Kenapa umat Islam berpecah?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Berpecah kerana politik

CUBA bayangkan senario ini, sempena Ramadan, pada malam terakhir kempen Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir, solat tarawih perdana diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.

Majlis tersebut dihadiri bukan sahaja oleh semua pemimpin-pemimpin kanan UMNO dan Pas yang terlibat dalam kempen pilihan raya itu tetapi juga kedua-dua calon yang bertanding.

Mereka bersolat bersama-sama dan kemudian bermaaf-maafan. Mereka meninggalkan majlis itu dengan fikiran yang lapang dan tali persaudaraan Islam sesama mereka semakin erat, biarpun mereka berbeza parti dan akan bertarung dalam pilihan raya.

Mungkin senario ini, jika dibayangkan nampak indah dan menarik, siapa yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu padu dan meningkatkan ukhuwah Islamiah sesama mereka. Tetapi buat masa ini, kita hanya mampu membayangkan sahaja, apa yang dicatatkan tidak mungkin akan menjadi kenyataan, biarpun itulah sikap terbaik bagi melambangkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Sebenarnya, kita sudah bosan untuk menyebut soal penyatuan Melayu, malah kita juga sudah malas untuk membincangkan soal perpaduan umat Islam di negara ini. Ia berlaku kerana setakat ini apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, umat Islam terus berpecah belah dan lebih buruk dari semasa ke semasa semakin banyak pula kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin politik tertentu yang mengecam sesama Islam.

Soal syurga, neraka, Islam plastik, Islam palsu, menyerang peribadi ketika berkempen dan memburukkan-burukkan antara satu sama lain telah menyukarkan kita untuk melihat umat Islam di negara ini bersatu.

Penyatuan ini bukanlah mustahil dan bukanlah sesuatu yang sukar tetapi ia terhalang kerana ada pihak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Bagi mereka, kalau ada unsur-unsur untuk bekerjasama dengan UMNO demi perpaduan orang Melayu dan Islam maka ia boleh menjejaskan kedudukan politik mereka.

Pemimpin-pemimpin dalam kelompok berkenaan sanggup mengatakan UMNO mengamalkan Islam palsu dan Islam plastik tetapi yang anehnya mereka tidak pula mempertikaikan apa pula bentuk Islam yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bagaimana pula dengan pendirian DAP, jika ada pihak hendak melaksanakan pemerintahan Islam?

Adalah sesuatu yang malang jika perhitungan politik mengatasi segala-galanya. Demi kuasa politik, demi secebis kedudukan, kita lebih rela bermusuh sesama Islam. Kita keluarkan pelbagai hujah bagi ‘menghalalkan’ tindakan kita mengecam saudara kita sendiri.

Sesungguhnya perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam sekarang terutamanya dari segi politik tidak menguntungkan mereka. Sepatutnya sebagai pemimpin beragama Islam, tata susila, etika dan tingkah laku kita adalah lebih baik daripada pemimpin-pemimpin bukan Islam.

Apatah lagi kalau ada di kalangan kita sering bercakap soal-soal agama di dalam blog-blog atau memberikan tazkirah serta membaca khutbah Jumaat. Namun apa yang kita saksikan, ketika pemimpin-pemimpin bukan Islam tidak mencaci sesama sendiri biarpun mereka berbeza parti dan bertarung dalam pilihan raya, di kalangan pemimpin Islam pula adalah sebaliknya.

Antara mereka bukan sahaja dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang mengguris perasaan umat Islam yang lain, malah sanggup bergerak siang dan malam untuk memperolehi rahsia peribadi seseorang pemimpin yang kemudiannya akan didedahkan kepada umum. Mereka lakukan itu sebagai modal politik, soal moral berpolitik dalam Islam sudah tidak ada lagi, biarpun mereka melaung-laungkan memperjuangkan Islam dan ingin menegakkan kebenaran tetapi apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya.

Kesudahannya orang bukan Islam akan melihat begitulah cara orang Islam berpolitik. Akan ada kelompok yang akan bergembira dengan tingkah laku sedemikian kerana ia akan memecah belahkan umat Islam. Apabila umat Islam berpecah, maka mereka menjadi lemah dan apabila mereka menjadi lemah maka mereka hanya akan menjadi ‘pak turut’ sahaja kerana tiada kuasa politik yang kuat.

Kita sudah lihat contoh di beberapa negeri, apabila ada sesetengah parti tidak mampu bersuara langsung, biarpun ada tindakan oleh rakan-rakan pakatan mereka melanggar prinsip perjuangan namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana suara politik mereka ‘tidak laku’. Kalau mereka hendak bersuara sedikit, semangat yang mereka ditunjukkan itu hanya menjadi `hangat-hangat tahi ayam’ sahaja, mereka akan diam apabila ditegur oleh rakan dalam pakatan.

Tetapi bahana ini masih belum mahu dipelajari oleh sesetengah umat Islam. Bagi mereka, apa yang penting berebut kerusi dalam pilihan raya dan kuasa politik. Soal sama ada perebutan yang berlaku akan melemahkan umat Islam ia adalah soal kedua.

Kita tidak perlu membuang masa untuk bercakap soal kejatuhan empayar Islam dan mengimbas kembali bagaimana orang Melayu dijajah suatu ketika dahulu, semua itu tidak akan menginsafkan puak-puak berkenaan. Apa yang boleh kita peringatkan ialah mereka harus bersedia bertanggungjawab seandainya suatu hari kelak orang Melayu dan umat Islam menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ketika ini keluarkanlah apa juga kenyataan bagi menyakiti hati sesama Islam demi mencari keuntungan politik dan lodehkanlah apa juga keburukannya musuh politik kita. Mungkin mereka akan berjaya mendapat sokongan politik yang diinginkan, apatah lagi di kalangan penyokong tegar yang taksub tetapi tanpa mereka sedari dalam masa yang sama mereka juga sedang menghakis sedikit demi sedikit tembok kekuatan umat Islam di negara ini.

Sehebat manapun kuasa politik yang kita miliki, ia tidak akan mampu menggantikan tali persaudaraan Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT. Jangan terlalu sombong menolak salam perpaduan yang dihulurkan.

Lagipun apalah gunanya kita bersikap seperti ‘harimau’ kepada saudara seagama tetapi menjadi ‘kucing’ kepada rakan yang bukan seagama dengan kita.

Akibat taksub

Tersedia maklum bagaimana di kalangan masyarakat Cina, ada pertubuhan gabungan sekolah-sekolah Cina yang menjadi tonggak kepada perjuangan pendidikan bahasa Cina.

Dalam memperjuangkan pendidikan Cina, masyarakat Cina bersatu dan bersepakat bahawa sekolah berpengantar bahasa Cina adalah wajib dipertahankan. Tanpa mengira apa pun parti mereka, sama ada MCA, Gerakan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang Cina muafakat bahawa pendidikan pengantar bahasa Cina mesti disokong.

Tetapi lihat umat Islam di negara ini pula. Pernahkah kedengaran adanya pertubuhan gabungan sekolah-sekolah agama Islam yang memperjuangkan pendidikan agama?

Sistem pendidikan agama di negara ini berpecah-pecah menurut negeri. Ada negeri yang mempunyai sistem pendidikan agama yang kemas, sementara yang lain pula tidak tersusun.

Sistem pendidikan agama rakyat pula tidak benar-benar merangkumi seluruh penduduk Islam. Sedangkan sekolah-sekolah agama baik yang berbentuk penuh atau pun secara rakyat yang menggunakan masjid dan surau setempat tidak mendapat perhatian yang padu daripada umat Islam.

Seharusnya gerakan pendidikan agama ini mempunyai pertubuhan gabungan sendiri seperti yang ada pada masyarakat Cina. Soal dana juga wajar dapat diuruskan dengan baik jika terdapat gerakan dan perpaduan yang menyeluruh ini. Sedangkan pendidikan agama ini merupakan tonggak jati diri umat Islam di negara ini.

Dalam hal ini, tanpa mengira apa pun parti politik, sama ada UMNO, Pas mahupun PKR patut menyokong pendidikan agama ini. Ia sebagai salah satu contoh di mana orang Islam wajar bersatu dalam isu bersama tanpa mengira parti sokongan mereka.

Satu lagi contoh ialah tentang kepenggunaan Islam. Maksud di sini, soal-soal kepenggunaan yang berkaitan Islam umpamanya seperti soal halal, dan pembangunan perniagaan Islam seperti yang diperjuangkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Tetapi kejayaan perjuangan kepenggunaan Islam hanya benar-benar dapat berkesan jika umat Islam bersatu. Maka dalam hal ini juga umat Islam wajar bersatu tanpa mengira aliran politik mereka, sama ada UMNO, Pas ataupun PKR.

Banyak lagi isu-isu Islam yang menuntut perpaduan di kalangan umat Islam bagi menjayakannya. Tetapi tentunya isu paling besar yang menuntut perpaduan umat Islam bagi menjayakannya ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ini kerana kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam ini menurut perlembagaan negara mesti tegas dipertahankan oleh umat Islam di negara ini tanpa mengira parti politik mereka. Sama ada dari UMNO, Pas atau PKR, orang Islam mesti mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama negara.

Sehubungan itu orang Islam secara umumnya mesti memahami perlembagaan dan kepentingan mempertahankannya demi agama Islam itu sendiri.

Sehubungan itu wajar adanya gerakan di kalangan orang Islam yang menumpukan perhatian bagi mempertahankan perlembagaan.

Seperti juga perjuangan pendidikan agama Islam, kepenggunaan Islam, bagi usaha mempertahankan perlembagaan ini, ia memerlukan perpaduan umat Islam.

Sememangnya untuk memaksa semua orang Islam berada dalam satu parti adalah tidak mungkin. Ini kerana dalam sebuah demokrasi dan terbuka seperti Malaysia, orang Islam tentunya mempunyai fahaman dan fikiran berbeza. Maka tidak hairanlah wujud parti-parti yang berbeza bagi orang Melayu - UMNO, Pas dan PKR.

Tetapi perbezaan fahaman ini tidak wajar meminggirkan perjuangan untuk agama dan ummah. Mereka mungkin bertembung dalam pilihan raya, bersaing untuk memenangi kerusi, berkempen menentang calon di antara satu sama lain, tetapi apabila soal kepentingan agama dan ummah, semua umat Islam mesti bersatu.

Kesetiaan semua orang Islam termasuk parti-parti mereka mesti kepada agama Islam. dan bukannya sekutu-sekutu politik masing-masing.

Maksudnya, ketika bersaing dalam politik, tentunya parti-parti itu menemui satu landasan bersama dengan sekutu-sekutu mereka dari kalangan parti-parti yang dianggotai oleh bukan Islam. Umpamanya dalam Barisan Nasional, UMNO mempunyai sekutu dari MCA, gerakan dan MIC. Sementara dalam Pakatan Rakyat, Pas dan PKR mempunyai sekutu dari kalangan DAP.

Masing-masing mempunyai fahaman dan aliran politik tersendiri yang memungkinkan mereka muafakat dengan sekutu masing-masing untuk bertembung dengan pihak yang lagi satu.

Namun begitu, jika isu Islam timbul, UMNO, Pas dan PKR wajar bekerjasama bagi menjayakannya. Seperti mana apabila isu Cina yang membawa kepada sokongan bersama MCA, Gerakan, DAP dan PKR. Begitu juga apabila timbul isu India yang memungkinkan kerjasama antara MIC, DAP dan PKR.

Kedudukan agama Islam dalam perlembagaan menuntut keadaan perpaduan yang mencakupi hal-hail lain tetapi berkaitan.

Tentunya kedudukan agama Islam dalam perlembagaan berkait pula dengan kedaulatan negeri-negeri di Malaysia yang meletakkan Raja-raja Melayu sebagai bukan saja ketua agama Islam tetapi pemerintah sebenar negeri-negeri itu.

Jadi apabila umat Islam di negara ini secara keseluruhannya mendokong kedudukan agama Islam sebagai agama negara, maka mereka juga perlu mendokong kedaulatan Raja-raja Melayu.

Dalam hal ini, tentunya UMNO, Pas dan PKR sekata hendak mendokong perlembagaan. Tetapi dalam persaingan politik, timbul tanda-tanda ada pihak mahu mempertikaikan semangat perlembagaan yang ada. Adalah dipercayai perkara ini berlaku kerana kurang kefahaman tentang perlembagaan akibat rasa kebencian kepada parti politik yang memerintah.

Sedangkan pihak yang patut bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan bukannya UMNO semata-mata tetapi juga semua umat islam di seluruh negara.

Ummah wajar diutamakan daripada parti politik.
Melayu dalam Perlembagaan

SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu.

Mereka menuntut kedudukan yang sama dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.

Ada pihak yang mempertikaikan kenapa orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.

Pertikaian tentang hak keistimewaan orang Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam Perlembagaan menyebut tentang hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak mendiskriminasi kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua pihak.

Kita juga memberikan pengkelasan yang tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menjadi tonggak di negara ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.

“Saya syorkan kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Khamis lalu.

MINGGUAN: Disebabkan banyak pihak tidak faham kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, boleh Datuk huraikan perkara ini?

MOHD NOOR: Saya ingin terangkan dahulu perkara-perkara penting tentang orang Melayu di dalam Perlembagaan. Saya melihat banyak NGO-NGO Melayu sekarang ini bertindak dalam keadaan marah dan bukan menjawab mengikut undang-undang. Kerana itu pertama sekali saya ingin menjelaskan dalam perkara satu, negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah sebenar mengikut Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang kemudian dipanggil imigran. Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native. Dahulu native ini dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai bumiputera.

Boleh Datuk terangkan perbezaan antara indigenous dan aborigin dalam Perlembagaan?

MOHD NOOR: Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk ditafsir ialah peribumi dan mereka ini dilihat bersesuaian dengan keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas orang Melayu dan native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.

Apakah yang lebih tepat untuk mengkelaskan misalnya Melayu, Cina dan India di negara ini dalam konteks Perlembagaan?

MOHD NOOR: Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina dan India. Apakah kerana orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina dan kemudian India? Atau kerana orang Melayu paling ramai kemudian diikuti Cina dan India? Beritahu saya manakah negara yang tidak ada bangsa? Sama ada bangsa itu integral iaitu ada bangsa lain yang menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa seperti bangsa Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Perancis, Jerman dan sebagainya.

Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima adalah kaum-kaum lain.

Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan taraf kepada “kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya. Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini.

Tidak lama dulu ada pihak menghujahkan bahawa Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah Orang Asli. Apa komen Datuk?

MOHD NOOR: Semasa empayar China dahulu kalau berpindah dari Han ke Chin atau dari Beijing pergi ke selatan hingga ke Mongolia adakah mereka berpindah dari satu negeri ke satu negeri? Mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak sekitar empayarnya. Begitu juga orang Melayu hanya berada di alam Melayu. Sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempunyai satu empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunei, Filipina sebagai satu dunia Melayu. Oleh itu kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia Melayu. Namun apa yang berlaku sekarang ini adalah akibat penjajah Barat yang memecah-belahkan dunia Melayu. Indonesia diberi kepada Belanda, Tanah Melayu diberi kepada Inggeris. Jika tidak dipecahkan, dunia Melayu bersatu tetapi akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah. Jadi kenapa ada pihak berkata Melayu datang dari luar? Melayu hanya bergerak berkelompok di sekitar dunia Melayu ini.

Tetapi yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu. Jika mereka kata Melayu seperti mereka, itu tidak benar. Yang sebenarnya adalah agama. Memang orang Melayu dulu beragama Hindu namun kemudian memeluk agama Islam tetapi bukan berasal dari India. Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara yang bermaksud nusa antara nusa-nusa.

Jadi, maksud Datuk kita mesti melihat dari sejarah dan bukan keadaan sekarang yang dipisah-pisahkan?

MOHD NOOR: Orang Indonesia berhijrah ke Malaysia dari satu alam Melayu ke satu alam Melayu yang lain. Saya ingin bertanya adakah orang India yang berpindah dari Tamil Nadu ke Goa boleh dikatakan pendatang? Bukankah pelik jika orang Melayu yang bergerak dari Indonesia ke Tanah Melayu jadi pendatang? Kita kena melihat dari segi sejarah bukan pada masa sekarang. Jika sekarang sudah tentu berdasarkan undang-

undang imigresen dianggap sebagai pendatang. Jika kita lihat sebelum penjajah memecah- belahkan kita, dunia sebelah sini adalah alam Melayu. Namun kini hakikatnya orang dari semua lima kaum tadi, kedudukan Orang Asli, orang Melayu dan bumiputera termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak terpinggir berbanding kaum-kaum lain. Itulah yang saya sedihkan. Oleh itu kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka. Yang disebut ialah kedudukan orang Melayu dan Melayu disebut sebanyak 54 kali dalam Perlembagaan. Cina dan India langsung tidak disebut dalam Perlembagaan. Mereka harus sedar tentang perkara ini. Oleh itu kita harus sebut dengan jelas kedudukan ini, sama ada kita semua adalah bangsa Malaysia atau pun mereka hanyalah sekadar kaum-kaum lain saja.

Adakah Perlembagaan kita mendiskriminasikan kedudukan kaum-kaum lain ini?

MOHD NOOR: Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan ini dipersetujui oleh semua pihak ketika mula-mula digubal. Maknanya tidak ada diskriminasi jika semua pihak bersetuju. Perkara ini tidak patut timbul sama sekali malahan mereka patut akur bahawa Perlembagaan tidak langsung menyebut tentang kaum Cina dan India. Kita ambil contoh Barack Obama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai African-American. Cuba beritahu yang mana penting dalam istilah tersebut? Jika kita melihat kepada nahu bahasa, adjektif adalah yang menerangkan kata nama. Jika kita lihat ada kaum Cina mengaku mereka sebagai Malaysian Chinese, Malaysia yang menjadi adjektif dan Chinese menjadi kata kerja. Jika dilihat kata kerja itu lebih penting dari adjektif. Oleh itu kita dapat lihat nama Chinese lebih penting daripada nama Malaysian. Ini menunjukkan mereka lebih berbangga dengan nama Chinese diletakkan di depan bukan Malaysian.

Apa mesej Datuk daripada contoh di atas?

MOHD NOOR: Bagi mereka nama Chinese yang lebih penting daripada Malaysian. Orang Cina sangat berbangga dengan tamadun mereka yang maju. Oleh itu, di mana mereka berada mereka lebih berbangga dengan kedudukan dan tamadun mereka. Maka kita harus memberitahu mereka ini bahawa mereka adalah Chinese Malaysian supaya mereka tahu mereka menghargai negara ini dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.

Bagaimana dengan kedudukan raja-raja Melayu?

MOHD NOOR: Raja-raja Melayu ini merupakan yang empunya Semenanjung Tanah Melayu. Mereka ini memerintah secara mutlak. Walaupun mereka memerintah tetapi tetap ada penasihat seperti bendahara, temenggung dan sebagainya. Namun akibat dari peranan penjajah semua ini dimanipulasi hinggalah kita mencapai kemerdekaan. Sebenarnya raja yang memerintah. Kuasa memerintah terletak kepada raja dan bukan Perdana Menteri. Raja yang memerintah dan Perdana Menteri mengurus tadbir negara. Cara pemerintahan itu ialah pertama raja sendiri yang memerintah. Kedua raja memerintah mengikut nasihat. Ketiga raja memerintah melalui Perdana Menteri. Namun raja adalah berperlembagaan dan tidak lagi seperti dahulu. Kini kuasa raja hanya terhad kepada tiga sahaja iaitu yang pertama melantik Perdana Menteri. Kedua, raja yang memperkenankan pembubaran Parlimen. Ketiga apabila raja ingin mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja maka mereka mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tersebut.

Bagaimana pula dengan kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini?

MOHD NOOR: Kontrak sosial bukanlah istilah undang-undang. Ia satu perjanjian antara kaum-kaum di negara ini di mana orang Melayu memberi kerakyatan sebanyak 800,000 kepada orang Cina dan India semasa kita menuntut kemerdekaan dahulu. Mereka ini subject to British colony di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka ini bukan warganegara negara ini ketika itu. Maka penjajah British memberi syarat jika mahukan kemerdekaan mereka ini perlu diberi kewarganegaraan. Oleh itu sebagai balasan, orang Melayu perlu diakui mempunyai kedudukan istimewa sebagai peribumi di negara ini. Tiga keistimewaan harus diberi kepada orang Melayu iaitu pentadbiran negara ini diberi kepada orang Melayu. Pelajaran dan biasiswa diberi kepada orang Melayu dan permit dan perniagaan diberikan kepada orang Melayu. Ini kerana orang Melayu keciciran dalam banyak bidang. Dahulu penjajah buat sekolah di kawasan bandar. Oleh sebab itu orang Cina ramai yang pandai manakala orang Melayu pula ramai yang tinggal di kampung, asalkan dapat makan pakai serta dapat mereka beribadat, itu sudah cukup. Namun apabila merdeka orang Melayu ini tidak mahu lagi keciciran dalam semua segi.

Bagaimana pula dengan hak keistimewaan orang Melayu selepas 52 tahun merdeka?

MOHD NOOR: Jika kita lihat raja-raja kita dahulu berpandangan jauh telah memikirkan untuk menubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk menjaga keselamatan orang Melayu kemudian ditubuhkan pula undang-undang rezab tanah Melayu. Semua ini dilakukan atas nama kebimbangan sekiranya sesuatu berlaku terhadap orang Melayu. Saya istilahkan dua tiga serangkai, rangkai pertama ini saya namakan warisan orang Melayu iaitu Raja Berperlembagaan, agama Islam dan Bahasa Melayu. Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.

Seterusnya rangkai yang satu lagi saya namakan pusaka orang Melayu. Pertamanya ialah Askar Melayu, kedua tanah rezab Melayu dan yang terakhir kedudukan istimewa orang Melayu. Ia dinamakan pusaka kerana ini merupakan peninggalan pemimpin kita dahulu. Oleh itu semua usaha ini perlu diteruskan dan dipertahankan oleh semua orang Melayu.
Kesenangan akan hilang jika kita lalai

MINGGU lalu, Mingguan Malaysia menyiarkan wawancara bersama bekas Perdana Menteri, Tun DR. Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara itu terdapat beberapa perkara yang memerlukan penekanan dan penjelasan lebih lanjut.

MINGGUAN: Jika kita lihat dahulu sebelum kemerdekaan penjajah ada di depan mata dan mereka kuat tetapi sekarang ini kita telah merdeka namun apakah ancaman penjajahan itu masih ada?

DR. MAHATHIR: Ya ancaman itu masih ada. Jika kita lalai segala kesenangan dan apa yang menjadi milik kita akan hilang, dan kita akan dijajah semula, jika tidak secara langsung mungkin secara tidak langsung.

Bagaimana Tun lihat proses demokrasi sekarang berbanding dengan sebelum ini?

DR. MAHATHIR: Setelah sekian lama, kita faham kelemahan yang ada pada demokrasi. Oleh itu kita faham demokrasi adalah mengenai hak untuk memilih pemimpin. Tetapi ini tidaklah bermakna kita tidak bebas untuk melakukan apa sahaja. Pemikiran liberal bukanlah sebahagian dari demokrasi. Itu hanyalah tambahan sahaja.

Maksud sebenar demokrasi adalah hak untuk memilih pemimpin sahaja dan perkara seperti hak asasi manusia itu hanyalah tambahan sahaja. Pada mulanya kita tidak berapa faham tentang perkara tambahan ini dan kita ada had-had tertentu terutama dalam bercakap perkara tertentu. Namun jika ia berlebihan sehingga menjadi rusuhan kaum itu adalah salah.

Jika kita mahu bercakap kita tidak boleh sehingga menyakitkan hati orang lain. Maka kebebasan memang ada hadnya tetapi Barat menekankan bahawa kebebasan sebenar adalah kebebasan yang diamalkan oleh mereka. Kita ada kebebasan tetapi ada hadnya, umpamanya dalam berpakaian.

Jika di Barat mereka boleh memakai pakaian yang menunjukkan hampir keseluruhan badannya. Ini bagi mereka kebebasan, namun kita tidak boleh mengikut mereka dalam perkara ini kerana ia tidak secocok dengan undang-undang dan budaya kita dan ini kita tidak boleh benarkan.

Satu cerita yang selalu saya beritahu ialah berkenaan dengan satu suburb di AS dan penduduk di kawasan itu berpegang kepada konservatif dan mereka hidup dengan tenang. Namun datang seorang pengusaha membuka sebuah panggung wayang yang menayangkan filem lucah. Penduduk di situ membantah dan membuat protes dan membawa kes ini ke mahkamah. Namun keputusan mahkamah ialah ini merupakan kebebasan pengusaha ini untuk bertindak demikian dan penduduk di kawasan itu tidak boleh menghalang. Jadi inilah tafsiran demokrasi bagi mereka.

Kita punya tafsiran ialah bukan individu yang berhak tetapi masyarakat yang berhak. Kalau kepentingan masyarakat dicabar oleh individu maka kita anggap perkara itu tidak baik. Jadi itulah perbezaan antara nilai Asia dan nilai Barat. Oleh itu bagi kita, kita mengamalkan demokrasi tetapi ada hadnya.

Jadi bagaimana Tun melihat situasi sekarang dengan pemikiran liberal, kebebasan dan hak asasi yang berleluasa sehingga mampu mengancam negara dan perlembagaan terutamanya dari bukan Melayu?

DR. MAHATHIR: Perkara ini bukan sahaja melibatkan orang bukan Melayu tetapi termasuklah dari orang Melayu sendiri seperti Anwar Ibrahim. Ini masalahnya di mana orang mahukan liberal tetapi tidak faham batasan tentang demokrasi. Walaupun kita bebas tetapi ada had-had tertentu. Jika kita terlalu bebas tanpa had maka akan berlaku huru-hara.

Ada kelompok manusia di Barat yang mahu bebas berjalan dengan hanya berbogel yang dipanggil streaking dan kita tidak boleh menerima budaya sebegitu. Tetapi bagi mereka ini tidak mengapa. Umpamanya seperti perkara berkaitan dengan moral, bagi mereka lelaki boleh ada hubungan antara lelaki malah boleh berkahwin dan bercerai pun. Bagi kita ia merupakan perkara yang tidak boleh diterima tetapi bagi mereka ia merupakan satu kebebasan.

Kita menganggap ia sebagai sesuatu yang salah kerana ia bertentangan dengan budaya kita. Namun bagi mereka ia adalah hak mereka untuk melakukan perkara seperti meliwat. Ia adalah perkara between consenting adult. Jadi bila kita tangkap seseorang yang melakukan liwat mereka tidak faham kenapa dia ditangkap. Kenapa perlu ditangkap kerana bagi mereka ia satu perkara biasa yang dilihat sama dengan perhubungan biasa antara lelaki dan wanita.

Oleh itu bagi dia kita melakukan perkara yang tidak secocok dengan kebebasan. Mereka melihat apa salahnya dengan melakukan liwat kerana ia adalah satu perkara biasa. Namun bagi kita ia merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan satu jenayah. Oleh itu kita adalah berbeza dimana kita ada batasan dan nilai yang berbeza namun tetap mengamalkan demokrasi.

Pada pandangan Tun apakah PKR dan DAP ini ada hubungan dengan Barat dan jika benar adakah ia mampu mengancam negara?

DR. MAHATHIR: Saya memang tahu Anwar ada hubungan yang rapat dengan Barat. Bagi saya kawan-kawan beliau ini tidak boleh diterima seperti Paul Wolfowitz dan beberapa lagi yang boleh kita anggap sebagai golongan neokonservatif. Dan masalah ini masih berlaku walaupun AS kini dipimpin oleh Presiden Barack Obama.

Namun Obama kena jaga populariti beliau. Sebenarnya ramai juga orang yang sokong neokonservatif seperti yang dilakukan oleh mantan Presiden George W. Bush. Obama bernasib baik kerana presiden sebelumnya terlalu buruk sehingga orang ramai tidak boleh menerima calon dari partinya (Republikan) dan memilih orang dari parti lain untuk perubahan). Dan Obama telah menjanjikan perubahan ini.

Tetapi walaupun Obama menjanjikan perubahan, ada perkara yang beliau boleh ubah dan ada yang tidak. Umpamanya hubungan dengan Israel beliau tidak boleh ubah.

Bagaimana dengan pandangan bahawa Anwar dan PKR ini mempunyai unsur-unsur pengkhianatan kepada negara?

DR. MAHATHIR: Ini terpulang kepada kita untuk mentafsir sama ada mereka ini pengkhianat atau tidak. Hakikatnya Anwar hanya mengutamakan dirinya. Kalau dia terpaksa memburukkan bangsanya sendiri asalkan dia untung, dia akan lakukannya. Ini kerana Anwar mempunyai karakter yang sebegitu.

Jika dilihat ketika dia masuk UMNO dulu pun tujuannya jika dia masuk Pas dia tidak boleh menjadi perdana menteri tetapi melalui UMNO dia boleh. Masuk sahaja dia hendak jadi ketua. Bila bagi peluang dia hendak jadi Ketua Pemuda kemudian Naib Presiden kemudian Timbalan Presiden. Jadi dia anggap UMNO ini adalah alat bagi beliau untuk menjadi perdana menteri sahaja. Bukan kerana cintakan bangsa dan negara tetapi kerana cintakan Anwar. Dia bukan memperjuangkan demokrasi dan fahaman lain yang digunakan AS untuk orang ramai tetapi untuk dirinya sendiri.

Tapi masa beliau dalam UMNO dulu beliau tidak berapa hendak perjuangkan sangat perkara ini tetapi kini beliau menggunakan strategi ini untuk memperjuangkan dirinya. Malah Pas kini pun sudah diperalatkan oleh Anwar. Orang tahu beliau terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral tetapi kerana hendak tawan hati Pas dan mereka yang berpegang kuat kepada agama maka dia pun menunjukkan dirinya sebagai orang yang boleh jadi imam dan baca khutbah. Tetapi apabila berhadapan dengan pihak lain seperti mereka yang liberal Anwar akan menukar karakternya. Jika berhadapan dengan orang India maka dia akan memenuhi tuntutan kaum India pula. Semua ini dilakukannya asalkan beliau mendapat undi.

Satu perkara tentang Anwar ialah beliau akan cuba mengheret mereka yang tidak memihak kepadanya ke mahkamah dengan tuntutan saman. Saya sendiri menjadi mangsa dan disaman RM100 juta kerana saya kata dia terlibat, mengikut keputusan mahkamah yang tidak kata dia tidak terlibat. Tetapi mahkamah kata hari ini beliau tidak terlibat tetapi pada hari lain Anwar terlibat.

Saya hanya mengulang apa yang dikatakan mahkamah dan kemudian serta merta dia menyaman saya dan kemudian kes menjadi sub judice. Dan saya tidak dibenarkan bercakap tentang itu dan itulah caranya.

Sekarang ini beliau takut ke mahkamah dan Anwar cari pelbagai alasan dengan mengatakan orang itu tidak betul dan orang ini bias dan sebagainya. Beliau akan cari jalan supaya perbicaraan ini tidak dijalankan.

Namun ada perkara yang beliau tidak berani buat iaitu bersumpah dalam masjid dengan menjunjung al-Quran. Beliau kata dia ada bersumpah tetapi itu karut, bukan dengan mengangkat tangan dan menyebut dia tidak melakukannya kerana sebagai orang Islam ada cara yang perlu diikuti. Kenapa Anwar perlu takut. Saiful berani melakukannya tetapi Anwar tidak berani buat.
Makhluk halus di bulan Ramadan

Untung Sabut Timbul
Oleh Zin Mahmud

RAMADAN 2009 akan diingati sebagai bulan suci yang dibayangi oleh penyakit selesema babi, di mana kesudahannya tidak ada siapa boleh dijangka kerana kajian saintis pun belum sampai ke situ.

Seperti kata Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zakuan Zainy Deris ‘‘Hanya Allah mengetahui bila wabak ini akan berakhir. Kita berdoa semoga wabak ini selesai dengan cepat. Dijangkakan di akhir tahun ini vaksin akan memasuki pasaran. Dengan itu, insya-Allah vaksin berkenaan dapat mencegah penularan virus selesema.’’

Jika wabak selesema babi ini berterusan dan keadaan bertambah buruk, pemergian ke luar negara juga akan terjejas, termasuklah untuk melaksanakan ibadat umrah dan haji. Apabila berlaku kemudaratan, yang wajib pun boleh jadi haram.

Selesema babi tidak berpunca daripada babi tetapi makhluk halus mikroorganisma iaitu virus. Babi hanya menjadi hos, maka ia dinamakan selesema babi.

Virus dalam bentuk yang pelbagai dipercayai sudah ada di muka bumi lama sebelum adanya manusia. Maka dalam perkembangannya, mereka bermutasi untuk menjadi pelbagai jenis virus. Mereka menjangkiti haiwan, antaranya terkhusus untuk mamalia.

Maka spesies selesema babi yang dinamakan sebagai Influenza A H1N1 ini juga menjadikannya sebagai hos. Selain babi, burung dan manusia juga turut dijadikan hos. Virus ini hanya bertindak menurut fitrah yang ditetapkan oleh Ilahi kepadanya. Ia seperti makhluk lain, mahu membiak. Sifatnya adalah menjangkiti babi dan manusia untuk penyebaran kandungan genetik di dalamnya. Dalam perjalanan penyebarannya, dia mutasi dan wabak ini boleh hilang apabila variasi atau strain lain muncul dalam bentuk berbeza dan tidak membahayakan manusia lagi.

Ataupun lebih dahsyat lagi jika ia bergabung dengan virus selesema burung H5N1 menghasilkan keupayaan membunuh manusia yang lebih tinggi.

Virus menjalankan fitrahnya. Sementara manusia juga melaksanakan fitrahnya untuk mempertahankan diri daripada dijangkiti dan dibunuh. Tetapi hakikatnya virus ini tidak boleh bergerak ke mana-mana tanpa dibawa oleh hosnya.

Apabila babi bergerak, maka virus ini turut menumpang mamalia itu juga. Begitu juga manusia. Jika manusia yang dijangkiti virus ini bergerak, barulah virus ini dapat ke sana sini. Jika tidak, ia hanya ada di situ sampai mati.

Membunuh

Pada zaman-zaman dahulu, pastinya berlaku juga wabak selesema yang membunuh, tetapi kerana pesakit tidak bergerak mana-mana, ia terhenti di situ. Tetapi kali ini keadaan jauh berbeza. Dalam masa beberapa bulan seorang kanak-kanak dijangkiti selesema babi daripada seekor babi di Mexico, ia kini tersebar ke seluruh dunia dengan Malaysia menjadi negara yang berat tertanggung.

Virus itu tidak mampu untuk bergerak dari Mexico secara bersendirian kecuali dengan menunggang hosnya. Babi juga tidaklah bergerak begitu jauh dan luas. Maka hosnya yang paling membantunya ialah manusia. Ini kerana manusia bergerak jauh dan luas. Tetapi manusia pula tidak dapat bergerak tanpa menggunakan keupayaan teknologi pesawat terbang.

Tanpa pesawat terbang, manusia dan virus yang dibawanya tidak akan ke mana. Mereka mungkin terperosok di sebuah perkampungan di Mexico dan hilang begitu saja.

Maknanya kini, penyebaran Influenza A H1N1 ini berlaku di atas hos manusia dan kapal terbang. Kapal terbang adalah teknologi ciptaan manusia. Maka virus ini berada dalam tubuh manusia untuk disebarkan ke lebih banyak manusia melalui pengangkutan ciptaan manusia.

Tetapi bukan saja kapal terbang yang membolehkan virus ini bergerak dari benua ke benua yang lain. Apabila ia sampai di sesebuah negara, penyebarannya juga pantas dilakukan apabila manusia menggunakan lebuh raya untuk beredar cepat ke kota-kota lain daripada lapangan terbang, tempat ia mendarat.

Faktor yang meluaskan lagi penyebaran virus ini ialah sifat manusia yang kini banyak tinggal di kota-kota raya yang padat, maka lebih mudahlah ia merebak. Dengan satu bersin saja, tentu ramai orang yang menaiki komuter akan dijangkiti virus itu.

Dalam kota, virus ini dapat meluaskan penaklukannya terhadap manusia melalui alat pengangkutan canggih seperti bas dan komuter. Sekali lagi teknologi ciptaan manusia digunakan oleh virus melalui manusia yang dijangkiti untuk memperluaskan kehadirannya.

Tetapi manusia pun tidak duduk diam. Otak yang mencipta kota, komuter dan kapal terbang ini juga mampu berusaha menentang kehadiran virus ini. Selain daripada mereka menyusun semula kehidupan dengan memakai penutup mulut, manusia juga mendapatkan vaksin.

Tamadun manusia hari ini yang memungkinkan penyebaran virus melalui teknologi juga memungkinkan mereka menemukan cara bagi melawan virus ini. Sistem pembuatan dan perniagaan manusia membolehkan ubat ini dipasarkan ke seluruh dunia.

Apabila siap dibuat, ubat pelali itu akan mencegah manusia dijangkiti oleh virus Influenza A H1N1. Dalam hal ini, manusia baru dapat menundukkan salah satu jenis makhluk halus. Tetapi banyak lagi makhluk halus yang akan muncul silih berganti mewarisi virus selesama babi ini. Begitulah edarannya dan manusia harus faham bahawa kesemua ini adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT tentang bagaimana proses kehidupan berjalan saban zaman yang akhirnya muncul dalam keadaan yang manusia berusaha untuk memahaminya.

Manusia hanya dapat memahami mengenai selesema apabila menemui makhluk halus yang dinamakan virus itu. Bidang virologi daqn mikrobiologi yang berkembang memungkinkan pemahaman ini.
Segalanya kerana niat

Minda Dr. Maza

MENJELANG Ramadan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita.

Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut. Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah SWT, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian...” Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang diatur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya. Niat adalah keazaman seseorang untuk melakukan sesuatu tindakan.

Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali.’’

Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was.

Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan.

Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat.

Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu.

Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?

Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?

Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat Zuhur. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat Zuhur bersama imam.

Amalan hati

Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144). Dr. Yusuf al-Qaradawi pula menyebut: Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah.

Tidak diketahui daripada Nabi SAW, tidak juga dari para sahabah dan para tabi‘in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat Zuhur, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan Ramadan dan sebagainya.

Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was.” (http//:qaradawi.net).

Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.

Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.

Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi SAW menyebut dalam hadis qudsi: “Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.

Jika roh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.

Kemarau

Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.

Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat. Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?
Pamuk dan Islam di Turki

WARTAWAN juga menulis sejarah, demikian dinyatakan oleh sesetengah daripada golongan tersebut. Inilah yang dilakukan oleh Orhan Pamuk, Wartawan Turki yang memenangi Hadiah Nobel jurusan Sastera pada tahun 2006.

Beliau antara novelis paling terkemuka di negaranya setelah menjual lebih tujuh juta buku dalam 50 bahasa asing. Antaranya: My Name is Red, The Black Book, The New Life, The White Castle, Istanbul: Memories of a City and Snow.

Lahir di Istanbul pada tahun 1952, Pamuk membesar dalam satu keluarga kaya tetapi kian merosot status mereka sebagai golongan borjuis dan ini diceritakan dalam beberapa buah novelnya, demikian menurut catatan dari Wikipedia, ensaiklopedia bebas.

Seterusnya disebut hal-hal berikut mengenai dirinya:

Beliau lulus dari Institut Kewartawanan Universiti Istanbul dan kemudian menulis novel pertama. “Beliau beragama Islam dan menyifatkan dirinya sebagai budayawan yang mengaitkan identiti sejarah dengan budaya bersabit agama itu.”

Beliau berkahwin dengan Aylin Turegun, seorang sejarawan yang menuntut di Universiti Columbia, New York dan Pamuk sendiri menulis novelnya. Mereka kembali ke Istanbul yang berupa kota paling disayanginya.

Pada tahun 2006, Pamuk menghadapi beberapa tuduhan jenayah setelah menulis secara terus-terang mengenai peristiwa pembunuhan kira-kira sejuta orang kaum Armenia. Beliau kembali ke Universiti Columbia menjadi profesor pelawat. Pamuk juga menyokong perjuangan hak-hak politik kaum Kurdish.

Beliau memenangi beberapa hadiah dari beberapa buah novelnya, termasuk My Name Is Red yang diterjemah dalam 24 bahasa asing. Akhbar New York Times menyiarkan berita: “Bintang baru telah lahir di Timur.”

Buku-bukunya mengisahkan kehilangan identiti kerana pergeseran di antara nilai-nilai hidup Barat dan Timur. Jelas bahawa karyanya kerap menyentuh pertikaian-pertikaian antara Timur dan Barat dan antara tradisi dengan kemodenan serta sekularisme.

Pada tahun 2005 Pamuk membuat kenyataan mengenai pembunuhan kaum Armenia dan Kurdis semasa pemerintahan Empayar Osmaniah. Tuntutan saman jenayah segera diajukan terhadapnya oleh peguam. Rapat-rapat umum membakar buku-bukunya diadakan di sana-sini.

Namun, pada tahun 2006 Pamuk menerima Hadiah Nobel jurusan sastera, warga Turki yang pertama menerimanya. Juga pada tahun 2006 majalah Time, Amerika menyenaraikan Pamuk sebagai seorang dari 100 orang yang menjadi teladan seluruh dunia.

Antara yang mengajukan pelbagai hujah pro dan kontra Islamisme dan sekularisme ialah karya Pamuk berjudul Snow. Naskah asal dalam bahasa Turki terbit pada tahun 2002 dan terjemahan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2004.

Kisah bermula apabila seorang wartawan bernama Ka ditugaskan melapor pelbagai kekecohan yang berlaku di bandar Kars berhampiran sempadan Armenia, dan salji terus-menerus menghujani segalanya.

Berlaku di waktu itu ialah peristiwa-peristiwa bunuh diri di kalangan sebilangan gadis dan pihak Islam diduga memenangi pilihan raya majlis perbandaran. Dianggap menjadi simbol politik Islam ialah pemakaian tudung oleh para wanita.

Dalam pada itu pejabat pelajaran negeri melarang gadis-gadis yang bertudung meneruskan persekolahan di darjah masing-masing. Berikutan itu pengarah jabatan tersebut ditembak. Dicatat selanjutnya ialah pelbagai hujah dan pendapat antaranya:

Intelektual yang sekular begitu mudah menuduh seseorang wanita bertudung mempunyai motif politik. Bahawasanya juga istilah “politik Islamis” adalah kata-kata yang digunakan oleh pihak Barat dan yang sekular terhadap orang-orang Islam yang sedia berjuang untuk agama mereka.

Seorang yang dipanggil sheikh mengingatkan: “Jangan lupa bahawa orang-orang angkuh yang terlalu membesarkan diri sendiri biasanya keseorangan diri akhirnya. Ingat bahawa keangkuhan yang menyebabkan syaitan direjam.”

Ada manusia yang berpangkat besar tidak percaya kepada Tuhan. “Mereka percaya apa yang dipercayai oleh orang Eropah dan dengan itu menganggap diri mereka lebih besar dari rakyat biasa.

Gembira

Rasa gembira dan puisi hanya seketika saja seiringan. Kerana, kemudiannya rasa gembira menyebabkan puisi menjadi sesuatu yang kasar dan puisi pula menghilangkan rasa gembira seseorang itu.

Dari satu pihak lain suatu tuduhan: Ini adalah tindakan gerakan Islam antarabangsa untuk menjadikan Turki seperti negara Iran.

Ada dua jenis komunis: Pertama ialah mereka yang angkuh dan mahu mengubah rakyat jelata menjadi manusia handal serta membawa kemajuan kepada negara. Satu lagi ialah mereka yang berjiwa murni yang mahu terlibat kerana ingin persamaan darjat dan keadilan.

Golongan yang angkuh mahu merebut kuasa dan mengatur segalanya bagi sesiapa saja, manakala yang murni merosakkan kepentingan diri mereka sendiri saja. Demikian antara makluman yang diterima ialah Ka dari pelbagai pihak.

Dalam melaporkan perkara-perkara yang berlaku di Turki pihak media Barat kerap menyiarkan berita dan gambar rapat umum golongan sekular. Sebaliknya mereka tidakpun menyebut mengenai ramainya makmum sembahyang di masjid pada hari Jumaat hingga meliputi perkarangan luar masjid.

Ini antara yang disaksikan sendiri oleh tukang catat ini ketika melalui tanah besar Anatolia dan singgah di Konya. Demikian juga seperti disebut oleh Allahyarham Tan Sri Hashim, Hakim Mahkamah Tinggi ketika berkunjung ke Turki dan sembahyang Jumaat di masjid.

Juga tidak pernah disebut oleh media Barat ialah ramainya jemaah haji dari Turki setiap musim haji. Tiap kali ramai, pegawai di Arab Saudi di Mekah memberitahu tukang catat ini.

Di samping itu ialah bantuan yang diberi oleh jabatan agama Turki kepada sebuah masjid di negeri Jepun. Hal ini dilaporkan dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris terbitan pihak Jepun.

Wajar dicatat ialah sumbangan Mustafa Kamal Attaturk (1881-1938) pegawai tentera dan kemudian melahirkan Republik Turki. Beliau dan bala tenteranya berjaya menewaskan tentera Greek yang mahu menakluki Anatolia (1919-22). Attaturk memulihkan kedaulatan Turki dan menjadi Presiden pertama Turki kemudiannya (1923-38).

Molek dicatat ialah dua tajuk bab cerita oleh Orhan Pamuk dalam novelnya Snow:

Apakah mereka sembah Tuhan lain di Eropah? Saya tak mahu membicarakan iman diri saya dengan seorang yang tidak percayakan Tuhan.

Utusan ni pon bukan perkauman ker Dr hehe?

Ancaman akhbar perkauman kepada perpaduan

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

POLITIK perkauman di Malaysia, bukan sekadar dapat dilihat dengan kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum, tetapi media massa turut sedemikian sifatnya, terutama media cetak seperti yang ditunjukkan oleh akhbar dan majalah Cina. Mereka ini seolah-olah tidak boleh disentuh. Serangan dan kecaman akan dilakukan kepada mereka yang tidak sehaluan untuk mempertahankan tindakan mereka.

Inilah akibatnya apabila kita tidak menguatkuasakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lebih malang lagi, kita tidak mengenakan sebarang syarat agar makalah perkauman tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kesempatan ini dipergunakan dengan seluas-luasnya untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka. Akhirnya, mereka hidup dalam kepompong kiasu dan perkauman yang amat menebal. Menanamkan kebencian terhadap mereka yang difikirkan sebagai ancaman, seperti nasib yang menimpa saya.

Berita sebegini biasanya mendapat sambutan dan mudah dipercayai oleh pembaca mereka. Terbaru akhbar Nanyang Siang Pau memetik beberapa pendapat orang Cina antara lain mereka menyifatkan saudara Cina Islam cuba mendapat simpati orang Melayu dengan menonjolkan keislaman mereka.

Saya ingin menegaskan saudara Islam Cina tidak perlu berbuat demikian terhadap orang Melayu, kerana sifat agama Islam itu sendiri sudah mengajar orang Melayu untuk menerima sesiapa sahaja yang memeluk Islam, tanpa mengira apa latar belakang bangsanya.

Orang Melayu yang memahami Islam tidaklah seburuk yang disangka. Toleransi mereka amat tinggi. Jika mereka boleh menerima orang Cina yang berhijrah ke alam Melayu sebegitu ramai, sehingga menggugat kedudukan mereka sendiri selaku pribumi, adalah tidak mustahil untuk mereka menerima saudara baru Cina Muslim seperti kami. Cuma saya amat hairan, kenapa sehingga ke hari ini, amat sukar untuk orang Cina menerima Cina Muslim sebagai sebahagian daripada mereka?

Inilah sifat Melayu Islam yang amat saya puji. Mereka tidak seperti sesetengah pihak lain yang ultra kiasu. Saya tidak memerlukan simpati sesiapa untuk menulis sesuatu yang benar. Apatah lagi untuk dibayar oleh UMNO seperti yang didakwa oleh akhbar Cina.

Kemuliaan seseorang ditentukan oleh iman dan takwanya, bukan bangsa dan warna kulit. Inilah kemuliaan agama Islam yang bersifat sejagat dan menentang sebarang tindakan perkauman. Dengan sebab itu, tidak sukar untuk orang Melayu menerima orang lain, berbanding dengan mereka yang hanya hidup dalam kepompong kiasu, terutama akhbar yang suka mengecam dan memburuk-burukkan orang lain.

Jika hujah atau fakta saya salah, mari kita perbetulkan bersama dengan hujah dan fakta yang ilmiah, bukannya mengecam dan menanamkan rasa kebencian. Tindakan sebegini adalah amat tidak profesional.

Sebelum saya pergi lebih jauh, izinkan saya menyelusuri sejarah akhbar perkauman ini serba sedikit. Sebenarnya bilangan akhbar harian Cina lebih banyak daripada akhbar harian berbahasa Melayu di bumi Melayu. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bahasa sendiri selaku bahasa kebangsaan ketinggalan di bumi sendiri. Bahasa orang lain menguasai bidang persuratkhabaran dan media massa, sehingga bahasa kebangsaan dikesampingkan. Lebih malang lagi, rata–rata orang Melayu tidak boleh memahami berita dan laporan akhbar perkauman tersebut. Manakala, akhbar Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibaca oleh bukan Melayu.

Jika ditinjau daripada dahulu, laporan akhbar-akhbar ini tidak pernah berubah. Laporannya bersifat perkauman dan kiasu. Sentimen ini selalu dimainkan untuk meraihkan sokongan rakan sebangsa mereka. Dengan cara ini juga, akhbar ini dapat bertahan lama dan meraih keuntungan. Pemikiran mereka tidak pernah berubah, terutama dalam isu-isu ketidakpuasan terhadap dasar-dasar kerajaan yang lebih memihak kepada orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Inilah budaya popular yang selalu digunakan untuk menaikkan semangat dan sentimen orang Cina. Fakta ini pernah diakui oleh Penasihat Parti Gerakan, Lim Keng Yaik yang mengatakan akhbar di Malaysia hanya memperjuangkan satu-satu bangsa sahaja. Akhbar Cina dengan sentimen kecinaannya, manakala akhbar Melayu dengan sentimen kemelayuannya. Stail pemberitaan sebegini kata Keng Yaik amat sukar untuk mewujudkan bangsa Malaysia.

Persoalan saya, bolehkah diwujudkan bangsa Malaysia, jika akhbar bahasa lain yang lebih mendominasi akhbar bahasa kebangsaan? Akhbar bahasa Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibeli dan dibaca oleh masyarakat bangsa Cina, kecuali oleh mereka yang berada di Sin Chew, Nanyang Siang Pau, China Press dan lain-lain akhbar Cina. Tujuannya tidak lain untuk mencari berita-berita sensasi untuk lebih disensasikan supaya menjadi lebih kiasu.

Walaupun kadang kala akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia menyampaikan dan menulis berita-berita berbau perkauman, sekurang-kurangnya mereka berterus-terang. Bahasa akhbar tersebut dapat difahami oleh semua warga Malaysia, termasuk mereka berada dalam sektor persuratkhabaran Cina. Persoalannya, bagaimana dengan akhbar bahasa lain? Apa yang diberitakan, tidak sampai langsung kepada orang Melayu.

Perkauman

Saya yakin, jika orang Melayu faham bahasa Mandarin, mereka akan merasa terkejut dengan laporan akhbar perkauman ini. Maka sudah sewajarnya akhbar itu diwajibkan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai sisipan untuk difahami oleh semua kaum supaya tidak timbul prasangka. Apatah lagi kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan perlu dihormati dan dipatuhi.

Menurut A.F. Yasin (1986), sejarah persuratkhabaran bukan Melayu di Tanah Melayu khususnya akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil, dilihat tidak mencerminkan semangat nasional, tetapi lebih mementingkan kelompok sendiri.

Sejak dahulu lagi, akhbar-akhbar ini langsung tidak menghiraukan hal-hal berkaitan Tanah Melayu di negara tempat mereka berlindung, tetapi lebih kepada isu-isu kaumnya sahaja. Akhbar bukan Melayu lebih cenderung kepada pembacanya, dan prasangka atau ‘penyerangan’ kepada bangsa Melayu, diberatkan lagi dengan adanya kecenderungan berkiblat kepada negara asalnya. Akhbar Inggeris berkiblat kepada penjajah dan Eropah, sementara akhbar Cina menjadi medan pertarungan ideologi yang berlaku di Tanah Besar China.

Ketika itu, banyak tenaga penggerak akhbar Cina ini diimport khas dari Hong Kong dan China. Kajian beliau juga menunjukkan, dari segi sejarahnya suara Cina sentiasa kontra dengan suara Melayu. Sejarah awal akhbar Cina bermula pada penghujung abad ke-19 dengan menonjolkan usaha imigran dan pedagang Cina berkaitan berita-berita ekonomi melibatkan perniagaan dan perdagangan. Bermula dengan akhbar The Chinese Monthly Magazine yang diterbitkan pada 6 Ogos 1815.

Pada tahun 1881, lahir akhbar harian Cina yang pertama Lat Pau (1881-1932), mengambil format dan bentuk akhbar Cina di China dan Hong Kong. Lat Pau mempunyai pengaruh yang kuat ke atas orang Cina kerana liputan beritanya membela kepentingan orang Cina dan berita-berita negeri China.

Hayat Lat Pau tidak lama kerana mendapat saingan yang kuat dari Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. Antara akhbar lain yang tidak dapat bertahan lama seperti Lat Pau ialah Thien Nan Shih Pao (1898-1905), Jit Shin Pao (1899-1901) dan Theo Lam Jit Poh (1904-1905). Akhbar Cina yang kekal sehingga ke hari ini ialah Sin Chew Jit Poh (15 Januari 1929) dan Nanyang Siang Pau (6 September 1923) dikuasai sepenuhnya oleh ahli perniagaan dan politik Cina.

Manakala akhbar China Press adalah akhbar perkauman Cina yang telah ilhamkan oleh H.S. Lee pada tahun 1 Februari 1946. Akhbar ini pernah diharamkan suatu ketika oleh mahkamah, terutama selepas insiden 13 Mei 1969. Akhbar ini amat berbau perkauman. Untuk makluman, sebenarnya, akhbar inilah yang paling mendapat sambutan dari kalangan masyarakat Cina berbanding akhbar lain kerana keberanian melaporkan sesuatu isu termasuk menyentuh isu-isu sensitif orang Melayu dan Islam. Akhbar ini diterbitkan dua kali sehari. Saya amat hairan, kenapa China Press tidak menggunakan Cina Press.

Apakah niat mereka menggunakan nama China? Saya fikir China Press sahaja yang boleh menjawab akan kiblat mereka.

Sehingga kini, isu-isu perjuangan mereka masih sama, tidak banyak berbeza. Misalnya, hal-hal pendidikan, ekonomi, ketuanan Melayu (pribumi) antara isu-isu yang terus diperdebatkan sehingga kepada kemuncaknya pada tahun 1987. Kesimpulan kajian yang dibuat mereka yang mengkaji sejarah akhbar Cina menunjukkan bahawa akhbar-akhbar berasaskan etnik ini memang tidak lari daripada sentimen perkauman dan kiasu. Mereka kerap ‘menyerang’ orang Melayu dan Islam.

Saya masih ingat ketika akhbar Cina melaporkan berita Perhimpunan Agung UMNO ke-57 (13-17 November 2006). Memang tidak dinafikan, isu-isu perkauman terus dimainkan oleh UMNO. Akhbar-akhbar yang dikuasai oleh orang Cina terus memanipulasikan isu-isu perkauman yang dibincangkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat Cina. Presiden UMNO ketika itu terpaksa campur tangan dengan memberi amaran kepada beberapa akhbar Cina supaya tidak memainkan sentimen perkauman selepas beberapa perwakilan UMNO membangkitkan isu-isu sensitif yang meresahkan sesetengah kaum bukan Melayu.

Menurutnya, UMNO boleh bercakap tentang agenda Melayu, MCA juga boleh bercakap soal agenda Cina, begitu juga MIC dengan agenda India. Apa yang penting ialah agenda nasional. Persoalan saya, bagaimana agenda nasional boleh sampai ke akar umbi jika kita terus berada dalam kelompok perkauman dan kiasu?

Jelas di sini bahawa persepsi masyarakat Cina menjadi semakin serius apabila media perkauman suka memperbesar-besarkan (mensensasikan) isu-isu popular yang berhubung kait dengan status agama Islam dan hak istimewa bangsa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Isu ini dipergunakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang akan berlaku. Sesuatu yang tidak menyebelahi mereka akan diperjuang habis-habisan. Manakala, isu yang menyebelahi mereka disenyapkan begitu sahaja.

Natijahnya, timbullah pelbagai persepsi yang tidak sihat. Persepsi sebeginilah menjadi hubungan kaum semakin renggang.
Faktor penentu di selatan Thai

PADA 19 September 2006, dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa di Thailand yang dilakukan oleh pihak tentera. Tindakan berkenaan dilaksanakan atas arahan Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Walaupun ada kesempatan untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu, namun Sonthi berjiwa besar apabila menyerahkan kepada rakyat menentukan kerajaan seterusnya bagi menggantikan kerajaan yang dipimpin oleh Thaksin Shinawatra.

Kini setelah bersara dari bidang ketenteraan, Sonthi menumpukan perhatian untuk membawa keamanan di selatan Thailand. Bagi Sonthi, konflik di wilayah itu harus ditamatkan segera, apatah lagi dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan yang ada sekarang.

Dalam pertemuan khas dengan wartawan Mingguan Malaysia ZULKIFLEE BAKAR di Hotel Imperial, Pattani, Thailand, Sonthi memberikan pandangan mengenai pergolakan di wilayah itu. Sonthi berpendapat, walaupun usaha untuk melihat kedamaian di wilayah berkenaan masih jauh namun ia harus diusahakan demi masa depan umat Islam.

Wawancara itu diadakan sehari sebelum Sonthi melancarkan penubuhan Parti Matubhum atau Parti Bumiputera yang bakal menjadi ‘kenderaan’ politiknya.

MINGGUAN: Apakah pandangan Jeneral berhubung keadaan di selatan Thailand sekarang?

SONTHI: Secara peribadi sebagai seorang jeneral tentera yang bersara, saya berpendapat kejadian keganasan di wilayah berkenaan semakin menurun berbanding dahulu. Walaupun terdapat kemusnahan harta benda setiap kali keganasan berlaku, namun ia perkara biasa. Apa yang penting tindakan ganas tidak lagi meningkat.

Pada masa ini, kita lihat kerajaan menggunakan kekuatan anggota tentera yang agak berlebihan. Bagi saya, langkah itu boleh menjadi alasan kepada pihak musuh untuk meningkatkan tindak balas kerana merasakan kedudukan mereka terancam.

Selain itu, kehadiran anggota tentera yang ramai juga akan mewujudkan pelbagai bentuk pergaulan dengan masyarakat yang sukar untuk dikawal. Keadaan ini akan menimbulkan pandangan masyarakat yang akan mengaitkan tingkah laku anggota tentera dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Ada yang berpandangan melalui kehadiran tentera itu, ia akan mampu mengurangkan tindakan keganasan oleh puak pemisah, apa pandangan Jeneral?

SONTHI: Tidak juga. Ia kerana sebenarnya kehadiran anggota tentera yang ramai telah membolehkan pihak musuh menjadikannya sebagai alasan untuk melancarkan serangan.

Bagi saya, cara menyelesaikan masalah hendaklah melalui pendekatan politik bukan ketenteraan. Sebab itu saya tegaskan, cara yang terbaik ialah menggunakan masyarakat untuk menyelesaikan masalah, pihak tentera hanya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa dan harta benda sahaja.

Dalam usaha menyelesaikan konflik di selatan Thailand, apa yang paling penting, ia mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas dan melibatkan masyarakat setempat. Ini termasuklah penglibatan oleh Ketua Kampung, Penggawa, Jawatankuasa Kemajuan Kampung, pemimpin masyarakat dan pemimpin agama.

Namun begitu kita harus memahami usaha untuk mewujudkan keamanan yang kekal di wilayah tersebut sudah pasti memerlukan tempoh masa yang panjang. Apatah lagi dengan sikap sebahagian besar daripada masyarakat setempat tidak mahu terlibat dalam usaha ini.

Sebenarnya, mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas tidak ramai. Saya percaya kalau kita berjaya mengurangkan tuntutan masyarakat dan memberi keadilan kepada mereka, keamanan mampu dicapai dalam tempoh yang pendek.

Selain itu, saya juga yakin mereka yang terlibat melancarkan tindakan keganasan akan berubah sikap suatu hari nanti apabila usia mereka semakin meningkat dan berkeluarga. Selain itu keamanan juga akan wujud apabila masyarakat mendapat layanan dengan adil. Ini asas untuk mewujudkan keamanan, tetapi dalam situasi sekarang mustahil untuk menghentikan pergolakan atau keganasan dengan serta-merta.

Bolehkan Jeneral jelaskan apa yang dimaksudkan dengan keadilan ?

SONTHI: Keadilan yang dimaksudkan adalah dari segi perundangan, bukan melalui tindakan kekerasan. Undang-undang Thailand mengambil masa yang panjang untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman bagi sesuatu kes. Semuanya bergantung kepada bukti yang dikemukakan. Oleh itu kita mesti menggunakan undang-undang untuk mendapat keadilan.

Tetapi kalau dilihat dari segi keadilan itu, kes di Takbai contohnya, apabila ia dibawa ke mahkamah, keputusan akhirnya tidak menyebelahi rakyat dan ini menyebabkan mereka menganggap tidak mendapat keadilan. Adakah perkara ini akan menyulitkan lagi proses keamanan?

SONTHI: Dalam kes Takbai atau mana-mana kes yang dibicarakan, mahkamah perlu mempunyai bukti yang kukuh dan saksi sebelum menjatuhkan hukuman ke atas pelaku terbabit.

Bagaimanapun, pada pendapat saya secara peribadi, kerajaan yang ada pada hari merupakan kerajaan yang begitu berhati-hati dalam melaksanakan undang-undang dan telah melaksanakan dengan betul dan telus.

Bagaimana pula dengan usaha mengadakan rundingan dengan puak bersenjata supaya mereka menghentikan tindakan ganas mereka?

SONTHI: Sebenarnya semua pihak dalam kerajaan ingin mengadakan rundingan, namun perbincangan tidak wujud atau tidak dapat dilakukan. Ia disebabkan pihak yang melakukan keganasan tidak mendedahkan diri mereka.

Kalau berdasarkan kepada jawapan itu, bermakna harapan untuk melihat kedamaian itu masih jauh, apa komen Jeneral?

SONTHI: Tidak jauh jika kumpulan bawah tanah mempunyai susunan organisasi yang tertentu dan memiliki ketua. Jika ini dapat dilakukan sudah pasti rundingan dengan pihak kerajaan mampu dilaksanakan.

Tetapi ketika ini, apa yang diharapkan itu tidak ada memandangkan di kalangan puak pemisah sendiri sama ada PULO atau BRN tidak bersatu. Kita tidak tahu siapa ketua sebenar mereka.

Jadi bagaimana pihak kerajaan Thailand hendak berunding dengan kumpulan pemisah?

SONTHI: Walaupun di pihak kerajaan, mereka bersedia berunding dan banyak agensi boleh berbuat demikian tetapi ia tidak dapat dilaksanakan. Semuanya bergantung kepada puak pemisah. Kita tidak tahu dengan siapa harus berunding memandangkan mereka (puak pemisah) banyak kelompok. Apabila datang berbincang didapati mereka itu bukan puak pemisah yang sebenar. Hakikatnya, sehingga ke saat ini masyarakat di dalam tiga wilayah selatan Thailand itu sendiri tidak pernah sebut mengenai rundingan dengan puak pemisah. Ia disebabkan setakat ini penduduk tidak berasa mereka terancam.

Sejauh mana masyarakat menerima dan menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan?

SONTHI: Secara peribadi masyarakat menyokong usaha kerajaan. Sebenarnya masalah tuntutan kemerdekaan merupakan satu propaganda kumpulan pengganas. Mereka melihat ia cara mudah untuk mempengaruhi masyarakat, terutama di kalangan mereka yang mempunyai masalah dan tidak mendapat keadilan.

Dalam menghadapi masalah di selatan Thailand, apakah kerajaan Thailand pada pandangan Jeneral boleh memberikan jaminan keselamatan jika puak pemisah menyerah diri?

SONTHI: Sebenarnya sistem menyerah diri adalah tertakluk kepada undang-undang negara. Tidak ada sesiapapun yang boleh bertindak di luar batas undang-undang. Apabila menyerah diri, mereka terpaksa diproses mengikut undangan-undang. Pihak polis akan membuat soal siasat, sekiranya mempunyai bukti yang kukuh mereka terlibat dalam jenayah dan sebagainya mereka akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

Bagaimana Jeneral melihat komitmen yang diberikan oleh negara jiran terutamanya Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di selatan?

SONTHI: Secara peribadi, saya berpendapat rakyat Thailand melihat Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat maju. Mereka cuba melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh untuk membina corak kehidupan orang Islam.

Malaysia telah banyak memberi bantuan kepada pihak Thailand, tetapi mungkin tidak secara menyuruh. Di peringkat bawahan mereka sentiasa ada perhubungan dan pemberian bantuan.

Dalam keadaan konflik yang berlanjutan sekarang, adakah perlu Persidangan Negara Islam (OIC) terlibat?

SONTHI: Semasa berlaku keganasan dan terdapat beberapa peristiwa yang didakwa masyarakat Islam tidak mendapat keadilan, pihak OIC telah datang ke Thailand. Salah satu prinsip yang dipegang oleh OIC ialah di mana sahaja masyarakat Islam tidak mendapat keadilan mereka akan datang untuk memberi bantuan dan pertolongan.

Bagaimanapun, dakwaan berlakunya diskriminasi atau penindasan ke atas orang Islam di selatan Thailand boleh dipertikaikan kerana dari segi pentadbiran ia dikuasai oleh 80 peratus hingga 90 peratus umat Islam. Ini termasuklah bagi jawatan Gabenor, Pegawai Daerah, Ketua Kampung, Penggawa, Jawatankuasa Kemajuan Wilayah dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

Tetapi kalau dilihat dari laporan media baru-baru ini, ada pihak termasuk kerajaan Thailand tidak begitu selesa kalau OIC campur tangan di selatan Thailand?

SONTHI: Maklumat itu mungkin tidak benar kerana Setiausaha Agung OIC sendiri datang berbincang dengan saya di Bangkok lebih dari satu jam berkaitan dengan masalah di selatan.

Selepas bersara, adakah Jeneral mempunyai hasrat untuk menceburkan diri dalam bidang politik?

SONTHI: Kalau lihat di Malaysia terdapat parti orang Melayu, parti orang Cina, parti orang India dan sebagainya, tetapi di Thailand tidak ada begitu. Di Thailand terdapat orang Islam seramai 10 peratus dari seluruh penduduk negara. Umat Islam yang tinggal di Thailand seharusnya bersatu dan memikirkan sesuatu untuk pembangunan dan kemajuan ummah.

Oleh itu saya berhasrat untuk mewujudkan sebuah parti yang selain memperjuangkan nasib semua rakyat, ia juga bertujuan membantu menaikan taraf hidup umat Islam. Suasana di Thailand berbeza dengan Malaysia iaitu Muslim di Thailand tidak mempunyai kelulusan, oleh yang demikian taraf hidup dan ekonomi mereka tidak begitu baik dan menyebabkan orang Islam tidak ada kemajuan.

Adakah misi Jeneral untuk membangunkan orang Islam di Selatan Thailand atau bagaimana?

SONTHI: Sebenarnya orang Islam di tiga wilayah Selatan Thailand hanya lebih kurang 1.7 orang sahaja, sedangkan umat Islam di Thailand secara keseluruhannya lebih kurang lima hingga tujuh juta orang. Kita mesti menggabungkan umat Islam dari seluruh negara. Walaupun Parti Matubhum yang saya tubuhkan bukan parti Islam tetapi umat Islam paling ramai menganggotainya.

Jeneral membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam politik, kenapa ia tidak dilakukan ketika berlaku rampasan kuasa dahulu, di mana Jeneral boleh terus menjadi Perdana Menteri?

SONTHI: Jika itu saya lakukan sudah pasti dalam sistem demokrasi, saya akan dilabelkan sebagai kuku besi. Saya tidak berhasrat berbuat demikian pada masa itu kerana apa yang penting bagi saya ialah menyelamatkan rakyat.

Saya serahkan kepada mereka menentukan siapa yang mereka mahu untuk memimpin negara, itu lebih demokrasi.

Tetapi tidakkah perbuatan merampas kuasa itu sudah melanggar lunas-lunas demokrasi itu sendiri?

SONTHI: Sebenarnya ukuran kepada demokrasi itu mempunyai banyak perkara. Persoalannya, apakah ketika saya melakukan rampasan kuasa itu, kerajaan yang sedia ada benar-benar mengamalkan demokrasi?

Bagaimana dengan perbuatan mereka membeli undi ketika pilihan raya? Bagi saya, persoalan sama ada kerajaan pada masa itu mengamalkan demokrasi atau tidak, hanya rakyat Thailand sahaja yang mengetahuinya. Namun begitu saya memahami pihak di luar melihat ia dari sudut berbeza.

Apakah harapan Jeneral kepada masyarakat Islam di selatan Thailand?

SONTHI: Mereka perlu bersatu untuk menjadi kumpulan yang kuat. Kita akan cuba untuk memajukan orang Islam dalam pelbagai bidang serta mempunyai peranan dalam politik.

Kenangan bersama P. Ramlee

Oleh Zainuddin Maidin

SAYA tidak boleh mendakwa sebagai seorang wartawan yang rapat dengan Seniman Agung P. Ramlee seperti wartawan- wartawan yang memulakan karier mereka di Singapura sejak awal tahun 50-an ketika bintang seniman itu mula bersinar .

Cuma sekali pada awal tahun 60-an kami wartawan-wartawan dari Kuala Lumpur secara kebetulan bertemu P. Ramlee di Pantai Motel, Kuala Terenganu (sekarang Park Royal Primula) ketika mengikuti lawatan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak ke Terengganu. Bila mengetahui kami adalah wartawan P. Ramlee duduk dan bercerita panjang dengan kami.

Kesan pertemuan pertama itu ialah saya mengingati P. Ramlee di usia mudanya sebagai sebagai seorang lelaki yang kacak, wajahnya kemerahan, tampan, gagah, pandai bercerita dengan cara yang menarik dan tidak menjemukan. Beliau tidak sahaja menarik di dalam filem tetapi juga di luar dalam dirinya yang sebenar, lengkap dan sempurna sebagai seorang seniman. Anda boleh duduk berjam-jam mendengarnya bercerita tanpa jemu. Ramai juga seniman yang saya jumpa perwatakannya kaku dan pendiam di luar sekalipun begitu hebat dalam lakonan.

Sejak pertemuan di Primula itu saya tidak menemuinya lagi kecuali setelah sinaran bintangnya mulai pudar apabila berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1966 dan beliau menjadi teman karib Osman Abadi Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu yang juga seorang penulis skrip filem dan drama yang prolifik.

P. Ramlee sering datang menemui Osman di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dan kerana bilik Osman bersebelahan dengan bilik saya maka saya kerap melihat P. Ramlee sering menghabiskan masanya berjam-jam bercerita dengan Osman.

Oleh kerana kesibukan sebagai Pengarang Berita, saya tidak berkesempatan untuk menjalin hubungan rapat dengannya. Hal ini saya kesalkan hingga sekarang kerana melepaskan peluang untuk mendekati orang yang sukar untuk dicari ganti.

Beberapa episod pertemuan pendek dengan P. Ramlee meninggalkan kenangan yang mendalam kepada saya, mungkin kerana saya tidak banyak berinteraksi dengannya dan pengalaman sesekali bertemu sepintas lalu menjadi begitu berharga.

Suatu insiden yang tidak mungkin saya lupakan ialah apabila saya menyinggung perasaannya ketika menghantar Osman Abadi untuk lawatan ke Amerika Syarikat pada penghujung tahun 60-an.Turut menghantar ialah Sasterawan A. Samad Said dan isteri dari Berita Harian dan wartawan- wartawan Utusan antaranya Zakri Abadi, Subky Latiff (sekarang orang kuat Pas), Ali Salim Ketua Penyunting dan lain-lain lagi anggota Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

Ketika itu P. Ramlee telah mulai dilupakan kerana televisyen telah memberi kesan kepada panggung wayang. RTM satu satunya stesen televisyen pada masa itu kurang memberikan kesempatan kepada P. Ramlee untuk programnya sendiri kecuali menayangkan semula filem-filem lamanya. Di samping itu kemunculan pop yeh yeh (penyanyi tahun 60-an) juga telah melindungi P. Ramlee.

Saya lalu bertanya kepada P. Ramlee “kenapa che Ramlee tidak muncul di televisyen, sekarang orang tidak lagi melihat filem di panggung-panggung wayang seperti dahulu”.

Di luar jangkaan saya pertanyaan dan kenyataan saya itu menimbulkan kemarahannya menyebabkan beliau terus menjawab “You ingat muka I ni murah ke ? Orang macam you tak tengoklah, tetapi orang kampung, petani dan nelayan masih melihat saya. Orang tengok televisyen, orang pergi kencing, pergi buang air besar, orang tidak tumpu macam tengok filem di panggung wayang, orang tak tinggalkan kerusi.”

Saya tahu telah menyentuh perasaannya, tetapi saya tidak berniat untuk merendahkannya.

Lakonan

Tidak lama kemudiannya RTM menayangkan gambar lakonan P. Ramlee Orang Bunian dan secara kebetulan esoknya saya ke Pasar Chow Kit dengan membawa anak perempuan saya yang berumur kira- kira lima tahun. Secara kebetulan terjumpa dengan P. Ramlee sedang minum di Restoran Yusoff Suria berhampiran dengan pasar itu. Saya terus bertanya pada anak saya sama ada kenal atau tidak orang ini? Anak saya terus mengenalinya “Orang Bunian, P. Ramlee”.

Sejak itu P.Ramlee kembali berbaik-baik dengan saya. Saya menyedari hakikat betapa perasaan seniman mudah terluka dan juga mudah disembuhkan dengan penghargaan yang ikhlas.

Bila beliau meninggal pada 29 Mei 1973, saya bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Melayu Pulau Pinang. Saya tidak tahu tentang kematiannya sehingga malamnya setelah Allahyarham dikebumikan kerana pada hari itu saya ditugaskan ke Thailand oleh Ketua Pengarang Mazlan Nordin (Tan Sri).

Ketika sarapan malam isteri saya secara bersahaja memberitahu bahawa P. Ramlee mati. Saya tergamam, tidak dapat lagi menyuap nasi ke mulut. Suatu perasaan yang sukar untuk dimengertikan tiba-tiba menyelubungi jiwa, perasaan kesayuan dan kesepian yang amat memilukan

Isteri saya tidak mengerti perasaan saya ketika itu. Saya tinggalkan meja makan dan pergi ke ruang tamu dan menangis panjang seorang diri. Saya dimaklumkan oleh Osman Abadi beberapa jam sebelum kematiannya pada jam empat pagi 29 Mei 1973, P. Ramlee telah menelefonnya ketika beliau sedang menyiapkan skrip filem Azizah untuk arahan dan terbitan P. Ramlee. Osman tidak dapat memenuhi permintaannya untuk keluar bersama malam itu tetapi telah meminta beliau menyanyikan lagu Azizah untuk mendapat ilham dan penghayatan. Apabila menerima berita kematian itu, Osman terpaksa dipapah untuk menelefon Ketua Pengarang Utusan Melayu Mazlan Nordin.

Saya tidak tahu apa yang berlaku di Kuala Lumpur tetapi di Pulau Pinang pejabat Utusan Melayu di Jalan Argyll didatangi ramai orang yang mahu menyatakan perasaan sedih mereka. Kematiannya lebih dirasakan di Pulau Pinang tempat kelahirannya selain menggemparkan dan mengharukan perasaan peminatnya di seluruh negara.

Berita telah disampaikan kepada saya tentang ada orang tercedera kerana tanpa sedar terjun menerusi tingkap untuk memberitahu jirannya tentang kematian P. Ramlee bila mendengar beritanya di radio.

Anak-anak muda memainkan lagu lagunya sepanjang hari seolah-olah hendak menafikan kematiannya.

Kisah hidup P. Ramlee melariskan jualan akhbar-akhbar Melayu berbulan lamanya sejak lepas kematiannya, tetapi ada juga seorang dua yang menganggap diri mereka sebagai intelektual telah mengecam akhbar- akhbar yang terbawa dalam arus perasaan ini.

Dibanjiri

Kira-kira sebulan sebelum kematiannya P. Ramlee mengadakan pertunjukan di Butterworth yang dibanjiri oleh lebih 40,000 penonton yang seolah-olah hendak menunjukkan kemarahan orang Pulau Pinang terhadap pihak yang menganggap P. Ramlee sudah tidak laku lagi kerana adanya pop yeh yeh. Malam itu tentunya P. Ramlee yang juga sedang dapat merasakan zaman menurunnya telah kembali bersemangat.

Perasaan kehilangan, kesedihan, kemurungan, kesayuan, kepiluan dan keharuan atas kehilangan seniman agung ini menyapu perasaan pelbagai peringkat masyarakat di seluruh negara lebih sebulan lamanya.

Hampir sebulan selepas kematian P. Ramlee , pejuang kemerdekaan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad ) mencatitkan dalam ruangan mingguannya “Itu Ini dan lain-lain” dalam Utusan Melayu “entah kenapa aku merasakan hari-hari yang sungguh sepi.”

Demikianlah perasaan manusia terhadap kehilangan seorang manusia yang telah berjaya membina tugu dalam diri mereka dengan keupayaannya berada dalam tangis dan tawa mereka, kebencian dan kecintaan mereka, keindahan cinta dan kekecewaannya, kebinatangan dan kemanusiaannya..

Tugu P. Ramlee berada dalam jiwa mereka kerana beliau dapat melakonkan dan merasakan apa yang dilakukan dan dirasakan manusia setiap hari dalam kehidupan yang sebenar. Mereka merasakan P. Ramlee adalah mereka.

Lebih 10 tahun selepas kematiannya perbincangan berterusan di dalam media dan juga di kalangan pemimpin politik , budayawan dan sasterawan tentang apakah yang seharusnya dibuat untuk membina kenangan abadi kepada seniman agung P. Ramlee tetapi tidak menghasilkan sebarang tindakan dan pelaksanaan yang konkrit yang benar benar bernilai dan berkesan yang boleh diingati oleh orang ramai setiap masa. Berbagai jawatankuasa juga ditubuhkan untuk tujuan itu.

Saya telah memberitahu Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir tentang keadaan ini ketika beliau menghadiri malam keluarga Utusan sempena 43 tahun Utusan Melayu di Dewan Nirwana Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 6 Jun 1983.

Mahathir memberitahu saya bahawa beliau akan mengambil langkah segera yang benar benar berkesan bagi memperingati jasa seniman agung itu.

Sekalipun ini hanya merupakan bualan saya dengannya tetapi saya telah jadikannya sebagai berita utama Utusan Malaysia keluaran 17 Jun 1983 bertajuk “Mahathir Mahu Langkah Berkesan Kenang Seniman Agung P. Ramlee.”

Berikutan dengan itu pada 6 Julai 1983, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Elyas Omar mengumumkan bahawa Jalan Parry yang merupakan sebuah jalan utama di kawasan perdagangan mahal di ibu kota akan ditukarkan namanya ke Jalan P. Ramlee. Katanya dengan itu setiap orang yang melaluinya akan mengenangnya dan menjadikan P. Ramlee dikenang sepanjang masa.

Pada 14 Julai nama P. Ramlee secara rasmi mengambil tempat di jalan yang penting di ibu negara itu.

Utusan Malaysia 17 Julai 1983 melaporkan “Bagi Mahathir yang mengenali P. Ramlee sebagai seorang yang rajin dan dedikasi terhadap kerjanya menganggap Allahyarham benar-benar seorang seniman rakyat kerana walaupun telah 10 tahun meninggal dunia tetapi masih terus di minati oleh semua generasi tua dan muda.”.

Kata orang, Seniman Agung tidak pernah mati.

Minggu depan: Surat Sudirman dalam penerbangan ke London.
Perbicaraan kedua memisahkan Natrah

Oleh Fatini Yaacob

KALI ini saya akan menjelaskan tentang perbicaraan kedua. Perbicaraan inilah yang memutuskan hubungan Natrah dengan Che Aminah dan suaminya Mansor Adabi. Perbicaraan itu berlangsung pada 20 Disember 1950.

Sebelum perbicaraan berlangsung, orang Melayu dihangatkan oleh akhbar dan majalah Melayu tentang tipu muslihat penjajah. Orang Melayu telah diberi penerangan bahawa pihak Inggeris dan Belanda tidak menyetujui pernikahan Mansor dan Natrah. Orang Melayu di seluruh pelosok negeri diberi penerangan bahawa penjajah akan melampaui batas jika dibiarkan.

Di pihak penjajah pula, Inggeris dan Belanda bersekongkol memainkan perang saraf memburuk-burukkan Che Aminah dan Mansor sebagai perancang licik yang mahu memisahkan Natrah daripada kedua ibu bapa kandungnya setelah Che Aminah yang digelar amah atau orang gaji Adeline, melarikan Natrah dari Bandung.

Bagi mereka, pihak penjajah sengaja mencari sebab untuk mengelakkan warga mereka terlepas ke tangan anak negeri yang dijajah, maka kerana itu Che Aminah di selar sebagai seorang amah atau orang gaji kepada Adeline ibu kandung Natrah.

Bagi penjajah Inggeris dan Belanda pula, demi maruah dan imej negara penjajah, kebenaran tidak penting, sebaliknya penipuan menjadi halal. Maka kerana itu melalui akhbar-akhbar pro Inggeris dan Belanda di Singapura, Inggeris dan Belanda, mahu pun Amerika Syarikat, penipuan demi penipuan dilakukan melengkapkan konsep teori politik dominasi.

Semasa perbicaraan kedua berlangsung pada 20 Disember 1950, orang ramai melebihi 1,000 orang mengerumuni kawasan Mahkamah Tinggi Singapura. Peguam Shearn dan Kenneth Seth menjadi peguam bela Hertogh bapa Natrah, sementara Ahmad Ibrahim (Allahyarham Tan Sri Prof.) Sardon Jubir (Allahyarham Tun) dan John Eber mewakili Natrah, Mansor dan Aminah.

Semasa dipanggil sebagai saksi, Adeline mereka-reka cerita untuk mewajarkan bahawa Che Aminah melarikan Natrah. Menurut Adeline, Natrah diberikan kepada Che Aminah pada 29 Disember 1942, untuk tinggal bersama Che Aminah selama 3 hari. Apabila 3 hari Natrah tidak dipulangkan, Adeline mengayuh basikal ke rumah Che Aminah. Menurut ceritanya di tengah jalan tentera Jepun menahan dan mengurungnya. Apabila Jepun menyerah kalah, kedua-dua suami isteri itu bebas dari tahanan Jepun, mereka terpaksa kembali ke Belanda tanpa Natrah.

Versi kisah Adeline sama sekali berbeza dengan Che Aminah sebagai orang yang berpelajaran tinggi, kaya dan berkedudukan. John Eber yang menghujahkan bahawa pada tahun 1942, Adeline mencadangkan kepada Che Aminah supaya mengambil salah seorang anaknya sebagai anak angkat. Cadangan ini timbul kerana Che Aminah tidak ada anak dan dia mempunyai ramai anak.

Meyakinkan

Adeline juga meyakinkan Che Aminah bahawa dia akan menjelaskan kepada suaminya mengenai penyerahan anak itu. Adeline menyakinkan Che Aminah supaya jangan bimbang. Che Aminah bersetuju dengan memberitahu Adeline bahawa Natrah akan dibawa ke tanah jajahan dan akan dibesarkan dengan cara Islam. Adeline bersetuju kerana dia sendiri dibesarkan dalam cara hidup Islam, kerana ibunya berkahwin dengan seorang Islam.

Dalam soal balas, Che Aminah dan Adeline memberikan keterangan bercanggah. Che Aminah memberitahu sepanjang yang dia tahu Adeline tidak pernah dikurung oleh Jepun. Adeline pula menafikan bahawa ibunya orang Islam dan berkahwin dengan Raden Ismail.

Dalam kes pernikahan, Shearn menghujahkan bahawa Che Aminah tergesa-gesa mengahwinkan Natrah dan Mansor kerana bagi Shearn itu adalah satu helah untuk menimbulkan prasangka terhadap sebarang tindakan undang-undang selanjutnya.

Shearn menamatkan hujah dengan menegaskan bahawa: Pertama: dari segi undang-undang budak ini tidak pernah diserahkan menjadi anak angkat. Pada segi undang-undang tidak ada pihak yang dilantik menjadi penjaga yang dilantik oleh bapanya atau orang lain untuk budak itu.

Kedua: Budak ini tidak pernah berkahwin dengan Mansor Adabi kerana undang-undang pemastautinnya adalah undang-undang Belanda dan mengikut undang-undang itu dia tidak mempunyai kuasa untuk memasukki taraf perkahwinan yang sah.

Shearn menguatkan hujahnya dengan memberikan sebab - Biar apa sekalipun mengikut undang-undang Tanah Jajahan ini, dia tidak pernah berhenti menjadi Kristian dan oleh yang demikian dia tidak boleh berkahwin kecuali mengikut peruntukan ordinan Perkahwinan Kristian ataupun Ordinan Perkahwinan Sivil.

Shearn juga menegaskan bahawa sekalipun Natrah seorang Islam dan sebab taraf pemastautinnya di Belanda, perkahwinan itu terbatal dari segi undang-undang Islam kerana di luar dari kemampuannya. Malah walaupun dia seorang Islam, perkahwinan itu tetap terbatal walau di mana sekali pun dia bermastautin kerana keizinannya untuk berkahwin tidak diperolehi dari penjaganya.

Shearn menyimpulkan bahawa oleh kerana perkahwinan itu tidak wujud, maka untuk kebaikannya dia harus diserahkan di bawah jagaan ibu bapanya yang bersedia memeliharanya.

Membantah

John Eber membantah dengan menegaskan bahawa, Pertama: Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan saman untuk mengisytiharkan perkahwinan itu terbatal oleh sebab (a) Ordinan Penjagaan Kanak-Kanak tidak memberitahu bidang kuasa itu dan (b) Tidak ada satu bahagian dalam ordinan mahkamah yang memberikan bidang kuasa mengisytiharkan perkahwinan terbatal

Kedua: Sekiranya permintaan untuk mengisytiharkan perkahwinan itu tidak sah tidak pernah terkandung di dalam saman asal maka akan timbul soal perlunya ada bidang kuasa kerana budak itu dari segi prima facienya sudahpun berkahwin dan sekalipun wujud pengisytiharan itu, perlu ada bidang kuasa, ia telah mencemarkan keseluruhan perbicaraan ini sebab permintaan pertama dengan yang satu lagi bukanlah satu pilihan.

John Eber semasa menghujahkan kesnya menegaskan bahawa perkahwinan ini telah dilangsungkan mengikut hukum Islam. Kadi yang menikahkan mereka dilantik oleh Gabenor di bawah Ordinan Islam bagi pendaftaran perkahwinan dan perceraian. Kadi yang menikahkan mereka telah memastikan Mansor dan Natrah adalah beragama Islam.

Oleh itu John Eber menyimpulkan “Perkahwinan ini adalah perkahwinan Islam yang benar-benar sah dari semua segi kerana kelayakan yang dipertikaikan di bawah undang-undang negara pemastautin pembela kedua (Natrah) tidak dipertikaikan oleh undang-undang tanah jajahan kita ini”.

Penghujahan Shearn dan John Eber beserta soal balas saksi-saksi mereka mengambil masa empat hari. Selepas selesai penggulungan hujah, pada hari keempat, Hakim Brown berjumpa Natrah dan Che Aminah di kamarnya, kemudian penghujahan dilangsungkan sehingga jam 7 petang. Hakim Brown menangguhkan selama seminggu sebelum memberikan keputusan perbicaraan.

Pada 2 Disember, Hakim Brown membacakan keputusan setebal 24 halaman dengan mengambil masa selama 45 minit. Menurutnya setelah mengkaji semula peristiwa yang membawa kepada perbicaraan Saman Asal, Hakim Brown menyifatkan perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi , seorang guru sekolah pada I Ogos sebagai satu tipu muslihat yang bertujuan untuk menimbulkan prasangka terhadap keputusan mahkamah.

Hakim Brown mengisytiharkan perkahwinan itu tidak sah, dan Natrah hendaklah dipulangkan kepada ibu bapanya Hertogh di Belanda dan bukan kepada Konsul Besar Belanda. Dalam membuat keputusan itu beliau menegaskan bahawa beliau berpuas hati bahawa Natrah tidak dipaksa atau ditipu untuk berkahwin. Beliau tidak menafikan mereka berdua sama-sama tertarik hati untuk berkahwin. Namun beliau menyifatkan “rasa tertarik hati inilah yang memungkinkan terjadi muslihat ini”

(Minggu hadapan: Karim Ghani Penebus Maruah Islam).
Kemeriahan ramadan di seluruh dunia


PELBAGAI juadah yang disediakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi meraikan Ramadan kali ini.


SEMALAM bermulalah tarikh satu Ramadan dan pastinya ia merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh semua golongan dan peringkat umat Islam di seluruh dunia.

Tanpa mengira sempadan umur, kedudukan dan pangkat, bulan Ramadan yang disambut kebanyakan umat Islam di seluruh dunia pastinya disambut dengan penuh kesederhanaan.

Sesungguhnya kedatangan Ramadan ini melengkapkan lagi fitrah manusia yang bahawa di sebalik setiap kegembiraan itu ada di antara kita yang terpaksa menjalani hidup dengan penuh ranjau dan kepayahan sebagai sebahagian dari dugaan hidup.

Maka umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan bagi mengingati dan menyelami nasib mereka yang kurang bernasib baik.

Dan pastinya akan ada ganjaran yang dijanjikan Allah untuk setiap umatnya yang cekal menjalankan perintahnya sepanjang bulan yang mulia ini.

Bagi jutaan umat Islam di seluruh dunia, sambutan yang diadakan sempena Ramadan pastinya berbeza mengikut adat resam dan budaya setempat.

Pastinya kemeriahan yang paling jelas ialah ketika berbuka puasa yang mana pastinya terdapat pelbagai juadah yang disediakan setelah penat seharian menjalani ibadah puasa sambil berkumpul bersama sanak saudara dan juga ahli keluarga.

Namun begitu kemeriahan yang disambut hendaklah dilakukan dengan sederhana mungkin bagi mengelakkan pembaziran secara berleluasa dan bukan dilakukan semata-mata atas tujuan menunjuk-nunjuk.

Sambutan yang dilakukan secara berlebih-lebihan tidak lagi mencerminkan ajaran Islam sebenar kerana ia dilakukan hanya bagi memenuhi tuntutan nafsu.

Matlamat umat Islam berpuasa adalah bagi menginsafi penderitaan mereka yang kurang bernasib baik di samping mensyukuri nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah kepada umat manusia.

Di samping itu kita dituntut untuk bermuhasabah diri dengan amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan lalu selain mendekatkan diri kepada yang maha Esa.

Tradisi

Walaupun sambutan yang diraikan berbeza mengikut tempat dan negara, namun tradisi menunaikan menunaikan solat terawih serta berbuka puasa di masjid merupakan antara perkara wajib yang akan dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Bagi umat Islam di Malaysia sesungguhnya kita harus bersyukur dengan limpahan rezeki yang mencurah di mana hampir kebanyakan masjid dan surau di negara ini menyediakan hidangan berpuasa yang pelbagai untuk dikongsi bersama.

Malah boleh dikatakan sepanjang bulan Ramadan ini senantiasa ada pelbagai jamuan untuk majlis berbuka puasa tidak kira di mana untuk dinikmati oleh semua peringkat umur dan golongan.

Itulah kelebihan yang dinikmati oleh umat Islam di Malaysia yang senantiasa menikmati rezeki yang melimpah ruah sepanjang Ramadan ini.

Namun tidak semua umat Islam di seluruh dunia bernasib baik seperti rakan-rakan mereka di Malaysia.

Ketika umat Islam di negara ini sedang menikmati pelbagai hidangan yang disediakan secara percuma terdapat saudara kita seperti di Palestin, Iraq dan beberapa negara di Afrika yang terpaksa meraikan Ramadan ini dalam keadaan yang menyedihkan dan serba kekurangan.

Malah ada yang kehilangan ahli keluarga akibat peperangan suatu musibah yang sangat menyayatkan hati ketika Ramadan baru sahaja bermula.

Jika kita dihidangkan dengan pelbagai lauk pauk dan hidangan lazat malahan ada yang sehingga berlebihan namun bagi mereka jika masih terus bernyawa untuk menjalani ibadah puasa pada keesokan harinya itu sudah cukup baik bagi mereka.

Ini semua adalah angkara mereka yang jahil dan sering beranggapan jahat terhadap Islam dan penganutnya dengan menuduh secara membabi buta umat Islam sebagai pengganas dan perosak keamanan.

Namun sebenarnya mereka hanya takut dengan bayang-bayang sendiri dengan keterlaluan bimbang kebangkitan umat Islam yang dikatakan mampu membawa musibah kepada dunia.

Inilah tuduhan paling tidak berasas mereka kerana hakikatnya umat Islam ini walau sehebat mana pun dirinya mereka yang tetap berpegang dan memelihara kesucian dan keindahan Islam sebagai agama yang suci dan benar.

Ini dapat dilihat melalui kepelbagaian penganutnya yang tidak hanya berdasarkan kepada bangsa dan kaum tertentu namun ia meliputi semua umat manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa dan sempadan negara.

Itulah keindahan Islam, dimana saja di seluruh dunia sentiasa ada penganutnya yang kekal setia dengan ajaran dan pegangan sejati walaupun mungkin mereka merupakan golongan minoriti di sesebuah negara seperti di India, China dan beberapa negara lain di Eropah.

Keunikan dan keindahan inilah yang sering dicemburui mereka yang beranggapan jahat terhadap Islam.

Namun walau apa pun kekangan dan halangan yang dilakukan dan dinafikan terhadap mereka, sambutan yang dikongsi bersama sempena Ramadan ini akan merapatkan dan mengeratkan lagi ikatan dan ukhuwah sesama Islam, satu keindahan yang sangat jelas dan nyata.

Bagaimanapun kemeriahan dan sambutan sempena Ramadan ini akan tetap menggamit pengalaman pahit dan manis terutama bagi kanak-kanak dan mereka yang baru memeluk Islam.

Walau apa pun hakikatnya kemeriahan sepanjang bulan Ramadan ini tiada galang gantinya bagi umat Islam yang menyambutnya sekali dalam setahun.

Itulah nikmat dan yang berlaku sempena bulan Ramadan ini dan ia akan tetap dipertahankan dari tahun ke tahun bagi membuktikan ketaatan dan ketaqwaan umat Muhammad SAW dalam memelihara kesucian agama mereka.