Orang Melayu tak sedar 'diperkuda' Pakatan Rakyat

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my




PKR, Pas hanya diperalat DAP untuk jayakan agenda menuntut hak kesamarataan bangsa

SEJAK seminggu lalu, banyak reaksi yang didengar mengenai perhimpunan haram bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diadakan sekitar ibu kota, Sabtu lalu.

Malah, beberapa hari lalu, beberapa pihak mengemukakan tuntutan kepada penganjur perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana mendakwa mereka terjejas serta kerugian akibat demonstrasi jalanan berkenaan.

Jelas sekali perhimpunan haram yang dianjurkan atas nama membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu gagal mencapai maksud dihajatkan penganjur yang didalangi pembangkang itu.

Bagi penyandang Kursi Tun Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata perhimpunan berkenaan lebih kepada usaha mengalihkan pandangan umum mengenai pertikaian yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) dan isu lain yang sedang hangat diperkatakan

Bantahan kepada ISA hanya alasan memperlihatkan bahawa PR sepakat, walaupun hakikatnya tiga 'sahabat' dalam pakatan itu iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mempunyai ideologi yang berbeza dan tidak mungkin dapat mencari satu titik pertemuan bagi bekerjasama dan bersatu.



"Ada banyak jurang perbezaan pandangan dan perjuangan di kalangan parti dalam PR. Perbezaan berkenaan sekali sekala muncul, tetapi banyak disorokkan untuk melindungi dan memesongkan perhatian awam terhadap pertikaian dan perbezaan dalaman yang dihadapi mereka (PR)," katanya.

Pakatan berkenaan menurut Prof Zainal, sengaja mengadakan demonstrasi kerana mahu 'menukar tajuk' dengan menjadikan GMI sebagai 'kuda tunggangan' menganjurkan gerakan memperjuangkan isu yang tidak perlu seperti ISA.

PR juga sering memesongkan rakyat dengan membawa isu lain yang tidak berapa penting dan kritikal atas alasan keadilan bagi menutup perpecahan yang sering kali meledak di dalam pakatan itu seperti berlaku di Selangor.

Terbaru isu campur tangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu, yang menghalang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras daripada sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam juga jelas menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam pakatan itu apabila wakil Pas tidak senang dengan perlakuan Exco daripada DAP, Ronnie Liu.


Lebih parah lagi kita lihat Menteri Besar Selangor daripada PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seakan-akan menyokong DAP yang membawa kemarahan kepada wakil Pas dan orang Islam di negeri berkenaan.

Prof Zainal berkata, banyak kepincangan dan perbalahan berlaku di negeri dikuasai PR seperti di Perak dan Pulau Pinang, tetapi ia disorokkan daripada umum, walaupun kini penyokong Pas mulai sedar dan mahukan perubahan seperti ditunjukkan pada pilihan raya kecil Manek Urai.

"DAP memang sejak dulu dari Singapura memperjuangkan dasar persamaan hak. Kini mereka sudah berjaya meyakinkan sesetengah orang Melayu bahawa Umno itu mengamalkan diskriminasi dan bersikap seperti aparteid. Lebih malang beberapa pemimpin Melayu di dalam parti itu mempercayai persamaan hak penting untuk semua.

"DAP dengan penuh strategi juga mengagungkan pemimpin dalam pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin penuh keadilan supaya orang Melayu 'terbuai' dengan pujian dan menjadi rakan sekutu mereka.

"Mereka ini apabila seronok dipuji akan terlupa bahawa DAP mempunyai agenda tersembunyi untuk merombak Perlembagaan negara bagi memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan sebagainya. Sebab itu, saya nampak ada pemimpin Pas dan PKR daripada kalangan orang Melayu yang terbabit dalam perhimpunan itu.

"Mereka ini nampaknya termakan puji dan sanggup jadi 'kuda tunggangan' kawan sendiri," katanya

Presiden Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar, berkata orang Melayu kini berpecah dan menyertai banyak kelompok menyebabkan mereka tidak sedar bahawa sudah dipergunakan sesetengah pihak untuk tujuan merealisasikan agenda pihak berkenaan.

"Saya melihat bantahan kepada ISA hanya alasan untuk pihak yang tidak bertanggungjawab ini menjalankan 'jarum' mereka menghakis hak yang ada pada orang Melayu dan orang Islam di negara ini. Kita bimbang dengan perkara ini dan kini berusaha menyatukan kelompok Melayu ini supaya bersatu," katanya.

Beliau yakin bahawa perhimpunan jalanan bukan sekadar memperjuangkan bantahan pelaksanaan ISA di negara ini, sebaliknya menjadi medan parti politik tertentu yang mempunyai matlamat tersendiri.

Seperti biasa dalam usaha mencapai matlamat tersendiri yang dalam kebanyakan kes berbeza-beza ini, masing-masing tidak akan teragak-agak menggunakan atau lebih tepat memperkudakan rakan sendiri.

"ISA itu sudah jelas dan ia selaras dengan Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Jadi tidak perlu bantahan dibuat secara berdemonstrasi kerana ia jelas melanggar Rukun Negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan.

"Orang Melayu patut sedar, bahawa inilah masa bersatu seperti dinyatakan Perdana Menteri, dalam konsep 1Malaysia. Menunjuk perasan atas isu ISA tidak dapat menyatukan, tetapi ia sekadar 'alat' mengalihkan pandangan kita terhadap isu perpaduan orang Melayu," katanya.

Beliau berpendapat perpaduan antara orang Melayu penting dan perkara itu sangat ditakuti parti politik tertentu kerana ia boleh menjejaskan usaha mereka memperjuangkan hak kesamarataan rakyat tanpa mengira bangsa.

Perkara itu diakui Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak yang melihat penganjur diperkudakan rakan sendiri dalam parti pembangkang yang sengaja mahu mewujudkan kekacauan di negara ini bagi membolehkan mereka menyalahkan kerajaan serta menutup kelemahan kerjasama mereka dalam PR.

Jelas, katanya perhimpunan haram berkenaan bukannya mahu membantah ISA, tetapi lebih memperjuangkan ideologi dan perjuangan parti yang ada dalam PR.

Beliau menegaskan jika benar peserta perhimpunan itu diupah pihak tertentu untuk mengambil bahagian serta dipergunakan tanpa kerelaannya untuk menyertai demonstrasi berkenaan juga membuktikan tanggapan ramai bahawa ISA hanya digunakan sebagai alasan.

"Golongan yang dibayar untuk menyertai perhimpunan jalanan itu jelas membenarkan diri diperkudakan dengan menggadai maruah untuk sekadar mendapatkan duit semata-mata. Lebih malang lagi, yang diperkudakan tidak sedar bahawa mereka dipermainkan dan digunakan rakan sendiri dalam pakatan untuk merealisasikan cita-cita masing-masing," katanya.

Prof Mohamed Mustafa turut mempersoalkan sejauh mana perhimpunan berkenaan benar memperjuangkan hak asasi manusia yang dikatakan terabai akibat pelaksanaan ISA.

"Adakah kita perlu menafikan hak asasi orang lain untuk bekerja, berniaga dan mencari rezeki atau kanak-kanak yang mahu bersekolah dan mendapatkan pendidikan hanya kerana kita mahu membela hak asasi kita? Adakah ia dinamakan adil kerana perhimpunan itu bukan hanya menyusahkan polis dan pihak keselamatan tetapi orang awam yang berada di kawasan demonstrasi jalanan itu berlangsung?

"Paling dikesali mereka yang tidak berdosa seperti orang awam dan kanak-kanak yang menjalankan kehidupan seperti biasa turut menerima kesan. Begitu juga peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman yang menjadi nadi utama perniagaan orang Melayu.

Lokasi perhimpunan itu juga adalah tempat orang Melayu membeli-belah, terutama persiapan menjelang Ramadan akhir bulan ini.

Berdasarkan tiga pandangan itu jelas bahawa mereka yang menyertai perhimpunan itu, terutama orang Melayu tidak sedar bahawa mereka diperkudakan kelompok lain yang jelas mempunyai cita-cita dan agenda lain yang jelas bukan atas nama membantah ISA.

ISA sengaja dijadikan alasan untuk mengajak orang berhimpun secara haram, sedangkan pada pihak kerajaan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menyatakan kajian semula terhadap ISA itu adalah sebahagian daripada keutamaan dijanjikannya ketika mengambil alih jawatan April lalu.

Malah, Malaysia ada saluran untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka, iaitu menerusi wakil di Dewan Rakyat dan Dewan Negara berhubung sebarang akta yang ingin dipinda atau dimansuhkan.

Namun, dalam isu ISA, akta peninggalan penjajah itu bukannya tidak berguna atau menindas orang awam, sebaliknya banyak memberi manfaat kepada rakyat dan negara dalam mengekang golongan pelampau, komunis kumpulan subversif demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Apa yang dipertikaikan sekarang ialah pelaksanaan akta berkenaan bukannya bantahan terhadap matlamat akta berkenaan digubal. Matlamat ISA digubal begitu jelas dan ia begitu baik serta relevan dari sejak digubal hingga sekarang.

KPI tingkat mutu sistem pengangkutan awam

Oleh Abd Rahim Md Nor

Kementerian pantau NKRA perlu tubuh bahagian kumpul, urus data manfaat penumpang

SEJAK hari pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi peneraju nombor satu negara, kita terus menerus dikejutkan dengan langkah meningkatkan mutu perkhidmatan awam supaya lebih cemerlang. Janjinya pada hari pertama untuk menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat, diikuti oleh pengenalan konsep KPI atau Petunjuk Prestasi Utama sektor awam pada 28 April lalu yang akan menjadi piawai pencapaian setiap kementerian.

Konsep Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkannya pada hari memperingati 100 hari sebagai Perdana Menteri, sudah dihurai dan diperincikan di depan lebih 3,000 penjawat awam di PICC, Putrajaya, tidak lama dulu. Satu daripada enam bidang NKRA yang mana konsep KPI ini akan mula digunakan ialah sektor pengangkutan awam.

Mutu pengangkutan awam ditentukan berdasarkan penilaian penumpang terhadap banyak aspek perkhidmatannya. Kalau penumpang terpaksa menunggu lama, bas atau kereta api sesak, keadaan dalam kenderaan panas, jadual perjalanan bas tidak dipatuhi, pemandu tidak mesra pengguna dan kemalangan kerap berlaku, ini menunjukkan kualiti pengangkutan awam sedang mengalami kemerosotan.

Kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam NKRA ini mestilah memantau untuk memastikan semua operator bas, LRT, monorel dan komuter menunjukkan KPI yang sentiasa baik dan meningkat mengikut masa. Kualiti perkhidmatan bas boleh diukur menggunakan konsep Indeks Kualiti Perkhidmatan Bas atau Bus Service Quality Index (BSQI) yang dibina berdasarkan aspek seperti purata masa menunggu, purata bilangan penumpang bagi setiap bas, suhu dalam bas dan kelajuan.

Selain aspek yang umum ini, parameter atau pengukur yang lebih khusus termasuk:

# Purata Naik Bas Bagi Setiap Perjalanan atau Average Boarding Per Trip yang menunjukkan keberkesanan jaringan laluan bas bagi memenuhi kehendak perjalanan penumpang

# Peratusan Liputan Bas iaitu kawasan dalam bandar yang menyediakan hentian bas bagi jarak 500 meter

# Bilangan Bas Setiap 1000 Penduduk

# Peratusan Bas Berhawa Dingin

# Purata Usia Bas

# Peratusan Bas Waktu Puncak

# Kilometer Bagi Setiap Kemalangan membabitkan bas. Sebagai langkah awal meningkatkan KPI dalam NKRA pengangkutan awam di Lembah Klang, kerajaan berusaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada 16 peratus sekarang kepada 25 peratus pada 2012 dan menambah 35 set kereta api empat gerabak untuk LRT laluan baru Kelana Jaya bagi tempoh sama.

Apa yang pasti, tambang yang membebankan rakyat tentulah bukan KPI yang baik untuk kementerian yang dipertanggungjawabkan. Satu keseimbangan yang munasabah perlu dicapai antara keuntungan yang ingin dikaut oleh syarikat bas dengan kadar tambang yang terpaksa dibayar orang ramai.

Dalam menentukan kadar tambang, ahli politik dan pembuat dasar hanya dapat membuatnya dengan betul sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai kos yang terbabit dalam sektor ini dan bagaimana kos ini berubah mengikut masa. Dalam sektor pengangkutan awam bas, kaedah ini diperoleh melalui konsep Indeks Kos Industri Bas atau Bus Industry Cost Index (BICI). Indeks ini mengambil kira semua aspek kos termasuk harga belian badan dan enjin bas, harga tayar, petrol, servis, kos baik pulih, upah pekerja dan harga alat ganti.

Penentuan sama ada sesebuah syarikat bas itu mengalami untung atau sebaliknya boleh dilakukan dengan membandingkan kos dengan hasil kutipan tambang. Maklumat ini amat diperlukan dalam proses menentukan kewajaran kenaikan tambang seperti yang berlaku baru-baru ini.

Indeks Kemampuan Membayar Tambang atau Bus Fare Affordability Index (BFAI) juga perlu diperhatikan oleh kementerian kerana tambang tidak boleh terus naik tanpa mengambil kira kemampuan orang ramai.

Tidak ada gunanya menyediakan satu sistem pengangkutan bas yang cekap dan bermutu tetapi mengenakan tambang yang mahal dan di luar kemampuan golongan sasaran. Kalau ini terjadi, bas tidak akan mendapat sambutan walau pun kualiti perkhidmatannya amat baik.

Saya rasa aspek ini amat perlu mendapat perhatian kerajaan kerana majoriti penumpang bas di Lembah Klang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, pelajar, suri rumah, pencari kerja, pekerja asing dan wanita yang baru memperoleh kerja.

Mereka ini 'penumpang terperangkap' yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam semata-semata kerana tiada pilihan sebab mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Oleh itu, kenaikan tambang yang diumumkan baru-baru ini bakal menjadi ujian kemampuan orang ramai yang menjadi sasaran kerajaan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Kalau dengan menaikkan tambang ke aras yang amat tinggi menyebabkan rakyat dibebani dan golongan penduduk yang menjadi sasaran tidak mampu menggunakannya, maka sektor pengangkutan awam menjadi tidak berjiwa rakyat dan dengan itu KPI juga akan turun.

Dalam sektor pengangkutan awam yang tidak begitu menguntungkan ini, satu daripada langkah kerajaan untuk meningkatkan KPI ialah dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk dana. Bagaimanapun, di samping membantu, penunjuk produktiviti syarikat bas juga perlu dipantau. RapidKL mampu memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik dengan tambang lebih murah berbanding operator lain di Lembah Klang dan Pulau Pinang kerana syarikat ini disokong kuat oleh kerajaan.

Logiknya, bantuan kerajaan itu sepatutnya digunakan oleh syarikat untuk meningkatkan produktiviti pemandunya. Kalau keadaan bas selesa, gaji memuaskan, pakaian seragam diberi percuma, cuti mencukupi dan rawatan kesihatan terjamin, sudah sewajarnya pemandunya bekerja dengan lebih rajin lagi.

Sehingga satu kajian ilmiah dilakukan, kita tidak tahu sama ada produktiviti pemandu syarikat ini semakin meningkat atau sebaliknya. Sokongan kerajaan kepada syarikat bas tidak akan bermakna sekiranya tidak diikuti dengan peningkatan atau sekurang-kurangnya pengekalan dalam produktiviti pemandu dan pekerja lain.

Kita hendak melihat setiap sen yang kerajaan belanjakan untuk membantu syarikat bas dihargai oleh mereka dengan meningkatkan produktiviti pekerja. Ini amat penting diperhatikan kerana ada kecenderungan di kalangan pekerja yang menjadi semakin malas semakin banyak bantuan yang mereka terima. Dalam sektor pengangkutan bas, produktiviti pemandu dan staf lain boleh dikira melalui kaedah mudah seperti jumlah jam bekerja dalam sebulan, kekerapan mengambil cuti sakit, bilangan hari ponteng, dan jumlah kilometer perjalanan setiap pemandu bagi sehari atau menggunakan kaedah yang lebih terperinci seperti Indeks Produktiviti Pelbagai Faktor atau Multi-Factor Productivity Index (MFPI) yang mengukur perubahan output per unit bagi setiap satu kombinasi input.

Sebahagian pengukur KPI yang dikemukakan di sini menjadi tanggung jawab kerajaan untuk merekod dan memantaunya. Ini bukan kerja yang mudah. Saya mencadangkan diwujudkan satu bahagian dalam kementerian yang bertanggungjawab dalam NKRA pengangkutan awam bagi mengumpul dan menguruskan data berkaitan KPI ini.

Penulis ialah pakar pengangkutan awam dan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
7 wasiat Raja Melayu jamin keharmonian Malaysia

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

SELEPAS negara merdeka lebih 50 tahun, sudah kedengaran suara halus dan lantang mempertikaikan beberapa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu.

Perkara ini lebih ketara apabila lima negeri dikuasai pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-12, (Perak kemudian dikuasai semula Barisan Nasional, Februari lalu) dan diburukkan lagi dengan beberapa isu dan 'politiking' yang dimainkan ahli politik, termasuk mereka yang pertama kali dan tiada pengalaman menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Seperti kata seorang pensyarah politik, ketidakstabilan dan krisis politik tanah air selepas pilihan raya umum berlaku kerana ahli politik terlalu 'berpolitiking' selain latar belakang mereka sebagai 'bidan terjun' dalam bidang politik.

Malah, kebanyakan Ahli Parlimen atau Adun yang ada kini, pertama kali bertanding dan menang, mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk di kalangan peniaga kecil atau penganggur yang tiada pengalaman dalam politik. Lebih teruk lagi ada yang tidak bersedia kerana tidak jangka menang.

Ada yang menyatakan ahli politik yang ada, (pertama kali menjadi Ahli Parlimen dan Adun) mengalami kejutan budaya dan tidak pandai menguruskan kemenangannya.

Lantaran itu, wujudlah pelbagai pertikaian dan tuntutan yang mencabar Perlembagaan Persekutuan kononnya diperjuangkan atas nama keadilan dan suara rakyat.

Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik untuk menyedarkan rakyat bahawa tuntutan dan pertikaian yang dibangkitkan ahli politik berkenaan tidak boleh dipersoalkan kerana ia sudah termaktub dan dipersetujui semua kaum dalam Perlembagaan Persekutuan hasil Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Pengisytiharan Kemerdekaan 1957.

Tidak cukup dengan itu, Raja-Raja Melayu mula bersuara dan mengingatkan rakyat tidak lagi mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun pada hakikatnya perkara itu tidak perlu diingatkan kerana Raja-Raja Melayu mempunyai kedaulatan yang sepatutnya difahami setiap warga negara.

Terbaru, sekali lagi peringatan diberikan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang membentangkan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu sebagai peringatan yang perlu diambil berat setiap rakyat.

Ada suara yang menyatakan sebagai Raja, perkara berkenaan tidak perlu dibangkit dan dibentangkan kerana rakyat sepatutnya faham bahawa Raja-Raja Melayu itu ada daulatnya.

Namun, nampaknya ramai yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham mengenai konsep kedaulatan Raja dan Raja yang menaungi dan memayungi rakyat.

Ahli sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, berkata beliau tidak pernah mengetahui mengenai wasiat berkenaan kerana ia adalah dokumen rasmi yang disimpan Majlis Raja-Raja dan pendedahan Raja Muda Perak perlu dipandang serius setiap warga negara.

"Ia bukan satu peringatan biasa tetapi penuh makna tersirat dan tersurat yang perlu diberi perhatian. Ramai yang lupa bahawa Raja-Raja mempunyai daulat yang menjadi tonggak keamanan dan kesejahteraan di negara ini sejak merdeka," katanya.

Sebelum 1948, negara yang dinamakan Tanah Melayu ini milik Raja-Raja Melayu dan kuasa Raja-Raja adalah mutlak bermakna apa saja yang diperintahkan baginda perlu dipatuhi kerana ia adalah undang-undang dan tidak boleh dibantah.

Namun, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu dengan rela hati mengurangkan kuasanya dan wujudlah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang mana sedikit kuasa diserahkan kepada rakyat dan pentadbiran serta pengurusan negara atau negeri diserahkan kepada wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang dilantik sebagai Kabinet (Kerajaan Persekutuan) dan barisan Exco (kerajaan negeri).

Prof Ramlah berkata, apabila sistem pemerintahan Raja mutlak ditukarkan kepada Raja Berperlembagaan, maka Raja-Raja Melayu tidak lagi dilihat kerap dalam masyarakat walaupun sering menemui rakyat jelata.

Keadaan berkenaan menjadikan ramai tidak faham bahawa Raja-Raja mempunyai fungsi dan ada yang menyatakan Raja-Raja Melayu hanya mendapat elaun walaupun hakikatnya Raja-Raja yang menaungi dan memayungi rakyatnya.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu sudah banyak diajar di sekolah, namun rakyat sering lupa apabila tamat persekolahan dan lebih menyedihkan apabila berada dalam masyarakat mereka disogok dengan maklumat salah atau yang dipesongkan mengenai Perlembagaan Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Suasana politik tanah air dan kewujudan kelompok yang menggelarkan diri sebagai pejuang sosial (sosialis) menjadikan keadaan sedia ada lebih parah apabila mereka cuba menukarkan sistem pemerintahan sekarang menjadi seperti republik yang mana tiada lagi kuasa Raja yang memerintah.

Sering kali orang lupa, demokrasi yang diamalkan tidak bermakna seseorang itu bebas mengeluarkan apa saja perasaan tanpa memikirkan keselamatan rakyat umum.

Kelompok ini berasakan jika kedaulatan Raja-Raja Melayu dikikis, lebih mudah usaha mereka mewujudkan kesamarataan rakyat dan hak orang Melayu dibuang.

Pandangan itu dipersetujui Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zainal Abidin Borhan yang berpendapat tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang dikemukakan Raja Muda Perak itu kerana Raja-Raja Melayu nampak sudah ada usaha menggugat kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu serta apa saja yang ada Melayu.

"Pada saya, ia satu peringatan penting untuk menyedarkan orang Melayu dan peribumi serta rakyat seluruhnya mengenai asal usul mereka, juga bagaimana Raja-Raja Melayu itu memayungi dan menaungi rakyat supaya negara ini sentiasa sejahtera, damai dan aman.

"Lebih penting lagi, wasiat itu jelas memberitahu bahawa negara ini adalah miliki Raja-Raja Melayu. Malah, Britain yang pernah menjajah negara ini pun menyerahkan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957 kerana mereka tahu wilayah ini milik Raja-Raja Melayu dan baginda dapat menyatupadukan rakyat dan keamanan dapat dicapai," katanya.

Peringatan berkenaan juga bertepatan situasi terkini di dalam negara, yang mana sudah ada usaha pihak tertentu yang didalangi orang asing untuk menggugat institusi diraja dan kerajaan dengan membangkitkan apa saja isu yang berkaitan orang Melayu seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara Malaysia (SPRM).

Jelas sekali, kata Dr Zainal Abidin, Raja-Raja Melayu amat bertanggungjawab dalam memayungi dan menaungi rakyatnya.

Beliau yang juga Setiausaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berkata, wasiat itu juga mengingatkan rakyat yang dinaungi Raja-Raja Melayu bahawa Malaysia tanah berdaulat dan rakyat jangan sesekali menderhaka dengan mewujudkan ketidakselesaan dan suasana kacau-bilau di negara ini.

"Kelompok yang menjadi 'kitol' (penderhaka), 'Raja Mandeliar' (petualang) serta 'patih' (orang asing) sentiasa mencari jalan supaya orang Melayu Islam tidak mendominasi negara ini kerana ia akan membantutkan usaha mereka mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura dan Indonesia yang kini tiada raja dan menjadi republik.

"Kelompok ini tidak kira didalangi parti pembangkang atau tidak, sebenarnya tahu mereka boleh berkuasa dan menafikan hak orang Melayu sekiranya kuasa Raja-Raja Melayu dihapuskan di bumi bertuah ini, jadi ini memang masa sesuai untuk Raja-Raja Melayu membentangkan wasiat itu," katanya.

Apa yang jelas, satu persatu bukti dan butiran sejarah yang dikeluarkan institusi diraja sejak kebelakangan ini perlu diberikan perhatian dan siapa pun tidak tahu ada banyak lagi dokumen penting di dalam simpanan Raja-Raja Melayu mengenai tanah air ini.

Bagi puak yang berasakan sudah dapat 'kuasa' jangan sesekali cuba mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu kerana bumi bertuah ini memang milik Raja-Raja Melayu, hatta Britain pun memulangkannya ketika Tanah Melayu mahu diisytiharkan merdeka.

Sebagai penamat, hayati titah Raja Nazrin Shah pada Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Khamis lalu;

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu."

INFO
7 wasiat Raja Melayu

# Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)

# Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain

# Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar

# Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini

# Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan

# Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu

# Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)
Jangan tutup lampu itu!

Mungkin pelik jika kita memikirkan konsep dan tujuan bermalam di dalam muzium. Namun, bagi yang mahukan pengalaman baru apabila bertandang ke Melaka, tarikan pelancongan ini menggabungkan rasa seronok, janggal dan seram!




SEJURUS diberitahu tentang pengisian program ini, fikiran sudah melayang ke turutan babak yang penuh kejutan dan aksi seperti yang pernah ditayangkan dalam filem terbitan Hollywood, Night At The Museum dan juga sekuelnya.

Mungkinkah ada, kalau tidak banyak, sedikit keterujaan bakal dialami seperti watak pegawai keselamatan yang dijayakan aktor Ben Stiller itu?




Jika tiada rangka dinosaur yang berlari mengejar mangsanya, atau sekumpulan figura sejarah kecil yang tiba-tiba 'hidup' dan mampu berinteraksi, pasti ada keistimewaan lain yang bakal mengisi aktiviti unik ini.

Namun begitu, kru Jurnal yang diberi peluang merasai pengalaman bermalam di Muzium Samudera, Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini tidak mahu terlalu jauh berimaginasi.


DALAM suasana suram dan gelap, seseorang perlu memikirkan perkara yang seronok untuk dilakukan sendirian.


"Anda akan merasai pengalaman tidur bersama pelbagai artifak yang berusia ratusan tahun. Mungkin nanti ada yang tidur di sebelah patung Hang Tuah, mungkin juga ada yang tidur di sebelah replika berunsur sejarah yang menyimpan pelbagai kisah," kata Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas.

Mendapat kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Melaka, Hotel Naza serta Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka, Khamis memberitahu bahawa program itu bertujuan mendekatkan orang ramai kepada artifak, kisah sejarah dan urutan peristiwa yang membentuk karakter budaya Melaka pada hari ini.


RAMAI peserta yang pada mulanya berasa curiga akhirnya mampu untuk melelapkan mata dan tidur dengan nyenyak.


Tambah beliau, terdapat 21 muzium dan enam galeri di Melaka di bawah pentadbiran Perzim yang kebanyakannya terletak di kawasan Tapak Warisan Dunia di Bandar Hilir.

Sewaktu memperkenalkan nama dan latar belakang setiap muzium tersebut, Khamis sempat bercerita mengenai salah sebuah muzium yang dikatakan telah dihuni oleh sekumpulan makhluk halus lantaran sudah 16 tahun terbiar kosong.




"Ketika usaha mengubah fungsinya mula dibuat, kami terpaksa akur dengan kehadiran 'entiti' yang tinggal di dalamnya. Kami terpaksa memindahkannya dengan meminta bantuan orang yang pakar dalam hal tersebut," ujar beliau.

Saat mendengarkannya, para peserta program pun berpandangan sesama sendiri. Ada yang berkerut dahi kerana sudah membayangkan kalau-kalau ada 'gangguan' sewaktu bermalam di Muzium Samudera pada malam nanti.


MUZIUM replika kapal Flor de La Mar ini menyimpan pelbagai artifak bersejarah.


Bagi sebahagian peserta lain yang suka menduga kehadiran unsur mistikal, inilah masanya. Belum cuba belum tahu!

Dari sungai ke perut kapal


TANGAN patung yang mengundang seram jika tersentuh dalam gelap.


Malam itu, kami (peserta program) dibawa menyusuri Sungai Melaka dengan bot siar. Ramai yang leka menyaksikan panorama sekeliling sambil telinga peka mendengar penerangan tentang bangunan lama, trivia masyarakat dan kisah perdagangan lampau di sepanjang lengkok sungai itu.

Semua cerita itu suatu kompilasi maklumat yang menarik untuk dihayati hinggakan tidak sedar kami sudah tiba ke muara sungai.

Dari pangkalan bot, pandangan mata masing-masing sudah tertumpu pada Muzium Samudera yang disimbah cahaya benderang. Tersergam dalam aura silam yang misteri, replika kapal Flor de La Mar itu begitu menonjol dilatari langit malam.

Di dalam perut kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan lapan meter lebar itulah tubuh yang letih berwisata ini akan tinggal semalaman.

"Sejak program ini diperkenalkan Januari lalu, kami menerima pelbagai reaksi. Ada yang panik apabila terdengar bunyi-bunyian aneh termasuk suara wanita mengilai atau terhidu bau kemenyan.

"Namun tiada apa yang perlu dibimbangkan. Segala perasaan curiga dan gerun akan berakhir dengan keseronokan. Mereka juga tidur nyenyak seperti bayi," ujar pemandu pelancong, Shaukani Abbas yang sentiasa kreatif dengan pelbagai gimik.

Selepas menikmati kudapan lewat malam yang disediakan penganjur, kami ditunjukkan tempat tidur masing-masing. Suasana menjadi gelap dalam muzium menjelang tengah malam setelah pintu dikunci dan peserta ditinggalkan.

"Jangan padam lampu itu! Saya takutlah," kata satu suara.

Penulis cuba memejam mata dan membiarkan deria pendengaran menjadi sensitif. Memang tiada yang aneh dikesan, melainkan sayup-sayup kedengaran suara dendangan malam dari sebuah warung karaoke terbuka yang terletak 100 meter dari lokasi muzium. Oh, suara mak cik yang menyanyi off key nyata lebih menakutkan!

Berjalan sendirian

Jarum jam menunjukkan waktu 3.30 pagi, penulis masih segar terjaga, walaupun tidak dapat menafikan tubuh yang lenguh kerana kepadatan aktiviti pada siang harinya.

Apabila teringat akan kata-kata Shaukani yang memberitahu bahawa peserta program bebas untuk bergerak di dalam ruang pameran muzium ketika bermalam, penulis bingkas bangun.

Dalam kegelapan suasana dan hanya diterangi lampu-lampu suram di sudut tertentu untuk membimbing langkah, penulis berjalan menyusuri lorong-lorong dan tangga. Sekali-sekala lengan dan kaki terasa menggigil, bukan kerana memikirkan yang bukan-bukan, tetapi kerana berjalan melewati corong hembusan pendingin hawa.

Dengan bertemankan lampu suluh kecil, penulis bersendirian melihat ke segenap ruang pameran. Daripada carta, gambar-gambar, artifak hinggalah ke diagram, sempat juga penulis menyingkap semula kisah sejarah kelautan dan pergolakan politik maritim di negeri itu suatu masa dahulu.

Tiba-tiba penulis terpijak suatu yang sejuk dan lembut. Berderau darah dan hampir terjerit jadinya kerana objek itu memberi reaksi dengan menepuk kaki penulis.

"Siapa yang pijak aku ni?" tegas suara itu. Penulis ketawa sendiri dan meminta maaf. Rupa-rupanya yang dipijak itu adalah tangan seorang teman media yang baru hendak dibuai mimpi. Di sudut-sudut gelap, habis semuanya dilanggar dan dipijak!

Tidak mahu insiden itu berulang, langkah dituju kembali ke arah tempat tidur penulis. Waktu ketika itu ialah 5.30 pagi. Tinggal satu jam setengah lagi petugas muzium akan mengejutkan peserta program untuk dibawa kembali ke Hotel Naza.

Dalam percubaan terakhir untuk mencari kehangatan dan keselesaan di bawah selimut, penulis terus memujuk diri untuk lena. Wahai mata, tidurlah. Eh, bunyi apakah itu?



Penghadang ajal

Kajian di Amerika Syarikat membuktikan penghadang tali tersebut berkesan menyerap hentakan kenderaan seberat 10,000 kilogram.


PENGHADANG wayar jauh lebih selamat berbanding penghadang besi yang masih banyak digunakan.


JIKA anda melalui Jalan Mak Mandin di Pulau Pinang sama ada menuju ke Butterworth atau Seberang Jaya, pasti pandangan anda tertumpu kepada barisan wayar di bahu jalan. Bentuknya unik dan dipasang selari di sepanjang tebing Sungai Perai.

Jangan salah faham, wayar yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan seberat 1.21 kilogram setiap meter itu bukan dipasang sembarangan. Malah ia telah banyak menyelamatkan nyawa pemandu kenderaan di situ.

Bagi penduduk setempat, tanpa penghadang itu yang dipasang sejak tahun 2000, mungkin ramai yang telah mati lemas akibat terbabas memasuki sungai.

Sebenarnya, pemasangan pagar bertali tersebut sudah bermula sewaktu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dibuka pada tahun 1998.

“Kelebihan tali ini ialah kos penyenggaraan yang rendah berbanding penghadang konkrit,” jelas Pengarah Urusan Inov Fenc Sdn. Bhd., Abd. Latif Rahman. Syarikat tempatan yang berpusat di ibu negara itu antara yang mempelopori teknologi tersebut.

Di Malaysia, ujarnya, tali itu sudah meluas dipasang di setiap plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan dan bandar Nusajaya yang menjadi nadi Wilayah Iskandar di Johor.

Elak daripada ditusuk penghadang konkrit

Tragedi kemalangan maut melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat yang meragut enam nyawa dekat Rawang, beberapa bulan lalu telah mencetuskan semula isu penghadang ini. Mangsa terkorban kerana penghadang jenis keluli disifatkan kurang mesra pengguna.

Isu itu turut disentuh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh yang mahu penggunaan pagar penghadang sedia ada dikaji semula.

“Ramai yang tidak sedar penghadang tali cukup popular di negara maju. Impak kenderaan yang terbabas dapat diserap oleh tali ini sekali gus menyelamatkan nyawa pemandu daripada ditusuk penghadang konkrit,” terang Abd. Latif.

Kajian oleh Lembaga Penyelidikan Pengangkutan Amerika Syarikat membuktikan ia berkesan menyerap hentakan termasuk oleh kenderaan seberat 10,000 kilogram.

Bahkan bagi kenderaan kecil kurang 1,500 kilogram yang dipandu pada kelajuan 110 kilometer sejam, ia mampu dilencongkan 20 darjah sebelum memasuki semula laluan. Ini bermakna kenderaan itu tidak terbabas terus ke dalam gaung.

Abd. Latif menambah, kelazimannya kenderaan yang melanggar penghadang tersebut tidak rosak teruk biarpun rempuhannya kuat. Impak hentakan hanya menyebabkan hujung tali pada penghadang itu tercabut keluar daripada pasak tanah.

Penghadang jenis tali wayar ini memiliki pelbagai bentuk bergantung kepada lokasi pemasangan. Pagar ini dipasang dengan ketinggian kurang semeter dari tanah dan tali dipintal berselirat bagi menampung hentakan kuat seumpama jaring.

Cerita seram rumah mayat

Bagaimanapun, menguruskan mayat tanpa kepala, leper seperti lempeng atau hancur seluruh badan dianggap biasa oleh kakitangan rumah mayat PPUM.




LANGKAH kaki penulis ke rumah mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) agak perlahan. Maklumlah, banyak kisah seram yang diceritakan orang mengenainya.

Namun, semua bayangan itu ditolak ke tepi. Iyalah, kita sebagai manusia sekuat mana pun ingin menongkat langit, lambat laun akan mati juga.

Itulah juga pesan Ketua Perhubungan Awam PPUM, Yahaya Abdul Hamid, 44. “Amal itu yang menjadi bekalan utama,” tambah beliau yang berpengalaman menguruskan jenazah selama lebih 25 tahun.

Menurut Yahaya, keinsafan akan lebih mendalam apabila beliau perlu mengendalikan mayat yang tidak sempurna.

Baru hari pertama bekerja di PPUM, Yahaya perlu menguruskan mayat yang kepalanya leper seperti lempeng dan dipenuhi serpihan cermin kereta.

“Mayat itu merupakan seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas dan teksi di Lebuh Raya Karak.

“Badannya juga hampir hancur. Saya tidak dapat tidur lena selama beberapa hari,” kenang beliau.

Hati Yahaya turut sayu melihat mayat seorang gadis berusia awal 20-an yang meninggal dunia akibat kemalangan.

“Dia sangat cantik dan merupakan seorang pelancong yang ingin menghabiskan masa melawat tempat menarik di negara ini tetapi peristiwa lain pula berlaku hingga meragut nyawanya,” katanya yang telah menguruskan beribu-ribu mayat sejak lebih dua dekad.




Terdapat juga kes waris yang tidak dapat menerima kematian saudara-mara, ahli keluarga serta kenalan rapat mereka.

“Kebiasannya kami akan meminta mereka supaya bertenang dan bersabar tetapi ada juga segelintir yang tidak dapat mengawal emosi.

“Jadi kita biarkan mereka sebentar sebelum menenangkan mereka,” katanya.

Cerita Yahaya, 10 tahun lalu ada seorang bapa yang tidak dapat menerima kematian anaknya selepas motosikalnya dilanggar lari oleh sebuah kereta.

Si bapa akan memarahi malah mengugut untuk menetak dengan parang sesiapa sahaja yang menyentuh mayat anaknya.

“Semua kakitangan PPUM risau tetapi saya beranikan mengajak pak cik itu minum kopi di kafeteria.

“Kemudian saya terangkan kepada beliau yang PPUM bertanggungjawab menguruskan mayat anaknya kerana ia merupakan peraturan biasa pihak hospital.

“Ini bagi memudahkan dia untuk menuntut ganti rugi dan mengenal pasti siapa yang melanggar anaknya itu,” katanya.

Van jenazah tiba-tiba berat

Bagaimanapun, Yahaya tidak pernah mengalami kejadian pelik sepanjang bertugas menguruskan mayat.

“Ada orang kata mayat boleh menjadi terlalu berat walaupun dia seorang yang kurus hingga perlu dipikul oleh ramai orang,

“Ada juga kononnya kulit bertukar hitam dan berulat. Tapi saya tak pernah mengalami keadaan seperti itu,” kata Yahaya yang berasal dari Kelantan.

Yahaya juga pernah mendengar cerita jenazah seorang tahfiz al-Quran berbau harum manakala seorang lagi berlendir di kampungnya.

“Jenazah tahfiz yang berbau harum itu dikatakan seorang yang beramal serta mengajar ilmu dengan ikhlas kepada penduduk setempat.

“Malangnya seorang lagi tahfiz mayatnya berlendir kerana kononnya dia sering melakukan maksiat,” kata Yahaya.

Dalam satu kejadian lain 10 tahun lalu, Yahaya membantu menghantar jenazah seorang rakan dari Kuala Lumpur ke Melaka. Namun, sepanjang perjalanan, van jenazah hanya boleh dipandu selaju 40 kilometer sejam.

“Saya bertanya pada pemandu mengapa bawa van perlahan? Pemandu itu jawab dia telah menekan pedal minyak hingga habis tapi van terasa amat berat.

“Selepas itu, kami berhenti di Kawasan Rawat Dan Rehat (R&R) di Seremban.

“Saya ‘minta’ si mati supaya melepaskan segala benda yang mungkin pernah tersimpan di badannya di samping saya membaca ayat-ayat al-Quran. Syukur perjalanan kemudian menjadi lancar,” ujarnya.


ABDUL LATIF memastikan peti simpanan jenazah kekal pada suhu 4 darjah Celsius.


Bagi Pembantu Tadbir Kanan PPUM, Abdul Latif Md. Isa, mengendalikan mayat yang tidak mempunyai kepala, tangan dan kaki sudah menjadi perkara biasa.

“Kadang-kadang saya kena uruskan kepala mayat sahaja kerana badannya tidak ditemui.

“Bayangkan pula mayat seseorang yang meninggal dunia kerana kemalangan dan runtuhan sehingga terburai isi perut, pecah atau hancur seluruh badan,” katanya.

Imam surau PPUM, Mohd. Norzaidi Abdul Ghani pula memberitahu pengalaman menguruskan pesakit yang mempunyai penyakit HIV serta AIDS amat menguji beliau.

“Kami terpaksa memakai pakaian plastik bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan semasa membersihkan darah mereka.

“Bagi jenazah beragama Islam yang mempunyai tatu, tatu itu dibiarkan sahaja. Ini kerana untuk membuangnya perlu menggunakan asid bagi menghakis kulit dan itu seperti menyeksa mayat,” katanya.

Datin Freida pandu van sekolah

Pengasas dan Pengerusi Sekolah Cempaka sanggup membasuh lantai banglo yang disewa untuk dijadikan sekolah.


DATIN FREIDA, penerima Anugerah Usahawanita Kebangsaan 2008.


ASALNYA, beliau menubuhkan Sekolah Cempaka untuk anak-anak lelakinya. "Saya buka sekolah ini pada 26 tahun lalu bukan untuk berniaga. Semuanya bermula apabila saya mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

"Anak saya pandai membaca dan menulis pada usia tiga tahun. Dek kerana terlalu muda, sukar untuk mendaftarkan mereka di sekolah biasa. Kerana itu, Cempaka ditubuhkan," ujar Datin Freida Mohd. Pilus.

Kini, selepas lebih dua dekad, Pengerusi Sekolah Cempaka ini boleh berbangga kerana Cempaka sudah dikenali bukan sahaja di Malaysia malah oleh ibu bapa dari luar negara.







Mengasaskan Cempaka dengan menyewa sebuah banglo di Bukit Bintang pada Januari 1983, Freida, kini 62, mengecat dinding dan membasuh sendiri lantai sekolah. Beliau turut mengajar dan memandu van untuk menjemput dan menghantar para pelajarnya pulang.

"Semua ini saya lakukan kerana keterujaan saya dalam bidang pendidikan. Matlamat saya pada waktu itu ialah mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak Cempaka.

"Saya terokai dunia pendidikan dengan penuh kesungguhan kerana saya percaya jika kita memberikan yang terbaik, hasilnya pasti tidak akan mengecewakan kita.

"Secara peribadi, saya tidak banyak mempromosi Sekolah Cempaka, sebaliknya saya mahu masyarakat mengenali Cempaka kerana pencapaian anak didik sekolah ini.

"Kecemerlangan para pelajar ini yang akan mencerminkan usaha serta kesungguhan saya dan guru-guru di Cempaka. Itulah cara saya mengiklankan sekolah ini," ujar anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini.

Lulusan Ijazah Kepujian Linguistik dari Universiti Malaya ini dahulunya merupakan seorang penjawat awam. Bermula sebagai pegawai diplomatik di Kementerian Luar, Freida kemudian bertukar ke Kementerian Pelajaran sebelum menyertai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Seharum bunga cempaka

Nama Cempaka diilhamkan oleh arwah bapanya, Datuk Mohd. Pilus yang juga bekas Ketua Polis Perak. Nama bunga desa itu dipilih kerana harumannya yang semerbak merata-rata.

"Harum si bunga cempaka ini diterjemahkan sebagai prestasi cemerlang sekolah ini. Bila kita jadi yang terbaik, berita itu akan tersebar ke merata tempat, itu yang kami harapkan," celah Freida.

Hari ini Cempaka memiliki lebih 2,500 pelajar dan 300 guru yang mengajar di dua buah kampus iaitu di Cheras dan Damansara.

Sebuah lagi kampus iaitu Kolej Perempuan Antarabangsa Berasrama Cempaka akan mula beroperasi September ini.

"Ia merupakan sebuah sekolah yang ditubuhkan eksklusif untuk anak perempuan. Memandangkan anak saya semuanya lelaki, jadi saya cuba untuk memberikan pendidikan sempurna untuk anak-anak perempuan Cempaka.

"Pelajar perempuan akan menjadi ibu dan melahirkan anak seterusnya membina bangsa. Saya percaya ibu yang baik mampu melahirkan generasi yang gemilang dan terbilang," katanya.

Dalam kehidupannya, malah sesama anak-anak dan seluruh warga Cempaka, Freida amat mementingkan soal disiplin.

"Arwah bapa meninggal awal tahun ini pada usia 91 tahun. Bekerja sebagai polis, kami adik-beradik banyak diasuh tentang disiplin.

"Peribadi arwah memang banyak mempengaruhi kehidupan saya dan mendorong saya untuk terus berjaya.

"Daripada konstabel sehingga menjadi Ketua Polis Perak, saya banyak belajar daripada arwah. Katanya, bermula daripada bawah tidak semestinya kita akan selamanya berada di bawah.

"Pesannya, jika ada kesungguhan untuk buat yang terbaik, minat dan disiplin, insya-Allah, kita mampu menggenggam kejayaan.

"Itu kata-kata arwah yang saya pegang hingga sekarang," ujar anak kedua daripada empat beradik ini.

Lima anak lelaki

Bertanyakan tulang belakang kejayaannya, Freida pantas menjawab, suami dan anak-anak. Baginya, Cempaka bukan lagi sekolah tetapi satu syarikat keluarga yang bertanggungjawab melahirkan golongan profesional.

"Suami saya, Datuk Hamzah turut sama mengasaskan sekolah ini. Sebagai suami dan juga mentor, teguran dan perkongsian idea bersamanya memang sesuatu yang bermakna buat saya.

"Untuk berjaya, saya terbuka untuk menerima teguran dan kritikan. Dengan teguran, mungkin ada perkara yang boleh dipermudah dan diperbetulkan," ujarnya.

Buat anak-anaknya, Freida turut bersyukur kerana kelima-lima anaknya bakal menjadi penyambung legasi Sekolah Cempaka yang diasaskannya.

Anak sulungnya, Dr. Iskandar Rizal, lulusan Universiti Edinburgh, hanya beberapa tahun bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat keputusan menyertai Cempaka sebagai Naib Pengerusi merangkap doktor di sekolah itu.

Selain itu, Rizal juga telah memperkenalkan beberapa sistem pembelajaran berteknologi moden di Sekolah Cempaka.


FREIDA dan suami, Datuk Hamzah, tidak kekok menari bersama pelajar di Cheras sempena ulang tahun kelahiran Freida, kelmarin.


Anak keduanya, Iskandar Fareed, lulusan arkitektur dari Universiti Edinburgh, turut menyumbang kepada Cempaka dengan menerajui pembinaan kampus ketiga Kolej Antarabangsa Cempaka di Sepang.

Anak ketiganya pula, Iskandar Raphael, lulusan undang-undang kini menguruskan hal-ehwal perundangan di Cempaka manakala Iskandar Hishamuddin mengajar di sekolah yang sama.

Anak bongsunya, Iskandar Zahiruddin yang masih menuntut di Universiti Melbourne juga bakal berbakti di Cempaka selepas tamat pengajian.

"Saya berbangga kerana anak-anak saya berkecimpung dalam bidang pendidikan dan cenderung untuk bekerja di bawah satu bumbung.

"Pertalian keluarga yang cukup kuat inilah yang menghasilkan Sekolah Cempaka," ujar penerima Anugerah Usahawanita Kebangsaan 2008 ini.

Balasan pukul junior

Arman, pelajar sekolah agama, meringkuk di dalam penjara sejak usia 17 tahun kerana memukul mati seorang pelajar tingkatan tiga.




ARMAN, berusia 22 tahun, berbadan kecil serta berkulit hitam manis. Sebelum ini, dia ialah pelajar sebuah sekolah agama di selatan tanah air.

Ibu bapanya menghantar Arman ke sekolah itu dengan harapan dia mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang seimbang.

Namun, satu kesilapan hampir memusnahkan hidup Arman.

Tindakannya memukul seorang pelajar junior tingkatan tiga di asrama sekolah menyebabkan dia meringkuk di dalam penjara seawal umur 17 tahun.

Sewaktu ditemui di Penjara Kajang, Selangor, Arman tenang dan bersahaja. Perbualan selama hampir sejam itu berlalu serius. Walaupun adakalanya penulis bergurau, tiada reaksi senyuman daripada Arman.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, Arman menceritakan: “Pada masa itu, pelajar baru tingkatan tiga mendaftar ke sekolah. Seperti biasa, pelajar junior akan memasuki ‘sesi buli’ oleh pelajar senior.

“Biasanya mereka akan diminta membelikan makanan dan peralatan sekolah, serta membasuh pakaian dan menggosok baju kami.

“Ia bukannya berniat jahat sebaliknya supaya kami lebih mengenali antara satu sama lain bila tamat minggu orientasi tersebut,” kata Arman.

Malangnya, satu insiden di asrama sekolah telah mengubah 360 darjah kehidupannya.

“Ada seorang pelajar junior bernama Lukman. Sejak dia masuk dan tinggal bersama di bilik asrama, sikapnya tidak menyenangkan pelajar-pelajar senior.

“Degil dan keras kepala. Dia berlagak mengalahkan seorang senior dan tidak ikut cakap. Malah dia sering ponteng kelas persediaan malam.

“Pada satu hari, kami pesan lagi supaya dia pergi ke kelas malam untuk belajar namun dia tetap berdegil. Cuma kali ini dia menghambur kata-kata kesat hingga membangkitkan kemarahan kami.

“Saya bersama tujuh rakan lain yang tidak dapat menahan sabar terus memukulnya. Oleh sebab dia tidak berhenti memaki, kami memukulnya secara berterusan,” cerita Arman.


ARMAN terlibat dalam kes buli di sekolah yang berakhir dengan kematian. - Gambar hiasan.


Pukul dengan batang penyapu

Selepas teruk dipukul, Lukman pengsan. Semasa warden asrama sampai, Lukman sudah tidak bernafas. Arman dan pembuli lain sangat terkejut sekali. Lukman disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.

Arman lebih-lebih lagi tergamam. Semasa dibawa ke balai polis, perasaan Arman hanya Allah yang tahu.

Ibu bapa Arman begitu sedih kerana menyangka anak mereka masuk ke sekolah agama untuk menuntut ilmu sebaliknya menjadi seorang pembunuh.

“Saya tidak menyangka peristiwa itu sebegitu buruk. Tetapi sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Perkara itu sudah berlaku, saya tidak boleh memutar semula jarum jam ke belakang,” kesal Arman.

Berdasarkan keterangan saksi, Arman dan rakan-rakannya memukul Lukman menggunakan batang besi dan penyapu.

Mangsa juga ditendang manakala kepalanya dipijak. Lukman disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan perut.

Setelah turun naik mahkamah, Arman dan rakan-rakannya dihukum penjara selama diperkenankan Sultan kerana mereka masih di bawah umur semasa melakukan jenayah itu.

Pada mulanya Arman ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang.




Kali pertama memasuki penjara merupakan pengalaman yang amat menakutkan Arman.

“Saya tidak pernah masuk penjara. Bayangkan umur masih 17 tahun tetapi sudah menghuni bilik berjeriji besi yang terpisah terus daripada dunia luar.

“Macam-macam perasaan bermain di fikiran. Takut, sedih dan geram, semuanya bercampur. Tiga malam saya tidak dapat tidur kerana mengenangkan nasib.

“Tapi lama-kelamaan saya dapat terima kehidupan di sini. Kalau difikirkan sangat, boleh jadi gila. Cuma di sini kita perlu menghormati orang lain,” ujarnya.

Minta ampun

Arman menambah: “Saya juga tidak menyangka akan tinggal di sini.

“Rakan sekolah yang lain mungkin telah melanjutkan pelajaran, berkeluarga atau sedang meniti hidup dengan bahagia,” katanya yang berharap akan dibebaskan segera.

Kini, Arman banyak menghabiskan masa di penjara dengan mengulang kaji pelajaran serta melakukan aktiviti riadah.

“Saya juga lebih ingat kepada Allah,” katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang perniagaan dengan kerjasama pihak penjara dan sebuah universiti swasta.

“Bezanya, pensyarah datang ke sini untuk mengajar dan saya perlu menyiapkan tugasan yang diberikan,” tambahnya.

Menjadi banduan bukan penamat kehidupan. Kesilapan lalu mengajar Arman erti penyesalan. Kekuatan diri dan semangat menjadi sandaran utamanya.

“Sekiranya saya dibebaskan kelak saya ingin meminta maaf kepada keluarga Lukman kerana mereka telah kehilangan anak akibat perbuatan saya dan rakan-rakan.

“Saya menyesal mereka kehilangan anak yang sangat mereka harapkan,” kata Arman jujur.

Lampu sahkan not RM50 tulen

Wang kertas palsu bernilai RM50 dan RM100 dikesan kerap ‘berlegar’ di pasar malam. Bagaimanapun, kecanggihan teknologi dapat mengurangkan risiko itu.




KITA biasa melihat lampu-lampu putih atau lampu mentol oren digantung di premis-premis peniaga pasar, tetapi mengapa lampu itu perlu digantung di situ?

"Untuk mengesan ketulenan wang kertas." Inilah jawapan yang diberi peniaga kepada penulis ketika diajukan persoalan mengenai tujuan lampu atau mentol digantung dalam premis mereka.

Begitulah seriusnya usaha peniaga-peniaga bagi mengelak menerima wang palsu daripada pelanggan.

"Kita tidak pasang suka-suka lampu ini. Kami pasang sebab mudah untuk kami kesan duit palsu dalam kesibukan melayan pelanggan di sini.

"Paling-paling tidak, kami dapat nampak potret Yang di-Pertuan Agong pun cukup, terutama bagi wang kertas RM50 dan RM100," kata Mohd. Isa Chik, 32, seorang peniaga sayur di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Sebagai seorang peniaga yang pernah mempunyai pengalaman ditipu pelanggan membayar menggunakan wang palsu tahun lalu, Isa akui berlaku kerugian pada jualannya.

"Bayangkanlah, dia bayar kita duit palsu yang kita tidak boleh guna untuk apa-apa. Sedangkan dia pula dapat wang baki dari wang yang tulen dan dapat barang pula," ujar Isa kesal dan kini mengamalkan sikap berhati-hati dengan setiap wang yang dihulur pelanggan.

Pengalaman sama turut dilalui oleh Ahmad Saliban, 59, atau lebih mesra disapa sebagai Wak seorang penjual daging lembu yang mempunyai 30 tahun pengalaman berniaga di pasar.

"Sekarang, kami lebih berhati-hati. Sepanjang saya berniaga, banyak kali tertipu dengan wang kertas palsu, terutama not RM50.

"Mereka ini sangat licik, datang dalam keadaan kelam-kabut, beli banyak-banyak dan pergi cepat-cepat hingga Wak sendiri susah nak cari semula kelibat dia," kata Wak sambil memberitahu kali terakhir menerima wang kertas palsu ialah kira-kira dua bulan lalu.

Lebih membingungkan Wak, rata-rata pelanggan yang dikesan membayar menggunakan wang palsu adalah kalangan remaja.

"Wak rasa macam ada sindiket, sebab itu mereka ini licik," kata Wak yang mengakui buntu untuk mencari penyelesaian masalah wang palsu itu.

Sukar dikesan

Bagi Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Pudu, Kuala Lumpur, Jeff Tan, transaksi jual beli menggunakan wang palsu di pasar sukar untuk ditangani.

Kesukaran itu kerana jual beli berlaku pada waktu awal pagi sebelum hari cerah.

"Banyak aduan yang kami terima mengenai wang palsu RM50 khususnya. Boleh dianggarkan, dalam masa sehari dua atau tiga keping wang kertas palsu RM50 akan dikesan oleh peniaga sebelum membuat aduan kepada persatuan," ujarnya kesal.

Namun sebagai wakil kepada lebih 200 peniaga di Pasar Pudu, Tan tidak akan membiarkan dilema itu terus menghantui peniaga dan merosakkan perniagaan ahlinya, sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa sebagai langkah berjaga-jaga.

Transformasi wang kertas

Mungkin wang kertas not RM50 biasa di mata, di tangan dan di dalam dompet kita. Namun berapa ramaikah dalam kalangan kita yang tahu bahawa wang kertas itu sebenarnya diperbuat daripada kapas?

Bunyi macam pelik, tapi itulah faktanya. Tetapi tahukah anda, ini juga merupakan faktor utama yang membezakan wang kertas tulen dengan yang palsu.




Justeru, jurucakap Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu, perubahan siri wang kertas negara ini berlaku sejak tahun 1967 hingga kini dengan purata masa perubahan di antara 12 ke 15 tahun.

"Perubahan wang kertas bergantung sepenuhnya kepada teknologi percetakan. Apabila ada teknologi terbaru yang boleh meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan pada wang kertas kita akan mula membuat perbincangan menukarnya.

"Perubahan itu juga meliputi reka bentuk, corak dan ciri keselamatan yang lebih baik berbanding edaran wang kertas sebelumnya," kata jurucakap BNM memulakan bicara ketika ditemui di Bank Negara Malaysia, Jalan Dato Onn baru-baru ini.

Sambil menunjukkan koleksi wang kertas RM50 siri pertama hingga keempat, jurucakap BNM menjelaskan, beberapa perubahan telah berlaku pada wang kertas RM50 negara kita.

Secara kasarnya, perubahan itu nampak jelas apabila ditunjukkan keempat-empat siri wang kertas not RM50 di depan mata.

Perubahan itu termasuklah dari segi tema, reka bentuk dan pertambahan ciri keselamatan pada setiap keping wang kertas itu sendiri.

"Perubahan bukan sahaja pada rekaannya tetapi setiap inci rekaan itu ada ciri keselamatannya.

"Benang keselamatan yang putus-putus itu namanya teknik stardus. Secara kasar kita nampak garisan benang itu putus tapi hanya dengan imbasan sinaran ultra sahaja ia dapat dibaca," ujarnya sambil menunjukkan koleksi wang kertas not RM50 siri pertama kepada wartawan Kosmo! baru-baru ini.

Di mata penulis sendiri, terlalu banyak perbezaan jika dilihat wang kertas dari edaran pertama BNM hingga edaran keempat ini.

Bagaimanapun, ada beberapa elemen pada wang kertas lama dikekalkan hingga pada wang kertas terbaru ini.

Nombor siri pada wang kertas lama mempunyai kedudukan melintang sebelum diubah kepada kedudukan melintang dan memanjang bermula dengan siri kedua hingga siri yang terbaru ini.


KAKITANGAN Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan transformasi wang kertas RM50 di Bank Negara Malaysia.


Bermula tahun 1982, wang kertas mengalami transformasi. Dalam edaran siri kedua, BNM telah menggunakan tema bangunan yang menjadi mercu tanda negara sebagai corak pada wang kertas.

Ketika BNM mula mengedarkan wang kertas siri kedua, wang kertas not RM20 dan RM500 turut diperkenalkan.

Bermula dari itu juga wang kertas mula dicetak lebih tebal.

Wang kertas dalam siri keempat atau yang terbaru ini lebih tebal berbanding wang kertas siri pertama hingga siri ketiga.

"Tebal itu bermaksud, dakwat cetakan itu sendiri. Nampak macam biasa tapi bila kita rasa permukaan wang kertas akan ada rasa kesat. Berat sekeping wang kertas not RM50 yang terbaru ini lebih sedikit berbanding wang kertas yang lain," katanya.

Wang kertas juga mempunyai tema bagi corak yang terdapat pada wang kertas. Ia juga mengalami perubahan setiap kali ada pertukaran siri.

Dalam siri pertama, belum ada tema yang khusus pada wang kertas not RM50 tetapi bermula siri kedua, wang kertas itu menggunakan tema bangunan yang menjadi mercu tanda pembangunan negara.

Bagi siri ketiga pula, tema khas wawasan 2020 diaplikasikan pada wang kertas not RM50 dengan gambar-gambar motif pelancongan, telekomunikasi, pembinaan, pengangkutan, perlombongan dan perkilangan yang menjadi sumber pendapatan negara.

Siri keempat pula, menggunakan tema misi nasional negara.


ISA kini lebih berhati-hati menerima wang daripada pelanggan kerana pernah mempunyai pengalaman ditipu sebelum ini.


Malah, dalam siri keempat yang terbaru dikeluarkan ini juga terdapat banyak tanda untuk mengesan wang itu tulen atau palsu.

"Bandingkan wang kertas lama dengan yang baru di bawah cahaya ultra ini. Jelas menunjukkan betapa banyak ciri keselamatan yang ada tidak mampu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memalsukannya.

"Ada tiga peringkat untuk mengesan wang palsu. Peringkat pertama adalah di pihak pengguna melalui deria rasa, kedua ialah di peringkat industri yang boleh menggunakan cahaya ultra ungu dan peringkat ketiga ialah di pihak bank sendiri," ujarnya.

Jadi, andai kata, anda fikir boleh memperdaya orang lain dengan sewenang-wenangnya, anda adalah silap.

"Banyak teknologi yang digunakan untuk sekeping wang kertas. Antara teknologi percetakan dari negara maju yang diguna pakai dalam wang kertas kita ialah teknologi dari negara Jerman," katanya.

Masjid balai rong seri

Jika dinilai dari sudut kejuruteraan moden, binaan tanpa tiang tengah dibimbangi tidak tahan lama, tetapi kepakaran generasi lampau dalam pertukangan membuktikan sebaliknya.


PEMANDANGAN Masjid Lama Mulong, Kota Bharu pada sebelah malam.


SEKITAR tahun 1950-an, timbul cadangan untuk merobohkan balai rong seri di Istana Raja Dewa Tuan Zainal Abidin. Kediaman Raja Dewa itu terletak berhampiran Istana Balai Besar di Kota Bharu, Kelantan.

Balai rong seri yang diperbuat daripada kayu yang dibina sekitar tahun 1900 itu mahu dirobohkan untuk memperbesar istana. Berita itu kemudian didengari beberapa pekerja istana yang tinggal di Kampung Kedai Mulong, yang percaya balai rong seri itu masih ada kegunaannya.

Meskipun binaan balai rong seri itu kelihatan usang kerana sudah ditinggalkan kosong sejak Perang Dunia Kedua, penduduk Kampung Kedai Mulong tetap sepakat mengadakan mesyuarat demi mencari jalan untuk menggunakannya.

Hasil perbincangan penduduk kampung itu, mereka menyedari mengenai kesukaran penduduk bersolat kerana ketiadaan masjid di kampung itu.

"Dari situlah tercetusnya idea untuk membeli balai rong itu untuk dijadikan sebuah masjid," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konservasi dan Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN), Mat Nasir Baba ketika menceritakan sejarah awal kewujudan Masjid Lama Mulong, yang terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar Kota Bharu.

Balai rong seri jadi masjid

Mat Nasir memberitahu, pihak istana menawarkan balai rong seri itu pada harga RM1,000. Tidak menunggu lama, penduduk kampung berpakat mengumpul duit untuk membeli bangunan lama tersebut dan mempercepat proses pemindahannya.

Pemindahan pada waktu itu dilakukan dengan lori. Struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke Kampung Kedai Mulong yang jaraknya kira-kira 11 kilometer.

Binaan lama itu kemudiannya dirombak dan dibina semula sebagai masjid yang berlokasi di bahu jalan atas tanah wakaf Abdul Rahman Ismail dan dinamakan sebagai Masjid Ar-Rahman atau dikenali sebagai Masjid Lama Mulong.

"Balai rong seri itu dipasang semula secara gotong-royong seperti bentuk asalnya dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk," tambahnya.

Penduduk kampung bersepakat menghulurkan derma untuk menyiapkan masjid yang boleh memuatkan lebih 100 jemaah itu dan mula digunakan sejak tahun 1958.

Keunikan masjid

Sebagai sebuah masjid yang berasal daripada sebuah balai rong seri, bangunan kayu itu memiliki pelbagai keunikan tersendiri. Antaranya, ia didirikan tanpa menggunakan paku selain sambungan tanggam dan pasak pada era 50-an yang sekali gus mengetengahkan keunikan warisan silam seni bina Melayu Kelantan yang kini amat jarang dapat dilihat.

Walaupun reka bentuk binaannya ringkas, ia tetap menonjolkan ciri-ciri sebuah istana dan kediaman golongan bangsawan di negeri ini pada masa silam.

"Ini boleh dilihat pada struktur keseluruhan bangunan, bahagian dinding, pintu, tiang dan ruang atapnya, walaupun bahagian yang berukir sudah hampir tiada," katanya.

Masjid itu turut menggabungkan pelbagai unsur seni bina Melayu Kelantan dan Cina. Memandangkan struktur asalnya ialah balai rong seri, maka bangunan itu dibina tanpa tiang tengah. Strukturnya dikukuhkan dengan 16 batang tiang di sekelilingnya.

Jika dinilai dari sudut kejuruteraan moden, binaan tanpa tiang tengah dibimbangi tidak tahan lama, tetapi kepakaran generasi lampau dalam pertukangan membuktikan sebaliknya.

Mat Nasir juga menyatakan masjid tersebut berlainan dengan binaan tradisional Kelantan yang lain kerana lantainya tidak disokong oleh 'rasuk panjang'.

"Apa yang ada hanyalah rasuk melintang dan lantainya disokong oleh 32 kayu penyokong berbentuk kaki cermin. Biasanya sebuah rumah tidak memerlukan kayu penyokong atau 'tongkat' yang sebegitu banyak. Tetapi ketiadaan 'rasuk panjang' menyebabkan perlunya kepada bilangan tongkat sedemikian," katanya lagi.


RAIS (kiri) semasa meletak plak konservasi bangunan warisan negara di luar Masjid Lama Mulong, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.


Sebenarnya Masjid Lama Mulong ini terlalu istimewa, bukan hanya kerana seni rekanya yang cantik dan unik, malah sejarah di sebalik kewujudannya itu yang menjadi faktor utama ia dipilih sebagai Bangunan Warisan Negara.

Penyenaraian itu menjadikannya antara 11 buah bangunan bersejarah di seluruh negara yang diberi tumpuan untuk proses baik pulih sepanjang tahun ini.

Keunikan Masjid Lama Mulong tidak harus disia-siakan. JWN mahu menjadikan bangunan ini sebagai satu monumen yang akan terus dipulihara untuk kegunaan dan tatapan generasi akan datang.

Mat Nasir mengakui bahawa tanpa usaha dan kesungguhan penduduk kampung untuk konservasi bangunan itu yang pada mulanya dipelopori oleh Allahyarham Cikgu Hamzah Mahmud, JWN mungkin langsung tidak mengetahui kewujudan masjid bersejarah ini.

Projek konservasi

Sebaik sahaja Masjid Lama Mulong disenaraikan sebagai Bangunan Warisan Negara, projek pemuliharaan binaan berusia lebih 100 tahun itu terus dilaksanakan.

Ia melibatkan proses awal mencerap kayu, mengikis lapisan cat pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala, motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada batu jenis senggora Thailand.

Pemuliharaan masjid itu juga mencatat sejarah apabila ia melibatkan peralihan masjid dari tapaknya yang asal berikutan masalah berkaitan keluasan tanah wakaf.

Masjid itu dianjakkan ke depan sejauh enam meter dan ke kanan sebanyak tiga meter dengan menggunakan kaedah chain-lock. Kaki-kaki tiang masjid diangkat dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya penuh hati-hati.

Semasa pekerja mengikis cat lama di bahagian atas panel 'janda berhias' atau dinding asal balai rong seri, mereka terjumpa ukiran awal berbentuk bunga.

"Ukiran bunga ini akan dikekalkan agar sejarah asal balai rong tidak hilang," kata Mat Nasir.

Ciri uniknya diperkukuh dengan sisip angin berukir geometri bagi memudahkan pengaliran udara yang menyejukkan ruang dalaman dan buah guntong pada siling menggantikan tiang.

Kini, selepas lapan bulan menjalani proses baik pulih, Masjid Ar-Rahman atau Masjid Lama Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula oleh pengunjungnya.

Seorang ahli jawatankuasa kariah masjid, Ahmad Farid Mahmood memberitahu, selepas projek konservasi itu siap, ia sering lokasi kunjungan masyarakat dari serata pelosok negeri.

"Apatah lagi sejak ia dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 17 Julai lalu, ramai yang mula sedar kewujudan masjid ini," katanya. - Bernama

Skuad wanita periuk api


PASUKAN pembasmi periuk api ini memotong rumput di sekitar kawasan yang disyaki tertanamnya periuk api.


TATKALA Faiza Annet melambai anak perempuannya ke sekolah, si kecil berusia tujuh tahun itu yang tidak pernah lupa berpesan kepada si ibu agar menjaga diri.

"Dia mengingatkan saya supaya menjaga diri setiap kali mengucapkan selamat tinggal," kata Annet, salah seorang anggota pengesan periuk api wanita di Sudan. Kisah sekumpulan wanita pengesan periuk api di Bingu, Sudan itu menerima liputan media antarabangsa, baru-baru ini.

Ketika wanita lain di dunia ini bekerja di pejabat atau sibuk menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah, Annet dan wanita-wanita itu bersabung nyawa di atas hamparan tanah yang berbahaya.

Menjejak periuk api

Mereka bekerja menjejak dan membuang periuk api warisan perang yang tersimpan di dalam perut bumi. Namun, jika silap kaki melangkah, mungkin periuk api itu dijumpai setelah nyawa melayang atau kaki sendiri menjadi kudung.

Bekerja untuk Norwegian People's Aid (NPA), Annet dan enam wanita lain yang menjadi ahli kumpulannya memilih kerjaya itu bukan kerana kesempitan hidup. Sebaliknya, kerana ekspresi diri sendiri.


PASUKAN pembasmi periuk api wanita sedang berehat di sebuah khemah berhampiran kawasan periuk api.


"Ia satu kerja yang penting. Saya menjadi wanita pembuang periuk api sebab saya melihat ramai kawan yang cedera dan ada yang mati," tambah Annet, 27.

Rakannya, Jamba Besta sebelum ini merancang untuk menjadi setiausaha di pejabat, tetapi akhirnya memilih untuk menjadi pengesan periuk api. Dia sedar, apa yang dilakukan untuk kebaikan komuniti. Tambah lagi, sebuah sekolah bakal didirikan di kawasan itu.

Bungu, sebuah kawasan penempatan kecil terletak 50 kilometer dari ibu kota Sudan, Juba yang merupakan laluan ke sempadan Uganda pernah menjadi zon perang. Kira-kira dua juta orang terkorban dalam perang Utara-Selatan Sudan, perang saudara yang berlarutan selama 22 tahun itu. Perang tersebut berjaya ditamatkan dalam keadaan aman pada tahun 2005, namun legasi bahan letupan yang tertanam bahana perang terus tersimpan di dalam tanah.

Dengan berpakaian jaket pelindung letupan yang berat, kumpulan wanita itu berlutut sambil memegang sejenis alat pengesan logam. Mereka hanya 'merayap' di atas tanah setelah terbukti setiap sentimeter kawasan di hadapannya selamat. Mereka turut membersihkan rumput dan tanah bagi memudahkan pengesanan.

"Ada sesuatu di sini, kerana bunyinya agak berlainan," kata Annet yang terdengar bunyi nyaring daripada alat yang dipegangnya. Lalu, dia menandakan kawasan itu dengan penanda berwarna merah.

"Kemungkinan ada bahan letupan di bawah sana. Kami tanda dulu, nanti kami akan korek tanah secara manual untuk melihat apa yang ada di bawah permukaannya," kata Annet yang bekerja di bawah terik mentari.

Ternyata kerja yang dilakukan mereka bukan mudah. Ia perlu dilakukan dengan cermat dan waspada.

Dengan wajah yang dilitupi perisai muka, mereka tidak boleh minum seteguk air pun semasa 45 minit shif. Sebaliknya, air dicurahkan ke atas tanah untuk melembutkannya bagi memudahkan lagi kerja menjejaki periuk api.

Apabila tiba waktu makan tengah hari, pekerja-pekerja wanita itu berkumpul sambil berbual.

"Orang fikir wanita tak boleh buat kerja macam ini, tetapi mereka salah. Kami boleh," kata Besta yang sedang mengandung dan hanya berehat pada hari itu. Bekerja dengan NPA, hak asasi sebagai pekerja tidak diabaikan. Besta bakal memperoleh cuti bersalin tiga minggu, diikuti sembilan bulan melakukan tugas pejabat sebelum kembali bekerja.

"Sesetengah orang kata ia berbahaya untuk wanita, tetapi mereka sebenarnya iri hati sebab kami boleh lakukan kerja orang lelaki," kata Besta sambil tertawa.

Penyelia NPA, Atom Julius Pitia berkata, kumpulan wanita itu melakukan kerja sebaik orang lelaki.

"Memang mereka agak perlahan terutamanya untuk menggali tanah yang keras. Tetapi, mereka selalunya lebih cermat berbanding lelaki. Tambah pula, kerja seperti ini, kita tidak boleh ketinggalan mengesan satu periuk api pun," katanya.


MOM Sam Un, salah seorang peserta pertandingan ratu cantik di Kemboja.


Pengurus Besar NPA, Kjell Ivar Breili turut mengakui bahawa kumpulan wanita itu telah berjaya mengatasi enam kumpulan lelaki NPA jika dinilai berdasarkan bilangan bahan letupan yang dimusnahkan.

Kenyataannya, penglibatan wanita dalam kerja-kerja pemusnahan periuk api di dunia bukan baru. Pada tahun 2003 lagi, media melaporkan terdapat sekumpulan wanita di Kemboja yang melakukan tugas berbahaya ini.

Tahun lalu juga, media melaporkan terdapatnya satu kumpulan pemusnah periuk api wanita di Jordan. Ia dianggotai oleh 24 wanita yang berusia antara 20 hingga 36 tahun. Seperti kumpulan wanita di Sudan, mereka juga melakukan tugas ini atas kesedaran diri demi masyarakat.

"Periuk api yang mengubah kehidupan seseorang selamanya adalah benar-benar satu tragedi. Saya tidak takut untuk membuang periuk api. Saya mahu membuang bahaya bawah tanah ini yang mengancam nyawa ribuan penduduk," kata Sabah Masaeed, 27. Dia benar-benar merasai penderitaan bapanya yang kehilangan sebelah kaki akibat terpijak periuk api.

Kemboja, Angola dan Afghanistan disifatkan sebagai tiga buah negara yang paling banyak menyimpan khazanah periuk api. Terdapat berjuta-juta periuk api dan bahan letupan lain dipercayai masih tertanam di negara-negara tersebut. Ia juga mempunyai bilangan mangsa periuk api yang tertinggi.

Menurut statistik yang disediakan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, dianggarkan 10 hingga 15 peratus daripada mangsanya ialah kaum wanita.

Sebahagian mangsa periuk api wanita di Angola dan Kemboja yang menderita kudung kaki turut berekspresi, tetapi dengan cara yang mencetuskan kontroversi. Mereka menyertai pertandingan Ratu Cantik Periuk Api.

Setelah penganjurannya berjaya di Angola pada tahun lalu dengan kemenangan Augusta Urica, 31, dan Maria Restino Manuel, 26 yang memenangi kaki palsu, penganjurannya di Kemboja pada tahun ini mungkin tidak terlaksana.


SEORANG calon pertandingan ratu cantik, So Yeu dirakam gambarnya di Siem Reap, Kemboja baru-baru ini.


Baru-baru ini, kerajaan Kemboja menggesa agar penganjur membatalkan pertandingan ratu cantik tersebut yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini. Keputusan itu membuahkan reaksi berbeza-beza.

"Memang tidak ragu-ragu lagi kesedaran itu penting," kata Kek Galabru, presiden kumpulan hak asasi Phnom Penh, Licadho. "Tetapi, bagi saya ia eksploitasi dan mempergunakan mereka. Kami tidak perlu membangkitkan kesedaran orang ramai dengan cara begitu. Saya boleh merasakan orang akan bertanya: Apa? Pertandingan untuk orang yang sedang menderita?"

Namun, pengarah ratu cantik dari Norway, Morten Traavik mempertahankan tujuan penganjurannya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan mengembalikan keyakinan diri mangsa. Sejumlah 20 wanita dari seluruh Kemboja sudah pun dicalonkan untuk menyertai pertandingan itu.

"Inilah peluang untuk membuatkan dunia tahu dan tidak mendiskriminasi manusia yang kurang upaya. Walaupun cacat, kami juga berhak untuk cantik dan mempunyai hak yang sama dengan orang normal," kata Song Kosal, 24, peserta ratu cantik yang mewakili Phnom Penh. Dia telah kehilangan sebelah kakinya setelah terpijak periuk api seawal usia lima tahun.

Apapun reaksinya, sama ada ia ekspresi atau eksploitasi, peristiwa-peristiwa yang berlaku ini mengingatkan kita bahawa perang sentiasa membawa natijah buruk dan mewariskan kesengsaraan.

Parut luka perang mampu berkekalan. Perang mengheret manusia melakukan perkara yang tidak dijangka sama seperti periuk api yang kekal di dalam tanah tanpa mampu dijangka siapa mangsanya.

Muzik sekadar di pinggiran
Dulu 60 minit, sekarang berkurangan kepada 30 minit sahaja. Satulangkah yang dikira sangat tidak realistik ketika penghayatan senisemakin meningkat di kalangan generasi muda.


Muzik untuk kehidupan
DENGAN keadaan yang mungkin akan merugikan pelajar sekolah jika benarrancangan pengurangan masa pendidikan muzik dilaksanakan, hal ini perludibincangkan lebih serius dan mendalam lagi bagi mengupas nilaipemikiran serta kreativiti dalam ilmu muzik yang masih lagi diperlekahramai.

Airbrush pilihan remaja
Sering digunakan dalam kerja-kerja ilustrasi dan sentuhan semulafotografi. Sebabnya, campuran warnanya yang halus membuatkan setiapgambaran yang ingin ditonjolkan kelihatan lebih menarik.


Dilema trafik di Kemboja
Pada tahun 2008, purata kematian akibat kemalangan jalan raya di Kemboja ialah seramai empat atau lima orang sehari.

'Semuanya bagus-bagus'
Walaupun semakin dihimpit arus pemodenan bandar raya Melaka, KampungJawa tetap berdiri megah bersama peninggalan sejarahnya.


Gempar stesen minyak 'terbakar'
Simulasi kebakaran di stesen minyak di Behrang berjaya memberi pengetahuan cara-cara menangani situasi kecemasan.


Brandon bak ular menerkam mangsa
MATA bening Brandon Chan, 38, tajam menikam retina Oliver Lee, 35.Barangkali sebagai anak murid dan rasa bersalah, Oliver gentar untukbertarung dengan sifunya, lalu dia tunduk menikus.


Hasan dalami dua ilmu
SI CILIK, Hasan Mahadi Shahruddin, 11, memiliki persamaan dengansifunya, Brandon. Apa lagi kalau bukan menjadi peminat tegar Bruce Lee.


Kegilaan konkatsu di Jepun
BERGAYApenuh elegan, sekumpulan anak muda memenuhi sudut resepsi di salahsebuah dewan di Tokyo, Jepun. Dihias bagai istana penuh romantik,atmosfera dewan itu dihangatkan dengan suasana ala Greek.

Hilai tawa di dasar laut
Keindahan dasar laut mungkin bertukar menjadi mimpi ngeri apabilapenyelam skuba mula mengalami kejadian yang aneh. Adakah insiden itudisebabkan perbuatan bercakap besar ataupun tekanan kedalaman?
Muzik sekadar di pinggiran

Dulu 60 minit, sekarang berkurangan kepada 30 minit sahaja. Satu langkah yang dikira sangat tidak realistik ketika penghayatan seni semakin meningkat di kalangan generasi muda.




DI saat guru-guru sekolah sibuk mendidik pelajar untuk mendapat skor terbaik dalam pelbagai mata pelajaran khususnya Sains dan Matematik, mata pelajaran pendidikan muzik pula menerima nasib sebaliknya - dipinggirkan!

Isu bahawa muzik bukan sesuatu yang penting di kalangan generasi baru negara ini timbul apabila pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan masa pembelajaran pendidikan muzik kepada 30 minit sahaja setiap minggu.

Sebelum ini Kementerian Pelajaran memperuntukkan tempoh masa selama 60 minit seminggu Kokurikulum Sekolah Rendah bagi mendedahkan pelajar kepada dunia muzik secara lebih profesional.

Banyak yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan saranan yang dibuat oleh pihak kementerian berkenaan dan mahu pihak berkenaan mempertimbangkan semula kerana ini mampu menjejaskan dari segi pelbagai faktor. Sebenarnya, tanpa disedari langkah tersebut boleh menjejaskan kelahiran generasi 'celik muzik' di kalangan generasi baru.

Kita sepatutnya mengambil contoh daripada negara-negara maju, seperti Jepun, yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.

Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.

Sementara itu di Jerman pula, bermula dari murid tadika hinggalah ke gred 12 (tingkatan 2) diwajibkan mengikuti pelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.

Mengajar jadi pengguna muzik

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Ketua Jabatan Muzik Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr. Ramona Mohd Tahir, tanpa pendidikan asas, kualiti muzik mungkin akan terjejas dan usaha memberi lebih kecemerlangan kepada industri seni tempatan tidak akan berhasil.

Bukan mahu mengajar anak-anak untuk menjadi ahli muzik, sebaliknya ia mampu melahirkan masyarakat yang bijak menilai kualiti sesebuah karya kerana merekalah yang akan menjadi pengguna kepada muzik dimasa depan.

Tanpa ilmu muzik, masyarakat terlalu mudah untuk berpuas hati dengan hasil karya muzik yang begitu rendah nilai estetiknya.

"Seperti mata pelajaran Sejarah, Sains dan Geografi, Pendidikan Muzik juga adalah pendidikan asas dalam pembelajaran sekolah. Tidak semestinya mereka perlu jadi pemuzik, ia sekadar ilmu yang harus masyarakat tahu.

"Tanpa ilmu muzik, mereka akan menilai berdasarkan radio yang didengar, rupa paras seseorang pemuzik itu, lirik putus cinta yang sememangnya disukai umum serta gosip-gosip terbaru mengenai penyanyi berkenaan.

"Disebabkan itu, masyarakat kita terlalu memilih tentang hal penyanyi berbanding karya mereka. Lihatlah negara-negara luar, asalkan muzik mereka berkualiti, mereka diterima tidak kira sama ada mereka gemuk, kurus, hodoh atau cantik.

"Kehebatan penyanyi di Malaysia lebih menjurus kepada komersial dan populariti. Mereka hanya menguasai jenis-jenis muzik yang bertahap rendah.

"Sebab itu, masyarakat sekarang gemar lagu-lagu pop dan ini tidak memajukan tamadun dan warisan negara kerana mereka tidak tahu, apa alatan muzik asas yang ada dan nilai sesebuah karya muzik tersebut," tegasnya.

Tambah Ramona, biarpun pendidikan muzik diwajibkan di setiap sekolah sejak tahun 1983, mata pelajaran tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya. "Muzik lebih kepada untuk bersukaria seperti menyanyi tetapi tanpa ilmu muzik di dada," ujarnya.

Kekurangan penggiat seni bijak

Umum tahu, agak sukar untuk penggiat seni kita diiktiraf ke peringkat antarabangsa dan mereka yang diiktiraf boleh dibilang dengan jari sahaja.


PEMBELAJARAN muzik di sekolah mendedahkan generasi muda kepada kesenian yang lebih profesional.


Puncanya, mereka dikatakan tidak layak dan belum sampai pada taraf berkualiti lagi. Semua ini kerana penerapan ilmu muzik begitu kurang serta mentaliti kita yang hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit.

Memang benar, mereka mempunyai bakat semulajadi serta pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penyanyi, namun hakikatnya, pendidikan muzik langsung tidak ada.

Tanya sahaja kepada penyanyi-penyanyi baru mengenai ilmu-ilmu muzik, mereka pasti akan terdiam dan hanya memberikan senyuman sahaja.

Menurut Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (Mame), Johami Abdullah atau nama komersialnya, Joe Chelliah, potensi muzik yang terpendam di kalangan para pelajar boleh dicungkil dan dipelihara dengan amat baik semasa mereka masih bersekolah lagi.

"Bakat muzik yang terpendam di kalangan para pelajar sama pentingnya dengan potensi dan bakat lain seperti kemahiran-kemahiran linguistik atau psikomotor yang juga boleh dicungkil pada peringkat sekolah.

"Satu kerugian besar jika setiap kanak-kanak tidak berpeluang untuk menguji bakat muzikalnya sewaktu bersekolah lagi.

"Tanpa pendidikan muzik, penyanyi yang lahir dalam industri menjadi kurang berkualiti kerana langsung tiada pendedehan muzik sejak kecil.

"Cuba lihat contoh seperti Fauzi Marzuki, Datuk A. Rahman Hassan dan Aubrey Suwito, mereka bukan sekadar bermain muzik di Malaysia, sebaliknya turut diundang ke luar negara.

"Jika kita mempunyai pendidikan yang tinggi dalam muzik, jangan terkejut jika Malaysia juga mampu diikitiraf ke peringkat dunia. Malah generasi akan datang mungkin akan menjadi lebih hebat berbanding penggiat muzik sekarang," katanya.


BIDANG muzik juga boleh dijadikan sebagai kerjaya profesional.


Menurut Joe lagi, cadangan pengurangan masa pelajaran muzik tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merugikan pelajar yang kurang berkemampuan, sebaliknya, bagi golongan yang mampu dan tahu akan kepentingan muzik, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke kelas muzik di luar waktu sekolah.

Muzik bantu tingkatkan IQ

Di Malaysia, ramai ibu bapa mahu anak-anak mereka fokus lebih dengan mata pelajaran yang ada dalam peperiksaan dan mereka akan memastikan anak-anak akan membesar dengan ilmu akademik yang penuh di dada.

Tetapi, tahukah anda bahawa ia sebenarnya akan memberi tekanan kepada mereka? Sebaliknya, pendidikan muzik mampu memudahkan pelajaran anak-anak kerana mampu meningkatkan IQ mereka.

Para penyelidik di University of California yang diketuai oleh Frances Rauscher dan Gordon Shaw telah menemui teori The Mozart Effect iaitu wujudnya hubungkait antara muzik dan beberapa aspek dalam fikiran manusia.


TANPA didikan muzik, generasi muda tidak tahu mengenai budaya tradisional Malaysia.


Kanak-kanak sekolah rendah terutamanya yang mengikuti kelas muzik, mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan sekolah.

Kajian dalam bidang neurologi mendapati, pemuzik yang mula mempelajari alat muzik keyboard sebelum berumur tujuh tahun mempunyai gentian saraf (bahagian otak yang membawa isyarat di antara otak kiri dan kanan) lebih tebal berbanding individu lain, sekali gus membuatkan mereka yang mempelajari muzik mampu berfikir dengan pantas.


MUZIK mampu menjadi terapi bagi merawat permasalahan yang bersarang di pemikiran manusia.


Di awal tahun 1900, muzik dijadikan sebagai agen untuk melengkapkan ilmu dalam bidang mata pelajaran lain seperti Matematik, Sains, Geografi dan lain-lain.

Kajian yang dilakukan oleh The National Center for Educational Statistics (U.S. Department of Education) merumuskan kesan penglibatan dalam aktiviti muzik memberikan peratus pelajar tersebut mempunyai lebih banyak gred A berbanding dengan pelajar tanpa ilmu muzik.

Kajian ini membuatkan hampir seluruh negara-negara maju mencadangkan penglibatan pelajar dalam kegiatan muzik untuk memudahkan perjalanan pembelajaran mata pelajaran lain.

Muzik untuk kehidupan




DENGAN keadaan yang mungkin akan merugikan pelajar sekolah jika benar rancangan pengurangan masa pendidikan muzik dilaksanakan, hal ini perlu dibincangkan lebih serius dan mendalam lagi bagi mengupas nilai pemikiran serta kreativiti dalam ilmu muzik yang masih lagi diperlekah ramai.


BAGI Syafinaz, guru muzik perlu ada kelas yang tersendiri.


Jika dicabang-cabangkan, bidang muzik juga mampu merangkumi kerjaya lain selain menjadi ahli muzik. Dengan memandang serius mengenai isu ini, pasti generasi sekarang lebih didedahkan dengan muzik yang mampu dinilai sendiri dengan bijak.

Pendidikan muzik bukan sahaja boleh melahirkan masyarakat yang bijak dalam muzik tetapi juga tahap apresiasi terhadap sebuah karya itu juga lebih tinggi.

Usah terkejut bila kelak peminat muzik mempunyai citarasa dan pemilihan muzik yang lebih bermutu serta kreatif bermula daripada proses pembelajaran muzik yang lebih serius di sekolah.

Namun, tanpa ilmu muzik industri muzik tampak statik tanpa sebarang pendedahan atau pengetahuan ilmu yang dianggap biasa-biasa sahaja.

Mungkin akan menjadi satu masalah besar kepada pengajar muzik di institusi pengajian tinggi apabila pelajar-pelajar baru mereka mengambil kursus muzik tanpa sebarang asas mengenai bidang berkenaan.

Menurut pensyarah vokal moden Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang juga merupakan seorang penyanyi, Dia Fadila, keadaan pengurangan masa bagi pelajaran muzik akan lebih menyusahkan tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi.

"Untuk menjadi seorang penyanyi profesional yang bagus, mereka perlu dipupuk sejak kecil lagi. Tetapi dengan masa yang begitu pendek, saya pasti, pelajar sekolah tidak akan dapat merasa ilmu muzik yang sebenar.

"Bila masuk ke universiti, pensyarah pula menghadapi masalah kerana terpaksa mengajar bermula dari bawah. Tanggungjawab kami akan bertambah berat. Jangan anggap pelajaran muzik adalah perkara yang remeh kerana muzik merupakan subjek kedua susah di dunia," katanya.


DIA FADILA menganggap minat kepada muzik perlu dipupuk sedari kecil.


Bagi penyanyi, pensyarah dan pengarah vokal, Syafinaz Selamat, muzik merupakan satu bidang yang begitu penting bukan sahaja dalam negara, sebaliknya di seluruh dunia.

"Macam mana nak tingkatkan taraf muzik kita bila pendidikan muzik yang didedahkan begitu rendah. Siapa yang boleh nafikan tentang hal ini?

"Cuba lihat semula, alatan muzik apa yang ada di sekolah-sekolah. Dalam membantu kenaikan ekonomi negara, ia seperti membantutkannya pula.

"Hampir seluruh dunia menggunakan medium muzik dalam kehidupan harian dan muzik juga adalah satu bidang profesional yang boleh menghasilkan duit. Tapi kalau asyik potong bajet dalam muzik, apa yang tinggal dalam budaya kita?

"Ini membuatkan bidang muzik dianggap remeh dan membuang masa sahaja kerana tidak menghargai muzik. Perlu diingat, untuk menjadi pemuzik yang bagus, bakat saja tidak cukup. Bidang ini memerlukan kerja keras untuk berjaya," katanya.

Bukan sahaja perlu mengekalkan masa 60 minit seminggu dalam pembelajaran muzik, sebaliknya, guru-guru juga perlu bertauliah dalam bidang berkenaan memandangkan kebanyakan guru muzik yang ada hari ini sekadar tangkap muat dan cukup jika guru muzik itu boleh bermain alatan muzik.