BN perlukan karisma Sonia, Rahul Ghandi

Oleh AZHARUDIN MOHAMED DALI

INDIA, negara pengamal demokrasi terbesar di dunia baru sahaja melaksanakan proses pilihan raya yang ke-15. Dalam pilihan raya kali ini, Parti Kongres Kebangsaan India (Kongres) yang diterajui oleh Sonia Gandhi dan Manmohan Singh mengekalkan kuasanya.

Lebih penting lagi, bukan sekadar kemenangan biasa yang diperolehi oleh Kongres, sebaliknya satu kemenangan yang gilang-gemilang apabila parti itu dan parti-parti gabungannya berjaya menggondol 261 kerusi Lok Sabha berbanding seteru terhampir Parti Bharatiya Janata (BJP) dan parti sekutunya yang hanya memperolehi 159. Parti-parti lain pula memperolehi 123 kerusi.

Melihat kepada persaingan antara Kongres dan BJP didapati bahawa Kongres telah menambah 44 kerusi berbanding hanya 217 kerusi yang diperolehi pada pilihan raya 2004. BJP dan parti sekutu pula kehilangan sebanyak 26 kerusi. Pada pilihan raya lalu, parti ini memperolehi 185 kerusi.

Kemenangan Kongres bukanlah dicapai secara mudah. Sebaliknya saingan sengit parti lawan terutamanya BJP yang masih terus bermain dengan isu-isu komunal benar-benar menguji kewibawaan parti ini.

Pengalaman memegang kuasa sejak berjaya membentuk kerajaan melalui pilihan raya 2004 dijadikan aset penting dalam kempen-kempen mereka. Lebih penting lagi, Kongres berjaya membentuk kempen yang sangat sistematik. Hal inilah yang menjadi aset penting kemenangan mereka.

Penganalisis politik melihat bahawa kemenangan Kongres dalam pilihan raya ini kerana ia berjaya menggabungkan tiga elemen penting yang dilambangkan melalui tiga tokoh utama iaitu Sonia Gandhi, anaknya, Rahul Gandhi dan Perdana Menteri, Dr. Manmohan Singh.

Gabungan tiga tokoh inilah yang membolehkan Kongres berjaya memenangi pilihan raya. Sonia dilihat mencerminkan kekuatan Indira Gandhi. Jika isu mengenai asal usul beliau menjadi senjata pihak lawan dalam pilihan raya 2004, namun tidak kali ini.

Pengundi dilihat tidak lagi mempertikaikan kedudukan dan kesetiaan Sonia kepada India. Sebaliknya Sonia dilambangkan seperti seorang wanita yang mempunyai karisma yang cukup tinggi sebagaimana Indira Gandhi.

Dalam tradisi India, wanita seperti Sonia sememangnya mempunyai tempat yang cukup tinggi dalam masyarakat. Maka tidak hairanlah sekiranya sokongan kepada beliau semakin kuat dalam pilihan raya kali ini.

Manmohan Singh pula dilihat sebagai tokoh politik yang berkarisma, tidak menimbulkan publisiti-publisiti murahan dan sentiasa kelihatan bersedia membawa India memasuki zaman yang mencabar.

Kredibiliti dan karisma kedua-dua tokoh ini diseimbangkan oleh Rahul Gandhi yang dilihat sebagai ahli politik penting pada masa depan. Berbeza dengan sepupunya Varun Gandhi yang memilih tiket komunal sebagai senjata politik, Rahul pula lebih bersifat terbuka dan mendekati rakyat, terutamanya di Uttar Pradesh.

Selain itu, kemenangan Kongres juga diperolehi apabila BJP dan sekutunya dilihat memilih strategi yang salah. BJP masih lagi berkempen seolah-olah sebagai parti yang memegang kuasa. Tindakan Varun Gandhi memprovokasi isu komunal sendiri akhirnya memakan diri sendiri.

Keadaan ini menjadi bertambah sukar apabila Narendra Modi, tokoh penting di sebalik peristiwa hitam di Gujarat membabitkan masyarakat Islam dipotretkan sebagai bakal Perdana Menteri India pada masa depan.

Kongres sebenarnya telah melalui turun naik politik sejak penubuhannya pada tahun 1885. Parti ini pernah tewas di tangan BJP malah, hampir hilang sokongan rakyat dan kewibawaan pemimpin-pemimpinnya dipertikaikan.

Meskipun demikian, formula asas yang digunakan oleh Kongres dalam pilihan raya kali ini telah berjaya membawa parti ini ke kedudukannya yang dinikmati sebelum ini.

Formulanya ialah Kongres telah kembali kepada rakyat dan menjadi parti yang mampu menaungi inspirasi rakyat tanpa mengira batasan agama, keturunan dan kedudukan. Inilah formula yang digunakan oleh Kongres sejak sekian lama. Ia menjadi asas yang digunakan oleh Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.

Ini juga senjata yang digunakan oleh Rahul Gandhi dalam kempen-kempen politiknya. Malahan Rahul dilihat telah sanggup turun ke padang dan bersama-sama dengan kalangan rakyat, buruh dan pekerja tanpa rasa kekok dan janggal.

Keprihatinan Rahul inilah yang menarik minat rakyat kepada beliau. Tanpa sokongan rakyat, maka Kongres pastinya tidak akan mampu mendapat sokongan seperti yang terlihat dalam pilihan raya kali ini.

Di lihat lebih dalam, formula inilah yang seharusnya digunakan oleh mana-mana parti yang ingin mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Di negara ini, Barisan Nasional (BN) juga harus menjadikan formula ini sebagai senjata ketika kempen mahupun menjadi dasar penting ketika memegang kuasa.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, sejarah BN dilihat menyamai apa yang berlaku terhadap Kongres. BN terutamanya UMNO menjadi tunjang penting dalam perjuangan kemerdekaan, sama sebagaimana yang dilakukan oleh Kongres.

Jika Jawaharlal Nehru, pemimpin Kongres menjadi Perdana Menteri India yang pertama, Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO dan Perikatan (ketika itu) turut menjadi Perdana Menteri yang pertama.

UMNO dan Perikatan pernah menjadi parti yang menaungi seluruh masyarakat negara ini dan menjadi parti rakyat, bukan parti elit milik golongan atasan. Guru-guru, kakitangan kerajaan, petani, nelayan dan seluruh lapisan masyarakat menjadi anggotanya yang setia.

Kongres turut melalui hal ini apabila menjadi parti milik rakyat yang diisi oleh kalangan buruh, petani, kakitangan kerajaan dan sebagainya. Orang Islam di India turut menjadikan Kongres sebagai parti mereka.

Dalam perkembangan kebelakangan ini, Parti UMNO dan BN dilihat tidak lagi menjadi parti rakyat, sebaliknya parti eksklusif yang anggotanya terdiri daripada kalangan peniaga, pengusaha, pemodal mahupun kalangan jutawan.

Rakyat dilihat tidak lagi memberi sokongan kepada UMNO, malah ahli UMNO dan BN dilihat sebagai tidak amanah dan melaksanakan politik wang. Kongres juga pernah melalui hal ini.

Malah parti ini pernah melalui zaman sukar apabila orang Islam tidak lagi mengundi parti ini dalam pilihan raya hingga menjadi antara faktor kekalahan mereka pada pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, Kongres dilihat telah kembali bertenaga dan mengalami proses transformasi yang sangat penting. Ia dapat dilihat dari sokongan semua lapisan masyarakat termasuklah orang Islam dalam pilihan raya ini. Hal inilah yang perlu dilakukan oleh UMNO dan BN.

Kemenangan Kongres ini menjadi penanda bahawa parti politik seperti UMNO dan BN perlu melakukan transformasi secara besar-besaran sekiranya ingin mendapatkan sokongan rakyat.

UMNO dan BN perlukan karisma dan kredibiliti Sonia, Rahul dan Manmohan Singh. Soalnya, adakah ketokohan ketiga-tiga mereka ada dalam UMNO dan BN? Adakah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menjadi seperti Sonia? Adakah Najib Tun Razak boleh menjadi Manmohan Singh? Siapakah pula yang mampu memainkan peranan seperti Rahul Gandhi di Malaysia?

Siapa pun orangnya, UMNO dan BN harus melihat kemenangan Kongres dengan mata terbuka dan melihat bahawa tidak ada yang mustahil di dunia ini. Dengan iltizam dan wawasan yang jelas, pasti UMNO dan BN akan mampu menarik rakyat ke dalam parti itu. UMNO dan BN mempunyai sekurang-kurangnya kurang empat tahun untuk melakukannya.

DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.
Amalan politik murahan untuk berkuasa

bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah iaitu salah seorang calon Bebas yang bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bertindak berani dengan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sogokan wang dan jawatan. Jelas tindakan itu memberikan satu impak yang besar kepada PKR yang sering diperlihatkan sebagai parti yang memperjuangkan 'kepentingan rakyat.'

Kejadian ini juga sedikit sebanyak membuka pekung di dada PKR yang ternyata bukan bersih, tidak jujur dan tidak mempunyai integriti terhadap diri mereka sendiri dan parti.

Bermula dengan idea Anwar Ibrahim mengenai konsep 'lompat si katak lompatnya' untuk membentuk Kerajaan Pusat pada 16 September 2008, akhirnya ternyata hanya satu 'jenaka'.

PKR dengan rasa tidak bersalah atas pembohongan pertamanya kepada rakyat, berbohong lagi dengan meletakkan tarikh baru untuk membentuk Kerajaan Pusat. Sekali lagi PKR telah menghancurkan harapan 'rakyatnya.'

Yang menghairankan kenapa rakyat Malaysia begitu mudah membenarkan diri mereka ditipu oleh PKR? Apakah rakyat sudah tiada pertimbangan sehingga membenarkan penipuan dan pembohongan ini berlaku dan sekali gus merendahkan kredibiliti dan keupayaan berfikir sebagai rakyat?

Kini episod politik PKR bergegar lagi apabila Aminah membuat pendedahan tentang permainan politik kotor yang dibuat oleh PKR kepada dirinya.

Aminah mengatakan bahawa PKR ingin membeli beliau dengan menawarkan pelbagai ganjaran termasuk wang tunai dan juga kedudukan agar beliau menarik diri daripada bertanding di DUN Penanti.

Apabila laporan ini dibuat sudah tentu ia memberikan impak yang besar kepada PKR yang jelas telah memperlihatkan bahawa mereka mengamalkan politik murahan.

PKR sanggup berbuat apa saja demi kepentingan mencapai cita-cita politiknya. PKR sanggup menipu rakyat atas slogan mereka berjuang kerana 'kepentingan rakyat.' Tetapi mereka sebenarnya menipu rakyat secara terang-terangan.

Episod ini bertambah kelakar apabila Saifudin Nasution selaku Pengarah Pilihan Raya PKR mengaku bahawa ada dua orang ahli partinya bertemu dengan Aminah.

Yang menghairankan, jika benar dakwaan Aminah, mengapa tawaran ini dibuat sewaktu ada pilihan raya kecil di Penanti? Kenapa tawaran ini tidak dibuat lebih awal sebelum Aminah keluar daripada PKR? Mengapakah tawaran ini dibuat tergesa-gesa?

Adakah terdapat episod-episod sampingan yang Aminah tahu sehingga PKR berasa 'cuak'? Apakah PKR sudah tidak mempunyai keyakinan kerana takut calonnya itu kalah buat kali keempat jika Aminah bertanding di Penanti?

Kenapa tawaran hanya kepada Aminah dan tidak kepada calon-calon Bebas yang lain? Apakah yang ditakutkan sangat dengan Aminah sehingga PKR sanggup menggadaikan kredibiliti calonnya sendiri?

Apakah wakil-wakil yang berjumpa dengan Aminah tidak mendapat restu daripada pihak atasan? Apakah pihak atasan PKR begitu buta sehingga tidak tahu apa yang dilakukan oleh wakil-wakilnya?

Setakat yang difahamkan, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang mahu mengawal semua keadaan. Persoalan ini hendaklah dijawab dan seharusnya menjadi tanda tanya kepada kita semua sebagai rakyat.

Jangan kita biarkan minda kita terbuai dengan keasyikan political entertainer seperti Anwar.

Kehebatan dan kepetahan Anwar dalam ceramahnya tidak ubah seperti melihat penyanyi sedang mendendangkan lagu popular dan diberikan tepukan gemuruh kerana lagu yang dinyanyikan adalah lagu yang disukai ramai.

Jangan kita jadi rakyat AFUNDI. Jadilah kita seorang rakyat yang seimbang pemikirannya dan tidak mudah dibeli dengan janji-janji kosong mereka ini.

Inilah episod PKR yang kian lama kian memperlihatkan kerakusan mereka mencari kuasa untuk memerintah.

Kalau ini berlaku dengan BN sudah tentu, PKR akan menghentam habis-habisan mengenai salah laku BN.

Tetapi apabila PKR sendiri yang melakukan, maka semuanya adalah 'halal.' Situasi yang dihidupkan oleh PKR ini adalah satu situasi yang jijik dan menjelekkan. Ia menunjukkan bahawa PKR sudah kebangkrapan idea politik sehingga idea politik kampungan dan jalanan dilakukan demi kuasa.
Di mana taat setia 'penyokong' Chin Peng?

Oleh ARIF ATAN

ADAKAH saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan mahu membawa Chin Peng ke negara ini telah mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat?

Tidakkah cadangan itu terang lagi bersuluh mengguris parut luka lama seluruh warga Malaysia terutama mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga diisytiharkan darurat bermula bulan Jun 1948?

Hakikatnya, usahlah ada yang buat- buat lupa pada sejarah ganas komunis dahulu. Ramai pejuang kita terkorban akibat jerangkap samar dan bedilan senjata mereka.

Tidak kurang juga yang kemudiannya tergolong dalam kelompok orang kurang upaya (OKU). Mereka menjadi wira tidak didendang apabila ada yang belum mendapat sebarang pembelaan meskipun merekalah yang telah bergadai nyawa menentang komunis dahulu.

Malah, orang awam yang tidak berdosa turut menjadi mangsa sembelihan komunis. Atas sebab itulah, usah sama sekali begitu mudah untuk melupakan pahit maung hidup sengsara di bawah 'pemerintahan' komunis dengan senang hati membentang permaidani merah untuk Chin Peng sebagai ikon komunis Malaya untuk memijakkan kaki di tanah air ini kembali.

Walaupun atas premis kemanusiaan tetapi fikirkanlah dosa Chin Peng dan sekutunya yang 'berperikebinatangan' menzalimi bangsa kita dahulu. Seharusnya pihak yang beria-ia mahu mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara bertanyakan diri mereka terlebih dahulu.

Adakah mereka benar-benar sedar diri tentang di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung? Adakah taat setia mereka kepada "tanah tumpahnya darahku" seperti yang terkandung dalam lagu Negaraku telah tumpah ke 'tanah' lain?

Jika sedar mereka bukan berkiblatkan negara China tentulah tidak akan timbul isu mahu membawa balik Chin Peng dan pengaruh komunis ke negara ini.

Sebaliknya, apabila ketara mereka begitu teruja dengan 'jasa' Chin Peng yang pernah menjahanamkan keamanan hidup kita sebelum ini, nyatalah itu semua didorong atas nilai cauvinis kaum semata-mata tanpa mempedulikan keharmonian bermasyarakat dan sensitiviti orang lain.

Oleh sebab jelas ada yang taat setianya telah tidak berpasak di bumi bernama Malaysia yang asalnya dahulu dipanggil Tanah Melayu, tidak keterlaluan mereka juga sebenarnya tidak layak bermastautin di negara ini sama seperti Chin Peng.

PENULIS ialah Pegawai Pembangunan Jajahan Tanah Merah, Kelantan.
SEHARI SEBUAH BUKU

Judul: Bisik Warna

Penulis: A. Samad Said

Penerbit: Wira Bukit Sdn. Bhd. dan Institut Terjemahan Negara Malaysia

ISBN: 978-983-3922-15-4

SEPERTI yang disebut oleh penulis menerusi prakata buku ini, karya Bisik Warna ini mempunyai semangat dan hasrat yang sedikit lain.

Ia menggabungkan dua elemen besar dalam dunia seni kreatif iaitu mutiara kata dan lukisan. Menariknya, nukilan idea bagi kedua-dua karya itu lahir secara spontan, satu sentuhan unik yang jarang di tampilkan oleh seorang pengkarya.

Menerusi buku ini, A. Samad Said cuba membuktikan bahawa lukisan adalah tulisan batin dan tulisan pula adalah lukisan jiwa. Bagi pencinta seni warna dan kata-kata, buku setebal 108 muka surat ini merupakan gugusan idea yang sangat hebat untuk dikongsi dan diterokai falsafahnya.

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Kisah Dr. Amat Juhari, bapanya dan Chin Peng

PAGI semalam saya menerima panggilan daripada seorang bekas profesor Universiti Putra Malaysia (UPM). Dr. Haji Amat Juhari Moain ialah seorang pesara dan mantan Dekan Komunikasi dan Bahasa Moden. Nombor telefon saya diberikan oleh seorang saudaranya yang mengenali saya, iaitu Haji Taib Ahmad. Sebagai seorang sarjana dan cendekiawan, bunyi panggilannya agak tenang, tapi ada satu perasaan yang mahu disampaikan.

''Saya minta Utusan bantu siarkan kisah orang tua saya (bapa) yang disembelih oleh komunis," katanya. Nada beliau semakin menaik apabila mula bercerita bagaimana arwah bapanya Moain Saridin hilang dari pandangannya selepas mereka dua beranak keluar mandi sungai satu petang pada Jun 1945.

Ceritanya: Bapa saya kemudian hilang. Sebagai seorang naib (istilah di Johor untuk Ketua Kampung) petang itu dia dipanggil oleh sekumpulan orang untuk pergi menyelesaikan satu masalah penduduk.

Itu adalah kali terakhir saya melihatnya. Mayatnya kemudian ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat. Terlalu menyedihkan, bapa saya disembelih dan anggota badannya dikerat-kerat. Bapa saudara saya Hassan Akasah (atau juga dikenali sebagai Wak Kasah) turut dibunuh kejam.

Mereka dibunuh oleh sekumpulan komunis (MPAJA) yang bergerak aktif di pedalaman Tanah Melayu. (Nota Wikipedia: Malayan People's Anti-Japanese Army (terjemahan: Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu) atau singkatannya MPAJA ialah satu pertubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) atau juga dipanggil Bintang Tiga telah memerintah Tanah Melayu selama empat belas hari pada tahun 1945. Ramai orang keturunan Cina menganggotai pertubuhan ini kerana mempunyai perasaan benci terhadap Jepun yang telah menakluki negara China pada masa itu. Waktu ini adalah jangka masa yang bermula dari tarikh tentera Jepun mengaku kalah kepada Tentera Bersekutu pada 16 Ogos 1945 sehinggalah tarikh kepulangan tentera British kembali ke Tanah Melayu untuk menubuhkan Kerajaan Pentadbiran British.

''Kejadian itu sering menghambat perasaan saya sehingga hari ini," katanya.

Siapa kata Chin Peng yang mahu pulang itu adalah seorang pejuang nasionalis? Matlamatnya dulu, kata Dr. Amat Juhari ialah mahu merampas tanah air ini untuk dijadikan negara komunis.

''Chin Peng ialah Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dan jawatan itu membolehkan dia cukup berkuasa. Dia tahu apa yang dia buat dan jika dia seorang nasionalis dia akan berjuang bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan lain-lain untuk kesejahteraan negara ini," jelas Dr. Amat Juhari yang suaranya dalam telefon tidak menggambarkan beliau akan menyambut hari lahirnya ke-70 tidak lama lagi.

Itu adalah satu daripada banyak lagi kisah sedih mangsa kekejaman PKM yang mahu menukar landskap negara ini pada masa itu sebagai sebuah negara komunis yang berpaksikan Bintang Tiga di Tanah Besar China.

Dalam usia sebegitu, niat Dr. Amat Juhari menelefon saya sungguh ikhlas. Bapanya ialah sejarah berdarah yang perlu kita renungkan. Generasi sekarang harus diberitahu dan didedahkan dengan kisah-kisah sejarah fakta seperti ini. Jika kita bercakap mengenai jati diri, maka sejarah seumpama inilah yang harus diterapkan bagi memberitahu kepada mereka bahawa keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran mereka kini boleh direntap bila-bila masa oleh pelbagai unsur jahat yang berada di sekeliling mereka sekarang.

Kita jangan ambil mudah fenomena baru yang melanda negara sekarang. Fenomena ungkit-mengungkit sekarang amat berbahaya kepada negara ini. Ia adalah elemen subversif generasi baru yang perlu ditangani. Kita jangan biarkan keamanan Malaysia yang dipelihara selama lebih 50 tahun ini dilenyapkan dalam masa yang singkat ini. Kerajaan harus bertegas dan rakyat menaruh sepenuh harapan kepada mereka untuk mengekangnya.

Seperti yang saya tekankan dalam Cuit sebelum ini, sejarah amat penting untuk kita semua. Di negara besar seperti Amerika Syarikat, pelajaran sejarah amat penting bagi rakyatnya. Orang asing yang mahu belajar atau bermastautin di negara besar itu pun diwajibkan mempelajari dan mengambil peperiksaan mengenai sejarah negara itu. Bagi Amerika, sejarahnya amat penting dan suci.

Benar kata Prof. Dr Khoo Kay Kim (NST semalam, 27 Mei): ''Sejarah ialah disiplin paling penting, walaupun ia tidak akan membantu seseorang menjadi orang kaya. Buku teks bukan cara yang ideal untuk mempelajari kisah silam sejarah. Skopnya terlalu terhad. Penyelidikan adalah jawapannya, yang kemudiannya disampaikan kepada umum melalui bacaan popular."

Kekejaman PKM pimpinan Chin Peng tidak boleh dipersoalkan lagi. Chin Peng adalah Pol Pot, Adolf Hitler, Radovan Karadzic, Ratko Mladic - walaupun saiz kekejamannya berbeza, namun kesannya adalah sama.

Pihak-pihaknya yang mahu membawanya pulang boleh berbuat demikian tetapi Chin Peng harus tahu kesan kepulangannya kelak.

''Jika Chin Peng dibenarkan pulang, dia harus menjalani perbicaraan jenayah perang dan hukumannya ialah mati," kata Dr. Amat Juhari.

Ikuti kisah lanjut beliau yang disiarkan Utusan Malaysia di muka surat ini. Ia adalah sejarah satu generasi yang harus diperturunkan kepada umum, terutamanya rakyat kita.

(Nota: Cuit akan kembali disiarkan pada hari Rabu minggu depan - Pengarang)
Ancaman neo-komunisme boleh hancurkan negara

Oleh Abdul Rahman Sulaiman


PASUKAN keselamatan memburu pengganas komunis pimpinan Chin Peng (gambar kecil) di pinggir hutan di Labis, Johor pada September 1964.

Rakyat perlu sedar keganasan penyokong Chin Peng ketika darurat menimbulkan pelbagai kesulitan

PENGERUSI Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan menerima kutukan berterusan daripada pelbagai pihak berikutan cadangannya baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang kini menetap di perkampungan khas di Selatan Thailand, pulang ke Malaysia.

Reaksi terbaru ialah daripada Naib Presiden Gerakan sendiri, Mejar (Kehormat) Huan Heng Guan yang mahukan rakan seperjuangan beliau itu disingkirkan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Menurut Guan, anggota Gerakan pada peringkat akar umbi juga mahu tindakan diambil terhadap Dr Teng kerana menyebabkan parti terbabit dipandang serong dan dianggap buta sejarah. Sama ada Dr Teng akan akhirnya menerima hukuman setimpal daripada partinya kerana kenyataan yang cukup sumbang itu, bukanlah sesuatu yang relevan.

Apa yang lebih relevan dan perlu diberi perhatian serius ialah suasana yang melatari negara ketika kenyataan itu dibuat. Hakikat bahawa kenyataannya dikeluarkan pada saat negara sedang berdepan pelbagai kemelut sosial, politik dan ekonomi serta ketika parti politik pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang sibuk memperjuangkan apa yang mereka sifatkan sebagai penindasan terhadap golongan bawahan oleh pemerintah, tidak harus dipandang sepi.

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai blog antikerajaan juga sering memuatkan tulisan yang seolah-olah bertujuan menimbulkan ketegangan dan pertelingkahan antara kelas di negara ini. Semua fenomena ini terlalu ketara untuk dianggap sebagai berlaku secara kebetulan.

Lagi pun, ini bukan pertama kali cadangan untuk membenarkan Chin Peng yang secara langsung bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan anggota angkatan tentera, polis dan orang awam itu disuarakan oleh pihak tertentu.

Puluhan ribu lagi bekas tentera dan polis serta rakyat biasa dan anggota keluarga masing-masing terpaksa menderita kerana kecederaan, cacat anggota atau kehilangan keluarga tersayang angkara Chin Peng dan rakannya yang melancarkan perang gerila dari hutan belantara sepanjang tempoh darurat dulu yang bermula pada awal 1948.

Di samping itu, harta awam bernilai jutaan ringgit juga turut dimusnahkan oleh Chin Peng dan rakannya dalam usaha mereka mensabotaj ekonomi negara. Orang Melayu di Teluk Intan, Sungai Manik dan Parit di Perak, terutama warga emas, tentu masih belum boleh melupakan bagaimana ganasnya pengikut Chin Peng menggeledah kampung halaman mereka pada waktu malam untuk mencari apa yang mereka anggap sebagai anjing dan ejen kerajaan.

Akibatnya ratusan orang kampung yang tidak berdosa, termasuk ketua kampung dan imam, diseret keluar dari rumah masing-masing, lalu disembelih dengan kejamnya. Tanpa sebarang rasa peri kemanusiaan dan belas kasihan, mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Perak dengan tidak dimandikan, dikapan atau disembahyangkan.

Begitulah kejamnya tindakan dilakukan anggota PKM terhadap orang Melayu dalam tempoh singkat ketika kebangkitan Bintang Tiga selepas Jepun menyerah kalah lalu berundur dari Tanah Melayu ketika tamatnya Peperangan Dunia Kedua dulu.

Peristiwa ini yang jelas tercatat dalam lipatan sejarah negara tidak mungkin dapat dilenyapkan oleh sesiapa hatta oleh mereka yang bersimpati atau pernah bersimpati dengan gerakan komunisme di Malaysia.

Oleh itu, sebarang usaha untuk menidakkan fakta sejarah ini apatah lagi untuk mewajarkan pemberontakan bersenjata yang dilancarkan PKM sepanjang tempoh darurat dulu sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan seperti yang diajukan oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini, jelas bertujuan tidak lain dan tidak bukan untuk menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini.

Natijah ini diperkuatkan lagi oleh pelbagai petanda jelas dalam pergolakan politik tanah air pada waktu mutakhir ini. Seperti dinyatakan pada awal tadi, usaha untuk membawa pulang Chin Peng yang dilakukan serentak dengan kebanjiran tulisan dalam blog yang secara tersirat mendewa-dewakan komunisme serta kelantangan parti pembangkang dan NGO dalam menyuarakan perjuangan kelas atau class struggle' di Malaysia, memperlihatkan satu pola pendekatan yang sedia diatur secara sistematik.

Perbuatan menstruktur masyarakat menurut kelas tertentu ciptaan sendiri seperti Elit Pemerintah atau Elit Umno, Umnoputras, golongan terpinggir dan sebagainya tidak banyak perbezaan dengan istilah marhaen, proletariat atau bourgeois yang dipopularkan melalui teori dialectical and historical materialism ciptaan Karl Marx.

Tujuannya ialah untuk menimbulkan kemarahan rakyat biasa terhadap kerajaan dan golongan berada supaya satu hari nanti rakyat akan bangkit memberontak atau menentang kerajaan melalui cara yang tidak semestinya demokratik.

Tindakan yang dilakukan untuk mencapai matlamat perjuangan seperti demonstrasi jalanan, mogok lapar atau pelbagai kerenah lain yang berbentuk provokasi dan separa militan juga tidak banyak bezanya dengan kaedah digunakan oleh pergerakan buruh dan pertubuhan berhaluan kiri yang disokong oleh PKM suatu masa dulu.

Usaha menyemarakkan kuasa rakyat yang berjaya menumbangkan kerajaan yang sah di Filipina dan Thailand, tanpa menghiraukan undang-undang, juga satu lagi cara yang pernah digunakan oleh puak berfahaman kiri di negara ini suatu masa dulu.

Oleh itu, bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin mengesahkan bahawa terdapat beberapa kumpulan di negara ini dikesan cuba menghidupkan ideologi dan nilai komunisme. Katanya, gerakan itu dipelopori badan tidak berdaftar dan tidak kurang juga di kalangan parti politik.

Sebenarnya, komunisme sebagai satu ideologi tidak pernah mati. Berakhirnya Perang Dingin yang menyaksikan kehancuran Soviet Union, penyatuan Vietnam dan keruntuhan kerajaan komunis di Eropah Timur pada awal 1980-an, tidak pernah membunuh komunisme.

Ia akan tetap muncul semula dari semasa ke semasa selagi ada pihak yang mempopularkan ideologi itu meskipun tidak semestinya dalam bentuk asal ia dicipta. Pendokong fahaman ini di Malaysia mungkin menolak sama sekali perjuangan bersenjata yang pernah dianjurkan oleh Chin Peng dan rakannya.

Mereka mungkin memilih cara yang boleh dilihat sebagai mesra rakyat dan kurang menakutkan. Mereka boleh melabel ideologi mereka sebagai neo-komunisme, kalau mereka mahu untuk mengaburi mata rakyat. Tetapi percayalah bahawa komunis tetap komunis walau apa juga baju yang mereka pakai. Bahayanya kepada masyarakat tetap sama.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
Minda Pengarang: Ujian nuklear Pyongyang gugat keamanan, kestabilan serantau


TINDAKAN Korea Utara menjalankan ujian nuklear dua hari lalu, yang kedua selepas ujian pertama pada 2006, sudah tentu meningkatkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea, khususnya dan Asia Timur keseluruhannya. Ujian nuklear berkenaan menyebabkan gegaran di rantau terbabit serta meningkatkan lagi krisis negara itu dengan Korea Selatan serta Jepun. Agensi Berita Pusat Korea Utara menyifatkan tindakan negaranya menjalankan ujian itu sebagai usaha meningkatkan program nuklearnya bagi mempertahankan diri. Ia dibuat beberapa minggu selepas negara itu mengancam memulakan semula program atomnya. Malaysia sendiri seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, melahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaru itu serta menyifatkan langkah Pyongyang sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana boleh memberi pelbagai kesan kepada kestabilan serantau. Namun, beliau berharap perkara itu dapat ditangani melalui rundingan enam pihak iaitu China, Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat, Russia dan Jepun serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kita berkongsi pendapat dengan Najib serta beberapa negara lain meskipun Korea Utara memberi alasan bahawa ujian berkenaan dilakukan selepas tentera Amerika Syarikat terus mengancam negara itu serta kesukaran yang dihadapi akibat sekatan ekonomi antarabangsa terhadapnya selama ini. Bagi Pyongyang, ia satu langkah hebat untuk melindungi kepentingan, maruah, kedaulatan dan keselamatan negara serta rakyat akibat dasar imperialisme Amerika.

Hakikatnya, tindakan negara komunis itu bukan saja menggugat keamanan serantau, malah boleh mengancam nyawa nelayan kerana peluru berpandu dari bumi ke udara yang mempunyai jangkauan 130 kilometer, berbahaya kepada nelayan di perairan Jepun. Majlis Keselamatan PBB mengecam tindakan itu dan mengetatkan lagi sekatan ke atas syarikat Pyongyang. Sebagai tindak balas, Korea Utara mengancam mengadakan lebih banyak ujian peluru berpandu dan ujian nuklear. Kita berpendapat sudah tiba masanya seluruh dunia sama ada di Israel, Pakistan, Iran, Russia atau di Amerika Syarikat sendiri menghentikan penggunaan nuklear untuk tujuan persenjataan, sebaliknya perlu ditumpu kepada kegunaan saintifik. Lebih banyak lagi negara terutama yang berpotensi menggunakan nuklear termasuk Israel juga perlu menandatangani Perjanjian Perlucutan Senjata Nuklear (NPT). Kita juga berharap pentadbiran Presiden Barack Obama menukar amalan sejak berdekad lalu mengenai dasar negara itu terhadap senjata nuklear Israel, meskipun bayangan ke arah itu masih lagi di peringkat retorik. Jika Obama berbuat demikian, ia adalah satu sejarah baru kerana presiden daripada parti Republikan atau Demokrat selama ini enggan mendesak Israel menandatangani NPT. Sebagai badan berkuasa, Majlis Keselamatan PBB sepatutnya mewajibkan semua negara menandatangani NPT, tetapi yang menghairankan AS dan Israel tidak pernah mengesahkan pemilikan senjata nuklear negara Yahudi itu. Pokoknya, dunia mungkin lebih aman tanpa senjata nuklear, kerana ia juga digunakan untuk mengancam, mengugut atau tawar menawar untuk penyelesaian konflik antara negara.
Tindakan Korea Utara jadi tumpuan sidang di Pulau Jeju
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my

KETEGANGAN di Semenanjung Korea berikutan tindakan provokasi Korea Utara mengadakan ujian nuklear bawah tanah dan ledakan roket yang mencetuskan kemarahan antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mempengaruhi agenda sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan di Pulau Jeju, selama dua hari bermula Isnin ini.

Walaupun perbincangan mengenai konflik berkenaan tidak termaktub dalam agenda persidangan sempena 20 tahun dialog berkenaan, pemimpin 10 negara Asean dijangka menyuarakan kebimbangan mereka berhubung pergolakan terbaru yang ditimbulkan Korea Utara yang sejak sekian lama menghantui negara di rantau Asia Timur berkenaan.

Tindakan provokatif negara komunis itu dengan menguji nuklear bawah tanah Isnin lalu, diikuti pelancaran dua peluru berpandu jarak dekat turut mencetuskan kebimbangan Asean yang mempunyai hubungan baik dengan kuasa ekonomi di Asia Timur iaitu China, Jepun, Taiwan selain Korea Selatan.

Malaysia turut bimbang dengan konflik yang tercetus apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan tindakan Korea Utara itu boleh menjejaskan ketegangan di rantau berkenaan. Najib yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak di Jeju, Isnin depan meminta rundingan enam pihak membabitkan China, Russia, Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat dan Jepun bersama Majlis Keselamatan PBB diadakan segera bagi menangani masalah berkenaan.

Sebenarnya, Korea Selatan membuat persediaan rapi bagi menganjurkan sidang kemuncak berkenaan yang turut meraikan sambutan ke-20 tahun hubungan baik dengan Asean yang dimulakan pada 1989.

Tanpa memberi tekanan kepada masalah yang dihadapi di rantau itu, sidang kemuncak berkenaan dijangka mampu memberi dimensi baru kepada hubungan dua hala Korea Selatan dan Asean terutama bagi menghadapi alaf baru. Hubungan ini cukup serius bagi Korea Selatan yang menubuhkan Pusat Asean-Korea Selatan di ibu negara Seoul yang dibuka secara rasmi Mac lalu, bagi merapatkan lagi hubungan dua hala negara itu dengan rakan Asean di Asia Tenggara.

Asean adalah rakan dagang dan pelaburan ketiga terbesar Korea Selatan dan hubungan itu dijangka terus meningkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi Asia yang semakin memberangsangkan sekarang.

Nilai dagangan kedua-dua pihak berkembang pesat. Tahun lalu, jumlah nilai dagangan ialah AS$90 bilion meningkat daripada AS$71.85 bilion pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kesan kemelut ekonomi global yang berlaku akhir tahun lalu, menyebabkan nilai dagangan kedua-dua pihak merosot pada tiga bulan pertama tahun ini kepada AS$16.03 bilion berbanding AS$22.7 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Penubuhan pusat itu memperlihatkan keyakinan Korea Selatan terhadap kepentingan Asean melalui hubungan dua hala yang mantap dalam bidang ekonomi, politik dan kebudayaan yang terjalin sejak dua dekad lalu. Kedua-dua pihak bersetuju menjadikan pusat berkenaan yang ditadbir majlis yang menjadi pembuat keputusan bagi meningkatkan hubungan perdagangan, menggalakkan aliran pelaburan, pertukaran kebudayaan dan pelancongan antara Asean-Korea Selatan.

Selama ini hubungan perdagangan lebih memihak kepada Korea Selatan terutama dalam pelaburan. Pusat berkenaan akan meningkatkan kesedaran produk Asean di kalangan pengguna Korea melalui galakan pameran oleh syarikat dari Asean untuk mengadakan pameran dan promosi produk di Korea. Malah, ia juga akan membantu syarikat Asean memasuki pasaran Korea melalui penyebaran maklumat mengenai peraturan import dan keadaan pasaran. Selain itu usaha menggalakkan pelaburan di negara Asean turut dilakukan pusat berkenaan.

Tinjauan ke pusat terbabit sempena kunjungan wartawan negara Asean ke Korea Selatan, baru-baru ini, mendapati pameran budaya Asean `Asean Prism' berlangsung di dewan pameran Tingkat 8, Bangunan Press Center.

Pelbagai pameran berbentuk budaya dari 10 negara Asean dipamerkan. Malaysia mengenengahkan kraf etnik pedalaman Sarawak dan Royal Selangor Pewter pada pameran yang berlangsung sejak Mac lalu.

Timbalan Pengarah, Pusat Asean-Korea Selatan, Yoo Dae Jong, ketika memberi taklimat kepada wartawan Asean berkata, penubuhan pusat berkenaan akan merapatkan lagi hubungan Asean-Korea Selatan yang selama ini sedia terjalin.

"Kedua-dua pihak akan mendapat manfaat dengan penubuhan pusat ini yang akan menyelaras hubungan dua hala melalui kerjasama teknikal, perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan pelancongan.

"Dengan wujudnya Pusat Asean-Korea Selatan sebagai pertubuhan antara kerajaan, kita yakin hubungan antara kedua-dua pihak akan meningkat terutama dalam bidang ekonomi bagi menghubungkannya dengan dunia global," katanya.

Selain itu katanya, kesedaran kebudayaan di antara penduduk Asean yang berjumlah 570 juta dan Korea Selatan 48.5 juta penduduk amat penting dan ia boleh dipromosikan melalui pusat berkenaan dengan lebih agresif lagi.

Dalam tempoh 20 tahun hubungan dua hala Asean-Korea Selatan, kita yakin persidangan di pusat peranginan Jeju kali ini akan membuka era baru kepada pemimpin kedua-dua pihak untuk melihat hala tuju bersama bukan saja untuk memakmurkan rantau Asean dan Asia Timur, malah menjana pertumbuhan ekonomi global.

Sudah sampai masanya, semua pemimpin melihat skop lebih jauh manfaat yang bakal diperoleh melalui hubungan dan kerjasama yang berbentuk `menang-menang' terutama selepas pembukaan pasaran bebas Asean dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-Korea Selatan.

Kita yakin konflik yang berlaku di Semenanjung Korea kini selain peristiwa tragis yang menggemparkan seluruh penduduk Korea Selatan apabila bekas Presiden Korea Selatan ke-16, Roh Moo-hyun (2003-2008) membunuh diri selepas dikaitkan dengan isu rasuah, tidak memesongkan matlamat persidangan.

Sidang kemuncak ini amat penting bagi Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang mempunyai hubungan rapat dengan Asean kerana pernah berkhidmat dalam bidang pembinaan ketika bersama syarikat Hyundai di Singapura dan Thailand, untuk membincangkan mengenai masa depan Asia melalui pengenalan Pelan Diplomasi Baru Asia, yang tentunya ditunggu-tunggu semua pihak di rantau Asia.
Image
Fahami asas sejarah Malaysia
Filem Bukit Kepong adalah antara filem Melayu genre peperangan yangsangat lekat di hati penulis. Latar belakang peristiwa yang menonjolkankeberanian anggota polis dan orang kampung menentang kekejamansegerombolan pengganas komunis itu meninggalkan kesan sehingga ke hariini.

Image
Pemilihan Pas kian panas
Kira-kira 40 wartawan memenuhi bilik mesyuarat yang terletak di tingkatlima ibu pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam bagimendapatkan maklumat rasmi jumlah calon bagi semua jawatan sama ada diperingkat Pas Pusat, Dewan Muslimat atau Dewan Pemuda.

Bahaya sentimen Chin Peng, propaganda halus komunisme
KENAPAPengerusi Parti Gerakan, Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan memintakerajaan membenarkan Chin Peng pulang? Apa kaitan musuh negara itudengan gagasan Satu Malaysia?

BISIK-BISIK
STATUSharam Parti Komunis Malaya (PKM) tidak pernah diubah dan ia tidak bolehdiubah. Hanya orang yang tidak mengetahui dan memahami sejarah (butasejarah) sanggup memberi ruang kepada PKM yang diharamkan!

Wang rakyat, moral ahli Parlimen Britain
PARLIMEN Westminster sedang dilanda krisis gara-gara ada ahli Parlimen rakus membelanjakan wang rakyat.

Keluarkan kertas putih aktiviti komunis 1948-1989
KINI, isu komunis kembali diperkatakan. Namun ia bukan isu baru.

Korea Utara mahu tunjuk kuasa nuklear baru
KEJAYAANKorea Utara melancarkan ujian nuklear bawah tanah membuktikan bahawa iamahu muncul sebagai antara negara kuasa nuklear dunia.

Sebab lelaki liat bayar hutang
APABILAkenyataan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melaporkan bahawa kaum lelakipaling liat bayar hutang berbanding dengan peminjam wanita, terfikirjuga di fikiran kita, apakah sebab lelaki bersikap demikian?





Keputusan mahkamah perteguh kekuasaan BN di Perak
EPISODkemelut politik Perak sudah hampir selesai selepas Mahkamah RayuanJumaat lalu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei laluyang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sahjawatan Menteri Besar Perak.

Minda Pengarang: Rakyat sepatutnya tidak lupa sejarah keganasan komunis
TIDAKketerlaluan untuk kita menyifatkan komunis sebagai penjajah terakhir dinegara kita. Tetapi berbeza dengan Portugis, Belanda, British, Siammahupun Jepun, penjajahan komunis bukan didalangi tentera asing yangmenceroboh untuk menakluk negara kita, sebaliknya komunis menjajahnegara kita dengan menanamkan ideologi cetusan Karl Marx di kalanganmasyarakat tempatan, terutama orang Cina di Tanah Melayu. Ia adalah�penjajahan minda� yang menyebabkan penduduk setempat bangkit menentangpemerintah bagi mewujudkan sebuah negara berasaskan sistem komunisme.Sejak dicetuskan Karl Marx di Eropah pada pertengahan abad ke-19,ideologi komunis merebak pesat ke negara lain termasuk Russia dan Chinasebelum tiba di negara kita pada awal 1920-an. Fahaman itu terusdisebarkan ejen komunis terutama apabila Parti Komunis Malaya (PKM)ditubuhkan pada 1930. Pelbagai propaganda dirancang bagi menarik minatmasyarakat Cina kelas bawahan menyertai PKM. Usaha itu berkesan apabilakira-kira 10,000 ahli baru menyertai parti itu menjelang 1934. Pelbagaiusaha dilakukan sejak itu termasuk cubaan menyusup masuk ke dalampertubuhan orang Melayu. Usaha PKM untuk menubuhkan sebuah kerajaankomunis menerusi pendekatan politik gagal apabila mereka diketepikanBritish dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari1948. PKM menukar strategi kepada pendekatan keganasan. Kebanyakankomunis ini bergerak dalam hutan dan menjadi pasukan pembunuh bergeraksecara gerila.

HIV/Aids masih jadi ancaman
DIANGGARKANkira-kira 11.8 juta golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun di seluruhdunia menghidapi HIV dengan setiap hari hampir 6,000 orang, manakala2,000 bayi juga dikesan dijangkiti virus sama yang dibawa ibu merekaketika mengandung, selepas dilahirkan atau menyusu ibunya.






Pengaruh 'suara' selebriti
Sejauh manakah golongan selebriti dapat membantu mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap HIV/AIDS?

Image
Kekangan mangsa HIV/AIDS
Mereka bukan sahaja dipinggirkan oleh ahli keluarga, malah masyarakat juga takut mendekati mereka.
Fahami asas sejarah Malaysia


Chin Peng berjabat tangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Abdul Rahman selepas perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya dan Kerajaan Thailand ditanda tangani di Hatyai pada 1 Disember 1989.


Filem Bukit Kepong adalah antara filem Melayu genre peperangan yang sangat lekat di hati penulis. Latar belakang peristiwa yang menonjolkan keberanian anggota polis dan orang kampung menentang kekejaman segerombolan pengganas komunis itu meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.

Babak seorang isteri mengambil tempat si suami untuk mempertahankan balai polis, detik beberapa orang kanak-kanak menangisi pemergian orang tua mereka, semuanya kekal melekat di minda dan hati penulis sehingga ke hari ini.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan ketenteraan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh seorang keturunan Melayu bernama Ahmad Indera telah memusnahkan Bukit Kepong.

Walaupun dididik dengan latar belakang sekolah agama, malahmenjadi guru agama, Ahmad Indera tidak terkecuali dipukau oleh faham komunisme. Maka berlakulah insiden Bukit Kepong, saat Sarjan Jamil baru sahaja mengambil alih teraju kawalan keselamatan di Bukit Kepong daripada pimpinan seorang pegawai polis 'Mat Saleh'.

Peristiwa yang berlaku pada jam 5 pagi, 23 Februari 1950 itu digambarkan dengan cukup baik menerusi filem tersebut. Dengan filem itu juga, kita didedah dan difahamkan dengan makna tersirat di sebalik perjuangan menentang komunis.

Ada darah yang mengalir. Ada nyawa yang melayang dalam usaha menentang sebuah 'isme' yang jelas tidak praktikal dan bermotif jahat.

Faham antikomunisme ditolak bukan sahaja atas nilai 'isme' yang lemah dan longgar tetapi kerana keganasan yang membawa padah kepada bangsa dan negara.

Dalam menghadapi ratusan gerila komunis, ramai anggota polis terkorban. Keluarga anggota juga terbunuh. Beberapa orang kampung yang berkhidmat sebagai Auxillary Police/Home Guard juga gugur.

Balai Polis Bukit Kepong rentung. Ini semua bukan propaganda politik. Sebaliknya kisah benar yang membayangkan perjuangan kita untuk beroleh kemerdekaan. Kalangan ayah dan ibu kita yang kebetulan berada sezaman dengan peristiwa tersebut mungkin punya fahaman yang berlainan dengan kita yang lahir di zaman serba aman ini.

Apakah menjadi sesuatu yang sangat sukar memahamkan 'generasi x', 'generasi y' dan 'generasi z' dengan hakikat sejarah ini?

Hari ini, atas nilai sentimental yang juga longgar dan tidak berasas, ada usaha untuk mendewa-dewakan pengganas komunis di dalam minda masyarakat kita.

Ada desakan untuk membawa kembali pengganas ke tanah air dan diangkat sebagai hero. Adakah mudah sangat masyarakat kita memaafkan dosa kemanusiaan yang dilakukan oleh pengganas komunis sebelum ini. Padahal, dosa Bukit Kepong sahaja belum tentu mampu diluputkan dari ingatan.

Perjuangan yang diteras oleh faham "The Communist Manifesto (1848)" itu dijadikan asas kepada usaha mewujudkan masyarakat yang kononnya akan berkongsi kegembiraan bersama kerana tidak wujud 'perbezaan antara kelas' dan sebagainya.

Bagi menjayakan cita-cita komunis ini, mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk membunuh. Karl Marx dan Friedrich Engels menggariskan 'arah perjuangan' yang membenarkan apa sahaja cara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang sedemikian utopian sifatnya.

Maknanya, insiden Bukit Kepong dan banyak lagi kekejaman komunis bagaikan mahu dibuang begitu sahaja.

Penulis beranggapan segala usaha ini mempunyai tujuan yang sengaja mahu mencabar kesahihan sejarah. Apa pun alasan yang diberikan, ini semua tidak mampu menghilangkan luka sejarah di sebalik tindakan PKM selama ini.

Masyarakat secara umum, apatah lagi veteran polis dan tentera mampu mengalirkan air mata, sekiranya jasa mereka dilupakan tetapi sebaliknya menerima kembali musuh negara sebagai wira.

Apa pun, kecenderungan untuk 'memperbaiki' jalur sejarah bagi menepati cita-cita politik kumpulan dan individu tertentu menjadi sesuatu yang sangat ketara sejak kebelakangan ini.

Sejarah yang sedia tersurat dirasakan tidak benar dan tidak selari dengan maksud dan cita-cita politik kumpulan tertentu. Maka usaha mesti dilakukan untuk 'menulis semula' sejarah dengan lembaran yang lebih mesra politik kepada kumpulan tersebut. Apakah langkah dan tindakan ini wajar?

Dua minggu lepas, penulis terbaca tulisan seorang editor ekonomi di sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memperkatakan mengenai Tragedi 13 Mei 1969. Menurutnya tragedi itu berpunca daripada "mereka yang berkuasa mahu kekal berkuasa".

Walaupun mempunyai jalur dan niat pemikiran yang agak 'nakal dan jahat' namun itulah 'tafsiran baru' sejarah yang ingin dan mahu dilambakkan ke dalam pemikiran masyarakat kita.

Tragedi 13 Mei ditafsir dengan 'hala tuju politik' sendiri dan sekali gus membuktikan kegagalan menerima hakikat sejarah.

Dalam laman web youtube misalnya, banyak klip video dan bicara yang memberi gambaran mengenai Tragedi 13 Mei (kalangan tertentu menggunakan istilah 513). Setakat yang penulis lihat, hanya satu yang agak objektif sementara yang lain menggunakan 13 Mei sebagai 'alat politik' untuk menegaskan bahawa merekalah sebenarnya yang menjawab permasalahan 13 Mei.

Komunisme sebagai 'isme' kerajaan mahupun sebagai gerakan ketenteraan yang merosakkan fabrik kemasyarakatan negara tidak wajar sama sekali diangkat sebagai perjuangan heroic dan berasaskan kemerdekaan.

Makna kemerdekaan tidak wajar difahami di atas landasan 'isme' yang sedemikian kejam dan menghancurkan negara. Tidak ada asas sentimental apa pun yang wajar mengembalikan mereka sebagai hero di bumi bertuah Malaysia ini!

Faham dan apresiasi sejarah inilah yang amat penting kita dedahkan di kalangan anak muda kita. Mereka mungkin memahami sejarah secara tersurat tetapi belum mampu memahami sejarah secara halus dan tersirat. Inilah yang selalu kita gagal menjelaskan kepada kalangan anak-anak muda.

Memahami sejarah secara 'tersurat' akan hanya tertumpu kepada usaha penghafalan fakta. Ia tidak mampu diisi secara 'makna dalam' kepada sebarang peristiwa yang berlaku. Jalan mudah - kita perbetulkan sejarah supaya sesuai dengan jalan politik kita sendiri.

Komunisme bukan sahaja menarik perhatian segelintir masyarakat Cina, malah ada juga kalangan orang Melayu yang terbuai dengan 'nilai komunisme'. Ahmad Indera adalah contoh kecil.

Sewaktu pengaruh PKM berleluasa, ada gerakan yang digelar sebagai Min Yuen atau gerakan rakyat yang menjadi kekuatan moral kepada gerakan komunisme. Bukan secara keseluruhan kerana simpati kepada gerakan komunisme; tetapi lebih kepada takut dizalimi oleh PKM.

Orang Cina juga berdepan dengan dugaan yang bukan kecil sewaktu PKM berleluasa. Semua ini hanya mampu ditangani dengan usaha Rancangan Briggs dan pengwujudan kampung-kampung baru.

Justeru, komunisme bukanlah suatu gerakan yang memberikan syurga kepada mana-mana bangsa. Hakikat sejarah ini jangan sesekali kita tolak.

Dosa menjahanam bangsa dan negara jangan mudah dilupakan dengan nilai sentimental, walau apa alasan pun. Lebih penting lagi, adalah untuk kita sama-sama melihat jauh ke depan dan menerima hakikat sejarah seadanya.

Trend memperolok dan 'memperbetulkan' sejarah ini dimulakan oleh kalangan ahli politik yang bankrap idea dan gagasan. Dengan mudah, sejarah dijadikan insiden prima facie yang membenarkan tindakan mereka untuk membuka ruang pemahaman sejarah yang baru.

Asalkan ia mampu ditafsir dengan omongan dan retorik kosong, sejarah dijadikan alat politik.

Penulis bersetuju dan mengalu-alukan usaha mengembalikan faham sejarah sebenar, dengan nilai objektif yang luhur dan mendalam.

Sejarah jangan dijadikan bahan dagang politik, apatah lagi menjadi alat untuk membenarkan sikap dan fikrah ekstremisme. Kita wajar melihat semula sejarah sebagai sumber kekuatan dan jati diri bangsa dan bukannya alat politik songsang yang merosakkan.

Rakyat wajar membuka mata bahawa mereka yang gemar 'menulis semula' sejarah dengan kepentingan politik adalah kalangan yang sangat terdesak dan cuba untuk memberi kekuatan kepada pelbagai tindakan yang merosakkan.

Kita tidak mahu sejarah menjadi fiksyen hanya kerana mahu memastikan segelintir pihak beroleh kelebihan politik.

Kita seboleh-bolehnya tidak mahu pemergian Allahyarham Sarjan Jamil dan yang lain di Bukit Kepong sebagai 'permainan politik' orang yang mahu membangkitkan elemen heroisme kepada gerakan komunis.

Sarjan Jamil dan rakan-rakannya itulah hero sebenar. Mereka wajar diangkat sebagai kelompok yang perlu dikenang dan dihormati. Bukankah lebih elok, dengan semangat Satu Malaysia, kalangan pemuka politik bukan Melayu juga mengakui hakikat ini.

Darah pahlawan yang tumpah di Bukit Kepong, malah di seluruh negara, tidak akan mampu dibersihkan. Fahaman komunis yang ingin mewujudkan anarcho-communism inilah yang sebenarnya merosakkan fabrik sosial bangsa.

Kepulan asap 23 Februari 1950 yang membakar Bukit Kepong itu adalah gambaran bahawa bangsa kita pernah terbakar dek kerenah komunisme. Hentikanlah mengangkat mereka sebagai hero kerana kita ada wira sebenar.

PENULIS ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO

Pemilihan Pas kian panas


Mustafa Ali dan Hassan Shukri pada sesi pengumuman calon-calon yang layak bertanding merebut jawatan dalam kepimpinan Pas Pusat pada pemilihan parti itu bulan depan, semalam.


Kira-kira 40 wartawan memenuhi bilik mesyuarat yang terletak di tingkat lima ibu pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam bagi mendapatkan maklumat rasmi jumlah calon bagi semua jawatan sama ada di peringkat Pas Pusat, Dewan Muslimat atau Dewan Pemuda.

Kehadiran begitu ramai wartawan itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali sebelum beliau memulakan sidang akhbar bagi mengumumkan senarai terkini calon yang layak untuk bertanding pada Muktamar Pas Ke-55.

Secara berseloroh beliau menyatakan jumlah wartawan yang hadir itu lebih daripada biasa tetapi yang jelasnya sesi pemilihan Pas kali ini mendapat tumpuan secara khusus daripada pengamal media tempatan dan luar negara.

Tanpa mengambil kira latar belakang pengamal media yang menghadiri sidang akhbar itu masing-masing mahu mendapatkan senarai calon terakhir sebelum perwakilan menentukan siapakah yang bakal membarisi saf kepimpinan Pas untuk tempoh dua tahun akan datang.

Akhirnya, tepat pukul 11 pagi, Mustafa mengumumkan senarai calon yang layak bertanding di peringkat Pas Pusat, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda.

Kesemua calon itu kata Mustafa layak bertanding selepas menerima cukup pencalonan dan kemudian telah mengesahkan kepada pihak jawatankuasa untuk meneruskan pertandingan.

Bagi jawatan Presiden, ia telah dimenangi oleh penyandangnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas bekas Menteri Besar Terengganu itu memperolehi 136 pencalonan daripada 137 Pas Kawasan.

Perkara itu telah pun diumumkan pada 16 Mei lalu. Untuk rekod Abdul Hadi mula menjadi presiden parti itu sejak tahun 2003.

Kini, jawatan paling tinggi dipertandingkan di peringkat Pas Pusat ialah Timbalan Presiden dan tiga calon telah menawarkan diri iaitu penyandangnya, Nasharudin Mat Isa, Datuk Husam Musa (Naib Presiden) serta Mohamad Sabu (Naib Presiden).

Ia diikuti dengan jawatan Naib Presiden.

Sebanyak lima calon telah menawarkan diri iaitu Datuk Mahfuz Omar (Ketua Penerangan Pas), Dr. Mujahid Yusof Rawa (Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang), Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah (Exco Kerajaan Negeri Kelantan), Salahuddin Ayub (Ketua Dewan Pemuda Pas) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesuruhjaya Pas Pahang).

Bagi jawatan tersebut, tiga daripada lima calon yang mendapat undi tertinggi akan dipilih memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pusat pula, seramai 54 calon telah mengesahkan untuk bertanding dan daripada jumlah itu hanya 18 calon sahaja yang akan terpilih.

Sesuatu yang agak menarik pada sesi pemilihan Pas kali ini apabila Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda yang baru apabila pencabarnya Mohamad Zaki Ibrahim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran dikatakan mengambil keputusan untuk berkompromi.

Begitu juga dengan pertandingan di peringkat Dewan Ulama Pas apabila bekas ketua dewan itu sebelum ini, Datuk Harun Taib dipilih semula menerajui dewan berkenaan.

Di peringkat Dewan Muslimat Pas pula, pertembungan berlaku di semua jawatan kecuali Naib Ketua.

Seperti mana yang diumumkan oleh Mustafa semalam, jawatan itu telah dimenangi oleh Senator Mumtaz Md. Nawi.

Seramai dua calon menawarkan diri merebut jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas iaitu antara penyandangnya, Nuridah Mohd. Salleh dan Dr. Asiah Ali.

Untuk jawatan timbalan ketua pula, dua calon menawarkan diri iaitu Siti Zailah Mohd. Yusoff dan Wan Hasrina Wan Hassan.

Sementara itu jika diteliti semula senarai calon yang bertanding, tiga pemimpin yang menang (tanpa bertanding) iaitu Abdul Hadi, Harun dan Nasruddin adalah di kalangan golongan ulama.

Abdul Hadi dan Harun adalah pemimpin lama dalam Pas dan pembawakan mereka sebagai ulama di dalam parti itu sudah cukup sinonim.

Cuma yang lebih menarik untuk diperbincangkan ialah pemilihan Nasruddin sebagai Ketua Dewan Pemuda. Beliau merupakan lulusan Universiti Azhar dan merupakan anak didik kepada Abdul Hadi.

Sebagai seorang yang berlatar belakang pendidikan agama sudah tentu Nasruddin akan mencorakkan kepimpinan Pemuda mengikut acuan kepimpinan ulama, apatah lagi timbalannya yang juga menang tanpa bertanding, Azman Shapawi Abd. Rani juga merupakan lulusan agama.

Yang pasti, banyak pihak boleh menjangka hala tuju Pemuda Pas dengan pemilihan dua pemimpin pelapis berkenaan.

Ringkasnya, selepas pengumuman Mustafa semalam iaitu tanpa mengambil kira keputusan pemilihan yang akan diadakan pada bulan depan (3-6 Jun), kepimpinan utama Pas setakat ini masih diterajui oleh golongan ulama dan ia sejajar dengan ketetapan yang buat oleh Pas pada tahun 1982.

Bagaimanapun saf kepimpinan Pas sama ada dikuasai oleh ulama atau puak erdogan (pemimpin yang rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya akan diketahui selepas pemilihan sepenuhnya berakhir.

Berbalik kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden, salah seorang calonnya, Datuk Husam Musa dikatakan memecah tradisi Pas apabila beliau mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut.

Menurut seorang aktivis Pas, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku dan tidak hairanlah ramai pihak yang berpendapat tindakan yang dilakukan oleh Husam itu agak luar biasa.

Berbanding dua calon lain iaitu Nasharuddin dan Mohamad Sabu, masing-masing mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung kesediaan mereka merebut jawatan berkenaan.

"Apa tujuan sebenarnya Husam berbuat demikian hanya beliau sahaja yang tahu. Namun begitu tindakan beliau mendakwa Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin terlalu liberal terhadap UMNO tidak sepatutnya diucapkan.

"Sebenarnya Pas tidak pernah mengamalkan politik seperti ini kerana kami diajar supaya hormat-menghormati antara satu sama lain. Kemenangan hendaklah didasari dengan kekuatan sendiri dan bukannya melalui cara seperti ini," kata aktivis berkenaan.

Husam kata aktivis tersebut, sepatutnya tidak berkata apa-apa sama ada dalam bentuk tersurat atau tersirat kerana beliau merupakan calon yang bertanding.

Husam tidak boleh menafikan perkara tersebut kerana kenyataan beliau dipaparkan di dada-dada akhbar arus perdana.

Tidak dinafikan pelbagai andaian dan persepsi timbul ekoran daripada tindakan Husam sama ada positif atau negatif.

Ada juga pihak yang berpendapat Husam harus menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk menentukan siapa yang bakal menjadi orang nombor dua dalam parti.

Kenyataan itu ada asasnya kerana sejak beberapa kali pemilihan sebelum ini perwakilan lebih mahir dan lebih faham untuk memilih pemimpin mereka tanpa perlu ada kempen secara berlebihan.

Oleh itu bagi menentukan siapakah Timbalan Presiden Pas, hanya perwakilan sahaja yang ada jawapannya. Tetapi berdasarkan trend dalam parti tersebut, pemimpin yang berlatarbelakangkan agama tetap akan menjadi pilihan.

Bahaya sentimen Chin Peng, propaganda halus komunisme

KENAPA Pengerusi Parti Gerakan, Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang? Apa kaitan musuh negara itu dengan gagasan Satu Malaysia?

Kita berasa pelik dengan tindakan beberapa pemimpin bukan Melayu dan penulis blog yang 'bersemangat' memperjuangkan Chin Peng@Ong Boon Hua sejak kebelakangan ini.

Adakah mereka berkongsi ideologi yang sama? Ini yang sedang difikirkan oleh banyak pihak yang pastinya tidak dapat melupakan kekejaman Bintang Tiga pada zaman dua fasa darurat dahulu - dari 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1984.

Dari semasa ke semasa bagaikan ada satu gerakan untuk terus mencanangkan nama Chin Peng daripada dilupakan oleh rakyat.

Daripada usaha menjadikan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sebagai pejuang kemerdekaan hinggalah kepada tuntutan untuk membenarkan beliau pulang ke kampungnya di Sitiawan, Perak.

Kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu membuat keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali. Malah Mahkamah Rayuan tahun lalu juga menolak permohonan bekas Setiausaha Agung PKM itu.

Tetapi, nampaknya usaha membawa masuk pemimpin itu digerakkan dari dalam negara pula melalui media cetak dan blog dengan membuat penilaian dan peranan baru terhadap Chin Peng.

Jadi adalah tepat apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan perbuatan pihak tertentu itu sebagai durjana jika cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia.

Secara mudah, cuba kita bayangkan keadaan dan suasana negara kita hari ini jika PKM berjaya menggulingkan kerajaan pilihan rakyat melalui perjuangan kejamnya.

Komunis ialah musuh kita dan kita berjaya mencapai kestabilan politik dan ekonomi seperti hari ini kerana mengalahkan mereka. Janganlah diungkit-ungkitkan lagi tentang Chin Peng. Apa ruginya kalau kita tidak memberi pujian dan bernolstagia dengan komunisme?

Pihak-pihak yang 'memuja' parti politik haram itu patut sedar bahawa Chin Peng bukanlah pejuang kemerdekaan negara ini. Sebaliknya dia seorang penderhaka yang mengetuai sebuah pergerakan yang membunuh ramai orang tidak berdosa.

Chin Peng dan PKM sebenarnya masih berdegil untuk membubarkan pergerakan komunis walaupun mereka telah menandatangani Perjanjian Damai dengan Kerajaan Malaysia di Hatyai pada 1989.

Dalam perjanjian itu mereka cuma setuju untuk memberhentikan perjuangan bersenjata, maknanya ia boleh diteruskan kemudian. Perjuangan PKM sebenarnya adalah perjuangan kejam, tanpa perikemanusiaan dan penuh tragedi berdarah.

Ingatlah kepada para balu, anak-anak dan ibu bapa para anggota keselamatan yang terkorban demi mempertahankan semua rakyat negara tercinta ini.

Ingatlah kepada anggota keselamatan yang cacat anggota tubuh badan akibat perbuatan ganas PKM. Memberi pengiktirafan kepada perjuangan PKM dalam apa bentuk sekalipun adalah satu pengkhianatan terhadap jasa bakti semua pahlawan negara.

Oleh itu tidak perlu pun kita cuba menghidupkan nostalgia Chin Peng.

Kita mengharapkan Kabinet dapat membuat keputusan bagi menamatkan cerita tentang musuh negara itu. Yang penting sesuatu perlu dilakukan bagi menghalang sentimen Chin Peng dan propaganda halus ideologi komunis daripada meresap ke dalam fikiran anak-anak muda.
BISIK-BISIK

STATUS haram Parti Komunis Malaya (PKM) tidak pernah diubah dan ia tidak boleh diubah. Hanya orang yang tidak mengetahui dan memahami sejarah (buta sejarah) sanggup memberi ruang kepada PKM yang diharamkan!

Awang dapat merasakan kekejaman Ching Peng dan gerombolannya. Angkara mereka, negara terpaksa diisytihar darurat bagi satu tempoh yang cukup sengsara.

Hidup rakyat yang tidak berdosa terancam. Kesan kekejaman PKM tidak terkata dan sampai sekarang masih diratapi. Rakyat, askar dan polis bertarung nyawa mempertahankan negara.

Sebahagian daripada mereka disembelih komunis dan sebahagian lagi cacat anggota secara kekal. Kemusnahan harta benda tidaklah terkira. Bagi yang maut di tangan komunis, anak cucu mereka menderita sehingga kini.

Tanyalah dan dekatilah mangsa-

mangsa kekejaman komunis yang masih hidup. Dengarlah cerita mereka yang terpaksa meneruskan hidup dengan kaki kudung akibat terkena jerangkap samar yang dipasang komunis.

Maka, pihak berkuasa tidak boleh memberi ruang kepada pihak-pihak yang cuba memberi jenama baru kepada PKM dan komunisme. Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap sesiapa juga yang cuba mengubah sejarah hitam PKM.


Awang – Anak merdeka.
Wang rakyat, moral ahli Parlimen Britain

PARLIMEN Westminster sedang dilanda krisis gara-gara ada ahli Parlimen rakus membelanjakan wang rakyat.

Sistem Parlimen Britain membolehkan ahli Parlimennya menerima gaji tetap berserta elaun-elaun tertentu.

Gaji tetap mereka tidaklah terlalu tinggi, sekitar £65,000 (RM357,000) setahun. Selepas ditolak cukai pendapatan dan lain-lain potongan, gaji bulanan mereka mungkin menjadi sekitar £3,700 (RM20,350) sahaja.

Tetapi mereka menerima banyak elaun tambahan. Contohnya, mereka boleh menuntut sehingga £100,000 (RM550,000) setahun untuk menggaji pekerja, elaun perhubungan sehingga £10,000 (RM55,000) setahun, elaun perbelanjaan sehingga £22,000 (RM121,000) setahun, dan elaun penempatan sehingga £24,000 (RM132,000) setahun.

Ada lagi beberapa jenis elaun yang juga boleh mereka manfaatkan. Wakil rakyat yang menjawat jawatan rasmi pula ada yang mendapat gaji lebih tinggi. Secara kasarnya, gaji Perdana Menteri Britain ialah £195,000 (RM1.07 juta) setahun. Menteri-menteri Kabinet dan Speaker Dewan Rakyat pula mendapat gaji sebanyak £142,000 (RM781,000) setahun.

Pembangkang diiktiraf sebagai elemen penting dalam sistem Demokrasi Berparlimen di sini. Sikap ini mudah difahami kerana apa faedahnya Britain mempunyai Parlimen untuk mengimbangi kerajaan jika peranan pembangkang tidak dihargai?

Dengan pengiktirafan itu, maka Ketua Pembangkang mendapat gaji yang hampir sama dengan menteri Kabinet iaitu £142,000 (RM781,000) setahun. Ketua Whip Pembangkang pula mendapat gaji £104,000 (RM572,000) setahun.

Setelah ditolak cukai pendapatan dan lainlain, sebenarnya gaji ini tidaklah terlalu tinggi. Kerana itu tidak ada sesiapa yang mempersoalkan gaji wakil rakyat Britain.

Krisis yang sedang dihadapi sekarang ialah mengenai jumlah tuntutan perbelanjaan yang telah menjadi di luar kawalan.

Krisis ini bermula dengan pendedahan akhbar Daily Telegraph. Hampir tiga minggu berturut-turut pendedahan dibuat. Akhbar itu tidak memilih parti yang akan 'diserang' olehnya.

Perbelanjaan Perdana Menteri, Gordon Brown merupakan antara yang pertama didedahkan oleh akhbar tersebut. Antara lain, beliau dilaporkan menuntut sebanyak £650 (RM3,570) untuk makanan, £83 (RM456.5) untuk bil telefon, £1,403 (RM7,716.5) untuk membersihkan rumah, £90 (RM495) bagi membaiki rumah, dan £108 (RM594) sebagai sewa bulanan pakej televisyen satelit.

Seorang menteri kanan iaitu Menteri Kewangan, Alistair Darling, dilaporkan menuntut £2,000 (RM11,000) untuk membeli perabot, £2,000 lagi bagi membeli karpet baru, dan £300 (RM1,650) sebulan untuk makanan. Beliau juga menuntut £1,200 (RM6,600) untuk membayar cukai pintu kediamannya.

Ini tidak termasuk perbelanjaan yang jauh lebih besar untuk membayar kos rumah kedua mereka. Ada wakil rakyat yang menuntut puluhan ribu untuk kos itu. Setakat ini perbelanjaan lebih 200 orang wakil rakyat telah didedahkan. Dan dijangka lebih banyak lagi pendedahan akan dibuat kerana Britain mempunyai 646 orang wakil rakyat.

Krisis ini menjadi begitu serius sehingga Speaker Dewan Rakyat dipaksa meletak jawatan minggu lepas. Ini merupakan kali pertama sejak lebih 300 tahun Speaker dipaksa meletak jawatan. Ramai juga yang mengatakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan krisis ini adalah dengan membubarkan Dewan Rakyat agar pilihan raya diadakan lebih awal untuk membolehkan mereka yang tidak beretika dikeluarkan.

Saya melihat ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari daripada krisis di Britain ini.

Pertama, wang yang digunakan untuk menampung kos wakil-wakil rakyat sebenarnya adalah wang rakyat. Rakyat mesti mengambil tahu ke mana wang dibelanjakan. Membiarkan wakil-wakil rakyat membelanjakan wang rakyat sewenang-wenangnya merupakan satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

Untuk mengelakkan kita menghadapi masalah yang sama, Parlimen kita juga mestilah telus. Penyata tahunan perlu dikeluarkan untuk menggariskan secara teliti jumlah perbelanjaan setiap ahli Parlimen yang dibayar dengan wang rakyat. Had perbelanjaan, gaji dan elaun setiap ahli Parlimen mesti dinyatakan dengan jelas.

Saya rasa keluarga diraja Britain lebih telus daripada wakil rakyat di sini. Akaun pendapatan dan perbelanjaan tahunan keluarga diraja Britain boleh diperolehi secara terbuka sejak beberapa tahun lalu. Mungkin institusi raja di Malaysia boleh mengorak langkah yang sama dan menunjukkan kepimpinan seperti yang dibuat oleh keluarga diraja Britain.

Pengajaran kedua yang boleh kita teladani ialah bagaimana wakil rakyat Britain begitu menghormati adab Dewan mereka. Sejak minggu pertama pendedahan dibuat, telah ada wakil rakyat yang mahu Speaker meletak jawatan. Kritikan terhadap Speaker memuncak pada minggu kedua. Malah seorang wakil rakyat berjaya mengumpul cukup tanda tangan untuk memulakan undi tidak percaya terhadap Speaker.

Tetapi walaupun wujud rasa tidak puas hati yang ketara terhadap Speaker, wakil-wakil rakyat Britain tetap berakhlak. Mereka mengikut prosedur Dewan dan tidak bertindak tanpa kebenaran Speaker.

Selagi Speaker tidak membenarkan undi tidak percaya dibahaskan, selagi itulah mereka menerima hakikat bahawa beliau memegang jawatan tertinggi dalam Dewan itu. Tidak ada sesiapa yang mencemar maruah Dewan dalam usaha menyingkirkan Speaker tersebut.

Satu lagi pengajaran penting ialah mengenai pentingnya urusan politik diselesaikan dalam Dewan. Walaupun krisis yang melanda Parlimen di sini amat serius, tidak ada ahli Parlimen yang mahu membawa kes ke mahkamah atau merujuk kepada Ratu Elizabeth II atau Putera Charles.

Ratu Elizabeth II dan Putera Charles dihormati dunia kerana mereka memisahkan diri daripada urusan politik harian. Tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham walaupun krisis politik teruk yang sedang melanda memberi kesan terhadap sistem pemerintahan di negara itu.

Rakyat Britain juga faham ketinggian dan kemuliaan institusi raja mereka. Tidak ada sesiapa pun mencadangkan agar kes itu dirujuk ke Istana Buckingham. Mungkin itulah rahsia kenapa penghormatan dan institusi raja Britain terus kekal selama ratusan tahun.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank yang kini menetap di London.

e-mel: wansaiful@malaysiathinktank.org
Keluarkan kertas putih aktiviti komunis 1948-1989

KINI, isu komunis kembali diperkatakan. Namun ia bukan isu baru.

Perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai, Thailand pada 1 Disember 1989 hanyalah untuk menamatkan pertempuran antara tentera Malaysia dan gerila PKM sahaja. Itulah hakikatnya.

Pada peringkat awal rundingan damai itu, Malaysia mahu PKM dibubarkan tetapi ia ditolak oleh pihak komunis. PKM hanya bersetuju meletak senjata.

Parti itu juga bertegas tidak mahu perjanjian tersebut dilihat sebagai 'penyerahan diri beramai-ramai.' Fakta itu dimasukkan ke dalam perjanjian akhir yang menyebut bahawa semua kenyataan selepas itu hendaklah dalam 'semangat perjanjian' tersebut dan tidak mengandungi sebarang 'unsur fitnah yang mengaitkannya sebagai penyerahan atau menyerah diri (oleh PKM).'

Walaupun lemah, PKM tidak mahu dilihat sebagai menyerah kalah dan itulah prinsip PKM terutama Setiausaha Agungnya, Chin Peng, sejak Rundingan Baling pada 1955.

Kerajaan memberi peluang sebanyak dua kali kepada PKM untuk menyerah diri. Pertama ketika Rundingan Baling dan kedua, selepas mencapai kemerdekaan. Kedua-duanya ditolak oleh Chin Peng.

Dalam siri rundingan damai di Hatyai yang bermula pada Mac 1989, PKM mahu Malaysia menerima parti itu dan juga Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) secara sah. Sedangkan ketika itu PKM adalah pertubuhan yang diharamkan.

Dalam pusingan ketiga rundingan itu, PKM menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti baru iaitu Parti Buruh Sosialis Malaysia (SLPM) berlandaskan ideologi Marxist. Ia merupakan 'jawapan' kepada permintaan Malaysia supaya PKM dibubarkan.

Malaysia menyatakan cadangan itu tidak boleh diterima kerana Marxist adalah ideologi asing dan PKM patut mengelak daripada memberi gambaran bahawa SLPM adalah sebahagian daripada PKM.

Akhirnya, perjanjian itu mencapai persetujuan untuk empat perkara iaitu:

Pertama: Menamatkan aktiviti ketenteraan. Selepas menandatangani perjanjian itu, Malaysia dan PKM akan menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan.

Kedua: Membubarkan unit ketenteraan, memusnahkan senjata, peluru, bahan letupan dan jerangkap samar.

Ketiga: Penempatan di Malaysia. Anggota PKM dan anggota unit tenteranya yang berasal dari Malaysia dan ingin tinggal di Malaysia, akan dibenarkan berbuat demikian selaras dengan undang-undang. Mereka yang bukan berasal dari Malaysia, jika mereka mahu, juga boleh berbuat demikian selaras dengan undang-undang Malaysia.

Keempat: Bantuan oleh pihak berkuasa Malaysia. Selaras dengan Perkara Ketiga, kerajaan akan membantu mereka memulakan hidup baru.

Jika sebelum 1989, tumpuan komunis hampir semuanya di hutan. Tetapi selepas itu, apabila operasi ketenteraan berakhir, isu itu berpindah ke bandar-bandar.

Buku-buku yang menceritakan kegiatan komunis dan puak kiri mula membanjiri pasaran, termasuk buku Alias Chin Peng: My Side of History, yang diterbitkan pada 2003.

Selain daripada desakan oleh pihak tertentu supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia, terdapat tuntutan lain supaya pengiktirafan diberi kepada pejuang berhaluan kiri dalam konteks kemerdekaan.

Hakikatnya, walaupun komunis dikalahkan daripada segi ketenteraan di Malaysia, ideologinya masih hidup. Dan ia juga mahu terus disemarakkan.

Jika tidak kenapa PKM tidak mahu membubarkan parti itu? Malah ia mahu meneruskan ideologi Marxist. Inilah yang perlu difahami oleh seluruh warga Malaysia.

Walaupun di negara-negara lain ia kelihatan berundur, bukan bererti kita tidak perlu memberi perhatian lagi. Memang mudah untuk memecahbelahkan berbanding membina. Lebih-lebih lagi kita sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Ingatan keras oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah kena pada tempatnya. Tetapi ia tidak memadai.

Jawapan yang lebih menyeluruh harus datang daripada Kabinet. Mungkin Kabinet wajar menimbang untuk mengeluarkan satu Kertas Putih mengenai PKM dari awal hingga membawa kepada Perjanjian Damai di Hatyai.

Tidak ramai yang mengetahui mengenai perjanjian itu. Mungkin laporan-laporan ketika itu agak terhad. Kini sampai masanya satu penjelasan lebih komprehensif dibuat.

Jika sesuai, jadikan ia sebagai satu Kertas Putih yang boleh digunakan untuk menjelaskan kekeliruan. Ia harus merangkumi kegiatan PKM sejak 1948-1989.

Penjelasan itu boleh dilakukan kerana Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan mengenai kes Chin Peng dan ia tidak perlu dikhuatiri sebagai sesuatu yang sub-judice lagi.

PROF. DR. MOHD. SAFAR HASIM
Pusat Pengajian Media dan Komunikasi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Korea Utara mahu tunjuk kuasa nuklear baru

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

KEJAYAAN Korea Utara melancarkan ujian nuklear bawah tanah membuktikan bahawa ia mahu muncul sebagai antara negara kuasa nuklear dunia.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan, rejim komunis itu turut melancarkan tiga ujian peluru berpandu jarak dekat dari tapak ujian di timur laut negara komunis tersebut.

Sementara itu, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) milik Korea Utara pula melaporkan, Pyongyang "berjaya melakukan ujian nuklear bawah tanah sebagai sebahagian langkah untuk meningkatkan persenjataan nuklear bagi mempertahankan diri".

Rejim itu turut menyifatkan ujian terbaru tersebut sebagai "paras baru daripada sudut kuasa letupan dan teknologi".

Perkembangan terbaru itu pastinya akan membuatkan Amerika Syarikat (AS) tidak lagi boleh menafikan Korea Utara sebagai kuasa nuklear baru.

Ujian nuklear kelmarin cukup mengejutkan dunia kerana keupayaannya melancarkan ujian kedua dalam tempoh tidak sampai dua bulan. Pada 5 April lalu, Pyongyang melancarkan roket yang dipercayai untuk menguji teknologi peluru berpandu jarak jauh.

Pihak Rusia mengesahkan ujian bawah tanah terbaru berdekatan dengan Kilju di utara negara tersebut menyamai bom atom yang digugurkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua lalu.

Persoalan sekarang ialah bagaimana Korea Utara boleh membuat persediaan ujian dan melepasi pemantauan satelit atau laporan perisikan? Ia menjejaskan kredibiliti Kementerian Pertahanan Korea Selatan dalam menghidu maklumat awal mengenai bila dan di mana ujian berkenaan.

Persoalan kedua ialah kenapa jadual ujian itu begitu ketat? Maksudnya dua ujian dalam tempoh dua bulan. Dan apakah motif Kim Jong-il melancarkannya? Adakah untuk memaksa AS duduk semeja bagi dialog dua hala untuk memperakuinya sebagai antara kuasa nuklear utama dunia?

Mungkin Korea Utara ingin menegaskan kepada AS supaya jangan memandang rendah kepada kekuatannya kerana ia boleh memberi ancaman kepada Korea Selatan dan Jepun.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana Jepun pastinya tidak akan mendiamkan diri. Selain itu, China juga pasti tidak mahu hegemoninya sebagai kuasa nuklear di Asia dicabar.

Pelancaran ujian berkenaan juga pastinya menjejaskan rundingan enam pihak melibatkan kedua-dua Korea, AS, Rusia, China dan Jepun. Korea Utara dalam kenyataannya sebelum pelancaran mengejut itu kelmarin menyatakan, ia tidak akan kembali kepada rundingan enam pihak tersebut.

Malah ia lebih bersikap keras kepala selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat kenyataan mengecam pelancaran peluru berpandu jarak jauh Taepodong-2 pada awal bulan lalu.

Ujian nuklear itu juga dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada pergolakan politik dalaman Korea Utara. Ketika ini, khabar angin mengenai siapakah pewaris takhta Jong-il semakin bertiup kencang. Beliau mahu anaknya, Kim Jong-un menggantikannya tetapi dikatakan ada usaha untuk menidakkan hasrat tersebut.

Jong-il mahu anaknya itu mengetuai hubungan baru Korea Utara-AS dan mendesak kuasa besar itu memperakui Pyongyang sebagai kuasa nuklear serantau.

Penganalisis kanan mengenai Korea Utara dari Institut Kajian Penyatuan, Choi Jin-wook berkata, ujian tersebut membuktikan ramalan pihaknya bahawa Korea Utara benar-benar mahu menyertai "kelab nuklear dunia".

"Mereka mahu perubahan segera dalam dasar AS. Mereka percaya ia boleh dilakukan,'' tegasnya. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Takeo Kawamura berkata, Korea Utara ternyata melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan pelancaran ujian nuklear tersebut.

"Kita tidak akan bertoleransi dengan perkara ini," tegasnya.

Jepun akan meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan perkara tersebut.

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak pula menganggap ujian itu sebagai provokasi dan kini mengarahkan lebih 680,000 anggota tenteranya bersiap sedia.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown turut menyelar ujian itu dan menyifatkannya sebagai "berbahaya kepada dunia" dan bakal menggagalkan prospek damai di Semenanjung Korea.

Rundingan ASEAN dan Korea Selatan yang sedang berlangsung sepatutnya mengadakan perbincangan berhubung perkara itu kerana tempias ancaman Korea Utara akan turut dirasai sehingga ke rantau Asia Tenggara.

PENULIS ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
Sebab lelaki liat bayar hutang

Oleh RUSINAH SIRON

APABILA kenyataan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melaporkan bahawa kaum lelaki paling liat bayar hutang berbanding dengan peminjam wanita, terfikir juga di fikiran kita, apakah sebab lelaki bersikap demikian?

Walaupun tidak ada kajian yang spesifik untuk mencari sebab yang pasti, tetapi daripada pengalaman, pembacaan, pemerhatian penulis, banyak sebab yang boleh dikaitkan dengan 'keliatan' lelaki untuk membayar hutang.

Pertama, tidak ada perancangan yang kemas dan tidak fokus semasa membuat pinjaman dan antara sebab lelaki meminjam antaranya untuk membayar pendahuluan kereta, membeli keperluan rumah tangga kerana 'sokongan dan dorongan' isteri, berniaga yang belum pasti kejayaannya dalam suatu tempoh tertentu dan sebab pinjaman peribadi.

Kesan daripada tiada perancangan yang kemas dan teliti dalam membuat pinjaman menjadikan lelaki tidak pasti akan tahap kemampuannya untuk membayar pinjaman.

Setelah membuat pinjaman, semangat kuat untuk membayar hanya enam bulan pertama semasa produk yang dibeli itu masih baru dan masih 'bau wangi.' Tetapi apabila produk yang dibeli telah lusuh dan buruk, maka semangat membayar hutang itu pun semakin pudar.

Kedua, tidak ada konsep 'pinjam untuk simpan' tetapi konsep 'pinjam untuk perhabis!' dan inilah sebab utama mengapa peminjam susah membayar hutang kerana tiada lagi dana disimpan untuk membayar hutang.

Peminjam kebiasaannya lebih lambat membayar hutang jika ada jaminan keselamatan seperti hutang koperasi, AIM dan jabatan serta agensi kerajaan. Ini kerana walaupun lambat dibayar, tindakannya adalah lebih berdiplomasi. Orang lelaki lebih cepat membayar hutang pinjaman yang berisiko tinggi seperti Along dan samseng kerana takut dipukul.

Ketiga, ada lelaki meminjam kerana desakan isteri atau ahli keluarga atau teman wanita. Pinjaman itu adalah untuk majlis kahwin, kenduri kendara, membeli emas permata, persekolahan anak-anak, ubah suai rumah dan sebagainya.

Pinjaman atas sebab keseronokan dan kemewahan itu sememangnya menghalang ramai lelaki untuk membayarnya balik dengan rasa senang hati.

Keempat, lelaki kurang perasaan takut dan bimbang kerana tidak membayar hutang berbanding wanita kerana merasakan diri mereka kuat dalam pergaduhan, bertekak, bertumbuk dan diherdik.

Hal ini berbeza dengan wanita yang soal emosinya banyak kelemahannya dan jiwanya dan tidak kuat dalam menerima tekanan pemberi hutang. Atas sebab rasa kuat itulah kaum lelaki kuat bertahan daripada membayar hutang.

Bayar hutang itu wajib. Bagi kaum wanita yang mempunyai anak lelaki, suami, teman lelaki, abang, adik dan sebagainya, nasihatilah mereka untuk bayar hutang mengikut masa ditetapkan.

Prof. Madya Dr. Rusinah Siron
Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan
Universiti Tenaga Nasional
Keputusan mahkamah perteguh kekuasaan BN di Perak

Oleh Ridzuan Yop
rencanabh@bharian.com.my


DR ZAMBRY dijulang ahli Umno Tanjung Malim sebaik saja Mahkamah Rayuan membuat keputusan baru-baru ini.

Pakatan Rakyat perlu akur tidak lagi berkuasa selepas hilang kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri

EPISOD kemelut politik Perak sudah hampir selesai selepas Mahkamah Rayuan Jumaat lalu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan Menteri Besar Perak.

Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat mereka tewas seperti Barisan Nasional (BN) Perak menerima keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang berpihak kepada Mohammad Nizar itu.

Kini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan semua barisan Exconya dapat meneruskan tugas mereka dengan 'aman' serta boleh menumpukan tugas mereka untuk pembangunan negeri yang sudah dirancang demi kesejahteraan rakyat Perak.

Seperti kata Dr Zambry 'akhirnya kebenaran sudah tiba,' ketika memulakan ucapannya sebaik menerima keputusan mahkamah itu ketika merasmikan mesyuarat serentak Umno cawangan dalam Bahagian Tanjung Malim, petang Jumaat lalu.

"We won" (kita menang) – dua perkataan itu diterima Dr Zambry kira-kira jam 3.50 petang melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang peguamnya di Putrajaya, pada hari itu.

Pada waktu sama, kelihatan beberapa pemimpin Bahagian Tanjung Malim yang berada di atas pentas termasuk Ketua Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib bersalaman dengan Dr Zambry mengucapkan tahniah.

Berita itu kemudiannya diumumkan oleh Khusairi kepada kira-kira 1,000 ahli Umno yang hadir dan mendapat tepukan gemuruh dan sorakan 'hidup Umno' dan 'hidup Zambry' di atas kemenangan itu.

Berita keputusan itu, sudah pasti melegakan Dr Zambry dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Perak lain yang hak mereka membentuk kerajaan majoriti sebelum ini dinafikan oleh minoriti (Pakatan Rakyat) sehingga terpaksa melalui proses undang-undang di mahkamah.

Sejak peralihan kuasa lalu, tidak ada yang tidak mustahil berlaku di Perak akibat permainan politik Pakatan Rakyat daripada bersidang di bawah pokok, membina tugu demokrasi sehinggalah sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang amat memalukan serta penuh dengan kekecohan pada 7 Mei lalu.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu juga setidak-setidaknya berjaya meredakan kemelut politik di Perak yang sudah berlanjutan lebih tiga bulan sejak peralihan kuasa berlaku awal Februari lalu. Kini, kedua-dua pihak yang bertelagah cuma menunggu apakah keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti.

Bagaimanapun, sebahagian besar rakyat Perak, kecuali penyokong pakatan pembangkang tentunya berasa gembira dan lega kerana mereka kini sudah ada Menteri Besar yang sah dan kerajaan negeri yang akan lebih berfungsi bagi meneruskan pembangunan negeri.

Namun, pakatan pembangkang kini terus berusaha untuk membawa kemelut politik Perak 'kembali pada rakyat' iaitu mahu diadakan pilihan raya semula, selepas mereka kehilangan majoriti.

Dr Zambry dalam satu temubual baru-baru ini berkata, soal perlu atau tidak diadakan pilihan raya terlalu subjektif. Asasnya tidak timbul soal pilihan raya.

"BN sudah berhadapan dengan pelbagai pilihan raya kecil dan umum. Ini bukan satu yang baru bagi BN, pilihan raya adalah pilihan raya, tetapi untuk mengadakan pilihan raya itu atas asas apa?

Adakah pilihan raya ini akan menyelesaikan masalah? Bagaimana jika BN menang, mereka pasti menuduh pilihan raya ini dicemari dengan penipuan, pengundi hantu dan sebagainya, kerana pemimpin pakatan pembangkang tidak boleh terima kenyataan mereka minoriti dan sudah kalah. Mereka adalah `sore loser'.

Pakatan pembangkang bermain dengan sentimen seolah-olah rakyat sudah berasa gelisah dan mereka sudah ada sokongan dan ini waktu terbaik mereka adakan pilihan raya.

"Saya nak bertanya kepada mereka dalam keadaan ketika Pakatan Rakyat ada 31 kerusi dan BN 28 kerusi adakah mereka mahu mengadakan pilihan raya? Adakah mereka sanggup, buat benda yang sama. Mereka kena jawab soalan ini?

"Saya juga amat sedih apabila mereka mengheret istana dan Sultan sehingga ke peringkat penderhakaan dan amat memalukan sekali," katanya.

Mereka mempertikaikan kuasa yang ada pada Sultan melantik MB dan hilang rasa hormat pada Sultan, seolah-olah Sultan masuk campur dalam urusan pentadbiran perjalanan politik sesebuah parti.

Mereka sudah sampai ke tahap penderhakaan dan menghina Sultan dan Raja-Raja Melayu. Apa yang patut mereka jelaskan kepada rakyat, mengenai bidang kuasa yang ada pada Sultan melantik MB.

Dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri dan melantik MB, Sultan hanya berbuat demikian apabila baginda yakin dengan kedudukan dan pertimbangan yang dibuat. Sultan tidak bertindak ketika Pakatan Rakyat berkuasa dengan menyokong minoriti (BN).

Sultan bertindak kepada fakta yang ada, selepas BN ada majoriti dan baginda memberi tempat kepada parti yang ada majoriti. Ini jelas dalam peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan dan Pakatan Rakyat tahu mengenai itu.

"Perjuangan pakatan pembangkang terutama DAP jelas memperjuangkan kaum mereka saja apabila mahu menganugerahkan hak pegangan kekal kepada kampung baru selama 999 tahun," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Husni Hanadzlah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun merangkap Menteri Kewangan II, berkata apakah kaum lain, terutama orang Melayu tidak layak mendapat hak yang sama dan kenapa diberikan kepada kaum tertentu saja.

"Itulah dasar perjuangan DAP yang tidak mengambil kira rakyat keseluruhan walaupun mereka berpakat dengan parti lain terutama Pas dan PKR di Perak," katanya yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membolehkan BN mentadbir negeri dengan lebih baik berbanding pembangkang.

Apapun, apakah pemimpin pakatan pembangkang dapat menerima keputusan itu dan yang lebih penting menerima hakikat mereka sudah tewas dan kehilangan majoriti dan tidak mungkin dapat memerintah kembali.

Yang perlu mereka lakukan sekarang ialah menunggu detik pilihan raya umum akan datang. Buat masa sekarang, mereka tidak wajar lagi menggunakan rakyat sebagai alasan untuk mereka mencapai matlamat mereka.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Perak
Minda Pengarang: Rakyat sepatutnya tidak lupa sejarah keganasan komunis


TIDAK keterlaluan untuk kita menyifatkan komunis sebagai penjajah terakhir di negara kita. Tetapi berbeza dengan Portugis, Belanda, British, Siam mahupun Jepun, penjajahan komunis bukan didalangi tentera asing yang menceroboh untuk menakluk negara kita, sebaliknya komunis menjajah negara kita dengan menanamkan ideologi cetusan Karl Marx di kalangan masyarakat tempatan, terutama orang Cina di Tanah Melayu. Ia adalah 'penjajahan minda' yang menyebabkan penduduk setempat bangkit menentang pemerintah bagi mewujudkan sebuah negara berasaskan sistem komunisme. Sejak dicetuskan Karl Marx di Eropah pada pertengahan abad ke-19, ideologi komunis merebak pesat ke negara lain termasuk Russia dan China sebelum tiba di negara kita pada awal 1920-an. Fahaman itu terus disebarkan ejen komunis terutama apabila Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 1930. Pelbagai propaganda dirancang bagi menarik minat masyarakat Cina kelas bawahan menyertai PKM. Usaha itu berkesan apabila kira-kira 10,000 ahli baru menyertai parti itu menjelang 1934. Pelbagai usaha dilakukan sejak itu termasuk cubaan menyusup masuk ke dalam pertubuhan orang Melayu. Usaha PKM untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis menerusi pendekatan politik gagal apabila mereka diketepikan British dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. PKM menukar strategi kepada pendekatan keganasan. Kebanyakan komunis ini bergerak dalam hutan dan menjadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila.

Untuk sekian lama sebelum dan selepas merdeka sehinggalah perjanjian damai 1989, negara tidak aman dan ribuan orang terbunuh sama ada membabitkan anggota keselamatan atau anggota komunis itu sendiri. Ribuan juga yang menjadi janda, duda dan yatim piatu. Bagi yang bernasib baik untuk terus hidup, mereka pula terus dihantui bayang-bayang PKM pimpinan Chin Peng yang radikal dan kejam itu. Ramai lagi menderita kerana kepayahan hidup gara-gara kehadiran komunis sehingga ada yang sakit jiwa. Oleh itu, jika kita membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia, ia akan mengundang kekecohan dan rasa tidak senang hati, terutama di kalangan generasi yang mengalami zaman komunis, biarpun generasi muda kini cuma mengetahuinya melalui bahan sejarah. Sebetulnya, Chin Peng, 85, yang kini hidup dalam buangan di Thailand sejak 1961 harus dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan dipertanggungjawabkan ke atas 50,000 anggota tentera dan polis, selain ahli keluarga mereka serta sebahagian orang awam yang terkorban ketika menentang PKM pada zaman darurat. Jika bekas pemimpin Serbia, Radovan Karadzic boleh dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Perang atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai rakyat Muslim Bosnia ketika perang 1992-95, tidak salah berbuat demikian terhadap Chin Peng yang kesalahannya tidak boleh dimaafkan. Oleh itu, kita jangan buta sejarah dan daripada mendesak kerajaan untuk membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini, elok rasanya kita mendesak badan antarabangsa bertindak terhadap Chin Peng seperti juga tindakan ke atas Karadzic.
HIV/Aids masih jadi ancaman
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

DIANGGARKAN kira-kira 11.8 juta golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia menghidapi HIV dengan setiap hari hampir 6,000 orang, manakala 2,000 bayi juga dikesan dijangkiti virus sama yang dibawa ibu mereka ketika mengandung, selepas dilahirkan atau menyusu ibunya.

Kira-kira 15 juta kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka yang disahkan menghidapi Aids. Menjelang 2015, kira-kira 25 juta kanak-kanak juga dijangka 'kehilangan' salah seorang daripada ibu bapa mereka.

Satu daripada 86 kes baru mereka yang dijangkiti HIV adalah kalangan wanita dan remaja. Statistik menunjukkan 10 daripada 1,000 kanak-kanak tinggal di dalam persekitaran rumah yang dibayangi dengan HIV.

Malah atas pelbagai sebab termasuk politik, ekonomi dan budaya, sesetengah golongan muda lebih mudah dijangkiti penyakit itu. Perangkaan pada 2007 mencatatkan sebanyak 33.2 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak dijangkiti HIV/Aids.

Sebagai contoh, remaja lebih tinggi risiko kerana sebahagian mereka terdedah kepada pelakuan seks atau gagal mengawal diri hingga terjebak dalam kegiatan tidak bermoral. Tambahan pula, ketiadaan pendidikan seks dan kurang tanggungjawab sosial masyarakat berkaitannya menjadikan mereka mudah terdedah kepada virus berkenaan.

Keadaan kemiskinan yang mencengkam kehidupan mereka termasuk dieksploitasi oleh pihak tertentu serta dipaksa melacur menjadikan golongan ini tidak dapat lari daripada gejala itu, selain sesetengahnya pula dijangkiti HIV selepas berkongsi jarum menerusi pengambilan dadah.

Jika dilihat secara keseluruhan jangkitan HIV/Aids ini, ia boleh berlaku dalam semua peringkat golongan atas sebab tertentu. Namun tumpuan perlu dikhususkan juga kepada golongan muda ini supaya angka yang dicatatkan itu turun sehingga sifar kerana mereka generasi penggerak pada masa depan.

Justeru, Hari Memperingati Aids Sedunia (IAMD) 2009 yang disambut pada 17 Mei setiap tahun dan kali ini, bertemakan 'Bersama Kita Adalah Penyelesaiannya', diraikan oleh lebih 100 negara baru-baru ini bagi memberi perhatian dan sokongan kepada mereka yang dibelenggu epidemik HIV/Aids dan mengajak komuniti global untuk terbabit secara aktif bersama membendung penularan gejala itu peringkat lebih serius.

Pada masa sama, tema itu juga menggalakkan perpaduan global dan resolusi mengenai isu HIV/Aids dengan memberi mesej kepada semua lapisan masyarakat bersama melakukan sesuatu bagi mengubah keadaan berkenaan.

Majlis Aids Malaysia dan ahli gabungannya pula akan memberi tumpuan aspek keagamaan bagi menghentikan stigma dan diskriminasi di kalangan rakyatnya.

Dalam konteks Malaysia, Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) mengenai Aids 2006-2010 disediakan bertujuan mengurangkan kemudaratan kedua-dua penyakit itu dengan memperuntukkan RM500 juta sepanjang tempoh berkenaan untuk pelbagai program berkaitannya.

Di Malaysia, dianggarkan 85,000 orang dikenal pasti menghidap HIV positif dan antara 10 dan 15 orang dijangkiti virus itu setiap hari.

Kementerian Kesihatan mendedahkan, tiga rakyat negara ini disahkan positif HIV dan seorang didapati meninggal dunia akibat Aids, setiap hari. Berdasarkan perangkaan, jumlah kes HIV mencatat penurunan berterusan mulai 2003 apabila 3,692 kes direkodkan pada 2008 berbanding 6,978 kes pada 2002.

Mengikut laporan itu, penurunan dicatatkan daripada 27 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada 2003 menjadi 17 peratus menjelang 2008 dan sekiranya trend itu berterusan, diunjurkan hanya sejumlah 110,000 kes HIV akan dikesan sehingga 2015.

Sumber Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pada 2008 pula mendapati 8,569 penagih baru dikesan adalah belia dan remaja berumur antara 13 hingga 39 tahun.

Bagaimanapun, pelbagai pihak perlu membuka mata dan bersatu hati bersama berperanan menangani isu mengenai HIV/Aids ini untuk mengelak ia terus mengancam sistem kehidupan masyarakat dan membantutkan penyediaan ke arah generasi yang bebas daripada epidemik membawa maut itu.

Sesungguhnya, jutaan kanak-kanak di seluruh dunia membesar sendiri dan tiada pengawasan. Kesan daripada Aids ke atas kanak-kanak ini amat kompleks. Ramai kalangan mereka yang menderita psikologi dan tekanan ekonomi serta terpaksa meninggalkan sekolah untuk membantu keluarga mereka.

Dalam keadaan itu, mereka ini terdedah kepada pelbagai kegiatan tidak bermoral. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), melaksanakan banyak program untuk membasmi penularan HIV/Aids dengan mensasarkan golongan muda.

Justeru, pendidikan kesihatan seksual berdasarkan kemahiran hidup di sekolah dan program penyebaran maklumat lebih tepat sentiasa diadakan secara berterusan. Perkhidmatan kesihatan yang lebih mesra remaja disertai kaunseling, pendidikan pengurangan risiko dan ujian serta rawatan penyakit kelamin dan HIV.

Di samping itu, program khusus kepada golongan muda yang terpinggir serta berdepan risiko tinggi terdedah kepada HIV seperti pelacur dan penagih dadah yang kerap berkongsi jarum suntikan, perlu dipertingkatkan