KUALA LUMPUR: "Mama, Raziq dapat 5A..," hanya itu yang mampu diungkapkan Mohd Danish Raziq Mohd Faizal dalam nada tersekat-sekat sambil menangis ketika menghubungi ibunya yang kini menjalani rawatan di Hospital Ampang, Pandan Mewah, di sini akibat menderita penyakit kanser darah atau limfoma tahap keempat.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen Tujuh, Bandar Baru Bangi itu menyifatkan keputusan cemerlangnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 yang diumumkan semalam, sebagai hadiah cukup bermakna kepada kedua-dua orang tuanya, terutama ibunya, Sharifah Zaleha Syed Adnan, 41.

"Melihatkan kekuatan semangat mama berjuang melawan penyakitnya, saya tekad berusaha bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran demi mencapai kecemerlangan.

"Bukan tidak bimbang keadaan mama tetapi saya berazam untuk memberikan kejayaan sebagai hadiah istimewa, sekali gus membahagiakan mama dan ayah.

"Walaupun tidak sihat, mama sentiasa menitikberatkan kepentingan pelajaran. Malah, kesanggupan mama mendapatkan kebenaran keluar wad semata-mata untuk membimbing saya membuat persediaan akhir menghadapi peperiksaan UPSR, September lalu, membuatkan saya amat terharu dan menghargai pengorbanannya.

"Pernah sewaktu menduduki peperiksaan UPSR, saya teringat dan rindu kepada mama. Lantas, saya menguatkan semangat serta berazam melakukan yang terbaik untuk cemerlang kerana berpegang kepada pesanan mama.

"Saya memang terkejut tetapi bersyukur mendapat keputusan cemerlang ini kerana tidak pernah memperoleh 5A dalam peperiksaan di sekolah," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di SK Seksyen Tujuh, semalam.

Justeru menyedari masih ada kelemahan perlu diperbaiki, anak kedua daripada tiga beradik itu memanfaatkan peluang menyertai pelbagai program ilmiah diadakan guru dan sekolah, termasuk program Klinik UPSR yang dianjurkan secara pakej dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian, Ogos lalu.

Raziq adalah antara 43 calon SK Seksyen Tujuh, yang memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR 2007. Sekolah berkenaan mempunyai 270 calon UPSR 2007 dan pencapaian diperoleh itu adalah prestasi terbaik setakat ini.
SHAH ALAM: Keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2007 di Selangor meningkat 1.4 peratus kepada 81.6 peratus berbanding 80.2 peratus tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata daripada 29,950 calon, 1,742 murid mendapat keputusan pada peringkat mumtaz atau peringkat tertinggi.

Katanya, 7,154 pelajar mendapat keputusan peringkat jaiyid jiddan iaitu keputusan kedua tertinggi.

Sekolah Rendah Agama Batu 13, Puchong muncul sekolah cemerlang 2007 dengan peratus kelulusan 65.7 peratus iaitu peningkatan 2.5 peratus.

"Hanees Faatimah Mohd Kamal dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 Shah Alam muncul pelajar cemerlang seluruh Selangor. Pelajar perempuan juga menjadi pelajar cemerlang di setiap daerah," katanya pada majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Rendah Agama Seksyen 3, di sini semalam.

Selain Hanees Faatimah yang turut mendapat kejayaan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A, pelajar Sekolah Rendah Agama Batu 13, Puchong, Zul Fazzre Mohd Lotpi yang juga mendapat 5A UPSR memperoleh 97.5 peratus dalam PSRA.

Sementara itu, Guru Besar SRA Batu 13 Puchong, Hazsmyzsa Hamzah, berkata kejayaan sekolah itu adalah kali kedua berturut-turut hasil kerjasama guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

SHAH ALAM: Hanya pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) akan diterima masuk ke Sekolah Menengah Tahfiz Integrasi pertama Selangor yang akan mula beroperasi tahun depan.

Sekolah yang menggabungkan pendidikan mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan pendidikan tahfiz itu bakal melahirkan lulusan yang bukan saja tahfiz, malah berjaya dalam ilmu sains.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata sekolah yang akan beroperasi di bangunan yang dulunya dimiliki Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) di Jugra itu adalah sekolah seumpama itu yang pertama di Selangor.


Katanya, Jais mendapat kelulusan itu kelmarin dalam mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

"Pada peringkat permulaan, sekolah itu akan memulakan sesi persekolahan dengan 60 pelajar terpilih iaitu 30 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan cemerlang.

"Setiap tahun, 60 pelajar diterima dan mereka menetap di asrama," katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang PSRA di sini, semalam.

MELAKA: "Saya terpaksa melihat beberapa kali slip keputusan peperiksaan kerana tidak percaya mendapat 5A," kata Fahmi Fazil, pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Seri Bandar, di sini semalam.

Anak yatim yang kematian bapa ketika berusia dua tahun memperoleh keputusan 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak menyangka mendapat keputusan itu kerana tidak terlalu mengharap.

Katanya, dia tidak mengikuti kelas tuisyen seperti rakan lain kerana ibunya, Dauza Umat, 38, terpaksa bekerja di Kuala Lumpur dan tidak dapat menghantarnya ke kelas tuisyen.

Fahmi yang menetap bersama datuk dan neneknya Umat Baba, 68, dan Maznah, 58, di Kampung Musai dekat sini, berkata dalam kelas dia tidak begitu menonjol dari segi akademik dan bukan menjadi murid harapan untuk mendapat 5A kerana dalam peperiksaan percubaan dia hanya mampu memperoleh 4B 1A.

"Bagaimanapun, berkat pesan ibu menerusi telefon setiap hari supaya rajin belajar termasuk takdir Allah menentukan segala-galanya, saya berjaya menunaikan harapan ibu yang begitu mengharapkan kejayaan ini.

"Lagipun, mengingatkan kesusahan ibu yang berjauhan dan terpaksa menyara kami adik beradik menjadi pendorong untuk saya berusaha mendapatkan yang terbaik," katanya yang kematian bapa akibat kanser selain datuk dan neneknya tidak sempat meraikan kejayaan itu kerana berlepas mengerjakan ibadat haji kelmarin.

Beliau yang bercita-cita menjadi pensyarah Bahasa Inggeris berkata, walaupun agak malas mengulang kaji di rumah, dia memberi tumpuan penuh ketika dalam kelas.

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar, Hamzah Osman

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat pasangan kembar, masing-masing di Negeri Sembilan dan Kedah memperoleh mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Mereka terdiri daripada tiga pasangan perempuan di Seremban dan Alor Star dan satu pasangan lelaki di Langkawi.

Di ALOR STAR, Nur Hisabiyah dan Nur Hidayah Aminnuddin dari Sekolah Kebangsaan Convent adalah antara 38 calon yang mencapai keputusan 5A.


Bapa mereka, Aminnuddin Ahmad, 45, seorang peniaga, berkata anak kedua dan ketiganya itu menunjukkan sifat berlumba-lumba dalam pelajaran dan amat bersemangat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bersama, sekali gus mencapai cita-cita menjadi doktor.

Nur Hidayah berkata, sebulan sebelum peperiksaan dia memberi tumpuan terhadap subjek Matematik kerana agak lemah dalam mata pelajaran itu.

Sejak Tahun Satu mereka ditempatkan di kelas sama, namun ketika tahun dua keputusan Nur Hidayah merosot dan ditempatkan ke kelas kedua.


"Disebabkan mahu bersama kakak, saya belajar lebih tekun supaya dapat belajar dalam kelas yang sama pada tahun tiga," katanya.

Nur Hisabahiyah atau lebih mesra dengan panggilan kakak berkata, keputusan cemerlang itu adalah hadiah paling bermakna kepada keluarga, terutama ibunya Zahini Abd Aziz, 39, yang selalu mendoakan kejayaan mereka.

Di LANGKAWI, Mohd Taufiq dan Mohd Arief Suhaimi yang bercita-cita menjadi jurutera adalah antara 32 murid Sekolah Kebangsaan Seri Negeri yang memperoleh keputusan 5A.

Mohd Taufiq berkata sebelum masuk kelas, mereka membuat persediaan awal mengenai pelajaran yang akan diajar guru dan diikuti ulangkaji berterusan selepas kelas.

"Saya akan baca dulu topik yang akan diajar guru. Cara itu membolehkan saya lebih mudah memahami subjek yang diajar dan dapat bertanya perkara yang tidak faham," katanya.

Mohd Arief pula berkata, dia dan abangnya tidak pernah berdengki antara satu sama lain dan sentiasa tolong menolong ketika mengulang kaji pelajaran di rumah pada waktu malam.

"Selain guru banyak memberi semangat dan tunjuk ajar, kami hadiahkan kejayaan kepada bapa dan ibu yang sentiasa berada di sisi ketika kami mengulangkaji pelajaran," katanya.

Di SEREMBAN, Nordalila dan Nordahlia Zulkifli, dari Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau muncul antara 10 calon sekolah berkenaan mendapat keputusan cemerlang.

Ibu mereka, Rosnani Adam, 45, yang sudah berpisah dengan suami menyifatkan kejayaan dua anaknya itu sesuatu yang tidak disangka selepas mereka hanya mencapai keputusan 3A dan 2B pada ujian percubaan.

"Saya bangga dengan kejayaan mereka dan memang tidak menjangka mampu memperoleh 5A kerana hanya meraih keputusan biasa dalam ujian percubaan," kata tukang masak sebuah kedai makan di sini.

Satu lagi pasangan kembar ialah murid Sekolah Kebangsaan Puteri (SKP), Fatihahtul Hanan dan Fatihahtul Husna Mohd Nor yang menyertai 93 lagi calon UPSR sekolah itu mencatatkan keputusan sama.

Guru Besar SKP, Saleha Yahaya, berkata 95 daripada 206 calon UPSR sekolah itu memperoleh keputusan 5A, hampir menyamai pencapaian tahun lalu dengan 95 daripada 203 calon.

Katanya, faktor kejayaan itu ialah dengan memberikan asas yang kukuh kepada murid seawal Tahun Satu, mewujudkan kelas bimbingan khas bagi murid lemah, mengadakan ujian serta peperiksaan hanya dua kali setahun dan sentiasa fokus selain mengamalkan budaya kecemerlangan.

"Faktor lain yang menyumbang kepada kecemerlangan ialah komitmen guru dan ibu bapa. Melalui semua pendekatan itu, kita berjaya melonjakkan nama sekolah ke tahap yang lebih baik dalam UPSR sejak lebih lima tahun lalu," katanya.

Oleh Misiah Taib

MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam sentiasa menambah nilai dalam diri, mahu mereka menuntut ilmu pengetahuan seluas-luasnya dengan menjadikan pembangunan modal insan sebagai kepentingan utama.

Pada masa sama, Perdana Menteri mahu mereka sentiasa memupuk keazaman untuk menjadi ummah cemerlang, gemilang dan terbilang sebagai pendorong memajukan diri.

Beliau berkata, tiada noktah dalam mengejar ilmu pengetahuan dan tidak ada sesuatu yang lebih bernilai bagi sesuatu bangsa, melainkan ilmu yang ada pada masyarakatnya.

Katanya, manusia adalah nilai dan aset paling besar bagi sesuatu bangsa kerana manusia boleh diberikan ilmu pengetahuan, kepandaian, kecekapan dan kemahiran supaya dapat menyumbang kepada pembangunan bangsa dan tamadun.

"Ada sebabnya juga mengapa saya mahu kita berfikir untuk menjadi umat cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika ini sentiasa ada dalam pemikiran kita, maka ia akan menjadi pendorong untuk kita mencapainya.

"Bagi satu bangsa dan tamadun, jika kita nak wujud selama-lamanya, kita mesti relevan serta sanggup mengejar matlamat yang lebih tinggi dan terus naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kelapan di Holiday Inn Melaka, petang semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Abdullah berkata, matlamat menjadikan kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang sebagai sasaran perlu digerakkan bagi meningkatkan pencapaian dan nilai diri sesuatu bangsa.

Beliau berkata, tanpanya, yang ada tinggal hanya kejumudan yang akan menyaksikan mereka tidak bergerak ke hadapan, tidak mengecapi kemajuan, tidak mempunyai nilai tambah dan akan terus ketinggalan.

"Bila sudah jumud, tunggu sajalah dalam masa tidak lama, maka berlakulah keruntuhan sesuatu bangsa... mungkin akan pupus, mungkin sudah tidak ada lagi, mungkin tidak wujud lagi atau terus ketinggalan," katanya.

Beliau berkata, apabila sesuatu bangsa ketinggalan, maka orang tidak akan mempedulikan bangsa berkenaan dan tidak akan memberi perhatian kepada mereka.

Abdullah juga berkata, bangsa Melayu dan umat Islam tidak harus cepat berpuas hati apabila menjadi ummah cemerlang, sebaliknya meningkatkan lagi usaha untuk menjadi gemilang dan seterusnya ummah terbilang.

Beliau berkata, usaha menambah nilai diri mesti dijadikan usaha sepanjang masa dan mereka tidak harus mudah berputus asa dengan bekerja lebih gigih bagi mencapai tahap kejayaan paling tinggi.

"Tapi, ini tidak bermakna kita riak, sombong dan angkuh kerana mengejar kemajuan dan ilmu pengetahuan menggunakan segala nikmat yang Allah berikan, dituntut Islam dan kitab suci al-Quran," katanya.

Pada majlis itu Perdana Menteri menerima anugerah tertinggi DMDI, Anugerah Mansur Syah DMDI (AMSD) sebagai mengiktiraf perjuangannya memajukan bangsa Melayu pada peringkat antarabangsa.

SINGAPURA hanya pentadbir rumah api Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu semalam.

Sehubungan itu, peguam Prof James Crawford yang mewakili Malaysia berhujah semua kegiatan yang dilakukan oleh British dan Singapura berkaitan rumah api itu bukan satu perbuatan 'titre de souverin atau hak milik Pulau Batu Puteh.

Singapura antara lain mendakwa menjalankan kegiatan berkaitan rumah api seperti mewartakan undang-undang mempunyai kaitan dengan Pulau Batu Puteh dan Rumah Api Horsburgh, menyelenggara dan membaiki rumah api dan pengeluaran notis kepada pelaut mengenai pulau itu.


Selain itu, melaksanakan bidang kuasa ke atas individu dan ketenteraman awam di pulau itu, pengumpulan maklumat kaji cuaca, mengibar bendera marin Singapura, mengawal kemasukan ke pulau, lawatan rasmi dan memberi kebenaran menjalankan kerja mengukur.

Selain itu, kegiatan tidak berkaitan rumah api antaranya, rondaan kapal tentera, dakwaan berhubung penyiasatan risiko pengemudian dan bangkai kapal serta rancangan penambakan laut.

"Mahkamah sudah mendengar pakar rumah api membuat kesimpulan bahawa kegiatan Singapura bergantung sebelum pertikaian timbul adalah sebagai pentadbir rumah api atau kegiatan yang dikategorikan sebagai amalan biasa pihak pentadbir.

"Hujah ini disokong oleh sejarah rangkaian sistem Rumah Api Negeri-Negeri Selat dan amalan yang dilakukan Rumah Api Pulau Pisang, ditadbir Singapura di wilayah Malaysia," katanya.

Crawford berhujah sebelum tarikh kritikal hak milik (1847-1851) tidak ada sebarang bukti menunjukkan secara jelas British atau Singapura mempunyai niat menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan bahan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, hak milik Pulau Batu Puteh ketika tarikh kritikal dan hari ini terletak kepada negara mempunyai kedaulatan ke atasnya pada 1965 iaitu Malaysia.

Peguam Prof Nicolaas Jan Schrijver pula berhujah melalui perjanjian khas yang ditandatangani Malaysia dan Singapura memohon kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara berasingan.

Bagaimanapun, katanya, Singapura berhujah mahkamah hanya perlu menentukan sama ada Malaysia atau Singapura yang mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, sekali gus memiliki hak ke atas Batuan Tengah serta Tubir Selatan.

Schrijver memberitahu mahkamah bahawa hujah Singapura itu tidak boleh diterima. Perbicaraan bersambung hari ini.

Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – British tidak pernah menzahirkan niat untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih ketika memohon kebenaran daripada Sultan Johor untuk membina dan mengendalikan rumah api di situ kira-kira 150 tahun lalu.

Profesor Elihu Lauterpacht berhujah, walaupun Singapura mendakwa kehadiran British di pulau itu pada tahun 1847 hingga 1851 menunjukkan ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, namun republik itu gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Katanya, tujuan sebenar British berada di Pulau Batu Putih amat jelas iaitu bagi membina rumah api serta berperanan sebagai pengendali kemudahan tersebut.

Menurut beliau, ia tidak ada kena-mengena dengan hasrat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ.

Perkara itu, kata Lauterpacht, dibuktikan satu persatu bermula dari surat pertama hasrat British membina rumah api iaitu pada tahun 1844 hinggalah kepada pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi muktamad iaitu dua tahun selepas itu.

Malah, hujah beliau, surat Sultan dan Temenggung Johor pada tahun 1844 jelas menunjukkan bahawa Johor memberi kebenaran kepada British untuk membina rumah api di kawasan berhampiran Romania atau kawasan-kawasan yang bersesuaian.

Surat tersebut, jelas Lauterpacht, langsung tidak menyebut tentang memberi kebenaran kepada British untuk mendapatkan hak kedaulatan di lokasi yang mereka pilih iaitu pertamanya pulau Peak Rock dan muktamadnya ialah Pulau Batu Putih.

“Malaysia tidak menafikan bahawa British yang membina rumah api itu.

“Tetapi Malaysia tidak dapat menemui sebarang bukti semasa proses rumah api itu dibina (1847-1851) yang menggambarkan niat British untuk mendapatkan kedaulatan di wilayah itu.

“Fakta yang paling jelas ialah tiada satu pun dokumen sepanjang tempoh itu yang mengandungi perkataan bagi menunjukkan hasrat British untuk berbuat demikian,” katanya semasa berhujah pada hari ketiga pusingan pertama hujah lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini.

Lauterpacht menarik perhatian mahkamah mengenai amalan wajib British setiap kali mengisytiharkan kedaulatannya di mana-mana pulau atau wilayah sedangkan amalan seumpama itu tidak dilaksanakan di Pulau Batu Putih.

Amalan tersebut, hujah beliau, termasuk mengisi borang perisytiharan kedaulatan seperti yang disebut dalam laporan Thompson berhubung tindak-tanduknya ketika mendapatkan kedaulatan di Pulau Ubin, Pulau Arnab dan Pulau Coney yang terletak 10 batu dari Singapura.

Beliau juga merujuk kepada tatacara British ketika mendapatkan hak kedaulatan di pulau Rockall pada tahun 1995 yang terletak 255 batu ke barat Ireland iaitu dengan meletakkan plak yang antara lain tertera ayat-ayat menunjukkan bahawa British menguasai pulau itu.

Begitu juga dengan kehadiran British di Labuan pada tahun 1846 yang dengan jelas menunjukkan proses mendapatkan hak kedaulatan di situ bermula dengan surat gabenor pada tahun 1846 dan diikuti dengan upacara menaikkan bendera rasmi negara berkenaan di pulau itu.

“Pada 30 September 1846 ketika British di Singapura mencadangkan kepada Pengarah Syarikat Hindia Timur supaya Rumah Api Horsburgh dibina di Pulau Batu Putih, tidak disebutkan langsung niat untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ,” hujah Lauterpacht.

Beliau berkata, semua surat-menyurat yang lain hanya menyebut tentang prosedur serta proses pembinaan rumah api tanpa ada satu pun yang menyentuh tentang niat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di Pulau Batu Putih.

Lauterpacht turut membangkitkan notis kepada pelayar-pelayar yang dikeluarkan oleh Gabenor British ketika Rumah Api Horsburgh hendak memulakan operasinya pada tahun 1851.

Katanya, walaupun notis tersebut dikeluarkan oleh gabenor Singapura namun ia tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa pulau tersebut adalah milik British sebaliknya ia hanyalah notis menandakan rumah api itu akan mula beroperasi.

Beliau memberitahu mahkamah, pada 27 September 1851, Gabenor Negeri-Negeri Selat dengan diiringi oleh Pencatat Negeri-Negeri Selat melawat rumah api itu sambil menyatakan rasa puas hati kerana segala-galanya berjalan lancar.

“Tiada apa yang dapat direkodkan oleh Thomson (beliau melaporkan segala-galanya mengenai pembinaan Rumah Api Horsburgh) sebagai bukti bahawa British menganggap pulau itu sebagai wilayahnya,” hujah Lauterpacht.

– Utusan

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Tindakan Singapura menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge 13 tahun selepas Pulau Batu Putih hanya bertujuan menyokong kes mereka, hujah Profesor Nico Schrijver.

Beliau memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, tuntutan tersebut sebenarnya tidak relevan kerana kedua-dua bentuk batu itu bukan gugusan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura sepanjang hujah lisan republik itu minggu lepas.

Katanya, baik dari sudut geologi, geomorfologi, hidrografi, pelayaran mahupun undang-undang antarabangsa, ketiga-tiga pulau batu itu kekal berasingan dan merupakan bentuk maritim yang berbeza.

“Singapura tidak boleh menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge semata-mata berdasarkan tuntutan mereka ke atas Pulau Batu Putih.

“Ia (Singapura) mesti menunjukkan bahawa mereka mempunyai hak kedaulatan ke atas setiap bentuk maritim itu secara berasingan.

“Manifestasi ini yang gagal dilakukan oleh Singapura,” katanya ketika mengemukakan hujah lisan di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 14 hakim lain di sini, hari ini.

Schrijver berhujah, pada 14 Februari 1980 iaitu ketika Singapura menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, tiada rujukan dibuat ke atas Middle Rocks dan South Ledge.

Sebaliknya, tambah beliau, tuntutan ke atas kedua-dua bentuk maritim itu hanya dibuat 13 tahun selepas itu iaitu pada 6 Februari 1993, ketika berlangsungnya rundingan antara Malaysia dan Singapura berhubung Pulau Batu Putih.

“Amat jelas kelewatan tuntutan oleh Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge hanya bertujuan menyokong tuntutan mereka ke atas Pulau Batu Putih,” hujahnya.

Menurut Schrijver, dakwaan peguam Singapura, Alen Pellet bahawa Pulau Batu Putih dan Middle Rocks membentuk satu unit, oleh itu South Ledge juga termasuk dalam kawasan tersebut tidak berasas sama sekali.

Tegas beliau, ketiga-tiga pulau batu itu tidak boleh disifatkan sebagai satu kumpulan semata-mata berdasarkan persamaan karakter yang ada pada batu-batu itu.

– Utusan

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Singapura hanya pengendali Rumah Api Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, hujah Profesor James Crawford di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada hari ketiga pusingan pertama hujah lisan Malaysia.

Beliau menegaskan, semua aktiviti yang dijalankan oleh British dan Singapura berhubung pengendalian rumah api di situ tidak membuktikan bahawa republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

Katanya, semua aktiviti yang dijalankan oleh Singapura sebelum timbulnya pertikaian, seperti yang disimpulkan oleh pakar-pakar, sama ada bersesuaian dengan fungsi republik itu sebagai pengendali rumah api atau tindakan yang sememangnya perlu dilakukan oleh mereka.

Malah, hujah beliau, hanya panji-panji marin British dikibarkan di Rumah Api Horsburgh lebih seabad lamanya, kemudian digantikan dengan panji-panji marin Singapura pada 1953 manakala pada 1965 dikibarkan pula panji-panji marin Republik Singapura.

“Sepanjang yang kami (Malaysia) sedari, tidak pernah Union Jack dan bendera kebangsaan Singapura dikibarkan di Rumah Api Horsburgh,” katanya.

Crawford berhujah lagi, dakwaan Singapura bahawa segala tindakannya di Pulau Batu Putih tidak dibantah oleh Malaysia juga tidak membawa sebarang makna.

– Utusan

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kerajaan negeri Selangor telah melanggar sempadan pentadbiran yang bukan dalam bidang kuasanya apabila menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, PBT bukan agensi di bawah kerajaan negeri, sebaliknya terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan iaitu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak wajar memberikan penyapu kepada agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan kerana PBT bukan ‘hak mutlak’nya.

Menurut Rais, pemberian penyapu itu mengaibkan penerimanya lebih-lebih lagi diberi kepada penjawat awam di hadapan khalayak ramai.

‘‘Selain itu, penyapu juga adalah sinonim dengan perkara negatif seperti kotor dan sial di kalangan masyarakat Malaysia,’’ kata Rais pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Turunnya Sebuah Bendera karya Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang di sini hari ini.

Buku setebal 138 muka surat itu menampilkan himpunan 18 buah cerpen Sasterawan Negara tersebut yang berkisar mengenai kehidupan kaum Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Rais berkata, pemberian penyapu adalah sesuatu yang baru dalam budaya Malaysia. Katanya, Kerajaan Persekutuan sendiri belum pernah memberikan penyapu bertujuan meningkatkan prestasi agensi dan jabatannya.

Katanya, anugerah itu sudah tentu mengaibkan tidak kira apa tujuannya.

‘‘Banyak lagi usaha lain yang boleh dilakukan untuk menggalakkan peningkatan prestasi kerja penjawat-penjawat awam termasuk melalui cara pemberian markah,’’ ujarnya.

Justeru, Rais meminta agar pemberian penyapu tidak dilakukan lagi walaupun sebagai simbolik meminta jabatan-jabatan dan agensi kerajaan bekerja dengan lebih baik.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) atas alasan kedua-dua badan itu gagal mengutip hasil cukai dengan cemerlang.

SHAH ALAM 15 Nov. – Tiada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan menerima anugerah penyapu pada tahun depan memandangkan sehingga kini kesemua PBT di negeri ini telah mencatatkan kutipan hasil melebihi 50 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, anugerah penyapu yang diberikan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tiga hari lalu adalah berdasarkan pencapaian dan prestasi PBT tersebut pada tahun operasi 2006.

‘‘Penilaian dibuat untuk kerja-kerja tahun lepas, cuma anugerahnya diberikan tahun ini. Untuk tahun hadapan, sehingga kini saya menerima laporan semua PBT mencatatkan hasil yang melebihi 50 peratus.

‘‘Justeru, ia memberi petunjuk tiada PBT yang akan menerima penyapu lagi tahun hadapan,” kata Mohamad Khir di sini hari ini.

Isnin lalu, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada MDHS yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.

Langkah kerajaan Selangor itu dikritik oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd. Dun dalam Dewan Rakyat semalam.

Beberapa pihak lain termasuk ulama dan kesatuan-kesatuan sekerja juga mengecam langkah itu yang menyifatkannya sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.

Bagaimanapun, Mohamad Khir sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor itu tidak berunsur penghinaan.

Sebaliknya, ujar beliau, ia dibuat semata-mata untuk memberi kesedaran dan peringatan agar penjawat awam terus berusaha menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud berkata, setiap PBT di Selangor telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang anugerah penyapu tersebut malah ia turut dilaporkan akhbar-akhbar tempatan ketika pengumuman itu dibuat.

Beliau berkata, anugerah penyapu tersebut tidak mempunyai unsur negatif sebaliknya ia mewujudkan keadaan yang seimbang antara PBT yang cemerlang dan PBT yang memilih tidak cemerlang.

‘‘Selama ini kita beri anugerah atau ganjaran wang kepada agensi yang cemerlang sahaja. Jadi kalau yang tak cemerlang, mereka juga perlu mendapat ganjaran atau hukuman. Langkah ini lebih adil,” katanya.

Oleh ABDUL RAZAK DIN dan ZAINI RABAN

IPOH 15 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menghantar sepasukan pegawai dari Unit Kejuruteraan Forensik, Putrajaya bagi membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur bangunan yang runtuh itu.

Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar berkata, pasukan itu akan membantu BPR negeri menjalankan siasatan bagi mencari punca keruntuhan itu bagi menentukan sama ada terdapat salah laku semasa pembinaannya.

“Sehingga kini BPR sudah mengenal pasti pihak yang terlibat dengan projek pembinaan bangunan dua tingkat tersebut yang telah menelan belanja sebanyak RM4.9 juta itu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Wong Wai Ching akan mengetuai pasukan yang menyiasat kejadian bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang runtuh di lereng Tasik Banding di Gerik kelmarin.

Katanya, siasatan itu akan dimulakan sebaik sahaja semua terma dan objektif penyiasatan selesai dirumuskan.

Beliau percaya ia boleh disiapkan dalam tempoh sebulan.

Pasukan penyiasat tersebut turut dianggotai oleh beberapa pakar dari Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur serta pegawai-pegawai dari Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang merupakan profesional dalam bidang kejuruteraan.

‘‘Siasatan ini mengambil masa kerana bahan-bahan binaan yang digunakan untuk membina bangunan berkenaan perlu diuji secara teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas siasatan selesai dijalankan, laporan kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri Perak dan juga Kementerian Kerja Raya.

Kelmarin, bangunan dua tingkat milik PTNP yang sudah hampir siap di lereng Tasik Banding runtuh sama sekali dipercayai akibat kerosakan pada strukturnya.

Laporan awal JKR menyatakan kelemahan pada cerucuk dan ketidaksesuaian reka bentuk bangunan mungkin menjadi punca bangunan pusat pentadbiran Taman Negara Royal Belum itu runtuh.

Sementara itu, satu sumber kerajaan negeri memberitahu Utusan Malaysia, pembinaan bangunan PTNP tersebut dipercayai dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat Design Dimension Architect Sdn. Bhd. (DDA).

Sumber memberitahu, syarikat berkenaan dikatakan telah dilantik oleh kerajaan negeri selaku perunding utama bagi projek bernilai RM3.7 juta itu.

Bagaimanapun, kerana beberapa masalah lain, nilai sebenar projek itu telah meningkat kepada RM4.9 juta dan bangunan itu hanya diserahkan kepada PTNP pada 21 Jun 2006, terlewat hampir setahun daripada jadual yang ditetapkan.

Syarikat DDA yang diamanahkan kerajaan negeri bagi memikul tanggungjawab pembinaan bangunan itu dikatakan melantik konsultan lain bagi menjalankan pembinaan tersebut.

Pihak yang dilantik oleh DDA ialah syarikat City Perunding Sdn. Bhd. selaku Perunding Struktur dan Bangunan, syarikat KH Zam Engineers Sdn. Bhd. (Perunding Mekanikal dan Elektrik) dan syarikat JB Consult (Perunding Ukur Bahan).

Syarikat Ribu Laksana (M) Sdn. Bhd. (Kontraktor Kelas B) yang beralamat di No. 82B, Jalan Leong Boon Swee, Ipoh pula dilantik sebagai kontraktor utama projek tersebut pada 30 Ogos 2004.

Kronologi lengkap kejadian tanah runtuh hingga Kompleks PTNP itu ranap sama sekali adalah seperti berikut:

* 23 September 2007 – Kejadian tanah runtuh pertama telah berlaku dan mengakibatkan bangunan Kompleks PTNP rosak dan merekah membabitkan 14 buah bilik dan empat dorms.

Ekoran itu, pihak JKR telah mengarahkan pihak konsultan secara serta-merta melaksanakan kerja-kerja pengukuhan cerun dan membuat kajian mendalam mengenai kestabilan cerun dan keselamatan bangunan tersebut.

* 30 Oktober 2007 – Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.

* 10 November 2007 – Lebih kurang pukul 6 pagi, runtuhan kedua berlaku mengakibatkan bahagian sayap kanan bangunan tersebut runtuh dan menyebabkan kerosakan di bahagian lain bangunan.

* 12 November 2007 – Kerajaan negeri telah melantik JKR negeri secara serta-merta sebagai Badan Penyiasat Bebas untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kejadian bangunan runtuh tersebut.

* 13 November 2007 – Namun usaha itu agak terlambat apabila berlaku runtuhan tanah buat kali ketiga di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7 pagi yang mengakibatkan keseluruhan bangunan itu runtuh.

IPOH 15 Nov. – Kerajaan negeri tidak akan menghentikan projek pembangunan di sekitar Tasik Banding, Gerik dekat sini, meskipun berlaku runtuhan pada bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, selain pembinaan bangunan PTNP yang runtuh itu, beberapa syarikat termasuk dari luar negara sudah merancang memajukan pelbagai projek di Pulau Banding.

Antara projek tersebut ialah kerja-kerja menaik taraf bangunan di Resort Banding Island oleh syarikat MKLand serta pembinaan rumah rehat yang mempunyai 100 bilik dan sebuah hotel bertaraf enam bintang di Pulau Besar Banding oleh dua syarikat lain.

‘‘Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga menerima permohonan sebuah syarikat Denmark yang ingin memajukan industri penternakan ikan talapia di Tasik Temenggor dan Empangan Chendering.

‘‘Kita sudah bersetuju menerima tawaran mereka dan meluluskan pemberian tanah seluas 50 hektar bagi memajukan projek tersebut, ikan talapia itu akan dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Seminar Pendidikan Islam Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam di sini hari ini.

Runtuh

Dalam kejadian kelmarin, sebuah bangunan dua tingkat milik PTNP di Tasik Banding runtuh dipercayai berpunca akibat kelemahan pada cerucuk dan ketidaksesuaian reka bentuk bangunan itu.

Bangunan itu yang dibina dengan kos RM4.5 juta sepatutnya menjadi pusat pentabdiran Taman Negeri Royal Belum.

Menurut Tajol Rosli, tiada sebab untuk kerajaan negeri membatalkan semua projek pembangunan di sekitar Tasik Banding hanya kerana berlaku runtuhan itu.

Tambahnya, kejadian tidak menggambarkan keseluruhan kawasan di Tasik Banding tidak selamat dibangunkan tetapi yang penting setiap pembangunan yang dirancang mestilah dibuat secara berhati-hati.

‘‘Sebelum ini, terdapat beberapa kejadian bangunan runtuh berlaku di negara ini tetapi masih banyak pembangunan lain diteruskan di tempat tersebut dan inilah yang akan kita buat di Tasik Banding.

‘‘Ada banyak punca yang mengakibatkan kejadian runtuhan itu, antaranya mungkin disebabkan pergerakan tanah akibat hujan lebat.

‘‘Jika itu puncanya, saya nasihatkan lain-lain syarikat pemaju supaya lebih berhati-hati selepas ini,” jelasnya.

IPOH: Kerajaan akan mengharamkan perniagaan jualan langsung yang berkonsepkan 'gores dan menang' bagi mengelak lebih ramai orang terus menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam, berkata pengharaman perniagaan seumpamanya perlu disegerakan berikutan pelbagai aduan diterima daripada mereka yang menjadi mangsa.

Beliau berkata, tindakan tegas mengharamkan aktiviti perniagaan itu perlu kerana ia semakin serius sejak kebelakangan ini, termasuk pengguna dipaksa membeli sesuatu barangan walaupun mereka tidak memerlukannya.

"Berdasarkan statistik aduan oleh Pusat Nasihat Pengguna Nasional sebanyak 19,320 aduan diterima daripada pengguna seluruh negara dengan 70.28 peratus atau 13,579 aduan adalah membabitkan penipuan 'gores dan menang'.

"Aktiviti jualan langsung seumpamanya adalah salah dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menjalankan aktiviti ini untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan Berbelanja Bijak 2007 di sini, semalam.

Veerasingam berkata, pihak terbabit menggunakan istilah 'gores dan menang' dalam perniagaan sebagai satu taktik untuk melariskan jualan dengan cara memperdaya pengguna.

"Cadangan untuk mengharamkan bentuk perniagaan seumpamanya akan dipercepatkan dan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun, sebanyak 20 syarikat sudah dibatalkan operasinya kerana melanggar pelbagai peraturan yang ditetapkan ketika menjalankan perniagaan 'gores dan menang'.

Veerasingam berkata, tindakan sukar diambil sekiranya pihak yang menjalankan perniagaan itu sememangnya menyediakan hadiah atau barangan yang berkualiti dan bermutu seperti yang dijanjikan.

IPOH 15 Nov. – Kerajaan akan menggubal satu undang-undang khas untuk mengharamkan semua jenis peraduan gores dan menang yang dijalankan oleh syarikat jualan langsung dalam tempoh terdekat ini, bagi mengelak lebih ramai pengguna menjadi mangsa penipuan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk S. Veerasingam berkata, ketika ini, kementerian tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat jualan langsung berlesen yang menganjurkan peraduan gores dan menang jika mereka memang ada menyediakan hadiah kepada orang ramai.

‘‘Bagi syarikat jualan langsung yang menganjurkan peraduan gores dan menang, kita tidak boleh ambil tindakan jika mereka benar-benar menyediakan hadiah kepada pemenang peraduan tersebut.

‘‘Peraduan itu hanya dianggap sebagai kes penipuan dan boleh kenakan tindakan jika tiada barang-barang yang dijanjikan kepada pemenang tetapi dalam beribu-ribu peserta menyertai peraduan itu berapa ramaikah yang bertuah boleh mendapat hadiah.

‘‘Katakan hadiah peraduan adalah kereta, daripada beribu-ribu peserta mengambil bahagian, lebih 90 peratus tidak akan berjaya sedangkan mereka sudah menyerahkan sejumlah wang kepada syarikat penganjur untuk melayakkan diri menyertai peraduan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Seminar Berbelanja Bijak Tahun 2007 anjuran KPDNHEP Perak bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) di Bangunan Persekutuan Ipoh, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Perundangan Puspanita Kebangsaan, Datin Azizah Abd. Hamid; Pengerusi Puspanita Perak, Datin Faridah Din dan Pengarah KPDNHEP Perak, Ahmad Nasir Khosri.

Menurut Veerasingam, peraduan itu lebih cenderung merugikan pengguna dan ini mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan semua jenis peraduan gores dan menang meskipun ia dijalankan oleh syarikat jualan langsung berlesen.

Katanya, apabila undang-undang pengharaman itu diluluskan, semua syarikat jualan langsung yang memohon lesen untuk beroperasi akan dipastikan tidak boleh menganjurkan sebarang peraduan gores dan menang.

Salah

‘‘Melalui undang-undang baru ini, semua syarikat jualan langsung yang mengadakan peraduan gores dan menang adalah salah di sisi undang-undang.

‘‘Selepas ini, syarikat jualan langsung yang memohon lesen semasa ditemuduga akan dipastikan tidak menjalankan peraduan gores dan menang. Jika tidak, kita akan batalkan lesen mereka,” ujarnya.

Veerasingam berkata, tindakan pengharaman itu akan dikuatkuasakan sebaik sahaja undang-undang baru dilulus dan diumumkan oleh Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Mengikut statistik polis pada tahun lalu, katanya, terdapat 14 jenis aktiviti penipuan dikenal pasti seperti gores dan menang, khidmat pesanan ringkas (SMS) Akademi Fantasia 4, SMS mendapatkan projek Petronas, penipuan lelongan barangan Kastam, jual beli kereta, bomoh, tukang tilik nasib dan perubatan, cabutan bertuah melalui internet, memalsukan tiket perjudian, pakej umrah serta pinjaman wang Ah Long.

‘‘Sejak 2006 hingga pertengahan tahun ini, sebanyak 1,549 kes penipuan dilaporkan membabitkan kerugian RM34,843,656.33.

‘‘Dari segi aduan pula, Pusat Nasihat Pengguna Nasional menerima sebanyak 19,320 aduan di seluruh negara, dengan 70.28 peratus atau 13,579 daripadanya mengenai penipuan gores dan menang,” jelasnya sambil memberitahu kementeriannya sudah membatalkan lesen 20 syarikat jualan langsung yang terlibat dalam kegiatan penipuan itu setakat ini.

Oleh Au Yeong How

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) akan terus ditutup sehingga kerja-kerja mengalirkan air dari kolam takungan di Kampung Berembang dan Taman Desa ke Sungai Kerayung selesai dijalankan.

Hari ini merupakan hari ketiga terowong bernilai RM2 bilion itu ditutup setelah ditutup petang kelmarin.

Jurucakap SMART ketika dihubungi hari ini berkata, adalah sukar untuk meramalkan bila kerja-kerja pengaliran itu akan selesai.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih meletakkan status terowong itu pada MOD tiga, iaitu banjir kilat yang teruk sekali gus menutup laluan itu.

“Proses pengaliran air terpaksa dilakukan secara perlahan kerana air tidak boleh dilepaskan sepenuhnya.

“JPS berbuat begitu kerana walaupun Kuala Lumpur kelihatan tidak hujan, kita tidak pasti keadaan cuaca di hulu sungai.

“Selain itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat akan berterusan sehingga hujung minggu ini. Jadi, SMART perlu bersiap sedia,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas penutupan terowong SMART sejak petang Selasa lalu bagi mengelak banjir kilat daripada berlaku di ibu negara.

Bagaimanapun, penutupan terowong telah menyebabkan lalu lintas di sekitar ibu negara sesak teruk.

Menurut jurucakap SMART, walaupun hanya bahagian paling bawah terowong itu digunakan untuk mengalirkan air, terowong itu tetap ditutup atas faktor keselamatan.

Jelasnya, tekanan udara yang wujud di dalam terowong berikutan proses pengaliran air sedang berlangsung mendatangkan bahaya kepada kenderaan.

“Ia sesuatu yang teknikal untuk dihuraikan. Tujuan kita menutup SMART adalah untuk mengelakkan sebarang kemalangan daripada berlaku.

“Kesesakan jalan raya bukan hanya berlaku semata-mata kerana penutupan terowong itu,’’ katanya.

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pembinaan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) adalah untuk mengelakkan kejadian banjir di sekitar Lembah Klang bukan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah menolak tanggapan sesetengah pihak yang pembinaan terowong SMART bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, tujuan utama terowong itu dibina adalah untuk mencegah kejadian banjir besar di ibu kota dengan menjadikannya sebagai laluan air ketika hujan lebat.

Beliau berkata, terdapat dua proses mengalirkan air menerusi terowong itu iaitu MOD dua dan MOD tiga, bagaimanapun kebiasaannya MOD dua digunakan untuk mengalirkan air.

“Menerusi MOD dua, sistem SMART diaktifkan dan air banjir mulai disalurkan ke bahagian paling bawah terowong dan dalam situasi ini, terowong lalu lintas masih dibuka kepada semua kenderaan.

“Bagaimanapun, kelmarin JPS memilih untuk menutup terowong walaupun menggunakan MOD dua supaya kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan dengan lebih cepat.

“Jika MOD tiga digunakan, kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa dua hari kerana keseluruhan terowong digunakan untuk mengalirkan air,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan orang ramai mengenai penutupan terowong berkenaan ekoran hujan lebat semalam.

Penutupan terowong itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk semalam terutama bagi kenderaan yang menghala ke Bulatan Kampung Pandan dan Sungai Besi dari arah Jalan Tun Razak.

Menurut Keizrul, tindakan menutup terowong itu bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Kelmarin terowong ditutup kerana kuantiti takungan air (di kolam takungan Kampung Berembang) melebihi paras bahaya iaitu 750,000 meter padu dan hari ini ia masih ditutup ekoran kerja mengepam air keluar yang mengambil masa 10 jam,” katanya.

Beliau menambah, selepas proses pengepaman selesai, terowong itu boleh dibuka semula untuk kenderaan tetapi jika hujan lebat ia perlu terus ditutup untuk sementara waktu.

Mengenai dakwaan orang ramai tentang kegagalan JPS memberitahu orang ramai berhubung penutupan terowong itu kata beliau, pihaknya sudah memaklumkan kepada stesen-stesen radio tetapi pengumuman tersebut lambat disiarkan.

“Pengumuman turut dilakukan pada papan tanda elektronik di semua lebuh raya yang menghubungkan dengan laluan terowong itu.

“Mungkin orang ramai kurang mengambil berat mengenai berita yang disiarkan di radio,” jelasnya.

Beliau berkata, JPS akan sentiasa memantau untuk memastikan banjir tidak berlaku dengan adanya terowong SMART tetapi dari segi kesesakan lalu lintas, tiada apa yang boleh dilakukan oleh JPS.

“Masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota berlaku dari dahulu lagi, bukan kerana terowong SMART ditutup, terowong hanyalah sekadar laluan alternatif kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.

KANGAR 15 Nov. – Bukan seorang tetapi berkemungkinan dua. Itulah yang dinyatakan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kesediaan negeri itu melantik wanita menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Menurut beliau, kelima-lima calon hakim wanita itu akan ditemu duga di sini petang esok oleh para pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kehakiman Syarie dan Jabatan Agama Islam Perlis.

‘‘Pada mulanya saya maklumkan kepada media bahawa wanita yang bakal mengisi jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah di negeri ini berusia 23 tahun. Saya tersilap. Beliau sebenarnya berusia 26 tahun.

‘‘Ekoran tekanan yang diberikan terhadapnya, beliau dilihat masih belum memberi kata putus sama ada menerima jawatan hakim itu.

‘‘Justeru, kita akan menemuduga lima calon lain petang esok,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak para pemain bola sepak Perlis di sini malam tadi.

Shahidan baru-baru ini mengumumkan bahawa Majlis Fatwa negeri itu bersetuju untuk menerima pelantikan wanita sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Persetujuan itu dicapai pada persidangan Majlis Fatwa Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin Sabtu lalu.

Jika perancangan itu menjadi kenyataan, Perlis akan menjadi negeri yang pertama di negara ini melantik hakim mahkamah syariah daripada kalangan wanita di negara ini.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mempertikaikan langkah Kerajaan Perlis melantik Hakim Syarie wanita daripada calon yang baru berusia 26 tahun.

Persatuan itu meragui kredibiliti wanita berkenaan yang disifatkan terlalu muda dan mempersoalkan sama ada beliau mempunyai cukup pengalaman untuk menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kelima-lima calon yang akan ditemu duga esok mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman Syariah.

‘‘Ada yang berjawatan sebagai pendaftar mahkamah dan juga peguam syarie.

‘‘Kita berkemungkinan akan melantik dua wanita untuk jawatan tersebut. Sebaik selesai ditemu duga, pelantikan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu depan.

‘‘Jika barisan Exco bersetuju, kita akan umumkan pelantikan itu dalam masa terdekat,” ujarnya.

PUTRAJAYA 15 Nov. – Pelaksanaan mekanisme penggenapan bagi urus niaga melibatkan syiling satu sen tidak akan menyebabkan kadar inflasi meningkat sehingga membebankan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kesan sekali pun, ia hanya melibatkan kadar yang sangat minimum dan tidak mengakibatkan kenaikan mendadak harga barang di pasaran.

‘‘Analisis Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas negara-negara yang mengamalkan sistem penggenapan seperti Singapura, Belanda dan Australia mendapati tidak ada kesan pelaksanaan mekanisme itu kepada kadar inflasi semasa.

‘‘Malah nilai pembelian sebahagian besar barangan kalau dikira secara purata pada akhirnya akan menurun dan bukannya menaik,” katanya kepada pemberita pada majlis taklimat bersama persatuan peniaga dan peruncit mengenai pelaksanaan mekanisme penggenapan di sini hari ini.

Mulai 1 April tahun depan, syiling satu sen tidak akan digunakan lagi bagi pembayaran di kaunter sebaliknya semua bayaran bil digenapkan melalui mekanisme penggenapan kepada lima sen terdekat.

Menerusi mekanisme tersebut, jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan satu, dua, enam dan tujuh akan diturunkan kepada lima sen terdekat manakala bil yang berakhir dengan tiga, empat, lapan dan sembilan akan dinaikkan kepada lima sen terdekat.

Pelaksanaan sistem tersebut bagaimanapun tidak terpakai bagi semua pembayaran dalam talian seperti pembayaran bil utiliti melalui Internet.

Menurut Mohd. Shafie, pelaksanaan mekanisme penggenapan itu tidak boleh dilakukan ke atas setiap barangan yang dijual sebaliknya hanya membabitkan jumlah keseluruhan bil yang perlu dibayar di kaunter.

Oleh SUWARNI MOKHTAR

PULAU PINANG 15 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun hari ini memulakan kayuhan untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengayuh basikal termuda mengelilingi Semenanjung sejauh 2,061 kilometer (km).

Farah Aina Abdul Razak, memulakan kayuhannya dari Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Bayan Lepas di sini menuju ke Sungai Petani, Kedah dan dijangka meneruskan perjalanan selama 23 hari bagi mencatatkan rekod itu.

Pelepasan Farah Aina dari sekolah tersebut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, Ir. Mansur Musa dan dia turut diiringi oleh empat rakannya dari Persatuan Berbasikal Barat Daya hingga ke Jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim.

Bagaimanapun kanak-kanak itu yang memperoleh 2A, 2B dan 1C dalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sempat melihat keputusan peperiksaannya.

Farah Aina ketika ditemui berkata, dia berhasrat mencipta rekod tersebut kerana ingin membuktikan murid perempuan juga mampu melakukannya selain menguji kebolehan diri sendiri.

‘‘Saya nak tengok sejauh mana saya boleh buat dalam percubaan ini. Kalau boleh, saya ingin menamatkan perjalanan saya dalam masa 20 hari berbanding 23 hari yang dijangkakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolahnya di Bayan Lepas di sini hari ini sebelum memulakan kayuhan.

Farah Aina yang bercita-cita menjadi atlet lumba basikal kebangsaan turut menyimpan hasrat untuk menjelajah dunia sebagaimana yang dilakukan oleh Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin atau Qobin yang berjaya menamatkan jelajah Ekspedisi Berbasikal Mengelilingi Dunia pada 23 Ogos lalu.

Perjalanan Farah Aina bermula dari sekolah tersebut menuju ke Sungai Petani, Kedah; Kota Sarang Semut, Alor Star, Kedah; Kangar, Perlis kemudian berpatah balik ke Kota Sarang Semut dan Sungai Petani, Kedah sebelum memulakan kayuhan menuju ke Kupang, Baling, Kedah; Gerik, Perak; Jeli, Kelantan; Pasir Puteh, Kelantan; Kota Bharu, Kelantan.

Dia kemudian dijadual melalui Kuala Terengganu; Dungun; Kuantan; Mersing, Johor; Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian Kecil, Johor; Batu Pahat; Muar; Melaka Bandar Bersejarah; Port Dickson, Negeri Sembilan; Klang; Kuala Selangor; Sabak Bernam, Selangor; Teluk Intan, Perak dan Simpang Ampat, Nibong Tebal sebelum kembali ke Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Ujarnya, dia akan berkayuh sekurang-kurangnya 100 km sehari dan menyifatkan laluan antara Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan dan dari Jeli ke Pasir Puteh, Kelantan sebagai laluan sukar kerana berbukit.

Farah Aina mula berjinak-jinak dengan sukan berbasikal sejak di peringkat awal persekolahan dan mula menyertai pertandingan dalam sukan tersebut beberapa tahun lalu.

Bapa kanak-kanak tersebut, Abdul Razak Hashim, 42, memberitahu, dia yakin keupayaan anaknya itu untuk mencipta rekod tersebut.

‘‘Beberapa bulan lalu saya ada tanya dengan dia nak cipta rekod tak dengan kayuh basikal, tetapi bukanlah serius. Namun, dia jawab dengan yakin menyebabkan saya terus merancang perjalanan ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri selepas usaha untuk mendapatkan penaja gagal, ia bukanlah satu alasan untuk menghampakan hasrat anak sulungnya itu.

Katanya, selain bertanggungjawab menjaga keselamatan dan menyelenggara basikal yang digunakan oleh anaknya itu, Abdul Razak juga akan memastikan Farah Aina mendapatkan bekalan vitamin yang mencukupi sepanjang ekspedisi itu.

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Rayuan Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo untuk mengetepikan hukuman yang telah disabitkan ke atasnya ditangguhkan sehingga 4 Disember depan.

Seorang jurucakap firma guaman Shamsuddin & Co. berkata, penangguhan itu disebabkan syarikat telekomunikasi Celcom di sini meminta tujuh hari tambahan untuk mendapatkan semula rekod data khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan masuk telefon bimbit Raja Munira.

Menurutnya, peguam bela Munira iaitu Rosal Azimin Ahmad telah menghantar SMS dari Tokyo pagi tadi mengenai keputusan penangguhan keputusan hukuman itu.

‘‘Penangguhan itu diminta oleh Rosal sendiri atas alasan menunggu Celcom mendapatkan data panggilan Munirah yang masih belum diperoleh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raja Munira dihukum penjara tujuh tahun enam bulan oleh mahkamah di Jepun kerana cuba menyeludup beberapa paket syabu ke negara itu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Wanita itu mendakwa tidak bersalah kerana dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.

Sementara itu, ibu Raja Munirah, Sarimah Karimah, 46, ketika dihubungi mengakui turut mendapat SMS yang memaklumkan penangguhan keputusan itu daripada peguamnya.

‘‘Saya dapat SMS itu pagi tadi. Saya harap yang terbaik dan semua hukuman untuk Munirah digugurkan.

‘‘Hati saya kuat berkata dia tidak bersalah. Kita percaya peguam Rosal akan buat yang terbaik,” katanya.

Ketika ditanya tentang perasaannya sekarang, Sarimah berkata, dia terlalu rindu dan tidak sabar untuk mendakap anak kesayangannya itu.

Jika rayuan pelajar kolej itu diterima oleh Mahkamah Tinggi Jepun, bermakna dia akan dibebaskan daripada hukuman penjara dan boleh pulang ke tanah air untuk bersama keluarganya semula.

Sebaliknya jika rayuannya ditolak, Raja Munirah akan terus meringkuk dalam penjara di negara itu sehingga tempoh hukuman tamat.

SEREMBAN 15 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan terus menggabungkan tiga strategi iaitu punitif (menghukum), pendidikan dan pencegahan dalam memastikan masyarakat Malaysia bebas rasuah, sekali gus mempunyai lebih integriti.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, rasuah merupakan penyakit sosial yang jika tidak dibendung, boleh menjatuhkan sesebuah negara dan pemerintah.

‘‘Lebih parah kalau jenayah rasuah dan salah guna kuasa ini menjadi budaya dalam sesebuah masyarakat hingga rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan dan sistem pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kompleks BPR Negeri Sembilan bernilai RM4.5 juta yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini hari ini.

BPR Negeri Sembilan ditubuhkan pada 1968 dengan keanggotaan ketika itu seramai empat orang, diketuai oleh Deputi Supritendan Wong Siew Fook. Kini, keanggotaan BPR negeri ini berjumlah 55 orang.

Ahmad Said berkata, hari ini mentaliti masyarakat berubah selari dengan kemajuan yang dikecapi dengan rata-rata mereka sukakan jalan mudah, ingin cepat kaya dan materialistik.

‘‘Ini membawa kepada perlakuan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, bangunan baru BPR negeri yang terletak di Jalan Dato’ Klana Ma‘amor di sini. mula dibina pada 2000 yang mengandungi satu blok utama, satu blok sokongan dan 12 kuarters kelas C sekali gus menjadikan ia bangunan milik penuh BPR yang pertama.

Oleh SOPI SAMAILE

JOHOR BAHRU 15 Nov. – Kerajaan bercadang memperkenalkan sistem penguatkuasaan elektronik (e-Penguatkuasaan) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mempertingkatkan keberkesanan program penguatkuasaan undang-undang trafik yang dijangka bermula pada awal tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, sistem tersebut akan digunakan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya, dengan menggunakan sistem tersebut, kebarangkalian seseorang pengguna jalan ditangkap atas kesalahan trafik meningkat daripada kadar 16 hingga 25 peratus kepada 95 peratus iaitu setaraf dengan amalan terbaik negara-negara maju.

‘‘Pada masa kini sistem berkamera telah digunakan di sekitar bandar raya dan majlis bandaran seperti di kawasan Lembah Klang dengan 255 kamera dipasang bagi memantau keadaan lalu lintas dan penguatkuasaan terhadap kesalahan trafik.

‘‘Sistem itu yang dipertanggungjawabkan kepada JPJ kini dalam proses akhir untuk diperkenalkan,” kata Kong Choy pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari.

Kong Choy berkata, penguatkuasaan menggunakan kamera bagi mengesan pesalah trafik juga telah dilaksanakan oleh PDRM di persimpangan lampu isyarat di sekitar bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Johor Bahru, Petaling Jaya, Melaka dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau berharap sistem tersebut mampu mencapai sasaran pengurangan bilangan kematian dengan kadar 58 peratus menjelang tahun 2010.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan berkata, bagi fasa pertama sistem E-Penguatkuasaan, JPJ memberi tumpuan kepada dua kesalahan iaitu memandu melebihi had kelajuan dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Menurutnya, pada fasa pertama itu kesemua laluan Lebuh Raya Utara-Selatan dan semua lampu isyarat di Shah Alam akan dipasang perangkap kelajuan.

‘‘Fasa kedua pelaksanaan sistem itu akan membabitkan seluruh negeri di Malaysia bagi dua kesalahan tersebut manakala fasa ketiga pula akan meningkatkan keupayaan sistem berkenaan untuk menguatkuasakan pengesanan 10 kesalahan lagi.

‘‘Lebih 1,000 kamera akan dipasang di seluruh negara bagi melaksanakan sistem tersebut. Untuk tahun depan, kira-kira 100 kamera akan dipasangkan di Lebuh Raya Utara-Selatan,” ujarnya.

JOHOR BAHRU: Sistem e-Enforcement atau penguatkuasaan elektronik akan dilaksanakan mulai tahun depan bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan tindakan undang-undang trafik seluruh negara sejajar usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari, berkata bagi program e-Enforcement yang dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sebanyak 1,000 kamera ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti dengan tumpuan di kawasan kerap berlaku kemalangan.

Bercakap mewakili Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-48, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), di sini, semalam, beliau berkata, sistem yang membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan tumpuan kepada 10 kesalahan trafik, termasuk memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.


Katanya, bagi fasa pertama dan kedua, kamera akan dipasang di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Shah Alam dengan tumpuan kepada dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

"Bagaimanapun, apabila peringkat fasa ketiga nanti, sistem ini menjadi lebih menyeluruh dengan tumpuan kepada 10 kesalahan trafik oleh pengguna jalan raya," katanya.

Oleh LUKMAN ISMAIL

MELAKA 15 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa negara-negara anggota Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) mencari modal yang mencukupi terlebih dahulu jika mahu menubuhkan Bank DMDI.

Perdana Menteri yang menyambut baik cadangan penubuhan bank itu berkata, keperluannya juga perlu dilihat terlebih dahulu jika institusi kewangan itu benar-benar mahu diwujudkan.

‘‘Nak buat bank boleh dapatkan lesen. Tapi ongkos (modal) kena dicari dulu, pastikannya mencukupi.

‘‘Kena juga fikir bank itu untuk apa. Apakah ia bank komersial, bank pembangunan atau bank simpanan... itu perlu difikirkan,” kata Perdana Menteri pada sesi dialog selepas merasmikan Konvensyen DMDI kelapan di sini petang ini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan seorang peserta konvensyen dari Riau, Indonesia yang mencadangkan diwujudkan Bank DMDI.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Gabenor Kepulauan Riau, Indonesia, Drs. Ismeth Abdullah.

Pada konvensyen sebelah pagi, Gabenor Bangka Belitung, Indonesia, Ir. Eko Maulana Ali Suroso, yang membentangkan kertas kerjanya turut menyentuh mengenai perlunya diwujudkan sebuah bank bersama di kalangan anggota DMDI.

Menurut Abdullah, jika bank tersebut diwujudkan bagi menyediakan modal untuk perniagaan dan keperluan industri kecil dan sederhana, cadangan tersebut boleh dipertimbangkan.

‘‘Kalau perniagaan sudah besar, logiknya kenalah ada bank sendiri,” jelas beliau.

Menjawab pertanyaan seorang lagi peserta berhubung pembinaan jambatan antara Melaka dan Dumai di Indonesia, Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut perlu difikirkan semasak-masaknya.

‘‘Saya tidak kata jangan dan tak juga kata ya. Tapi ia mesti difikir sampai habis sebab bukan murah harganya. Kalau difikirkan boleh, bolehlah tapi kalau tak boleh jangan cuba. Jangan sampai nanti bina separuh jalan tak selesai.

‘‘Lagipun banyak lagi keperluan lain yang perlu dilaksanakan,” jelas beliau.

Idea pembinaan jambatan yang menghubungkan Melaka dengan Sumatera pernah dicetuskan oleh Mohd. Ali bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi kawasan terbabit.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri menggesa umat Islam di dunia Melayu supaya meningkatkan modal insan kerana ia penting bagi mengekalkan tamadun bangsa.

Beliau berkata, orang Islam boleh berjaya jika mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi pada peringkat tertinggi dalam bidang-bidang yang diceburi.

‘‘Menuntut ilmu ialah fardu kifayah dan kita tidak boleh tinggalkan umat Islam dalam keadaan buta huruf. Ini kerana orang yang berilmu lebih tinggi darjatnya dan dihormati,” kata Abdullah.

Pada majlis itu, Perdana Menteri telah diberikan anugerah tertinggi DMDI iaitu Anugerah Mansur Shah DMDI.

Turut menerima pelbagai anugerah DMDI lain ialah 29 tokoh pemimpin DMDI dari dalam dan luar negara.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan 16 pemeteraian perjanjian persefahaman melibatkan entiti-entiti di Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka bernilai RM96 juta.

Ia meliputi bidang-bidang bioteknologi, hartanah, teknologi maklumat dan komunikasi, kebudayaan, pasar raya, pelancongan, pemasaran, pengangkutan, perhotelan, pendidikan serta perusahaan kecil dan sederhana.

Terdahulu Sebanyak 16 memorudum juga ditandangani. MoU tersebut melibatkan agensi kerajaan dan swasta dari negeri ini, Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka.

MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, cadangan penubuhan Bank Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) boleh dipertimbangkan untuk membantu membangunkan lagi ekonomi umat Islam dan orang Melayu.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, cadangan itu perlu diperincikan sama ada bank yang mahu diwujudkan itu bank saudagar, bank komersial, bank pembangunan, bank eksport dan import atau bank koperasi.

"Bila-bila kita boleh cari lesen (nak tubuh bank), tapi modalnya perlu banyak, mungkin perlu bermula secara kecil dulu, lepas itu kalau dapat kita besarkan.

"Ini lebih mudah daripada buat jambatan (jambatan Melaka ke Dumai) sebenarnya," katanya ketika menjawab soalan peserta pada sesi soal jawab pada Konvensyen DMDI Kelapan di Hotel Holiday Inn Melaka, petang semalam.

Beliau berkata, jika ada cadangan mahu mewujudkan institusi seperti itu boleh membantu kemajuan umat Islam, terutama berkaitan dengan perniagaan, ia boleh dipertimbangkan kerana negara anggota DMDI memerlukan modal memulakan perniagaan.

Abdullah juga berkata, jika ada rangkaian dan perniagaan besar, cadangan mewujudkan Bank DMDI boleh membantu mereka.

Mengenai cadangan supaya jambatan dibina menghubungkan Melaka dan Dumai, Perdana Menteri berkata, cadangan itu perlu difikirkan sedalam-dalamnya kerana ia membabitkan pembinaan jambatan yang sangat panjang dan kos sangat besar.
Oleh Amin Ridzuan Ishak


KUALA LUMPUR: Semua 3,718 jemaah haji Malaysia yang kini berada di Madinah dalam keadaan sihat walaupun bandar itu mengalami perubahan cuaca tidak menentu.

Pegawai Operasi Bilik Gerakan Tabung Haji di Madinah, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata setakat ini hanya enam jemaah yang menerima rawatan iaitu sebagai pesakit luar di kem kesihatan Tabung Haji kerana mengalami batuk dan selesema serta tiada yang menghadapi masalah kesihatan serius.

Katanya, faktor utama menyumbang kepada kurangnya jemaah menghadapi masalah kesihatan adalah berikutan penambahan jumlah Penerbangan Malaysia (MAS) serta Saudi Arabian Airlines yang dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Madinah, masing-masing 17 dan 18 berbanding lima sebelum ini.

"Jika dulu, penerbangan dari Malaysia akan mendarat di Jeddah terlebih dulu sebelum jemaah haji dibawa ke Madinah menaiki bas yang menyebabkan kepenatan," katanya ketika dihubungi di Madinah, semalam.

"Dengan penerbangan terus ke Madinah, jemaah tidak perlu menempuh perjalanan darat dengan jarak yang jauh dan ini membuatkan mereka tidak letih... kebanyakan jemaah berada dalam keadaan baik dan mereka yang sakit itu mungkin kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca mendadak di sini," katanya ketika dihubungi di Madinah, semalam.

Tengku Aziz berkata, semua jemaah ditempatkan di empat hotel sekitar Madinah iaitu Hotel Al-Haram; Hotel Anuar Movenpick; Hotel Daral Khkir dan Hotel Fairuz Haumri.

Mengulas mengenai persediaan menyambut jemaah haji Malaysia, beliau berkata, persediaan giat dijalankan seperti membina kem kesihatan dan pusat pertanyaan.

"Hampir separuh daripada petugas sudah melaporkan diri atau tiba ke Madinah. Seramai 62 kakitangan Tabung Haji dari Malaysia yang ditugaskan sebagai pegawai perubatan dan kebajikan sudah tiba," katanya.
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha I Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap (gambar) dilantik mulai hari ini sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu menggantikan Tan Sri Aseh Che Mat yang bersara wajib pada 22 Oktober lalu.

Mengumumkan pelantikan itu menerusi kenyataan semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata beliau percaya pengalaman dan pengetahuan dalam pelbagai bidang membolehkan Raja Azahar, yang juga bekas Ketua Pengarah Imigresen, mengetuai kementerian itu dengan cekap dan penuh integriti.

Beliau berkata, Raja Azahar mampu meneruskan usaha KHEDN bagi merancang dan melaksanakan hal ehwal imigresen, pendaftaran, kewarganegaraan, pertubuhan, kawalan filem dan keselamatan, agar seiring perubahan teknologi, pertumbuhan sosioekonomi dan keperluan negara secara berterusan.

Raja Azahar, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Ekonomi Perniagaan) dari Northwest Missouri State University, Amerika Syarikat, dan ijazah pertama dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, dilantik ke dalam perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Oktober 1976.

Beliau pernah bertugas di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dari 1976 hingga 1980, selain pernah menjadi Pengarah Bahagian Pelesenan Perdagangan, Jabatan Pengangkutan Jalan.
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini dijangka mengeluarkan sebanyak 30,000 tan sisa pepejal setiap hari menjelang 2020 dengan 24 peratus daripadanya berasaskan plastik.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr S Subramaniam, berkata bagi mengelakkan bahan berasaskan plastik terus mencemar alam, kerajaan menggalakkan orang ramai supaya mengurangkan penggunaan bahan berkenaan terutama beg plastik ketika membeli-belah di pasar atau di pasar raya.

"Buat masa ini beberapa pasar raya besar seperti Carrefour, Tesco dan Mydin sudah mengorak langkah ke arah ini dengan melancarkan pelbagai kempen dalam mengurangkan penggunaan beg plastik ketika menjalankan operasi jualan," katanya kepada media selepas merasmikan seminar Malaysian Plastics Forum di sini, semalam.

Seminar sehari itu diisi dengan pembentangan 10 kertas kerja berkaitan pengeluaran bahan berkenaan serta kesannya terhadap masyarakat dari aspek alam sekitar, keselamatan dan kesihatan diri.

Dr Subramaniam berkata, penggunaan bahan berasaskan plastik adalah penting di dalam kehidupan seharian, tetapi jika ia digunakan secara berlebihan akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar kerana bahan berkenaan mengambil masa agak lama untuk dilupuskan.

"Kementerian sudah mengetengahkan konsep 3R agar dapat menimbulkan kesedaran kepada masyarakat supaya mengurangkan penggunaan bahan berkenaan.

"Justeru, adalah wajar kita bersama-sama menjaga alam sekitar daripada sebarang pencemaran untuk kesejahteraan generasi masa kini dan depan serta mendidik masyarakat supaya lebih memahami perlunya beg plastik digunakan secara optimum dan dikitar semula," katanya.

Orang ramai dinasihatkan membawa beg kertas, bakul atau troli sendiri ketika membeli-belah manakala pemilik pasar raya juga boleh mengurangkan penggunaan beg plastik secara meluas dengan menyediakan beg kertas ketika mengisi barang yang dibeli pengguna, katanya.
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 17 Januari tahun depan untuk pengurusan kes saman malu terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang difailkan seorang remaja, Muhammed Kasheef Harris Sivapatham pada 13 April lalu.

Tarikh itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya dalam kamar hakim untuk membolehkan plaintif serta defendan memfailkan dokumen dan memberi ringkasan saman kepada mahkamah sebelum perbicaraan dimulakan.

Tempoh itu juga bagi membolehkan plaintif dan defendan menyenaraikan semua saksi yang akan dipanggil untuk proses perbicaraan.

Peguam Suraj Singh mewakili plaintif dan mendengar bagi pihak peguam bela defendan, Gubachan Singh yang tidak hadir.

Dalam saman itu, Muhammed Kasheef, 19, yang juga rakan anak Khalid, Mohamed Adib, mendakwa suami penyanyi Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin cuba merosak dan mencerca reputasi baiknya di kalangan masyarakat dengan menuduhnya penjenayah, tidak berwatak baik, tidak layak bergaul dengan anak defendan, penipu dan tidak boleh dipercayai.

Plaintif mendakwa, defendan dengan niat jahat dan secara melulu menuduhnya pengedar dadah dan memaksanya mengaku sebagai pengedar dadah.

Muhammed Kasheef mendakwa defendan mengeluarkan perkataan 'kamu ambil dadah', 'kamu drug dealer (pengedar dadah)' terhadapnya yang disifatkannya sebagai fitnah dan dusta.

Muhammed Kasheef mendakwa Khalid mengeluarkan perkataan itu dalam satu insiden di rumah Khalid di No 3, Jalan Wangsa 13, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 17 Mac 2007, jam 11.30 malam hingga 1 pagi, 18 Mac lalu.

Oleh Rosli Abdul Jalil


JADI SAKSI: Awie dan kakaknya, Hawa Othman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam.

Kakak penyanyi beritahu mahkamah Arni abai kesihatan 2 beradik, lewat hantar balik

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam diberitahu kehidupan kedua-dua anak penyanyi dan pelakon Ahmad Azhar Othman atau Awie lebih baik dan sempurna selepas penyanyi itu berkahwin dengan Rozana Misbun.

Kakak Awie, Hawa Othman, 42, berkata daripada pengamatannya, beliau melihat anak-anak Awie, iaitu Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleefa Antasha, 4, sentiasa riang dan ceria.


"Saya selalu bertanya kepada mereka ketika datang ke rumah dan mereka berkata sangat suka pada Rozana.

"Malah, adakalanya mereka (Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa) menangis sambil memegang tangan ibu baru (Rozana) ketika Arni datang hendak mengambil mereka sehinggakan dipaksa pergi kepada Arni," katanya.

Hawa memberi kenyataan itu ketika menjawab soalan peguam bela Mohd Sazali Abdul Aziz dalam kes perbicaraan mendapatkan hak jagaan kekal terhadap Aleeya dan Aleefa yang difailkan Awie terhadap bekas isterinya, Arni Nazira Anwar.


Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus. Awie turut diwakili Mastuni Muhammad, manakala Arni diwakili peguam bela, Mohd Zuki Che Mat Ghani dan Aminuddin Abdullah.

Hawa yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, beliau melihat Rozana memelihara anak tirinya dengan baik kerana dia gemar ke dapur dan memasak.

"Ditambah pula kedua-dua anak saudara saya ini 'pemakan' dan berselera," katanya.

Selain keserasian Rozana dengan kedua-dua anak tirinya itu, Hawa berkata, Rozana juga mengambil berat terhadap kebajikan mereka, persekolahan, tuisyen dan kelas pengajian Al-Quran.

Katanya, sepanjang lapan tahun perkahwinan Awie dan Arni beliau melihat betapa kasih seorang ibu terhadap anak-anaknya, tetapi berpendapat kasih saja tidak mencukupi, jika makan dan minum mereka tidak dijaga.

"Arni seorang yang tidak suka duduk di rumah dan memasak, malah sering ke rumah saya untuk makan.

"Saya pernah menasihati Arni berhubung perkara itu (masak makanan untuk anak-anak). Saya lihat adik saya (Awie) kecewa dengan sikap Arni dan dalam tempoh lapan tahun perkahwinan, tiada kemesraan.

"Malah, dalam tempoh itu, Arni tidak pernah mengundang saya ke rumahnya untuk majlis makan-makan," katanya.

Terdahulu, Hawa yang juga seorang ibu tunggal dengan dua anak berkata, beliau dua kali membuat laporan polis terhadap Arni kerana kecederaan dialami dua anak saudaranya itu dan kelewatan menghantar mereka semula kepadanya.

Katanya, pada waktu tertentu Awie menyerahkan Aleeya dan Aleefa untuk dijaga, terutama ketika Rozana bersalin dan dalam pantang dan ketika Awie menjalani penggambaran filem di luar negara.

Hawa berkata, selain kerap lewat menghantar Aleeya dan Aleefa daripada waktu dibenarkan, Arni tidak mengambil berat kesihatan anak-anaknya itu.

"Laporan polis pertama yang saya buat di Balai Polis Pandan Indah bukan semata-mata kerana Arni lewat menghantar anaknya kepada saya, tetapi kerana kecederaan pada kanak-kanak itu.

"Setiap kali dihantar pulang, mereka (Aleeya dan Aleefa) kelihatan layu, letih dan luka di bahagian badan sedangkan mereka sihat sebelum diserahkan kepada Arni," katanya.

Sehubungan itu, katanya, laporan yang dibuat itu atas dasar keselamatan anak saudara dan kebajikan mereka.

Terdahulu, ketika ditanya Sazali, Hawa menyifatkan hubungannya dengan Arni sebelum perceraiannya dengan Awie sangat baik dan akrab tetapi mereka tidak lagi berhubungan selepas bercerai.

Oleh Hassan Omar

KOTA KINABALU: Belum pun ada keputusan dibuat kerajaan berhubung harga minyak berikutan ada pengedar gas di negeri ini dikesan menaikkan harga bahan api itu sejak dua minggu lalu.

Pihak terbabit dipercayai menjual gas antara RM5 hingga RM10 lebih tinggi berbanding harga kawalan RM21.96 setong gas 12 kilogram (kg) dan RM25.62 setong gas 14 kg.

Harga sebenar setong gas 12kg di Sabah adalah RM40.20. Bagaimanapun, kerajaan memberi subsidi RM18.24 menjadikan harga di pasaran RM21.96.

Bagi setong gas 14kg, harga sebenar ialah RM46.90, manakala subsidi kerajaan ialah RM21.28, menjadikan harga pasaran RM25.62.

Seorang pengguna, Murib Murphy mendakwa, beliau terpaksa membeli setong gas 14 kg pada harga RM32.50 daripada seorang pengedar yang menggunakan lori kecil di kediamannya di Kepayan Ridge, di sini minggu lalu.

"Selalunya saya beli gas tidak sampai RM30 tetapi minggu lalu pengedar itu mengenakan RM32.50. Bagaimanapun, saya tak diberikan resit," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Pengarah Urusan sebuah pusat pengedar gas di Papar, Maju Jaya Gas Sdn Bhd, Kenny Wong, berkata beliau dihujani panggilan telefon pengguna sejak dua minggu lalu yang mendakwa mereka terpaksa membayar lebih tinggi untuk mendapatkan gas.

Beliau berkata, kebanyakan mereka mendakwa, pengedar gas yang menggunakan lori kecil mengenakan bayaran antara RM5 hingga RM10 lebih tinggi bagi setong gas 14kg berbanding harga biasa antara RM27 hingga RM29.

"Mereka menuduh saya yang menaikkan harga gas. Bagaimana saya boleh menaikkan harga sedangkan ia barang kawalan,” katanya.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kedai runcit di bandar raya ini dan Papar mendapati pemilik kedai mendakwa ada pihak tertentu memaklumkan kepada mereka harga gas akan dinaikkan RM10 tidak lama lagi.

"Setong (gas 14kg) kami jual RM27.10 tetapi kami dengar harga akan naik sampai RM10," kata seorang peniaga kedai runcit di Segama, di sini.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Jaafar Walad, berkata pihaknya turut menerima panggilan daripada pengguna yang mendakwa mereka terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bahan api itu, sejak tiga hari lalu.

"Ada seorang kakitangan awam menemui saya mendakwa, dia terpaksa membayar RM40 iaitu RM10 lebih tinggi daripada harga biasa untuk mendapatkan gas 14 kg," katanya.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP sudah menyediakan perangkap untuk pengedar gas yang sengaja menangguk di air keruh.
Oleh Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman semalam, membentangkan bajet defisit untuk 2008 bagi negeri ini dengan perbelanjaan mengurus melebihi anggaran pendapatan berjumlah RM2.04 juta berbanding lebihan sebanyak RM14.64 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, bajet desifit disebabkan anggaran perbelanjaan mengurus tahun depan berjumlah RM749.94 juta, manakala anggaran pendapatan hanya RM747.90 juta.

"Bajet defisit tahun depan berikutan peningkatan perbelanjaan mengurus 11.9 peratus daripada RM670.09 juta tahun ini kepada RM749.94 juta dengan peruntukan pembangunan saja mencecah RM175.62 juta," katanya pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, Bajet 2008 terus mengambil pendekatan pembangunan holistik, adil, seimbang serta menyeluruh selain memberi keutamaan kepada pertumbuhan dan memastikan pengagihan adil untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri menggariskan lima strategi Bajet 2008 iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi dan memperkukuh sumber baru ekonomi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk 'minda kelas pertama' dan menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif.

"Dua lagi strategi ialah meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi pelaksanaan," katanya.

Beliau berkata, peratusan paling tinggi untuk perbelanjaan mengurus membabitkan perbelanjaan emolumen berjumlah RM281.73 juta atau 37.57 peratus, diikuti Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak 33.13 peratus, termasuk bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Pusat berjumlah RM43.25 juta dan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM100 juta.

Katanya, perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan pula sebanyak RM212.11 juta diikuti aset RM6.56 juta dan lain-lain perbelanjaan berjumlah RM1.09 juta.

"Peruntukan pembangunan pula, menyaksikan Pejabat Menteri Besar menerima pecahan terbesar berjumlah RM52.50 juta, diikuti pertanian serta pembangunan luar bandar sebanyak RM38.21 juta, Jabatan Agama Johor (RM20.28 juta), Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM10.03 juta)," katanya.

Menyentuh mengenai Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Abdul Ghani berkata, agensi berkenaan diperuntukkan RM32.3 juta dalam usaha memantapkan tahap kecekapan operasi, terutama berkaitan operasi pusat sehenti.

"Daripada jumlah itu, RM8 juta untuk proses meningkatkan perniagaan, RM5 juta bagi mengemas kini Pelan Pembangunan Komprehensif dan RM16 juta dalam sistem teknologi maklumat yang akan digunakan bersama agensi berkaitan, terutama pihak berkuasa tempatan dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)," katanya.
KERAJAAN akan terus memperkukuh dan mengembangkan pengalaman serta kemahiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam bidang aeroangkasa sebagai asas menjadikan Malaysia hab utama industri aeroangkasa.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pembabitan GLC dalam industri aeroangkasa menjana pembangunan modal insan mahir menerusi program perpindahan teknologi dan kerjasama strategik.

Katanya, syarikat GLC seperti Astonautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) dan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) turut mendapat pengiktirafan syarikat antarabangsa.

“ATSB bukan saja sedang melaksanakan pembangunan satelit mikro kedua negara iaitu RazakSat yang akan dilancarkan tahun depan, malah membekalkan komponen satelit kepada beberapa negara seperti Jerman dan Afrika Selatan.

“CTRM yang terbabit dalam pembuatan komponen pesawat pula mempunyai kontrak perjanjian RM3.20 bilion untuk tempoh tiga hingga 21 tahun,” katanya menjawab soalan Datuk Suhaili Abdul Rahman (BN-Labuan).

Ahli Parlimen Labuan itu bertanya pencapaian syarikat GLC untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa.

Dr Hilmi berkata, CTRM dilantik pembekal peringkat pertama oleh pengeluar pesawat Eropah, Airbus untuk kontrak komponen pesawat Airbus A380 dan A400M masing-masing bernilai RM990 juta dan RM870 juta.

Selain itu, syarikat GLC itu dilantik pembekal peringkat kedua untuk kontrak komponen pesawat Airbus A320 bernilai RM1.17 bilion.

“CTRM juga mempunyai kontrak komponen enjin untuk Goodrich Corporation bernilai RM170 juta. Pengalaman dan kemahiran diperoleh GLC akan terus diperkukuh,” katanya.
Laporan Abdul Razak Raaff

KUALA LUMPUR: Seramai 39,725 perokok meninggal dunia akibat menghidap kanser paru-paru, jantung dan angin ahmar sejak 2002 hingga tahun ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon, sepanjang tahun lalu, jumlah kematian akibat penyakit itu ialah 8,954 orang.

Beliau berkata, bilangan perokok dewasa pula menunjukkan peningkatan disebabkan pertambahan jumlah penduduk daripada 21.2 juta pada 1996 kepada 24.8 juta tahun lalu.

Bagaimanapun, peratus keseluruhan perokok dewasa menurun kepada 21.2 peratus berbanding 24.8 peratus pada 1996 berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh kementerian itu.

“Peningkatan bilangan perokok bukan bermaksud usaha kawalan tembakau gagal kerana kerajaan memandang serius masalah merokok dan menganjurkan pelbagai program untuk mengawal kadar rakyat merokok,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Nasaruddin Hasim (BN-Parit) yang bertanya jumlah kematian akibat merokok dan mengapa bilangan perokok terus meningkat pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.

Lee berkata, antara langkah membendung masalah itu ialah meningkatkan cukai dan harga rokok, menguatkuasakan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, promosi antimerokok terutama Kempen Tak Nak Merokok serta Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan.

Katanya, kementerian juga mengadakan program Doktor Muda untuk mendidik pelajar sekolah berkaitan kesihatan dan memberi kesedaran mengenai kesan buruk akibat merokok.
Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) semalam mengutuk tindakan bekas Duta dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah (EC) ke Malaysia, Thierry Rommel kerana membuat dakwaan tidak benar dan berniat jahat terhadap negara ini.

Mereka sepakat mahu Rommel segera memohon maaf kepada kerajaan berhubung dakwaannya bahawa Malaysia kini dalam keadaan darurat sejak perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang turut berang berkata, EU sepatutnya menghantar pengganti Rommel dari kalangan diplomat yang tahu menghormati kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

“Kenyataan Rommel adalah melampau dan membayangkan kejahilannya terhadap sosio politik negara, walaupun sudah lama berkhidmat di Malaysia.

“Dulu, dia kritik Dasar Ekonomi Baru (DEB), sekarang dia buat perkara hampir sama untuk mencampuri urusan negara. Kita anggap Rommel biadab dan tidak tahu menghormati kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui pemberita di Singapura, menyelar tindakan Rommel yang disifatkannya bertindak melampau dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya daripada seorang duta.

Ini kali kedua Rommel cuba mencampuri urusan Malaysia selepas 21 Jun lalu beliau dilaporkan mengkritik DEB apabila menganggapnya tidak sesuai dan penghalang kepada perjanjian perdagangan bebas kerana bersifat memberi perlindungan.

Berikutan itu, beliau dipanggil ke Wisma Putra untuk memberi penjelasan dan dalam penjelasannya Rommel berkata, bukan maksudnya untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kenyataan Rommel itu menunjukkan beliau seorang yang bongkak, sombong dan tidak ‘gentlemen’ kerana berbuat demikian selepas tidak lagi memegang jawatannya itu.

“Sebab itu, kita tidak hairan khidmatnya di negara ini ditamatkan. Sebagai orang yang cetek ilmu politik Malaysia, dia tidak berhak mencampuri urusan negara, terutama membuat perbandingan dengan sistem demokrasi di Eropah,” katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata tindakan Rommel jelas tidak menghormati pemerintahan negara ini, selain menunjukkan kejahilannya terhadap politik Malaysia.

“Siapa dia sebenarnya nak buat kenyataan seperti itu? Dia tidak berhak nak campur tangan urusan negara ini apalagi membuat kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Kalau ditanya, bagi kami orang seperti ini adalah kurang ajar dan tidak seharusnya dibenarkan berkhidmat di negara ini lagi,” katanya.

Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam berkata, Rommel tidak berhak campur tangan terhadap urusan negara kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mampu membuat yang terbaik untuk rakyat.

“Rommel perlu sedar, kerajaan BN adalah kerajaan yang mementingkan perpaduan dan perdamaian. Pertukaran kerajaan pula dilakukan setiap lima tahun sekali melalui proses demokrasi,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kenyataan Rommel didalangi pihak tertentu dan mahu beliau segera memohon maaf secara rasmi kepada kerajaan Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Setiausaha Organisasi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, Rommel tidak berhak membuat komen seperti yang dilaporkan itu.

“Saya menyokong kenyataan Datuk Seri Najib terhadap pelakuan Rommel itu,” katanya.
KUANTAN 15 Nov. – Mahkamah Tinggi Syariah hari ini diberitahu bahawa Rozana Misbun merupakan seorang ibu tiri yang baik dan mampu menjaga dengan sempurna dua anak hasil perkahwinan pertama suaminya, penyanyi Awie atau Ahmad Azhar Othman dengan Arni Nazira Anuar.

Kakak penyanyi tersebut, Hawa Othman, 42, berkata demikian ketika ditanya oleh peguam syarie mewakili Awie, Mohd. Sazali Abd. Aziz pada perbicaraan kes hak penjagaan kekal dua anak, Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleefa Antasha, 5, hasil perkahwinan Awie dan bekas isterinya, Arni Nazira.

Menurut Hawa, hubungan Rozana dan dua anak tirinya itu sangat rapat dan wanita tersebut gemar memasak untuk mereka.

Beliau turut melahirkan keyakinannya terhadap kemampuan Rozana untuk menjaga kebajikan kedua-dua kanak-kanak tersebut berdasarkan hubungan yang mesra selain kerajinan Rozana menyediakan makanan kegemaran anak-anak tirinya itu.

‘‘Selain memasak, Rozana menjaga kebajikan Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa dengan baik termasuk mengajar sendiri tuisyen dan menghantar anak-anak tirinya itu ke sekolah,” katanya.

Ujarnya lagi, berdasarkan pengamatannya, Rozana mampu menjaga kedua-dua kanak-kanak itu dengan lebih baik berbanding ibu kandung mereka iaitu Arni.

Hawa berkata, hubungan Rozana dengan ahli keluarganya yang lain juga sangat mesra, malah, kedua-dua anak saudaranya iaitu Puteri Aleeya serta Puteri Aleefa pernah memberitahunya yang mereka sayang kepada Rozana.

Selain Mohd. Sazali, Awie turut diwakili peguam, Mastuni Muhammad, manakala Arni diwakili oleh dua peguam syarie, Mohd. Zuki Che Mat Ghani dan Amiruddin Abdullah.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunos bersambung pada 19 Disember depan.
Oleh Azrina Ahzan

PUTRAJAYA: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam mengingatkan bekas wakil Kesatuan Eropah (EU), Thierry Rommel, supaya tidak mencampuri hal ehwal negara ini dengan membuat dakwaan tidak berasas.

Katanya, kenyataan Rommel bahawa Malaysia berada dalam keadaan darurat berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan haram di ibu negara Sabtu lalu, bukan saja tidak bertanggungjawab tetapi menjejaskan kredibiliti EU.

"Saya ingin mengingatkan beliau supaya jangan cuba masuk campur dalam hal ehwal negara ini dan lihat keadaan sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kredibilitinya dan EU sendiri.

"Secara realitinya, kita tengok tidak ada sekatan, rakyat bebas dan ini jauh daripada gambaran yang kita berada dalam keadaan darurat kerana demonstrasi baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia yang menyertai Kejohanan Robotik Olimpiad Dunia (WRO) 2007 di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Rommel kepada Reuters baru-baru ini bahawa Malaysia kini berada dalam keadaan darurat selepas polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Dalam temu bual dengan agensi berita itu, Rommel turut mendakwa ketidakadilan dalam pilihan raya di Malaysia bukan satu rahsia dan mempertikaikan dasar membantu Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tindakan pihak terbabit menganjurkan perhimpunan haram itu sebenarnya menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia bukan saja menjejaskan kegiatan harian, malah sumber pendapatan mereka.

"Saya percaya orang ramai lebih marah kepada demonstrasi yang menjejaskan periuk nasi mereka,” katanya.

Bercakap mengenai kejohanan berkenaan, Hishammuddin berkata, aktiviti berkaitan pertandingan robotik itu menjurus pelajar untuk berfikir, menyelesaikan masalah dan bekerja dalam kumpulan selain meningkatkan kemahiran matematik dan sains.

“Aktiviti itu juga dapat memupuk kreativiti serta inovatif peserta,” katanya.

Kejohanan WRO 2007 yang akan berlangsung di Taipei, Taiwan, hingga Ahad ini disertai 300 pasukan dari 24 negara dengan Malaysia diwakili 15 pasukan membabitkan 62 anggota.
Abdul Halim Mohd Rashid
Thu | Nov 15, 07 | 5:35:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan polis yang lebih sibuk dengan Perhimpunan Aman Bersih 10 November lalu tetapi tidak peduli sama sekali kepincangan dalam pasukan polis yang semakin menjadi perbualan umum.

Malah beliau juga menyifatkan Perdana Menteri boleh mengakibatkan bencana besar ke atas bumiputera kerana dengan jelas memperlihatkan kelemahannya untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Mengenai kepincangan dalam pasukan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mahfuz berkata: "Tindakan polis dan BPR membuat afidavit yang membantu Tengku atau Goh Cheng Poh ketika habeas corpusnya dibicarakan semakin menjadi perbualan umum. Adalah sangat memeranjatkan apabila perkara itu menjadi perbualan di kedai-kedai kopi," katanya.

Tengku adalah salah seorang orang kanan kepada BK Tan, yang dilaporkan sebagai ketua sindiket jenayah yang antaranya terlibat dalam perniagaan judi haram, sindiket pelacuran dan along.

Berikutan arahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum, beliau dikenakan tahanan daerah di bawah Ordinan Darurat di Jeli. Tindakan ke atas Tengku itu dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Polis yang pada waktu itu diketuai oleh Datuk Ramli Yusof.

Ramli kini menghadapi tuduhan rasuah dari BPR dan dalam proses perbicaraan.

"Tidak hairanlah jika sebelum ini Ramli mendedahkan pihaknya terpaksa mendapatkan khidmat peguam swasta untuk menyediakan dokumen mahkamah berkaitan kes Tengku walaupun perkara itu adalah urusan kerajaan dan sepatutnya dikendalikan oleh bahagian perundangan di dalam pasukan polis atau Kementerian Keselamatan Dalam Negeri," katanya.

Tetapi, kata Mahfuz, masalah yang lebih besar ialah sikap Perdana Menteri yang tidak kelihatan mahu mengambil sebarang tindakan terhadap kejadian-kejadian pelik dalam pasukan polis, BPR dan Jabatan Peguam Negara.

"Kalau Perdana Menteri masih tidak tahu lagi, saya ingin ulangi sekali lagi bahawa saya benar-benar terperanjat apabila apa yang didakwa sebagai pakatan Ketua Polis Negara, BPR dan Peguam Negara menjadi perbualan di kedai kopi.

"Jika Perdana Menteri benar-benar tidak tahu atau sengaja tidak mahu mengambil tahu, amat malanglah negara ini mempunyai Perdana Menteri seperti itu sedangkan ketiga-tiganya berada di bawah bidang kuasa Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

"Tetapi kalau beliau tahu, beliau mesti mengambil tindakan serta merta untuk membetulkan apa yang dilihat sebagai kepincangan pasukan polis, BPR dan Jabatan Peguam Negara. Kalau beliau enggan juga bertindak walaupun telah diberitahu, beliau bolehlah meletak jawatan kerana beliau tidak layak sama sekali," katanya.

Mengenai ancaman kepada masa hadapan bumiputera, Mahfuz berkata, Perdana Menteri hakikatnya telah membuat pengakuan bahawa beliau tidak pernah merangka polisi yang memastikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu bumiputera

Perkara itu amat terang dan jelas, katanya, apabila Perdana Menteri tiba-tiba menyeru supaya GLC membantu bumiputera.

Seruan Perdana Menteri itu, katanya, hanya membawa erti bahawa GLC sebenarnya tidak membantu bumiputera.

"Ia juga bermakna bahawa bumiputera bolehlah melupakan sebarang harapan kepada koridor demi koridor yang dilancarkan oleh kerajaan kerana koridor-koridor tersebut diuruskan oleh GLC yang terpaksa diseru dan dirayu oleh Perdana Menteri sendiri supaya membantu bumiputera," katanya.

Mahfuz berkata, beliau bukan sahaja bimbang dengan nasib bumiputera malah bimbang dunia akan menuduh Perdana Menteri negara ini sebagai "pak lawak".

"Adakah Perdana Menteri tidak tahu GLC itu apa dan siapa yang bertanggungjawab merangka polisi yang mesti dipatuhi oleh GLC sehingga beliau terpaksa menyeru GLC supaya membantu Bumiputera?

"Apa akan terjadi kepada Bumiputra di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kerana kesemua koridor itu dikendalikan oleh GLC dan GLC pula terpaksa dirayu oleh Perdana Menteri yang sepatutnya bertindak memastikan polisi yang mesti diikuti oleh GLC tersebut?" tanya beliau.

Khazanah Nasional sebagai GLC terbesar dipertanggungjawabkan untuk menguruskan WPI manakala Sime Darby menguruskan Koridor Utara dan Petronas pula menguruskan ECER.

"Amat membimbangkan jika Perdana Menteri begitu lemah dan tidak berdaya untuk menjamin kepentingan bumiputera kerana 40 peratus dari kawasan ECER ialah tanah rezab Melayu yang dilaporkan akan diambilalih.

"Inilah yang saya maksudkan sebagai bencana besar apabila Perdana Menteri secara terus-terang mempamerkan kelemahan dan ketidaupayaannya," kata beliau.

Beliau menyeru ahli-ahli Umno memikirkan dengan serius kemampuan Abdullah untuk menjadi presiden pasri mereka dan Perdana Menteri negara ini.