Buang bayi perbuatan orang jahiliah

Oleh Abdul Bari Awang

Islam sangat mementingkan kehidupan, kesejahteraan manusia

HUKUM seorang ibu menggugurkan janin atau kandungannya tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Namun apa yang jelas, al-Quran dan Hadis Nabi mengharamkan pembunuhan kerana Islam adalah agama yang sangat mementingkan kehidupan dan kesejahteraan manusia seluruhnya.

Antaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya" (an-Nisa': 93).

Malah, kejinya perbuatan membunuh juga dapat dilihat dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tidak halal darah seorang Muslim (haram membunuhnya) kecuali disebabkan berlakunya salah satu daripada tiga perkara: kafir setelah beriman (murtad), zina setelah berkahwin, membunuh jiwa tanpa jiwa (membunuh tanpa alasan yang benar)".

Namun persoalannya, apabila seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya, adakah ini bermakna, ibu berkenaan dalam kategori membunuh? Jadi, adakah pengguguran adalah jenayah yang sama dengan pembunuhan? Adakah kandungan atau janin sama nilainya dengan nyawa manusia yang sudah dilahirkan?

Bagi menjawab persoalan ini, ulama sudah membahagikan janin kepada dua peringkat; iaitu peringkat janin sebelum ditiupkan roh dan peringkat janin selepas ditiupkan roh berdasarkan dalil hadis Nabi SAW.

Sabda Nabi yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang kamu berada di dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi 'alaqah (segumpal darah) selama itu juga (40 hari), kemudian bertukar menjadi mudhghah (seketul daging) selama itu juga (40 hari), lalu Allah SWT mengutuskan seorang malaikat, maka diperintahkan dengan empat kalimat, dan dikatakan kepadanya: tulislah amalnya, ajalnya, celaka atau bahagia, kemudian ditiupkan roh ke dalamnya (janin)".

Peringkat pertama ini adalah peringkat ketika janin baru terbentuk sehinggalah ia berumur 120 hari yang bersamaan dengan empat bulan. Ketika ini, janin tidak dianggap sebagai benda hidup, malah janin masih dianggap sebagai benda yang tidak bernyawa kerana roh belum lagi ditiupkan ke dalamnya.

Justeru, jika seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya atas sebab tertentu yang dibenarkan hukum syarak maka inilah waktu yang paling selamat untuk menggugurkan janin. Ia adalah pandangan, sebahagian ulama daripada Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi'iyyah, dan Hanabilah.

Namun sebahagian besar ulama tetap mengharamkan kecuali demi menjaga keselamatan ibu. Ada juga pandangan dari sebahagian ulama Syaffi'iyah yang membenarkan pengguguran pada peringkat ini walaupun janin itu adalah hasil daripada zina dan rogol.

Asas kepada pandangan ini ialah pengguguran janin sebelum umurnya mencecah 120 hari tidak dianggap sebagai pembunuhan, kerana janin belum lagi bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996 Ali Mahyuddin & Ali Yusuf. (2006).

Walaupun, pengguguran janin ketika peringkat ini tidak dikira sebagai pembunuhan, namun sebahagian ulama daripada Syafi'iyyah dan Hanabilah mengharamkannya, malah mereka makin melarang perbuatan menggugurkan janin apabila janin makin membesar. Dengan kata lain, dosa menggugurkan janin, walaupun tidak sama dengan dosa membunuh jiwa seorang yang hidup, namun perbuatan ini tetap berdosa, dan darjah dosanya semakin membesar dengan meningkatnya umur janin (Muhammad Naim Yasin, 1996).

Pada peringkat kedua pula, iaitu selepas janin ditiupkan roh (selepas 120 hari), semua ulama berpendapat bahawa hukum menggugurkan janin itu berubah menjadi haram dan berdosa kerana janin sudah pun dianggap hidup dan bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996).

Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan ibu menggugurkan kandungannya ketika peringkat ini, kecuali dengan satu sebab saja; iaitu jika janin mengancam nyawa ibu berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh pakar perubatan, dan pengguguran janin adalah satu-satunya cara dan jalan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Asas kepada pendapat ini ialah nyawa ibu lebih berharga daripada nyawa janin. Justeru, nyawa janin terpaksa dikorbankan demi menjaga keselamatan ibu (Muhammad Naim Yasin, 1996).

Adapun alasan kerana malu, takut miskin, dan sebagainya tidak membolehkan seorang ibu menggugurkan kandungannya sebaik saja janin berusia 120 hari.

Menurut Imam Sayyid Qutb, terdapat pertalian yang amat erat antara larangan membunuh anak dan larangan mendekati zina kerana daripada zina lahirlah anak yang tidak diingini, lalu mereka dibunuh dan dibuang begitu saja. Malah, perbuatan berkhalwat antara seorang lelaki dan seorang wanita (berdua-duaan di tempat sunyi) dianggap sebagai muqaddimah (permulaan) dan pintu kepada zina.

Oleh itu, berkhalwat dan segala perbuatan yang boleh membawa seseorang kepada zina turut diharamkan dalam Islam. Asas kepada larangan ini ialah Allah amat menyayangi hamba-Nya. Justeru, Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang melarang hamba-Nya daripada terbabit dalam zina yang hanya akan membawa bahaya yang besar kepada diri dan masyarakat seluruhnya (Sayyid Qutb, 2000).

Sayangnya, kebanyakan ibu yang terpaksa menggugurkan janin di Malaysia khasnya adalah hasil daripada hubungan haram (zina). Jika janin itu tidak digugurkan sudah menjadi rahsia umum bahawa bayi itu akan dibuang ke dalam tong sampah, diletakkan di hadapan rumah orang malah masjid tempat ibadat yang begitu suci juga pernah dijadikan sasaran tempat buangan bayi.

Perbuatan membuang bayi pada masa kini menyamai perbuatan Wadulbanat orang Arab pada zaman Jahiliyyah yang menanam hidup-hidup anak perempuan mereka sebelum datangnya pembimbing agung Nabi Muhammad SAW. Malah, perbuatan membuang bayi pada masa kini lebih jahiliah dari perbuatan jahiliah terdahulu kerana pada zaman itu bayi dibezakan jantinanya. Hanya anak perempuan yang ditanam dan bukan anak lelaki, namun sekarang bayi lelaki juga menjadi bayi buangan yang dibuang oleh ibu kandungnya sendiri.

Biasanya wanita yang terlanjur berada dalam dilema berhadapan dengan dua pilihan, membuang bayi atau melakukan pengguguran janin. Ada yang memilih pengguguran janin.

Walaupun pengguguran hasil zina sebelum janin berusia 120 hari dibolehkan oleh sebahagian ulama, namun pengguguran ini bukan menjadi suatu cara untuk mengharuskan atau menghalalkan zina. Wanita yang terbabit dengan masalah zina mesti menyedari bahawa hidup dalam kitaran dosa, zina dan pengguguran, adalah sebuah kehidupan yang penuh kegelapan, penderitaan, penyiksaan, dan penghinaan. Mahukah kita terus dibelenggu dengan dosa, kegelapan, dan penghinaan?

Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum kematian datang menjemput sedangkan kita masih berada dalam kegelapan dan kealpaan. Berusahalah sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong sempit yang penuh dengan najis dan kotoran jahiliah moden, dan carilah cahaya yang dapat melenyapkan kegelapan hati nurani.

Imam al-Shafiie ada menyebut ilmu itu cahaya, dan cahaya yang dapat menyinari kegelapan ini hanyalah dengan mencari ilmu pengetahuan yang berguna.

Pengguguran janin dan pembuangan bayi yang semakin membarah hari ini adalah punca daripada hilangnya rasa tanggungjawab dan rasa hormat terhadap wanita pada tahap yang sepatutnya, dan juga kesan daripada tandusnya penghayatan ilmu agama dalam masyarakat.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama menangani isu keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang semakin mengancam keamanan masyarakat dan menjadi semakin parah seperti penyakit barah terutama isu-isu yang membabitkan penghinaan terhadap wanita seperti masalah zina dan rogol.

Sikap menuding jari ke arah orang lain tidak akan menyelesaikan masalah, malah sikap terpuji ialah setiap orang perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing serta bersama-sama berusaha dalam menyelesaikan masalah masyarakat dan sama-sama membangunkan masyarakat.

Antara sabda Nabi yang selayaknya menjadi pedoman orang beriman dulu, sekarang dan selamanya ialah: "Setiap kamu adalah pemimpin (yang mempunyai tanggungjawab masing-masing), maka setiap orang akan ditanya mengenai rakyatnya (orang atau tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya)�" (hadis muttafaq 'alaih).

Penulis adalah Penolong Profesor, Jabatan Fikah dan Usul Fikah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kedai nyanyian Shazrina

Anak antara manusia terkaya di Malaysia, Shazrina Tan Sri Azman, mewarisi kemewahan cinta kepada muzik daripada ibu dan bapanya.




MASIH ingatkah anda kepada lagu Are We Rap Star Now?, Doodat dan Goodvibes yang popular sekitar 1999? Lagu yang didendangkan kumpulan Teh Tarik Crew atau TTC yang terdiri daripada Altimet, Mizz Nina, Fiquentional dan DJ Fuzz itu begitu terasa tenaganya.

Biarpun era itu sudah berlalu, pemilik suara wanita tunggal di dalamnya, Mizz Nina, atau Shazrina Azman, 29, masih tekad memperjuangkan muzik yang begitu dipercayainya itu.

Bagaimanapun, Shazrina sudah menukar 'kiblat' genre muziknya. Anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim, itu memilih untuk melatih suaranya menyanyikan lagu berentak jazz dan blues pula.

"Suara sama seperti mana-mana instrumen muzik yang lain. Ia boleh dan perlu dilatih. Kombinasi inilah yang menjadikan ramai penyanyi mempunyai suara yang sedap didengar," katanya.

Peminat Janet Jackson

Peminat setia Janet Jackson itu turut menekankan yang muzik bukan sekadar menyanyi dan mempunyai vokal yang hebat.


BUKTI kemampuan wanita dalam bidang pengurusan studio dan muzik.





Ungkapnya, muzik mampu membebaskan jiwa yang terperangkap, letih dan sakit.

"Ia adalah terapi terbaik untuk melegakan perasaan yang tertekan yang boleh dilakukan, dialami dan dihayati oleh semua peringkat umur," ujarnya.

Tambahnya, muzik juga dapat mengaktifkan semua deria terutama pendengaran.

"Kerana itulah, pembelajaran standard di mana-mana studio ialah mendengar. Kita akan diajar mendengar melodi. Memahaminya dan barulah menyanyi," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Menariknya, Shazrina berkongsi perspektif itu dengan bapa tersayang.

Azman, 70, yang turut dikenali sebagai Singing Banker, juga memilih untuk berehat dengan menyanyi di samping meluangkan hujung minggunya untuk bermain golf, menunggang kuda, jet ski, memandu bot berkuasa besar, kereta sport dan selam skuba.

Dinobatkan majalah Forbes sebagai lelaki ke-11 terkaya di Malaysia pada tahun lalu dengan harta beranggaran RM2.1 bilion, beliau pernah dipetik berkata: "Saya juga menyanyi untuk menghiburkan (pendengar).

"Walaupun saya lebih terdedah kepada lagu-lagu lama, saya juga gemarkan lagu nyanyian Michael Buble, Celine Dion dan Elton John."

Namun, pengaruh yang lebih besar ke atas minatnya itu datang daripada ibunya, Tunku Arishah Tunku Maamor.

"Sebagai anak bongsu, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan ibu yang amat gemar menyanyi. Setiap kali ibu berkumpul bersama-sama teman untuk menyanyi, saya akan turut serta. Secara tidak langsung minat saya terhadap nyanyian juga timbul," kongsinya yang mula terdedah kepada seni itu sejak berumur enam tahun.

The Singing Shop menjadi bukti cinta ibunya terhadap muzik dan nyanyian. Menubuhkan sekolah nyanyian itu sejak tahun 1988, kini Shazrina pula diamanahkan untuk menerajuinya selaku pengarah.


ILHAM dan aura yang dibangkitkan oleh ibu membuatkan Shazrina tidak menyesal meninggalkan bidang hebahan radio.


Mula serius dengan tugasnya sejak dua tahun lalu, anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, The Singing Shop kini sedang dilengkapi dengan peralatan dan kepakaran muzik yang terbaik seperti bilik audio, bilik rakaman, bilik latihan vokal dan nyanyian serta pentas.

"Walaupun sudah terasa lengkap, tetapi ia masih belum sempurna. Perkembangan teknologi yang pesat dan enigma dalam bidang ini membuatkan kami perlu sentiasa memberi perhatian terhadap arus perubahannya.

"Mujur kami mempunyai tenaga pengajar dan jurutera bunyi yang terbaik. Pendek kata, studio ini dapat memberi yang paling bagus kepada pelajar dari aspek pengajaran, latihan dan rakaman," jelas Shazrina.

Gadis yang boleh bermain drum ini pernah menjadi deejay selama tujuh tahun di beberapa stesen radio.

Malah, pengalaman bekerja bersama stesen radio Fly.FM cukup mengajar beliau erti sabar dalam menghadapi realiti kehidupan.

Tujuh tahun jadi deejay radio

"Paling mudah, disiplin diri. Berada di konti seawal pukul lima pagi mengajar saya supaya menghargai masa.

"Begitu juga dengan menyanyi. Di sini, saya menghargai suara saya dengan berlatih untuk menjadikannya lebih 'indah'," katanya.

Mendengar beliau mengalunkan beberapa bait lagu, terbukti nyanyiannya bukan kosong.

Secara peribadi, Shazrina tidak menganggap wujud perbezaan dari aspek gender apabila melibatkan pengurusan studio.

"Yang penting, peralatan dan tenaga kerjanya. Semuanya perlu profesional," ujarnya yang pernah mendapat pendidikan di International Council of Music (ICOM) pada tahun 2002.


SELESA dengan irama jazz, Shazrina membuktikan nyanyian bukan bidang picisan.


Menurutnya, secara teori, semua orang boleh menyanyi.

"Yang penting ialah cara suara itu dicorak dan digubah mengikut kemampuan seseorang itu. Justeru, tidak mustahil yang 'buta nada' juga mampu menyanyi dengan baik," katanya.

Peningkatan terhadap program realiti sedikit sebanyak memberi impak terhadap kemasukan pelajar ke sekolah nyanyian.

Katanya, meskipun kedatangan pelajar bermusim, beliau melihatnya sebagai tempat mengasah teknik nyanyian serta persembahan mereka.

"Macam Sharizan dan Cheryl Samad. Mereka tahu mereka sudah bagus dalam nyanyian tetapi mereka tetap mengambil inisiatif belajar di sini," katanya.

Dengan perancangan yang lebih teliti, Shazrina kini berusaha untuk membuka lebih banyak cawangan The Singing Shop terutama di Sabah.

Ugut sebar aksi panas

Lily rela adegan seksnya dirakam kekasih. Kini, lelaki itu mengugut untuk menghantar salinannya kepada suaminya.


LILY (kanan) membiarkan saja tindak tanduk bekas teman lelakinya kerana tidak mahu kehidupan rumah tangganya bergoncang.


“IA umpama malapetaka dalam hidup saya. Saya terpaksa mengorbankan hampir separuh gaji saya setiap bulan untuk diberikan kepada bekas teman lelaki.

“Jika saya lewat serahkan duit, dia mengugut akan menyebarkan gambar bogel dan rakaman aksi intim kami sewaktu bergelar kekasih, lima tahun lalu.

“Oleh kerana tidak mahu menanggung malu, saya terpaksa tunaikan permintaannya lebih-lebih lagi saya sudah bersuami sekarang,” ujar Lily, 27, wanita yang menjadi mangsa ugutan bekas teman lelakinya, R.


WANITA sering menjadi mangsa manakala lelaki bertindak sebagai perakam.





Menurut wanita malang ini, R mula memeras ugut apabila mengetahui dia sudah mendirikan rumah tangga awal tahun lalu.

“Saya mengakui kami telah terlanjur dan R pernah merakam aksi intim sewaktu kami berasmara. Tapi itu cerita lama iaitu semasa kami sama-sama menuntut di luar negara.

“Tapi selepas empat tahun berpisah, tak sangka dia berjaya menjejaki saya dan jadikan rakaman itu sebagai senjata untuk memporak-perandakan hidup saya,” luah Lily.

Dalam keterpaksaan, eksekutif kewangan ini menurut kemahuan R walaupun dia sedar perbuatan R itu sangat keterlaluan.

“Demi rumah tangga yang baru dibina, saya ikutkan saja kehendak R. Pernah sekali saya enggan membayar kerana baru terlibat dalam kemalangan.

“Namun, R tidak peduli. Malah dia memberi amaran salinan rakaman tersebut akan dihantar kepada suami dan keluarga jika saya ingkar,” ujarnya.

Lily juga pernah bercadang untuk membuat laporan polis dan menceritakan keadaan yang sebenar kepada suami dan keluarganya, tetapi setiap kali memasuki pekarangan balai polis, pendiriannya goyah tatkala memikirkan nasibnya jika rakaman itu tersebar.

“Saya benar-benar tertekan. Tak boleh dibayangkan betapa malunya saya, suami dan keluarga jika perkara ini diketahui umum. Bukan hanya maruah, masa depan saya juga akan jadi taruhan.

“Apa yang saya cuba lakukan sekarang ialah merayu kepada R supaya berhenti mengganggu saya. Kalau tidak, mungkin saya akan membuat laporan polis selepas yakin rahsia ini tidak akan diketahui orang,” kata Lily.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, perkembangan teknologi gajet dan alat peranti tanpa wayar seperti telefon bimbit menjadi penyumbang besar kepada kebanjiran rakaman seks pasangan kekasih.

“Dengan kehadiran puluhan jenis telefon berkamera di pasaran, aksi panas lebih mudah dirakam dan disimpan di dalam memori binaan dalam ataupun kad memori gajet terbabit.

“Saya percaya aksi-aksi panas ini dirakam sekadar untuk suka-suka dan keputusan untuk menyimpannya hanya sebagai koleksi peribadi. Namun, disebabkan kecuaian, rakaman itu jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, maka tersebarlah rakaman penuh aib tadi.

“Ironinya, orang yang berfikiran waras tidak akan mendedahkan tubuhnya untuk tatapan umum, lebih-lebih lagi ketika sedang melakukan hubungan seks di ranjang yang boleh menjatuhkan maruah sendiri,” ujar Kamal Affendi.


TELEFON bimbit merupakan peranti paling mudah untuk merakam aksi panas.


Dalam konteks ini, wanita dilihat sebagai mangsa utama. Kebanyakan rakaman video seks amatur memaparkan aksi ghairah wanita dan amat jarang ditemui rakaman yang mendedahkan muka lelaki.

Disebabkan itu, kaum wanita sering berdepan dengan ugutan penyebaran aksi panas berbanding lelaki yang menjadi perakam.

“Kebanyakan kes ugutan menjadikan kaum wanita sebagai mangsa. Namun, merujuk kepada siasatan dan kes-kes yang diadukan, pengugut tidak berniat untuk menyebarkan rakaman aksi seks tersebut sebaliknya mereka berbuat demikian kerana tidak mahu kehilangan wanita tersebut.

“Saya percaya ugutan itu hanya pura-pura. Ugutan itu cuma umpan mereka untuk memeras bekas teman wanita bagi mendapatkan wang, seks, perlindungan dan sebagainya,” kata Kamal Affendi.

Jelasnya lagi, sangat jarang pengugut menyebarkan rakaman aksi seks melainkan yang mengugut itu ialah pihak ketiga.

Nasir tembak makhluk halus

Lelaki Kuala Nerang ini mendakwa boleh mengesan kehadiran emas dan harta karun di dalam perut bumi.




MENGUBAT pesakit dengan menembak makhluk halus menggunakan senapang? Bunyinya memang pelik, tetapi itulah yang dilakukan oleh Nasir Che Ngah, 56, yang tinggal di Kuala Nerang, Kedah.

Lelaki ini didakwa boleh merawat penyakit misteri dan ‘buatan orang’, malah mengesan harta karun yang tertanam jauh di perut bumi.

Rumah Nasir yang dibina di atas tanah pusaka ibunya terletak agak terpencil daripada kediaman penduduk kampung yang lain.

Persekitaran sebegini mungkin klise sebuah drama seram televisyen atau kisah hantu dalam novel.

Bagaimanapun, kata Nasir yang lebih mesra dipanggil Abang Ali, dia tidak mewarisi ‘sesuatu’ daripada nenek moyang. Sebaliknya, kepandaiannya mengubati orang sekarang diperoleh selepas puas menuntut ilmu.

Menurut Nasir, selepas berhenti kerja di sebuah jabatan kerajaan pada tahun 1981 untuk bekerja sendiri, terdetik di hatinya untuk kembali mengaji al-Quran dan menggantikan balik ibadat yang telah diabaikannya semasa zaman remaja. Umur Nasir ketika itu ialah 28 tahun.

“Sejak itu, saya banyak berpuasa dan menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan hadis di rumah,” ujarnya kepada Jurnal.

Nasir memberitahu, suatu hari pada tahun 1985 ketika mendalami ilmu Islam, dia terdengar satu suara yang pada mulanya sayup-sayup tetapi lama-kelamaan suara tersebut semakin dekat. Keadaan itu berlaku selama kira-kira tiga bulan.


SERPIHAN cermin berbentuk pelik yang didakwa imej makhluk halus yang telah ditembak.






ANTARA khazanah perut bumi yang ditemui Nasir ialah serbuk emas ini.


Anehnya, Nasir tidak terkejut. Malah dia sudah menjangkakan perkara itu kerana tujuan dia menuntut ilmu adalah untuk bertemu dan bersahabat dengan entiti alam ghaib itu.

“Kini makhluk itu banyak membantu saya dalam mengubati pesakit. Malah dia juga boleh mengesan khazanah yang terdapat di dalam perut bumi,” jelas Nasir yang pernah membantu pihak muzium mengesan artifak-artifak lama yang tersembunyi di dalam tanah.

Menceritakan mengenai makhluk yang telah banyak membantunya itu, Nasir memberitahu, sebelum ‘memanggilnya’, dia perlu melakukan solat sunat dua rakaat dengan bacaan ayat-ayat tertentu dan menyatakan pertolongan yang ingin diminta.

Sungguhpun telah banyak membantu orang ramai yang dalam kesusahan seperti kereta hilang, sakit disihir, ternakan dicuri dan masalah rumah tangga, Nasir tidak terlepas daripada dituduh melakukan pengubatan songsang.

“Saya masih seorang Islam dan mengaji al-Quran macam penganut Islam yang lain. Cuma saya ada kebolehan untuk merawat pesakit,” akui Nasir.

Bincang dengan ‘mereka’

Mengenai cara pengubatan beliau, anak jati Kedah ini menjelaskan, pesakit tidak perlu datang ke rumahnya untuk berubat sebaliknya hanya waris terdekat yang mesti datang berjumpa dengannya.

“Saya perlukan nama pesakit dan berjabat tangan dengan waris untuk mengetahui sama ada pesakit ‘terkena buatan orang’ atau memang dia sakit,” jelasnya.

Ujar beliau, ada satu kes di mana seorang waris menyangka ibunya diserang pesakit misteri pada hal ibunya itu ada ketumbuhan apendiks.

“Jadi saya segera suruh anaknya itu membawa ibunya ke hospital untuk pemeriksaan dan ternyata ia benar,” kata Nasir.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah kronik seperti disihir atau sakit yang melibatkan makhluk halus, cara menembak makhluk itu dengan menggunakan senapang dan peluru khas akan dilakukan jika pengubatan cara biasa tidak berjaya.

Pengubatan itu akan dilakukan di belakang rumahnya dengan menembak makhluk halus yang mengganggu pesakit melalui sekeping cermin.

“Apabila saya tembak, serpihan cermin itu akan membentuk makhluk yang saya lihat sebelum ini,” jelasnya yang turut menunjukkan serpihan cermin berbentuk aneh kepada wartawan Jurnal.

Apa pun, menurut Nasir, usaha mengubati pesakit tidaklah sesukar berunding dengan makhluk halus yang menjaga khazanah bumi seperti emas.

“Kerja itu lagi rumit, kena bincang dengan ‘mereka’. Kalau ada yang tidak kena, perlu bincang balik. Jangan buat mereka marah kerana makhluk halus itu sangat ‘lurus’,” tambahnya yang dahulu kerap mencari emas di hutan Pahang dan Kelantan.

Lumba haram budak sekolah

Terbalikkan kereta Kembara kerana marah terlibat dalam kemalangan.


ALIF dipinjamkan motor untuk berlumba kerana 'bakat' yang dimilikinya. - Gambar hiasan.


UMURNYA baru mencecah 13 tahun ketika terlibat dalam kegiatan lumba motosikal haram. Namun, Alif sudah dianggap otai dalam geng pe;esit rempit.

Kepandaiannya mengubah suai motosikal turut memberi kelebihan kepada anak muda yang berasal dari Ipoh, Perak, itu untuk merajai jalan-jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh.

“Saya tak ada motor sendiri waktu tu. Tetapi disebabkan keberanian saya, ramai kawan-kawan yang menawarkan motosikal mereka untuk saya berlumba,” kata Alif yang enggan wajahnya dirakam.

Kini, umur Alif sudah mencecah 22 tahun. Dalam tempoh sembilan tahun lalu, sudah beberapa kali dia terlepas daripada sekatan jalan raya pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Walaupun sedar dengan seribu satu risiko berlumba secara haram, hatinya cepat ‘panas’ apabila ada penunggang motosikal lain yang sengaja membuat bising dengan memulas-mulas pendikit minyak sekuat hati.

Cerita Alif, terlibat dalam kemalangan memang biasa berlaku namun jika ia melibatkan rakan sendiri, kesannya sangat mendalam.

“Saya pernah menyaksikan kemalangan yang melibatkan tiga orang rakan saya yang sedang berlumba membabitkan sebuah kereta Perodua Kembara,” katanya.

Menurut Alif, perlumbaan tersebut baru saja dimulakan apabila kereta tersebut tiba-tiba muncul. Kerana tidak dapat mengawal motosikal yang ditunggang laju, ketiga-tiga motosikal rakan Alif merempuh bahagian hadapan, tepi dan belakang Kembara berkenaan.

Akibatnya, dua daripada mereka parah manakala seorang lagi koma.

“Ketika kami keluarkan mereka dari bawah Kembara berkenaan, keadaan mereka hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.

“Nak dijadikan cerita, pemandu dan wanita itu mendakwa mereka dikasari oleh kami manakala wanita itu pula dicabul. Memang kecoh masa tu.

“Keadaan menjadi semakin panas apabila lelaki berkenaan bertindak mengundurkan Kembara tersebut dan melanggar seorang lagi mat rempit yang cuba menarik keluar rakan mereka yang terperosok di bawah kenderaan itu,” imbau Alif.

Daripada tiga saja yang tercedera, kini bertambah empat. Disebabkan tindakan pemandu Kembara tersebut, rakan rempit yang lain menterbalikkan kenderaan pacuan empat roda itu kerana marah.


MUNGKINKAH 'halangan' daripada pihak berkuasa menyumbang kepada keseronokan merempit?





Malah pemandu tersebut turut dibelasah oleh mat rempit daripada kumpulan lain.

Rebut habuan

Bercerita lanjut, pergaduhan serta pertikaman lidah biasa terjadi dalam kalangan mat motor walaupun ia melibatkan perkara remeh.

Apabila ditanya mengenai perempuan yang menjadi habuan, jelas Alif, ia memang ada dan sebenarnya atas kerelaan gadis itu sendiri.

“Selalunya, gadis-gadis ini akan ‘himpit’ mat motor yang menang. Selain daripada dapat habuan, secara tak langsung, dia juga akan popular.

“Begitu juga dengan pe;esit rempit, lagi banyak perlumbaan yang dia menang, lagi banyak habuan dia dapat dan jadi lebih terkenal,” kata Alif yang hanya memilik lesen memandu pada umur 18 tahun.

Menyentuh mengenai wang pertaruhan, jelas Alif yang sekadar menamatkan pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, wang pertaruhan bergantung kepada bilangan pelumba dan jumlah wang yang hendak dipertaruhkan.

“Ada yang sampai RM2,000. Ada juga hanya sekitar RM1,000. Lagi ‘gila’ perlumbaan tersebut, lagi tinggi ganjarannya,” jelasnya.

Alif turut memberitahu, mereka akan menghantar pengintip terlebih dahulu untuk memastikan jalan yang akan digunakan untuk berlumba bebas daripada pengawasan pihak berkuasa.


MEREMPIT menjadi kenangan hitam apabila ia meragut nyawa teman-teman rapat Alif.


Kini, Alif sudah matang usia dan fikiran. Dia tidak lagi berlumba secara serius. Malah, penubuhan sebuah kelab konvoi motosikal kuasa enjin kecil memberikan dimensi baru dalam kehidupannya.

“Saya tetap katakan berlumba motosikal ini adalah menyeronokkan. Tapi lebih seronok sekiranya dilakukan di litar yang sah dengan tahap keselamatan yang terjamin.

“Secara peribadi, memang menyakitkan apabila melihat kawan anda terlantar dengan keadaan patah-riuk, malah nyawa-nyawa ikan akibat kemalangan bodoh,” katanya.

Inovasi kerepek buah-buahan

Potensi Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara pengeksport makanan dan minuman ringan di peringkat antarabangsa semakin cerah.




PERUBAHAN iklim dan bencana alam seperti kemarau berpanjangan di beberapa buah negara pengeluar makanan utama. Pertumbuhan penduduk global sebanyak 1.5 peratus berbanding pengeluaran padi dunia iaitu satu peratus pada tahun 2007, merupakan antara faktor yang menyebabkan peningkatan harga makanan dunia.

Walaupun keadaan pasaran makanan dunia sejak awal tahun telah mencetuskan krisis di beberapa buah negara, ia tetap menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian.

Malaysia bagaimanapun masih belum menghadapi masalah serius berkaitan kekurangan bahan makanan.

Ironinya bekalan makanan sedia ada dalam negara adalah mencukupi. Malah, kerajaan juga telah memperuntukkan badget yang besar untuk menangani isu bekalan dan harga makanan dalam negara.

Potensi Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara pengeksport makanan dan minuman terkemuka di peringkat antarabangsa semakin cerah.

Menyedari hakikat itu, kerajaan menggiatkan usaha memajukan industri makanan dan minuman. Tindakan ini wajar, supaya lebih banyak produk makanan keluaran negara dapat dipasarkan ke peringkat global, demi memenuhi kehendak pasaran.

Inisiatif kerajaan itu terbukti menerusi penganjuran Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa 2009 (MIFB 2009), yang diadakan pada 9 hingga 11 Julai lalu.

Pameran bertaraf antarabangsa kali ke-10 itu, mencatatkan penyertaan dari 28 buah negara. Antaranya, Arab Saudi, China, Thailand, Belgium, Korea Selatan, Armenia, Turki dan Vietnam.

Ternyata pameran selama tiga hari itu menjadi platform terbaik untuk pengusaha tempatan meneroka peluang pasaran dunia. Sekali gus mempromosi produk dan barangan tempatan.

Pameran anjuran Kumpulan Utusan dan Expomal International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu berusaha mengidentifikasi barisan usahawan tempatan yang menghasilkan produk unik berbanding produk makanan luar negara.

"Sebelum ini, penggemar kerepek berpeluang menikmati pelbagai jenis kerepek seperti kentang, pisang dan ubi. Kini mereka boleh merasai keenakan kerepek buah-buahan yang dihasilkan daripada rambutan, nangka dan nanas.

"Produk kerepek buah-buahan tempatan mungkin tidak pernah difikirkan oleh orang ramai sebelum ini. Sehinggalah sekumpulan usahawan tempatan muncul menghasilkan inovasi ini," kata Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Sik, Kedah, Mazlan Ahmad. Beliau ditemui Kosmo! pada pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.


MAZLAN AHMAD menunjukkan kerepek buah-buahan yang dikeluarkan oleh syarikatnya.


Pengurus berusia 45 tahun itu mengelola projek mega berasaskan buah-buahan tempatan yang digoreng secara vakum. Beliau memberitahu, daerah Sik yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Gurun, Kedah sememangnya terkenal dengan penghasilan buah-buahan tempatan.

"Lokasi yang terpencil, kemiskinan penduduk kampung dan kekurangan pendedahan terhadap dunia luar menyebabkan hasil buah-buahan terbiar begitu sahaja, serta tidak dapat dikomersialkan.

"Bagi membantu melahirkan usahawan tempatan dan mengkomersialkan hasil-hasil tempatan, Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Sik telah berkolaborasi dengan kerajaan negeri. Kerjasama itu bertujuan memperkenalkan projek mega yang mendapat sokongan padu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak tahun lalu," katanya.

Menurut Mazlan yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini, sebuah kilang pemprosesan telah dibangunkan yang dilengkapi dengan mesin vakum goreng berteknologi tinggi yang berkos RM500,000 bagi memudahkan proses vakum dan menggoreng dilakukan.

"Mesin berteknologi vakum dari China itu menjalankan proses penyerapan air daripada buah-buahan tanpa menghilangkan kandungan nutrisi aslinya.

"Pada peringkat awalnya, kami memperkenalkan kerepek nangka dan nanas untuk pasaran tempatan. Kemudian, kami mengetengahkan pula kerepek rambutan yang mungkin kedengaran pelik buat orang tempatan," ujarnya. Mazlan memberitahu, produk terbaru itu dihasilkan setelah melakukan percubaan sebanyak 70 kali dan mengambil sehingga enam bulan.

Bercerita tentang produk terbaru itu, buah rambutan yang memiliki indeks kematangan separuh masak daripada jenis Deli dan Anak Sekolah dijadikan bahan mentah untuk menyediakan kerepek rambutan berkenaan.

"Rasa kerepek rambutan rangup, manis dan lazat. Penggemar makanan ringan nyata tertarik dengan ciptaan terbaru kami ini.

"Pada masa akan datang, kami ingin memperkenalkan kerepek cempedak, kacang panjang, lobak merah dan timun. Produk-produk ini boleh menggalakkan kanak-kanak yang biasanya tidak gemar makan sayur-sayuran dan buah-buahan mengubah tabiat makanan mereka," jelasnya.


RUMPAI LAUT, antara produk yang dipamerkan di Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa 2009 di PWTC.



SALLEHUDDIN KADIR menunjukkan demontrasi menggoreng sate di PWTC.



DAGING ayam salai halal keluaran DDQ Food.


Jelas Mazlan, kilang pemprosesan dengan tenaga kerja seramai 12 orang pekerja itu mampu menghasilkan 70kg kerepek sehari.

Sudah melibatkan diri dalam operasi syarikat itu selama lima tahun, beliau mengakui penyertaannya dalam pameran antarabangsa itu akan membuka ruang untuk produk-produk keluaran syarikatnya menembusi pasaran antarabangsa.

Seorang lagi pengusaha makanan, Jumahat Yaakub, 40, pula memperkenalkan produk makanan sate goreng. Sate sejak sekian lama diketahui hanya dibakar menggunakan arang.

Selaku Pengurus Besar, Poultry & Meat Sdn. Bhd., Jumahat memberitahu syarikat itu adalah milik penuh Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ). Ia terlibat dalam industri ayam komersial, menggunakan teknologi pengeluaran moden dan dikendalikan oleh 100 peratus bumiputera.

Menurut Jumahat, produk sate goreng yang dipasarkan di bawah label Southern Fresh tersebut cepat dan mudah dihidangkan. Tidak perlu melalui kaedah-kaedah konvensional seperti dahulu.

"Produk makanan keluaran syarikat ini sudah berada di pasaran tempatan sejak lima tahun lalu. Ia semakin mendapat perhatian khususnya penggemar dan penjual sate di seluruh negara.

"Orang ramai juga tidak perlu lagi menunggu lama untuk menikmati hidangan tersebut. Sebaliknya, mereka boleh membeli produk terbaru yang bukan sahaja boleh dibakar, tetapi boleh digoreng mahupun menggunakan alat ketuhar gelombang mikro. Hanya dua hingga tiga minit untuk sedia dimakan," katanya.

Sate goreng yang dipasarkan dalam paket yang menarik itu dijual pada harga RM9 sebungkus. Produk itu dijamin boleh tahan selama enam bulan, jika disimpan secara rapi dalam peti dingin beku.

Selain produk sate goreng, pihaknya turut menyediakan produk makanan segera seperti ayam goreng, popcorn ayam dan ayam mentah.

Pengusaha makanan berasaskan manisan coklat, Chin Siew Hua, 54, telah mengusahakan perniagaannya sejak tahun 2005. Atas sokongan kaum keluarga dan sahabat handai, syarikat Chocolate Graphics (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan.

Lebih menarik lagi, ketulan manisan berwarna coklat itu mempunyai reka bentuk unik. Lengkap dengan cetakan rekaan grafik yang menarik.

Produk yang dikenali sebagai coklat grafik itu diperbuat sepenuhnya daripada variasi coklat Belgium (Barry Callebaut). Ia tidak melibatkan campuran pewarna dan gula ising. Proses pembikinannya telah dipatenkan bagi memelihara kelainan dan keunikan produk tersebut.

"Selain dimakan, ia juga boleh ditulis dengan ucapan peribadi untuk dihadiahkan pada hari istimewa.

"Misalnya, sebagai tanda penghargaan pada majlis perkahwinan, majlis pelancaran korporat, hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya," ujarnya. Kilang pemprosesan produknya terletak di Subang Jaya, manakala kedai jualan pula beroperasi di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Inspirasi atlet Habsyah




Hidup di sebuah negara yang purata pendapatan tahunan rakyatnya cuma RM714, menyebabkan ramai atlet muda Habsyah mahu bergelar jagoan dunia kerana ganjaran kemewahan apabila memenangi pertandingan.

DI atas tingkat konkrit Meskel, satu kawasan lapang di Addis Abba, Habsyah, barisan atlet berwawasan sibuk menjalani latihan sendiri walaupun dalam kesejukan sambil menunggu ketibaan jurulatih mereka.

Di seberang plaza itu pula, rutin latihan ketat giat dijalankan di bawah skrin gergasi di mana atlet olahraga jarak jauh handalan, Kenenisa Bekele dan Tirunesh Dibaba yang memenangi pingat sewaktu Sukan Olimpik Beijing akan bergandingan di hadapan ribuan peminat fanatiknya.

"Lebih awal anda bangun, lebih baik," kata seorang atlet muda berusia 17 tahun, Tirusew Wolde.

Bagi Tirusew, imej Dibaba yang tersenyum lebar dalam balutan bendera Habsyah selepas mencatat kemenangan pada tahun lalu memberi semangat kepadanya untuk bangun pada awal pagi.

Namun, dia mengakui bahawa insentif utama bagi kebanyakan pelari muda adalah keinginan untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih baik seperti yang dicapai oleh bintang olahraga Habsyah hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Sudah tentu saya juga mahukannya," ujar Dissasa Jifar apabila ditanya sama ada dia didorong oleh kemungkinan peningkatan wang dalam akaun banknya.

"Lihat mereka, bukan sahaja berjaya di gelanggang tetapi juga mampu hidup selesa berbanding orang lain," tambahnya.

Di bandar lama itu, sejak 10 tahun lalu pembangunan telah mula kelihatan dengan kewujudan kompleks pejabat dan hotel sekali gus membuktikan kebangkitan ekonomi negara tersebut yang muncul selepas beberapa dekad di bawah pemerintahan diktator.

Atlet terkenal seperti Bekele, Dibaba dan Haile Gebrselassie, yang kesemuanya membesar dalam kawasan penduduk miskin yang terpencil, telah menggunakan kejayaan mereka untuk membina 'sangkar kehidupan' yang lebih baik.

Mereka juga tidak perlu bersusah payah untuk bekerja setelah bersara kelak, kerana mempunyai tempat tinggal dan sumber kewangan yang banyak.


KEJAYAAN Kenenisa Bekele di persada olahraga antarabangsa menjadi idola atlet muda Habsyah.


Hanya beberapa blok dari tempat Dissassa berlatih, sebuah kompleks pejabat dibina baru-baru ini yang dimiliki oleh atlet legenda, Gebrselassie. Kompleks itu telah mengubah pemandangan daerah tersebut.

Gebrselassie yang kini berusia 36 tahun adalah contoh terbaik untuk atlet Habsyah yang mencapai kejayaan di peringkat dunia. Beliau telah berusaha gigih untuk menempatkan namanya di persada sukan antarabangsa walaupun membesar di sebuah kawasan subur iaitu Arsi.

Selepas mencatat kejayaan membanggakan, Gebrselassie yang dikenali sebagai 'putera kecil' di sini tidak pernah lagi menoleh ke belakang.

Daripada pemasaran sukan, panggung wayang hinggalah ke industri perhotelan (sebuah hotel lima bintang miliknya akan dibina tahun depan), empayar perniagaan atlet veteran tersebut dikatakan bernilai lebih 500 juta birr (RM178 juta).

Sementara itu, Bekele pula yang memegang kedua-dua rekod dunia dalam acara 5,000 dan 10,000 meter telah mengikuti jejak langkah Gebrselassie.

Selain hotel empat bintang di Addis Ababa menunggu untuk disiapkan sepenuhnya pada tahun ini dan beberapa lagi bangunan pejabat di bandar lain, Bekele juga mengumumkan dia akan membina kompleks sukan bernilai AS$10 juta (RM35.6 juta) dengan matlamat untuk menjadi penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa dan menaikkan imej negara.

"Mereka semua adalah contoh terbaik untuk diikuti. Atlet-atlet tersebut tidak melupakan negara mereka selepas mengecapi kejayaan yang diidamkan," kata Setiausaha Agung Persekutuan Olahraga Habsyah, Adam Tadesse.


INDUSTRI perhotelan mula berkembang di Habsyah melalui pelaburan yang dibuat para atletnya yang kaya.


Berdasarkan anggaran, para atlet menghasilkan pelaburan bernilai lebih daripada AS$15 juta (RM53.4 juta) setahun, di negara yang rakyatnya berpendapatan kurang AS$200 (RM714) setahun.

Pihak kerajaan yang mahukan lebih banyak pelaburan, telah memberi potongan cukai kepada atlet yang berjaya sejak 15 tahun lalu.

"Ia bukan hanya untuk memastikan kewangan mereka selamat, tetapi juga baik untuk negara dalam aspek ekonomi," jelas Elshadai Negash dari Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF).

Habsyah bersungguh-sungguh memujuk para atletnya untuk membelanjakan lebih banyak wang dalam bidang sukan dan menjadikan modal untuk mencipta kejayaan seperti penganjuran Kejohanan Olahraga Negara-Negara Afrika tahun lalu.

Ia merupakan penghormatan pertama kepada Habsyah dan apa yang lebih penting, ia menerima pujian daripada pelbagai pihak. - AFP

Minda Pengarang: Kenaikan tambang tuntut pengangkutan awam lebih selesa

SEBARANG kenaikan harga barang atau perkhidmatan adalah tindakan yang tidak popular dan tidak disukai orang ramai kerana ia memberi kesan kepada masyarakat. Jika sebelum ini ia menyusahkan, kenaikan harga akan membebankan mereka. Ada ketikanya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan berasaskan kepada alasan tertentu, terutama peningkatan kos operasi, peningkatan atau persaingan harga di pasaran antarabangsa, permintaan dan penawaran serta faktor luar jangka yang lain. Kenaikan kos memerlukan pertimbangan rasional semua pihak kerana ia membabitkan dua pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan. Jika harga tidak dinaikkan, ia akan menyulitkan sebelah pihak yang mungkin menanggung kerugian, manakala jika dinaikkan pula ia menimbulkan masalah kepada pihak lain. Keadaan ini jelas dalam perkhidmatan teksi, bas, kereta sewa dan bas sekolah. Untuk bersikap adil, sesuatu keputusan terpaksa juga dilakukan. Berikutan kenaikan harga tambang pengangkutan awam, kerajaan terpaksa mengambil keputusan meluluskan permintaan pengusaha terbabit selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi mengimbangi antara keperluan orang ramai dan kepentingan syarikat pengendali pengangkutan. Keputusan ini dibuat, walaupun menyedari kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat pengguna. Keputusan kerajaan menaikkan kadar tambang pengangkutan awam sehingga 30 peratus semalam, boleh memberi kesan negatif sekiranya ia memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian. Ini termasuk kenaikan tambang bas sekolah, khasnya bagi mereka mempunyai ramai anak yang bersekolah. Bagi mereka yang mempunyai pilihan, kesannya tidak begitu ketara. Walaupun kenaikan itu tidak terlalu tinggi, ia tetap memberi kesan langsung kepada ramai pengguna. Jika tidak dinaikkan, kemungkinan ramai pengusaha bas sekolah terpaksa memberhentikan operasi masing-masing. Pengusaha teksi pula mendesak kerajaan menaikkan kadar tambang sejak 2005. Kabinet semalam bersetuju menaikkan kadarnya daripada RM2 kepada RM3 bagi satu kilometer pertama dan naik 20 sen bagi setiap kilometer (km). Ura-ura kenaikan tambang teksi heboh diperkatakan sejak lebih dua bulan lalu. Selain teksi, tujuh lagi pengangkutan awam atas jalan raya turut dinaikkan tambang antara 2 sen hingga RM6.33 di Semenanjung, 2 sen hingga RM31.70 (Sabah) dan 1.2 sen hingga minimum RM2 (Sarawak), berkuat kuasa 1 Ogos depan. Kenaikan ini melegakan 16,343 pengusaha bas sekolah, teksi (32,921), kereta sewa (19,128), bas berhenti-henti (9,061), bas ekspres (4,998), bas mini (3,168), teksi lapangan terbang (2,814) dan bas pengantara (195). Berdasarkan maklumat, kos operasi yang ditanggung sesetengah syarikat pengendali pengangkutan awam itu dikatakan meningkat sehingga 200 peratus. Jika desakan mereka untuk menaikkan tambang ini tidak diteliti, ia boleh menyebabkan syarikat berkenaan rugi dan akhirnya 'gulung tikar.' Jika ini yang berlaku, pengguna juga menanggung kesusahannya. Apa yang diharapkan mereka pengusaha berkenaan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Sepatutnya kenaikan harga selaras dengan peningkatan mutu perkhidmatan dan keselamatan pengguna. Isu pemandu cuai dan tidak mementingkan keselamatan pengguna sepatutnya tidak wujud lagi, apatah lagi menipu pelanggan.
Manek Urai petanda awal rakyat kembali sokong BN

Oleh Zulkofli Jamaludin
rencanabh@bharian.com.my

SUASANA tenang berhampiran tempat mengundi di DUN Manek Urai tercemar apabila penyokong parti mula bertindak agresif.

Tewas hanya 65 undi gambaran pengundi semakin terpikat corak pentadbiran Najib

MANEK Urai Lama dan Manek Urai Baru adalah dua kubu kuat Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang berjaya dikuasai Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil, Selasa lalu. Namun, kemenangan di dua peti undi berkenaan gagal membantu BN yang memperoleh 5,283 undi, menawan semula Manek Urai apabila kekurangan 65 undi untuk mencipta kemenangan kali ketiga di kawasan itu daripada 13 pilihan raya sejak 1959.

Perubahan yang menyaksikan 908 pengundi memilih BN berbanding 719 Pas di Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru (490, 459), adalah berdasarkan keyakinan pengundi terhadap BN, termasuk janji membina jambatan baru menggantikan jambatan berusia lebih 40 tahun menghubungkan kedua-dua kawasan penempatan penduduk berkenaan.

Angin perubahan pengundi di dua peti undi berkenaan adalah sebahagian daripada tambahan besar 889 undi yang diperoleh BN, berbanding sebanyak 4,392 undi pada pilihan raya umum, Mac tahun lalu.

BN yang mempertaruhkan bekas Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, juga menang di peti undi Temalir, Manjor, Laloh serta undi pos, tetapi tewas di Sungai Perial, Sungai Sok, Chuchok Puteri dan Lata Rek.

Kejayaan BN menguasai hampir semua undi daripada saluran tiga dan empat menggambarkan pemilih berusia 40 tahun ke bawah, mula memberi kepercayaan kepada Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan ke Manek Urai, yang sebahagian besar penduduk bekerja sebagai penoreh getah, pekebun kecil kelapa sawit dan buah-buahan serta bekerja sendiri.

Pengarah Pilihan Raya Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan pencapaian mengurangkan jumlah majoriti pembangkang kepada 65 undi itu adalah sesuatu yang membanggakan, namun di hati kecilnya mungkin agak kecewa apabila rakyat menolak kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan, bukan saja fizikal tetapi minda bagi membawa penduduk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa yang kelihatan tenang menerima keputusan malam kelmarin, melihat perubahan pengundi di Manek Urai boleh menjadi pemangkin kepada BN untuk menarik lebih banyak sokongan daripada pengundi muda dalam usaha menawan semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Matlamat besar itu bukan mustahil, kerana Pas sendiri dilihat seolah-olah turut menerima kejutan ketika pengumuman rasmi kelmarin, apabila melihat jumlah majoritinya dikurangkan daripada 1,352 kepada 65 undi. Tiada laungan takbir yang menjadi amalan biasa daripada penyokong Pas di Dewan Petra Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra I, sebaik nama Abe Uji (Mohd Fauzi Abdullah) diumumkan sebagai pemenang.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa, menyifatkan kemenangan dengan majoriti tipis 65 undi itu sesuatu yang luar biasa, sedangkan Pengarah Pilihan Raya Pas, Abdul Fatah Haron selepas tamat masa mengundi dengan penuh keyakinan memaklumkan kepada media parti berkenaan mampu memperoleh 1,800 majoriti.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata kemenangan tipis Pas sebanyak 65 undi adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana ketika beliau membuat tinjauan awal sebelum tarikh penamaan calon, parti itu mendahului dengan majoriti lima peratus atau 615 undi.

Antara faktor kejayaan BN mengurangkan majoriti ialah kemampuan Umno menyusun strategi yang baik untuk menawan hati pengundi, khususnya pemilih muda dan mereka berusia 40 tahun ke bawah, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menunjukkan komitmen tinggi menyelesaikan setiap isu rakyat yang berbangkit sebelum ini.

Katanya, sejak sebulan lalu pakatan pembangkang pula dilihat pincang apabila berlaku tindakan parti keluar daripada pakatan pada peringkat negeri, manakala dalam Pas sendiri wujud 'perselisihan' pandangan serta pendekatan berpolitik antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa.

"Berbanding enam pilihan raya kecil lain, di Manek Urai jentera BN menunjukkan komitmen tinggi apabila semua strategi disusun daripada Bilik Gerakan Pusat, yang berjaya memusatkan kegiatan menawan hati pengundi dan mengelak berlaku 'pembunuhan' karakter dalam parti.

"Pemilihan Tuan Aziz pula disambut baik oleh kepemimpinan bahagian serta bekas calon dan ini memudahkan jentera parti menumpukan usaha mendekati pengundi," katanya sambil menambah jika semangat itu diteruskan BN mampu menawan semula hati rakyat Malaysia.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohamad Mustafa Ishak, pula berkata kemenangan BN menambah undi di peti undi Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru menuntut Umno melaksanakan sebahagian janji untuk membawa pembangunan ke kawasan pedalaman itu.

Katanya, undi yang diberikan sangat penting dan menunjukkan secara keseluruhan sokongan rakyat terhadap BN semakin pulih, tetapi ia menuntut jentera parti pada peringkat Parlimen dan DUN bekerja secara berterusan mendampingi rakyat, khususnya untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

BN perlu membalas sokongan pengundi di lima daripada sembilan peti undi yang dimenangi dengan memberi bantuan kebajikan serta projek pembangunan dan paling berharga kepada jambatan baru di Manek Urai, yang dilihat boleh mendekatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Pusat.

Pilihan raya Selasa lalu, juga menyaksikan kempen yang bersih tanpa sebarang laporan polis selama lapan hari dicemari oleh tindakan provokasi sehingga tercetus kejadian membaling objek dan serangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Peria, menyebabkan tiga petugas BN dan seorang petugas Pas cedera.

Lebih mengecewakan gelagat petugas parti yang sanggup melemparkan kata-kata kesat serta nista sesama umat Islam sepanjang pengundian yang boleh menjatuhkan maruah agama Islam.

Justeru, proses kempen yang berjalan tenang di Manek Urai kerana hubungan baik yang terjalin antara penyokong Umno dan Pas setempat, termasuk mempunyai hubungan persaudaraan, dicemari oleh tingkah laku keterlaluan penyokong Pas dari luar yang datang menjelang hari pengundian.

Sepanjang membuat liputan bermula 5 Julai lalu, penulis mendapati penduduk Manek Urai mudah mesra dan bersikap terbuka apabila menerima petugas BN mahupun Pas yang berkempen di rumah mereka. Apa yang menjadi masalah, apabila orang luar datang, tidak mengetahui budaya, malah amat memalukan, apabila mereka berkata menyokong parti yang berjuang untuk Islam, tetapi perbuatan mereka tidak Islam, malah perbuatan itu mencemar nama baik agama Islam sendiri.

Dalam pada mereka berselawat dan berdoa, mereka mencerca, mencaci dan mengata pemimpin lawan. Gelagat itu tidak menggambarkan imej Islam yang diperjuangkan.

Apa yang berlaku di Manek Urai juga menuntut tindakan segera Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula keberkesanan larangan semua parti politik bertanding mendirikan pondok panas pada hari mengundi bermula pilihan raya kecil ini. Walaupun tanpa pondok panas, petugas pembangkang dilihat berhimpun dalam jumlah yang ramai di hadapan pintu masuk ke pusat mengundi dan terus merayu undi. Tindakan itu bukan saja bertentangan dengan peraturan SPR yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 tengah malam, tetapi menyebabkan kesesakan teruk di hadapan tempat mengundi.

SPR perlu lebih tegas menguatkuasakan peraturan dan mengambil tindakan dalam mengendali perjalanan pilihan raya supaya menghalang penyokong parti bertanding menimbulkan provokasi hingga menjejas ketenteraman awam. Selain berkempen menarik sokongan, parti bertanding perlu mengingatkan pemilih mengenai cara mengundi yang betul bagi mengelak kertas undi rosak melebihi majoriti.
Kesedaran pelestarian jana minda, gaya hidup

Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang

SABAN hari kita mendengar dan menonton pelbagai laporan media mengenai isu berkaitan pelestarian seperti jerebu, pencemaran alam sekitar, peningkatan suhu bumi atau pelancaran produk mesra alam. Secara keseluruhannya, pada hemat saya, kesedaran mengenai pelestarian semakin meluas, termasuk di Malaysia, khususnya aspek berkaitan kepentingan dan kesihatan awam.

Sebagai contoh, sudah semakin ramai warga prihatin terhadap kesan penggunaan racun serangga dalam pertanian dan kesannya kepada pencemaran sumber air dan kesihatan awam. Sehubungan itu, kesedaran untuk menggunakan hasil pertanian organik semakin meningkat daripada daging organik, ayam organik, sayur organik sehingga burger organik.

Kesedaran itu dapat dinilai menerusi peningkatan pasaran barang dan perkhidmatan mesra alam. Pada 1992, saya mengetuai satu kajian pendapat umum mengenai barang dan perkhidmatan mesra alam. Dapatan ketika itu menunjukkan hanya 20 peratus faham konsep produk mesra alam.

Kurang 10 peratus saja sanggup membeli hasil pertanian organik. Dapatan ini pasti jauh berbeza jika kajian sama dilakukan sekarang. Selain itu, rating liputan media mengenai alam sekitar, khusus jika dikendalikan ikon media, juga semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Namun, banyak lagi inisiatif diperlukan. Pada hemat saya, inisiatif paling kritikal perlu diberi keutamaan segera ialah anjakan paradigma kepada minda lestari kepada seluruh lapisan masyarakat.

Secara ringkas, minda lestari bermaksud pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah yang menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar yang bersih dan selamat, sistem dan pengurusan cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari dengan fitrah insaniah.

Dalam konteks pembangunan fizikal misalnya, minda lestari memberi penekanan kepada keseimbangan ekosistem dalam seluruh aspek seperti perancangan, utiliti mesra alam, kaedah pembinaan dan teknologi mesra alam.

Jika anjakan minda lestari itu berjaya, maka barulah pelbagai dasar, inisiatif, tindakan, amalan, gaya hidup lestari dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, murah dan berkesan. Pada asasnya, gaya hidup lestari mempunyai tiga tindakan utama, iaitu amalan bersederhana dalam kehidupan harian, kepenggunaan lestari dan pelestarian alam sekitar.

Amalan hidup sederhana bermakna tidak keterlaluan dan berlebihan daripada segala segi, khususnya membabitkan perbelanjaan dan gaya hidup. Sederhana juga bererti mengkaji buruk baik sebelum melakukan setiap tindakan agar mencapai matlamat dengan efisien dan efektif dengan biaya optimum.

Sebagai contoh, sederhana dari segi pemakanan. Matlamat asas pemakanan ialah untuk kesejahteraan tubuh badan supaya proses metabolisme menghasilkan tenaga diperlukan untuk melakukan pelbagai kerja dan amalan selari dengan tuntutan hidup. Bersederhana bermakna tidak makan secara berlebihan, tidak mengambil makanan tidak baik untuk kesihatan seperti yang memabukkan, tidak halal, lebihan kolestrol atau tidak bersih.

Bersederhana dalam pemakanan bermakna tidak membazir dengan hidangan yang tidak dimakan khususnya ketika keraian acara rasmi. Hal ini selari dengan tuntutan agama. Selain bersederhana, kepenggunaan lestari juga penting sebagai pemangkin pelestarian alam sekitar.

Ketika ini banyak barang dan perkhidmatan mesra alam selari piawaian alam sekitar yang memudahkan pengguna memilih supaya dapat membantu melestarikan alam sekitar. Dari segi kuantum, pengguna barang dan perkhidmatan mesra alam di Amerika Syarikat dan United Kingdom saja membelanjakan AS$500 bilion setahun.

Trend ini dijangka akan terus meningkat dan melangkaui sempadan negara maju. Paling ketara ialah kereta hibrid dengan pertumbuhan 2,296 peratus sejak mula diperkenalkan pada 2000.

Dengan kata lain, pengguna lestari perlu memastikan setiap barang dan perkhidmatan yang dibeli mematuhi konsep mesra alam dari pelbagai sudut, khususnya dari segi pelepasan karbon.

Minda lestari menyediakan prinsip asas kepada gaya hidup, kepenggunaan dan pengurusan lestari alam sekitar selari dengan keperluan dan tidak berlebihan atau membazir. Ini penting kerana penghasilan semua barang atau perkhidmatan memerlukan sumber asli yang semakin sedikit iaitu bahan mentah, galian, air, bahan api fosil, pokok dan sebagainya.

Selain itu, semua proses kitar hayat sesuatu barang menghasilkan karbon yang tidak sedikit daripada penjanaan sumber asli, pemprosesan, pengangkutan, penggunaan dan pelupusan. Minda lestari juga mengajar kita untuk lebih prihatin, saintifik dan cuba memahami falsafah dan menghayati cara hidup hakiki.

Kita juga perlu lebih banyak berfikir dan tidak terikut-ikut trend semasa apatah lagi digambarkan menerusi fatamorgana iklan yang hanya berasaskan trend dan gaya hidup mewah. Pengamal minda dan gaya hidup lestari arif dan bestari. Bagi mereka matlamat mengatasi bentuk dan perupaan. Sebagai contoh, makanan bernilai bukan kerana jenama restoran, keenakan dan penyedia resepinya, tetapi khasiatnya kepada kesihatan.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia
Adat perkahwinan Orang Asli

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

ANTARA upacara unik dalam perkahwinan Orang Asli Suku Mahmeri.

Suku Mahmeri turut amal upacara merisik, meminang dan persandingan seperti masyarakat Melayu

TIADA banyak beza antara majlis perkahwinan orang Asli suku Mahmeri dengan masyarakat Melayu kerana ia bermula dengan adat merisik, menghantar tanda, meminang dan berakhir dengan persandingan.

Perbezaan adat mereka cuma mengekalkan istiadat menghalau hantu syaitan dengan cara tersendiri, selain diadakan upacara pemujaan untuk memberitahu kepada nenek moyang bahawa cucu mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan. Majlis itu dianggap penting untuk memastikan upacara perkahwinan itu selamat, diberkati dan aman bahagia sehingga ke anak cucu.

Bermula dari awal adat merisik hingga persandingan, banyak proses perlu dilalui iaitu menghantar rombongan merisik dengan bercerita mengenai latar belakang kedua-dua anak mereka.

Mengikut kepercayaan suku Mahmeri ini, sekiranya proses meminang dilakukan tanpa merisik, ia bererti kedua-dua mempelai sudah ditangkap basah.

Pada majlis peminangan, tok batin akan melihat persediaan pengantin lelaki untuk di bawa ke majlis peminangan seperti cincin emas (tok batin akan pastikan cincin emas itu tulen), alat solek, pinggang mangkuk dan keperluan seperti batu lesung dan lain-lain.
PASANGAN pengantin menjalani istiadat mengasah gigi.

Penetapan tarikh bagi majlis peminangan dan persandingan perlu dirujuk kepada tok batin untuk melihat persediaan pihak lelaki sebelum memasuki alam rumah tangga.

Tok batin menjadi insan paling penting kerana beliau akan mengambil kuasa daripada wali yang dilantik untuk memantau majlis peminangan sehingga berakhirnya majlis persandingan.

Antara keunikan majlis perkahwinan orang Asli ini, sebaik saja persetujuan dan kata sepakat dalam majlis peminangan dicapai, upacara makan sirih dan pinang oleh tok batin dan wakil kedua-dua belah pihak dilakukan sebagai tanda mengakhiri majlis itu.

Hantaran dikenakan ialah RM44.40 bagi bakal pengantin yang masih gadis, manakala RM25.20 mereka yang bergelar janda.
SUKU Mahmeri memainkan alat muzik tradisional Orang Asli untuk meraikan mempelai pada majlis perkahwinan.

Namun, hasrat pihak lelaki ingin memiliki gadis pilihannya akan terbatal walaupun majlis peminangan dan hari persandingan sudah ditetapkan, sekiranya perbelanjaan bagi tujuan majlis itu tidak mencukupi.

Sekiranya dalam tempoh tiga bulan, pihak lelaki gagal sediakan perbelanjaan, dengan sendiri perjanjian itu terbatal dan pengantin lelaki dianggap sudah melakukan penipuan terhadap tok batin selaku pemantau.

Bagaimanapun, selepas semua persiapan berjalan lancar, banyak lagi proses yang perlu dilakukan oleh bakal mempelai sebelum mereka bergelar suami isteri.

Lazimnya, sehari sebelum hari perkahwinan beberapa istiadat akan diadakan seperti istiadat menepung tawar untuk menghalau hantu syaitan; istiadat mengasah gigi atau mengandam; membuang sial; menggantung kelambu dan berinai.

Mengasah gigi dianggap adat yang penting dilakukan. Penggunaan kain hitam diletakkan pada gigi sebagai penanda jarak gigi yang perlu diasah. Cincin akan digunakan untuk mengasah gigi yang tidak rata dan kemudian diasapkan. Ini bertujuan menjadikan bakal mempelai sentiasa berseri dan mengelak kancing gigi ketika majlis persandingan.

Seperti juga apa juga jenis persandingan kaum lain, Orang Asli itu juga membuat persediaan menyediakan pelamin. Mereka akan bergotong-royong menghiasi pelamin dengan meletakkan anyaman daun nipah pelbagai corak serta bunga-bungaan berwarna cerah di semua sudut pentas. Sentuhan penggunaan daun nipah yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku Mahmeri adalah antara keunikan dan kelainan dipaparkan dengan suku kaum Orang Asli lain di negara ini.

Ketika majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat istiadat diadakan sempena majlis itu iaitu menjulang pengantin; pertarungan pencak silat; mengelilingi busut; membasuh kaki; nasi dalam atau sirih perancang dan mandi bunga gomba.

Pada majlis itu, upacara perkahwinan dimulakan dengan tok dukun membawa pengantin lelaki berpusing mengeliling sekumpulan gadis bersama pengantin perempuan yang dilitupi kelambu dan diasap dengan kemenyan. Upacara itu bertujuan menghalau syaitan dan mengelak perkara buruk.

Pusingan sebanyak tujuh kali dan pada pusingan terakhir, pengantin lelaki perlu mendapatkan pengantin perempuan dan bertukar bunga. Pemilihan itu berdasarkan gerak hati tanpa sebarang tekanan kerana suku Mahmeri percaya tiada paksaan dalam perkahwinan.

Ketika majlis persandingan upacara melambung duit dilakukan sebagai simbolik kepada kebebasan mempelai menentukan arah tuju hidup di alam rumah tangga.

Makan beradab, pemantau akan memastikan mempelai makan dan berakhir dengan serentak supaya hidup mereka berkekalan bahagia dan dapat mengharungi rumah tangga. Jika seorang daripada mempelai makan lebih awal antara mereka, dipercayai perlakuan itu akan mengundang kecelakaan dalam rumah tangga pada masa depan.

Selepas selesai majlis perkahwinan, pasangan pengantin dilarang keluar rumah untuk tempoh tiga hari untuk mengelak daripada diganggu hantu atau syaitan.

Istiadat nenek moyang dipertahan

KEUNIKAN, keistimewaan dan kemeriahan perkahwinan orang Asli suku Mahmeri yang diamalkan sejak zaman- berzaman daripada nenek moyang mereka masih kekal menjadi warisan budaya dan tradisi.

Peralihan zaman moden ini tidak menggugat suku berkenaan untuk mempertahankan dan menjadi kebanggaan mereka untuk ditatapi dan dikaji oleh masyarakat lain.

Tok Batin Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Tok Sidin Anak Bujang, ketika ditemui pada majlis promosi Kerja Kahwin 09’, baru-baru ini di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur, berkata beliau sebagai ketua masyarakat suku Mahmeri mahu memastikan istiadat perkahwinan masyarakat itu sentiasa mengekalkan tradisi nenek moyang mereka.

Katanya, masyarakat orang Asli khususnya Mahmeri dianggap unik kerana mempunyai warisan budaya dan tradisi yang tersendiri dan ia menjadi lambang kebanggaan.

“Sekarang, kira-kira 500 orang Asli Mahmeri menetap di Kampung Sungai Bumbun. Setiap majlis perkahwinan yang diadakan dilakukan dengan sempurna. Kita juga mempunyai lima ahli lembaga iaitu diketuai tok batin, tok inang, penghulu, jugra dan pengawa yang melengkapkan sebarang upacara berkaitannya.

“Setakat ini, 90 peratus daripada majlis perkahwinan itu menepati tradisi nenek moyang kami manakala 10 peratus lagi sudah dicampurkan dengan unsur moden yang dibuat atas kehendak ibu bapa (wali) mempelai,” katanya.

Beliau tidak menafikan, pada era moden ini, gadis atau pemuda orang Asli suku Mahmeri akan mencari calon pasangan masing-masing sendiri di kalangan kaum berlainan termasuk orang Asli dari suku lain yang berada di Semenanjung Malaysia dan tidak terkecuali ada juga yang berkahwin dengan orang Melayu.
Cakap-cakap

BILA Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menunjukkan 379 kotak berisi permohonan kewarganegaraan, permit masuk, sijil kelahiran dan sebagainya, Mamat boleh gambarkan betapa sulitnya kerja beliau itu. Jika semua permohonan itu memerlukan kelulusan Menteri Dalam Negeri, Mamat rasa ini kerja berat. Jika dikira satu persatu, jumlahnya mungkin beribu-ribu. Ini belum lihat kes setiap permohonan itu lagi.

Mamat - pelik ada rakyat tidak menyanjungi negara ini
Perjuangan demokrasi Zelaya


MANUEL ZELAYA


RAMPASAN kuasa oleh tentera di Honduras pada 28 Jun lalu mengakibatkan polis dan tentera bertempur dengan ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar istana kebangsaan Honduras. Pertempuran berdarah atas nama demokrasi itu menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh.

Perbalahan itu menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan pemimpin dunia serta bantahan terhadap penyingkiran presiden pilihan rakyat, Manuel Zelaya dari Parti Liberal sehingga mendorong Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) memutuskan untuk menyingkirkan negara itu dari blok serantau.

Pihak tentera pula segera menamakan pengganti Zelaya iaitu rakan sekutunya yang juga dari Parti Liberal, Roberto Micheletti yang telah mengangkat sumpah sebagai presiden sementara sehingga penggal pemerintahan Zelaya tamat pada 27 Januari 2010.

Pemimpin dunia daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sehinggalah Presiden Venezuela, Hugo Chavez mendesak jawatan presiden Honduras dipulangkan kepada Zelaya yang telah digulingkan itu. Bagaimanapun, Micheletti tetap dengan pendiriannya yang mengatakan perkara itu tidak mungkin terjadi.


ROBERTO MICHELETTI


Kerajaan sementara juga memberi amaran kepada Zelaya bahawa beliau akan ditangkap sebaik sahaja menjejakkan kaki di Honduras.

Mahkamah Agung bagaimanapun menyokong pengambilalihan kuasa oleh pihak tentera dengan menyatakan ia sebagai mempertahankan demokrasi.

Rampasan kuasa oleh tentera itu buat julung kalinya berlaku melibatkan kerajaan Amerika Tengah dalam tempoh 16 tahun lalu. Ia mendapat kritikan meluas dari kerajaan-kerajaan Amerika Latin dan dunia termasuk AS.

Bagaimanapun Zelaya telah berikrar untuk kembali pulang ke negaranya demi rakyat Honduras setelah mendapat sokongan antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan OAS. Zelaya memberitahu bahawa Presiden Argentina dan Presiden Ecuador serta Setiausaha Agung PBB dan OAS akan mengiringi beliau pulang ke Honduras.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sewaktu pesawat yang dinaiki oleh bekas presiden Honduras itu mahu mendarat di lapangan terbang utama negara tersebut.

Landasan itu dipenuhi dengan kenderaan dan gerombolan tentera mengakibatkan pesawat tersebut terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum membatalkan pendaratan dan mengalihkan penerbangan ke El Salvador.

Ratusan ribu penyokong beliau berkumpul di luar lapangan terbang dan sekurang-kurangnya dua orang maut apabila tentera melepaskan tembakan ke arah perhimpunan tersebut.


PENYOKONG Zelaya menyanyikan lagu kebangsaan negara itu di jalanan.


Zelaya memberitahu, pendiriannya tetap akan cuba lagi untuk pulang ke tanah air dalam usaha untuk kembali berkuasa, sekalipun semua cabang kerajaan di negara ini sudah berpakat menentang beliau.

"Saya adalah komander angkatan bersenjata, dipilih oleh rakyat, dan saya mengarahkan angkatan bersenjata mematuhi arahan untuk membuka lapangan terbang ini supaya tidak ada masalah untuk saya mendarat dan menemui rakyat," katanya selepas kejadian tersebut.

Protes semakin meningkat sepanjang minggu lalu dan kehidupan seharian 7.5 juta penduduk negara itu terjejas disebabkan perintah berkurung pada waktu malam yang dikeluarkan oleh kerajaan pemerintah.

Micheletti menyalahkan sekutu berhaluan kiri kepada Zelaya iaitu Chavez dalam krisis politik Honduras dan menjadi punca kematian yang berlaku dalam pertempuran antara pihak polis dan tentera serta orang awam.

Beliau yakin bahawa Chavez telah mencampuri urusan negaranya dan menyalahkan Chavez bagi pertempuran dan rusuhan yang berlaku.

Jika perbalahan ini berpanjangan, keamanan negara itu mungkin akan terjejas dan memberi kesan terhadap perhubungan luar negara dan juga ekonomi negara ini.

Ini kerana seluruh Amerika Latin dengan pemimpin berhaluan kiri telah memanggil pulang duta masing-masing dari Honduras. Presiden Nicaragua, Daniel Ortega berkata, El Salvador, Nicaragua dan Guatemala akan menghentikan perdagangan dengan Honduras.

Di Washington, Obama memberitahu bahawa AS akan memihak kepada demokrasi dan bekerjasama dengan negara-negara lain untuk mencari penyelesaian secara aman di Honduras.


ATAS: Polis dan tentera mengadakan sekatan di lapangan terbang antarabangsa Toncontin untuk menghalang pesawat yang membawa Zelaya mendarat.


"Kami percaya rampasan kuasa itu tidak sah dan Presiden Zelaya kekal sebagai presiden yang dilantik secara demokrasi," kata Obama.

Pada hari yang menjadi sejarah hitam di Honduras, Zelaya dikejutkan dengan tembakan senjata api ketika beliau masih berbaju tidur, beberapa jam sebelum pungutan suara Perlembagaan yang dilihat sebagai cubaannya untuk kekal berkuasa melebihi had satu penggal.

Beliau telah dibawa oleh tentera udara untuk menyelamatkan diri ke Costa Rica ketika kereta perisai tentera melalui jalan-jalan raya di ibu negara Honduras dan pasukan askar menawan istana negara.

Kongres sepakat menerima sepucuk surat yang didakwa sebagai peletakan jawatan Zelaya, namun dia menafikan telah meletak jawatan dan menegaskan akan terus berkhidmat sehingga tamat penggal.

Mampukah Zelaya mengambil kembali tampuk kepimpinannya dengan hampir semua cabang dalam kerajaan menentangnya?

Jika dia nekad untuk mengambil kembali apa yang disifatkan hak dan tanggungjawab beliau, ini bermakna pertumpahan darah akan berlaku dan keadaan akan bertambah teruk.

Ini kerana Micheletti berkata, satu-satunya cara untuk Zelaya kembali sebagai presiden adalah dengan membawa tentera asing untuk menyerang Honduras.

Konflik isu Kampung Buah Pala perlu ditangani segera
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

PENDUDUK Kampung Buah Pala mengharapkan kerajaan negeri bertindak segera mengatasi masalah mereka.

Kerajaan Pulau Pinang wajar berbincang dengan pemaju untuk rangka formula pampasan penduduk

"KAMI berharap Ketua Menteri dan kerajaan Pakatan Rakyat membela perkampungan 'High Chaparral' yang berusia 100 tahun seperti dijanjikan." Begitulah suara hati penduduk Kampung Buah Pala yang kini berada di persimpangan, sama ada kekal di kampung yang diwarisi daripada nenek moyang sejak lebih seabad lalu, atau mencari penempatan baru.

Rayuan kira-kira 300 penduduk itu terpampang di atas satu kain pemidang yang tergantung di pintu masuk perkampungan itu, yang kini terus berjuang untuk mempertahankan penempatan berkenaan.

Walaupun undang-undang jelas menunjukkan mereka mesti mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar yang dimiliki Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum 3 Ogos ini, tetapi 23 keluarga bertekad untuk kekal di situ.

Bagi penduduk, mereka adalah pemilik tanah itu selepas Helen Margaret Brown memberikannya kepada nenek moyang mereka sebelum merdeka, tetapi tanah itu sudah dijual kepada koperasi oleh kerajaan negeri terdahulu pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran. Lantaran itu mereka tetap dengan pendirian tidak akan berpindah dari perkampungan yang dianggap sebagai satu-satunya kampung tradisi masyarakat India di negeri ini.

Kini penduduk masih menjalani kehidupan seharian seperti biasa walaupun hari-hari terakhir mendiami perkampungan yang dikenali sebagai 'High Chaparral' Pulau Pinang' semakin hampir.

Ahad lalu, mereka mengadakan upacara walakappu iaitu acara tradisi masyarakat India untuk menanti kelahiran bayi. Ia bagi meraikan S Nalani, 30, yang bakal melahirkan bayi sulungnya, yang juga generasi keenam di perkampungan itu.

Suami Nalani, S Kumar, 29, tidak menampakkan wajah risau mengenai nasib masa depan kampung mereka, sebaliknya yakin anak sulungnya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi akan dapat menyambut hari jadi pertama tahun depan di kampung itu.

Apapun, menyusuri perkampungan yang terletak di kawasan berbukit di Gelugor itu, secara kasarnya tidaklah menampakkan ia satu perkampungan yang dikatakan kampung warisan yang boleh dibanggakan.

Namun berada di kampung itu lebih tenang dengan kehijauan pokok dan suasana kampung. Apatah lagi, apabila menjelang petang kawanan lembu akan pulang selepas seharian berkeliaran di kawasan hutan berdekatan.

Dengan hampir 200 ekor ternakan khususnya lembu yang dibela oleh penternak di kampung itu, bau hancing air kencing dan tahi lembu yang menyambut 'kedatangan' tetamu ke kampung itu, mungkin sesuatu yang tidak akan ditemui di perkampungan lain di negeri ini.

Tanpa mempersoalkan hak penduduk memperjuangkan kampung yang sudah merakam ribuan kenangan manis, penduduk perlu bersikap rasional dalam menangani kemelut yang dihadapi sekarang, bukannya emosional.

Mereka bukan saja perlu melihat kepada keputusan mahkamah tetapi juga mesti memikirkan masa depan anak cucu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi 'hero' dalam isu itu.

Penduduk boleh berusaha melambatkan tindakan 'pengusiran' oleh pemaju dengan menggunakan 'talian hayat', tetapi soalnya sampai bila dan berapa banyak 'talian hayat' yang mereka ada.

Mungkin sudah sampai masanya penduduk memikirkan untuk mengikut jejak langkah 10 keluarga yang sudah menerima pampasan daripada pemaju di antara RM140,000 hingga RM260,000 sebelum ini.

Penduduk juga perlu sedar mereka selama ini diperalatkan oleh ahli politik bagi meraih sokongan pada musim pilihan raya dan dibiarkan terkapai-kapai selepas pilihan raya berlalu.

Mereka perlu bertanya selama mana lagi mahu bertahan di kampung itu yang terletak di tengah kawasan perumahan. Pernahkah penduduk memikirkan soal ternakan mereka yang tidak disenangi jiran bersebelahan.

Dengan lembu berkeliaran sehingga merosakkan harta benda, tiada padang ragut bagi ternakan itu mencari makan, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk kampung lain. Penduduk perlu faham bahawa mereka tidak lagi berada pada tahun awal kemerdekaan atau di pedalaman, tetapi alaf baru dan terletak di sebuah bandar raya.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu menunjukkan komitmen untuk membantu penduduk dengan memberi pilihan yang konkrit, bukannya bersikap mencari salah orang lain.

Sama ada kepemimpinan kerajaan negeri terdahulu bersalah atau tidak apabila menjual tanah itu kepada koperasi, ia bukan boleh diputuskan dalam masa sehari dua sedangkan penduduk semakin tersepit.

Sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi menawarkan satu alternatif terbaik kepada penduduk walaupun menyedari pilihan yang penduduk adalah keluar dari kampung itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini menyatakan penduduk wajar menerima pampasan walaupun beliau menyedari pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd tidak perlu berbuat demikian kerana tidak diarahkan oleh mahkamah. Ketua Menteri juga dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan 'memastikan' pemaju membayar pampasan kepada penduduk jika mereka berpindah.

Meskipun kerajaan negeri sering membangkitkan soal pampasan, tetapi tiada butiran lanjut diberikan. Kalau betul kerajaan negeri mempunyai perancangan, mereka perlu memperincikan soal pampasan, penempatan sementara bagi penduduk dan rumah kekal.

Pada 2007, koperasi menawarkan rumah berharga RM75,000 dengan keluasan lantai 850 kaki persegi dengan harga diturunkan kepada RM1; subsidi sewa rumah RM750 sebulan selama tiga tahun; bayaran kos perpindahan RM1,000 atau ganti rugi tunai RM90,000 jika penduduk tidak mahu terima tawaran tunai.

Jika tawaran sebelum ini ditolak oleh sebahagian besar penduduk, inikan pula tawaran kerajaan negeri sekarang yang tidak memberikan sebarang butiran. Sudah tentu penduduk tidak berani untuk memberi persetujuan kerana mereka tidak tahu apa bentuk pampasan yang akan diberikan jika setuju berpindah.

Apa salahnya kerajaan negeri berbincang dengan pemaju untuk merangka formula mengenai pampasan yang akan diberikan. Dalam keadaan sekarang, pemaju yang berkeras tidak mahu memberi pampasan kepada penduduk, juga perlu bertolak ansur dan tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kerana selagi isu itu tidak diselesaikan, selagi itulah projek yang bernilai RM200 juta di kawasan itu tidak dapat dijalankan.

Apabila sudah ada formula, kerajaan negeri perlu panggil penduduk untuk berbincang dan jelaskan keadaan sebenar mengenai kedudukan tanah berkenaan dari segi undang-undang. Jika mereka memahami keadaan sebenar dan rasional perpindahan itu, tiada sebab untuk penduduk menolak tawaran yang diberikan.
Minda Pengarang: Syarikat konsesi tol perlu secara sukarela bantu ringan beban pengguna

UNTUK jangka masa panjang, pengguna lebuh raya di Semenanjung mungkin mendapat berita lebih baik mengenai isu tol. Kerajaan, menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU), sedang membuat kajian menyeluruh mengenai isu itu. Setakat ini kaedah yang akan digunakan belum dapat dipastikan, sama ada kerajaan akan mengambil alih syarikat konsesi tol dan dijadikan syarikat persendirian atau pendekatan lain, bagi menyelesaikan isu kenaikan tol. Buat masa ini semakan kadar tol terpaksa dilakukan setiap tiga tahun seperti termaktub dalam perjanjian konsesi. Keadaan ini sering menimbulkan kemarahan rakyat. Tentunya, tidak ada rakyat yang suka terhadap kenaikan sesuatu barangan, apatah lagi jika alasan kenaikan tidak memuaskan hati rakyat. Namun, sebagai langkah sementara, kerajaan memberi rebat 20 peratus yang akan dinikmati kira-kira 85,000 pengguna lebuh raya kelas satu yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, merangkumi semua laluan lebuh raya di seluruh Semenanjung mulai Oktober depan. Pembayaran diskaun itu akan dibuat dalam bentuk nilai-tambah Touch n' Go atau Smart Tag yang dikredit ke dalam kad berkenaan. Kerajaan pula terpaksa memperuntukkan RM61 juta untuk menampung pembayaran rebat itu. Mungkin ada pihak yang bertanya mengapa kerajaan harus mengeluarkan belanja sedangkan kutipan tol dibuat oleh syarikat konsesi. Seperti diketahui, kerajaan dan syarikat konsesi ini mempunyai perjanjian yang termaktub. Jika kerajaan tidak meluluskan cadangan kenaikan tol setiap tiga tahun, ia terpaksa membayar pampasan pada kadar jumlah yang tinggi.

Memang menjadi harapan semua supaya kandungan perjanjian itu dikaji semula supaya ia tidak terlalu membebankan kerajaan dan rakyat sebagai pengguna lebuh raya, sedangkan syarikat konsesi mendapat keuntungan banyak setiap tiga tahun. Biarlah isu ini diteliti lanjut oleh EPU dengan mengambil kira pelbagai faktor dan keadaan semasa. Pemberian rebat 20 peratus itu adalah antara 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu, sempena sambutan 100 hari sebagai Perdana Menteri. Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan beban rakyat yang terpaksa membayar tol yang tinggi setiap hari. Setakat ini kita tidak mendengar lagi apakah syarikat konsesi secara sukarela sanggup menambahkan rebat, katakan lima atau 10 peratus lagi sebagai tambahan kepada 20 peratus ini. Jika syarikat konsesi berbuat demikian, maka ia akan menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya memilih laluan lebuh raya dikendalikan syarikat itu. Misalnya, pekerja pejabat menggunakan laluan tetap yang sama setiap hari dan mereka ini bekerja sekitar 20 hingga 25 hari sebulan. Ini bermakna dalam sebulan, cuma 40 hingga 50 kali mereka melalui jalan bertol dan untuk menikmati rebat memerlukan mereka lebih kerap seperti ke pusat beli-belah di laluan bertol ke pusat bandar atau balik kampung pada hujung minggu. Di sinilah syarikat konsesi boleh mengambil kesempatan untuk menarik pengguna. Malah, sudah tiba masanya juga kadar harga Smart Tag dikurangkan lagi kerana pemberian rebat itu cuma untuk laluan elektronik dan begitu juga promosi jualan Touch n' Go.
Politik kepartian melampau jejas perpaduan nasional
Oleh Rahman Sulaiman

POLITIK seperti yang difahami umum hari ini sudah lama dikesan menguasai kehidupan bermasyarakat, sama ada dalam masyarakat purba atau masyarakat moden sekarang. Dalam konteks masyarakat moden, politik mempengaruhi interaksi kumpulan manusia dalam usaha mereka memperoleh kuasa.

Dalam sistem pemerintahan masa kini, tanpa mengira apa juga bentuk sistem itu, sama ada demokratik, autokratik atau sebagainya, masyarakat lazimnya mengharapkan kuasa pemerintahan yang diperoleh melalui helah atau intrique politik itu digunakan untuk kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di Malaysia, seperti juga negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi, kehidupan atau perjuangan politik rakyat dikelolakan menerusi organisasi atau parti politik.

Di bawah sistem ini, rakyat diberikan hak dan kebebasan untuk menganggotai atau menyokong mana-mana parti yang mereka anggap mampu memperjuangkan idealisme dan memenuhi aspirasi mereka.

Setiap empat atau lima tahun sekali, rakyat yang mendaftar sebagai pemilih termasuk yang tidak menganggotai parti politik, diberikan hak dan kebebasan untuk memilih parti yang mereka sukai dalam pilihan raya umum.

Parti yang menang dalam erti kata menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berhak di bawah Perlembagaan untuk menubuhkan kerajaan dan melaksanakan dasar atau program yang dijanjikan kepada rakyat untuk kesejahteraan mereka bagi tempoh sehingga pilihan raya berikutnya.

Dalam pilihan raya berikutnya, mereka diberikan hak untuk memilih semula atau menolak kerajaan sedia ada. Inilah sistem diamalkan di negara ini sejak merdeka. Sistem ini ternyata berjaya mengekalkan keamanan negara serta menambah kemakmuran rakyat dalam tempoh 52 tahun lalu kecuali untuk seketika waktu selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 apabila demokrasi digantung buat sementara.

Selepas itu, apabila demokrasi dipulihkan, rakyat kembali tenang untuk meneruskan urusan harian masing-masing. Parti politik hanya sibuk menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Malangnya, sejak akhir-akhir ini terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu, politik dan demokrasi di Malaysia kelihatan mula memasuki dimensi baru yang tidak pernah dialami sebelum ini. Politik sebagai alat untuk menempah wewenang dan kuasa seolah-olah sudah menguasai seluruh kehidupan rakyat.

Di mana-mana saja orang bercakap mengenai politik. Sama ada di warung, kedai kopi, restoran, majlis kenduri atau sebelum dan sesudah mesyuarat rasmi, isu-isu politik lazimnya mengisi sebahagian besar daripada tajuk perbualan.

Isu lain seperti ekonomi, pendidikan dan sosial sering diketepikan seolah-olah ia tidak penting. Akhbar dan media lain juga memberi tumpuan yang cukup ketara terhadap isu politik terutama politik kepartian.

Di kalangan penjawat awam dan pelajar di institusi pengajian tinggi juga, nampaknya politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sesiapa mendapati bahawa topik utama perbualan penjawat awam di kantin pejabat adalah politik.

Bukan juga satu keanehan untuk orang luar mengetahui bahawa pemilihan pemimpin pelajar di institusi pendidikan tinggi tempatan setiap tahun kebanyakannya didasari fahaman politik kepartian yang dianuti pemimpin terbabit walaupun pada zahirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang sama sekali pelajar berpolitik.

Di kalangan pemimpin politik pula, kewujudan mereka seolah-olah tidak sah kalau mereka gagal menilai sesuatu isu, perkembangan, dasar atau program kerajaan dari sudut politik kepartian yang sempit untuk kepentingan peribadi.

Inilah nampaknya budaya yang menguasai kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Secara perbandingan, budaya ini nampaknya lebih kuat mencengkam masyarakat Melayu dan Islam berbanding masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Perkara ini sebenarnya, sudah banyak dibincangkan melalui saluran rasmi dan tidak rasmi oleh cendekiawan Melayu dan golongan prihatin lain yang bimbang bahawa budaya politik melampau dan tidak berkesudahan itu berpotensi untuk menghancurkan perpaduan Melayu dan sekali gus menghakiskan kuasa politik mereka.

Jika ini berlaku, usaha untuk mencapai perpaduan nasional menjelang 2020 apabila Malaysia disasar mencapai status negara maju, tidak akan kesampaian.

Sesungguhnya, dalam konteks inilah cadangan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, agar usaha dirintis untuk menyatupadukan orang Melayu, perlu diberi perhatian.

Ketika menyampaikan titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh kelmarin, baginda menyarankan supaya usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan saliran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah agar semua pihak mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

Raja Nazrin menegaskan budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain. Sebenarnya, ini bukan kali pertama baginda menyuarakan kebimbangan demikian.

Sebelum ini, baginda dan raja lain juga pernah menyatakan kebimbangan serupa terhadap gejala dan perkembangan yang berpotensi untuk menghancurkan negara. Apakah rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, memerlukan kejutan yang lebih dahsyat untuk menyedarkan mereka daripada ilusi yang merugikan itu dan kembali menerima kenyataan bahawa politik bukan segala-galanya?

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
Cakap-cakap
Oleh Mamat

MALANG betul tak berbau. Mamat sangat bersimpati dengan keluarga Datuk Koh Hong Sun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman. Kematian anak sulungnya, Keat Lee, amat menyayat hati. Berita mengenai kematian itu terpapar di semua akhbar. Mamat boleh bayangkan betapa hancurnya hati keluarga ini. Dalam hal yang sebegini, Mamat terus ingatkan saudara mara dan sahabat dan rakan supaya sentiasa berwaspada kemungkinan berlakunya kemalangan di rumah mahupun di pejabat. Sama-samalah kita menjaga kepentingan diri dan keluarga.

Mamat - Ucapan takziah kepada Datuk Koh sekeluarga