Daripada Abdul Halim Yusoff


BANGGA: Najib menampal logo misi program angkasawan negara pada dinding MCCW sambil diperhati Rosmah dan saintis sebaik saja Soyuz TMA-10 yang membawa Sheikh Muszaphar dan krew selamat mendarat semalam.

MOSCOW: Datuk Seri Najib Razak berkata, Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menghantar angkasawan kedua untuk menjalankan misi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada penghujung 2010 atau awal 2011.

Timbalan Perdana Menteri berkata, agensi itu bagaimanapun meminta Malaysia untuk membuat pengesahan mengenai sama ada menerima atau menolak tawaran itu menjelang penghujung 2009.

Beliau berkata, tawaran itu disampaikan dalam pertemuannya dengan Presiden Roscosmos, Anatoli Perminov selepas menyaksikan pendaratan Soyuz TMA-10 yang membawa bersamanya angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow.


"Dalam pertemuan itu, kita mencapai persetujuan secara prinsip untuk memeterai satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Russia menerusi agensinya Roscosmos untuk mengadakan satu Perjanjian Penerokaan Angkasa Sivil bagi tempoh jangka panjang.

"Ia adalah perjanjian payung yang akan merangkumi pelbagai bidang yang boleh mendatangkan hasil, manfaat dan kebaikan kepada negara," katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia di MCC, di sini, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis; angkasawan kedua, Dr Faiz Khaleed dan keluarga Dr Sheikh Muszaphar.

Mengulas lanjut, Najib berkata, antara bidang yang dikenal pasti untuk dimasukkan dalam perjanjian itu ialah pembangunan satelit, remote sensing, sistem navigasi, telekomunikasi dan kajian saintifik yang boleh dilaksanakan di ISS. Namun, perjanjian itu tidak menghalang Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan agensi angkasa negara lain.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan memperhalusi butiran isi kandungan perjanjian itu dan membentangkannya kepada Kabinet untuk diluluskan.

Katanya, kerajaan akan mempertimbangkan dengan teliti butiran tawaran itu daripada aspek kos dan manfaat keseluruhan kerana ia bukan lagi membabitkan program timbal balas, sebaliknya perlu membuat bayaran secara langsung menggunakan dana kerajaan.

"Misi kedua ke ISS akan menyaksikan angkasawan kita memainkan peranan lebih penting berbanding sekarang. ..sebab itulah saya kata, kita akan mempertimbangkan dengan teliti dengan menyandarkan kepada pelbagai faktor kerana kita masih ada masa sehingga 2009.

"Ia juga hendaklah menjadi misi kos efektif dan orang ramai perlu diyakinkan bahawa program angkasawan adalah berbaloi kerana ia membabitkan dana awam," katanya.

Mengenai calon, Najib berkata, Dr Faiz Khaleed yang diletakkan dalam krew kedua pada misi pertama ke ISS akan menjadi angkasawan dalam misi kedua nanti.

Beliau juga akan meneruskan latihan di Star City kerana ia juga adalah sebahagian daripada perjanjian payung itu.

Menyentuh kejayaan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyelesaikan misinya di ISS, beliau berkata, rakyat Malaysia harus bangga kerana tergolong dalam kumpulan elit negara peneroka angkasa lepas.

Katanya, kejayaan Dr Sheikh Muszaphar akan tercatat dalam lipatan sejarah dan akan terpahat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia. Ia juga akan menjadi perangsang kepada generasi masa kini dan akan datang untuk menguasai sains dan teknologi untuk menjadi negara yang berjaya.

"Walaupun Malaysia negara kecil, kita tetap mempunyai jiwa besar. Jika kita beri tumpuan kepada apa yang hendak dibuat, impian yang sukar sekali pun kini menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, Dr Faiz berkata, beliau bersyukur dan lega atas kepercayaan kerajaan untuk beliau menjalankan misi seterusnya dan sedia untuk meneruskan latihan sebagai angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin (GCTC), Star City.

"Ini adalah kesinambungan yang tepat kerana projek penerokaan angkasa lepas memberi manfaat besar kepada negara. Ia juga menunjukkan Malaysia serius untuk menjadi negara peneroka angkasa lepas," katanya.

JOHOR BAHRU 22 Okt. - Empat belas penumpang feri Seagull Express 2 yang terbakar dan karam di Pulau Tioman pada 13 Oktober lalu, yang mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan empat lagi, akan menyaman pengusaha feri itu dan pihak yang berkaitan kerana cuai.

Mereka mahu menuntut pampasan bagi kematian, kecederaan dan trauma akibat kejadian itu yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari pada Hari Raya pertama semasa feri itu dalam perjalanan dari Mersing ke Pulau Tioman.

Mereka akan mendapatkan khidmat sebuah firma undang-undang dan memfailkan saman terhadap Seagull Express and Accommodation Sdn Bhd serta agensi kerajaan berkaitan yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap tragedi itu, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Song Sing Kwee kepada pemberita hari ini.

Sing Kwee, yang bertindak sebagai penasihat undang-undang mereka, berkata, mereka akan memfailkan saman itu selepas semua dokumen disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Jumlah saman itu belum ditentukan kerana ia berbeza satu sama lain.

Kumpulan itu, termasuk eksekutif jualan Fong Chun Gaik, 25, yang mengalami kesan terbakar di tangan kanan dan kakinya; dan Lee Yew Thiam, 48, yang ibunya, Haw Lee Maoi, 68, terkorban dalam kejadian itu, mengesahkan mereka masih belum ditawarkan sebarang pampasan oleh syarikat feri berkenaan. - Bernama

PUTRAJAYA 22 Okt. - Adalah mustahil untuk memansuhkan caj pentadbiran skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada masa kini kerana ia akan menambah perbelanjaan mengurus kerajaan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ini kerana sumber PTPN itu sebahagian besarnya datang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“KWSP telah mengenakan caj lima peratus kepada PTPN, jadi PTPN kenakan caj pentadbiran kepada pelajar sebanyak tiga peratus.

“Pada masa ini, subsidi kerajaan kepada pelajar ialah dua peratus, beza faedah itu, (dan) pada masa ini ia berjumlah RM300 juta setahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia, Datuk M. Kayveas, pada perhimpunan agung parti itu semalam, supaya kerajaan menghapuskan kadar faedah (caj pentadbiran) skim PTPTN.

Mustapa berkata, isu itu merupakan isu besar dan “kita boleh kaji perkara ini, tetapi itulah kekangan atau halangan yang dihadapi kerajaan oleh kerana pengajian tinggi ini amat mahal dan semakin tinggi kosnya dan mustahil bagi kerajaan untuk membiayainya 100 peratus.”

Beliau berkata, bagi pihak tertentu, isu ini memang popular untuk dimainkan atau dipolitikkan.

“Tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, apabila kita pinjam wang ini, kita perlu membayar balik.

“Jika kita hendak menghapuskan caj pentadbiran, kita kena keluar lebih banyak daripada perbelanjaan mengurus kerajaan, jadi ini akan memberikan tekanan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah yang ditanggung kerajaan sudah pasti akan meningkat dalam lima tahun akan datang dengan pertambahan pelajar ke institut pengajian tinggi. - Bernama

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi tidak bercadang untuk menggubal akta khas bagi menangani masalah penulisan blog yang negatif, kata Timbalan Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga bercadang untuk bekerjasama dengan penulis blog bagi membangunkan satu kod etika yang boleh diguna pakai oleh penulis blog di Malaysia.

“Peruntukan undang-undang sedia ada dan kod etika yang akan dibangunkan adalah mencukupi untuk menangani isu blog yang tidak bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Shaziman berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu juga memainkan peranan penting dalam membantu memupuk sikap kawal selia kendiri di kalangan rakyat dan beberapa program kesedaran awam telah diadakan.

Beliau berkata, individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

“Selain itu, ia juga boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan,” katanya.

Menjawab soalan Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat), Shaziman berkata, pada tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 11 laman web yang tidak mematuhi peraturan dan memenuhi syarat.

“Kesemua 11 laman web itu diarah tutup dan sehingga kini sebanyak dua kes dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi tidak bercadang untuk menggubal akta khas bagi menangani masalah penulisan blog yang negatif, kata Timbalan Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga bercadang untuk bekerjasama dengan penulis blog bagi membangunkan satu kod etika yang boleh diguna pakai oleh penulis blog di Malaysia.

“Peruntukan undang-undang sedia ada dan kod etika yang akan dibangunkan adalah mencukupi untuk menangani isu blog yang tidak bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.


Shaziman berkata Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu juga memainkan peranan penting dalam membantu memupuk sikap kawal selia kendiri di kalangan rakyat dan beberapa program kesedaran awam telah diadakan.

Beliau berkata individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan bersifat palsu, mengancam atau jelik akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

“Selain itu, ia juga boleh didakwa memgikut Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan,” katanya.

Menjawab soalan Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat), Shaziman berkata pada tahun ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 11 laman web yang tidak mematuhi peraturan dan memenuhi syarat.

“Kesemua 11 laman web itu diarah tutup dan sehingga kini sebanyak dua kes dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — Bernama

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sedia meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia terbukti menimbulkan kesusahan kepada peminjam.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak mahu langkah PTPTN mengenakan caj tersebut diputarbelitkan oleh mana-mana pihak.

‘‘Kalau perkara itu (caj pentadbiran) menimbulkan kesusahan, saya sedia untuk meneliti perkara itu,’’ katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) Ke-54, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Abdullah membuat kenyataan ringkas itu sebagai menjawab desakan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas supaya caj pentadbiran PTPTN dimansuhkan.

Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Kayveas berkata, PPP mendesak supaya pinjaman PTPTN diberikan tanpa sebarang caj.

‘‘Memandangkan PTPTN adalah dana berpusing, maka kerajaan patut memansuhkan caj pentadbiran,’’ katanya.

Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, insentif pendidikan itu akan memberi nikmat keselesaan bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah bahkan mereka yang berpendapatan tinggi.

‘‘Inilah yang dikatakan pembahagian kekayaan negara yang adil dan saksama, yang menjadi falsafah perjuangan Barisan Nasional,’’ katanya.

Utusan Malaysia melalui ruangan Forum sebelum ini, turut menyiarkan rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan PTPTN mengenakan caj pentadbiran itu.

Difahamkan, PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus pada setiap tahun kepada peminjam.

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Gadis yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, mungkin tidak dapat menduduki satu kertas peperiksaan akhir tahun di sekolahnya minggu depan kerana menjalani pemeriksaan kesihatan di sini.

Ibunya, Sabariah Mustaffa, 49, berkata, anaknya itu sepatutnya menduduki kertas peperiksaan akhir tahun itu minggu ini tetapi ia telah ditunda ke minggu depan.

Dia bagaimanapun tidak dapat memastikan matapelajaran kertas peperiksaan yang mungkin tidak dapat diambil anaknya itu.

“Minggu depan Siti Salmah akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan rutin paru-parunya. Jadi kita tengoklah macam mana selepas itu, mungkin pihak sekolah boleh berbuat sesuatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Sabariah, anaknya dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan selama sehari di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara (IJN) pada 29 Oktober ini.

Siti Salmah merupakan pelajar tingkatan enam rendah, Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor.

Sabariah berkata, walaupun menghadapi masalah kesihatan, Siti Salmah sentiasa bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.

Siti Salmah masih menyimpan harapan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat universiti sekiranya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Biasanya dia mengulang kaji pada waktu subuh kerana waktu itu tenang. Kalaupun dia tidak dapat ke sekolah, cikgu-cikgu amat memahami dan sentiasa memberinya sokongan moral.

“Kawan-kawan juga selalu datang melawat dan membantunya melakukan kerja sekolah. Saya sekeluarga amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada ramai orang,” katanya.

Sabariah berkata, dia sekeluarga sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar Siti Salmah mendapat penderma organ paru-paru secepat mungkin.

“Tiap-tiap hari Utusan Malaysia tulis cerita pasal Siti Salmah dan saya amat berterima kasih kerana ia akan membantu anak saya itu mendapatkan penderma dengan segera,’’ katanya.

Siti Salmah berada dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan paru-paru sejak tahun 2005.

Penyakitnya itu mengakibatkan tekanan darah dalam paru-paru terlalu tinggi hinggakan badannya sering letih dan mengalami kesukaran bernafas.

Keadaan itu akan memberi kesan buruk kepada jantungnya dan boleh meragut nyawa Siti Salmah pada bila-bila masa.

Penyakit Hipertensi Pulmonari yang dihidapi Siti Salmah kini berada pada tahap empat yang memaksanya bergantung kepada tangki oksigen bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seharian.

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Penerima jantung baru Tee Hui Yi, 14, kini menunjukkan perkembangan positif dan berada dalam keadaan stabil setelah alat bantuan pernafasan atau mesin ventilator yang digunakannya dibuka beberapa hari lalu.

Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-paru Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, kesihatan Hui Yi akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan gadis itu berada dalam keadaan sihat.

“Apa yang paling penting ialah untuk Hui Yi menjalani rawatan fisioterapi bagi mengembalikan kekuatan fizikalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Diminta mengulas mengenai selera makan Hui Yi, beliau berkata, gadis itu sudah boleh menerima makanan lembut seperti sup dan bubur, tetapi tetap memerlukan makanan tambahan yang diberikan oleh doktor menerusi saluran tiub yang dipasang di bahagian hidung.

Salina berkata, Hui Yi masih belum dipindahkan ke wad biasa dan perlu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi memastikan dia tidak terdedah kepada sebarang jangkitan kuman yang boleh menjejaskan kesihatannya.

Hui Yi menjalani pembedahan pemindahan jantung kedua pada 5 Oktober lepas setelah badannya menolak jantung penderma terdahulu dalam pembedahan pertama pada 3 Oktober lalu.

– Bernama

ALOR STAR 21 Okt. – Pekarangan bangunan pejabat Majlis Bandar Raya Alor Star (MBAS) di Jalan Kolam Air, di sini pagi ini kelam kabut apabila lebih 50 wakil penduduk dari beberapa buah taman di sekitar bandar raya ini membawa plastik berisi sampah untuk menemui Datuk Bandar.

Tindakan mereka membawa plastik berisi sampah sarap termasuk air ikan itu adalah sebagai tanda protes terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut yang didakwa lemah dalam menangani masalah sampah di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam situasi tersebut yang turut diawasi oleh beberapa anggota polis.

Apabila tiba di hadapan bangunan pejabat MBAS, tiga daripada wakil penduduk itu kemudian dibenarkan masuk untuk menemui Datuk Bandar, Datuk Abdul Mukhti Abdullah selama kira-kira 20 minit bagi melahirkan kekesalan mereka mengenai masalah berkenaan.

Seorang wakil penduduk, Mohd. Nasir Mustafa, 39, dari Taman Inang, Mergong memberitahu, mereka terpaksa mengambil tindakan itu kerana kecewa dengan kelemahan MBAS dalam melaksanakan tanggungjawab membersih dan mengangkut sampah sarap.

Ekoran kelemahan PBT itu, dakwanya, kawasan tempat tinggal mereka bukan sahaja tercemar dengan bau busuk, tetapi sampah sarap yang dibiar berselerak hingga mendedahkan penduduk dengan risiko penyakit seperti demam denggi.

Katanya, sebagai rakyat yang membayar cukai pintu, mereka tidak patut dibebani dengan masalah longgokan sampah sarap gara-gara kelemahan MBAS menunaikan tanggungjawabnya.

“Kami tidak mahu masalah ini berterusan dan meminta MBAS mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya,” jelas beliau.

Justeru menurut Mohd. Nasir, jika masalah mereka itu tidak dapat diatasi dalam tempoh sebulan dari sekarang, pihaknya akan terus membawa plastik berisi sampah ke bangunan MBAS secara lebih kerap sebagai tanda kekesalan mereka dengan PBT terbabit.

Sementara itu, Abdul Mukhti berkata, MBAS sedang giat melaksanakan operasi mengangkut sampah dan membersihkan sekitar kawasan perumahan lebih-lebih lagi berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Apa yang menjadi masalah kepada MBAS pada masa sekarang, menurut beliau, ialah PBT itu tidak mempunyai ‘kekuatan’ mencukupi untuk mengangkut sampah malah lori sedia ada juga tidak semua boleh digunakan kerana sudah ‘uzur’.

Menurut beliau, pihaknya juga menghadapi masalah kewangan untuk membeli jentera baru berikutan tunggakan cukai pintu yang kini mencecah RM21 juta.

Namun begitu, katanya, MBAS telah mendapatkan bantuan dari beberapa PBT dari daerah-daerah lain di negeri ini bagi menangani masalah itu.

Oleh Nazura Ngah


HADIR BICARA: Kamariah bersama peguamnya, Sa'adiah meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Akuan bukan Islam Kamariah tak boleh diterima: Pendakwa syarie

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam diberitahu pengikut ajaran sesat Arifin Mohamad atau Ayah Pin, Kamariah Ali, 56, yang didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam bagi mengelak diambil tindakan, gagal memanggil sebarang saksi untuk membuktikan dia sudah keluar daripada Islam.

Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah, berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Firdaus Ramlan yang mengesahkan salinan surat akuan bersumpah dikemukakan tertuduh bahawa dia keluar Islam pada 10 Ogos 1998 tidak boleh diambil kira sebagai saksi kerana kedatangannya ke mahkamah adalah semata-mata untuk mengemukakan dokumen.

Katanya, pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan kerana hanya membuat penafian kosong apabila tiada pengesahan daripada mana-mana mahkamah syariah mengenai pengisytiharan tertuduh keluar Islam.


Beliau berkata, keterangan dokumen tertuduh iaitu surat akuan bersumpah yang diperoleh daripada Pesuruhjaya Sumpah bukan bukti yang kukuh atau relevan untuk membuktikan tertuduh bukan lagi orang Islam.

"Pesuruhjaya Sumpah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status individu sama ada Islam atau tidak.

"Badan yang berhak menentukan seseorang itu Islam atau tidak adalah Mahkamah Tinggi Syariah. Oleh itu keterangan tertuduh dengan mengemukakan dokumen bahawa beliau bukan Islam melalui Pesuruhjaya Sumpah tidak lagi relevan," katanya ketika penghujahan lisan pada akhir kes pembelaan di depan Hakim Mohamad Abdullah, semalam.


Pihak pembelaan memfailkan penghujahan bertulis pada 11 Oktober lalu.

Mustafar berkata, dokumen surat akuan bersumpah juga bukan dokumen yang dibuat mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia dan sepatutnya ditolak kerana tidak relevan mengikut Seksyen 90(1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Terengganu 2001.

Beliau juga bimbang pihak pembelaan terkhilaf fakta terhadap kesalahan yang dibicarakan kerana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, bukannya kesalahan murtad mengikut enakmen hudud.

"Segala keterangan keluar Islam atau tidak, tidak relevan terhadap fakta pembelaan.

"Peruntukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 bukan satu peruntukan undang-undang untuk menentukan seseorang itu Islam atau tidak tetapi untuk menentukan sama ada pengakuan bukan Islam dilakukan untuk mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Terdahulu, peguam tertuduh, Sa'adiah Din dalam penghujahan lisan berkata tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan mahu dibicarakan.

"Adalah silap pendakwaan membuat pertuduhan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 7. Pendakwaan menunjukkan bahawa tertuduh mendakwa bukan Islam untuk mengelak dirinya daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen yang sama tetapi eksibit pendakwaan menunjukkan tertuduh mohon dibicara dan bersetuju untuk berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Mahkamah menetapkan 18 November depan untuk membuat keputusan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia membantu saki baki bekas ahli al-Arqam, tetapi masih lagi terikat dengan pertubuhan itu yang diharamkan, menjalani kehidupan baru berlandaskan tuntutan Islam sebenar.

Mengikut maklumat diterima Jakim, pertubuhan itu sekarang dikatakan sedang berdepan krisis mencari pemimpin pengganti Ashaari Muhammad, pengasas pertubuhan itu yang ketika ini dikatakan sakit dan tidak boleh lagi bertutur sejak diserang angin ahmar hampir 10 tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Ghafarni Awang Teh, berkata dianggarkan masih ada 5,000 lagi bekas ahli al-Arqam belum kembali ke pangkal jalan yang meneruskan kehidupan di bawah naungan institusi perniagaan Rufaqa.


Katanya, kehidupan bekas anggota al-Arqam banyak bergantung dengan institusi perniagaan berkenaan, tetapi tidak menikmati kesenangan, kecuali sekadar cukup makan untuk keluarga.

"Pemimpin mereka pula mempunyai rumah besar dan kereta mewah hasil kerja keras ahli peringkat bawahan.

"Kita sedia membantu mengubah kehidupan bekas ahli pertubuhan itu jika mereka mahu kembali ke pangkal jalan. Jika mereka minat berniaga, Jakim akan mencari jalan membantu termasuk menerusi institusi agama dan agensi kerajaan yang berkaitan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam Berita Harian melaporkan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim mendedahkan ada guru termasuk Penolong Kanan cuba menghidupkan semula ajaran itu yang diasaskan Ashaari.

Bekas Penasihat Undang-undang al Arqam, Zabidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan ketika ini berlaku persaingan antara keluarga beberapa isteri Ashaari untuk menerajui atau menjadi pengganti Ashaari.

Katanya, mereka mahu menonjolkan ketokohan anak masing-masing yang secara tidak langsung menerajui institusi perniagaan Rufaqa.

KUALA LUMPUR: Segelintir guru dipercayai memanfaatkan hari tertentu di luar waktu kerja bagi mengatur perjumpaan antara bekas ahli al-Arqam dalam cubaan mereka menghidupkan semula fahaman Aurad Muhammadiah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, yang mendedahkan perkara itu, berkata mereka yang bergerak dalam kumpulan dipercayai mengadakan pertemuan termasuk ketika cuti hujung minggu bagi mencari jalan menyebarkan semula dakyah fahaman yang diharamkan itu.

Beliau berkata pergerakan guru bersama beberapa golongan profesional yang dipercayai berselindung di sebalik nama Rufaqa Corporation sukar dijejaki kerana cara pemakaian tidak lagi melambangkan mereka seperti ahli al-Arqam.


"Kami masih menyiasat sama ada mereka cuba mempengaruhi murid sekolah menyertai mereka. Sebagai guru, pengaruh mereka dikalangan pelajar dan masyarakat amat cukup kuat dan kami bimbang penyelewengan al-Arqam menular semula.

"Kami juga belum mendapat laporan sama ada perjumpaan turut membabitkan penyertaan murid. Namun, kita akan pantau serta cuba menjejaki lokasi rahsia pertemuan mereka," katanya kepada Berita Harian semalam.

Kelmarin, NUTP mendedahkan ada guru termasuk Penolong Kanan cuba menghidupkan semula fahaman Aurad Muhammadiah yang diasaskan Ashaari Muhammad, bekas pemimpin al-Arqam yang diharamkan.

NUTP mendakwa majoriti guru terbabit adalah bekas ahli al-Arqam sebelum diisytiharkan sebagai haram pada 1994 dan menggunakan profesyen perguruan bagi menghidupkan ajaran berkenaan.

Selain itu, Anuar berkata, sehingga kini belum ada laporan mengesahkan mereka mengambil kesempatan menyebarkan fahaman itu ketika sesi pembelajaran di sekolah.



Sementara itu, pengikut al-Arqam yang masih setia dengan Ashaari didakwa bergerak aktif dengan mensasarkan golongan berpengaruh dalam parti politik atau masyarakat menyertai ajaran Aurad Muhammadiah.

BENAZIR Bhutto bertanyakan sesuatu kepada seorang penyokongnya yang cedera akibat serangan berani mati Jumaat lalu semasa melawat mangsa di Hospital Jinnah, Karachi, semalam. – Reuters.

KARACHI 21 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto perlu memikul tanggungjawab ke atas kematian 139 orang dalam serangan berani mati ke atas perarakan menyambut kepulangannya kerana mendedahkan mereka kepada bahaya demi untuk “pertunjukan peribadi.”

Anak saudara Benazir, Fatima Bhutto yang merupakan seorang kolumnis akhbar dan penyair serta cucu kepada Zulfikar Ali Bhutto memberitahu, kepulangan ibu saudaranya dari hidup dalam buangan telah mengheret negaranya ke dalam kekacauan.

“Beliau mahu meneruskan persembahan ini dan kerana itu, beliau perlu memikul tanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan,” katanya.

Fatima merupakan anak perempuan kepada adik lelaki Benazir, Mir Murtaza yang dibunuh oleh polis di Karachi pada 1996.

Murtaza mengetuai kumpulan pelampau berhaluan kiri selepas pemerintah tentera, Mohammed Zia ul-Haq menjatuhkan hukuman mati ke atas bapanya pada 1977.

Arwah tidak sehaluan dengan Benazir yang disifatkan sebagai pengkhianat kepada legasi politik bapa mereka.

Fatima yang sering tampil di media Pakistan sebagai pewaris dinasti keluarga Bhutto baru-baru ini telah melancarkan kritikan terhadap ibu saudara itu.

Dalam kecamannya, Fatima mendakwa ibu saudaranya melindungi diri dengan lori kalis peluru untuk berarak sedangkan sudah diberi amaran mengenai ancaman serangan.

“Mereka mati untuk teater peribadi beliau, mereka mati untuk persembahan demi kepuasannya sendiri,” jelas Fatima.

Bagaimanapun Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir menolak kenyataan tersebut sebagai “dakwaan tidak berasas” dengan alasan kerajaan bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada bekas Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali itu.

Menurut Fatima, ibu saudaranya bukan musuh militan seperti yang didakwa oleh Benazir.

“Beliau bercakap mengenai fahaman pelampau dan tidak ada yang tampil untuk memberitahu bahawa Taliban telahpun wujud semasa kerajaan pimpinannya berkuasa,” jelas Fatima.

Beliau yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain turut mengecam pengampunan ke atas pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan yang diberikan kepada Benazir oleh Presiden Jeneral Pervez Musharraf.

“Pengampunan ini amat, amat menakutkan negara,” tegas Fatima yang menyatakan, beliau tidak akan menyertai politik negaranya dalam jangka masa terdekat.

– AFP

KARACHI 21 Okt. – Kepulangan berdarah bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto telah membawa Pakistan menuju krisis, termasuk politik dan juga perangnya ke atas Taliban dan Al-Qaeda.

Kematian 139 orang dalam serangan berani mati menyambut kepulangan beliau dari buangan selama lapan tahun turut menggambarkan ancaman baru ke atas republik yang mempunyai 160 juta penduduk tetapi sering diancam pelbagai musibah sejak merdeka enam dekad lalu.

Menurut penganalisis, serangan itu mampu mengeratkan perkongsian kuasa antara Benazir dengan Presiden Jeneral Pervez Musharraf yang menjadi sekutu utama Barat dalam perang keganasan.

Bekas Perdana Menteri wanita itu turut berikrar memerangi fahaman pelampau dan militan dalam ucapan selepas serangan berani mati itu dan tidak menyalahkan “negara atau kerajaan.”

Sementara itu, Pervez juga mungkin tidak menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan dalam tentera jika Mahkamah Agung membatalkan kemenangannya dalam pemilihan Presiden Pakistan baru-baru ini.

Populariti beliau merudum selepas gagal memecat Ketua Hakim Mahkamah Agung pada Mac lalu sementara tindakan mengarahkan serbuan ke atas Masjid Merah di Islamabad pada Julai lalu menyaksikan peningkatan serangan berani mati.

Pada masa yang sama golongan militan yang menguasai suku kaum di sempadan Pakistan menghadapi kesukaran untuk bergerak ke arah demokrasi kerana ia akan menggagalkan usaha membawa pemerintahan syariah ke negara ini.

“Kami menuju ke arah krisis yang lebih besar,” kata Moonis Ahmar, Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Karachi.

Menurut penganalisis, Pakistan kini berdepan dengan pilihan yang sama perlu dilakukan oleh Bhutto, berdepan dengan ancaman bahaya militan atau menyerah kalah kepada fahaman pelampau.

Menurut mereka, jika Pakistan memilih untuk menghadapi ancaman tersebut maka kerjasama politik amat penting.

“Benazir dan Pervez akan lebih terdesak jika memilih untuk berjuang secara berasingan,” kata Rasul Baksh Rais, Profesor Sains Politik di Universiti Pengurusan Sains Lahore.

Para penganalisis juga menyatakan, kedua-duanya kini dilihat oleh gerakan militan sebagai musuh dan sebab itu tidak akan wujud dialog antara mereka.

Mereka menambah, pilihan yang ada hanyalah menggunakan kekerasan tentera tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah.

– AFP

KARACHI 21 Okt. – Polis Pakistan hari ini menyoal siasat tiga individu berhubung serangan ke atas konvoi bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang meragut sekurang-kurangnya 139 nyawa.

Seorang penyiasat dalam kes itu berkata, ketiga-tiga mereka dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah kereta yang membawa orang yang disyaki melontar sebutir bom tangan beberapa saat sebelum seorang pengebom berani mati meletupkan diri di tengah kesesakan ribuan penyokong Benazir.

Pasukan penyiasat turut menyoal tujuh anggota militan yang dipenjarakan di Karachi untuk menentukan sama ada mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai serangan tersebut.

“Polis menahan tiga orang dari selatan wilayah Punjab untuk soal siasat. Mereka dibawa ke Karachi untuk mendapatkan sebarang maklumat yang ada.

“Mereka ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kenderaan suspek yang mana terdapat individu melontar bom tangan,” kata seorang pegawai polis yang menyiasat beberapa letupan lain di bandar ini.

Ratusan penunjuk perasaan membakar tayar di jalan-jalan raya dan melontar batu ke arah kenderaan lalu lalang di kawasan kejiranan pro-Benazir.

Pihak berkuasa Pakistan sebelum ini turut menyiasat tiga orang yang terdapat dalam senarai suspek Benazir yang diserahkan kepada Presiden Pervez Musharraf.

Benazir, 54, menuduh militan sebagai bertanggungjawab dalam serangan tersebut dan tidak percaya kerajaan terbabit, tetapi sumber daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP) menyatakan bahawa senarai itu turut termasuk beberapa pegawai kanan tentera.

– AFP

KARACHI: Anak saudara Benazir Bhutto, Fatima, mendakwa ibu saudaranya bertanggungjawab terhadap kematian 139 orang dalam serangan bunuh diri yang berlaku ketika menyambut kepulangannya.

Katanya, sambutan kepulangan Benazir ke Pakistan hanya mendedahkan mereka kepada bahaya keganasan untuk kepentingan 'agenda peribadinya'.

Fatima, 25, seorang penulis pojok, penyajak dan cucu kepada bekas Perdana Menteri Zulfiqar Ali Bhutto, dalam satu temuramah, berkata kepulangan Benazir dari dalam buangan akan menjerumuskan Pakistan ke dalam kemelut politik yang lebih buruk.


"Beliau sendiri yang mahu menunjukkan kehebatannya dan beliau bertanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan yang berlaku," kata Fatima di rumah keluarganya di Karachi, semalam.

Fatima adalah anak kepada abang Benazir, Murtaza yang ditembak mati polis di Karachi pada 1996, ketika keadaan huru-hara menyebabkan kejatuhan penggal kedua pentadbiran kerajaannya.

Murtaza mengetuai kumpulan ekstremis sayap kiri selepas pentadbiran bekas presiden Zia-ul-Haq menjatuhkan hukuman mati terhadap bapanya, Zulfiqar pada 1979, berselisih faham dengan Benazir yang didakwanya mengkhianati perjuangan bapa mereka.


Fatima yang sering disifatkan media Pakistan sebagai pewaris dan memikul tanggungjawab berat dalam keluarga Bhutto, sejak akhir-akhir ini sering mengeluarkan kenyataan mengkritik ibu saudaranya.

Dalam kenyataan terbaru. Fatima menuduh Benazir melindungi dirinya sendiri ketika kepulangannya ke Pakistan dengan menggunakan kereta perisai ketika ketika lalu di hadapan beratus ribu penyokongnya walaupun sudah diberi amaran mengenai kemungkinan serangan ke atasnya.

"Mereka mati kerana agenda peribadi Benazir dan mereka mati kerana kepentingan diri wanita itu," katanya.

Fatima yang menerima pendidikan sama seperti Benazir di Amerika dan Britain turut mengecam tindakan kerajaan Presiden Pervez Musharraf menarik balik dakwaan rasuah terhadap Benazir yang membolehkan bekas pemimpin itu kembali ke Pakistan.

"Erti dan kesan di sebalik penarikan semula dakwaan ini sangat menakutkan untuk Pakistan," katanya yang menambah beliau tidak akan menyertai politik Pakistan dalam tempoh terdekat.

"Saya tidak dapat meramal apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi ada banyak cara selain politik untuk menyatakan pendirian dan saya memilih cara yang saya lakukan sekarang," katanya. � AFP

YANGON 21 Okt. – Myanmar hari ini menarik balik perintah berkurung dan menamatkan pengharaman ke atas perhimpunan yang dikuatkuasakan semasa kerajaan mematahkan demonstrasi prodemokrasi, baru-baru ini.

Ia tanda terbaru bahawa junta yakin yang mereka berjaya menggagalkan sepenuhnya tunjuk perasaan terbesar sejak dua dekad lalu.

Kelonggaran larangan yang dikenakan pada 25 September itu diumumkan dengan menggunakan kenderaan-kenderaan milik kerajaan di jalan-jalan raya sekitar Yangon.

“Perintah berkurung pukul 11 malam hingga 3 pagi dan pengharaman untuk berhimpun dari pukul 9 pagi hingga 5 petang telah ditarik balik bermula hari ini kerana keadaan keselamatan dan kestabilan bertambah baik,” tegas pengumuman melalui corong-corong pembesar suara yang dipasang di atas kenderaan- kenderaan tersebut.

Tidak dapat dipastikan sama ada larangan yang sama telah ditarik balik atau tidak di sebuah lagi bandar yang terlibat dalam tunjuk perasaan, Mandalay.

Penduduk di Yangon hari ini mengalu-alukan langkah penghentian perintah berkurung dan larangan berkumpul itu namun ramai yang masih dibelenggu kebimbangan.

“Rakyat berasa gembira tetapi orang seperti saya masih berasa bimbang mengenai situasi di sini setelah apa yang berlaku bulan lalu,” kata seorang pegawai di sebuah syarikat tempatan.

Penamatan perintah berkurung itu dibuat selepas pemerintah junta mendapat tekanan baru daripada masyarakat antarabangsa kerana tindakan kerasnya ke atas penunjuk perasaan.

Myanmar yang diperintah oleh tentera sejak tahun 1962 sebenarnya memberikan sedikit toleransi tetapi tindakan kerajaan mematahkan demonstrasi yang bermula dengan kenaikan harga minyak pada Ogos lalu menjadi cabaran terbesar kepada rejim itu.

– Agensi

Bangkok, Jakarta antara diancam kenaikan air laut, banjir akibat pemanasan global

KHUN SAMUT CHIN: Peningkatan paras air laut dan banjir yang makin kerap berlaku diramal bakal menyebabkan ibu negara Thailand, Bangkok tenggelam pada abad ini, jika tiada usaha dilakukan untuk mengatasinya, kata pakar.

Bangkok adalah antara 13 daripada 20 bandar raya terbesar dunia yang paling menghadapi risiko tenggelam, ketika paras air laut makin meningkat menjelang abad akan datang, kata Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim dalam mesyuarat, di sini semalam.

"Fenomena ini juga akan dirasai di banyak tempat di seluruh dunia dan kita dapat melihat dengan lebih jelas di Thailand," kata Lisa Schipper, seorang penyelidik pemanasan global dari Amerika ketika melawat sebuah kampung di selatan Bangkok.


Beliau berkata, kehilangan Bangkok akan memusnahkan jentera ekonomi negara dan hab utama bagi pelancongan wilayah di Thailand.

Bandar lain yang terancam termasuk Dhaka, Bangladesh; Buenos Aires, Argentina; Rio de Janeiro, Brazil; Shanghai dan Tianjin di China; Iskandariah dan Kaherah di Mesir; Mumbai dan Kolkata di India; Jakarta, Indonesia; Tokyo dan Osaka-Kobe di Jepun; Lagos, Nigeria; Karachi, Pakistan dan New York serta Los Angeles di Amerika Syarikat.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Bagi Pentadbiran Amaran Bencana Kebangsaan Smith Dharmasaroja, berkata perkembangan alam sekitar yang dihadapi Bangkok membimbangkan berikutan ia menjadi pusat kepada hampir semua kegiatan di negara itu.


"Jika nadi Thailand ditenggelami air, kegiatan lain akan terhenti. Kami tidak mempunyai masa untuk memindahkan ibu negara kami dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang dan perlu melakukannya sekarang tetapi nampaknya kami makin terlambat," katanya.

Beliau berkata, semua pihak termasuk kerajaan, saintis dan kumpulan pencinta alam sekitar, bersetuju Bangkok berdepan dengan masalah, tetapi pihaknya masih membincangkan bila ia sebenarnya akan berlaku.

Bandar raya yang diasaskan di atas kawasan tanah liat itu juga didapati mendap pada kadar yang lebih cepat berbanding biasa iaitu 10 sentimeter setiap tahun, ketika pembangunan makin pesat, manakala sektor perkilangan yang mengepam kira-kira 2.5 juta padu air bawah tanah secara haram memburukkan lagi keadaan.

"Semua pihak dapat melihat lebuh raya, jalan dan bangunan yang tidak ditanam cerucuk makin mendap, begitu juga dengan keadaan tanah, manakala paras air laut kian meningkat. Kami menjangka Bangkok akan berada di bawah paras laut secara kekal dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi," katanya. � AP

Bangkok yang pernah mendapat jolokan sebagai 'Venice Timur' diasaskan 225 tahun lalu di atas kawasan paya Sungai Chao Phraya..

Bagaimanapun, menjelang 1950-an, atas nasihat agensi pembangunan antarabangsa, kebanyakan terusannya ditimbus untuk pembinaan jalan dan menghapuskan malaria, sekali gus memusnahkan sistem perparitan semula jadi yang mengawal banjir monsun tahunan di bandaraya itu. � AP

TEHERAN: Iran mampu membedil 11,000 roket ke arah pangkalan musuh dalam masa beberapa minit pertama jika diserang, stesen televisyen kelolaan kerajaan memetik komander atasan Pengawal Revolusi sebagai berkata kelmarin.

Komander peluru berpandu unit elit itu, Jeneral Mahmoud Chaharbaghi, berkata Iran mengenal pasti semua kedudukan musuh dan bersedia memberi tindak balas tidak sampai seminit kepada sebarang serangan.

"Pangkalan musuh dan kedudukan sudah dikenal pasti. Tentera darat Pengawal Revolusi akan membedil 11,000 roket ke kedudukan musuh yang dikenal pasti dalam masa beberapa saat pertama selepas serangan terhadap wilayah Iran," televisyen memetik Chaharbaghi sebagai berkata.


Chaharbaghi tidak menyebut secara khusus pangkalan atau musuh dan tidak merujuk kepada Israel atau Amerika Syarikat dengan menyebut nama kedua-dua negara itu.

Namun, Amerika mempunyai 40,000 anggota di merata pangkalan di negara Teluk Parsi lain dan 20,000 di perairan Asia Barat. Tambahan 160,000 lagi berada di Iraq dan 25,000 di satu lagi negara jiran Iran, Afghanistan.

Agensi berita separuh rasmi Iran, Fars, juga memetik Chaharbaghi sebagai berkata bahawa roket yang dapat mengelakkan radar meliputi keseluruhan Teluk Parsi dan sempadan Iran-Iraq.

Chaharbaghi dipetik oleh Fars sebagai berkata roket yang meliputi jarak 248 kilometer akan diserahkan kepada tentera darat unit itu tidak lama lagi.

Iran meningkatkan amaran berhubung kemungkinan perang, terutama apabila Barat berbincang mengenai sekatan selepas Teheran menolak permintaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan proses memperkayakan uranium. � Agensi

MOSCOW 21 Okt. - Selepas 11 hari berada di angkasa lepas, angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke bumi.

Ia sekali gus memahatkan satu kejayaan bermakna dalam misi angkasa lepas pertama Malaysia dan penyertaan aktif negara dalam industri angkasa lepas, satu peristiwa yang satu ketika dahulu hanya mampu dimimpikan, di luar batas imaginasi Malaysia.

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama Komander, Fyodor Yurchikhin dan Juruterbang Penerbangan, Oleg Kotov mendarat di Arkylk, Kazakhstan, kira-kira 1,500km dari sini pada kira-kira pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas 3 jam 23 minit perjalanan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Soyuz TMA-10 keluar dari ISS kira-kira pukul 3.14 petang waktu Malaysia untuk pulang ke bumi.

Kepulangan Muszaphar disambut dengan penuh rasa lega dan tepukan gemuruh petugas serta orang ramai yang berada di Pusat Kawalan Misi di sini, yang antaranya termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Pegawai-pegawai kanan Agensi Angkasa Rusia, Roscosmos, termasuk Pengarahnya, Anatoli Perminov turut hadir untuk menyaksikan pendaratan itu.

Turut hadir untuk menyaksikan detik-detik bersejarah itu ialah ibu bapa angkasawan negara itu, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, serta abangnya Sheikh Ahmad, dan enam pelajar sekolah menengah yang berjaya dalam pelbagai kategori pertandingan kejuruteraan, sains, dan inovasi pada bulan Ogos lalu.

Sejurus selepas mendarat, satu cebisan lambang misi angkasawan Malaysia ditampal di dinding pusat kawalan teknikal Malaysia, yang menjadi gambaran simbolik kepada kejayaan Malaysia menyempurnakan misi itu.

Semasa kapsul angkasa itu berlepas dari ISS pada pukul 11.15 pagi, semua pihak mulai berdoa untuk keselamatan pendaratan Soyuz TMA-10, kerana impak terhadap kapsul itu semasa ia memasuki ruang atmosfera bumi cukup kuat apabila ia bergerak pada kelajuan 755 meter sesaat.

Bagaimanapun impak itu diminimumkan selepas payung terjun khas dibuka dari kapsul angkasa itu pada ketinggian 10 km sebelum ia mendarat di bumi.

Enam helikopter kemudiannya dikerah mencari kapsul angkasa itu.

Pengarah Program Angkasa Malaysia Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berada di tapak pendaratan untuk membawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke pusat perubatan sementara untuk dipulihkan dari kesan mikrograviti yang ditempuhinya sejak 11 hari berada di ruang angkasa lepas.

Angkasawan Malaysia itu kemudianya dibawa ke pengkalan udara Chakalovsky, berhampiran Gagarin Cosmonaut Training Centre, Star City, di sini, di mana satu majlis khas diadakan untuk menyambut kepulangannya oleh Najib.

Angkasawan Malaysia itu akan berada di Moscow untuk tempoh dua minggu lagi bagi tujuan kuarantin, sebelum kembali ke Malaysia.

Dr Sheikh Muszaphar berlepas dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11 bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan Jurutera Penerbangan Yuri Malechenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia) pada 10 Oktober lalu.

Sepanjang 10 hari di ISS, Dr Sheikh Muszaphar membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob serta uji kaji penghabluran protein untuk kegunaan industri. - Bernama

Oleh Norfatimah Ahmad

Hasil siasatan laporan audit salah urus dana awam diumum esok

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuat keputusan sama ada esok atau Selasa, bentuk tindakan bakal diambil terhadap mereka yang disiasat berkaitan salah urus dana awam yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Sumber memberitahu Berita Minggu, pada mesyuarat yang akan diadakan pada hari berkenaan pihaknya akan mencadangkan jenis tindakan terhadap mereka terbabit.


"Ada berita besar minggu depan, tunggu sajalah. Yang pasti, keputusan yang dibuat akan memberi impak kepada pelbagai pihak kerana BPR mahu memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan dan mencari ruang untuk pelakuan rasuah atau membelakangkan amalan prosedur kerja yang telus sepanjang proses pelaksanaan projek kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan audit itu yang dibentangkan 7 September lalu mendedahkan beberapa persoalan termasuk kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk pembelian 13 peralatan dan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran hingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ia termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Kelmarin, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata, pihaknya sudah hampir selesai menjalankan siasatan berhubung laporan audit itu dan beberapa individu dijangka dikenakan tindakan dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada keputusan itu akan membabitkan menteri atau timbalan menteri di kementerian yang disiasat badan berkenaan, sumber itu berkata, "Tidak sampai ke tahap itu tetapi, BPR mungkin akan mencadangkan supaya pihak terbabit didakwa atau dikenakan tindakan kerana tidak peka dalam melaksanakan tugas penting itu."

Beliau berkata, kertas siasatan kes membabitkan laporan audit itu sudah dilengkapkan sebelum Aidilfitri lalu selepas pihaknya memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung pelaksanaan projek di beberapa kementerian.

Sumber itu berkata, tumpuan utama diberikan BPR kepada kes membabitkan laporan audit itu kerana ia berkait rapat dengan kepentingan awam dan negara, lebih-lebih lagi penggunaan peruntukan kerajaan.

Kata sumber itu lagi, siasatan menyeluruh membabitkan pelbagai aspek dilakukan termasuk mendapatkan maklumat syarikat yang memperoleh kontrak, sama ada mempunyai kaitan rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan.

"Kertas siasatan juga meneliti sama ada pegawai kerajaan menerima rasuah, ada pihak membuat tuntutan palsu dan jumlah barang yang dibekalkan menyamai jumlah yang ditempah dengan kadar harga yang sama," katanya.

INFO: Antara pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006

  • Kementerian Belia dan Sukan � Pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menyebabkan kerajaan kerugian RM8.39 juta yang berlaku pada 2002.
  • Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani � Kelemahan dalam Skim Baja Padi apabila kebanyakan syarat tidak dimasukkan dalam kontrak dan pemberian subsidi harga padi sebanyak RM1.36 juta kepada hanya 158 pesawah.
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat � Kelulusan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan membabitkan pemberian bantuan khas kepada 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM3.8 juta antara 2004 hingga Mac 2006.
  • Kementerian Keselamatan Dalam Negeri � Pembelian dua helikopter Mi-171 untuk Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM117.5 juta gagal didaftarkan sebagai pesawat awam oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) kerana tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.

PULAU PINANG 21 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui tidak mudah untuk menjadi pemimpin negara berbilang kaum serta memenuhi kehendak semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, bagaimanapun Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada pelbagai kaum tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum termasuk kaum minoriti dalam semua aspek.

Tegasnya, ini kerana setiap rancangan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah hasil muafakat dan perbincangan pemimpin semua kaum dalam BN.

‘‘Tidak mudah untuk memimpin negara yang berbilang kaum kerana tidak ada contoh negara yang mempunyai peratusan komposisi kaum seperti di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Masyarakat Cina sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy.

Beliau berkata, melalui muafakat tersebut setiap dasar yang digubal adalah mengambil kira kepentingan semua kaum dan pada masa sama dasar itu tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa pembabitan semua.

‘‘Tidak susah untuk membuat dasar tetapi tidak mudah untuk memastikan semua yang kita laksanakan itu elok untuk semua,” katanya.

Abdullah berkata, dasar itu mudah untuk digubal kerana semua rakyat mempunyai hasrat yang sama iaitu mahu negara terus maju, aman dan selamat.

Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang menikmati pembangunan dan memperbaiki taraf hidup mereka dengan pelaksanaan projek pembangunan.

Katanya, projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Koridor Timur contohnya adalah untuk memastikan pembangunan seimbang dikecapi oleh semua.

‘‘Apabila kita hendak laksanakan pembangunan koridor berkenaan, banyak agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri perlu beri kerjasama kerana untuk menjayakannya bukan kerja mudah,” jelasnya.

Justeru, beliau memberi jaminan semua dasar dan projek yang dirancang itu akan dilaksanakan dengan baik dan disiapkan mengikut jadual.

‘‘Saya tidak boleh berbohong kepada rakyat. Jika tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya mereka akan marah.

‘‘Masa mula jadi Perdana Menteri dulu semua orang sayang tetapi sekarang ini sudah ada orang marah,” katanya.

Daripada: METRA SYAHRIL MOHAMED

MOSCOW 20 Okt. – Esok, seluruh perhatian rakyat Malaysia akan tertumpu di Kazakhstan dan Rusia bagi mengikuti laporan kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Bumi selepas berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari.

Adalah menjadi harapan semua agar cosmonaut negara itu selamat pulang ke Bumi bersama dua angkasawan lain iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov melalui kapsul Soyuz TMA-10.

Kesihatan beliau ketika ini dilaporkan stabil dan baik serta sudah pun melakukan persiapan untuk menanti detik berlepas pulang ke Bumi.

Segala penyelidikan yang diamanahkan juga telah dilaksanakan dengan sempurna namun ada dua lagi kajian iaitu pengkristalan protein, sel tulang dan sel radangan akan ditamatkan menjelang pukul 4 pagi esok waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia).

Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, Sheikh Muszaphar juga telah menyempurnakan penyelidikan hasil kerjasama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun (JAXA).

‘‘Kami, pasukan penyelidik termasuk pihak Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) dan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang memantau aktiviti Sheikh Muszaphar di ISS amat berpuas hati dengan pencapaian serta keupayaannya melakukan penyelidikan di angkasa.

‘‘Segalanya dapat dilaksanakan dengan baik sekali. Sekalung tahniah untuk beliau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

A. Rahman berkata, sebagai angkasawan muda, kemampuan beliau melaksanakan penyelidikan di ISS dengan jayanya amat mengagumkan.

Sementara itu, di Moscow ketika ini, delegasi Malaysia termasuk pasukan penyelidik, kejuruteraan aeroangkasa dan perubatan sudah pun bersedia untuk menyambut kepulangan Sheikh Muszaphar.

Kapsul Soyuz dijangka mendarat ke Bumi pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia).

MOSCOW 20 Okt. – Pendaratan kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke bumi esok, merupakan saat yang membimbangkan pasukan penyelidik tempatan.

Ini kerana ada antara bahan penyelidikan yang dilakukan oleh Sheikh Muszaphar di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) perlu dikekalkan tahap suhunya sebaik tiba di bumi manakala penyelidikan lain pula amat sensitif dengan gegaran.

Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, apabila tiba di bumi, kajian mengenai sel tulang dan sel radangan perlu dikekalkan suhunya pada tahap 30 darjah celsius untuk terus hidup manakala sel kanser, bakteria dan protein pula pada paras 4 darjah celsius.

‘‘Proses pendaratan adalah saat yang penuh dengan risiko dan kit kajian perlu dipindahkan dari Soyuz dengan cermat bagi mengelak hasil penyelidikan rosak terutamanya penyelidikan mengenai pengkristalan protein yang sensitif gegaran.

‘‘Jika bergegar dengan teruk, kristal protein itu boleh pecah,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Salah satu komponen penting dalam Program Angkasawan Negara adalah penyelidikan kerana ia menentukan sejauh mana program tersebut dianggap berjaya.

Penyelidikan itu merupakan kajian yang dijalankan oleh tiga saintis terkemuka negara iaitu A. Rahman, Prof. Dr. Ramelah Mohamed dan Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman.

Eksperimen yang bakal dijalankan angkasawan negara melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein.

Menggunakan sepenuhnya kelebihan keadaan mikrograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan itu akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.

A. Rahman berkata, walaupun bimbang, pihaknya yakin angkasawan pertama negara dan kit penyelidikan akan kembali ke bumi dengan selamat.

‘‘Kit eksperimen itu telah dilabelkan sebagai Urgent Cargo dan akan dibawa terus ke Moscow untuk dianalisis. Ada kajian yang akan dianalisis di Rusia dan ada juga dilakukan di Jepun serta Malaysia,’’ ujarnya.

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Angkasawan negara, Kapten Dr. Faiz Khaleed yakin dunia akan mengiktiraf angkasawan Malaysia menerusi kesinambungan Program Angkasawan Negara.

Menurutnya, walaupun ada pihak mempertikaikan kelayakan angkasawan negara tetapi program berkenaan akan membuka mata dunia tentang keseriusan Malaysia untuk membangunkan industri angkasa lepas tempatan dan melahirkan lebih ramai angkasawan.

‘‘Dengan meneruskan program ini, secara tidak langsung dalam konteks jangka panjang, pengiktirafan dunia terhadap angkasawan negara kita akan datang dengan sendirinya,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis memaklumkan satu majlis khas akan diadakan oleh kerajaan Rusia bagi menganugerahkan gelaran kosmonaut (angkasawan) kepada angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Selain Sheikh Muszaphar, Faiz juga akan mendapat pengiktirafan yang sama sebagai angkasawan kedua negara.

Beberapa pihak seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyenaraikan Sheikh Muszaphar sebagai peserta penerbangan kapal angkasa dalam misi selama 10 hari di ISS yang akan berakhir esok walaupun telah menjalani latihan lengkap sebagai angkasawan selama setahun bersama Roskosmos.

Faiz memberitahu, Program Angkasawan Negara juga akan membuka peluang kepada Malaysia untuk menjalin hubungan erat dengan negara-negara maju yang bergiat aktif dalam penerokaan angkasa lepas.

‘‘Ini dapat membuka peluang ekonomi kepada Malaysia, baik dalam bidang angkasa lepas atau dalam bidang sains lain,’’ ujarnya

Oleh: ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berpeluang berbual dengan ibu bapanya sebelum berlepas pulang ke bumi dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) esok.

Bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor berkata, beliau dan isteri, Datin Zuraida Sheikh Ahmad akan berbuat demikian dari Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow beberapa minit sebelum Sheikh Muszaphar memasuki kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang akan membawanya pulang ke bumi bersama dua krew Rusia.

‘‘Saya dan isteri dibenarkan bercakap sepatah dua kata kepada Sheikh Muszaphar semasa dia masih di ISS sebelum masuk ke dalam Soyuz.

‘‘Sebelum ini pun, saya diberi peluang berbual secara sidang video dengan anak saya pada hari kedua dia berada di ISS,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau dan isteri serta anak sulung mereka, Sheikh Ahmad kini berada di Moscow sejak 9 Oktober lalu bagi menyaksikan pelancaran Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan sehingga selesai misi esok.

Angkasawan pertama negara dijadual mendarat dalam lingkungan 10 kilometer di kawasan Arkylk, Kazakhstan pada pukul 6.37 petang waktu Malaysia esok dengan Soyuz TMA-10 bersama dua angkasawan Rusia, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov.

Ditanya perasaannya mengenai proses kepulangan Sheikh Muszaphar ke bumi dari ISS, beliau tidak bimbang kerana telah diberikan penerangan terperinci oleh Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.

‘‘Saya berserah kepada Allah dan berdoa semoga dia selamat mendarat di bumi tanpa sebarang masalah,’’ katanya.

Menurut Sheikh Mustapha, beliau hanya dibenarkan berjumpa anaknya semasa dikuarantin di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Moscow.

Beliau menambah, mereka sekeluarga dijangka pulang ke tanah air bersama Sheikh Muszaphar pada 27 Oktober ini.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis akan menemui Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Lapangan Terbang Chkalovky, berhampiran Star City malam ini sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan misi angkasawan pertama negara di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Bagaimanapun, pertemuan dijangka berlangsung kira-kira 15 minit saja kerana krew Soyuz TMA-10 yang mendarat di bumi pada jam 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) perlu dikuarantin bagi memantau kesihatan mereka.

"Pada pertemuan itu Najib dijangka menyatakan penghargaan dan tahniah, kemudian melekapkan lencana Program Angkasawan Negara pada baju Dr Sheikh Muszaphar," kata jurucakap delegasi Timbalan Perdana Menteri di sini semalam.


Sebelum itu, Najib akan menyaksikan pendaratan kapal angkasa Soyuz di bandar Arkylk, Kazakhstan menerusi sidang video khas dari Pusat Kawalan Misi Moscow (MCCM) di sini.

Sementara itu, menjelang hari terakhir misi Dr Muszaphar di ISS, kalangan saintis menyifatkan keupayaan beliau menyesuaikan diri dengan cepat dan menjalankan tugas di ISS sebagai di luar jangkaan.

Meskipun ini kali pertama menjadi angkasawan dan krew di ISS, Dr Sheikh Muszaphar cepat menyesuaikan diri dengan keadaan dan mampu menyelesaikan semua kajian saintifik dengan sempurna untuk saintis Malaysia, Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA). Keupayaannya turut dikagumi saintis dan angkasawan daripada Agensi Angkasa Russia (Roscosmos).


Sehubungan itu, Pengarah Institut Perubatan Molekular Biologi (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap ketua saintis yang menghantar kajian ke ISS, Prof Dr A Rahman Jamal, berkata masyarakat saintis menyandarkan harapan kepada persiapan rapi yang diatur untuk membolehkan semua eksperimen saintifik dibawa balik dengan selamat untuk dianalisis.

Katanya, sejak 18 bulan lalu pihaknya merumus dengan teliti kaedah memilih dan mengenal pasti penyelidikan untuk dilaksanakan dengan selamat di ISS, membawa balik spesimen dan paling penting mengurangkan ke tahap paling minimum risiko spesimen rosak dalam proses pemindahan daripada tapak pendaratan.

Sepanjang 10 hari di ISS, angkasawan itu membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob serta uji kaji penghabluran protein untuk kegunaan industri.

Mengulas lanjut, Prof Rahman berkata, proses bagi memastikan semua enam kotak spesimen kajian sains dibawa turun dengan selamat, perhatian rapi diberikan kepada kaedah penyimpanan dan cara meletakkannya dalam kapal Soyuz.

Selepas Soyuz mendarat hari ini dan angkasawan dikeluarkan daripada kapsul pendaratan, enam kotak spesimen sainstifik yang dilabelkan sebagai kargo khas akan diterbangkan ke Moscow.

Selain membawa spesimen sains, kargo seberat 7kg yang dibenarkan dibawa pulang turut merangkumi satu kotak lain bagi barangan simbolik dan barangan peribadi beliau.

Selepas ke Moscow, spesimen penghabluran protein akan diterbangkan ke Jepun untuk dianalisis menggunakan alat khas di Universiti Osaka.

Sel kajian osteoporosis dan Huvec akan dianalisis di Institut Masalah Perubatan Russia di sini, manakala sel kanser dan bakteria dibawa balik untuk diuji di Malaysia pada 27 Oktober ini.

Oleh: HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 20 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia mendapat sokongan untuk menyertai pemimpin negara Arab pada sidang damai Asia Barat yang dijangka diadakan di Washington, Amerika Syarikat pada November ini.

Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkata, Malaysia yang dijemput menghadiri persidangan itu akan terus memberikan komitmen untuk mencari penyelesaian dan sokongan kepada isu di Asia Barat melibatkan Palestin.

‘‘Saya ingin menyatakan komitmen kita untuk menyokong rakyat Palestin seperti sebelum ini dan apa juga rundingan yang diadakan perlu mengambil kira Palestin sebagai sebuah negara.

‘‘Namun sehingga sekarang, tarikh sidang damai itu masih belum ditetapkan. Saya berterima kasih kerana Malaysia turut dijemput dan pada masa ini, Malaysia mendapat sokongan untuk ke persidangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di pejabatnya di sini hari ini.

Mahmoud kini berada di Malaysia dalam lawatan kerja selama dua hari mulai hari ini sebagai sebahagian daripada program kunjungan beliau ke negara-negara Asia Tenggara.

Ini merupakan lawatan pertama Presiden Palestin itu ke Malaysia sejak menjawat jawatan tersebut pada Januari 2005.

Persidangan damai Asia Barat itu dirancang dan ditaja oleh Presiden AS, George W. Bush.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan memberikan sokongan kepada Palestin apabila menyertai sidang damai itu kerana negara ini berminat untuk melihat perdamaian dicapai di negara tersebut.

‘‘Apa juga masalah yang berlaku akan memberi kesan kepada Barat dan Timur, maka penyelesaian perlu dicari,” katanya.

Namun katanya, beliau percaya apa jua masalah di Palestin adalah perkara yang perlu diselesaikan oleh rakyat negara itu sendiri kerana ia melibatkan masalah dalaman mereka.

‘‘Apa jua masalah dalam negara Palestin sama ada antara Hamas, ia adalah masalah dalaman, bukannya terletak kepada orang luar untuk menyelesaikannya,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, perkara penting ialah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dengan mengambil kira aspek kedamaian, inisiatif dan penyelesaian antara Israel dan Palestin.

Sementara itu, Mahmoud berkata, pertemuan yang diadakan dengan Perdana Manteri memfokuskan kepada isu penting dalam sidang damai yang akan diadakan di Washington kelak.

Katanya, memandangkan Malaysia akan dijemput menghadiri sidang damai itu, adalah penting bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam usaha mencapai perdamaian di Palestin.

‘‘Kami berbincang dengan mendalam mengenai sidang damai itu. Kita mengetahui ia akan diadakan pada bulan November ini tapi sehingga kini tiada tarikh ditetapkan dan tiada jemputan.

‘‘Mulai sekarang sehingga sidang damai itu diadakan, kita akan mencari mekanisme bagi membolehkan keputusan terbaik dicapai dalam persidangan berkenaan,” katanya.

Mahmoud turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan padu kepada Palestin dalam usaha negara itu mencapai kedamaian.

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Malaysia yang komited memperjuangkan isu Palestin terus mendapat sokongan dunia untuk menyertai pemimpin Israel, Palestin dan Amerika Syarikat (AS) pada sidang damai Asia Barat yang dijangka diadakan di Washington, bulan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Malaysia kini mendapat sokongan baik untuk menyertai sidang damai Asia Barat bagi menamatkan konflik Israel-Palestin.

"Saya menyokong pendirian Palestin (yang akan dikemukakan) pada persidangan (sidang damai Asia Barat) di Washington. Walaupun tarikhnya belum ditetapkan dan ada petunjuk menyatakan Malaysia wajar dijemput menghadiri persidangan itu.


"Ketika ini, sokongan yang diterima untuk Malaysia menyertai persidangan itu amat baik," katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

Mahmoud yang tiba jam 11.45 pagi, diiringi Menteri Penerangan, Riyad al Malki dan pegawai kanan Palestin.

Mahmoud tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin dalam lawatan kerja dua hari di Malaysia merangkumi sebahagian siri kunjungan ke Asia Tenggara.


Sebelum ini, akhbar melaporkan, pemimpin Israel, Palestin dan AS mengatur langkah dan strategi menyambung sidang damai Asia Barat yang dijadualkan akhir bulan depan dekat Annapolis di Maryland, tidak jauh dari Washington.

Mahmoud dan pemimpin Israel, Ehud Olmert dilaporkan sudah beberapa kali berbincang mengenai isu yang bakal dibawa ke persidangan itu sejak dua bulan lalu.

Anggota perunding Palestin, Saeb Erekat, berkata Mahmoud

dan Olmert mengarahkan perunding masing-masing bertemu bagi mencapai persetujuan isu asas bagi memeterai dokumen yang dapat dibentangkan dalam sidang berkenaan.

Antara lain Mahmoud dilaporkan menyuarakan harapan perjanjian damai Israel-Palestin dimeterai dalam tempoh enam bulan.

Perdana Menteri berkata, komitmen Malaysia untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin masih kukuh seperti dulu.

"Sudah menjadi hasrat kita bahawa dalam apa juga rundingan yang dianjurkan, amat penting rundingan mencakupi seluruh negara Palestin," katanya.

Abdullah berkata, isu yang dihadapi di Palestin perlu diselesaikan rakyat negara itu sendiri tanpa campur tangan pihak luar atau kuasa asing.

Sementara itu, Mahmoud berkata, kunjungannya ke Malaysia antara lain bertujuan menyelaras usaha dua negara membuat persiapan menyertai sidang damai di Washington.

"Kita dimaklumkan sidang damai itu akan diadakan bulan depan tetapi setakat ini belum ada tarikh atau undangan diedarkan.

"Mulai sekarang hingga tarikh persidangan diadakan, kita melakukan koordinasi dan mengenal pasti mekanisme terbaik yang boleh memastikan penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin," katanya.


BENAZIR memberikan sidang akhbar di rumahnya di Karachi semalam serta menyalahkan pihak militan dalam kejadian letupan bom ketika meraikan kepulangannya yang mengorbankan 136 orang.

KARACHI 20 Okt. – Pihak berkuasa Pakistan hari ini memulakan siasatan ke atas senarai suspek yang diserahkan oleh bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto berhubung serangan berani mati awal pagi semalam yang menyebabkan 136 orang terbunuh.

Benazir berkata, senarai nama tiga individu yang didakwa terbabit dalam serangan berani mati ke atas perarakan sempena menyambut kepulangannya selepas lapan tahun berada dalam buangan itu telah diserahkan kepada Presiden Jeneral Pervez Musharraf.

“Saya berkongsi nama-nama itu dengan Jeneral Pervez dan seorang daripada mereka memang dalam pemerhatian pihak berkuasa,” kata Benazir sewaktu ditemu ramah oleh British Broadcasting Corporation (BBC).

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama suspek tersebut.

Sumber Parti Rakyat Pakistan (PPP) pula menyatakan, senarai terbabit meliputi pegawai kanan tentera.

Benazir memberitahu, beliau menerima amaran awal mengenai rancangan serangan oleh anggota Al-Qaeda, Taliban Pakistan serta Afghanistan dan kumpulan militan di Karachi.

Beliau turut menuduh para penyokong bekas pemerintah tentera, Mohammed Zia ul-Haq yang menjadi dalang serangan berani mati itu.

Mohammed Zia merupakan orang yang bertanggungjawab menjatuhkan bapa Benazir, Perdana Menteri Zulfikar Ali Bhutto pada 1977 dan menjatuhkan hukuman gantung ke atasnya dua tahun kemudian.

Polis memberitahu, mereka sudah menjalankan siasatan tetapi tidak ada tangkapan dilakukan setakat ini.

“Siasatan berada dalam arah yang betul tetapi kami tidak mahu menuduh sesiapa atau menyalahkan mana-mana kumpulan militan.

“Terdapat sedikit bukti dari tempat kejadian tetapi kami tidak akan mendedahkannya,” kata Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi.

Walaupun serangan berani mati itu hampir meragut nyawanya, Benazir berikrar untuk terus tinggal di Pakistan bagi memerangi militan dan bertanding pada pilihan raya Januari ini.

Serangan ke atas perarakan Benazir merupakan yang paling buruk dan mencetuskan keraguan mengenai jelajah pemimpin wanita itu ke seluruh negara.

PPP pula menyatakan, beliau akan melawat kampung halaman keluarganya di Larkana di selatan wilayah Sindh.

“Beliau mengadakan mesyuarat dengan para pegawai parti dan berunding dengan mereka. Program-programnya telah diubah berikutan ancaman keselamatan tetapi serangan bom itu tidak mematahkan semangatnya,” kata pemimpin kanan PPP, Taj Haider.

– AFP

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Rakyat Malaysia yang ingin ke Pakistan diminta lebih berhati-hati serta berwaspada selepas dua serangan berani mati yang disasarkan ke atas bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto menggegar Karachi, semalam.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ahmad Shahizan Abd. Samad berkata, walaupun keadaan di Pakistan terutama Karachi semakin tenang, rakyat Malaysia yang ingin ke negara itu diminta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan diri berada di kawasan-kawasan yang terdapat rapat umum atau perhimpunan parti politik.

‘‘Saya meminta rakyat Malaysia yang ingin ke Pakistan terutama yang mempunyai urusan perniagaan supaya menghubungi rakan kongsi mereka terlebih dahulu untuk mengetahui keadaan di negara ini.

‘‘Pada masa ini, keadaan sudah kembali tenang selepas serangan dan kawalan keselamatan juga telah dipertingkatkan. Tetapi elok kita lebih berwaspada,’’ katanya ketika dihubungi di Pakistan hari ini.

Semalam, dua serangan berani mati yang disasarkan kepada Benazir telah membunuh sekurang-kurangnya 136 orang dan menyebabkan kira-kira 300 orang cedera.

Benazir terselamat dalam serangan itu yang berlaku kira-kira 10 jam selepas beliau menjejakkan kaki ke tanah airnya setelah lapan tahun berada di dalam buangan di London.

KARACHI: Polis Pakistan menyiarkan gambar penyerang bunuh diri yang menyebabkan sekurang-kurangnya 139 orang terbunuh dan 325 lagi cedera dalam cubaan membunuh bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang pulang dari buangan.

Polis turut memulakan siasatan terhadap senarai suspek yang diserahkan Benazir berhubung cubaan membunuhnya.

Akhbar berbahasa Urdu menyiarkan gambar berukuran pasport penyerang yang diletakkan di atas kain putih dengan matanya terbuka, bermisai tebal dan berjanggut.


"Usia suspek ialah antara 20 dan 25 tahun, dipercayai penduduk Karachi," kata pegawai keselamatan yang enggan mendedahkan namanya.

Benazir berkata, beliau sudah menghantar nama tiga orang yang disyaki terbabit dalam serangan terburuk dalam sejarah Pakistan kepada Presiden Pervez Musharraf .

"Saya sudah memberitahu nama suspek kepada Presiden Musharraf dan salah seorang daripadanya adalah suspek yang memang diawasi kerajaan," kata Benazir dalam satu temuramah dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), tetapi enggan memberikan nama mereka.


Musharraf dilaporkan menelefon Benazir dan berjanji menangkap pihak bertanggungjawab dalam serangan ke atasnya.

Sumber Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir berkata, suspek berkenaan termasuk seorang pegawai kanan tentera tetapi tidak mengulas lanjut.

Benazir berkata, beliau menerima amaran awal mengenai rancangan anggota al-Qaeda, Taliban dan kumpulan militan berpangkalan di Karachi untuk menyerang beliau.

Benazir turut menuduh penyokong bekas pemimpin Pakistan, Mohammed Zia ul-Haq sebagai dalang kejadian itu.

Berikutan cubaan membunuhnya, Benazir terpaksa membatalkan kunjungannya ke Larkana, sebuah bandar kira-kira 240 kilometer ke timur laut Karachi bagi menziarahi pusara ayahnya. - AFP/Reuters

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menderita penyakit leukemia mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung semula pengajiannya jika kos pemindahan sumsum tulang berjumlah RM128,000 gagal dikumpulkan.

Sehubungan itu, Junaina Johari, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan merayu bantuan orang ramai bagi membolehkannya menjalankan pembedahan tersebut dengan segera seterusnya menyambung semula pengajian yang tertangguh sejak Oktober 2005.

Anak kepada pesara tentera ini berkata, kesempitan hidup keluarga yang bergantung kepada pencen ayahnya berjumlah RM800 sebulan menyukarkan mereka untuk mengumpul wang bagi menjalankan pembedahan tersebut.

‘‘Ayah sudah terlalu tua untuk membuat kerja sampingan bagi mencari wang tambahan manakala ibu pula tidak bekerja kerana menghidap penyakit darah tinggi.

‘‘Saya kini terpaksa mengharapkan bantuan abang sulung kerana saya sendiri tidak boleh bekerja memandangkan sering keluar masuk hospital,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemani bapa, Johari Atan, 71; ibunya, Jamaliah Sengot, 52, dan abang, Shairul Azmanlizam Johari, 27.

Anak kedua daripada empat beradik ini memberitahu, doktor memintanya untuk menjalankan pembedahan tersebut dengan segera kerana rawatan kemoterapi yang dijalankannya sebelum ini kurang memberi kesan terhadap penyakitnya.

‘‘Saya mempunyai peluang 70 peratus untuk sembuh daripada penyakit ini sekiranya dapat menjalankan pemindahan sumsum tulang dengan segera.

‘‘Jika tidak penyakit saya mungkin akan bertambah teruk kerana kanser darah sel putih dalam badan saya tidak stabil dan sering turun serta naik,’’ ujarnya.

Junaina yang terpaksa menelan ubat hampir setiap hari sejak dua tahun lalu berkata, anggaran kos RM128,000 yang diperlukannya agak tinggi kerana penderma yang akan menderma sumsum tulang kepadanya itu merupakan rakyat Singapura.

Selain itu, katanya, kos itu juga merangkumi keseluruhan proses pembedahan yang akan dilakukan di Hospital Ampang termasuk rawatan susulan selepas pembedahan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Junaina di talian 017-4137994 atau abangnya, Shairul Azmanlizam di nombor 016-6544637.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Junaina Johari di Bank Islam Malaysia Berhad di akaun bernombor 12-074-02-011787-0.

Oleh: SAFINA RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pesakit yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, memerlukan penderma paru-paru baru dari penderma yang mempunyai darah jenis B positif.

Menurut Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus, pemindahan paru-paru baru hanya boleh dilaksanakan sekiranya penderma telah meninggal dunia dan paru-parunya berada dalam keadaan elok serta sesuai dengan Siti Salmah.

‘‘Untuk itu, pesakit mati otak boleh membantu dan kita berharap mana-mana waris keluarga pesakit mati otak dapat membantu gadis ini (Siti Salmah) dengan mendermakan paru-paru untuknya,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Walaupun misi mencari paru-paru yang dilancarkan Utusan Malaysia bagi membantu Siti Salmah telah masuk hari kelima, namun masih belum ada khabar gembira bagi gadis dari Kulai, Johor itu untuk mendapat paru-paru baru.

Gadis dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan paru-paru sejak tahun 2005 itu memerlukan organ tersebut daripada penderma kerana menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan biasa.

Sementara itu, ibu Siti Salmah, Sabariah Mustaffa, 49, berkata, keluarganya tidak akan berputus asa dalam pencarian paru-paru untuk anaknya.

Menurutnya, anaknya dikesan menghidap penyakit itu semasa berumur 15 tahun dan penyakit anaknya sudah berada pada tahap kritikal iaitu pada tahap empat.

Sabariah berharap akan ada satu keajaiban bakal menjelma untuk anaknya.

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memuji S. Krishnamoorthy, 19 kerana menyelamatkan beberapa mangsa feri Seagull Express 2 yang terbakar di perairan berhampiran Pulau Tioman Sabtu lepas.

“Krishnamoorthy, seorang belia yang sangat gagah yang boleh menjadi contoh bagi rakyat Malaysia, terutamanya belia,” kata Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dilaporkan seorang mangsa yang terselamat itu, Ng Soon Tiong, 41 melihat Krishnamoorthy memberikan jaket keselamatan kepada penumpang lain dan membantu kanak-kanak daripada feri yang terbakar itu.

Beliau berkata, Krishnamoorthy menyelam beberapa kali untuk menarik yang lain ke tempat selamat.

Soon Tiong berkata, Krishnamoorthy menyelamatkan nyawa dua orang anak lelakinya berumur antara 7 dan 9 tahun, serta beberapa orang saudaranya.

“Ramai daripada kita yang masih hidup hari ini kerana beliau. Kita semua terhutang budi dengannya,” kata Soon Tiong.

– Bernama

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penerima jantung baru Tee Hui Yee, 14, masih perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk menguatkan anggota badannya di Institut Jantung Negara (IJN) selepas selamat menjalani pemindahan jantung pada 5 Oktober lalu.

Menurut Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman, setakat ini perkembangan kesihatan Hui Yee amat memberangsangkan dan dia perlu memberi tumpuan pada latihan fisioterapi.

Beliau berkata, kesihatan Hui Yee masih perlu dipantau oleh doktor di IJN.

‘‘Dia juga masih ditempatkan di ICU dan selepas doktor yang merawatnya berasa yakin dengan tahap kesihatannya barulah dia akan dipindahkan ke wad biasa,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Hui Yee mencipta sejarah dalam bidang perubatan negara kerana menjalani dua pembedahan pemindahan jantung dalam masa dua hari kerana jantung pertama yang didermakan pada 3 Oktober lalu tidak diterima tubuhnya.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada guru termasuk Penolong Kanan cuba menghidupkan semula fahaman Aurad Muhammadiah yang diasaskan Ashaari Muhammad. bekas pemimpin al-Arqam yang diharamkan,

NUTP mendakwa majoriti guru terbabit adalah bekas ahli al-Arqam sebelum diisytiharkan sebagai haram pada 1994 dan menggunakan profesyen perguruan bagi menghidupkan ajaran berkenaan.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata guru terbabit masih mengagungkan Ashaari sebagai pemimpin dan berpegang kepada fahaman dan amalan Aurad Muhammadiah serta berselindung di sebalik kerjaya guru bagi mengaburi mata masyarakat.


Katanya, beliau mendapat maklumat itu melalui ahlinya di Terengganu dan hasil siasatan mengesahkan memang ada guru di negeri itu yang masih berpegang kepada ajaran berkenaan.

“Walaupun setakat ini kes hanya dicatatkan di Terengganu, saya tidak menolak kemungkinan cubaan menghidupkan semula ajaran itu dilakukan di negeri lain dan kami sedang mengumpul maklumat.

“Kita akan lakukan siasatan hingga ke akar umbi bagi memastikan tiada penipuan menggunakan profesyen perguruan dan sekolah bebas daripada ajaran sesat,” katanya kepada Berita Minggu.


Beliau mendedahkan perkara itu selepas laporan media mengenai kes seorang murid Tahun Enam di Klang, Selangor disuruh ibu bapanya menyiapkan karangan berkaitan keagungan Ashaari dan menggambarkan pemimpin al-Arqam itu sebagai tuhan kedua.

Anuar berkata, beliau pernah dicabar guru berkenaan untuk membuktikan ajaran Ashaari sesat termasuk memberikan buku Ashaari-Pemimpin Ajaib di Zamannya untuk dibaca dan dinilai kandungannya.

"Individu terbabit mengirimkan buku itu kepada ahli persatuan dan meminta diserahkan kepada saya dan mencabar saya buktikan sebarang unsur penyelewengan akidah," katanya.

Beliau berkata, mungkin pergerakan al-Arqam dianggap sesetengah pihak sudah tidak membahayakan tetapi semua pihak perlu berwaspada kerana mereka secara senyap boleh memesongkan akidah golongan muda yang bakal menjadi modal insan negara.

Oleh Norakmah Mat Youb

KUALA LUMPUR: Penyakit berkaitan kesihatan mental di negara ini diibaratkan sebagai bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa berdasarkan kira-kira 20 peratus rakyat negara ini menghidap tekanan perasaan kronik.

Ketua Jabatan Psikologi Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata daripada jumlah itu hanya 0.5 peratus mendapatkan rawatan dipercayai disebabkan pelbagai faktor termasuk tidak mahu dianggap gila dan faktor kewangan.

Beliau berkata, pesakit mental kronik ini jika tidak dirawat segera, berkemungkinan besar boleh melakukan perkara di luar dugaan termasuk mencederakan diri sendiri atau membunuh orang lain.


"Kajian yang dijalankan mendapati mereka yang sakit ini lebih rela menanggung kesakitan daripada mendapatkan rawatan. Ia sebahagian daripada bukti menunjukkan masalah tekanan sudah mula melanda rakyat negara ini dan jika tidak dibendung boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.

"Antara golongan harus diberi perhatian ialah generasi muda supaya mereka tidak mewarisi budaya hidup dalam tekanan ini. Tekanan pada peringkat kanak-kanak pula agak berbahaya kerana mereka cenderung meniru aksi ganas yang ditonton di televisyen setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu keganasan yang semakin membimbangkan dipercayai akibat tekanan dan terbaru seorang pelajar berusia 15 tahun menikam budak berusia tujuh tahun menggunakan kaca tingkap sehingga mati, dipercayai akibat tidak berpuas hati mangsa mengganggu ayam belanda peliharaannya.


Dr Mohamad Hussain berkata, tekanan perasaan yang tidak terkawal mendatangkan keganasan dan kebanyakan kes pembunuhan serta keganasan tidak membabitkan pesakit jiwa, tetapi dilakukan individu yang gagal mengawal tekanan dan emosi termasuk kanak-kanak.

"Orang yang menghadapi tekanan tidak boleh dipanggil pesakit jiwa. Stigma atau tanggapan salah itu perlu diperbetulkan. Jangan pandang serong individu yang berjumpa dengan kaunselor kerana ia sebenarnya langkah paling baik untuk merawat tekanan," katanya.

Beliau berkata, antara sebab lain keganasan semakin berleluasa ialah kerana institusi keluarga di negara ini menghadapi banyak masalah terutama di bandar.

"Keluarga hari ini berbeza dengan institusi keluarga dulu. Kebanyakan keluarga kini tinggal berjauhan daripada saudara mara terdekat menyebabkan mereka sukar untuk mendapat bantuan ketika ditimpa masalah.

"Sebenarnya, banyak faktor menyumbang kepada masalah ini. Tekanan tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dan risikonya sama. Namun, secara umumnya perempuan lebih mudah mengalami tekanan perasaan berbanding lelaki," katanya.

Beliau menyatakan tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi gangguan mental dan emosional yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika keadaan itu tidak mampu ditanggung tubuh badan.

"Layanan emosi dan sokongan sosial keluarga terdekat seperti ibu bapa, guru dan rakan amat perlu. Memberi perhatian dan kasih sayang kepada individu mengalami tekanan boleh memberi kekuatan emosi kepada mereka," katanya.

Beliau juga mencadangkan sebuah pusat rawatan khas yang menawarkan perkhidmatan percuma atau bayaran murah diwujudkan di setiap komuniti bagi memberi maklumat dan rawatan awal menghadapi tekanan serta masalah berkaitan mental.

Pusat rawatan itu perlu dikendalikan pakar dalam bidang berkenaan dan dibantu oleh sukarelawan.

"Pusat rawatan khas itu seperti klinik kesihatan dan pusat pemulihan psikososial yang pernah ditubuhkan pada 1998 dan 2003. Di sini orang ramai boleh mendapatkan nasihat daripada pakar kaunseling mengenai masalah dihadapi," katanya.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Seramai 141 kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan ke bawah menjadi mangsa rogol dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

Sebanyak 16 kes yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara Januari hingga Julai itu membabitkan mangsa berusia enam tahun ke bawah, manakala 23 lagi berusia antara enam dan sembilan tahun.

Kes itu membimbangkan kerana menunjukkan pola peningkatan berbanding tempoh enam bulan sebelum itu (Julai hingga Disember 2006) yang hanya membabitkan 131 mangsa.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, 141 mangsa itu adalah antara 1,814 mangsa rogol membabitkan semua peringkat usia yang dilaporkan sepanjang Januari hingga Julai lalu.

"Kita amat bimbang dengan peningkatan kes rogol, malah kes itu antara paling tinggi direkodkan berbanding 18 indeks jenayah lain," katanya di sini.

Awal minggu ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, PDRM sedia menerbitkan senarai pesalah seks serta bertukar maklumat mengenai fidofilia, perogol, penyeludup manusia serta penjenayah lain bersama agensi penguatkuasaan di dunia.


Beliau yang mengumumkan perkara itu ketika menghadiri Simposium Kerjasama Polis Eropah-Asia di Bangkok, Thailand berkata buat permulaan PDRM akan bertukar pangkalan data pesalah seumpamanya bersama agensi penguatkuasaan di Eropah dan Asean.

Musa juga mengakui cadangan untuk menerbitkan senarai mereka yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa seks dan perogol hanya membabitkan mereka yang sudah disabitkan di mahkamah.

Mereka yang mengganggu wanita juga akan disenaraikan supaya orang ramai lebih berwaspada kerana tahu orang seperti itu berada di persekitaran mereka.

Wan berkata, secara keseluruhan, kes jenayah rogol meningkat 452 kes atau 24.9 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 1,814 kes itu direkodkan di seluruh negara antara Januari hingga Julai, berbanding 1,362 kes tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, Selangor terus menjadi negeri tertinggi merekodkan bilangan jenayah itu dengan 347 kes dalam tempoh itu berbanding hanya 233 kes

JENAZAH mereka yang terkorban dalam serangan berani mati di Jalan Karsaz, Karachi kelmarin ditempatkan di rumah mayat untuk dikenal pasti dan dituntut oleh sanak-saudara mereka, semalam. – AFP.

KARACHI 20 Okt. – Menteri Penerangan, Tariq Azim hari ini menegaskan, Pakistan telah mengambil segala langkah yang perlu untuk melindungi Benazir Bhutto dan kerana itu, tidak adil untuk menyalahkan kerajaan berhubung serangan berani mati, semalam.

Katanya, ketika ini adalah penting untuk semua pihak berhenti daripada saling tuduh-menuduh berhubung insiden serangan yang meragut 139 nyawa dan mencederakan lebih 200 mangsa itu.

“Trauma serangan itu menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan yang tidak mungkin muncul semasa keadaan tenang tanpa kekacauan.

“Sepatunya semua semua pihak tidak saling tuduh-menuduh kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri tersebut yang mendakwa beliau mempunyai senarai nama suspek penyerang dan telah menyerahkannya kepada Presiden Pervez Musharraf.

Jelas Tariq, nama dan pembayang beberapa individu telah disebut tanpa motif atau bukti pembabitan dan ia merupakan perkara yang tidak adil kepada mereka yang dituduh tersebut.

Benazir menyalahkan rangkaian Al-Qaeda dan kumpulan Taliban sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam cubaan membunuhnya menerusi serangan berani mati sewaktu perarakan menyambutnya di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau turut memberi bayangan bahawa terdapat beberapa pegawai kerajaan atau tentera mungkin terlibat dalam serangan tersebut.

Senarai nama mereka yang mungkin merancang serangan terhadap pemimpin pro- Barat itu dikatakan sebagai satu senarai yang panjang.

Benazir juga mengesyaki serangan itu dilakukan oleh sisa rejim bekas ketua tentera, Zia ul-Haq yang sebelum ini menjatuhkan hukuman gantung terhadap bapa beliau.

“Setakat ini kami tidak boleh menyatakan ia didalangi Al-Qaeda, tetapi penyiasatan masih berjalan,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Aftab Khan Sherpao.

Rakaman televisyen yang disiarkan semalam turut menunjukkan kepala suspek pengebom berani mati itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dengan rambut keriting dan bermata hijau.

Sementara itu, Karachi yang selalunya sibuk dengan aktiviti lebih 15 juta penduduknya, hari ini bertukar sepi ekoran serangan ganas semalam.

Pusat-pusat membeli belah serta kedai kecil termasuk stesen minyak di kebanyakan kawasan kejiranan masih ditutup sama ada bimbang dengan ancaman keganasan terbaru itu selain ramai yang berkabung dengan krisis berdarah berkenaan.

Di sesetengah kawasan, para penyokong Benazir melahirkan kemarahan dan protes mereka dengan membakar tayar-tayar buruk dan membaling batu ke arah kenderaan yang lalu-lalang.

“Mereka marah dan melahirkan kemarahan itu dengan cara sedemikian,’’ tegas seorang penduduk.

Sementara itu, akhbar The News dalam lidah pengarangnya berkata, serangan itu meningkatkan ketidakstabilan politik di negara yang sedia bergolak ini.

– AP

QUETTA, Pakistan 20 Okt. – Tujuh terbunuh dan 15 yang lain cedera hari ini dalam satu letupan bom di sebuah pasar di wilayah bergolak Baluchistan dalam keganasan terbaru yang menggegar Pakistan.

Letupan berlaku ketika para penumpang sedang menunggu di sebuah hentian mini van di pasar utama di bandar Dera Bugti, barat laut Baluchistan yang dicengkam oleh pemberontakan puak.

“Sebutir bom meletup di sebuah pasar menyebabkan tujuh terbunuh dan enam lagi cedera,” kata jurucakap polis, Hazoor Baksh.

Seorang pegawai tempatan pula memberitahu, 15 orang cedera dan sebuah van musnah dalam letupan di Dera Bugti yang terletak 250 kilometer di tenggara Quetta.

“Kami menyiasat sama ada bom itu dimasukkan dalam van yang diletakkan berhampiran sebuah van penumpang,” kata Baksh.

Keganasan semakin meningkat di Pakistan selepas kerajaan mengarahkan serbuan ke atas Majis Merah di Islamabad pada Julai lalu.

Baluchistan berdepan dengan pemberontakan sejak tiga tahun lalu selepas suku-suku puak menuntut autonomi lebih besar dan mahu mendapat bahagian yang lebih banyak ke atas sumber asli wilayah itu.

– AFP

YANGON 20 Okt. – Myanmar terus mendapat tekanan hari ini selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan terbaru ke atas junta berikutan tindakan kerasnya terhadap penunjuk perasaan baru-baru ini.

Hukuman itu dikenakan oleh Presiden George W. Bush ke atas pemimpin junta negara itu lewat semalam dan beliau turut menyeru China serta India yang merupakan jiran dan sekutu kuat Myanmar agar meningkatkan tekanan terhadapnya.

Ia merupakan sekatan kali kedua dalam masa empat minggu oleh AS dan setakat ini media negara di Yangon masih mendiamkan diri berhubung tindakan berkenaan.

Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) juga enggan memberi sebarang ulasan berkaitan dengan sekatan baru tersebut.

Bagaimanapun, seorang diplomat yang beribu pejabat di Yangon menyuarakan rasa skeptikal mengenai impak sekatan baru itu ke atas junta.

“Pemimpin junta mungkin akan berasa gementar kerana AS telah meningkatkan tekanan dengan pantas.

“Namun kesan buruk yang dibawa oleh sekatan itu terhad kerana saya rasa pemimpin tertinggi Myanmar tidak lagi mempunyai aset yang banyak di AS,” ujarnya lagi.

Kerajaan junta itu mula merasai tekanan antarabangsa selepas ia menggunakan kekerasan dalam menyuraikan demonstrasi aman yang diketuai sami-sami Buddha pada 26 September lalu.

Tindakan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 13 terbunuh sementara lebih 3,000 yang lain ditahan oleh junta.

Pada awalnya, AS telah membekukan aset 14 pegawai kanan junta termasuk ketua pemerintah iaitu Jeneral Than Shwe tetapi hari ini 11 lagi pemimpin junta mengalami nasib serupa.

– AFP

LONDON: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif dan Presiden Liga Muslim Pakistan, Nawaz (PML-N), Shahbaz Sharif mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP), Benazir Bhutto.

Mereka menyifatkan serangan itu tindakan pengecut, tidak bertoleransi atau menghormati hak orang lain.

Dalam kenyataan kelmarin, mereka berkata, kerajaan sepatutnya memberi perlindungan yang dapat menjamin tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika sambutan kepulangan Benazir.


Mereka merujuk kepada perlindungan kepulangan Benazir pada 10 April 1986 ketika Nawaz menjadi Ketua Menteri Punjab yang berlangsung dalam suasana aman sedangkan ia lebih besar berbanding kehadiran penduduk di Karachi.

Nawaz dan Shahbaz mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan itu.

Penyokong Benazir yang marah dengan cubaan membunuhnya, membakar tayar, membaling batu ke arah kereta dan memaksa kedai ditutup di kawasan tertentu di Karachi, semalam, tetapi tiada siapa cedera, kata polis.

Kehadiran beribu-ribu orang bagi menyambut Benazir, bagaimanapun, menunjukkan beliau masih memiliki tarikan besar di kalangan rakyat Pakistan berbanding ahli politik lain sekalipun sudah 10 tahun tidak berkuasa. – Agensi