Pendidikan moral pelajar terpinggir

DATA Kementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah salah laku melibatkan remaja masih bersekolah semakin meningkat. Makin membimbangkan bila data-data tersebut menunjukkan pelajar sekolah bukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggar peraturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah, ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah seperti gengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepada membunuh.

Kajian gengsterisme di sekolah menengah harian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan mengenal pasti 459 daripada 1,560 buah sekolah terdedah dengan budaya gengsterisme.

Data Kementerian Pelajaran tahun 2008 menunjukkan 21,060 pelajar dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar terlibat pada tahun sebelumnya. Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes pada tahun 2007 dan 19,980 kes pada 2006.

Akibat meningkatnya gejala sosial yang semakin serius, maka cadangan mengembalikan semula hukuman rotan sekarang berada di atas meja Peguam Negara. Nampaknya institusi pendidikan seperti sekolah seakan sudah hilang upaya untuk menguruskan masalah gejala sosial melalui pendidikan moral dan agama Islam dan akhirnya bersetuju untuk kembali kepada cara lama menangani masalah remaja. Malah institusi kaunseling secara jujurnya juga seperti tidak terdaya menyelesaikan kerenah isu juvenil ini.

Kesalahan remaja sememangnya masalah pendidikan dan sekolah tidak dapat tidak mesti bertanggungjawab membanterasnya tetapi mengambil langkah menggunakan rotan sama sekali tidak akan menghilangkan masalah sosial. Kajian oleh pakar pendidikan pembelajaran sepakat bersetuju bahawa sistem hukuman rotan bukanlah satu kaedah yang paling baik dan berkesan, malah pelajar yang telah melalui kaedah hukuman rotan ada antaranya yang terus menerus melakukan kesalahan yang lebih besar daripada kesalahan di mana mereka pernah dikenakan hukuman rotan. Kajian di negara ini juga telah banyak dilakukan berkaitan masalah disiplin di kalangan remaja.

Kementerian Pelajaran telah mencuba pelbagai kaedah untuk menangani masalah disiplin daripada kempen hinggalah bekerjasama dengan pihak polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Malangnya, impak kepada masalah disiplin sifar nampaknya masih jauh daripada yang diharapkan. Hukuman merotan bukan sahaja ditentang oleh golongan peguam tetapi juga di kalangan pendidik yang mementingkan konsep pendidikan yang murni dan bermaruah.

Kita mungkin berkata merotan akan mendidik pelajar ini supaya tidak akan lagi melakukan perbuatan salah mulai esoknya di sekolah. Maka kita cuba menyatakan jika semua sekolah menjalankan hukuman merotan maka dalam satu jangka nanti akan sangat kurang atau tiada lagi masalah sosial di sekolah kerana pelajar akan takut dikenakan hukuman merotan. Apakah kita percaya ini semua akan berlaku?

Difikirkan semasak-masaknya pelajar yang melakukan masalah disiplin ini sebenarnya adalah mangsa keadaan, sesuatu yang bukan di bawah kawalan mereka. Baik ibu bapa, masyarakat, sekolah, media serta rakan sebaya, semuanya memberikan sumbangan yang kuat ke arah perlakuan dan tingkah laku negatif pelajar. Tetapi bila hukuman hendak dijatuhkan, pelajar ini sahaja yang dipersalahkan, mana ibu bapa, rakan taulan, guru, media yang sentiasa memaparkan adegan ganas dan seks ketika hukuman dilaksanakan.

Banyak faktor lain yang juga mendorong kepada berlakunya masalah ini. Keluarga yang bercerai berai, tuntutan keperluan hidup yang semakin mendesak juga menjadi faktor kepada gejala ini. Malah ada juga menghadapi tekanan membina semula lingkungan rakan sebaya yang kadang kala tersalah pilih kerana tiada bantuan daripada ibu bapa. Tidak cukup dengan itu, anak- anak yang tidak ada potensi akademik tetapi ada potensi sukan, seni dan potensi lain 'digagalkan' oleh sistem pendirian negara kita.

Hanya yang mendapat 5A UPSR, 8A PMR atau 11 A SPM, para pelajar ini diangkat dan dijulang. Yang lain menjadi seperti orang asing kepada pihak guru dan sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang memeluk anak-anak yang mendapat 1A UPSR berbanding yang meleter dan merendah-rendahkan kebolehan anak-anak mereka?

Punca

Masalah disiplin dan krisis moral tentulah berpunca sebahagian besarnya dari amalan pembelajaran pembangunan nilai yang gagal di sekolah. Paling asas ialah kegagalan pendidikan agama serta moral yang dilaksanakan di sekolah. Guru-guru agama dan mata pelajaran moral harapnya jangan marah dengan penulis, tetapi cubalah kita fikirkan bersama, bila semakin ramai orang Muslim-Melayu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mengamalkan pun ajaran yang diwajibkan.

Saya masih ingat seorang kawan sekolah dahulu yang dirotan di dewan perhimpunan mingguan sekolah sehingga kini masih terus menyumpah pihak sekolah. Kesalahannya kerana ditangkap merokok di belakang tandas sekolah. Selepas dirotan guru disiplin memberi amaran supaya beliau berhenti merokok. Tetapi sehingga kini rakan penulis itu masih merokok, tak berniat pun untuk berhenti.

Kita kena membezakan antara hukuman merotan oleh ibu bapa dan pihak sekolah. Konsep merotan yang dilaksanakan oleh ibu kesannya adalah berbeza pada pelajar, tidak sama dengan pihak sekolah. Elemen keterikatan 'pertalian darah antara anak dengan ibu dan ayah' membenarkan anak-anak memahami jika ibu bapa melakukan hukuman tersebut, tetapi jika hukuman tersebut dilakukan oleh pihak sekolah, kadang- kadang hukuman tersebut dilihat sebagaimana menghina, menjatuhkan maruah pelajar dan ramai ibu bapa juga tidak suka anak mereka dirotan. Jangan tanya pendapat awam kerana bukan anak mereka yang dirotan. Mereka semestinya bersetuju dengan hukuman merotan pada anak orang lain.

Satu masa dulu, data menunjukkan lingkungan umur yang paling tinggi melakukan masalah sosial ialah kalangan remaja lelaki antara 15-18 tahun. Namun trend ini dilihat mulai membimbangkan apabila kumpulan pelaku masalah sosial kini semakin rendah tahap umur sehingga ada yang berumur kurang dari 10 tahun terutama berkaitan kes curi, ponteng, merokok dan mencabul pelajar perempuan. Malah remaja wanita juga semakin ramai yang terlibat sebagai pelaku masalah sosial. Menguruskan pelajar perlukan kesabaran para guru, ketelitian dalam berinteraksi dengan kanak-kanak serta secara nasihat berdikit-dikit tetapi konsisten sangat berkesan. Paling penting bermula sejak awal umur kanak-kanak.

Kalaulah merotan terbukti boleh menyelesaikan masalah disiplin, dunia telah lama aman dan sejahtera. Perlakuan jenayah dan gejala sosial menuntut perhatian yang lebih tinggi daripada sekadar mengkaji baik buruknya merotan pelajar. Kanak-kanak pada peringkat muda pada asasnya memerlukan kasih sayang, luangkan masa serta perhatian para ibu bapa dan guru- guru.

Kasih sayang pada pelajar perlu ditunjukkan dengan mendengar dan menyokong bukannya dengan meleter, mengungkit atau merotan pelajar. Para pelajar jika sudah biasa dirotan akan juga menganggap bentuk didikan 'ganas' adalah yang terbaik dan akan melakukannya apabila mereka pula mempunyai anak-anak satu hari nanti. Mereka juga akan percaya apabila wujudnya konflik dengan rakan sebaya di sekolah cara bergaduh dan memukul jugalah yang seharusnya digunakan.

Tindakan yang seringkali dicadangkan oleh pakar pendidikan ialah kecilkan saiz pelajar di dalam bilik darjah supaya perhatian kepada pembangunan sahsiah pelajar akan menjadi lebih baik, tingkatkan kualiti pengurusan pelajar di kalangan guru supaya mereka memahami dengan tepat secara teori dan amalan, atau 'know what' dan 'know how' berkaitan pembangunan pelajar di bawah tanggungjawab mereka, sediakan sistem sokongan kewangan dan khidmat nasihat untuk pelajar, outreach programme di mana kumpulan guru melawat ke rumah pelajar yang menunjuk tanda- tanda masalah di peringkat awal supaya perbincangan dengan ibu bapa dapat dilakukan lebih awal.

Pada masa yang sama guru juga akan dapat membuat penilaian berkaitan keluarga pelajar tersebut. Apalah gunanya di dalam sebuah sekolah jika dengan hanya beberapa orang pelajar mencapai kecemerlangan akademik tetapi pada yang sama ramai pula yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah yang sama.

Biarlah kalau Peguam Negara masih ingin meluluskan undang-undang hukuman merotan ini, biarlah kalau ada sekolah masih juga ingin meneruskan hukuman ini tetapi percayalah masih ramai ibu bapa di luar sana termasuk penulis sendiri sangat percaya bahawa jika anak-anak ini dirotan kerana kesalahan mereka maka kitalah yang sebenarnya gagal mendidik moral kepada mereka.

Anuar Ahmad ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seksanya hendak kahwin

Oleh Hafizahril Hamid


PERKAHWINAN bagi kebanyakan pasangan adalah sesuatu yang suci, indah dan abadi. Dari ketika menjalani proses percintaan hinggalah selesai upacara akad nikah adalah sesuatu yang biasa bagi setiap pasangan untuk melihat pasangan mereka sebagai pilihan terbaik.

Segala yang dilakukan akan dilihat sebagai sempurna di mata pasangan masing-masing. Namun di sebalik semua kesempurnaan ini satu-satunya masalah yang akan menghantui orang lelaki setelah mendapat persetujuan daripada keluarga pihak perempuan untuk 'menyunting bunga di taman' ialah wang hantaran.

Mungkin ada pihak yang merasakan perkara ini bukan satu bebanan bersesuaian dengan status dan pendapatan yang diperolehi. Apatah lagi bagi pihak keluarga perempuan ia umpama satu "hak eksklusif" dalam menetapkan berapa jumlah wang hantaran sebelum anak gadis mereka berpindah tangan kepada bakal suami.

Namun kita tidak boleh menafikan bahawa isu wang hantaran ini sering menghantui pasangan sebelum berkahwin.

Soal wang hantaran jika munasabah bukanlah satu persoalan tetapi ia akan menjadi sesuatu yang membebankan jika keterlaluan. Maka akan kedengaranlah pandangan dan kritikan pedas masyarakat "nak jual anak ke".

Isu tentang wang hantaran ini bukanlah sesuatu yang baru dan harga yang ditetapkan semakin meningkat bersesuaian dengan keadaan dan realiti semasa kehidupan.

Dalam membicarakan hal ini penulis teringat gurauan yang diluahkan oleh seorang sahabat yang berpengalaman dalam menguruskan perkahwinan bahawa ia umpama membeli tiket kapal terbang.

Kebiasaannya harga tiket agak murah dan mampu dimiliki tetapi yang membuat harganya lebih mahal ialah pembayaran tambahan akibat terpaksa membayar cukai airport, pengurusan dan surcaj. Ini yang membuatkan penumpang terpaksa memilih dan berkira sebelum membuat keputusan.

Situasi ini yang terpaksa dihadapi oleh para pengantin lelaki apabila terpaksa membayar wang hantaran yang mahal padahal wang mas kahwinnya hanya berapa sangat.

Oleh itu ramailah lelaki yang terpaksa kahwin lewat akibat terpaksa mengumpul wang dan mengikat perut sebelum dapat melampiaskan hajat yang tersimpan sejak sekian lama.

Dari segi hukumnya pembayaran wang hantaran bukanlah sesuatu yang perlu namun kerana menghormati adat dan tradisi kita sebagai orang Melayu maka perkara seperti hantaran dan persandingan lebih menjadi perhatian.

Dan secara umumnya wang hantaran ini diberikan kepada pihak pengantin perempuan sebagai tanda pemberian ikhlas yang kemudiannya boleh digunakan untuk mengurus kerja-kerja persandingan.

Apatah lagi urusan persandingan dari pakaian pengantin hinggalah makan minum jemputan melibatkan perbelanjaan yang agak besar memandangkan tradisi menanggah dan tolong menolong ketika majlis perkahwinan semakin pupus.

Maka perbelanjaan perkahwinan yang agak besar ini bersesuaian dengan kemeriahan yang dialami ketika majlis pernikahan dan persandingan berlangsung.

Secara puratanya kadar wang hantaran pada masa sekarang ialah sekitar RM8,000 hingga RM10,000. Dan berdasarkan keadaan ekonomi dan kemakmuran negara ini ia mungkin dianggap munasabah.

Namun jika dikira semula termasuklah perbelanjaan kenduri di kedua-dua belah pihak, jumlah meningkat sehingga sekitar RM12,000 hingga RM20,000. Pastinya jumlah itu dianggap agak membebankan dan ramai lelaki terpaksa mengeluh sebelum berkahwin.

Bagi kebanyakan eksekutif muda yang berpendapatan sekitar RM1,800 hingga RM2,500, untuk menyimpan wang hantaran seperti yang disebutkan di atas mungkin tiada masalah tetapi ia pastinya mengambil masa sekitar dua hingga lima tahun.

Ditambah pula dengan bebanan dan kos hidup di ibu kota yang semakin meningkat akhirnya ramai lelaki terpaksa kahwin lewat malah ia dilihat semakin menjadi trend kebelakangan ini.

Maka jalan terbaik dalam menyelesaikan keserabutan ini ialah dengan membuat pinjaman bank.

Pinjaman

Hendak disalahkan pihak bank tidak boleh kerana ia adalah sebahagian dari hukum perdagangan untuk mencari keuntungan. Mereka ini senantiasa melihat peluang dalam kekusutan. Sebarang peluang yang boleh menguntungkan pastinya tidak akan mampu ditolak oleh perusahaan perbankan.

Oleh itu hendak atau tidak kebanyakan lelaki yang mahu berkahwin terpaksa membuat pinjaman dan turut terbukti bagi pihak bank bahawa bentuk perniagaan ini sangat menguntungkan.

Yang menjadi kebimbangan, apabila ia menjadi satu ikutan sehingga hantaran perkahwinan semakin meningkat di luar kebiasaan dan mencecah ratusan ribu.

Bagi mereka yang mampu mungkin tidak ada masalah dan ia dianggap sebagai pemberian ikhlas. Tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana adalah sukar untuk memenuhi permintaan pihak pengantin perempuan jika wang hantarannya mencecah puluhan ribu ringgit.

Jika kita perhatikan beberapa ketetapan dan alasan sering digunakan dalam menetapkan wang hantaran ini. Seperti yang dikatakan tadi penetapan wang hantaran kebanyakannya merupakan hak eksklusif keluarga pengantin perempuan.

Walaupun mungkin beberapa perbincangan dilakukan dalam menetapkan wang hantaran antara pihak kedua-dua bakal mempelai namun keputusan akhir akan tetap diputuskan oleh pihak perempuan. Maka pada kebiasaannya harga wang hantaran ditetapkan atas beberapa kriteria.

Kriteria pertama terletak kepada pengaruh keluarga pengantin perempuan. Jika pihak perempuan "mata duitan" maka mahallah duit hantaran yang perlu dikeluarkan. Kita tidak boleh menafikan terdapat segelintir ahli masyarakat yang masih berfikiran begini semata-mata untuk meraih keuntungan hasil dari perkahwinan yang akan berlangsung. Sikap sebegini pastinya akan membuatkan masyarakat memandang serong terhadap pihak keluarga serta merosakkan jalinan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Kriteria kedua ialah tahap akademik pengantin wanita itu sendiri. Semakin tinggi tahap pendidikan wanita tersebut semakin mahal wang hantarannya.

Kriteria ketiga ialah paras rupa wanita yang bakal disunting. Walaupun perkara ini agak subjektif kerana kecantikan seseorang wanita dinilai berbeza oleh lelaki berdasarkan cita rasa dan kehendak peribadi namun ia merupakan antara kriteria penting dalam penetapan wang hantaran. Semakin cantik dan 'bergetah' seseorang wanita itu semakin tinggilah harga yang perlu dibayar.

Kriteria terakhir dalam hal ini ialah jenis pekerjaan dan pendapatan bulanan yang diterima. Pastinya pekerjaan seperti doktor, akauntan dan jurutera dibayar gaji yang mahal, oleh itu jumlah wang hantaran turut meningkat.

Berdasarkan kriteria di atas adalah jelas kenapa harga wang hantaran agak sukar dikompromi oleh pihak perempuan. Paling jelas harga wang hantaran termahal ini selalunya didominasi oleh golongan artis.

Ini mungkin berkait dengan soal kecantikan yang dimiliki selain dari pendapatan tinggi dan populariti yang diperoleh.

Sebelum ini, penyanyi Juliana Banos yang berkahwin dengan Pengarah Urusan Mutiara Motor Sdn Bhd, Mokhtar Ahmad pada 16 Disember 2005, dinobat sebagai antara artis yang menerima wang hantaran tertinggi di negara ini, iaitu RM77,888.77.

Itu tidak termasuk dua bentuk cincin berlian jenama Cartier dan Carat Club yang bernilai lebih RM10,000, beg tangan dan dua pasang kasut jenama Louis Vuitton (LV) serta set wangian.

Penyanyi ternama negara, Datuk Siti Nurhaliza pula menerima wang hantaran dari suaminya Datuk Seri Muhammad Khalid Jiwa sebanyak RM30,000 dan mas kahwin RM22,222.

Satu lagi insiden juga melibatkan antara wang hantaran tertinggi di negara ini tetapi tidak kekal lama membabitkan bekas model, Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Roslan Hashim.

Puteri Shahanaz menerima wang hantaran RM444,444.44 dan mas kahwin RM22,222.22.

Selain itu, Puteri Shahanaz turut menerima 22 hantaran termasuk kereta BMW 320i berharga RM250,000; set barangan kemas (RM150,000); jam tangan Rolex (RM25,000); cincin (RM20,000) serta beg tangan, kasut, wangian dan kosmetik jenama terkenal.

Gilang gemilang

Pasangan tersebut diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Lorong Tok Sira 3 pada September 2006 manakala majlis persandingan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.

Roslan yang ketika itu merupakan Pengerusi Eksekutif Ghaz Properties Sdn Bhd, berkata beliau membelanjakan RM3.5 juta bagi memastikan majlis persandingan berlangsung penuh gilang-gemilang.

Bagaimanapun kebahagiaan yang diharapkan tidak kekal lama apabila setahun kemudian pasangan ini bercerai pada 4 Oktober 2007.

Puteri Shahanaz memohon cerai fasakh dan Roslan bersetuju membayar tuntutan mutaah RM100,000 secara ansuran, iaitu RM5,000 sebulan kepada Puteri Shahanaz. Roslan turut bersetuju membayar nafkah RM1,500 sebulan kepada anak tunggal mereka, Putera Airil Imran.

Kisah di atas ini pastinya memberi pengajaran bahawa wang hantaran yang tinggi dan majlis perkahwinan yang keterlaluan gahnya bukanlah penentu kepada kebahagiaan berlanjutan sehingga ke akhir hayat. Ditambah pula dengan pelbagai jumlah wang hantaran dengan nombor menarik beserta dengan tarikh perkahwinan yang lain daripada lain, ia seolah-olah telah menjadi trend yang mempengaruhi masyarakat.

Secara peribadi hantaran perkahwinan tidaklah perlu terlalu menekan sehingga menjadi beban kepada pasangan pengantin. Ada yang berpandangan supaya wang hantaran ini perlu dikongsi antara kedua mempelai bagi mengelakkan bebanan keterlaluan kepada pengantin lelaki.

Mungkin ada baiknya saranan sebegini namun jika wang hantaran ditetapkan lebih rendah ia pastinya lebih melegakan semua pihak.

Perlu difahami wang hantaran ini ditetapkan bagi keperluan pihak perempuan mengendali majlis persandingan sebelah mereka. Semakin meriah majlis perkahwinan semakin tinggilah wang hantaran yang perlu dikeluarkan.

Oleh itu cara terbaik untuk mengatasi masalah wang hantaran tinggi ini ialah dengan kembali kepada ajaran agama.

Hantaran dimaksudkan sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran tidak wajib tetapi mengikut hukum adat hukumnya harus.

Manakala mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya.

Maka Islam sendiri menerangkan apa yang perlu diutamakan dalam sesebuah perkahwinan iaitu mas kahwin dan bukannya wang hantaran. Tetapi kerana kepercayaan masyarakat kita yang terlalu berpegang pada adat maka kita lebih mengutamakan wang hantaran yang tinggi daripada kesempurnaan majlis akad nikah.

Stigma inilah yang perlu diubah oleh masyarakat. Bukan bermaksud untuk menidakkan kepentingan wang hantaran perkahwinan ini namun ia perlulah sekadar termampu dan paling penting keikhlasan.

Ia perlu dilaksanakan mengikut kemampuan dan tidak membazir semata-mata mahu menunjuk-nunjuk kepada orang keliling. Perbuatan sebegini hanya menambahkan lagi dosa kita.

Wang hantaran sememangnya menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk dipenuhi dan jika dilihat dari sudut kebaikannya, ia umpama persediaan awal seseorang bakal suami untuk menanggung tanggungjawab sebelum memulakan kehidupan berkeluarga.

Pastinya usaha mengumpul wang hantaran ini mampu mengajar tanggungjawab sebenar si lelaki sebelum bergelar suami yang bakal menanggung isteri dan bakal anak-anak.

Satu lagi ia pasti turut mengajar mereka bahawa bukan senang hendak berkahwin dan melamar anak dara orang.

oleh itu jika pada masa depan mungkin terlintas di hati hendak menambah isteri lagi, mungkin mereka akan berfikir lima enam kali, betapa peritnya satu ketika dulu 'mengikat perut' hendak mengumpul wang dan berhutang sebelum akhirnya mampu berkahwin.
Apabila selebriti turut aktif

Oleh Hafizahril Hamid


DUNIA kini jika diamati walaupun di sebalik kepesatan pembangunan, kecanggihan teknologi, bangunan pencakar langit dan lambakan para jutawan hasil dari apa yang dikatakan kejayaan sistem kapitalis, hakikatnya ia masih lagi tidak banyak berubah.

Memang benar sistem kapitalis yang lebih berorientasikan wang dan keuntungan banyak memberi manfaat kepada manusia. Tetapi apakah manfaat yang diperoleh itu benar-benar menyeluruh atau hanya memberi keuntungan kepada segelintir manusia.

Dalam hal ini adalah lebih tepat jika kita mentafsirkan sistem kapitalis ini hanya memberi keuntungan kepada mereka yang kaya sahaja. Dalam erti kata lain, yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan terus miskin.

Kita boleh lihat betapa di negara-negara Afrika serta beberapa negara dunia ketiga masih lagi terhimpit dengan pelbagai masalah dan konflik akibat dari ketidakadilan pembahagian kekayaan dunia serta konflik politik yang tiada penyelesaiannya.

Jika diperhalusi, dengan kekayaan yang dimiliki oleh para hartawan dan bilionair di seluruh dunia ditambah dengan aset dan perolehan yang dikutip oleh setiap perusahaan adalah mustahil masih lagi terdapat golongan miskin yang tidak mendapat makanan untuk mengisi perut.

Bukan untuk menidakkan pemilikan harta oleh seseorang individu namun jika setiap mereka yang berjaya ini menderma untuk kebaikan bagi mengurangkan penderitaan penduduk miskin berkemungkinan besar masalah yang seringkali menghantui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini dapat diselesaikan.

Dalam memperkatakan tentang soal kemiskinan dan kebuluran ini, pastinya orang yang sering kali dilihat kehadapan dalam membela golongan ini ialah artis dan selebriti terkenal di Hollywood.

Sebut sahaja nama-nama seperti Angelina Jolie, Bono dari kumpulan U2, penyanyi Sir Bob Geldof dan beberapa lagi pastinya kita sudah sedia maklum tentang penyertaan aktif mereka dalam isu-isu seperti kemiskinan, alam sekitar, penularan penyakit seperti AIDS, aktivis politik dan pelbagai lagi.

Nama-nama yang disebutkan di atas merupakan antara segelintir artis popular yang telah berkecimpung dalam kegiatan sebegini sejak sekian lama. Bagaimanapun kegiatan artis yang semakin bergelut dalam dunia aktivis seumpama ini sebenarnya kini semakin mendapat tempat dan perhatian di kalangan mereka.

Jika dahulu hanya beberapa kerat sahaja golongan ini yang terlibat dalam aktiviti dan kegiatan amal tertentu namun kini boleh dikatakan kebanyakan mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dirasakan secocok.

Sebut saja siapa nama-nama artis di Hollywood dan pastinya kita akan melihat atau mendengar nama mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan yang menjadi pilihan sama ada ia adalah untuk memperjuangkan hak kemanusiaan, hak asasi haiwan, memperjuangkan ikon politik tertentu, atau pun untuk melindungi alam sekitar.

Sememangnya adalah tidak salah bagi golongan terkenal ini untuk menyertai mana-mana pertubuhan yang dirasakan sesuai malah ia sememangnya digalakkan kerana setiap tindak tanduk mereka ini pastinya akan menjadi perhatian dan ikutan ramai.

Namun yang menjadi persoalannya sekarang ialah kenapa trend sebegini semakin mendapat pilihan dan apakah penglibatan mereka ini mampu memberi impak yang diharapkan. Atau adakah ia hanya sebahagian dari retorik untuk menampak diri mereka sebagai manusia yang prihatin di mata masyarakat?

Ada yang memanggil fenomena ini sebagai "selebriti diplomat" dan ada yang menggelarnya "celebritocracy". Sebenarnya kegiatan sebegini telah mula dipelopori sejak dari tahun 1950-an lagi dengan pelakon seperti Danny Kaye dan Audrey Hepburn melalui penyertaan mereka dalam kerja-kerja kemanusiaan dalam UNICEF.

Bagaimanapun kerja-kerja kemanusiaan ini semakin mendapat perhatian dan tempat di kalangan selebriti popular berikutan penglibatan aktif mendiang Princess Diana dalam kerja-kerja kemanusiaan di seluruh dunia.

Walaupun aktiviti ini telah mula menjadi perhatian sekitar tahun 80-an, namun perhatian, keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan Diana telah menjadi simbol kepada kegiatan kemanusiaan yang kemudian menular di kalangan selebriti Hollywood.

Dan sejak sedekad lalu, para selebriti ini telah menggunakan sepenuhnya pengaruh dan populariti mereka untuk menarik perhatian dunia dalam isu-isu global seperti kemiskinan, peperangan dan sebagainya.

Mempengaruhi

Fenomena ini jika dikaji lebih mendalam sebenarnya memang terdapat kebenarannya. Kredibiliti selebriti ini sememangnya mampu mempengaruhi para peminat dan pengikut industri ini jika mereka benar-benar bersungguh terlibat dalam aktiviti sebegini.

Mengambil contoh Bono sebagai antara katalis utama dalam kerja-kerja kebajikan membabitkan selebriti. Boleh dikatakan beliau senantiasa mendapat tempat dan perhatian di dada-dada akhbar malahan kita seringkali melihat beliau terlibat dalam perjumpaan dan perbincangan dengan pemimpin utama dunia terutama dalam isu-isu seperti kemiskinan.

Bono sangat berjaya menyakinkan masyarakat terutama para peminatnya tentang isu-isu yang diperjuangkan. Bukan itu saja, para pemimpin terkemuka dunia turut menerima pandangan dan peranan yang dimainkan beliau ini bukan atas kredibilitinya sebagai bintang popular tetapi atas prinsip profesionalisme dalam memperjuangkan masalah kemiskinan dan penularan penyakit AIDS.

Kemampuan orang popular seperti Bono dan Angelina Jolie tentu sahaja menaikkan taraf selebriti itu yang sebelum ini sering dipandang rendah kerana penglibatan kebanyakan mereka dalam kegiatan negatif seperti seks bebas dan penyalahgunaan dadah.

Dengan sedikit sebanyak kemampuan untuk mengubah pandangan dan pemikiran orang ramai pastinya keupayaan mereka ini akan dinilai dan dipandang tinggi oleh para pemimpin untuk turut sama dalam membawa perubahan yang diinginkan.

Dengan kemampuan untuk "bercampur gaul" bersama pemimpin berpengaruh serta menjadi tatapan utama pembaca di akhbar-akhbar pastinya keupayaan mereka ini akan dinilai dan disokong oleh para peminat mereka.

Artis sebegini menggunakan sepenuhnya status selebriti mereka untuk memperoleh akses mendampingi para pemimpin sekali gus mempengaruhi mereka tentang isu yang diperjuangkan. Namun pada masa yang sama bukan semua pemimpin mahu didampingi golongan popular ini atas sebab-sebab melindungi kepentingan mereka.

Ada di antara mereka ini yang berjuang atas nama kebebasan berpolitik untuk menarik sokongan masyarakat dunia terhadap sesuatu isu yang mungkin ditentang keras oleh sesebuah negara.

Salah satu contoh ialah kempen menggesa pembebasan ikon pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, turut mendapat perhatian selebriti Hollywood seperti aktres Julia Roberts.

Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan di rumah selama 13 tahun daripada tempoh hukuman selama 19 tahun. Julia yang terlibat dalam kempen '64 perkataan untuk Aung San Suu Kyi', yang dianjurkan oleh satu pakatan hak kemanusiaan dan kumpulan-kumpulan aktivis yang dilancarkan pada 27 Mei lalu yang turut pelakon dan selebriti seperti Demi Moore, Kevin Spacey, Yoko Ono dan penerbit filem Titanic dan The Terminator, James Cameron.

Selebriti popular ini sememangnya berpengaruh dan mampu menarik sokongan orang ramai tetapi bukan semua mereka mampu memberikan kesan positif terhadap masyarakat.

Populariti

Bukan semua pengaruh selebriti ini digunakan sebaik mungkin. Terdapat sesetengah selebriti ini hanya menggunakan pengaruh mereka ini atas tujuan untuk meraih dan mengekal populariti tanpa sebarang tujuan jelas.

Sebagai contoh terdapat artis popular ini yang yang sanggup berbogel atas tujuan menggalakkan orang ramai tidak menggunakan pakaian yang diperbuat dari bulu binatang.

Mereka ini hanya lebih tertumpu kepada mencari publisiti dan glamor bagi mengekalkan kedudukan sebagai artis selain memastikan berita mereka masih mendapat perhatian di dada akhbar dan televisyen.

Contoh terbaik bagi kategori selebriti sebegini pastinya Paris Hilton dan Pamela Anderson. Mereka ini dilihat umpama manusia plastik yang membuat kerja-kerja amal hanya untuk mendapatkan publisiti bagi survival karier mereka di Hollywood.

Satu lagi isu yang dikaitkan dengan lambakan selebriti diplomat ini ialah adakah dengan penyertaan mereka secara aktif dan berterusan mampu mengesamping peranan diplomat yang bekerja dan secara penuh masa.

Ada pendapat menyatakan peranan yang dimainkan oleh selebriti ini umpama satu gerakan "anti political establishment" memandangkan sejak sekian lama belum terdapat perubahan yang jelas dan nyata tentang kesamarataan hak penduduk dunia. Melalui gerakan yang melibatkan selebriti ini barulah dilihat terdapat perubahan dan perhatian yang jelas dalam membantu penduduk dunia yang selama ini terabai.

Mungkin ada kebenarannya kerana sedikit sebanyak ia umpama satu "wake up call" kepada para diplomat elitis yang gagal menjalankan tugas mereka selama ini.

Lihat saja apa yang dilakukan oleh Bono bila dia dilihat duduk semeja dengan beberapa pemimpin dunia seperti bekas Presiden Amerika syarikat (AS) George W. Bush, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dan berbincang tentang isu-isu seperti peperangan, kemiskinan. Mereka ini dilayan seumpama pemimpin besar oleh para pemimpin dunia.

Ini pastinya bukan satu usaha yang mudah kerana bagi kebanyakan pemimpin negara mereka terpaksa membayar harga yang mahal kepada pelobi semata-mata hanya untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin AS selama beberapa minit. Maka tidak dapat tidak kita harus menghormati peranan yang dimainkan para selebriti ini yang telah meletakkan nama dan jejak yang jelas di peringkat global.

Kita boleh melihat bagaimana pelakon terkenal seperti George Clooney dan Mia Farrow berjuang habis-habisan mengenai Afrika malah sehingga di luar batasan aktivis politik. Kita boleh melihat Sean Pean bersungguh-sungguh menegakkan protes anti perang selain kempen kesedaran mengenai penyakit AIDS oleh penyanyi seperti Elton John.

Tidak dinafikan jumlah selebriti yang semakin galak menyertai senarai selebriti diplomat meningkat dari tahun ke tahun dan kesedaran sebegini adalah sesuatu yang proaktif dalam menyedarkan masyarakat dunia tentang apa sebenarnya yang berlaku di sekeliling dunia.

Namun bukanlah bermaksud untuk menghina, tetapi apakah penglibatan selebriti yang terkenal kerana skandal bukan kerana bakat dan kredibiliti mampu memberi kesan yang sepatutnya dalam terma diplomasi.

Adakah sekadar menyatakan diri mereka tidak akan menggunakan pakaian diperbuat dari bulu binatang dan tidak lagi memakan daging dan kemudian bergambar bogel kerana bersetuju dengan pendapat sedemikian mampu meletakkan martabat mereka seiring dengan para diplomat lain.

Mungkin atas kebebasan bersuara dan hak asasi manusia perlakuan sebegini dibenarkan. Namun sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menilai apakah perbuatan sebegini bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan.

Atas nama kemanusiaan, apa yang dilakukan oleh para selebriti ini sememangnya amat dialu-alukan namun bukan semuanya boleh diterima atas kapasiti pertembungan budaya dan agama. Mungkin selebriti di Malaysia boleh bertindak sama seperti apa yang dilakukan oleh mereka di Hollywood asalkan ia bersesuaian dengan batas dan budaya Malaysia
Jual al-Quran di Indonesia

KEBANYAKAN peniaga Malaysia yang mengembangkan sayap ke Indonesia adalah di dalam bidang cari gali minyak, perladangan dan telekomunikasi, tetapi seorang peniaga yang ditemui penulis baru-baru ini menjual al-Quran.

Beliau ialah Sabariah Abdullah iaitu Pengarah Urusan Saba Islamic Media dan terus penulis teringat kembali naskhah al-Quran dan telefon bimbit yang mempunyai ciri-ciri Islam yang dijual di kedai buku Wali Songo di Jakarta.

Rupa-rupanya ia adalah produk dari Malaysia dan syarikat yang diterajui oleh seorang usahawan wanita.

Menurut Sabariah, perkiraannya mudah sahaja, perniagaan beliau adalah sambil mencari rezeki dan berdakwah, tentulah Allah akan membantu. Berpegang kepada keyakinan itu beliau memberanikan diri mengembangkan sayap perniagaan di Indonesia.

Sasaran

"Pasaran di Malaysia dah tepu, jadi daripada melabur di pasaran yang sudah tidak boleh berkembang, lebih baik duit yang ada dibelanjakan memperluaskan perniagaan di negara yang mempunyai pasaran yang cukup besar," katanya.

Sasaran syarikat ialah menjual produk berasaskan Islam kepada golongan berpendapatan tinggi.

Jika dianggarkan jumlah golongan berkenaan adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia yang berjumlah lebih 230 juta itu, tentulah pasarannya sama besar dengan pasaran di seluruh Malaysia.

Jadi al-Quran yang dijual bukan naskhah biasa, ia adalah terjemahan di dalam bahasa Inggeris dan setakat ini lebih seribu naskhah telah dijual serta terdapat di kedai-kedai buku utama di Jakarta.

Bahan di dalam bahasa Inggeris memang sukar ditemui di Indonesia yang mempunyai semangat bahasa ibunda yang begitu kuat, jadi Al-Quran terjemahan di dalam bahasa Inggeris memang sukar diperoleh.

Selain orang Islam, penganut agama lain juga mengkaji tentang Islam dan mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan terpelajar yang lebih mahir berbahasa Inggeris.

Golongan ini memerlukan buku-buku dan terutama al-Quran di dalam bahasa Inggeris dan di sinilah Saba Islamic Media melihat peluang yang boleh direbut.

Semua itu, kata Sabariah, diperoleh hasil daripada kajian pasaran yang dilakukan beberapa bulan di Indonesia.

Selain al-Quran terdapat banyak lagi produk dijual termasuklah VCD kartun Raihan Ranger yang mengambil nama sempena kumpulan nasyid Raihan yang turut popular di Indonesia.

Di syarikat berkenaan di Bandar BSD, Tangerang itu turut mempunyai studio bagi membuat animasi Raihan Ranger versi Indonesia.

Syarikat berkenaan juga melalui Pt. Saba Islamic Media kini giat mencari mereka yang berminat untuk mengembang perniagaan tersebut di bandar-bandar utama di Indonesia dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui www.saba.com.my.
Laporan Khas: Golongan muda paling ramai muflis

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my


52 peratus daripada individu diisytihar bankrap berketurunan Cina

KUALA LUMPUR: Angkara kad kredit, 120 pemuda berusia di bawah umur 25 tahun di negara ini diisytihar muflis sejak 2005, mewakili hampir 10 peratus daripada jumlah yang diisytiharkan bankrap setiap tahun.

Sambil melahirkan kebimbangan dengan trend itu, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata jika tidak dibendung dibimbangi ia boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

"Sekiranya lebih ramai warga muda diisytiharkan bankrap, negara akan kehilangan tenaga dan kepakaran mereka. Mereka dalam kategori umur itu sepatutnya baru memulakan kerjaya atau baru habis pengajian.

"Agak pelik kerana golongan semuda itu sudah bankrap kerana gagal mengurus penggunaan kad kredit sehingga menanggung hutang lebih RM30,000 (had minimum perisytiharan bankrap) hanya dalam satu kad," katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian.

Beliau juga mendedahkan hanya kerana satu kad kredit, seorang pemegang kad kredit yang terlalu ghairah berbelanja terperangkap dalam jerat muflis selepas gagal menjelaskan tunggakan hutang mencecah lebih setengah juta ringgit.

Kes itu dilaporkan di Johor Bahru apabila pemegang kad jenis Diners Club itu berhutang lebih RM540,000 dan tersenarai dalam rekod Jabatan Insolvensi bersama 3,637 pemegang kad kredit di seluruh negara yang muflis dalam tempoh empat tahun lalu.

Perangkaan dari 2005 hingga Mei lalu menunjukkan 52 peratus daripada individu muflis berketurunan Cina atau seramai 1,907 orang, diikuti Melayu (36 peratus/1,301), India (11 peratus/391) dan lain-lain bangsa (Satu peratus/38).

Perangkaan Bank Negara pula menunjukkan sebanyak 11 juta kad kredit digunakan di seluruh negara sehingga April 2009 membabitkan had RM105.5 bilion dan dengan purata empat kad seorang, baki tertunggak belum dijelaskan setakat April lalu ialah RM22 bilion.

Abdul Karim berkata, lebih 50 peratus individu bankrap di kalangan pengguna kad kredit adalah mereka berusia bawah 44 tahun, iaitu usia yang masih diperlukan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar satu kajian dibuat berhubungnya selain menambahbaik dasar dan syarat memohon kad kredit supaya tidak semudah sekarang.

"Ketika ini mudah sangat nak dapat kad kredit... promosinya pula sangat hebat, sana sini ada ejen. Ini senario tidak sihat kerana meskipun kad kredit satu kemudahan, ia juga boleh mengundang kemudaratan seperti bankrap.

"Jangan nanti kerana terlalu mahu meningkatkan jumlah pengguna kad kredit, kita ada ramai rakyat yang bankrap hingga menimbulkan masalah kepada negara. Bank Negara perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara lain," katanya.
Bayaran minimum punca faedah tinggi


LEBIH 70 peratus daripada peserta program pengurusan kredit yang diuruskan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membabitkan mereka yang bermasalah dalam pembayaran kad kredit dan berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang.

Berdasarkan perangkaan AKPK, 13.4 peratus daripada keseluruhan 27,790 peserta program itu mempunyai masalah hutang kad kredit, manakala 58.6 peratus lagi kerana hutang kad kredit bersama pelbagai masalah kewangan lain.

Jumlah peserta terus bertambah setiap tahun sejak agensi itu diwujudkan pada 2006 hingga mencecah lebih 90,000 orang setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan, berkata masalah pengurusan kewangan membabitkan hutang kad kredit paling ketara di kalangan rakyat kerana ia tidak membabitkan aset cagaran.

"Seseorang itu akan sedaya upaya mencari jalan membayar hutang kereta dan rumah kerana ia membabitkan aset yang akan ditarik jika gagal dibuat bayaran. Bagi kad kredit, ia hutang tanpa cagaran yang tidak begitu dipedulikan sangat.

"Lantaran itu, ramai yang datang ke AKPK ada masalah hutang kad kredit," katanya sambil menambah AKPK pada dasarnya menggalakkan penggunaan kad kredit, tetapi perlu secara berhemah.

Katanya, pendekatan membuat bayaran minimum kad kredit akan memerangkap pengguna kerana tunggakan hutang kredit akan dikenakan faedah 18 peratus setahun, sebaliknya bayaran harus dibuat ke atas jumlah yang digunakan.

"Sekiranya satu kad digunakan sehingga RM10,000 dan sekadar membuat bayaran minimum, ia akan memakan masa tujuh tahun empat bulan untuk menyelesaikan tunggakan hutang itu dengan faedah sebanyak RM3,780," katanya.

Beliau berkata, kad kredit sebenarnya penting dalam kehidupan ketika ini kerana sering berlaku pelbagai keperluan yang tidak diduga, tetapi tidak ramai terutama golongan muda berdisiplin dalam menguruskan perbelanjaan mereka.

Berdasarkan perangkaan AKPK, lebih 70 peratus masalah pengurusan kewangan membabitkan lelaki, 60 peratus di bawah usia 40 tahun, 65 peratus bagi mereka berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dan hampir 80 peratus sudah berkahwin.
Belanja lebihi kemampuan bawa sengsara


MATI segan, hidup tak mahu - begitulah beratnya beban mereka yang muflis.

Tiada lagi istilah senang lenang, kebebasan untuk ke luar negara terhalang, akaun bank dibekukan kecuali untuk bayaran gaji, jauh sekali dapat membuat pinjaman kewangan, apatah lagi menjadi wakil rakyat atau pengarah syarikat.

Itulah penangan bankrap yang tidak mengenal usia, malah mereka yang belum sempat mengaut pengalaman juga sudah terperangkap dalam usia terlalu muda, antara puncanya hanyalah kad kredit.

Paling ramai menjadi mangsa kad kredit adalah lelaki yang menyumbang sebanyak 2,919 kes muflis dalam tempoh 2005 hingga Mei lalu, berbanding 718 kes membabitkan wanita.

Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata perkembangan itu tidak boleh dipandang ringan kerana muflis akibat hutang kad kredit adalah yang ketiga tertinggi selepas pinjaman peribadi dan pinjaman perniagaan.

Katanya, Selangor mencatatkan jumlah individu bankrap tertinggi dengan 1,637 kes dalam tempoh empat tahun itu, diikuti Kuala Lumpur (899 kes), Johor (352 kes), Pulau Pinang (234 kes) dan paling rendah, Perlis dengan 11 kes.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, kesal dengan Bank Negara yang membenarkan promosi agresif dan tidak terkawal untuk menarik pengguna kad kredit.

"Sepatutnya, syarat untuk memiliki kad kredit diperketatkan dan jangan dibuat promosi besar-besaran seperti sekarang. Pendapatan minimum untuk memiliki kad kredit juga perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM36,000 setahun.

"Pembayaran minimum pula hanya lima peratus dan pengguna tak sedar tunggakan akan dikenakan faedah. Justeru, bayaran minimum juga perlu dinaikkan kepada 30 peratus supaya faedah tidak terlalu banyak," katanya.

Selain itu, katanya, pihak bertanggungjawab perlu memperbanyakkan program berkaitan pengurusan kewangan terutama untuk golongan muda yang berisiko berbelanja melebihi kemampuan.

"Syarat longgar yang diperkenalkan bank mewujudkan kelompok suka berhutang. Ada melanggan kad kredit baru untuk melunaskan hutang kad kredit lama, akhirnya hutang menimbun," katanya.

Beliau menggesa Bank Negara menggalakkan penggunaan kad debit yang kelihatan lebih melindungi pengguna selain menghentikan persaingan di kalangan bank untuk mendapat pelanggan dan menyekat penggunaan kad jika hutang terlalu tinggi.
Soal Jawab: Elak kebergantungan satu sumber pembantu rumah


KHAMIS lalu, Kerajaan Indonesia membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, gara-gara penderaan ke atas seorang amah negara itu,

Siti Hajar Sadli, 33, satu lagi kes menggemparkan selepas nasib sama menimpa rakan senegaranya, Nirmala Bonat, lima tahun lalu. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahir mendapatkan Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Datuk Raja Zulkepley Dahalan untuk mengulas perkembangan itu.

Apa pendapat Datuk terhadap keputusan Kerajaan Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia.



Kesan langsung akan dirasai bakal majikan atau majikan yang ingin menggantikan amah sedia ada, terutama yang sudah membayar pendahuluan kepada agensi pekerja asing. Dianggarkan 5,000 permohonan sebulan diterima untuk mendapatkan pembantu rumah Indonesia, katakan 5,000 x RM2,500 wang pendahuluan. Sebanyak RM12.5 juta wang rakyat Malaysia mengalir ke Indonesia. Bolehkah wang itu dipungut semula dan dikembalikan kepada pemohon? Bagaimana pula kos agensi yang mengendalikan urusan berkenaan, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia.

Majikan juga boleh menghadapi tekanan emosi kerana memerlukan pembantu rumah untuk mengurus bayi, anak-anak, ibu bapa uzur dan sebagainya. Bagi majikan wanita yang bekerja, sama ada di sektor kerajaan atau swasta, mereka terpaksa mengambil cuti untuk tempoh tertentu dan kesannya, produktiviti sektor awam dan swasta itu sedikit sebanyak akan terjejas.

Pada saya, keputusan ini ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar’, malah pihak berkaitan lain seperti Penyalur Jasa Tenaga Kerja Indonesia (PJTKI) di Indonesia serta wanita dari negara itu yang benar-benar mahu bekerja di Malaysia juga akan terjejas.

Jadi, apakah alternatif yang dicadangkan PAPA untuk mengatasi masalah itu.

Dua tahun lalu, PAPA pernah mencadangkan pembantu rumah dari China kerana kita mesti cari negara sumber baru. Risikonya besar jika bergantung kepada hanya satu atau dua negara kerana akan timbul masalah jika negara itu tiba-tiba menghentikan penghantaran tenaga kerjanya atas apa juga alasan, termasuk politik.

Cadangan ini ada justifikasi kuat kerana 85 hingga 90 peratus majikan yang mendapatkan amah melalui agensi adalah majikan Cina. Lagi pun, berdasarkan kes penderaan amah Indonesia sebelum ini, hampir keseluruhannya membabitkan majikan Cina. Jadi, ada kecenderungan di mana perbezaan adat resam, budaya dan agama boleh memberi kesan dan menyebabkan penderaan pembantu rumah. Ada baiknya kita cuba dapatkan amah dari China untuk majikan Cina kerana permintaan memang ada. Anggaran gaji bulanan mereka RM1,000.

Kita juga mencadangkan pembantu rumah dari Myanmar kerana sejak dua tahun kebelakangan ini, sukar mendapatkan amah Indonesia. Saya difahamkan dua atau tiga tahun lalu, 50 peratus daripada keseluruhan amah Indonesia yang dihantar ke negara luar adalah ke Malaysia, tetapi kini menurun kepada 20 peratus. Kita juga berdepan kos pengambilan pembantu rumah tinggi di luar kawalan agensi pembantu rumah.

PAPA turut berbincang dengan Kedutaan Filipina untuk membawa masuk pembantu rumah Islam dari Mindanao. Selama ini kita tidak memberi tumpuan kepada Mindanao, sebaliknya hampir 10,000 pembantu rumah Filipina sekarang adalah dari Luzon dan mereka bukan Islam, jadi tidak boleh berkhidmat dengan majikan Islam kerana dasar kerajaan kita tidak membenarkannya.

Setakat ini, kita belum dapat lampu hijau dari Kerajaan Filipina kerana faktor gaji. Kita cadangkan RM800 sebulan tetapi mereka mahu RM1,400 atas alasan pembantu rumah mereka berkelulusan, mahir dan boleh berbahasa Inggeris.

Berbalik kepada punca Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumahnya. Pada pendapat Datuk, mengapa kes penderaan pembantu rumah asing berlaku.

Umumnya kerana majikan dan pembantu rumah tidak memahami tugas, tanggungjawab dan matlamat masing-masing. Majikan, tidak melayan pembantu rumah secara manusiawi dan meminggirkan hak asasi, mengalami tekanan hidup dan gangguan mental atau sifat semula jadi garang, tidak bertimbang rasa dan terlalu cerewet.

Mungkin wujud masalah komunikasi dengan amah atau terlalu banyak memberi arahan menyebabkan amah bingung lalu berdiam diri atau melawan cakap. Ada juga majikan memberi beban kerja keterlaluan tanpa rehat secukupnya atau mengarahkan amah bekerja di dua atau tiga tempat hingga timbul ketegangan dan konflik dengan majikan. Dalam sesetengah kes, majikan bukan Islam mengarahkan pembantu rumah Islam memasak masakan atau memandikan haiwan peliharaan yang haram di sisi Islam.

Pembantu rumah pula mungkin sering dipersoalkan oleh majikan menyebabkan mereka tertekan, dituduh lambat atau tidak boleh buat kerja, pelupa, pengotor, melawan cakap, suka cakap bohong dan tidak faham bahasa. Punca lain apabila berlaku kesilapan dan perangai pembantu rumah yang tidak menyenangkan seperti menipu, mencuri, mendera ahli keluarga majikan, menggunakan telefon rumah untuk menghubungi negara asal atau membawa masuk orang luar.

Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan tidak mahu agensi pembantu rumah asing mengambil amah yang tiada sebarang pendidikan asas. Apa pendapat Datuk.

Setakat Januari lalu, hampir 80 peratus daripada 310,662 pembantu rumah asing di Malaysia adalah dari Indonesia. Kebanyakannya dikategorikan tidak mahir dengan hanya berpendidikan Sekolah Dasar atau setaraf Tahun Enam di Malaysia, manakala sebahagian lagi tidak tamat pun Sekolah Dasar, tetapi biodata mereka menunjukkan sebaliknya dan mereka ini dibawa masuk agensi berdaftar, bagaimana pula dengan kualiti amah yang masuk melalui agensi haram atau diambil secara pendaftaran individu.

Kita tiada pilihan kerana pembantu rumah mahir, separuh mahir, baik, mampu berkomunikasi, ada kemahiran dan berketerampilan lebih berminat bekerja di negara seperti Taiwan, Hong Kong, Singapura, Brunei atau Asia Barat kerana gaji lebih tinggi dan skim perkhidmatan yang lebih baik.

Saya difahamkan, daripada 400 agensi pekerja di Indonesia, kira-kira 150 PJTKI membekalkan pembantu rumah ke Malaysia tetapi majoritinya hanya boleh berbahasa Indonesia, manakala yang boleh berbahasa Inggeris dan Mandarin dihantar ke negara maju lain.

Untuk memilih amah berkualiti, agensi kita perlu ke Indonesia tetapi jika kerap berbuat demikian, ia pasti menelan belanja besar yang kemudian meningkatkan pula kos kepada majikan. Jadi, kita hanya bergantung kepada maklumat dalam biodata pembantu rumah dan untuk mendapatkan biodata itu juga, kita harus membayar kerana jika tidak, biodata itu akan diberikan kepada pihak di negara lain.

Bagaimana dengan peraturan mewajibkan majikan memberi cuti rehat sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah berkuat kuasa akhir tahun ini.

Ia belum tentu dapat mengelak berlakunya penderaan ke atas pembantu rumah. Konflik dan ketegangan akan tetap berlaku bila amah sudah ‘sedap’ bercuti, balik lewat malam dan tidak begitu bersemangat bekerja esoknya. Lebih memburukkan keadaan jika suka melawan cakap. Kita juga patut memikirkan kesan buruk peraturan itu, antaranya dari sudut sosial. Mungkin amah yang bercuti di luar rumah majikan mendapat jangkitan penyakit yang boleh menjejaskan keselamatan keluarga majikan.

Apa pun, PAPA pada dasarnya bersetuju dengan langkah memberikan cuti ini kerana ia selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan peraturan sejagat. Kita tidak boleh menafikan hak asasi pembantu rumah Indonesia, sedangkan rakan mereka dari Filipina, Vietnam dan Kemboja sudah menikmati kemudahan itu yang dinyatakan dalam kontrak kerja. Wajar kontrak itu diseragam dan dikuatkuasakan melalui Akta Pekerja 1955 yang bakal dipinda akhir tahun ini dengan mengiktiraf pembantu rumah sebagai pekerja domestik, sekali gus layak menerima hak seperti cuti, rawatan perubatan, elaun kerja lebih masa, insurans dan lain-lain.

Kita juga perlu memperhebatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada lagi pendatang asing tanpa izin serta sindiket, agensi haram atau individu mengurus kemasukan pembantu rumah selain memastikan tiada majikan mengambil pembantu rumah secara haram. Mekanisme juga perlu dirangka bagi mengelakkan pembantu rumah terbabit dalam aktiviti tidak sihat atau melarikan diri dari majikan. Di negara seperti Taiwan, Hong Kong dan Singapura, ada mekanisme cukup cekap untuk mengesan amah yang lari dari majikan. Masyarakat di sana juga takut mengambil pembantu rumah secara haram kerana penguatkuasaannya ketat.

Akhir sekali, apa pendapat Datuk berhubung langkah yang boleh diambil untuk mengatasi kes penderaan pembantu rumah.

Selain aspek yang disebutkan di atas, kebajikan pembantu rumah perlu dipastikan lebih terjamin. Bayaran gaji contohnya dibuat terus ke akaun mereka kerana banyak kes dan aduan diterima mengenai majikan enggan membayar gaji pembantu rumah mereka yang sudah tamat kontrak.

Bagi pihak PAPA pula, kita merancang kursus dan latihan untuk majikan bagi mendedahkan mereka kepada aspek perundangan, komunikasi, hak asasi manusia, budaya dan sebagainya dengan mengundang penceramah dari polis, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan. Majikan perlu tahu semua perkara ini, contohnya apa hukuman jika mereka melakukan penderaan ke atas pembantu. Peserta kursus kemudian akan diberi sijil yang diperakukan oleh pihak berkuasa seperti JTK contohnya dan tanpa sijil itu, mereka tidak boleh mengambil pembantu rumah warga asing.
Soal Jawab: 'Perjanjian isu amah perlu ditambah baik'

Oleh Ahmad Naim Tahir

KHAMIS lalu, Kerajaan Indonesia membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, gara-gara penderaan ke atas seorang amah negara itu, Siti Hajar Sadli, 33, satu lagi kes menggemparkan selepas nasib sama menimpa rakan senegaranya, Nirmala Bonat, lima tahun lalu. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahir mendapatkan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar untuk mengulas perkembangan itu. BOLEH Tan Sri mengulas mengenai keputusan Kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.

Keputusan berkenaan dibuat kerana Kerajaan Indonesia memutuskan untuk melakukan penilaian terhadap penempatan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) penata laksana rumah tangga atau pekerja domestik dari negara kami ke Malaysia.

Untuk itu, buat sementara waktu kita menghentikan penempatan TKI dalam sektor berkenaan ke Malaysia sehingga dilakukan penambahbaikan atau kajian semula terhadap perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung perkara ini.

Isu ini akan dibincangkan dalam pertemuan Kumpulan Kerja Bersama atau Joint Working Group kedua-dua negara dalam waktu terdekat. Bagaimanapun, bagi pekerja domestik yang ketika ini sudah dalam proses penempatan, mereka akan tetap dihantar ke Malaysia kerana keputusan menghentikan penghantaran itu hanya membabitkan pengambilan baru.

Keputusan itu bagaimanapun mengundang tanggapan yang Indonesia cuba membuat ugutan kerana tahu rakyat Malaysia amat bergantung kepada pembantu rumah dari negara itu dan apakah undang-undang sedia ada di Malaysia masih tidak mencukupi untuk melindungi TKI.

Sebenarnya, penempatan TKI ke Malaysia bermanfaat bagi kedua-dua negara, baik Indonesia mahu pun Malaysia. Namun adalah menjadi kewajipan kerajaan mana pun, termasuk Indonesia untuk melindungi warga negaranya.

Oleh kerana itu, Kerajaan Indonesia berharap dengan melakukan penilaian atau penyempurnaan MoU berkenaan, perlindungan ke atas TKI dapat dipertingkatkan.

Berhubung undang-undang sedia ada di Malaysia untuk melindungi TKI, kami tidak dalam posisi untuk menilai apakah peraturan dan undang-undang berhubung tenaga kerja yang ada di Malaysia cukup untuk melindungi pekerja Indonesia.

Yang menjadi pertimbangan kami adalah masih ada pelbagai hal berkaitan dengan permasalahan pekerja domestik Indonesia di Malaysia yang memerlukan penambahbaikan dan harus ditingkatkan seperti hak untuk mereka bercuti, kenaikan gaji, isu penyimpanan pasport dan lain-lain.

Bagaimana Tan Sri melihat keputusan Kerajaan Malaysia melarang agensi pembantu rumah mengambil pekerja yang tiada pendidikan asas bagi mengelak masalah komunikasi ketika berkhidmat dan membendung pelbagai masalah seperti penderaan yang dipercayai berpunca akibat kegagalan memahami arahan majikan.

Kami bersependapat dengan keputusan Kerajaan Malaysia yang mewajibkan pekerja memiliki pendidikan dan keterampilan. Dalam Undang-Undang Penempatan TKI yang digubal di Indonesia, kami sudah mewajibkan setiap TKI supaya terlebih dulu diberikan latihan dan dibekalkan dengan pengetahuan serta keterampilan yang diperlukan sebelum mereka dihantar ke luar negara.

Selain itu, semua majikan juga diwajibkan memberi cuti rehat sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah atau menggantikan dengan bayaran gaji sehari. Apakah dengan memberi cuti rehat itu akan menyelesaikan masalah penderaan.

Penderaan adalah perbuatan jenayah yang boleh berlaku di mana-mana pun, tetapi penderaan yang berlarutan seperti yang dialami oleh sesetengah pembantu rumah warga Indonesia seperti Nirmala Bonat dan Siti Hajar yang didera hampir tiga tahun akan dapat dicegah jika TKI ada peluang untuk bersosial atau berkomunikasi dengan orang lain.

Bagi kes penderaan yang berlarutan seperti itu, sudah tentu ia sukar diketahui pihak lain kerana mangsa tidak mempunyai peluang atau kesempatan untuk keluar dan bertemu dengan orang lain, misalnya pada hari cuti.

Ada juga majikan bimbang jika memberi cuti sebegitu, pembantu rumah berpeluang berkumpul, terbabit dengan jenayah atau mungkin juga berpakat melarikan diri daripada majikan. Apa pendapat Tan Sri.

Pada dasarnya, majikan yang baik tentu memahami beban kerja serta psikologi setiap manusia yang memerlukan waktu rehat dan suasana kebebasan, ia sifat hakiki manusia. Seandainya majikan memperlakukan tenaga kerja sebagai sebahagian daripada keluarga, mungkin pekerja itu tidak perlu diberikan cuti, tetapi kerana majikan pada umumnya tidak memberikan waktu rehat kepada pembantu rumah, maka perlu harus diatur kesempatan untuk pekerja itu berehat.

Seandainya ada majikan bimbang kesempatan bercuti itu digunakan oleh pembantu rumah untuk melakukan perbuatan jenayah, itu sebenarnya adalah tugas pihak berkuasa, dalam hal ini pihak polis (untuk mengambil tindakan).

Bila terbukti (melakukan jenayah), pelakunya harus dihukum sesuai dengan ketentuan undang-undang dan perlakuan itu. Dalam usaha menangani perkara negatif sedemikian, semua pihak perlu bekerjasama, baik kerajaan mahupun agensi (pembantu rumah).

Bagaimana Tan Sri melihat cadangan sesetengah pihak yang berpendapat kes penderaan pembantu rumah boleh diatasi jika pembantu beragama Islam ditempatkan bersama majikan Islam, bukan seperti sekarang di mana pembantu Islam juga dibenarkan bekerja dengan majikan bukan Islam.

Kerajaan Indonesia tidak menetapkan bahawa pekerja Muslim hanya dibenarkan bekerja dengan majikan Muslim. Yang penting adalah adanya kesedaran daripada majikan untuk menghargai hak beragama dan beribadah pembantu rumah mereka.

Bagaimanapun, jika cadangan supaya pekerja beragama Islam dari Indonesia hanya dibenarkan bekerja dengan majikan yang juga beragama Islam dianggap baik oleh Kerajaan Malaysia, maka kami akan menyokongnya.

Akhir sekali, bagaimana pula peranan Kerajaan Indonesia untuk sama-sama mencari jalan menyelesaikan masalah kebajikan tenaga kerjanya di Malaysia supaya wujud situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.

Situasi menang-menang kepada kedua-dua negara itulah yang kita inginkan. Oleh kerana itu, penyempurnaan MoU antara Indonesia dan Malaysia berhubung pekerja domestik Indonesia selepas ini diharapkan dapat mencapai rumusan terbaik supaya dalam satu aspek, hak TKI terlindung dan dalam aspek yang lain, majikan di Malaysia akan mendapat pekerja dengan kelayakan yang sesuai seperti dikehendaki mereka.
Ancaman luar biasa keselamatan, bencana jejas kehidupan manusia

Oleh Zaini Mohd Said

SALAH satu tanggungjawab terpenting mana-mana kerajaan dan angkatan tentera adalah untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyat dilindungi daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ia satu tanggungjawab yang berat, malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi bertambah berat dan sukar lagi untuk dilaksana dengan berkesan.

Kecenderungan beberapa kuasa besar bertindak secara rakus dan unilateral terhadap negara-negara yang lemah menjadi salah satu penyebab. Keselamatan negara dan rakyat bertambah dirumitkan lagi oleh tindak-tanduk kumpulan militan dan pengganas antarabangsa yang operasi mereka boleh melangkaui sempadan dan diburu pula negara-negara lain. Kesan kekerasan dan keganasan melampau yang dilakukan oleh mereka itu kerap dilaporkan menerusi media semasa sejak sekian lama.

Pada masa sama, persaingan untuk menguasai kawasan zon ekonomi bertindih serta merebut hasil sumber asli yang berada di dalamnya yang ini sudah semakin berkurangan boleh dan menimbulkan masalah hingga tercetus perselisihan faham dan konflik ketenteraan antara negara yang bertelagah biar pun mereka yang berjiran rapat.

Malaysia sebagai contoh, kini berdepan pertikaian dengan beberapa negara serantau termasuk juga dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam perkara ini. Yang terakhir berlaku adalah persoalan hak eksploitasi di kawasan Ambalat atau Laut Sulawesi yang sedang cuba diatasi oleh kedua-dua pihak melalui usaha diplomasi awam dan tentera.

Perubahan ketara iklim dunia oleh sebab pemanasan global juga membawa masalah besar buat semua. Akibat daripada fenomena pemanasan ini, maka berlaku banjir besar di tempat tertentu dan kemarau berpanjangan di tempat lain. Bencana-bencana seperti ini dan juga yang lain seperti kejadian gempa bumi, tsunami, runtuhan tanah, bangunan dan sebagainya itu banyak juga menjejas kehidupan manusia.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila bencana itu memusnahkan tanaman dan pengeluaran hasil makanan yang secara langsung mengancam kehidupan manusia. Semuanya ini dapat membuat manusia menjadi marah dan tidak berfikiran secara rasional hingga sanggup menentang dan melawan pihak berkuasa mahu pun kerajaan kerana kelaparan dan kesusahan hidup. Angkatan tentera selalu dibabitkan dalam keadaan atau senario sedemikian untuk membantu pihak berkuasa awam dengan menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada padanya.

Keseluruhan keadaan ini pula tidak mungkin berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang. Malah, amat besar kemungkinan ia akan menjadi lebih getir dan berbahaya lebih-lebih lagi bagi mana-mana kerajaan atau negara yang tidak bersedia untuk menghadapinya dengan segala rancangan, kemampuan, serta dana yang mencukupi untuk mengurangkan kesan sukar akibatnya.

Keadaan semasa sudah dianggap serius sehinggakan ramai penganalisis keselamatan berpendapat bahawa dunia dalam dekad awal abad ke-21 ini sedang berada pada persimpangan jalan yang sungguh berbahaya. Sekiranya keadaan tidak ditangani secara bijak dan berterusan, maka dunia boleh terjerumus ke dalam kancah keperitan jika tidak huru-hara yang sangat besar dan meluas tidak lama selepas itu.

Ancaman ketenteraan yang konvensional akan terus kekal menghantui keselamatan mana-mana negara, selagi manusia sanggup bermusuhan dan mampu melakukan kekerasan terhadap manusia yang lain. Angkatan tentera dan sistem pertahanan negara diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman-ancaman seperti ini yang boleh berupa serangan ketenteraan konvensional dari negara lain, keadaan tidak tenteram di dalam negeri serta juga melakukan tugas-tugas sekunder membantu pihak berkuasa awam menangani bencana alam semula jadi dan bencana lain.

Bagi ancaman ketenteraan, apa yang nyata bahawa kemajuan pesat yang tercapai dalam teknologi pembinaan persenjataan dan cara berperang sudah meningkatkan kuasa membunuh dan memusnah senjata berkenaan sehingga menjadi begitu kuat dengan kesan yang dahsyat sekali.

Malangnya, penduduk awam yang bukan 'combatant' atau musuh, turut menjadi korban, mendapat cedera dan mengalami kesengsaraan akibat penggunaan senjata-senjata ini yang kadang-kadang tersasar atau dengan sengaja ditujukan kepada mereka, kediaman mereka dan juga segala kemudahan lain yang ada.

Ia sudah pun jelas terbukti berlaku di Iraq dan Afghanistan apabila Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyerang dan menakluk negara berkenaan. Serangan Israel ke atas Gaza juga sama apabila ramai mangsa yang mati dan cedera adalah penduduk awam Palestin dan bukannya pejuang Hamas. Peperangan menggunakan cara dan senjata konvensional sememangnya boleh menyebabkan kematian yang ramai serta kemusnahan besar kepada tentera dan juga awam.

Oleh kerana tidak dapat menandingi kemampuan dan taktik konvensional pihak lawan, maka ancaman tidak konvensional dan 'assymetric' diwujudkan oleh mereka yang lemah. Strategi dan taktik ini memang lebih banyak digunakan puak pelampau dan pengganas yang mengeksploitasi teknologi persenjataan, komunikasi dan elektronik yang sedia ada, juga bersama rakyat yang menyokong mereka, mampu mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan jauh lebih besar daripada kemampuan sebenar yang ada pada mereka.

Mereka memperjuangkan matlamat mereka ini melalui peperangan gerila, melakukan pembunuhan secara selektif, mengguna pengebom bunuh diri, bom kereta, keganasan terhadap penduduk awam serta juga dengan melakukan demonstrasi dan protes besar-besaran yang berpanjangan. Ia termasuk juga perbuatan sabotaj, pengkhianatan dan sebagainya. Apa yang menakutkan semua, adalah kemungkinan yang mereka sedang berusaha memperoleh dan menggunakan persenjataan nuklear, biologi dan kimia terhadap seteru mereka.

Semua yang dinyatakan ini adalah cabaran dan ancaman serius. Ia juga memberi petunjuk kepada keperluan untuk dipertingkatkan lagi kapasiti dan kemampuan angkatan tentera supaya benar-benar dapat mempertahankan negara dan melindungi rakyat. Pertahanan dan perlindungan ini bukan saja daripada ancaman serangan konvensional, tetapi juga daripada tindakan mana-mana pihak menggunakan peperangan, persenjataan, serta muslihat yang tidak konvensional atau pun 'asymmetric.' Ini termasuk jugalah dengan mengguna persenjataan nuklear, biologi dan kimia atau pun penentangan melalui demonstrasi yang sangat besar oleh mana-mana pihak sekali pun.

Dalam menghadapi dan menangani segala cabaran dan ancaman yang diterangkan itu, jelas ada menunjukkan kepada keperluan untuk disediakan perlindungan dan pertahanan bagi orang awam yang sering menjadi mangsa persenjataan dan taktik perang pihak yang bersengketa. Agak nyata bahawa pihak tentera juga perlu meningkatkan kapasiti dan kemampuan dalam semua aspek pengurusan bencana alam semula jadi dan yang disebabkan angkara manusia agar benar-benar berkesan.

Adalah diharap agar semua pihak terbabit secara terus di dalam bahagian pertahanan dan keselamatan negara dapat memikirkan akan apa yang sudah dinyatakan dan berbuat sesuatu dengan segera.

Penulis ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat
Pembalakan jejas Hutan Simpan Bintang Hijau

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Kawasan tadahan punca utama bekalan air Kampung Changkat Berangan terancam

LENGGONG: Lebih 500 penduduk Kampung Changkat Berangan, Perak membantah rancangan untuk membalak di Hutan Simpan Bintang Hijau kerana kawasan tadahan air itu adalah punca utama bekalan air untuk kegunaan harian masyarakat setempat melalui projek air masyarakat.

Berdasarkan bukti penandaan zon pembalakan, kawasan tanah hutan simpan seluas 630 hektar itu sudah pun diwarta sebagai kawasan pembalakan sejak tahun lalu ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Ketua Kampung Changkat Berangan, Hassan Shahriman, berkata pihaknya pernah menghantar bantahan kepada Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan kerajaan negeri bertindak membekukan projek berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sejak pemerintahan negeri diambil alih Pakatan Rakyat pada 2008, rancangan projek itu dibuka semula dan penduduk mendapati kerja menandakan kawasan mengikut zon sudah pun dimulakan pada tahun yang sama.

"Ini sajalah punca bekalan air penduduk, kami gunakan untuk kegunaan harian, bekalan air sawah dan kolam ternakan. Jika hutan simpan diteroka, kawasan tadahan air akan rosak dan punca air akan kering.

"Kami harap kerajaan baru Perak batalkan projek itu dan kekalkan ekosistem kawasan hutan di sini. Sudah banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk bina kolam takungan dan laluan ke bukit berkenaan, kenapa perlu dimusnahkan," katanya.

Berdasarkan tinjauan Berita Minggu bersama penduduk di banjaran Bukit Bintang, memang ada banyak pokok balak yang sudah ditanda cat merah menunjukkan kawasan yang akan ditebang. Difahamkan, ia dilakukan syarikat pembalakan yang sudah diberikan hak mengeluarkan balak di situ.

Ketika ini, penduduk Kampung Changkat Berangan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Kangsar, bergantung sepenuhnya kepada projek bekalan air masyarakat yang menggunakan sistem paip yang disambung terus daripada punca air bukit untuk disalurkan ke rumah penduduk.

Mereka menikmati kemudahan itu sejak lapan tahun lalu dengan bayaran RM2 sebulan untuk kos penyelenggaraan dan sebelum ini mereka berkongsi dengan punca bekalan air masyarakat di kawasan Lata Kekabu dan Lata Papan Kuak, tidak jauh dari situ.

Selepas jumlah penduduk bertambah dan bekalan air tidak mencukupi, satu lagi takungan air dibina di Kampung Changkat Berangan menggunakan paip getah yang disambung sejauh 12 kilometer.

Ketua Cawangan Umno Kampung Changkat Berangan, Abdul Hamid Hussin, berkata beberapa kawasan lain yang pernah mengalami masalah sama kini menyesal kerana membenarkan aktiviti membalak di hutan simpan berhampiran sumber air mereka mengakibatkan sumber air tercemar.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu masalah sama berulang di tempat mereka kerana penduduk memerlukan bekalan air bersih, walaupun sudah disediakan bekalan air paip oleh kerajaan negeri.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merangkap pengerusi unit bekalan air masyarakat kampung, Ismail Mat Nali, berkata kerajaan negeri sebelum ini membelanjakan puluhan ribu menyediakan kolam takungan dan kemudahan laluan pejalan kaki ke bukit berkenaan.

"Kami yang jaga kawasan itu, bersihkan takungan setiap bulan atau setiap kali hujan lebat supaya kepala saluran paip tidak tersumbat. Jika projek membalak diteruskan, kami tidak boleh bagi jaminan jika berlaku sesuatu tindakan luar jangkaan," katanya.

Laluan ke kawasan takungan air itu sudah diturap melalui ladang kelapa sawit, manakala laluan berbukit pula disimen bagi memudahkan penduduk menyelenggara dan membersihkan kawasan.
Ancaman baru telefon murah

Oleh AMREE AHMAD

Tindakan India mengharamkan jualan telefon murah buatan China dan Taiwan kerana tiada IMEI mendedahkan bahaya senyap yang tidak disedari pengguna sejak sekian lama.




JIKA anda berhasrat hendak berniaga di India, antara produk yang mungkin sesuai dijual di pasaran negara itu ialah telefon bimbit. Jangan terkejut, pengguna talian mudah alih di negara rantau Asia Selatan itu kini mencecah lebih 415 juta orang.

Angka itu baru meliputi 36 peratus daripada keseluruhan penduduknya yang berjumlah 1.2 bilion. Jirannya, Pakistan turut mencatat senario yang sama dengan memiliki 93 juta pengguna telefon selular atau 58 peratus daripada jumlah penduduk.

Tetangga miskin, Bangladesh tidak kurang hebat apabila merekodkan 46.5 juta pelanggan atau 29 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Sekadar perbandingan, Malaysia agak jauh ketinggalan dengan cuma 20 juta pengguna.





TELEFON bimbit boleh digunakan untuk mengintip atau melakukan jenayah lain. - Gambar hiasan


Bagaimanapun pada minggu lalu, dunia gempar dengan tindakan drastik kerajaan India mengharamkan pengimportan telefon mudah alih dari China dan Taiwan. Alasannya ialah sebagai antara langkah keselamatan domestik.

Ini kerana telefon buatan dua buah negara itu dikesan tidak dilengkapi dengan International Mobile Equipment Identity (IMEI). Ironi, kod siri 15 digit itu sebenarnya bukan syarat standard pembuatan produk telekomunikasi.

Namun tidak ramai tahu bahawa tanpa IMEI, pengguna boleh melakukan sabotaj kerana panggilan yang dibuat gagal dikesan oleh operator telekomunikasi. Malah pihak berkuasa juga tidak dapat menjejaki rekod mesej pesanan ringkas (SMS) yang dikirim si penjenayah.

Langkah berani itu dipuji Presiden Persatuan Selular India, Pankaj Mohandroo yang sekian lama meminta pihak kerajaan berbuat demikian.

“Kami sudah letih berkempen mendesak kerajaan menyekat kemasukan telefon bimbit dari China dan Taiwan, bahkan ada bukti suspek pengganas siri serangan di Mumbai juga menggunakan produk telekomunikasi ini kerana ia tiada IMEI,” jelas beliau.

Ketiadaan siri itu yang biasanya dilekatkan di belakang telefon bimbit turut mendedahkan pengguna kepada risiko jika berlaku kecurian. Data di dalam telefon juga boleh dieksploitasi penjenayah untuk memintas dengar perbualan.

Hakikat yang tidak disedari ramai ialah telefon tanpa IMEI sebenarnya banyak terdapat di pasaran. Ia menerima permintaan tinggi kerana berharga murah. Di India, telefon sedemikian dijual dari serendah RM60 sehingga RM120 sebuah.

Kelebihan IMEI

Di Malaysia, telefon jenis ini lazim dikenali sebagai AP iaitu rujukan kepada telefon selular bukan tulen yang dipasang dalam negara. Ia tiada jaminan jika rosak dan berbeza dengan produk asli biasanya disebut sebagai Zitron atau Avax.

Sehingga kini, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu IMEI. Singapura yang terkenal dengan undang-undang ketat juga belum mewajibkan IMEI.




Tidak hairanlah republik itu menghadapi lambakan telefon bimbit tanpa IMEI yang dijual murah. Ada secara sinis berkata, ketiadaan IMEI membolehkan suspek militan berbahaya, Mas Selamat Kastari gagal dikesan sebelum dia meloloskan diri ke Johor.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini tidak memberi apa-apa ulasan berkenaan tindakan keras India itu. Malaysia cuma mewajibkan pendaftaran untuk pengguna baru sama ada pakej prabayar atau pascabayar.

Situasi sebegini bakal mendedahkan negara kepada risiko pemalsuan data pengguna kerana rekod pendaftaran boleh diubah suai. Bahkan peraturan mengenai IMEI tidak dinyatakan secara terang termasuk menerusi laman web SKMM sendiri.

Ini bermakna pemasangan kod IMEI adalah tertakluk kepada budi bicara pengeluar telefon bimbit. Mungkin ada berpendapat, IMEI mengganggu hak asasi individu kerana pergerakan dan data peribadi pengguna dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Ia ada kebenaran tetapi perkembangan semasa membuktikan IMEI lebih banyak kebaikan daripada keburukan terutama aspek keselamatan. Di Eropah, mangsa culik atau sesat di hutan mudah dijejaki dengan bantuan IMEI dari telefon bimbit.

Bayangkan walaupun bateri telefon itu sudah habis, pihak berkuasa dapat mencari mereka kerana frekuensi IMEI dipancar melalui isyarat bateri kecemasan. Jika dicuri, telefon tersebut masih boleh dikesan waima ditukar kad sim pemilik.

Obsesi menilik nasib

Sesetengah orang masih percaya kepada ramalan tentang nasib, untung, rugi, kekayaan, jodoh dan kematian daripada si penjual kata-kata di jalanan.


PENILIK nasib di jalanan China kerap didatangi generasi baru yang sekadar suka-suka mencuba.





RASA ingin tahu tentang sesuatu yang tidak terjangkau dengan kuasa, kewangan, waktu dan kesempatan kerap memerangkap orang dalam seribu tanda tanya.

Tidak hairanlah jika sejak sebelum Masihi, manusia sudah ghairah mencari jawapan kepada banyak persoalan melalui tilikan nasib. Hinggakan hal percintaan, perkahwinan, tempoh usia hinggalah ke tarikh kematian pun kalau boleh ingin diketahui mereka.

Maka wujudlah jurus dan perspektif lain yang kita kenali sebagai tilikan nasib. Ia dilakukan dengan tafsiran samar tentang maksud garis di tapak tangan, menilik corak serakan daun teh, ataupun menaakul kejadian melalui petanda pada organ dalaman haiwan.

"Sejak dahulu kala, manusia mahu mengatur hidup jauh lebih awal daripada hari yang sedang dilaluinya. Dari golongan hamba hingga ke maharaja, semua kaedah tilikan nasib mendapat permintaan yang hebat," ujar seorang pembaca tapak tangan jalanan, Li Zhuang.

Lelaki 62 tahun ini ditemui penulis di satu sudut jalan ketika berkunjung ke Guangzhou, China sedikit masa lalu.

Hanya berkepungkan kotak dan banting kuning yang terpapar motif tapak tangan serta set karakter Cina, ruang kecil itu didatangi orang sekali-sekala.

Menurutnya yang mencari makan melalui kemahiran itu sejak 30 tahun lalu, terdapat banyak cabang teknik yang digunakan dalam ilmu tilik nasib (suan ming) di kalangan masyarakat Cina. Namun, hanya empat kaedah yang masih diwarisi oleh para pengamalnya baik di China, Hong Kong dan Taiwan.

"Malaysia? Ramai Cina di sana, bukan? Orang Cina di mana-mana. Mesti ramai tukang tilik di sana," kata Li Zhuang tersengih selepas mengetahui negara asal penulis.

Dialek Kantonisnya hanya dapat saya fahami apabila diterjemah pemandu pelancong, Aaron Zhiwen.

Sambungnya lagi, selain ramalan melalui bacaan bentuk dan garis di wajah serta tapak tangan, kaedah kau cim juga mudah ditemui di kebanyakan tokong.

Ia melibatkan goncangan batang-batang buluh kecil hingga salah satu tercampak keluar dari bekasnya. Setiap batang buluh itu bertulis maklumat ramalan tahunan yang kemudiannya diperjelaskan oleh seseorang yang pakar atau sami.

Sementara teknik zi wei dou shu melibatkan kepakaran mentafsir kalendar Cina dan panduan kedudukan bintang, teknik bazi adalah yang paling disukai kerana ketepatannya. Ia melibatkan kiraan komprehensif empat komponen angka iaitu waktu, jam kelahiran, hari, bulan dan tahun.

Tidak percaya ramalan

"Berikan saya tapak tangan kamu," minta Li Zhuang. Dalam teragak-agak, saya menghulur tangan. Lama juga dia membelek garis tapak tangan saya.

"Tengok garis ini," terangnya bersungguh-sungguh namun penulis tidak faham garis mana yang dimaksudkannya.

"Kamu menghadapi jalan hidup yang sukar. Separuh usia kamu penuh dengan ujian. Kamu hanya akan senang apabila usia semakin meningkat.

"Dalam perhubungan, kamu cerewet tentang pasangan hidup selepas gagalnya cinta pertama," katanya yang langsung tidak meyakinkan saya.

Mujur dia tidak nampak reaksi saya yang membuntangkan mata dan menggetap bibir kerana cuba menahan diri daripada ketawa.

Aaron memberitahu, kemahiran teknik menilik nasib itu telah lama melintas faktor geografi. Ia tersebar hingga ke Korea, Vietnam dan Jepun serta negara Asia Selatan seperti India, Bangladesh dan Sri Lanka.

"Nasib, tuah, feng shui, karma dan survival kehidupan adalah teras kepada pencarian jawapan oleh tukang tilik dan juga individu yang berhajat mengetahui nasibnya," jelas Aaron.

"Generasi sekarang semakin melupakan ilmu ini. Mereka datang menilik pun sekadar suka-suka kerana tidak percaya. Hendak cari makan pun susah kalau begini," keluh Li Zhuang yang mengenakan bayaran serendah RMB10 (RM5) bagi setiap sesi ramalannya.


KESIBUKAN lalu lintas tidak mengganggu fokus pembaca tapak tangan di Dhaka, Bangladesh ini.


Li Zhuang mengakui bahawa dia dan isterinya kadangkala hanya dapat menjamah bubur nasi cair berlauk keladi kerana pendapatannya yang tidak seberapa hasil daripada menilik di jalanan.

Anak dan cucu mereka sudah berkahwin dan menjalani hidup sebagai keluarga moden di Shenzhen. dan semakin jauh daripada kepercayaan tersebut.

"Kalau dahulu, pembaca tapak tangan sangat berpengaruh hingga ada yang bertukar kerjaya dan menjadi manusia yang lebih baik selepas sesi ramalan. Malah, ada juga yang bercerai-berai dan membunuh diri kerana takut dengan bayangan takdir," jelasnya.

"Pernah tilik nasib sendiri?" Tanya saya kepadanya sebelum mencari peluang mengundur diri.


KEDAI tilik nasib seperti ini sinonim dengan negara oriental.


"Kalau pun saya mahu, saya akan rujuk kepada rakan-rakan yang lebih arif," jawabnya yang seolah-olah tidak senang dengan soalan itu.

"Kalau sudah 30 tahun buat kerja ini, pernahkah sewaktu muda dahulu uncle sudah tahu bahawa uncle akan menjadi seorang tukang tilik di tepi jalan ini dan menjamu keluarga dengan bubur dan sayur keladi sahaja?" Soalan saya menjadi lebih provokatif.

Lelaki itu terdiam sambil melipat kertas-kertas diagram ramalannya sambil mengerut dahi. Dicucuk rasa kesal kerana menyinggungnya dengan soalan itu, saya segera berterima kasih atas sesi temu bual tersebut lalu meninggalkannya di situ.

Gadis wusyu anggap diri musuh

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Atlet wushu negara, Chai Fong Ying, percaya pada kuasa minda untuk menumpaskan lawan.


PENUNTUT Perakaunan di UPM ini belajar wushu sejak usia empat tahun.


MELIHAT liuk lentok tubuh gadis berusia 23 tahun ini melakukan tai chi memang mengasyikkan. Gerakan lembut yang dicipta mengikut alunan muzik tampak begitu harmoni.

Sesekali, lompatan padu dan ketangkasan pemilik tubuh kecil molek ini menghayun pedang pasti memukau pandangan.

Sewaktu Jurnal menemuinya baru-baru ini, Chai Fong Ying sedang menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi tiga kejohanan besar sehingga hujung tahun ini termasuk Kejohanan Wusyu Dunia di Koahsiung, Taiwan, Julai ini.

Dua lagi ialah Kejohanan Wusyu Dunia di Toronto, Kanada yang dijadualkan pada Oktober ini dan Sukan SEA di Laos, Disember nanti.

Anak jati Batu Berendam, Melaka ini bukan calang-calang orang. Di gelanggang wushu, nama Chai Fong Ying bisa menggerunkan pihak lawan waima atlet dari negara China, tempat sukan mempertahankan diri ini berasal.

Muncul sebagai juara dunia sebanyak dua kali iaitu pada Kejuaraan Wusyu Dunia 2005 di Hanoi dan Beijing pada 2007, Fong Ying mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diatasi terutama dari aspek pergerakan lembut dan tangkas yang mendominasi beberapa rutin dan disiplin dalam permainan wusyu.

“Kadang-kadang saya macam tak percaya boleh menang,” kata beliau.


KELUARGA wusyu. Dari kiri: Fong Ying, adiknya Fong Wei, ibu, Teh Mary dan bapanya Chai Chin Chay.





Penerima anugerah Olahragawati Terbaik Melaka 2006 ini menambah: “Tapi saya percaya semua ini berkaitan dengan minda. Kita boleh mengawal perasaan jika mengetahui peluang untuk menang dalam satu-satu acara itu sama rata.”

Fong Ying pernah menjalani latihan di China selama sebulan. Namun katanya, tidak semestinya belajar dengan guru paling hebat boleh menjamin kita juga akan menjadi seorang yang handal.

“Sebenarnya belajar di mana pun sama saja. Yang penting diri kita sendiri. Walaupun belajar di China tapi jika malas memikirkan pergerakan yang lebih kreatif dan tidak memberi tumpuan pada latihan, kejayaan mungkin tidak berpihak pada kita,” ujarnya.

Ditanya mengenai pesaing terdekat dalam gelanggang wushu, pantas beliau menjawab: “Diri sendiri adalah musuh utama saya.”

Jelas Fong Ying, beliau tidak pernah menganggap atlet lain sebagai pesaing terdekat yang perlu dikalahkan.

“Jika saya berjaya mengawal hati dan minda untuk lebih fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan, peluang untuk beraksi dengan tenang dan cemerlang lebih cerah,” ujarnya.

Keluarga wusyu

Mendapat pendedahan terhadap sukan wushu seawal usia empat tahun, Fong Ying bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada bapanya yang aktif bermain wusyu. Bapanya kini menjadi jurulatih wusyu negeri Melaka.

“Boleh dikatakan saya lahir dalam keluarga wushu. Ayah menjadi jurulatih negeri manakala ibu pula ada mengajar orang sukan wushu.

“Saya dan adik, Chin Fong Wei adalah atlet negara, seorang lagi adik adalah atlet negeri dan yang bongsu sedang berjinak-jinak dengan sukan wusyu.

“Bila dari kecil didedahkan dengan wusyu, kehidupan kami seakan sudah sebati dengan sukan ini,” katanya yang mengakui hatinya sudah berpunya.

Fong Ying mula mewakili negeri Melaka pada usia 14 tahun dan mewakili negara tiga tahun selepas itu.

“Saya sendiri tak ingat berapa pertandingan dan pingat yang telah dimenangi.

“Selain dua kali menjadi juara dunia, kenangan yang tak boleh dilupakan ialah sewaktu memenangi emas pada Sukan Asia 2006 di Doha dan Sukan SEA ke-24 di Korat, Thailand pada tahun 2007,” ujarnya yang mahir dalam rutin taijiquan (tinju bayang) dan taijijan (pedang taiji).

Sambung pelajaran Julai ini

Fong Ying yang juga penuntut tahun dua Perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menyambung semula pengajiannya selepas dua tahun tertangguh.

“Dua tahun lepas saya terpaksa menangguhkan pengajian kerana jadual latihan yang ketat dan banyak pertandingan besar yang perlu disertai.

“Saya harap saya dapat masuk ke kelas semula Julai ini. Tetapi dalam masa yang sama, ada tiga pertandingan besar selepas itu, mungkin saya perlu manfaatkan masa yang ada untuk dua perkara ini.

“Tak mustahil juga saya akan jadi orang yang paling sibuk di MSN (Majlis Sukan Negara) dan UPM nanti,” katanya ketawa.


DUA kejohanan dunia sudah diraih Fong Ying.


Menyifatkan dirinya sudah ‘senior’ dalam sukan ini, Fong Ying menyasarkan akan bersara daripada beraksi dalam tempoh dua tahun lagi.

“Saya sudah tua, bagi peluang pada yang muda pula. Mungkin tahun ini atau tahun depan saya akan bersara, tetapi ia baru rancangan.

“Saya akan berbincang dengan keluarga dan pihak MSN dahulu sebelum membuat keputusan.

“Tidak mungkin saya akan menjadi atlet sampai tua, saya juga ada cita-cita sendiri. Rancangan saya, walaupun tidak lagi mewakili negara, saya mahu mengajar wusyu, kalau ada rezeki, saya mahu buka kelas wusyu.

“Saya berharap warisan ini tidak pupus di negara kita dan ia dapat diperluaskan sebagai senaman dan seni mempertahankan yang menyihatkan tubuh dan juga minda,” harapnya.

'Inilah bekalan akhirat saya'





Pendakwah serta pengasas Asrama Baitul Ummah ini pernah menjadi bapa ayam.










PENGORBANAN pengasas Asrama Baitul Ummah, Abdul Rahman Ramani Abdullah, 40, sememangnya besar.

Beliau sanggup menjual rumah dan barangan elektrik miliknya seperti televisyen dan mesin basuh demi mendapatkan wang membina rumah kebajikan itu yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, dia menceritakan saat kehilangan ibu bapa ketika berumur 12 tahun.

"Ayah dan ibu meninggalkan lapan orang anak termasuk saya yang merupakan anak keempat. Masing-masing belum pandai mengurus keperluan hidup.

"Kami berlapan mengambil keputusan membawa haluan masing-masing. Saya berhijrah ke Kuala Lumpur dengan berbekalkan modal RM10," ujarnya sebak.

"Sampai sahaja ke Kuala Lumpur saya tidur merempat termasuk di perhentian bas dan di tepi jalan sebelum diterima bekerja di sebuah restoran mamak di Sungei Way, Petaling Jaya.

"Saya buat kerja macam-macam daripada mencuci pinggan, mengambil pesanan hingga membancuh air minuman. Upahnya cuma tempat tinggal dan juga makanan untuk mengisi perut.

"Tetapi tidak lama selepas itu saya ditahan pihak berkuasa kerana bekerja di bawah umur. Selepas itu saya ditempatkan di rumah anak yatim kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor.

"Saya tinggal di situ selama enam tahun iaitu sehingga umur 18. Rasa sedih juga kerana terpisah dengan adik-beradik kandung.

"Rumah itu menjadi tempat untuk berteduh dan mendapatkan sesuap nasi. Rumah anak yatim dahulu kurang menitikberatkan soal pendidikan berbanding sekarang," katanya.

Tersentuh dengar azan

Sebaik sahaja keluar dari rumah anak yatim, Abdul Rahman terus bekerja di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Sepanjang bekerja saya yang beragama Hindu banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu.

"Mungkin ini ketentuan Allah. Malah semasa kecil saya selalu menonton rancangan mengaji al-Quran di televisyen.

"Tetapi saya amat tersentuh mendengar laungan azan yang amat unik menyebabkan saya mengambil keputusan memeluk Islam," katanya sayu.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Abdul Rahman diberhentikan oleh majikannya. Dia terpaksa hidup merempat sekali lagi. Permohonannya untuk mendapat bantuan zakat pula tidak dilayan.


ASRAMA Baitul Ummah yang menempatkan anak-anak yatim menjadi 'pelaburan' akhirat Abdul Rahman.


Pernah dia dihalau kerana ingin tidur di masjid.

"Saya lihat ada beberapa orang musafir yang tidur di beberapa buah masjid di Kuala Lumpur, jadi saya minta supaya dibenarkan menumpang teduh untuk sementara waktu.

"Saya ada menunjukkan kad mualaf tetapi tidak diterima pihak pengurusan masjid. Saya bukan ingin mencuri dan membuat perkara tidak baik.

"Akhirnya saya kembali kepada kehidupan asal sewaktu mula datang ke Kuala Lumpur dengan menjadikan tepi longkang, taman permainan dan juga tepi jalan sebagai tempat untuk melelap mata," katanya.

Kemudian, Abdul Rahman bergaul dengan beberapa peniaga tepi jalan. Dari situlah dia mengenali kumpulan samseng yang mencari wang dengan cara yang mudah.

Kerana wang juga beliau hampir membunuh orang dalam satu pergaduhan. Dia turut terlibat dengan aktiviti pelacuran dan menjual VCD lucah.

Sebagai bapa ayam pula, Abdul Rahman mendapat komisen yang agak lumayan.

"Kadang-kadang saya dapat komisen RM200 seorang. Jika ada lima orang pelacur, sekali langganan dah RM1,000.

"Itu belum ikut pakej langganan berlainan yang hasilnya boleh mencecah ribuan ringgit sehari," kesalnya.

Ketika itu, namanya sangat dikenali di Jalan Pahang, Chow Kit dan Jalan Ipoh kerana kegiatan jenayah termasuk mengedar dadah.

Abdul Rahman mengakui pendapatannya ketika itu boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu, semua hotel pernah menjadi tempat dia bermalam.

Hidayah kedua

Namun petunjuk Allah tiada siapa yang tahu.

"Ada seorang ustaz yang sering menasihatkan saya supaya berubah. Mulanya saya berdegil tetapi lama-kelamaan mula berfikir sampai saya harus sebegini.

"Melakukan dosa tidak menyenangkan hidup walaupun dilimpahi kemewahan," Abdul Rahman menarik nafas dalam-dalam.

Selepas itu, dia bersungguh-sungguh mencari ilmu agama sehingga ke sekolah pondok di Kelantan. Selepas beberapa tahun, dia diberi peluang mengajar ilmu agama kepada Orang Asli yang baru memeluk Islam di Hulu Klang, Selangor.

"Saya sedih melihat keadaan mereka yang kurang memahami ajaran Islam sehingga mendorong saya menubuhkan Asrama Baitul Ummah lima tahun lalu," ujarnya.

Asrama itu bukan sekadar membantu Orang Asli tetapi juga anak yatim, fakir miskin dan mualaf. Dibuka pada tahun 2004, asrama ini kini mempunyai 400 orang penghuni.

"Tetapi 50 orang sahaja yang tinggal di asrama kerana ruang tidak mencukupi. Cuma persekolahan mereka tetap dibiayai dan dipantau.

"Saya ingin mereka berjaya dunia dan akhirat. Jika membuat kesilapan, mereka akan dihukum sebagai satu pengajaran.

"Syukur ada yang telah melanjutkan pelajaran ke universiti mahupun kolej swasta. Inilah (Baitul Ummah) bekalan saya di akhirat nanti," ujarnya.