Inovasi kerepek buah-buahan

Potensi Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara pengeksport makanan dan minuman ringan di peringkat antarabangsa semakin cerah.




PERUBAHAN iklim dan bencana alam seperti kemarau berpanjangan di beberapa buah negara pengeluar makanan utama. Pertumbuhan penduduk global sebanyak 1.5 peratus berbanding pengeluaran padi dunia iaitu satu peratus pada tahun 2007, merupakan antara faktor yang menyebabkan peningkatan harga makanan dunia.

Walaupun keadaan pasaran makanan dunia sejak awal tahun telah mencetuskan krisis di beberapa buah negara, ia tetap menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian.

Malaysia bagaimanapun masih belum menghadapi masalah serius berkaitan kekurangan bahan makanan.

Ironinya bekalan makanan sedia ada dalam negara adalah mencukupi. Malah, kerajaan juga telah memperuntukkan badget yang besar untuk menangani isu bekalan dan harga makanan dalam negara.

Potensi Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara pengeksport makanan dan minuman terkemuka di peringkat antarabangsa semakin cerah.

Menyedari hakikat itu, kerajaan menggiatkan usaha memajukan industri makanan dan minuman. Tindakan ini wajar, supaya lebih banyak produk makanan keluaran negara dapat dipasarkan ke peringkat global, demi memenuhi kehendak pasaran.

Inisiatif kerajaan itu terbukti menerusi penganjuran Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa 2009 (MIFB 2009), yang diadakan pada 9 hingga 11 Julai lalu.

Pameran bertaraf antarabangsa kali ke-10 itu, mencatatkan penyertaan dari 28 buah negara. Antaranya, Arab Saudi, China, Thailand, Belgium, Korea Selatan, Armenia, Turki dan Vietnam.

Ternyata pameran selama tiga hari itu menjadi platform terbaik untuk pengusaha tempatan meneroka peluang pasaran dunia. Sekali gus mempromosi produk dan barangan tempatan.

Pameran anjuran Kumpulan Utusan dan Expomal International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu berusaha mengidentifikasi barisan usahawan tempatan yang menghasilkan produk unik berbanding produk makanan luar negara.

"Sebelum ini, penggemar kerepek berpeluang menikmati pelbagai jenis kerepek seperti kentang, pisang dan ubi. Kini mereka boleh merasai keenakan kerepek buah-buahan yang dihasilkan daripada rambutan, nangka dan nanas.

"Produk kerepek buah-buahan tempatan mungkin tidak pernah difikirkan oleh orang ramai sebelum ini. Sehinggalah sekumpulan usahawan tempatan muncul menghasilkan inovasi ini," kata Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Sik, Kedah, Mazlan Ahmad. Beliau ditemui Kosmo! pada pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.


MAZLAN AHMAD menunjukkan kerepek buah-buahan yang dikeluarkan oleh syarikatnya.


Pengurus berusia 45 tahun itu mengelola projek mega berasaskan buah-buahan tempatan yang digoreng secara vakum. Beliau memberitahu, daerah Sik yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Gurun, Kedah sememangnya terkenal dengan penghasilan buah-buahan tempatan.

"Lokasi yang terpencil, kemiskinan penduduk kampung dan kekurangan pendedahan terhadap dunia luar menyebabkan hasil buah-buahan terbiar begitu sahaja, serta tidak dapat dikomersialkan.

"Bagi membantu melahirkan usahawan tempatan dan mengkomersialkan hasil-hasil tempatan, Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Sik telah berkolaborasi dengan kerajaan negeri. Kerjasama itu bertujuan memperkenalkan projek mega yang mendapat sokongan padu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak tahun lalu," katanya.

Menurut Mazlan yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini, sebuah kilang pemprosesan telah dibangunkan yang dilengkapi dengan mesin vakum goreng berteknologi tinggi yang berkos RM500,000 bagi memudahkan proses vakum dan menggoreng dilakukan.

"Mesin berteknologi vakum dari China itu menjalankan proses penyerapan air daripada buah-buahan tanpa menghilangkan kandungan nutrisi aslinya.

"Pada peringkat awalnya, kami memperkenalkan kerepek nangka dan nanas untuk pasaran tempatan. Kemudian, kami mengetengahkan pula kerepek rambutan yang mungkin kedengaran pelik buat orang tempatan," ujarnya. Mazlan memberitahu, produk terbaru itu dihasilkan setelah melakukan percubaan sebanyak 70 kali dan mengambil sehingga enam bulan.

Bercerita tentang produk terbaru itu, buah rambutan yang memiliki indeks kematangan separuh masak daripada jenis Deli dan Anak Sekolah dijadikan bahan mentah untuk menyediakan kerepek rambutan berkenaan.

"Rasa kerepek rambutan rangup, manis dan lazat. Penggemar makanan ringan nyata tertarik dengan ciptaan terbaru kami ini.

"Pada masa akan datang, kami ingin memperkenalkan kerepek cempedak, kacang panjang, lobak merah dan timun. Produk-produk ini boleh menggalakkan kanak-kanak yang biasanya tidak gemar makan sayur-sayuran dan buah-buahan mengubah tabiat makanan mereka," jelasnya.


RUMPAI LAUT, antara produk yang dipamerkan di Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa 2009 di PWTC.



SALLEHUDDIN KADIR menunjukkan demontrasi menggoreng sate di PWTC.



DAGING ayam salai halal keluaran DDQ Food.


Jelas Mazlan, kilang pemprosesan dengan tenaga kerja seramai 12 orang pekerja itu mampu menghasilkan 70kg kerepek sehari.

Sudah melibatkan diri dalam operasi syarikat itu selama lima tahun, beliau mengakui penyertaannya dalam pameran antarabangsa itu akan membuka ruang untuk produk-produk keluaran syarikatnya menembusi pasaran antarabangsa.

Seorang lagi pengusaha makanan, Jumahat Yaakub, 40, pula memperkenalkan produk makanan sate goreng. Sate sejak sekian lama diketahui hanya dibakar menggunakan arang.

Selaku Pengurus Besar, Poultry & Meat Sdn. Bhd., Jumahat memberitahu syarikat itu adalah milik penuh Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ). Ia terlibat dalam industri ayam komersial, menggunakan teknologi pengeluaran moden dan dikendalikan oleh 100 peratus bumiputera.

Menurut Jumahat, produk sate goreng yang dipasarkan di bawah label Southern Fresh tersebut cepat dan mudah dihidangkan. Tidak perlu melalui kaedah-kaedah konvensional seperti dahulu.

"Produk makanan keluaran syarikat ini sudah berada di pasaran tempatan sejak lima tahun lalu. Ia semakin mendapat perhatian khususnya penggemar dan penjual sate di seluruh negara.

"Orang ramai juga tidak perlu lagi menunggu lama untuk menikmati hidangan tersebut. Sebaliknya, mereka boleh membeli produk terbaru yang bukan sahaja boleh dibakar, tetapi boleh digoreng mahupun menggunakan alat ketuhar gelombang mikro. Hanya dua hingga tiga minit untuk sedia dimakan," katanya.

Sate goreng yang dipasarkan dalam paket yang menarik itu dijual pada harga RM9 sebungkus. Produk itu dijamin boleh tahan selama enam bulan, jika disimpan secara rapi dalam peti dingin beku.

Selain produk sate goreng, pihaknya turut menyediakan produk makanan segera seperti ayam goreng, popcorn ayam dan ayam mentah.

Pengusaha makanan berasaskan manisan coklat, Chin Siew Hua, 54, telah mengusahakan perniagaannya sejak tahun 2005. Atas sokongan kaum keluarga dan sahabat handai, syarikat Chocolate Graphics (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan.

Lebih menarik lagi, ketulan manisan berwarna coklat itu mempunyai reka bentuk unik. Lengkap dengan cetakan rekaan grafik yang menarik.

Produk yang dikenali sebagai coklat grafik itu diperbuat sepenuhnya daripada variasi coklat Belgium (Barry Callebaut). Ia tidak melibatkan campuran pewarna dan gula ising. Proses pembikinannya telah dipatenkan bagi memelihara kelainan dan keunikan produk tersebut.

"Selain dimakan, ia juga boleh ditulis dengan ucapan peribadi untuk dihadiahkan pada hari istimewa.

"Misalnya, sebagai tanda penghargaan pada majlis perkahwinan, majlis pelancaran korporat, hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya," ujarnya. Kilang pemprosesan produknya terletak di Subang Jaya, manakala kedai jualan pula beroperasi di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Inspirasi atlet Habsyah




Hidup di sebuah negara yang purata pendapatan tahunan rakyatnya cuma RM714, menyebabkan ramai atlet muda Habsyah mahu bergelar jagoan dunia kerana ganjaran kemewahan apabila memenangi pertandingan.

DI atas tingkat konkrit Meskel, satu kawasan lapang di Addis Abba, Habsyah, barisan atlet berwawasan sibuk menjalani latihan sendiri walaupun dalam kesejukan sambil menunggu ketibaan jurulatih mereka.

Di seberang plaza itu pula, rutin latihan ketat giat dijalankan di bawah skrin gergasi di mana atlet olahraga jarak jauh handalan, Kenenisa Bekele dan Tirunesh Dibaba yang memenangi pingat sewaktu Sukan Olimpik Beijing akan bergandingan di hadapan ribuan peminat fanatiknya.

"Lebih awal anda bangun, lebih baik," kata seorang atlet muda berusia 17 tahun, Tirusew Wolde.

Bagi Tirusew, imej Dibaba yang tersenyum lebar dalam balutan bendera Habsyah selepas mencatat kemenangan pada tahun lalu memberi semangat kepadanya untuk bangun pada awal pagi.

Namun, dia mengakui bahawa insentif utama bagi kebanyakan pelari muda adalah keinginan untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih baik seperti yang dicapai oleh bintang olahraga Habsyah hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Sudah tentu saya juga mahukannya," ujar Dissasa Jifar apabila ditanya sama ada dia didorong oleh kemungkinan peningkatan wang dalam akaun banknya.

"Lihat mereka, bukan sahaja berjaya di gelanggang tetapi juga mampu hidup selesa berbanding orang lain," tambahnya.

Di bandar lama itu, sejak 10 tahun lalu pembangunan telah mula kelihatan dengan kewujudan kompleks pejabat dan hotel sekali gus membuktikan kebangkitan ekonomi negara tersebut yang muncul selepas beberapa dekad di bawah pemerintahan diktator.

Atlet terkenal seperti Bekele, Dibaba dan Haile Gebrselassie, yang kesemuanya membesar dalam kawasan penduduk miskin yang terpencil, telah menggunakan kejayaan mereka untuk membina 'sangkar kehidupan' yang lebih baik.

Mereka juga tidak perlu bersusah payah untuk bekerja setelah bersara kelak, kerana mempunyai tempat tinggal dan sumber kewangan yang banyak.


KEJAYAAN Kenenisa Bekele di persada olahraga antarabangsa menjadi idola atlet muda Habsyah.


Hanya beberapa blok dari tempat Dissassa berlatih, sebuah kompleks pejabat dibina baru-baru ini yang dimiliki oleh atlet legenda, Gebrselassie. Kompleks itu telah mengubah pemandangan daerah tersebut.

Gebrselassie yang kini berusia 36 tahun adalah contoh terbaik untuk atlet Habsyah yang mencapai kejayaan di peringkat dunia. Beliau telah berusaha gigih untuk menempatkan namanya di persada sukan antarabangsa walaupun membesar di sebuah kawasan subur iaitu Arsi.

Selepas mencatat kejayaan membanggakan, Gebrselassie yang dikenali sebagai 'putera kecil' di sini tidak pernah lagi menoleh ke belakang.

Daripada pemasaran sukan, panggung wayang hinggalah ke industri perhotelan (sebuah hotel lima bintang miliknya akan dibina tahun depan), empayar perniagaan atlet veteran tersebut dikatakan bernilai lebih 500 juta birr (RM178 juta).

Sementara itu, Bekele pula yang memegang kedua-dua rekod dunia dalam acara 5,000 dan 10,000 meter telah mengikuti jejak langkah Gebrselassie.

Selain hotel empat bintang di Addis Ababa menunggu untuk disiapkan sepenuhnya pada tahun ini dan beberapa lagi bangunan pejabat di bandar lain, Bekele juga mengumumkan dia akan membina kompleks sukan bernilai AS$10 juta (RM35.6 juta) dengan matlamat untuk menjadi penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa dan menaikkan imej negara.

"Mereka semua adalah contoh terbaik untuk diikuti. Atlet-atlet tersebut tidak melupakan negara mereka selepas mengecapi kejayaan yang diidamkan," kata Setiausaha Agung Persekutuan Olahraga Habsyah, Adam Tadesse.


INDUSTRI perhotelan mula berkembang di Habsyah melalui pelaburan yang dibuat para atletnya yang kaya.


Berdasarkan anggaran, para atlet menghasilkan pelaburan bernilai lebih daripada AS$15 juta (RM53.4 juta) setahun, di negara yang rakyatnya berpendapatan kurang AS$200 (RM714) setahun.

Pihak kerajaan yang mahukan lebih banyak pelaburan, telah memberi potongan cukai kepada atlet yang berjaya sejak 15 tahun lalu.

"Ia bukan hanya untuk memastikan kewangan mereka selamat, tetapi juga baik untuk negara dalam aspek ekonomi," jelas Elshadai Negash dari Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF).

Habsyah bersungguh-sungguh memujuk para atletnya untuk membelanjakan lebih banyak wang dalam bidang sukan dan menjadikan modal untuk mencipta kejayaan seperti penganjuran Kejohanan Olahraga Negara-Negara Afrika tahun lalu.

Ia merupakan penghormatan pertama kepada Habsyah dan apa yang lebih penting, ia menerima pujian daripada pelbagai pihak. - AFP

Minda Pengarang: Kenaikan tambang tuntut pengangkutan awam lebih selesa

SEBARANG kenaikan harga barang atau perkhidmatan adalah tindakan yang tidak popular dan tidak disukai orang ramai kerana ia memberi kesan kepada masyarakat. Jika sebelum ini ia menyusahkan, kenaikan harga akan membebankan mereka. Ada ketikanya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan berasaskan kepada alasan tertentu, terutama peningkatan kos operasi, peningkatan atau persaingan harga di pasaran antarabangsa, permintaan dan penawaran serta faktor luar jangka yang lain. Kenaikan kos memerlukan pertimbangan rasional semua pihak kerana ia membabitkan dua pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan. Jika harga tidak dinaikkan, ia akan menyulitkan sebelah pihak yang mungkin menanggung kerugian, manakala jika dinaikkan pula ia menimbulkan masalah kepada pihak lain. Keadaan ini jelas dalam perkhidmatan teksi, bas, kereta sewa dan bas sekolah. Untuk bersikap adil, sesuatu keputusan terpaksa juga dilakukan. Berikutan kenaikan harga tambang pengangkutan awam, kerajaan terpaksa mengambil keputusan meluluskan permintaan pengusaha terbabit selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi mengimbangi antara keperluan orang ramai dan kepentingan syarikat pengendali pengangkutan. Keputusan ini dibuat, walaupun menyedari kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat pengguna. Keputusan kerajaan menaikkan kadar tambang pengangkutan awam sehingga 30 peratus semalam, boleh memberi kesan negatif sekiranya ia memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian. Ini termasuk kenaikan tambang bas sekolah, khasnya bagi mereka mempunyai ramai anak yang bersekolah. Bagi mereka yang mempunyai pilihan, kesannya tidak begitu ketara. Walaupun kenaikan itu tidak terlalu tinggi, ia tetap memberi kesan langsung kepada ramai pengguna. Jika tidak dinaikkan, kemungkinan ramai pengusaha bas sekolah terpaksa memberhentikan operasi masing-masing. Pengusaha teksi pula mendesak kerajaan menaikkan kadar tambang sejak 2005. Kabinet semalam bersetuju menaikkan kadarnya daripada RM2 kepada RM3 bagi satu kilometer pertama dan naik 20 sen bagi setiap kilometer (km). Ura-ura kenaikan tambang teksi heboh diperkatakan sejak lebih dua bulan lalu. Selain teksi, tujuh lagi pengangkutan awam atas jalan raya turut dinaikkan tambang antara 2 sen hingga RM6.33 di Semenanjung, 2 sen hingga RM31.70 (Sabah) dan 1.2 sen hingga minimum RM2 (Sarawak), berkuat kuasa 1 Ogos depan. Kenaikan ini melegakan 16,343 pengusaha bas sekolah, teksi (32,921), kereta sewa (19,128), bas berhenti-henti (9,061), bas ekspres (4,998), bas mini (3,168), teksi lapangan terbang (2,814) dan bas pengantara (195). Berdasarkan maklumat, kos operasi yang ditanggung sesetengah syarikat pengendali pengangkutan awam itu dikatakan meningkat sehingga 200 peratus. Jika desakan mereka untuk menaikkan tambang ini tidak diteliti, ia boleh menyebabkan syarikat berkenaan rugi dan akhirnya 'gulung tikar.' Jika ini yang berlaku, pengguna juga menanggung kesusahannya. Apa yang diharapkan mereka pengusaha berkenaan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Sepatutnya kenaikan harga selaras dengan peningkatan mutu perkhidmatan dan keselamatan pengguna. Isu pemandu cuai dan tidak mementingkan keselamatan pengguna sepatutnya tidak wujud lagi, apatah lagi menipu pelanggan.
Manek Urai petanda awal rakyat kembali sokong BN

Oleh Zulkofli Jamaludin
rencanabh@bharian.com.my

SUASANA tenang berhampiran tempat mengundi di DUN Manek Urai tercemar apabila penyokong parti mula bertindak agresif.

Tewas hanya 65 undi gambaran pengundi semakin terpikat corak pentadbiran Najib

MANEK Urai Lama dan Manek Urai Baru adalah dua kubu kuat Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang berjaya dikuasai Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil, Selasa lalu. Namun, kemenangan di dua peti undi berkenaan gagal membantu BN yang memperoleh 5,283 undi, menawan semula Manek Urai apabila kekurangan 65 undi untuk mencipta kemenangan kali ketiga di kawasan itu daripada 13 pilihan raya sejak 1959.

Perubahan yang menyaksikan 908 pengundi memilih BN berbanding 719 Pas di Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru (490, 459), adalah berdasarkan keyakinan pengundi terhadap BN, termasuk janji membina jambatan baru menggantikan jambatan berusia lebih 40 tahun menghubungkan kedua-dua kawasan penempatan penduduk berkenaan.

Angin perubahan pengundi di dua peti undi berkenaan adalah sebahagian daripada tambahan besar 889 undi yang diperoleh BN, berbanding sebanyak 4,392 undi pada pilihan raya umum, Mac tahun lalu.

BN yang mempertaruhkan bekas Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, juga menang di peti undi Temalir, Manjor, Laloh serta undi pos, tetapi tewas di Sungai Perial, Sungai Sok, Chuchok Puteri dan Lata Rek.

Kejayaan BN menguasai hampir semua undi daripada saluran tiga dan empat menggambarkan pemilih berusia 40 tahun ke bawah, mula memberi kepercayaan kepada Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan ke Manek Urai, yang sebahagian besar penduduk bekerja sebagai penoreh getah, pekebun kecil kelapa sawit dan buah-buahan serta bekerja sendiri.

Pengarah Pilihan Raya Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan pencapaian mengurangkan jumlah majoriti pembangkang kepada 65 undi itu adalah sesuatu yang membanggakan, namun di hati kecilnya mungkin agak kecewa apabila rakyat menolak kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan, bukan saja fizikal tetapi minda bagi membawa penduduk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa yang kelihatan tenang menerima keputusan malam kelmarin, melihat perubahan pengundi di Manek Urai boleh menjadi pemangkin kepada BN untuk menarik lebih banyak sokongan daripada pengundi muda dalam usaha menawan semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Matlamat besar itu bukan mustahil, kerana Pas sendiri dilihat seolah-olah turut menerima kejutan ketika pengumuman rasmi kelmarin, apabila melihat jumlah majoritinya dikurangkan daripada 1,352 kepada 65 undi. Tiada laungan takbir yang menjadi amalan biasa daripada penyokong Pas di Dewan Petra Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra I, sebaik nama Abe Uji (Mohd Fauzi Abdullah) diumumkan sebagai pemenang.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa, menyifatkan kemenangan dengan majoriti tipis 65 undi itu sesuatu yang luar biasa, sedangkan Pengarah Pilihan Raya Pas, Abdul Fatah Haron selepas tamat masa mengundi dengan penuh keyakinan memaklumkan kepada media parti berkenaan mampu memperoleh 1,800 majoriti.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata kemenangan tipis Pas sebanyak 65 undi adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana ketika beliau membuat tinjauan awal sebelum tarikh penamaan calon, parti itu mendahului dengan majoriti lima peratus atau 615 undi.

Antara faktor kejayaan BN mengurangkan majoriti ialah kemampuan Umno menyusun strategi yang baik untuk menawan hati pengundi, khususnya pemilih muda dan mereka berusia 40 tahun ke bawah, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menunjukkan komitmen tinggi menyelesaikan setiap isu rakyat yang berbangkit sebelum ini.

Katanya, sejak sebulan lalu pakatan pembangkang pula dilihat pincang apabila berlaku tindakan parti keluar daripada pakatan pada peringkat negeri, manakala dalam Pas sendiri wujud 'perselisihan' pandangan serta pendekatan berpolitik antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa.

"Berbanding enam pilihan raya kecil lain, di Manek Urai jentera BN menunjukkan komitmen tinggi apabila semua strategi disusun daripada Bilik Gerakan Pusat, yang berjaya memusatkan kegiatan menawan hati pengundi dan mengelak berlaku 'pembunuhan' karakter dalam parti.

"Pemilihan Tuan Aziz pula disambut baik oleh kepemimpinan bahagian serta bekas calon dan ini memudahkan jentera parti menumpukan usaha mendekati pengundi," katanya sambil menambah jika semangat itu diteruskan BN mampu menawan semula hati rakyat Malaysia.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohamad Mustafa Ishak, pula berkata kemenangan BN menambah undi di peti undi Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru menuntut Umno melaksanakan sebahagian janji untuk membawa pembangunan ke kawasan pedalaman itu.

Katanya, undi yang diberikan sangat penting dan menunjukkan secara keseluruhan sokongan rakyat terhadap BN semakin pulih, tetapi ia menuntut jentera parti pada peringkat Parlimen dan DUN bekerja secara berterusan mendampingi rakyat, khususnya untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

BN perlu membalas sokongan pengundi di lima daripada sembilan peti undi yang dimenangi dengan memberi bantuan kebajikan serta projek pembangunan dan paling berharga kepada jambatan baru di Manek Urai, yang dilihat boleh mendekatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Pusat.

Pilihan raya Selasa lalu, juga menyaksikan kempen yang bersih tanpa sebarang laporan polis selama lapan hari dicemari oleh tindakan provokasi sehingga tercetus kejadian membaling objek dan serangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Peria, menyebabkan tiga petugas BN dan seorang petugas Pas cedera.

Lebih mengecewakan gelagat petugas parti yang sanggup melemparkan kata-kata kesat serta nista sesama umat Islam sepanjang pengundian yang boleh menjatuhkan maruah agama Islam.

Justeru, proses kempen yang berjalan tenang di Manek Urai kerana hubungan baik yang terjalin antara penyokong Umno dan Pas setempat, termasuk mempunyai hubungan persaudaraan, dicemari oleh tingkah laku keterlaluan penyokong Pas dari luar yang datang menjelang hari pengundian.

Sepanjang membuat liputan bermula 5 Julai lalu, penulis mendapati penduduk Manek Urai mudah mesra dan bersikap terbuka apabila menerima petugas BN mahupun Pas yang berkempen di rumah mereka. Apa yang menjadi masalah, apabila orang luar datang, tidak mengetahui budaya, malah amat memalukan, apabila mereka berkata menyokong parti yang berjuang untuk Islam, tetapi perbuatan mereka tidak Islam, malah perbuatan itu mencemar nama baik agama Islam sendiri.

Dalam pada mereka berselawat dan berdoa, mereka mencerca, mencaci dan mengata pemimpin lawan. Gelagat itu tidak menggambarkan imej Islam yang diperjuangkan.

Apa yang berlaku di Manek Urai juga menuntut tindakan segera Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula keberkesanan larangan semua parti politik bertanding mendirikan pondok panas pada hari mengundi bermula pilihan raya kecil ini. Walaupun tanpa pondok panas, petugas pembangkang dilihat berhimpun dalam jumlah yang ramai di hadapan pintu masuk ke pusat mengundi dan terus merayu undi. Tindakan itu bukan saja bertentangan dengan peraturan SPR yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 tengah malam, tetapi menyebabkan kesesakan teruk di hadapan tempat mengundi.

SPR perlu lebih tegas menguatkuasakan peraturan dan mengambil tindakan dalam mengendali perjalanan pilihan raya supaya menghalang penyokong parti bertanding menimbulkan provokasi hingga menjejas ketenteraman awam. Selain berkempen menarik sokongan, parti bertanding perlu mengingatkan pemilih mengenai cara mengundi yang betul bagi mengelak kertas undi rosak melebihi majoriti.
Kesedaran pelestarian jana minda, gaya hidup

Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang

SABAN hari kita mendengar dan menonton pelbagai laporan media mengenai isu berkaitan pelestarian seperti jerebu, pencemaran alam sekitar, peningkatan suhu bumi atau pelancaran produk mesra alam. Secara keseluruhannya, pada hemat saya, kesedaran mengenai pelestarian semakin meluas, termasuk di Malaysia, khususnya aspek berkaitan kepentingan dan kesihatan awam.

Sebagai contoh, sudah semakin ramai warga prihatin terhadap kesan penggunaan racun serangga dalam pertanian dan kesannya kepada pencemaran sumber air dan kesihatan awam. Sehubungan itu, kesedaran untuk menggunakan hasil pertanian organik semakin meningkat daripada daging organik, ayam organik, sayur organik sehingga burger organik.

Kesedaran itu dapat dinilai menerusi peningkatan pasaran barang dan perkhidmatan mesra alam. Pada 1992, saya mengetuai satu kajian pendapat umum mengenai barang dan perkhidmatan mesra alam. Dapatan ketika itu menunjukkan hanya 20 peratus faham konsep produk mesra alam.

Kurang 10 peratus saja sanggup membeli hasil pertanian organik. Dapatan ini pasti jauh berbeza jika kajian sama dilakukan sekarang. Selain itu, rating liputan media mengenai alam sekitar, khusus jika dikendalikan ikon media, juga semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Namun, banyak lagi inisiatif diperlukan. Pada hemat saya, inisiatif paling kritikal perlu diberi keutamaan segera ialah anjakan paradigma kepada minda lestari kepada seluruh lapisan masyarakat.

Secara ringkas, minda lestari bermaksud pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah yang menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar yang bersih dan selamat, sistem dan pengurusan cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari dengan fitrah insaniah.

Dalam konteks pembangunan fizikal misalnya, minda lestari memberi penekanan kepada keseimbangan ekosistem dalam seluruh aspek seperti perancangan, utiliti mesra alam, kaedah pembinaan dan teknologi mesra alam.

Jika anjakan minda lestari itu berjaya, maka barulah pelbagai dasar, inisiatif, tindakan, amalan, gaya hidup lestari dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, murah dan berkesan. Pada asasnya, gaya hidup lestari mempunyai tiga tindakan utama, iaitu amalan bersederhana dalam kehidupan harian, kepenggunaan lestari dan pelestarian alam sekitar.

Amalan hidup sederhana bermakna tidak keterlaluan dan berlebihan daripada segala segi, khususnya membabitkan perbelanjaan dan gaya hidup. Sederhana juga bererti mengkaji buruk baik sebelum melakukan setiap tindakan agar mencapai matlamat dengan efisien dan efektif dengan biaya optimum.

Sebagai contoh, sederhana dari segi pemakanan. Matlamat asas pemakanan ialah untuk kesejahteraan tubuh badan supaya proses metabolisme menghasilkan tenaga diperlukan untuk melakukan pelbagai kerja dan amalan selari dengan tuntutan hidup. Bersederhana bermakna tidak makan secara berlebihan, tidak mengambil makanan tidak baik untuk kesihatan seperti yang memabukkan, tidak halal, lebihan kolestrol atau tidak bersih.

Bersederhana dalam pemakanan bermakna tidak membazir dengan hidangan yang tidak dimakan khususnya ketika keraian acara rasmi. Hal ini selari dengan tuntutan agama. Selain bersederhana, kepenggunaan lestari juga penting sebagai pemangkin pelestarian alam sekitar.

Ketika ini banyak barang dan perkhidmatan mesra alam selari piawaian alam sekitar yang memudahkan pengguna memilih supaya dapat membantu melestarikan alam sekitar. Dari segi kuantum, pengguna barang dan perkhidmatan mesra alam di Amerika Syarikat dan United Kingdom saja membelanjakan AS$500 bilion setahun.

Trend ini dijangka akan terus meningkat dan melangkaui sempadan negara maju. Paling ketara ialah kereta hibrid dengan pertumbuhan 2,296 peratus sejak mula diperkenalkan pada 2000.

Dengan kata lain, pengguna lestari perlu memastikan setiap barang dan perkhidmatan yang dibeli mematuhi konsep mesra alam dari pelbagai sudut, khususnya dari segi pelepasan karbon.

Minda lestari menyediakan prinsip asas kepada gaya hidup, kepenggunaan dan pengurusan lestari alam sekitar selari dengan keperluan dan tidak berlebihan atau membazir. Ini penting kerana penghasilan semua barang atau perkhidmatan memerlukan sumber asli yang semakin sedikit iaitu bahan mentah, galian, air, bahan api fosil, pokok dan sebagainya.

Selain itu, semua proses kitar hayat sesuatu barang menghasilkan karbon yang tidak sedikit daripada penjanaan sumber asli, pemprosesan, pengangkutan, penggunaan dan pelupusan. Minda lestari juga mengajar kita untuk lebih prihatin, saintifik dan cuba memahami falsafah dan menghayati cara hidup hakiki.

Kita juga perlu lebih banyak berfikir dan tidak terikut-ikut trend semasa apatah lagi digambarkan menerusi fatamorgana iklan yang hanya berasaskan trend dan gaya hidup mewah. Pengamal minda dan gaya hidup lestari arif dan bestari. Bagi mereka matlamat mengatasi bentuk dan perupaan. Sebagai contoh, makanan bernilai bukan kerana jenama restoran, keenakan dan penyedia resepinya, tetapi khasiatnya kepada kesihatan.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia
Adat perkahwinan Orang Asli

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

ANTARA upacara unik dalam perkahwinan Orang Asli Suku Mahmeri.

Suku Mahmeri turut amal upacara merisik, meminang dan persandingan seperti masyarakat Melayu

TIADA banyak beza antara majlis perkahwinan orang Asli suku Mahmeri dengan masyarakat Melayu kerana ia bermula dengan adat merisik, menghantar tanda, meminang dan berakhir dengan persandingan.

Perbezaan adat mereka cuma mengekalkan istiadat menghalau hantu syaitan dengan cara tersendiri, selain diadakan upacara pemujaan untuk memberitahu kepada nenek moyang bahawa cucu mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan. Majlis itu dianggap penting untuk memastikan upacara perkahwinan itu selamat, diberkati dan aman bahagia sehingga ke anak cucu.

Bermula dari awal adat merisik hingga persandingan, banyak proses perlu dilalui iaitu menghantar rombongan merisik dengan bercerita mengenai latar belakang kedua-dua anak mereka.

Mengikut kepercayaan suku Mahmeri ini, sekiranya proses meminang dilakukan tanpa merisik, ia bererti kedua-dua mempelai sudah ditangkap basah.

Pada majlis peminangan, tok batin akan melihat persediaan pengantin lelaki untuk di bawa ke majlis peminangan seperti cincin emas (tok batin akan pastikan cincin emas itu tulen), alat solek, pinggang mangkuk dan keperluan seperti batu lesung dan lain-lain.
PASANGAN pengantin menjalani istiadat mengasah gigi.

Penetapan tarikh bagi majlis peminangan dan persandingan perlu dirujuk kepada tok batin untuk melihat persediaan pihak lelaki sebelum memasuki alam rumah tangga.

Tok batin menjadi insan paling penting kerana beliau akan mengambil kuasa daripada wali yang dilantik untuk memantau majlis peminangan sehingga berakhirnya majlis persandingan.

Antara keunikan majlis perkahwinan orang Asli ini, sebaik saja persetujuan dan kata sepakat dalam majlis peminangan dicapai, upacara makan sirih dan pinang oleh tok batin dan wakil kedua-dua belah pihak dilakukan sebagai tanda mengakhiri majlis itu.

Hantaran dikenakan ialah RM44.40 bagi bakal pengantin yang masih gadis, manakala RM25.20 mereka yang bergelar janda.
SUKU Mahmeri memainkan alat muzik tradisional Orang Asli untuk meraikan mempelai pada majlis perkahwinan.

Namun, hasrat pihak lelaki ingin memiliki gadis pilihannya akan terbatal walaupun majlis peminangan dan hari persandingan sudah ditetapkan, sekiranya perbelanjaan bagi tujuan majlis itu tidak mencukupi.

Sekiranya dalam tempoh tiga bulan, pihak lelaki gagal sediakan perbelanjaan, dengan sendiri perjanjian itu terbatal dan pengantin lelaki dianggap sudah melakukan penipuan terhadap tok batin selaku pemantau.

Bagaimanapun, selepas semua persiapan berjalan lancar, banyak lagi proses yang perlu dilakukan oleh bakal mempelai sebelum mereka bergelar suami isteri.

Lazimnya, sehari sebelum hari perkahwinan beberapa istiadat akan diadakan seperti istiadat menepung tawar untuk menghalau hantu syaitan; istiadat mengasah gigi atau mengandam; membuang sial; menggantung kelambu dan berinai.

Mengasah gigi dianggap adat yang penting dilakukan. Penggunaan kain hitam diletakkan pada gigi sebagai penanda jarak gigi yang perlu diasah. Cincin akan digunakan untuk mengasah gigi yang tidak rata dan kemudian diasapkan. Ini bertujuan menjadikan bakal mempelai sentiasa berseri dan mengelak kancing gigi ketika majlis persandingan.

Seperti juga apa juga jenis persandingan kaum lain, Orang Asli itu juga membuat persediaan menyediakan pelamin. Mereka akan bergotong-royong menghiasi pelamin dengan meletakkan anyaman daun nipah pelbagai corak serta bunga-bungaan berwarna cerah di semua sudut pentas. Sentuhan penggunaan daun nipah yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku Mahmeri adalah antara keunikan dan kelainan dipaparkan dengan suku kaum Orang Asli lain di negara ini.

Ketika majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat istiadat diadakan sempena majlis itu iaitu menjulang pengantin; pertarungan pencak silat; mengelilingi busut; membasuh kaki; nasi dalam atau sirih perancang dan mandi bunga gomba.

Pada majlis itu, upacara perkahwinan dimulakan dengan tok dukun membawa pengantin lelaki berpusing mengeliling sekumpulan gadis bersama pengantin perempuan yang dilitupi kelambu dan diasap dengan kemenyan. Upacara itu bertujuan menghalau syaitan dan mengelak perkara buruk.

Pusingan sebanyak tujuh kali dan pada pusingan terakhir, pengantin lelaki perlu mendapatkan pengantin perempuan dan bertukar bunga. Pemilihan itu berdasarkan gerak hati tanpa sebarang tekanan kerana suku Mahmeri percaya tiada paksaan dalam perkahwinan.

Ketika majlis persandingan upacara melambung duit dilakukan sebagai simbolik kepada kebebasan mempelai menentukan arah tuju hidup di alam rumah tangga.

Makan beradab, pemantau akan memastikan mempelai makan dan berakhir dengan serentak supaya hidup mereka berkekalan bahagia dan dapat mengharungi rumah tangga. Jika seorang daripada mempelai makan lebih awal antara mereka, dipercayai perlakuan itu akan mengundang kecelakaan dalam rumah tangga pada masa depan.

Selepas selesai majlis perkahwinan, pasangan pengantin dilarang keluar rumah untuk tempoh tiga hari untuk mengelak daripada diganggu hantu atau syaitan.

Istiadat nenek moyang dipertahan

KEUNIKAN, keistimewaan dan kemeriahan perkahwinan orang Asli suku Mahmeri yang diamalkan sejak zaman- berzaman daripada nenek moyang mereka masih kekal menjadi warisan budaya dan tradisi.

Peralihan zaman moden ini tidak menggugat suku berkenaan untuk mempertahankan dan menjadi kebanggaan mereka untuk ditatapi dan dikaji oleh masyarakat lain.

Tok Batin Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Tok Sidin Anak Bujang, ketika ditemui pada majlis promosi Kerja Kahwin 09’, baru-baru ini di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur, berkata beliau sebagai ketua masyarakat suku Mahmeri mahu memastikan istiadat perkahwinan masyarakat itu sentiasa mengekalkan tradisi nenek moyang mereka.

Katanya, masyarakat orang Asli khususnya Mahmeri dianggap unik kerana mempunyai warisan budaya dan tradisi yang tersendiri dan ia menjadi lambang kebanggaan.

“Sekarang, kira-kira 500 orang Asli Mahmeri menetap di Kampung Sungai Bumbun. Setiap majlis perkahwinan yang diadakan dilakukan dengan sempurna. Kita juga mempunyai lima ahli lembaga iaitu diketuai tok batin, tok inang, penghulu, jugra dan pengawa yang melengkapkan sebarang upacara berkaitannya.

“Setakat ini, 90 peratus daripada majlis perkahwinan itu menepati tradisi nenek moyang kami manakala 10 peratus lagi sudah dicampurkan dengan unsur moden yang dibuat atas kehendak ibu bapa (wali) mempelai,” katanya.

Beliau tidak menafikan, pada era moden ini, gadis atau pemuda orang Asli suku Mahmeri akan mencari calon pasangan masing-masing sendiri di kalangan kaum berlainan termasuk orang Asli dari suku lain yang berada di Semenanjung Malaysia dan tidak terkecuali ada juga yang berkahwin dengan orang Melayu.
Cakap-cakap

BILA Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menunjukkan 379 kotak berisi permohonan kewarganegaraan, permit masuk, sijil kelahiran dan sebagainya, Mamat boleh gambarkan betapa sulitnya kerja beliau itu. Jika semua permohonan itu memerlukan kelulusan Menteri Dalam Negeri, Mamat rasa ini kerja berat. Jika dikira satu persatu, jumlahnya mungkin beribu-ribu. Ini belum lihat kes setiap permohonan itu lagi.

Mamat - pelik ada rakyat tidak menyanjungi negara ini
Perjuangan demokrasi Zelaya


MANUEL ZELAYA


RAMPASAN kuasa oleh tentera di Honduras pada 28 Jun lalu mengakibatkan polis dan tentera bertempur dengan ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar istana kebangsaan Honduras. Pertempuran berdarah atas nama demokrasi itu menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh.

Perbalahan itu menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan pemimpin dunia serta bantahan terhadap penyingkiran presiden pilihan rakyat, Manuel Zelaya dari Parti Liberal sehingga mendorong Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) memutuskan untuk menyingkirkan negara itu dari blok serantau.

Pihak tentera pula segera menamakan pengganti Zelaya iaitu rakan sekutunya yang juga dari Parti Liberal, Roberto Micheletti yang telah mengangkat sumpah sebagai presiden sementara sehingga penggal pemerintahan Zelaya tamat pada 27 Januari 2010.

Pemimpin dunia daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sehinggalah Presiden Venezuela, Hugo Chavez mendesak jawatan presiden Honduras dipulangkan kepada Zelaya yang telah digulingkan itu. Bagaimanapun, Micheletti tetap dengan pendiriannya yang mengatakan perkara itu tidak mungkin terjadi.


ROBERTO MICHELETTI


Kerajaan sementara juga memberi amaran kepada Zelaya bahawa beliau akan ditangkap sebaik sahaja menjejakkan kaki di Honduras.

Mahkamah Agung bagaimanapun menyokong pengambilalihan kuasa oleh pihak tentera dengan menyatakan ia sebagai mempertahankan demokrasi.

Rampasan kuasa oleh tentera itu buat julung kalinya berlaku melibatkan kerajaan Amerika Tengah dalam tempoh 16 tahun lalu. Ia mendapat kritikan meluas dari kerajaan-kerajaan Amerika Latin dan dunia termasuk AS.

Bagaimanapun Zelaya telah berikrar untuk kembali pulang ke negaranya demi rakyat Honduras setelah mendapat sokongan antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan OAS. Zelaya memberitahu bahawa Presiden Argentina dan Presiden Ecuador serta Setiausaha Agung PBB dan OAS akan mengiringi beliau pulang ke Honduras.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sewaktu pesawat yang dinaiki oleh bekas presiden Honduras itu mahu mendarat di lapangan terbang utama negara tersebut.

Landasan itu dipenuhi dengan kenderaan dan gerombolan tentera mengakibatkan pesawat tersebut terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum membatalkan pendaratan dan mengalihkan penerbangan ke El Salvador.

Ratusan ribu penyokong beliau berkumpul di luar lapangan terbang dan sekurang-kurangnya dua orang maut apabila tentera melepaskan tembakan ke arah perhimpunan tersebut.


PENYOKONG Zelaya menyanyikan lagu kebangsaan negara itu di jalanan.


Zelaya memberitahu, pendiriannya tetap akan cuba lagi untuk pulang ke tanah air dalam usaha untuk kembali berkuasa, sekalipun semua cabang kerajaan di negara ini sudah berpakat menentang beliau.

"Saya adalah komander angkatan bersenjata, dipilih oleh rakyat, dan saya mengarahkan angkatan bersenjata mematuhi arahan untuk membuka lapangan terbang ini supaya tidak ada masalah untuk saya mendarat dan menemui rakyat," katanya selepas kejadian tersebut.

Protes semakin meningkat sepanjang minggu lalu dan kehidupan seharian 7.5 juta penduduk negara itu terjejas disebabkan perintah berkurung pada waktu malam yang dikeluarkan oleh kerajaan pemerintah.

Micheletti menyalahkan sekutu berhaluan kiri kepada Zelaya iaitu Chavez dalam krisis politik Honduras dan menjadi punca kematian yang berlaku dalam pertempuran antara pihak polis dan tentera serta orang awam.

Beliau yakin bahawa Chavez telah mencampuri urusan negaranya dan menyalahkan Chavez bagi pertempuran dan rusuhan yang berlaku.

Jika perbalahan ini berpanjangan, keamanan negara itu mungkin akan terjejas dan memberi kesan terhadap perhubungan luar negara dan juga ekonomi negara ini.

Ini kerana seluruh Amerika Latin dengan pemimpin berhaluan kiri telah memanggil pulang duta masing-masing dari Honduras. Presiden Nicaragua, Daniel Ortega berkata, El Salvador, Nicaragua dan Guatemala akan menghentikan perdagangan dengan Honduras.

Di Washington, Obama memberitahu bahawa AS akan memihak kepada demokrasi dan bekerjasama dengan negara-negara lain untuk mencari penyelesaian secara aman di Honduras.


ATAS: Polis dan tentera mengadakan sekatan di lapangan terbang antarabangsa Toncontin untuk menghalang pesawat yang membawa Zelaya mendarat.


"Kami percaya rampasan kuasa itu tidak sah dan Presiden Zelaya kekal sebagai presiden yang dilantik secara demokrasi," kata Obama.

Pada hari yang menjadi sejarah hitam di Honduras, Zelaya dikejutkan dengan tembakan senjata api ketika beliau masih berbaju tidur, beberapa jam sebelum pungutan suara Perlembagaan yang dilihat sebagai cubaannya untuk kekal berkuasa melebihi had satu penggal.

Beliau telah dibawa oleh tentera udara untuk menyelamatkan diri ke Costa Rica ketika kereta perisai tentera melalui jalan-jalan raya di ibu negara Honduras dan pasukan askar menawan istana negara.

Kongres sepakat menerima sepucuk surat yang didakwa sebagai peletakan jawatan Zelaya, namun dia menafikan telah meletak jawatan dan menegaskan akan terus berkhidmat sehingga tamat penggal.

Mampukah Zelaya mengambil kembali tampuk kepimpinannya dengan hampir semua cabang dalam kerajaan menentangnya?

Jika dia nekad untuk mengambil kembali apa yang disifatkan hak dan tanggungjawab beliau, ini bermakna pertumpahan darah akan berlaku dan keadaan akan bertambah teruk.

Ini kerana Micheletti berkata, satu-satunya cara untuk Zelaya kembali sebagai presiden adalah dengan membawa tentera asing untuk menyerang Honduras.

Konflik isu Kampung Buah Pala perlu ditangani segera
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

PENDUDUK Kampung Buah Pala mengharapkan kerajaan negeri bertindak segera mengatasi masalah mereka.

Kerajaan Pulau Pinang wajar berbincang dengan pemaju untuk rangka formula pampasan penduduk

"KAMI berharap Ketua Menteri dan kerajaan Pakatan Rakyat membela perkampungan 'High Chaparral' yang berusia 100 tahun seperti dijanjikan." Begitulah suara hati penduduk Kampung Buah Pala yang kini berada di persimpangan, sama ada kekal di kampung yang diwarisi daripada nenek moyang sejak lebih seabad lalu, atau mencari penempatan baru.

Rayuan kira-kira 300 penduduk itu terpampang di atas satu kain pemidang yang tergantung di pintu masuk perkampungan itu, yang kini terus berjuang untuk mempertahankan penempatan berkenaan.

Walaupun undang-undang jelas menunjukkan mereka mesti mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar yang dimiliki Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum 3 Ogos ini, tetapi 23 keluarga bertekad untuk kekal di situ.

Bagi penduduk, mereka adalah pemilik tanah itu selepas Helen Margaret Brown memberikannya kepada nenek moyang mereka sebelum merdeka, tetapi tanah itu sudah dijual kepada koperasi oleh kerajaan negeri terdahulu pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran. Lantaran itu mereka tetap dengan pendirian tidak akan berpindah dari perkampungan yang dianggap sebagai satu-satunya kampung tradisi masyarakat India di negeri ini.

Kini penduduk masih menjalani kehidupan seharian seperti biasa walaupun hari-hari terakhir mendiami perkampungan yang dikenali sebagai 'High Chaparral' Pulau Pinang' semakin hampir.

Ahad lalu, mereka mengadakan upacara walakappu iaitu acara tradisi masyarakat India untuk menanti kelahiran bayi. Ia bagi meraikan S Nalani, 30, yang bakal melahirkan bayi sulungnya, yang juga generasi keenam di perkampungan itu.

Suami Nalani, S Kumar, 29, tidak menampakkan wajah risau mengenai nasib masa depan kampung mereka, sebaliknya yakin anak sulungnya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi akan dapat menyambut hari jadi pertama tahun depan di kampung itu.

Apapun, menyusuri perkampungan yang terletak di kawasan berbukit di Gelugor itu, secara kasarnya tidaklah menampakkan ia satu perkampungan yang dikatakan kampung warisan yang boleh dibanggakan.

Namun berada di kampung itu lebih tenang dengan kehijauan pokok dan suasana kampung. Apatah lagi, apabila menjelang petang kawanan lembu akan pulang selepas seharian berkeliaran di kawasan hutan berdekatan.

Dengan hampir 200 ekor ternakan khususnya lembu yang dibela oleh penternak di kampung itu, bau hancing air kencing dan tahi lembu yang menyambut 'kedatangan' tetamu ke kampung itu, mungkin sesuatu yang tidak akan ditemui di perkampungan lain di negeri ini.

Tanpa mempersoalkan hak penduduk memperjuangkan kampung yang sudah merakam ribuan kenangan manis, penduduk perlu bersikap rasional dalam menangani kemelut yang dihadapi sekarang, bukannya emosional.

Mereka bukan saja perlu melihat kepada keputusan mahkamah tetapi juga mesti memikirkan masa depan anak cucu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi 'hero' dalam isu itu.

Penduduk boleh berusaha melambatkan tindakan 'pengusiran' oleh pemaju dengan menggunakan 'talian hayat', tetapi soalnya sampai bila dan berapa banyak 'talian hayat' yang mereka ada.

Mungkin sudah sampai masanya penduduk memikirkan untuk mengikut jejak langkah 10 keluarga yang sudah menerima pampasan daripada pemaju di antara RM140,000 hingga RM260,000 sebelum ini.

Penduduk juga perlu sedar mereka selama ini diperalatkan oleh ahli politik bagi meraih sokongan pada musim pilihan raya dan dibiarkan terkapai-kapai selepas pilihan raya berlalu.

Mereka perlu bertanya selama mana lagi mahu bertahan di kampung itu yang terletak di tengah kawasan perumahan. Pernahkah penduduk memikirkan soal ternakan mereka yang tidak disenangi jiran bersebelahan.

Dengan lembu berkeliaran sehingga merosakkan harta benda, tiada padang ragut bagi ternakan itu mencari makan, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk kampung lain. Penduduk perlu faham bahawa mereka tidak lagi berada pada tahun awal kemerdekaan atau di pedalaman, tetapi alaf baru dan terletak di sebuah bandar raya.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu menunjukkan komitmen untuk membantu penduduk dengan memberi pilihan yang konkrit, bukannya bersikap mencari salah orang lain.

Sama ada kepemimpinan kerajaan negeri terdahulu bersalah atau tidak apabila menjual tanah itu kepada koperasi, ia bukan boleh diputuskan dalam masa sehari dua sedangkan penduduk semakin tersepit.

Sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi menawarkan satu alternatif terbaik kepada penduduk walaupun menyedari pilihan yang penduduk adalah keluar dari kampung itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini menyatakan penduduk wajar menerima pampasan walaupun beliau menyedari pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd tidak perlu berbuat demikian kerana tidak diarahkan oleh mahkamah. Ketua Menteri juga dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan 'memastikan' pemaju membayar pampasan kepada penduduk jika mereka berpindah.

Meskipun kerajaan negeri sering membangkitkan soal pampasan, tetapi tiada butiran lanjut diberikan. Kalau betul kerajaan negeri mempunyai perancangan, mereka perlu memperincikan soal pampasan, penempatan sementara bagi penduduk dan rumah kekal.

Pada 2007, koperasi menawarkan rumah berharga RM75,000 dengan keluasan lantai 850 kaki persegi dengan harga diturunkan kepada RM1; subsidi sewa rumah RM750 sebulan selama tiga tahun; bayaran kos perpindahan RM1,000 atau ganti rugi tunai RM90,000 jika penduduk tidak mahu terima tawaran tunai.

Jika tawaran sebelum ini ditolak oleh sebahagian besar penduduk, inikan pula tawaran kerajaan negeri sekarang yang tidak memberikan sebarang butiran. Sudah tentu penduduk tidak berani untuk memberi persetujuan kerana mereka tidak tahu apa bentuk pampasan yang akan diberikan jika setuju berpindah.

Apa salahnya kerajaan negeri berbincang dengan pemaju untuk merangka formula mengenai pampasan yang akan diberikan. Dalam keadaan sekarang, pemaju yang berkeras tidak mahu memberi pampasan kepada penduduk, juga perlu bertolak ansur dan tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kerana selagi isu itu tidak diselesaikan, selagi itulah projek yang bernilai RM200 juta di kawasan itu tidak dapat dijalankan.

Apabila sudah ada formula, kerajaan negeri perlu panggil penduduk untuk berbincang dan jelaskan keadaan sebenar mengenai kedudukan tanah berkenaan dari segi undang-undang. Jika mereka memahami keadaan sebenar dan rasional perpindahan itu, tiada sebab untuk penduduk menolak tawaran yang diberikan.
Minda Pengarang: Syarikat konsesi tol perlu secara sukarela bantu ringan beban pengguna

UNTUK jangka masa panjang, pengguna lebuh raya di Semenanjung mungkin mendapat berita lebih baik mengenai isu tol. Kerajaan, menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU), sedang membuat kajian menyeluruh mengenai isu itu. Setakat ini kaedah yang akan digunakan belum dapat dipastikan, sama ada kerajaan akan mengambil alih syarikat konsesi tol dan dijadikan syarikat persendirian atau pendekatan lain, bagi menyelesaikan isu kenaikan tol. Buat masa ini semakan kadar tol terpaksa dilakukan setiap tiga tahun seperti termaktub dalam perjanjian konsesi. Keadaan ini sering menimbulkan kemarahan rakyat. Tentunya, tidak ada rakyat yang suka terhadap kenaikan sesuatu barangan, apatah lagi jika alasan kenaikan tidak memuaskan hati rakyat. Namun, sebagai langkah sementara, kerajaan memberi rebat 20 peratus yang akan dinikmati kira-kira 85,000 pengguna lebuh raya kelas satu yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, merangkumi semua laluan lebuh raya di seluruh Semenanjung mulai Oktober depan. Pembayaran diskaun itu akan dibuat dalam bentuk nilai-tambah Touch n' Go atau Smart Tag yang dikredit ke dalam kad berkenaan. Kerajaan pula terpaksa memperuntukkan RM61 juta untuk menampung pembayaran rebat itu. Mungkin ada pihak yang bertanya mengapa kerajaan harus mengeluarkan belanja sedangkan kutipan tol dibuat oleh syarikat konsesi. Seperti diketahui, kerajaan dan syarikat konsesi ini mempunyai perjanjian yang termaktub. Jika kerajaan tidak meluluskan cadangan kenaikan tol setiap tiga tahun, ia terpaksa membayar pampasan pada kadar jumlah yang tinggi.

Memang menjadi harapan semua supaya kandungan perjanjian itu dikaji semula supaya ia tidak terlalu membebankan kerajaan dan rakyat sebagai pengguna lebuh raya, sedangkan syarikat konsesi mendapat keuntungan banyak setiap tiga tahun. Biarlah isu ini diteliti lanjut oleh EPU dengan mengambil kira pelbagai faktor dan keadaan semasa. Pemberian rebat 20 peratus itu adalah antara 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu, sempena sambutan 100 hari sebagai Perdana Menteri. Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan beban rakyat yang terpaksa membayar tol yang tinggi setiap hari. Setakat ini kita tidak mendengar lagi apakah syarikat konsesi secara sukarela sanggup menambahkan rebat, katakan lima atau 10 peratus lagi sebagai tambahan kepada 20 peratus ini. Jika syarikat konsesi berbuat demikian, maka ia akan menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya memilih laluan lebuh raya dikendalikan syarikat itu. Misalnya, pekerja pejabat menggunakan laluan tetap yang sama setiap hari dan mereka ini bekerja sekitar 20 hingga 25 hari sebulan. Ini bermakna dalam sebulan, cuma 40 hingga 50 kali mereka melalui jalan bertol dan untuk menikmati rebat memerlukan mereka lebih kerap seperti ke pusat beli-belah di laluan bertol ke pusat bandar atau balik kampung pada hujung minggu. Di sinilah syarikat konsesi boleh mengambil kesempatan untuk menarik pengguna. Malah, sudah tiba masanya juga kadar harga Smart Tag dikurangkan lagi kerana pemberian rebat itu cuma untuk laluan elektronik dan begitu juga promosi jualan Touch n' Go.
Politik kepartian melampau jejas perpaduan nasional
Oleh Rahman Sulaiman

POLITIK seperti yang difahami umum hari ini sudah lama dikesan menguasai kehidupan bermasyarakat, sama ada dalam masyarakat purba atau masyarakat moden sekarang. Dalam konteks masyarakat moden, politik mempengaruhi interaksi kumpulan manusia dalam usaha mereka memperoleh kuasa.

Dalam sistem pemerintahan masa kini, tanpa mengira apa juga bentuk sistem itu, sama ada demokratik, autokratik atau sebagainya, masyarakat lazimnya mengharapkan kuasa pemerintahan yang diperoleh melalui helah atau intrique politik itu digunakan untuk kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di Malaysia, seperti juga negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi, kehidupan atau perjuangan politik rakyat dikelolakan menerusi organisasi atau parti politik.

Di bawah sistem ini, rakyat diberikan hak dan kebebasan untuk menganggotai atau menyokong mana-mana parti yang mereka anggap mampu memperjuangkan idealisme dan memenuhi aspirasi mereka.

Setiap empat atau lima tahun sekali, rakyat yang mendaftar sebagai pemilih termasuk yang tidak menganggotai parti politik, diberikan hak dan kebebasan untuk memilih parti yang mereka sukai dalam pilihan raya umum.

Parti yang menang dalam erti kata menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berhak di bawah Perlembagaan untuk menubuhkan kerajaan dan melaksanakan dasar atau program yang dijanjikan kepada rakyat untuk kesejahteraan mereka bagi tempoh sehingga pilihan raya berikutnya.

Dalam pilihan raya berikutnya, mereka diberikan hak untuk memilih semula atau menolak kerajaan sedia ada. Inilah sistem diamalkan di negara ini sejak merdeka. Sistem ini ternyata berjaya mengekalkan keamanan negara serta menambah kemakmuran rakyat dalam tempoh 52 tahun lalu kecuali untuk seketika waktu selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 apabila demokrasi digantung buat sementara.

Selepas itu, apabila demokrasi dipulihkan, rakyat kembali tenang untuk meneruskan urusan harian masing-masing. Parti politik hanya sibuk menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Malangnya, sejak akhir-akhir ini terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu, politik dan demokrasi di Malaysia kelihatan mula memasuki dimensi baru yang tidak pernah dialami sebelum ini. Politik sebagai alat untuk menempah wewenang dan kuasa seolah-olah sudah menguasai seluruh kehidupan rakyat.

Di mana-mana saja orang bercakap mengenai politik. Sama ada di warung, kedai kopi, restoran, majlis kenduri atau sebelum dan sesudah mesyuarat rasmi, isu-isu politik lazimnya mengisi sebahagian besar daripada tajuk perbualan.

Isu lain seperti ekonomi, pendidikan dan sosial sering diketepikan seolah-olah ia tidak penting. Akhbar dan media lain juga memberi tumpuan yang cukup ketara terhadap isu politik terutama politik kepartian.

Di kalangan penjawat awam dan pelajar di institusi pengajian tinggi juga, nampaknya politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sesiapa mendapati bahawa topik utama perbualan penjawat awam di kantin pejabat adalah politik.

Bukan juga satu keanehan untuk orang luar mengetahui bahawa pemilihan pemimpin pelajar di institusi pendidikan tinggi tempatan setiap tahun kebanyakannya didasari fahaman politik kepartian yang dianuti pemimpin terbabit walaupun pada zahirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang sama sekali pelajar berpolitik.

Di kalangan pemimpin politik pula, kewujudan mereka seolah-olah tidak sah kalau mereka gagal menilai sesuatu isu, perkembangan, dasar atau program kerajaan dari sudut politik kepartian yang sempit untuk kepentingan peribadi.

Inilah nampaknya budaya yang menguasai kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Secara perbandingan, budaya ini nampaknya lebih kuat mencengkam masyarakat Melayu dan Islam berbanding masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Perkara ini sebenarnya, sudah banyak dibincangkan melalui saluran rasmi dan tidak rasmi oleh cendekiawan Melayu dan golongan prihatin lain yang bimbang bahawa budaya politik melampau dan tidak berkesudahan itu berpotensi untuk menghancurkan perpaduan Melayu dan sekali gus menghakiskan kuasa politik mereka.

Jika ini berlaku, usaha untuk mencapai perpaduan nasional menjelang 2020 apabila Malaysia disasar mencapai status negara maju, tidak akan kesampaian.

Sesungguhnya, dalam konteks inilah cadangan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, agar usaha dirintis untuk menyatupadukan orang Melayu, perlu diberi perhatian.

Ketika menyampaikan titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh kelmarin, baginda menyarankan supaya usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan saliran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah agar semua pihak mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

Raja Nazrin menegaskan budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain. Sebenarnya, ini bukan kali pertama baginda menyuarakan kebimbangan demikian.

Sebelum ini, baginda dan raja lain juga pernah menyatakan kebimbangan serupa terhadap gejala dan perkembangan yang berpotensi untuk menghancurkan negara. Apakah rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, memerlukan kejutan yang lebih dahsyat untuk menyedarkan mereka daripada ilusi yang merugikan itu dan kembali menerima kenyataan bahawa politik bukan segala-galanya?

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
Cakap-cakap
Oleh Mamat

MALANG betul tak berbau. Mamat sangat bersimpati dengan keluarga Datuk Koh Hong Sun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman. Kematian anak sulungnya, Keat Lee, amat menyayat hati. Berita mengenai kematian itu terpapar di semua akhbar. Mamat boleh bayangkan betapa hancurnya hati keluarga ini. Dalam hal yang sebegini, Mamat terus ingatkan saudara mara dan sahabat dan rakan supaya sentiasa berwaspada kemungkinan berlakunya kemalangan di rumah mahupun di pejabat. Sama-samalah kita menjaga kepentingan diri dan keluarga.

Mamat - Ucapan takziah kepada Datuk Koh sekeluarga
Mempolitikkan Islam jejas perpaduan Melayu

Oleh Md Shukri Shuib
md.shukri@uum.edu.my

SEHINGGA ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik. - Gambar hiasan

Sejarah perpecahan berlanjutan antara Umno, Pas bukti demokrasi kepentingan diri rugikan ummah

DALAM kancah politik umat Melayu dan Islam di negara ini, secara asasnya lingkungan penggunaan Islam sebagai asas berpolitik dan menegakkan perjuangan dilihat sebagai satu kaedah yang sering diguna pakai oleh ahli politik.

Walau apapun gelarannya, sama ada ustaz, haji malah tok guru, soal guna pakai Islam sebagai asas memperteguhkan ulasan politik yang diluahkan, dilihat lumrah. Bahkan, ahli politik bukan Islam juga dilihat lebih cenderung kini untuk menggunakan Islam sebagai asas hujah mereka dalam menarik minat dan keterujaan komuniti pengundi Islam di negara ini.

Inilah bahana mempolitikkan agama dalam kancah berpolitik. Dalam berpolitik, umat Melayu dan Islam seharusnya mengambil iktibar kisah dua khalifah ar-Rashidin, yakni Khalifah Uthman al-Affan dan Khalifah Ali Abi Talib yang dibantah kepemimpinan oleh golongan pembangkang.

Bantahan itu menyebabkan pemerintahan kedua-dua kepemimpinan terbabit selaku ketua negara dan kerajaan terganggu dan berlakunya perpecahan. Pada hal, kedua-dua Khalifah ini adalah sahabat dan menantu Rasulullah SAW yang turut dijanjikan syurga, namun ditentang dan dibunuh atas alasan kononnya mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam pentadbiran negara.

Pengajaran besar bagi umat Islam di negara ini, yang didoktrinisasikan politiknya berasaskan kepada demokrasi dan dengan itu demi menegakkan demokrasi, maka elemen berparti diadakan. Dulu umat Melayu di Tanah Melayu ini hanya mengenal erti kesultanan dan tiada parti politik wujud atas nama agama mahupun bangsa. Yang wujud hanyalah satu, iaitu demi kedaulatan negara masing-masing.

Dengan doktrin penjajah, akhirnya umat Melayu terpecah mengikut acuan politik. Dulunya Sultan dan Raja adalah satu-satunya ulil amri yang wajib ditaati, tetapi selepas demokrasi dijalankan, istilah ulil amri ada kalanya dipesongkan hinggakan seolah-olah setiap presiden parti atau pemimpin pertubuhan diangkat sebagai ulil amri.

Inilah natijah demokrasi kepada Islam hinggakan perkara utama dalam pembinaan negara mampu dipesongkan.

Mengimbau sejarah perjuangan Tanah Melayu, jika pada 1946 ketika Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar atau Umno) ditubuhkan, keseluruhan anak watan Melayu digabungkan di bawah satu payung politik perpaduan demi membanteras cita-cita penjajahan terus bangsa asing ke atas bumi bertuah ini.

Namun, lama kelamaan, elemen perpaduan itu luntur sehingga menyebabkan Pas yang dulunya di bawah payung Umno sebagai Biro Agama bertukar watak bukan lagi sebagai aktor perpaduan, sebaliknya lebih kepada aktor bangkangan. Membangkang hinggakan mampu menggugat kedudukan Melayu dalam menuntut kemerdekaan mutlak daripada Britain.

Umnolah satu-satunya parti anak watan yang dibina oleh bangsa Melayu di Tanah Melayu. Lain-lain gagasan sebelumnya dilihat bertaklik kepada Indonesia Raya. Untuk itu, hujah menyatakan Umno sebagai sebuah pertubuhan anak watan kesultanan serta pemelihara keutuhan politik Melayu adalah berasas.

Pada saat Umno dilahirkan, ramai daripada komuniti asal negara ini, iaitu umat Melayu hidup dalam daif dan tidak diberikan pelajaran sempurna oleh penjajah. Mujurlah segelintir bangsawan dan anak watan yang dihantar belajar hingga ke peringkat tinggi diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menggerakkan perpaduan Melayu hinggakan pada 31 Ogos 1957, tercapai kemerdekaan selepas 446 tahun terjajah diambil kira sejak Kejatuhan Kesultanan Melayu di Melaka pada Ogos 1511.

Sehingga ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik.

Pada anggapan dunia, hak asasi masa kini, demi hak asasi maka perpecahan adalah baik dan bermakna. Adakah prinsip Islam membenarkan perpecahan? Jika dibenarkan adakah pada era Rasulullah SAW wujudnya 'kepuakan' sebegini. Yang wujud adalah tiga golongan, iaitu yang beriman, yang munafik dan yang kafir. Tidak ada pula dalam kelompok beriman itu terpecah-pecah mengikut haluan masing-masing.

Adakah atas nama Islam, hubungan sesama Islam itu dapat dipecahkan? Justeru perpaduan dua parti Islam ini, iaitu Umno dan Pas seharusnya menjadi satu kenyataan. Retorik, sejarah dan peluang berpolitik seharusnya diamati dengan muhasabah yang hak, iaitu adakah dengan berpecah, umat Islam dapat dijaga kepentingannya? Adakah demokrasi itu dipertuhankan?

Selain parti politik, dalam konsep demokrasi, instrumen mengukur sokongan adalah pilihan raya. Dengan pilihan raya jugalah sebahagian besar dunia Islam dilanda perpecahan. Dengan pilihan raya ini jugalah timbulnya sengketa.

Lihat saja Iran, Iraq serta Pakistan yang sentiasa bergolak disebabkan oleh cetusan pilihan raya. Bukanlah pilihan raya itu perlu ditiadakan. Tetapi jika ini mampu menyatupadukan komuniti rakyat, ia baik untuk diadakan. Tetapi adakah kini pilihan raya dilihat sebahagian daripada usaha perpaduan ummah?

Dalam tingkah laku kempen, tawaran syurga serta merendahkan dan lebih daripada itu mengaibkan serta memfitnah sesama Islam yang dilakukan oleh umat Islam dan bukan Islam menunjukkan betapa ajaran Islam tidak dipraktikkan.

Amat menyedihkan ialah dengan elemen 'hak asasi' segala percakapan sudah tidak lagi menjadi salah dan jika dibendung kebebasannya, ia dianggap bertentangan dengan demokrasi tulen. Soalnya adakah Islam membenarkan sebarang kegiatan 'percakapan' dan kempen yang tidak merangsang perpaduan dilaksanakan?

Atas nama Islam, kedua-dua parti politik Umno dan Pas yang nyata sekali keahlian terbesarnya adalah dari kalangan umat Melayu yang juga Islam perlu bersatu dan berpadu demi kekuatan agama, bangsa dan negara.

Seteru politik dalam demokrasi dibenarkan, tetapi dalam Islam adakah kita dibenarkan untuk berseteru dengan sesiapa juga, walhal mereka ini adalah pengucap syahadah serta apa juga kesalahan sekalipun walau dihumban ke neraka akan tetap merasai syurga.

Inilah indah Islam yang menetapkan bahawa sebarang kesalahan tidak berkekalan, yang kekal adalah kebaikan.

Apakah atas nama demokrasi, maka umat Islam seolah-olah dibiarkan berpecah tanpa kesudahan sehingga berlaku pula pertentangan di antara sesama umat Islam yang menyatakan ini Islam dan ini tidak cukup atau tidak Islam.

Entiti politik Islam di negara ini, iaitu Umno dan Pas bukan saja harus berusaha untuk berdialog dan berdebat, malah berusaha untuk bersatu dengan ikhlas dan luhur. Rumusan daripada sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa 'manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dapat dijadikan sandaran muhasabah diri dalam tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan dua parti terbesar umat Islam di negara ini.

Penulis ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kedah
Minda Pengarang: Sistem kupon mampu atasi penyelewengan beras rakyat miskin

KESUKARAN golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk membeli beras subsidi di pasaran diharapkan berakhir September depan. Ini berikutan langkah kerajaan memperkenalkan sistem kupon untuk diagihkan kepada kelompok terbabit. Sejak kerajaan memberi subsidi beras super tempatan 15 peratus hancur (ST15) yang juga dikenali Beras Nasional dua tahun lalu berikutan peningkatan harga beras di pasaran tempatan dan antarabangsa, golongan sasaran mendapat manfaatnya. Harga beras subsidi cuma RM17 bagi setiap 10 kilogram di pasaran sedangkan harga beras yang diapungkan harganya dijual pada harga antara RM24 sehingga RM40 bagi setiap 10 kilogram mengikut gred beras. Namun sejak awal tahun ini, beras ST15 sukar diperoleh di pasaran sehingga menyulitkan golongan berpendapatan rendah dan miskin membelinya. Malah, jika dijual pada harga RM20 sekampit bagi 10 kilogram sekalipun, kerajaan terpaksa membayar subsidi kepada pekilang untuk pengeluaran beras berkenaan. Sukar dipastikan punca beras itu sukar sampai ke pasaran, sedangkan kerajaan mengeluarkan subsidi, iaitu RM32 juta sebulan bagi pengeluaran 40,000 tan beras. Jumlah subsidi dikeluarkan kerajaan mencecah RM365 juta setahun yang mana faedahnya sepatutnya dinikmati rakyat golongan sasaran. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar menyalahkan pendatang asing dan pengusaha restoran sebagai antara punca kekurangan beras berkenaan di pasaran.

Namun, jika diteliti, didapati pihak pengilang sendiri, selain orang tengah turut memanipulasi harga untuk menjualnya pada harga lebih tinggi bagi mendapatkan keuntungan segera. Kemelut ekonomi yang mencengkam semua lapisan masyarakat sekarang turut menjadikan beras itu pilihan golongan menengah yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan, menyebabkan penawaran 40,000 tan beras jenis berkenaan sebulan tidak cukup untuk menampung permintaan tinggi. Ini menyebabkan pengilang dan orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga. Jika sebelum ini, harga sekampit beras berkenaan RM17, kini sudah meningkat kepada RM20 sekampit. Oleh itu, kita menyokong langkah kerajaan memperkenalkan sistem kupon untuk menyelesaikan kemelut ini, namun rakyat mahukan ia lebih telus supaya ia tidak dimanipulasikan pihak tertentu, sehingga menggagalkan hasrat kerajaan untuk meringan beban golongan bawahan dan miskin. Kajian terperinci dan pemantauan rapi perlu dilakukan. Malah, pengalaman pemberian subsidi minyak diesel kepada nelayan perlu dijadikan iktibar bagi mengelakkan masalah sama berulang. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi pegawainya di seluruh negara boleh membuat kajian di kawasan sasaran untuk melihat keperluan penduduk terhadap beras terbabit dan pengagihannya dilakukan berdasarkan kajian berkenaan, sebelum kupon diagihkan. Kerajaan juga perlu memastikan hak golongan berpendapatan rendah di bandar besar untuk menerima kupon berkenaan tidak dinafikan kerana mereka terjejas teruk berikutan tekanan ekonomi sekarang. Dengan menggunakan mekanisme terbaik, kita berharap pengagihan kupon kepada kumpulan sasar mencapai matlamat yang diharapkan. Rakyat tidak mahu lagi melihat kepincangan lalu dalam penyaluran subsidi yang dinikmati golongan yang tidak berhak.
Cakap-cakap

MAMAT dengar ada pergaduhan di Manek Urai. Mamat juga dengar, yang cedera adalah wanita kerana terkena batu yang dibaling oleh pihak-pihak terbabit. Walau pun pergaduhan itu kecil, Mamat rasa ia sangat memalukan, apatah lagi kedua-dua yang bertanding adalah orang Melayu mewakili parti orang Melayu dan Islam. Dalam pertandingan sebegini sepatutnya, kedua-dua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Mereka juga sepatutnya meletakkan maruah Melayu dan Islam pada tahap yang tinggi, jika hendak dihormati.

Mamat � selalu gaduh main guli waktu budak-budak dulu.
Analisis: Kejayaan tipis Pas di Manek Urai beri kemenangan moral buat BN
Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

CALON Pas, Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan menang tanpa sorak gegak gempita di Dewan SK Sultan Yahya Petra Satu, malam tadi, apabila sekadar mendapat majoriti 65 undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Kejayaan tipis Pas itu bagaimanapun memberi kemenangan moral kepada Barisan Nasional (BN) kerana bukan saja berjaya menembusi kubu kuat Pas di Manek Urai, bahkan ia turut memberi isyarat lantang bahawa penduduk Kelantan kini tidak lagi mahu terus dibelenggu dengan hanya nasihat, doa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.

Malah, 'kejayaan' calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat bertapak di kubu kuat Pas, Manek Urai Lama ternyata memberi tamparan hebat kepada parti itu kerana undi penduduk di kawasan berkenaan diberi kepada BN hanya kerana sebuah jambatan usang yang tidak mampu disediakan kerajaan negeri Pas.

Ternyata pepatah yang pernah digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah, adalah ayat pertama menjalar di fikiran.

Kemenangan tipis Pas berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, boleh dikaitkan kepada beberapa faktor:

# Perubahan kepemimpinan BN yang diterajui Najib.

# Sikap BN yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan penduduk.

# Keinginan penduduk Manek Urai untuk menyertai arus perubahan yang semakin pantas di sekeliling mereka.

# Sikap dan kewibawaan calon BN yang dilihat amat ikhlas ingin membawakan perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk.

# Kerja keras Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta anak buahnya.

Nyata 'the feel good feeling' yang dicetuskan Perdana Menteri, terutama yang diikrarkan pada hari 100 pemerintahannya, juga antara penyumbang kepada perubahan sikap pengundi Manek Urai.

"Kekalahan tipis BN mungkin akan dikesali majoriti penduduk Manek Urai, terutama yang selama ini penyokong kuat Pas kerana mereka terlepas peluang untuk menikmati pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial lebih baik.

"Mereka tahu, semua janji BN seperti yang disampaikan Tan Sri Muhyiddin (Mohd Yassin) akan ditunaikan. Gelaran Manek Urai akan menjadi 'ának emas' Kerajaan Pusat sekiranya BN menang bukan diberi sewenang-wenangnya, kerana daerah ini memang akan menjadi anak emas BN sekiranya Tuan Mat menang,

"Namun, dengan kekalahan ini penduduk Manek Urai yang menginginkan perubahan terpaksa menggigit jari," kata seorang pemerhati.

Walau apapun analisis yang dibuat, tindakan YB Manek Urai yang baru keluar dewan tanpa senyuman manis juga adalah cerminan kepada wajah semua pemimpin tertinggi Pas yang sudah pasti turut terpaku dengan keputusan mengejutkan itu.

Walaupun tewas dan ada yang mengalirkan air mata kerana tewas amat tipis, BN kini boleh berikrar untuk bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang diterima semalam, akan berterusan sehingga 2012 nanti.

Tuan Mat mungkin pulang ke rumah dengan rasa kecewa, tetapi dia boleh berdiri bangga kerana berjaya menembusi kubu kuat Pas.

Yang pasti dia akan meneruskan perjuangan untuk terus membantu menaikkan martabat dan taraf hidup saudara mara serta sahabat handainya di Manek Urai.

Sekiranya itu berlaku, Mohd Fauzi atau Abang Uji, sudah pasti kepanasan sepanjang masa menjadi YB Adun Manek Urai dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Filet tilapia ke pasaran AS

Tasik Temenggor kini mempunyai produk terbaru yang mampu mempromosikan lokasi tersebut di mata dunia iaitu filet tilapia.




HUTAN Temenggor seluas kira-kira 300,000 hektar di Lembah Belum dan Royal Belum yang bersempadan dengan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan dipercayai wujud sejak 130 juta tahun dahulu. Ia lebih tua daripada hutan Amazon di Amerika Selatan.

Hutan hujan Khatulistiwa itu dikelilingi dengan Tasik Temenggor yang merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar negara selepas Tasik Kenyir, Terengganu.

Ia kaya dengan khazanah flora dan fauna seperti tiga jenis rafflesia iaitu bunga terbesar dunia dan spesies paku pakis yang dipercayai wujud sejak zaman purba lagi.

Selain itu, hutan berkenaan juga menjadi habitat beberapa mamalia yang hampir pupus seperti badak sumbu, gajah, harimau belang dan 10 spesies burung enggang yang jarang dijumpai.

Tasik Temenggor seluas 18,129 hektar pula adalah lubuk pelbagai spesies ikan air tawar seperti kelah, sebarau, lampan, temoleh, tengas, baung dan toman yang menjadi syurga buat kaki pancing.

Justeru, tidak hairanlah kira-kira 0.49 peratus daripada Hutan Temenggor bersama-sama Hutan Simpan Kekal Belum dan Hutan Simpan Gerik telah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007 dalam usaha kerajaan negeri Perak memelihara khazanah hutan berharga tersebut.

Duta kecil

Tasik Temenggor kini mempunyai produk terbaru yang mampu mempromosikan lokasi tersebut di mata dunia iaitu filet tilapia. Ia merupakan produk hasil ikan daripada ikan tilapia hitam yang diternak di Tasik Temenggor hasil usaha Trapia Malaysia Sdn. Bhd., (Trapia Malaysia) sejak setahun lalu.

Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping percaya produk filet tilapia yang menggunakan label Royal Tilapia itu mampu menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjadi duta kecil mempromosi Taman Negeri Royal Belum ke seluruh dunia.

Menceritakan latar belakang Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur itu, beliau memberitahu, Trapia Malaysia merupakan anak syarikat sebuah firma penternakan dan penghasilan produk makanan laut, Genomar AS yang berpangkalan di Norway.


SETIAP sangkar boleh memuatkan lebih kurang 40,000 ekor tilapia hitam seberat kira-kira 50 tan.


Beberapa tahun lalu, Genomar AS telah menghasilkan benih anak ikan tilapia hitam baru yang dikenali sebagai Tilapia GST yang merupakan benih anak ikan tilapia generasi ke-18 daripada spesies Tilapia Genomar AS.

Beliau berkata, pihak syarikat yang berminat melabur di negara-negara Pasifik telah menjalankan penyelidikan dan percubaan menternak anak ikan Tilapia GST di beberapa negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia, China dan Malaysia.

Menurutnya, hasil penyelidikan mendapati negara kita paling sesuai untuk menternak ikan tilapia itu.

"Tasik Temenggor di daerah Hulu Perak telah dipilih bagi tujuan tersebut. Sebelum ini, kajian telah dijalankan di beberapa lokasi seperti Kedah, Pahang, Terengganu dan Johor. Hasil kajian mendapati kawasan Tasik Temenggor paling sesuai untuk tujuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim ke tapak projek berkenaan di Tasik Temenggor baru-baru ini.

Turut mengiringi Rohani ialah Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub.

Sead Ping berkata, antara faktor pemilihan Tasik Temenggor adalah kualiti air di tasik itu yang sangat bersih dan bebas daripada pencemaran.

Katanya, percubaan menternak anak ikan Tilapia GST di lokasi berkenaan mula dilakukan pada November 2007 dan hasilnya menunjukkan perkembangan positif dengan tumbesaran ikan sangat cepat manakala saiznya juga seragam.

"Malah ikan-ikan tilapia yang diternak di sini juga mempunyai rasa yang enak, tidak berbau tanah dan menepati piawai yang ditetapkan negara pengimport terutamanya Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, pada 15 Januari 2008, Trapia Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi mengusahakan Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur yang dipantau rapi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Tasik Temenggor.

Beliau berkata, kira-kira dua bulan selepas itu, syarikatnya telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) untuk menjalankan projek ternakan ikan tilapia dalam sangkar berskala besar di tasik tersebut.

Permintaan tinggi

Sead Ping juga berkata, semua ikan tilapia hitam itu diternak di dalam sangkar bulat berteknologi tinggi bersaiz 20 diameter.


ANTARA faktor pemilihan Tasik Temenggor adalah kualiti air di tasik itu yang sangat bersih dan bebas daripada pencemaran.


Menurutnya, setiap sangkar boleh memuatkan lebih kurang 40,000 ekor tilapia hitam seberat kira-kira 50 tan. Ia matang dan boleh dipasarkan setelah enam bulan benih ikan dilepaskan ke dalam sangkar.

"Semua hasil ikan tilapia hitam ini akan dijadikan filet berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk berkenaan terutamanya di AS.

"Filet tilapia kian popular kerana isi ikannya yang rendah lemak dan rendah kalori serta mempunyai kandungan protein dan vitamin B 12 yang tinggi. Malah kajian membuktikan tilapia memiliki kandungan merkuri yang paling rendah berbanding dengan ikan komersial lain," katanya.

Sead Ping berkata, antara keistimewaan produk keluaran syarikatnya adalah berupaya untuk dikesan sekalipun sudah dipasarkan dengan teknologi pangkalan data Pengecaman Air Informatik Bio.

Berdasarkan teknologi tersebut, setiap anak benih ikan Tilapia GST yang diternak di dalam sangkar milik syarikatnya akan diambil sedikit sampel tisu semasa beratnya mencecah hampir 17 gram bagi setiap ekor.

Ia bertujuan mengenal pasti asid deoksiribonukleik (DNA) ikan tersebut yang akan dimasukkan ke dalam pangkalan data Trapia Malaysia.

"Ini bermaksud biarpun ikan tersebut sudah diproses menjadi filet dan berada di pasar raya, kami masih mampu mengesan sumbernya termasuk tempat dan penternak ikan tersebut.

"Itu jaminan kami bahawa ia tidak akan diberikan kepada pengeluar produk makanan laut lain di pasaran global masa kini. Teknologi pengesanan ini sangat unik dan pertama di dunia," katanya.


TILAPIA hitam inilah yang diternak di dalam sangkar di Tasik Temenggor, Perak.


Sead Ping berkata, sehingga kini Trapia Malaysia mempunyai dua modul yang setiap satu mempunyai 20 unit sangkar dan dijaga rapi oleh kira-kira 75 pekerja yang semuanya warga tempatan.

Pengeluaran hasil pertama sangkar tersebut dijangka pada Ogos ini dengan sasaran pengeluaran kira-kira 2,000 tan metrik setahun.

Trapia Malaysia juga akan mengembangkan projek berkenaan secara berfasa kepada 10 modul dengan 200 unit sangkar menjelang tahun 2013.

"Dalam tempoh empat tahun, kita menjangka dapat membekalkan hampir 40,000 tan metrik hasil ikan tilapia hitam setahun," katanya.

Sead Ping juga berkata, pihaknya berbangga kerana biarpun belum beroperasi sepenuhnya, filet Royal Tilapia berjaya menarik minat beberapa pengusaha pasar raya besar negara dan Singapura.

Beliau berkata, sebanyak 90 tan metrik hasil ikan tilapia hitam yang diternak dalam projek percubaan telah dipasarkan di pasar raya Carrefour, Mydin dan Econsave di seluruh negara dan Singapura mulai bulan Mei lalu.

"Pengurusan Carrefour juga berpuas hati dengan kualiti Royal Tilapia dengan memberi pengiktirafan pengakuan akreditasi Carrefour Quality Line kepada produk kami baru-baru ini," katanya.


ROHANI ABD. KARIM (tiga dari kiri) menabur makanan ikan di dalam sangkar ikan tilapia hitam di Tasik Temenggor, Perak.


Lebih membanggakan, Royal Tilapia bakal dieksport ke AS dan merupakan negara pengimport filet tilapia terbesar dunia mulai Ogos ini.

Sead Ping berkata, mulai tempoh berkenaan, sebanyak 16 tan metrik produk filet tilapia itu akan dihantar ke negara Uncle Sam itu dalam masa seminggu.

"Ini berikutan penyertaan Trapia Malaysia dalam satu misi perdagangan bersama Jabatan Perikanan di Pameran Makanan Laut pada Mac lalu.

"Nilai pasaran yang berjaya diterokai dianggarkan RM30 juta setahun," katanya.

Tenaga tempatan

Sementara itu, Rohani berkata, beliau bangga Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur Tasik Temenggor yang diusahakan Trapia Malaysia menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata, kerajaan yakin projek berkenaan mampu memberi kesan positif kepada pengeluaran akuakultur negara.

"Pada tahun depan, kita mensasarkan 507,558 tan metrik pengeluaran akuakultur dan 27 peratus daripadanya dihasilkan di Perak.

"Saya kagum dengan perkembangan projek penternakan ikan tilapia hitam ini dan percaya hasil makanan laut dari syarikat ini bakal menjadikan Perak dan negara antara pengeksport utama filet tilapia hitam dunia," katanya.

Dalam pada itu, jika kebanyakan pengusaha industri pertanian di negara ini lebih gemar menggunakan khidmat pekerja asing, lain pula dengan Trapia Malaysia.

Sead Ping menyatakan komitmen syarikatnya untuk menggunakan 100 peratus tenaga tempatan.

"Projek ini berimpak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta setahun.

"Bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak," katanya.


PROJEK ini mampu memberi kesan positif kepada pengeluaran akuakultur negara.


Menurutnya, pihaknya menyasarkan dapat membuka kira-kira 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan termasuk memberi peluang individu yang berminat untuk turut sama menceburi penternakan berkenaan.

Jelasnya, buat permulaan Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis dalam kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak dengan sasaran pendapatan sekurang-kurang RM2,000 sebulan.

"Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan, kerajaan negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik untuk memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam," katanya.

Sumber ekonomi sempadan

Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand tetap menjadi nadi ekonomi warga sekitar Kelantan dan Narathiwat, biarpun pelbagai penguatkuasaan dijalankan.


PGA tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas barang yang telah berada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa.


SELAMA lebih 50 tahun, beberapa pangkalan haram wujud di sepanjang Sungai Golok, sungai yang menjadi penghubung persaudaraan dan perniagaan penduduk Kelantan di sempadan Malaysia dan Narathiwat di Thailand.

Pangkalan haram itu menjadi 'penghubung diplomatik' di antara penduduk di kedua-dua belah sempadan kerana ramai daripada mereka mempunyai hubungan persaudaraan.

Namun, pangkalan itu juga menjadi pusat penyeludupan untuk memenuhi kehendak pasaran di kedua-dua negara.

Seorang peniaga di pekan sempadan Thai, Sungai Kolok, Seman Abdullah, 51, berkata, terdapat beberapa pangkalan yang cukup popular di Sungai Golok.

Pekan Thai itu dikenali sebagai Sungai Kolok sementara sungai yang membatasi sempadan bersama Malaysia-Thailand dipanggil Sungai Golok.

"Biasanya, nama setiap pangkalan ini berdasarkan nama individu yang tinggal paling hampir dengannya atau sesuatu yang boleh dijadikan penanda.

"Antara yang terkenal adalah pangkalan Syed Agil kerana rumah Syed Agil berdekatan dengan pangkalan tersebut," katanya.

Pangkalan lain yang terkenal adalah pangkalan MCA kerana dahulunya terdapat pejabat parti MCA di kawasan itu. Tidak kurang popular adalah pangkalan Pohon Jambu, Gergaji, Pohon Buluh, dan Pauh yang memiliki sejarah tersendiri.

Bolos daripada penguat kuasa

Dari satu segi, kewujudan pangkalan haram itu dikatakan satu daripada punca aktiviti penyeludupan yang gagal dibendung, selain kemasukan secara tidak sah di kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, jeti-jeti ini juga merupakan penyambung hubungan darah antara masyarakat kedua-dua daerah yang hanya dipisahkan sebatang sungai," katanya.


SESETENGAH daripada pangkalan ini tidak layak dipanggil jeti kerana pangkalannya hanya merupakan tebing sungai.


Sempadan yang memisahkan negara ini dengan Thailand dan sebahagian besar geografi politik kedua-dua negara, banyak ditentukan oleh aliran Sungai Golok sepanjang 95 kilometer.

Sungai sempit dengan kelebaran cuma beberapa meter yang banyak didindingi hutan dan belukar ini mudah diseberangi dengan mengharung, berenang atau bersampan, yang cuma mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke seberang.

Selain bergantung pada sumber pertanian, pekerjaan dan perniagaan yang merentasi sempadan, sungai itu juga merupakan pendapatan utama mereka dan kebanyakannya pula melibatkan aktiviti penyeludupan.

Ada yang beranggapan, tanpa kegiatan ini, ekonomi di kawasan sempadan di kedua-dua negara akan lumpuh dan penduduk setempat akan mengalami masalah dengan peluang pekerjaan yang terbatas manakala keadaan sempadan pemisah itu memudahkan mereka menjalankan urusan dan memboloskan diri daripada tindakan penguatkuasaan.

'Tentera semut'

Ramai penduduk Kelantan dan negara jiran yang terlibat sebagai 'tentera semut' mengambil upah menjalankan penyeludupan barang, haiwan dan manusia, di samping bertindak sebagai pembekal.

Barang pilihan penyeludup sudah pasti yang mendapat permintaan tinggi iaitu barang keperluan harian seperti pakaian, gula, beras, minyak masak serta gandum, haiwan ternakan, mercun dan bunga api, segala jenis dadah, minyak petrol dan diesel.

Sepanjang Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Rantau Panjang sahaja terdapat lebih daripada 130 pangkalan haram bagi kegiatan penyeludup.

Tinjauan Bernama mendapati pangkalan-pangkalan haram di sempadan tidak sehebat panggilan itu kerana semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Thailand itu amat daif, kayunya hampir reput dan tidak selamat digunakan.

Malah, sesetengah daripadanya langsung tidak mempunyai kayu atau binaan yang layak dipanggil jeti kerana pangkalannya hanya merupakan tebing sungai yang dipenuhi semak-samun.

Undang-undang perairan

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar turut mengakui faktor sungai itu adalah antara masalah yang dihadapi pihaknya bagi menangani masalah penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.


PGA bertanggungjawab mengawal sempadan Malaysia - Thailand sepanjang 29.9 kilometer dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.


Katanya, barang seludup mudah dibawa masuk ke negara jiran melalui rumah atau premis yang dibina terlalu hampir dengan tebing Sungai Golok dan ia berkait rapat dengan peruntukan rizab tanah sungai.

"Penyeludup biasanya akan menggunakan palung yang akan diisi dengan barang seperti gula atau minyak masak terus ke dalam perahu yang sedia menanti di sungai.

"Masalahnya, PGA tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas barang yang telah berada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa, walaupun lebar sungai itu hanya beberapa meter sahaja memisahkan antara kedua-dua negara," katanya.

PGA bertanggungjawab mengawal sempadan Malaysia - Thailand sepanjang 29.9 kilometer dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas melalui Ops Wawasan.

Selain itu, PGA menempatkan 16 pos kawalan di kawasan strategik dan sekat pintas di tujuh lokasi bagi mengawal kemasukan penyeludup.

Laut Lebanon kurang ikan

Kegiatan menangkap ikan yang keterlaluan, pencemaran dan letupan bahan-bahan berkaitan dengan tangkapan ikan telah menghapuskan hidupan laut di kawasan perairan selatan Lebanon.




Mustapha Shaalan sentiasa menunggu detik-detik lalu untuk berulang semula iaitu apabila dia ke laut, dia akan berjaya menangkap seekor ikan seberat 40 kilogram. Ketika itu, wajahnya pasti berkerut-kerut kerana banyak menghabiskan masa di tengah laut di bawah pancaran matahari yang terik.

Namun, keadaan hari ini jauh berbeza. Menurut Mustapha, seperti kebanyakan nelayan yang berada di bandar selatan Lebanon dan di mana-mana sahaja di negara ini, mereka sangat bertuah jika dapat menangkap satu atau dua kilogram ikan dalam sehari.

Kegiatan menangkap ikan yang keterlaluan, pencemaran dan letupan bahan-bahan berkaitan tangkapan ikan, kesemuanya itu telah menghapuskan hidupan laut di kawasan perairan berhampiran Mediterranean iaitu 220 kilometer sepanjang pantai Lebanon, sehingga dianggarkan kira-kira 8,000 nelayan kini hidup melarat.

"Pada era tahun 1960-an, 1970-an, dan 1980-an, laut ini penuh dengan ikan sehingga kami dicemburui penduduk di bandar lain," kata Mustapha, 68, yang berasa sayu apabila mengenang kembali kenangan dahulu sambil duduk di jeti pelabuhan Tyre.

"Ketika itu reputasi kami tersebar ke seluruh dunia," ujar bapa kepada tujuh orang anak yang memulakan kegiatan menangkap ikan sejak berusia 10 tahun.

Ketua kumpulan nelayan tempatan, Khalil Taha pula memberitahu bahawa kira-kira 2,000 keluarga nelayan tinggal di Tyre, sebuah bandar yang dihuni kira-kira 100,000 orang berhampiran sempadan Israel.

"Kocek saya pula selalu penuh dengan duit dan saya gemar melancong. Tetapi... tengok keadaan kami sekarang.

"Sepanjang era kegemilangan bandar ini, seorang nelayan dengan mudah dapat memperoleh sebanyak AS$500 dolar (RM2,462) dalam seminggu tetapi angka tersebut telah berkurang kepada AS$200 dolar (RM985) bagi setiap bulan pada hari ini dan angka itu adalah di bawah gaji minimum penduduk Lebanon sebanyak AS$333 dolar (RM1,639)," ujar Taha.

"Bapa saya sudah biasa mendapat gaji yang mencukupi dengan menjadi nelayan. Dengan duit daripada hasil lautan, dia mampu menghantar saya dan sembilan orang adik-beradik ke sekolah swasta.

"Malah kami juga selalu membeli pakaian di Nouveautes Khater, sebuah kedai serbaguna," tambah Taha, 49, yang mempunyai dua orang anak.

"Dahulu, ia merupakan kedai yang paling murah di Tyre, tetapi kini ia sudah agak mahal bagi kami," kata Taha yang secara tidak langsung menyalahkan sikap nelayan yang didakwanya menyebabkan laut kini tidak lagi mempunyai banyak ikan, selain menyalahkan pihak kerajaan yang katanya tidak mengambil sebarang inisiatif untuk melindungi industri penangkapan ikan atau membantu untuk membangunkannya.

Memburukkan lagi masalah ini adalah kekacauan politik yang berterusan di Lebanon selama bertahun-tahun. Perang saudara berlaku dari tahun 1975 hingga 1990, manakala pencerobohan tentera Israel di selatan Lebanon termasuk Tyre turut mengundang masalah.

"Kami telah mengeluarkan amaran lebih daripada 10 tahun yang lalu mengenai keadaan buruk ini tetapi tiada seorang pun yang mendengar dan ingin mengambil berat," kata Taha.

Lebanon yang terletak di Mediterranean merupakan kawasan yang 'malang'. Pakar-pakar alam sekitar berkata, kebanyakan spesies termasuk ikan merah, kerapu dan barakuda kecil mengalami kepupusan di perairan Lebanon disebabkan aktiviti menangkap ikan yang buruk diamalkan sejak dahulu.

"Kita memusnahkan laut kita, secara keseluruhan dan kesemuanya," kata seorang saintis akuatik dari Universiti Amerika Beirut, Imad Saoud.


KEBANYAKAN spesies termasuk ikan merah, kerapu dan barakuda kecil mengalami kepupusan di perairan Lebanon.


Menurut Saoud, mereka yang memperoleh manfaat yang tinggi dari laut satu ketika dahulu iaitu para nelayan merupakan orang yang memusnahkan laut.

Katanya, amalan haram dan bahan letupan pemusnah dan pemampat ikan telah memusnahkan ekosistem hidupan marin di pantai Lebanon.

Peralatan pemampat yang mengeluarkan udara ke dalam rekahan atau lubang di dasar laut menakutkan ikan dari tempat persembunyian mereka.

Pembuangan sampah-sarap di sepanjang pesisir pantai dengan bahan besi dari kawasan perindustrian termasuk tembaga, zink dan vanadium pula mengandungi kimia metalik.

Tambahan pula, pemaju-pemaju yang tamak telah menceroboh kawasan pantai dan merasuah tanpa menghiraukan kesan pada alam sekitar.

"Lebanon semakin musnah di semua tahap dan apa yang bakal berlaku lebih teruk," kata Michel Bariche, seorang ahli biologi di Universiti Amerika Beirut.

"Sejauh mana kerajaan mengambil inisiatif, jika ia dilakukan tanpa pengetahuan mengenainya. Ia hanyalah satu usaha yang sia-sia," ujarnya.

Bariche bekerja secara langsung dengan nelayan untuk memujuk dan membentuk kawasan simpanan marin kerana bimbang nelayan terbabit mungkin akan kehilangan terus tempat tinggal.

"Kami perlu menasihati mereka bahawa kawasan simpanan marin itu adalah untuk kegunaan mereka. Jika tidak, tiada apa yang tinggal untuk mereka," tambahnya.


KEKURANGAN ikan di laut menyebabkan kehidupan nelayan terjejas teruk di Lebanon.


Kebanyakan ikan yang ditangkap di Lebanon berasal dari Israel dan Mesir kerana anak-anak ikan menetas di sana dan kemudiannya mengikut arus menuju ke kawasan utara.

Ironisnya, kata Taha, apabila pihak Israel beroperasi di kawasan selatan Lebanon, lebih banyak ikan dapat ditangkap kerana para nelayan tidak dibenarkan masuk ke laut pada waktu malam.

Selepas Israel menarik balik peraturan di selatan Lebanon itu, para nelayan memasuki laut pada waktu siang dan malam sehingga tiada ruang untuk ikan bernafas.

"Seekor ikan tidak boleh mengangkat kepala untuk muncul di permukaan air kerana ada 20 orang nelayan akan pergi untuk menangkapnya," ungkap lelaki itu.

Ketua Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar di Kementerian Agrokultur, Dahej el-Mokdad, mengakui bahawa undang-undang dasar yang baru diperlukan untuk mengendalikan cara-cara penangkapan ikan di Lebanon tetapi kekurangan sumber kewangan dan perpecahan politik menjejaskan perkembangan itu.

"Kita tidak mampu untuk melakukan kerja ini," katanya. "Kita tidak mempunyai bot-bot peronda, jadi bagaimana kita mahu menganggap laut ini sebagai khazanah kebangsaan," tambah Mokdad yang sudah tiga tahun meminta satu strategi baru dilaksanakan bagi menjamin masa depan industri perikanan di Lebanon. Bagaimanapun, cadangan tersebut bagaikan didengari oleh si pekak. - AFP