Bahasa Melayu patut jadi ukuran perpaduan kaum

Oleh Teo Kok Seong


KEMAHIRAN menguasai bahasa Melayu di kalangan generasi muda pelbagai kaum boleh menjayakan konsep 1Malaysia.

Impian 1Malaysia sukar dicapai jika bukan Bumiputera masih lemah berbahasa kebangsaan

SEMINAR Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini antara lain bertujuan mencari kaedah supaya masyarakat Cina dapat memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, ia juga mendedahkan mengenai satu lagi isu penting berkaitan bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina iaitu tahap penguasaan yang amat rendah, khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan perkataan lain, generasi muda Cina didapati kurang atau tidak cekap menggunakan bahasa Melayu.

Walaupun ramai di antara mereka melalui sistem pendidikan nasional serta penghidupan ala-Malaysia sejak dilahirkan, penguasaan bahasa Malaysia mereka tidak pada tahap kecekapan yang sepatutnya. Malah, dalam hal ini, ada sebilangan belia Cina yang langsung tidak memahami bahasa Malaysia walaupun pada tahap daif iaitu dalam bentuk bahasa pasar. Oleh itu, mereka ini tidak boleh berbahasa kebangsaan langsung

Banyak persoalan dapat ditimbulkan daripada perilaku kebahasaan negatif ini, khususnya apabila seorang warga negara itu dikehendaki memiliki kefasihan yang baik, atau sekurang-kurangnya sederhana baik sifatnya, mengenai bahasa kebangsaan tanah air dan tanah tumpah darahnya.

Antara soalan penting ialah apa yang sudah terjadi dengan pelbagai sumber untuk penguasaan bahasa Malaysia oleh golongan bukan Melayu, baik yang bersifat pedagogi dalam sistem pendidikan nasional mahupun yang bersifat ekologi yang cukup agam di merata tempat di Malaysia. Sumber ini sudah tentu dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, baik di sekolah atau di luar lingkungan sekolah.

Penguasaan bahasa Malaysia yang amat rendah, yakni pada tahap bahasa pasar saja, pada kebanyakan kesnya hanya memungkinkan masyarakat Cina menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengadakan perbualan asas dan tidak untuk menyampaikan konsep dan gagasan yang lebih kompleks selain menyatakan emosi, apabila berinteraksi dengan masyarakat Melayu selaku masyarakat induk di Malaysia, untuk tujuan integrasi atau tujuan lain.

Dengan kekangan begini yang membabitkan penguasaan hanya beberapa kosa kata asas serta cara penyampaian dalam bahasa Malaysia yang amat terhad, interaksi antara masyarakat Cina dengan masyarakat Melayu tidak mungkin dapat diadakan dengan berkesan, atau barangkali tidak wujud langsung dalam sesetengah kes.

Interaksi yang kurang berkesan atau tiada langsung ini, tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi amat buruk kepada perpaduan antara kaum yang ingin dicapai, khususnya melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

Dalam mempelajari bahasa Malaysia untuk tujuan penguasaan pada tahap yang lebih membanggakan selaku warga negara, masyarakat Cina perlu mengambil orientasi integratif. Antaranya untuk menjadi sebahagian penting daripada negara bangsa Malaysia dan bukan semata-mata atas orientasi instrumental yang menganggap bahasa kebangsaan sebagai satu subjek peperiksaan yang penting.

Dalam soal ini, masyarakat Cina perlu bertindak dalam cara yang lebih meyakinkan bahawa mereka sebenarnya mendukung kuat identiti nasional, melalui penganjuran penggunaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan, walaupun pada masa yang sama, mereka sebenarnya amat kuat melindungi bahasa dan budaya Cina pada kadar yang amat pesat.

Penggunaan bahasa untuk membentuk negara bangsa, yakni melalui promosi bahasa kebangsaan, adalah sesuatu sangat lumrah dalam sejarah dunia, dan memang didapati boleh membawa implikasi yang positif. Dalam konteks ini, selepas Malaysia terbentuk, maka pengisian seterusnya, antara yang terpenting dari dimensi kebahasaan adalah untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan, yang disatupadukan oleh sebuah bahasa sepunya, yang ikut berfungsi sebagai bahasa perpaduan.

Gagasan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan, yang bertindak sebagai bahasa perpaduan, tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan perpaduan kaum. Identiti nasional yang utuh, melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sudah tentu yang baik mutunya, pasti adalah satu petanda yang baik untuk kemajuan Malaysia dari pelbagai dimensi. Antara yang terpenting ialah khazanah budaya yang tersimpul dengan kuat melalui satu ikatan dalam formula 'kebudayaan kebangsaan', yang menjadi amalan setiap warga negaranya.

Sehubungan ini, masyarakat, baik Melayu atau bukan Melayu perlu menganggap bahasa kebangsaan lebih daripada sebuah lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan secara rutin, sering kali dalam bentuk bahasa pasar/jelek, oleh mereka yang memiliki bahasa yang tidak sama, apabila berurusan antara satu sama lain.

Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dituturkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada lingua franca. Bahasa Malaysia bahasa utama dan perlu digunakan dengan baik dan betul pada setiap masa, oleh semua pihak, antaranya untuk memberi maruah yang luhur kepadanya, sepadan dengan status kudus sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, masyarakat Cina, khususnya generasi muda perlu mempertingkatkan penguasaan mereka agar bahasa Malaysia yang digunakan tidak lagi boleh sekali-kali mengaitkan mereka dengan generasi nenek moyang mereka sebagai pendatang. Imej dan label pendatang yang rata-ratanya amat tidak disenangi oleh masyarakat Cina kini, lebih-lebih lagi generasi muda, perlu dikikis mereka sendiri. Antaranya, melalui penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak lagi memperlihat pengaruh bahasa ibunda yang terlalu kuat, dari pelbagai segi: sebutan, intonasi, campuran nahu dan lain-lain.

Dalam hal bahasa kebangsaan ini, masyarakat Cina perlu menonjolkan identiti nasional yang lebih menyeluruh sifatnya. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan yang baik atau tinggi mutunya. Penguasaan begini sudah tentu antara syarat penting untuk mewujudkan komunikasi/interaksi Cina-Melayu yang lebih berkesan, dalam konteks perpaduan kaum.

Yang lebih penting lagi sehubungan ini ialah penguasaan yang baik dan tinggi mutunya ini adalah satu aspek penting dalam nilai nasional Malaysia yang perlu dipertingkatkan oleh masyarakat Cina.

Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan adalah bahasa yang mewakili selain kepunyaan setiap warga negaranya. Adalah aneh jika masih ada walaupun seorang warga Malaysia dalam kalangan muda yang tidak boleh berbahasa Malaysia atau kebangsaan langsung, dan masih ramai, lebih-lebih lagi generasi muda yang tidak menguasainya dengan baik, selepas lebih setengah abad negara bangsa Malaysia dibina.

Marilah kita atasi masalah ini melalui nasionalisme 1Malaysia!. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.

Oleh Prof Dr Teo Kok Seong adalah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Minda Pengarang: Kerajaan perlu pantau blog hina agama elak jejas keharmonian kaum

DALAM dunia serba canggih hari ini, laman web dan blog menjadi medan popular meluahkan pendapat. Ledakan teknologi mendorong sesiapa saja, daripada pemimpin dan profesional, hinggalah remaja dan kanak-kanak membuka laman web atau blog sendiri. Kebebasan dan keterbukaan dunia maya membolehkan mereka berkarya dan mengemukakan pendapat tanpa sekatan. Masyarakat pula bebas memilih dan menilai kandungan yang dimuatkan. Dalam ruang siber, hanya sikap bertanggung jawab menjadi dinding membezakan antara yang hak dengan yang batil, realiti dengan fantasi, fakta dengan pembohongan atau niat yang baik dengan yang buruk. Justeru, ketika majoriti menggunakan blog untuk tujuan baik, ada segelintir menyalahgunakannya untuk menjayakan agenda peribadi. Terbaru, kita dikejutkan dengan kecenderungan pihak tertentu menggunakan blog untuk menghina agama, khususnya Islam. Walaupun mungkin bukan perkara baru, perkembangan ini membimbangkan. Jika sebelum ini, perbuatan itu dilakukan mereka yang tidak dikenali identiti atau asal usulnya, kini ada di kalangan kita berani melakukannya secara terang-terangan. Lebih malang lagi, mereka ini pemimpin politik yang sepatutnya cukup matang untuk mengelak diri terjerumus ke kancah hina itu. Tidak cukup dengan menimbulkan isu sensitif seperti meniup api perkauman sebelum ini, mereka kini tanpa segan silu menghina Islam. Ada antara mereka yang berasa bangga melakukannya tetapi anehnya, selepas perbuatan keji itu diketahui umum, mereka pantas pula menafikannya dan bersikap 'baling batu, sembunyi tangan'.

Tindakan menggunakan blog untuk menghasut atau menghina agama sebenarnya satu fenomena amat bahaya. Ia boleh menyemai bibit kesangsian dan menimbulkan syak wasangka di kalangan pelbagai kaum di negara ini. Gejala itu perlu ditangani segera sebelum merebak dan tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang melakukannya. Ia tidak boleh dibiar berlarutan kerana dalam perkara membabitkan isu sensitif seperti perkauman dan kedaulatan agama, masyarakat mudah didorong emosi. Kita bimbang lebih banyak pihak akan turut terheret ke kancah itu sehingga keadaan menjadi semakin kusut. Budaya hasut-menghasut boleh berlarutan kepada hina-menghina dan seterusnya cabar-mencabar hingga menimbulkan kesan yang parah. Kita tidak mahu nanti selepas ada pihak menghina Islam kini, ada pula yang lain bangkit membalas dendam dengan melancarkan kempen serupa terhadap agama atau kaum lain. Ketika itu, mungkin semuanya sudah terlambat. Dalam pada kita menjulang prinsip kebebasan bersuara, kita tidak seharusnya bertolak ansur sedikit pun terhadap perbuatan menghasut dan menghina khususnya berkaitan kaum agama kerana ia berpotensi besar menggugat kestabilan negara. Pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus bertindak tegas. Mereka yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan dan dihukum mengikut lunas undang-undang. Pada masa sama, tumpuan harus diberi kepada usaha membanteras gejala itu hingga ke akar umbi. Ia mungkin didalangi pihak tertentu yang cuba memperalat platform seperti blog dan laman web untuk mengharu-birukan negara ini bagi membolehkan mereka mengambil kesempatan menjayakan agenda sendiri.
Cakap-cakap

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang. Pada Mamat, pilihan raya kecil ini tidak memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) kerana ia tidak sedikit pun mengubah senario politik negara selain daripada minat rakyat untuk melihat perubahan majoriti pengundi. Rasanya yang tertekan ialah Pas sebab sudah ada ura-ura akan berlaku rakannya dalam pembangkang menikamnya, bukan dari belakang tapi dari depan.

Mamat - kawan yang setia
Kuarantin, pencegahan selesema babi tiada kesan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KES pertama influenza A (H1N1) atau selesema babi yang disahkan melalui ujian makmal di negara ini ialah pada 15 Mei lalu. Sehingga semalam, angka kematian yang dicatat kerana H1N1 ialah 38 orang. Kenyataan Kementerian Kesihatan pula menyebut angka rasmi mereka yang mendapat rawatan kerana disahkan positif wabak itu ialah 2,253 orang. Kini, jumlah mangsa H1N1 terus menunjukkan peningkatan hingga Datuk Seri Najib Razak menganggapnya sebagai satu ancaman kepada negara. Beliau mahu 'pendidikan awam' dilaksanakan melalui kempen secara besar-besaran.

Hakikatnya, jangkitan H1N1 sudah menjadi wabak atau pandemik tempatan yang mesti ditangani secara efektif. Kategori golongan berisiko tinggi yang mudah dijangkiti H1N1 termasuk wanita hamil, pesakit jantung, pesakit paru-paru kronik, pesakit asma, pesakit kencing manis, obesiti dan mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah. Peningkatan angka kematian wabak H1N1 memang mencemaskan dan rakyat diminta tidak panik. Menurut Menteri Kesihatan lebih 98 peratus kes jangkitan H1N1 berjaya disembuhkan. Kebanyakan mereka yang mati adalah kes yang mempunyai faktor risiko.

Dalam satu taklimat tertutup isu semasa di Angkasapuri beberapa minggu lalu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Hassan Abdul Rahman memaklumkan, penularan tempatan wabak H1N1 masih pada peringkat awal pandemik. Katanya, tiada strategi khusus yang komprehensif membendungnya. Setakat ini belum ada vaksin yang ditemui untuk menentang penyakit itu.

Apa yang penting ialah langkah pencegahan H1N1 yang berterusan dan efektif akan dapat membantu memperlahankan dan seterusnya membendung penularan wabak terbabit. Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sejak awal lagi sudah mengambil langkah perlu bagi memantau rapi ancaman H1N1. Langkah terbaru kementerian terbabit ialah menambah simpanan antiviral daripada 10 peratus kepada 20 peratus. Sebelum ini kementerian terbabit sudah memaklumkan akan membekalkan antiviral Tamiflu di semua klinik kerajaan yang mempunyai pegawai perubatan.

Selain itu, 22 hospital swasta dijadikan pusat saringan awal dengan dibekalkan antiviral Tamiflu. Klinik swasta juga dibenarkan membeli Tamiflu daripada farmasi. Kerajaan juga akan menyediakan kelengkapan makmal perubatan untuk merawat pesakit selesema babi di semua hospital. Pihak hospital akan menyaring dengan teliti mereka yang datang untuk mendapatkan ujian H1N1. Mereka yang mempunyai simpton jangkitan, terutama golongan yang berisiko tinggi akan dirawat dan diberi perhatian sepenuhnya, termasuk memberi suntikan antivirus.

Kementerian Kesihatan juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah kuarantin kepada golongan berisiko. Kementerian terbabit juga dari semasa ke semasa melaksanakan arahan dan perintah kuarantin di semua sektor seperti institusi pendidikan, sekolah, kolej dan universiti. Kementerian Pelajaran sudah mengeluarkan arahan kepada sektor sekolah supaya mengambil suhu badan murid setiap pagi dan memastikan murid yang deman dengan suhu melebihi 38 Celsius dibawa ke hospital atau klinik. Untuk tujuan itu kementerian itu akan membekalkan jangka suhu dan topeng muka kepada semua sekolah.

Selain mengambil langkah mengesan suhu badan melalui alat pengimbas di pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang, Kementerian Kesihatan juga akan menyaring suhu badan orang ramai di majlis terbuka juga akan dilakukan di mana perlu. Apa yang penting ialah kementerian terbabit harus memastikan ia mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan segala langkah pencegahan yang wajar.

Kejayaan mengawal wabak H1N1 tidak akan berkesan tanpa tanggungjawab bersama orang ramai. Sikap menyerahkannya bulat-bulat kepada kerajaan tidak banyak membantu usaha memperlahan dan membendung wabak terbabit. Justeru, orang ramai harus memahami beberapa perkara berkaitan H1N1 merangkumi cara penularan virus, simptom penyakit, cara mengawal diri dan langkah pencegahan. Dalam konteks ini, kita seharusnya mengamalkan tiga prinsip perubatan seperti yang disarankan Ibnul Qayyim, seorang ulama Islam tersohor.

Tiga prinsip itu ialah sentiasa menjaga kesihatan, melindungi diri daripada perkara yang mengundang penyakit dan membuang bahan merosak kesihatan. Untuk mengamalkan prinsip terbabit maka rakyat perlu mengambil langkah pencegahan secara tuntas supaya risiko penularan wabak H1N1 dapat dikurangkan. Bagaimana kita boleh mengamalkan ketiga-tiga prinsip terbabit? Untuk prinsip pertama iaitu menjaga kesihatan maka orang ramai hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk kerap membasuh tangan, menutup mulut dengan tisu ketika batuk dan bersin.

Orang ramai hendaklah membiasakan memakai penutup hidung terutama ketika berada di luar. Mereka yang didapati mempunyai simptom jangkitan mestilah segera mendapatkan rawatan kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengundang kematian terutama mereka yang berisiko tinggi. Bagi prinsip kedua iaitu melindungi diri dari elemen yang mengundang penyakit termasuklah menghindari majlis keramaian dan perjumpaan di tempat awam.

Langkah ini penting kerana virus H1N1 mudah tersebar menerusi udara menyebabkan penularan terhadap virus adalah tinggi, terutama di tempat yang sesak dengan manusia. Bagi pesakit yang dikuarantin di rumah hendaklah mengelakkan diri berhubung rapat dengan ahli keluarga.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
Pasar terbuka Bazarr@maeps

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


ORANG ramai berkunjung ke Bazaar@maeps dan Carbootsales di tapak Maeps, Serdang, Selangor.

Pelbagai aktiviti setiap hujung minggu buktikan tapak Maha bukan 'projek gajah putih'

TIADA lagi gelaran 'padang jarak padang terkukur'. Taman Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) seluas hampir 25 hektar sebagai tapak kekal Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) di Serdang, Selangor sudah terisi dengan pelbagai aktiviti menarik, khususnya pada setiap hujung minggu.

Jika sebelum ini, ada yang beranggapan projek Maeps yang membabitkan pelaburan RM250 juta serta menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa untuk kegiatan Maha hanya sebagai ‘projek gajah putih’, namun telahan itu silap sama sekali.

Atas usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan badan bukan kerajaan (NGO), kawasan berkenaan tidak malap sebaik saja tirai Maha berlabuh, sebaliknya ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.

Sejak November tahun lalu, pelbagai acara disediakan antaranya, membabitkan Agro Hunt, Kelab Tani Sekolah, Kelab Sukarelawan Maeps serta Pameran dan Jualan di Laman termasuk ternakan, perikanan, nanas, padi, florikultur dan sayur.

Kini, nadi di kawasan berkenaan sentiasa saja berdenyut kencang dengan suasana kemeriahan Maeps semakin menyerlah berikutan kewujudan Bazaar@maeps, iaitu aktiviti pasar terbuka terbesar di Malaysia berkonsepkan Flea Market dan ‘Carbootsale’, bertempat di pintu masuk 2, Maeps, Serdang, sejak 27 Jun lalu.

GERAI buah-buahan juga antara yang terdapat di Bazaar@maeps.

Bazaar@maeps, dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Idea dan Usahaniaga Malaysia (Meias) dan Maeps, pada setiap Sabtu, bermula jam 4 petang sehingga 11.30 malam, mampu menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi kerana menghidangkan pelbagai aktiviti daripada penjualan produk makanan, minuman, pakaian, kosmetik, taman hiasan hingga lelongan barangan peribadi dan antik.

Tidak tertakluk kepada aktiviti perniagaan, malah, kegiatan beriadah dan rekreasi membolehkan orang ramai menghabiskan masa hujung minggu meninjau taman herba, pertanian dan haiwan yang disediakan tidak jauh dari tapak Bazaar@maeps.

Bagi mereka suka aktiviti lasak dan mencabar, turut disediakan litar drift dan go-kart yang dibuka kepada orang ramai dengan bayaran tertentu selain boleh bermain layang-layang di kawasan lapang.

Kunjungan ke Bazaar@maeps secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam aktiviti keluarga iaitu pengunjung tidak hanya datang untuk membeli-belah dan pada masa sama dapat menyertai aktiviti riadah bersama keluarga.

PERKHIDMATAN urutan kaki juga disediakan bagi pengunjung yang penat berjalan.

Yang Dipertua Meias, Ahmad Safawi Taharim, berkata Bazaar@maeps mementing dan mengenengahkan konsep 'semua orang boleh menjual dan membeli'.

Katanya, situasi menang-menang ini juga akan memberi kesan dan impak yang baik kepada pihak pengurusan Maeps sebagai tempat dan tapak penganjuran acara yang mempunyai kemudahan terbaik.

“Bazaar@maeps menyediakan tapak bagi `carbootsale` yang membolehkan pengunjung membeli barangan terpakai, barang antik, barangan elektronik dan barangan unik yang sukar ditemui di kebanyakan tempat.

“Menariknya, peniaga boleh menjual produk mereka hanya di dalam kereta. Bagaimanapun, bergantung kepada kreativiti peniaga untuk mempamerkan barangan itu. Kita sediakan tapak yang luas serta kanopi yang boleh memasukkan kereta.

“Konsep perniagaan itu juga lebih santai. Mereka boleh membawa keluarga atau anak bersama tanpa sebarang masalah kerana ada mempunyai kawasan luas,” katanya.

Beliau berkata, Bazaar@maeps sebenarnya, tidak seperti pasar atau bazar yang diwujudkan atau diuruskan oleh pihak swasta lain yang hanya mementingkan keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi kepada peniaga, sebaliknya hanya mengenakan kos sangat minimum iaitu RM55 sebagai yuran pendaftaran (sekali seumur hidup) dan hanya RM3 untuk setiap minggu sebagai menanggung kos penyelenggaraan air dan elektrik.

Katanya, kos amat rendah itu membolehkan peniaga menjual barangan dengan harga murah kepada pengguna serta menggalakkan Bumiputera menceburi diri dalam bidang perniagaan kecil dengan kos permulaan rendah.

“Jika barang dijual mahal, mungkin akan mengurangkan minat orang ramai untuk membeli. Dengan adanya bazar ini, diharapkan akan memberi kelangsungan untuk peniaga dan pembeli dalam membentuk dan membangunkan minda yang cemerlang dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

“Ia juga dapat menjadi tempat berhimpun bagi peniaga dan usahawan kecil untuk menjual produk keluaran mereka terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah dan menjadi tempat buat pengguna untuk membeli barangan dengan kadar murah dan memuaskan,” katanya.

Pemilihan tapak perniagaan Maeps juga dilihat strategik dengan dilengkapi kemudahan awam seperti tempat letak kereta luas, tandas awam, pengangkutan dalaman yang canggih dan tempat ini juga mempunyai kawasan riadah menarik seperti kawasan tanaman herba, taman tanaman hijau, kolam ikan, ladang ternakan haiwan dan sebagainya.

Ahmad Safawi berkata, pihaknya juga sentiasa membuka pendaftaran kepada sesiapa saja yang ingin menyertai Bazaar@maeps ini kerana menyediakan 700 tapak perniagaan secara keseluruhan.

Beliau menjangkakan kawasan ini akan dipenuhi dengan pengunjung dengan penganjuran Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (MICCOS) 2009 yang akan diadakan mulai esok sehingga 16 Ogos ini untuk mempamerkan pelbagai komoditi utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Apa pun juga, Ahmad Safawi mengharapkan aktiviti Bazarr@maeps itu akan menjadi antara destinasi terkemuka di negara ini sebaik saja dimasukkan dalam kalendar Pelancongan, Pelancongan Malaysia, tidak lama lagi.

“Ketika ini, penganjurannya masih baru. Tetapi saya percaya ia mampu menjadi lokasi aktiviti perniagaan yang popular, pada masa depan seperti di United Kingdom (UK).

“Kita juga berusaha untuk menambahkan lagi aktiviti lain termasuk wayang pacak di kawasan berhampiran bazar dan sekali gus menghidupkan semula nostalgia pernah dilakukan oleh orang zaman dulu ketika tiada bekalan elektrik.

“Selain itu, antara dalam perancangan ialah mewujudkan zon perdagangan antarabangsa yang menjual pelbagai produk tulen yang dikeluarkan syarikat dari luar negara,” katanya.

Segalanya kerana Donni

Sekumpulan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kulim, Kedah terus gigih berjuang mengumpul dana sebanyak RM250,000 demi kepentingan ‘anak-anak tersayang’ di Kiulu, Sabah.




Begini bermulanya cerita yang ingin disampaikan. Pada 20 Mac 2007, akhbar Daily Express News di Sabah memaparkan sebuah artikel yang cukup menyayat hati. Sesiapa sahaja yang membacanya dapat membayangkan kedaifan hidup sebuah keluarga yang terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk terus bernyawa.

Kisah itu menceritakan bagaimana enam orang adik-beradik dan ibu mereka sekadar 'kenyang' dengan menjamah bubur nasi dan sayur kangkung. Menyingkap kisah hidup mendiang Donni John Duin, 11, dia ialah seorang anak yang pendiam dan tidak bermasalah. Penderitaan yang terpaksa dilalui sejak bapanya disumbat masuk ke penjara akibat dadah begitu menyentuh hati.

Menurut ibunya, Hina Joloni, 39, setiap kali pulang dari sekolah, wajah Donni begitu murung kerana tertekan dengan ejekan dan cemuhan rakan sekelas. Menyarung pakaian yang kusam dan hanya mampu menikmati sajian ringkas, Donni merasai keperitan yang teramat pedih.


Seorang kanak-kanak di Kiulu, Sabah merenung masa depan yang tidak pasti ekoran kesukaran datang ke sekolah.


Kali pertama, dia cuba membunuh diri tetapi gagal. Namun dalam percubaan kedua, Hina menemui anaknya yang sudah tidak bernyawa. "Apabila saya menegur perbuatannya yang cuba membunuh diri pada kali pertama, Donni memberitahu bahawa dia sanggup berbuat demikian bagi meringankan beban keluarga."

"Setidak-tidaknya, kurang seorang anak untuk diberi makan dan bahagian makanannya boleh dibahagi kepada adik-beradik lain," luah Hina mengenangkan kata-kata anak kesayangannya dengan penuh hiba.

Sebaik sahaja membaca kisah itu, entah berapa ramai daripada kita mampu mengimbau kembali kisah pilu tersebut. Mungkin ia sudah lenyap daripada ingatan kita ketika ini tetapi bukan bagi Raja Ali Raja Othman, Hamidi Baharuddin, Kamaruddin Yusop, Noor Bakri Ahmad, Mashitah Puteh, AR. Meor Wazir Zul'Aidin dan rakan-rakan mereka yang lain.

Raja Ali berada di bumi Sabah semasa kejadian pilu yang menimpa Donni berlaku. Selepas mengadakan perjumpaan dengan Sabah Credit Corporation (SCC) atas dasar kerja, beliau berbual dengan Pengurus Besar SCC, Datuk Vincent YK Pung. Ketika itu jugalah, isu Donni dibincangkan.


Hina Joloni manakala Donni (gambar kecil).


Di Sabah, hampir 5,000 remaja dilaporkan terpaksa berhenti sekolah sebelum sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bukan kerana tidak berminat tetapi dibelenggu kemiskinan dari generasi demi generasi. Selain itu, mereka juga menghadapi kesukaran perjalanan berulang-alik dari sekolah yang terletak jauh dari rumah.

SCC menerusi kelab sukannya sentiasa menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat seperti mendirikan asrama sekolah dan surau di Sabah. "Pada tahun 2007, saya difahamkan sebanyak lapan buah sekolah masih menunggu mendapatkan bantuan membina asrama," kata Raja Ali ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur.

"Sebagai seorang bekas pelajar yang pernah menikmati faedah kemudahan asrama, saya meminta Vincent supaya menyediakan asrama di sekolah yang benar-benar memerlukan di Sabah. Sekolah itu akan menjadi projek 'kami' yang diusahakan secara bersatu padu," ujarnya sambil merujuk 'kami' adalah rakan-rakan sekolahnya yang popular dengan gelaran Killerbatch.

Killerbatch merupakan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kulim, Kedah yang pernah tinggal di asrama maktab tersebut dari tahun 1979 sehingga 1983. Mujur disediakan sebuah tempat tinggal yang berdekatan dengan tempat pembelajaran, mereka tidak perlu risau tentang cuaca panas atau hujan sekali gus berpeluang belajar dalam suasana selesa dan tenang. Berdasarkan pengalaman manis itu, Killerbatch memahami betapa susahnya kehidupan bagi sesetengah kanak-kanak di Sabah tanpa asrama.


Jika musim banjir, sebahagian jambatan gantung ini hanyut dibawa arus sungai.


Pada hujung tahun 2008, SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu, Sabah muncul dalam senarai sekolah yang menantikan pembinaan asrama. Sebanyak 100 daripada 1,400 pelajar di sekolah itu memerlukan asrama dengan kadar segera.

Sebahagian besar para pelajar ini berjalan kaki selama dua hingga tiga jam merentasi hutan dan sungai menuju ke sekolah. Menurut ahli Killerbatch, Megat Zulkarnain Mohd Nazri, dia pernah terserempak dengan seorang pelajar tingkatan lima, Jefri di jambatan Poturidong, Kiulu yang bangun seawal pukul 4 pagi agar tidak terlambat ke sekolah.

"Apabila dilanda banjir besar, sebahagian jambatan gantung ini hanyut," katanya.

SMK Tun Fuad Stephens mempunyai sebuah asrama desa tetapi ia telahpun dihuni oleh 100 pelajar. Dengan 16 orang ditempatkan dalam sebuah bilik, ia menyukarkan Guru Besar, Marsha Anthony Bongkok dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Joisin Rumut mencari ruang kosong. Ada juga yang terpaksa berkongsi katil dengan adik sendiri meskipun sempit.


DARI kiri: Hamidi, Kamaruddin, Bakri, Meor dan Raja Ali. Duduk di hadapan ialah Mashitah.


Mengetahui keadaan genting yang dialami di sekolah ini sejak bertahun-tahun, Raja Ali, Hamidi, Kamaruddin, Bakri, Mashitah dan Meor sepakat meminta ahli-ahli Killerbatch lain mengutip derma yang disasarkan berjumlah RM250,000.

Secara kebetulan, tahun ini menyaksikan sambutan ulang tahun Killerbatch yang ke-30. Pada majlis keraian yang diadakan pada 4 Februari 2009 di Taman Ekuestrian Putrajaya, ramai hadirin termakan pujukan mereka. "Bagi menjadikan acara ini lebih bermakna selain bersuka-ria, sesi kutipan derma dilakukan pada hari itu juga."

"Proses itu diteruskan sehingga bulan Mei lalu apabila kami berjaya mengumpul sebanyak RM57,426," ujar Bakri yang kerap mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli jawatankuasa projek Asrama Donni.

Sebagai ibu bapa, mereka semua amat memahami kesegeraan bagi membina Asrama Donni sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun 2010.

"Walaupun kami sibuk dengan kerjaya masing-masing, berulang-alik ke luar negara dan menyediakan yang terbaik buat keluarga sendiri, kami komited untuk menjayakan projek sulung ini dalam apa juga cara sekalipun," kata Bakri lagi sambil disokong ole Mashitah.


Usaha murni yang diperjuangkan oleh Killerbatch ini mampu mengubah nasib pelajar-pelajar di Kiulu, Sabah.


Pada 16 Mei 2009, satu sejarah manis terpahat apabila majlis penyerahan cek bernilai RM57,426 kepada pihak SCC diadakan. Kutipan itu digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja pembinaan Asrama Donni di SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu, Sabah. Seramai 10 delegasi yang terdiri daripada Raja Ali dan rakan-rakannya datang ke Kiulu bagi menyaksikan majlis pecah tanah pada keesokan harinya.

Turut dijemput hadir ialah seorang guru yang mengajar pada era Killerbatch iaitu Teh Sharifudin Abdullah. "Dahulu mereka terkenal dengan kenakalan yang memeningkan kepala guru. Sekarang, mereka sudah berjaya dalam bidang masing-masing dan saya bangga dengan anak-anak didikan saya yang menyahut konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Teh menerusi perbualan telefon dengan Kosmo!.

"Killerbatch, rata-ratanya terdiri daripada mereka yang beragama Islam manakala SMK Tun Fuad Stephens mengisi hampir 70 peratus pelajar beragama Kristian. Inilah yang dikatakan keikhlasan yang lahir merentasi agama, bangsa dan sempadan geografi," tambahnya.

Memerangi cetak rompak

Serbuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam membanteras masalah perisian cetak rompak di semua peringkat.


CAKERA padat yang dirampas dalam serbuan ini terdiri daripada sistem pengoperasian Microsoft yang dicetak rompak.


ISU cetak rompak perisian komputer seolah-olah sukar dibendung dan masih berleluasa sehingga hari ini. Banyak cara telah dilakukan untuk membanterasnya, namun segala usaha tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Justeru itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa mengadakan serbuan dari semasa ke semasa bagi mengesan dan menahan para peniaga degil yang menjual komputer baru tetapi menggunakan perisian cetak rompak di seluruh negara.

Terbaru, satu serbuan telah diadakan ke atas pengedar-pengedar barangan komputer di Pulau Pinang. Dalam tempoh beberapa bulan yang lalu, KPDNKK telah melakukan serbuan mengejut di pusat bandar raya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu. Hasil daripadanya, perisian komputer cetak rompak dan komputer bernilai lebih daripada RM100,000 telah dirampas termasuk penahanan wakil pengedar yang tidak bertanggungjawab.

Pada pertengahan bulan lalu, empat buah komputer dirampas daripada sebuah kedai di Pulau Pinang kerana pemiliknya dipercayai menjual salinan perisian komputer Microsoft cetak rompak. Ketika pegawai-pegawai KPDNKK menyelongkar premis tersebut, turut ditemui adalah CD-Rom yang dipercayai digunakan untuk memuat turun perisian cetak rompak ke dalam komputer pelanggan.

Jumlah keseluruhan perisian palsu yang digunakan itu mencecah harga RM13,500 manakala RM5,000 lagi melibatkan perkakas komputer. Ketua Pengarah KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, serbuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam membanteras masalah perisian cetak rompak di semua peringkat.

"Melihat kepesatan pembangunan sektor teknologi maklumat dan pengaruhnya kepada pembangunan ekonomi negara, kami melipatgandakan usaha demi melihat aktiviti yang salah di sisi undang-undang ini dihentikan sama sekali," jelasnya.


ANTARA pekerja yang ditahan dalam rampasan DVD cetak rompak oleh anggota polis di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


Beliau menambah: "Apabila pengedar terlibat memasukkan perisian komputer cetak rompak ke dalam komputer baru yang kemudiannya dijual kepada pelanggan, mereka secara tidak langsung akan mendedahkan pengguna tersebut kepada risiko yang tidak diketahui."

"Bukan sahaja perisian cetak rompak melanggar peraturan tetapi data penting dan keselamatan maklumat pengguna turut digadai secara membuta tuli. Pada masa yang sama, kami mengiktiraf dan menghargai pengedar tulen yang turut serta dalam memerangi kumpulan pengedar yang menipu pelanggan dengan menjual komputer 'murah' menggunakan perisian cetak rompak."

Kementerian itu juga mendedahkan bahawa cakera padat (CD) dan cakera keras yang dirampas dalam serbuan itu terdiri daripada sistem pengoperasian Microsoft yang dicetak rompak termasuk Windows 95 dan Windows Vista serta pelbagai versi program Microsoft Office yang lain.

Di bawah Akta Hak Cipta 1987, sesiapa yang didapati bersalah di mahkamah boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000 sehingga RM20,000 bagi setiap kesalahan penyalinan perisian cetak rompak dan/atau dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Selesaikan rintihan penduduk

Gerakan merevolusikan kualiti hidup penduduk tempatan telah melonjakkan nama calon-calon perwakilan pilihan raya gabenor di Solo, Jawa Tengah, Indonesia.


JOKO WIDODO merupakan Datuk Bandar Solo sejak empat tahun lalu.


SOLO yang terletak di Jawa Tengah, Indonesia menyaksikan satu gerakan revolusi tersebar secara senyap sejajar dengan hasrat pemimpin tempatan yang ingin dicalonkan semula dalam kempen pilihan raya gabenor. Revolusi ini hanya akan berjaya sekiranya wakil yang mahu bertanding dalam pilihan raya itu menyedari dan mengambil serius permintaan dan keperluan penduduk.

Seorang bekas penjual perabot, Joko Widodo yang merupakan datuk bandar di bandar diraja ini sejak empat tahun lalu seperti beberapa rakan sedarjatnya berjaya menempah nama dalam kalangan masyarakat sebaik sahaja mengambil alih kawalan birokrasi, pemberian rasuah dan penyediaan infrastruktur di Solo. Aspek-aspek ini adalah antara penyebab mikro kepada kerakusan ekonomi di Asia Tenggara.


SEBUAH mercu tanda di Solo yang terletak di Jawa Tengah.


Beliau dan rakan-rakannya yang berada dalam kelompok usia 40-an dan 50-an menggunakan pengalaman dalam bidang perniagaan untuk menempah tiket kejayaan tersebut. Mereka dilihat sebagai antara calon pilihan raya yang layak untuk ditampilkan sekali gus memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat negara. Mereka semua dipandang tinggi dan dipercayai mampu menyandang jawatan sebagai gabenor dan menteri pada masa akan datang kerana sikap 'boleh' yang ditunjukkan mereka berjaya menarik pelabur ke bumi Solo.

"Saya bukan seorang yang pandai akal fikiran tetapi saya lebih selesa bertanya terus kepada orang ramai dan meminta mereka meluahkan keperluan masing-masing. Apa yang anda mahu saya akan cuba sediakan," ujar Widodo, 48.

"Di bandar-bandar lain, mereka mempraktikkan pendekatan pengurusan dari atas ke bawah. Saya tidak mahu mengikut langkah itu. Saya lebih selesa dengan pendekatan dari bawah ke atas. Sesuatu perancangan dapat dilaksanakan dengan baik apabila wujud sebuah platform yang melibatkan penduduk setempat,"tambahnya.

Di seluruh Indonesia, pengundi menghukum wakil-wakil rakyat yang enggan mendengar rintihan mereka selama ini, tanpa mengira parti yang diwakili atau peruntukan kewangan bagi tujuan berkempen, kata pakar pemerhati pilihan raya Kevin Evans. Perubahan ini disaksikan di seluruh negara Indonesia yang menerima sistem pemerintahan demokrasi setelah Presiden Suharto yang memerintah secara keras di bawah pemerintahan autokratik sehingga tahun 1998 digulingkan.

"Ia sudah tentu satu corak yang berulang. Sejak konsep pengurusan berpusat dimansuhkan, sesebuah wilayah dan daerah diberi penarafan berdasarkan kepada sejauh mana ia berupaya menarik pelabur asing," katanya.

Widodo yang berjaya menjual perabot tempatan di luar negara sebelum bergelar datuk bandar, telah pun menerima ulasan yang positif, jelas Kevin O'Rourke, seorang pakar analisis risiko politik yang bertapak di Jakarta.

"Tidak hairan sekiranya beliau yang cukup disenangi ramai dan menerima banyak sokongan dilantik sebagai Gabenor Jawa Tengah pada satu hari nanti," ujar O'Rourke.


JANJI untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di Solo mampu meraih undi penduduk dalam memilih datuk bandar yang baru.


Di Solo, beliau dijangka menerima tanggungjawab memegang portfolio menteri pelancongan kerana pernah menganjurkan pameran kebudayaan, membina sebuah lapangan terbang baru dan melontarkan cadangan mewujudkan sebuah lebuh raya antara bandar. Sebuah majalah di Indonesia, Tempo telah meletakkan nama Widodo dalam senarai 10 pemimpin yang boleh dipercayai pada tahun 2008.

"Mereka berjaya mencipta suasana berinovasi dan cemerlang," jelas majalah Tempo sambil menambah, di sebalik beberapa pemimpin yang berjuang untuk penduduk sekitar, ada sesetengahnya menjanjikan seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.

"Ada yang membina taman dan ruang tambahan bagi membaiki kualiti hidup yang dilalui penduduk atau mencari ciptaan atau rekaan terbaru dalam dunia pertanian. Selebihnya, mengurangkan sistem birokrasi yang terlalu ketat termasuk menghentikan pemberian rasuah dalam menawarkan perkhidmatan yang paling asas di negara ini," tambahnya.

Seorang ketua di kawasan Sragen di Solo, Untung Wiyono merapatkan perhubungan penduduknya menerusi perkhidmatan Internet. Ketua Luwu Timur di selatan Sulawesi, Andi Hatta Marakarma pula membina rumah dan jalan raya baru bagi membantu mengurangkan kos pengangkutan beras sebanyak dua pertiga.

Perubahan ini bukan hanya dipantau di kawasan bandar dan daerah yang melahirkan pemimpin bertauliah tetapi meliputi para gabenor yang ditempatkan di wilayah tertentu. Sementara itu, seorang gabenor di wilayah Gorontolo di utara Sulawesi, Fadel Muhammad dilabelkan sebagai antara calon yang paling berpotensi untuk layak bertanding dalam pilihan raya di wilayah tersebut. Itu semuanya kerana beliau berjaya menarik pelaburan asing dan menangani masalah kekurangan bekalan bahan api.

Rakan sejawat beliau di selatan Sumatera, Alex Noerdin, mengharumkan namanya ketika mewakili daerah Musi Banyu apabila beliau menggunakan duit royalti daripada komoditi tempatan untuk membayar kos membina sekolah dan hospital. Kedua-dua unit itu menyediakan kos pendidikan dan perubatan percuma. Sekarang sebagai seorang gabenor, beliau berjanji untuk memperkenalkan perkhidmatan yang sama di seluruh wilayah. - Reuters

Bukan sarang pengganas
USAHA mengaitkan Malaysia dengan isu keganasan seperti tiadapengakhiran. Lepas satu satu isu keganasan cuba dikaitkan dengan negaraini. Semuanya bertujuan memburukkan Malaysia. Ia cuba memberi gambaranseolah-olah negara ini merupakan destinasi yang tidak selamat.

Cakap tak serupa bikin
KENAPAKetua Staff kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga ahli ParlimenJelutong, Jeff Ooi enggan memohon maaf berhubung kenyataannya menuduhJemaah Islah Malaysia (JIM) kumpulan ekstremis?

Pendekatan 'darurat kesihatan' sesuai kekang H1N1
PERKEMBANGAN mutakhir selesema babi atau Influenza A (H1N1) menunjukkankeadaan yang amat membimbangkan dengan jumlah kematian yang semakinmeningkat saban hari.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
SETAHU Awang, kerajaan amat jarang mengguna pakai Akta Hasutan terhadappihak yang membangkitkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Ujian getir menanti UMNO di Permatang Pasir
PRESTASI cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil ManekUrai, Kelantan akan diuji sekali lagi di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Penghinaan DAP terhadap Islam sudah melampau
DAP begitu celupar, bongkak dan biadap sekali bukan sahaja kepada umat Islam di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

ISU-ISU AKHBAR CINA
AKHBAR: Sin Chew Jit Poh Ruangan: Opinion Corner (ms 30) Tarikh: 7 Ogos09 (Jumaat) Tajuk: Tepat dalam bidang politik tak semestinya tepatdalam bidang ekonomi Penulis: Lim Ming Hua (Editor Eksekutif Sin ChewJit Poh)




Calon berwibawa boleh bantu BN rampas Permatang Pasir
SIAPAKAHbakal menjadi ayam tambatan parti yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos iniberikutan kematian Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari Pas, bulan lalu?

Minda Pengarang: Kelonggaran PPSMI sehingga tamat sekolah menengah legakan ibu bapa
LANGKAHKementerian Pelajaran memberi kelonggaran kepada pelajar meneruskanPengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) sehingga tamat persekolahan peringkat menengah tentunya memberikelegaan kepada ibu bapa dan pelajar yang sebelum ini bimbang langkahkerajaan memansuhkan dasar itu, mulai 2012. Ternyata kementerianmemberi perhatian menyeluruh mengenai kebimbangan ibu bapa yang mahuanak mereka tidak terganggu dalam proses pembelajaran dan pengajaranberikutan pemansuhan dasar berkenaan. Perubahan dasar secara mendadaktanpa diberi ruang yang secukupnya untuk penyesuaian boleh memberikesan buruk kepada proses pembelajaran pelajar dan pengajaran guru.Sehubungan itu, kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassintentu sekali disambut dengan rasa lega oleh semua pihak. Walaupun dasarMemartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan Memperkasakan Bahasa Inggeris(MBI) bakal berkuat kuasa dua tahun lagi bagi menggantikan PPSMI, iatentunya bermula pada peringkat Tahun Satu di sekolah rendah danTingkatan Empat di sekolah menengah, sebelum pemansuhan selanjutnya disekolah menengah yang dibuat secara berperingkat sehingga sistemkeseluruhannya mengikut dasar baru yang ditetapkan. Ini bermakna,walaupun MBM dan MBI dilaksanakan pada 2012, kecuali murid Tahun Satuyang mengikuti dasar berkenaan sepenuhnya, pelajar lain di sekolahdiberi pilihan meneruskan PPSMI dengan kebebasan untuk menjawab soalanpeperiksaan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Kematian Noordin masih jadi misteri di Indonesia
TEKI-tekimengenai hidup atau matinya suspek pengganas warga Malaysia, NoordinMohd Top masih menjadi tumpuan media Indonesia sehingga semalam.

Cakap-cakap
APABILAPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata yang Barisan Nasional (BN)perlu merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR), ramaikawan-kawan Mamat yakin perkara ini pasti berlaku.






Menjadi tumpuan pelancong Arab
Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepadapengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itutelah menerima 1.2 juta kunjungan.


Reputasi feng shui tercalar
Kes tuntutan seorang penasihat feng shui ke atas harta mendiang NinaWang telah membongkar situasi sebenar tentang ketaksuban masyarakatCina terhadap feng shui.
Bukan sarang pengganas

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK
rencana@utusan.com.my

USAHA mengaitkan Malaysia dengan isu keganasan seperti tiada pengakhiran. Lepas satu satu isu keganasan cuba dikaitkan dengan negara ini. Semuanya bertujuan memburukkan Malaysia. Ia cuba memberi gambaran seolah-olah negara ini merupakan destinasi yang tidak selamat.

Sejak sekian lama Malaysia dituduh sebagai pusat merekrut dan melatih pengganas. Malah sewaktu insiden serangan 11 September 2001, nama Malaysia turut dikaitkan. Ketika itu negara ini didakwa menjadi transit untuk pengganas merancang strategi sebelum ‘menggempur’ Amerika Syarikat.

Selain dikaitkan dengan rangkaian pengganas antarabangsa (dibaca sebagai militan Islam) Malaysia juga didakwa sebagai pusat melatih rekrut pemberontak di selatan Thailand.

Hutan-hutan di sempadan Malaysia-Thai didakwa sebagai lokasi latihan. Dakwaan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan.

Sementara itu, negara ini juga pernah dikaitkan sebagai pusat strategi dan pengumpulan dana untuk Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Tuduhan itu berlangsung sejak sekian lama dan hanya berakhir apabila GAM meletak senjata pada awal 2005 lalu.

Walaupun terdapat banyak kejayaan polis negara ini menangani kes-kes membabitkan rangkaian pengganas antarabangsa, ‘cakap-cakap’ tersebut tidak pernah terhenti.

Terbaru, isu tersebut timbul kembali selepas pengganas yang paling dikehendaki di Indonesia, Noordin Mat Top didakwa mati dalam operasi pihak berkuasa negara itu, Sabtu lalu
Cakap tak serupa bikin

Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KENAPA Ketua Staff kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi enggan memohon maaf berhubung kenyataannya menuduh Jemaah Islah Malaysia (JIM) kumpulan ekstremis?

Walaupun kenyataan itu dilihat sebagai satu penghinaan dan dibuat secara melulu, namun ia seolah-olah tiada penyesalan bagi Ooi.

Sikap wakil rakyat DAP itu memberi gambaran seperti dia tidak kisah membangkit dan memainkan isu sensitif itu.

Alasannya ialah JIM merupakan sebuah pertubuhan berdaftar dan entiti awam. Oleh itu, JIM tidak boleh mudah terasa hati dengan kenyataan peribadi orang ramai berkaitan misi dan aktivitinya.

“JIM patut menerima segala kenyataan yang dikeluarkan tidak kira dalam bentuk yang bagaimana kerana semua orang berhak mengeluarkan pandangan peribadi masing-masing,” kata Ooi pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Kenyataan itu jelas memperlihatkan sikap Ooi yang langsung tidak mempedulikan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.
Pendekatan 'darurat kesihatan' sesuai kekang H1N1

PERKEMBANGAN mutakhir selesema babi atau Influenza A (H1N1) menunjukkan keadaan yang amat membimbangkan dengan jumlah kematian yang semakin meningkat saban hari.

Kebimbangan mengenai wabak maut ini lebih ketara apabila peningkatannya disebabkan oleh jangkitan tempatan dan bukan lagi diimport.

Lapan kematian dalam sehari seperti yang dicatatkan kelmarin adalah sesuatu yang menakutkan. Tidak pernah berlaku keadaan seumpama ini ketika wabak JE, SARS dan sebagainya sebelum ini.

Dari satu segi, keadaan ini menampakkan pihak berkuasa seolah-olah hilang kawalan. Tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan dan di mana hendak bermula.

Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah mengikut prosedur kesihatan antarabangsa sejak wabak ini dikesan di negara ini, namun keadaannya semakin teruk.

Bagi mengurangkan rasa panik rakyat, mereka sepatutnya tahu apa yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa kesihatan dan apa yang sepatutnya mereka sendiri lakukan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu bersikap telus kepada rakyat mengenai keadaan sebenar wabak ini dan membuat hebahan dari semasa ke semasa mengenainya.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil langkah-langkah drastik menangani wabak ini. Nasihat supaya rakyat tidak panik mungkin tidak memadai lagi.

Penularan wabak yang semakin serius dengan kematian meningkat setiap hari tidak boleh tidak menyebabkan rakyat panik dan inginkan jaminan konkrit daripada kerajaan tentang keselamatan mereka.

Dalam keadaan sekarang, mungkin bukan masanya untuk memikirkan kaedah jangka panjang menangani wabak berbahaya ini.

Sebaliknya langkah segera jangka pendek perlu dilakukan serta-merta. Kenal pasti kawasan wabak dan tutup semua premis. Adakan gerakan pembersihan besar-besaran bagi menghentikan penularan.

Pertingkatkan pengesanan wabak ini di pintu-pintu masuk ke negara ini. Aliran keluar masuk orang ramai melalui udara, laut dan darat perlu diteliti dan diperketatkan.

Wajibkan pengimbasan badan di semua pintu masuk, tempat-tempat awam, sekolah, hotel, tempat ibadah, pejabat, restoran, pasar raya, kilang dan lain-lain.

Dengan menerima hakikat bahawa wabak selesema babi di negara ini semakin serius, pihak berkuasa dicadangkan mengambil langkah berani dengan mengisytiharkan 'darurat kesihatan' bagi mengekang dan menangani epidemik ini dengan lebih berkesan.

Dengan pengisytiharan darurat, membolehkan Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Langkah ini mungkin memberi kesan negatif kepada pelaburan dan industri pelancongan negara, tetapi keselamatan rakyat dan kepentingan negara perlu diutamakan.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SETAHU Awang, kerajaan amat jarang mengguna pakai Akta Hasutan terhadap pihak yang membangkitkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Pihak berkuasa biasanya memilih kaedah diplomasi dengan menasihati pihak-pihak yang terlibat betapa pentingnya memelihara keharmonian masyarakat kita.

Mungkin, atas toleransi kerajaan itu, ada pihak yang mudah dan berani menimbulkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan ketegangan.

Bagi Awang, kenyataan membidas dan menghina penceramah bebas Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dengan menyifatkan kenyataannya dalam akhbar Awang baru-baru ini berbau perkauman hanya kerana beliau menghuraikan soal anak luar nikah mengikut Islam, adalah satu pandangan yang tidak boleh diterima.

Awang berpendapat orang yang mempersoalkan kupasan itu sebenarnya tidak sensitif kepada ajaran Islam yang diiktiraf sebagai agama rasmi negara ini. Begitu juga dengan kenyataan yang mengaitkan syariah Islam dengan ekstremis dan isu berkaitan rampasan arak di Selangor.

Apakah mulia jika menuduh pihak lain sebagai perkauman sedangkan tindak-tanduk diri sendiri tidak terlepas daripada unsur itu?

Awang – Bertanya.
Ujian getir menanti UMNO di Permatang Pasir

Oleh ACHMAD DZARIEAN MOHD NADZRI

PRESTASI cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Kelantan akan diuji sekali lagi di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Barisan Nasional secara tradisinya akan meletakkan wakil UMNO manakala di pihak Pakatan Rakyat calon Pas akan bertanding di kerusi ini meskipun PKR juga mahu "mencuba nasib" di sini atas alasan kehendak akar umbi mereka.

Ironinya, majoriti penduduk di kedua-dua lokasi ini adalah datang dari kaum Melayu dan apa yang membezakan statistik pola pengundi disini kali ini ialah pertambahan angka pengundi-pengundi kaum lain yang meningkat kepada 25 peratus di Permatang Pasir.

Permatang Pasir adalah salah sebuah kawasan ADUN yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan peningkatan momentum kebangkitan BN pada kali ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pakatan pembangkang kini tidak boleh mengambil mudah pertandingan yang dijangka sengit pada kali ini.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang telah diwarisi oleh Anwar sejak 1982 hinggalah hari ini tidak pernah menghasilkan cabaran yang mudah bagi UMNO. Pada pilihan raya umum yang lalu, ADUN Pas iaitu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman telah memenangi kerusinya dengan majoriti undi sebanyak 5,433 undi daripada 16,575 pengundi.

Allahyarham Hamdan yang telah memenangi kerusi itu sejak pilihan raya umum tahun 1999 menerima sokongan kuat daripada undi orang Melayu yang membentuk angka sebanyak 72.93 peratus daripada 20,350 pengundi berdaftar di kawasan tersebut.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004 yang telah menyaksikan kebangkitan UMNO pada ketika itu di samping kemerosotan Pas yang hilang banyak kerusi di kawasan Semenanjung sejak tahun 1999, Hamdan masih lagi berupaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti sebanyak 679 undi.

Bagi penganalisis politik, kemenangan pihak UMNO pada pilihan raya kecil kali ini adalah agak mustahil tetapi jika ia mampu dicapai, kemenangan ini boleh menjadi turning point bagi UMNO dalam merangka strateginya dalam usaha menawan kembali hati rakyat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Signifikan kemenangan UMNO pada kali ini adalah amat penting baginya secara khusus kerana ia memperlihatkan kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO dan secara amnya kepada parti-parti komponen lain yang boleh mengambil "pendekatan bijak" UMNO dalam berkempen untuk memenangi hati rakyat.

Prestasi cemerlang UMNO di Manek Urai yang telah berjaya mengecilkan majoriti undi Pas yang hanya tinggal sebanyak 65 undi secara langsung banyak membuka mata dan telinga banyak pihak dan keadaan ini pasti menggusarkan pakatan pembangkang terutamanya Pas yang akan bertanding kali ini.

UMNO pasca kemenangan di Manek Urai semakin bersemangat untuk menang di Permatang Pasir kali ini susulan daripada beberapa isu dan peristiwa kontroversi yang melanda Pakatan Rakyat. Jika di Manek Urai, isu kerajaan perpaduan yang telah memperlihatkan kelemahan gabungan pakatan rakyat telah dimainkan dalam kempen UMNO dan BN tetapi ia disambut pula dengan isu royalti minyak Kelantan yang telah digunakan sebagai tindak balas kepada gelombang kebangkitan BN.

Namun begitu, pakatan rakyat kali ini sudah tentu gelisah dengan perkembangan mutakhir senario politik semasa. Kes liwat Ketua Umum PKR di Mahkamah, isu kelemahan pentadbiran kerajaan Menteri Besar Selangor, isu siasatan exco yang disyaki menerima rasuah juga di Selangor, kematian Teoh Beng Hock, perhimpunan haram Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), isu penjualan arak secara terbuka di Selangor dan yang terbaru isu Jeff Oii yang melabel kumpulan JIM sebagai ekstremis yang menyokong keganasan adalah merupakan rentetan kepada kelemahan dan "ribut" yang sedang melanda kerajaan pakatan pembangkang.

Perkembangan mutakhir inilah yang boleh memberikan kelebihan kepada BN dan UMNO secara khususnya untuk meneruskan strategi menawan kembali hati rakyat terhadap perjuangannya. Kempen pilihan raya secara berhati-hati yang telah dilakukan di Manek Urai perlu dikekalkan UMNO dalam usahanya untuk merampas kembali kawasan Permatang Pasir sekali gus akan meningkatkan momentum BN kelak.

Namun begitu, kemenangan yang dimimpikan BN di Permatang Pasir adalah dijangka bukan mudah. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai tiga kawasan DUN di bawahnya iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya masih sinonim dengan Anwar Ibrahim manakala swing vote penduduk Cina dan India pada pilihan raya umum yang lalu kepada Pakatan Rakyat masih menghantui BN.

Krisis perpecahan dalaman UMNO Permatang Pauh juga sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada persiapan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang ini.

Sungguhpun kemenangan BN dan UMNO pada kali ini kelihatan agak sukar, tetapi jika ia dapat direalisasikan ia secara langsung akan menghentikan momentum kejayaan pakatan pembangkang seperti yang telah ditunjukkan dalam enam kali pilihan raya kecil yang telah dilangsungkan selepas pilihan raya umum yang lalu.

Jika menang ia juga merupakan suntikan moral bagi UMNO yang kini hanya berstatus pembangkang di negeri Pulau Pinang yang mana ia menyaksikan wakil rakyat dari DAP yang mempunyai majoriti terbesar dalam DUN di Pulau Pinang.

Sesungguhnya, Permatang Pasir merupakan medan ujian kredibiliti kerajaan pakatan pembangkang terutamanya di tiga negeri di bawah pentadbirannya. Isu meroboh kandang babi di Kedah, isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang dan krisis kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor dan isu-isu lain adalah rentetan isu yang boleh dihakimi oleh rakyat terhadap kredibiliti pakatan pembangkang.

UMNO dan BN seharusnya perlu berusaha dengan bijak untuk keluar sebagai pemenang dalam pertandingan ini dan sewajarnya patut meletakkan kejayaan ini sebagai kembalinya sokongan rakyat dan menandakan kebangkitan semula UMNO dan BN sebagai parti unggul memperjuangkan nasib dan hak rakyat.

Penulis ialah Tutor, Bahagian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Penghinaan DAP terhadap Islam sudah melampau

DAP begitu celupar, bongkak dan biadap sekali bukan sahaja kepada umat Islam di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

Tidak cukup dengan tindakan seorang Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu yang campur tangan dan mempertikaikan kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras di Seksyen 8 Shah Alam dan tindakan Jeff Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai eskstremis, seorang lagi pemimpin kanan DAP, Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Kebangsaan Parti (DAPSY) yang juga Ahli Parlimen Rasah menggunakan perkataan lucah dan amat jijik sekali ke atas agama Islam.

Dalam pertikaian Siew Fook dengan pendakwah Islam Dr. Mohd. Ridhuan berkaitan soal anak luar nikah, beliau menulis dalam blognya http:sjsandteam.wordpress.com: "Has everything be reduced to your fucking religion."

Agama yang dimaksudkan itu ialah agama Islam. Saya tidak pasti berapa ramai umat Islam di negara ini termasuk pemimpin-pemimpin parti yang beragama Islam sedar akan kenyataan biadap dan bongkak Siew Fook ini.

Mengapa pemimpin-pemimpin DAP menjadikan agama Islam sebagai sasaran mereka? Adakah mereka bertujuan untuk berkonfrantasi dan mahu menguji tahap kesabaran umat Islam?

Apakah tujuan Siew Fook menyerang agama Islam begitu biadap sekali? Adakah beliau sengaja mahu membakar perasaan umat Islam di negara ini?

Adakah ini contoh tatasusila seorang Yang Berhormat dan kalau inilah sikap pemimpin-pemimpin DAP, tidak hairan kalau mereka menjadikan persidangan Parlimen sebagai gelanggang sarkis.

Kebongkakan pemimpin-pemimpin DAP telah sampai ke tahap bahawa mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat. Pihak yang tidak senada dengan mereka dimusuhi dan diserang dengan tuduhan liar menggunakan bahasa yang tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan adat timur.

DAP, khususnya pemimpin-pemimpin kanan mereka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hendaklah meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini dan menarik balik serangan mereka ke atas syariah Islam.

Jika mereka gagal, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah mengambil tindakan undang-undang ke atas kebiadapan Siew Fook yang menyerang agama Islam di dalam blognya.

Jangan sekadar memberi amaran sahaja. Bukan Islam perlu menunjukkan sikap bertoleransi sebagai mana sikap toleransi umat Islam kepada bukan Islam.

Bangunlah umat Islam tanpa mengira perbezaan politik, keturunan dan kaum untuk menggemblengkan tenaga membantah kebiadapan DAP terhadap syariah Islam.

Ingat salah satu wasiat Raja Melayu: "Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan." Pertahankanlah kesucian syariah Islam.


Subang Jaya, Selangor">
ISU-ISU AKHBAR CINA

AKHBAR: Sin Chew Jit Poh
Ruangan: Opinion Corner (ms 30)
Tarikh: 7 Ogos 09 (Jumaat)
Tajuk: Tepat dalam bidang politik tak
semestinya tepat dalam bidang ekonomi
Penulis: Lim Ming Hua (Editor Eksekutif Sin Chew Jit Poh)

SEBELUM ini beberapa ketika dulu, soal selidik mendapati kepimpinan Perdana Menteri dapat meyakinkan orang ramai, mungkin berkait rapat dengan beberapa pengumuman yang beliau buat yang kebanyakannya memihak kepada rakyat.

Tetapi tidak dinafikan juga, selepas Najib memegang jawatan, beberapa pengumuman yang memihak kepada rakyat seperti ibarat ‘Santa Claus’ memberi hadiah, membuatkan orang ramai seronok.

Tetapi akhirnya perlu dilihat pada permukaan asasnya. Walaupun beberapa perubahan baru dibuat, polisi baru dibuat, ia memerlukan masa dan cabaran yang bertindan dalam pelaksanaannya.

Dalam masa tiga setengah tahun mendatang, satu tuaian sebenar hasilnya akan terungkai dalam keputusan undi pilihan raya akan datang.
Calon berwibawa boleh bantu BN rampas Permatang Pasir
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan peta kawasan DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang pada sidang media

Peluang Umno ulangi rekod Manek Urai cerah jika pemimpin tempatan lupakan sengketa dalaman

SIAPAKAH bakal menjadi ayam tambatan parti yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini berikutan kematian Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari Pas, bulan lalu?

Persoalan itu amat penting diperhalusi dan ditimbang dengan sewajarnya kerana faktor calon menjadi amat penting dan kritikal pada pilihan raya kecil yang kelapan selepas pilihan raya umum lalu.

Faktor calon dianggap penentu kepada 22,290 pengundi untuk membuat pilihan, sama ada calon Pas atau Barisan Nasional (BN) bagi mewakilkan mereka sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sudah tentu calon yang bersifat mudah mesra, senang didampingi, tidak sombong, berwibawa, merendah diri dan boleh dihubungi tanpa mengira masa serta peka kepada masyarakat setempat akan mempunyai kelebihan. Dalam konteks ini, Pas, yang mewakili kawasan itu sejak 10 tahun lalu, sudah tentu akan meletak calon terbaik bagi mempertahankan kerusi DUN tunggal di Pulau Pinang.

Pas sudah tentu tidak mahu kehilangan kerusi itu walaupun kehadiran parti itu dalam kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak ubah seperti 'melukut di tepi gantang'. Begitu juga dengan BN khususnya Umno, yang seboleh mungkin mahu merampas semula kerusi itu selepas gagal dalam tiga pilihan raya umum lalu, akan menurunkan calon yang dapat memenangi hati pengundi Permatang Pasir serta diterima oleh Umno Permatang Pauh.

Pemilihan calon yang tepat seperti dilakukan ketika pilihan raya kecil DUN Manek Urai, membuktikan BN mampu merobek kubu Pas dan nyaris menawan kerusi itu. Siapa juga yang akan diturunkan sama ada oleh Pas atau BN, mestilah individu yang diterima oleh masyarakat setempat serta boleh bersama penduduk, sama ada pada waktu senang mahupun susah.

Kalau dilihat kepada sokongan pengundi Permatang Pasir kepada Allahyarham Mohd Hamdan selama tiga penggal, bukanlah sangat kepada pembangunan fizikal yang boleh dibawa oleh wakil rakyat mereka.

Malah, daripada tiga DUN dalam Permatang Pauh, Permatang Pasir adalah kawasan yang paling kurang membangunkan berbanding Seberang Jaya dan Penanti, tetapi penduduk masih memilih wakil rakyat Pas.

Dengan geografi dan demografi di Permatang Pasir, yang mana majoriti penduduknya bertani, kerja kampung dan kerja kilang, kriteria calon yang menepati kemahuan penduduk amat penting. Ciri peribadi Allahyarham Mohd Hamdan yang disenangi dan diterima oleh penduduk, perlu dimiliki oleh calon.

Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, mengakui soal calon amat penting pada pilihan raya kecil ini.

Beliau menggariskan beberapa ciri yang perlu dimiliki calon termasuk anak tempatan, pandai menyesuaikan diri dengan golongan muda dan tua serta boleh bersama masyarakat dalam program yang dianjurkan.

Baginya, calon yang bakal dipilih mestilah individu yang boleh menjadi pengantara di antara golongan muda dan tua serta memahami keadaan geografi dan demografi di Permatang Pasir.

"Bagaimanapun, BN lebih sukar untuk memilih calon berbanding Pas," katanya sambil menambah BN mampu memberi cabaran kepada Pas jika berjaya mencari seorang calon yang menepati cita rasa penduduk.

Justeru, penganalisis politik itu berpandangan Umno perlu meletak calon yang boleh diterima oleh empat kumpulan Umno di bahagian itu bagi memastikannya mendapat sokongan, selain diterima rakyat.

"BN tidak perlu meletak calon yang mempunyai 'nama besar' bagi mengelak dijadikan sasaran pembunuhan karektor," katanya yang yakin kepimpinan baru Umno Pulau Pinang mampu merungkai isu calon.

Tetapi, soalnya siapakah yang bakal diberi kepercayaan oleh parti masing-masing untuk memikul amanah itu?

Beberapa pemimpin Pas disebut-sebut akan dicalonkan termasuk Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man dan timbalannya, Dr Mujahid Yusof Rawa, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu.

Bagi BN, memandangkan kerusi itu adalah kuota Umno, sudah tentu calon parti itu akan diturunkan dan beberapa nama yang disebut ialah Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizad Othman; Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said dan Naib Ketua Umno bahagian, Abdul Rahim Man.

Bekas pemimpin Umno bahagian itu, Datuk Ahmad Saad, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti (1990-1995) dan Permatang Pasir (1995-1999), juga dikatakan mempunyai peluang untuk diturunkan semula.

Selain itu, Pengurus Besar Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Dr Azman Abdul Samat, juga dikatakan tersenarai dan mempunyai peluang cerah untuk dicalonkan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, mengakui pihaknya sudah mengenal pasti beberapa nama untuk dipertimbangkan kesesuaiannya sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

Apa yang pasti, katanya, individu yang bakal disenaraikan adalah mereka yang terbaik di kalangan yang terbaik bagi memastikan BN mampu memberi saingan hebat kepada lawan.

"Calon yang bakal dipilih bukan saja diterima oleh masyarakat setempat tetapi juga oleh jentera parti. Kita cari calon yang diterima oleh semua pihak dan mampu memberi khidmat yang terbaik," katanya.

Begitu juga dengan Pas, akan meletakkan calon yang terbaik dan setakat ini Pas Pulau Pinang sudah mencadangkan beberapa nama yang dianggap layak dan boleh diterima masyarakat Permatang Pasir.

"Pas akan bertanding dan sudah mencadangkan beberapa nama yang dianggap layak dan boleh diterima masyarakat. Calon itu mampu memenuhi kriteria untuk menjadi wakil rakyat di situ," kata Salleh.

Selepas tiga penggal penduduk Permatang Pasir memberi kepercayaan kepada wakil rakyat Pas yang sememangnya memahami permasalahan dan keperluan mereka, sudah sampai masanya untuk mereka berubah angin.

Penduduk bukan saja memerlukan pemimpin yang boleh merasai denyut nadi mereka, tetapi juga seseorang yang boleh menyuarakan kemahuan dan berupaya memenuhi tuntutan seiring perkembangan semasa.
Minda Pengarang: Kelonggaran PPSMI sehingga tamat sekolah menengah legakan ibu bapa

LANGKAH Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran kepada pelajar meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat persekolahan peringkat menengah tentunya memberi kelegaan kepada ibu bapa dan pelajar yang sebelum ini bimbang langkah kerajaan memansuhkan dasar itu, mulai 2012. Ternyata kementerian memberi perhatian menyeluruh mengenai kebimbangan ibu bapa yang mahu anak mereka tidak terganggu dalam proses pembelajaran dan pengajaran berikutan pemansuhan dasar berkenaan. Perubahan dasar secara mendadak tanpa diberi ruang yang secukupnya untuk penyesuaian boleh memberi kesan buruk kepada proses pembelajaran pelajar dan pengajaran guru. Sehubungan itu, kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentu sekali disambut dengan rasa lega oleh semua pihak. Walaupun dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBI) bakal berkuat kuasa dua tahun lagi bagi menggantikan PPSMI, ia tentunya bermula pada peringkat Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Empat di sekolah menengah, sebelum pemansuhan selanjutnya di sekolah menengah yang dibuat secara berperingkat sehingga sistem keseluruhannya mengikut dasar baru yang ditetapkan. Ini bermakna, walaupun MBM dan MBI dilaksanakan pada 2012, kecuali murid Tahun Satu yang mengikuti dasar berkenaan sepenuhnya, pelajar lain di sekolah diberi pilihan meneruskan PPSMI dengan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Kita berharap langkah kementerian bukan saja menjadikan sistem yang dilaksanakan ini lebih anjal, malah secara beransur-ansur diterima pakai semua pihak termasuk mereka yang menyokong dan membantah PPSMI sebelum ini. Dalam pada itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan guru perlu juga memberi sokongan padu terhadap dasar yang bakal dilaksanakan itu, yang biasanya pada peringkat awal pelaksanaan bakal menimbulkan kebimbangan, namun selepas lama berjalan dan menunjukkan kesan yang baik, ia akan diterima sepenuhnya. Dijangkakan, pelajar akan mengikuti sepenuhnya dasar MBM dan MBI menjelang 2023, jika tempoh pembelajaran selama 11 tahun diambil kira dan selepas itu PPSMI akan terus mansuh. Apa yang penting, pelajar kini mempunyai pilihan untuk mengikuti pembelajaran dalam bahasa yang mereka kuasai dengan bantuan guru dan pihak sekolah. Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan kementerian untuk memaksa kerajaan mematuhi kehendak mereka. Apa yang dibimbangi, selepas ini tentu ada pihak yang akan mempertahankan supaya sekolah tertentu terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana guru, pelajar dan ibu bapa sudah selesa dengan sistem berkenaan. Perkara ini tidak mustahil berlaku di sekolah kawasan bandar yang penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajarnya lebih baik. Ini menyebabkan ada pihak mempertahankan `status-quo' yang dinikmati selama ini. Kita harap kementerian bertegas dalam pelaksanaannya supaya tiada pihak yang menyeleweng dari dasar yang ditetapkan kerajaan. Ini perlu bagi mengelakkan sekolah yang melaksanakan MBM dan MBI terutama di luar bandar tidak menjadi mangsa kepada dasar tidak seimbang apabila bersaing memasuki pusat pengajian tinggi nanti.
Kematian Noordin masih jadi misteri di Indonesia
Oleh Khaidir A Majid

TEKI-teki mengenai hidup atau matinya suspek pengganas warga Malaysia, Noordin Mohd Top masih menjadi tumpuan media Indonesia sehingga semalam.

Spekulasi dibuat mempunyai alasan masing-masing. Namun sebelum keputusan ujian DNA diketahui dalam satu atau dua minggu lagi, tidak ada siapa secara yakin boleh menyatakan lelaki ditembak mati di Temanggung, Jawa Tengah, Sabtu lalu adalah benar-benar Noordin.

Malah, pendirian rasmi polis Indonesia sama seperti sebelum ini iaitu keputusan DNA harus dinantikan.

Bagaimanapun, sumber polis yang terbabit dalam operasi selama 17 jam berkenaan yang dipetik akhbar republik itu yakin bahawa si mati memang Noordin. Menurut sumber itu, pihaknya mengintip suspek selama satu minggu sebelum melancarkan operasi. Suspek diekori ke mana saja dia pergi dan polis mengetahui di mana suspek makan. Malah, gambarnya dirakam dan satu ketika dalam tempoh pengawasan itu polis menjejaki suspek tidur di tanah perkuburan.

Anggota unit antipengganas polis, Detasemen Khusus 88 Antiteror (Densus 88) mula menjejak suspek selepas memintas perbualan telefon salah seorang daripada orang kepercayaannya. Noordin dipercayai tidak pernah menggunakan alat komunikasi elektronik sejak diburu polis enam tahun lalu.

Segala hubungan dibuat bagi pihaknya oleh orang kepercayaannya. Dalam hubungan terbaru, Densus 88 mengesan perbualan seseorang yang bernama Indra Arif Hermawan, 24, menggunakan telefon bimbit untuk menyampaikan pesanan bagi pihak Noordin.

Arif ditangkap lebih dulu sebelum polis mengepung rumah di Dusun Beji, Temanggung. Selain Arif, abangnya Aris Susanto, 31, turut ditahan, bersama Muhjahri, 69, pemilik rumah yang menjadi tempat persembunyian suspek ditembak mati.

Sebelum melancarkan operasi, Densus 88 mengesahkan identiti suspek dengan orang yang pernah bertemu dengan Noordin. Susuk tubuh suspek didapati amat berbeza dengan gambar Noordin disebarkan polis. Suspek kelihatan lebih kurus, sementara gambar Noordin dalam poster dilihat lebih gempal.

Bagaimanapun, sumber itu berkata gambar Noordin dirakam sekitar awal 2000. Noordin selama bertahun-tahun dalam pelarian dipercayai selalu mengubah penampilannya. Lagi pun, rakannya, Dr Azahari Husin, juga warga Malaysia yang dibunuh dalam operasi polis pada 2005 juga lebih kurus daripada yang dijangkakan.

Berdasarkan keyakinan itu Densus 88 melancarkan operasi terhadap sebuah rumah di tengah sawah padi di kampung terpencil berkenaan.

Namun, bagi pakar lain, banyak perkara menimbulkan keraguan bahawa jenazah lelaki yang kini berada di Rumah Sakit Polri Dr Sukanto, Jakarta Timur adalah Noordin.

Antara yang menimbulkan persoalan adalah lokasi persembunyian itu sendiri. Menurut pakar, lokasi tempat persembunyian itu amat berbeza yang digunakan Noordin selama ini. Rumah yang menjadi tumpuan operasi polis itu terletak di sebuah kampung terpencil dikelilingi bukit, manakala sembilan lokasi persembunyian pernah digunakan Noordin sebelum ini dekat dengan akses jalan dan laut. Jarang sekali Noordin mencari lokasi terpencil seperti di Temanggung.

Menurut pakar perisikan yang dipetik akhbar republik itu, Noordin memiliki naluri mengelak serbuan yang baik. Dia jarang sekali berpindah tempat persembunyian secara bersendirian.

"Rasanya mustahil teroris seperti Noordin berjalan atau tinggal sendirian, tanpa adanya pengawal," kata bekas Ketua Badan Intejelen Nasional, HendropriyonoHendro.

Ada pula yang menyanggah hujah bahawa suspek adalah Noordin semata-mata kerana dia sempat menjawab namanya sebelum polis menghujani rumah kecil itu dengan peluru. "Apakah logik Noordin Mohd Top akan mengakui identitinya ketika dikepung polis," tanya seorang pakar perisikan.

Hujah ini dikuatkan lagi oleh sebuah laporan akhbar Indonesia semalam yang memetik pegawai kanan polis antipengganas yang menyatakan cap jari, bentuk muka dan badan lelaki yang ditembak mati mengesahkan ia bukan Noordin.

Beberapa penganalisis yang dipetik akhbar lain republik itu turut tidak yakin lelaki berkenaan adalah suspek pengganas yang sudah menjadi orang paling dikehendaki di Asia yang didakwa mengetuai serpihan kumpulan rangkaian pengganas, Jemaah Islamiah.

Media di Indonesia yang sebelum ini dengan yakin melaporkan bahawa Noordin sudah ditembak mati, kini rata-rata tidak yakin dengan kenyataan itu.

Akhbar harian The Jakarta Post menulis dengan tajuk besar "Apakah itu Noordin" dan stesen televisyen TV One yang sebelum ini memaparkan gambar eksklusif mengenai serbuan di Temanggung dan melaporkan Noordin maut � sekarang mengubah laporan mereka.

Dalam keghairahan mengejar berita besar, media kadang kala terlupa etika untuk mengesahkan laporan mereka. Baik media Indonesia mahupun agensi berita asing, termasuk rangkaian televisyen antarabangsa, Sabtu lalu benar-benar yakin lelaki yang maut adalah Noordin berdasarkan sumber mereka di lokasi serbuan.

Namun apa yang perlu dipelajari daripada berita 'Noordin maut' ini ialah sumber di lapangan yang tidak dinamakan bukanlah harus diambil sebagai sumber yang sahih.
Cakap-cakap

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata yang Barisan Nasional (BN) perlu merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR), ramai kawan-kawan Mamat yakin perkara ini pasti berlaku. Mereka positif kerana melihat corak pentadbiran kerajaan negeri itu yang berkecamuk dan pemimpin yang berbeza ideologi berbalah sesama sendiri. Akibat janji yang tidak ditunaikan dan sikap kerajaan menguruskan isu yang mengguris perasaan, rakyat kata kali ini “selamat tinggal” kerajaan negeri.

Mamat - dulu minat lagu Selamat Tinggal Pujaan
Menjadi tumpuan pelancong Arab

Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itu telah menerima 1.2 juta kunjungan.




RIUH-RENDAH bahagian rimba dengan jeritan dan gelak ketawa kanak-kanak. Terpancar wajah gembira dan teruja pada wajah mereka tatkala melihat telatah seekor monyet albino yang begitu aktif.

Sesekali monyet berbulu putih itu mencapai barang dan melompat ke badan pengunjung. Sehinggakan lensa kamera jurufoto, Djohan Shahrin yang sedang asyik merakamkan aksinya turut hampir direntap.

Semuanya kembali tenang selepas ranjer zoo, Addy Zainuddin, 23, pantas menghalang dan mendukung kembali monyet itu daripada terus 'mengganggu' pengunjung.

Namun tidak sampai beberapa saat, pengunjung kembali ketawa melihat si cilik yang obses pada monyet albino tersebut. Kanak-kanak perempuan berbangsa Arab itu seboleh-bolehnya mahu merampas monyet yang berada dalam pelukan Addy.

Lagaknya seperti cukup geram dengan monyet yang comel, lincah dan mencuit hati.

"Saya suka dukung dan memeluknya kerana gayanya tidak ubah seperti anak patung. Walaupun ia aktif ke sana dan ke mari, saya tidak takut untuk mendekati, malah sempat bergambar bersama," kata Sara Mohammed Al-Saud, 8, dalam nada gembira.

Selepas bermesra dengan monyet, Sara berjalan pula ke sudut yang menempatkan sangkar ular albino. Bukan sekadar melihat dari luar, Sara sebaliknya meminta kepada ranjer Addy agar mengeluarkan ular berwarna kuning dan putih itu untuk diletakkan di bahunya.


ADDY bersama monyet albino di Zoo Sunway Lagoon.


Itulah situasi menarik yang berlaku di kawasan Rimba, Zoo Interaktif Hidupan Liar di Taman Tema Air Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor. Selain Bahagian Rimba, Pet Village, Aviary (burung), Nature Walk, Village atau Butterly juga meriah dengan kunjungan pelancong asing.

Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itu telah menerima 1.2 juta kunjungan.

"Biarpun baru setahun beroperasi, sambutan pengunjung cukup memberangsangkan. Biasanya, zoo interaktif ini akan sesak pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

"Namun begitu dalam bulan ini, rata-ratanya ia dikunjungi oleh pengunjung dari Arab. Mereka merupakan kumpulan pengunjung terbesar yang mengagumi dan teruja melihat haiwan tersebut dari dekat," jelas Pegawai Perhubungan Awam Kanan Sunway, Loke Kah Peng, sambil mengajak beberapa orang kanak-kanak Arab memberi makanan kepada pelbagai spesies burung.


SEORANG pelancong dari Arab Saudi berpeluang mendekati dan memberi makan burung di Zoo Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.


Berbicara tentang zoo, ada yang pasti mengeluh kerana hanya mampu melihat haiwan pada jarak lima hingga 10 meter. Itu pun dari luar pagar. Namun situasi tersebut jarang berlaku di zoo interaktif Sunway.

Dengan adanya pemantauan daripada 17 orang ranjer yang bertugas di sembilan bahagian, pengunjung berpeluang memegang, mencium dan memeluk haiwan kesukaan tanpa ragu-ragu.

Bagi mencipta kelainan dan keunikan, zoo interaktif seluas lapan hektar itu tidak menempatkan 150 spesies haiwan di dalam kandang. Sebaliknya ia dibiar bergerak bebas di dalam kawasan habitatnya.


HESSA AHMED ALI dari Dubai memberi makan arnab di Zoo Sunway Lagoon.


Antaranya arnab, ayam belanda, kambing, burung unta, kura-kura, monyet, kuda, kanggaru walabi, burung merak, burung kakak tua dan bermacam-macam lagi.

Jelas ranjer Addy yang berpengalaman lebih empat tahun dalam dunia pengurusan haiwan, pihak zoo sengaja membiarkan haiwan-haiwan jinak itu bebas berkeliaran. Dengan cara itu, pengunjung dapat 'berkenalan' dengan haiwan yang selama ini hanya dapat dilihat dalam majalah atau di kaca televisyen sahaja.


KOSTUM ala-Tarzan yang dipakai oleh kakitangan Sunway dapat dilihat di sekitar kawasan Zoo Sunway Lagoon.


Bagaimana sekiranya haiwan 'dipicit' atau dicekik pengunjung yang geram melihatnya? Menurutnya, sebab itulah setiap kawasan mempunyai ranjer yang bertugas. Ranjer akan memantau dan menasihati pengunjung sekiranya mereka didapati menyakiti fizikal haiwan tersebut.

"Selain itu, kumpulan ranjer akan terlebih dahulu memberi taklimat kepada pengunjung khususnya kanak-kanak, sebelum mereka melakukan sebarang aktiviti dan melawat persekitaran zoo. Mereka dinasihatkan supaya tidak memicit, mencabut bulu dan memberi makanan yang dibawa dari luar kepada haiwan.

"Ini kerana haiwan di sini mempunyai diet dan pemakanan tersendiri. Paling penting, pengunjung dilarang sama sekali memasukkan jari ke dalam kandang bagi mengelakkan masalah digigit haiwan," terang Addy lagi.

Sementara itu, Lama Mohammed, 15, yang berasal dari Arab Saudi tidak henti-henti memuji kreativiti dan konsep zoo interaktif Sunway.




Dia yang mengambil masa hampir tiga jam berada di dalam zoo, berkata, kunjungannya ke sini memberikan pengalaman manis yang sukar dinikmati di negara sendiri.

"Negara Arab juga terdapat beberapa buah zoo dan bermacam-macam jenis haiwan selain unta, tetapi konsepnya berlainan. Kami hanya dapat melihat haiwan dari luar kandang. Aktiviti bergambar pun tidak menyeronokkan kerana haiwan terlalu jauh.

"Namun di zoo interaktif ini, saya dan adik-beradik merasai pengalaman membelai, memeluk dan bergambar dengan haiwan kesukaan terutamanya kura-kura dan monyet.

"Bagi sesiapa yang takut cedera, usah khuatir kerana ranjer zoo akan mengajar cara yang betul untuk mendekati haiwan," kata Lama yang memuji tindakan pihak zoo meletakkan papan informasi haiwan di setiap kandang.

Reputasi feng shui tercalar

Kes tuntutan seorang penasihat feng shui ke atas harta mendiang Nina Wang telah membongkar situasi sebenar tentang ketaksuban masyarakat Cina terhadap feng shui.


NINA Wang meninggalkan aset yang dianggarkan bernilai lebih RM46 bilion.


KES mahkamah berprofil tinggi mengenai tuntutan estet milik taikun Hong Kong, mendiang Nina Wang telah membuka pekung mengenai obsesi masyarakat Cina terhadap sistem tenaga kuno, feng shui.

Daripada membakar duit sehinggalah menggali lubang feng shui, kes tersebut telah menyemarakkan lagi kepercayaan masyarakat Cina terhadap sistem berkenaan dalam mencari kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan.

Walaupun Barat menganggap feng shui tidak lebih daripada menyusun perabot mengikut cara tertentu, masyarakat Hong Kong memberi perhatian serius terhadap sistem ini.

Dalam kes yang disebut di Mahkamah Tinggi Hong Kong, Tony Chan yang menggelarkan dirinya sebagai pakar feng shui dan merupakan bekas pelayan bar menjadi topik utama akhbar negara itu selama berminggu-minggu.

Chan yang mendakwa dia ialah kekasih Wang dan penasihat feng shui kepada hartawan tersebut, kini menuntut kekayaan taikun itu bernilai AS$13 bilion (RM46 bilion).

Bagaimanapun, Yayasan Chinachem Charitable yang diurus oleh adik-beradik Wang, menegaskan bahawa wasiat yang menyatakan harta tersebut milik Chan adalah palsu.

Peguam Chinachem mendakwa Chan telah mempergunakan keadaan kesihatan Wang yang semakin merosot pada masa itu. Chan memberi kata-kata janji bahawa dia boleh menyembuhkan kanser yang dihidapi Wang menerusi feng shui pada tahun 2007.




Mereka juga menuduh Chan telah memberitahu Wang bahawa dia boleh membantu mengembalikan suaminya, Teddy yang diculik dengan menggali lubang di kediamannya, sebelum memenuhkannya dengan batu jed.

Suami Wang tidak dijumpai sejak diculik kali kedua pada tahun 1990. Dia kemudiannya diisytiharkan mati sembilan tahun kemudian.

Sepanjang seminggu di mahkamah, kredibiliti dan kelayakannya sebagai penasihat feng shui dipertikaikan. Kesannya, amalan feng shui turut diragui keberkesanannya.

Pakar feng shui veteran, Lee Sing-tong, memberitahu, perlu ada undang-undang khusus mengenai pekerjaan sebagai penasihat feng shui supaya orang seperti Chan tidak menjejaskan reputasi mereka.

"Chan telah memusnahkan kepercayaan pelanggan terhadap kami," kata Lee.

Chan mampu meraih kepercayaan pelanggan kelas atasan termasuk ahli politik dan ahli perniagaan, selain mengenakan bayaran yang tinggi untuk perkhidmatannya. Wang sendiri telah memberinya 688 juta dolar Hong Kong (RM315 juta ) sebelum dia meninggal dunia.

Bagaimanapun, Chan mengaku bahawa dia tidak tahu melakukan sesetengah ritual dengan betul. Nasihatnya yang menyuruh pelanggan supaya membakar wang untuk mengubah nasib diperturunkan oleh mendiang bapanya, seorang guru sekolah yang katanya hanya sebagai lawak jenaka.

Feng shui merupakan seni untuk menambah kualiti kehidupan seseorang dengan membaiki persekitaran mereka melalui prinsip harmoni dan aliran tenaga.


PENASIHAT feng shui, Tony Chan diserbu pemberita ketika tiba di Mahkamah Tinggi Hong Kong.


Menurut amalan feng shui, segala benda di alam ini dijadikan melalui dua ciri berbeza iaitu Yin dan Yang. Yin melambangkan unsur semulajadi yang pasif, manakala Yang mewakili ciri-ciri aktif.

Ia turut mengandungi lima elemen tenaga iaitu kayu, api, bumi, besi dan air. Feng shui menyatakan segalanya perlu wujud keseimbangan di antara elemen-elemen tersebut.

Seorang pengamal feng shui terkenal, Peter So berkata, ia merupakan satu disiplin saintifik. "Feng shui sangat mudah. Ia tiada kaitan dengan magis atau agama.

"Segalanya mengenai pusingan dan interaksi antara manusia dan alam sekitar. Selebihnya adalah rekaan sesiapa yang mengaku sebagai penasihat feng shui untuk membina keyakinan pelanggan terhadap mereka," katanya. - AFP