Minda Pengarang: Pertikaian dalaman bukti ketidakupayaan PR mentadbir

KEBELAKANGAN ini, parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat diuji dengan pelbagai pertikaian politik sesama sendiri. Satu demi satu ujian terpaksa mereka hadapi berpunca daripada perbezaan ideologi dan kurangnya persefahaman. Mereka juga mempertikaikan kewibawaan antara satu dengan lain akibat pelbagai keputusan dan tindakan pentadbiran yang tidak memuaskan hati sesama sendiri. Rakyat memerhatikan sandiwara mereka dan membentuk persepsi bahawa parti pembangkang belum sedia untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri. Belum pun kekecohan yang membabitkan penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang diselesaikan kerajaan negeri pimpinan DAP, muncul pula pertelagahan antara Pas dan DAP di Kedah berikutan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) meroboh rumah sembelihan babi di Alor Setar. Terbaru, ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung kelmarin, pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dikejutkan dengan desakan supaya Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerana didakwa gagal berfungsi seperti diharapkan rakyat. Kelantangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamad Azmin Ali mendesak kerajaan negeri membuat rombakan barisan Exco kerana gagal melaksanakan tugas, mengejutkan kerana desakan itu bukan datangnya daripada suara wakil Barisan Nasional (BN) yang menjadi pembangkang di DNS. Apabila suara desakan itu datangnya daripada barisan kepemimpinan tertinggi PKR sendiri, tidak dapat dielakkan ia mengundang pelbagai andaian. Khalid juga perlu mendengar desakan Azmin yang mahu beliau melakukan perubahan segera dalam pentadbiran negeri.

Desakan Azmin itu dibuat berikutan kekecewaannya dengan pelantikan ahli majlis PBT yang tidak mengikut prinsip ditetapkan, selain kegagalan barisan Exco memajukan Selangor. Bagi Naib Presiden PKR itu, rombakan Kabinet negeri perlu segera dilakukan untuk memilih mereka yang benar-benar layak. Pandangan Azmin, turut disokong rakyat yang melihat kerajaan Selangor lebih berminat menyalahkan kerajaan lalu dan sidang DNS dipenuhi dengan kata nista yang menyakitkan telinga. Rakyat bosan mendengar pertelingkahan dan sikap saling mencari kesalahan, sebaliknya mahu kepemimpinan kerajaan Selangor memberi tumpuan kepada pembangunan negeri. Sama ada ia gimik politik atau realiti wujudnya rasa kecewa di dalam parti, rakyat semakin sangsi dengan keupayaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir.

Mungkin ramai menyalahkan pihak tertentu termasuk media sengaja membesarkan isu berkenaan, namun hakikatnya memang wujud masalah di dalam gabungan pakatan yang longgar itu, sehinggakan ahli yang tidak berpuas hati menyuarakan isi hati masing-masing secara terbuka. Selepas 15 bulan berbulan madu merayakan kemenangan dan mentadbir negeri di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, kini kerajaan negeri pimpinan DAP, Pas dan PKR bukan saja berdepan bantahan rakyat dan penentangan dalam parti malah percakaran antara parti terus berlaku. Walau apapun alasan diberikan, rakyat semakin menyedari permainan politik mereka dalam usaha untuk menutup kelemahan sendiri. Kita akan menyaksikan lebih banyak pekung yang akan terdedah yang akhirnya membuatkan pemimpin Pakatan Rakyat sedar, bahawa untuk memerintah negeri atau negara bukanlah semudah mengucapkan janji ketika kempen pilihan raya.
Cengkaman krisis ekonomi, politik tak jejas tumpuan bangunkan negara
Oleh Azizi Othman
aziziothman@bharian.com.my

Transformasi nasional hasil tinjauan sendiri buktikan usaha Najib laksana pembaharuan dalam negara bukan sekadar retorik

SERATUS hari sebenarnya terlalu singkat untuk menilai keupayaan sesiapa. Sama ada kenalan baru, pelajar, pekerja, apatah lagi pemimpin tertinggi negara, tempoh lebih lama diperlukan untuk menganalisis kemampuan sebenar mereka. Begitupun, dalam dunia moden yang sering dihambat waktu ini, sesiapapun tidak mahu menunggu lama. Tidak kira sama ada untuk menuai hasil usaha sendiri, lebih-lebih lagi dalam menilai keupayaan orang lain, ramai berpendapat tiga bulan 10 hari sudah lebih daripada cukup.

Tidak hairanlah menjelang genap 100 hari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak hari ini, pelbagai andaian, tanggapan dan analisis terhadap keupayaan beliau dibuat. Rata-ratanya cuba memberi hujah dan kesimpulan sendiri sekali gus menimbulkan polemik, tidak kurang juga perdebatan. Namun hakikat yang tidak dapat dinafikan, sejak Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan pada 3 April lalu, beliau sudah melaksanakan pelbagai perubahan, yang berteraskan agenda membela nasib rakyat tanpa diskriminasi jantina, kaum atau etnik di bandar mahupun desa.

Sejajar ikrar sumpah taat setianya ketika mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri keenam daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib menegaskan tonggak agenda pentadbirannya ialah 'memenuhi sedaya mungkin setiap aspirasi dan kehendak rakyat'. Bertitik tolak daripada komitmen itu, beliau mengilhamkan gagasan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan membentuk barisan jemaah menteri yang bertemakan 'Kabinet Rakyat'.

Berbekalkan matlamat memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2020, Najib menjadikan usaha mengajak rakyat merombak minda masing-masing dan menggantikan amalan serta budaya kerja lapuk sebagai perkara teratas dalam senarai pembaharuan yang dilaksanakannya. Beliau menekankan bahawa setiap tindakan, keputusan, program, rancangan, projek, atau dasar yang diperkenalkan mesti melalui proses penilaian kritikal serta inovatif.

Menamakan proses ke arah itu sebagai 'Transformasi Nasional', Perdana Menteri sendiri menjadi ejen pencetus kepadanya dengan mempelopori pelbagai dasar yang dianggap tidak konvensional dalam usaha memecah kebuntuan minda masyarakat terhadap pendekatan pentadbiran radikal berorientasi prestasi yang cuba diterapkannya. Tidak cukup dengan itu, pembaharuan terbabit turut dijayakan secara menyeluruh mencakupi aspek kesejahteraan rakyat, hak asasi manusia, kebebasan, ekonomi, kewangan, politik, sosial, pembangunan baru, malah dasar luar negara.

Sebagai manifestasi komitmen serta kesanggupan beliau menyingsing lengan untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan 'tinjauan mesra' (walk about) bagi mengetahui lebih dekat denyut nadi rakyat. Program itu yang akan diadakan dari semasa ke semasa, sehingga ini sudah membabitkan kawasan seperti Kampung Kerinchi, Jalan Petaling, Puduraya, Brickfields, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara; Pasar Kraf dan Pasar Besar, (Kota Kinabalu); Kampung Bintawa (Kuching); Pasar Malam (Sibu), dan Universiti Teknologi Mara (Shah Alam).

Hasil tinjauan, interaksi dan maklum balas yang diterima daripada program seumpama itu, Najib mengarahkan satu kajian menyeluruh dilakukan untuk menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat. Prihatin dengan masalah pengangkutan di ibu kota, beliau juga mengarahkan langkah segera diambil untuk mengatasi kesesakan lalu lintas, membina kawasan letak kereta baru di Jalan Tuanku Abdul Rahman, manakala projek Plaza Rakyat yang terbengkalai disiapkan segera. Perdana Menteri juga meminta pihak berkaitan memperbaiki kemudahan di Hentian Puduraya.

Membuktikan usaha itu bukan retorik politik semata-mata, dalam tempoh tidak sampai 100 hari pentadbiran beliau, ada di antara projek kesejahteraan rakyat berkenaan sudah dimulakan dan hasilnya jelas kepada semua. Antaranya, Hentian Puduraya kini berubah wajah, kerja pembinaan di Plaza Rakyat kembali disambung, manakala kajian mengenai tol hanya menunggu masa untuk dibentangkan. Merentasi sempadan geografi, Najib juga mengumumkan kerajaan mengambil alih Sabah Medical Centre untuk menampung keperluan rakyat Sabah. Beliau juga memperkenalkan penubuhan Biasiswa Nasional yang dikhususkan kepada pelajar paling cemerlang di negara ini tanpa mengira kaum.

Umum menyedari, peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib berlaku dalam persekitaran ekonomi yang amat mencabar. Krisis global yang masih mencengkam dan senario politik tidak menentu di Barat serta Timur menuntut beliau tuntas mengatur strategi melindungi Malaysia daripada terhumban ke kancah kemelesetan. Itulah sebabnya, beliau pantas melakukan liberalisasi terhadap 27 sektor kecil perkhidmatan, melonggarkan sektor kewangan dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi komprehensif bernilai RM60 bilion yang dijangka mampu bertahan sehingga 2010.

Bagi memastikan segala yang diatur mendapat pemantauan sebaliknya, kepemimpinan beliau melancarkan laman web khas untuk membolehkan rakyat mengetahui status terkini pelaksanaan projek serta mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempermudah proses pengeluaran lesen peniaga kecil dan penjaja bagi membantu mereka meraih manfaat segera daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan. Memastikan sokongan terhadap inisiatif itu mapan, beliau menubuhkan Majlis Ekonomi Negara yang akan mencari jalan membentuk model ekonomi baru berteraskan inovasi dan nilai tinggi.

Dalam konteks pengurusan ekonomi mikro, beliau meminta bank supaya terus mengeluarkan pinjaman kepada peniaga agar tidak terjejas. Sebagai timbal balas dan mengukuhkan institusi perkhidmatan kewangan, kerajaan menubuhkan Danajamin yang menyokong kerjasama dalam pasaran modal. Ia disusuli inisiatif terbaru melonggarkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC). Walaupun hangat didebatkan, khususnya berkaitan pemansuhan syarat pemilikan kuota Bumiputera dalam beberapa bidang, Najib mempertahankan bahawa langkah itu sebenarnya strategi serampang dua mata yang perlu diambil bagi menyuntik keyakinan pelabur asing, sekali gus menjamin pengagihan kekayaan secara lebih adil. Bagi menjamin dinamisme pelaburan domestik, kelonggaran garis panduan FIC dipadankan dengan penubuhan institusi baru, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dengan modal awal RM500 juta.

Menyedari sebarang dasar atau gagasan yang diilhamkan akan tinggal impian tanpa jentera pelaksanaan mantap, Najib memperkenalkan inisiatif pemodenan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam dengan melancarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk semua menteri, timbalan menteri dan kementerian. Terasnya ialah pemodenan perkhidmatan awam menerusi dasar pintu terbuka dan laluan masuk yang pelbagai. Bagi membolehkan tenaga kerja terbaik swasta diserap dalam perkhidmatan awam, kerajaan melaksanakan inisiatif 'pemupukan bersilang' manakala pegawai awam dibenar menimba dan meningkatkan pengetahuan serta kebolehan mereka dengan mendapat latihan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam fasa kedua pemantapan usaha itu, kerajaan menjadikan Bidang Keputusan Utama (KRA) Nasional sebagai kaedah baru memacu negara ke tahap lebih berjaya dengan gabungan KPI. Kedua-dua KPI dan KRA akan dijadikan asas untuk lonjakan kecekapan perkhidmatan awam. Turut diumumkan ialah sambutan Hari Inovasi bagi menggantikan sistem Hari Q (Kualiti) yang sudah wujud sejak 1987. Ia sejajar usaha memupuk budaya inovasi dalam sektor awam.

Mengimbangi tugas lebih mencabar yang menuntut komitmen tinggi kakitangan awam, beliau juga mengumumkan 176,066 anggota awam kumpulan sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun dalam gred lantikan akan dinaikkan pangkat. Sebagai usaha menyediakan jaringan keselamatan sosial selaras ketidaktentuan ekonomi, dua skim baru turut digubal untuk kakitangan kerajaan, manakala lapan skim perkhidmatan dinaik taraf bermula 1 Julai lalu.

Dalam pada itu, pentadbiran Najib juga meneruskan dasar keterbukaan berpaksikan hak asasi serta kebebasan. Sebagai bukti komitmen ke arah itu, Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya selepas mengambil alih tugas, mengumumkan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk pemimpin pertubuhan haram Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), sekali gus menarik balik penggantungan penerbitan akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan. Beliau juga menyatakan komitmen penuh kerajaan untuk mengkaji semula ISA dan susulan itu, 13 lagi tahanan ISA, termasuk beberapa pemimpin pertubuhan haram Hindraf dibebaskan.

Penarikan balik penggantungan lidah pembangkang itu dibuat Perdana Menteri atas nama mempertahankan kebebasan media di negara ini. Beliau pada masa sama turut memperakukan iltizam kerajaan untuk memberi institusi media di negara ini dalam membuat liputan tetapi ia hendaklah secara adil dan bertanggungjawab. Langkah itu sekali gus menandakan berakhirnya era 'kerajaan lebih mengetahui'. Ia secara tidak langsung juga membuktikan bahawa pentadbiran Najib serius untuk mendengar permasalahan rakyat yang disuarakan menerusi media.

Pelbagai pembaharuan diperkenalkan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sehingga hari ini. Dari segi politik misalnya, beliau mengarahkan kajian dibuat terhadap Perlembagaan dan sistem pemilihan Umno supaya lebih ramai ahli terbabit, sekali gus membendung politik wang. Dari perspektif Felda pula, beliau memperkenalkan gagasan menjadikan tanah rancangan seluruh negara sebagai Gedung Makanan Negara selain memberi insentif pembiayaan perumahan bagi generasi kedua peneroka. Beliau juga melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) bagi menjadikan korporat itu multinasional tulen.

Melihat pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan Najib sepanjang 100 hari pentadbirannya hari ini, jelas bahawa beliau membawa bersamanya angin perubahan yang bertunjangkan usaha memenuhi aspirasi serta tuntutan rakyat. Apa yang pasti, ada di antara pembaharuan yang dilaksanakan sudah membuahkan hasil tetapi bagi sesetengah yang lain, iaitu yang bersifat jangka panjang, tempoh 100 hari mungkin tidak cukup untuk menilai kejayaannya.

Debat mengenai isu ini juga pasti membuka pelbagai perspektif dan mengundang 1,001 hujah, sama ada yang memilih untuk melihatnya sebagai berjaya, mahupun sebaliknya. Ditambah dengan pihak yang mempunyai kepentingan politik atau peribadi, analisis terperinci sejauh mana pencapaian Perdana Menteri dalam memimpin pembaharuan mungkin menjadi lebih rencam. Sama ada mahu melihatnya sebagai sudah berjaya sebahagiannya atau sudah gagal sebahagiannya, terpulang kepada individu yang menilai.

Sekadar renungan dan kembali kepada realiti, jika ditolak waktu rehat, makan, minum, beribadat, tidur, perjalanan dan sebagainya, 'tempoh sebenar bekerja' yang mampu diperuntukkan seseorang, hatta Perdana Menteri sekali pun, mungkin hanya maksimum 12 jam sehari. Justeru, realitinya segala pembaharuan dan perubahan dilakukan Najib selama ini, hanya dibuat dalam tempoh 1,200 jam beliau melaksanakan amanah itu. Atas perkiraan inilah, penilaian sama ada beliau cemerlang, baik, sederhana atau gagal patut diberi. Anda sendirilah yang layak menentukannya. Benarlah kata isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor: "Rakyat adalah golongan paling layak menilai pencapaian Perdana Menteri mentadbir negara sepanjang 100 hari beliau menyandang jawatan".

Info

100 hari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak Antara pembaharuan dan pencapaian Kesejahteraan Rakyat
# Memperkenalkan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
# Melakukan tinjauan mesra (walk about) untuk mengetahui denyut nadi rakyat.
# Mengarahkan kajian menyeluruh menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat.
# Mengarahkan langkah segera diambil mengatasi kesesakan lalu lintas di ibu negara.
# Mengarahkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai disiapkan segera.
# Meminta kemudahan di Hentian Puduraya dibaiki.
# Memperkenalkan Biasiswa Nasional kepada pelajar paling cemerlang tanpa mengira kaum. Hak Asasi dan Kebebasan Media
# Membebaskan 13 tahanan ISA pada hari menyampaikan ucapan sulung sebagai Perdana Menteri.
# Menarik balik penggantungan penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.
# Mengumumkan akan mengkaji ISA.
# Membebaskan 13 lagi tahanan ISA termasuk pemimpin pertubuhan haram Hindraf.
# Memberi kebebasan media membuat liputan. Ekonomi dan Kewangan
# Melakukan liberalisasi terhadap 27 sektor kecil perkhidmatan.
# Meliberalisasi sektor kewangan.
# Mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM60 bilion.
# Melancarkan laman web untuk membolehkan rakyat memantau pelaksanaan projek.
# Menubuhkan Majlis Ekonomi Negara.
# Menubuhkan Danajamin.
# Melonggarkan garis panduan FIC.
# Menubuhkan Ekuinas. Pemodenan dan Peningkatan Mutu Kualiti Perkhidmatan Awam
# Memperkenalkan KPI untuk semua menteri, timbalan menteri dan kementerian.
# Menjadikan KRA kaedah baru dalam pentadbiran kerajaan.
# Menjadikan KPI dan KRA asas melonjakkan kecekapan.
# Menaikkan pangkat 176,066 anggota awam kumpulan sokongan.
# Menggubal dua skim baru dan naik taraf lapan skim perkhidmatan.
# Mengkaji penubuhan skim pencen pekerja swasta dan tabung pemberhentian pekerja.
# Mencadangkan penubuhan Baitulmal Kebangsaan dan memperkasa Baitulmal negeri. Politik dan pembangunan baru
# Mengarahkan kajian terhadap Perlembagaan dan sistem pemilihan Umno
# Mencadangkan kajian dilakukan terhadap pembangunan tenaga nuklear dan sumber baru. Dasar Luar
# Melakukan lawatan rasmi ke China.
# Melakukan kunjungan hormat terhadap pemimpin negara jiran terdekat.
Perjalanan seni Mansor Ghazali

Pemergian beliau sehari sebelum hari perasmian pameran solonya mengundang rasa pilu peminat seni dan pengunjung pameran.




TATKALA meninjau ruang legar Galeri RA Fine Arts, Ampang, yang menganjurkan pameran lukisan Mansor Ghazali, perasaannya bercampur-baur. Sedang asyik melihat kesemua hasil karya mentor kesayangannya, tiba-tiba riak wajah lelaki itu berubah.

Perasaan sedih mula singgah kerana kegemilangan pameran tersebut tidak sempat dinikmati oleh Mansor Ghazali sendiri apabila Allahyarham pergi menghadap Ilahi sehari sebelum hari perasmian pameran solo itu.

"Sedih apabila mengenangkan pak cik (panggilan terhadap arwah) yang tidak sempat melihat pameran karya seni beliau sejak tahun 1953 lagi.

"Namun, perasaan sedih itu sedikit terubat apabila rata-rata pengunjung galeri yang hadir memuji hasil lukisan pak cik yang menarik dan dekat dengan masyarakat," luah pelukis Faizal Zainal, 33, mengenai mentor seninya, Allahyarham Mansor Ghazali yang meninggal dunia pada 10 Jun lalu ketika usia menginjak 79 tahun.


LUKISAN yang bertajuk Kedai Runcit (Village in Bangi).


Jika diperhatikan, kewujudan Mansor sebagai seniman tempatan agak sepi berbanding penggiat seni seperti Raja Azhar Idris, Ibrahim Hussein, Bayu Utomo Radjikin atau Datuk Syed Ahmad Jamal.

"Tidak dinafikan nama pak cik agak tenggelam berbanding pelukis lain. Lebih menyedihkan kehebatan beliau melukis dengan menggunakan medium cat air seperti dipinggirkan dan dianggap kurang moden.

"Sedangkan pada hakikatnya karya-karya cat air beliau sebaris dengan pelukis Sir Russel Flint, Andrew Wyeth, Singer Sargent mahupun Winslow Homer," kata Faizal yang menimba ilmu dan memperoleh pengalaman melukis daripada Mansor sekitar tahun 1999 sehingga allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 10 Jun lalu.

Tiada sokongan

Siapakah Mansor Ghazali sehingga karya beliau mendapat perhatian Galeri RA Fine Art untuk menganjurkan pameran solo khas beliau?

Diputerakan pada 6 Januari 1930, Mansor Ghazali merupakan anak kelahiran Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dan merupakan anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik.


Pemandangan Kampung Hulu Langat.


Kecenderungannya melukis mula dikesan sejak menuntut di Sekolah Melayu Bukit Chandan. Malangnya, minat beliau dalam bidang lukisan langsung tidak mendapat sokongan daripada guru-guru kolonial.

Namun bapa kepada dua orang cahaya mata iaitu Dr. Dzaharudin dan Maizan itu tidak pernah patah semangat. Sebaliknya, Mansor terus melukis dan melukis sehingga melanjutkan pengajian di Sekolah Clifford Kuala Kangsar sebelum menyertai Institut Latihan Perguruan di Johor pada 1952.

Kemudian, Allahyarham menyertai Institut Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur. Lebih membanggakan, beliau merupakan pelajar Melayu terawal dihantar menuntut dalam jurusan seni reka di Brighton, England pada 1962.


MANSOR Ghazali sentiasa melukis pemandangan dan persekitaran kampung.


Beberapa nama besar seperti pelukis John Lee Joo, Khalil Ibrahim, Tan Choon Ghee, Jolly Koh, Ismail Zain dan Grace Selvanayagam merupakan rakan seangkatan Allahyarham di kolej yang sama.

Dalam pada itu, ahli Persatuan Pelukis Cat Air Malaysia itu pernah merangkul pelbagai anugerah seperti Anugerah Kejora, Johor (1984) dan Anugerah Pelukis Terbaik Perak daripada Yayasan Kesenian Perak pada tahun 2000.

Faizal yang setia menemani Mansor melukis di dalam dan di luar negara menyifatkan Allahyarham sebagai pelopor cat air aliran impresionis yang begitu mengagumi kumpulan pelukis cat air dari Rusia.

Ini kerana Mansor menyukai teknik lukisan pelukis Rusia yang lebih bebas.


MANSOR GHAZALI merupakan pelajar Melayu terawal menuntut jurusan seni di Brighton, England pada tahun 1962.


Sebagai pelukis cat air generasi kedua, selepas generasi pertama Abdullah Ariff, A.B Ibrahim, Yong Mung Sen, Kaw Sia dan Choo Soo Peng, Allahyarham membawa pendekatan baru dalam tradisi cat air di Malaysia. Tekniknya berbeza sama sekali daripada pengaruh Nanyang dan warna cat air Inggeris.


ALLAHYARHAM Mansor juga gemar melukis ketika berada di luar negara.


"Saya tabik hormat kerana beliau begitu peka dan teliti ketika melukis. Pak cik kerap menegur sekiranya saya silap melukis.

"Beliau sentiasa memastikan raut wajah, postur dan cara berjalan antara orang bandar dan masyarakat kampung berlainan. Penduduk kampung memiliki postur badan yang sedikit bongkok berbanding orang bandar berbadan tegap dan berjalan pantas," jelas Faizal yang terharu atas kesungguhan Galeri RA Fine Art mengadakan pameran untuk Allahyarham.


NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob (kiri) melihat lukisan Mansor Ghazali sambil diberi penerangan oleh Raja Ahmad Aminullah (kanan) dan Kurator Jemputan,Prof Dr. Zakaria Ali (tengah) pada majlis perasmian pameran seni Mansor Ghazali di Galeri RA Fine Arts baru-baru ini.


Faizal menyifatkan pameran ini secara tidak langsung membantu memberi keseimbangan seni lukis tradisional yang sering dipinggirkan.

Rahsia

Sementara itu, Pengarah Galeri RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah turut kecewa apabila mendapati karya Allahyarham Mansor Ghazali seolah-olah seperti sebuah rahsia yang tersimpan rapi dalam kalangan para seniman, sekumpulan peminat dan pengumpul seni.

"Mansor merupakan seniman yang begitu merendah diri dan tawaduk. Beliau tidak suka menyusahkan orang lain. Barangkali sikap ini terbentuk kerana pengaruh keperibadian keluarga beliau.

"Ayahnya, Haji Ghazali merupakan guru agama Malay College Kuala Kangsar (MCCK) dan pengarang buku Suluh Ugama. Datuknya pula suatu ketika dulu pernah menjadi mufti negeri Perak manakala ibunya, pembuat tekat untuk orang kenamaan di Kuala Kangsar, Perak," tutur Raja Ahmad yang mendapati Mansor memang rapat dengan anak-anak muda dan golongan berpendapatan rendah.

Keprihatinan beliau kepada masyarakat lebih jelas dengan lukisan imej perkampungan nelayan, kanak-kanak bermain atau masyarakat berbanding perumahan elit di Bukit Damansara atau bangunan-bangunan pencakar langit.


KATALOG Seni Mansor Ghazali yang menghimpunkan koleksi lukisan dan perjalanan beliau sepanjang bergelar seniman.


Ia terbukti menerusi lukisan beliau yang bertajuk Kampung Setinggan yang memaparkan rumah pelarian Kemboja di Pekan, Pahang dan Rumah Kaum Jakun dan Kampung Nelayan.

Bukan itu sahaja, Mansor juga gemar melukis destinasi sejarah perjalanan tamadun manusia seperti lukisan Dried Up River at Petra, Jordan dan Roman Ruins at Jeras Jordan.


FAIZAL ZAINAL merupakan anak didik Mansor Ghazali sejak mereka saling mengenali sedekad yang lalu.


"Saya melukis cat air untuk menghayati keindahan alam. Kepuasan diperoleh setelah berjaya mencatat ciri-ciri setempat.

"Ia dirakam dari segi suasana kesunyian atau ketenangan pada suhu sejuk yang ditokok keadaannya dengan warna-warna sejuk."

Demikian kata-kata seniman itu yang dipetik daripada Katalog The Art of Mansor Ghazali keluaran Galeri RA Fine Arts.

Aksi kucing sarkas

Selepas tiga tahun memperkenalkan persembahan sarkas kucing, Samantha Martin belajar banyak perkara mengenai haiwan ini. Ia bijak tetapi tidak profesional.


SALAH satu aksi Acro-Cats.


MELOMPAT ke atas dengan menggunakan kedua-dua belah tapak tangan, seekor kucing putih menggenggam tiang hijau sambil bergerak ke atas dan ke bawah. Aksinya diteruskan lagi dengan berpusing ke arah belakang pentas.

Kemudian kucing betina bernama Isis itu cuba berdiri sambil menggunakan kaki kirinya ke belakang untuk menolak sebuah kereta mainan selepas seorang kakitangan berkejar-kejar untuk duduk di atas kereta mainan itu.

Latihan tersebut merupakan aksi terbaik untuk pertunjukan sarkas Acro-Cats. Bagaimanapun, sebaik sahaja orang ramai memasuki dewan kecil Chicago, Isis tidak dapat menerima arahan dengan baik.

"Cepat Isis. Cepat. Cuba sekali lagi. Ayuh kita saksikan persembahan," jerit jurulatihnya yang kemudian memberi isyarat untuk senyap seketika.

Lantas, audiens ketawa, menepuk tangan sambil tidak sabar-sabar untuk menyaksikan helah seterusnya yang dilakukan oleh kucing jinak itu. Tetapi ia cukup mengecewakan penonton.

Seekor kucing hitam memusingkan sebiji bola jaring merentasi palang selari dengan tangan depannya, manakala kucing belang pula menaiki papan luncur untuk menjatuhkan penipu.

Tidak profesional

Selain itu, ia diikuti dengan aksi lincah kucing berwarna kelabu yang melompat melalui gelung. Ia diteruskan lagi dengan telatah kucing putih dan seekor ayam yang berlawan menghasilkan bunyi loceng. Akhirnya, ayam tersebut memenangi pertandingan tersebut.

Selepas tiga tahun memperkenalkan sarkas kucing, Samantha Martin mempelajari banyak perkara mengenai penghinaan awam dan jenaka yang merendahkan diri sendiri.

"Sepanjang terlibat dalam pekerjaan ini, kucing merupakan haiwan yang paling tidak profesional," katanya selepas melalui pengalaman buruk apabila kucingnya tidak mempamerkan kehebatan ketika melakukan persembahan.


KUCING juga boleh membuat persembahan sarkas dengan syarat mereka mendapat latihan secukupnya.


Sebaliknya, penonton sangat teruja dengan sifat cerewet kucing-kucing itu dengan panggilan diva.

Seperti biasa, dewan Chicago akan dipenuhi dengan orang ramai dan Gorilla Tango Theatre sentiasa menambah persembahan menarik.

Persembahan jalanan diteruskan sambil memandu koleksi haiwan aneh untuk dipamerkan ke Kansas, Missouri, Iowa dan Indiana.

"Ramai berpendapat apa yang dilakukan itu merupakan perkara yang paling menarik di dunia. Malah ramai yang ingin berbicara mengenai kucing masing-masing," beritahu Penyelaras Pemasaran Gorilla Tango Theatre, Kelly Williams.

Bagi Jeffrey Husserl sekeluarga yang membela dua ekor kucing, mereka begitu kagum menyaksikan Acro-Cats yang mampu melakukan pelbagai aksi.

Aksi bersahaja

Persembahan yang paling mengagumkan apabila Rock Cats dipanggil meluncur keluar dari kotak lalu menarik keluar gitar mainan.

Kemudian ia diteruskan lagi dengan mengetuk set dram dan bunyi piano.

"Saya memang menyukai persembahan kucing itu. Aksi mereka sungguh menyeronokkan," cerita Husserl sementara menunggu isterinya membeli seekor kucing yang jinak itu.

"Saya gemar melihat aksi kucing yang cukup bersahaja. Ia bertambah menarik apabila kucing tersebut mampu melakukan aksi yang mungkin mereka tidak boleh lakukan sebelum ini," beritahu Martin.

Katanya, haiwan seperti ikan emas juga boleh melakukan aksi aneh sekiranya mereka dilatih.

Kesemuanya berjaya dilakukan apabila haiwan diberi arahan yang jelas dan jurulatih banyak sabar.

Kucing misalnya, mereka merupakan haiwan yang bijak. Mereka memerlukan tunjuk ajar dan teknik yang bagus untuk menghiburkan orang ramai.

Jelas Martin, kucingnya mula mengganggu dirinya untuk memulakan latihan dengan aksi tersendiri menggunakan peralatan sambil berjalan.

Berlakon filem

Walaupun mempunyai pengalaman melebihi dua dekad, sebagai jurulatih haiwan Martin berpendapat, sesiapapun boleh melatih kucing untuk melakukan apa sahaja.

"Ayam merupakan haiwan yang profesional untuk bekerja, manakala kucing tidak begitu memuaskan kerana haiwan itu perlu dilatih dengan sebaik mungkin. Kini saya memulakan tugas untuk melatih tikus," kata Martin.


WALAUPUN comel, aksi kucing-kucing ini belum tentu dapat menarik perhatian khalayak.


Kisahnya mula diketahui umum pada tahun 1989 apabila sebuah syarikat televisyen tempatan menyiarkan berita mengenai Rat Lady. Martin dijemput dalam satu rancangan temu bual Geraldo, Jay Leno.

"Tetapi, ia terpaksa diberhentikan kerana ramai yang tidak menyukai tikus. Jadi, saya lebih selesa untuk beralih kepada binatang eksotik seperti ular, lipas, beruang kecil dan babi," terangnya.

Sehinggalah dia mula menyedari bahawa bidang yang diterokanya itu melencong jauh daripada cita-cita asalnya iaitu melatih haiwan untuk berlakon filem.

Dia bercadang untuk mendalami kehebatan kucing kerana haiwan tersebut mempunyai daya penarik.

Namun, tidak lama kemudian dia mengetahui kucing-kucing itu gementar semasa mengadakan persembahan kerana tidak bekerja dengan konsisten.

Lalu, Martin meneruskan persembahan bersama kucing-kucing peliharaannya yang tidak henti-henti memberi aksi melucukan. Pada awalnya, Martin agak keberatan untuk menyatakan jumlah keseluruhan kucing yang dibelanya. Dianggarkan, dia memiliki 20 ekor kucing sehingga menyebabkan dia tidak berkahwin.

Sebenarnya, dia enggan mendirikan rumah tangga. Sambil melawak, Martin memberitahu, kos untuk menyara lelaki lebih mahal. - AFP

Adab berbeza pendapat
Mursyidul Am Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik AbdulAziz Nik Mat adalah antara tokoh besar Pas yang lantang membuatkenyataan-kenyataan keras terhadap UMNO dan para pemimpinnya.

Masa paling sesuai untuk berubah, bersatu
IBARAT pertunangan yang tak jadi, hantaran telah ditempah, rombongantelah siap sedia, pihak lelaki sudah menyatakan hasrat yang terpendammanakala pihak perempuan pula sudah menyatakan kesudian untuk menerima.Tetapi disebabkan tentangan 'bakal bapa mertua' dan sanak saudara makapertunangan dibatalkan. Begitulah dibaratkan apa yang berlaku tentangkerajaan perpaduan baru-baru ini.

Kenapa tunggu jika pendidikan seks perlu!
APA sikap anda terhadap pendidikan seks? Apakah anda menganggapnyasebagai sesuatu yang lucah maka ia tidak perlu disebut langsung apatahlagi ditulis? Atau anda merasakan ia sebagai satu keperluan apatah lagidalam keadaan masyarakat hari ini?

BISIK-BISIK
LANGKAH kerajaan mengembalikan tanggungjawab pengeluaran sijil HalalMalaysia daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) kepadaJabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuat kuasa serta-mertaadalah satu langkah yang amat baik.

Elak jurang lebih besar
JIKAtidak salah, tidak ada mana-mana negara di dunia yang menggunakanselain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistempendidikan mereka.

Cadangan mantapkan BI sebagai persediaan pelajar ke IPT
PENGUMUMAN kerajaan untuk memansuhkan PPSMI tidaklah sesuatu yangmengejutkan, berikutan tentangan yang telah diberikan oleh pelbagaipihak. Ia bukan satu keputusan mudah bagi kerajaan tetapi cukup besaruntuk membuktikan bahawa kerajaan memang mendahulukan rakyat.

Tulisan karya Adam Kadir versatil
SEMALAM, Khamis 9 Julai, mantan Perdana Menteri telah melancarkan duabuah buku karya mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir.Penulis dan dua buku berkenaan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Peristiwa dan amalan di bulan Rejab
BULAN Rejab, bulan ketujuh mengikut susunan kalendar Islam telahmencatatkan satu sejarah yang amat penting apabila Allah Taala telahmemerintahkan umat Islam mengerjakan solat lima kali sehari semalam.







Penggunaan bahasa keluarga memudahkan pelajar berfikir
ANGKAHkembali kepada penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran danpembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan adil kepadasebahagian besar murid terutama yang bahasa pertuturan mereka bukanbahasa Inggeris.

Minda Pengarang: Sokong tambah guru pakar tingkat bahasa Inggeris
SALAH satu kelemahan ketara dalam dasar Pengajaran dan PembelajaranSains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selama enam tahunpelaksanaan ialah kekurangan guru mahir berbahasa Inggeris.

Ekonomi berteras kreativiti, inovasi
PENGUMUMANPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pendekatan baru bagimeningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pelaburan, pada masasama menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputeradalam sektor korporat, perlu difahami dalam konteks persekitaran baruekonomi global.

Cakap-cakap
KEJAPgaduh, kejap kawan, kejap lawan. Yang mana satu cakap yang boleh pakaini? Mamat cuma sekadar tak mahu keliru. Isunya ialah perbalahan yangkita lihat antara Pas dan DAP di Kedah







Nasib keturunan Afghan di Xinjiang
Memiliki ciri fizikal masyarakat Afghanistan, etnik Uighur di Xinjiang,China, sering berdepan dengan konflik antara agama di wilayah yangdigelar laluan emas itu. Rusuhan terbaru yang mengorbankan 156 adalahbuktinya.


Ritual batu kura-kura purba
Ramai pelajar percaya batu purba yang berada di Temple of Literature,Hanoi itu mampu memberi tuah kepada mereka untuk lulus dalampeperiksaan.
Elak jurang lebih besar

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

JIKA tidak salah, tidak ada mana-mana negara di dunia yang menggunakan selain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan mereka.

Malah, negara-negara seperti Jepun, Perancis, Rusia dan Korea juga menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mencapai status negara maju seperti ketika ini.

Perkara ini pastinya berkait rapat dengan kefahaman asas sesuatu ilmu terutamanya Matematik dan Sains yang perlu dikuasai menggunakan bahasa yang difahami oleh anak bangsanya.

Maksudnya dalam sistem pendidikan negara, ia seharusnya menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa ibunda kaum-kaum utama lain.

Barangkali kerana itu juga, sejak PPSMI dilaksanakan pada 2003, dasar pendidikan ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada banyak pihak.

Ketika ramai melihat ia merupakan langkah terbaik dalam memperkasakan bahasa Inggeris, lebih ramai pula menilai pelaksanaannya memperjudikan masa depan generasi muda dan jati diri serta identiti bangsa.

Penilaian itu dibuat berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi-organisasi lain.

Sekurang-kurangnya 46 kajian mengenai pelaksanaan dasar PPSMI dijalankan sepanjang enam tahun pelaksanaannya dengan rata-rata hasil dapatan memberikan maklum balas yang kurang memberangsangkan.

Penggunaan bahasa Inggeris juga menunjukkan penguasaan Matematik dan Sains di peringkat asas di kalangan pelajar-pelajar semakin lemah.

Perkara ini turut memberi kesan terhadap pencapaian pelajar terutamanya pelajar Melayu dalam peperiksaan UPSR yang semakin merosot.

Dalam gambaran yang lebih luas, pencapaian pelajar Malaysia dalam bidang Matematik dan Sains tidak lagi kompetitif di peringkat antarabangsa.

Perkara ini telah terbukti apabila kedudukan pencapaian pelajar Malaysia berada di tangga ke-20 berbanding Singapura dan China yang masing-masing berada pada kedudukan pertama dan kedua tahun lalu.

Maka, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa strategi PPSMI sebenarnya adalah tidak sesuai.

Kerana itu juga ramai yang beranggapan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI menjelang 2012 adalah langkah yang wajar.

Semestinya, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI turut mengambil kira kajian yang dilakukan yang antara lain memberikan dapatan yang konsisten serta data-data yang meyakinkan.

Namun bagi pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, kerajaan sebenarnya bertindak bijaksana dengan pemansuhan PPSMI itu apabila mendengar keluhan rakyat dan memberikan perhatian serta membetulkannya mengikut kesesuaian.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak itu sewajarnya dipandang dengan serius kerana ia memberikan gambaran sebenar kepada sejauh mana kejayaan pelaksanaannya.

Antaranya berkaitan implikasi terhadap jurang pencapaian pelajar yang semakin melebar berasaskan etnik, lokasi sekolah dan jenis aliran pendidikan.

Adalah diyakini, sekiranya dasar PPSMI diteruskan, jurang tersebut di kalangan masyarakat akan bertambah besar.

Jika tidak dimansuhkan, jurang pencapaian akademik itu akan membawa kepada jurang ekonomi dan status kehidupan pada masa depan.

Anuar menambah, data-data pencapaian akademik juga menunjukkan PPSMI turut meningkatkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar.

Ini secara tidak langsung dilihat membina jurang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu.

''Kesannya sangat buruk dan boleh membahayakan generasi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang," ujar Anuar.

Bagaimanapun keputusan memansuhkan PPSMI itu pastinya tidak sesekali turut memansuhkan hasrat semua pihak untuk melihat bahasa Inggeris terus diperkasakan.

Hakikatnya, kepentingan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara tidak pernah dinafikan oleh sesiapa. Hatta oleh kumpulan yang sebelum ini lantang menentang PPSMI sekali pun.

Tanpa penguasaan bahasa Inggeris, masyarakat Malaysia akan ketinggalan dalam persaingan yang menjurus kepada era teknologi dan informasi ketika ini.

Malah kepentingan bahasa Inggeris juga semakin dirasakan di peringkat tempatan terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Melayu.

Mereka berasa ketinggalan berbanding rakan-rakan lain yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik sekurang-kurangnya untuk tujuan berkomunikasi.

Begitu juga untuk tujuan akademik dan penyelidikan yang mana kebanyakan bahan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.

Cabaran lebih besar menanti pelajar-pelajar ini apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan terutamanya dalam sektor swasta.

Kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik bukan lagi pilihan lagi jika mereka merancang untuk melangkah lebih jauh.

Kerana itu juga ramai yang memberikan reaksi positif kepada cadangan kerajaan untuk mewajibkan syarat lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM.

Alternatif-alternatif seperti yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran dalam menggantikan dasar PPSMI juga dilihat sebagai satu langkah penyusunan semula yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat.

Langkah menambah guru dan waktu mengajar serta membawa guru dari luar misalnya, lebih efisien dan dicadangkan oleh banyak pihak.

Sebagai tambahan, Anuar turut mencadangkan supaya dijayakan program pembudayaan bahasa Inggeris melalui pembacaan, penulisan dan pertuturan.

Ia mencakupi dalam bidang kokurikulum, pertandingan antara sekolah atau interaksi harian antara pelajar dan guru serta program-program lain.

Apa yang lebih utama tambah Anuar, fungsi bahasa Inggeris seharusnya tidak sekadar menjadi mata pelajaran untuk peperiksaan.

Tetapi harus menjadi bahasa perhubungan dan dituturkan secara lebih meluas dalam perhubungan harian di sekolah.

Seperkara yang turut perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah isu kemahiran di kalangan guru-guru.

Menurut Anuar, masih terdapat ramai guru yang tidak dapat menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik terutamanya dalam pertuturan.

''Jika guru sendiri memandang sepi usaha dan kepentingan bahasa Inggeris, kita sebenarnya tidak banyak bergerak ke hadapan," ujar beliau.

Dalam menilai PPSMI juga, antara perkara yang sering menjadi perdebatan ialah ialah kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa teknologi.

Perkara ini turut mendapat perhatian pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid.

Menurut beliau, kemampuan bahasa Malaysia dalam melahirkan ramai profesional di kalangan anak tempatan terutamanya orang Melayu tidak wajar dipertikai.

Beliau mengambil contoh sistem pendidikan di universiti pada awal 70-an yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Ketika itu katanya, tidak timbul isu kesukaran pelajar-pelajar tercicir atau berdepan kesukaran menguasai bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.

Sebaliknya, mereka dapat menyesuaikan diri dengan istilah-istilah teknologi bahasa Inggeris kerana asas-asas bahasa itu sudah dikuasai menerusi kefahaman menerusi bahasa Malaysia.

''Apa yang penting di sini ialah kefahaman di peringkat awal yang mana bahasa Malaysia seharusnya menjadi bahasa pengantar kerana ia lebih dikuasai dan difahami oleh pelajar," ujar beliau.
Cadangan mantapkan BI sebagai persediaan pelajar ke IPT

PENGUMUMAN kerajaan untuk memansuhkan PPSMI tidaklah sesuatu yang mengejutkan, berikutan tentangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Ia bukan satu keputusan mudah bagi kerajaan tetapi cukup besar untuk membuktikan bahawa kerajaan memang mendahulukan rakyat.

Oleh kerana pada masa yang sama, langkah-langkah untuk memperkasakan bahasa Inggeris juga telah dibentangkan, maka seperti yang dikatakan oleh Prof. Ungku Aziz, keputusan tersebut dapat memuaskan hati semua pihak. Satu pihak mahu bahasa Melayu dimartabatkan, dan satu pihak lagi mahu melihat peningkatan di dalam penguasaan bahasa Inggeris (BI).

Salah satu hujah yang selalu kedengaran bagi golongan yang mahu PPSMI ini diteruskan ialah masalah pelajar-pelajar daripada alam persekolahan ke peringkat universiti.

Kebanyakan daripada bahan-bahan rujukan masih lagi di dalam bahasa Inggeris bertahap tinggi dan agak sukar bagi pelajar-pelajar yang hanya berkelulusan MUET dan Bahasa Inggeris SPM, yang langsung tidak diiktiraf IPT tempatan, apatah lagi di luar negara.

Ini merupakan salah satu penyumbang kepada pencapaian pelajar-pelajar IPT kita yang 'sederhana', khususnya golongan Bumiputera, terutamanya di dalam bidang-bidang sains dan teknologi.

Jawapan kerajaan terhadap hujah di atas ialah dengan memantapkan Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri di peringkat persekolahan, dengan menambahkan contact hours, bilangan guru serta pendedahan istilah sains dan teknologi. Di sini izinkan saya memberikan beberapa cadangan.

Tidak perlu bagi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menterjemahkan segala-galanya ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah teknikal/saintifik "universal" perlu dikekalkan, atau setidak-tidaknya di masukkan juga di dalam buku-buku teks sebagai "nota kaki" bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan kelak.

Untuk memantapkan lagi penguasaan mana-mana subjek, pelajar-pelajar perlu mengaplikasikan apa yang telah diajar di sekolah, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja. Dalam kes penguasaan sesuatu bahasa, tidak ada cara yang lebih berkesan selain daripada menggunakannya. Memperkenalkan ujian lisan, persembahan-persembahan teater/drama, debat dan pidato sebagai cabang kurikulum, dari peringkat rendah secara berterusan dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa tersebut. Pengajaran secara 'monolog' yang berlebihan perlu dihentikan.

Soalan-soalan peperiksaan BI sama ada ujian bulanan, penggal, semester atau tahunan wajar merangkumi bidang sains dan teknologi, dan tidak tertumpu kepada nahu, sastera dan hal-ehwal semasa sahaja.

Ketika ini, hanya BI yang merupakan satu-satunya subjek di dalam peperiksaan SPM yang "tidak laku" untuk syarat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Pelajar-pelajar yang ingin ke luar negara perlu mengambil peperiksaan IELTS, manakala bagi yang mendapat tempat di IPT terpaksa mengambil MUET.

Sudah sampai masanya bagi Kementerian Pelajaran untuk menaikkan kembali status BI ke tahap yang setaraf dengan negara-negara membangun yang lain.

Akhir sekali, demi masa depan anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini, semua pihak perlu berhenti mempolitikkan soal-soal pendidikan, sebaliknya bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab untuk bersama-sama berganding bahu memperkasakan perkara yang sensitif ini.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran pula, diharap pada masa-masa akan datang dapat membuat pertimbangan dan persiapan secara menyeluruh lagi terperinci, sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang membabitkan kepentingan generasi akan datang, yang bakal menggalas amanah untuk mentadbir negara kita yang tercinta ini.

Dr. Faizal Tajuddin

Pasir Salak, Perak
Tulisan karya Adam Kadir versatil

SEMALAM, Khamis 9 Julai, mantan Perdana Menteri telah melancarkan dua buah buku karya mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir. Penulis dan dua buku berkenaan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Sebelum mencapai puncak kerjayanya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, Adam telah melalui serentetan kerjaya yang pelbagai ragam. Beliau pernah dilantik sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam Kumpulan Pernas, Ahli Dewan Rakyat, Setiausaha Parlimen dan sebelum itu sebagai pegawai di Bank Negara dan akhirnya mencapai kemuncak sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Dari zaman remaja hingga umurnya meningkat separuh usia, Adam menempah nama sebagai sasterawan yang menulis novel dan cerpen serta skrip drama.

Keistimewaan dua bukunya yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam masing-masing ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Buku yang berjudul ISU: Ekonomi, Politik, Sosial dan Budaya mengandungi 111 artikel yang pernah tersiar dalam kolum mingguannya di Utusan Malaysia. Yang satu lagi berjudul Sense of Proportion merupakan kumpulan artikelnya yang pernah tersiar di dalam akhbar The Edge.

Kedua-dua buku berkenaan membuktikan bahawa Adam Kadir adalah seorang cendekiawan, penulis Melayu yang benar-benar mempunyai keupayaan dwi-bahasa.

Beliau juga mempunyai kebolehan yang istimewa menulis dalam bahasa Inggeris tentang hal ehwal korporat di serata tempat, tentang pasaran bersama Eropah, ASEAN, WTO, AFTA, NAFTA, EFTA dan SAFTA. Huraiannya juga cukup menarik mengenai politik antara kaum di Malaysia, tentang politik antarabangsa di serata dunia, tentang pencerobohan Bush ke atas Iraq serta tentang hubungan Lee Kuan Yew dengan Yusof Ishak.

Sama ada berkarya dalam bahasa Melayu atau pun bahasa Inggeris, tulisan Adam Kadir senantiasa sedap dibaca, merangsang minda dengan persoalan-persoalan yang polemikal dan sekali gus memenuhi tuntutan-tuntutan estetika dengan langgam bahasa yang menarik, idiomatik dan kadang-kadang puitik.

Ayat-ayatnya pendek dan jelas. Kadang-kadang suka menyindir. Beliau mempunyai kemahiran menjelaskan perkara-perkara yang kompleks dan abstrak dalam bahasa yang mudah difahami.

Kedua-dua buku yang dilancarkan Tun Mahathir itu mengandungi buah fikiran Adam yang meliputi aspek-aspek ekonomi, politik, sosial dan budaya, adalah antara bukti-bukti yang menggambarkan versatility Adam.

Sebagai seorang penulis beliau bukan sahaja mempunyai mata pena yang tajam, tetapi juga memiliki minda yang peka terhadap pelbagai persoalan di luar negara atau di kampung halaman. Dengan nada seakan-akan menyindir Adam melihat dan mencatat aspek-aspek "Kota London yang sudah penat."

Dengan nada nostalgia, beliau mengingatkan kita tentang nasib "Kampung Baru yang tidak baru lagi" yang sudah menjadi ibarat kampung setinggan di halaman bangunan KLCC yang megah tersergam.

Artikel Kota London yang sudah penat dan artikel Kampung Baru yang tidak baru lagi mempunyai persamaan dari segi kepekaan Adam melihat proses perubahan yang melibatkan tempat, masa dan manusia. Tetapi secara tersirat beliau memberi penilaian yang berbeza terhadap sebab dan akibat proses perubahan yang dialami Kampung Baru di Kuala Lumpur dan bandaraya London di Great Britain itu.

Adam seolah-olah berhujah atau menyindir bahawa Kampung Baru terabai dan terbengkalai kerana pemimpin politik dan pegawai tadbir yang cuai, manakala London menjadi penat akibat keangkuhan satu kuasa yang sudah kehilangan glori.

Perbezaan penilaian Adam terhadap kenapa London menjadi 'penat' dan kenapa Kampung Baru tidak baru lagi, saya anggap sebagai satu manifestasi daripada semangat nasionalisme dan yang masih terpendam dalam dada Adam. Dan semangat yang sedemikian, khususnya sentimen anti imperialisme dapat kita kesan dalam artikel-artikel yang merujuk kepada keserakahan kuasa-kuasa imperialisme di Iraq, Afghanistan dan Palestin.

Artikel pada halaman 196 yang berjudul Bush Patut Alami Nasib Milosevic memperlihatkan lagi kemarahan Adam terhadap presiden sebuah kuasa besar yang zalim dan kejam.

Versatiliti Adam sebagai seorang cendekiawan selanjutnya dapat kita lihat daripada keragaman subjek atau tajuk yang dibincangkannya. Dengan imaginasi dan daya kreatif yang mengagumkan, beliau memberi versi baru tentang kisah Si Luncai dan Mat Jenin, di samping bercerita tentang Edward Kenneddy dan Teddy Rooselvelt, Lyndon Johnson dan George Bush.

Beliau mengingatkan kita tentang kekejaman tentera Amerika di Vietnam dalam tahun 1960-an, khususnya peristiwa penganiayaan penduduk kampung di My Lai. Senada dengan itu dirujuknya pula kezaliman dan penganiayaan yang berlaku di penjara Abu Gharib, lebih kurang 40 tahun kemudian.

Mengenai isu-isu dalam negara, minatnya terentang daripada persoalan menggubal istilah-istilah baru dalam bahasa Melayu hinggalah kepada peranan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memerangi rasuah. Tidak syak lagi, Adam adalah seorang tokoh kebangsaan yang cemerlang dalam berbagai-bagai bidang, versatile, bilingual serta kreatif dan analitikal.

Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Peristiwa dan amalan di bulan Rejab

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

BULAN Rejab, bulan ketujuh mengikut susunan kalendar Islam telah mencatatkan satu sejarah yang amat penting apabila Allah Taala telah memerintahkan umat Islam mengerjakan solat lima kali sehari semalam.

Berbanding dengan ibadat lain seperti zakat, puasa dan menunaikan haji - perintah bersolat telah diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW dan ia berlaku ketika baginda menjadi tetamu Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).

Rasulullah menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah.

Perintah yang diterima sejak 1,430 tahun lalu itu kemudian terus diamalkan sehingga hari ini. Solat dilakukan sama ada secara berjemaah mahu pun bersendirian - tetapi masih terdapat umat Islam langsung tidak mahu menunaikan ibadat tersebut.

Bagi umat Islam pula Rejab merupakan bulan suci kerana di dalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj iaitu peristiwa perjalanan malam Rasulullah dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa (Israk) dan kemudian baginda naik ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha (Mikraj).

Selain peristiwa Israk Mikraj, bulan Rejab turut mencatatkan beberapa peristiwa hijrah pertama para sahabat ke Habsyah (Ethiopia). Antara sahabat yang terlibat dengan hijrah itu ialah Saidina Uthman ibn Affan r.a dan isterinya Ruqayyah iaitu anak Rasulullah. Penghijrahan itu bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Peperangan Tabuk juga berlaku pada bulan Rejab iaitu pada tahun kesembilan hijrah. Peperangan ini menguji umat Islam kerana ia berlaku pada musim panas. Dengan pertolongan Allah SWT, tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

Bulan Rejab juga mencatat sejarah kelahiran Imam As-Syafie atau nama penuhnya Muhammad Idris. Tokoh ini lahir pada 150H pada bulan tersebut. Beliau adalah salah seorang daripada empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie.

Dalam bulan Rejab juga iaitu pada 27 Rejab 583H, panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi berjaya membebaskan kota suci Baitulmuqaddis daripada tentera salib selepas dijajah kira-kira 60 tahun.

Dalam memperkatakan bulan Rejab, kita juga tidak akan terlepas daripada membicarakan fadhilatnya hingga ada yang beranggapan ibadat pada bulan ini diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Bagaimanapun, terdapat ulama menyatakan bahawa tanggapan seperti itu tidak benar kerana hakikat pahala dan ganjaran yang disediakan kepada orang yang beramal soleh hanya Allah sahaja maha mengetahui. Sungguhpun begitu, Allah telah berjanji bahawa mereka yang berusaha meningkatkan keimanan kepada-Nya akan mendapat ganjaran sewajarnya.

Seperti mana bulan-bulan yang lain, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat dan berpuasa sunat adalah antara ibadat terbaik untuk dilakukan.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan zikirullah dengan cara membaca al-Quran, berwirid, bertahmid dan bertasbih.

Justeru, kedatangan bulan Rejab ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan cara itu diharap dapat menjadikan kita sebagai insan yang bertakwa di sisi Allah.
Penggunaan bahasa keluarga memudahkan pelajar berfikir
Oleh Norliza Abdullah
rencanabh@bharian.com.my

Pengajaran subjek Sains, Matematik dalam bahasa ibunda bantu memahami konsep, prosedur pengajian

LANGKAH kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan adil kepada sebahagian besar murid terutama yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris.

Ia memberi peluang saksama kepada mereka terutama yang tinggal di luar bandar dan penempatan Orang Asli menguasai kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa yang mudah difahami.

Menggunakan bahasa yang mudah difahami penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa yang mudah difahami.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata dalam konteks pendidikan di Malaysia, bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa pengantar untuk kedua-dua mata pelajaran ini.

Katanya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diguna pakai sejak 2003, jelas menidakkan hak murid terutama yang tidak menguasai bahasa Inggeris dalam menguasai ilmu berasaskan teknologi moden itu dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Buktinya, pelaksanaan itu menjejaskan prestasi pelajar terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Berdasarkan kajian 59 negara, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2004 dan 519 bagi 1999 iaitu penurunan sebanyak 34 peratus.

Berbanding kajian TIMSS pada 1999 mendapati prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains adalah antara yang tertinggi di kalangan 59 negara yang dikaji.

Beliau berkata, pada 2007 prestasi pelajar kita menjunam dan kemerosotan ini adalah tertinggi di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam TIMSS 2007. Kemerosotan itu sebahagian besarnya disebabkan kebanyakan pelajar sukar mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, pada 1999 dan 2003, pelajar mengikuti mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Mereka mudah belajar kerana masing-masing cekap dalam bahasa Malaysia dan guru mereka juga lancar mengajarnya dalam bahasa Malaysia. Jadi prestasi mereka dalam Matematik dan Sains baik.

"Sudah banyak kajian di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Eropah menunjukkan pentingnya bahasa ibunda atau bahasa keluarga (bahasa yang selalu diguna dalam keluarga) diguna untuk mengajar pelajar memahami konsep dan prosedur dalam Matematik dan Sains atau dalam mata pelajaran akademik lain.

"Penggunaan bahasa keluarga atau ibunda memudahkan pelajar berfikir dan memahami pelajaran. Kajian TIMSS menunjukkan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda (bahasa keluarga) dalam pembelajaran Matematik dan Sains mencapai prestasi lebih tinggi berbanding pelajar yang menggunakan bahasa kedua atau bukan bahasa keluarga," katanya mengulas langkah kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah untuk dilaksanakan dalam bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Dr Isahak berkata, di Malaysia jelas menunjukkan bagaimana bahasa Cina yang diguna di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains (ditambah dengan pengajaran istilah dalam bahasa Inggeris) memberi kesan positif dalam meningkatkan prestasi pelajarnya dalam UPSR pada 2008 dan menurun peratus yang gagal.

"Kita harus bertanya, apakah sebab sebahagian besar pelajar luar bandar rendah penguasaan bahasa Inggeris? Tentu ada sebabnya iaitu sebahagiannya kerana kurikulum dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris untuk pelajar ini kurang sesuai," katanya.

Beliau berkata, pendekatan Communicative English atau bahasa Inggeris komunikasi diguna untuk mengajar pelajar asing di United Kingdom (UK) dan AS yang dipelopori Widdowson pada 1970-an dijadikan asas dan pendekatan mengajar pelajar di sekolah rendah dan menengah di Malaysia bermula awal 1980-an.

"Usaha itu relevan sebagai pendekatan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa asing kepada pelajar asing di UK atau AS. Bahasa Inggeris komunikasi diguna pelajar asing dalam konteks masyarakat di kedua-dua negara yang menggunanya sebagai bahasa kehidupan seharian dalam pertuturan dan komunikasi.

"Pendekatan itu kurang sesuai untuk mengajar pelajar di sekolah rendah luar bandar di Malaysia kerana bahasa berkenaan tidak digunakan di luar bilik darjah. Masing-masing hanya menggunakan bahasa berkenaan selama kira-kira sejam sehari lima hari seminggu, dalam kelas saja," katanya.

Dr Isahak dalam kajian ilmiahnya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati, 83 peratus daripada murid di semua penempatan seluruh negara meluahkan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka mempelajari subjek ini sejak 2003.

Hasil kajian itu juga mendapati 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

Guru mengambil inisiatif lebih menerangkan semula dalam bahasa Melayu dengan harapan muridnya yang lemah bahasa Inggeris memahami apa yang hendak disampaikan.

Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort, iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Ini diikuti pada Julai juga 2007 membabitkan seramai 636 dari 13 sekolah rendah. Seterusnya Januari lalu, tinjauan dilaksanakan membabitkan murid 1,703 murid Tahun Lima di 28 sekolah rendah.

Selain kajian UPSI menunjukkan kegagalan PPSMI meningkatkan minat pelajar dalam subjek Sains dan Matematik, pengkaji lain sebelum ini juga menunjukkan hasil sama.

Terdahulu sekumpulan penyelidik juga dari UPSI diketuai Zainuddin Bikum pada 2004 juga menunjukkan hasil sama.

Antara pengkaji lain yang mengenal pasti kesan negatif pelaksanaan PPSMI ialah Prof Madya Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003 dan Prof Juriah Long juga dari UKM menerusi dana penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr Isahak berkata, konteks dan fungsi pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (atau bahasa asing) di Malaysia tentulah berlainan berbanding proses pengajarannya di UK atau AS.

"Kita perlu mengguna pendekatan lebih sesuai dengan konteks 'budaya' di Malaysia. Tentu sekali ada pendekatan alternatif lain dan sudah pun terdapat pendekatan lain mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa asing dalam konteks budaya lain," katanya.

Beliau menyarankan supaya kementerian mengguna dan menambah bilangan guru tempatan dan kukuhkan kecekapan mereka, tanpa perlu mengimport guru dari luar negara seperti UK, Australia dan AS mengajar pelajar kita kerana kosnya berganda selain mereka akan balik semula ke negara asal.

Kajian menunjukkan pelajar berlainan kebolehan perlu jangka masa berlainan untuk menguasai kecekapan berbahasa, termasuk bahasa Inggeris. Lebihkan masa dan banyakkan latihan untuk pelajar kita belajar bahasa Inggeris terutama pelajar di luar bandar.

Pelajar kita sudah pun berjaya belajar secara intensif pelbagai bahasa asing - Jepun, Arab, Korea, Perancis, Jerman dan Russia - untuk belajar di peringkat tinggi dalam pelbagai bidang di IPT di luar negara.
Minda Pengarang: Sokong tambah guru pakar tingkat bahasa Inggeris

SALAH satu kelemahan ketara dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selama enam tahun pelaksanaan ialah kekurangan guru mahir berbahasa Inggeris. Malah, ada guru dikatakan terpaksa membuat penjelasan dalam bahasa Malaysia ketika mengajar, kerana guru itu sendiri kurang memahami bahasa Inggeris dan murid pula tidak memahami bahasa asing itu, terutama pelajar luar bandar yang tidak menuturkan bahasa Inggeris di luar sekolah. Keadaan menjadi kekok sehingga ada pihak mendakwa dasar PPSMI sepatutnya dilaksanakan apabila segala kemudahan dipersiapkan terutama untuk melatih lebih banyak guru yang fasih berbahasa Inggeris. Namun, tempoh enam tahun pelaksanaan PPSMI yang akan dimansuhkan tiga tahun lagi, adalah terlalu singkat sebenarnya untuk mengukur kejayaan atau kegagalan PPSMI. Tetapi berdasarkan kajian oleh universiti tempatan dan badan antarabangsa, PPSMI tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Sebab itu, apabila Kabinet kelmarin memutus untuk memansuhkan PPSMI, ia memberi penekanan kepada usaha memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Berdasarkan reaksi pelbagai pihak, majoriti menyokong langkah kerajaan untuk memantapkan penggunaan bahasa asing itu. Antaranya ialah menambah seramai 13,933 guru bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Malah, keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik dalam BI. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai; pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI serta menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris. Semua ini dilakukan dalam usaha kerajaan untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. Memandangkan penekanan diberi kepada BI selepas PPSMI dimansuhkan, mungkin sudah tiba masanya pula bagi kerajaan mewajibkan lulus subjek bahasa Inggeris pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggambarkan kerajaan amat prihatin mengenai pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik untuk menentukan kita boleh bersaing dalam era globalisasi. Langkah ini juga mungkin boleh meredakan emosi golongan yang tidak menyokong pemansuhan PPSMI. Jika ada keperluan, tidak mustahil nanti kita boleh menubuhkan kolej khas bertaraf universiti untuk melatih guru khas bahasa sama ada bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, bahasa Perancis, Mandarin, Jepun, bahasa Indonesia dan bahasa lain di dunia ini, yang mungkin akan turut menarik minat pelajar dari serata dunia. Pelbagai cabang jurusan bahasa boleh diwujudkan seperti pengkhususan dalam bahasa Malaysia untuk sains merangkumi semua subjek Sains termasuk Matematik, bahasa teknologi maklumat (IT) dan sebagainya. Malah universiti bahasa ini juga boleh dibuka untuk pelajar diploma penterjemahan. Dengan itu, Malaysia boleh dijadikan pusat pendidikan atau hab bagi mengeluarkan guru pakar bahasa.
Ekonomi berteras kreativiti, inovasi

Oleh Dr Zaini Ujang

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pendekatan baru bagi meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pelaburan, pada masa sama menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, perlu difahami dalam konteks persekitaran baru ekonomi global.

Persekitaran itu sudah pasti ada kaitan dengan kemurungan ekonomi dunia, sekali gus memberi kesempatan untuk mengubah dasar lama supaya lebih berdaya saing dan lestari.

Antara lain, pengumuman Najib pada Persidangan Invest Malaysia 2009 baru-baru ini, membabitkan kelonggaran terhadap Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dalam soal pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan; kegiatan mendapat dana syarikat senaraian awam serta pembelian hartanah.

Sekali imbas, dasar itu nampak hanya terhad kepada sektor ekonomi. Banyak pihak mula berbincang beberapa isu membabitkan kepentingan Bumiputera dan tahap daya saing berbanding negara jiran rantau ini. Sudah pasti kaca mata politik kepartian turut digunakan untuk menilai kepemimpinan dan dasar Najib sebagai Perdana Menteri baru.

Biar apapun perspektifnya, namun ketara bahawa dasar baru itu mempunyai rasional yang memberi kesan langsung kepada corak pelaburan, bentuk industri dan jenis pemangkin ekonomi di Malaysia.

Kenapa kita memerlukan model ekonomi baru ketika ini? Pertama kerana model lama tidak lagi mampu menyediakan momentum baru kepada kemajuan ekonomi negara yang dirangka sejak lebih dua dekad lalu berasaskan persekitaran lama.

Kedua kerana kita memerlukan strategi dan pendekatan baru untuk menangani iklim ekonomi dunia merudum bermula dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Natijahnya, banyak negara rakan niaga utama kita mengalami pertumbuhan negatif, termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun menyebabkan pengurangan mendadak eksport barang dan perkhidmatan tempatan.

Ketiga kerana model baru ekonomi negara maju mengalami perubahan daripada industri konvensional kepada industri lestari. Secara fitrah, tidak semua krisis, pengurangan dan penguncupan ekonomi itu mendatangkan musibah. Pasti ada hikmahnya. Dari segi pembangunan dasar, ini adalah kesempatan terbaik untuk kita melakukan anjakan paradigma. Malah, menurut Najib, ini juga satu keperluan untuk terus maju dan berdaya saing.

Soalan kedua ialah apakah bentuk kreativiti dan inovasi yang perlu dimajukan untuk membentuk ekonomi model baru? Ketika ini banyak negara maju sudah melakukan anjakan paradigma untuk menjana nilai tinggi daripada kreativiti dan inovasi menggunakan paradigma lama kepada yang baru. Anjakan itu dilakukan bukan saja terhadap jenis dan bentuk industri atau perkhidmatan, malah terhadap sektor berkaitan secara holistik.

Penjanaan nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi baru ini dirangka membabitkan tiga dimensi yang digabung secara sepadu, iaitu pertumbuhan ekonomi, tanggungjawab sosial dan keprihatinan ekosistem. Hal ini terangkum dalam banyak laporan dan pernyataan dasar seperti Laporan Stern 2007 di United Kingdom atau manifesto politik Presiden Barack Obama.

Tidak dinafikan banyak pihak sinis terhadap kreativiti dan inovasi untuk membangunkan paradigma baru ini. Malah, sesetengah pihak industri sendiri menyatakan kebimbangan bahawa paradigma itu akan meningkatkan kos pengeluaran dan seterusnya mengurangkan daya saing.

Namun demikian kita juga perlu faham bahawa perkembangan teknologi berasaskan kreativiti dan inovasi ketika ini hampir semuanya menjurus kepada pendekatan holistik. Mereka yang nampaknya seolah-olah berdalih, pada hemat saya, kerana strategi untuk melekakan pesaing masing-masing supaya beranggapan bahawa mereka masih iltizam dengan paradigma lama.

Secara tidak langsung kreativiti dan inovasi baru itu bukan saja menjana nilai tinggi iaitu kenderaan yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api, bahkan mesra alam dengan harga jauh lebih murah. Selain itu, teknologi terbabit membolehkan Amerika Syarikat mengurangkan 30 peratus penggunaan bahan api dalam negara dengan penjimatan AS$45 bilion setahun.

Ini sekadar satu contoh penjanaan nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi baru yang diperlukan untuk membolehkan Malaysia membangunkan model ekonomi baru seperti ditegaskan Najib.

Hal ini menjadi lebih kritikal menerusi pelbagai protokol dan perjanjian antarabangsa, khususnya perjanjian perdagangan antarabangsa WTO dan ketetapan multi lateral pasca Protokol Kyoto mengenai perubahan iklim global yang dijangka akan diputuskan di Copenhagen Disember ini.

Malaysia harus bersedia untuk menangani perubahan berkenaan menerusi model ekonomi baru melalui penjanaan nilai tinggi berasaskan kreativiti dan inovasi lestari. Seperti kata Najib, model baru itu adalah langkah kritikal untuk mengekalkan momentum mesra pasaran sekali gus boleh mencipta sumber pertumbuhan baru.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Cakap-cakap

KEJAP gaduh, kejap kawan, kejap lawan. Yang mana satu cakap yang boleh pakai ni? Mamat cuma sekadar tak mahu keliru. Isunya ialah perbalahan yang kita lihat antara Pas dan DAP di Kedah. Wakil tunggal DAP di negeri jelapang padi itu beriya-iya mengumumkan tindakan keluar daripada kerajaan Pakatan Rakyat. Ini berkaitan isu pusat pemotongan babi di negeri itu.

Semalam, kita baca bagaimana dua pihak yang bertegang urat ini sudah berbaik-baik pula. Kita diberitahu bahawa masalah sudah selesai dan mereka sudah berkawan semula. Mamat tengok episod ini seperti satu sandiwara yang dimainkan untuk tontonan umum. Betulkah mereka sudah berbaik semula atau ini hanya adegan demi pilihan raya kecil di Manek Urai?

Mamat - tak suka sandiwara.
Nasib keturunan Afghan di Xinjiang

Memiliki ciri fizikal masyarakat Afghanistan, etnik Uighur di Xinjiang, China, sering berdepan dengan konflik antara agama di wilayah yang digelar laluan emas itu. Rusuhan terbaru yang mengorbankan 156 adalah buktinya.




IA bermula dengan satu demonstrasi aman tetapi bertukar menjadi mimpi ngeri. Segala-galanya tercetus selepas etnik Islam Uighur di China menuntut penjelasan berhubung kematian dua pekerja kilang mainan dalam satu rusuhan di selatan negara itu bulan lalu.

Video-video yang disiarkan di Internet menunjukkan seorang wanita etnik Uighur beragama Islam dipukul sehingga mati oleh para pekerja yang majoritinya berbangsa Cina Han. Berikutan itu, negara kuasa besar Asia, China sekali lagi menjadi tumpuan media antarabangsa.

Di sekitar jalan di Urumqi yang terletak kira-kira 3,219 kilometer dari barat Beijing, kenderaan-kenderaan dibakar dan dimusnahkan.

Kota yang terletak di wilayah Xinjiang dengan populasi seramai dua juta orang itu sekali lagi menyaksikan tragedi pertumpahan darah ekoran ketegangan antara etnik.




Sebelum ini, Urumqi sering menjadi contoh keharmonian antara etnik oleh masyarakat China. Malangnya, insiden keganasan pada Ahad lalu secara tidak langsung menoktahkan keamanan yang dikecapi selama ini.

Lontaran batu berterbangan memecahkan tingkap-tingkap bangunan manakala mayat-mayat bergelimpangan di jalan raya, sekali gus mengingatkan warga China terhadap peristiwa hitam di Dataran Tiananmen pada tahun 1989 yang mengakibat banyak kematian selepas pihak berkuasa menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

"Lindungi Xinjiang!," jerit ribuan pegawai pencegah rusuhan dan polis bersenjata sewaktu mereka dikerah ke tempat kejadian untuk menenangkan keadaan.

Setakat ini, seramai 156 orang telah terkorban. Rata-ratanya terdiri daripada etnik Cina Han manakala lebih 828 yang lain cedera. Siasatan awal mengesahkan sebanyak 261 buah kenderaan telah dibakar melibatkan 190 buah bas, 10 buah teksi dan dua kereta peronda polis.




Turut musnah ialah 203 buah kedai dan 14 buah kediaman. Lebih daripada 1,400 orang suspek juga telah ditahan oleh pihak polis.

Angka kematian ini sekali gus melakar sejarah keganasan etnik terburuk di China sejak berakhirnya Revolusi Budaya 1966-1976.

Keganasan ini sebenarnya mungkin boleh dielakkan jika pihak berkuasa tidak bertindak keras terhadap peserta-peserta protes.

"Kemarahan ini sudah lama terpendam. Pada awalnya, ia hanya satu perhimpunan aman. Ribuan orang menjerit: 'Hentikan diskriminasi etnik! Kami perlukan penjelasan!' Ramai yang sudah letih menderita dalam senyap," kata Dilxat Raxit, jurucakap untuk Kongres Uighur Sedunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Kongres yang diadakan di Sweden ini dihadiri oleh golongan pejuang hak etnik Uighur yang dibuang negara.

Di sebalik protes tersebut, ada pihak beranggapan rusuhan itu berlaku atas sebab lain. Antaranya, termasuk faktor perbezaan status ekonomi, budaya dan agama yang timbul sejak berdekad lalu.


BEBERAPA wanita Islam Uighur cuba menghalang kemaraan pasukan polis bersenjata.


Tahun ini merupakan tahun ke-60 kemasukan pasukan tentera China ke wilayah Xinjiang. Tindakan yang disifatkan oleh kerajaan Beijing sebagai 'kebebasan secara aman' ini telah menyuntik kemajuan dan pembangunan ekonomi kepada wilayah serba daif ini. Bagi China, wilayah Xinjiang merupakan laluan emas ke Asia Tengah.

Namun, majoriti penduduk berbangsa Uighur yang berjumlah lapan juta orang itu berpendapat ia bukan satu perkembangan positif. Mereka mendakwa dipinggirkan secara sistematik berikutan 'penghijrahan' orang Cina Han yang dilihat telah mengeksploitasi sumber-sumber gas asli, pertanian dan minyak di Xinjiang.

Xinjiang yang diambil alih oleh Empayar China pada abad ke-19 ini memiliki populasi berjumlah 19 juta orang. Sekitar tahun 1949, hanya enam peratus daripada keseluruhan penduduk Xinjiang adalah masyarakat Cina Han.

Hari ini, bilangan kelompok masyarakat ini telah meningkat kepada 41 peratus. Sebanyak 45 peratus pula terdiri daripada etnik Uighur. Memiliki ciri-ciri fizikal orang Afghanistan, sebilangan besar warga Uighur yang berasal dari puak Turkic ini juga beragama Islam.

Kumpulan tentera Uighur yang telah dibuang negara, mendesak agar sebuah wilayah bebas, Turkestan Timur ditubuhkan.

Lantas, tidak hairanlah apabila kerajaan China terus menuduh golongan 'terbuang' ini sebagai dalang di sebalik serangan pengganas bersiri terhadap orang-orang awam Cina sejak tahun 1990-an.


PROTES di Turki mendesak kerajaan China membebaskan etnik Uighur.


Dalam serangan pengganas pada 11 September 2001, AS bukan satu-satunya yang menerima impak besar. Malah, China juga menerima penangannya.

Menyifatkan diri mangsa keganasan antarabangsa, China mengklasifikasikan pergerakan puak pemisah Uighur sebagai kumpulan al-Qaeda versi China.

China mendakwa kumpulan militan Uighur seperti Parti Islam Turkestan dan Pergerakan Islam Turkestan Timur telah menerima latihan ketenteraan daripada kumpulan Taliban di Pakistan. Kedua-dua kumpulan militan ini telah disenarai hitam sebagai pengganas oleh Washington.

Bimbang akan keganasan yang bakal berlaku sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Beijing pada tahun lalu, pihak berkuasa China telah bertindak menyerbu kem latihan kendalian Pergerakan Islam Turkistan.


KEDUDUKAN Xinjiang di China.


Sejak Xinjiang diambil alih oleh Parti Komunis pada tahun 1949, Presiden Mao Zedong pada ketika itu berhasrat untuk mengasingkan umat Islam berdasarkan latar belakang etnik dan bukan identiti sebagai Islam. Sepanjang Revolusi Budaya, identiti umat Islam terus terdedah kepada serangan bertalu-talu daripada kerajaan China.

Pada tahun 1966, poster-poster yang ditampal di sekitar Peking (kini Beijing) secara terbuka mendesak ajaran agama Islam dihapuskan. Umat Islam juga diharamkan mempelajari bahasa penulisan Arab.

Perubahan ini cukup kritikal kerana ia menambahkan jurang umat Islam daripada bahasa Arab yang juga bahasa al-Quran dan aspirasi Islam.

Ketika polisi Mao diperkenalkan, bilangan populasi umat Islam di negara komunis itu telah berkurangan sehingga 10 juta orang. Berdasarkan statistik populasi yang dikeluarkan pada tahun 1936, bilangan umat Islam di China dianggarkan berjumlah 48,104,240 orang.

Penghapusan sekitar 38 juta orang umat Islam yang begitu drastik tidak pernah dijelaskan oleh kerajaan Kuomingtang pada ketika itu. Walaupun begitu, rayuan sejumlah sami Tibet atau pejuang-pejuang demokrasi di Dataran Tiannamen telah mengurangkan penghapusan umat Islam China secara beramai-ramai.


WANITA-WANITA Uighur tidak terkecuali menghalang pihak polis dalam peristiwa ketegangan etnik di Xinjiang, China baru-baru ini.


China berkali-kali menabur janji manis dari aspek kebebasan kepada warga Uighur. Namun, ia hadir dengan syarat tertentu.

Imam-imam diwajibkan memperoleh lesen daripada kerajaan negeri. Penjawat awam termasuk guru pula diharam keras daripada bersembahyang di masjid ketika cuti sakit. Lebih teruk lagi, tiada sesiapa yang berusia 18 tahun ke bawah dibenar mempelajari sebarang ajaran agama Islam.

Ritual batu kura-kura purba

Ramai pelajar percaya batu purba yang berada di Temple of Literature, Hanoi itu mampu memberi tuah kepada mereka untuk lulus dalam peperiksaan.


PARA pelajar berdoa di rumah berhala Temple of Literature supaya lulus dalam peperiksaan.


PERARAKAN sekumpulan anak muda berterusan sepanjang tengah hari dalam suasana yang panas terik. Begitu juga mesej yang dibawakan oleh Phan Bich Hong.

"Tolong jangan sentuh kepala kura-kura!" teriak Hong, 20.

Dia merupakan salah seorang daripada pelajar sukarelawan yang berpakaian kemeja-T biru yang cuba melindungi 82 batu kura-kura purba di kawasan Temple of Literature, Hanoi.

Batu purba itu dipercayai telah membantu kepada kejayaan 1,307 graduan peperiksaan diraja sejak ratusan tahun lamanya di tapak universiti pertama Vietnam.

Pelajar moden zaman ini berkerumun menuju ke kuil tersebut dengan harapan batu kura-kura purba itu dapat meningkatkan peluang berjaya dalam peperiksaan negara yang bermula minggu ini.

Kementerian Pelajaran negara tersebut berkata, lebih sejuta calon dari seluruh negara akan menduduki peperiksaan tersebut untuk mendapat tempat di institut pengajian tinggi di Vietnam.

Berjaya

Hong berkata, ritual tahunan batu kura-kura purba itu bermula baru-baru ini.

"Semuanya mahu menyentuh kepala batu kura-kura itu kerana mereka fikir ia akan membantu mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan kelak," kata Hong di hadapan pavilion udara terbuka yang terdapat barisan 20 batu kura-kura dan batu bersurat yang kebanyakannya telah retak.


RAMAI pelajar di Vietnam percaya kepala kura-kura batu ini memberi ketenangan kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan.


"Kami cuba menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang ia akan merosakkan monumen berharga itu."

Selain mahu menyentuhnya, ada juga segelintir calon yang mahu duduk dan bergambar dengan batu purba tersebut.

Walaupun cuba dihalang, namun mereka tidak mengendahkannya dan terus menyentuh kepala batu kura-kura tersebut.

"Abang saya yang menyuruh saya melakukan perkara ini. Dia pernah ke sini untuk menyentuh batu kura-kura dan kemudian lulus dalam peperiksaan," ujar seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun itu.

Persaingan

Pelajar yang enggan memberitahu namanya itu berkata, dia berharap dapat diterima masuk belajar di Universiti Phuong Dong di Hanoi.

Lapangan di kuil tersebut mempunyai empat batu kura-kura besar dan batu bersurat serta dua batu kecil yang terletak di sebelah kolam ikan.

Batu bersurat berwarna kelabu itu mempunyai ukiran bahasa Cina kuno dengan karya-karya kesusasteraan dan membawa nama-nama Mandarin yang menganjurkan peperiksaan diraja sama seperti nama dan tempat kelahiran calon yang lulus cemerlang.

Plak di tapak tersebut mengatakan, kura-kura dianggap sebagai haiwan suci di Vietnam. Batu bersurat itu mula dibina pada tahun 1484 di bawah pemerintahan Maharaja Le Thanh Tong sebagai penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dalam kalangan generasi masa depan.

"Saya percaya ia membawa tuah kerana ia membantu saya berasa lebih tenang untuk menghadapi peperiksaan paling penting ini," kata Nguyen Hoang Lan, 18, yang merupakan anak seorang petani dari wilayah Hung Yen.

Pembelajaran adalah nilai paling tinggi dalam masyarakat Vietnam, tetapi rasa khuatir mengenai kualiti pendidikan tinggi semakin meningkat di negara komunis itu.

Universiti-universiti di Vietnam mungkin tidak kompetitif di peringkat global, tetapi terdapat persaingan dalam kalangan golongan muda Vietnam untuk memasukinya.

"Tahun lalu saya gagal, jadi saya harap kali ini tuah akan menyebelahi saya," ujar Nguyen Huong Lan, 19, selepas selesai berdoa di samping sekumpulan pelajar dan ibu bapa di kawasan kuil tersebut. - AFP


Memartabat BM, memantap BI
TEKS kenyataan akhbar Timbalan Perdana Menteri yang juga MenteriPelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar memartabatkan bahasaMelayu, memantapkan bahasa Inggeris dan tawaran baru sistem pendidikanMalaysia di Putrajaya, semalam.

Keputusan wajar demi masa depan anak bangsa
KEPUTUSAN bahasa yang digunakan untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik telah dimuktamadkan.


Mengekal perdamaian Aceh
Bendera calon Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono dan pasangannya, Prof.Dr. Boediono begitu banyak berkibaran di Aceh ketika penulismenjejakkan kaki kali kedua di bumi Serambi Mekah itu, baru-baru ini.

BISIK-BISIK
AWANGlega apabila isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik(PPSMI) ditangani dengan bijaksana, membolehkan usaha berkesan untukmemartabatkan bahasa Melayu tanpa mengetepikan kepentingan bahasaInggeris.

Merapatkan perbezaan di Manek Urai
WANMusa Wan Hussin yang mencecah usia hampir 60 tahun cukup seronok diajakberbual tentang musim pilihan raya yang muncul lagi di Manek Urai,khususnya di kampungnya - Chuchoh Puteri A.

Kegelisahan umat Islam etnik Uighur di China
KEGANASANpihak berkuasa China ke atas masyarakat Islam etnik Uighur di Urumchi,ibu negeri Xinjiang seolah-olah tidak menggambarkan hubungan Chinadengan sejarah dan negara-negara Islam.

Mengambil alih lebuh raya bukan penyelesaian
KEPUTUSAN Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mengenai kajian kewangan semuasyarikat konsesi lebuh raya bertol di negara ini bagi kajianpenstrukturan semula sektor itu dijadualkan siap akhir Julai ini danseterusnya dibentangkan kepada Kabinet.

Rakyat sengsara bila pemerintah tidak adil
BENAR, bukannya senang menjadi pemimpin. Buktinya, banyak isu rakyatyang perlu mendapat perhatian pemimpin gagal diselesaikan oleh pihakyang digelar pemimpin untuk rakyat. Menuding jari kepada pihak lain danmengharapkan pihak lain untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul adalahsatu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh rakyat.

SEHARI SEBUAH BUKU
BUKU ini mengupas mengenai konsep, teori dan pendekatan dalampembentukan sesebuah organisasi yang berkualiti serta berintegriti.Perbincangannya menyentuh tentang amalan berintegriti dalam pengurusanorganisasi termasuk dari sudut etika dan nilai yang boleh diamalkan.





Pemansuhan PPSMI kembalikan kebudayaan Melayu
RAMAIanak Melayu, Cina dan India berjaya dalam hidup, walaupun sebelum inimereka mendapat pendidikan dengan pengantar bahasa Melayu, termasukbagi subjek Sains dan Matematik. Bagi mereka, asalkan ada minat dankesungguhan, tiada masalah untuk memahirkan diri menggunakan bahasaantarabangsa itu.

Minda Pengarang: Penggunaan bahasa mudah difahami bantu proses pembelajaran
PERANCIS,Jepun dan China antara negara yang begitu bangga dengan bahasakebangsaan masing-masing. Ia menjadi prasyarat penting dalam apa jugaurusan yang membabitkan kepentingan negara sama ada dalam bidangperdagangan, perindustrian, bisnes, pendidikan sosial dan sebagainya,malah ia adalah bahasa komunikasi terpenting di negara-negaraberkenaan. Pelajar asing juga wajib mempelajari bahasa mereka jika mahumencari ilmu dalam sistem pendidikan negara berkenaan. Namun, merekatidak memandang ringan kepentingan bahasa lain, khasnya Inggeris keranasedar ia adalah bahasa komunikasi penting dunia dan bahasa ilmu. DiMalaysia, apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik DalamBahasa Inggeris (PPSMI) mula dikuatkuasakan di sekolah pada sesi 2003,ia menimbulkan banyak reaksi. Matlamat kerajaan ialah untukmeningkatkan penguasaan bahasa asing itu dalam kedua-dua subjek pentingterbabit. Secara keseluruhannya, kajian mendapati bahasa Malaysia lebihrelevan dijadikan bahasa penghantar untuk kedua-dua mata pelajaranberkenaan. Banyak kelemahan, termasuk kekurangan guru yang mahirberbahasa Inggeris untuk menjayakan PPSMI yang memaksa ia dikajisemula. Selepas enam tahun, PPSMI gagal menunjukkan kejayaan, khasnyapencapaian murid dan pelajar di luar bandar.

100 hari pertama Najib membanggakan
SABTUini, 11 Julai 2009, genap 100 hari Datuk Seri Najib Razak menerajuikemudi negara yang sudah berusia kurang sebulan daripada 52 tahun