuk mengetepikan rundingan tenaga yang meletakkan wang dalam saku junta dan menangguhkan jualan senjata kepada rejim," kata Timbalan Setiausaha Negara Amerika, John Negroponte dalam satu ucapan di Washington. � AFP

Gambari diundang sekali lagi pada minggu pertama November

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Pemerintah Myanmar yang akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa semalam bersetuju mempercepatkan lawatan semula wakil PBB, Ibrahim Gambari kepada awal November.

Langkah itu dibuat sehari selepas junta tentera menerima lawatan pertama dalam tempoh empat tahun oleh pegawai hak asasi tertinggi PBB.


Gambari yang baru-baru ini dalam lawatan ke enam negara Asia dijangka melawat Myanmar dalam minggu pertama November berikutan kerajaan Myanmar bersetuju mempercepatkan undangan ke negara itu, kata jurucakap PBB, Michele Montas.

Minggu lalu, Gambari berkata bahawa beliau diundang untuk kembali ke Myanmar pada minggu ketiga November. Namun, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya menjelaskan mereka mahukan wakil PBB itu kembali semula ke Myanmar secepat mungkin.

Majlis Keselamatan PBB awal bulan ini mengutuk tindakan junta dan menggesa pembebasan awal banduan politik dan tahanan lain bagi memberi laluan kepada perdamaian kebangsaan dan perubahan kepada demokrasi.


Perancis dan Amerika kemudian memberi amaran kepada rejim tentera sekiranya mereka gagal mematuhi arahan majlis mereka akan dikenakan hukuman.

Jumaat lalu, Amerika mengetatkan sekatan terhadap pemerintah junta Myanmar dan menggesa China serta India mengenakan tekanan terhadap junta.

Menteri luar Kesatuan Eropah awal bulan ini meluluskan sekatan baru terhadap rejim Myanmar termasuk sekatan terhadap eksport kayu, batu permata dan besi, tetapi tidak membabitkan minyak.

Bagaimanapun, kesan sekatan Barat dilemahkan oleh China, India dan Thailand yang menggunakan sumber kekayaan Myanmar untuk pertumbuhan ekonomi mereka.

Seorang pegawai kanan Amerika Selasa lalu juga menggesa China dan India mengenakan sekatan jualan senjata atau tenaga kepada rejim tentera Myanmar berikutan masalah politik negara itu.

"Kini tiba masanya bagi Beijing dan New Delhi untuk mengetepikan rundingan tenaga yang meletakkan wang dalam saku junta dan menangguhkan jualan senjata kepada rejim," kata Timbalan Setiausaha Negara Amerika, John Negroponte dalam satu ucapan di Washington. � AFP

MUMBAI: Aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan, berkata namanya yang jelas menunjukkan dia beragama Islam menyebabkan dia diperiksa lebih ketat apabila pergi ke negara luar terutama di lapangan terbang Heathrow di London, lapor akhbar, semalam.

Shah Rukh memberitahu akhbar DNA beribu pejabat di Mumbai bahawa pada masa lalu, namanya cukup dikenali di luar negara dan bagasi yang dibawanya dan krew filem mudah melepasi pemeriksaan.

Bagaimanapun, selain melalui pemeriksaan lebih ketat, Shah Rukh mendapati pembantunya yang beragama Hindu dapat melepasi pemeriksaan beg lebih cepat berbanding dia sendiri, menurut akhbar.


"Hari ini, saya yang akan ditahan untuk pemeriksaan, jadi dia yang membawa beg saya. Di peringkat antarabangsa, jika anda memiliki nama keluarga Muslim, anda akan dianggap pengganas," pelakon itu dipetik sebagai berkata.

Shah Rukh bakal membintangi filem terbaru arahan Karan Johar bertajuk My name is Khan - mengenai bagaimana umat Islam dicurigai selepas serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Pelakon itu sudah membintangi lebih 50 filem. Terbaru, Shah Rukh berlakon sebagai jurulatih pasukan hoki wanita India dalam filem yang mencatat kutipan pecah panggung, Chak De India. �AP

ZURICH, Switzerland – Malaysia kini menghuni tangga ke-166 dunia mengikut senarai kedudukan terkini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sini, semalam.

Kedudukan itu bermakna Malaysia turun tujuh anak tangga berbanding ke-159 sebelum ini.

Sementara itu, Thailand berada pada kedudukan 114 manakala Indonesia di tangga ke-125.

Dalam pada itu, Argentina kembali menguasai kedudukan nombor satu manakala Itali turun dua tangga tempat ketiga di belakang Brazil.

Argentina melonjak ke tangga teratas selepas mengatasi Chile dan Venezuela dalam kelayakan Piala Dunia 2010 manakala Brazil yang menang 5-0 ke atas Ecuador naik satu anak tangga.

Sementara itu, Sepanyol, Belanda, Portugal, Republik Czech dan Croatia tersenarai dalam kelompok 10 teratas manakala England turun dua untuk menghuni tangga ke-11 selepas tewas 1-2 kepada Rusia dalam kelayakan Euro 2008.

Rusia melakar langkah panjang apabila naik 10 anak tangga untuk kedudukan ke-16. – Agensi

Omar Abdul Aziz
Wed | Oct 24, 07 | 7:55:01 am MYT

Sudah 50 tahun kita merdeka. Andai kata satu peratus kegiatan ekonomi dapat diusahakan orang Melayu, dengan penambahan satu peratus setiap tahun, maka pada tahun ini, 50 peratus lanskap niaga negara adalah pada orang Melayu.

Tetapi tidak, sepanjang-panjang rumah kedai di seluruh negara menyaksikan kegiatan ekonomi bukan Melayu. Tidakkah itu satu kegagalan?

Anak Melayu terpaksa berebut-rebut hendak bekerja dengan perkhidmatan awam kerana sektor swasta begitu sempit bagi mereka. Pendidikan tinggi yang diperoleh dengan susah payah oleh anak Melayu dilihat tidak kompetitif serta tidak dapat menampung keperluan swasta. Tidakkah itu satu kegagalan?

Bukan saja kerajaan terpaksa mengorbankan bahasa Melayu daripada digunakan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik tetapi diperkenalkan pula universiti Apex, yang terbuka untuk dunia, dan pastinya tidak akan menjadi tumpuan pelajar Melayu.

Sedangkan pembentukan Malaysia digerakkan atas agenda Melayu. Semangat kemerdekaan yang diperjuangkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) adalah untuk membela kehidupan orang Melayu. Begitu juga apabila Dato Onn menggerakkan usaha menentang Malayan Union dan menubuhkan Umno atas slogan Hidup Melayu.

Islam hanya dikenali sebagai sistem perbankan

Di samping disebut kejayaan usaha membela orang Melayu melalui Felda dan Mara, dalam 50 tahun merdeka, banyak juga kegagalan. Bank Bumiputera sudah tidak ada. Kini muncul CIMB, yang dijenakakan dengan nama Cina, India, Melayu Bank.

Dahulu, daripada Bank Bumiputra, muncul Bank Islam. Malah logonya disesuaikan daripada simbol Bank Bumiputera. Kalau logo Bank Bumiputera merupakan simbol Melayu, maka logo Bank Islam menjadi simbol yang dipadankan daripada lambang Bank Bumiputera tetapi bercorak Islam. Baru-baru Bank Islam mengubah imejnya, hilanglah logo yang pernah disesuaikan dengan Bank Bumiputera.

Hakikatnya Bank Islam sudah jauh ketinggalan. Sebaik Bank Bumiputera hilang, ibu pejabatnya yang merupakan mercu tanda seni bina Melayu menjadi bangunan Bank Muamalat, sebuah lagi bank Islam. Tetapi kedua-dua bank Islam ini dilihat kecil dengan bank-bank lain yang turut memperkenalkan produk perbankan Islam.

Kini kehadiran bank-bank Asia Barat memeriahkan lagi sektor perbankan Islam di negara yang muncul untuk hab. Akhirnya Islam dikenali bukan sebagai agama tetapi sebagai suatu sistem perbankan.

Dalam zaman globalisasi dan liberalisasi, pelaburan asing ditarik untuk masuk ke dalam negara khususnya dari negara Arab. Ia akan menyumbang kepada peningkatan kedudukan ekonomi orang Islam, tetapi ia tidak semestinya dapat dimanfaatkan orang Melayu.

Tidakkah lebih wajar semua kegiatan ekonomi bersifat melangkaui kaum dan agama? Maknanya, nama bank tidak wajar dikaitkan dengan nama kaum. Justeru, tidak harus bukan saja ada Bank Bumiputra, tetapi bank-bank yang didirikan dengan nama kaum turut tidak patut ada, begitu juga atas nama agama. Bila merosot ia tidak patut dikaitkan dengan nama Islam.

Kelahiran Bank Islam (BIMB) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah antara agenda Islam pada awal 80-an sebagai sebahagian tuntutan kebangkitan Islam sedunia.

Kini hakikat ini sering diketepikan kerana pihak berkuasa enggan mengaitkannya dengan Anwar Ibrahim. Sering dikatakan sejak awal merdeka Malaysia atau Malaya mempunyai agenda Islam dalam bidang ekonomi.

Sejarah membuktikan agenda Islam tidak digerakkan Umno

Dikatakan bahawa asas ekonomi Islam di negara ini adalah Tabung Haji. Maka ia berkembang menjadi Bank Islam dan hari ini, dikaitkan pula dengan usaha menjadikan Malaysia hab kewangan Islam.

Mahu rakyat melupakan Anwar Ibrahim dan seringkali menegaskan Bank Islam dan UIA adalah hasil usaha Dr Mahathir atas evolusi perkembangan Islam sebagai sebahagian perjuangan Umno.

Sejarah menunjukkan, walaupun terdapat agenda Islam dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, ia bukan dilakukan Umno. Agenda Islam dilakukan gerakan Kaum Muda, termasuk Syed Sheikh Al-Hadi dan majalah Al-Imam. Kalau perjuangan nasionalis dikenali melalui Utusan Melayu, perjuangan agenda Islam dilakukan Al-Imam.

Dari segi organisasi, agenda Islam diperjuangkan Hizbul Muslimin, Abu Bakar Baqir, Majlis Tertinggi Agama (Mata) dan tokohnya ialah Dr Burhanuddin Al-Helmi. Ia kemudian dilahirkan melalui sayap ulama Umno yang menjadi PAS.

Bukanlah Umno tidak berusaha untuk agenda Islam tetapi ia dibuat dalam konteks agenda Melayu, kerana orang Melayu itu beragama Islam. Justeru penubuhan Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan gagasan Islam Hadhari mesti dilihat daripada konteks ini.

Agenda Melayu dan Islam seringkali berbaur, maka dapat dilihat betapa PAS memperjuangkan agenda Melayu semasa kepimpinan Dato' Asri Muda.

Bagaimanapun, Tabung Haji yang disebut institusi pertama kewangan Islam di Malaysia adalah sebahagian agenda sosialis Melayu. Ia dicadangkan Ungku Aziz untuk menyelamatkan tanah orang Melayu yang miskin daripada tergadai kerana mahu menunaikan haji.

Perlu diingat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di kalangan orang Melayu, tiga agenda ini saling berkait, membantu antara satu sama lain dan ada ketikanya bertembung. Agenda Melayu, agenda Islam dan agenda sosialis merupakan sebahagian perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

Utusan Melayu memperjuangkan agenda sosialis

Dari segi akhbar, Utusan Melayu yang menjunjung agenda Melayu turut memperjuangkan agenda sosialis kerana ramai wartawan berfahaman sedemikian pada awal perjuangan. Dari segi organisasi, agenda sosialis diwakili PKMM dan kemudiannya Parti Rakyat Malaya (PRM).

Bagaimanapun dalam era kebangkitan Islam, dengan sendirinya agenda Islam lebih menyerlah dan popular, tokoh utamanya ialah Anwar Ibrahim. Diikuti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang. ABIM menjadi organisasi pertama memperjuangkan agenda Islam pada zaman awal kebangkitan itu, dituruti PAS, IRC dan lain-lain jemaah pada zaman itu.

Tetapi Umno juga terpengaruh dengan agenda Islam era kebangkitan Islam. Maka Islamisasi Malaysia yang menghasilkan Bank Islam dan UIA merupakan hasil kerjasama Mahathir-Anwar.

Hakikatnya ekonomi bukan segalanya. Tetapi ekonomi yang betul-betul mantap pula bergantung ketangkasan pemikiran. Iaitu bukan semata-mata pendidikan formal tetapi keupayaan mental yang mesti berteraskan kemerdekaan berfikir.

Dari awal lagi sebelum merdeka, dapat difahami, pejuang kemerdekaan baik dari kalangan KMM, PKMM atau Umno kemudiannya faham bahawa soal ekonomi dan pendidikan menjadi asas. Untuk ekonomi ia harus berasaskan pendidikan. Golongan profesional mesti dilahirkan bagi meningkatkan kedudukan ekonomi. Pendidikan juga satu pelaburan yang kelak akan menjadi teras ekonomi.

Terdapat salah faham mengenai ekonomi. Difikirkan ekonomi hanya dalam bentuk pemilikan saham dan kegiatan korporat. Sedangkan ia harus meliputi semua spektrum kegiatan ekonomi, daripada industri kecil dan sederhana (IKS) mahupun peniaga kecil.

Bukannya pemimpin Umno tidak faham perkara ini. Mereka menggunakan Mara untuk melahirkan usahawan Bumiputera di seluruh negara. Selepas 50 tahun, kejayaannya dianggap kecil. Sebenarnya apa yang menjadi masalah ialah mental orang Melayu.

Akta universiti kongkong kemerdekaan berfikir

Perkara ini turut disedari Umno. Sebab itu ada Revolusi Mental. Tetapi kejayaan tidak diraih. Dr Mahathir Mohamad sedar, dan beliau selalu menekankan masalah minda Melayu. Mulanya beliau mahu menekankan tentang perniagaan kecil tetapi kemudian percaya melalui usaha korporat besar akan mempercepatkan keperkasaan ekonomi Melayu.

Namun akhirnya beliau kecewa kerana kegagalan ini. Teknologi baru yang diperkenalkan untuk memberi peluang kepada orang Melayu terlepas begitu. Hinggalah kereta nasional yang juga menjadi asas penyertaan Melayu ke dalam industri berat begitu mengecewakan.

Dari sebelum merdeka lagi, termasuk ketika mula Utusan Melayu diterbitkan, 1938, minda Melayu hendak diubah untuk menjadi lebih progresif. Pendidikan sering ditekankan.

Tetapi apabila merdeka, khususnya selepas Tun Razak melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pelajaran Kebangsaan, pendidikan menjadi seperti proses untuk mengisi industri. Ia bukan benar-benar melatih pemikiran baru.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), institusi simbolik bagi era ini menjadi seperti kilang untuk melahirkan siswazah Melayu yang boleh mengisi pasaran. Begitu juga universiti-universiti lain.

Hakikatnya, kongkongan terhadap mahasiswa untuk aktiviti berbentuk fikiran merdeka telah dihalang. Akta Universiti dan budaya kongkongan menghalang kemerdekaan berfikir. Pendidikan yang sepatutnya menggalakkan percambahan ilmu secara bebas dan meriah disekat, dan dalam suasana ini sudah tentu ia gagal melahirkan warga berminda cemerlang.

Dominasi pemerintah lahirkan iklim korupsi

Daripada Umno Dato' Onn hingga menjadi Perikatan-BN, parti utama politik negara ini menjadi lebih menyempit dan korup. Siapa dapat menafikan politik wang. Di mana silapnya? Daripada bas terbabas dan kehadiran imigran tak sah yang begitu ramai hingga mencambahkan jenayah dan pengangguran di kalangan anak tempatan merupakan manifesatasi masyarakat korup ini.

Silapnya terletak pada iklim demokrasi yang tidak mantap di negara ini. Tidak ada imbangan periksa balas di antara kuasa. Umno terlalu dominan hingga melanggar keutuhan institusi demokrasi.

Bolehkah percaya semua pilihan raya yang dilakukan sepanjang 50 tahun benar-benar bersih dan adil? Apabila pembangkang ditekan, pastinya imbangan tidak berlaku. Pembangkang menjadi lemah dan tidak berupaya membentuk kerajaan sebagai alternatif. Akhirnya dominasi pemerintah melahirkan iklim korupsi.

Masalah bermula dengan usaha menentang pengganas komunis terutama undang-undang Darurat yang menyekat banyak kebebasan politik. Negara ini mencapai kemerdekaan ketika masih di bawah Darurat. Pembangkang kiri menjadi mangsa kerana kaitannya dengan fahaman komunis.

Tetapi dari segi jangka panjang, kelemahan gerakan kiri menjadi imbangan kuasa politik tidak seimbang. Umpamanya, nada perkauman dan keagamaan tidak diimbangi kuasa sekular dan bersifat universal.

Kebebasan politik bertambah sempit

Pilihan raya selepas merdeka dilangsungkan pada 1959, semasa negara masih darurat dan tentunya banyak undang-undang yang menyekat kebebasan. Tetapi sepatutnya setelah Darurat berakhir pada 1960, undang-undang Darurat ditamatkan dan kebebasan penuh dikembalikan. Tetapi tidak, walaupun Darurat tamat, undang-undangnya dikekalkan hinggalah ISA digunakan bukan saja untuk pengganas tetapi juga pembangkang.

Begitu juga apabila Konfrontasi dilancarkan Indonesia terhadap Malaysia. Pembangkang menjadi mangsa dan setelah berakhir konfrontasi pada 1966, sepatutnya pihak pembangkang tidak lagi ditekan.

Kebebasan politik tambah menyempit apabila berlaku 13 Mei. Parlimen digantung dan semasa Mageran, banyak dasar baru diperkenalkan yang terpaksa diterima parti-parti politik yang tentunya sedang hidup dalam ketakutan.

Walaupun bagi orang Melayu, ia disambut baik tetapi ia menyemai bibit-bibit tidak puas hati di kalangan bukan Melayu. Setelah demokrasi dipulih, sepatutnya kebebasan diberi kembali kepada rakyak, kongkongan makin ketat. Banyak faktor yang menyebabkan 13 Mei tetapi ia bukan kerana kebebasan politik.

Pukulan paling dahsyat berlaku selepas demonstrasi mahasiswa 1974. Akta Universiti mengongkong pelajar untuk mengekspresi diri dan menjadi pengimbang kuasa politik pemerintah.

Akhirnya pemikiran di menara gading juga disekat dan kini menjadi kilang bagi agenda Melayu semata-mata. Sekatan ke atas universiti adalah legasi Tun Razak dan Dr Mahathir. Tidak hairanlah mahasiswa hanya sibuk membicarakan kerjaya yang bakal mereka raih, gaji, kereta, telefon bimbit, sementara kesedaran politik bukan prihatin mereka.

Penyertaan politik khususnya melalui Puteri dan Pemuda Umno lebih banyak berkait kepada keistimewaan yang akan mereka peroleh sebagai ahli korporat Bumiputera.

Oleh RUHAIDINI ABD. KADIR, HERMAN HAMID, ALI MAHMOOD dan ZULHISHAM ISHAK

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negeri atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Esok pula, seorang lagi pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan didakwa di Seremban atas tuduhan yang sama.

Mereka termasuk berjawatan pengarah dan penolong pengarah di KBS serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebahagian besarnya didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Mereka dituduh atas pelbagai kesalahan termasuk membuat tuntutan palsu dalam pembelian kamera digital dan pecah amanah wang bantuan kebajikan masyarakat kepada 22 penama yang telah meninggal dunia.

Di Kota Bharu, empat orang termasuk Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah, Kamaruzaman Md. Ali, 38, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengemukakan dokumen yang mengandungi tuntutan palsu.

Turut dituduh Penolong Pengarah KBS, Loh Hong Wai, 31; kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ismail Ibrahim, 51, serta seorang wanita, Loh Siu Le, 38, pengurus projek sebuah syarikat berhubung pembelian kamera digital Kodak DC 4800 USA untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok.

Mereka yang dituduh berasingan di dua mahkamah mengikut Seksyen 11 (c) akta tersebut didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Januari 2003 di IKBN Bachok.

Kamaruzaman ketika itu adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan KBS dan Ismail wakil Biro Invasi dan Perundingan UTM.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Hong Wai pula ketika itu merupakan Penolong Pengarah Kemahiran IKBN Bachok manakala Siu Le adalah pengurus projek Syarikat Kosijaya Didactic Sdn. Bhd.

Selain Seksyen 11 (c), pertuduhan ke atas Hong Wai dan Siu Le turut dibacakan bersama Seksyen 20(1)(c) yang didengar di hadapan Hakim Gulam Muhiadden Abdul Aziz.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana satu yang lebih tinggi.

Laporan Ketua Audit Negara 2006 mempertikaikan pembelian kamera digital Kodak oleh IKBN Bachok yang dibeli RM8,254 sedangkan harga sebenar hanya RM2,990.

Kamaruzaman dan Ismail masing-masing dibenar ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin manakala Hong Wai dan Siu Le masing-masing dibenarkan ikat jamin RM7,000 juga dengan seorang penjamin sementara pasport antarabangsa mereka turut diperintah ditahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa BPR, Zamal Abd. Rahman.

Kamaruzaman diwakili peguam Rozihan Othman, Ismail pula diwakili Wan Abdullah Thani Wan Yusof sementara Hong Wai diwakili Zamzuri Mohd. Husin manakala Siu Le diwakili oleh Indran Rajalingam.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 28 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk keempat-empat tertuduh.

Di Raub, seorang pegawai JKM Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 22 pertuduhan pecah amanah wang bantuan kebajikan masyarakat tahun lepas.

Sidek Abdul Rahman, 47, yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat di JKM Raub dituduh mengambil Wang Bantuan Am Peruntukan Negeri dan Persekutuan dengan menyalahgunakan 22 penama yang telah meninggal dunia.

Dia dituduh mengambil wang peruntukan bantuan antara RM330 dan RM1,000 bagi penama terbabit antara Mac dan Disember 2006 dengan jumlah keseluruhan RM12,175.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan dua pegawai pendakwa dari BPR, Farah Azlina Latif dan Nazliza Mohd. Nazri.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menetapkan 19 Disember ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Sidek diikat jamin RM10,000.

Di Kota Kinabalu pula, lima kakitangan JKM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 28 tuduhan mengeluarkan baucar pembayaran palsu melibatkan penerima yang telah meninggal dunia.

Mereka yang dihadapkan di dua mahkamah berasingan dituduh mengeluarkan pembayaran tersebut di bawah Skim Bantuan Orang Tua antara tahun 2003 dan 2006.

Seorang daripadanya, Pemangku Bendahari Daerah Penampang, Stanislaus Golingi, 51, didakwa mengikut Seksyen 11 (c) akta tersebut dengan 22 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Pejabat Bendahari Penampang, memperakukan dokumen empat penerima bantuan yang telah meninggal dunia antara 2003 dan 2005.

Seorang kerani di pejabat sama, Irene Lazarus Nicholas, 36, pula dituduh bersubahat melakukan perbuatan tersebut.

Duncan yang menetapkan perbicaraan pada 28 Januari 2008 membenarkan Stanislaus dan Irene diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa BPR, Muhammad Sibti manakala Stanislaus dan Irene diwakili peguam Peter Jino Allion.

Di Mahkamah Sesyen 2 Kota Kinabalu, Pembantu Pembangunan Masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Tuaran, Rasiah @ Thomy Sumbat, 48, dituduh melakukan enam kesalahan mengeluarkan baucar pembayaran palsu kepada dua penerima yang sudah meninggal dunia.

Dua pembantu tadbir di pejabat yang sama iaitu Rosminie Borilok, 42, dan Masni @ Masnah Sairin, 55, turut dituduh secara bersama melakukan kesalahan berkenaan.

Mereka bertiga dituduh melakukan kesalahan itu antara Februari 2005 dan Jun 2006 kononnya membuat pembayaran kepada Dayang Ismail dan Andah Jair, yang telah meninggal dunia pada 16 Disember 2003 dan 17 Februari 2006.

Hakim P. Ravindran Paramaguru, membenarkan masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin sementara menunggu perbicaraan 9 Disember 2008.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa BPR, Badrul Shah Norman manakala ketiga-ketiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar baru-baru ini menyiarkan Laporan Ketua Audit Negara 2006 bahawa daripada sampel rambang yang dilakukan terhadap 125 penerima bantuan kebajikan di dua daerah di Sabah didapati 20 daripadanya telah disahkan meninggal dunia oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, seorang pegawai KBS berusia 33 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 11 C akta yang sama di Mahkamah Sesyen Seremban pagi esok.

Pegawai berkenaan yang merupakan bekas Ketua Sekolah Binaan, IKBN Chembong, Rembau dan kini merupakan Ketua Unit Pengurusan Latihan IKBN Temerloh ditangkap di Temerloh, hari ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan pegawai tersebut.

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 23 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mendakwa beberapa individu lagi kerana terlibat dalam penyelewengan pembelian peralatan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini, selepas kumpulan pertama seramai 10 orang didakwa hari ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, pada masa ini, pihaknya masih meneruskan siasatan dan meneliti beberapa lagi kes penyelewengan dan pecah amanah berasaskan laporan itu.

Beliau menegaskan, ini bukan kali pertama BPR bertindak berdasarkan laporan audit tersebut, malah ada tindakan diambil sebelum laporan berkenaan dikeluarkan.

“Setakat ini, kita keluarkan dahulu hasil siasatan membabitkan dua kementerian (Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) kepada semua.

“Kita juga menerima maklumat daripada pelbagai pihak termasuk orang awam dan kita akan ambil tindakan tetapi tidak adil untuk kita buat pernyataan umum (terhadap kementerian lain) kerana ada yang betul dan ada yang tidak betul,” katanya sambil meminta media memberikan masa kepada pihaknya untuk menyelesaikan siasatan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya mengenai hasil siasatan membabitkan dua kementerian terbabit berasaskan kepada pendedahan laporan Ketua Audit Negara 2006.

Menurut Ahmad Said, siasatan yang dijalankan menjuruskan kepada tiga aspek kesalahan iaitu rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan dan pihaknya telah mengenal pasti wujudnya kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Selain itu, kata beliau, BPR turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur jabatan terlibat dalam pengurusan dana awam yang membuka ruang dan peluang kepada penyelewengan yang merugikan kerajaan.

Ahmad Said berkata, selain itu, sekurang-kurangnya lima orang pegawai kanan KBS akan dicadangkan diambil tindakan tatatertib di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perkara 4.2(g)(ii).

“Pegawai berkenaan telah dikenal pasti terlibat dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan oleh kementerian kepada lapan buah IKBN di seluruh negara dengan harga yang tinggi hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

“Hasil semakan BPR, mereka yang terlibat juga keluar negara tanpa kebenaran dan menerima keraian daripada kontraktor,” kata beliau.

Tambahnya, BPR juga masih meneruskan siasatan untuk membuktikan sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan oleh mereka dan kes itu akan dirujuk kepada Peguam Negara setelah siasatan selesai.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, beliau berkata, siasatan BPR juga mendapati wujudnya salah urus dana awam bagi kerja-kerja penyelenggaraan bangunan kerajaan di Pulau Pinang dan seorang juruteknik dicadang dikenakan tindakan tatatertib kerana didakwa membuat perakuan palsu ke atas kerja-kerja pembaikan tersebut yang belum sempurna sepenuhnya.

“Perakuan tersebut membolehkan kontraktor terlibat membuat tuntutan pembayaran daripada kerajaan dan BPR mencadangkan agar syarikat terbabit disenarai hitam,” kata beliau.

Mengenai siasatan ke atas beberapa pembelian peralatan kepada IKBN iaitu papan bancuh simen, kabin kontena, buku teknikal dan pen teknikal, beliau berkata, harga yang dibekalkan oleh syarikat terbabit adalah terlampau tinggi dan tidak munasabah.

“BPR sedang menyiasat untuk mengenal pasti salah laku jenayah terhadap mereka yang terlibat dan pelanggaran peraturan dan BPR mencadangkan untuk jabatan berkenaan mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka yang terlibat,” katanya.

Bagi pembelian pakej komputer desktop dan perisian CADD dan pemutar skru Phillips, Ahmad Said berkata, siasatan mendapati pembelian peralatan tersebut adalah munasabah dengan mengambil kira kos tambahan yang ditanggung pembekal dan kos membawa masuk dari luar negara serta jaminan kualiti yang diberikan.

“BPR akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menyenaraihitamkan syarikat pembekal terlibat dalam pembekalan peralatan kepada IKBN yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006,” katanya.

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir


KENA DAKWA: Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Raub, Sidek Abd Rahman (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Raub, semalam selepas menghadapi 22 pertuduhan pecah amanah mengambil wang kerajaan RM12,175. Sementara itu bekas Ketua Penolong Pengarah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kamaruzaman Md Ali (kiri atas); Penolong Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok, Loh Hong Wai (kiri bawah); wakil Biro Inovasi dan Perundingan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ismail Ibrahim (kanan bawah) dan Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Siu Le dituduh bersubahat dan membuat tuntutan palsu.

6 pegawai Kementerian Belia dan Sukan masih disiasat, seorang ditahan semalam

PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menahan ramai lagi individu bersabit kes penyelewengan dan pecah amanah susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam.

Petang semalam, BPR menahan bekas ketua sekolah binaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Negeri Sembilan berusia 33 tahun di Temerloh, Pahang. Lelaki yang ketika ini memegang jawatan selaku Ketua Unit Pengurusan Latihan IKBN Temerloh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara itu masih belum berakhir kerana ia memerlukan penelitian secara lebih terperinci.


"Ya, belum habis lagi, masih ada beberapa lagi... siasatan masih diteruskan. Ada beberapa kes lagi yang kita lihat iaitu berhubung penyelewengan dan pecah amanah," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat BPR di sini, semalam. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah 1 BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Sidang media itu diadakan bagi memaklumkan hasil siasatan BPR berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan. Laporan itu dibentangkan di Parlimen pada 7 September lalu.

Semalam, 10 individu termasuk enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub. Difahamkan, inilah kali pertama tindakan diambil berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.


Ahmad Said berkata, BPR juga mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap lima pegawai kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan untuk lapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi, berbanding harga pasaran.

Beliau berkata, siasatan BPR juga mendapati pegawai terbabit ke luar negara tanpa kebenaran dan menerima keraian daripada kontraktor berkenaan.

"Enam pegawai lain pula masih dalam siasatan BPR," katanya sambil menambah, BPR turut mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap seorang juruteknik awam yang membuat perakuan palsu berhubung kerja pembaikan kuarters kerajaan di Pulau Pinang bagi membolehkan kontraktor terbabit membuat tuntutan pembayaran.

Menjawab soalan, beliau berkata ketua jabatan berkenaan perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit seperti ditetapkan iaitu sama ada dibuang kerja, turun pangkat, turun gaji, celaan dan amaran.

Ahmad Said berkata, BPR juga masih menyiasat pembelian beberapa peralatan untuk IKBN seperti papan bancuh simen, kabin kontena, buku teknikal dan pen teknikal yang terlalu mahal dan tidak munasabah serta merugikan kerajaan.

"Hasil siasatan awal mendapati wujud salah urus dana awam. BPR sedang menyiasat untuk mengenal pasti salah laku jenayah terhadap mereka terbabit dan sekiranya berlaku perlanggaran peraturan, BPR akan mencadangkan jabatan berkenaan mengambil tindakan tatatertib," katanya.

Sehubungan itu, BPR akan mencadangkan kerajaan supaya melakukan kajian menyeluruh terhadap sistem pembelian terus yang diamalkan jabatan dan agensi kerajaan supaya lebih telus.

Katanya, siasatan BPR mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam sistem itu yang membuka ruang kepada berlakunya rasuah dan penyelewengan.

"Ini terbukti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang mendedahkan kebanyakan proses pembelian peralatan dibuat secara rundingan terus," katanya.

Ahmad Said berkata, BPR juga akan mencadangkan kerajaan menyenaraihitamkan syarikat yang membekalkan peralatan kepada IKBN yang dikaitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 kerana melanggar peraturan kewangan.

Beliau berkata, tindakan sama juga dicadangkan terhadap kontraktor yang terbabit dalam kerja pembaikan kuarters kerajaan di Pulau Pinang kerana melakukan penyelewengan ketika membuat tuntutan pembayaran.

Selain itu, BPR mencadangkan supaya klausa bagi menjelaskan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dimasukkan dalam semua dokumen kontrak kerajaan sebagai peringatan terhadap pihak berkenaan agar tidak mengambil kesempatan melakukan rasuah dan penyelewengan.

"Jika wujudnya perlakuan rasuah di dalam kontrak itu, adalah dicadangkan supaya kontrak mereka ditamatkan serta-merta," katanya.


ABDULLAH Ahmad Badawi diberi penerangan mengenai model bandar Pusat Cyber @ Meru Raya oleh Datuk Samsudin Hashim (kanan) di Majlis Pelancaran MSC Malaysia Cybercentre Meru Raya Perak di Padang Ipoh, semalam.

IPOH 23 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya di sini telah berjaya menarik pelaburan besar dari dua buah syarikat yang berpangkalan di Dubai dan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri berkata, syarikat dari Dubai telah bersetuju untuk membuat pelaburan bernilai RM700 juta manakala sebuah syarikat dari Amerika Syarikat pula mahu beroperasi di situ dengan menyediakan 20,000 peluang pekerjaan.

Justeru, katanya, projek itu bukan saja bakal membawa manfaat besar kepada Lembah Kinta tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan bagi seluruh negeri Perak.

Katanya, projek berkenaan amat bermakna kerana sebelum ini terdapat segelintir pihak merungut selepas Lembah Kinta tidak dimasukkan dalam projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

‘‘Sebenarnya tempat lain pun tidak ada koridor tetapi saya sudah katakan tentulah kita akan bawa pembangunan lain ke Lembah Kinta.

‘‘Jadi MSC @ Cybercentre Meru Raya ini adalah satu-satunya projek yang akan jadi pemangkin kepada pembangunan seluruh negeri Perak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya di padang Ipoh di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, bidang teknologi maklumat (IT) memang menjadi faktor pemboleh bagi kerajaan menjana kemajuan dalam sektor lain.

Jelas beliau, kewujudan projek tersebut juga pasti banyak membantu kerajaan negeri membangunkan pelbagai bidang yang ada kaitan dengan dunia IT.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan amat berterima kasih kepada Agensi Angkasa Persekutuan Rusia yang membuat tawaran kepada Malaysia untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas pada penghujung tahun 2010 atau awal 2011.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, tawaran itu perlu dipertimbangkan dengan teliti sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

‘‘Saya tidak mengetahui apa maklumat khusus di sebalik tawaran itu, oleh kerana itu adalah amat penting kita mengkaji jika ada syarat lain atau perincian yang perlu kita lihat,” katanya.

Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin


PELAN PEMBANGUNAN: Abdullah bertanyakan sesuatu mengenai model MSC Malaysia Cybercentre@ Meru Raya kepada Ketua Pengarah Eksekutif PKNP, Datuk Samsudin Hashim (kanan) sambil diperhatikan (dari kiri) Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah Mokri, di Ipoh, semalam.

Kerajaan tidak pilih kasih maju teknologi maklumat, telekomunikasi

IPOH: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan memperluaskan Koridor Raya Multimedia (MSC) ke seluruh negara tanpa meminggirkan mana-mana negeri atau kawasan dalam usaha memajukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam agenda melaksanakan pembangunan ICT atau ketika penganugerahan status MSC kepada mana-mana kawasan dan negeri.

"Saya memberi jaminan kerajaan akan adil kepada semua pihak ketika membangunkan projek ICT dan pemberian status MSC.


"Bagaimanapun, negeri atau kawasan yang menerimanya perlu menunjukkan kecekapan dalam pentadbiran dan pengurusan serta mampu memenuhi kriteria diperlukan untuk status MSC," katanya berucap melancarkan MSC Malaysia Cybercentre@ Meru Raya, di Padang Ipoh di sini, semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Abdullah berkata, syarikat tempatan yang mendapat status MSC Malaysia kini mencecah lebih 1,900 syarikat dengan nilai eksport produk serta perkhidmatan berkaitan ICT mencapai RM2.7 bilion.

Beliau berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan berstatus MSC Malaysia juga bertambah kepada lebih 50,000 pekerja dengan 90 peratus daripadanya adalah pekerjaan bernilai tinggi.

Sementara itu, Abdullah berkata, dasar K-Perak yang dibangunkan oleh Kerajaan Perak adalah satu pelan perancangan yang mampu melonjakkan Perak ke tahap negeri maju.

"Saya menganggap dasar K-Perak-2010 dan peluasan kawasan MSC Malaysia di Meru Raya sebagai inisiatif yang tepat pada masanya, selaras dengan tujuan utama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)," katanya.

Pada sidang media pada akhir lawatan dua hari ke Perak, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Russia yang menawarkan tempat untuk angkasawan kedua Malaysia ke angkasa lepas.

Abdullah berkata, kerajaan perlu menelitinya sebelum membuat sebarang keputusan muktamad, termasuk jika ada syarat tambahan.

Mengenai bonus kakitangan awam, Abdullah berkata beliau sudah membuat kenyataan mengenainya baru-baru ini, dan tiada penjelasan baru untuk dibuat.