Tubuh unit pemantau pencapaian bumiputera

Penulis difahamkan beberapa garis panduan baru yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan memberi anjakan positif kepada daya saing negara lantas membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan cepat.

Pengumuman tentang kenaikan had pegangan saham asing di dalam syarikat broker saham yang akan dinaikkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus jelas menampakkan keberanian kerajaan untuk bersaing dalam perebutan pasaran modal dunia.

Pegangan saham asing di dalam syarikat pengurusan unit amanah akan dinaikkan sama seperti kenaikan pada syarikat broker saham.

Secara logiknya, langkah-langkah ini sepatutnya mengembangkan lagi peluang pelaburan di negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta mengukuhkan keupayaan modal insan.

Pada pandangan saya, langkah membuka ruang ekonomi negara menjadi lebih berdaya saing bermakna syarikat-syarikat tempatan harus bersedia meningkatkan keupayaan daya saing mereka agar tidak terpinggir di dalam gelanggang sendiri.

Ini harus diberi perhatian serius terutama oleh syarikat kaum bumiputera kerana syarikat bukan bumiputera mungkin mempunyai keupayaan yang lebih tinggi untuk tetap berdaya saing.

Agensi-agensi yang diberi mandat memperjuangkan dan memperkasakan ekonomi kaum bumiputera harus menyahut cabaran ini dengan merangka strategi baru yang lebih mantap dan bersepadu.

Bagaimana pun, Najib telah memberi jaminan bahawa kepentingan kaum bumiputera tidak akan diabaikan di mana penyertaan 30 peratus bumiputera masih menjadi sasaran walaupun kini sebagai sasaran makro.

Ini kerana, kajian telah menunjukkan bahawa mengikut pelaksanaan garis panduan dulu di mana syarat wajib 30 peratus ekuiti bumiputera pada Tawaran Awal Permulaan (IPO), daripada sejumlah RM54 bilion saham milik bumiputera, kini hanya tinggal sebanyak RM2 bilion.

Saya sendiri agak terperanjat dengan pendedahan tersebut. Ini belum lagi mengambil kira saham milik bumiputera yang ada tetapi lebih merupakan saham 'Ali Baba'.

Hanya saya khuatir sekiranya pemansuhan sepenuhnya 30 peratus ekuiti bumiputera diteruskan, mungkinkah akan menyukarkan usaha kerajaan mencapai sasaran makro 30 peratus ekuiti bumiputera.

Saya berharap penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas) dapat menjadi strategi yang lebih efektif dalam mengejar sasaran makro 30 peratus ekuiti bumiputera. Mungkin juga kerajaan boleh mengkaji mengurangkan syarat wajib ekuiti bumiputera pada Tawaran Awal Permulaan (IPO) dari 30 peratus ke 10 peratus dan perkenalkan syarat 50 peratus dari tebaran awam awal kepada pelabur bumiputera seperti yang diumumkan.

Saya teruja dan akur tentang keprihatinan kerajaan terus merangka strategi demi strategi untuk meningkatkan daya saing negara bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Namun saya berpendapat, kerajaan masih menghadapi banyak cabaran di dalam isu pelaksanaan di peringkat jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Persepsi tentang ketidaktelusan, ketirisan dan kekurangan komitmen masih menghantui segala usaha murni kerajaan. Namun pujian harus diberikan kepada Tan Sri Sidek Hassan kerana sememangnya timbal balas mengenai Tan Sri amat positif berlandaskan usahanya memerangi persepsi negatif ini.

Di sini saya ingin merujuk kembali kepada kekhuatiran saya mengenai keupayaan kaum bumiputera untuk menyahut cabaran agar lebih berdaya saing.

Untuk membolehkan strategi tentang kepentingan bumiputera dilaksanakan secara bersepadu, saya ingin menyarankan penubuhan satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memantau secara khusus pelaksanaan kesemua polisi berkenaan bumiputera oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan.

Segala permasaalahan boleh dibincang bersama dengan pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan kaum bumiputera seperti GABEM dan PERKASA. Pihak jabatan dan agensi kerajaan pula dapat menyuarakan sebarang permasalahan mereka kepada unit pemantau ini dengan secara terus dan juga melalui dialog.

Kesemua ini adalah untuk memastikan usaha kerajaan mencapai pengagihan lebih saksama dalam merealisasi keadilan sosial negara.

Noordin Abbas,

Penulis ialah penganalisis ekonomi.
Cabaran daripada generasi muda Iran

Oleh ZIN MAHMUD.

MALANG bagi Firdaus kerana ketika menerima ijazahnya pada konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun 2006, ayahnya tidak dapat hadir. Begitu juga ketika mendaftar masuk universiti itu pada tahun 2003. Ayahnya juga tidak dapat menghantar.

Kebetulan saja, pada waktu konvokesyen itu, ayahnya terpaksa ke New York bagi membuat liputan Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu sementara pada tahun 2007 itu pula, ayahnya terpaksa ke Teheran membuat liputan Persidangan Menteri-menteri Luar Islam.

Firdaus tahu ayahnya peminat negara Iran, Republik Islam Iran dan Revolusi Islam Iran. Dia lahir pada tahun 1984, tahun di mana semangat revolusi Iran masih membara di kalangan sebahagian kecil anak-anak muda yang cenderung pada Islam ketika itu.

Masih teringat dia betapa di rumahnya terdapat banyak buku-buku dan majalah mengenai Iran yang diperoleh bapanya. Ketika itu Iran mempunyai dasar mengeksport revolusi, dan tidak hairanlah banyak bahan bacaan mengenai negara itu dikirim ke luar negara, termasuk Malaysia.

Firdaus juga ingat kaset-kaset nasyid revolusi Iran yang dibeli oleh bapanya, ketika itu banyak dijual waktu adanya program-program ceramah agama.

Malah nama Firdaus sendiri, menurut ayahnya diambil kerana ia merupakan satu-satunya perkataan bahasa Parsi yang ada dalam al-Quran, membawa makna syurga.

Ayahnya memberitahu bahawa dia pergi ke Teheran lebih awal daripada waktu persidangan itu kerana hendak membuat tinjauan tentang suasana di Iran sejak timbul apa yang disebut oleh Barat sebagai gerakan pro-demokrasi bagi menentang kumpulan garis keras. Keadaan yang sedang berubah ini disebut oleh pelbagai pihak sebagai Revolusi Kedua Iran.

Maka antara tempat lawatannya di Iran ialah pejabat akhbar-akhbar yang pro-demokrasi dan juga Universiti Teheran. Di universiti, ahli akademik dan mahasiswanya terbahagi dua, yang pro-demokrasi dan garis keras.

Buku

Di depan Universiti Teheran, terdapat jalan besar yang penuh dengan kedai-kedai buku. Di sana terdapat banyak buku-buku yang membahaskan pelbagai perkara secara bebas. Antaranya buku-buku lama yang mempertikaikan pandangan ulama juga.

Semuanya dalam bahasa Parsi dan ayahnya tidak faham. Tetapi daripada penerangan orang Iran yang ditemui, ayahnya percaya di Iran, buku mengenai agama yang bertentangan pendapat diterbit bebas di sana. Lebih bebas daripada Malaysia. Malah terdapat buku yang mempertikaikan pemakaian tudung juga ada dijual.

Secara umumnya gambaran yang diperoleh daripada ayahnya, penduduk Teheran, terutamanya di bahagian utara, yang berpendapatan lebih baik sudah jemu dengan pemerintahan yang terlalu mengongkong masyarakat, sementara di satu pihak lain, mereka mahu pembangunan ekonomi lebih baik dan terbuka. Mereka mahu Iran menjadi lebih moden dan menyertai arus perdana politik dunia.

Namun begitu, Parsi adalah bangsa yang berbangga memiliki tamadun besar dan lama. Walaupun ada di kalangan rakyat Iran yang mempunyai sifat lunak terhadap Amerika Syarikat tetapi secara umumnya mereka tidak gentar dan tidak bersedia untuk tunduk pada kuasa besar itu. Bagi mereka, siapakah Amerika yang baru berusia 200 tahun lebih berbanding Iran yang mempunyai sejarah jauh lebih silam.

Walaupun sokongan kepada sistem Republik Islam Iran tetap utuh di seluruh negara, tetapi kalangan rakyat Iran lahir selepas revolusi, iaitu generasi seperti Firdaus, mereka mahukan perubahan. Merekalah yang menyokong Presiden Mohamad Khatami yang dianggap sebagai pro-demokrasi dahulu dan kini calon Mirhoesein Mousavi yang diisytiharkan kalah kepada Presiden Mahmoud Ahmedinejad baru-baru ini.

Semasa sidang menteri luar OIC itu, ayahnya turut berkenalan dengan seorang wartawan Iran, Roxana Saberi yang menyatakan minatnya terhadap Malaysia.

Baru-baru ini Roxana menjadi terkenal apabila ditahan oleh pihak berkuasa kerana dituduh menjadi pengintip bagi pihak Amerika. Kini dia telah dibebaskan dan menjadi ikon bagi pihak Amerika untuk menekan Iran.

Walaupun suka mendengar cerita-cerita ayahnya, Firdaus sejak dari dahulu tidak pernah meminati politik apatah lagi politik antarabangsa. Dia hanya meminati seni bina dan reka bentuk terutama reka bentuk industri kereta. Yang ditanya kepada ayahnya ialah apa model kereta yang terdapat di jalan-jalan raya Iran.

Pada tahun 2005, ayahnya yang turut membuat liputan Perhimpunan Agung PBB di New York juga menceritakan bagaimana Presiden Ahmedinejad bersama Presiden Venezuela Hugo Chavez menarik perhatian media Amerika kerana kedua-duanya tanpa ragu-ragu mengkritik kuasa besar itu.

Dari segi dasar luar, Ahmedinejad dilihat sebagai wira baru golongan anti-Amerika. Beliau menggantikan Saddam Hussein dan Ayatollah Khomeini yang lantang mengkritik Amerika sebelum ini.

Tetapi generasi muda di seluruh dunia, termasuk di Iran, dan juga di Malaysia mahukan perubahan di mana mereka berpeluang turut serta dalam proses kemajuan global, baik dari segi kewangan mahupun teknologi. Walaupun mahu kekal berpegang kepada agama, tetapi mereka inginkan kebebasan, keadilan dan peluang untuk berjaya dalam hidup.

Generasi Firdaus ini tidak mahu terkongkong dengan cara fikir lama. Kalau di Iran, generasi ini mendokong Mousavi. Di Malaysia, cabarannya ialah untuk meraih sokongan generasi ini.
Dari Wall Street ke penjara

Oleh Zulkiflee Bakar

SUASANA di salah sebuah ruang sidang Mahkamah Manhattan, New York pada Isnin lalu bergema dengan tepuk dan sorakan daripada mereka yang hadir.

Tindakan itu bukanlah bermaksud mereka meraikan pembebasan seseorang tetapi sebagai tanda gembira apabila Hakim Denny Chin menjatuhkan hukuman penjara 150 tahun ke atas Bernard Madoff, 71.

Madoff didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan penipuan pelaburan yang dianggap terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS). Tuduhan-tuduhan itu ialah penipuan sekuriti, penipuan nasihat pelaburan, penipuan pos, penipuan talian, pelaburan haram, kenyataan palsu, sumpah bohong, melakukan pemfailan palsu dengan Suruhanjaya Sekuriti dan mencuri dari pelan faedah pekerja.

Bagi Madoff, biarpun peguamnya cuba membantah hukuman itu tetapi bagi dirinya, segala kesakitan dan penderitaan yang dialami itu adalah rekaannya sendiri.

Ketika menjatuhkan hukuman Chin berkata, mahkamah perlu menghantar mesej yang jelas bahawa perbuatan jenayah Madoff adalah satu kejahatan luar biasa. Akibat perbuatan beliau mangsa-mangsa pelaburan itu mengalami kerugian lebih AS$13 bilion (RM49.4 bilion) - satu jumlah yang dianggap konservatif kerana ia tidak termasuk jumlah wang daripada penyumbang dana.

Sebelum keputusan diumumkan Madoff yang memakai sut hitam, berkemeja putih dan bertali leher, berdiri di meja defendan dengan wajah muram dan tidak memberikan sebarang reaksi sebaik sahaja hukuman dijatuhkan. Sememangnya reaksi Madoff itu sudah dijangka kerana ketika perbicaraan dijalankan, beliau juga tidak menunjukkan sebarang emosi apabila sembilan mangsanya memberikan keterangan.

''Kami hidup bagaikan dalam neraka. Ia seperti satu mimpi negeri yang kami tidak boleh bangun daripadanya. Dia mencuri daripada orang kaya, dia mencuri daripada orang miskin dan dia mencuri daripada semua orang, dia manusia yang tidak berguna. Dia melakukan penipuan itu bagi membolehkan, dia dan isterinya hidup mewah," kata Carla Hirshhorn dan Tom Fitzmaurice.

Apabila diminta oleh hakim untuk berkata sesuatu, Madoff yang mengambil masa selama 10 minit untuk bercakap, lebih banyak menganggap penipuan pelaburan yang dilakukan itu sebagai 'satu masalah', 'kesilapan penghakiman' dan 'kesalahan tragis'.

Sebelum mengakhiri kata-kata, Madoff menoleh ke belakang dan melihat ke arah semua mangsa yang hadir dan berkata, ''Saya minta maaf, walaupun saya tahu ia tidak akan membantu anda." Hukuman penjara yang diterimanya menambahkan lagi kesengsaraan Madoff yang sebelum ini sudah dianggap kehilangan segala-galanya apabila mahkamah mengarahkan kesemua hartanya bernilai AS$171 juta (RM649.8 juta) dirampas.

Ia termasuklah hartanah, pelaburan dan harta bernilai AS$80 juta (RM304 juta) yang didakwa oleh isterinya, Ruth Madoff miliknya. Arahan itu menyebabkan Ruth hanya memiliki AS$2.5 juta (RM9.5 juta) sahaja. Madoff juga diarahkan menjual sebuah pangsapuri bernilai AS$7 juta (RM26.6 juta) di Manhattan yang diduduki oleh Ruth, sebuah kawasan ladang di Palm.

Beach, Florida bernilai AS$11 juta (RM41.8 juta), sebuah rumah bernilai AS$4 juta (RM15.2 juta) di Montauk dan sebuah bot mewah bernilai AS$2.2 juta (RM8.36 juta).

Pembalasan ke atas Madoff bermula pada 12 Mac lalu apabila beliau mengaku bersalah atas 11 tuduhan jenayah menipu beribu-ribu pelabur melalui skim Ponzi.

Pendakwa raya menganggarkan kerugian para pelanggan termasuk keuntungan palsu bernilai hampir AS$65 bilion (RM247 bilion). Sebelum 'disahkan' sebagai penipu, Madoff merupakan seorang ahli perniagaan hebat melalui firma Bernard L. Madoff Investment Securities LLC di Wall Street yang ditubuhkan pada tahun 1960.

Reputasi dirinya telah membolehkan firma itu menjadi penggerak pasaran keenam terbesar di Wall Street.

Kelicikan

Dalam satu pengakuan kepada pihak berkuasa, Madoff mengakui firmanya menghadapi liabiliti sebanyak kira-kira AS$50 bilion (RM190 bilion)). Berdasarkan kepada jumlah dalam akaun yang dipegang oleh 4,800 pelanggan Madoff, pihak pendakwa menaikkan anggaran jumlah wang penipuan yang dilakukan oleh Madoff dari AS$50 bilion (RM190 bilion) kepada AS$64.8 bilion (RM246.24 bilion).

Namun kelicikan Madoff memperdayakan orang ramai ternyata tidak mampu bertahan lama, akhirnya pada 10 Disember 2008, beliau mengaku kepada anak-anaknya, Mark dan Andrew bahawa bahagian pengurusan aset firmanya merupakan suatu skim Ponzi yang besar, dalam erti kata lain "satu penipuan yang besar."

Berikutan pengakuan itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menahan Madoff dan semua hartanya dibekukan. Walaupun Madoff mengaku, perbuatan itu dilakukannya seorang diri, namun ia menimbulkan keraguan di kalangan sebilangan pelabur, wartawan dan pakar ekonomi.

Madoff pernah menjadi seorang dermawan yang menduduki lembaga pengurusan di beberapa pertubuhan tanpa untung, yang kebanyakannya pernah mengamanahkan pembiayaan kewangan kepada firmanya. Beliau merupakan bekas Bendahari Kebangsaan Kongres Yahudi Amerika.

Kejatuhan dan pembekuan aset-aset peribadi dan firmanya telah meninggalkan kesan dalam perniagaan, pertubuhan amal dan yayasan seluruh dunia, termasuk Yayasan Amal Robert I. Lappin, Yayasan Picower, dan Yayasan JEHT.

Kini daripada seorang yang kaya raya dan hidup dalam kemewahan, Madoff akan menghabiskan sisa-sisa kehidupan sebagai banduan bernombor 61727-054 di Metropolitan Correctional Center, New York.

Di penjara berkenaan, Madoff mungkin akan berkesempatan 'berkenalan' dengan suspek pengganas, Ahmed Khalfan Ghailani yang dipindahkan dari Guantanamo Bay bagi menghadiri tuduhan jenayah.

Sememangnya Madoff dan Ahmed Khalfan mempunyai kesalahan yang berbeza tetapi kedua-duanya menyentuh soal memusnahkan kehidupan orang lain.

Berdasarkan usianya, Madoff mungkin tidak akan hidup lama tetapi apa yang pasti sejarah penipuan yang dilakukannya akan tercatat dalam lipatan sejarah bukan sahaja di AS tetapi juga di dunia.
Diva Cinta dan Pahlawan Indonesia

Oleh Zulkefli Hamzah

"Saya tidak mahu memeluk anda kerana saya tahu anda lagi bernafsu mahu memeluk saya''. Rossa, Diva Cinta dari Indonesia ini bernasib baik. Canda nakalnya itu mungkin sahaja boleh disalah ertikan.

Bayangkan jika ungkapan spontan di pentas terbuka semasa Konsert Mini Cerita Cinta Rossa itu dilakukan oleh Siti Nurhaliza atau Shelia Majid. Apa agaknya reaksi khalayak?

Tetapi toleransi kira-kira 2,500 orang di Life Centre Kuala Lumpur malam Sabtu minggu lalu menyelamatkan Rossa, pelukan Rossa ke atas seorang penonton lelaki tidak dilihat sebagai keterlaluan. Begitu juga canda-canda nakalnya.

Atau mungkin tidak terlintas langsung di fikiran mereka konotasi negatif canda-canda Rossa itu. Mungkin penonton yang memenuhi dewan KL Live memahami ia adalah senda gurau biasa dalam konteks bahasa pergaulan dan budaya Indonesia.

Canda Rossa kepada seorang penonton yang dijemput ke pentas sebaik sahaja beliau memeluk seorang lagi penonton itu, malah diiringi histeria audiens.

Rossa yang kini 'pisah ranjang' dengan suaminya - istilah Indonesia merujuk suami isteri tidak lagi tinggal serumah - seperti membius penonton dengan lagu-lagu cintanya.

Cerita suka duka cintanya itu dihangatkan lagi dengan kehadiran Pasha, vokalis utama kumpulan Ungu, yang berduet dengan Rossa dalam lagu Terlanjur Cinta dan Tercipta Untukku .

Sekali lagi diva cantik ini mencabar ghairah penonton. ''Kacak bukan, siapa mahu jadi kekasihnya'', tanya Rossa diiringi bauran sorakan dan jeritan penonton khususnya wanita. Pasha, teman akrab diva beranak satu itu, kebetulan baru menjadi duda.

Inilah kelebihan penghibur Indonesia dalam konsert sulung solonya itu. Tidak kekoh berbahasa Indonesia di depan peminat negara tetangganya. Kalau peminat Malaysia boleh menghayati setiap bait lagu-lagunya dalam bahasa Indonesia, mengapa pula tidak semasa interaksi secara langsung.

Dalam suasana hangat interaksi Rossa dengan khalayak anak muda Malaysia ini, ratusan ribu warga senegara Rossa, di luar dewan Live KL ini juga sedang berinteraksi dengan majikan masing-masing.

Bezanya, mereka tidak berada di tempat terbuka. Di dalam rumah-rumah banglo, teres dan apartmen. Sedang nasib Rossa berada di tangan para peminatnya, nasib amah-amah Indonesia ini bergantung hampir seratus peratus kepada budi bicara majikan masing-masing.

Ada yang tertekan menunggu waktu sesuai untuk menghabiskan kontrak kerja dan ingin segera pulang berkumpul bersama keluarga. Segelintir yang tamak sentiasa menunggu kesempatan untuk berlaku curang kepada majikan. Sebahagian pasrah, berserah pada takdir. Ramai pula sudah terbit rasa sayang menganggap diri sebagai ahli keluarga majikan.

Reaksi berbeza-beza ini menjadikan sektor pembantu rumah satu urusan yang serba kompleks. Tiada kaedah khusus dapat menyelesaikan urusan pembantu rumah dari negara berpenduduk 240 juta ini.

Membekukan

Justeru, langkah kerajaan Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ini bukanlah satu tindakan yang bijak, Tetapi keputusan telah dibuat. Berita baiknya, jalan perundingan terus dibuka untuk menyelesaikan apa juga isu yang berbangkit dan dibangkitkan.

Memang itulah yang dilakukan selama ini. Cuma kali ini ancaman untuk membekukan penghantaran amah benar-benar dilakukan. Waktu ia dilakukan semasa kempen pilihan raya Presiden sedang rancak berjalan membuatkan ramai percaya bahawa benarlah tanggapan pembantu rumah telah dijadikan komoditi politik.

Mengapa pembantu rumah Indonesia ini terus mencetuskan masalah sehingga selalu menganggu hubungan di peringkat negara? Setiap kali pemimpin kedua-dua negara bertemu inilah antara isu yang dibangkitkan.

Realitinya, dari segi pendapatan ramai majikan Malaysia sebenarnya tidak layak untuk menggaji pembantu rumah. Tetapi ia dilakukan demi menyelamatkan kerjaya suami isteri walaupun gaji terkumpul hanya sekadar melepasi syarat minimum RM3,000. Dari segi kos mengurus rumah tangga, apakah gaji sebanyak itu efektif?

Pilihan yang ada ialah mendapatkan pembantu rumah semurah yang mungkin. Pilihan terbaik tentu sahaja dari Indonesia. Malah untuk menjimatkan kos, ada yang meminta bantuan saudara mara dan kenalan untuk mengambil terus amah dari tempat sumbernya.

Permintaan terhadap pembantu rumah memang tinggi, dengan anggaran 3,000 amah Indonesia di bawa masuk ke Malaysia setiap bulan.

Buruknya, harapan dan jangkaan terhadap pembantu rumah pun tinggi. Semua kerja rumah dilonggokkan kepada mereka. Semua kerja harus sempurna. Sedangkan kemahiran amah yang ditakrif 'bergaji murah berkelas rendah' begitu minimum.

Mereka memang boleh memasak. Tetapi tentulah bukan masakan Melayu, Cina atau India. Kalaupun mereka ada pengalaman di Indonesia, tetapi suasananya berbeza. Kebanyakan rumah di sana sekurang-kurangnya mempunyai dua pembantu dengan masing-masing diberi kerja khusus. Menjaga anak, mengemas rumah dan memasak masing-masing dilakukan oleh pembantu rumah yang berbeza.

Latihan di pusat-pusat induksi hanya menyediakan kemahiran dan pengetahuan asas. Ini belum diambil kira dari aspek psikologi. Jauh di perantauan dengan tiada teman dan terkurung pula di dalam rumah.

Sedangkan di kampung asal, mereka sudah terbiasa dengan persekitaran yang bebas dan luas. Setiap petang berkumpul dengan jiran tetangga di halaman rumah dan sentiasa ada peluang untuk berhibur di majlis kenduri-kendara.

Memang kita serumpun. Tetapi banyak perbezaan ketara terutama dari aspek bahasa dan tahap pemikiran yang seringkali tidak disedari dan diabaikan. Jadilah, lain disuruh, lain pula yang dibuat.

Di sinilah memerlukan kesabaran, toleransi dan kefahaman majikan kerana segala ketidakselesaan ini akhirnya akan berpindah tangan kepada majikan, itulah risikonya. Masalah mereka menjadi masalah majikan. Majikan yang bersedia berkongsi kepayahan biasanya dapat memudahkan keadaan. Tetapi sekali lagi, bukan semuanya begitu.

Silap mata

Permainan silap mata agensi pekerja asing dan pihak-pihak berkepentingan di Indonesia juga menjadi penyumbang kerumitan masalah pembantu rumah Indonesia. Mereka digelar pahlawan - pahlawan devisa - tetapi dilayan seperti warga entah kelas berapa.

Di sini pula, ada yang tidak bernasib baik. Tenaga mereka yang sepatutnya menjadi amah disalah guna. Mereka dikerah membuat kerja-kerja lain. Menjaga kedai, malah menjadi buruh, Segelintir pula diseksa, didera.

Bagi kes-kes kekejaman ini, Malaysia telah membuktikan ketelusannya. Majikan yang melakukan kejahatan segera dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada apa yang disembunyikan. Tiada kompromi dalam soal itu. Cuma masalahnya ia selalu sahaja dieksploitasi secara keterlaluan sehingga mencetuskan keadaan yang tidak perlu.

Apa juga masalah berbangkit memang perlu diselesaikan segera. Hari berganti minggu, masalah tetap ada. Panel khas dari kedua-dua belah negara perlu terus melakukan konsultasi. Memang tiada jalan pintas dan akan selalu ada perkara berbangkit kerana ia melibatkan pengurusan manusia. Sepatutnya sedang sistem yang dipersetujui bersama berjalan, pada waktu sama penambahbaikan terus dibuat.

Dalam usaha untuk menginstitusikan sektor pembantu rumah ini, perkara utama yang harus diberi perhatian ialah aspek kawalan dan pemantauan oleh pihak kerajaan. Kelemahan dalam aspek ini begitu ketara.

Pada masa ini, majikanlah yang mengawal sepenuhnya amah mereka. Sudah ada syarat pengambilan pembantu rumah diberi cuti rehat, tetapi siapa yang memastikan ia dilaksanakan. Ada syarat gaji minimum RM400 dibayar melalui bank tetapi tiada pihak yang memantaunya.

Begitu juga soal kualiti pembantu rumah. Apa yang harus dilakukan ke atas amah yang panjang tangan, curi tulang dan sering sakit atau lari dari rumah umpamanya. Jaminan apa yang majikan akan dapat? Apakah tempoh jaminan 30 hari itu mencukupi? Majikan tidak akan berdaya untuk terus meminta pertukaran pembantu rumah kerana sering kali proses itu memakan masa.

Tidak mempunyai pembantu rumah bagi suami isteri yang bekerja memang membebankan. Itu realiti hidup di bandar-bandar besar di Malaysia. Di pihak sebelah sana, mereka tidak mempunyai pekerjaan sedangkan keluarga harus terus makan dan diberi perlindungan. Ertinya, mereka sangat memerlukan pekerjaan.

Malaysia adalah negara pilihan untuk mencari nafkah. Tidak semua yang berani merantau mencari rezeki sejauh ke Asia Barat. Atau ke negara yang sama sekali berbeza budaya, bahasa dan agama mereka.

Dan kembali kepada Rossa, sosok ini memang mengagumkan dan luar biasa. Rossa dan ramai lagi artis Indonesia mudah diterima di Malaysia. Sukar untuk mempersoalkan kualiti yang ada pada mereka. Filem-filem dan sinetron Indonesia sentiasa menjadi pilihan. Ia sudah sebati dan menjadi sebahagian hidup rakyat Malaysia.

Begitu juga amah Indonesia. Mereka menjadi pilihan. Dalam keadaan marah atau pun kecewa terhadap kerenah pembantu rumah Indonesia, kita tetap memilih mereka sambil berharap kali ini nasib menyebelahi kita. Begitulah selalunya. Berserah pada nasib.

Tetapi janganlah pula jadikan kerenah segelintir majikan kejam dan tidak berperikemanusiaan untuk memutuskan ikatan saling memerlukan itu, Masalah akan terus ada, tinggal lagi bagaimana kesediaan dan ketelusan kita untuk mengatasinya secara terhormat. Kerana di negara asal mereka sendiri, kelompok pembantu rumah ini digelar pahlawan.

Dan kita, kita puja diva mereka. Kita juga sayang dan perlukan pahlawan devisa mereka.
AS datang disambut, pergi dirai

Oleh Hafizahril Hamid

"AKHIRNYA mereka pergi. Pengunduran mereka ini sesuatu yang dinantikan.

"Kami semua (Syiah, Sunni dan Kurdis) sangat gembira pada hari ini," kata seorang rakyat Iraq, Waleed al-Bahadili yang menari kegembiraan bersama kebanyakan penduduk di bandar Baghdad.

Percikan bunga api menerangi ibu negara Iraq pada malam pengunduran tersebut. Pada waktu yang sama ribuan rakyat Iraq menghadiri satu majlis sambutan di sebuah taman yang menyajikan persembahan lagu-lagu patriotik oleh penyanyi-penyanyi tempatan.

Pembesar suara di balai-balai polis dan tempat pemeriksaan keselamatan tentera turut memainkan rakaman lagu yang sama sepanjang hari. Kenderaan-kenderaan tentera Iraq yang dihiasi bunga serta bendera Iraq meronda di sekitar kawasan ibu negara.

Perdana Menteri Nouri al-Maliki, turut mengumumkan cuti umum selain mengisytiharkan tarikh 30 Jun sebagai Hari Kedaulatan Kebangsaan.

Namun suasana kegembiraan ini hanya dapat dilihat dan dinikmati setelah penduduknya menderita dan sengsara sejak lebih enam tahun lalu.

Mengimbau kembali peristiwa bermulanya penjajahan pada pagi 20 Mac 2003, ledakan peluru berpandu, kereta kebal dan tentera Amerika Syarikat (AS) telah memecahkan kesunyian di bandar Baghdad.

Ketika itu bekas Presiden George.W. Bush, telah mengumumkan bahawa mereka mula melancarkan perang terhadap Iraq atas alasan memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Namun setelah lebih 6 tahun berlalu, senjata tersebut masih belum ditemui dan akhirnya AS sendiri mengaku bahawa perang ini dilakukan berdasarkan maklumat yang salah.

Sejak itu perang AS-Iraq masih berlanjutan hingga sekarang walaupun Presiden Saddam Hussein berjaya digulingkan namun AS masih tetap berperang dengan penduduk negara itu yang tidak menerima kehadiran mereka.

Yang jelas peperangan ini telah mengakibatkan kesengsaraan yang teruk dan berterusan kepada rakyat Iraq seperti yang diluahkan seorang penduduk Baghdad, Hali Walid, "Rumah saya dimusnahkan oleh tentera Amerika dalam perang ini. Saya tidak suka pada Iraq dalam masa pemerintahan Saddam Hussein, tetapi saya benci apa yang berlaku di sini sekarang selepas kedatangan tentera AS,".

Oleh itu tidak menghairankan kenapa penduduk Iraq berpesta dan bergembira dengan sepenuh hati.

Bagi mereka kegembiraan ini puncanya hanya satu, pengunduran penjajah yang telah memporak-perandakan negara itu sehingga mengakibatkan penderitaan berterusan kepada penduduknya.

Pengunduran tentera AS dari kawasan bandar di Iraq bermula 30 Jun lepas merupakan sesuatu yang dinantikan sejak sekian lama.

Dengan tekanan supaya mengundurkan tentera dan krisis kewangan yang semakin serius, kerajaan AS membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian tentang kedudukan tenteranya dengan kerajaan Iraq pada tahun lalu.

Sejak penjajahan di Iraq ini bermula, negara itu tidak pernah menikmati keamanan yang dijanjikan oleh AS.

Kebebasan

Walaupun operasi perang itu dinamakan "Operasi Pembebasan Iraq" namun tiada kebebasan sebenar yang dinikmati mereka. Yang nyata tiada lagi Presiden Saddam Hussein yang memerintah secara "kuku besi".

Namun begitu ia diganti pula dengan perang dan pertempuran antara etnik dan mazhab yang merasakan diri mereka lebih dominan di antara semua.

Sesungguhnya setakat ini setelah lebih enam tahun penjajahan tiada wujud kebebasan yang dijanjikan, tiada lagi penyatuan antara etnik dan mazhab serta tiada lagi kepimpinan yang mampu membuat keputusan sendiri tanpa perlu merujuk kepada AS.

Berdasarkan sejarah, Iraq terbukti sebagai sebuah negara yang hebat. Pernah dikenali sebagai Mesopotamia pada zaman kegemilangan Greek dan pernah menjadi tempat kediaman kepada tamadun awal dunia iaitu tamadun Sumeria.

Saidina Ali juga pernah menjadikan bandar Kufa sebagai pusat pemerintahannya setelah dilantik memegang jawatan khalifah Al Rashidin keempat dan terakhir.

Namun semua kisah kegemilangan Iraq itu kini hanya tinggal sejarah malah ketumbukan tentera AS yang melancarkan serangan sebelum ini telah merosakkan lagi kesan sejarah yang tinggal.

Kini dengan pengunduran tentera Iraq, sedikit sebanyak timbul harapan dan sinar baru bagi penduduk negara itu tentang erti kebebasan yang sebenar.

Namun pengunduran yang dimaksudkan ini bukanlah sesuatu yang signifikan kerana tentera AS ini hanya bergerak keluar dari kawasan bandar-bandar di Iraq ke kawasan pinggir bandar.

Tentera Iraq secara rasmi mengambil alih kawalan ke atas Baghdad dan bandar-bandar lain selepas tentera AS menyerahkan kawalan keselamatan di kawasan bandar.

Mulai saat itu, pasukan tentera AS yang berpangkalan di luar bandar tidak dibenarkan bertugas di bandar-bandar sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan Iraq.

Langkah ini dilihat ke arah menamatkan peranan tempur mereka di negara tersebut.

"Pengunduran tentera AS kini lengkap di semua bandar selepas mereka berkorban demi keselamatan. Kita sedang meraikan pemulihan kedaulatan negara," kata Nuri al-Maliki.

Pengunduran tentera tersebut merupakan langkah pertama pengunduran seluruh tentera AS dari negara itu seperti yang dipersetujui dalam perjanjian keselamatan AS-Iraq menjelang 31 Disember 2011.

Tarikh tersebut telah ditetapkan oleh Presiden AS, Barack Obama dan telah dijadikan modal kempen beliau sepanjang pilihan raya Presiden tahun lepas.

Bagaimanapun pengunduran tentera AS dari kawasan bandar ini telah menimbulkan beberapa persoalan yang membingungkan bukan sahaja rakyat Iraq tetapi turut menarik perhatian penduduk dunia.

Pengambilalihan kuasa oleh tentera Iraq sememangnya membanggakan rakyat negara itu, namun mereka juga khuatir adakah tentera kerajaan sudah bersedia, di samping kebimbangan keganasan akan semakin meningkat.

Ditambah pula dengan kebimbangan masyarakat Syiah bahawa akan berlaku lebih banyak insiden pengeboman oleh pejuang Sunah. Sementara itu bagi pihak Sunah mereka khuatir tentera keselamatan Iraq yang didominasi Syiah tidak akan memberi perlindungan sepenuhnya kepada mereka.

Peristiwa sebuah bom meletup di sebuah pasar sibuk di timur Sadr City pada 25 Jun lepas yang mengorbankan 72 nyawa menambahkan lagi kebimbangan tentang kesediaan tentera dan kerajaan Iraq.

Dilaporkan 127 orang lagi dilaporkan cedera dalam insiden yang berlaku di kawasan miskin dihuni penduduk Syiah.

Sebenarnya insiden pertumpahan darah telah berkurangan dengan mendadak di seluruh Iraq sejak tahun lepas, namun para pejuang termasuk Al-Qaeda masih terus melancarkan serangan pengeboman kereta dan serangan berani mati yang bertujuan melemahkan kerajaan dan meningkatkan konflik antara puak.

Namun serangan-serangan sebegini dijangka semakin hebat menjelang pilihan raya Parlimen Januari depan. Ia akan menjadi ujian penting sama ada puak yang bertelingkah di Iraq boleh hidup bersama selepas beberapa tahun terheret dalam pembunuhan sesama mereka.

Bagaimanapun pihak kerajaan dan rakyat Iraq sendiri masih optimis pengunduran tentera AS ini akan membawa kemakmuran kepada Iraq.

Bagi mereka kehadiran tentera AS merupakan masalah utama di Iraq yang menyebabkan situasi semakin tegang serta menjadikan Iraq sebagai padang perjuangan tentera AS.

Selain itu AS juga campur tangan dalam hal ehwal dalaman Iraq hingga menimbulkan konflik di antara puak.

Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari menyatakan bahawa pengunduran tentera AS akan menjadikan kerajaan Iraq lebih yakin dalam mentadbir negaranya.

"Kami telah melaksanakan perjanjian mengenai pengunduran tentera yang dicapai bersama antara AS dengan Iraq. Hari ini merupakan hari yang amat bermakna dalam sejarah Iraq," katanya

Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki menyeru semua orang Iraq supaya bersatu padu untuk membina semula negara mereka. Beliau dengan nada yakin menegaskan bahawa kerajaan Iraq berkemampuan melindungi keselamatan negara selepas pengunduran tersebut.
Susah di akhir hayat, kaya selepas mati

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

KEMATIAN Michael Jackson pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi Jumaat waktu Malaysia) 26 Jun lepas akibat kegagalan jantungnya berfungsi, merupakan satu kehilangan besar kepada semua peminat muzik di seluruh dunia.

Kematian Raja Pop itu mengejutkan kita semua dan dunia meratapi kematian seorang ikon yang sangat berpengaruh dalam industri muzik.

Jackson, 50, yang turut dikenali sebagai Jacko telah mengabdikan diri dalam dunia seni selama 46 tahun sejak berumur lima tahun ketika mula-mula menyertai Kumpulan "The Jackson 5', yang ditubuhkan oleh abang-abangnya.

Beliau sememangnya dilahirkan sebagai seorang ikon, digilai bukan sahaja bagi peminat muzik pop malah dipuja berjuta-juta peminat industri hiburan dari seluruh dunia.

Bagi sesetengah pihak, Jacko dianggap sebagai fenomena atas jasanya menjadikan muzik sebagai alat bagi menghapuskan perbezaan kaum terutama antara kulit putih dan kulit hitam di Amerika Syarikat (AS).

Seolah sudah menjadi semacam satu tradisi selebriti di Hollywood bahawa kematian mereka ini sering mencetuskan kontroversi dan misteri. Dan penyanyi kelahiran Gary, Indiana itu yang terkenal dengan aksi 'Moonwalk' seolah-olah turut mengikuti jejak rakan-rakan selebriti Hollywood yang lain yang meninggalkan misteri tentang punca kematiannya.

Perjalanan karier seni anak ketujuh daripada sembilan beradik itu ibarat pasang surut dengan mencapai kemuncak kegemilangan pada tahun 1982 apabila album Thriller yang memuatkan lagu Billie Jean dan Beat It memenangi lapan anugerah Grammy dan muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman namun merudum ke ranjau dan duri apabila didakwa mencabul kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun pada 1993.

Lebih menyedihkan di saat-saat akhir hidupnya beliau menjalani kehidupan sebagai seorang yang tidak berduit dan pernah menumpang di rumah apartmen bawah tanah bekas pekerjanya.

Kematian beliau tanpa wang ringgit dan meninggalkan sejumlah hutang yang banyak langsung tidak menggambarkan bahawa beliau merupakan antara tokoh dan ikon muzik yang hebat. Dilaporkan sebelum kematiannya Michael berhutang sebanyak AS$500 juta (RM1.8 bilion).

Namun kematian beliau ini akhirnya membantu dalam melunaskan hutang-hutangnya malah Michael dijangka akan terus kekal menjadi antara artis yang menerima bayaran dan royalti terbanyak selepas kematiannya.

Ini kerana para peminatnya serta peminat muzik yang masih berasa sedih dengan kematian itu akan membantu dengan membeli semua album termasuklah kompilasi serta memorabilia seperti kemeja-T dan lain-lain.

Bagaimanapun harta sebenar Michael merupakan hasil kebijaksanaan beliau membuat pelaburan sebelum ini.

Aset paling berharga yang dimiliki beliau ialah katalog muzik Beattle sebanyak 259 lagu yang ditulis oleh John Lennon dan Paul McCartney yang dibeli pada 1985 dengan harga AS$47.5 juta (RM171 juta) melalui pegangan saham dalam Sony/ATV Music. Michael memiliki separuh daripada aset Sony/ATV Music Publishing.

Aset berharga

Beliau juga memiliki 750,000 katalog lagu termasuk lagu The Beatles, Bob Dylan, Neil Diamond, Lady Gaga dan Jonas Brothers. Kesemua ini dijangka mencecah AS$2 bilion (RM7 billion). Selain itu beliau juga memiliki barangan kemas bernilai berbilion dolar.

Aset seterusnya bagi Jackson ialah katalog lagu Mijac, yang mengawal hak cipta lagu-lagu beliau yang pastinya akan membuat keuntungan besar selepas kematiannya. Malah sebelum kematian beliau, Jackson dilaporkan telah melesenkan beberapa lagunya untuk beberapa permainan video seperti Guitar Hero keluaran Activision

Kematian beliau juga telah meningkatkan harga rumah agam miliknya, Neverland seluas 2,600 ekar. Neverland ialah nama pulau fantasi bagi Peter Pan, watak yang enggan menjadi dewasa dan menjadi inspirasi bagi Jackson.

Namun ladang itu menjadi terbiar selepas Jackson dibicarakan pada 2005 atas tuduhan mencabul kanak-kanak di situ.

Syarikat Colony Capital yang telah bekerjasama dengan Michael membeli hartanah tersebut menyatakan rumah tersebut dianggarkan bernilai AS$70 (RM252 juta) hingga AS$90 juta (RM324 juta). Beliau membelinya pada 1988 dengan harga AS$14.6 juta (RM52.5 juta).

Ada pihak yang berpandangan supaya Neverland ini diuruskan mengikut model pengurusan rumah peninggalan Raja Rock and Roll. Elvis Presley. Namun sehingga kini syarikat Colony Capitol masih belum membuat sebarang kenyataan tentang masa depan Neverland.

Bagi menambahkan lagi jumlah kekayaan, pewaris Michael mungkin juga boleh meneroka cara membuat keuntungan seperti Elvis dengan menghasilkan kemeja-T, album kompilasi lagu-lagu yang belum diterbitkan. Dilaporkan Michael mempunyai lebih 100 lagu yang belum diterbitkan.

Kematian Michael turut meningkatkan jualan lagu terutama melalui jumlah muat turun. Untuk rekod barangan yang menggunakan Elvis sebagai jenama telah menjana keuntungan sebanyak AS$52 juta (RM182 juta) pada 2007.

Sehingga kini masih belum jelas siapa penerima dan pewaris harta-harta yang ditinggalkan Jackson. Ibunya Katherine, 79, telah diberikan hak penjagaan tiga anaknya, Michael Joseph Jackson Jr. (Prince Michael), 12 Paris Michael Katherine Jackson, 11 dan Prince Michael II, 7.

Ibunya juga diberi pengawalan sementara harta-harta yang diletakkan di bawah pengurusan "Michael Jackson Family Trust" dengan kuasa yang terhad berdasarkan surat wasiat yang ditandatangani pada 2002.
Perubahan garis panduan FIC cabaran baru buat Bumiputera

Bersama Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my


ORANG Melayu juga berjimat dengan menyimpan di dalam saham amanah.

Sasaran orang Melayu kuasai 30 peratus ekonomi masih dikekal kerajaan

SEORANG sahabat mengeluh mengenangkan nasib orang Melayu apabila menurutnya, kuota 30 peratus Bumiputera yang menjadi asas agenda Dasar Ekonomi Baru dihapuskan baru-baru ini.

Sama ada kenyataannya betul atau tidak atau separuh betul, ia tidak penting. Yang jelas kenyataan itu terhasil daripada hanya membaca tajuk berita tanpa memahami isi kandungan seterusnya.

Mungkin salah media massa kerana tidak melapor sebaiknya, atau kerajaan kerana tidak memberi penjelasan sepenuhnya. Ataupun kemarahan itu diilhamkan oleh politik, kerana kawan saya memang tidak suka Barisan Nasional (BN) dan Umno dan menganggap tiada langsung perkara baik daripada kedua-duanya selama 52 tahun pemerintahan?

Namun, jika difikirkan, tidak logik kepemimpinan Melayu akan meluputkan hak bangsanya tanpa pengganti yang sekurang-kurangnya sama nilainya atau lebih baik.

Keresahan kawan saya berpunca daripada pelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (Foreign Investment Committee) atau FIC. Antara lain, tugas FIC sebelum ini ialah membantu agenda ekonomi Bumiputera dengan memastikan 30 peratus saham terbitan awam syarikat yang hendak disenarai mestilah dikhaskan untuk Bumiputera.

Oleh kerana peraturan FIC itu, banyak syarikat, pertubuhan atau perseorangan Bumiputera dijadikan rakan kongsi dan ditawarkan 30 peratus pegangan dengan harga yang rendah, dalam syarikat yang bakal disenarai. Mereka juga mungkin menjadi ahli lembaga pengarah dan kadang-kadang ahli pengurusan.

Ramai Melayu dan Bumiputera menjadi kaya daripada polisi yang pada asasnya hanya memerlukan mereka menunjuk surat beranak untuk menjadi ahli korporat.

Bagaimanapun, dalam dua dekad yang berlalu pegangan ekuiti Bumiputera di syarikat awam masih pada tahap 19 peratus, manakala pegangan asing meningkat hampir lima peratus, kepada 30 peratus.

Ada yang sedih nilai pegangan ekuiti Melayu hanya tinggal RM2 bilion, walaupun RM54 bilion sudah diagih sejak 1985. (Saya berasa tiada perlu kita terlalu kecewa dan bimbang dengan penyusutan pegangan Bumiputera, kerana jika dilihat dari sudut lain, RM52 bilion sudah masuk dan menular dalam ekonomi masyarakat Bumiputera selama dua dekad dan sedikit sebanyak ini membantu).

Berbanding dengan pasaran muram hari ini, mungkin wajar pegangan ekuiti dijual pada harga yang tinggi. (Adalah juga tidak benar Melayu tidak berjimat atau menabung. Lihat saja berbilion-bilion ringgit dalam saham amanah dan Tabung Haji. Tetapi ini cerita untuk lain masa).

Apa yang jelas, garis panduan FIC itu sudah ditelan zaman dan sebagai perkakas untuk agenda ekonomi Bumiputera, ia semakin tumpul. Kesan dan pengaruhnya pun diragui.

Ini terutama kesan daripada tindakan pasaran. Sejak harga saham yang ditawarkan kepada orang awam ditentukan menurut kuasa pasaran beberapa tahun lalu, premium daripada lonjakan harga di hari-hari awal penyenaraian di bursa semakin nipis. Contohnya, jika saham sebuah syarikat dinilai RM2 dan ditawarkan kepada orang ramai dan Bumiputera sebanyak RM1.80 sesaham, premium pada hari penyenaraian mungkin 10 atau 15 peratus. Jika dulu, tawaran mungkin RM1 sesaham; bayangkan untung siapa yang diberi saham berkenaan. Tetapi kini, sudahlah tawaran berharga tinggi, ada kalanya pasaran lembap boleh menyebabkan kerugian pada penyenaraian.

Bagi Bumiputera yang diberi peluang memegang 30 peratus saham sesebuah syarikat ia akan menjadi masalah besar, terutama jika langganan dibiayai dengan pinjaman yang berjuta-juta ringgit. Saham tidak naik, hutang bertambah. Sudahlah begitu, dengan 30 peratus dia tidak boleh berbuat apa-apa. Dia diletak sebagai lembaga pengarah, tetapi tidak di pengurusan. Cuma tunggu dividen saja, itu pun jika ada.

Kini makin kurang Bumiputera yang mampu, atau mahu, melanggan kuota 30 peratus yang disediakan. Dan tanpa rakan Bumiputera, hampir mustahil syarikat boleh disenaraikan di bursa. Akhirnya ekonomi negara lambat berkembang. Talam hidangan yang mengandungi habuan Bumiputera juga jarak dan kosong dan agenda ekonomi Melayu tidak tercapai, juga. Di kala era liberalisasi dan globalisasi, garis panduan FIC itu nampaknya lebih memberi masalah dan bukannya membawa penyelesaian.

Syarikat bukan Bumiputera susah hendak berkembang, manakala pelabur asing, digoda destinasi baru seperti Vietnam, China dan India, semakin liat hendak ke sini. Persepsi negatif ini memberi rintangan kepada perkembangan ekonomi.

Kerajaan kini berpendapat adalah lebih baik saiz ekonomi diperbesar, supaya banyak boleh diagihkan dan pendapatan rakyat dapat ditingkatkan. Jika FIC dilonggarkan, kesannya kepada suasana pelaburan negara mungkin baik.

Kerajaan juga berpendapat adalah lebih penting agenda ekonomi Bumiputera mempunyai satu lagi senjata, selain daripada Permodalan Nasional Bhd, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan lain-lain.

Masalah utama Bumiputera sekarang bukanlah kehilangan kuota 30 peratus. Lebih penting ialah bagaimana hendak memberi Melayu dan Bumiputera akses ke dalam syarikat-syarikat persendirian yang secara kolektif adalah jentera sebenar ekonomi negara.

Pegangan Bumiputera kini banyak bertumpu di syarikat-syarikat tersenarai di bursa, iaitu 36 peratus daripada RM200 bilion pada 2004. Pada masa sama, pegangan Bumiputera di syarikat milik persendirian hanyalah lapan peratus daripada RM330 bilion.

Ekuiti Nasional Berhad atau Ekuinas yang bakal ditubuhkan, diarah mengenal pasti syarikat persendirian yang berpotensi dan maju dengan tujuan membeli majoriti saham firma itu. Di dalam perniagaan, jika ada tawaran yang baik, syarikat siapa pun boleh dibeli.

Ekuinas kemudian akan memasukkan pengurus dan pekerja Bumiputera yang layak, untuk dilatih mengendalikan perniagaan dan kerja yang sebelum ini tidak terbuka kepada mereka.

Analogi yang selalu diberi ialah lebih baik mempunyai tiga hotel sepenuhnya, di mana kita boleh buat apa saja, berbanding pegangan 30 peratus di dalam 10 hotel di mana pengurusan dan arah tuju ditentukan orang lain.

Model baru ekonomi ini bukan saja melihat isu ekuiti, malah membuat penilaian yang lebih bermakna mengenai jenis ekuiti atau pegangan. Kita tidak boleh dibelenggu rasa kecewa dan sinis bila saja ekonomi Melayu dan Bumiputera dibincangkan. Terlalu banyak masa dihabiskan marahkan orang lain atau kerajaan.

Model baru ini meminta kita beranjak daripada terlalu mengidam kuota 30 peratus yang nilainya semakin kurang dan diragui. Bunyinya memang menakutkan, tetapi sebenarnya tiada apa yang rugi dengan kelonggaran syarat FIC ini.

Bagaimanapun, secara amnya, sasaran Bumiputera menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus keseluruhan ekonomi masih kekal. Cuma kini, alatan dan senjata dipelbagai.

Melayu lebih maju, mantap iman jika laksana jihad bisnes

Bersama Muhammad Ali Hashim

Sifat 'tak apa' punca hilang minat, abai kepentingan pertahan hak

SAYA sering menyatakan dalam ceramah saya bahawa Islam amat mementingkan dan mengutamakan dua prinsip besar, iaitu pertama, keadilan dan kedua, amanah. Jihad bisnes juga tidak pernah terkecuali. Al-Quran juga sering mengingatkan kita agar berlaku adil sesama kita.

Amanah ditekankan dalam al-Quran sebagai sesuatu yang perlu dijaga dan hadis pula menyatakan: "Tidak beriman orang yang tidak amanah!" Bagi Muslim, ada ayat al-Quran yang menyatakan dengan jelas bahawa apabila menyerahkan sesuatu amanah itu hendaklah diserahkan kepada yang benar-benar ahli - iaitu orang yang benar-benar mampu memikul dan melaksanakan tanggungjawab itu.

Rasulullah SAW sendiri juga menyatakan dengan jelas bahawa sesuatu amanah terutama kepemimpinan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada yang dipilih di kalangan mereka yang benar-benar ahli dan layak, jika tidak pasti ia akan menemui kegagalan. Dalam erti kata lain, kehancuran pasti akan menimpa sesuatu organisasi yang tidak dipimpin oleh pemimpin yang ahli!

Saya sering kali mengingatkan bahawa jihad bisnes perlu sentiasa selari dengan ajaran Islam. Islam diturunkan bukan untuk kebaikan umat Islam semata-mata kerana jelas dinyatakan dalam al-Quran bahawa Islam diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Saya juga merujuk kepada Islam yang lebih tinggi darjatnya dalam menentang diskriminasi dan ketidakadilan, tidak seperti kaum Yahudi yang mengharamkan riba sesama kaum mereka tetapi menghalalkannya dengan kaum yang lain (bukan Yahudi). Ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang mengharamkan riba tanpa perbezaan di kalangan Muslim dan bukan Muslim.

Mengapa "jihad"? Justeru, persoalan membawa kita kepada perkara asas iaitu mengapa kaum Melayu dan Muslim perlu melakukan pembaharuan kepada sistem ekonomi kita dengan cara berjihad. Sedangkan Barat sudah melakukan pembaharuan, pembangunan dan pemodenan tanpa perlu lagi menjalankan 'crusade' dan penjajahan!

Pertama, mengapa ia perlu difokuskan kepada Melayu? Di antara jawapan terbaik adalah kerajaan sudah melakukan banyak perkara untuk memperbaiki taraf hidup Bumiputera dan kaum Melayu termasuk melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun tahap Melayu dan Bumiputera itu berjaya ditingkatkan, mereka masih dilihat jauh ketinggalan di belakang, miskin serta mundur jika dibandingkan dengan pencapaian kaum lain di negara ini.

Pada hari ini, perbincangan berkaitan pembangunan ekonomi juga membabitkan nilai dan budaya kerana ia juga menjadi salah satu faktor akan menentukan kejayaan satu-satu bangsa. Saya juga bersetuju dengan pendapat menyatakan nilai dan budaya adalah faktor kritikal yang akan menentukan sifat, sudut pandangan, pilihan keutamaan dan sebagainya. Semua ini menjadi kunci kepada dimensi untuk pembaharuan.

Pada pendapat saya, kelemahan kaum Melayu adalah berpunca daripada sikap mereka sendiri, sifat 'tidak apa' yang akhirnya menyebabkan mereka hilang minat dan mengabaikan kepentingan untuk berjuang mempertahankan hak dan mengejar kekayaan.

Omar Raji Al Faruqi (dalam penulisannya bertajuk 'Al Tawhid, kesannya kepada pemikiran dan kehidupan') menyatakan bahawa "Tiada agama, dan tiada ideologi yang begitu menggalakkan seseorang untuk berkerja dengan gigih seperti dinyatakan Islam."

Menurutnya "Islam mengharapkan setiap penganutnya untuk melakukan lebih daripada apa yang ia termampu dan menjadi orang yang berguna atau bermanfaat, iaitu yang memberi khidmat lebih daripada khidmat yang dia terima. Hayat seorang Muslim perlu berakhir dengan sumbangan yang lebih daripadanya sebagai manfaat kepada seluruh makhluk dan kehidupan."

Selanjutnya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, menyatakan bahawa 9/10 daripada sumber rezeki adalah datang daripada bisnes atau perniagaan dan Muslim digalakkan bekerja kuat untuk mencapai kejayaan untuk dunia mereka seolah-olah mereka akan hidup buat selama-lamanya, dan beribadat untuk akhirat mereka seolah-olah mereka akan mati keesokan harinya!

Rasulullah SAW sendiri seorang peniaga sebelum Baginda diangkat menjadi Rasulullah. Sehubungan itu, kegagalan Muslim dalam ekonomi hari ini dilihat sebagai berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan ajaran Islam dan Rasulnya itu sendiri.

Ada satu lagi alasan kukuh kepada persoalan "Mengapa Melayu?" Adalah jelas pada hari ini perkembangan 'kek' kekayaan ekonomi negara tidaklah sepantas seperti yang diharapkan dan kaum Melayu, sebagai majoriti di negara ini, memperoleh pendapatan dan mempunyai kuasa yang masih terlalu rendah.

Lebih teruk, sebilangan mereka amat bergantung kepada orang lain, sekali gus hanya akan turut melemahkan yang lainnya pula.

Tambahan lagi, terdapat keperluan begitu kritikal dalam konteks situasi pascakrisis untuk Malaysia menstruktur semula ekonominya agar lebih mempunyai kuasa secara domestik dan tidak lagi bergantung kepada eksport dan FDI (Pelaburan Langsung Asing).

Oleh itu, kegagalan untuk menjiwai semangat keusahawanan, untuk membawa kaum Melayu kepada dunia bisnes, serta kegagalan untuk menjana pendapatan dan mengekalkan kuasa akan menjadikan mereka terus bergantung kepada pekerjaan yang rendah pendapatan, peningkatan eksport dan FDI.

Jelas, satu agenda pembaharuan ekonomi yang mensasarkan kaum Melayu dan bisnes yang bersendikan Islam tidak lagi dapat dielakkan dan wajib untuk dilaksanakan jika mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara lebih maju dan kaya. Pada masa sama, dasar ala Jihad yang selari dengan corak budaya India untuk kaum India dan lainnya, perlu juga diperkenalkan. Inilah prasyarat strategik kepada kejayaan pada masa akan datang dalam iklim ekonomi yang dipacu oleh bisnes.

Tetapi mengapa 'jihad'? Secara ringkasnya, perubahan dimensi budaya dan institusi memerlukan kaum Melayu dan Muslim untuk pergi lebih jauh dan kembali kepada akar umbi pegangan dan kepercayaannya.

Untuk satu tempoh lama, ada kalangan ulama dan pendakwah yang sudah meremehkan dan memandang sepi usaha mencari kekayaan dan kemajuan ekonomi untuk hidup lebih maju. Memburu kekayaan dianggap sangat negatif dan hanya akan melemahkan keimanan umat Islam yang terbabit dalam bisnes.

Dengan demikian, kebanyakan Muslim hanya memfokuskan diri mereka kepada akhirat semata-mata serta menafikan kepentingan untuk mengejar kekayaan di dunia. Ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Namun, penyelesaiannya pula bukanlah dengan cara membabi buta mengejar kekayaan seperti dianjurkan kapitalisme, konsumerisme dan dunia yang dipengaruhi bisnes, kewangan dan entiti korporat yang tamak dan rakus. Oleh itu, jihad bisnes sudah menganjurkan keseimbangan lebih adil dan saksama!

Jelas, tiada kejayaan akan dicapai oleh kaum Melayu dan Muslim sekiranya tidak melalui perubahan, rancangan strategik atau polisi yang akan meningkatkan iman dan takwa mereka kepada Allah SWT. Begitu juga, sebarang usaha untuk memperkayakan Muslim tidak akan mampu dilaksanakan sekiranya mereka tidak berpegang kepada asas ajaran agama dan iman yang mampu memberikan mereka kuasa motivasi untuk lebih berjaya.

Saya percaya bahawa jihad, yang juga satu sumber motivasi yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan jihad bisnes boleh dijadikan pemangkin kepada kuasa lebih tersusun dan kukuh yang bukan hanya akan memperkayakan Malaysia dan menjadikan Melayu Muslim sebagai penyumbang yang aktif kepada kekayaan berkenaan, tetapi menjadikan mereka Muslim lebih bertakwa! Alhamdulillah di atas pencapaian luar biasa Johor Corporation (JCorp) dalam bidang korporat dan bisnes.

Semua pencapaian ini serta sumbangan kepada penjanaan kekayaan, penambahan nilai dan pewujudan peluang pekerjaan oleh JCorp adalah satu contoh jelas kejayaan jihad bisnes yang boleh dicapai oleh semua.

Saya akhiri artikel ini dengan memetik salah satu artikel yang disiarkan blog saya (www.businessjihad.com) yang bertajuk "Global Crisis, Business Jihad and JCorp's Turnaround" di bawah topik 'Jihad Bisnes untuk memperkaya dunia':

"Jihad bisnes, yang dijayakan melalui institusi seperti dianjurkan Islam, bukanlah sesuatu yang eksklusif. Ia dijayakan melalui keusahawanan, yang akhirnya akan membawa kepada kekayaan untuk semua. Tambahan pula, sifat bisnes yang menjana keuntungan dan nilai ekonomi menjadikan jihad bisnes sebagai sesuatu yang jelas membawa manfaat kepada semua," katanya.

Penulis adalah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation
Soal Jawab: Liberalisasi ekonomi galak aliran modal, peluang pendedahan teknologi baru


PENGGEMBLENGAN tabungan institusi mampu memantapkan kedudukan ekonomi Bumiputera.

Usahawan Bumiputera, agensi amanah perlu bersedia berdepan persaingan lebih ketara

LANGKAH melonggarkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan sebuah institusi pelaburan baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu, mendapat reaksi positif kebanyakan pihak. Namun, ada juga pandangan skeptikal, terutama yang membabitkan kepentingan Bumiputera. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahir mendapatkan pandangan pakar ekonomi yang juga bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berhubung inisiatif terbaru kerajaan itu.

PENDEKATAN untuk meliberalisasikan ekonomi Malaysia ada kala mengundang kritikan kerana ia dilihat sebagai mengecilkan peluang Bumiputera mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Apa pendapat Tan Sri.

Dasar meliberalisasikan ekonomi negara bertujuan memantapkan perkembangan ekonomi dengan mengundang lebih banyak pelaburan swasta termasuk pelaburan asing dalam pelbagai bidang di negara ini, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Saya tidak melihat ia akan mengecilkan lagi kepentingan atau pegangan ekuiti Bumiputera atas beberapa sebab.

Sebab pertama ialah kerana penyertaan Bumiputera dalam bidang yang dilonggarkan itu memang pun rendah. Kedua, dengan pelonggaran syarat ekuiti, maka banyak peluang dan kegiatan ekonomi baru dapat diwujudkan yang boleh menguntungkan Bumiputera dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan. Bagaimanapun, usahawan Bumiputera dan agensi berteraskan amanah perlu bersedia untuk berdepan dengan persaingan yang lebih ketara.

Ada juga yang mendakwa liberalisasi ini seolah-olah cuba membunuh semangat atau roh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mengurangkan lagi ekuiti Bumiputera. Benarkah tanggapan sedemikian.



DEB sudah pun tamat pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan kemudian Misi Nasional. Dasar ini juga mengambil kira matlamat pertumbuhan dan pengagihan, tetapi berasaskan keadaan ekonomi semasa. Kerajaan perlu praktikal untuk menyesuaikan hasrat DEB agar ia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Pertumbuhan adalah penting bagi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan serta mengukuhkan asas hasil (revenue base) kerajaan. Negara perlukan peluang ini bagi membantu usaha meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat khususnya mereka di luar bandar dan Bumiputera. Namun, kita perlu pastikan peluang yang diwujudkan itu betul-betul berupa 'high-value' atau bernilai tinggi serta faedahnya dapat dinikmati masyarakat keseluruhan.

Boleh Tan Sri ulas bagaimana kerajaan boleh menjamin kelonggaran FIC tidak akan menjejaskan pegangan ekuiti Bumiputera dalam jangka panjang.

Pada peringkat awal, FIC menumpukan usahanya kepada sektor pelabur asing kerana masa itu (1970-an), milikan asing melebihi 60 peratus daripada jumlah ekuiti korporat. Sekarang sektor itu hanya mewakili 30 peratus, maka perhatian sudah berpindah kepada pelabur tempatan khususnya bukan Bumiputera.

Kini usaha memastikan agar setiap syarikat menetapkan ekuiti Bumiputera pada tahap 30 peratus oleh FIC perlu dipinda kerana kaedah ini mungkin tidak sesuai lagi. Sebenarnya banyak peluang pembelian saham disediakan melalui usaha FIC, tetapi tidak ramai pengusaha Bumiputera yang membelinya walaupun sudah diadakan usaha penjodohan atau `matching' oleh pihak kerajaan.

Yang kedua, pegangan setakat 30 peratus dalam setiap syarikat tidak memberi kuasa atau kawalan yang bermakna untuk tujuan mempengaruhi dasar dan hala tuju pengurusan. Pihak majoriti yang menguasai 51 peratus ekuiti dan ke atas yang akan menentukan dasar dan hala tuju syarikat. Bukan Bumiputera juga tidak gemar membeli saham jika mereka tidak menguasai syarikat berkenaan.

Mengapa Bumiputera digalakkan menyertai setakat 30 peratus saja? Tambahan pula ada Bumiputera yang selepas membeli saham sebanyak 30 peratus, ingin menjual saham mereka, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak ada pembeli. Oleh itu, mereka terperangkap dalam keadaan tidak mempunyai kuasa mempengaruhi syarikat serta tidak dapat menjual saham yang dipegang khususnya jika saham itu sudah merosot dari nilai awalnya. Oleh itu, sudah sampai masanya dasar FIC diubah kepada satu dasar dan kaedah lain.

Seperti dinyatakan Perdana Menteri, antara tujuan perubahan itu ialah untuk mengurangkan amalan 'ali baba' kerana inisiatif terbaru ini akan hanya membantu mereka yang menolong diri sendiri. Apa pendapat Tan Sri.

Memang ada amalan 'ali-baba' yang dilakukan semata-mata untuk memenuhi dasar FIC. Kita perlu mencari jalan supaya yang membeli dan memegang saham itu benar-benar pengusaha dan pelabur tulen, bukan mereka yang mengambil kesempatan semata-mata. Kita perlu memikirkan agar Bumiputera memegang saham pada peringkat majoriti atau lebih supaya mereka terbabit secara aktif dari segi pembuatan dasar dan pengurusan serta aspek lain dalam syarikat berkenaan.

Bagaimana pula manfaat garis panduan yang menetapkan 50 peratus daripada 25 peratus Tebaran Awam oleh syarikat yang hendak melaksanakan tawaran awal permulaan (IPO) perlu diberikan kepada Bumiputera.

Ia baik kerana ada kemungkinan lebih ramai Bumiputera yang membeli saham itu disebabkan ia dari bahagian 'public spread' atau tebaran awam. Ada kemungkinan juga peratus pegangan Bumiputera boleh melebihi had 30 peratus berbanding keadaan sebelum itu.

Perdana Menteri mendedahkan ramai pemegang saham Bumiputera menjual saham mereka hingga menyebabkan penguasaan ekuiti Bumiputera mengecil. Bolehkah situasi sama berulang walaupun dengan adanya inisiatif baru ini.

Untuk mencapai pegangan saham sebanyak 30 peratus pada 2020, bermakna pegangan saham itu perlu kekal dalam 'tangan' Bumiputera. Ia boleh berlaku jika pegangan saham itu dibuat oleh institusi amanah atau institusi yang berkaitan dengan kepentingan Bumiputera.

Pihak pelabur individu akan menjual untuk meraih untung daripada peningkatan harga saham. Sebab itu jumlah saham yang diperuntukkan oleh FIC kepada individu Bumiputera merosot kerana banyak sudah dijual. Untung pada peringkat individu, tetapi satu kehilangan pada peringkat masyarakat Bumiputera, melainkan individu Bumiputera itu menggantikannya dengan satu pegangan aset produktif yang lain.

Kerajaan juga akan memantau dan mengawal selia sektor serta aktiviti urus niaga hartanah, khususnya membabitkan pindah milik hartanah Bumiputera atau agensi kerajaan kepada bukan Bumiputera. Bagaimana Tan Sri melihat manfaat langkah ini.

Langkah ini memerlukan pemantauan yang rapi. Dalam hal ini, rekod jual beli hartanah perlu diperkemas dan diperkasakan lagi. Untuk tujuan ini, kerajaan negeri dan pejabat tanah mempunyai peranan yang sangat penting untuk memantau hak milik hartanah Bumiputera di setiap lokasi.

Satu dasar menyeluruh pada peringkat negara perlu diselaraskan agar hak milik tanah Bumiputera tidak mudah terhakis. Di samping itu, Bumiputera sepatutnya tidak mudah melepaskan hartanah mereka kerana hartanah adalah aset yang penting dan sangat berharga pada masa depan.

Mengenai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang bertujuan menjadi instrumen meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera. Bagaimana kerajaan boleh memberi jaminan Ekuinas dapat menebarkan taburan ekonomi yang adil kepada masyarakat.

Saya tidak tahu bagaimana Ekuinas akan menjalankan tugasnya. Pada pendapat saya, Ekuinas boleh membeli saham dalam syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera dengan syarat syarikat itu mempunyai potensi pada masa depan. Ekuinas boleh mengurus saham itu dan menjual kepada Bumiputera kelak. Dalam pada itu, Ekuinas perlu juga memastikan pihak pengurusannya membabitkan eksekutif Bumiputera di semua peringkat.

Ada juga pihak bertanyakan mekanisme yang akan diguna pakai oleh kerajaan bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam Ekuinas benar-benar berasaskan merit, bukannya kerana 'kabel' atau kroni. Apa pendapat Tan Sri.

Mari kita lihat dulu bagaimana Ekuinas akan beroperasi. Kita tidak harus membuat spekulasi pada peringkat awal lagi. Namun, pihak berkuasa boleh menetapkan beberapa dasar dan syarat supaya 'modus operandi' Ekuinas selaras dengan hasrat penubuhannya. Saya percaya Ekuinas akan mengikut lunas amalan baik antarabangsa atau 'international best practices' dalam bidang tadbir urus dan pengurusan ekuiti swasta serta telus berasaskan kepada norma dan amalan antarabangsa.

Apakah Tan Sri melihat perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui inisiatif ini mampu meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mendapat manfaat ketika pemulihan ekonomi dunia sekarang.

Kerajaan sudah melancarkan dua pakej rangsangan untuk memacu ekonomi negara. Langkah liberalisasi ini adalah satu kaedah rangsangan juga walaupun bukan berbentuk suntikan fiskal. Ia sesuai untuk menggalakkan aliran modal baru ke negara kita kerana sekatan pemilikan sudah dilonggarkan.

Yang pentingnya, kita perlu memastikan modal dan pelaburan baru itu membawa teknologi tinggi dan baru serta nilai tambah (value added) yang juga tinggi dan bersesuaian dengan keperluan kemahiran pekerja negara.

Pihak berkuasa perlu memastikan agar pelaburan baru tidak datang ke negara ini semata-mata untuk mengambil peluang daripada sistem galakan fiskal dan subsidi tenaga saja.

Persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak ialah bagaimana kerajaan mahu memastikan inisiatif baru ini dapat dilaksanakan dengan telus bagi membolehkan golongan sederhana dan miskin di luar bandar juga mampu mendapat manfaatnya.

Faedahnya banyak, seperti peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peluang pendedahan kepada teknologi baru.

Bagaimanapun, ia terserah kepada pengusaha dan individu Bumiputera serta institusi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Johor Corporation dan sebagainya untuk bersedia berdepan dengan iklim perniagaan yang liberal ini.

Bumiputera tidak akan maju jika mereka tidak didedahkan secara berperingkat kepada sistem persaingan dan pasaran dalam negara sendiri, apatah lagi jika di gelanggang global kelak.

Pandangan ikhlas Tan Sri terhadap inisiatif baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, dalam konteks manfaatnya kepada Bumiputera kerana masih ramai Bumiputera yang skeptikal dan menganggap semakin terpinggir dalam reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sekarang.

Pandangan ikhlas saya, usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera adalah satu agenda penting yang masih belum selesai... masyarakat Bumiputera bukan masyarakat 30 peratus.

Usaha yang bersepadu membabitkan pihak kerajaan, profesional, usahawan dan industri Bumiputera perlu untuk berganding bahu mencari jalan yang lebih berkesan agar matlamat 30 peratus penguasaan ekuiti oleh Bumiputera tercapai menjelang 2020 dan kepada paras yang lebih tinggi lagi selepas 2020 selaras dengan kedudukan Bumiputera yang mewakili lebih 60 peratus daripada jumlah rakyat negara ini.

Satu tindakan dan strategi bersepadu berteraskan kepada aspek pekerjaan dan pasaran buruh, pemilikan ekuiti, keusahawanan dan penggemblengan tabungan Bumiputera yang diterajui bersama oleh institusi amanah seperti PNB, Tabung Haji, Felda, LTAT, dan Johor Corporation boleh memantapkan kedudukan ekonomi Bumiputera.

INFO
Pemansuhan garis panduan FIC babitkan:


  • Pemerolehan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan.

  • Proses urus niaga saham mahupun mengenakan syarat ekuiti ke atas urus niaga seperti itu.

  • Proses urus niaga harta, kecuali jika membabitkan pencairan kepentingan Bumiputera atau kerajaan.

  • Syarat ekuiti bagi pelaburan akan terus dikenakan oleh pengawal atau pengatur sektor berkenaan.

  • Syarikat tersenarai tidak lagi tertakluk kepada syarat ekuiti pasca Tawaran Awam Permulaan (IPO).

    Pemerolehan harta

  • Suruhanjaya Institusi Kewangan hanya akan memproses urus niaga membabitkan pencairan kepentingan Bumiputera, iaitu penjualan harta Bumiputera kepada bukan Bumiputera dan kepentingan kerajaan dalam bidang harta.

  • Kelulusan FIC hanya diperlukan bagi harta bernilai lebih RM20 juta.

  • Nilai ambang bagi pembelian harta oleh rakyat asing ditingkatkan secara amnya kepada RM500,000.

  • Hak kerajaan negeri kekal untuk mengenakan sebarang syarat tambahan.

  • Modal permulaan RM500 juta, akhirnya akan ditingkatkan kepada dana RM10 bilion.

    Ekuiti Nasional

  • Menumpukan pelaburan kepada sektor pertumbuhan tinggi.

  • Melabur secara bersama dengan sektor swasta.

  • Memastikan penyertaan Bumiputera secara meritokrasi.

  • Menjadi pelengkap kepada dana sedia ada yang lain.
  • Daging berkecai di 'paya hangus'

    Tapak pesawat Penerbangan Malaysia MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 kini hanyalah sebuah belukar tinggal. Ia menyembunyikan 1,001 misteri yang belum sempurna terjawab.




    ANTARA faktor pemula kisah yang disiarkan ini ialah cerita-cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh para pemandu teksi di sekitar Johor Bahru. Mereka menyebarkan cerita tentang kelibat wanita berpakaian seperti pramugari pada waktu malam di jalanan sekitar Jalan Kebun Teh dan juga di Gelang Patah, Johor.

    "Wanita itu meminta dihantarkan ke salah satu destinasi itu. Kawan saya pernah terkena sebelum ini. Apabila ditanya wanita itu kenapa dia mahu turun di tempat yang gelap dan bukan kawasan perumahan, wanita itu tiba-tiba ghaib dari tempat duduk penumpang.

    "Ada pula yang sempat dijawab wanita itu. Katanya, 'bang, saya nak cari tangan saya yang putus'. Gugur jantung saya," cerita seorang pemandu teksi, Yusof Mohamad, yang menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa dirinya tidak diuji dengan pengalaman seperti itu.




    Ramai orang di bandar raya Johor Bahru maklum tentang kisah seram tersebut. Sama ada mendapat respons ketawa atau rasa takut yang melampau, ia sebenarnya merantai ingatan mereka terhadap sebuah tragedi dahsyat yang pernah berlaku lebih tiga dekad lalu.

    Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS). Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.

    Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.

    Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ. Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.

    "Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan berdebar-debar," ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.


    NAHAS MH653 mendapat perhatian ramai termasuk Tengku Mahkota Johor, Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Hussein Onn (kini Tun), Menteri Perhubungan, Mendiang Tan Sri Manickavasagam dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Awang.


    Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu. Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat 'raksasa' apakah yang jatuh ke kampungnya itu.

    Kutip duit berguni

    Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai kapal terbang.

    "Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun pokok getah.

    "Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya," katanya yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.

    "Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun 'menyelit-nyelit'lah.

    "Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat pada sebatang jari yang sudah putus!" kata seorang suri rumah, Zaiton Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.

    "Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu, kan? Mesti barang-barang itu milik mereka," katanya.




    Selain mengorbankan seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican.

    Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang dan petugas kabin. Tiada seorang pun yang terselamat dalam pesawat yang dipandu juruterbang Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu.

    Seorang lagi penduduk kampung yang teruja menceritakan kisah itu ialah Siti Rahmah Ismail, 39. Walaupun ketika kejadian dia baru berusia tujuh tahun, Siti Rahmah masih mengingati banyak perkara.

    "Budak-budak disuruh tidak keluar dari rumah. Maklumlah, ibu bapa kami takut perkara buruk terjadi kepada kami. Keadaan semakin kecoh apabila pihak berkuasa dan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian. Kerja-kerja menyelamat berlarutan ke lewat malam," imbasnya.


    MEMORIAL memperingati tragedi pesawat Boeing 737 MH653 masih dikunjungi ahli keluarga mangsa di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.


    Keesokannya, udara kampung menjadi tidak nyaman. Ramai yang terkejut apabila terjumpa atau ternampak dari jauh kecaian daging dan tulang manusia yang bersepah dan membusuk. Lebih meloyakan adalah apabila isi perut yang terburai dilihat tersangkut pada ranting dan dahan pokok bakau.

    "Ramai yang tidak boleh tidur malam kerana dibayangi pemandangan itu. Apatah lagi mereka diganggu mimpi ngeri, terutama mereka yang telah mencuri simpan barang peribadi milik mangsa nahas," kata Ahmad.

    "Siapa yang mengambil milik orang pada malam kejadian, terimalah habuannya. Mereka tidak tenang. Sampai ada yang sakit seperti terkena badi hingga terpaksa dibawa berubat," tambah Zaiton pula.

    Suara jeritan

    Ahmad mengakui, selama beberapa tahun, Kampung Tanjung Kupang terutama di kawasan tragedi itu seperti berhantu. Semua orang takut untuk melaluinya.

    "Kalau menaiki motosikal di daratan atau menaiki bot di sebelah paya bakau itu, pasti akan terdengar suara-suara kelam seperti orang menjerit, meratap dan memekik meminta tolong.

    "Penghuni rumah yang paling dekat dengan tempat kemalangan juga telah lama berpindah sejak tragedi itu berlaku," kata Ahmad mengenai sebuah rumah tinggal yang terletak kira-kira 100 meter dari rebakan api bangkai MH653.

    Kru Jurnal yang mengunjungi Tanjung Kupang kelmarin nekad 'menceroboh' masuk tapak tragedi walaupun mengetahui laluan masuknya sudah dipagar kerana telah menjadi milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Sewaktu memperlahankan kereta di sebatang jalan yang sempit, tidak pula terasa apa-apa yang meremangkan bulu roma.


    SELAIN tapak tragedi, balai polis lama di Tanjung Kupang ini juga sudah menjadi sejarah lantaran tidak lagi berfungsi.



    AHMAD PUTEH


    Semakin kereta kami ditelan belukar yang kian meliar, bau busuk tiba-tiba menusuk hidung. Namun, bau itu bukan daripada bau reputan daging manusia seperti yang diceritakan sebelumnya. Saat tiba di penghujung jalan, kami menemui sebuah kandang lembu yang diusahakan oleh seorang penduduk kampung, Mohamad Nor Kamaludin, 34.

    "Daripada kawasan ini terbiar, biarlah saya memanfaatkannya. Lagipun kandang ini hanya sementara," kata Mohamad yang seakan-akan tahu tujuan kedatangan kami.

    "Memang di sinilah tempat kapal terbang itu jatuh. Kisah tragedi itu sudah lama berlalu, tak ada apa pun yang menakutkan di sini. Silakanlah ambil gambar. Orang kata, masih ada tayar kapal terbang di hujung tanah sana. Kalau ada pun, pasti dah tenggelam ke dalam lumpur," ujarnya.

    Menurut sumber daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan PTP secara konsesi. Ia sekadar dirizab sebagai zon bebas aktiviti manusia.

    Paya hangus yang telah mengorbankan 100 jiwa itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder. Wartawan Jurnal sekadar menemui sebuah terusan air dan benteng tanah laterit yang ditinggikan bagi memisahkan kawasan belukar darat dengan kawasan bakau yang semakin teranjak melebihi garis air laut.

    Di situlah 32 tahun lalu berlaku sebuah tragedi yang telah menggemparkan negara.

    Seks pelik punca mati pucuk

    90 peratus lelaki akil baligh di negara ini pernah melakukan onani, dan trend itu, menurut Bonda, bakal menyebabkan lelaki Malaysia ‘pupus’.







    AMIR (bukan nama sebenar) kini berumur 21 tahun. Dia yang berasal dari Kuala Lumpur datang daripada keluarga berada. Namun dia mempunyai kisah hitam tersendiri.

    Sejak akil baligh pada usia lapan tahun, dia gemar melakukan hubungan seks luar tabii. Malah apabila umur Amir berganjak 16 tahun, dia obses melayari laman web lucah.

    Lebih mengejutkan, dia turut mendapatkan pam vakum erotik untuk memuaskan nafsu. Tetapi tindakan itu ternyata memudaratkan dirinya sendiri.

    Pam vakum ereksi senang diperoleh melalui Internet. Ia merupakan alat yang dipercayai dapat memanjangkan serta membesarkan zakar.

    Bukan Amir sahaja yang menggunakan alat tersebut bahkan abang serta rakannya.

    Malangnya, alat itu menyebabkan kerosakan alat kelamin hingga air mani kerap meleleh selain merosakkan saraf zakar.

    Amit ternyata kesal, tetapi mujurlah pakar perubatan tradisional, Ummul Hanna, 60, atau lebih dikenali sebagai Bonda berjaya memulihkannya.

    Berdasarkan pengalaman Bonda selama lebih 30 tahun merawat ribuan zakar di negara ini, lelaki Malaysia sememangnya obses dengan seks.

    Namun, ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul dan jangan melakukan onani.

    "Sebahagian besar kes zakar bermasalah yang saya terima disebabkan onani. Malah saya yakin 90 peratus lelaki baligh di negara ini melakukan onani tidak kira remaja atau orang tua.


    BONDA mengingatkan kaum lelaki supaya melampiaskan keinginan syahwat dengan cara yang betul.


    "Hakikatnya tindakan itu berbahaya kerana boleh merosakkan zakar. Ini termasuk kerandut zakar menjadi keras dan berkeping sekali gus menjejaskan fungsi aliran air kencing," katanya.

    Bonda juga menolak mitos amalan onani bagi membuang sperma yang tidak berkualiti selain 'mencuci' bahagian kemaluan itu.


    PENJUALAN ubat dan produk seksual secara terbuka mungkin membuktikan lelaki Malaysia obses seks.


    "Tiada bukti sahih baik tradisional mahupun saintifik yang mengesahkan perkara tersebut. Malah ia hanya pembohongan semata-mata selain dilarang dari sudut agama.

    "Golongan lelaki perlu melampias seks dengan cara yang baik dan kaedah yang betul. Jangan malu bertanya kepada mereka yang pakar tentang masalah seks kerana jika tersilap langkah ia boleh memudaratkan diri," ujar Bonda lagi.

    Rumah berbau kapur barus

    Tiba-tiba terbau kapur barus menjadi ‘alamat’ kepada Abdullah Abdul Jalil, 25, tentang ada lubang kubur yang perlu digalinya.







    BEKERJA sebagai penggali kubur secara sepenuh masa bukan sahaja tidak glamor malah sering dikaitkan dengan unsur mistik dan alam ghaib. Tetapi bagaimana jika anda bertemu dengan seorang pemuda kota yang menjadikannya sebagai kerjaya sejak berumur 20 tahun?

    Abdullah Abdul Jalil, 25, tidak malu untuk mengaku dia ialah penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

    "Ramai orang kata muda-muda lagi dah jadi penggali kubur. Sebenarnya kedua-dua ibu bapa saya bertugas di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan terlibat dalam pengurusan jenazah.

    "Kadangkala apabila kekurangan kakitangan, mereka akan membawa saya bersama untuk membantu," cerita Abdullah tentang bagaimana dia boleh terlibat dalam bidang ini.

    Sebelum ini, seperti remaja kota yang lain, melepak di pusat beli-belah menjadi rutin Abdullah.

    "Boleh dikatakan saya seorang kutu rayau dan gemar bersosial. Biasalah bila ada motosikal, semua kompleks beli-belah dan taman bunga di Kuala Lumpur jadi tempat saya dan kawan-kawan melepak. Pantang tengok perempuan, cepat saja saya mengusik," kenangnya.

    Berbaring di liang lahad

    Tawaran bekerja sebagai penggali kubur datang kepadanya setelah bertunang dengan kekasih hati, Farah Jaafar. Memikirkan tanggjungjawab yang bakal dipikul, Abdullah menerima tawaran itu. Mereka akhirnya berkahwin pada usia 17 tahun.

    "Yelah siapa sanggup terlibat dengan kerja macam tu? Namun setelah berfikir panjang, hati saya terbuka untuk melakukannya," katanya yang kini memiliki empat cahaya mata.

    Masa bekerja sebagai penggali kubur tidak menentu. Kata Abdullah, dia perlu sentiasa bersedia, tidak kira siang atau malam.

    "Pernah saya terpaksa menggali kubur pada pagi Hari Raya kerana berlaku kematian pada hari itu," akuinya.

    Berjemur di bawah panas matahari dan lencun dek hujan lebat juga perkara biasa baginya. Kadangkala dia perlu memasang khemah bertemankan lampu pada waktu malam.

    Bukan Abdullah tidak pernah bekerja sebelum ini. Bekerja di hotel dan pasar raya juga sudah dicuba. Begitupun, menggali kubur adalah pekerjaannya yang paling lama setakat ini.

    "Sudah lima tahun saya melakukan kerja ini. Saya bangga dapat melakukannya. Bagi saya, inilah jalan hidup saya. Saya bertuah kerana terpilih.

    "Kerja ini merupakan fardu kifayah. Saya mewakili kelompok masyarakat yang saya diami. Ia juga satu kesempatan untuk saya memberi penghormatan terakhir kepada jenazah," katanya.

    Bagi Abdullah, biarpun roh sudah terpisah, jasad itu masih dapat merasai segala urusan ke atas dirinya. Jadi jenazah itu perlu diuruskan secara terhormat termasuk ketika hendak memasukkannya ke dalam liang lahad.

    Kerana ingin merasai detik-detik dikebumikan, Abdullah pernah berbaring di dalam liang lahad yang telah siap digali.

    "Saya tutup diri saya dengan papan lahad untuk mengalami sendiri keadaan di dalam kubur," cerita lelaki ini.

    Menurut Abdullah, ukuran semua kubur adalah sama iaitu dalam dan panjangnya 2 meter manakala lebarnya 0.6 meter.

    "Tak pernah lagi kubur yang saya gali itu tidak menepati saiz jenazah," ujar Abdullah yang selalunya akan dibantu oleh seorang lagi penggali kubur di situ.

    Dengan dua kudrat tersebut dan sekadar berbekalkan cangkul serta penyodok, sebuah kubur boleh siap digali dalam masa dua jam.

    Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dikhususkan untuk masyarakat Islam yang tinggal di Bangsar dan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

    "Banyak lubang kubur yang telah saya gali termasuk untuk bekas menteri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid."

    Tinggal di kawasan kubur


    BAGI merasai pengalaman dikuburkan, Abdullah memberanikan diri berbaring di dalam lubang kubur yang digalinya sendiri.


    Menariknya, Abdullah sekeluarga juga tinggal di dalam kawasan perkuburan.

    Ditanya sama ada dia pernah mengalami kejadian pelik, Abdullah menjawab tidak pernah. Namun, dia menyambung: "Tetapi isteri saya pernah menceritakan yang dia nampak saya berbaring di ruang tamu sedangkan ketika itu saya sedang menguruskan satu jenazah di kubur."

    Tidak lama dahulu, salah seorang anak Abdullah selalu diserang demam panas jika meninggalkan rumah lebih daripada sehari, namun akan baik semula bila pulang ke rumah.

    "Selepas merujuk kepada pengamal perubatan Islam, mereka kata ada 'benda' yang sukakan anak saya dan tidak mahu dia meninggalkan pekarangan rumah," ceritanya yang bersyukur kerana persekitaran tempat tinggalnya mengingatkan dia sekeluarga kepada kebesaran-Nya.

    Satu lagi keistimewaan Abdullah ialah dia seperti mendapat 'tanda' ada jenazah yang perlu diuruskannya.

    "Saya hanya menyedari tanda-tanda ini setelah setahun menjadi penggali kubur iaitu jika saya mengalami sakit-sakit badan dan terhidu bau kapur barus di dalam rumah, pasti ada jenazah yang bakal saya uruskan pada esoknya," jelas Abdullah.

    Pencinta Coklat


    GAIL mula menggantikan coklat putih dengan coklat hitam dua tahun lalu.


    "SEMENJAK terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B), baru saya faham coklat putih mengandungi lemak yang paling tinggi jika dibandingkan dengan coklat hitam atau coklat susu.

    “Kalau tidak, memang saya sangat gemar coklat putih. Maklumlah, masa muda, suka yang manis-manis saja,” ujar Pengurus Promosi & Pengiklanan Kumpulan Hing Yiap, Gail Ong.

    Mula menikmati coklat dalam bentuk minuman, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini berkongsi: “Emak selalu beri ‘ganjaran’ jika saya melakukan apa yang disuruh, dan selalunya saya dapat minum Milo.

    “Sekarang, saya perlu minum Milo atau neslo setiap pagi, tetapi tanpa susulah,” kata Gail, menidakkan norma kebanyakan warga kota yang wajib minum kopi untuk memulakan hari.

    Ada apa dengan coklat?

    “Coklat buat saya gembira. Pada pendapat saya, untuk wanita yang selalu moody, coklat merupakan penawar terbaik. Coklat ialah tentang kegembiraan.

    “Anda boleh bawa coklat ke mana saja anda pergi. Coklat juga tidak perlu tunggu masa tertentu untuk dinikmati,” jelasnya panjang lebar.

    Kalau hendak bersantai, Gail memilih untuk memanjakan diri dengan aiskrim berperisa coklat. Baginya, kek untuk upacara istimewa juga perlu berperisa coklat.


    LEBIH 80 variasi coklat buatan tangan dapat ditemui di Theobroma.





    Mengejar masa dalam kerjaya, wanita yang gemarkan fesyen moden dan ranggi itu turut memastikan beliau membawa bersama sekurang-kurangnya sepotong coklat.

    “Sepatutnya ia dinikmati sebaiknya. Duduk dalam persekitaran yang tenang sambil diulit muzik yang digemari seperti di Lounge kami.

    “Tetapi kalau sudah kesuntukan masa, menikmatinya di mana-mana pun tidak mengapa,” kata Gail yang gemar membeli-belah dan melayari Internet.

    Jika selama ini Kumpulan Hing Yiap lebih menjurus dalam penghasilan pakaian seperti B.U.M. Equipment, Diesel, Antioni dan Bonton, kini mereka melebarkan sayap dengan menceburi jalur F&B dengan memperkenalkan Theobroma Chocolate Lounge.

    Uji rasa 80 jenis coklat

    Menghidangkan lebih daripada 80 jenis coklat Belgium berkualiti tinggi, daripada bentuk pejal, minuman, panas, sejuk, dan sebagainya, Theobroma sebenarnya merupakan rangkaian lounge coklat yang dibawa masuk dari Australia.

    Sebagai orang kuat di bahagian pemasaran dan penjenamaan, Gail sememangnya tidak perlu dilatih atau dididik untuk mencintai produknya sendiri.

    “Dulu memang saya sering dapatkan coklat daripada jenama Kit Kat dan Toblerone di mana-mana kedai. Tetapi sejak adanya Theobroma, saya hala ke sini saja. Di rumah saya simpan banyak stok coklat Theobroma.


    MAJORITI pencinta coklat terdiri daripada wanita.


    “Adakalanya kawan-kawan datang ke rumah semata-mata mahu merasa coklat-coklat itu. Saya tidak kisah. Kegembiraan lebih enak rasanya kalau dikongsi,” ujarnya yang sememangnya suka menghabiskan masa bersama teman-teman jika ada kelapangan.

    Gail juga gembira kerana dapat berkongsi kegembiraannya itu dengan bapanya sendiri.

    “Ayah menghidap diabetes, tetapi saya masih dapat membawa pulang coklat hitam untuknya kerana coklat hitam sememangnya menyihatkan.

    “Dan di sini pula ia bebas gula, segar dan tidak mengandungi bahan pengawet,” cerita Gail yang mendedahkan coklat yang segar akan tampil berkilau dan dapat bertahan selama tiga bulan.

    Malah, ketika dipelawa menjadi sebahagian daripada barisan yang menguji rasa coklat Theobroma, Gail menganggapnya satu tuah.

    “Itu tentunya peluang yang dinanti-nantikan. Sebagai seorang pencinta coklat, menguji rasa lebih 80 variasi coklat buatan tangan tentulah saya anggap sebagai satu tuah,” katanya yang kini lebih senang menghabiskan masa di rumah dengan menikmati buku, filem atau muzik.

    “Di rumah, anda boleh menikmatinya dalam apa jua bentuk. Dimakan bersama buah potong, dimasukkan ke dalam kek, dikikir dan ditabur di atas aiskrim dan sebagainya. Kalau anda benar-benar mencintai aiskrim, anda akan ada cara anda sendiri untuk menikmatinya!,” tambah Gail.