Bukti rakyat didahulukan

Oleh Anuar Ahmad

BELUM sampai seratus hari menerajui kerajaan, kabinet Datuk Seri Najib telah memberikan begitu banyak kejutan dan harapan. Bermula dengan konsep ‘Satu Malaysia’, dasar liberalisasi ekonomi dan penghapusan 30 peratus ekuiti bumiputera di dalam beberapa sektor ekonomi hinggalah pengenalan biasiswa nasional.

Terbaru dan yang paling mendapat perhatian masyarakat ialah pemansuhan PPSMI.Di sebelah pagi Selasa minggu lalu salah seorang pelajar bertanya tentang isu PPSMI apabila penulis baru ingin memulakan kuliah. Mulanya penulis ingin sahaja memberikan jawapan seperti seorang menteri yang pasti akan berkata ‘tunggu sahaja petang nanti’ tetapi memikirkan soalan itu sangat berkaitan dengan tajuk kuliah ‘Pendidikan dan Masyarakat’, penulis rasa bertanggungjawab memberikan pandangan walaupun secara ringkas. (Tentu sahaja pandangan akademik berasaskan kajian pendidikan).

Secara mudah, penulis katakan kepada mereka ada tiga perkara yang sedang berlaku pada isu PPSMI. Pertama, niat tidak semestinya menghalalkan cara. Kedua, memansuhkan PPSMI memerlukan lebih daripada kebijaksanaan tetapi juga jiwa yang besar dan berani. Ketiga, tumpuan yang lebih penting ialah menentukan hala tuju dan perencanaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris selepas PPSMI dimansuhkan khususnya kepada pelajar Melayu.

Sejak dicadangkan pada Mei 2002 dan terus dilaksanakan pada tahun 2003, PPSMI tidak pernah hilang daripada arus perdebatan perdana hinggalah pada Selasa lepas pengumuman pemansuhan dasar ini dibuat. Enam tahun lamanya rakyat dibiarkan ‘bergelumang’ dengan konflik ini. Kepada sesetengah ahli masyarakat, pemansuhan PPSMI dilihat sebagai ‘kekalahan’ pihak kerajaan yang seakan akur dan tunduk dengan desakan pembangkang dan pejuang bahasa.

Manakala pada yang lain pemansuhan ini dilihat lebih sebagai usaha kerajaan untuk mendapat undi sempena Pilihan Raya Kecil di Manek Urai. Namun kedua-dua tuduhan ini telah pun dinafikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada petang Selasa lalu.

Kalau soal ingin mengalah dan akur dengan desakan pembangkang, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO boleh sahaja mengambil jalan mudah dengan mempertahankan sahaja dasar PPSMI. Malah pengekalan dasar PPSMI boleh sahaja menjadi satu isyarat bahawa kerajaan BN adalah parti yang kuat dan masih berkuasa penuh di negara ini. Walaupun sedikit tergugat akibat tsunami politik Pilihan Raya Umum (PRU 12), kerajaan BN sebenarnya masih mempunyai kekuatan untuk membuat pilihan sama ada meneruskan atau memansuhkan PPSMI. Oleh itu, soal kerajaan BN ‘tunduk’ kepada desakan pembangkang supaya memansuhkan PPSMI bukan sesuatu yang tepat.

Kedua, jika pemansuhan ini semata-mata untuk mendapat undi popular daripada pengundi Manek Urai, perlukah nama baik sebagai parti pemerintah dikorbankan semata-mata untuk memenangi kawasan yang sememangnya dikatakan oleh Perdana Menteri sebagai kubu kuat PAS di Kelantan? Perlukah modal politik sebesar dan sepenting PPSMI digunakan di Manek Urai semata-mata untuk meyakinkan pengundi di Manek Urai yang sebenarnya tidak pun begitu teruja pun dengan isu PPSMI?

Isu PPSMI ini penting pada semua rakyat tetapi kepentingannya berbeza-beza antara satu kumpulan dengan kumpulan pengundi yang lain. Pengundi Manek Urai lebih dahagakan isu pembangunan, imej dan amalan keislaman, dan calon pemimpin tempatan yang berjiwa rakyat. PPSMI mungkin modal besar di dalam pilihan raya di bandar atau pilihan raya umum akan datang tetapi tidak di Manek Urai.

Jadi apa lagi alasan yang boleh disebut untuk membenarkan pemansuhan ini? Pada penulis, keputusan pemansuhan PPSMI membuktikan satu perkara yang lebih penting daripada tuduhan-tuduhan tersebut . Penulis melihat apa yang mewajarkan tindakan ini iaitu keikhlasan serta keberanian kepimpinan Najib untuk membetulkan sesuatu dasar yang didapati meragukan serta menimbulkan begitu banyak keresahan di hati rakyat.

Semua data yang diperoleh melalui kajian memihak kepada pemansuhan PPSMI. Misalnya, kajian menunjukkan hanya separuh sahaja (kurang 58 peratus) masa yang diperuntukkan untuk PPSMI telah digunakan oleh guru dalam mata pelajaran sains dan matematik. Selebihnya guru tetap menggunakan bahasa Melayu.

Tindakan ini terpaksa dilakukan oleh guru kerana bimbang prestasi pelajar akan lebih merudum kerana gagal memahami apa yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. Keduanya guru sendiri didapati tidak mempunyai tahap kemahiran berbahasa Inggeris yang memuaskan untuk diamalkan di dalam pengajaran mereka.

Keadaan ini membuktikan guru sains dan matematik yang belum bersedia dan tidak berupaya sepenuhnya mengajar di dalam bahasa Inggeris dan pada masa yang sama pelajar juga mengalami kemerosotan pencapaian akademik yang serius.

Selain itu kajian juga mendapati jurang pencapaian yang semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar, tahap prestasi pelajar bagi kedua-dua subjek ini juga semakin menurun tahun demi tahun. Maka sesuatu perlu dilakukan segera untuk memperbaiki keadaan ini. Keputusan kerajaan setelah mengambil kira semua keadaan iaitu memansuhkan PPSMI dan pada masa yang sama meningkat usaha pengajaran bahasa Inggeris berlipat kali ganda.

Maka atas semangat keikhlasan, keberanian mengakui kelemahan serta berani melaksanakan untuk membetulkan dasar ini walaupun sukar serta terpaksa berhadapan dengan bekas pimpinan besar negara seperti Dr. Mahathir, Najib tetap melakukannya dengan bijaksana.

Beliau telah berjaya ‘menarik rambut di dalam tepung’. Nampaknya sudah dua kali beliau berjaya melakukan dengan baik. Pertama, ketika mengumumkan dasar liberalisasi ekonomi, orang bukan Melayu begitu gembira sekali dengan keputusan kerajaan tetapi pada masa yang sama beliau juga berjaya memahamkan orang Melayu asas-asas tindakan beliau.

Berjaya

Kedua, semasa beliau memperkenalkan Biasiswa Nasional, beliau sekali lagi berjaya menarik perhatian serta sokongan bukan Melayu dan turut mendapat sokongan daripada kepimpinan Melayu. Selasa lalu, apabila dasar PPSMI dimansuhkan, rata-rata orang Melayu pula sangat gembira dan orang bukan Melayu pula boleh menerima keputusan ini dengan baik sekali. Malah mereka patut lebih gembira bila bahasa Mandarin dan Tamil diiktiraf sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah jenis kebangsaan.

Semua kajian yang dilakukan antara tahun 2003 hingga 2007 berkaitan dengan PPSMI juga bersetuju tentang dua perkara. Pertama, dasar ini telah digubal dan dilaksanakan dengan tergesa-gesa. Walaupun ada kajian yang dilakukan untuk melihat bagaimana PPSMI boleh dilaksanakan sebelum perlaksanaannya, kajian itu lebih menjurus kepada kajian analisis keperluan untuk tujuan pelaksanaan bukannya kajian berkaitan sentimen masyarakat serta pengaruhnya terhadap jati diri dan identiti kebangsaan dan kesediaan guru dan pelajar.

Kedua, semua kajian selepas pelaksanaan menunjukkan jurang pencapaian antara pelajar yang boleh menguasai bahasa Inggeris dan yang tidak ada kemahiran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran matematik dan sains semakin besar tahun demi tahun.

Mata pelajaran sains dan matematik adalah mata pelajaran wajib UPSR, kegagalan mencapai keputusan yang baik disebabkan asas bahasa Inggeris yang lemah akan menafikan masa depan mereka untuk belajar di sekolah asrama penuh, sekolah yang baik serta lebih menyedihkan terbina satu sistem kepercayaan bahawa mereka merupakan kategori atau kumpulan pelajar yang lemah.

Tindakan memartabatkan bahasa Melayu sememangnya sangat diperlukan sekarang. Gelombang kepupusan bahasa sebenarnya sedang melanda dunia pada hari ini. Tahukah anda bahawa terdapat lebih enam ribu bahasa yang dituturkan oleh penduduk dunia pada hari ini. Malangnya lebih separuh daripada jumlah itu sedang diancam kepupusan kerana kekurangan penuturnya hari demi hari.

Manakala terdapat 300 bahasa pula yang dituturkan oleh kurang dari satu juta penuturnya di seluruh dunia. Malah jumlah bahasa yang mempunyai penutur lebih sejuta orang semakin hari menjadi semakin berkurang. Keadaan ini berlaku kerana penutur asalnya tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda tetapi memilih untuk bertutur di dalam bahasa asing. Sebabnya mudah, kerana bahasa ibunda sudah tidak penting dan hanya di dalam kelompok kaumnya sahaja.

Malah kajian juga menunjukkan kadar kepupusan bahasa di dunia sejak 500 tahun lalu jauh lebih tinggi berbanding dengan kepupusan jenis-jenis burung dan mamalia. Profesor Dr. Steve Sutherland, seorang pengkaji bahasa di Universiti East Anglia, United Kingdom pada tahun 2007 melaporkan bahawa kadar kepupusan bahasa di seluruh dunia sejak 500 tahun lalu adalah sebanyak 4.5 peratus berbanding kepupusan burung pada kadar 1.3 peratus dan kepupusan mamalia sebanyak 1.9 peratus.

Kajian beliau juga menunjukkan bahawa terdapat tiga bahasa yang paling utama di dunia pada hari ini ialah Bahasa Mandarin, Inggeris dan Sepanyol yang dituturkan di kebanyakan penjuru dunia. Ketiga-tiga bahasa ini juga disenaraikan sebagai bahasa yang paling pesat berkembang. Jelas sekali ketiga-tiga bahasa tersebut sudah diangkat dan berjaya menjadi bahasa utama dunia.

Apakah kesannya bila sesuatu bahasa mengalami kepupusan? Bangsa itu secara langsung akan hilang identiti dan jati diri. Bila sesuatu bahasa kumpulan etnik pupus maka cara hidup, adat budaya serta ilmu pengetahuan masyarakat bersifat indigenous juga akan pupus. Pelbagai pantang larang, norma dan nilai hidup, kepercayaan serta upacara perayaan kemasyarakatan juga akan turut pupus bersama bahasa tersebut.

Mungkin kisah nasib bahasa Maori boleh dijadikan peringatan kepada kita semua. Suatu masa dahulu sebelum New Zealand dikuasai oleh masyarakat Eropah, bahasa Maori merupakan bahasa utama di kalangan masyarakat asal di kepulauan negara tersebut. Kehadiran masyarakat Eropah yang kemudiannya menetap di New Zealand telah menyebabkan bahasa Inggeris dikembangkan sehingga mengancam kewujudan bahasa Maori.

Sebagai penutur bahasa Inggeris, para imigran Eropah telah merancang perkembangan bahasa Inggeris dengan sistematik. Walaupun bahasa Maori diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, malangnya oleh kerana tiada perancangan perkembangan bahasa Maori apatah lagi untuk menjadikan bahasa Maori sebagai bahasa antarabangsa, maka bahasa Maori akhirnya semakin pupus di New Zealand.

Kesannya sehingga tahun 1980-an tinggal sekitar 20 peratus sahaja di kalangan masyarakat Maori yang boleh bertutur di dalam bahasa ibunda mereka. Kebanyakan orang Maori yang telah berpindah ke bandar-bandar besar dan tidak lagi mengamalkan bahasa Maori.

Malah mereka juga mula meninggalkan adat resam dan budaya Maori sebaliknya mengasimilasikan diri dengan budaya masyarakat Eropah. Semuanya kerana kegagalan perancangan untuk memartabatkan bahasa Maori ke peringkat yang lebih tinggi daripada sekadar bahasa kebangsaan berbanding bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ekonomi, intelektual dan hubungan antarabangsa.

Sekarang dilaporkan bahawa hanya seorang daripada empat orang Maori sahaja yang boleh bertutur di dalam bahasa Maori. Jumlah ini juga semakin mengecil hari demi hari.

Di akhir kuliah secara berseloroh penulis bertanya pada para pelajar, “jika anda diberikan pilihan antara untuk hidup atau untuk sihat, manakah yang akan anda pilih”, spontan semua pelajar menjawab serentak, “mestilah kami pilih untuk hidup”. Nampaknya kerajaan pun telah memilih untuk hidup kerana bahasa jiwa bangsa. Bila kita sudah mendapat kehidupan, barulah kita boleh mencari kesihatan, tak mungkin berlaku sebaliknya.
“Hang anak sapa?” tanya Tunku

Oleh Zainuddin Maidin

SEKALIPUN dalam karier sebagai wartawan saya telah menemui sekian banyak pemimpin negara dalam dan luar negara tetapi sesuatu yang amat berkesan kepada ingatan saya sehingga ke hari ini ialah pertemuan khas pertama dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra pada waktu subuh 17 Februari 1963 di rumahnya di tepi sungai di Mergong, Alor Setar, Kedah sebagai wartawan Utusan Melayu.

“Hang anak sapa?” tanya Tunku dan saya memberitahunya, “anak Maidin peniaga di Kota Kuala Muda, Kedah”. Belum habis saya memberitahunya, Tunku berkata “Oh aku kenailah pak hang, ada kedai rempah cabai, dah pernah pi ke kedainya.”

Saya mengaku, “ya Tunku! ya Tunku!,” tetapi sebenarnya semuanya tidak betul, bapa saya adalah seorang pekedai kopi. Saya faham tujuan Tunku yang melihat saya masih “budak” untuk membuat saya rasa penting dan selesa dengannya.

Walaupun saya pernah sebelumnya meliputi lawatan Tunku di beberapa daerah di Kedah dan Perlis tetapi itulah pertama kali saya menemuinya untuk mengadakan interviu khas. Dalam diari 1963 yang masih saya simpan, tercatit antara lain saya meliputi Tunku merasmikan Sekolah Arab Perempuan Kangar pada Rabu 2 Januari 1963 dan pembukaan Sekolah Agama Batu Menunggal Pendang, Kedah pada Sabtu 5 Januari 1963.

Saya meminta interviu khas itu bukan atas arahan dari Ibu Pejabat Utusan di Kuala Lumpur tetapi atas keazaman saya untuk mengajar wartawan Straits Times, Chan Beng Soon yang tidak berkawan dengan lain-lain wartawan dan sering mendapat berita eksklusif daripada Tunku setiap kali Tunku pulang ke Alor Setar. Wartawan-wartawan akhbar Cina dan seorang wartawan akhbar Straits Echo, Ooi Ah Kow juga bermusuh dengannya.

Bila Tunku pulang lagi ke Alor Setar pada bulan Februari, selepas suatu upacara di Pasar Baru Alor Setar di Jalan Sultan Ibrahim, saya telah menemui body guard Tunku yang berbadan besar, tinggi dan bermuka garang, Pak Cat namanya dan memberitahu hasrat saya untuk menemui Tunku. Dengan keras dia menjawab tak boleh menyebabkan saya terus kepada Tunku dan menyatakan hasrat saya. Tunku memanggil Pak Cat dan memberitahu “Ni budak Utusan nak jumpa saya, suruh dia datang lepas subuh esok”.

Saya berbasikal ke rumahnya di Mergong lebih dua kilometer dari rumah saya di Sungai Korok. Tunku yang baru selesai sembahyang subuh dan masih berbaju Melayu dan bersarung menyuruh saya duduk dan beliau duduk di samping saya dan mungkin untuk membuat saya rasa selesa dan senang dengannya Tunku berpura-pura mengetahui bapa saya semasa beliau bertugas sebagai pegawai daerah di Kulim.

Pagi itu saya telah mendapat berita eksklusif paling besar yang ditunggu-tunggu oleh dunia. Tunku bersetuju dengan anjuran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina untuk mengadakan sidang meja bulat antara kepala negara Asia bagi menghindarkan sengketa yang lebih buruk di dunia sebelah sini akibat pembentukan negara Malaysia yang ditentang keras oleh Indonesia.

Hubungan Indonesia-Malaya semakin buruk apabila Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaya berikutan dengan pengumuman Tunku pada 27 Mei 1961 untuk membentuk Malaysia dalam suatu majlis jamuan tengah hari yang diberikan oleh wartawan asing di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura.

Tunku membuat pengumuman itu secara bersahaja yang disifatkan oleh seorang ahli sejarah Sir Richard Allen sebagai disarmingly casual tetapi hinted a change of course which was profoundly to effect his country and her neighbours.

salinan ucapan

Tunku telah memberikan salinan ucapannya kepada semua wartawan di majlis tersebut supaya mereka tidak merasakan suasana bekerja tetapi sebaik sahaja habis ucapannya yang mendapat tepukan bergemuruh keadaan menjadi ribut. Wartawan seperti tidak percaya tentang apa yang mereka dengar dan berebut-rebut untuk mendapatkan lagi salinan ucapannya.

Bahagian ucapan Tunku yang telah menarik perhatian para wartawan ialah Sooner or later Malaya should have an understanding with Britain and the people of Singapore, North Borneo dan Sarawak. It is premature for me to say now how this closer understanding can be brought about but it is inevitable that we should look ahead to this objective and think of a plan whereby these territories can be brought closer together in political and economic cooperation

Menurut Tunku dalam bukunya Looking Back sebaik sahaja pulang ke Kuala Lumpur orang yang pertama sekali datang menemuinya untuk menyokong cadangan itu dengan penuh ghairah ialah Sultan Brunei yang menyeru Tunku supaya jangan melewat-lewatkannya.

Tunku berjanji kepada baginda untuk melakukan apa sahaja yang boleh bagi memulakan kerja ke arah itu memandangkan sokongan hangat yang diterima terutama daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew tetapi reaksi pantas daripada Presiden Indonesia, Sukarno menuduh Malaysia sebagai gagasan penjajahan baru (neo- colonialist) yang mahu dipaksakan ke atas rakyat di wilayah ini tanpa membuat rujukan kepada hasrat mereka.

Dalam interviu dengan saya pada Isnin 17 Februari 1963, Tunku menyatakan pandangan Sukarno itu adalah untuk menyukakan hati Parti Komunis Indonesia (PKI). “Konfrontasi Indonesia itu adalah hadiah sagu hati Presiden Indonesia kepada pemimpin PKI, D.N.Aidit yang telah mulai mempengaruhi pemerintahan Sukarno. Tidak munasabah tuduhan Malaya hendak mengepung Indonesia kerana rakyat Malaya yang hanya sembilan juta mustahil boleh mengepung seratus juta umat Indonesia”, katanya.

Tunku juga telah menolak cadangan Pas supaya Malaya mengadu kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) kerana konfrontasi Indonesia tidak akan merugikan Malaya. Berita interviu khas dengan Tunku itu tersiar sebagai berita utama muka satu Utusan Melayu keluaran 18 Februari 1963 dengan tajuk: Hadiah Sukarno kepada Aidit, Tunku tolak cadangan mengadu kepada Bangsa Bangsa Bersatu. Berita ini telah dipetik oleh Radio Malaya, agensi agensi berita asing dan juga akhbar Straits Times yang menyebabkan wartawannya di Alor Setar sejak itu berbaik dengan saya.

Sebelum berita tersebut dikirim ke Kuala Lumpur, Tunku telah menghantar Pak Cat ke pejabat saya di Pasar Yaacob, Alor Setar untuk mendapatkan salinannya. Mungkin Tunku kurang percaya dengan saya yang masih nampak sebagai budak mentah. Saya memberikan salinannya dan Pak Cat datang balik ke pejabat saya mengembalikan salinan itu. Tunku hanya meminda satu perkataan sahaja.

Dalam diari 1963 tercatat bayaran telefon bagi penghantaran berita itu pada 17 Februari 1963 sebanyak RM24 bagi masa kira-kira 10 minit (jauh lebih mahal dari sekarang). Bagaimanapun pertemuan meja bulat yang dicadangkan oleh Filipina itu tidak berlaku sebaliknya pertemuan antara tiga kepala negara iaitu Sukarno, Tunku dan Macapagal berlangsung di Tokyo pada Jun 1963 dan diikuti dengan satu lagi pertemuan kemuncak antara mereka di Manila pada Julai 1963 untuk mencari jalan penyelesaian bagi pembentukan Malaysia.

Tunku dalam buku Looking Back menulis dari kronologi perkembangan yang berlaku terutama Persidangan Puncak di Manila pada Julai 1963 menunjukkan dengan jelas bahawa Presiden Sukarno telah tetap pendiriannya untuk tidak menerima Malaysia sebagai sebuah negara”.

Tanpa mempedulikan Konfrontasi Indonesia dan tanpa penyertaan Brunei yang pertama sekali menyatakan hasrat untuk menyertainya, Tunku mengisytiharkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 “tetapi tidak dalam keadaan bersemangat seperti perisytiharan kemerdekaan Malaya enam tahun yang lalu sebaliknya dalam perasaan sesuatu yang lebih buruk akan berlaku”, kata Tunku.

Perasaan Tunku itu memang benar, dalam masa Konfrontasi, Sukarno telah menghantar tenteranya yang didakwa sebagai sukarelawan menerusi darat dan udara untuk mengerakkan perang gerila bagi menghancurkan Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menjadi duri dalam daging (baca buku Duri Dalam Daging oleh Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud) dengan menceroboh kontrak sosial antara Melayu dan bukan Melayu yang diasaskan sejak kemerdekaan Malaya.

Ketika suasana negara semakin meruncing dengan peningkatan ancaman dari Indonesia, saya telah ditukarkan ke Kuala Lumpur yang memberi peluang kepada saya untuk lebih dekat dengan kejadian dan perkembangan seterusnya, tidak sahaja sebagai penyaksi dan pencatat sejarah sambil lalu tetapi ada kalanya terlibat atau hampir terlibat secara langsung.

Saya tidak menyangka bahawa berita eksklusif pertemuan dengan Tunku itu akan memberikan suatu lonjakan dalam karier saya yang menyebabkan saya ditukar ke Kuala Lumpur untuk memulakan suatu perjalanan yang begitu jauh penuh warna-warni dalam dunia kewartawanan yang menjadikan hari hari berlalu selama lebih 30 tahun dengan pengisian hidup penuh bererti.

kunjungan

Kini kawan-kawan wartawan di Alor Setar kebanyakannya sudah tidak ada lagi tetapi yang abadi dalam kenangan saya ialah wang 10.00 dolar yang diberikan kepada saya oleh seorang yang seperti abang kepada saya iaitu wartawan Straits Echo, Ooi Ah Kow pada petang saya hendak berlepas dengan kereta api ke Kuala Lumpur kerana menganggap pertukaran saya itu sebagai suatu pencapaian.

Rumah Tunku di Jalan Putra Mergong kini dikenali sebagai Rumah Merdeka yang terbuka untuk kunjungan orang ramai pada setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari Isnin kecuali pada hari cuti am atau cuti sekolah.

Rumah ini mencatatkan sejarah dengan kunjungan mengejut pada 27 Mei 1966 “Misi Muhibbah” 20 pegawai tinggi tentera Indonesia yang diketuai oleh Laksamana Muda Laut O.B.Syaaf untuk menyampaikan kepada Tunku perutusan khas Jeneral Suharto bagi menamatkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.

Rombongan ini singgah lebih dahulu menemui Timbalan Perdana Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur. Saya adalah salah seorang dalam rombongan wartawan yang diterbangkan khas bersama wartawan lain dari Kuala Lumpur mengikuti rombongan ini ke Rumah Tunku untuk membuat laporan mengenai saat saat paling dramatik dalam sejarah Konfrontasi yang menjadi kenangan manis dan indah hingga ke hari ini.

Salah seorang daripada anggota tentera Indonesia itu adalah Lt. Jen Kemali Idris sendiri yang mencatatkan dalam bukunya Bertarung Dalam Revolusi “Kami diterima dengan penuh mesra, akrab dan ramah kerana mereka menganggap Indonesia adalah saudara.”

Berikutan dengan itu Indonesia telah menamatkan konfrontasinya secara rasmi terhadap Malaysia pada 7 Jun 1966 dengan penandatanganannya antara Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Indonesia Adam Malik di Jakarta pada 11 Ogos 1966.
Fenomena Natrah dalam psikologi bangsa


MANSOR dan Natrah.


NATRAH MAAROF atau Bertha Hertogh, 72 meninggal dunia Khamis lalu yang mana kehidupannya sudah menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif bangsa Melayu. Peristiwa yang dikenali Rusuhan Natrah akan sentiasa diingat oleh orang Melayu pada masa akan datang.

Walaupun ia berlaku pada 12 Disember 1950 di Singapura kerana kekecewaan orang Melayu apabila beliau dimurtadkan sudah berlalu hampir 59 tahun, tetapi ia akan tetap tercatat dalam memori bangsa untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Selepas Rusuhan Natrah itu, apa saja perkembangan mengenai dirinya, apabila diketahui tetap menarik perhatian orang Melayu. Maka kini walaupun beliau sudah tiada lagi, tetapi kehidupannya akan terus dikenang kerana kepiluan hidupnya apabila dipaksa meninggalkan daripada menjadi seorang Melayu kembali kepada Belanda menyakitkan bukan saja kepada diri dan keluarga angkatnya, tetapi juga seluruh bangsa.

Sekurang-kurangnya terdapat empat dimensi yang berkaitan dengan keseluruhan hidupnya. Pertama, dimensi Melayu dalam konteks Nusantara. Kedua, agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu. Ketiga, dimensi perjuangan bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Barat. Keempat, psikologi bangsa Melayu yang mempunyai sifat terbuka dan menerima bangsa lain, tetapi pada waktu sama mampu bertindak serius apabila hak jati diri mereka dicabar.

Natrah tidak mempunyai darah Melayu. Beliau yang lahir pada 24 Mac 1937 adalah anak Belanda tulen bernama Bertha, anak kepada Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya, Adeline. Maknanya, Natrah adalah anak keluarga penjajah yang lahir di tanah jajahan kerana ayahnya berkhidmat dalam tentera Belanda untuk memastikan Indonesia terus dijajah.

Natrah juga bukan lahir di Tanah Melayu. Tetapi dilahirkan di Tjimahi, Jawa, ketika itu sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Tetapi dalam tahun-tahun 30-an, Hindia Timur Belanda dan Tanah Melayu walaupun menjadi tanah-tanah jajahan Belanda dan Inggeris dianggap sebagai tanah air serumpun bersama.

Kedatangan Jepun mengubah hidup Natrah. Demi keselamatannya, beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louise kepada Che Aminah Mohamed tanpa pengetahuan bapanya.

Pada masa kacau-bilau itu, perkara ini adalah suatu yang biasa. Dapat terus hidup adalah suatu yang sudah cukup patut dihargai terutama bagi penjajah Belanda dan Inggeris yang sedang lari daripada kemaraan Jepun.

Sejak diserahkan kepada keluarga Melayu itu, maka bermulalah Bertha berubah jati diri daripada seorang Belanda kepada Melayu. Namanya menjadi Natrah dan dia dididik sebagai seorang Islam selama lapan tahun. Bagi orang Melayu, anak angkat adalah seperti anak sendiri. Anak angkat keluarga Melayu seharusnya menjadi orang Melayu.

Lebih-lebih lagi apabila pada 15 November 1945, Natrah dibawa ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura. Maknanya kalau Natrah terus berada di sini, maka beliau menjadi orang Melayu dan warganegara Malaysia.

Semasa perang Jepun itu, banyak anak-anak daripada pelbagai keturunan dan agama, sama ada Inggeris, Belanda, Cina atau Jepun terselamat apabila mereka diambil sebagai anak angkat orang Melayu. Mereka membesar sebagai orang Melayu dan Islam. Tidak ada masalah dengan mereka.

Tetapi terhadap Natrah, bapanya yang dibebaskan daripada tawanan Jepun kembali ke Bandung mencari Natrah pada tahun 1945. Beliau tidak dapat menerima bahawa Natrah menjadi Melayu.

Hakikatnya ialah Hertogh adalah tentera penjajah yang bernasib baik selamat dalam perang di tanah jajahan. Kalaulah dia terbunuh dalam perang itu, maka tidak timbul Natrah hendak dikembalikan.

Begitu juga Natrah bernasib baik selamat selepas diserahkan oleh ibu dan neneknya kepada keluarga Melayu. Bukan soal dia menjadi Melayu atau Belanda. Hakikatnya dia terselamat dan dipelihara oleh keluarga angkatnya seperti anak sendiri.

Tetapi pada tahun 1950, Tanah Melayu berada dalam penjajahan Inggeris. Atas bantuan pihak berkuasa Inggeris, bapa Natrah dapat mengeluarkan Natrah daripada keluarga Melayu.

Dalam rayuan Che Aminah pada 28 Julai 1950, keluarga angkatnya itu menang. Untuk memastikan Natrah terus menjadi Melayu, beliau dinikahkan dengan Cikgu Mansor Adabi pada Ogos 1950. Mansor Adabi bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah antara anak muda Melayu terpelajar yang timbul pada zaman itu untuk turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan bangsa.

Bahagia

Ketika itu Mansor berusia 18 tahun, dan Natrah 14 tahun. Mereka hidup di Singapura dan berbahagia. Tetapi kebahagiaan mereka dirampas oleh mahkamah penjajah yang tidak menghiraukan kehendak Natrah itu sendiri.

Maka pada 12 Disember 1950 hakim memutuskan Natrah dikembalikan menjadi Belanda. Dia diperintah supaya kembali kepada ibu kandung, perkahwinannya dengan Mansor dibatalkan dan agamanya dimurtadkan.

Natrah meraung-raung di mahkamah mahu kekal berada dengan keluarga angkatnya dan mahu terus menjadi isteri Mansor. Natrah tidak mahu kembali kepada keluarga kandungnya.

"Saya beragama Islam. Saya tidak mahu pergi ke Belanda,'' kata Natrah di mahkamah sambil memeluk suaminya.

Tetapi dia tidak boleh buat apa-apa. Orang Melayu juga tidak mempunyai sebarang keupayaan. Singapura dan Tanah Melayu masih dijajah Inggeris. Apa yang hanya boleh dilakukan oleh masyarakat Melayu di Singapura ialah melancarkan rusuhan.

Dalam hal ini, tentunya Utusan Melayu yang ketika itu akhbar utama orang Melayu memainkan peranan menyiarkan laporan mengenai perbicaraan dan mahkamah serta ulasan-ulasan bagi meluahkan perasaan orang Melayu.

Maka akhirnya, Natrah dibawa juga ke Belanda, dimurtadkan, ditukarkan namanya kembali kepada Bertha dan pada 20 April 1956 berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt.

Suaminya yang sah dari segi Islam tetapi dipisahkan secara paksa oleh Mahkamah kolonial Inggeris berkahwin dengan Zaiton Juhari setelah ketiadaan Natrah. Beliau aktif dalam Malayan Law Journal sejak tahun 1961 dan menjadi Pengarah Urusan jurnal itu sehingga tahun 1987. Beliau meninggal dunia pada 15 Oktober 1988 di Singapura.

Bagi keluarga angkat Natrah, beliau tetap anaknya. Begitu juga bagi masyarakat Melayu. Walaupun banyak tahun berlalu, ada saja keinginan dari kalangan masyarakat Melayu untuk mengetahui apa yang sedang berlaku pada Natrah.

Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah itu. Natrah dan keluarga-keluarganya, baik angkat atau kandung adalah mangsa.

Begitu juga dengan mereka yang terbunuh dan cedera dalam Rusuhan Natrah. Lapan belas terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri daripada orang Melayu di Singapura.

Kesemua mereka, dan juga masyarakat Melayu adalah kesemuanya mangsa kepada sistem penindasan kolonialisme dan imperialisme Inggeris, Belanda dan Jepun.

Bina perkongsian kukuh




WALAUPUN menyatakan bahawa kedatangannya ke Malaysia tiada masalah besar untuk ditangani, Perdana Menteri Australia Kevin Michael Rudd berulang-kali menyebut `isu penyeludupan manusia' dalam jawapannya.

Isu tersebut diterima oleh kerajaan Malaysia yang bersedia bekerjasama dengan Australia - menjadikan lawatan singkat Rudd (sebut Raad) selama tiga jam pada Isnin lalu, sebagai sangat berjaya.

Rudd, dilahirkan pada 21 September 1957 merupakan Perdana Menteri Australia yang ke-26 yang juga Presiden Parti Buruh Australia (ALP) yang berhaluan tengah-kiri. Di bawah pimpinannya, ALP memenangi pilihan raya persekutuan pada 24 November 2007 yang menumbangkan kerajaan gabungan berhaluan tengah-kanan Liberal/ Nasional diketuai John Howard.

Meskipun jadual rasminya begitu ketat, Rudd masih sudi meluangkan masa kepada wakil media Malaysia terpilih untuk mengadakan sesi wawancara.

Berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang menjadi `sektretariat sementara' Australia, Rudd bercakap mengenai pelbagai isu dua hala termasuk bagaimana beliau menitik beratkan hubungan dengan Malaysia, memberi jaminan keselamatan pelajar Malaysia di Australia dan hubungan profesionalnya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ikuti sesi wawancara khas bersama kumpulan wartawan Malaysia yang dikendalikan oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD yang turut disertai wartawan Mingguan Malaysia, JOHARDY IBRAHIM di Putrajaya, Isnin lalu.

MINGGUAN: Anda pernah ke Malaysia setahun lalu. Apakah yang menyebabkan anda datang lagi dan hanya untuk tiga jam?

Rudd: Saya ke sini 12 bulan yang lalu dan saya pastikan untuk melawat Kuala Lumpur dalam tempoh awal saya memegang jawatan Perdana Menteri. Saya mahu menunjukkan bahawa kami mahukan perkongsian yang kukuh dengan Malaysia di rantau ini dan di luar rantau ini. Saya mencapai rundingan yang baik dengan Perdana Menteri ketika itu (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Kali ini, oleh kerana saya sedang dalam perjalanan ke mesyuarat G8 di Itali, tentunya ini peluang yang baik untuk singgah sekejap menemui rakan-rakan dan jiran-jiran. Saya selalu berbuat begini dengan rakan-rakan di rantau ini termasuk paling terbaru di Singapura. Jadi saya fikir ini adalah masa terbaik untuk bertemu Najib, memandangkan beliau baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mengenai isu-isu yang dibincangkan, ia berkisar semua bidang kerjasama dua hala seperti pendidikan, perubahan iklim dan penyeludupan manusia. Saya mesti katakan bahawa Perdana Menteri mempunyai nada yang sangat positif dalam kata-katanya.

Saya mengucapkan syabas kepada Najib atas kerja kuatnya menangani penyeludupan manusia, atas inisiatif yang kukuh yang saya lihat dalam liberalisasi ekonomi Malaysia. Ia adalah langkah-langkah yang sangat bagus. Dan juga, inisiatif baik dalam perubahan iklim. Penubuhan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air, saya fikir adalah langkah yang bagus. Kami mahu bekerja rapat dengan kementerian tersebut dalam bidang perubahan iklim.

Kami memang ada berbincang mengenai ASEAN dan hubungan kami dengan rantau ini secara lebih luas. Kami juga membincangkan mengenai kemungkinan evolusi masa depan dalam komuniti Asia Pasifik. Kami bersetuju untuk bekerja menerusi proses dialog bagi objektif jangka panjang ini.

Apakah anda percaya sebarang masalah boleh diselesaikan atau separuh daripadanya tanpa azam politik seperti G20?

Rudd: Mengenai G20, banyak masalah yang dihadapi sekarang oleh Malaysia dan Australia adalah di luar kedua-dua negara, sama ada ia adalah kemelesetan ekonomi atau perubahan iklim atau liberalisasi dagangan global. Maka itu, cabaran yang kita hadapi ialah mencari kaedah untuk kita mencapai konsensus politik global bagi mencapai sesuatu keputusan. Ia adalah sangat penting.

Kita ada rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pusingan Doha yang telah berlarutan untuk bertahun-tahun lamanya tetapi tanpa hasil. Dan kita ada rundingan perubahan iklim yang akan mencapai peringkat penamat di Copenhagen akhir tahun ini. Kebanyakan rundingan telah terbukti sangat sukar.

Mengenai kemelesetan ekonomi global, terdapat satu yang saya rasa lain iaitu G20 telah berupaya mencetuskan maklum balas. Ia adalah Sidang Kemuncak London pada April dengan nilai pakej rangsangan ekonomi global sebanyak AS$5 trilion (RM17.8 trilion) untuk ekonomi global. Begitu juga dengan keputusan untuk menyediakan sumber-sumber tambahan bernilai AS$1 trilion (RM3.56 trilion) dalam institusi kewangan antarabangsa.

Sekarang, bila anda melihat cabaran-cabaran besar lain yang kita hadapi - perubahan iklim, dagangan dan sebagainya, saya percaya kita perlukan pertubuhan seperti G20 untuk membentuk konsensus politik ke seluruh negara maju dan membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin, Amerika Utara, Eropah dan juga negara Islam dan bukan Islam. Ia adalah sangat bagus sebagai sebuah forum untuk membentuk konsensus dalam menangani cabaran besar yang kita akan hadapi di masa depan.

Mengenai Peraturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA), saya dan Perdana Menteri Malaysia sama-sama menekankan kepentingan kerjasama pertahanan kita. Najib menyatakan dengan jelas bahawa beliau meletakkan keutamaan besar dalam kerjasama pertahanan yang telah bermula sejak zaman Darurat, Konfrontasi. Ia adalah kerjasama kuat dalam hubungan pertahanan dan kami mahu meluaskan lagi hubungan itu dan membinanya atas cabaran-cabaran semasa seperti dalam soal penyeludupan dan penjualan manusia.

Mengenai Persetujuan Perdagangan Bebas (FTA), kami yakin para pegawai kami masih mempunyai kerja positif untuk dilakukan bagi memulakan semula rundingan. Kami rasa mereka akan mencapai kemajuan dalam bidang-bidang tersebut dalam tempoh jangka sederhana. Ekonomi masing-masing adalah penting kepada kedua-dua negara. Kita tersenarai dalam 10 negara rakan dagang utama masing-masing.

Dalam kerjasama teknologi hijau dan pendidikan, kami yakin fabrik kepada hubungan dua hala adalah sangat bagus. Yang keduanya, untuk pertama kali, kami kini mempunyai mesyuarat Kementerian Luar antara kedua-dua negara, di mana mesyuarat pertama diadakan hari ini (Isnin lalu) yang berlangsung dengan jayanya.

Kami membina perkongsian rapat bukan sahaja secara dua hala, kami juga melakukannya dengan ramai rakan di rantau ini, mencari kaedah bagaimana untuk bekerja bersama di luar rantau ini. Awak mungkin mengetahui apa yang kami lakukan bersama di Afghanistan. Australia menyalurkan bantuan untuk melatih guru-guru Afghanistan di Malaysia, sebuah negara Islam. Ini adalah kerjasama tiga hala yang baik. Jadi, ia adalah kerjasama dalam projek-projek di luar hubungan dua hala. Saya rasa inilah di mana kematangan perkongsian antara kami tergambar.

Mengenai visa kerja untuk pelajar, ia sedang dikaji oleh pegawai-pegawai. Mengenai pelaburan, saya dan Najib membincangkan banyak juga kemungkinan pelaburan antara kedua-dua negara, bergantung kepada pertimbangan komersial. Tetapi peraturan pelaburan asing di Australia adalah sangat terbuka. Kami menggalakkan syarikat Australia supaya aktif dalam rantau kami.

Bagaimana anda menggambarkan hubungan dua hala kita sekarang?

Sentuhan peribadi dalam catatan

ADAKALA seseorang penulis pojok membuat ulasan tidak diduga, iaitu tiada kaitan dengan masalah-masalah politik, ekonomi, sosial atau agama. Perihal peribadi pula dicatat.

Demikian halnya dengan Garrison Keillor, salah seorang penulis pojok yang menulis untuk pelbagai akhbar Amerika melalui saluran yang dipanggil syndicated column. Antara akhbar-akhbar yang melangganinya ialah International Herald Tribune dan Honolulu Advertiser.

Sedutan daripada sebuah ulasannya baru-baru ini seperti berikut: “Dunia kini kepunyaan mereka yang muda dan berani. Kita membaca mengenai syarikat-syarikat besar cuba diselamatkan melalui rangsangan ekonomi kerajaan. Ertinya kita menggadai masa depan kita, diri kita dan menyelamatkan pihak-pihak yang degil dan bodoh. Ekonomi meleset dan ramai menganggur tiap bulan. Negara India dan China kini melakukan apa yang kita (Amerika) lebih handal melakukannya di masa lampau.

Saya pun terkenang kepada seorang wanita semasa kami menuntut di sebuah kolej. Beliau penulis seperti saya, orangnya tinggi dan jelita. Pahanya begitu licin hingga mudah terasa geli. Manakala saya menciumnya berlaki-kali ia ketawa berdekah-dekah. Lantas kini bila saya mendengar ketawa besar wanita saya pun teringatkannya kembali dan tertanya-tanya di mana dia sekarang ini.

Pada suatu malam rakan-rakan dan saya makan di sebuah restoran dan berbincang mengenai pelbagai masalah dunia masa kini, termasuk kejadian-kejadian di Timur Tengah. Tiba-tiba kedengaran suara beberapa orang gadis di belakang kami.

Seorang gadis bercerita mengenai ibunya, jururawat sebuah pusat rawatan pesakit-pesakit yang menghidap sakit yang tidak boleh lagi diubat. Adakala ibunya menyediakan ubat-ubat bercampur bahan-bahan lain untuk seseorang pesakit yang dianggapnya tiada masa depan lagi. Ibu membuka jalan untuk pesakit menuju ke alam baqa pada kira-kira pukul 4 pagi ketika keadaan sunyi sepi. Bagi yang bakal mati yang terakhir sekali kehilangan ialah pendengaran atau suara.

Pada suatu hari saya (gadis pencerita) melangkah ke bilik rehat rumah kami dan melihat ayah tidur lena dan ibu seperti malaikat maut berdiri memandang ke arahnya. Kucing kami memandang ke arah ibu. Kerana, kucing itu tahu apa boleh berlaku.

Dibincangkan oleh gadis-gadis itu dengan ketawa besar ialah yang dipanggil euthanasia iaitu pembunuhan tanpa rasa sakit bagi seseorang yang terlalu tua atau yang sakitnya tidak boleh diubat lagi. Juga disebut ialah mercy killing.

Lantas Keillor tiba-tiba teringat kembali gadis yang mengasihinya di waktu dulu. “Saya telah meninggalkannya pada cuti kolej. Manakala balik ke kolej selepas cuti gadis itu sudah tiada lagi, sudah tiada lagi, sudah tiada lagi,’’ demikian keluhan Keillor.

Seperti biasa beliau kemudian menulis kembali mengenai kancah politik Amerika. Kali ini mengenai Parti Republikan yang memerintah Amerika selama lapan tahun di bawah pimpinan Presiden George Bush dan Timbalan Presiden Dick Cheney. Seperti dilaporkan Cheney kini kerap kali membela partinya dan mengecam Parti Demokrat pimpinan Presiden Barack Obama.

Pendirian

Lalu Cheney menegaskan pendirian Parti Republikan we are what we are. Ia selaras dengan kenyataan pujangga Perancis, Marcel Proust dalam bukunya Remembrance of Things Past.” Nous Sommes qui nous Sommes - we are what we are, iaitu hati nurani Parti Republikan dewasa ini. Demikian kisah.

Pertanyaan: Apakah tidak sedemikian juga sikap sesetengah tokoh dan ahli-ahli politik di negara kita dewasa ini?

Keillor sendiri penyokong kuat Parti Demokrat sejak waktu muda. Jangan pandang serong ahli-ahli Demokrat kerana anda mungkin salah seorang daripada kami, seperti kata seorang pujangga, tempat paling panas sekali dalam neraka dikhaskan kepada mereka yang berkecuali dalam masa krisis, beliau menulis dalam salah sebuah bukunya.

Namun adakalanya pihak media tidak melaporkan peristiwa yang sepatutnya menjadi bahan berita seperti demonstrasi oleh orang-orang Arab di Israel yang menuntut hak-hak sama dengan warga Israel. Tiada gambar melalui televisyen dan tiada laporan dalam akhbar-akhbar. Sebabnya? Mereka melaporkan demonstrasi-demonstrasi di Iran saja.
Usaha bantu belia Islam


Peserta-pesErta kursus dari selatan Thailand bergambar kenangan selepas menerima sijil masing-masing.


KONFLIK di sesebuah wilayah sudah pasti akan berterusan jika generasi sedia ada turut disogokkan dengan sentimen permusuhan, tambahan pula jika mereka tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.

Begitulah juga bagi belia di selatan Thailand, mereka sentiasa sahaja terdedah dengan usaha sesetengah pihak yang cuba menghasut mereka bagi terlibat dalam aktiviti yang boleh menggugat keamanan.

Oleh itu, golongan ini perlu diberi perhatian termasuklah membantu mereka memperolehi ilmu kemahiran hidup bagi membolehkan mereka berdikari di masa hadapan.

Menyedari hakikat itulah sebuah syarikat tempatan di Hat Yai, Syarikat Pithan dan Syarikat Honda Hatyai dengan kerjasama Task Force 960 (Thailand) dan Task Force 2010 (Malaysia) menganjurkan kursus mekanik membaiki motosikal kepada belia Islam dari selatan Thailand.

Kejayaan mengadakan kursus berkenaan adalah hasil kesungguhan Task Force kedua-dua negara bagi membantu masyarakat wilayah tersebut dan ia menjadi mudah dengan sikap terbuka yang ditunjukkan oleh Syarikat Pithan dan Honda.

Matlamat utama mereka ialah melahirkan satu generasi yang berkebolehan dan seterusnya membantu mereka berdikari. Melalui cara sedemikian ia akan mampu menggelakkan mereka terpengaruh dengan sebarang kegiatan tidak sihat.

Apa yang membanggakan ialah sebahagian peserta kursus anjuran Honda itu terdiri daripada mereka yang pernah menjalani kursus teknikal di Perak yang dianjurkan oleh Task Force 2010 (Malaysia).

Mengulas perkara itu, Ketua Pengarah Task Force 2010 (Malaysia), Lt. Jen. Datuk Wan Abu Bakar Omar berkata, pengalaman dan latihan asas yang mereka perolehi semasa di Malaysia telah memudahkan peserta-peserta tersebut mengikuti latihan lebih intensif di Thailand.

objektif

Bagi Wan Abu Bakar, usaha melatih belia selatan Thailand telah dapat memenuhi objektif asal yang ditetapkan oleh agensi berkenaan bagi membolehkan golongan itu mendapat ilmu kemahiran.

''Untuk itu Task Force 2010 (Malaysia) sedang memilih bidang-bidang latihan yang dapat memberi manfaat jangka panjang khususnya ke arah membentuk usaha membawa keamanan ke wilayah selatan,'' katanya ketika ditemui.

Sememangnya langkah Task Force 2010 (Malaysia) itu adalah tepat sekali seperti mana kata Ketua Pengarah Task Force 960 (Thailand), Jeneral Kasem Yuthavira yang menegaskan, golongan belia adalah aset negara yang amat berharga.

''Remaja adalah jentera yang sangat penting untuk mengemudikan masyarakat pada masa hadapan. Apa yang sedang berlaku di wilayah selatan Thailand sedang diberi tumpuan oleh semua agensi kerajaan di negara itu,'' katanya.

Kasem menegaskan, masa depan tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat adalah tanggungjawab generasi muda.

komitmen

Ternyata sekali komitmen jitu diberikan oleh Task Force 2010 (Malaysia) dan Task Force 960 (Thailand) bagi mengembalikan keamanan di wilayah tersebut.

Penulis berkesempatan melihat kesungguhan masyarakat Siam Buddha yang cuba membantu penduduk Islam. Apa yang menarik kesungguhan syarikat Honda membantu belia Islam adalah berasaskan kepada keikhlasan Pengarah Urusannya, Thammanum Kovitya yang ingin berbakti kepada tanah kelahirannya.

Dalam ucapannya beliau secara jelas menyatakan, ''Saya telah diajar oleh nenek moyang saya bahawa di mana kita membesar, di mana kita mendapat rezeki maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu masyarakat yang tinggal dalam kawasan itu serta membina taraf hidup mereka ke arah lebih baik.''

Berdasarkan kepada keazaman itulah dan dengan bantuan Task Force 2010 (Malaysia) dan Task Force 960 (Thailand), golongan belia menjadi sasaran utama bagi mengubah corak kehidupan masyarakat selatan.

Semua itu hanya boleh dilakukan jika mereka mempunyai kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari di masa hadapan.

Kesimpulannya, biarpun kursus yang dianjurkan hanya mengambil masa sebulan namun ia tetap mempunyai signifikannya tersendiri, apa yang paling penting ia menyumbang menyumbang ke arah matlamat mewujudkan cahaya keamanan di selatan Thailand.

Uighur tenat dikekang Han


Sekumpulan kaum Han memukul lelaki Uighur yang bersendirian.


NASIB umat Islam sering saja tertindas terutama di kawasan yang mereka menjadi minoriti. Tidak kira di ceruk rantau mana mereka berada, ada saja konflik dan penindasan yang tercetus.

Kita boleh saksikan juga perkara sebegini berlaku di negara seperti Thailand dan Filipina yang mana umat Islam merupakan minoriti.

Begitu juga nasib umat Islam di negara-negara Barat seperti Perancis. Mereka ini dilayan seperti penduduk kelas kedua kerana mereka ini merupakan pendatang dari negara bekas jajahan seperti Maghribi dan Algeria. Maka tidak hairanlah berita kejadian rusuhan pada 2005 pernah menjadi sisi gelap bagi negara itu.

Namun semua kejadian ini tidak dinilai dengan bijak dan terbuka oleh China, sebuah negara yang bakal mendominasi landskap ekonomi dan politik dunia. Jika mereka mengkaji dan menilai apa yang berlaku di Palestin, selatan Thailand malah di Perancis pastinya nasib penduduk minoriti Uighur akan lebih baik dan terjamin memandangkan mereka ini juga sebahagian dari penduduk negara itu.

Mereka ini adalah penduduk asal dan menguasai wilayah Xinjiang namun kini mereka dipandang sebagai penduduk kelas kedua. Mereka ini bukan sahaja ditindas kerana agama tetapi lebih terarah kepada cubaan asimilasi dan dominasi oleh China.

Dalam kejadian terbaru di Urumqi dalam wilayah Xinjiang, dianggarkan 1,000 hingga 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Rakyat. Mereka membantah kematian beberapa pekerja kilang alat permainan akibat perkelahian antara kaum Uighur dengan kaum Han China pada 25 Jun lalu.

Pada awalnya pertembungan pada Ahad lalu tercetus akibat kegagalan kerajaan mengendalikan pertikaian tersebut dengan adil hingga bertukar menjadi ganas. Maka tercetuslah pertempuran antara kaum Han dan etnik Uighur yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 156 orang terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera.

Tindakan ini dilihat sebagai yang paling berdarah selepas kejadian di Medan Tiananmen lebih 20 tahun lalu. China menuduh puak pemisah Islam Uighur menggunakan senjata pisau dan kayu belantan ketika mengadakan rusuhan.

Ratusan penunjuk perasaan dari kaum Han, kumpulan etnik utama di China, dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, paip besi dan batang kayu bertindak menyerang kedai-kedai milik kaum Uighur.

"Mereka menyerang kami, kini giliran kami untuk menyerang mereka," kata seorang lelaki Han.

Sebelum itu, sekumpulan wanita Islam Uighur yang bertudung bergelut dengan anggota polis bersenjata dalam protes berasingan di ibu kota itu.

Kira-kira 200 wanita menyekat sebatang jalan sambil menjerit bahawa suami dan anak-anak mereka telah ditangkap dalam operasi besar-besaran yang dijalankan oleh pihak berkuasa China ke atas kaum minoriti Islam itu.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, polis telah menangkap 1,434 suspek kerana disyaki terlibat dalam rusuhan tersebut.

Bagaimanapun di sebalik semua insiden ini pastinya kita tertanya-tanya kenapa peristiwa ini berlaku. Secara umumnya diskriminasi dan polarisasi kaum menjadi kata kunci kepada rusuhan ditambah pula rasa tidak puas hati akibat penindasan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap kaum Uighur.

Wilayah Xinjiang yang mempunyai keluasan 1.6 juta kaki persegi dengan kepadatan penduduk 20 juta merupakan sebuah wilayah yang asalnya dikuasai oleh kaum Uighur. Nama wilayah Xinjiang yang bermaksud wilayah baru dalam bahasa Mandarin dianggap sebagai satu penghinaan kepada kaum Uighur. Mereka lebih suka jika nama yang membayangkan etnik mereka seperti Uyghurstan digunakan.

Wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Rusia bahagian utara serta Pakistan dan India di bahagian selatan turut menempatkan 47 etnik lain. Namun kaum Uighur yang kebanyakan bertutur dalam bahasa Turki menguasai dengan jumlah penduduk 8.3 juta.

Dari segi sejarah, wilayah ini telah banyak kali dijajah oleh China. Wilayah ini pernah muncul sebagai Turkestan Timur ketika berlakunya perang saudara namun China bertindak menyerang dan menguasai wilayah ini pada tahun 1949. Sejak itu wilayah itu diletakkan sebagai salah satu dari lima wilayah autonomi di China

Bagaimanapun peningkatan mendadak kaum Han China di situ telah meningkatkan kemarahan kaum Uighur. Bayangkan dari hanya enam 6 peratus pada 1949 kini kaum Han telah meningkat kepada lebih 40 peratus.

penguasaan

Ini jelas menunjukkan polisi yang diamalkan China bagi mengelakkan penguasaan kaum Uighur di wilayah itu selain dari mengelak sebarang kegiatan nasionalis berleluasa. Apatah lagi dengan kejayaan negara-negara bekas jajahan Rusia seperti Kazakhstan mendapat kemerdekaan pada 1990-an, China melihat usaha menempatkan kaum Han di wilayah ini sebagai satu keperluan untuk mengekang sebarang usaha-usaha berbentuk nasionalis dan kemerdekaan.

Gerakan mendapat kemerdekaan oleh puak Uighur ini telah diusahakan oleh Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) dan Parti Islam Turkestan (TIM). Kedua-dua kumpulan telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas dan didakwa pernah menerima latihan dan dana dari Al-Qaeda.

Bagi pemimpin demokrasi Uighur yang kini tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat (AS), Rebiya Kadeer beliau menganggap apa yang berlaku sekarang sebagai tindakan luahan perasaan marah penduduk asal.

"Apa yang saya lihat di sana ialah golongan muda tidak mempunyai pekerjaan, tanpa pendidikan dan tanpa harapan.

"Mereka tahu matlamat mereka tetapi pada masa yang sama mereka tahu tidak ada harapan untuk ia dipenuhi. Saya tidak menyokong tindakan ganas sebegini tetapi kemarahan seperti ini pasti ada sebabnya," kata Rebiya yang pernah menjadi antara orang terkaya di China sebelum disumbat ke dalam penjara selama enam tahun.

Kebanyakan perniagaan dikuasai oleh penduduk Han dan rumah-rumah penduduk Uighur telah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kemasukan kaum Han. Kebanyakan peluang pekerjaan turut dikuasai oleh puak Han. Lebih menyedihkan budaya kaum Uighur telah diketepikan dan mereka kini umpama golongan minoriti yang terpaksa menumpang di wilayah sendiri walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

Kaum Uighur mengatakan kebanyakan dasar-dasar kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka demi memberi tempat kepada penghijrahan kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang dan ini telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan.

Dari segi kemanusiaan penindasan sebegini tidak seharusnya berlaku. Kaum Uighur hanya mahukan keadilan dan hak mereka dikembalikan. Namun laungan mereka ini tidak mendapat sebarang pembelaan dari kerajaan China. Sesungguhnya pihak berkuasa China tidak harus menyalahkan kaum Islam Uighur sahaja dalam setiap rusuhan yang berlaku.

Mereka perlu lebih peka dengan kehendak puak Uighur ini memandangkan mereka juga sebahagian dari penduduk negara itu. Adalah jelas, yang tertindas adalah puak Uighur kerana segala hak dan kepunyaan mereka ini dirampas hanya untuk memberi ruang untuk kaum majoriti Han yang menguasai China secara keseluruhan.

Model baru pendidikan jawab kebimbangan mansuh PPSMI

Bersama Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my


KEPUTUSAN kerajaan memperkenal model baru pendidikan menggantikan PPSMI bukan untuk menidakkan pentingnya bahasa Inggeris di persada dunia.

Penggunaan bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan wajar dipantau

PELBAGAI sambutan terhasil daripada pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi tumpuan kini sudah tentu ke atas bantahan yang diterima, terutama daripada ibu bapa.

Banyak undian dan pungutan suara diadakan yang rata-rata, secara amnya membantah keputusan ini. Malah undian di laman web berbahasa Malaysia pun tidak memberi sokongan padu kepada keputusan ini.


Memang kita boleh disangsikan keputusan undian alam maya ini, namun kita tidak boleh menafikan wujud sekumpulan besar rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang kurang senang dengan keputusan Kementerian Pelajaran.

Kumpulan yang mahukan PPSMI dimansuhkan pula semestinya gembira, oleh itu, tidak perlu banyak menulis atau membuat kenyataan. Kejayaan sudah di tangan, kini masa merai kemenangan.

Sebenarnya sesiapa yang mengikuti isu ini tentu sudah dapat menjangka keputusan ini. Jika dikaji, kenyataan-kenyataan sebelum ini seolah-olah mahu mempersiapkan kita akan keputusan ini.

Contohnya, cadangan untuk menambah dan memperbaiki pengajaran Bahasa Inggeris dengan mementingkan tatabahasa dan sastera, atau cadangan wajib lulus bahasa itu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), digubah seolah-olah untuk menunjukkan bahawa pentingnya di dalam perkiraan kerajaan kedudukan bahasa Inggeris di dalam perancangan pendidikan kita.

Namun, sebab utama dasar diubah ialah pencapaian murid untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris tidak menunjukkan perubahan yang ketara dengan PPSMI. Juga didapati terlalu sedikit guru yang melaksanakan PPSMI dengan sepenuhnya. Sama ada keupayaan bahasa Inggeris yang lemah ataupun kasihan kepada murid yang tidak boleh berbahasa Inggeris

Didapati juga jurang pencapaian antara murid di bandar dan luar bandar masih kekal untuk mata pelajaran itu.

(Tetapi kita juga perlu ingat jurang antara bandar dan desa wujud juga sebelum PPSMI dan ia mungkin hasil daripada perbezaan sosioekonomi dan bukannya bahasa pengantara.

(Kita juga perlu berhati-hati bila merumuskan fenomena ini, kerana kadang-kadang kita bercakap seolah-olah orang luar bandar tiada upaya untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Ia tentulah tidak benar kerana banyak tokoh pemimpin, perniagaan dan juga pentadbiran yang dulunya mandi di sungai dan tandas di luar rumah, yang kini menguasai bahasa Inggeris dengan baik.)

Tidak kurang penting juga sebab PPSMI dimansuh ialah kerana terlalu sedikit sokongan orang politik � baik pada pihak kerajaan atau pembangkang. Bagi mereka yang menangguk di air keruh, kini mereka mengkritik pemansuhan PPSMI, walaupun dulu mereka sama berarak menentang polisi itu.

Seperkara lain, apakah pendirian pejuang bahasa Melayu mengenai kedudukan bahasa itu di sekolah jenis kebangsaan China dan Tamil?

Di sekolah ini, bahasa Malaysia digunakan kurang 20 peratus seminggu. Dengan penambahan waktu untuk Bahasa Inggeris dan Matematik dan Sains diajar di dalam bahasa Mandarin atau Tamil, apakah nasib bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk semua rakyat Malaysia.

Sebenarnya, bahasa Malaysia ialah bahasa ketiga di sekolah-sekolah ini.

Apakah kita hanya mahu menumpukan perhatian kita kepada sekolah kebangsaan yang mana hampir keseluruhan pelajarnya Melayu?

Kini di dalam urusan harian kita kita akan bertemu rakyat Malaysia yang penguasaan bahasa Malaysia sungguh memalukan. Walaupun sudah bertahun-tahun belajar, bukan saja sebutan pelat, tetapi tatabahasa mereka seakan-akan pekerja asing yang baru turun kapal terbang.

Adakah sebab aktivis sekolah Cina dan Tamil adalah rakan seperjuangan dalam pemansuhan PPSMI, maka pejuang bahasa kita hanya menjeling sebelah mata kedudukan bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan?

Walau bagaimanapun, apa saja pandangan kita mengenai pemansuhan PPSMI, kita patut berterima kasih bahawa keputusan sudah dibuat. Kini kita boleh memandang ke hadapan, mencatur langkah dan bergerak berbanding ketidaktentuan lebih setahun bila PPSMI mula dibincang dengan meluas.

Nyata, kebimbangan sebahagian daripada masyarakat adalah hasil daripada persoalan yang berguni-guni terkumpul di kalangan ibu bapa. Soalan-soalan, kebimbangan dan kesangsian akan ditokok tambah apabila mereka berjumpa dan berbual. Di kalangan mereka semakin lama berbincang, dirasakan semakin sugul dan malap masa depan anak-anak mereka.

"Kenapa kita sanggup menggadai masa depan anak-anak kita yang akan tinggal di dunia yang mana sempadan semakin luput dan di mana pengaruh bahasa Inggeris semakin bertambah?"

"Apakah kita tidak tahu bagaimana bahasa Inggeris membolehkan anak kampung kita menjadi anggota kelas menengah dan mampu berdiri bersebelahan bangsa lain di persada dunia?"

Kepada yang kecewa dengan keputusan ini, cubalah cari jalan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada model baru pendidikan ini. Adalah lebih baik mereka membantu untuk menyelesaikan kebimbangan dengan bekerjasama dengan kementerian.

Kini keputusan sudah dibuat dan apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah untuk menunjukkan sistem baru yang akan digunakan akan mempunyai kesan lebih baik daripada PPSMI. Tidak perlu tunggu 2012.

Kerajaan perlu memberitahu kita rupa bentuk dan cara model baru pendidikan yang dikatakan akan memberi penyelesaian yang lebih menyeluruh - memartabatkan bahasa Malaysia, memantapkan bahasa Inggeris dan menjayakan pendidikan Sains dan Matematik.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa keputusan ini wajar dan tindakan seterusnya bukan saja akan menjawab segala persoalan kita, tetapi juga akan melegakan kebimbangan kita.

Kerajaan perlu tunjukkan kepada kita keputusan ini bukan terhasil daripada desakan politik dan ia berlandaskan kepada keinginan mengadakan masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak kita dan juga untuk bahasa Malaysia.

Soal Jawab: Pemansuhan PPSMI demi masa depan pelajar seluruh negara



Tan Sri Muhyiddin Yassin

SEJAK dilaksanakan pada 2003, dasar Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menempuh ranjau hingga akhirnya Kabinet memutuskan untuk memansuhkannya pada 2012, disertai strategi untuk terus memantapkan Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI). Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR dan ROHANIZA IDRIS bertemu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk penjelasan lanjut keputusan berkenaan.

Ada pihak mendakwa keputusan kerajaan ini hanya atas dasar politik untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), bukannya demi masa depan bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri.

Keputusan ini dibuat berdasarkan political will (semangat politik), kerajaan adalah parti yang mentadbir negara. Apakah kerajaan berani buat keputusan... bagi saya, kerajaan berani buat keputusan walaupun kita tahu ada kesan pro dan kontranya. Sebab itu kita guna asas rasional, kajian empirikal dan saintifik. Data yang kita kumpul bukan dalam tempoh singkat, (pemansuhan) berdasarkan fakta itu, tak perlu ada pihak lain yang mendesak... kita lihat (hasil kajian) yang sudah saya bentang itu.

Kita buat keputusan ini bukan faedah untuk diri saya... saya sudah lepas (belajar), bukan faedah untuk siapa pun, (tetapi) kita nak lihat generasi masa depan. Kalau kita tak putuskan sekarang, kita akan melarutkan lagi dasar itu sampailah tak tahu bila. Kajian di kementerian pun kata, kalau tak ubah sistem itu sekarang dan kita teruskan lagi, tak tahulah bila masanya dapat, sempurnalah PPSMI.

Di luar bandar, BI dianggap sebagai bahasa asing, bukan pun bahasa kedua. Bahasa pertama ialah loghat dia, kedua bahasa Melayu, yang ketiga barulah BI yang dianggap sebagai bahasa asing. Jadi, bagaimana seorang pelajar itu dapat menangkap ilmu kalau mereka tak faham BI, sampai saya dimaklumkan oleh pengarah pelajaran bahawa guru yang tahu BI pun kasihan nak mengajar dalam bahasa itu kerana murid tak faham. Bila tak faham, tak boleh bagi tumpuan kepada pelajaran, dia tak dapat ilmu. Keputusan yang kita buat ini bukan atas gesaan politik, bukan kerana kita fikir ini sesuatu yang boleh memberi faedah kepada kita sama ada dari segi mileage dan sebagainya. Apa yang penting kita buat sebab pelajar, anak kita. Inikah dia (pemansuhan) atau teruskan. Saya tak nafikan ada juga yang kata PPSMI baik, saya tak nafikan itu dan tak kata PPSMI tak baik.

Di sesetengah sekolah, mereka (murid) sudah agak begitu selesa dengan PPSMI. Ini sekolah terpilih di bandar sebab di situ jurang penguasaan BI agaknya tidak besar kerana mereka sudah biasa mendengar ibu bapa guna BI, suasana di rumah begitu, dihantar ke tadika dan lepas itu masuk sekolah. Dia sudah senang dan selesa, jadi bagi mereka tidak jadi masalah. Tetapi, apabila kerajaan nak membuat keputusan, kita tak boleh ambil kira satu, dua, tiga, empat, lima (murid) ini saja... kita kena ambil kira 10,000 yang majoritinya dan sebab itu, keputusan ini disambut baik ramai, tetapi ada juga yang tidak menyambutnya kerana mereka kata kenapa tak kekalkan PPSMI. Kerajaan tak boleh buat dua sistem... nampak macam (sistem) sekolah kita ini tak menentu, kita kena buat sesuatu.

Adakah kerajaan berasa lega dengan keputusan ini selepas PPSMI mendapat begitu banyak bantahan selama ini.

Bagi saya, ia satu keputusan yang melegakan kerana kita harus buat keputusan ini... sudah sampai waktu yang sesuai. Bila ada keputusan, maka perancangan untuk melaksanakannya bolehlah bermula. Sebab itu kita tidak kata nak buat (pemansuhan) esok atau tahun depan. Ada orang kata kalau sudah nak buat itu, kenapa tak buat. Macam sesetengah pejuang bahasa kata, kalau sudah betul (hendak memansuhkan), kenapa tunggu sampai 2012. Kita kena ambil kira pula faktor pelajar yang ada dalam sistem ini, kalau esok kita tukar, terkejut dia, apa ini cikgu datang cakap dalam BM... tak boleh. Orang kata mesti ada soft landing, jangan mendarat dengan terkejut supaya kohort, iaitu kumpulan pelajar yang sekarang ini ada dalam sistem PPSMI terus habiskan dulu, barulah kita masukkan dalam sistem baru. Yang keduanya, kita nak buat persiapan untuk kurikulum yang kita cadangkan seperti tambah masa (pengajaran dan pembelajaran)... kalau tambah masa dan tambah pula dengan... katakan kalau BI dengan tata bahasanya, komponen sasteranya, di sekolah rendah pula dengan didik hiburnya yang boleh menyeronokkan. Jadi ada pengubahsuaian pada sistem dan cara yang agak baru dan ini memerlukan juga guru terlatih dengan kurikulum baru. Komponen dalam kurikulum baru yang kita cadangkan itu juga perlukan masa. Kita sebut 13,000 (guru terlatih)... kita kena berusahalah, sebab itu kita melihat kepada beberapa sumber untuk mendapatkan guru terlatih dalam BI saja. Guru terlatih untuk Matematik dan Sains dalam BM mungkin sudah ada, tetapi kalau tak cukup kita nak tambah, itu yang kita kata nak memartabatkan BM.

Adakah keputusan ini kekal atau akan ada lagi perubahan selepas ini.

Saya tidak fikir ada perubahan lagi. Kalau ada pun penambahbaikan kepada apa yang kita perlu buat, itu boleh dibuat dan tidak menjejaskan dari segi dasar. Dasar sudah ada, memartabatkan BM itu dasar kita, mengukuhkan BI itu dasar kita. Penambahbaikan seperti peningkatan dari segi cara untuk menyampaikan, itu akan dibuat. Saya tidak fikir akan ubah lagi dasar ini kerana dalam soal pendidikan, kita kena betul-betul buat satu dasar... sebab itu saya berfikir panjang apabila kita putuskan sesuatu, implikasinya besar kerana ia membabitkan ramai rakyat. Dalam bidang ekonomi contohnya, kita putuskan (dasar) hanya membabitkan kelompok tertentu, tetapi ini (pendidikan) apabila kita kata ya, ikut (dasar) ini... lima juta rakyat yang jadi pelajar dan kalau kira sekali dengan ibu bapa, kali dua sudah 10 juta rakyat, jadi kita tak boleh main-main. Bagi saya, ini keputusan yang tepat, jadi kita akan laksanakan sepenuhnya dasar ini.

Bolehkah Tan Sri memberi jaminan, terutama kepada ibu bapa dan guru yang keliru dengan banyak perubahan berhubung dasar pendidikan sebelum ini.

Saya fikir ia bukan setakat jaminan, tetapi mereka mahu melihat dasar yang konsisten, berterusan dan seriusnya kita dalam melaksanakan dasar itu. Jadi, kita mengambil masa untuk betul-betul memikirkan apa yang kita buat sekarang. Orang berkata pendidikan itu dinamik kerana dunia sering berubah. Dalam persidangan menteri pendidikan Komanwel sebulan lalu, kita bincang mengenai sistem pendidikan, adakah ia bergerak selari dengan perubahan global yang amat cepat. Adakah sistem pendidikan berada pada paras yang sama dengan perubahan global itu, di depan atau terkebelakang. Kita berbicara mengenai teknologi, adakah kita bergerak selari. Jika tidak selari, kita hanya akan melahirkan mereka yang tidak sesuai dengan kehendak masyarakat, baik dalam bidang ekonomi, sosial atau bidang lain. Isunya di sini ialah pendidikan itu bukan statik, tetapi dasarnya mestilah konsisten, boleh dibuat perubahan untuk meningkatkan sistem itu.... tetapi jangan berkompromi dengan dasar.

Dasar pendidikan kita sudah ada, sebenarnya jika kita lihat kepada Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib, jelas dinyatakan bahasa pengantar mesti bahasa kebangsaan. Jadi, PPSMI agak tersasar... tujuannya untuk meningkatkan penguasaan BI tetapi orang kata lakukannya dengan belajar BI, bukan melalui Matematik dan Sains. Seperti yang dikatakan Tun Dr Mahathir Mohamad, idea PPSMI kerana kita mahu meningkatkan graf ilmu Sains, Teknologi dan Matematik. Cara terbaik melakukannya ialah melalui BI... itu betul, tetapi masalahnya kita tidak ada cara melakukannya. Ia memang benda baik, tetapi sukar dicapai. Kemudian kita kata jika tidak boleh lakukannya, kita mesti perkukuhkan BI kerana ini lebih mudah untuk kita menguasai ilmu dalam BI.

Ada yang menyatakan keputusan ini menjadikan PPSMI projek 'gajah putih' kerana segala peralatan seperti LCD, komputer bimbit, kos perundingan dan seumpamanya akan terbiar.

Saya tak fikir ia akan menyebabkan kerugian kepada sistem keseluruhannya. Terbukti, pencapaian pelajaran anak-anak juga (dalam PPSMI) tidaklah terlalu menjunam... tidak dapat ilmu langsung, itu tidak betul. Dalam perubahan sistem, memang biasa kita mengeluarkan perbelanjaan untuk guru dan perkakasan. Untuk perkakasan, saya fikir ia masih boleh digunakan cuma perisian perlu diubah suai dengan kandungan baru, tidak semua perlu diubah. Nak kata ia jadi 'gajah putih", tidak sebegitu kerana tenaga guru sedia ada boleh digunakan. Kalau dulu guru mengajar Sains dan Matematik dalam BI, tidak susah untuk mereka kembali mengajar dalam BM. Dari satu sudut, untuk jangka panjang (pemansuhan) nampak lebih menjimatkan. Pada peringkat awal apabila kita mahu meminda perkara ini memang memerlukan perbelanjaan, seperti penambahan guru. Jika mahu menambah guru BI kepada 13,933 orang, perlulah gunakan perbelanjaan besar. Ini fakta yang tidak dapat kita elakkan, begitu juga perbelanjaan mengukuhkan sistem sokongan lain seperti komputer dan makmal bahasa (linguaphone) serta guru tambahan jika kelas terlalu besar dan jumlah pelajar besar. Begitu juga kandungan mata pelajaran. Jika kita mahu perkenalkan kandungan sastera, maka perlu ada buku sastera. Untuk memperkukuhkan (sistem pendidikan), kita kena belanja. Dakwaan menyatakan perbelanjaan dulu (untuk PPSMI) sebagai pembaziran, tidak betul sebenarnya. Nak kata anak kita tidak belajar ketika PPSMI dilaksanakan... tak betul, mereka masih belajar, nak kata PPSMI merosakkan sistem, itu tidak betul. Dengan perubahan ini, apa yang sudah kita belanjakan tidak harus dianggap sebagai pembaziran kerana pelajar masih tetap mahu belajar dan perkakasan serta tenaga guru masih boleh terus digunakan.

Boleh Tan Sri jelaskan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan BM dan memantapkan P&P BI.

Usaha memartabatkan BM ialah dengan mengembalikan P&P Matematik dan Sains dalam BM. Pemansuhan ini jelas menunjukkan kita mahu mengembalikan semula martabatnya. Bermakna bahasa Melayu hiduplah kembali, berkembang dalam ilmu sains dan matematik. Jika tidak, tiada siapa yang mahu belajar bahasa Melayu. Bahasa Melayu hilang dan kesannya besar. Bagi menaikkan martabat bahasa Melayu juga dicadangkan supaya dihidupkan kembali kesusasteraan Melayu... dulu tidak diajar secara spesifik dan kini subjek ini ditambahkan waktu pengajaran dan pembelajarannya. Selain itu, tenaga pengajar iaitu guru terlatih juga ditambah kerana waktu pengajaran ditambah dan pendekatan modular juga dilaksanakan, termasuk mewujudkan P&P didik hibur kerana ia lebih berkesan, mudah difahami dan menarik anak-anak di sekolah rendah.

Kita juga mahu mengeluarkan lebih banyak guru terlatih termasuk daripada kalangan graduan universiti tempatan, bermakna kita tempatkan graduan di sekolah rendah. Di sekolah rendah kini, hanya 40 peratus guru lulusan universiti, selebihnya tidak... dengan kata lain majoriti guru (sekolah rendah) bukan graduan. Apabila ini berlaku, cara penyampaian dan pengajaran sedikit berbeza. Justeru, matlamat kita untuk menaik taraf tenaga pengajar di sekolah rendah. Ini kerana sekolah rendah adalah waktu kritikal untuk pembinaan minda anak. Masa di sekolah rendah juga mudah untuk membentuk dan melenturkan anak, empat lima tahun kemudian (selepas sekolah rendah), agak sukar. Dengan ada pendekatan baru ini, saya lebih yakin boleh mencapai matlamat yang kita inginkan.

Bagaimana sebenarnya suasana dalam pertemuan Tan Sri dengan Tun Dr Mahathir.

Suasana pertemuan itu baik dan ada interaksi, malah pegawai kementerian membawa data yang sebenarnya dan dibuat bukan atas dasar sengaja nak pinda, ini ada asas. Dr Mahathir minta jika boleh PPSMI dilaksanakan di sekolah menengah. Kita nyatakan kebimbangan bahawa ia tidak dapat dilaksanakan sedemikian kerana tidak konsisten antara sekolah rendah dan menengah. Saya tahu beliau tidak berpuas hati dengan keputusan ini tetapi saya terangkan bahawa dasar yang beliau laksanakan bukannya tidak baik tetapi untuk melaksanakan dasar berkenaan bukannya mudah. Saya fikir penjelasan yang diberikan cukup.

Apakah keputusan ini boleh dianggap terlewat kerana dasar PPSMI juga sudah memberi kesan dalam menghakis sokongan orang Melayu kepada BN dan Umno.

Bagi yang mahukan perubahan ini berlaku dari awal lagi, mereka berasa ia perlu dilaksanakan dengan segera, (tetapi) kita tidak boleh tukar secepat mungkin kerana ia membabitkan satu pusingan. Kita tidak mahu buat penilaian separuh masak, kalau buat awal, akan timbul implikasi lain. Apabila sudah matang, mudah untuk buat keputusan.

Ada juga dakwaan menyatakan kerajaan memansuhkan PPSMI kerana dasar ini melanggar Perlembagaan.

Soal takut tidak timbul kerana kita kena fikir banyak perkara sebelum membuat keputusan ini. Apabila kita buat keputusan, baru ia sehaluan. Jika kita terpaksa mengakui ada kelemahan, kita kena akuinya. Mengapa pula kita menyembunyi perkara itu. Kita akui ini kelemahan kerajaan tetapi kita ada cara memperkukuhkan balik dan membina keyakinan rakyat kepada kita bahawa kita laksanakan (dasar) dengan bersungguh-sungguh, bukannya kerana desakan. Pada saya, walaupun 100 kali orang mendesak, jika benda itu baik pada saya, saya tidak akan pinda. Saya akan buat keputusan yang terbaik walaupun tahu tidak semua orang setuju dengan pandangan saya, memang perlu ada ketegasan dan keberanian. Penting buat keputusan jika kita fikirkan ia baik.

Ada juga yang berpendapat PPSMI adalah dasar yang flip flop (tidak konsisten).

Visi dan objektif PPSMI memang baik tetapi usaha melaksanakannya tidak mudah dan tidak dapat dicapai. Sama ada ia flip flop atau tidak, terpulang kepada anda untuk tafsirkannya. Cabaran besar untuk melaksanakan dasar ini ialah untuk memastikan ia mencapai matlamat. Kita tidak boleh terus laksana dan mendedahkan pelajar dengan risiko daripada pelaksanaannya. Setiap tahun, ada kira-kira 500,000 pelajar keluar daripada sistem persekolahan. Kohortnya menjadi semakin besar dan jika diteruskan, ia akan membabitkan tiga juta pelajar (dalam tempoh enam tahun PPSMI dilaksanakan).

Apakah strategi yang bakal diambil bagi pengukuhan BI dan mampukah kita mendapatkan lebih 13,000 guru BI terlatih yang diperlukan.

Ada beberapa perkara diambil kira iaitu tenaga pengajar, masa pembelajaran, kandungan mata pelajaran dan cara mengajar di sekolah rendah. Sepatutnya cara mengajar dan belajar di sekolah rendah ialah dengan pendekatan yang lebih menyeronokkan. Di samping itu, kita mahu mengukuhkan lagi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kini memang ada penggunaan ICT, tetapi selepas ini ia lebih interaktif dengan pendekatan baru yang menarik pelajar. Untuk P&P BI, saya tidak akan bergantung kepada satu sumber saja iaitu maktab perguruan. Kita mungkin dapat tenaga guru terlatih daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Kita juga boleh mendapatkan khidmat guru bersara yang pakar mengajar dalam BI, boleh juga sumber dari luar negara.

Boleh Tan Sri rumuskan apakah pengajaran yang diperoleh kerajaan dalam kemelut PPSMI ini, dalam konteks kuasa rundingan dan perbincangan awam.

Keputusan ini sesuai dengan apa yang Perdana Menteri kehendaki, iaitu rakyat didahulukan. Kita tidak harus berasa tahu segala-galanya, itu yang disebutkan dan tempoh untuk kerajaan menyatakan tahu segala-galanya sudah berakhir. Kerajaan kini bersifat lebih terbuka, malah mengumpul data, pandangan, perbincangan meja bulat serta sesi diskusi dengan pelbagai pihak, menerima memorandum pelbagai pihak. Kita sentiasa mendapatkan input masyarakat sepanjang tempoh setahun ini.

Pengalaman ini cukup baik, bermakna pendidikan bukan hak mutlak kerajaan, pendidikan ini hak mutlak rakyat... semua orang ada kepentingan. Dalam proses ini, perbincangan dan musyawarah dilakukan dan kita terima pelbagai pandangan. Apa yang kita buat ini adalah yang terbaik untuk rakyat, bukannya baik untuk kumpulan, kehendak dan politik tertentu. Ini satu pendekatan yang baik, setidak-tidaknya kita yakin sebelum buat keputusan dan kini saya lihat reaksi ramai menyambut baik keputusan ini.
Bahasa Malaysia modal kepandaian bersaing

Bersama Baha Zain
bahazain.blogspot.com

Rangka strategi jadi medium pengantar ilmu pengetahuan canggih

KEPUTUSAN Kabinet menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), walaupun terlambat, adalah tindakan waras yang boleh ditafsirkan dengan banyak pengertian.

Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meredakan penentangan terhadap kerajaan dan membersihkan Kementerian Pelajaran daripada dituduh menjadi tempat menjerut leher kemajuan bahasa Malaysia (BM).

Muhyiddin sudah membuktikan keberanian dan integriti sebagai pemimpin untuk membuat keputusan.

Sekarang marilah kita bersama-sama mencari kejelasan fikiran untuk memetakan masa depan bangsa dan bahasanya.

Pertama, perlu difahami bahawa penentangan PPSMI bukan penentangan terhadap bahasa Inggeris dan bukan kerana sebab utama PPSMI menyusahkan murid-murid walaupun itu faktor yang penting.

Premis utama penentangan terhadap PPSMI ialah kerana ia akan membantut perkembangan bahasa kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu.

Inilah sebab penting dan utama, dan jangan dikelirukan dengan sebab lain yang mengikutinya.

Perjuangan terpenting kebahasaan ialah untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu supaya ia menjadi wahana dan wadah tamadun yang besar.

Justeru, sebarang tindakan untuk mengurangi kedudukan serta fungsinya adalah suatu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu dan cita-cita kebangsaan.

Pemersatuan masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan pembangunan tamadun moden Malaysia, harus berasaskan tradisi tempatan, dan perkara yang pokok dalam Perlembagaan Persekutuan. BM menjadi saluran menyemaikan jati diri serta nilai tradisi dan moden yang relevan.

Bahasa Malaysia harus berfungsi sebagai pengantar ilmu, dan sekali gus membina watak dan etos bangsa Malaysia yang saling bekerjasama dan patriotik.

Pemimpin kita harus berterus terang dalam hal ini, dan jangan dibayangi oleh tuntutan yang taksub terhadap bahasa Inggeris.

Faktor bahasa dalam hal pembinaan negara bangsa bukan faktor kecil, dan bukan boleh saja diambil alih oleh bahasa asing (Inggeris) yang dianggap akan mengatasi segala masalah ilmu dan ketamadunan seperti lampu ajaib Aladin.

Pemimpin atau sesiapa saja yang berfikir begitu tidak bertanggungjawab terhadap tradisi dan kebudayaan bangsanya.

Dia adalah orang yang kehilangan akar budaya kerana fikirannya terbelenggu dan terpukau dengan kemajuan teknologi serta kebendaan Barat.

Dalam kepercayaannya untuk menyaingi atau menyamai Barat, kita diajak untuk mengajuk dan meniru Barat.

Oleh sebab jiwa kita sudah dijajah oleh Inggeris, dan elit bangsa kita dididik dalam bahasa Inggeris, baik di negara ini atau di United Kingdom, Amerika dan Australia, maka kita tak nampak bahasa lain dan cara lain lagi.

Sepatutnya apabila sudah terdidik seseorang itu menjadi lebih inovatif berfikir dan bebas daripada terperangkap dalam segala 'keinggerisannya.'

Apa yang patut difikirkan secara mendalam dan teliti ialah bagaimana memelihara BM supaya jangan dimundurkan lagi, dan jangan memundurkan masyarakat.

Strategi apa yang patut dirangka untuk memajukannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang canggih kerana dengan demikian orang tidak berprasangka terus bahawa BM sebagai bahasa kelas kedua sehingga menganggap bahawa bahasa Inggeris itu adalah lampu ajaib yang berdaya menyelesaikan hidup matinya, di dunia dan di akhirat. Kekeliruan inilah yang patut diperbetulkan dalam fikiran pemimpin politik, ekonomi, pendidikan dan sosial pada hari ini.

Keyakinan ibu bapa terhadap bahasa kebangsaan harus dipulihkan setelah sejak 2002, bertubi-tubi pemimpin mendiayah pentingnya mendahulukan bahasa Inggeris dalam pelajaran anak.

Tidaklah bijak melawan diayah itu dengan diayah balas mempromosi BM dengan impian yang kosong lagi palsu.

Keyakinan terhadap BM bergantung sejauh mana ia boleh menambah ilmu pengetahuan, menjadi modal kepandaian untuk bersaing dan alat komunikasi pada lapisan sosial atasan atau elit.

Justeru, pengukuhan BM sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan harus dikaitkan dengan konteks di sekitarnya; dalam sektor swasta dan kerajaan.

Tokoh politik, pegawai perkhidmatan awam, elit perniagaan dan pemimpin kemasyarakatan pula mesti menunjukkan contoh bahawa mereka fasih dan lancar berucap dalam bahasa kebangsaan.

Kalau tidak BM itu menjadi sebuah pulau terasing yang dipentingkan di bilik darjah saja, tetapi tidak dipentingkan dalam kehidupan praktikal setiap hari di luar pagar sekolah.

Sehubungan ini, inginlah disyorkan kepada Timbalan Perdana Menteri meninjau bagaimana BM boleh diperkasa supaya betul-betul maju di tengah-tengah masyarakat yang luas sederap dengan usaha pemartabatannya di sekolah.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka

Di bawah bidang kekuasaan Menteri Pelajaran ada dua institusi penting kebahasaan yang patut dimanfaatkan bagi membina kemajuan bahasa, dan memperkukuh statusnya dalam masyarakat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu-satunya institusi yang cukup unik di dunia: bertugas merancang dan membina bahasa kebangsaan, sastera kebangsaan, dan penerbitan.

Tidak ada institusi pengembangan bahasa lain di dunia yang begitu khusus serta penting tugasnya seperti DBP.

Ia perlu melangkah ke satu tahap baharu perancangan kebahasaan dan penerbitannya dengan menyusun strategi khas ke arah membina BM sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden.

Penggubalan istilah teknikal ribuan disiplin ilmu hendaklah dipergiatkan bagi menambah ratusan ribu istilah yang sudah berjaya disediakan DBP. Penyebarannya kepada pengguna pada zaman ini jauh lebih mudah melalui teknologi maklumat dan komunikasi.

Judul baru ensiklopedia, kamus, glosari, atlas dan sebagainya dirancang penyusunannya.

Penerbitan karya ilmiah dan ilmiah popular harus diperbanyakkan, dan karya lama yang penting dicetak ulang supaya bahan-bahan perpustakaan bermutu dalam bahasa kebangsaan sampai ke pasaran.

Kecanggihan teknologi maklumat bukan saja telah mempercepat penulisan, penyuntingan dan pengeluaran buku secara konvensional, malahan mempermudah pencapaiannya secara elektronik. Semuanya ini namun bergantung pada kecekapan pengurusan dan sistem penyampaiannya.

Budaya Terjemahan dan ITNM

Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kepemimpinan pengarah urusannya hari ini memperlihatkan ketangkasan luar biasa menterjemah dan melonjakkan imej karya sasterawan tempatan bukan saja di dalam, tetapi juga di luar negara.

Sebagai syarikat berhad ia harus beroperasi berdasarkan keuntungan. Penerbitan buku terjemahan ilmu pengetahuan dalam bahasa kebangsaan adalah sukar.

Demikian juga untuk menterjemahkan karya tempatan ke bahasa-bahasa antarabangsa, lagi lebih sukar dan tinggi kosnya.

Oleh itu adalah penting Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan mempunyai satu sikap baru yang lebih dinamik dan keazaman politik bagi menjadikan budaya terjemahan sebagai pintu masuk aneka ilmu daripada pelbagai bahasa dunia (Jepun, Cina, Korea, Jerman, Sepanyol, dan Perancis) secara langsung.

Karya klasik tempatan dan Malaysiana pula diterjemah dan diedarkan ke dunia luar untuk memperkenalkan imej negara dan kesedaran asing terhadap khazanah Malaysia.

Melalui ITNM yang ahli dalam pelbagai aspek pengurusan dan pemasaran hasil penterjemahan, DBP dapat pula menyalurkan ratusan judulnya kepada ITNM bagi memperluas pengedarannya dan pendapatan pengarang.

Dengan demikian DBP boleh menumpukan perkhidmatannya menghasilkan kerja yang lebih besar seperti penyusunan kamus, ensiklopedia, glosari, dan penyelidikan bahasa sastera sastera, tanpa bertindan tindih kerja dengan ITNM.
Mengejar harapan serta masa depan Malaysia yang lebih makmur dan stabil


NAJIB menyampaikan ucapan pada sambutan 'Seratus Hari Najib Bersama Rakyat' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Sedutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis 'Seratus Hari Najib Bersama Rakyat' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

SESUNGGUHNYA hari ini adalah hari rakyat Malaysia, rakyat 1Malaysia, sebab itulah ucapan sempena 100 hari saya memegang teraju pemerintahan negara, saya mempunyai pilihan... mula-mula saya fikir elok buat ucapan di Jabatan Perdana Menteri secara siaran langsung, tapi bila fikir punya fikir, kalau buat siaran langsung, tidak ada di sisi rakyat, saya tidak dapat mengiyakan konsep Rakyat Didahulukan, maka timbullah cadangan supaya kita mengadakan satu perhimpunan yang bukan sembarangan perhimpunan, satu perhimpunan yang bercorak, yang mencerminkan dukungan 1Malaysia, satu perhimpunan yang mana kita tidak mementingkan duduk di mana, kita tak pentingkan soal protokol, kita tak pentingkan ada kompang, ada bunga manggar, yang penting ialah kita dapat bersama-sama dengan rakyat Malaysia.

Hari ini saya bersama terharu, saya melihat dalam perhimpunan ini tidak ada batas antara kita, menteri duduk bersimpuh di bawah, Menteri Luar yang biasa dengan bankuet di peringkat antarabangsa duduk bersimpuh dengan anak muda di bawah, menteri yang jaga wanita ada bersama-sama dengan generasi muda, menteri KPI duduk bawah, Menteri Dalam Negeri yang jaga polis, yang orang takut pada dia, duduk di sisi anak muda generasi 1Malaysia.

Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Kira-kira 100 hari yang lalu, bersamaan 3 April pada tarikh lantikan sebagai Perdana Menteri, saya tampil menggariskan hala tuju pentadbiran kerajaan. Dalam tempoh sebelum ini, saya banyak membuat ketetapan dan pengumuman berkisarkan usaha seperti merangsang ekonomi, langkah peningkatan daya saing negara, inisiatif menarik minat pelabur asing, membebaskan tahanan ISA dan beberapa inisiatif lain.

Namun pada pagi yang ceria ini, saya mahu menumpu, mahu memberi fokus untuk bercakap mengenai hal ehwal rakyat, ucapan hari ini saya dedikasikan khususnya mengenai kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak sekalian, ucapan ini adalah ucapan yang cakna terhadap aspirasi rakyat Malaysia. Teringat saya pantun orang tua-tua kita; "kalau tidak kelapa puan, tidak juga kelapa bali, kalau tidak kerana tuan-tuan dan puan-puan, manakan saya berada di sini."

Jika diimbas sejak mula mengambil alih pucuk pimpinan negara, saya telah menggagaskan pentadbiran kerajaan dipaksikan atas konsep 1Malaysia: 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa konsep 1Malaysia dan mengapa ia menjadi landasan kepada pentadbiran ini. Jawapannya mudah, kerana bagi saya, kita adalah satu keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya mahupun kepercayaan.

Justeru, setiap warga Malaysia adalah komponen penting demi menentukan maju atau mundur, berjaya atau gagal negara yang tercinta ini. Hakikatnya sama ada kita orang Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Orang Asli, kaum lain termasuk keturunan Siam, yang saya tahu dua bas turun untuk menyertai perhimpunan kita, pendek kata kita adalah rakyat Malaysia, kemajmukan kita inilah menjadi aset, menjadi 'competitive advantage', 'if we can mould together as one dream, one people, one nation', Malaysia akan berjaya dalam 'globalised world' ini.

Sebagai seorang pemimpin, saya dan rakan-rakan mempunyai pilihan, pilihan dari segi pendekatan kita. Saya boleh memilih untuk duduk menunggu di bilik berhawa dingin dalam pejabat untuk mendengar taklimat, menerima laporan yang belum pasti ceritanya lengkap seperti mana kenyataan 'on the ground'. Pada saya, seorang pemimpin akan lebih dianggap prihatin, akan lebih dianggap sebagai berjiwa rakyat kalau kita sanggup turun ke bawah melihat dengan mata kepala kita sendiri permasalahan rakyat, mendengar rintihan rakyat, keluh kesah, merasai gundah gulana dan meresapi denyutan nadi rakyat yang kita pimpin. Sebab itulah saya telah memilih pendekatan 'walkabout'. Saya belek kamus Dewan Bahasa, tidak ada terjemahannya, saya terpaksa fikir terjemahan lebih sesuai ialah 'tinjauan mesra'.

Jadi bermulalah pendekatan tinjauan mesra ini. Pada hari kedua, saya turun ke Petaling Street, melihat keadaan peniaga Cina kita, gerai-gerainya, saya bersalaman dengan peniaga kecil, penjaja. Ada yang ajak saya masuk gerai dia, saya belek beg tangan Louis Vutton yang harganya bukan harga Louis Vutton. Saya dengar rintihan peniaga, mereka kata mereka nak bumbung gantian tambahan, saya beritahu Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar tolong sediakan bumbung tambahan untuk peniaga di Petaling Street, ia sedang diuruskan.

Lepas itu, saya pilih untuk pergi ke kawasan Pangsapuri Vista Angkasa. Namanya hebat, Vista Angkasa, tapi bangunannya bila saya sampai... kalaulah hitam manis, tahan juga, sebab hitam manis itu 'black sweet', kalau 'black sweet' tahan, tapi bangunannya hitam kusam. Kalau orang, disebut hitam legam, tapi kalau bangunan, disebut hitam kusam. Saya dibawa masuk, penghuni sana kata ini lif Datuk, ya saya tahu ini lif, lif ini selalu rosak Datuk. Dia ajak saya naik lif, saya kata kalau Perdana Menteri terperangkap dalam lif, ada juga masalah. Saya kata tak apalah, saya terima... lif ini selalu rosak. Hasil daripada lawatan saya, saya suka laporkan dalam perhimpunan bersama rakyat ini bahawa 65 peratus kerja pembersihan dinding dan cat asas sudah selesai, 95 peratus kerja mengecat bangunan 'parking' selesai, 100 peratus kerja penyambungan kabel telefon di Blok 258 selesai, manakala kerja membaiki lif akan dimulakan dalam waktu terdekat, lepas ini bolehlah ajak saya naik lif.

Kemudian saya ke Brickfields untuk meninjau kebajikan peniaga India di sana. Mereka memajukan kepada saya tambah baik prasarana di kawasan terbabit dan bagi menyambut baik hasrat rakyat di kawasan Brickfields, saya umumkan di situ kita akan bangunkan 'Little India' yang lebih terancang dan unik dan saya akan lancarkan kewujudan Little India dalam sedikit masa lagi.

Apa yang menarik semasa di sana, saya akhiri lawatan saya menikmati teh tarik dan tosai di sebuah restoran bernama Sri Kortumalai dan tauke restoran itu namanya Encik S Paramasivam. Encik Paramasivam ini cekap 'business acumen' sebab dia ambil gambar saya duduk bersama dia, lepas itu dia buat gambar yang besar, dia gantung di kedainya dan tukar nama kedai dia kepada Najib's Corner. Saya nak fikir sama ada elok francaiskan Najib's Corner ini. Kalau saya francaiskan, saya boleh dapat keuntungan.

Berikutnya pula saya buat tinjauan mesra di Puduraya. Puduraya ini adalah nadi pergerakan rakyat biasa, rakyat bawahan, berpendapatan rendah kalau nak balik kampung, waktu perayaan, cuti, hari minggu, menggunakan Puduraya. Saya pergi ke Puduraya, saya dapat menghidu udara di Puduraya, masih lagi terlekat. Saya boleh tengok kepul-kepul udara, saya kata keadaan ini mesti diperbaiki dan Alhamdulillah, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM44 juta di mana RM30 juta untuk UDA baik pulih bangunan, RM14 juta untuk Kementerian Wilayah Persekutuan menceriakan kawasan sekeliling Pudu Raya. Hari ini, hasilnya Pudu Raya jauh lebih baik daripada dulu dan kita akan terus pulihkan keadaan ini supaya rakyat rasa selesa, dia balik kampung pun rasa sedap bahawa kerajaan memberi keselesaan kepada mereka.

Selanjutnya saya berkunjung ke nun jauh tempat pedalaman, Kampung Picin, Kampung Bidayuh, Batang Air, Lubuk Antu. Kampung Bintawa di Kuching, pasar malam di Sibu, pasar kraf di Kota Kinabalu dan di setiap tempat yang saya lawati, saya luluskan peruntukan tertentu untuk memperbaiki keadaan dan membuat pertimbangan di atas kehendak rakyat di kawasan terbabit.

Yang terbaru saya ke UiTM (Universiti Teknologi Mara), bersama-sama melihat anak-anak kita baru mendaftar. Saya dan isteri meluangkan masa bersenam seni dengan pelajar, tapi kadang-kadang 'step' saya lari sikitlah, tapi yang penting sekali, kata Datuk Rais (Datuk Seri Dr Rais Yatim) sebab dia mempopularkan senam seni ini, adalah satu cara kegiatan yang amat baik sekali. Saya buat tinjauan tempat pelajar, saya masuk tempat penghuni... tempat tidur dia, enam pelajar dalam sebuah bilik. Bila saya masuk, tinggal seorang saja, yang lima sudah balik. Saya ajak dia bawa tengok bilik air macam mana, bawa masuk bilik air, saya sudah tengok bilik air UiTM. Lepas itu di kafeteria duduk sembang bersama-sama dengan pelajar, cerita kepada mereka dasar kerajaan. Saya cakap dengan mereka, rupa-rupanya pelajar kita bersyukur. Saya tanya dia apa yang paling baik sekali, mereka kata pada saya kerana kemudahan yang begitu baik disediakan oleh kerajaan dengan bayaran yang sangat rendah.

Alhamdulillah dengan rahmat Yang Maha Esa juga, genaplah 100 hari saya menjunjung amanah sebagai Perdana Menteri dan sekali lagi saya berdiri dengan penuh sukacita melaporkan beberapa kemajuan yang telah dirancang dilaksanakan.

Pertamanya, meliputi soal kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi. Yang kedua, hak asasi manusia dan kebebasan media, ketiga ialah peningkatan kecekapan anggota pentadbiran penjawat awam serta keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan. Seterusnya pula, seawal saya mula tugas, saya telah isytiharkan bahawa pentadbiran ini akan bergerak atas landasan dan kaedah KRA (Bidang Hasil Utama), bila saya kata KRA ada orang terpegun, apa benda KRA itu, ada tersalah sebut KRU, ada sebut KERA. Kera itu lain, KRA dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) lain. Kalau tanya pada saya kenapa kita perkenalkan KRA dan KPI ini, atas dua sebab... pertama sebab kebertanggungjawaban. Kita nak setiap menteri yang dipilih oleh rakyat bertanggungjawab kepada rakyat, yang kedua saya hendak pencapaian sekarang, prestasi sekarang. Dua prinsip, satu - akauntabiliti, 'we must be accountable to the rakyat of Malaysia'. Keduanya, `it's all performance, now performance driven government', ini dia. Jadi hari ini dalam perhimpunan bersama rakyat ini setelah tiga sesi woksyop menteri ini berkumpul, seriuskah pasal soal KRA ini.

Saya nak umumkan enam bidang dipilih sebagai 'our national Key Result Area'. Ini saya nak umumkan sebagai bidang yang akan diberi fokus utama oleh saya bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan rakan saya yang lain.

Enam bidang itu seperti berikut; yang pertama - mencegah jenayah, kedua - memerangi rasuah, ketiga - meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, keempat - meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, kelima - memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan keenam - ini saya tak anggap 'in short term', ini lebih 'medium term', menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Enam bidang ini saya tidak mahu memperincikannya sebab saya akan jumpa dengan pegawai kerajaan, penjawat awam pada penghujung bulan ini dan saya akan memperincikan. Sebab kalau terlalu teknikal sangat, jadi 'boring' dalam perhimpunan bersama rakyat. Jadi kita tangguh dulu buat pengumuman secara 'detail'. Kalau kita kata kurangkan jenayah, berapa peratus... aah, itu saya berdebar jugalah nak sebut tapi itu adalah komitmen kita. Kalau ada komitmen, maknanya kita mesti serius, kalau tidak rakyat akan menuding jari dekat kita bila sampai pada masanya. Saya nak kita ini bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, ini dia prinsip.

Hari ini, saya nak buat beberapa pengumuman sebab saya kata tadi perhimpunan ini perhimpunan untuk rakyat, 'its all about the people' . Sehubungan ini, percayalah kerajaan akan bersikap bukan saja komited tapi 'decisive' dalam kita buat keputusan, kita takkan biarkan keadaan terumbang ambing dengan ketidakpastian, kita takkan buat keputusan secara sembrono. Kita akan gunakan pendekatan memikir, mendengar hasrat rakyat, rintihan rakyat, pendapat rakyat. Era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir, kita mesti dengar pendapat rakyat, proses ini kita akan buat dalam hampir semua keputusan penting yang akan dilakukan oleh kerajaan. Umpamanya pendekatan kita untuk kaji semula ISA, kita akan gunakan pendekatan mendengar pendapat 'sivil society', daripada 'Bar Council', daripada pelbagai kumpulan supaya kita dapat merumuskan keputusan yang terbaik untuk kepentingan negara. Percayalah usaha kita seperti ini yang kita akan gemblingkan bukanlah satu angan-angan atau fatamorgana, tetapi satu hasrat kita yang akan berpaksi atas kenyataan yang sebenarnya.

Saya juga ingin melihat potensi rakyat menjadi kenyataan sebenarnya, kita mesti mewujudkan satu sistem di mana `the best and the brightest' sesama kita mendapat peluang untuk mencapai tahap optimum mereka dan di samping itu kita mesti berlaku adil kepada mereka yang tinggal di kawasan yang serba kekurangan. Kita boleh mengamalkan 'equality of access', tetapi kita tak boleh tentukan 'equality of outcome'. Maka dengan demikian, terpulanglah kepada rakyat Malaysia. Kita hendakkan rakyat Malaysia memanfaatkan segala peluang supaya 'outcome' nanti mencerminkan yang paling optimum bagi kita sendiri.

Hari ini hari untuk rakyat, maka saya nak mulakan pengumuman untuk rakyat. Pengumuman yang pertama, setelah mendengar rintihan daripada rakyat yang menggunakan tol (disambut dengan tepukan hadirin), dia dah tepuk dah, belum umum keputusan dah tepuk dah... setelah dengar rintihan rakyat yang gunakan tol, lebih-lebih lagi mereka yang berulang alik setiap hari, ada orang beritahu saya, dia pergi ke tempat kerjanya lima kali pergi balik, satu hari dua kali, satu minggu 10 kali, satu bulan bayaran tolnya hampir RM300. Saya tanya kalau RM300 sebulan, gaji berapa? Gaji RM3,000, maknanya 11 bulan... dia dapat 11 bulan gaji, dia tak dapat 12 bulan sebab satu bulan gaji bayar tol. Oleh itu, sempena perhimpunan kita hari ini sebagai satu 'interim solution', sebagai satu keputusan sementara sebab kadar tol keseluruhannya sedang dikaji, memakan masa sikit. Sebagai 'interim solution' bagi mereka yang bayar tol 80 kali atau lebih sebulan, akan dapat diskaun sebanyak 20 peratus dan ini akan bermula pada 1 September tahun ini. Ini saya percaya akan beri kelegaan kepada banyak di kalangan kita, terutama sekali yang gunakan tol harian pergi balik tempat kerja.

Pengumuman kedua ialah di Wilayah Persekutuan khususnya, ramai juga yang tinggal menyewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat. Maka dengan ini bagi mereka yang sedang menyewa rumah, mereka akan diberi 'option' membeli rumah perumahan rakyat ini. Sebanyak 44,000 unit akan ditawarkan, kita takkan paksa. Bagi sesiapa nak beli rumah, bolehlah beli rumah sebab saya tahu ada yang tinggal menyewa selama 20 tahun, dia kata tak ada harta nak beli. Inilah peluang yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengumuman ketiga, berkaitan dengan peniaga dan penjaja kecil. Pada 20 Jun lalu bertempat di Tanjung Karang, Selangor, saya hadir satu majlis yang dianjurkan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia. Mereka memohon supaya bayaran lesen bagi peniaga kecil dan penjaja dapat dikurangkan. Maka bagi peniaga dan penjaja di Wilayah Persekutuan, saya umumkan potongan kepada pembaharuan dan lesen baru mereka sebanyak 50 peratus. Ini akan beri banyak kelegaan kepada peniaga dan penjaja kecil kita. Saya berharap negeri lain akan ikut langkah yang dibuat oleh Wilayah Persekutuan, mudah-mudahan lesen lain pun dapat dikurangkan kadarnya. Saya juga nak umumkan bahawa peruntukan untuk Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan bagi program usahawan muda masyarakat kaum India, diluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Pengumuman keempat, dasar menambah permit teksi kepada individu. Ramai juga pemandu yang terpaksa sewa lesen daripada orang lain, mereka terpaksa bayar RM50 kepada tauke, minyak kena bayar sendiri, mereka hidup dalam keadaan yang tertekan. Setakat ini, kerajaan sudah meluluskan 7,000 permit teksi individu dan saya nak umumkan 3,000 lagi akan diluluskan dalam masa tiga bulan yang akan datang.

Pengumuman kelima ialah kita akan ambil langkah drastik untuk mengurangkan jenayah dan juga memerangi rasuah. Perincian langkah ini akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

Keenam, pendaftaran kelahiran. Rupa-rupanya ramai juga yang lambat mendaftar kelahiran, terutama sekali di Sabah dan Sarawak. Untuk Sabah, sejak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran diterima dan daripada jumlah itu, 92 peratus sudah diluluskan, manakala di Sarawak sejak 2005, sebanyak 19,000 permohonan diterima dan 80 peratus permohonan diluluskan, bakinya akan dapat kita selesaikan dalam sedikit masa lagi.

Yang ketujuh dalam hal kewarganegaraan, yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000 hingga Jun 2009. Sebanyak 46 peratus selesai dibuat keputusan dan bakinya akan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini, insya-Allah.

Yang kelapan soal pembangunan luar bandar, terutama sekali Sabah dan Sarawak. Jalan luar bandar daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kita akan tingkatkan kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 kelak.

Yang kesembilan, bekalan air pada masa sekarang hanya 52 peratus di Sabah, 61 peratus di Sarawak, kita akan tingkatkan lagi. Begitu juga bekalan elektrik, detailnya akan saya umum pada penghujung bulan ini, insya-Allah.

Yang ke-10 dan ini ada kaitan langsung dengan generasi muda. Generasi muda kita mempunyai gaya hidup tersendiri, mereka minat guna motosikal jenis kapcai. Mereka guna kapcai ke hulu dan ke hilir, saya diberitahu ramai juga penunggang kapcai tak ada lesen memandu dan mereka menghadapi masalah kerana bayaran mendapatkan lesen memandu tinggi, antara RM500 hingga RM700. Cuba bayangkan orang muda terpaksa keluarkan wang RM500, RM700 nak dapat lesen memandu kapcai. Jadi selepas berunding dengan sekolah memandu melalui Menteri Pengangkutan, sukacita saya mengumumkan caj bayaran latihan yang kini antara RM500 hingga RM700 akan dikurangkan kepada RM211.

Pengumuman yang ke-11 sebab hari ini 11 Julai. Ini pengumuman yang terakhir, bahawa skim Amanah Saham Wawasan untuk miskin tegar di bandar, saya mengesahkan bahawa menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit di bawah senarai e-kasih. Ini memerangi masalah kemiskinan di bandar. Sebagai pengumuman istimewa hari ini, satu lagi tabung unit amanah baru diberi nama... nama pun agak istimewa, Amanah Saham 1Malaysia kepada rakyat Malaysia umur 18 tahun ke atas akan kita lancarkan sedikit masa lagi dengan saiznya sampai 10 bilion unit. Ini adalah keputusan yang sangat istimewa untuk rakyat Malaysia.

Akhir kalam, langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah pemula. 'It is only the beginning' dalam perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin. Perjalanan kita ini ibarat sebuah sungai, sama ada kita ini pemimpin atau dipimpin, semuanya mengalir ke arah yang sama. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak sekalian bersama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan. Saya amat bersyukur bahawa sambutan rakyat seperti dalam perhimpunan ini begitu memberangsangkan sehingga bila saya berdiri di sini, rasa meremang bulu roma melihat mereka. Saya tak tahulah sama ada berpandukan kepada `polling' dan sebagainya kononnya 'rating' kerajaan pun sudah bertambah baik lagi. Mudah-mudahan ini semua bagi kita keyakinan untuk terus berjuang. Saya nak lahirkan penghargaan saya kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan rakan dalam Kabinet yang 'always standing by me all the time and standing together'... ada lagu rasmi Kabinet ni. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara dan penjawat awam yang tetap setia kepada kerajaan, kepada sektor swasta, pemimpin korporat, GLC, pengusaha, peniaga kecil, pemandu teksi dan rakyat jelata yang juga bersama dengan kita melangkah dengan penuh komitmen dan keyakinan.

Saya ingin tutup perjumpaan yang sangat bersejarah ini, perjumpaan 1Malaysia yang sangat unik ini dengan sebuah nukilan yang mencerminkan isi hati, lubuk hati saya yang bertajuk Harapan atau Hope.

Di wajah suci anak-anak ini kulihat sinar
Di hati murni mereka terpahat sebuah impian
Andai sengketa membelenggu sesama
Andai kerakusan menguasai kita
Ke mana kan tumpah harapan mereka

Kerana
Di bahu kitalah terpikul segunung amanah
Di jemala kita terjunjung selaut ikrar
Melunas sumpah, menunai janji

Ayuhlah
Rakan dan taulan, sahabat dan saingan
Lupakan beda, lebihkan menerima
Bertatihlah bersamaku, kita berjalan seiringan, kita melangkah sehaluan
1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1Malaysia