Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 25, 07 | 8:39:14 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Pilihan Raya Umum ke-12 hanya akan diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah pemimpin Islam Hadhari itu merasakan adanya 'Feel Good Factor' yang menyebabkan mood rakyat menyebelahi Barisan Nasional (BN).

Begitupun, setelah dihujani pelbagai isu rasuah, kepincangan kehakiman, projek mega yang membazir dan campur tangan menantu dalam pentadbirannya, Abdullah kini berhadapan dengan waktu 'bad record'nya.

Seperti kata Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dalam blognya, Laporan Audit Negara 2006 yang dihebohkan telus itu hanya membuktikan amalan korup berleluasa di pelbagai kementerian di bawah pentadbiran Abdullah.

Dari 'screwdriver', buku keluaran DBP sampai kepada 'dockyard', semuanya dimanipulasi harganya sedemikian rupa hingga negara kerugian berbillion ringgit, kata Husam.

"Apa tindakan Abdullah sebagai bapa gerakan 'human capital'? Apa yang berlaku sama sekali berbeza dari apa yang dijanjikan oleh Abdullah mengenai kerajaan bersih dan sikap anti korup yang dilaungkan sewaktu mula menjadi PM,"ujarnya.

Jika beliau berniat mengotakan slogannya 'tell me the truth' dan 'don't be apple polisher', inilah masanya untuk beliau bertindak, ujarnya.

Siasatan rasuah adalah satu perkara dan tindakan pentadbiran adalah satu perkara yang lain.

Siasatan BPR akan mengambil masa yang panjang pula untuk mengetahui bagaimana buku berharga RM400 dibeli dengan harga RM 10,000, katanya.

Besar kemungkinan siasatan pula boleh lenyap ditelan kabus dan hanya pegawai bawahan sahaja yang akan dikenakan tindakan terhadap dakwaan bagi menutup kes tersebut. - mks

(Dapatkan Harakah cetak terkini di pasaran untuk berita selanjutnya)

PUTRAJAYA 25 Okt — Kementerian Kerja Raya akan mengemukakan kertas Kabinet minggu ini mengenai keperluan menaikkan tol mulai 1 Januari seperti termaktub dalam perjanjian antara kerajaan dan para pemegang konsesi.

“Saya akan memaklumkan kepada Kabinet mengenai perkara itu sahaja dan terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perniagaan Global bagi Network of International Sikh Entrepreneurship di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini beliau berkata, Kabinet belum membincangkan mengenai perkara itu dan belum ada keputusan lagi setakat ini.

Samy Vellu juga berkata, beliau telah membangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam mengenai keperluan memberikan peluang yang lebih banyak kepada kaum India untuk menyertai perkhidmatan awam selain peluang mendapatkan lebih banyak biasiswa pendidikan kerajaan.

Menjawab soalan lain, beliau yang juga Presiden MIC percaya masyarakat India tidak akan tersinggung dengan langkah Umno mengadakan perhimpunan agungnya 5 hingga 9 Nov walaupun sambutan perayaan Deepavali diadakan pada 8 Nov.

Ini kerana masyarakat India di negara ini berfikiran luas dan memahami keperluan Umno untuk mengadakan perhimpunan agung itu, katanya.

— BERNAMA

Oleh ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 24 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuat lawatan buat kali pertama ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di sini hari ini mahu badan itu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sentiasa memelihara kewibawaannya.

Menurut beliau, agensi itu perlu memelihara imejnya sepanjang masa dan terus berusaha meningkatkan keupayaannya agar dapat melaksanakan tugas dengan baik.

‘‘Saya pesan supaya mereka jalankan tugas penuh bertanggungjawab, amanah, saksama dan memelihara kewibawaan serta imej BPR.

‘‘Mereka perlu memahami bahawa mereka memikul amanah berat yang perlu dilaksanakan dengan adil dan perlu menjalankan apa juga arahan yang diberikan dengan cekap,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan tersebut di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, pegawai-pegawai kanan BPR dan pengarah BPR negeri.

Pada lawatan tersebut, pegawai BPR mengadakan perbarisan bagi mempamerkan uniform baru mereka yang berwarna serba hitam.

Perdana Menteri memuji uniform baru itu dan menyatakan mereka kelihatan segak dengan uniform tersebut.

‘‘Mula-mula saya cadang hendak datang untuk mendengar taklimat tentang kegiatan, kejayaan, kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh BPR tetapi itu tidak dapat diadakan.

‘‘Saya datang juga sebab BPR mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengadakan perbarisan pegawai-pegawai yang beruniform buat kali pertama. Segak juga nampak tadi,” katanya.

Pada sidang akhbar itu, Perdana Menteri menyatakan sesi taklimat bersama BPR akan diadakan pada waktu lain dan menjemput pihak media untuk turut hadir sebagaimana yang dijanjikan.

PUTRAJAYA 24 Okt. – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mahu melihat terlebih dahulu laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai cadangan badan itu agar tindakan tatatertib dikenakan ke atas pegawai yang terlibat dalam isu salah guna dana awam.

Beliau berkata, pihaknya perlu bertindak berasaskan kepada peraturan sedia ada demi keadilan kepada kakitangan kerajaan yang terlibat dalam kes tersebut.

Namun, katanya, sekiranya didapati kakitangan itu perlu dikenakan tindakan tatatertib, nama mereka akan turut didedahkan kepada umum.

‘‘Kita perlu mengikut peraturan-peraturan yang ada, saya akan melihat dahulu laporan tersebut dan kita bertindak berdasarkan laporan itu dan peraturan sedia ada.

‘‘Kita mesti mempunyai keadilan dan kesaksamaan tetapi anda tahu tentang saya, saya akan mengikut segala peraturan, bagi mereka yang patut kena (tindakan) kenalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di pekarangan Kompleks JPM di sini, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, menteri-menteri Kabinet, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di bawah JPM.

Semalam, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, sekurang-kurangnya lima orang pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan akan dicadangkan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perkara 4.2(g)(ii).

Pegawai berkenaan telah dikenal pasti terlibat dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan oleh kementerian kepada lapan buah IKBN di seluruh negara dengan harga yang tinggi hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Hasil semakan BPR, mereka juga didapati telah ke luar negara tanpa kebenaran dan menerima keraian daripada kontraktor.

BPR masih meneruskan siasatan untuk membuktikan sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan oleh mereka dan kes itu akan dirujuk kepada Peguam Negara setelah siasatan selesai.

Oleh HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 24 Okt. – Semua jabatan audit dalaman di jabatan dan agensi kerajaan akan dianggotai oleh juruaudit profesional dari Jabatan Audit Negara bagi mengelak berlakunya salah laku dalam pengurusan dana awam.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, langkah serta-merta itu dilaksanakan kerana kerajaan sangat serius dalam perkara yang melibatkan tanggungjawab dan integriti.

‘‘Saya menyarankan supaya audit dalaman perlu lebih berkesan dengan membantu pengurusan kementerian memantau pelaksanaan pengurusan kewangan termasuk pengurusan perolehan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Ambrin mengulas mengenai tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negeri atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Mereka termasuk individu yang berjawatan pengarah dan penolong pengarah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebahagian besarnya didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ditanya bagaimana audit dalaman yang dilakukan dalam kementerian terbabit boleh terlepas kepada audit negara, beliau berkata, audit dalaman yang dijalankan melibatkan bidang pengurusan serta pembabitan banyak agensi, jabatan dan orang ramai.

‘‘Ini yang kita dapat adalah secara rawak, kebetulan perkara ini dapat diketahui maka kita laporkan,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan yang sama pernah diambil ke atas pegawai yang terlibat dalam salah laku dana awam hasil laporan audit sebelum ini, Ambrin berkata, beliau tidak pasti mengenainya kerana baru dilantik sebagai Ketua Audit Negara.

‘‘Saya tak berani komen apa-apa mengenai itu kerana ia adalah pada masa lalu. Semenjak saya jadi Ketua Audit Negara, ini nampak nyatalah, tindakan susulan dibuat seperti yang dinyatakan oleh kerajaan. Kerajaan melakukan apa yang dirasakan perlu.

‘‘Kerajaan begitu serius mengenai integriti, saya lihat ia sebagai tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa, biar undang-undang menentukannya,” katanya.

Mengenai cadangan BPR supaya kajian menyeluruh dilakukan ke atas sistem pembelian terus yang diamalkan oleh jabatan dan agensi kerajaan selama ini, Ambrin berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan.

Katanya, sistem yang mempunyai kelemahan sewajarnya diperbaiki supaya tidak dieksploitasikan oleh mana-mana pihak.

‘‘Jika dapat mengurangkan kejadian tak sewajarnya, kita semua harus sokong dan Jabatan Audit Negara sentiasa bekerjasama dengan BPR selama ini,” katanya.

Oleh Azrina Ahzan

Agensi perlu terus pertingkat keupayaan jalankan amanah dengan adil

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) melaksanakan tugas dengan adil dan saksama bagi memelihara imejnya sebagai agensi yang bertanggungjawab menangani rasuah.

Perdana Menteri yang berpuas hati dengan kejayaan BPR dalam menangani gejala rasuah, berkata pada masa sama agensi itu perlu terus meningkatkan keupayaan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.


"BPR perlu sedar dan memahami bahawa mereka mempunyai amanah yang perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama.

"Atas dasar itulah, mereka perlu menjaga imej sepanjang masa," katanya selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat BPR di sini, semalam.

Abdullah turut menyaksikan pakaian seragam baru BPR yang mula dipakai agensi itu, bulan lalu. Hadir sama, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dan pegawai kanan BPR dari seluruh negara.

Oleh Shamshul Azree Samshir

Usaha kerajaan baiki kelemahan sistem pengurusan kewangan elak penyelewengan

PUTRAJAYA: Semua audit dalaman di setiap kementerian dan agensi kerajaan akan dianggotai juruaudit profesional dari Jabatan Audit Negara bagi mengelak kes salah urus dana awam, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata langkah itu bagi membolehkan bahagian audit dalaman bertindak lebih berkesan bagi membantu pengurusan kementerian dan agensi kerajaan memantau urusan kewangan, termasuk perolehan organisasi.


"Mulai sekarang, anda boleh menjangka semua audit dalaman akan dianggotai juruaudit profesional dari jabatan ini," katanya pada majlis jamuan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.

Ambrin mengulas hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Sehingga semalam, 11 orang termasuk enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu, Raub dan Seremban atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan laporan berkenaan.


BPR juga mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap lima pegawai kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan untuk lapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi, berbanding harga pasaran.

Mengulas lanjut, Ambrin berkata, kelemahan dalam sistem pengurusan, termasuk kewangan, wajar diperketatkan supaya tidak dieksploitasi mana-mana pihak.

Ditanya bagaimana audit dalaman terlepas pandang berhubung penyelewengan dana awam yang dikesan Jabatan Audit Negara, beliau berkata, bidang pengurusan kini amat luas.

"Anda perlu faham bidang pengurusan meluas... pengurusan dana hari ke hari, banyak jabatan, agensi dan orang yang terbabit. Ini pun (pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara) kita dapat secara rawak dan bila buat rawak, kita terjumpa maka kita laporkan.

"Kerana itu, cadangan yang dikemukakan BPR bagi meningkatkan sistem pemantauan dalam menguruskan dana awam, perlu dipertimbang dan disokong. Kalau itu dapat mengurangkan atau mengelak kejadian tidak sewajarnya, kita semua harus sokong," katanya.

Beliau juga berkata, tindakan BPR mendakwa individu yang terbabit dalam penyelewengan dan pecah amanah itu memang wajar kerana kerajaan amat serius dalam soal akauntabiliti dan integriti.

"Seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, kerajaan serius dalam isu akauntabiliti dan integriti. Saya lihat ia tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Mengenai individu yang sudah didakwa hasil Laporan Ketua Audit Negara, Ambrin berkata: "Biarlah undang-undang menentukannya. Kalau sudah didakwa melalui proses mahkamah, kita ikutilah selanjutnya apa kesudahannya."

Ditanya apakah tindakan sama juga diambil terhadap Laporan Audit Negara sebelum ini, beliau berkata: "Saya pun tidak berapa pasti... sebab saya baru menjadi Ketua Audit Negara. Tetapi sejak saya menjadi Ketua Audit Negara, nampaknya tindakan susulan dibuat seperti dinyatakan kerajaan, yang serius dalam perkara ini."

Ditanya apakah beliau berpuas hati dengan tindakan BPR, Ambrin berkata perasaannya tak penting.

"Apa yang penting kerajaan buat apa sepatutnya dibuat," katanya.

Mengenai kemungkinan Laporan Ketua Audit Negara tahun depan menjadi lebih baik atau 'bersih', Ambrin berkata, proses audit masih dilakukan dan terlalu awal untuk menyatakannya.

Oleh Ahmad Naim Tahir


KENA DAKWA: Wan Asmawi, Kamaruzaman dan Loh (gambar kanan) tiba di Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.

Dua pegawai, seorang kontraktor hadapi tuduhan buat tuntutan palsu

SEREMBAN: Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan membuat dokumen tuntutan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk kegunaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong di Rembau, dekat sini, empat tahun lalu.

Kamaruzaman Md Ali, 38, bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS dan Wan Asmawi Wan Shariff, 33, bekas Ketua Sekolah Binaan IKBN Chembong, didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.


Turut didakwa ialah Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Sie Le, 38, selaku kontraktor pembekal produk elektronik itu, atas tuduhan bersubahat dalam tuntutan palsu berkenaan.

Kamaruzaman, kini Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah, manakala Wan Asmawi, kini Ketua Unit Pengurusan Latihan IKBN Temerloh, Pahang, didakwa secara sedar menandatangani satu dokumen mengandungi butiran palsu dengan niat memperdaya KBS.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 17 Februari 2003 di IKBN Chembong dengan menandatangani Sijil Penerimaan Muktamad pembelian kamera digital Kodak DC4800 USA dengan mengakui peralatan berfungsi baik dan mengikut spesifikasi, sedangkan beberapa keperluan lain tidak dibekalkan.


Kamaruzaman dan Wan Asmawi serta Loh yang didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta berkenaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana lebih tinggi atau kedua-duanya sekali.

Kamaruzaman diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah, Loh oleh Ragunath Kesavan dan Wan Asmawi yang tidak diwakili peguam, didakwa di hadapan Hakim Sabariah Atan, manakala pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Joyce Blasius dan Wong Poi Yoke.

Mahkamah menetapkan semua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes. Kelmarin, Kamaruzaman dan Loh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu.

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kejayaan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang selamat mendarat ke Bumi pada 21 Oktober, tidak dapat diraikan oleh adik lelakinya apabila berada dalam keadaan koma sejak empat hari lepas.

Abangnya, Sheikh Taufiq ketika dihubungi Bernama hari ini berkata Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie, 32, jatuh pengsan selepas terlanggar tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini Ahad lepas.

“Dia terjatuh apabila terlanggar tiang dan kepalanya terhentak pada batu-bata di kawasan restoran tersebut,” katanya.

Taufiq menafikan keadaan adiknya kritikal akibat menghidap penyakit.

“Setahu saya dia tidak menghidap apa-apa penyakit... hentakan itu sangat kuat dan menyebabkan dia koma sehingga sekarang ini,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut latar belakang adiknya.

Anak keempat daripada lima beradik itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

– Bernama

KUALA LUMPUR: Kejayaan Angkasawan Negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang selamat mendarat ke bumi pada 21 Oktober, tidak dapat diraikan oleh adik lelakinya yang berada dalam keadaan koma sejak empat hari lalu.

Abangnya, Sheikh Taufiq ketika dihubungi Bernama berkata, Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie, 32, pengsan selepas terlanggar tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini, Ahad lalu.

"Dia terjatuh apabila terlanggar tiang dan kepalanya terhentak pada batu-bata di kawasan restoran itu," katanya.


Taufiq menafikan keadaan adiknya kritikal akibat menghidap penyakit.

"Setahu saya dia tidak menghidap apa-apa penyakit... hentakan itu sangat kuat dan menyebabkan dia koma sehingga sekarang ini," katanya tanpa mahu mengulas lanjut latar belakang adiknya.

Anak keempat daripada lima beradik itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan keadaannya dikatakan kritikal. � Bernama

PARIS 24 Okt. – Malaysia terpilih menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco dengan undi tertinggi dalam kumpulan Asia Pasifik setelah memperoleh 147 undi pada persidangan agung ke-34 pertubuhan itu di sini hari ini.

Lima negara lain yang terpilih daripada kumpulan itu ialah Korea Selatan (139), Filipina (137), Sri Lanka (130), Mongolia (130) dan Pakistan (106) daripada sembilan negara yang bertanding.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili negara, merupakan calon pilihan sejak awal dalam kalangan negara anggota pertubuhan itu yang kini berjumlah 193.

Keputusan itu diumumkan oleh presiden persidangan agung itu, George N. Anastassopoulus kira-kira pukul 4 petang (11 malam waktu Malaysia) setelah pengundian secara sulit dijalankan pada sesi persidangan di Ibu Pejabat Unesco.

Wakil tetap Malaysia ke Unesco, Kenneth J.Luis mewakili negara untuk mengundi.

Luis menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan bersama membabitkan pelbagai kementerian.

“Kemenangan ini adalah untuk negara,” katanya kepada Bernama.

Lembaga eksekutif yang mengandungi 58 anggota merupakan badan kedua tertinggi dalam Unesco daripada pelbagai kumpulan kawasan di dunia. Ia bertanggungjawab menentukan program-program pertubuhan dilaksanakan serta memperuntukkan anggaran belanjawan berkenaan.

Hishammuddin, yang bersyukur dengan keputusan itu, berterima kasih kepada negara-negara anggota yang memberi kepercayaan kepada Malaysia bagi menduduki kerusi itu untuk penggal 2008-2011.

“Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab penting bagi Malaysia,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, beliau berkata Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Unesco serta Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia (SKUM) akan dipertingkatkan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Hishammuddin berkata Malaysia juga akan berusaha meningkatkan kerjasama Unesco dengan pertubuhan serantau seperti Asean dan Komanwel.

– Bernama

PARIS: Malaysia terpilih menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco dengan undi tertinggi dalam kumpulan Asia Pasifik apabila memperoleh 147 undi pada persidangan agung ke-34 pertubuhan itu di sini Rabu.

Lima negara lain yang terpilih daripada kumpulan itu ialah Korea Selatan (139), Filipina (137), Sri Lanka (130), Mongolia (130) dan Pakistan (106) daripada sembilan negara yang bertanding.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili negara adalah calon pilihan sejak awal daripada kalangan negara anggota pertubuhan itu yang kini berjumlah 193.


Keputusan diumumkan Presiden Persidangan Agung itu, George N Anastassopoulus kira-kira jam 4 petang (11 malam waktu Malaysia) selepas pengundian secara sulit pada sesi persidangan di ibu pejabat Unesco.

Wakil tetap Malaysia ke Unesco, Kenneth J Luis mewakili negara untuk mengundi. Luis yang bertungkus-lumus menggerakkan kempen Malaysia, menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan bersama membabitkan pelbagai kementerian.

"Kemenangan ini adalah untuk negara," katanya kepada Bernama.

Lembaga eksekutif yang mengandungi 58 anggota adalah badan kedua tertinggi dalam Unesco daripada pelbagai kumpulan kawasan di dunia. Ia bertanggungjawab menentukan program pertubuhan dilaksanakan serta memperuntukkan anggaran belanjawan berkenaan.

Hishammuddin yang bersyukur dengan keputusan itu, berterima kasih kepada negara anggota yang memberi kepercayaan kepada Malaysia menduduki kerusi itu untuk penggal 2008-2011.

"Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab penting bagi Malaysia," katanya. � Bernama

Daripada SAMSOR JUNET

PARIS 24 Okt. – Negara anggota ASEAN mesti meneruskan usaha untuk mencapai kemajuan ekonomi dan pembangunan masing-masing pada tahap tertinggi demi kestabilan rantau itu secara keseluruhan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana kemunduran ekononomi di kalangan negara anggota dan ketidakseimbangan serta ketidaksamaan dalam skala yang besar merupakan satu ancaman kepada seluruh rantau.

Beliau berkata, dalam hubungan ini adalah menjadi satu cabaran kepada ASEAN untuk memberikan segenap tumpuan dan usaha bersama bagi memastikan rantau itu berada di barisan hadapan dalam bidang ekonomi serta mendapat manafaat daripada proses liberalisasi pasaran dan globalisasi yang sedang berlaku.

‘‘Kemiskinan mesti dihapuskan, sesetengah daripada kita berjaya menanganinya tetapi ada juga negara yang masih bergelut dengan masalah ini, kita perlu menghapuskannya kerana ia menjadi satu ancaman kepada rantau ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucaptama bertajuk Isu-Isu Keselamatan dan Pertahanan di Asia Tenggara di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI) di sini hari ini sempena lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Perancis.

Najib yang dalam ucapannya menyentuh pelbagai masalah yang dihadapi di selatan Filipina, selatan Thailand, Indonesia serta Myanmar menjelaskan, negara anggota ASEAN perlu rajin berusaha ke arah meningkatkan lagi kedudukan ekonomi bersama, kewangan, perdagangan serta pelaburan membabitkan semua negara di dunia.

Dalam hubungan ini, katanya, setiap negara juga perlu membina negara bangsa mereka dalam erti kata yang sebenar bagi memastikan keselamatan serantau kekal berpanjangan.

Dalam pada itu, kata beliau, negara anggota juga perlu meningkatkan usaha ke arah melindungi alam sekitar dengan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional dan melipatgandakan usaha ke arah menggunakan tenaga alternatif seperti biodiesel dan etanol.

Mengenai peranan Perancis dalam dunia antarabangsa dan impaknya kepada rantau Asia Tenggara, Najib berkata, negara itu sentiasa menentang penggunaan kekerasan malah sentiasa mempromosikan keamanan di bawah prinsip-prinsip kerjasama antarabangsa.

‘‘Ini dibuktikan melalui pendekatan yang diambil oleh Perancis apabila ia membabitkan hubungan luar vis-a-vis di Iraq, isu nuklear di Iran dan kesatuan baru di rantau Mediterranean,” katanya.

Sementara itu dalam dialog bersama peserta, Najib berkata, ekonomi China yang kini berkembang pesat tidak menjadi satu ancaman kepada dunia dan rantau malah ia sebaliknya menyumbang ke arah kemakmuran serantau.

‘‘China merupakan pasaran yang besar kepada negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan saya tidak fikir ia akan mengancam atau menjajah negara lain,” katanya.

– Utusan

Oleh Faiza Zainudin dan Rudy Syareme Sheriffudin


Rekha Abdullah

Murid tak pulang selepas beli VCD di pasar malam

GEORGETOWN: Belum pun selesai siasatan kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya dijumpai dalam beg pakaian sukan selepas hilang selama 27 hari, seorang lagi budak perempuan dilaporkan tidak pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini, empat hari lalu.

Malah, kehilangan Rekha Abdullah (gambar), 10 , juga menyamai kes Nurin yang tidak pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui hampir sebulan selepas itu.


Rekha, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut di sini, dikatakan ke pasar malam berhampiran rumahnya, kira-kira jam 9 malam Isnin lalu untuk membeli cakera padat video (VCD).

Bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, seorang peniaga barang lusuh, berkata Rekha meminta RM5 untuk membeli VCD di pasar malam serta mengajak abang sulungnya menemaninya.

Bagaimanapun, abang Rekha yang berusia belasan tahun, ada urusan lain.


Berikutan itu, Rekha yang berbaju-T dan seluar panjang putih, keluar seorang diri dengan membawa wang RM5. Ketika itu, ibunya, Salmah Sellamah Abdullah, 41, seorang warga India bertaraf pemastautin tetap, bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Ahamad yang ditemui di rumahnya di sini semalam, berkata beliau sekeluarga bimbang apabila Rekha tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam dan dengan bantuan beberapa jiran, mencarinya di sekitar tapak pasar malam, rumah rakan serta tempat permainan anak tirinya itu, tetapi menemui jalan buntu.

Selepas empat jam mencari dan gagal menemui Rekha, Ahamad membuat laporan di Balai Polis Central di sini, kira-kira jam 4 pagi.

"Sehingga kini, kami tidak mendengar sebarang berita mengenainya," katanya.

Salmah yang tidak tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, hanya menitiskan air apabila menunjukkan potret anak keenamnya itu. Pasangan Salmah dan Ahamad mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka, tiga tahun lalu.

Ahamad berkata, sebelum ini Rekha sering ke pasar malam, tetapi bersama abang atau rakannya.

"Sebelum ini tidak masalah kerana dia balik selepas ke pasar malam atau ke rumah rakannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Samah Mat, berkata gerakan mencari Rekha dilancarkan sebaik polis menerima laporan mengenai kehilangannya.

Operasi mencari kanak-kanak itu diketuai Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid.

Beliau berkata, usaha mencari di rumah sanak saudara kanak-kanak itu setakat ini gagal menemui mangsa atau mendapat sebarang petunjuk. Gerakan mencari Rekha juga diperluaskan bukan saja ke seluruh Pulau Pinang, malah ke negeri lain termasuk Kuala Lumpur.

Abdul Samah menegaskan, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan, terutama ia membabitkan kanak-kanak perempuan kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

"Siasatan masih dijalankan dan setakat kini masih tidak ada perkembangan, itu yang kita bimbangkan. Terlalu awal untuk buat andaian (diculik)," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan bapa tiri Rekha yang membenarkan budak itu keluar seorang diri untuk membeli VCD di pasar malam.

"Budak itu minta duit daripada bapa tirinya untuk beli VCD. Bagaimana kanak-kanak itu boleh dibenarkan keluar seorang diri pada waktu malam... itu yang menghairankan.

"Masih ada keluarga yang tiada kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak. Keluarganya juga kata kanak-kanak ini sering keluar seorang diri dan tiada masalah pulang ke rumah," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Rekha diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2292222 atau balai polis berhampiran.

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata hari ini ada waktunya anggota polis terpaksa berkorban demi kepentingan orang awam semasa menjalankan tugas.

“Saya tidak kata kita kena mempertaruhkan nyawa, tapi kadang kala kita terpaksa berkorban agar tiada nyawa lain yang melayang dan saya kagum apabila pasukan polis sanggup mempertaruhkan nyawa demi keamanan negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini ketika mengulas kejadian empat anggota polis cedera ditembak penjenayah ketika bertugas.

Kelmarin, dua anggota polis cedera apabila berbalas tembakan dengan lelaki yang dikehendaki polis di premis menjual kereta terpakai di Jalan Ipoh di sini.

Belum sampai 24 jam, semalam, dua lagi anggota polis ditembak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan menghala ke ibu negara.

Mereka semua ditembak ketika cuba mematahkan cubaan samun dan cuba menangkap penjenayah-penjenayah terbabit.

Musa berkata, dalam keadaan terdesak dan tidak dijangka, pelbagai hal boleh berlaku oleh itu beliau meminta agar anggota polis berwaspada ketika menjalankan tugas.

Sambil mengingatkan anggota polis supaya berwaspada dan bersiap-sedia menghadapi segala risiko ketika berhadapan dengan situasi bahaya, beliau turut menafikan wujud kelemahan dan kekurangan dalam aspek mempertahankan diri di kalangan anggotanya ketika menghadapi ancaman.

“Setiap anggota polis telah dibekalkan dengan persediaan yang secukupnya bagi menghadapi situasi yang tidak dijangka dan berbahaya,” katanya.

Musa berkata, anggota polis perlu berani menghadapi semua situasi demi mempertahankan keselamatan masyarakat dan negara.

“Walaupun akan mengancam nyawa, kita perlu berani menghadapinya. Itulah risikonya sebagai anggota polis,” katanya.

Beliau berkata jika jenayah berlaku di depan mata, anggota polis diajar untuk bertindak segera walaupun menyedari tindakannya bakal mengancam nyawa sendiri.

– Bernama

Oleh Zulkofli Jamaludin di Paris, Perancis


SAYANG PEMIMPIN: Pelajar Malaysia mengambil kesempatan bergambar bersama Najib pada majlis makan malam

DATUK Seri Najib Razak berkata, cabaran terbesar kini adalah untuk menjadikan negara lebih kompetitif dalam aspek ekonomi, pendidikan serta sosial dan menjadikan Malaysia sebagai bintang di Asia.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia menyediakan kemudahan pendidikan bertaraf dunia, termasuk sekolah kluster bagi membangunkan modal insan serta menggalakkan rakyat belajar sehingga akhir hayat.

Katanya, banyak ruang untuk reformasi pendidikan sepanjang hayat kerana usaha menuntut ilmu itu tidak terhenti selepas seseorang pelajar atau graduan memasuki pasaran pekerjaan.


"Berikutan itu, Projek Permata Negara iaitu program asuhan dan pendidikan kanak-kanak diperkenalkan untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.

"Kita juga sedang meninjau bagaimana sistem pendidikan Perancis bermula bayi seawal dua bulan dipantau secara saintifik dan dikenal pasti potensi yang ada pada bayi mereka,� katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri di Hotel Hilton Arc De Triomph, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Duta Malaysia Ke Perancis, Datuk S Thanarajasingam.


Majlis itu turut dihadiri lebih 500 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Perancis, termasuk penyanyi terkenal, Datuk Sheikh Abdullah Ahmad.

Najib berkata, penerokaan angkasa lepas dan pemilikan kapal selam jenis Scorpene � KD Tunku Abdul Rahman yang dianggap mustahil suatu ketika dulu, kini sudah direalisasikan selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Justeru, katanya, kejayaan angkasawan pertama Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kini menjadi pemangkin kepada rakyat, khususnya pelajar untuk mendalami sains aeroangkasa.

"Kita mahu membawa industri aeroangkasa ke Malaysia dan kita mampu mencipta kejayaan secara berterusan kerana Malaysia dipimpin oleh Perdana Menteri yang berpandangan jauh dengan nilai kepemimpinan tinggi," katanya.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab, Najib berkata, Malaysia menghantar ramai penuntut dalam bidang kejuruteraan di Perancis kerana negara berkenaan memiliki kemudahan pendidikan bertaraf dunia.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelajar agak terhad kerana penuntut yang ingin melanjutkan pelajaran terpaksa belajar bahasa Perancis selama dua tahun.

"Saya kagum dengan pencapaian Perancis dalam bidang sains dan teknologi serta seni binanya. Pelajar perlu menimba pengetahuan secukup sebelum pulang ke Malaysia. Hanya dua perkara saja yang tidak harus dibawa pulang iaitu tindakan pekerja yang sering mengadakan mogok dan menuntut waktu bekerja selama 35 jam seminggu.

"Tuntutan waktu bekerja pendek itu menyebabkan kos buruh menjadi mahal dan menyebabkan negara tidak kompetitif berbanding negara yang mampu mengeluarkan produktiviti tinggi dan era globalisasi," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, sekatan antarabangsa terhadap Myanmar tidak menyelesaikan usaha mendesak kerajaan junta negara itu melaksanakan sistem demokrasi sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang sekatan akan menyebabkan Kerajaan junta lebih mudah mengawal rakyatnya selepas negara mereka menerima sekatan antarabangsa.

Katanya, Malaysia dan anggota Asean akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha antarabangsa menyelesaikan konflik di Myanmar secara diplomatik.

GENTING HIGHLANDS 24 Okt. – Bagi menghormati mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, kasino, taman tema dan premis hiburan di Genting Highlands akan ditutup dari pukul 6 pagi hingga 6 petang pada hari pengkebumiannya Isnin ini.

Naib Presiden (Operasi) Resorts World Berhad, Alan Teo berkata, pada hari itu juga, bulatan di Goh Tong Jaya menuju ke puncak bukit akan ditutup dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi memudahkan urusan pengkebumian.

Menurutnya, mayat mendiang akan dibawa dari kediamannya di Vila Goh Tong pada pukul 10 pagi untuk disemadikan di Taman Memorial Goh Tong.

‘‘Orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Goh Tong Villa pada Sabtu hingga Ahad ini bermula 10 pagi hingga 5 petang.

‘‘Bagi tetamu pula, mereka dibenarkan berbuat demikian selepas 12 tengah hari hingga 12 tengah malam bermula hari ini hingga Ahad ini,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai pengkebumian pengasas Kumpulan Genting itu di sini hari ini.

Mendiang meninggal dunia pada pukul 11.20 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) akibat sakit tua.

Alan Teo menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang agar meletakkan kenderaan di Stesen Rendah Genting Skyway.

Untuk memudahkan urusan pengangkutan, katanya, perkhidmatan van ke Goh Tong Villa disediakan di stesen kereta kabel itu bermula hari ini hingga Ahad ini dari pukul 9.30 pagi hingga 2.30 petang.

Tambahnya, perkhidmatan bas ekspres percuma setiap jam turut disediakan pada Sabtu dan Ahad ini dari Terminal Bas Pasar Rakyat dan Putra Gombak di Kuala Lumpur.

Sementara itu, beberapa pemimpin politik memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya hari ini.

Antaranya ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.



PENGHORMATAN TERAKHIR: Pengerusi Kehormat Tan n Tan, Datuk Tan Chin Nam memberi penghormatan kepada mendiang Tan Sri Lim Goh Tong di Villa Goh Tong Genting Highland, semalam.

GENTING HIGHLANDS: Kumpulan hip hop terkemuka dunia, The Black Eyed Peas yang akan mengadakan konsert The Black Eyed Peas � Black Blue and You 2007 di Arena of Stars di sini, malam esok mendedikasikan konsert itu kepada pengasas serta presiden seumur hidup Kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong.

Anggota kumpulan itu, Jaime Gomez atau Taboo, berkata mereka turut bersedih dengan pemergian pengasas pusat peranginan terkenal itu, justeru mengabadikan konsert kedua mereka di negara ini sebagai penghormatan kepada mendiang serta keluarganya.

"Ini tanda penghormatan kami kepada mendiang Lim dan keluarga yang sangat gigih membangunkan pusat peranginan bertaraf dunia ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Sementara itu, Pengurus Promosi dan Hiburan, Resorts World Berhad, Veron Loo, berkata pihaknya sangat berbesar hati dengan kehadiran Black Eyed Peas yang mencipta fenomena sendiri apabila mereka mula menakluki dunia dengan beberapa album yang diterbitkan.

Tiket konsert sudah mula dijual pada harga RM120, RM220, RM320, RM420 dan RM550. Bagi seribu tiket pertama, pembelinya boleh menikmati potongan sebanyak 15 peratus, bergantung kepada syarat ditetapkan.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Lim yang meninggal dunia kelmarin boleh berbuat demikian di Villa Goh Tong, Genting Highlands, pada Sabtu dan Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Resorts World Berhad dalam satu kenyataan semalam menyebut, perkhidmatan shuttle ke villa disediakan dari Genting Skyway Lower Station.

Majlis pengebumian mendiang akan diadakan pada Isnin ini jam 10 pagi di Gohtong Memorial Park.

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pembayaran pampasan RM237 juta apabila menamatkan cadangan pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor tidak lama dulu, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

"Jumlah ini termasuk tuntutan bayaran kerja yang dilaksanakan di tapak berjumlah RM55 juta menjadikan jumlah sebenar pampasan RM237 juta," katanya menjawab soalan Dr Mohamed Hayati Othman (BN-Pendang).

Dr Hilmi berkata, sebagai alternatif kepada pembatalan kontrak jambatan bengkok itu, kerajaan kini sedang berbincang dengan kerajaan negeri bagi membina laluan tetap yang menghubungkan Tambak Johor dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin.


Beliau berkata, kerajaan menamatkan dua projek iaitu pembinaan jambatan itu dan pembinaan Loji Rawatan Termal Sisa Pepejal di Broga, Selangor sepanjang lima tahun lalu.

Namun bagi projek insinerator di Broga, jumlah bayaran pampasan belum diputuskan dan kerajaan sedang dalam proses membuat semakan dan perbincangan dengan pihak kontraktor berkenaan, katanya.

"Pada masa ini sisa pepejal dari kawasan Kuala Lumpur dilupuskan ke tapak pelupusan di Bukit Tagar," katanya.

Menjawab soalan Datuk Goh Siow Huat (BN-Rasah), Dr Hilmi berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai kawasan zon perdagangan bebas.

Bagaimanapun, Port Dickson akan dibangunkan sebagai zon kesihatan untuk menarik lebih ramai pelancong bagi tujuan perubatan, katanya.

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Bahan penyelidikan yang dilaksanakan oleh angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di angkasa lepas dijadualkan tiba di tanah air esok.

Utusan Malaysia difahamkan, bahan-bahan tersebut akan dibawa dari Moscow, Rusia oleh delegasi saintis tempatan yang diketuai oleh Profesor Dr. A. Rahman A. Jamal dengan pesawat komersial.

Di Malaysia, kesemua bahan berkenaan akan dianalisis oleh saintis tempatan dari beberapa universiti.

Selama 10 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sheikh Muszaphar telah menjalankan eksperimen membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS.

Menggunakan sepenuhnya kelebihan keadaan mikrograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan itu akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada bahan penyelidikan yang akan dibawa balik itu masih berkeadaan baik memandangkan kapsul Soyuz yang membawa pulang Sheikh Muszaphar mengalami masalah teknikal menyebabkannya sukar untuk mendarat dengan perlahan.

Bahan-bahan penyelidikan yang dilakukan oleh angkasawan negara ISS perlu dikekalkan tahap suhunya dan amat sensitif dengan gegaran.

SHAH ALAM 25 Okt. - Kes terhadap ketiga-tiga tertuduh dan bekas teman wanita Cif Inspektor Azilah Hadri adalah suatu kes yang ‘istimewa’ lagi menarik, oleh sebab itulah suspek tidak dibenarkan bercampur dengan orang awam ketika darah mereka diambil untuk tujuan pemeriksaan.

Perkara tersebut diberitahu oleh Sarjan Mohd. Saad Kimbok, 49, dari Cawangan Jenayah Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-52 hari ini.

Menurut saksi pendakwa ke-44 itu, beliau bersama sembilan anggota polis telah membawa Abdul Razak Abdullah Baginda (tertuduh ketiga), Azilah dan Sirul Azhar Umar (tertuduh kedua) serta Lans Koperal Rohaniza Roslan (suspek yang ditahan reman) pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 November 2006.

Terdahulunya, Mohd. Saad memberitahu, bertindak atas arahan yang diberikan sehari sebelum itu oleh Asisten Supritendan (ASP) Tony Lunggan, beliau membawa keempat-keempat suspek (ketika itu) untuk berjumpa dengan Dr. Zainal Effendy Zainal Abidin yang bertugas di Jabatan Kecemasan HKL.

Saksi yang berjaya mengecam (mengenal pasti) ketiga-tiga tertuduh yang duduk dalam kandang tertuduh bagaimanapun kedengaran tersasul ketika menyebut nama Rohaniza sebagai Nor Aliza.

Sebutan nama yang tidak tepat itu membuatkan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bertanya saksi: "Namanya ada Nor ke?"

Mohd. Saad yang pada peringkat ini kelihatan seolah-olah terpinga-pinga dengan pertanyaan hakim berkenaan, segera disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup: "Kamu cam atau tidak mukanya?"

Saksi itu menjawab ringkas beliau boleh mengecam wajah Rohaniza (Nor Aliza).

Apabila Rohaniza yang beruniform dipanggil masuk untuk tujuan pengecaman, Hakim Mohd. Zaki mengarahkan wanita itu menyebut namanya: "Yang Arif. Nama saya Rohaniza Roslan."

Sambil memandang ke arah Mohd. Saad yang duduk di dalam kandang saksi, Hakim Mohd. Zaki bertanya: "Hah! bukankah lain tu?"

Dalam keterangannya, Mohd. Saad memberitahu yang beliau telah memaklumkan kepada Dr. Zainal bahawa kes terhadap tahanan reman yang dibawa oleh beliau itu adalah kes 'special' (istimewa), oleh itu mereka tidak boleh bercampur dengan orang awam.

Perbicaraan bersambung pada sesi petang. - Utusan

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


Nasharuddin Elias dan Sosilawati Lawiya

Usahawan mohon cerai jika rundingan gagal

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Nasharuddin Elias atau Nash mendakwa isterinya, Sosilawati Lawiya, sering mengaibkannya selain memandang rendah keupayaannya, termasuk membawa cerita beliau daif dan tidak berduit.

Bekas penyanyi Lefthanded itu juga mendakwa Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, memberitahu media dan kenalannya, beliau yang meminta cerai.


Nash, 47, berkata dia tidak pernah menceraikan isterinya seperti dilaporkan media dan mereka masih suami isteri yang sah walaupun tidak tinggal sebumbung.

"Saya tidak pernah melafazkan cerai. Saya juga tidak pernah mencetuskan pergaduhan dari mula perkahwinan saya hingga sekarang. Ini semua fitnah.

"Saya sengaja tidak mahu menggembar-gemburkan cerita ini kerana isteri saya meminta cerai pada bulan Ramadan, sedangkan saya sangat menghormati bulan itu.


"Perceraian ini diminta oleh isteri saya dan saya sama sekali tidak setuju. Bagaimanapun tindakannya mengata saya sangat mengaibkan diri saya seolah-olah tidak mempunyai duit dan begitu daif," katanya pada sidang media di pejabat peguamnya, Amli Embong, di sini, semalam.

Sidang akhbar itu diadakan selepas selesai menghadiri prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, berhubung kes perceraian yang difailkan Sosilawati, 18 September lalu.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Mohammad menangguhkan permohonan cerai itu kepada 23 November ini untuk memberi masa kepada mereka untuk berunding.

Sebelum itu, peguam Sosilawati, Mohd Zaidi Mohd Zin, memberitahu mahkamah, pihak Nash memutuskan satu usul sulh diadakan sebagai penyelesaian kepada kemelut perkahwinan mereka.

"Kami mengalu-alukan cadangan Sulh itu. Namun, jika ia gagal, permohonan perceraian akan diteruskan," katanya.

Sementara itu, Amli berkata, anak guamnya tidak bersetuju untuk bercerai.

Sosilawati yang hadir pada prosiding itu tenang ketika mendengar keputusan mahkamah.

Beliau yang ditemui di luar mahkamah berkata: "Saya akan tetap memohon cerai sekiranya penyelesaian sulh gagal".

Pasangan itu berkahwin Disember tahun lalu dan Sosilawati memohon cerai bulan lalu selepas mendakwa ada masalah dalam perkahwinan mereka.

Ditanya apa keputusannya jika Sosilawati bersetuju untuk berunding, Nash berkata, dia tiada masalah jika syaratnya boleh dipersetujui.

"Selama 11 tahun selepas bercerai dengan isteri pertama, saya menjadi bapa tunggal dan berdiri sendiri untuk menanggung anak saya. Saya seorang yang sangat fleksibel," katanya.

Mengenai tingkah lakunya dan Sosilawati yang tidak bertegur sapa ketika berada di pekarangan mahkamah, Nash berkata: "Sosilawati sepatutnya menghormati saya. Dia isteri saya dan sepatutnya datang menegur saya, bukan saya yang harus pergi menegurnya," katanya.

Oleh Norazlita Mohd. Sies dan Noor Azmah Ibrahim

SHAH ALAM 24 Okt. – Setelah ‘diasak’ dengan pelbagai soalan, akhirnya seorang pegawai polis mengakui bahawa pemeriksaan dan ujian yang dijalankan ke atas sebuah jip yang dikatakan pernah membawa wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak dijalankan dengan menyeluruh sebaliknya dibuat secara selektif.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, Supritendan Soo Mee Tong, 51, memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menjawab soalan yang dikemukakan secara bertali arus oleh peguam Hazman Ahmad.

Soalan Hazman berkisar kepada ‘kegagalan’ Mee Tong (saksi pendakwa ke-42) menghantar pakaian yang terdapat di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki 1300 berwarna kelabu kebiru-biruan dan bernombor pendaftaran CAC 1883 ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk tujuan analisis.

Peguam berkenaan mempersoalkan mengapakah saksi tidak terfikir langsung untuk menghantar pakaian tersebut walhal barang lain yang terdapat di dalam kenderaan yang sama telah diambil untuk tujuan analisis.

Hazman: “Jika kamu menghantar pakaian tersebut, ada kemungkinan pemiliknya ialah orang lain yang mungkin telah meminjam kenderaan tersebut. Dan mungkin juga orang lain turut hadir di dalam kenderaan itu.”

Mee Tong: “Tidak semestinya.”

Hazman: “Bagaimanakah kamu boleh jawab begitu. Sedangkan kamu tidak menghantar pun pakaian tersebut untuk dianalisis.”

Saksi hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Hazman dengan nada sinis berkata: “Ada kemungkinan orang lain yang meminjam kenderaan tersebut dan menukar baju lalu meletakkannya di situ.”

Mee Tong: “Kalaulah kamu terjumpa baju saya di dalam rumah kamu, tidak semestinya saya yang masuk ke dalam rumah kamu.”

Hazman: “Tetapi bukankah terdapat kemungkinan begitu memandangkan kamu tidak menjalankan ujian.”

Saksi berkenaan bagaimanapun menjelaskan bahawa apabila beliau mengambil bahan bukti memanglah terdapat kemungkinan.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin kemudiannya menerangkan kepada saksi maksud soalan Hazman sambil berkata: “Ada tak kemungkinan orang lain memasuki kenderaan tersebut.”

Mee Tong: “Memang ada kemungkinan.”

Hazman yang masih kelihatan seolah-olah masih belum ‘puas’ dengan jawapan saksi, terus mempersoalkan tindakan Mee Tong membuat calitan pada tempat pemegang tangan dalam kenderaan itu.

Jawab Mee Tong, beliau berbuat demikian disebabkan terdapat kemungkinan ia (tempat pemegang) ada disentuh.

Mendengarkan jawapan tersebut, Hazman terus bertanya: “Oh dengan lain perkataan, kamu secara tidak langsung mengandaikan pakaian yang menjadi persoalan itu tidak disentuhlah.”

Mee Tong cuba menjelaskan bahawa dengan hanya memegang sesuatu objek ia tidak akan memindahkan DNA kerana baju tidak dipegang dengan kuat.

Secara selamba Hazman berkata lagi: “Jadi kamu juga mengandaikan pakaian itu telah pun dipakai oleh orang lain. Tetapi bagaimanakah caranya untuk kamu mengetahuinya melainkan kamu menjalankan ujian dan pemeriksaan.”

Saksi bagaimanapun mengakui bahawa beliau tidak membuat pemeriksaan ke atas pakaian berkenaan, sehelai demi sehelai.

Setelah peguam itu menghalusi jawapan-jawapan yang diberikan oleh Mee Tong, beliau membuat satu kesimpulan bahawa saksi tidak menjalankan analisis yang menyeluruh ke atas bahan bukti di tempat kejadian. Sebaliknya membuat ujian secara selektif (berpilih-pilih).

Mee Tong menjawab ringkas: “Saya setuju.”

Ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid, saksi memberitahu bahawa ketika menjalankan siasatan, pihaknya tidak berupaya menghantar setiap barang yang dijumpai di tempat kejadian ke Jabatan Kimia.

“Kalau semua hendak dihantar, tidak tahulah berapa lori untuk mengangkutnya. Jadi kenalah buat pilihan barang mana hendak dihantar iaitu yang mempunyai kaitan sahaja,” jelas saksi.

Hakim Mohd. Zaki dengan nada berseloroh mencelah: “Tetapi kalau gunakan jip yang sama tidak perlulah mengangkut barang menggunakan lori.”

Saksi berkata: “Yang Arif. Tempat untuk menyimpan barang kes juga menjadi suatu masalah. Umpamanya, jika barang kes dalam suatu rompakan kedai. Tak kanlah hendak menghantar semua barang yang terlibat. Kenalah pilih.”

SHAH ALAM 24 Okt. – Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Mee Tong mengaku beliau tidak membuat sebarang ujian mengesan cap jari ke atas sepasang selipar yang dirampas dari sebuah kenderaan pacuan empat roda milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Saksi Pendakwa ke-42 dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu memberi alasan permukaan selipar lebih kasar tidak sesuai untuk kaedah super glue fuming dan ninhydrin walau mengaku kesan darah kelihatan comot mungkin disebabkan sentuhan tangan.

Perbicaraan masuk hari ke-51 hari ini.

Menjawab soalan peguam yang mewakili Sirul Azhar, Hasnal Redzua Merican semasa pemeriksaan balas, Mee Tong juga memberitahu tiada sebarang coletan kapas dibuat ke atas selipar tersebut bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) daripada peluh pada selipar yang tertulis perkataan ‘Heat Adswad’.

Hasnal: ‘‘Adakah selipar ini dibuat ujian swab (coletan) untuk DNA di mana-mana bahagian?

Mee Tong: ‘‘Tidak. Hanya spot test ke atas darah.’’

Hasnal: ‘‘Kesan peluh pada selipar kalau ada boleh digunakan untuk ujian DNA.’’

Mee Tong: ‘‘Kalau nak swab untuk DNA, untuk pengetahuan saya selipar ini adalah ringan dan susah untuk dapatkan DNA.’’

Hasnal: ‘‘Tetapi seluruh berat badan berada di atas selipar?’’

Mee Tong: ‘‘Semua barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan tiada keperluan untuk kamu melakukan coletan.’’

Hakim Datuk Mohd Zaki Md. Yasin: ‘‘Selipar ringan kalau pegang tak tinggalkan kesan peluh, tapi kalau orang pakai akan tinggalkan kesan peluh.’’

Mee Tong: ‘‘Saya setuju. Tetapi coletan pada selipar tak perlu kerana Jabatan Kimia Malaysia boleh tentukan kalau ada DNA orang lain.’’

Semasa diperiksa balas oleh peguam Kamarul Hisham Kamarudin pula, Mee Tong bersetuju bahawa DNA atau cap jari akan tertinggal sekiranya objek yang menyentuh darah yang belum kering pada selipar itu tangan atau jari manusia.

Menurutnya, pemeriksaan cap jari dianggap penting sekiranya beliau dapat melihat jalur cap jari atau cap jari plastik pada kesan darah tersebut.

Bagaimanapun, pada hari itu, kata Mee Tong, bukan sekadar kesan cap jari, malah bentuk jari pun tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Sehubungan itu, beliau mengaku tidak memberi sebarang cadangan agar pemeriksaan cap jari dilakukan ke atas selipar itu semasa menyerahkan barang-barang kes kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Lunggan.

Mee Tong juga bersetuju dengan cadangan Kamarul bahawa siapa yang memakai selipar di sekitar waktu kejadian tidak dapat diketahui berikutan ketiadaan sebarang ujian cap jari atau DNA dilakukan ke atasnya.

Selain itu, beliau juga mengaku tidak mengambil contoh tanah pada selipar tersebut untuk ujian perbandingan kerana jumlahnya terlalu sedikit.

Di dalam keterangan hari ini, beliau yang mengetuai pasukan siasatan di tempat kejadian (CSI) itu mendedahkan tiada sebarang kesan cap jari ditemui di dalam pacuan empat roda itu selepas kaedah pengasapan super glue fuming dilakukan.

Begitu juga di bahagian luar kenderaan jenis Suzuki 1300 berwarna kebiru-biruan itu kerana pasukannya tidak melakukan sebarang pemeriksaan cap jari di bahagian itu.

Dalam kes ini, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Sirul Azhar, 36, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan bersambung esok.

SHAH ALAM 24 Okt. – Walaupun berkebolehan menulis menggunakan kedua-dua belah tangan, hakim kes bunuh Altantuya Shaariibuu, Hakim Mohd. Zaki Md. Yasin ‘tewas’ juga akhirnya.

Beliau mengakui tangannya merasa kebas akibat terlalu banyak mencatat nota prosiding pada perbicaraan itu.

Akibat masalah tersebut, hakim berkenaan berhenti seketika daripada bersidang untuk merehatkan tangannya.

Hakim Mohd. Zaki: “Tadi jari-jari tangan kiri saya merasa kebas. Sekarang jari tangan kanan pula. Jadi jari mana sekarang saya hendak gunakan.”

Pada tahap ini, beliau kelihatan menggenggam-genggam kedua-dua belah tangannya.

Walaupun begitu, Hakim Mohd. Zaki masih lagi sempat mengajukan beberapa soalan kepada saksi, Supritendan Soo Mee Tong mengenai sehelai rambut yang dijumpai di celah tempat duduk hadapan jip Suzuki Vitara bernombor pendaftaran CAC 1883.

Hakim: “Berapa panjangkah rambut yang kamu jumpai itu.”

Mee Tong: “Yang Arif, saya tidak mengukurnya. Tetapi memang ia sehelai rambut yang panjang.”

Hakim itu turut mempersoalkan tindakan Mee Tong yang mengukur kelongsong peluru walhal memang sedia maklum bahawa ia berukuran 9mm.

“Jadi kamu memang tidak mengukur panjang sehelai rambut tersebut. Kamu mengatakan ia panjang hanya berdasarkan gambar sahaja,” soal Hakim Mohd. Zaki kepada Mee Tong.

Saksi itu mengakui memang beliau tidak mengukurnya.

Oleh NON EINAI MOHD. AMIN

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Ahli perniagaan, Sosilawati Lawiya, 44, hari ini membuat permohonan untuk bercerai dengan suaminya, Jamaludin Elias, 48, yang lebih dikenali dengan panggilan Nash bekas vokalis utama kumpulan Lefthanded di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur dekat sini hari ini.

Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang dan Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Nash yang memakai kemeja dan tali leher hijau dan berjaket hitam tiba di mahkamah bersama peguamnya, Amli Embong kira-kira pukul 9.05 pagi sementara isterinya, Sosilawati Lawiya yang mengenakan pakaian baju kurung moden warna oren ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain tiba sejurus selepas itu.

Kedua-duanya dilihat masuk ke pejabat am mahkamah itu tanpa bertegur sapa namun anak gadis Sosilawati bersalam sambil mencium tangan bapa tirinya sebelum masing-masing masuk ke bilik mahkamah.

Dalam prosiding ringkas hari ini, hakim menetapkan kes itu disebut semula pada 23 November ini untuk memberikan peluang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan kebuntuan itu secara damai melalui perundingan.

Sementara itu, dalam satu sidang media Nash berkata: ‘‘Saya tidak pernah lafazkan cerai terhadap isteri saya.’’

Selain itu Nash memberitahu, beliau telah pun membuat dua permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut beliau, dalam permohonan pertama untuk menggantungkan perintah tegahan yang difailkan oleh isterinya dan kedua bagi membatalkan perintah tegahan tersebut. Beliau memfailkan permohonan itu pada 9 Oktober lalu.

Bagi permohonan itu, tarikh sebutan ditetapkan pada 4 Disember depan bagi membolehkan peguam Sosilawati meneliti dan menjawab kandungan permohonan berkenaan.

Sosilawati pula membuat permohonan September lalu di Mahkamah Tinggi, Shah Alam dan mendapat perintah ex-parte (sebelah pihak) bagi menghalang penyanyi itu membuat sebarang transaksi atau pindah milik melibatkan amanah saham dan hartanah bernilai RM880,000.

Sosilawati yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visage mengemukakan permohonan tersebut apabila mendakwa perkahwinannya dengan Nash, selama 10 bulan itu berada dalam syiqaq (pertikaian) sehingga tiada jalan penyelesaian kecuali melalui perceraian.

Beliau turut mengemukakan beberapa alasan lain dalam permohonan tersebut yang memaksanya mengemukakan injunksi dan memfail tuntutan.

Sementara itu, Sosilawati berkata, beliau telah memfailkan kes itu di mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai Nash terhadapnya.

‘‘Sebagai orang yang beriman, beliau (Nash) perlu pegang kepada janji. Nash telah lafazkan cerai terhadap saya melalui telefon pada malam pertama bulan Ramadan yang mulia.

‘‘Luluh hati saya apabila Nash mengatakan beliau sebenarnya tidak ada hati dan perasaan terhadap saya dan sebab itulah saya bawa kes ini ke mahkamah untuk mengetahui status saya,’’ katanya.

Sosilawati menjelaskan, jika benar seperti yang didakwa Nash bahawa beliau masih isteri yang sah, kenapa penyanyi itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami sejak lebih dua bulan lalu.

‘‘Sebulan sebelum Ramadan dan sehingga ke hari ini, Nash tidak pulang ke rumah dan tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami,’’ akuinya.

Tegas Sosilawati, sepanjang perkahwinan mereka, beliau telah berusaha untuk menjadi isteri yang baik malah menjadi ibu tiri yang prihatin terhadap anak-anak Nash.

Sepanjang perkahwinan mereka juga, kata Sosilawati, beliau tidak pernah menuntut apa-apa daripada Nash kecuali cinta dan kasih sayang lelaki itu.

‘‘Apa yang dituntut di mahkamah hari ini adalah hak saya sebagai wanita dan duit ringgit saya yang saya peroleh daripada titik peluh serta kerja keras saya selama ini. Saya harap hak saya dikembalikan,’’ katanya.

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Saksi beritahu kesan cap jari tak nampak di permukaan kasar

SHAH ALAM: Polis tidak menjalankan sebarang ujian mengesan cap jari dan Asid Deoksiribonukleik (DNA) ke atas sepasang selipar yang ditemui dalam jip tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Superintendan Soo Me Tong, 51, berkata beliau dan pasukannya, iaitu Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) hanya melakukan ujian Kastle Meyer bagi membuktikan wujudnya kesan darah pada selipar.


Ketika menjawab soalan balas peguam Hsnal Rezua Merican yang mewakili Sirul Azhar, Soo berkata tiada pemeriksaan cap jari dilakukan kerana permukaan atas selipar itu kasar dan berdasarkan pengalamannya, walaupun ujian dibuat kesan cap jari tidak akan dapat diperoleh.

"Ujian mengesan cap jari melalui kaedah Super Glue Fuming dilakukan pada permukaan yang licin seperti cermin, plastik atau logam yang bercat. Apabila gam dipanaskan, asap berwarna putih yang terhasil akan menimbulkan kesan cap jari.

"Ujian Ninhydrin pula dilakukan pada permukaan yang berliang seperti kayu dan kertas di mana sejenis larutan disembur pada permukaan itu dan kesan cap jari akan timbul selepas sehari, oleh itu ia lebih sesuai dilakukan di makmal.


"Bagaimanapun kedua-dua ujian ini tidak sesuai dilakukan kerana permukaan selipar lebih kasar," katanya.

Disoal Hasnal, Soo berkata beliau tidak menggunakan putik kapas untuk mengambil apa-apa sampel daripada selipar itu bagi tujuan analisis DNA kerana ia akan dilakukan Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau berkata, apabila bahan bukti dihantar ke Jabatan Kimia, ahli kimia pasti dapat mengesan jika selipar itu mengandungi DNA orang lain.

Katanya, beliau juga tidak mengambil kesan peluh pada selipar kerana ia adalah ringan apabila dipegang, jadi sukar untuk mendapatkan sampel DNA daripadanya.

Hasnal: Sebaik menghantar semua bahan bukti kepada ASP Tonny (Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan), kamu tidak menerima apa-apa makluman balas daripadanya selepas itu?

Soo: Ya.

Hasnal: Jadi, kamu tidak tahu sama ada ujian DNA dilakukan atau tidak pada permukaan atas selipar ini?

Soo: Saya tidak tahu.

Hasnal: Adakah kamu mengambil contoh kesan tanah pada selipar?

Soo: Tidak kerana terlalu sedikit dan tidak cukup untuk dibuat perbandingan.

(Sebelum ini, seorang ahli kimia dalam keterangannya berkata beliau hanya melakukan ujian DNA pada kesan darah yang terdapat pada selipar itu dan hasil analisisnya mendapati kesan darah itu milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu)

Sementara itu, disoal balas seorang lagi peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, Soo bersetuju tompokan darah pada selipar adalah comot kerana disentuh sesuatu objek sebelum ia kering.

Bagaimanapun, beliau menafikan ia disentuh menggunakan jari atau tangan kerana melalui pemerhatiannya tiada kesan jalur cap jari pada tompokan darah itu.

Kamarul Hisham: Jadi, adalah penting untuk mendapatkan kesan cap jari bagi menentukan siapakah yang menyebabkan tompokan darah itu menjadi comot?

Soo: Kalau saya boleh nampak jalur cap jari pada kesan darah itu barulah penting untuk saya mendapatkannya tetapi dalam kes ini saya tidak nampak.

Kamarul Hisham: Bolehkah selipar ini dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis DNA dulu dan kemudian diminta semula untuk dibuat ujian cap jari di makmal PDRM?

Soo: Selipar ini tidak sesuai untuk ujian cap jari kerana permukaannya kasar.

Kamarul Hisham: Soalan saya mudah, ada kamu hantar untuk kesan cap jari?

Soo: Tidak.

Kamarul Hisham: Oleh kerana tidak ada sebarang ujian cap jari atau DNA dibuat pada selipar, setuju saya katakan kamu tidak akan tahu siapa yang pakai selipar ini di sekitar waktu sebelum atau selepas kejadian?

Soo: Setuju.

Sementara itu ketika menjawab soalan peguam Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Soo mengakui pemeriksaan yang dijalankannya terhadap barangan dijumpai dalam jip tidak dibuat secara menyeluruh.

Hazman: Dengan kehadiran pakaian dalam jip itu, ada kemungkinan orang lain yang guna kenderaan terbabit?

Soo: Prinsip itu tidak terpakai dalam kes ini. Jika kamu jumpa baju saya di rumah kamu, ia tidak bermakna saya berada di situ kerana ada banyak kemungkinan lain.

Hazman: Tetapi ada kemungkinan orang itu masuk?

Soo: Ia tidak dapat memberikan sebarang kesimpulan atau keputusan.

Hakim: Kamu setuju atau tidak ada kemungkinan orang lain masuk ke dalam kenderaan itu?

Soo: Kemungkinan ada tetapi ia bukannya satu kesimpulan.

Hazman: Jadi kenapa kamu tidak hantar pakaian itu juga untuk ujian DNA?

Soo: Baju selalunya tidak dipegang dengan kuat.

Hazman: Kalau dipakai?

Soo: Kalau dipakai dan kalau ada peluh boleh diperiksa melalui profil DNA.

Hazman: Kalau baju tidak dicuci, profil DNA boleh diperoleh?

Soo: Boleh.

Hazman: Dengan itu saya katakan bahawa pemeriksaan dan ujian yang kamu buat adalah selektif bukan menyeluruh?

Soo: Setuju.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hanim Rashid dalam sesi pemeriksaan semula, saksi itu berkata beliau tidak menghantar baju itu bagi ujian DNA kerana beranggapan pakaian adalah kepunyaan pemilik jip kerana ia dilipat dan disimpan dengan kemas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

SAN DIEGO 24 Okt. – Pasukan bomba yang berdepan angin kencang terpaksa mengaku kalah semalam dalam pertarungannya untuk memadamkan kebakaran tidak terkawal yang memaksa lebih 500,000 penduduk melarikan diri di California Selatan.

Perpindahan lebih setengah juta penduduk itu adalah yang terbesar dalam sejarah California dengan membabitkan kawasan dari utara Los Angeles sehingga ke San Diego dan sempadan Mexico.

Pasukan bomba berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain mencegah kebakaran baru sehinggalah angin Santa Ana reda dalam sehari dua lagi.

“Kami tidak lagi cuba memadamkan kebakaran itu kerana angin terlalu kencang, kami hanya cuba menyelamatkan bangunan,” kata anggota bomba, Jim Gelrud.

Kebakaran yang sukar diramalkan dan kerap bertukar arah itu telah memusnahkan lebih 1,800 rumah, menghanguskan kawasan hampir 1,554 kilometer persegi dan menyebabkan seorang maut.

Gabenor Arnold Schwarzenegger berkata, api mengancam 68,000 lagi rumah.

“Kita menghadapi situasi yang sangat malang disebabkan gabungan tiga faktor, kawasan yang sangat kering, cuaca yang sangat panas dan kemudian angin kencang,” kata beliau.

Lebih 12 kebakaran yang merebak di seluruh California Selatan sejak Ahad lalu telah mencederakan lebih 45 orang termasuk 21 anggota bomba.

Di Daerah San Diego, pihak berkuasa menelefon 346,000 buah rumah untuk mengarahkan penghuni berpindah, kata jurucakap operasi kecemasan daerah, Luis Monteagudo.

Berdasarkan data banci dan lainnya, 560,000 penduduk telah diarah berpindah.

“Bilangan itu cukup menggemparkan,” kata Monteagudo.

Keadaan cuaca bertambah buruk semalam dengan suhu melebihi 32.2 darjah Celsius menjelang pertengahan petang dan angin sederas 96.5 kilometer sejam di kawasan pergunungan dan lembah.

– AP

Kebakaran hutan di California catat perpindahan terbesar dalam sejarah Amerika

SAN DIEGO: Kebakaran hutan yang menakutkan di selatan California mengancam hampir 70,000 rumah dan memaksa sehingga setengah juta penduduk meninggalkan rumah masing-masing dalam perpindahan besar-besaran di negeri itu sejak kelmarin.

Kebakaran terburuk California dalam tempoh empat tahun itu semakin teruk kerana angin panas Santa Ana yang bertiup sejak tiga hari lalu sehingga menjejaskan kawasan San Diego di selatan dan mengancam penduduk di kawasan pergunungan di utara.

Kira-kira 1,500 rumah dan struktur lain musnah dalam kebakaran berkenaan dan sehingga petang Selasa lalu kira-kira 500,000 penduduk dipindahkan yang disifatkan perpindahan terbesar di Amerika Syarikat selepas kejadian taufan Katrina yang melanda kawasan Gulf Coast pada 2005.


"Saya bimbangkan bayi saya, rumah, anak-anak dan semuanya," kata Ama Ramirez, 30 yang berlindung di Stadium Qualcomm, San Diego bersama anak perempuannya.

Kebanyakan rumah musnah adalah di kawasan San Diego kerana kebakaran hutan besar berlaku empat kali dan menyebabkan seorang terbunuh.

Empat lagi kematian dilaporkan di kalangan mereka yang berpindah dan berpuluh yang lain cedera termasuk 18 ahli bomba.

Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang setinggi lebih 30 meter ketika cuba menyelamatkan beberapa rumah berhampiran kebakaran terbabit.

Gabenor Arnold Schwarzenegger meminta Presiden George W. Bush meningkatkan status kawasan kebakaran di California itu kepada bencana terbesar yang membolehkan penduduk menerima bantuan persekutuan.

Bush awal Selasa lalu mengeluarkan perintah darurat tetapi Schwarzenegger memaklumkan beliau dalam surat terbaru bahawa bencana berkenaan adalah luar biasa dan tindak balas berkesan adalah di luar kemampuan kerajaan tempatan dan negeri.

Schwarzenegger berkata, sejumlah 68,000 rumah termasuk kabin dan vila mewah diancam bahaya dan 10,000 pekerja lelaki dan wanita cuba memadamkan api itu.

Lebih 120,000 hektar kawasan terbakar dan kerajaan negeri meletakkan kerugian berjumlah beratus juta dolar.

"Kita berhadapan dengan tiga perkara serentak iaitu kawasan paling kering, cuaca paling panas dan angin kencang. Ini membantu kebakaran itu merebak," kata Schwarzenegger di Lake Arrowhead di mana kebakaran mengancam penduduk di kawasan pergunungan berhampiran.

Bush dijangka melawat kawasan kebakaran terbabit hari ini. � Reuters

Rentetan pelancaran roket Long March 3A yang membawa pengorbit bulan Chang’e 1 selepas berlepas dari pusat pelancaran satelit Xichang di wilayah Sichuan, semalam. – Reuters.

BEIJING 24 Okt. – China berjaya melancarkan pesawat pengorbit bulannya yang pertama hari ini sebagai langkah penting dalam rancangannya untuk menempatkan angkasawan di bulan menjelang 2020.

Misi itu juga merupakan langkah pertama dalam rancangan 10 tahun untuk menghantar pesawat peninjau ke bulan dan mengembalikannya ke Bumi.

Televisyen kerajaan menunjukkan roket Long March 3A yang membawa pesawat pengorbit Chang’e 1 itu dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Xichang di wilayah Sichuan, barat daya negara ini sejurus selepas 6.00 petang (waktu sama di Malaysia).

Pegawai Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China sebelum itu mengesahkan keadaan cuaca baik untuk membolehkan pelancaran diteruskan.

Chang’e 1 akan mengorbit Bumi sementara pelarasan teknikal dilakukan dan akan memasuki orbit bulan pada 5 November.

Matlamat misi itu adalah untuk menganalisis komposisi kimia dan mineral di permukaan bulan.

Pesawat tersebut akan menggunakan kamera stereo dan spektrometer X-ray untuk menghasilkan imej tiga dimensi permukaan bulan dan untuk mengkaji debu bulan.

– AP

BRUSSELS, Belgium 24 Okt. – Hampir separuh penduduk dunia mahukan kuasa Amerika Syarikat (AS) dibataskan manakala Kesatuan Eropah (EU) berperanan lebih besar di pentas dunia.

Menurut Tinjauan Suara Rakyat 2007 yang dikeluarkan Gallup International bersama Majlis Hubungan Luar Eropah (ECFR) hari ini, lebih ramai penduduk dunia mahukan pengaruh kuasa global yang lebih saksama.

Bosnia Herzegovina yang pernah dibantu AS ketika Perang Balkan merupakan yang paling kuat membantah penguasaan global AS dengan 80 peratus rakyatnya mahukan kuasa AS dibataskan.

Pandangan serupa turut disokong 74 peratus penduduk Luxembourg, Greece (73 peratus), Serbia (72 peratus) dan 71 peratus rakyat Finland dengan keseluruhan kira-kira 40 peratus penduduk dunia menyokong sekatan ke atas pengaruh global AS.

Berdasarkan temuramah dengan 57,000 penduduk di 52 negara seluruh dunia antara bulan Jun dan Ogos tahun ini, tinjauan itu menunjukkan satu pertiga penduduk dunia berpendapat Iran, Rusia dan China juga telah diberikan gambaran umum yang buruk oleh sesetengah pihak tetapi mereka percaya dunia akan lebih aman jika kuasa ketiga-tiga negara itu turut dikurangkan.

Pengarah Eksekutif ECFR, Mark Leonard pula membuat kesimpulan bahawa sokongan terhadap negara-negara yang tidak dikaitkan dengan kuasa ketenteraan seperti Afrika Selatan, Brazil dan India juga semakin meningkat kini.

– AP

SYDNEY 24 Okt. – Kempen seorang calon pembangkang untuk mengambil alih jawatan seorang menteri kerajaan dalam pilihan raya 24 November ini tergendala akibat dicabar oleh bekas teman wanitanya sendiri.

Calon Parti Buruh itu, George Newhouse yang mempunyai peluang besar mengambil alih jawatan milik Menteri Persekitaran Malcolm Turnbull, kini dicabar pula bekas teman wanitanya Danielle Ecuyer yang mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Wentworth di Sydney.

Kempen Newhouse yang hanya ketinggalan 2.5 peratus di belakang Turnbull sebelum ini musnah apabila sebahagian penyokongnya beralih kepada bekas teman wanitanya itu yang memperjuangkan isu persekitaran di Australia.

Ecuyer bagaimanapun menafikan tindakannya bertanding di dalam pilihan raya itu adalah sebagai balasan terhadap Newhouse selepas hubungan mereka berakhir bulan lalu.

“Tiada dendam antara kami dan tindakan ini tidak berkaitan dengan George.

“Kegagalan perhubungan kami bermakna saya kini bebas untuk mengambil langkah penting yang saya fikir diabaikan oleh parti politik utama di negara ini,” katanya kepada akhbar Daily Telegraph.

Ecuyer juga menjelaskan dia telah menangguhkan cita-citanya di dalam bidang politik ketika masih bersama Newhouse tetapi enggan mendedahkan punca mereka berpisah.

– AFP

LONDON 24 Okt. – Sebuah naskhah al-Quran yang ditulis pada abad ke-13 dijual dengan harga tertinggi dalam sejarah, 1.14 juta pound sterling (RM7.89 juta) oleh gedung lelong Christie’s di sini semalam.

Kitab suci itu yang sebelum itu dijangka mencatatkan harga antara 250,000 hingga 300,000 pound (RM1.73 juta hingga RM2.08 juta) dijual sebagai sebahagian lelong hasil kesenian dari dunia Islam dan India.

Lelong semalam menghasilkan jualan berjumlah 5.9 juta pound (RM40.83 juta).

Naskhah berkenaan ditandatangani oleh Yahya bin Muhammad ibn Umar, bertarikh 17 Ramadan 599 (Jun 1203) dan ditulis sepenuhnya dengan dakwat emas berserta catatan tepi berdakwat perak.

Ia merupakan naskhah al-Quran lengkap, bertarikh dan bertulisan emas yang diketahui paling lama di dunia dan memecahkan rekod harga tertinggi bagi sebuah kitab suci al-Quran dan bagi mana-mana manuskrip Islam yang dijual semasa lelong.

Turut dijual semalam ialah sebuah naskhah al-Quran abad ke-10 yang hampir lengkap dalam tulisan Kufi.

Naskhah yang dipercayai berasal dari Afrika Utara atau Asia Barat itu dijual dengan harga 916,500 pound (RM3.12 juta) berbanding anggaran awal 600,000 pound (RMRM2.04 juta).

“Hasil jualan luar biasa hari ini adalah antara yang tertinggi bagi hasil Kesenian Islam di Christie’s, sekali gus mencerminkan betapa tingginya permintaan dan harga tawaran untuk seluruh hasil Kesenian Islam klasik,” kata Pengarah Kesenian Islam dan Permaidani merangkap Ketua Jualan Christie’s, William Robinson.

– AFP

KARACHI 24 Okt. – Agensi keselamatan Pakistan yang menyiasat serangan berani mati ke atas perarakan menyambut kepulangan Benazir Bhutto telah menahan sekurang-kurangnya 15 orang untuk disoal siasat.

Sebahagian mereka merupakan mangsa yang turut cedera dalam serangan berani mati minggu lalu dan ditangkap dari beberapa hospital.

Bagaimanapun, seorang penyiasat polis memberitahu, tidak ada tahanan terbabit yang dianggap suspek.

Seorang penyiasat yang enggan dikenali berkata, antara 15 hingga 16 orang telah ditahan, tetapi tidak mahu mendedahkan maklumat hasil soal siasat atau maklumat tahanan terbabit.

Pihak berkuasa menyatakan, serangan itu mungkin dilakukan oleh dua penyerang berani mati dan sudah mengeluarkan gambar kepala seorang penyerang terbabit yang masih tidak dikenali.

Sementara itu tahap keselamatan di Karachi masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas Benazir semalam mendedahkan telah menerima sepucuk surat ugutan mati.

– AP



TANYA KHABAR: Pemimpin Jamiat Ulma-e-Islam (JUI) berbincang dengan Benazir mengenai serangan bunuh diri yang mengorbankan 146 orang penyokong bekas pemimpin itu minggu lalu.

Presiden enggan pecat pegawai disyaki terbabit cubaan bunuh

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, menimbang semula perjanjian perkongsian kuasa kontroversi dengan Presiden Pervez Musharraf berikutan kerajaan menolak permintaannya untuk memecat pegawai tinggi didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan membunuhnya, minggu lalu.

"Benazir tidak begitu optimis mengenai perkara itu kerana berasa dia diperangkap," kata pembantu kanan bekas Perdana Menteri itu.

Sumber, yang terbabit dalam keseluruhan proses dialog, berkata keengganan memenuhi desakan Benazir, terutama menyingkirkan tiga pegawai atasan kerajaan, menyebabkan dia memikirkan semula perjanjian itu.


Benazir menyalahkan ketua biro perisikan negara itu, Brigadier Ejaz Shah, di atas serangan bom terhadap perarakan menyambung kepulangannya pada 18 Oktober lalu, yang mengorbankan 146 orang dan mencederakan lebih 500 lagi.

Dia mendesak pemecatan Ejaz Shah bersama-sama dua lagi pegawai kerajaan termasuk Ketua Menteri Punjab, Chaudry Perwaiz Elahi, pembantu rapat Musharraf, dan saudara lelaki presiden dari Liga Muslim Pakistan (PML), Chaudry Shujaat Hussein.

Agensi perisikan mengumumkan tiga �suspek� yang dinamakan Benazir itu tidak bersalah dalam sebarang salah laku dan menolak pembabitan mereka dalam serangan pengganas. Musharraf turut enggan memecat Ejaz Shah.


Benazir menegaskan bahawa lampu jalan di sepanjang laluan perarakan itu dipadamkan sebaik keadaan mula gelap.

"Saya yakin ia perbuatan disengajakan. Ia menunjukkan kepada saya bahawa pihak tertentu dalam kerajaan mahu membunuh saya," kata Benazir dalam sidang akhbar di kediamannya di Karachi.

Dia berkata, pihak berkuasa 'menyembunyikan sesuatu' selepas menolak desakannya mendapatkan pakar antarabangsa untuk membantu dalam proses siasatan.

Sumber juga berkata, Benazir amat kecewa dan gementar selepas cubaan membunuh.

"Dia sudah memaklumkan penjamin mengenai keadaan keseluruhan," katanya merujuk kepada pentadbiran Presiden George W Bush, yang memainkan peranan penting dalam mencadangkan perjanjian perkongsian kuasa antara dua musuh politik itu.

"Dengan menamakan Elahi sebagai tertuduh, Benazir memberikan isyarat jelas kepada Musharraf yang dia perlu memilihnya atau PML," kata sumber.

Di Karachi, pegawai kanan yang mengetuai siasatan ke atas cubaan membunuh Benazir, menarik diri daripada kes itu selepas bekas Perdana Menteri itu membantah pembabitannya.

Benazir menuduh ketua penyiasat, Manzur Mughal, terbabit menyeksa suaminya yang ditahan polis pada 1999 ketika era pemerintahan Nawaz Sharif.

"Pegawai itu meminta dibenarkan bercuti dan pegawai baru akan dilantik bagi mengetuai siasatan," kata Setiausaha Dalam Negeri Sindh, Ghulam Muhammad Mohtarram yang mengakui Manzur berbuat demikian kerana bantahan Benazir. � Agensi

ANKARA 24 Okt. – Turki telah mula menyerang kedudukan para pemberontak Kurdis di selatan Iraq sambil meningkatkan bilangan tenteranya di sempadan. Beberapa pesawat perang dan tentera darat Turki, telah menyerang kedudukan pemberontak berkenaan sejak Ahad lalu hingga malam tadi.

Menurut sumber tentera, dalam kejadian sebelum ini jet pejuang terbang sejauh 20 kilometer ke dalam wilayah Iraq, sementara kira-kira 300 askar darat mara kira-kira 10 kilometer dalam serangan yang membunuh 34 gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Unit artileri tentera turut membedil kedudukan pemberontak, katanya.

Sumber menyifatkan serangan itu merupakan operasi kecil ke seberang sempadan bergunung-ganang itu, dan bukan operasi besar-besaran yang ingin dielakkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan Iraq.

Sementara itu, jurucakap AS meminta kedua-dua pihak yang terbabit tidak bertindak lebih jauh kerana bimbang ia akan mewujudkan ketidakstabilan di wilayah Kurdish, Iraq.

“Serangan lanjut ke utara Iraq boleh dijangka,” kata seorang pegawai tentera ketika pihak kerajaan turut membincangkan untuk mengadakan serangan besar-besaran melepasi sempadan, tinadakan yang cuba dihalang oleh sekutu barat negara itu.

Serangan tentera dilancarkan selepas 12 askar Turki terbunuh dan lapan lagi hilang dalam serangan hendap oleh gerila PKK dekat sempadan Iraq pada Ahad lalu.

Turki yang memindahkan askar ke kawasan sempadan memberi amaran kepada Iraq dan sekutu-sekutunya di Barat semalam bahawa serangan ke utara Iraq boleh berlaku pada bila-bila masa kecuali kerajaan di Baghdad bertindak ke atas pemberontak tersebut.

Ankara juga menegaskan gencatan senjata tidak mungkin diadakan dengan gerila PKK.

Pemimpin Turki menghadapi tekanan hebat daripada rakyat supaya melancarkan serangan ke utara Iraq di mana gerila PKK mendirikan kem-kem untuk berehat, berlatih dan mendapat bekalan dalam situasi yang lebih selamat sebelum masuk semula ke Turki untuk melancarkan serangan.

Iraq bercadang untuk menghantar satu delegasi peringkat tinggi ke Turki dalam masa beberapa hari bagi membincangkan masalah itu.

Menteri Luar, Ali Babacan yang pulang dari Baghdad malam tadi berkata: “Kami telah menyatakan kami menghendaki mereka mengemukakan cadangan konkrit, kalau tidak lawatan saya tidak bererti apa-apa.”

Washington membuat tuntutan paling tegas setakat ini supaya tindakan diambil ke atas pemberontak oleh pemimpin Kurdis Iraq yang memiliki autonomi ke atas wilayah di utara negara itu.

“Kami bukan menagih janji sahaja.

“Kami menyatakan apa yang diperlukan ialah PKK dihalang menggunakan wilayah Iraq, bantuan lojistik dan semua aktiviti PKK di Iraq dihentikan dan semua kemnya ditutup,” kata Ali.

Beliau menambah, Ankara juga mahu para pemimpin PKK ditangkap dan diekstradisi ke Turki.

– AP

ANKARA: Pemimpin tentera dan awam Turki mengadakan mesyuarat semalam bagi membincangkan mengenai skop dan tempoh kemungkinan serangan melepasi sempadan ke atas pemberontak Kurdis di Iraq ketika sokongan rakyat semakin kuat terhadap tindakan itu.

Turki, yang sudah menggerakkan tentera ke sempadan Iraq, memberi amaran kepada negara jirannya itu dan sekutu Barat kelmarin bahawa serangan tidak dapat dielakkan kecuali kerajaan di Baghdad mengambil tindakan, dan menegaskan Ankara tidak akan mengadakan gencatan senjata dengan pemisah.

Pemimpin Turki berdepan desakan memuncak di negara mereka untuk melancarkan serangan di utara Iraq, lokasi pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) berlindung, berlatih dan mendapat bekalan sebelum kembali ke Turki untuk melancarkan serangan ke atas sasaran awam.


Iraq bercadang menghantar delegasi pegawai tinggi ke Turki dalam masa beberapa hari untuk membincangkan masalah itu.

Menteri Luar Turki, Ali Babacan, yang kembali dari Baghdad lewat kelmarin, berkata: "Kami menegaskan mahu mereka memberi cadangan konkrit dan jika sebaliknya lawatan itu tidak bermakna."

Amerika Syarikat mengeluarkan tuntutan secara langsung supaya penduduk Kurdis Iraq yang memegang kuasa autonomi di wilayah itu melancarkan tindakan antipemberontakan.

Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, mengarahkan penutupan semua pejabat PKK di Iraq dan berkata mereka tidak dibenarkan beroperasi di wilayah Iraq. � AP

WASHINGTON: Presiden George W Bush kelmarin berkata pelan mewujudkan sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah yang diketuai Amerika Syarikat amat diperlukan untuk menangani ancaman serangan daripada Iran.

"Jika Iran memilih untuk melancarkan serangan dan masyarakat antarabangsa tidak mengambil langkah menghalangnya, berkemungkinan Iran mempunyai kemampuan itu. Dan kita perlu mengambil serius perkara ini - sekarang," katanya.

Amaran terbaru Bush mengenai cita-cita nuklear Teheran disuarakan dalam mempertahankan dasar keselamatannya di Universiti Pertahanan Kebangsaan dan muncul tidak lama selepas Setiausaha Pertahanan, Robert Gates, memberitahu sidang akhbar di Republik Czech bahawa Washington mungkin menangguhkan proses mengaktifkan kawasan pertahanan peluru berpandu sehingga memperoleh 'bukti kukuh' mengenai ancaman peluru berpandu Iran.


Dalam ucapannya, Bush berkata anggaran perisikan menunjukkan Iran mempunyai kemampuan menyerang Amerika dan banyak sekutu Eropahnya menjelang 2015.

Amaran mengenai Iran itu jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, ketika melawat Tokyo baru-baru ini.

Katanya, inisiatif pertahanan peluru berpandu diketuai Amerika di Eropah dan Asia berasaskan penilaian salah mengenai ancaman dari Iran.

"Korea Utara yang memberikan ancaman, bukan Iran," Lavrov dipetik sebagai memberitahu Menteri Luar Jepun, Masahiko Komura.

Bush cuba mendapatkan perhatian Russia dan mengheret Moscow ke dalam rancangannya, dengan membayangkan sistem yang dirancang itu sebagai 'usaha kerjasama' menentang 'ancaman yang memberi kesan kepada semua.'

Dia memberikan pandangan positif kepada tawaran Presiden Russia, Vladimir Putih, menempatkan cadangan itu di Azerbaijan dan selatan Russia.� AP

Gambari diundang sekali lagi pada minggu pertama November

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Pemerintah Myanmar yang akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa semalam bersetuju mempercepatkan lawatan semula wakil PBB, Ibrahim Gambari kepada awal November.

Langkah itu dibuat sehari selepas junta tentera menerima lawatan pertama dalam tempoh empat tahun oleh pegawai hak asasi tertinggi PBB.


Gambari yang baru-baru ini dalam lawatan ke enam negara Asia dijangka melawat Myanmar dalam minggu pertama November berikutan kerajaan Myanmar bersetuju mempercepatkan undangan ke negara itu, kata jurucakap PBB, Michele Montas.

Minggu lalu, Gambari berkata bahawa beliau diundang untuk kembali ke Myanmar pada minggu ketiga November. Namun, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya menjelaskan mereka mahukan wakil PBB itu kembali semula ke Myanmar secepat mungkin.

Majlis Keselamatan PBB awal bulan ini mengutuk tindakan junta dan menggesa pembebasan awal banduan politik dan tahanan lain bagi memberi laluan kepada perdamaian kebangsaan dan perubahan kepada demokrasi.

Perancis dan Amerika kemudian memberi amaran kepada rejim tentera sekiranya mereka gagal mematuhi arahan majlis mereka akan dikenakan hukuman.

Jumaat lalu, Amerika mengetatkan sekatan terhadap pemerintah junta Myanmar dan menggesa China serta India mengenakan tekanan terhadap junta.

Menteri luar Kesatuan Eropah awal bulan ini meluluskan sekatan baru terhadap rejim Myanmar termasuk sekatan terhadap eksport kayu, batu permata dan besi, tetapi tidak membabitkan minyak.

Bagaimanapun, kesan sekatan Barat dilemahkan oleh China, India dan Thailand yang menggunakan sumber kekayaan Myanmar untuk pertumbuhan ekonomi mereka.

Seorang pegawai kanan Amerika Selasa lalu juga menggesa China dan India mengenakan sekatan jualan senjata atau tenaga kepada rejim tentera Myanmar berikutan masalah politik negara itu.

"Kini tiba masanya bagi Beijing dan New Delhi untuk mengetepikan rundingan tenaga yang meletakkan wang dalam saku junta dan menangguhkan jualan senjata kepada rejim," kata Timbalan Setiausaha Negara Amerika, John Negroponte dalam satu ucapan di Washington. � AFP

Gambari diundang sekali lagi pada minggu pertama November

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Pemerintah Myanmar yang akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa semalam bersetuju mempercepatkan lawatan semula wakil PBB, Ibrahim Gambari kepada awal November.

Langkah itu dibuat sehari selepas junta tentera menerima lawatan pertama dalam tempoh empat tahun oleh pegawai hak asasi tertinggi PBB.


Gambari yang baru-baru ini dalam lawatan ke enam negara Asia dijangka melawat Myanmar dalam minggu pertama November berikutan kerajaan Myanmar bersetuju mempercepatkan undangan ke negara itu, kata jurucakap PBB, Michele Montas.

Minggu lalu, Gambari berkata bahawa beliau diundang untuk kembali ke Myanmar pada minggu ketiga November. Namun, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya menjelaskan mereka mahukan wakil PBB itu kembali semula ke Myanmar secepat mungkin.

Majlis Keselamatan PBB awal bulan ini mengutuk tindakan junta dan menggesa pembebasan awal banduan politik dan tahanan lain bagi memberi laluan kepada perdamaian kebangsaan dan perubahan kepada demokrasi.


Perancis dan Amerika kemudian memberi amaran kepada rejim tentera sekiranya mereka gagal mematuhi arahan majlis mereka akan dikenakan hukuman.

Jumaat lalu, Amerika mengetatkan sekatan terhadap pemerintah junta Myanmar dan menggesa China serta India mengenakan tekanan terhadap junta.

Menteri luar Kesatuan Eropah awal bulan ini meluluskan sekatan baru terhadap rejim Myanmar termasuk sekatan terhadap eksport kayu, batu permata dan besi, tetapi tidak membabitkan minyak.

Bagaimanapun, kesan sekatan Barat dilemahkan oleh China, India dan Thailand yang menggunakan sumber kekayaan Myanmar untuk pertumbuhan ekonomi mereka.

Seorang pegawai kanan Amerika Selasa lalu juga menggesa China dan India mengenakan sekatan jualan senjata atau tenaga kepada rejim tentera Myanmar berikutan masalah politik negara itu.

"Kini tiba masanya bagi Beijing dan New Delhi untuk mengetepikan rundingan tenaga yang meletakkan wang dalam saku junta dan menangguhkan jualan senjata kepada rejim," kata Timbalan Setiausaha Negara Amerika, John Negroponte dalam satu ucapan di Washington. � AFP

MUMBAI: Aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan, berkata namanya yang jelas menunjukkan dia beragama Islam menyebabkan dia diperiksa lebih ketat apabila pergi ke negara luar terutama di lapangan terbang Heathrow di London, lapor akhbar, semalam.

Shah Rukh memberitahu akhbar DNA beribu pejabat di Mumbai bahawa pada masa lalu, namanya cukup dikenali di luar negara dan bagasi yang dibawanya dan krew filem mudah melepasi pemeriksaan.

Bagaimanapun, selain melalui pemeriksaan lebih ketat, Shah Rukh mendapati pembantunya yang beragama Hindu dapat melepasi pemeriksaan beg lebih cepat berbanding dia sendiri, menurut akhbar.


"Hari ini, saya yang akan ditahan untuk pemeriksaan, jadi dia yang membawa beg saya. Di peringkat antarabangsa, jika anda memiliki nama keluarga Muslim, anda akan dianggap pengganas," pelakon itu dipetik sebagai berkata.

Shah Rukh bakal membintangi filem terbaru arahan Karan Johar bertajuk My name is Khan - mengenai bagaimana umat Islam dicurigai selepas serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Pelakon itu sudah membintangi lebih 50 filem. Terbaru, Shah Rukh berlakon sebagai jurulatih pasukan hoki wanita India dalam filem yang mencatat kutipan pecah panggung, Chak De India. �AP

ZURICH, Switzerland – Malaysia kini menghuni tangga ke-166 dunia mengikut senarai kedudukan terkini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sini, semalam.

Kedudukan itu bermakna Malaysia turun tujuh anak tangga berbanding ke-159 sebelum ini.

Sementara itu, Thailand berada pada kedudukan 114 manakala Indonesia di tangga ke-125.

Dalam pada itu, Argentina kembali menguasai kedudukan nombor satu manakala Itali turun dua tangga tempat ketiga di belakang Brazil.

Argentina melonjak ke tangga teratas selepas mengatasi Chile dan Venezuela dalam kelayakan Piala Dunia 2010 manakala Brazil yang menang 5-0 ke atas Ecuador naik satu anak tangga.

Sementara itu, Sepanyol, Belanda, Portugal, Republik Czech dan Croatia tersenarai dalam kelompok 10 teratas manakala England turun dua untuk menghuni tangga ke-11 selepas tewas 1-2 kepada Rusia dalam kelayakan Euro 2008.

Rusia melakar langkah panjang apabila naik 10 anak tangga untuk kedudukan ke-16. – Agensi