Bengkel paling moden di Kota Bharu

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my




Napi Motor Works turut jadi tumpuan pemilik kereta jenama mewah

TIDAK ramai di kalangan anak Melayu di Kelantan yang terbabit dalam bidang perniagaan membuka bengkel membaiki kereta mampu menjadi seorang usahawan berjaya sehingga berani membuat pelaburan mencecah hampir RM1 juta.

Namun, hakikat itu mampu dilakukan seorang anak muda, Hanapi Othman, 42, antara yang paling berjaya menjalankan perniagaan itu di Kota Bharu sejak hampir 25 tahun lalu apabila beliau memiliki sebuah bengkel paling moden dengan mempunyai pelbagai peralatan membaiki kereta terkini termasuk penggunaan sistem komputer bagi mengesan sebarang kerosakan enjin kereta sistem elektronik.

Berdiri dengan megah, bengkel membaiki kereta dikenali dengan nama Napi Motor Work (NMW) yang terletak bersebelahan stesen minyak Petronas di Jalan Sultan Ibrahim, ia boleh dianggap setanding dengan bengkel membaiki kereta moden yang ada di bandar besar seperti Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

NMW boleh berbangga kerana kini mempunyai bangunan baru yang diubah suai daripada bengkel lama dengan pelaburan keseluruhan membabitkan kelengkapan dan peralatan membaiki kereta moden kira-kira RM1 juta.

“Saya memang bercita-cita untuk memiliki sebuah bengkel membaiki kereta yang moden. Berkat dengan kesabaran mengumpul wang hasil daripada perniagaan, saya memberanikan diri membuat pelaburan besar mengubah suai bengkel kereta yang siap mengambil masa tiga bulan dan sepenuhnya pada 31 Januari lalu membabitkan kos RM500,000.

NAPI memerhatikan pekerjanya mengendalikan enjin kenderaan.

“Pembelian pelbagai alat moden termasuk masing-masing tiga komputer untuk dianogsis enjin kereta mewah buatan Jerman khas untuk BMW dan Mercedez Benz dan dua untuk kereta buatan Asia. Untuk komputer ini saja saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM400,000 dan NMW satu-satunya bengkel yang mempunyai sistem komputer bagi tujuan diagnosis enjin di Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kota Bharu, baru-baru ini.

Beliau yang hanya menimba ilmu membaiki kereta ketika bekerja di bengkel kereta di Kuala Lumpur pada awal tahun 80-an tanpa mempunyai pendidikan formal dalam bidang enjin kenderaan juga, mampu membaiki enjin kereta ternama seperti Porche, Jaguar serta pelbagai kereta mewah lain.

Ketika ini NMW mempunyai 20 kakitangan iaitu 16 daripada mereka ialah mekanik terlatih manakala selebihnya kakitangan pengurusan. Malah, ada di kalangan mekanik NMW memiliki ijazah kejuruteraan mekanikal enjin selain pekerja lulusan Politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Komuniti.

NMW juga adalah satu-satunya bengkel kereta di Kota Bharu yang diberi kepercayaan oleh ejen untuk menjalankan perkhidmatan servis kenderaan pacuan empat roda Sangyong Rexton keluaran Sangyong Motor dari Korea.


Hanapi berkata, beliau juga sentiasa mengambil pelajar daripada institusi kemahiran berkenaan yang mengikuti kursus pengajian berkaitan enjin kenderaan menjadi pelatih bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Sebenarnya setiap tahun saya mengambil pelajar dari Politeknik, IKBN, IKM dan Kolej Komuniti menjadi pelatih NMW. Setiap enam bulan saya akan mengambil enam pelatih untuk diberi latihan sambil bekerja.

“Saya juga membuka peluang mereka bekerja apabila tamat pengajian, tetapi perlu mencapai tahap yang ditetapkan NMW untuk menjadi seorang mekanik yang profesional. Sebab itu, setiap pekerja di sini, saya amat menitiberatkan kepada kemahiran supaya memberi kepuasan kepada pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmat membaiki kenderaan mereka.

“Matlamat saya, sekali pelanggan baru baiki kereta miliknya di NMW, mereka akan cadangkan kepada rakan mereka yang lain pula supaya datang ke sini. Oleh itu, setiap pelanggan datang membaiki kereta mereka di sini, saya akan pastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan berbaloi dengan wang mereka bayar,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini purata kenderaan masuk ke bengkelnya untuk dibaiki atau servis antara 15 hingga 20 kenderaan sehari dan kebanyakannya kereta mewah jenis BMW dan Mercedez Benz, selain kereta keluaran Jepun dan Korea.

Katanya, apa yang menarik ramai juga di kalangan pemilik kenderaan itu datang dari luar Kelantan terutama Kuala Lumpur untuk membaiki kereta mereka.

“Mereka datang ke sini (NMW) untuk baiki kereta terutama pemilik kereta mewah mungkin kerana kos lebih murah berbanding caj yang dikenakan bengkel kereta di Kuala Lumpur atau berpuas hati dengan pembaikian yang kita lakukan,” katanya.

Sejak membuka bengkel membaiki kereta bermula pada 1987, beliau berkata kira-kira 200 anak muda sudah bekerja dan belajar menimba ilmu berkaitan kenderaan daripada sistem mekanikal kenderaan sehinggalah kepada sistem enjin.

Katanya, hasil daripada kemahiran dan pengalaman yang diperoleh ketika bekerja di NMW, ramai juga antara mereka berjaya membuka bengkel sendiri secara kecil-kecilan di kampung masing-masing selain bekerja dengan bengkel lain.

Ditanya rancangan masa NMW, katanya, beliau merancang membuka sebuah lagi cawangan membaiki kereta di bandar Jeli sebagai sebahagian memperluaskan operasi perniagaan NMW.

Katanya, beliau sudah mengenal pasti kawasan yang sesuai di pusat bandar Jeli untuk membuka bengkel cawangan.

“Saya rasa Jeli adalah kawasan yang strategik untuk menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis kenderaan sebagai bandar persinggahan untuk perjalanan dari Kota Bharu ke Perak.

“Selain itu, saya juga sedang dalam pertimbangan untuk membuka kedai menjual alat ganti kenderaan di Kota Bharu yang mempunyai hubungan dengan perniagaan yang saja jalankan sekarang.

“Sebenarnya perniagaan menjual alat ganti kenderaan kereta motor tidak ramai diceburi oleh orang Melayu di sini, sebaliknya ia lebih banyak dikuasai bukan Melayu,” katanya.

Info

Jenis komputer diagnosis yang digunakan di bengkel NMW


  • SIEMEN SSS-OPS (Tripple S) untuk kereta BMW. Digunakan untuk coding/program bagi kereta BMW keluaran tahun 2005 ke atas.

  • GT ONE untuk kereta BMW. Digunakan untuk analisis kerosakan, coding/program pada bahagian komponen yang ditukar baru pada kenderaan.

  • CARSOFT untuk BMW. Digunakan untuk diagnosis pada bahagian enjin, auto transmisi, sistem brek dan komponen tertentu pada kenderaan BMW.

  • AST 5700 Digunakan untuk mengesan/membaca kesalahan kod bagi kenderaan Mercedes Benz dan BMW juga digunakan untuk program/coding pada fungsi tertentu sistem elektronik kenderaan berkenaan.

  • AUTOLAND - VEDIS Digunakan untuk mengesan/membaca data/kesalahan kod bagi kereta Asia dan Eropah juga untuk program/coding pada fungsi tertentu.

  • CARMAN SCAN II - untuk kereta Asia. Sebagai back up kepada Autoland.

  • SCAN 100 - khas untuk kenderaan keluaran SSANGYONG MOTOR. Komputer modul lengkap bagi model Rexton, Stavic, Chairman, Actyon Sport, Kyron dan Ssangyong Musso.
  • Guna anak untuk hidup mewah?

    Apakah muslihat Daisy Fajarina di sebalik kemelut rumah tangga anaknya, Manohara Odelia Pinot dengan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry?




    MUNGKIN kisah rumah tangga Manohara Odelia Pinot dan Tengku Muhammad Fakhry telah reda di Malaysia. Namun, sebaliknya berlaku di negara seberang, Indonesia. Kemelut rumah tangga keluarga diraja Kelantan itu masih hangat diperkatakan oleh media cetak dan media elektronik di sana.

    Malah banyak pendedahan terbaru dan ulasan mengenai kisah itu turut dimuatkan dalam Internet. Antara blog yang turut membuat pendedahan itu beralamat di http://toughlane.blogspot.com. Blog itu mendedahkan bahawa, Manohara didakwa telah dipergunakan oleh ibunya sendiri untuk mendapatkan duit bagi kepentingan peribadi.

    Laporan terbaru blog itu juga menyebut bahawa ibu Manohara, Daisy Fajarina (Daisy) terdesak melakukan apa sahaja untuk melepaskan dirinya daripada bebanan hutang dek kerana ingin terus hidup mewah.

    Malah, hasrat si ibu yang ingin terus hidup mewah itu terbukti apabila dia menyuruh Manohara terlibat dalam penerbitan sinetron yang diberi judul Manohara yang mengisahkan tentang kehidupan anak gadisnya itu.

    Bayaran yang diterima daripada penerbitan sinetron yang akan ditayangkan di salah sebuah stesen televisyen di Indonesia itu dilaporkan lumayan.


    DAISY FAJARINA didakwa sanggup menfitnah menantu sendiri untuk kepentingan dirinya.


    Blog itu turut mendakwa bahawa kisah yang dipaparkan di dalam sinetron itu adalah rekaan semata-mata. Ia dibuat bagi meraih simpati orang ramai kerana Daisy dikatakan mahu membalas dendam terhadap menantunya. Daisy dilaporkan marah kerana Tengku Muhammad Fakhry tidak memenuhi permintaannya yang menuntut sejumlah wang bagi kegunaan peribadi.

    Pada awal cerita sensasi Manohara disiarkan kepada umum, Daisy menuduh Tengku Muhammad Fakhry melakukan penderaan terhadap anaknya. Tindakan Daisy hampir berjaya apabila masyarakat umum di Indonesia mempercayainya.

    Tetapi setelah penafian dibuat dan disertakan bersama-sama bukti bahawa Manohara tidak diseksa, isu itu reda dengan sendirinya. Malah seorang peguam, Ratna Sarumpaet yang menawarkan diri untuk membantu Manohara turut menarik diri. Begitu juga seorang peguam lain, OC Kaligis yang turut menawarkan khidmat yang sama turut menarik diri. Ratna mendakwa Manohara dan ibunya tidak serius untuk membawa kes itu ke mahkamah manakala OC Kaligis menarik diri kerana sukar mengumpul bukti bahawa Manohara pernah didera oleh suaminya. Kes itu kini dikendalikan oleh seorang peguam lain, Hotman Paris Hutapea.

    Sekiranya benar Manohara diseksa, nyatakan tarikh-tarikh dia diseksa. Dia juga perlu tampil dengan semua bukti dan nyatakan pada dunia supaya tiada siapa yang tertekan dalam isu ini.

    Hakikatnya, terlalu banyak persoalan bermain sehingga mereka yang bijak boleh menilai sendiri apakah tujuan dan niat sebenar lakonan tiga beranak tersebut iaitu Daisy, Manohara dan adik tirinya, Dewi Sri Asih.


    SATU laman web yang menceritakan perkembangan terkini Manohara.


    Laman blog itu turut mendedahkan bahawa sehari sebelum Manohara pulang ke Jakarta, dia sempat berbelanja besar bersama suaminya. Apakah tujuan Manohara yang ketika itu sudah bercadang mahu melarikan diri dari suaminya keluar membeli-belah dan berbelanja besar.

    Berbelanja besar sebelum melarikan diri itu sudah membuktikan sejauh mana kejujuran Manohara dan Daisy dalam kemelut ini.


    SAAT-SAAT bahagia Manohara bersama Tengku Muhammad Fakhry sebelum melarikan diri ke Jakarta, Indonesia.





    Blog itu juga mendakwa, tindakan Daisy yang membuat kecoh bahawa anaknya didera oleh Tengku Muhammad Fakhry adalah kerana mahu menutup kesalahan besar yang menghantui dirinya sendiri.

    Antara kesalahan itu adalah Daisy merupakan individu yang dikehendaki oleh polis Interpol di Perancis bagi disoal siasat. Ia melibatkan satu kes pada tahun 2007. Jika sabit kesalahan, Daisy boleh dikenakan hukuman penjara 18 bulan. Apakah kes jenayah yang dilakukan oleh Daisy itu tidak pula dijelaskan oleh laman blog ini. Namun ada pihak mendakwa kes itu melibatkan tindakan Daisy membawa lari Manohara ketika anaknya berusia dua tahun.

    Ini kerana Manohara bukanlah anak kepada suami Daisy sekarang, Reiner Pinot. Manohara sebenarnya lahir daripada perkahwinan Daisy dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang kini menetap di Kanada, George Man.

    Daisy berkahwin dengan Reiner Pinot selepas bercerai dengan George.

    George hanya mengenali anak kandungnya itu melalui liputan media yang heboh menceritakan kisah rumah tangga Manohara sejak beberapa bulan lalu.

    Selepas mengetahui keadaan sebenar, George dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan semula Manohara dan menuduh Daisy telah memberi pengaruh yang tidak baik kepada Manohara.


    PEGUAM kepada Tengku Muhammad Fakhry, Mohd. Haaziq Pillay (kanan) bercakap sesuatu dengan Mohd. Soberi Shafii.


    Laman blog itu turut menyebut bahawa George yang kini merupakan seorang ahli perniagaan pernah memberi kemewahan kepada Daisy.

    Dalam pada itu, sahabat baik kepada Tengku Muhammad Fakhry, Mohd. Soberi Shafii ketika dihubungi Kosmo! berkata: "Rumah tangga Manohara dan Tengku Temenggong atau lebih mesra disapa sebagai TT tidak ada sebarang masalah.

    "Sebaliknya, Daisy yang menimbulkan kekecohan dan mempengaruhi Manohara demi kepentingan dirinya sendiri."


    SEBAHAGIAN rakyat Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Malaysia di Indonesia.


    Katanya, TT telah menjalankan tanggungjawab sebagai suami yang baik sama ada dalam aspek zahir mahupun batin.

    Lebih dikesalkan, setelah pelbagai kemahuan dan kemewahan diberi kepada Manohara, dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pernah mendapat harta TT.

    "Disebabkan itu, TT kini mengumpul semua resit bagi membuktikan apa yang telah diberi kepada Manohara, termasuk pembelian sebuah kereta Alphard yang diberi pada awal perkahwinan mereka dahulu," ujarnya.


    WAJAH-WAJAH jelita Manohara. Apakah yang terselindung di sebalik kecantikan wajahnya?
    Nasib isteri didera

    Tahap pendidikan dan status dalam kalangan masyarakat elit India memberikan isteri sedikit perlindungan, berbanding dengan suami.


    WANITA miskin di India paling menderita kerana mereka tidak mampu meninggalkan suami.


    DENGAN cermin mata hitam penuh bergaya di atas kepala, kuku yang dicat warna terang dan memakai pakaian berjenama terkenal berwarna hitam, wanita yang duduk di sebuah kafe terkemuka di New Delhi, India itu tidak kelihatan seperti seorang isteri yang menjadi mangsa dera.

    Ironinya, wanita berusia 37 tahun yang meminta namanya tidak disiarkan demi melindungi identiti diri dan anak-anaknya sebenarnya telah didera selama bertahun-tahun oleh suaminya, seorang peguam yang kaya.

    "Dia mencekik, menampar dan meludah saya," kata ibu kepada dua orang anak yang tinggal di sebuah kawasan mewah.

    Dia merupakan salah seorang daripada jutaan wanita India dari semua kasta kehidupan yang didera oleh suami masing-masing. Kaji selidik kerajaan terkini menunjukkan seorang daripada tiga wanita India menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

    Tahap pendidikan dan status dalam kalangan masyarakat elit India memberikannya hanya sedikit perlindungan, berbanding dengan suaminya yang mempunyai rangkaian hubungan dengan orang berpengaruh.

    Selepas bertahun-tahun didera, dia menyeret suaminya ke mahkamah di bawah Akta Keganasan Domestik yang bertanggungjawab melindungi mangsa dera dan menjatuhkan hukuman berat kepada pendera. Malangnya, sehingga kini, akta itu tidak banyak membantunya.

    "Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2006 itu tidak diambil serius. Banyak kes yang sama ditangguhkan, termasuklah kes ini," kata peguam wanita malang itu, K.K. Manan.

    Pada tahun 2007, sebanyak 185,312 kes jenayah ke atas wanita telah dilaporkan, berbanding dengan 164,765 kes pada tahun sebelumnya. Kumpulan hak asasi menyatakan lebih banyak kes tidak dilaporkan.

    Keganasan rumah tangga sudah lama menjadi tatapan masyarakat. Malah pihak media sering memaparkan kes-kes isteri dipukul kerana masalah mas kahwin, selain didera dan dibunuh, terutamanya di kawasan-kawasan penduduk miskin.

    Kepesatan ekonomi India telah meningkatkan jumlah wanita yang berjaya dan berpengaruh. Mereka biasanya mempunyai kerjaya dan menikmati lebih banyak kebebasan berbanding dengan generasi ibu bapa. Golongan ini juga memakai pakaian barat, selain makan di restoran dan berhibur di bar serta kelab-kelab malam.

    Perubahan ini kadangkala bertentangan dengan elemen-elemen kekangan yang kekal diamalkan secara meluas dalam masyarakat konservatif di India. Malah, dalam kalangan golongan atasan, kebebasan wanita boleh menjadi sangat terhad.

    Akta keganasan rumah tangga digubal buat pertama kalinya untuk memberi perlindungan dan pampasan terhadap semua jenis penderaan di rumah, termasuk berbentuk fizikal, seksual, kata-kata, emosi atau ekonomi.

    Misalnya, sebelum ini, suami tidak boleh didakwa atas tuduhan merogol isteri, melainkan isteri mereka berusia bawah 15 tahun. Undang-undang baru itu bermatlamat menjatuhkan hukuman dalam tempoh 60 hari selepas perbicaraan pertama.

    Tetapi, selepas setahun kemudian, kes wanita teraniaya ini masih tertangguh. Awal Mac lalu, dia terpaksa tampil sekali di mahkamah khas wanita di New Delhi.


    WANITA ini meminta namanya tidak disiarkan demi melindungi identiti diri dan anak-anaknya.


    Dari bilik peguamnya yang sempit, dia berjalan melepasi barisan pekerja yang masih menggunakan mesin taip untuk menyiapkan kerja, sebelum memanjat anak-anak tangga yang kotor untuk masuk ke bilik mahkamah bagi membolehkan kesnya didengar.

    "Wanita tidak dilindungi oleh akta ini. Semua wanita mangsa keganasan rumah tangga terpaksa melalui proses mahkamah yang panjang, selain yuran guaman yang sangat mahal. Di negara ini, semuanya mengenai wang dan kuasa. Anda boleh membeli sesiapa sahaja," ujarnya.

    Sekali lagi, suami dan penasihat undang-undangnya tidak hadir di mahkamah. Namun, hakim tetap mendengar kes itu tanpa kehadiran mereka.

    Pada bulan ini, dia masih menunggu kes untuk didengar sekali lagi. Biasanya, kes akan ditangguhkan sekiranya tertuduh tidak hadir di mahkamah.

    Salah seorang daripada pasukan peguamnya memberitahu, tidak banyak hukuman dijatuhkan ke atas suami yang mendera. Kebanyakannya kerana penangguhan seperti ini.

    Sikap acuh tidak acuh terhadap jenayah keganasan domestik di India tidak banyak berubah. Justeru, keadilannya masih samar-samar dan sukar dilaksanakan.

    Kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh kerajaan mendapati 54 peratus wanita, berbanding 51 peratus lelaki menyatakan memukul isteri dibolehkan dalam beberapa keadaan.

    "Malah, masih wujud pegangan dalam masyarakat India bahawa wanita membuat laporan salah tentang masalah penderaan," jelas Manan.

    "Stigma tetap timbul dalam kalangan janda dan wanita yang membuat laporan menentang keluarganya," kata Naib Pengerusi Pusat Pengajian Wanita, Kumud Sharma.

    "Pandangan mengenai maruah, tidak boleh menentang keluarga atau ahli keluarga menghalang ramai wanita membuat laporan," tambahnya.

    Salah seorang rakannya cuba untuk bercerai dengan suami yang suka mendera. Suaminya yang merupakan seorang pemaju hartanah kaya dikahwininya menerusi perkahwinan yang dirancang keluarga ketika dia berusia 19 tahun.

    Apabila dia ingin meninggalkan suaminya selepas 11 tahun berdepan dengan penderaan fizikal dan tahu suami mempunyai hubungan sulit, keluarganya mengheretnya kembali ke pangkuan lelaki tersebut.

    "Saya dipaksa masuk ke dalam kereta. Mereka mengunci saya di dalam bilik apabila sampai di rumahnya," katanya.

    Wanita itu yang turut meminta namanya tidak didedahkan demi melindungi identiti diri dan anak perempuannya, akhirnya berjaya meninggalkan suaminya. Kesnya begitu lambat untuk diselesaikan kerana sistem itu disifatkannya sebagai 'perlahan seperti siput'.

    Isteri-isteri mangsa penderaan itu memberitahu suami mereka yang kaya menggunakan wang dan pengaruh untuk melambat-lambatkan prosiding kes di mahkamah. Selain itu, rasuah menjadi satu helah yang paling biasa digunakan.

    Wanita miskin paling menderita kerana mereka tidak mampu meninggalkan suami. Namun begitu, para aktivis menegaskan keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin. - Reuters

    Imigresen tidak goyang kaki
    MOHD. Zamberi Abdul Aziz bukanlah orang baru di Jabatan Imigresen.Beliau pernah mengetuai bahagian penguat kuasa agensi itu sekitar tahun1990-an selama lima tahun.

    Toleransi demi 1Malaysia
    RAKYATsebenarnya sangat berharap untuk melihat satu bentuk baru kenegaraan dibawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,khususnya menjelmakan janji 'mendahulukan rakyat dan mengutamakanpencapaian'. Apa yang rakyat ingin lihat ialah pelaksanaan gagasan SatuMalaysia secara menyeluruh dan konsisten dalam semua aspek kehidupanrakyat negara ini, tanpa membezakan warna kulit, perbezaan agama sertabudaya etnik.

    Meletakkan nama Felda di pentas global
    SELAINdaripada syarikat minyak nasional Petronas, Malaysia tidak ada namasyarikat multinasional yang begitu gah namanya di serata dunia.

    BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
    SETELAHpakatan pembangkang menolak gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskansendiri oleh Pas, Dewan Pemuda Pas pula mempelawa Pergerakan PemudaUMNO untuk bermuzakarah.

    Isu tanah NCR boleh jadi mudah, rumit
    SATUpertemuan antara pihak media dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS)Sarawak diadakan kelmarin. Pertemuan dalam bentuk informatif itusedikit sebanyak dapat mewujudkan hubungan baik antara pihak mediadengan pegawai-pegawai jabatan tersebut.

    Surani, Tarmizi patut jadi ikon pasukan polis
    TAHNIAHserta jutaan terima kasih kita ucapkan kepada Detektif Koperal Mohd.Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmizi Arbayee kerana kecekalanserta ketulusan mereka dalam menjalankan amanah di bawah naungan PolisDiraja Malaysia (PDRM).

    Pupuk kerjasama sejak kecil elak polarisasi kaum
    PERANAN ibu bapa sangat penting. Mereka perlu bimbing anak-anak untukmemupuk persefahaman dengan rakan daripada pelbagai kaum dan agama.






    Langkah tepat harungi perkembangan ekonomi masa kini
    GARISPanduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) diwujudkan kerajaan pada1974 bagi membantu mencapai matlamat kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB)iaitu menyusun semula masyarakat, khususnya berkaitan pemilikan ekuitidi kalangan rakyat pelbagai kaum.

    Minda Pengarang: Usahawan perlu ubah minda 'ali baba', 'sleeping partner'
    INSTRUMENyang kaku perlu diubah. Penyertaan ala 'ali baba' bukan saja tidak lagirelevan malah merugikan. Sekatan yang sudah tidak memberi manfaat,perlu dimansuhkan. Ibarat barangan di kedai yang tidak laku dibeliorang tempatan, lebih baik dijual kepada orang asing bagi mengelakkanpeniaga rugi.

    Tingkat penyertaan ekonomi Bumiputera
    LANGKAHmeliberalisasi Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan sebuahinstitusi pelaburan baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk SeriNajib Razak kelmarin, dijangka mampu melonjak pertumbuhan ekonominegara dan pada masa sama bukan saja dapat terus melindungi kepentinganBumiputera malah meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor korporat.
    Imigresen tidak goyang kaki

    Oleh ZULKIFLI JALIL dan SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
    pengarang@utusan.com.my

    MOHD. Zamberi Abdul Aziz bukanlah orang baru di Jabatan Imigresen. Beliau pernah mengetuai bahagian penguat kuasa agensi itu sekitar tahun 1990-an selama lima tahun.

    Bagaimanapun, senario ketika itu jauh berbeza terutama apabila membabitkan kemunculan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

    Pendekatan tindakan penguatkuasaan turut berbeza. Ketika itu tindakan lebih tertumpu kepada pengawalan di sekitar pintupintu masuk haram yang tidak diwartakan oleh kerajaan.

    "Kalau kita lihat isu PATI sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, boleh dikatakan lebih 50 peratus daripada mereka masuk secara haram sama ada melalui sempadan darat atau laut, yakni bukannya melalui pintu utama yang dibenarkan.

    "Tetapi keadaan sekarang sebaliknya. Hanya 30 peratus memasukinya cara begitu," kata beliau yang mengambil alih jawatan Pengarah Penguatkuasa Imigresen daripada Datuk Ishak Mohamad atau dikenali sebagai Pak Sako, sejak lima bulan lalu.

    Bercakap kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini, Mohd. Zamberi memberitahu, cabaran menghadapi PATI pada alaf baru ini merupakan suatu tugas rumit apabila skop penguatkuasaannya tidak lagi tertumpu kepada pencegahan 'di jalan-jalan tikus.'

    "Walaupun pada mulanya memasuki negara ini secara sah, mereka selepas itu mengambil kesempatan pula untuk tinggal di sini selepas tamat tempoh dengan melanggar syarat pas.

    "Kumpulan inilah yang lebih ramai sekarang dan mereka tetap dianggap PATI. Walaupun masih mempunyai 'pas kemasukan'," tegasnya.

    Kebanjiran PATI di negara ini menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia apabila dikatakan bilangannya melebihi mereka yang datang secara sah.

    Begitupun, jelas Mohd. Zambery, jumlah sebenar PATI di negara ini tidak dapat dianggarkan kerana tidak ada statistik yang tepat. Ia sekadar anggaran yang dibuat oleh sesetengah pihak berdasarkan pemerhatian rambang.

    ''Jumlah PATI susah kita nak anggar sebab dia tidak daftar, bila tak daftar tidak ada rekod.

    ''Kalau pada tahun 80-an, kita buat anggaran jumlah PATI berdasarkan nisbah 1:1 iaitu setiap seorang warga asing yang sah, maka terdapat seorang PATI. Tetapi keadaan sekarang sebaliknya. Jika 100 orang warga asing diperiksa, kebiasaannya tidak lebih 20 orang adalah PATI.

    ''Jika dulu 1:1 sekarang mungkin 4:1 iaitu kalau dulu ada sejuta yang sah, maka ada sejuta PATI.

    Sekarang jika ada dua juta yang sah manakala PATI tidak lebih 500,000 orang. Tetapi itu anggaran sahaja, tidak ada angka tepat," katanya.

    Membincangkan isu itu lebih serius, Mohd. Zamberi tidak menolak trend rakyat negara ini yang berani mengambil pembantu rumah di kalangan PATI tanpa mempedulikan undang-undang negara.

    Walaupun jumlahnya tidak dapat ditentukan dengan tepat, beliau percaya ada kalangan rakyat negara ini membuat 'kerja' sedemikian memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan pembantu rumah semakin tinggi.

    Bagaimanapun tindakan penguatkuasaan bagi mencekup PATI di kalangan pembantu rumah diakui sendiri Mohd. Zambery sangat sukar.

    Ini kerana anggota penguat kuasa tidak akan 'menang tangan' untuk memeriksa 350,000 buah rumah bagi mencari PATI di kalangan 400,000 pembantu rumah warga asing yang berdaftar.

    ''Kalau di sektor industri, setiap satu majikan ada lebih kurang 400 pekerja tetapi pembantu rumah, kebiasaannya setiap seorang majikan hanya ada satu pembantu rumah.

    ''Jadi kalau kita nak periksa rumah ke rumah tidak begitu berbaloi.

    ''Oleh itu, kita hanya membuat pemeriksaan berdasarkan maklumat dan aduan orang ramai sahaja dengan mengenal pasti terlebih dahulu alamatnya dan akan diperiksa secara terus dan bukannya secara serbuan," katanya.

    Dan barangkali ramai yang mungkin tidak tahu atau sekadar memejam mata akan risiko atau bahananya mengambil PATI sebagai pembantu rumah atau menyalahgunakan pas pekerja mereka.

    Jelas Mohd. Zamberi, mereka yang 'menggaji' PATI bukan sahaja akan berputih mata jika berlaku sesuatu di luar dugaan seperti anak atau barang mereka dilarikan atau dicederakan. Malah, lebih malang lagi, majikan terbabit akan dihukum mengikut undang-undang yang ditetapkan.

    ''Mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati melindungi PATI di bawah seksyen 56(1D) atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih 50,000 serta penjara setahun bagi kesalahan menggaji PATI," katanya.

    Bagaimanapun, menurut Mohd. Zamberi, ramai yang menganggap memiliki pas pekerja atau pasport sudah cukup sebagai satu tiket kebebasan yang melayakkan pekerja asing itu diambil bekerja sebagai pembantu rumah.

    ''Mereka fikir selagi ada pasport dan ada pas dia boleh kerja. Begitu juga dengan pembantu rumah. Kalau nak ambil pembantu rumah, walaupun dia ada pasport dan ada pas tetapi untuk bekerja dengan orang lain, maka dia tidak layak ambil pembantu rumah itu.

    ''Ini bererti pembantu rumah itu salah guna pas. Bila salah guna, kita tetap anggap dia itu PATI. Jika pembantu rumah itu PATI, maka majikan tersebut bersalah sebab dikira menggaji PATI," jelasnya.

    Cabaran fungsi dan peranan Jabatan Imigresen tidak sekadar tertumpu kepada penangkapan PATI. Lebih dari itu, agensi tersebut turut bertanggungjawab dalam penghantaran pulang PATI ke negara asal mereka.

    Menurut Mohd. Zamberi, depot tahanan ketika ini berada pada tahap maksimum berikutan jumlah penangkapan yang dibuat melebihi penghantaran pulang.

    ''Nak hantar pulang bukan senang kerana ia mengambil masa disebabkan masalah PATI yang tidak ada dokumen.

    ''Proses mendapatkan dokumen amat susah kerana perlu diperoleh daripada kedutaan. Ada negara yang mempunyai syarat ketat untuk mengeluarkan dokumen kerana perlu memeriksa identiti rakyat mereka terlebih dahulu di depot, kemudian balik tengok di negara asal sama ada dia ini betul ke rakyat mereka.

    ''Disebabkan proses lama itu, kerajaan terpaksa menanggung kos berjuta-juta ringgit bagi perbelanjaan 9,000 PATI yang berada di 13 depot tahanan seluruh negara," ujar beliau sambil berkongsi pengalaman anggotanya menangkap PATI sehingga ada kalanya melibatkan mereka yang mempunyai anak kecil sehingga menimbulkan keadaan serba salah untuk menahan mereka.

    Nada Mohd. Zamberi kembali serius apabila menggambarkan tanggungjawab Imigresen yang harus dipikul demi memastikan negara bebas daripada PATI.

    Jelasnya, pernah Jabatan Imigresen dicemuh kerana dianggap tidak menjalankan tugas menangkap PATI.

    Mohd. Zamberi memberitahu, sejumlah 24,315 tangkapan dibuat dalam tempoh enam bulan ini sahaja.

    Warga Indonesia merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai 10,082 orang, diikuti Filipina (4,304), Bangladesh (3,316), Myanmar (1,626), India (1,077) dan Thailand (965).

    Tangkapan ke atas warganegara China pula seramai 386 orang termasuk Pakistan (325) dan Kemboja (222) manakala lain-lain negara 1,359 orang.

    ''Ini bererti kami bukan goyang kaki sahaja," tegasnya.

    Kerana itu, Mohd. Zambery mahu orang ramai mengubah persepsi terhadap kedatangan warga asing ke negara ini. Kehadiran warga asing turut menyumbang dalam pembangunan negara.

    ''Sebenarnya jumlah PATI tidak sampai satu juta seperti yang diuar-uarkan. Jangan apabila melihat warga asing, terus mengandaikan mereka itu PATI. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat.

    ''Warga asing yang masuk dan tinggal secara sah adalah lebih kurang lima juta. Mereka inilah indikator kepada kejayaan-kejayaan program kerajaan," katanya.

    Justeru, rakyat harus mengetepikan tanggapan kedatangan warga asing ke Malaysia sebagai suatu bentuk ancaman. Sebaliknya sebagai penyumbang kepada kejayaan program kerajaan dalam pelbagai aktiviti seperti hub halal, teknologi maklumat, pusat pendidikan serantau, pusat perubatan dan pelancongan.

    ''Kerajaan juga menggalakkan kemasukan pelabur asing secara profesional dan mahir untuk mempercepatkan bidang teknologi," kata Mohd. Zamberi.
    Toleransi demi 1Malaysia

    Oleh ANUAR AHMAD

    RAKYAT sebenarnya sangat berharap untuk melihat satu bentuk baru kenegaraan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya menjelmakan janji 'mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian'. Apa yang rakyat ingin lihat ialah pelaksanaan gagasan Satu Malaysia secara menyeluruh dan konsisten dalam semua aspek kehidupan rakyat negara ini, tanpa membezakan warna kulit, perbezaan agama serta budaya etnik.

    Sudah banyak yang digariskan oleh Perdana Menteri tentang gagasan 'Satu Malaysia', kebanyakannya secara terpisah-pisah di dalam ucapan-ucapan beliau sama ada di parlimen, mesyuarat Kabinet, Majlis Tertinggi UMNO dan di majlis rasmi yang dihadirinya. Dengan serangkaian nilai murni seperti integriti, penerimaan, adil dan sebagainya, gagasan ini nampaknya perlu disepadukan untuk dilestarikan makna dan niat baik beliau.

    Konsep 1Malaysia perlukan wajah serta tindakan. 1Malaysia perlukan pengorbanan serta keikhlasan. Oleh itu pemupukan nilai toleransi melalui tindakan (bukan sekadar slogan) menjadi faktor utama kepada asas pembentukan 'Satu Malaysia'. Bagi membina toleransi, maka pemikiran yang terbuka serta tindakan yang lebih berani, liberal dan tidak popular adalah enjin utamanya.

    Sudah menjadi bukti sejarah bahawa negara ini telah berjaya membentuk keharmonian kaum melalui usaha liberalisasi antara kaum khusus tindakan toleransi dan persefahaman dalam politik, ekonomi dan budaya. Misalnya, tindakan pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman membenarkan konsep Jus Soli dilaksanakan sebagai asas kewarganegaraan pada tahun 1957 kepada masyarakat Cina dan India adalah satu liberalisasi yang sangat besar ertinya. Tindakan beliau bukan sahaja tidak popular malah telah mendapat tentangan ramai pemimpin orang Melayu ketika itu. Tetapi hasilnya kita seluruh rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman pada hari ini.

    Manakala kesanggupan pemimpin orang bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan menerima baik dengan konsep hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan agama Islam, bahasa dan status raja- raja Melayu juga merupakan satu toleransi yang telah menjayakan kehidupan bermasyarakat di negara ini. Itulah tahap pertama liberalisasi dan toleransi terlaksana secara berstruktur di negara ini.

    Kini kita sudah memasuki fasa kedua liberalisasi dan toleransi. Fasa baru ini ditandai dengan perubahan hidup masyarakat yang mengungkap bentuk-bentuk baru kemasyarakatan yang harus dikendalikan dalam bentuk yang baru, bermula sejak tahun 1991.

    Tamatnya DEB fasa satu dan timbulnya Wawasan 2020 adalah penanda kepada fasa kedua liberalisasi berlaku. Maka para pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang harus menerima keadaan ini demi kesejahteraan dan survival rakyat negara ini.

    Apabila migrasi penduduk Melayu ke bandar besar bermula pada era 1970-an menjadi matang sekarang, masyarakat Melayu dan bukan Melayu tidak lagi hidup seperti mana pada zaman penjajahan, terpisah antara satu sama lain. Kini mereka berjiran, bekerja dan berekreasi di ruang yang sama.

    Selain itu, perkembangan perindustrian serta tekanan globalisasi telah mewujudkan masyarakat berpendidikan, tidak lagi seperti era awal abad ke-20. Sektor pekerjaan yang berasaskan etnisiti juga sudah mula berubah berbanding zaman sebelum merdeka dahulu. Semua ini mengubah bentuk serta struktur hubungan kaum di negara ini.

    Demi meningkatkan daya saing negara, nampaknya Najib mula mendahului langkah liberalisasi dengan melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi. Kini sektor perkhidmatan mula dikongsi secara bersama dengan semua kumpulan etnik.

    Liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan merupakan satu tindakan liberalisasi beliau yang berani. Sekarang liberalisasi ekonomi akan mula menjangkau ke bidang lain seperti francais, automotif serta pembinaan.

    Apa yang lebih penting ialah tindakan ini seharusnya di uar-uar sebagai satu usaha ke arah membina gagasan 1Malaysia secara perlahan-lahan.

    Secara sejarahnya, ikatan kontrak sosial yang rigid antara Melayu dan bukan Melayu telah menjadi sebab utama untuk masyarakat Melayu dan bukan Melayu bertelagah antara satu sama lain. Seharusnya kontrak sosial dilihat semula supaya lebih dinamik dan pragmatik agar toleransi kaum dapat direalisasikan sepenuhnya. Tetapi pada masa yang sama harus dikekalkan tujuan dan aspirasi sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan negara.

    Mungkin kontrak sosial ini perlu lebih terbuka, toleran dan mengutamakan keadaan menang-menang pada semua kaum. Satu yang pasti di negara ini ialah jika ada mana-mana kaum yang cuba bercita-cita untuk menguasai semuanya tanpa mahu berkongsi dengan kaum lain maka lambat-laun mereka pasti akan hilang semuanya.

    Jika ada orang Cina bercita-cita ingin menguasai seluruhnya ekonomi negara atau ada orang Melayu mencuba mahu menguasai seluruh kuasa politik negara, akhirnya mereka semua akan menggigit jari. Percayalah, waktunya akan tiba jika kita tidak berhati-hati.

    Ini hakikat perkongsian antara kaum di dalam sebuah negara bernama Malaysia, sama ada kita suka atau pun tidak. Pada yang ekstrem, mereka akan berkata biarlah jika begitu yang terjadi asalkan kami dapat apa yang kami mahu. Tetapi bukan semuanya rakyat berfikiran ekstrem, sebahagian besar masyarakat ingin hidup dalam keamanan, boleh berkongsi serta bersama-sama ingin membangunkan negara ini.

    Maka penilaian semula terhadap dasar serta polisi berkaitan pengagihan ekonomi perlu dilihat semua. Sebagai contoh, walaupun hak istimewa orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara, pelaksanaannya kaedah pengagihan bantuan kerajaan masih boleh dinilai semula mengikut keadaan dan situasi semasa supaya turut dinikmati oleh semua kaum di negara ini.

    Apakah orang Melayu tidak boleh bersifat sedikit terbuka rasa 'ketuanan' mereka dengan memberikan bantuan kepada golongan bukan Melayu yang miskin untuk pembiayaan perniagaan kecil melalui geran kerajaan, atau pembiayaan pengajian anak-anak mereka ke universiti.

    Kerajaan perlu membina model baru ekonomi seperti DEB dengan roh 'Semangat Satu Malaysia'. Dasar baru ini jangan lagi terlalu rigid dan tidak lagi harus terikat dengan semangat Melayu semata-mata tetapi juga harus mengambil kira ukuran kemiskinan sebagai asas bantuan. Orang Melayu yang miskin wajib dibantu, begitu juga dengan orang bukan Melayu yang serba kekurangan.

    Apabila orang Melayu boleh melaksanakan sifat liberalisasi, maka masyarakat Cina dan India juga harus tahu bersyukur dan boleh bertoleransi. Sebagai contoh, dengan mula membenarkan kewujudan sekolah satu aliran di dalam negara ini. Bukan untuk keuntungan orang Melayu tetapi demi hidup bersama. Demi perpaduan generasi masa depan.

    Pentingnya liberalisasi pendidikan ini kerana tanpa sekolah satu aliran maka sampai bila pun negara ini tidak akan berganjak ke hadapan untuk membina sebuah masyarakat 'Satu Malaysia'.

    Tindakan liberalisasi pendidikan oleh masyarakat bukan Melayu akan mula membina kepercayaan dan keinginan di kalangan orang Melayu bertoleransi di dalam sektor yang lain. Ini adalah satu permulaan bagi tujuan membina satu Malaysia yang diidamkan oleh semua.

    Kajian psikologi sosial menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat yang tidak mempunyai tahap toleransi yang tinggi bermula di dalam persekitaran kumpulan etnik sendiri yang tidak liberal.

    Contoh mudah, bayangkan dalam sebuah keluarga yang ibu bapa terlalu autokratik dan tidak mengamalkan budaya yang sedikit terbuka, pasti anak-anak tidak akan mempunyai kepercayaan pada orang lain dan mereka biasanya tidak mempunyai budaya toleransi di kalangan rakan-rakan di sekolah.

    Bagaimana pun, liberalisasi ini juga harus ada batasnya dan Perlembagaan negara adalah batas sempadannya. Bagaimana pun, penterjemahan kepada Perlembagaan negara haruslah lebih terbuka, sesuai dan adil pada semua kaum di negara ini.

    Rasa hormat dan akur harus diberikan kepada Perlembagaan negara. Tanpa penghormatan kepada perlembagaan, sukar untuk menentukan takat mula dan sempadan keterbukaan, maka dibimbangkan tuntutan atau desakan oleh pihak tertentu akan melampaui tahap yang bersusila. Maka akan gagal juga cita-cita untuk membina '1Malaysia'.

    ANUAR AHMAD ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
    Meletakkan nama Felda di pentas global

    SELAIN daripada syarikat minyak nasional Petronas, Malaysia tidak ada nama syarikat multinasional yang begitu gah namanya di serata dunia.

    Bukan untuk memperkecilkan usaha syarikat lain bertaraf global dari negara kita, tetapi kedudukannya masih di bawah.

    Sebab itu kita mengalu-alukan daya usaha Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melangkah satu lagi tapak ke hadapan. Melalui Felda Global Ventures Holdings (Felda Global), sayap Felda akan dikembangkan ke luar negara.

    Cabaran Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Felda pada Julai 2008 supaya menjadi syarikat multinasional seperti Petronas nampaknya sudah disahut.

    Kini harapan Perdana Menteri yang bertanggungjawab memajukan Felda sejak lebih setahun lalu mahu direalisasikan.

    Malahan impian masyarakat peneroka juga untuk melihat syarikat yang asalnya dari luar bandar itu berkemampuan menjadi sebuah syarikat multinasional dalam bidang pertanian multi- crop di peringkat antarabangsa - dipenuhi.

    Jelaslah ilham yang dibuat oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu menunjukkan hasil.

    Dengan pelancaran Felda Global, adalah menjadi tanggungjawab peneraju syarikat baru ini untuk mendokong matlamat Felda ke arah yang lebih jelas.

    Felda perlu menjayakan hala tuju yang tepat sejajar dengan kehendak peneroka dan perkembangan semasa. Felda mempunyai aset ladang sawit yang terbesar di negara ini dan sudah 'molek' mengembangkan sayap pelaburannya ke luar negara.

    Perladangan adalah bidang kepakaran Felda. Jadi, keberanian untuk meneroka ke dalam bidang yang Felda miliki kepakarannya perlu diteruskan.

    Sebab itu pemimpin dan pihak pengurusan Felda tidak perlu takut melakukan perubahan, asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan peneroka.

    Felda memang patut ke luar negara untuk meneroka bidang pertanian, minyak dan lemak, oleochemical serta logistik.

    Langkah ini adalah satu lagi strategi penting untuk menjadikan Felda secara berterusan kekal kompetitif dalam arena perniagaan. Dan pada masa sama tetap melihat kepentingan pemiliknya iaitu para peneroka dan kerajaan.

    Sekarang terdapat kira-kira 500,000 peneroka dan ahli keluarga mereka di lebih 200 tanah rancangan Felda di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

    Felda perlu menyambut cabaran baru ini bukan hanya untuk memastikan ia kekal relevan dalam cabaran global tetapi demi kesinambungan generasi kedua dan ketiganya.

    Sebagai generasi kedua dan ketiga Felda, mereka bukan lagi dikenali sebagai penoreh getah atau pengait kelapa sawit, sebaliknya mereka menjadi penggerak menerjah ke dalam ekonomi global.

    Dengan sokongan penuh daripada Perdana Menteri yang begitu komited memajukan Felda, usaha meletakkan satu lagi nama syarikat multinasional Malaysia di pentas dunia, insya-Allah akan berjaya.
    BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

    SETELAH pakatan pembangkang menolak gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan sendiri oleh Pas, Dewan Pemuda Pas pula mempelawa Pergerakan Pemuda UMNO untuk bermuzakarah.

    Nadanya lebih lembut berbanding dengan hasrat Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri – idea yang banyak pihak merasakan ia tidak akan membawa faedah.

    Daya usaha Pemuda Pas itu dilihat sebagai suatu perkembangan baru kepada perbincangan UMNOPas, walaupun idea perbincangan kerajaan perpaduan sebelum ini tidak disenangi oleh sekutu-sekutu Pas iaitu DAP dan PKR.

    Namun bagi Awang, dalam hal ini Pemuda UMNO perlulah terlebih dahulu menilai kejujuran dan keikhlasan Pemuda Pas dalam membincangkan isu-isu nasional.

    Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada Pas bahawa UMNO yang menerajui kerajaan Barisan Nasional, tidak berada dalam keadaan terdesak.

    Sungguhpun begitu, sebagai orang Melayu, Awang melihat generasi pelapis dalam Pas mempunyai pemahaman yang lebih jelas dalam konteks perlunya perpaduan dan persefahaman di kalangan kelompok orang Melayu di negara ini.

    Awang – Tunggu dan lihat.
    Isu tanah NCR boleh jadi mudah, rumit

    Oleh FAUZI JAAFAR
    pengarang@utusan.com.my

    SATU pertemuan antara pihak media dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak diadakan kelmarin. Pertemuan dalam bentuk informatif itu sedikit sebanyak dapat mewujudkan hubungan baik antara pihak media dengan pegawai-pegawai jabatan tersebut.

    Pengarah JTS, Sudarsono Osman berkata, hubungan baik dengan media amat penting untuk pihaknya melakukan misi menguruskan sebarang aspek berkaitan tanah. Malah dalam ucapannya juga beliau berkata, pihak media boleh membantu untuk memudahkan mereka (JTS) atau boleh juga menjadikannya lebih rumit.

    Ada asasnya apa yang beliau tekankan itu tetapi bagaimana pula dengan alasan yang patut dikemukakan oleh pihak media dalam melaporkan sebarang isu-isu mengenai tanah.

    Perinsip asas berita terutamanya di negara-negara barat amat mudah iaitu good news ia a bad news Bagaimanapun pendekatan itu tidak sesuai diamalkan di negara ini.

    Amalan media di negara ini banyak bersandarkan kepada laporan iaitu wartawan melaporkan tentang sesuatu isu berdasarkan kepada apa yang diberitahu.

    Mengambil contoh dalam isu tanah misalnya, wartawan mendapatkan maklumat daripada orang ramai melalui kaedah temu ramah sebelum ia disiarkan.

    Berita itu mungkin kelihatan berat sebelah, namun untuk menjadikannya lebih seimbang, amat sukar kerana ada sesetengah isu sukar diperjelaskan oleh pihak-pihak yang sewajarnya. Mungkin ia terlalu sensitif atau di luar bidang kuasa.

    Walaupun media bersenjatakan mata pena yang diungkapkan sebagai mata pena itu lebih tajam daripada pedang, kadang-kadang mata pena itu juga mampu menikam diri sendiri.

    Tanah bagi orang Iban iaitu penduduk majoriti di Sarawak adalah 'nyawa' mereka. Tanpa 'nyawa' sudah tentu mereka tidak akan hidup di Bumi Kenyalang ini.

    Dari tanah itu, aktiviti ekonomi dapat dijana dan sekali gus memberi faedah yang banyak kepada mereka yang mengusahakannya.

    Tanah juga amat penting bagi kerajaan untuk dibangunkan. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat sudah tentu diamanahkan untuk membalas jasa melalui pembangunan.

    Tanpa pembangunan, negeri dan negara akan mundur dan sekali gus akan memberi kesan kepada rakyat sama ada mereka akan hidup miskin, kebuluran, tidak berpengetahuan dan penyakit-penyakit sosial yang lain.

    Dalam erti kata yang lain, hidup dan mati manusia sememangnya memerlukan tanah. Di negeri ini, isu tanah yang banyak dibangkitkan ialah Tanah Hak Adat Bumiputera atau NCR.

    Isu ini amat sensitif dan beberapa blog menjadikan isu ini untuk kaum Iban terutamanya menentang kerajaan. Isu NCR ini seperti air sungai Batang Rajang, tenang di permukaan tetapi bergelora di dasarnya.

    Misalnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air baru-baru ini, pembangkang menjadikan isu ini sebagai senjata untuk meraih undi.

    Pembangkang menggantung sepanduk mendakwa Barisan Nasional (BN) merampas tanah kaum Iban. Bagaimanapun senjata tersebut makan tuan menyebabkan pakatan pembangkang tewas di kawasan majoriti Iban tersebut.

    Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pernah menjalankan penyelidikan mengenai 'Perspektif Perundangan mengenai Hak Tanah Adat Asli' di Sarawak berikutan aduan yang banyak diterima daripada pelbagai kumpulan masyarakat pribumi sejak ia membuka pejabatnya di Sarawak pada 2000.

    Setakat tahun lalu, sejumlah 287 aduan, termasuk 158 berkaitan hak tanah adat, diterima. Berikutan itu didapati wujud jurang persepsi tentang apa yang dilihat sebagai hak adat pribumi ke atas tanah antara masyarakat pribumi dengan agensi-agensi negeri, bersama perusahaan swasta.

    Namun, kerajaan negeri berpendapat isu NCR sebenarnya disensasikan untuk tujuan meraih undi dan menentang kerajaan.

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu berkata hanya sebahagian kecil sahaja daripada tuntutan pertikaian itu masih menantikan keputusan mahkamah.

    Manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain penulis blog cenderung untuk memesongkan berita bagi menawan emosi negatif khalayak mereka.

    ''Dalam proses melaksanakan usaha sama (untuk membangunkan tanah NCR), kami berdepan banyak kes tuntutan bertindih membabitkan pemilik tanah NCR sendiri dan terdapat juga pertikaian antara rumah panjang," katanya.

    Beliau berkata ada juga tuntutan dan tuntutan balas membabitkan tanah NCR, yang menurut rekod kerajaan, adalah tanah negeri. Di Sarawak, kira-kira 161,870 hektar tanah NCR terbiar dibangunkan secara usaha sama oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) sejak 1996 dan telah pun mula menunjukkan keputusan positif.

    Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) turut membangunkan kira-kira 52,600 hektar tanah NCR kepunyaan 16,000 peserta, dengan dividen dibayar kepada pemilik tanah berjumlah RM295 juta sehingga 31 Disember tahun lepas.

    Dalam hal NCR ini, pengetahuan dan maklumat yang tepat amat perlu supaya tidak menimbulkan sebarang kerumitan di kemudian hari.

    Penduduk di rumah panjang terutamanya di kawasan pedalaman perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai NCR supaya mereka tidak mudah dieksploitasikan.

    PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuching, Sarawak
    Surani, Tarmizi patut jadi ikon pasukan polis

    TAHNIAH serta jutaan terima kasih kita ucapkan kepada Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmizi Arbayee kerana kecekalan serta ketulusan mereka dalam menjalankan amanah di bawah naungan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dua perkataan itu sebenarnya tidak cukup untuk menterjemahkan penilaian serta penghargaan tidak terhingga kepada mereka.

    Kedua-duanya berjaya menolak “nafsu kebendaan” yang kebiasaannya menjadi ujian amat mencabar terhadap mereka yang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang.

    Mereka mempunyai kekuatan moral serta keimanan yang teguh. Elemen mulia itulah yang membuatkan mereka sanggup menolak habuan yang bernilai ratusan ribu ringgit demi menegakkan keadilan.

    Tentu sekali tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa Surani dan Tarmizi harus di jadikan ‘ikon’ oleh PDRM. Sememangnya amat tepat apabila mereka dianugerahkan Sijil Integriti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

    Selain itu saya juga ingin mengucapkan syabas kepada PDRM serta Kementerian Dalam Negeri kerana menunjukkan kesungguhan dalam memberikan penghargaan kepada anggota polis yang cemerlang serta dedikasi ketika menjalankan tugas.

    Sememangnya ada ramai lagi ‘Surani dan Tarmizi’ di luar sana dan ia bukan sahaja berada dalam pasukan polis.

    ‘Surani dan Tarmizi’ ada dalam pasukan penguatkuasaan undang-undang lain seperti Kastam Diraja, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan tidak ketinggalan juga di kalangan ahli politik.

    Namun dalam banyak kes, golongan yang bersih, cekal dan berintegriti ini dibiarkan tanpa diberi perhatian atau kedudukan mahupun penghargaan sewajarnya.

    Justeru, saya ingin menyarankan agar semua jabatan dan kementerian untuk mencontohi Kementerian Dalam Negeri dalam memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada kakitangan seperti ‘Surani dan Tarmizi’ itu.

    Ia akan membantu membentuk kerajaan yang bersih, cekap, amanah serta berintegriti.

    Saya pasti ramai di kalangan rakyat negara ini berasa begitu terharu dan bangga dengan tindakan tulus Surani dan Tarmizi.

    Keteguhan iman dan sikap amanah kedua-duanya berjaya membawa kepada tumpasnya sindiket pengedaran syabu yang bernilai lebih RM280 juta.

    Namun saya juga ingin tahu apakah kesudahan kes tersebut? Sudah tertangkapkah mereka yang menjadi dalang pengedaran dadah yang telah ‘membunuh’ ribuan anak bangsa kita itu?

    Sekiranya mereka yang selama ini bermaharajalela belum dapat diberkas atau terlepas “atas sebab-sebab tertentu”, maka sia-sia sahajalah usaha murni yang dilakukan oleh anggota polis yang komited seperti Tarmizi dan Surani.

    Agaknya belum terlambat juga untuk saya sentuh mengenai masalah ah long di negara ini.

    Kisah ah long bukan cerita baru. Namun nampaknya ia seperti barah yang sudah tidak dapat dikawal lagi.

    Kesediaan Kementerian Dalam Negeri serta PDRM mengisytiharkan perang terhadap ah long adalah tepat pada masanya.

    Saya sangat-sangat berharap pengisytiharan itu bukan bersifat sementara. Ia harus diterjemahkan secara serius sehingga ke peringkat pendakwaan di mahkamah.

    Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah mendedahkan kisah penderaan ah long ke atas mangsa baru-baru ini.

    Namun ia hanya merupakan tips of the iceberg yang dapat dikesan.

    Amat malang sekali setelah lebih 50 tahun merdeka, kita masih berdepan dengan masalah seperti ah long. Di mana silapnya? Tepuk dada tanya hati.

    Semua pihak kini perlu berganding bahu membantu PDRM membanteras ah long hingga ke akar umbi. Ia akan menjadi kenyataan jika semua pihak bersatu.

    Jangan hanya pandai menuding jari menyalahkan PDRM tetapi kita sendiri tidak mahu bersama-sama membantu.

    Sematkan semangat ‘Tarmizi dan Surani’ dalam hati kita semua. Dan sekiranya semua anggota penguatkuasaan turut menjiwai sikap tersebut, saya yakin negara kita akan bebas rasuah. Kita juga akan bebas daripada igauan kegiatan haram seperti ah long.


    Bandar Baru Uda, Johor Bahru">
    Pupuk kerjasama sejak kecil elak polarisasi kaum

    Oleh Lee Lam Thye

    PERANAN ibu bapa sangat penting. Mereka perlu bimbing anak-anak untuk memupuk persefahaman dengan rakan daripada pelbagai kaum dan agama.

    Saya rasa ia amat relevan pada saat ini di mana isu polarisasi kaum di sekolah, pusat pengajian tinggi dan di kalangan golongan muda dan belasan tahun menjadi isu yang membimbangkan negara.

    Hubungan antara kaum di sekolah boleh dieratkan dengan mengadakan pertukaran aktiviti akademik, sukan dan perkhemahan. Ia dapat memupuk persefahaman dan keharmonian kaum.

    Polarisasi kaum bukan isu remeh yang dapat diselesaikan dengan mudah. Generasi muda kita mesti mempelajari dan menghayati kepentingan hidup yang harmoni sejak di bangku sekolah lagi.

    Sewaktu sistem pendidikan diharap memainkan fungsi penting untuk memupuk perpaduan, ibu bapa juga bertanggungjawab menggalakkan anak-anak berinteraksi, bermain dan membesar bersama kanak-kanak daripada kaum dan agama lain. Ia adalah satu daripada usaha untuk memupuk persefahaman antara kaum.

    Pelajar sekolah menjadi golongan paling utama untuk memecahkan halangan yang wujud dalam hubungan di antara kaum, memperbaiki integrasi dan menyumbang kepada integrasi.

    Generasi muda kita perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan perpaduan kaum kerana ia adalah asas kepada kejayaan dan pembangunan negara.

    Golongan pelajar adalah pemimpin masa depan. Oleh itu, amat penting untuk mereka memupuk hubungan lebih erat di antara kaum, budaya dan agama demi keharmonian negara.

    Ibu bapa hari ini menghadapi pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran keibubapaan dan teladan yang baik adalah keperluan terhadap pembangunan keluarga Malaysia yang bahagia.

    Keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Keluarga bahagia adalah “nadi negara”. Dalam unit inilah, ibu bapa menyediakan suasana untuk membesarkan anak-anak. Membesarkan bukan sahaja bermaksud secara fizikal tetapi yang lebih penting ialah pembangunan psikologi dan penerapan nilai-nilai murni.

    Ketika ini, 40 peratus daripada rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Kira-kira separuh daripada kumpulan ini boleh digolongkan sebagai belasan tahun.

    Jadi adalah amat penting untuk remaja belasan tahun ini diberikan peluang terbaik membesar sebagai orang dewasa yang mempunyai kepercayaan antara satu sama lain. Ini akan menyumbang kepada kebaikan untuk masyarakat.

    Kebahagiaan menjadi ibu bapa membawa bersama tanggungjawab yang amat berat. Mudah untuk memperkatakan isu ini tetapi berat untuk dilaksanakannya.

    Mereka yang mempunyai anak pasti tahu betapa susahnya membesarkan mereka. Kita bukan sahaja mesti menyediakan keperluan asas tetapi juga aspek kerohanian dan bimbingan moral.

    Ibu bapa perlu menanam dan mempraktikkan nilai-nilai positif dan berkualiti sepanjang masa.

    Nilai kejujuran, ketabahan, kesabaran, toleransi, ketekunan, keadilan, menghormati orang tua dan kesedaran sivik perlu diterapkan.

    Ia menjadi asas kepada anak-anak untuk membina keyakinan diri dan ketabahan serta membezakan perkara yang baik dan sebaliknya.

    TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
    Langkah tepat harungi perkembangan ekonomi masa kini

    Oleh Mutazar Abd Ghani dan Kamarulzaidi Kamis
    bhbiz@bharian.com.my


    NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2009 kelmarin.

    Kelonggaran FIC bolehkan Malaysia terus berdaya saing, sedia pasaran modal lebih bertenaga

    GARIS Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) diwujudkan kerajaan pada 1974 bagi membantu mencapai matlamat kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu menyusun semula masyarakat, khususnya berkaitan pemilikan ekuiti di kalangan rakyat pelbagai kaum.

    Ini berikutan pada masa itu wujud ketidakseimbangan ketara dari segi pemilikan ekuiti di kalangan rakyat, yang mana penguasaan ekuiti Bumiputera hanya 2.4 peratus. Sasaran garis panduan FIC ialah pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat secara menyeluruh.

    Namun selepas 35 tahun garis panduan itu diwujudkan, sasaran utama penguasaan ekuiti Bumiputera itu masih jauh ketinggalan dalam sektor utama terbabit. Penguasaan mereka tidak banyak berubah.

    Berdasarkan kajian, peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat tidak berubah sejak 1990 hingga 2006 dengan masing-masing pada kadar 19.3 peratus dan 19.4 peratus.

    Lebih mengecewakan, daripada RM54 bilion ekuiti yang diagihkan kepada Bumiputera di bawah FIC pula, hanya RM2 bilion kekal, manakala selebihnya dijual semula untuk memperoleh keuntungan segera.

    Selain itu, model lama FIC juga didapati ada kekurangan, apabila wujud segelintir pihak mendakwa tidak mendapat insentif dalam negara sendiri, termasuk Bumiputera yang mendakwa manfaat dasar itu hanya dinikmati golongan tertentu dan tidak diagihkan secara menyeluruh.

    Garis panduan FIC itu juga mendapat rungutan pelabur asing apabila mereka mendakwa ia mewujudkan kekangan untuk mereka terbabit secara aktif dalam sektor ekonomi dan pasaran modal tempatan.

    Tidak kurang penting, model lama FIC juga menyumbang budaya tidak sihat di kalangan usahawan Bumiputera yang sering dikaitkan dengan amalan `ali baba', `untung atas angin' dan `ingin cepat kaya.'

    Menyedari kelemahan dalam model lama FIC, maka pengumuman kelonggaran terhadap Garis Panduan FIC oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin memang tepat pada masanya dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pelaburan dan pada masa sama menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat.

    Pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan pada Persidangan Invest Malaysia 2009, itu antara lain membabitkan kelonggaran terhadap FIC yang berkaitan pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan; kegiatan meraih dana oleh syarikat senaraian awam serta pembelian hartanah.

    Dengan kelonggaran garis panduan FIC itu, kelulusan daripada FIC tidak diperlukan lagi untuk urus niaga seperti transaksi berkaitan pemerolehan kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan kepentingan tempatan dan asing; urus niaga berkaitan pemerolehan hartanah secara langsung oleh kepentingan tempatan dan asing, kecuali pemerolehan hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas, yang mengakibatkan penurunan pemilikan Bumiputra atau agensi kerajaan.

    Kelulusan FIC juga tidak diperlukan bagi transaksi pemerolehan hartanah secara tidak langsung oleh bukan kepentingan Bumiputera menerusi pemilikan saham yang tidak mengakibatkan perubahan penguasaan dalam syarikat Bumiputera atau agensi kerajaan.

    Dalam usaha berterusan kerajaan meningkatkan ekonomi negara dan untuk menggalakkan Pelaburan Langsung Asing (FDI), kerajaan mengumumkan pemansuhan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera secara terus semasa pengapungan syarikat tersenarai.

    Bagaimanapun, keperluan itu diganti dengan syarat supaya 50 peratus daripada 25 peratus tebaran awam diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diiktiraf Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

    Dalam memastikan kepentingan pelabur tempatan terpelihara dan tidak diabaikan, kerajaan juga memutuskan untuk memantau dan mengawal selia sektor serta aktiviti urus niaga hartanah, khususnya membabitkan pindah milik hartanah Bumiputera atau agensi kerajaan kepada bukan Bumiputera.

    Bagi urus niaga sedemikian, kerajaan memutuskan supaya syarikat pembeli yang bukan Bumiputera mewujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera.

    Selain itu, ada beberapa sektor yang dikenal pasti sebagai sektor strategik yang memerlukan kawal selia secara berterusan bagi menjamin kestabilan dan keselamatan negara khususnya dalam kepentingan Bumiputera dalam ekonomi.

    Untuk itu, kerajaan memutuskan supaya badan kawal selia peringkat sektor melaksanakan program serta garis panduan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera

    Ketika era 1970-an, keperluan mewujudkan dasar berasaskan pengagihan adalah relevan memandangkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya dua peratus dan kaum itu juga tidak berpeluang serta berkeupayaan untuk bersaing berdasarkan kuasa pasaran tanpa sekatan.

    Bagaimanapun, dunia semakin maju dan keadaan telah berubah, instrumen sedia ada perlu disemak semula dan instrumen baru harus diperkenalkan selaras keperluan semasa berdasarkan kekuatan ekonomi negara, peluang pelaburan, iklim ekonomi global dan kejayaan yang telah diraih oleh Bumiputera.

    Gabungan instrumen sedia ada termasuk akses kepada peluang pendidikan berkualiti, program pembangunan usahawan dan vendor telah berjaya melahirkan Bumiputera profesional dan kelas menengah.

    Walaupun pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti dikekalkan, langkah bersifat pengagihan seperti FIC mungkin bukan lagi instrumen sesuai untuk mencapai sasaran asal.

    Justeru, keputusan melonggarkan garis panduan FIC serta memperkenalkan instrumen baru yang lebih sesuai untuk mencapai sasaran ekuiti korporat dan bersifat propertumbuhan serta mesra pasaran adalah langkah tepat dan sesuai dengan perkembangan ekonomi masa kini.

    Keputusan itu diambil untuk membolehkan Malaysia terus berdaya saing dan menyediakan pasaran modal yang lebih bertenaga, khususnya dalam konteks pendekatan pertumbuhan dengan pengagihan.
    Minda Pengarang: Usahawan perlu ubah minda 'ali baba', 'sleeping partner'

    INSTRUMEN yang kaku perlu diubah. Penyertaan ala 'ali baba' bukan saja tidak lagi relevan malah merugikan. Sekatan yang sudah tidak memberi manfaat, perlu dimansuhkan. Ibarat barangan di kedai yang tidak laku dibeli orang tempatan, lebih baik dijual kepada orang asing bagi mengelakkan peniaga rugi. Tindakan ini bukan saja menguntungkan peniaga malah pembekal dan pengguna. Dengan itu kek ekonomi terus mengembang walaupun mengagihkan sebahagiannya kepada firma persendirian. Dalam keadaan sekarang, kek ekonomi semakin mengecil apatah lagi dihambat krisis ekonomi global. Sesuatu perlu dilakukan untuk membesarkan kek itu. Tiada gunanya mempunyai bahagian lebih besar ke atas kek yang semakin mengecil. Itulah antara mesej tersirat disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mengumumkan pembaharuan pendekatan untuk menjadikan Malaysia pusat pelaburan serta menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputera, kelmarin. Antara lain ia membabitkan kelonggaran terhadap Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) berkaitan pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan; kegiatan meraih dana oleh syarikat senaraian awam serta pembelian hartanah. Sejak lebih tiga dekad FIC dibentuk sebagai antara instrumen penyusunan semula masyarakat bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi, hasilnya kurang memuaskan.

    FIC yang dibentuk pada 1974 sejajar kehendak Dasar Ekonomi Baru (DEB), kurang berkesan kerana peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak berubah sejak 1990 hingga 2006 pada kadar 19.3 peratus dan 19.4 peratus. Maka instrumen yang agak kaku itu diubah oleh Najib dalam usaha mengembangkan kek ekonomi. Kerajaan mahu mengubah corak ekonomi ke tahap pertumbuhan lebih tinggi, bermula dengan liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi untuk meningkatkan peranan sektor kewangan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan memperkenalkan model ekonomi baru berasaskan inovasi. Dengan memansuhkan FIC, kerajaan menubuhkan pula Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) yang akan memberi peluang baru kepada Bumiputera dengan sasaran menyeimbangkan pegangan ekuiti dengan kaum lain. Seterusnya, penguasaan dalam syarikat (bukan setakat 30 peratus) bakal memastikan Bumiputera mempunyai kawalan terhadap operasi sesebuah syarikat. Sebelum ini, peruntukan saham khas dan pemilikan ekuiti melalui FIC tidak kekal berikutan penjualan semula saham yang begitu ketara. Melalui dana Ekuinas RM500 juta yang kemudian dikembang kepada RM10 bilion, pemilihan usahawan Bumiputera berdasarkan meritokrasi untuk mengurus syarikat tertentu, membolehkan pegangan saham kekal dalam jangka masa panjang. Ini bermakna, Najib mahu mengubah minda 'ali baba', 'sleeping partner' dan cuma menunggu bantuan mutlak, kerana hanya Bumiputera yang benar-benar mahu berniaga diberi peluang. Apa yang tersirat melalui mesej itu juga ialah lebih baik mempunyai 10 atau 15 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera tulen, daripada 30 peratus pemilikan Bumiputera 'ali baba'. Namun, matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputera di peringkat makro masih kekal. Inilah dilakukan kerajaan, yang sama sekali jauh daripada persepsi segelintir pihak kononnya kerajaan mahu menghapuskan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam DEB atau mahu menjajah ekonomi negara kepada pelabur asing.
    Tingkat penyertaan ekonomi Bumiputera

    Oleh Abdul Rahman Sulaiman

    LANGKAH meliberalisasi Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan sebuah institusi pelaburan baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, dijangka mampu melonjak pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa sama bukan saja dapat terus melindungi kepentingan Bumiputera malah meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor korporat.

    Sekali gus langkah itu mewujudkan situasi menang-menang kepada pihak berkepentingan. Ia memberi kemenangan kepada pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera serta pelabur asing.

    Sebelum ini, ramai pelabur Bumiputera bimbang peluang mereka melabur dalam pasaran ekuiti akan terjejas apabila syarat 30 peratus ekuiti yang perlu diperuntukkan kepada mereka untuk syarikat yang hendak disenaraikan, seperti yang dikehendaki di bawah peraturan FIC, dimansuhkan.

    Pelabur asing dan bukan Bumiputera pula mendapati peraturan terbabit sebagai kekangan akibat kesukaran mendapat penyertaan Bumiputera kerana kekurangan modal atau jika ada yang mampu, mereka tidak dapat bertahan lama. Dalam banyak kes, mereka terpaksa melupuskan pegangan itu sama ada untuk melangsaikan hutang atau meraih keuntungan segera.

    Kesan menyeluruh daripada fenomena ini ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia kehilangan daya tarikan sebagai pusat pelaburan sementara hasrat murni kerajaan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat tidak juga tercapai.

    Walaupun wujud faktor lain yang menyebabkan kemerosotan pelaburan asing sejak kebelakangan ini, peraturan FIC itu dikenal pasti sebagai sebahagian daripada puncanya.

    Dari segi pencapaian ekuiti Bumiputera pula, walaupun ketika penubuhannya pada 1974 FIC adalah satu-satunya instrumen penting untuk mencapai matlamat berkenaan di bawah strategi penggalakan pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang adil, kini ia tidak lagi berkesan.

    Sebagai contoh, peratusan ekuiti Bumiputera sejak 1990 hingga 2006 tidak berubah dengan masing-masing berada pada tahap 19.3 dan 19.4 peratus. Daripada RM54 bilion ekuiti yang diagihkan kepada Bumiputera di bawah FIC pula, hanya RM2 bilion yang masih kekal dan selebihnya dijual semula.

    Peredaran zaman dan perubahan suasana ekonomi dunia yang kini lebih kompetitif dan mencabar juga mengubah keadaan. Sebagai contoh, ketika peraturan itu diperkenalkan dulu, ekuiti Bumiputera hanya berada pada tahap 2.4 peratus.

    Berdasarkan kepada jumlah yang kecil itu, peraturan berkenaan didapati sesuai untuk dilaksanakan bagi menangani ketidakseimbangan. Ketika itu juga, langkah berkenaan didapati praktikal kerana kurangnya persaingan bagi mendapat pelaburan.

    Tetapi kini, ia mewujudkan ketidaktentuan dan tidak lagi selaras dengan amalan antarabangsa. Dengan itu, ia menjejaskan potensi pertumbuhan sedangkan dasar kerajaan untuk menjamin pengagihan yang adil bergantung rapat kepada pertumbuhan mapan. Satu hakikat yang perlu diakui ialah tidak akan ada pengagihan tanpa pertumbuhan.

    Ini ialah kerana dasar kerajaan sejak merdeka ialah untuk membesarkan kek ekonomi supaya ia dapat diagihkan dengan adil kepada semua golongan. Pengagihan kek yang mengecil akan hanya berakhir dengan perampasan hak golongan yang lain. Ini tidak pernah dilakukan di negara ini.

    Di samping itu, pertumbuhan juga penting untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui model ekonomi baru yang sedang dirumuskan. Adalah jelas bahawa FIC yang satu ketika dulu berjaya memenuhi keperluan dasar kerajaan, kini sudah menjadi satu instrumen yang tumpul dan tidak mampu mencapai matlamatnya.

    Sesuatu yang tumpul tentu perlu digantikan dengan sesuatu yang lebih tajam. Sebenarnya, perkara ini dan hal-hal yang berkaitan dengannya sudah lama difikir dan dibahaskan di peringkat kerajaan. Setelah diperhalusi dengan mendalam, kelmarin Najib mengumumkan pendekatan beliau yang dikira cukup inovatif dan berani.

    Dalam ucaptamanya di Persidangan Invest Malaysia 2009 di Kuala Lumpur, Perdana Menteri mengumumkan bahawa berkuatkuasa serta merta, perkara berikut akan dilaksanakan:

    l Pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi tawaran awal permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai:

    l Pemberhentian proses urus niaga hartanah oleh FIC kecuali yang membabitkan pencairan kepentingan Bumiputera atau kerajaan;

    l Syarikat yang hendak melaksanakan IPO perlu memenuhi 25 peratus keperluan Tebaran Awam yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti;

    l 50 peratus daripada 25 peratus tebaran awam itu perlu ditawarkan kepada Bumiputera,

    l Had pembelian harta oleh warga asing dinaikkan secara umum kepada RM500,000, dan

    l Had pegangan saham asing untuk syarikat pengurusan unit amanah dan broker saham ditingkatkan kepada 70 peratus kepada 49 peratus sekarang.

    Serentak dengan langkah liberalisasi itu, Najib juga mengumumkan penubuhan sebuah institusi pelaburan baru yang diberi nama Ekuiti Nasional Berhad atau Ekuinas dengan modal permulaan sebanyak RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

    Ia akan menjadi satu instrumen baru untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor yang berpotensi mencapai pertumbuhan tinggi seperti pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

    Penubuhan syarikat itu adalah sebahagian daripada pendekatan baru kerajaan untuk memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna dan efektif.

    Jelaslah bahawa pentadbiran Najib tidak pernah cuba membunuh semangat atau apa yang beliau sering sebut sebagai roh Dasar Ekonomi Baru, seperti yang mahu digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

    Apa yang beliau cuba lakukan hanyalah memacu Malaysia ke arah sebuah ekonomi yang berpendapatan tinggi untuk kesejahteraan setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama atau keturunan selaras konsep 1Malaysia yang beliau cetuskan.

    Sebelum ini, beliau sudah pun mengumumkan beberapa langkah untuk meliberalisasikan sektor kewangan dan pelbagai sektor kecil perkhidmatan. Banyak lagi pendekatan baru dijangka diumumkan dari semasa ke semasa sebagai kerangka awal model ekonomi baru yang beliau ilhamkan untuk mencapai matlamat 1Malaysia. Untuk itu, beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat bekerja sebagai satu pasukan.

    Datuk Abdul Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
    Transformasi ekonomi negara
    MALAYSIA tanpa perlu disangsikan lagi telah berjaya muncul sebagai satukisah kejayaan berdasarkan apa yang kita capai sejak merdeka. Ketikaitu, Malaysia hanya sebuah negara miskin yang bergantung kepada hasilgetah dan timah.

    Menjana ekonomi dan pertahan maruah wanita
    TIDAK dapat disangkal, Malaysia antara negara Islam yang paling ketaramemberikan hak sewajarnya kepada kaum wanita.Semua ruang dan peluangitu berpaksikan prinsip meritokrasi dan tidak berdasarkan diskriminasigender.

    Memacu pegangan ekuiti bumiputera
    SETELAH lebih tiga dekad Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dibentuksebagai antara instrumen penyusunan semula masyarakat bagi mewujudkankeseimbangan ekonomi, hasilnya tidaklah begitu membanggakan.

    BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
    SETELAHmengambil kira buah fikiran dan pandangan pelbagai pihak, Datuk SeriNajib Tun Razak telah mengumumkan langkah-langkah terkini bagimemastikan kadar pertumbuhan tinggi dalam konteks persekitaran globalyang kompetitif.

    Menyelami partisipasi politik belia
    PADA4 Julai ini genaplah 100 hari saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.Dalam tempoh itu, tema utama yang saya bincangkan ialah partisipasi(penyertaan) belia dalam politik. Antaranya, sokongan belia terhadapBarisan Nasional (BN).






    Cabaran besar merencana negara ke arah model ekonomi baru
    Ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan Invest Malaysia 2009, di Kuala Lumpur, semalam.

    Minda Pengarang: Tangguh pindaan akta tukar agama tindakan tepat
    ISUmengenai penukaran agama mula menarik perhatian di kalangan masyarakatpelbagai kaum di negara ini apabila seorang wanita Melayu bernamaAzalina Jailani mengaku murtad sejak 1998 dan memfailkan permohonan dimahkamah untuk mendapatkan perintah supaya Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya, selepasjabatan itu menolak permintaannya pada 1999.








    Mengait sepenuh jiwa
    Setiap batang jarum mempunyai nombor dan saiz tersendiri. Semakin kecilnombor tersebut bermakna semakin terperinci corak yang bolehdihasilkan.


    Misteri mengikat kaki
    Penghormatan dan keseksian wanita di China pada 1,000 tahun lalu dinilai daripada saiz kaki mereka yang kecil.
    Transformasi ekonomi negara

    MALAYSIA tanpa perlu disangsikan lagi telah berjaya muncul sebagai satu kisah kejayaan berdasarkan apa yang kita capai sejak merdeka. Ketika itu, Malaysia hanya sebuah negara miskin yang bergantung kepada hasil getah dan timah.

    Kini, selepas nekad memilih kepelbagaian sumber dan perindustrian, ekonomi Malaysia telah berubah, menghasilkan lonjakan peningkatan berbanding dengan apa yang mungkin hanya kita kecapi sekiranya terus bergantung kepada komoditi-komoditi itu.

    Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mapan, pada kadar purata 6.2 peratus setahun.

    Pengagihan polisi dan pertumbuhan ekonomi yang mapan ini telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Kadar kemiskinan kini menurun ke bawah empat peratus berbanding 49 peratus pada 1970.

    Ini merupakan pendekatan pembangunan berdasarkan kesaksamaan, mengikut acuan kita – Malaysia.

    Tidak timbul isu penindasan dalam soal ini. Kesaksamaan dicapai menerusi pengagihan yang adil dalam pengembangan kek ekonomi negara.

    Tanpa pertumbuhan ekonomi yang kuat, kita tidak mampu mencapai objektif dalam pengagihan yang seimbang. Pengenalan terhadap pertumbuhan dengan ekuiti pada 1971 turut mencerminkan kemampuan Malaysia untuk mengambil keputusan yang pragmatik dan berani, terutama untuk meningkatkan kepentingan kebangsaan sewaktu berlakunya krisis.

    Tidak seperti krisis sebelum ini, saya percaya kita sekali lagi berada pada waktu kritikal. Saya bagaimanapun yakin kegagalan atau keraguan untuk bertindak sekarang akan memberi kesan buruk kepada negara dalam jangka panjang. Punca kepada permasalahan ialah pada satu sudut, kita mempunyai impian jelas untuk mengejar pertumbuhan dengan adil ketika kita berusaha untuk mencapai status negara maju.

    Untuk berjaya, kita perlu sekali lagi mengubah ekonomi kepada lonjakan pertumbuhan lebih tinggi. Kini daripada satu sudut lain, kita berdepan dengan cabaran-cabaran besar untuk merealisasikan impian itu dan mengubah cabaran faktor-faktor luaran dan kekangan domestik menjadi pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

    Ketika berusaha merealisasikan impian itu menjadi kenyataan, kita berdepan dengan empat cabaran utama iaitu:

    *Pertama, apa yang dilaksanakan sebelum ini, dalam memacu ekonomi Malaysia, kini menjadi tidak lagi efektif untuk membantu kita terus ke depan. Pengalaman selalunya memberi kita pengajaran bernilai untuk menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak, tetapi ia tidak semestinya menyediakan kita laluan yang jelas untuk bergerak ke depan.

    *Kedua, landskap kompetitif telah berubah. Tidak seperti sebelum ini, kita sekarang berdepan persaingan yang hebat, terutamanya daripada sudut modal, kemahiran, pengetahuan dan sumber secara global.

    *Ketiga, krisis ekonomi global telah memperluaskan keperluan untuk menjadi destinasi pelaburan pilihan, memaksa perusahaan mengukuhkan kedudukan dan menggerakkan operasi ke tahap paling kompetitif; dan

    *Keempat, kekuatan persaingan bagi pelaburan dalam lapangan yang kecil, perlu mengalihkan halangan pelaburan, sama ada nyata atau tidak kelihatan dan untuk menguruskan pengagihan polisi dengan lebih efektif dalam persekitaran yang lebih mesra.

    Dalam konteks cabaran yang dihadapi oleh negara, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) kelihatan tidak lagi boleh diguna pakai. Apabila FIC pertama kali diperkenalkan pada 1974, ia mewakili komponen utama strategi pertumbuhan dengan kesaksamaan. Hari ini, ia bukan lagi instrumen yang efektif untuk menyokong pertumbuhan dengan kesaksamaan itu.

    Kembali ke tahun 1970, ekuiti bumiputera hanya berjumlah 2.4 peratus. Berdasarkan tahap yang paling rendah, ia barangkali relevan untuk menyediakan agihan bagi mempercepatkan pelarasan ketidakseimbangan tersebut. Ketika itu polisi seperti itu merupakan sesuatu yang masih praktikal untuk menyediakan persaingan bagi pelaburan.

    Namun kini kita berdepan dengan senario yang sepenuhnya berbeza. Polisi pelaburan yang mewujudkan ketidakpastian kawalan dan tidak seiring dengan amalan antarabangsa, hanya akan menghalang potensi pertumbuhan kita.

    Pertumbuhan, yang akan membenarkan objektif pengagihan kita tercapai. Selain itu, unsur dinamik dan kerumitan ekonomi hari ini tidak membolehkan ia memenuhi semua keperluan ke arah pertumbuhan tersebut.

    Dengan pencapaian dan peningkatan kemampuan bumiputera hari ini, perlumbaan ke arah keseimbangan ekuiti memerlukan tumpuan terhadap kecekapan dan penyertaan ekonomi yang sebenar, tidak sekadar pemilikan sematamata.

    Jumlah 30 peratus pegangan minoriti pada dasarnya tidak menyediakan ruang berkesan. Malah ia menunjukkan kekurangan modal dalam pegangan 30 peratus bersifat tidak mengekalkan kadar pertumbuhan.

    Maka, objektif penilaian seharusnya menyimpulkan bahawa FIC pada bentuk asalnya tidak menyediakan rangsangan pertumbuhan dan juga tidak mampu mempromosikan pengekalan ekuiti secara berkesan kepada capital-disadvantaged bumiputera.

    Dunia berubah dengan pantas dan kita perlu bersedia untuk turut berubah atau berdepan risiko ketinggalan. Jika kita tidak bergerak dan hanya berpuas hati dengan kejayaan lalu sepanjang tempoh dinamik ini, kita akan mudah dipintas oleh pesaing.

    Ia akan berulang seperti apa yang kita lakukan dahulu iaitu ketika kita berjaya mengatasi pesaing kita.

    Ini bukan masanya untuk kita dibelenggu oleh sentimen tetapi saat untuk melangkah dengan berani demi masa depan negara.

    Dalam hal ini, kerajaan akan terus komited memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, mapan dan adil.

    Sebagai inisiatif utama dalam memudahkan operasi perniagaan di Malaysia dan menjadi Malaysia lebih menarik sebagai destinasi pelaburan, saya dengan sukacita mengumumkan pembatalan kawal selia garis panduan pelaburan yang ditadbir oleh FIC.

    Fungsi dan skop FIC telah dirasionalkan secara besar-besaran. Skop FIC ketika ini melibatkan kurang transaksi. Ia sejajar dengan fokus kerajaan ke arah memperkasakan lebih banyak kawal selia yang kondusif untuk sektor swasta berkembang, dengan menyediakan aktiviti pelaburan yang kuat dan pasaran modal yang lebih bertenaga.

    Kajian garis panduan FIC meliputi: Pertama, pemilikan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan. Kedua, penjanaan dana oleh syarikat yang disenaraikan dan ketiga, pemilikan hartanah.

    Dengan kesan segera, garis panduan FIC mencakupi pembelian pemilikan ekuiti, penggabungan dan pengambil alihan dimansuhkan tanpa garis panduan baru bagi menggantikannya. FIC tidak akan memproses sebarang transaksi saham atau mengenakan sebarang syarat ekuiti bagi transaksi tersebut.

    Ini mewakili rasionalisasi yang besar dalam peraturan FIC. Sehingga semalam, proses transaksi sedemikian menjadi tulang belakang kepada FIC. Mulai hari ini, peranan FIC dimansuhkan.

    Dengan pemansuhan ini, kepentingan negara dalam sektor strategik akan terus dilindungi menerusi kawal selia sektor.

    Syarikat di dalam sektor itu akan kekal dengan syarat-syarat ekuiti seperti mana yang dikenakan oleh pengawalselia yang mewakili sektor itu seperti Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Lesen Kenderaan Komersial, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Kebangsaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

    Bagi syarikat-syarikat di bawah kawal selia, pemansuhan garis panduan FIC merancakkan persekitaran kawal selia hanya dilakukan oleh sektor kawal selia yang menjadi tempat terbaik untuk mengubah suai peraturan berdasarkan keperluan sektor tertentu.

    Langkah penjanaan dana oleh syarikat- syarikat tersenarai juga signifikan bagi meningkatkan tarikan Malaysia sebagai destinasi penyenaraian.

    Ketika ini, syarikat yang mahu disenaraikan perlu memenuhi keperluan asas berdasarkan undang-undang penyenaraian Bursa Malaysia yang menetapkan 25 peratus pegangan saham awam. Mengikut garis panduan FIC bagi ekuiti bumiputera.

    Pada masa depan, keperluan pegangan saham awam itu dikekalkan dan sebagai tambahan, SC akan memperkenalkan garis panduan baru yang memerlukan syarikat yang hendak disenaraikan, menawarkan 50 peratus pegangan saham awam untuk ditebarkan kepada pelabur bumiputera. Ekuiti bumiputera dengan itu akan dimasukkan dengan keperluan tebaran awam tersebut. Ini akan meningkatkan kompetitif Bursa Malaysia sebagai destinasi penyenaraian yang mana promoter syarikat yang mahu menyenaraikan syarikat tidak perlu melucutkan ekuiti yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tebaran awam.

    Sebagai tambahan, untuk mengurangkan penjanaan dana daripada pasaran modal, aktiviti pasca penyenaraian menjana dana tidak lagi tertakluk kepada sebarang ekuiti.

    Pemansuhan garis panduan ini akan segera menyokong syarikat-syarikat tersenarai awam untuk meraih dana bagi meningkatkan pelaburan dan mengurangkan perbezaan kos.

    Peraturan baru ini menawarkan 50 peratus tebaran pegangan kepentingan awam kepada Bumiputera untuk syarikat-syarikat Malaysia yang mahu disenaraikan di Bursa Malaysia. Garis panduan semasa kepada syarikat asing yang mahu disenaraikan tanpa sebarang pematuhan syarat dengan ekuiti dikekalkan dan kita ada beberapa syarikat asing yang berjaya memohon bagi penyenaraian di Malaysia.

    Skop FIC yang merangkumi transaksi hartanah juga akan dirasionalisasikan dengan segera. Kelulusan FIC bagi transaksi hartanah akan hanya diperlukan apabila membabitkan kecairan kepentingan bumiputera dan kerajaan bagi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas. Semua transaksi hartanah lain, termasuk antara rakyat asing dan bukan Bumiputera, tidak lagi memerlukan kelulusan FIC. Sebagai contoh, kecairan kepentingan bumiputera secara spesifik dirujuk kepada di mana hartanah semasa dipegang oleh bumiputera ini majoritinya dimiliki oleh bumiputera dan transaksi dihapuskan untuk dijadikan pemilikan entiti bumiputera.

    Transaksi-transaksi yang tidak lagi memerlukan kelulusan FIC kini membabitkan dua kategori

    Pertama, sebarang transaksi membabitkan jualan oleh bukan bumiputera atau kepentingan majoriti asing (sebagai contoh bukan bumiputera menjual kepada rakyat asing) dan kedua, sebarang transaksi membabitkan pembelian yang dikawal entiti bumiputera dan ini termasuk syarikat milik bumiputera yang membeli hartanah daripada syarikat bumiputera yang lain. Pemansuhan garis panduan ini dijangka memudahkan transaksi hartanah dan pelaburan, termasuk membeli hartanah komersial oleh kepentingan asing.

    Kerajaan percaya kelonggaran peraturan akan meningkatkan nilai Malaysia secara signifikan sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.

    Dengan pengurangan garis panduan FIC yang komprehensif Unit Perancang Ekonomi akan memfokus semula usahanya untuk koordinasi dan memantau polisi pengagihan pada tahap makro. Dengan ini kerajaan kekal komited mengekalkan penglibatan ekonomi oleh bumiputera. Pendekatan baru yang akan diambil itu, fokus kepada mempromosi kestabilan, lebih bermakna dan pembabitan efektif melalui kerjasama tulen dan meritokrasi.

    Ingin saya tekankan disini bahawa kerajaan kekal memberi komitmen terhadap sasaran untuk pertumbuhan saksama, pendekatan kami untuk melaksanakan sasaran dalam mesra pasaran membolehkan pertumbuhan kekal dan memberangsangkan dalam situasi pengagihan saksama.

    Seiring dengan pendekatan baru ini, sebuah institusi pelaburan baru, yang dikenali sebagai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan ditubuhkan sebagai dana ekuiti persendirian dengan modal sebanyak RM500 juta dan boleh ditingkatkan kepada RM10 bilion.

    Ekuinas akan memberi tumpuan pelaburan dalam sektor yang berpotensi memberi pertumbuhan tinggi, seiring dalam menyokong Model Ekonomi Baru.

    Pada masa yang sama, Ekuinas akan melabur bersama dengan dana sektor swasta, dalam mempromosi kerjasama tulen dan pendekatan komersial sepenuhnya. Dalam hal ini, penglibatan bumiputera akan dibuat berdasarkan merit.

    Sejak 1970, keupayaan profesional bumiputera telah banyak meningkat. Bumiputera hari ini sangat berminat untuk terlibat dan bersaing secara aktif dalam sektor pekerjaan, pengurusan dan sebagai vendor. Adalah menjadi harapan menerusi tabung pelaburan seperti Ekuinas, keinginan untuk menjadi terbaik di kalangan bumiputera dapat disokong dan dipupuk.

    Pemansuhan garis panduan FIC yang komprehensif telah di formulasi untuk mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi terbaik untuk aktiviti perniagaan dan pelaburan, bagi rakyat Malaysia dan juga pelabur asing. Kemudahan perniagaan dan persekitaran kawal selia akan menarik potensi penuh sektor swasta bersama dengan Model Ekonomi Baru untuk transformasi rakyat ke arah lonjakan pertumbuhan yang kukuh. Digabungkan dengan polisi pengagihan yang efektif, kerajaan yakin pengumuman yang baik ini akan memberi manfaat kepada semua pemegang saham.

    Kita sangat komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi kukuh yang saksama dinikmati oleh semua rakyat Malaysia seiring dengan semangat untuk menjana pertumbuhan dengan ekuiti.