Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED


KAPAL angkasa Rusia Soyuz TMA-11 yang akan membawa angkasawan negara bersiap sedia untuk berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa Rabu ini selepas ditegakkan di tapak pelancarannya di Baikonur, Kazakhstan, semalam. – AP.

BAIKONUR, Kazakhstan 8 Okt. – Roket pelancar Soyuz yang bakal membawa angkasawan pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) Rabu ini dibawa ke tapak pelancarannya di Baikonur Cosmodrome dekat sini hari ini.

Roket tersebut yang telah dicantumkan dengan kapsul Soyuz sejak semalam dibawa menggunakan kereta api khas dari hangar yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari tapak pelancaran berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, sebaik tiba di tapak pelancaran, roket pelancar Soyuz menjalani uprighting process iaitu ditegakkan.

‘‘Ia merupakan proses terakhir sebelum roket itu dilancarkan Rabu ini. Ketika ini semua persiapan logistik dan teknikal berhubung roket pelancaran berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Angkasawan Malaysia yang terpilih menyertai misi Soyuz TMA-11 Rabu ini bakal diterbangkan dengan kapal angkasa itu ke ISS.

Angkasawan itu akan melawat ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

Di ISS, angkasawan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 35, atau Kapten Dr. Faiz Khaleed, 27, akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Program angkasawan negara itu merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

Jamaluddin berkata, selain persiapan logistik, persiapan berkaitan dengan penyelidikan juga berjalan lancar.

Menurutnya, kesemua saintis yang terlibat sudah berada di Baikonur untuk melakukan persiapan terakhir.

‘‘Kesemua peralatan dan bahan kajian telah dibawa masuk ke dalam Soyuz semalam dalam dua sesi iaitu pada pukul 10 pagi dan 5 petang.

‘‘Bahan-bahan kajian telah dapat disediakan dengan sempurna dan telah lulus dalam ujian penyediaan yang ditetapkan oleh pihak Rusia dan ISS,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan angkasawan negara diberi tugas tambahan selain menjalankan tiga penyelidikan berkenaan, Jamaluddin berkata, setakat ini beliau belum dimaklumkan apa-apa berhubung perkara tersebut.

– Utusan

KEPALA BATAS 8 Okt. – Bagi 170 anak yatim yang menghuni Rumah Taman Bakti dekat sini, pengalaman bersahur semalam pasti tidak dilupakan apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengejutkan mereka untuk mengerjakan amalan sunat bulan Ramadan itu.

Dengan ditemani isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Perdana Menteri memasuki bilik asrama itu kira-kira pukul 12 tengah malam untuk mengejutkan penghuninya bangun bersahur.

Dalam keadaan terpinga-pinga, anak-anak yatim itu bangun daripada tidur dan alangkah terperanjatnya mereka apabila mendapati Perdana Menteri berdiri di sisi katil sambil menyapa mereka dengan mesra.

Wajah mereka bertukar ceria apabila diberitahu bahawa Abdullah akan bersahur bersama mereka sempena Program Bersahur Perdana Menteri Bersama Kanak-Kanak Rumah Taman Bakti.

Selepas bersahur, Abdullah dan Jeanne menyampaikan sendiri hadiah duit raya kepada mereka.

Majlis itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Turut menyertai majlis itu ialah Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin masyarakat sekitar Parlimen Kepala Batas.

Pada majlis itu, Abdullah juga menyerahkan RM10,000 hasil sumbangan TV3 kepada pengurusan Rumah Tunas Bakti itu bagi menampung kos membiayai kerja-kerja kebajikan di situ.

Bagi anak yatim, Mohd. Danial Syed Iman, 11, pengalaman istimewa dikejutkan Perdana Menteri untuk bangun sahur tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Saya rasa amat gembira kerana Perdana Menteri sudi bersahur bersama-sama kami. Terkejut juga kerana beliau sendiri yang mengejutkan kami untuk bersahur,” ujarnya.

Perasaan gembira itu turut dikongsi oleh Sabirah Shuib, 14, yang berasa bertuah kerana tidak menyangka dapat berpeluang bersahur bersama pemimpin nombor satu negara.

“Perdana Menteri baik. Saya rasa gembira kerana dapat makan bersama-samanya selain seronok kerana dapat duit raya,” katanya yang menjadi yatim piatu sejak berusia sembilan tahun.

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman


BUAT KEJUTAN: Abdullah mengejutkan anak yatim Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti di Kepala Batas untuk bersahur ketika program Singgah Sahur, malam kelmarin.

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datin Seri Jeanne Abdullah, malam kelmarin, 'mengambil alih' tugas kakitangan Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti di sini, untuk mengejutkan penghuninya bersahur.

Seramai 170 anak yatim yang ketika itu nyenyak tidur, tergamam dan terkejut apabila melihat orang yang mengejutkan mereka daripada tidur untuk bersahur adalah Perdana Menteri sendiri dan isteri beliau.

Mereka kelihatan terpinga-pinga dan seolah-olah tidak percaya sebaik membuka mata bahawa orang yang berada di sebelah mereka ialah pemimpin nombor satu negara.

Meskipun sudah dimaklumkan bahawa stesen televisyen TV3 mengadakan program Singgah Sahur di rumah itu, iaitu kali kedua berturut-turut sejak tahun lalu, mereka tidak menyangka Perdana Menteri akan turut sama. Sebaik menyedari kehadiran Abdullah dan isteri, kanak-kanak itu dengan pantas bangkit bersiap menghadiri program berkenaan.

Turut serta mengejutkan kanak-kanak itu ialah Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak; krew program Singgah Sahur yang disertai personaliti TV3, Ezzah Aziz Fawzy, Tabah Syazwan dan pelakon Zed Zaidi.

Abdullah dan Jeanne turut meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat bayi yang ditempatkan di rumah kanak-kanak itu. Sikap penyayang dan prihatin Perdana Menteri terhadap kanak-kanak jelas terpancar apabila beliau mendokong dan mencium berkali-kali bayi yang sedang lena tidur.


Selepas itu, Perdana Menteri dan isteri mengiringi kanak-kanak terbabit yang lengkap berbaju Melayu dan baju kurung ke dewan serba guna untuk program Singgah Sahur.

Beliau bersama isteri dan anak yatim serta tetamu lain bersahur dihidangkan nasi beriani pelbagai lauk yang ditaja serta disediakan oleh Nasi Kandar Nasmir Sdn Bhd. Abdullah dan Jeanne turut menyampaikan duit raya kepada semua anak yatim.

Sempena program itu, TV3 menyumbang RM10,000 daripada Tabung TV3 kepada Rumah Kanak-kanak Taman Bakti.

Oleh Anwar Hussin

Kehadiran untuk beri semangat, lepaskan rindu sebelum anak ikuti misi ke ISIS

KUALA LUMPUR: Ibu bapa calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed berlepas ke Baikonour Cosmodrome, Kazakhstan, malam tadi bagi bertemu anak masing-masing serta memberi kata semangat dalam misi penting mereka.

Walaupun tidak mengetahui siapa akan mewakili negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz tetap berbangga dengan pencapaian anak mereka serta tidak mahu melepaskan peluang itu untuk melepaskan rindu.

Bapa Dr Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor yang akan tiba di Baikonour Rabu ini, sangat merindui anaknya serta mahu memberi kata semangat sebelum berlepas.

"Kami akan tiba di Baikonour beberapa jam sebelum Sheikh Muszaphar atau Dr Faiz berlepas ke ISS. Jadi saya berharap sempat bertemu anak saya.

"Saya sentiasa mengingatkan beliau supaya tidak lupa kepada tuhan sepanjang masa dan apa yang membanggakan saya, Sheikh Muszaphar berkata, beliau akan tetap berpuasa dan bersolat ketika di angkasa.

"Beliau memberitahu saya, itu adalah cabaran untuk beliau sebagai umat Islam dan perlu ditunaikan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sheikh Mustapha berkata, beliau percaya anaknya akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara.

Beliau dan isterinya, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, yang sepatutnya berada di Baikonour hingga 12 Oktober ini, membuat keputusan melanjutkan tempoh mereka berada di sana hingga anaknya pulang 21 Oktober ini.

"Kami akan berhari raya di Moscow sementara menunggu Sheikh Muszaphar pulang," katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz diiktiraf sebagai angkasawan oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos) selepas menjalani latihan terakhir dengan cemerlang hingga memuaskan hati pihak Russia.

Hanya seorang daripada mereka akan ke ISS dan ini akan diketahui empat jam sebelum roket Soyuz yang akan membawa seorang rakyat Malaysia dan dua krew (seorang daripada Russia dan seorang daripada Amerika Syarikat) ke ISS itu berlepas.

Sementara itu, ibu Dr Faiz, Mazenah Mohamad, berkata beliau yang terlalu gembira kerana doanya untuk bertemu anak sulongnya itu dimakbulkan tuhan.

"Tidak kiranya siapa yang akan terpilih bagi menjalankan tanggungjawab itu nanti, yang penting kedua-dua mereka sentiasa berhati-hati dan buat yang terbaik untuk negara. Saya juga akan minta Faiz dan Sheikh Muszaphar menjaga kesihatan mereka," katanya.

Mazenah yang pada beberapa ketika tidak dapat menyembunyi rasa bimbang tugasan anaknya itu, berharap segala-galanya berjalan lancar dan kedua-dua angkasawan negara itu mampu mencatat sejarah kegemilangan negara.

Oleh Mohd Azis Ngah


SEMAKIN POSITIF: Hui Yee ditemani ibu bapanya di IJN, semalam.

Akta Tisu Manusia digubal tahun depan: Dr Chua

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal peruntukan baru dalam Akta Tisu Manusia 1974 dan Akta Perubatan, menjelang tahun depan bagi membolehkan penderma organ meneruskan hasrat mereka selepas meninggal dunia walaupun dibantah ahli keluarga.

Tiada peruntukan dalam akta sedia ada yang menyatakan dengan jelas keluarga tidak boleh membantah ikrar dibuat seseorang untuk mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata perlu ada peruntukan baru yang khusus membolehkan hospital meneruskan wasiat penderma dan keluarganya juga tidak boleh menghalang organ berkenaan didermakan.

Katanya, kajian mengenai perkara itu kini pada peringkat akhir untuk diputuskan sebelum ia diumum dan diguna pakai di seluruh negara.

"Antara isu perlu ditangani ialah berhubung persetujuan penderma, status penderma dan keperluan merahsiakan butir peribadi mereka. Semua faktor ini perlu diperjelaskan terperinci dari segi perundangan.


"Penderma organ mempunyai hak mendermakan organnya dan hasrat ini harus dihormati serta dipenuhi, tetapi apa yang berlaku sekarang banyak pihak membantah," katanya di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Sementara itu, keadaan kesihatan penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, semakin stabil dan berdasarkan perkembangan semasa, pakar berharap akan dapat menanggalkan �ventilator' atau alat bantuan pernafasan yang dipakainya, hari ini.

Dr Chua berkata, Hui Yee menunjukkan perkembangan positif, tetapi masih memerlukan pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), di sini.

Katanya, beliau dan pakar perubatan gembira dengan perubahan yang ditunjukkan Hui Yee kerana menunjukkan tanda penyembuhan dalam masa pantas.

"Selepas tiga hari pembedahan, ia menunjukkan sesuatu yang menggembirakan. Pakar sedang mengawasinya setiap masa dan kita akan maklumkan perkembangan terkini," katanya.

Ketika ini, sistem tubuh Hui Yee menerima jantung baru itu, bagaimanapun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan beliau terpaksa bergantung kepada ubat 'immunolsuppressive' sepanjang hayat.

Penolakan terhadap organ itu boleh berlaku walaupun sudah menggunakannya jantung itu.

Sebelum itu, beliau bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn meluangkan masa hampir sejam mendengar taklimat dan menziarahi Hui Yee.





KUALA LUMPUR 8 Okt. – Keadaan Tee Hui Yee semakin stabil dan doktor dijangka menanggalkan tiub mesin bantuan pernafasannya mulai esok.

Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Mohamed Ezani Md. Taib berkata, Hui Yee yang menjalani dua pembedahan pindahan jantung pada Khamis dan Jumaat lalu kini bernafas dengan bantuan mesin pada tahap minimum.

Beliau berkata, doktor juga sudah memberikan Hui Yee, 14, ubat immunosuppresive bagi mengelakkan tubuh gadis itu menolak jantung barunya.

“Hui Yee kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat tersebut bagi memastikan badannya mampu menerima organ baru.

“Dia masih lagi dipantau secara rapi tetapi dia tidak perlu lama dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Jika terlalu lama dia dikhuatiri terkena jangkitan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Di IJN petang ini Hui Yee menerima lawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Hardi Effendi Yaacob

KUALA LUMPUR: Polis yakin akan mendapat maklumat berhubung kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, apabila memperoleh imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditingkatkan di makmal Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, minggu ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di Washington, akan pulang ke negara ini beberapa hari lagi.

"Polis yakin rakaman ini dapat membantu siasatan kes ini," katanya, di sini, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini mengesahkan PDRM mendapatkan bantuan teknikal FBI bagi meningkatkan imej rakaman dipercayai suspek dirakam CCTV yang dipasang di premis bersebelahan tempat mayat Nurin Jazlin ditemui dalam sebuah beg sukan di Taman Petaling Utama, dekat sini, 17 September lalu.

Polis sebelum ini mendedahkan kelibat seorang wanita berbadan kecil berusia lingkungan 20-an yang dirakam CCTV yang ditempatkan di sebuah bengkel kereta bersebelahan lokasi mayat Nurin Jazlin ditemui.

Wanita itu dilihat menaiki kereta Kenari perak yang dipandu seorang lelaki.

Sementara itu, sumber lain memberitahu kad SIM telefon bimbit yang dikeluarkan daripada badan wanita Indonesia berusia 23 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Rabu lalu, sudah dihantar untuk ujian forensik siber di Cyberjaya.

Ujian itu dilakukan sekumpulan pakar Mimos Bhd, bertujuan mendapatkan maklumat terkandung di dalamnya, termasuk senarai nombor panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat atau diterimanya.

"Proses itu dijangka mengambil masa seminggu," katanya.



BERI TUMPUAN: Kuldeep yang mewakili Azilah membuat pemeriksaan balas pada perbicaraan, semalam.

Tidak guna data populasi penduduk Mongolia dalam ujian tak jejas keputusan

SHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan tisu dan tulang wanita yang ditemui di Puncak Alam di sini, sebagai anak biologikal pasangan Setev Shaariibuu dan Altansetseg Sanjaa, adalah tepat dan muktamad.

Wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu adalah anak perempuan pasangan Setev Shaariibuu dan Altansetseg Sanjaa.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, mempertahankan ketepatan ujian itu walaupun tidak menggunakan pangkalan data populasi bangsa Mongolia.

Beliau berkata, ia kerana pangkalan data populasi hanya digunakan untuk mengira kebarangkalian padanan DNA dan bukannya menentukan sama ada ia mempunyai persamaan atau tidak.

Katanya, pengiraan kebarangkalian hanya berfungsi menguatkan lagi keputusan padanan DNA, selain digunakan untuk menambahkan keputusan statistik padanan DNA yang disahkan mempunyai persamaan.

"Ia berikutan pandangan umum bahawa keputusan yang membabitkan angka lebih diterima ramai, malah isu ini menjadi perdebatan di kalangan saintis sama ada perlu menambahkan keputusan statistik dalam keadaan di mana padanan DNA sudah disahkan tepat," katanya.

Primulapathi yang juga saksi ke-39 pendakwaan berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela J Kuldeep kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri dalam sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Kuldeep mengemukakan soalan itu selepas Primulapathi bersetuju dengan cadangannya bahawa beliau (Primulapathi) tidak menggunakan pangkalan data bangsa Mongolia ketika menjalankan ujian DNA berkenaan.

Saksi itu berkata, beliau tidak menggunakan pangkalan data bangsa Mongolia kerana makmal Jabatan Kimia tidak mempunyai kit pangkalan data terbabit, bagaimanapun beliau yakin bahawa ujian dijalankannya menunjukkan kebarangkalian 99.9999 peratus.

Kuldeep: Tetapi mengikut laporan ini, pengiraan kamu hanya 99.7 peratus?

Primulapathi: Saya setuju, tetapi ia masih dalam lingkungan 99.8 atau 99.9 peratus.

Kuldeep: Adakah kamu boleh membuat pengiraan jika menggunakan pangkalan data populasi bangsa Mongolia?

Primulapathi: Saya boleh jika ada, bagaimanapun dalam kes ini saya tidak mempunyai akses terhadap kit itu.

Kuldeep: Bolehkah kamu mendapatkannya?

Primulapathi: Saya perlu membuat pengesahan dengan kerajaan Mongolia sama ada mereka mempunyai pangkalan data itu, bagaimanapun dalam kes ini saya tidak membuat pengesahan itu.

Kuldeep: Adakah kamu setuju bahawa hasil keputusan ujian yang kamu jalankan adalah tidak tepat dan silap kerana tidak menggunakan pangkalan data itu?

Primulapathi: Ia tidak silap. Jika keputusan menunjukkan DNA berpadanan, ia adalah tepat. Standard antarabangsa menetapkan jika makmal tidak mempunyai kit pangkalan data itu, ia boleh menggunakan mana-mana pangkalan data populasi yang ada.

Sementara itu, Primulapathi tidak bersetuju dengan cadangan Kuldeep bahawa boleh berlaku kemungkinan spesimen bertukar atau tercemar ketika ujian DNA di makmalnya.

Katanya, beliau melarang empat pembantunya membuat ujian terhadap kes lain ketika mengendalikan spesimen itu dan sebarang pertukaran spesimen akan boleh dikenal pasti melalui keputusan analisis.

Kutldeep: Adakah kamu menjalankan ujian DNA itu sendiri?

Primulapathi: Saya dibantu lima pembantu dan mereka sentiasa berada di bawah pengawasan saya. Seorang daripadanya pembantu makmal, manakala selebihnya pegawai saintifik yang juga pakar DNA.

Kuldeep: Adakah pembantu makmal seorang pakar?

Primulapathi: Tidak.

Kuldeep: Setuju bahawa dalam laporan analisis kamu tidak menulis tarikh ujian dijalankan?

Primulapathi: Setuju.

Kuldeep: Adakah kamu setuju amat penting untuk berbuat demikian?

Primulapathi: Saya tidak setuju. Saya mempunyai rekod dalam buku nota.

Kuldeep: Bila kamu menjalankan ujian terbabit?

Primulapathi: Saya perlu merujuk nota dulu. Selepas menerima spesimen pada 11 November lalu, saya menjalankan ujian pada keesokan hari, sementara itu spesimen yang diterima pada 15 November, saya jalankan ujian pada hari sama dan yang diterima pada 17 November, dijalankan pada 19 November.

Kuldeep: Berapa lama diperlukan untuk menjalankan ujian itu?

Primulapathi: Ia bergantung kepada jenis spesimen. Jika ia darah cair, masa 24 jam diperlukan. Bagi tulang dan rambut serta kesan DNA, ia biasanya mengambil masa selama tiga hingga lima hari bergantung kepada kualiti spesimen.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.


SHAH ALAM: Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau tidak dapat memastikan dengan tepat masa kesan darah dipercayai milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, terkena pada sepasang selipar yang ditemui dalam jip tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, 54, berkata daripada analisis ujian DNA dilakukannya, beliau tidak dapat memastikan berapa lamakah kesan darah berkenaan berada di situ.

Disoal peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin dalam pemeriksaan balas, Primulapathi menafikan tidak membuat sebarang ujian bagi mengesahkan tompokan hitam pada sepasang selipar adalah kesan darah.

Saksi itu berkata, kesan darah pada selipar berkenaan bukan andaiannya semata-mata kerana beliau sudah melakukan Ujian Kastle-Mayer bagi memastikannya.

Menjawab soalan Kamarul Hisham, Primulapathi berkata, polis tidak mengarahkan beliau mengesan cap jari pada selipar itu kerana jabatannya tidak melakukan analisis bagi mengesan cap jari.

Katanya, beliau juga tidak tahu sekiranya analisis cap jari itu diperlukan dalam siasatan kes pembunuhan wanita terbabit.


Dalam keterangannya sebelum ini, profil DNA pada selipar itu adalah berpadanan dengan sampel DNA yang diambil daripada ibu mangsa, Altansetseg Sanjaa.

Primulapathi bersetuju dengan Kamarul Hisham beliau menggunakan budi bicaranya bagi menentukan cara mengambil swab profil DNA daripada sehelai jaket hitam (milik Sirul Azhar).

Kamarul Hisham: Ketika mengambil profil DNA bagi menentukan pengguna jaket itu, kamu mengandaikan beberapa bahagian di mana DNA akan mudah diperoleh, setuju?

Primulapathi: Ya.

Kamarul Hisham: Kamu tidak tahu siapakah pemilik jaket itu?

Primulapathi: Tidak.

Kamarul Hisham: Jadi, kamu tidak tahu siapakah yang biasa memakai jaket itu?

Primulapathi: Tidak.

Kamarul Hisham: Setuju, daripada analisis Ujian DNA Mitochondrial yang dilakukan kamu, rujukan turutan profil DNA pada jaket adalah tidak berpadanan dengan sampel darah Sirul Azhar?

Primulapathi: Ya.

Kamarul Hisham: Jadi, siapapun pemilik profil DNA pada jaket itu, dia bukanlah Sirul Azhar?

Primulapathi: Ya.

(Dalam keterangan saksi sebelum ini, profil DNA pada jaket berkenaan adalah berpadanan dengan DNA pada barangan kemas Altantuya dan sampel darah Altansetseg)

Kamarul Hisham: Katakan saya pegang barangan yang ada DNA orang lain, kemudian saya sentuh barangan lain pula, adakah terdapat kemungkinan DNA pada barangan pertama tadi dipindahkan pada barangan kedua?

Primulapathi: Ia mungkin berlaku, bergantung kepada sekuat mana cengkaman tangan pada barangan berkenaan.

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NORAZLITA MOHD. SIES


Primulapathi.

SHAH ALAM 8 Okt. – Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak dapat memastikan bilakah masanya percikan darah telah terkena pada sepasang selipar milik Koperal Sirul Azhar Umar, melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, berkata, ini kerana analisis yang dilakukan tidak dapat mengesan berapa lama tempoh percikan darah itu telah berada pada selipar berkenaan.

Beliau yang menyambung keterangan pada perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu berkata, ujian kastle-mayer (KM) yang dilakukan olehnya ke atas percikan tersebut hanya bagi menentukan ia adalah kesan darah.

Beliau turut memberitahu, jabatannya tidak melakukan analisis mengesan cap jari terhadap selipar berkenaan dan oleh itu, tidak tahu sama ada pihak polis ada meminta analisis cap jari dijalankan terhadap bahan bukti tersebut.

Keterangan saksi tersebut pada minggu lalu menyebut bahawa analisis terhadap percikan darah di bahagian atas kedua-dua belah selipar yang dijumpai di dalam jip milik Sirul Azhar menunjukkan kehadiran profil DNA Altantuya.

Ketika disoal balas oleh peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, Primulapathi menyatakan, semasa membuat calitan swab ke atas sehelai jaket kulit hitam, beliau tidak tahu pemiliknya dan siapakah yang selalu memakai jaket tersebut.

Jelasnya, beliau hanya membuat calitan swab pada bahagian-bahagian tertentu di bahagian dalam jaket tersebut yang biasanya akan ditemui profil DNA.

Biarpun begitu, katanya, profil DNA pada calitan swab yang dilakukan ke atas jaket tersebut melalui turutan mitokondria mendapati ia tidak sepadan dengan profil DNA Sirul Azhar.

Menurut saksi pendakwa ke-39 itu lagi, jumlah DNA yang ditemui pada jaket itu juga adalah sangat rendah.

Ditanya adakah DNA yang ditinggalkan seseorang yang memegang sesuatu objek boleh dipindahkan ke objek lain, beliau berkata, ia boleh terjadi tetapi bergantung kepada sekuat mana cengkaman terhadap objek pertama itu.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin sebelum ini, Primulapathi menyatakan bahawa profil DNA Altantuya ditemui pada calitan swab di bahagian dalam leher, ketiak dan lengan jaket milik Sirul Azhar itu.

Menjawab soalan lain Kamarul Hisham, menurut saksi tersebut, beliau tidak menafikan terdapat kemungkinan tulang-tulang dari tempat kejadian yang tidak dianalisisnya berasal daripada lebih satu sumber DNA tetapi ia tidak mungkin berlaku.

“Saya tidak tahu sekiranya terdapat sumber DNA lain di tempat kejadian tersebut. Saya hanya bergantung kepada senarai bahan bukti (Borang Pol 31) yang diserahkan oleh pihak polis,” ujarnya.

Katanya, tulang belakang serviks, tulang lumbar, tulang pinggul dan tulang antara bahu dengan siku tidak dianalisis kerana ia diambil dari tempat kejadian yang sama.

SHAH ALAM 8 Okt. – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu walaupun pangkalan data asid deoksiribonukleik (DNA) warga Mongolia tidak berada dalam simpanan Jabatan Kimia Malaysia, namun analisis berkaitan dengannya adalah tepat, lengkap dan konklusif.

Ini kerana, analisis DNA untuk menentusahkan pemilik cebisan spesimen dan serpihan tulang yang ditemui di kawasan belukar antara Puncak Alam dan Puncak Perdana, telah menggunakan pangkalan data antarabangsa sebagai garis panduan ketika analisis dijalankan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, ketika memberikan keterangan pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-47 hari ini.

Ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, J. Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, saksi pendakwa ke-39 itu juga menolak kemungkinan berlakunya kesilapan dalam analisis DNA.

Setiap sampel yang dihantar oleh pihak polis kepada beliau, akan dibuka secara sistematik, kata Primulapathi.

Beliau juga menolak kemungkinan, sampel bahan bukti tersebut bercampur dengan yang lain meskipun ketika menjalankan analisis, pakar itu telah dibantu oleh pembantunya.

Bagi pengetahuan mahkamah, tegas Primulapathi, situasi tersebut (bukti bercampur-campur) tidak pernah berlaku di makmal beliau.

Ini kerana, tambahnya, jika sampel tersebut memang telah bercampur dengan yang lain ataupun tercemar, ia akan ditunjukkan dalam keputusan penuh di penghujung analisis.

Kuldeep terus menyoal Primulapathi bertubi-tubi: “Tadi kamu mengatakan ada dibantu oleh pembantu kamu ketika analisis dijalankan. Oleh itu, seandainya sampel telah bercampur ataupun tercemar, kamu tiada pengetahuan mengenainya kerana kamu hanya mengawasi tugas mereka.”

Primulapathi: “Jika sampel sudah tercemar, sudah semestinya saya tahu kerana keputusan akhir akan menunjukkannya.”

Saksi itu memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 47, yang juga pengarah eksekutif sebuah kumpulan pemikir tempatan pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Mereka berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam soalan lain, Kuldeep bertanya: “Sila rujuk P174 (laporan/repot analisis DNA) muka surat 11. Setujukah kamu dalam laporan tersebut kamu langsung tidak menyatakan bilakah tarikh sebenar kamu membuat analisis.”

Primulapahi bersetuju bahawa beliau tidak menyatakan tarikh analisis dijalankan tetapi menurutnya, tarikh tersebut ada direkodkan di dalam catatannya.

Mendengarkan jawapan itu, Kuldeep terus meminta Primulapathi supaya merujuk rekod ataupun catatan yang dimaksudkannya.

Primulapathi memberitahu: “Selepas menerima bahan bukti pada 11 November 2006, saya telah menganalisisnya pada keesokan hari iaitu pada 12 November. Sementara bahan bukti yang saya terima pada 15 November, saya kendalikan analisis pada hari yang sama. Manakala bahan bukti yang diterima pada 17 November, saya analisis 19 November.”

Beliau berkata, semua analisis bahan bukti telah disempurnakan pada 21 Disember 2006.

Kuldeep terus bertanya: “Berapa lamakah masa yang diambil oleh kamu untuk menjalankan sesuatu analisis?”

Semuanya, kata Primulapathi, adalah bergantung kepada jenis sampel misalnya, jika ia (sampel) adalah darah ia mengambil masa 24 jam.

“Sekiranya sampel tulang, rambut dan calitan swab, kebiasaannya antara tiga ke lima hari atau mungkin lebih daripada itu. Ia bergantung kepada kualiti sampel. Ia memungkinkan kerja daripada pagi hingga ke malam,” ujarnya.

Berasa ‘janggal’ dengan jawapan yang diberikan itu, Kuldeep segera bertanya: “Jabatan Kimia Malaysia bekerja sehingga ke malamkah?"

Primulapathi: “Untuk kes-kes yang memerlukan tindakan segera, kami bekerja hingga ke malam termasuklah pada hujung minggu.”

Menyentuh pula bahan bukti bertanda K6 (bekas plastik mengandungi seketul tulang) hingga K9 (tulang antara bahu dan siku) berlabel unknown (tidak diketahui), saksi menjelaskan, beliau tidak menganalisis bukti tersebut kerana ia diambil dari tempat kejadian yang sama.

“Setujukah memandangkan kamu tidak menganalisis bahan bukti K6 (tulang belakang serviks (cervical spine) – P163B, K7, tulang lumbar (bahagian badan antara rusuk dengan pinggul) – P164, K8, tulang punggung (pelvic bone) – P165B dan K9, tulang antara bahu dengan siku (humerus bone) – P166B. Justeru itu, ada kemungkinan terdapat profil DNA yang berbeza,” kata Kuldeep.

Primulapathi: “Segalanya mungkin. Tetapi berdasarkan pengalaman adalah tidak perlu untuk saya menganalisisnya memandangkan ia diambil dari tempat kejadian yang sama.”

Perbicaraan bersambung esok.

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Waris atau keluarga penderma tidak boleh lagi menghalang organ penderma berdaftar diambil apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Akta Tisu Manusia 1974 tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ketika ini, jika terdapat bantahan atau halangan daripada mana-mana pihak, pihak hospital tidak dibenarkan mengambil organ daripada tubuh penderma.

‘‘Dengan akta itu, penderma organ berdaftar yang berusia lebih dari 18 tahun berhak untuk mendermakan organ tanpa boleh dihalang oleh mana-mana pihak lagi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengunjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan penerima jantung baru, Tee Hui Yee di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn.

Bagaimanapun, kata Soi Lek, doktor akan memaklumkan kepada waris pesakit mati otak supaya mendermakan organ pesakit tersebut kerana mereka memang tiada harapan untuk hidup.

‘‘Menjadi tanggungjawab doktor untuk menasihati keluarga pesakit mati otak untuk mendermakan organ pesakit kepada hospital dan yang penting kematian otak itu disahkan sekurang-kurangnya dua doktor,” katanya.

Tugas

Beliau menyedari tugas tersebut tidak mudah untuk dilaksanakan memandangkan situasi sedih dan penuh emosi yang dialami waris dan keluarga ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak ada cara lain untuk menyelamatkan pesakit yang memerlukan organ sedangkan banyak kes mati otak berlaku setiap hari di seluruh negara.

‘‘Kes mati otak memberikan peluang kepada ramai pesakit lain untuk terus hidup kerana jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang mereka masih boleh digunakan oleh pesakit yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau bimbang amalan menderma di kalangan orang ramai hanya dilakukan secara bermusim sedangkan begitu ramai pesakit memerlukan organ.

‘‘Kebelakangan ini orang ramai disedarkan mengenai rayuan dan penderitaan Tee Hui Yee, maka ramai yang mula untuk mendaftarkan diri sebagai penderma.

‘‘Tetapi apabila kes seperti senyap, maka jadilah seperti hangat-hangat tahi ayam. Jadi saya harap pihak media memainkan isu ini untuk dua tiga hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Neuphorologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ghazali Ahmad berkata, tugas meminta organ daripada pihak waris boleh dilaksanakan oleh pegawai kebajikan dan sosial yang ada di setiap hospital.

‘‘Tetapi kematian otak melibatkan masa yang tidak menentu dan kadang kala dalam jumlah yang ramai dalam satu-satu masa, jadi doktor adalah individu yang paling bertanggungjawab untuk mendapatkan kebenaran itu,” katanya.

YANGON: Pemimpin tentera yang memerintah Myanmar cuba berdamai dengan sami Buddha dengan menderma wang, makanan dan ubat kepada kuil di seluruh negara itu, lapor media semalam.

Leftenan Jeneral Myint Swe mewakili Kementerian Pertahanan menyumbangkan AS$8,000 (RM27,200), beras, minyak masak, ubat gigi dan ubat-ubatan kepada 50 kuil di utara Yangon, lapor New Light of Myanmar.

Sumbangan itu adalah bagi pihak tentera dan keluarga mereka diterima sami, kata akhbar itu.

Bagi pengikut Buddha, sesiapa yang menolak derma diumpamakan seperti terputus hubungan dengan orang lain dan penerimaan sumbangan itu bermaksud pihak tentera diterima semula oleh pengikut ajaran itu.

Sami Buddha bulan lalu mengisytiharkan pemulauan terhadap derma askar ketika menerajui bantahan yang disertai sehingga 100,000 orang di Yangon.

Mereka dipukul dan ditahan askar selepas pihak tentera bertindak balas ke atas protes yang dianggap ancaman terbesar terhadap pemerintahan mereka selama 20 tahun.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 2,100 dipercayai ditahan.

Perkembangan terbaru di Myanmar berlaku ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menimbang draf kenyataan 'tidak mengikut' bertujuan mengutuk rejim tentera negara itu. � AFP

YANGON 8 Okt. – Junta Myanmar hari ini membayangkan pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi akan terus kekal dalam tahanan rumah sehingga perlembagaan baru diluluskan.

Kerajaan tentera itu telah melantik seorang pegawai untuk mengekalkan hubungannya dengan pemimpin itu.

Menurut komentar dalam akhbar New Light of Myanmar, akhbar suara kerajaan, pemerintah tentera tidak mempedulikan tiga desakan penunjuk perasaan iaitu menurunkan harga barang, membebaskan Suu Kyi dan perdamaian dalam negara.

“Kini, mereka yang bertanggungjawab sedang menyediakan draf perlembagaan negara dan mengumpulkan senarai pengundi.

“Usaha memenuhi tiga permintaan itu hanya dapat dicapai selepas perlembagaan baru itu diluluskan,” jelas laporan tersebut.

Kebanyakan penganalisa merasakan kemungkinan perlembagaan yang mengambil masa 14 tahun untuk disiapkan itu, mendapat kelulusan dengan cepat adalah amat tipis.

Beberapa bahagian perlembagaan yang dilaporkan media tempatan menunjukkan hanya sedikit kuasa dipindahkan kepada pemerintah awam sementara ketua tentera bakal dijadikan individu paling berkuasa di negara ini.

Di samping berkuasa melantik menteri pertahanan, keselamatan dalam negeri dan urusan sempadan, ketua tentera juga boleh mengambil alih kepimpinan negara dalam waktu kecemasan.

Sementara itu, penduduk di bandar ini masih meneruskan penentangan yang kurang menonjol dengan membaling batu ke arah tentera pada waktu malam.

Beberapa saksi melaporkan pihak tentera pula bertindak menahan penduduk yang membaling batu atau keluar selepas perintah berkurung bermula, bersama-sama kesemua ahli keluarga mereka.

– Agensi

SHAH ALAM 8 Okt. - Sungguhpun pengkalan data asid deoksiribonukleik (DNA) warga Mongolia tidak berada dalam simpanan Jabatan Kimia Malaysia, namun analisis berkaitan dengannya adalah tepat, lengkap dan konklusif, kata seorang pakar forensik.

Ini kerana, katanya, analisis DNA untuk menentusahkan pemilik cebisan spesimen dan serpihan tulang yang ditemui di kawasan belukar antara Puncak Alam dan Puncak Perdana telah menggunakan pengkalan data antarabangsa sebagai garis panduan ketika analisis yang dijalankan.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, ketika beliau memberikan keterangan di mahkamah tinggi di sini pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-47 hari ini.

Ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, J. Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, saksi pendakwa ke-39 itu juga menidakkan kemungkinan berlakunya kesilapan dalam analisis DNA.

Setiap sampel yang dihantar oleh pihak polis kepada beliau, akan dibuka secara sistematik, kata Primulapathi.

Beliau juga menolak kemungkinan, sampel bukti tersebut bercampur dengan yang lain, meskipun ketika menjalankan analisis, beliau dibantu oleh pembantunya.

Menurut Primulapathi, di makmal beliau, tidak pernah berlaku situasi tersebut (bahan bukti bercampur-campur).

Ini kerana, tegas beliau, andai kata sampel tersebut memang telah bercampur dengan yang lain ataupun tercemar nescaya ia akan ditunjukkan dalam keputusan penuh di penghujung analisis.

Kuldeep terus 'mengasak' Primulapathi: "Tadi kamu mengatakan ada dibantu oleh pembantu kamu ketika analisis dijalankan.

"Oleh itu, seadainya sampel telah bercampur ataupun tercemar, kamu tiada pengetahuan mengenainya kerana kamu hanya mengawasi tugas mereka."

Primulapathi: "Jika sampel sudah tercemar, sudah semestinya saya tahu kerana keputusan akhir akan menunjukkannya."

Saksi memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2006.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bersambung pada sesi petang. - Utusan

Daripada Metra Syahril Mohamed


DUA HARI LAGI... Beberapa jurutera Rusia bertungkus-lumus melakukan kerja pemasangan komponen-komponen penting roket Soyuz TMA-11, semalam - 48 jam sebelum roket tersebut membawa angkasawan Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor atau Faiz Khaleed, Yuri Malechenko (Rusia) dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat ke angkasa lepas, Rabu ini. Roket itu kini ditempatkan di bahagian pemasangan di Baikonur, Kazakhstan. – Gambar AFP.

ASTANA, Kazakhstan 7 Okt. – Pengumuman siapa bakal angkasawan pertama negara yang akan menjalankan misi ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini akan ditentukan selewat-lewatnya empat jam sebelum masa pelancaran.

Kapal angkasa Soyuz yang membawa angkasawan pertama negara dijadualkan dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome di sini pada pukul 5.21 petang waktu tempatan (pukul 9.21 malam waktu Malaysia).

Ini bermakna pemilihan sama ada Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 35, atau Kapten Dr. Faiz Khaleed, 27, sebagai angkasawan hanya diketahui pada pukul 1.21 petang waktu tempatan (pukul 5.21 petang waktu Malaysia).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, sejak berada di sini pada 28 September lepas, kedua-dua angkasawan Malaysia yang sedang dikuarantinkan itu meneruskan siri latihan termasuk persiapan terakhir sebelum pelancaran Soyuz TMA-11.

Ini termasuk menghadiri kuliah teori dan praktikal mengenai proses pelancaran serta pengendalian pesawat Soyuz semasa pelancaran serta prosedur-prosedur ketika Soyuz mendarat di ISS.

‘‘Cuma apa yang dimaklumkan kepada saya ialah kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan baik dan sudah bersedia untuk menjalankan misi ke ISS.

‘‘Sama ada Sheikh Muszaphar atau Faiz (terpilih ke ISS), saya pun belum tahu dan ia bergantung kepada pemilihan pada saat-saat akhir yang ditentukan oleh Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos),’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jamaluddin berkata, selain Sheikh Muszaphar dan Faiz, krew yang akan bersama-sama kedua-dua angkasawan negara itu juga boleh bertukar sebelum pelancaran pada 10 Oktober ini.

Beliau berkata, ketika ini pihak berkuasa Rusia mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz TMA-11 dianggotai oleh Sheikh Muszaphar, Yuri Malechenko dan Peggy Whitson manakala kumpulan krew kedua terdiri daripada Faiz, Sharizan Sharipov serta Michael Fincke.

Menurut Jamaluddin, kedua-dua kumpulan krew itu kini melakukan ulang kaji yang terperinci dan mereka juga menjalani latihan simulasi komputer bagi proses mendarat.

‘‘Tindakan kecemasan untuk setiap fasa pelancaran juga diajar bagi memastikan krew berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya jika berlaku sebarang kemungkinan,” katanya.

Jamaluddin memberitahu, latihan praktikal terakhir telah dijalankan kelmarin iaitu melibatkan crew fit check iaitu prosedur di mana krew akan memeriksa semua kelengkapan pesawat Soyuz sebelum ia dicantumkan dengan pelancar roket dan dibawa dengan kereta api ke tapak pelancaran.

‘‘Ini termasuk juga pemeriksaan kesemua peralatan peribadi dan penyelidikan yang akan dibawa ke ISS,” tambahnya.

Angkasawan Malaysia yang terpilih ke ISS bakal berada di sana selama sembilan hari sebelum pulang ke Bumi bersama angkasawan lain yang telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka Bumi.

* Wartawan Utusan, METRA SYAHRIL MOHAMED yang membuat liputan pelancaran Soyuz TMA-11 di Kazakhstan ialah salah seorang peserta ujian kelayakan untuk menjadi angkasawan negara. Beliau melepasi ujian perubatan aeroangkasa pertama iaitu dalam kelompok 27 peserta terakhir ujian saringan memilih angkasawan pertama Malaysia. Lebih 11,000 orang memohon menjadi angkasawan negara ketika permohonan itu dibuka pada 2003.

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD

KEPALA BATAS 7 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, sudah menjadi dasar kerajaan untuk berlaku adil dalam menyalurkan bantuan kepada orang ramai tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman mereka.

Menurut Perdana Menteri, beliau gembira kerana semua bangsa di negara ini saling memahami antara satu sama lain serta sedia membantu dalam apa jua bentuk bantuan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Tambahnya, apa jua bantuan yang disalurkan akan diagih dan disalurkan secara adil lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan.

“Saya gembira dengan sikap rakyat Malaysia yang suka membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, dan apa yang lebih menggembirakan ialah perasaan kasih sayang antara mereka kepada yang memerlukan.

“Inilah sikap yang seharusnya ada pada setiap orang khususnya bagi membantu mereka yang ditimpa bencana dan penyakit, mangsa kemalangan dan anak-anak yatim yang memerlukan bantuan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian derma siswa dan sumbangan perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Budi Penyayang di Kompleks Yayasan Budi Penyayang, Kepala Batas di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 130 pelajar menerima derma siswa dan 350 lagi menerima sumbangan Hari Raya.

Menurut Abdullah, amalan membantu antara satu sama lain perlu diteruskan dari masa ke masa dan tidak hanya dihadkan pada waktu-waktu tertentu.

Sebagai contoh katanya, ketika Hari Raya, penganut agama lain juga menerima bantuan dan tidak terhad kepada orang Islam.

Begitu juga pada perayaan lain seperti Deepavali dan Tahun Baru Cina di mana orang Islam dan penganut agama lain turut menerima bantuan.

Perdana Menteri mahukan amalan bantu-membantu diteruskan setiap masa tanpa perlu menunggu pada waktu tertentu kerana bantuan tersebut perlu disalurkan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, Abdullah turut menyelar sikap segelintir orang yang suka menangguk di air keruh dan menimbulkan kekecohan terhadap penyaluran bantuan yang dikeluarkan.

Katanya, memang ada orang suka mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain malah ada yang suka membuat kacau kalau bantuan lambat dikeluarkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.

Beliau menambah, apa jua bentuk bantuan yang dikeluarkan bertujuan meringankan beban mereka dan kerajaan tidak berniat untuk menyusahkan mangsa yang ditimpa bencana.

“Seperti saya katakan, kita akan tetap adil dan saksama terhadap semua orang tidak kira apa jua bangsa,” tegasnya.

KEPALA BATAS 7 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta semua penghuni rumah penempatan sementara mangsa tsunami supaya terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan mengapa mereka masih belum dibenarkan berpindah ke rumah tetap yang disediakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, mereka sememangnya patut berpindah dan memasuki rumah baru yang ditawarkan jika telah memenuhi syarat dan layak memiliki rumah berkenaan.

“Siapa yang layak dan penuhi syarat sepatutnya sudah boleh masuk (rumah baru)... tunggu apa lagi?” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada fakir miskin anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk terlibat seharusnya menghubungi pihak berkuasa dengan segera dan nyatakan sebab-sebab mereka layak untuk berpindah ke rumah baru.

Mangsa-mangsa tsunami tiga tahun lepas di negeri ini masih ditempatkan di rumah panjang sementara di sekitar Tanjung Bungah sedangkan kawasan perumahan tetap siap dibina sejak 22 Februari lepas.

Mereka telah dijanjikan untuk berpindah ke rumah baru sejak bulan lepas tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dikatakan tidak ada persepakatan dalam menentukan harga rumah kos rendah itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri mahu harga rumah itu ditetapkan pada RM42,000 tetapi Kerajaan Pusat dikatakan mempertahankan harga iaitu RM52,000.

Dr. Koh berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan usul supaya kesemua mangsa dipindah masuk terlebih dahulu sementara perbincangan untuk memutuskan harga bagi 100 unit pangsapuri di kawasan Tanjung Bungah ditentukan.

Sementara itu Abdullah juga mengingatkan orang ramai yang hendak pulang ke kampung halaman untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati dan memandu secara selamat.

Perdana Menteri yang tidak pernah jemu memberi nasihat mengenai aspek keselamatan di jalan raya setiap kali menjelang musim perayaan berkata: “Minta tolong, bawalah kereta baik-baik, beringat dan berhati-hatilah di jalan raya.”

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru ketika memandu, sebaliknya berpegang kepada prinsip ‘biar lambat asal selamat’ untuk sampai ke destinasi masing-masing.

“Tak perlulah berebut-rebut untuk tiba ke kampung, lambat sedikit pun tak apa asalkan sampai. Kalau rasa dah lewat tak perlulah pandu laju sangat takut tak sampai langsung, lambat sedikit pun tidak mengapa,” katanya.

Perdana Menteri memberikan nasihat itu ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada lebih 200 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini hari ini.

Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Menurut Abdullah, orang ramai mesti mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan letih, tertekan atau mengantuk kerana ia mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan di jalan raya.

“Kalau rasa letih dan mengantuk, jangan pandu kereta. Kalau pandu laju juga, itu nak nahaslah, sengaja tunggu masa nak masuk longkang atau merempuh orang dari belakang,” jelasnya.

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Majlis Peguam menggesa Timbalan-timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang tidak berminat untuk menjalankan pendakwaan bertukar ke bahagian lain bagi mengelakkan lebih banyak kes kendalian mereka dibuang atau ‘koyak’.

Naib Presidennya, R. Kesavan berkata, ini kerana sikap sedemikian akan menghasilkan pendakwaan yang tidak bermutu dan kurang lengkap sehingga banyak tertuduh dibebaskan pada peringkat prima facie iaitu sebelum dipanggil membela diri.

Menurut beliau, DPP yang kurang berminat dengan tugas pendakwaan hanya membuang masa banyak pihak termasuk mahkamah, peguam bela, tertuduh dan pihak polis yang menjalankan siasatan.

Sehubungan itu, Kesavan bersetuju dengan cadangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail supaya golongan itu memaklumkan kepada Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara untuk ditukarkan ke bahagian lain.

‘‘Tidak guna mereka terus menjalankan pendakwaan (jika tidak berminat) kerana tugas tersebut amat berat dan melibatkan nyawa, maruah dan masa depan tertuduh,’’ ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Kesavan mengulas cadangan Shaik Daud yang disiarkan dalam ruangan Wawancara Mingguan Malaysia hari ini supaya mana-mana DPP yang tidak berminat menjalankan pendakwaan bertukar ke bahagian lain.

Menurut bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu, tidak guna menerima tugas sebagai pendakwa jika gagal melaksanakannya dengan baik sehingga menyebabkan nama dan masa depan Jabatan Peguam Negara berada pada tahap genting.

Shaik Daud turut meluahkan kebimbangannya kerana senario seperti itu menyebabkan orang ramai hilang keyakinan terhadap jabatan tersebut sebagai salah satu institusi yang melaksanakan keadilan.

Mengulas lanjut, Kesavan berkata, selain Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara terbahagi kepada cabang-cabang tertentu seperti bahagian sivil, penggubalan undang-undang dan hubungan antarabangsa yang turut memerlukan khidmat dan pengalaman mereka.

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA


Tee Hui Yee.

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Beberapa jam selepas sedar daripada pembedahan pemindahan jantung, Tee Hui Yee, 14, sudah boleh menggerakkan bibirnya dan menyebut perkataan ‘sakit’ walaupun ia tidak jelas kerana masih terdapat tiub di dalam mulutnya.

Pagi ini, Hui Yee juga telah mula diberikan makanan iaitu susu melalui tiub yang disambungkan dari mulut ke dalam perutnya.

Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, keadaan penerima organ jantung itu yang dibedah sebanyak dua kali pada hari Khamis dan Jumaat lalu adalah stabil.

Selain itu, katanya, Hui Yee juga mampu menggerakkan kaki dan tangannya di atas katil melalui latihan pergerakan anggota badan dengan dibantu oleh doktor dan jururawat.

“Tekanan darah dan suhu badan Hui Yee juga berada dalam keadaan baik dan doktor sedang dalam proses untuk mengembalikan kekuatannya.

“Namun dia masih menggunakan mesin bantuan pernafasan,” kata beliau kepada pemberita di IJN di sini hari ini.

Noor Salina memaklumkan perkembangan Hui Yee itu kepada media bagi pihak Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Chew Soon Ping.

Hui Yee selamat menjalani pembedahan menerima jantung kedua pada pukul 8 pagi Jumaat lalu setelah tubuhnya didapati menolak jantung pertama yang dipindahkan kepadanya melalui pembedahan selama 10 jam pada hari Khamis.

Gadis itu bernasib baik kerana badannya memberikan tindak balas positif terhadap jantung kedua yang diterima daripada seorang remaja lelaki berusia 20 tahun dari Johor yang meninggal dunia Khamis lalu setelah mengalami kematian otak akibat kemalangan jalan raya.

Menurut Noor Salina, doktor akan terus memantau keadaan Hui Yee untuk tempoh empat hingga lima hari lagi sebelum boleh dipindahkan ke wad biasa sekiranya tiada apa-apa masalah.

Ditanya sama ada badan Hui Yee berjaya menerima sepenuhnya jantung baru itu, Noor Salina menjelaskan, penolakan organ masih boleh berlaku walaupun dalam tempoh seminggu akan datang.

“Penolakan organ masih boleh berlaku bila-bila masa sahaja, jadi kita akan sentiasa mengawasinya bagi mengelakkan perkara itu berlaku,” katanya.

Setakat ini, menurut Noor Salina, Hui Yee tidak menunjukkan sebarang tanda penolakan terhadap jantung baru itu.

Jelas beliau, Hui Yee perlu bergantung kepada ubat immunosuppressants supaya badannya tidak menolak jantung baru yang dipindahkan kepadanya.

“Hui Yee perlu mengambil ubat tersebut sepanjang hayatnya. Jika dia tidak mengambil ubat itu walaupun sekali, kemungkinan untuk badan Hui Yee menolak organ jantung itu adalah tinggi.

“Walaupun Hui Yee berasa seperti sudah sihat sepenuhnya, dia masih perlu memakan ubat tersebut. Peraturan yang sama juga perlu dipatuhi oleh penerima organ yang lain,” katanya.

Noor Salina berkata, beliau sentiasa menasihatkan penerima organ supaya tidak lupa mengambil ubat immunosuppressants walaupun selepas sembuh sepenuhnya daripada pembedahan pemindahan organ.

Utusan Malaysia turut membantu Hui Yee dengan melancarkan kempen mencari jantung untuknya dan laporan mengenai nasib gadis itu menerima maklum balas yang baik daripada orang ramai.

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Pada Rabu lalu, Noor Salina Othman, 39, sedang bercuti dan berhasrat membawa anak perempuannya yang berusia tiga tahun membeli baju raya.

Bagaimanapun, beliau terpaksa membatalkan rancangan itu apabila menerima panggilan dari tempat kerjanya, Institut Jantung Negara (IJN) di sini, bahawa ada orang ingin mendermakan jantung kepada Tee Hui Yee.

Beliau yang merupakan Penyelaras Pemindahan Organ institut itu bergegas ke IJN kerana menganggap saat itu adalah peluang terbaik untuk gadis berusia 14 tahun itu meneruskan hidupnya dalam keadaan normal.

Noor Salina kemudian bergegas ke IJN dan tidak pulang ke rumah selama tiga hari selepas itu semata-mata untuk menguruskan pembedahan pemindahan jantung Hui Yee.

“Apabila mendapat berita mengenai Hui Yee akan mendapat jantung baru, saya bersemangat dan berazam mahu membantunya setakat yang boleh.

“Saya juga terpaksa mengorbankan peluang membeli baju raya untuk anak pada hari cuti saya,” katanya ketika ditemui pemberita di IJN di sini hari ini.

Noor Salina yang telah 15 tahun bekerja di IJN memberitahu, beliau mendapat panggilan untuk menguruskan persediaan bagi menjalankan pembedahan pemindahan jantung ke atas Hui Yee kira-kira pukul 1 petang hari Rabu lalu.

“Masa itu saya sedang memandu kereta. Sebaik melalui IJN, saya mendapat panggilan telefon supaya datang bertugas kerana Hui Yee akan mendapat jantung baru pada hari itu.

“Jadi saya batalkan rancangan saya untuk membeli baju raya dan terus memandu ke IJN dengan membawa anak saya bersama,” katanya yang berasal dari Kepong dekat sini.

Noor Salina berkata, beliau terpaksa menelefon kakaknya yang tinggal berdekatan untuk datang menjaga anaknya di IJN bagi membolehkannya menguruskan persediaan pembedahan Hui Yee pada sebelah malam.

Selepas menguruskan pembedahan pemindahan organ jantung yang pertama terhadap Hui Yee pada hari Rabu, beliau tidak pulang ke rumah sehinggalah petang Jumaat lalu selepas Hui Yee selesai menjalani pembedahan pemindahan jantung kedua.

Pemindahan jantung kedua yang diterima oleh Hui Yee daripada seorang remaja berusia 20 tahun dari Johor terpaksa dilakukan apabila tubuh gadis itu tidak dapat menerima organ jantung daripada penderma pertama, seorang remaja berusia 15 tahun dari Sitiawan.

“Pada hari Jumaat, saya hanya pulang sekejap kerana selepas itu saya kena bergegas ke IJN semula untuk menguruskan pemantauan keadaan Hui Yee.

“Selama tiga hari berada di IJN tanpa pulang ke rumah, saya berbuka puasa dengan apa sahaja yang sempat saya makan. Penat memang penat tetapi itu adalah tanggungjawab saya,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan rapi selama 24 jam perlu dilakukan terhadap Hui Yee kerana dia melalui dua siri pembedahan pemindahan jantung yang besar.

Noor Salina yang sebelum ini bertugas sebagai jururawat di institut itu berkata, beliau perlu sentiasa bersama ibu bapa Hui Yee bagi memaklumkan perkembangan terkini remaja itu.

Noor Salina berkata, keluarganya memahami tugasnya di IJN dan sentiasa memberi sokongan kepada beliau kerana ia adalah satu tugas yang mulia.

Tambahnya, sejak memegang jawatan Penyelaras Pemindahan Organ di IJN enam bulan lepas, beliau perlu berada dalam keadaan bersedia pada setiap masa sekiranya terdapat sebarang kes pemindahan organ.

Katanya, pernah sekali semasa dalam perjalanan pulang ke kampung suaminya di Johor, beliau terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur setelah mendapat panggilan untuk menguruskan satu kes pemindahan organ di IJN.

“Saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kali ini tetapi saya tetap kena bersedia untuk sebarang kemungkinan dipanggil bertugas,” tambahnya.

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Tee Hui Yee yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN) di sini Jumaat lepas, perlu menggunakan ubat sepanjang hayatnya.

Penyelaras Pemindahan Organ IJN, Noor Salina Othman berkata, ini bertujuan memastikan remaja berusia 14 tahun itu tidak mengalami komplikasi berikutan pemindahan organ berkenaan.

“Penolakan terhadap organ yang dipindahkan boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada seminggu selepas pembedahan atau beberapa bulan selepas itu.

“Pada masa ini, jantung kedua itu tidak memberi masalah kepada Hui Yee, tapi kami perlu terus memantau keadaannya bagi memastikan dia mengambil immunosuppressants.

“Sekiranya dia terlepas mengambil ubat itu, kemungkinan penolakan amat tinggi,” katanya kepada pemberita di lobi IJN di sini hari ini.

Hui Yee yang meneruskan hidupnya sejak setahun lepas dengan sokongan jantung mekanikal yang menggunakan kuasa bateri, minggu ini menerima jantung daripada seorang remaja yang diisytiharkan meninggal dunia dari segi otak, akibat kemalangan di Sitiawan, Perak.

Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas jantung itu dipindahkan, tubuh Hui Yee menolaknya dan ini memaksa satu lagi pembedahan dibuat bagi menggantikan organ itu dengan jantung seorang pekerja kilang berusia 20 tahun yang meninggal dunia di Johor Bahru.

Salina berkata, selalunya doktor IJN akan memaklumkan kepada pesakit yang terlibat dengan pemindahan organ tentang jenis ubat yang perlu mereka gunakan selepas sesuatu pembedahan.

“Semasa di bawah jagaan saya, saya akan sentiasa peringatkan Hui Yee bahawa perkara paling penting baginya ialah tidak sekali-kali terlepas memakan ubatnya.

‘‘Walaupun selepas dia sembuh sepenuhnya kelak, dia tetap perlu terus makan ubat itu kerana penolakan boleh berlaku pada bila-bila masa,” kata beliau.

– Bernama

Oleh Fazli Abdullah dan Faiza Zainudin

Kerajaan tiada niat lewatkan kes klip video perbualan peguam, hakim

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam memberi jaminan siasatan mengenai kesahihan klip video perbualan seorang peguam dengan seorang hakim kanan kononnya berhubung pelantikan hakim, akan dilakukan secara adil dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan cuba mengalih perhatian siasatan berkenaan dengan menjurus terhadap siapa yang merakamkan video terbabit.

Beliau menjelaskan siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh dan kerajaan mahu ia dilakukan dengan cepat dan adil.

"Kerajaan tidak berniat untuk melewatkan (siasatan)... niat kerajaan bukannya mahu sesuatu yang tidak adil. Kita mahu ia dilakukan secara adil, jadi sila beri kerjasama," katanya sambil mempersoalkan tindakan pihak tertentu mempertikaikan niat kerajaan dalam mengendalikan kes berkenaan.

Abdullah berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada penduduk miskin, anak yatim dan ibu tunggal bagi Dewan Undangan Negeri Bertam di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas, di sini.

Perdana Menteri diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan cuba mengalih isu sebenar berhubung pendedahan klip video itu dengan mencari perakam video berkenaan, bukannya memfokuskan perkara yang didedahkan dalam rakaman video itu.

Kerajaan menubuhkan panel khas yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor serta dianggotai dua panel, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, bagi menyiasat perkara itu.

Panel itu yang ditubuhkan pada 27 September lalu, diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan siasatan.

Abdullah berkata, orang ramai tidak sepatutnya mentafsirkan apa yang dilakukan oleh panel itu sebagai kononnya kerajaan mahu mengalih isu sebenar berhubung pendedahan video klip berkenaan.

Katanya, orang yang merakam perbualan itu serta mereka yang mendedahkan rakaman itu mungkin mempunyai maklumat yang lebih berhubung perkara berkenaan.

"Mungkin dia (panel) nak tahu lebih lanjut mengenai macam mana dia dapat maklumat itu dan dengan itu mereka boleh menjalankan siasatan kerana orang yang serahkan video itu tentu mempunyai maklumat yang lebih.

"Maklumat ini berguna kepada mereka untuk membuat keputusan. Oleh itu, tidak perlulah kata kerajaan mahu mengalih perhatian," katanya.

ISLAMABAD: Kedudukan Pervez Musharraf sebagai pemimpin Pakistan masih belum pasti kerana terpaksa menunggu keputusan Mahkamah Agung pada 17 Oktober ini bagi mengesahkan kemenangannya dalam pilihan raya Presiden, kelmarin.

Sumber yang rapat dengan presiden bagaimanapun berkata, Musharraf mungkin mengenakan �undang-undang tentera� untuk mengekalkan kestabilan di negara itu jika keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.

Sekutu kuat Amerika Syarikat itu, menjadi tumpuan usaha antarabangsa memerangi ekstremis Islam, mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya kontroversi kelmarin selepas ia dipulaukan hampir semua parti pembangkang.

Musharraf mendapat 671 undian dalam pilihan raya kelmarin berbanding lapan yang diraih lawannya, seorang bekas hakim. Secara keseluruhan, 1,170 Ahli Parlimen peringkat Pusat dan wilayah, layak mengundi.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung bakal memutuskan sama ada mahu mengiktiraf kesahihan undian berikutan dakwaan pembangkang yang mempertikaikan kedudukan Musharraf bertanding ketika masih memegang jawatan Panglima Tentera.

Malah, dalam keputusannya Jumaat lalu, mahkamah itu menegaskan sebarang keputusan tidak boleh disahkan sehingga ia memutuskan perkara itu.

Sebarang keputusan yang tidak memihak kepadanya, yang memegang kuasa dalam rampasan kuasa pada 1999, boleh menyebabkan Musharraf di ambang kejatuhan selepas berbulan-bulan berdepan kekacauan politik sehingga memaksanya mengisytiharkan undang-undang tentera.

Kelmarin, Musharraf menegaskan 'kemenangan besarnya' bersifat demokratik, menolak dakwaan bahawa pengecualian oleh parti bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, dan peletakan jawatan oleh Ahli Parlimen pembangkang lain, menjadikan ia tidak sah. � AFP

PEKAN: Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat negara ini harus disyukuri dengan menunaikan kewajipan yang dituntut oleh agama dan tanggungjawab kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin yang mempunyai niat ikhlas dan menunaikan tanggungjawab mentadbir dengan baik pasti mendapat balasan yang baik daripada Allah SWT.

"Jika kita menjadi pemimpin adil, prihatin terhadap nasib rakyat, sentiasa mengingati kewajipan kepada Allah, sudah tentu Tuhan akan membantu kita," katanya pada Majlis Ihya Ramadan bersama kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan penduduk setempat sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Al-Taqwa, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian Umno Pekan, Datuk Ishak Muhammad, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wan Razali Wan Mahussin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya, Wan Iqbal Wan Abdul Hamid.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha meninggikan taraf pendidikan rakyat kerana ilmu yang menentukan sama ada sesebuah negara itu berjaya.

Beliau berkata, melalui ilmu umat Islam akan lebih dihormati dan menjadi lebih cemerlang.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan barang makanan kepada 38 warga emas dan ibu tunggal di DUN Peramu Jaya.

Selepas selesai menunaikan solat Maghrib, Najib meluangkan masa dengan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).


Dr Faiz (kiri) dan Dr Sheikh Muszaphar

Russia puas hati prestasi kedua-dua angkasawan negara ikuti misi Soyuz

ASTANA (Kazakhstan): Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed diiktiraf sebagai angkasawan atau 'cosmonaut' oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos) selepas menjalani latihan terakhir dengan cemerlang hingga memuaskan hati pihak Russia Jumaat lalu.

Bagaimanapun hanya seorang daripada mereka akan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan ini akan diketahui empat jam sebelum roket Soyuz yang akan membawa seorang rakyat Malaysia dan dua lagi krew (seorang dari Russia dan seorang dari Amerika) ke ISS itu berlepas, esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata pengiktirafan itu dimaklumkan kepada beliau dalam pertemuannya dengan Ketua Pengarah Roskosmos, Anatoly Perminov, di Moscow, Jumaat lalu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR Kerajaan akan memenuhi permintaan dua angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz untuk bertemu ibu bapa masing-masing sebelum salah seorang berlepas menaiki pesawat Soyuz.

Pengarah Misi Angkasawan, Dr Zulkifli Md Jusoh, ketika dihubungi di Baikonour, Kazakhstan semalam berkata, permintaan dibuat beberapa hari lalu oleh kedua-dua calon akhir itu sebelum terus dimaklumkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

"Kerajaan bersetuju untuk menerbangkan kedua ibu bapa mereka ke Baikonour dan pertemuan akan diadakan di pelantar pelancaran empat jam sebelum mereka berlepas pada 10 Oktober ini.

"Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan negara terbabit hanya dibenarkan bertemu ibu bapa mereka di hadapan panel cermin dalam bilik khas," katanya.

Dr Zulkifli berkata, kedua angkasawan tidak dibenarkan bersentuh dengan individu lain walaupun ibu bapa sendiri sehingga menaiki pesawat.

"Mereka akur walaupun hakikatnya mereka ingin sekali bersalaman serta memohon restu dan kemaafan sebelum pemergian mereka, apalagi Aidilfitri yang bakal menjelang," katanya.

Dr Zulkifli berkata, walaupun dua angkasawan itu bakal merindui masakan Aidilfitri kegemaran mereka, prosedur pemakanan yang ketat tidak membolehkan keluarga mereka membawa masakan dari Malaysia.

Beliau berkata, dua angkasawan terbabit kini menjalani latihan intensif terakhir secara tertutup yang membabitkan latihan simulator, kecemasan dan perubatan.

"Kelmarin, mereka sudah menjalani ujian kesesuaian di dalam pesawat Soyuz. Ia untuk menguji dan menentukan saiz kerusi, peralatan dan sistem komunikasi di samping membiasakan mereka dengan persekitaran pesawat yang kecil dan sempit," katanya.

leh Hanneeyzah Bariah Baharin


Noor Salina Othman

KUALA LUMPUR: "Sakit!" Itulah perkataan pertama disebut Tee Hui Yee, 14, kepada Penyelaras Pemindahan Organ Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman sebaik remaja itu sedar selepas menjalani pembedahan pemindahan jantung keduanya Jumaat lalu.

Noor Salina yang menganggap Tee seperti anaknya sejak mendapatkan rawatan di IJN lebih setahun lalu, berkata remaja itu menggenggam erat tangannya serta enggan melepaskan tangannya ketika berjumpa pagi semalam.

Beliau berkata, perkembangan positif ditunjukkan Tee menggembirakan semua orang terutama pasukan yang terbabit dalam dua pembedahan itu.

"Sebaik sedar, Tee menunjukkan tiub yang membaluti tubuhnya. Semakin lama selepas dia sedar dia menyebut perkataan 'sakit'. Dia turut meminta pen dan kertas untuk berkomunikasi kerana saluran tiub pada mulutnya menyukarkannya bercakap," katanya sambil menambah, remaja perempuan itu juga enggan melepaskan tangan bagi membolehkannya memaklumkan keadaannya kepada kepada ibu bapa Tee.

"Sambil menyebut perkataan 'tipu', dia mahu sentiasa ada orang di sisi," katanya sudah menjaga Tee lebih setahun.

Tee yang menggunakan jantung mekanikal sejak lebih setahun lalu, menjalani pembedahan pemindahan jantung daripada penderma pertama, seorang remaja Melayu dari Perak yang maut dalam nahas jalan raya.

Bagaimanapun, kurang 24 jam kemudian, Tee yang menjalani pembedahan lebih 10 jam untuk pemindahan jantung pertama, sekali lagi dibedah selepas badannya menolak jantung itu.

Beliau kemudian melalui prosedur sama selama tujuh jam lagi menempatkan jantung baru awal pagi Jumaat lalu.

Mengulas lanjut keadaan Tee, Noor Salina berkata, remaja itu stabil walaupun masih belum melepasi waktu kritikal.

Beliau sudah mula diberi minum susu sejak petang kelmarin, mampu menggerakkan tangan dan kaki serta melakukan senaman ringan di atas katil.

"Dia masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dia juga sudah boleh bercakap, tetapi tiada suara kerana masih menggunakan 'ventilator' (alat bantuan pernafasan). Kita terpaksa tunggu hingga tubuhnya benar-benar kuat sebelum boleh mencabut bantuan pernafasan.

"Tekanan darahnya juga baik dan kita sudah mulakan pemakanan dengan memberi susu melalui tiub. Keadaannya stabil tetapi masih perlukan pemantauan rapi," katanya.

Sementara itu katanya, pesakit dari Sabah, Lang Kong, 39 yang menjalani pemindahan dua paru-paru pada waktu hampir sama dengan Tee juga dilaporkan stabil.

Beliau berkata, walaupun sistem tubuh Tee menerima jantung baru itu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan Tee terpaksa bergantung kepada ubat �immunolsuppressive� sepanjang hayat.

Katanya, jika Tee gagal mengambil ubat itu setiap hari, penolakan terhadap organ itu boleh berlaku walaupun sudah menggunakannya jantung itu untuk tempoh lama.

"Dalam keadaan Tee sekarang, kita nampak sistem tubuhnya sesuai dengan jantung diterima. Bagaimanapun, Tee tidak boleh mengabaikan pengambilan ubat setiap hari selepas pembedahan. Jika tidak, risiko tinggi penolakan organ boleh berlaku," katanya.

Kemenangan Musharraf undang padah lebih besar



SUARA SOKONGAN: Penyokong Parti Hurriyat yang bersesak menaiki kenderaan pikap di sekitar Islamabad, semalam bagi meraikan kemenangan Pervez Musharraf dalam pilihan raya Presiden, kelmarin.

Penganalisis dakwa undian diraih pemimpin Pakistan tak atasi krisis

ISLAMABAD: Kalangan penganalisis Pakistan menyifatkan kemelut dihadapi pemimpin negara itu, Pervez Musharraf masih belum berakhir, sebaliknya semakin sukar biarpun selepas beliau mendapat undian besar dalam pilihan raya Presiden, kelmarin.

Musharraf perlu menunggu sehingga 17 Oktober ini bagi mendengar keputusan Mahkamah Agung mengesahkan kejayaannya dalam pemilihan itu, selepas pembangkang memfailkan bantahan kerana tindakannya bertanding ketika masih menjadi Panglima Tentera.

Malah, Musharraf tiada pilihan jalan keluar kerana keputusannya boleh memburukkan lagi kemelut politik negara itu.

"Jika keputusan Mahkamah tidak memihaknya, Pakistan sekali lagi dibelenggu kekacauan andai Musharraf menggunakan kuasanya bagi mengisytiharkan perintah darurat.

"Andai itu yang berlaku, Pakistan menjadi sengsara. Apabila Pakistan menderita, dunia pasti berasa tempiasnya," kata Hasan Askari, bekas Ketua Sains Politik Universiti Punjab di Lahore.

Sebarang kekacauan di Pakistan boleh menjejaskan keselamatan kawasan sempadannya dengan Afghanistan yang didakwa Amerika Syarikat, sekutu utama Musharraf, sebagai lubuk kumpulan al-Qaeda.

Jika Musharraf diisytihar pemenang, kestabilan politik Pakistan ibarat di hujung tanduk berikutan tarikh pilihan raya umum pada 15 Januari 2008.

"Berdasarkan faktor sedemikian dan keadaan semasa, termasuk kekacauan yang berlaku dari semasa ke semasa, tidak mungkin mahkamah membuat keputusan bertentangan dengannya. Malah, ia satu kejutan besar jika Mahkamah Agung tidak membuat keputusan menyebelahinya," kata Askari.

Katanya, kedudukan Musharraf sebagai panglima tentera membolehkannya mengisytiharkan perintah darurat jika mahkamah membuat keputusan sebaliknya. Malah Musharraf sendiri sudah beberapa kali hampir mengisytiharkan perintah darurat tahun ini berikutan keganasan yang tercetus, termasuk tindakannya ke atas Masjid Lal (Masjid Merah) yang meragut banyak nyawa.

"Namun jika beliau diisytihar pemenang, Musharraf perlu segera memperkukuhkan kedudukannya dan semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa akan tertumpu kepada keputusan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto kembali daripada buangan pada 18 Oktober ini, sehari selepas keputusan mahkamah.

"Keseluruhan paradigma keselamatan dalam dan luar negara ini sudah berubah. Atas dasar itulah, kerajaan perlu memaparkan kewibawaannya kepada rakyat," kata Najam Sethi, Pengarang akhbar Daily Times.

Peranan Bhutto dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinannya sebagai rakan Musharraf dan sekutunya sedia ada, Liga Muslim Pakistan juga akan teruji kerana masing-masing berlumba mendapatkan tempat dalam kerajaan Musharraf.

Sethi berkata, Musharraf perlu melihat reaksi sokongan 'mullah' atau pemimpin parti Islam yang tidak pernah meraih sebarang tempat sehingga pilihan raya 2002 lalu. � AFP

Oleh Anwar Hussin

Kehadiran untuk beri semangat, lepaskan rindu sebelum anak ikuti misi ke ISIS

KUALA LUMPUR: Ibu bapa calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed berlepas ke Baikonour Cosmodrome, Kazakhstan, malam tadi bagi bertemu anak masing-masing serta memberi kata semangat dalam misi penting mereka.

Walaupun tidak mengetahui siapa akan mewakili negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz tetap berbangga dengan pencapaian anak mereka serta tidak mahu melepaskan peluang itu untuk melepaskan rindu.

Bapa Dr Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor yang akan tiba di Baikonour Rabu ini, sangat merindui anaknya serta mahu memberi kata semangat sebelum berlepas.

"Kami akan tiba di Baikonour beberapa jam sebelum Sheikh Muszaphar atau Dr Faiz berlepas ke ISS. Jadi saya berharap sempat bertemu anak saya.

"Saya sentiasa mengingatkan beliau supaya tidak lupa kepada tuhan sepanjang masa dan apa yang membanggakan saya, Sheikh Muszaphar berkata, beliau akan tetap berpuasa dan bersolat ketika di angkasa.

"Beliau memberitahu saya, itu adalah cabaran untuk beliau sebagai umat Islam dan perlu ditunaikan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sheikh Mustapha berkata, beliau percaya anaknya akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara.

Beliau dan isterinya, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, yang sepatutnya berada di Baikonour hingga 12 Oktober ini, membuat keputusan melanjutkan tempoh mereka berada di sana hingga anaknya pulang 21 Oktober ini.

"Kami akan berhari raya di Moscow sementara menunggu Sheikh Muszaphar pulang," katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz diiktiraf sebagai angkasawan oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos) selepas menjalani latihan terakhir dengan cemerlang hingga memuaskan hati pihak Russia.

Hanya seorang daripada mereka akan ke ISS dan ini akan diketahui empat jam sebelum roket Soyuz yang akan membawa seorang rakyat Malaysia dan dua krew (seorang daripada Russia dan seorang daripada Amerika Syarikat) ke ISS itu berlepas.

Sementara itu, ibu Dr Faiz, Mazenah Mohamad, berkata beliau yang terlalu gembira kerana doanya untuk bertemu anak sulongnya itu dimakbulkan tuhan.

"Tidak kiranya siapa yang akan terpilih bagi menjalankan tanggungjawab itu nanti, yang penting kedua-dua mereka sentiasa berhati-hati dan buat yang terbaik untuk negara. Saya juga akan minta Faiz dan Sheikh Muszaphar menjaga kesihatan mereka," katanya.

Mazenah yang pada beberapa ketika tidak dapat menyembunyi rasa bimbang tugasan anaknya itu, berharap segala-galanya berjalan lancar dan kedua-dua angkasawan negara itu mampu mencatat sejarah kegemilangan negara.

YANGON: Pemimpin tentera yang memerintah Myanmar cuba berdamai dengan sami Buddha dengan menderma wang, makanan dan ubat kepada kuil di seluruh negara itu, lapor media semalam.

Leftenan Jeneral Myint Swe mewakili Kementerian Pertahanan menyumbangkan AS$8,000 (RM27,200), beras, minyak masak, ubat gigi dan ubat-ubatan kepada 50 kuil di utara Yangon, lapor New Light of Myanmar.

Sumbangan itu adalah bagi pihak tentera dan keluarga mereka diterima sami, kata akhbar itu.

Bagi pengikut Buddha, sesiapa yang menolak derma diumpamakan seperti terputus hubungan dengan orang lain dan penerimaan sumbangan itu bermaksud pihak tentera diterima semula oleh pengikut ajaran itu.

Sami Buddha bulan lalu mengisytiharkan pemulauan terhadap derma askar ketika menerajui bantahan yang disertai sehingga 100,000 orang di Yangon.

Mereka dipukul dan ditahan askar selepas pihak tentera bertindak balas ke atas protes yang dianggap ancaman terbesar terhadap pemerintahan mereka selama 20 tahun.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 2,100 dipercayai ditahan.

Perkembangan terbaru di Myanmar berlaku ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menimbang draf kenyataan 'tidak mengikut' bertujuan mengutuk rejim tentera negara itu. � AFP

ISLAMABAD 7 Okt. – Perikatan pembangkang Pakistan hari ini menolak kemenangan Presiden Pervez Musharraf dalam pemilihan Presiden yang diadakan semalam.

Pemimpin Pergerakan Demokratik Semua Parti, Raja Zafarul Haq menyifatkan pemilihan itu sebagai pengundian paling kontroversi dalam sejarah 60 tahun negara ini.

Kesemua ahli Parlimen pergerakan itu memulaukan pengundian itu kerana menganggap tindakan Pervez bertanding tanpa melepaskan jawatan ketua tentera sebagai tidak demokratik dan menyalahi perlembagaan.

Mahkamah Agung sedang menimbangkan hujah berkenaan sebelum membenarkan keputusan rasmi diumumkan.

Bagaimanapun penganalisis mempersoalkan sama ada Mahkamah mempunyai keberanian untuk menafikan kemenangan Pervez dan membuka kemungkinan meletusnya huru hara di negara ini.

Menurut Raja, para pemimpin perikatannya akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi untuk memutuskan cara terbaik bagi meneruskan kempen mereka menentang Pervez.

Bagaimanapun mogok yang dilancarkannya bagi memprotes pemilihan semalam mendapat sambutan dingin.

Pervez memenangi 671 undi dalam pengundian di Parlimen Persekutuan dan dewan undangan wilayah itu, sementara bekas hakim yang menjadi pencabar utamanya hanya mendapat lapan undi, kata pegawai.

Kesemua 1,170 ahli dewan layak untuk mengundi.

Pervez menyangkal kritikan bahawa boikot pembangkang telah menyebabkan pemilihan itu tidak sah.

“Demokrasi bermaksud majoriti sama ada terdapat pembangkang atau tidak.

“Majoriti besar telah mengundi saya dan itulah keputusannya,” kata Pervez kepada wartawan di luar kediaman rasminya.

Parti pemerintah meraikan kemenangan itu dengan bunga api dan menyatakan kesediaan untuk menghadapi pilihan raya Parlimen pada Januari depan.

Namun kegembiraan itu tidak dirasai oleh kebanyakan rakyat yang sinis dengan politik elit Pakistan dan dominasi tentera terhadap negara ini.

– AP

YANGON 7 Okt. – Kerajaan Myanmar hari ini membesar-besarkan pengumuman pembebasan sami dan penunjuk perasaan menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membincangkan tindakan ke atas junta tentera tentang caranya membenteras bantahan ramai di negara ini.

Anggota majlis itu akan bertemu esok untuk membahaskan satu draf kenyataan membantah tindakan yang diambil oleh Myanmar.

Menurut sebuah akhbar kerajaan, New Light of Myanmar, lebih separuh daripada 2,171 yang ditahan dalam tunjuk perasaan telah dibebaskan .

Lapornya, hampir 400 daripada 533 sami buddha yang ditahan telah dihantar pulang ke wat masing, masing.

Akhbar yang sama sebelum ini melaporkan kerajaan telah menahan 78 orang lagi rakyatnya yang mengadakan bantahan antijunta, sekali gus menjadikan jumlah yang ditahan melebihi 1,000 orang.

“Mereka yang ditahan sedang disoal siasat dan jumlah yang ditahan kini lebih 1,000 orang selepas 1,215 dibebaskan Sabtu lalu.

“Seramai 533 sami ditahan sejak bantahan ini bermula bagi mengenal pasti sama ada mereka adalah sami sebenar atau palsu dan sehingga kini 398 sami telah pun dihantar pulang,” lapor akhbar berkenaan.

Namun menurut kumpulan penentang dan kerajaan asing, seramai 6,000 orang telah ditahan sejak protes ini bermula bulan lepas yang juga merupakan yang terbesar dalam tempoh 20 tahun.

Kerajaan junta turut mengumumkan seramai 10 orang termasuk seorang jurugambar Jepun terbunuh dalam kejadian itu.

Jumlah itu bagaimanapun diragui berdasarkan maklumat dari sumber bebas dan juga kerajaan asing yang mana jumlah sebenar kini mencecah ratusan orang.

– AP

SHAH ALAM: Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau tidak dapat memastikan dengan tepat masa kesan darah dipercayai milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, terkena pada sepasang selipar yang ditemui dalam jip tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, 54, berkata daripada analisis ujian DNA dilakukannya, beliau tidak dapat memastikan berapa lamakah kesan darah berkenaan berada di situ.

Disoal peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin dalam pemeriksaan balas, Primulapathi menafikan tidak membuat sebarang ujian bagi mengesahkan tompokan hitam pada sepasang selipar adalah kesan darah.

Saksi itu berkata, kesan darah pada selipar berkenaan bukan andaiannya semata-mata kerana beliau sudah melakukan Ujian Kastle-Mayer bagi memastikannya.

Menjawab soalan Kamarul Hisham, Primulapathi berkata, polis tidak mengarahkan beliau mengesan cap jari pada selipar itu kerana jabatannya tidak melakukan analisis bagi mengesan cap jari.

Katanya, beliau juga tidak tahu sekiranya analisis cap jari itu diperlukan dalam siasatan kes pembunuhan wanita terbabit.


Dalam keterangannya sebelum ini, profil DNA pada selipar itu adalah berpadanan dengan sampel DNA yang diambil daripada ibu mangsa, Altansetseg Sanjaa.

Primulapathi bersetuju dengan Kamarul Hisham beliau menggunakan budi bicaranya bagi menentukan cara mengambil swab profil DNA daripada sehelai jaket hitam (milik Sirul Azhar).

Kamarul Hisham: Ketika mengambil profil DNA bagi menentukan pengguna jaket itu, kamu mengandaikan beberapa bahagian di mana DNA akan mudah diperoleh, setuju?

Primulapathi: Ya.

Kamarul Hisham: Kamu tidak tahu siapakah pemilik jaket itu?

Primulapathi: Tidak.

Kamarul Hisham: Jadi, kamu tidak tahu siapakah yang biasa memakai jaket itu?

Primulapathi: Tidak.

Kamarul Hisham: Setuju, daripada analisis Ujian DNA Mitochondrial yang dilakukan kamu, rujukan turutan profil DNA pada jaket adalah tidak berpadanan dengan sampel darah Sirul Azhar?

Primulapathi: Ya.

Kamarul Hisham: Jadi, siapapun pemilik profil DNA pada jaket itu, dia bukanlah Sirul Azhar?

Primulapathi: Ya.

(Dalam keterangan saksi sebelum ini, profil DNA pada jaket berkenaan adalah berpadanan dengan DNA pada barangan kemas Altantuya dan sampel darah Altansetseg)

Kamarul Hisham: Katakan saya pegang barangan yang ada DNA orang lain, kemudian saya sentuh barangan lain pula, adakah terdapat kemungkinan DNA pada barangan pertama tadi dipindahkan pada barangan kedua?

Primulapathi: Ia mungkin berlaku, bergantung kepada sekuat mana cengkaman tangan pada barangan berkenaan.


BERI TUMPUAN: Kuldeep yang mewakili Azilah membuat pemeriksaan balas pada perbicaraan, semalam.

Tidak guna data populasi penduduk Mongolia dalam ujian tak jejas keputusan

SHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan tisu dan tulang wanita yang ditemui di Puncak Alam di sini, sebagai anak biologikal pasangan Setev Shaariibuu dan Altansetseg Sanjaa, adalah tepat dan muktamad.

Wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu adalah anak perempuan pasangan Setev Shaariibuu dan Altansetseg Sanjaa.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, mempertahankan ketepatan ujian itu walaupun tidak menggunakan pangkalan data populasi bangsa Mongolia.

Beliau berkata, ia kerana pangkalan data populasi hanya digunakan untuk mengira kebarangkalian padanan DNA dan bukannya menentukan sama ada ia mempunyai persamaan atau tidak.

Katanya, pengiraan kebarangkalian hanya berfungsi menguatkan lagi keputusan padanan DNA, selain digunakan untuk menambahkan keputusan statistik padanan DNA yang disahkan mempunyai persamaan.

"Ia berikutan pandangan umum bahawa keputusan yang membabitkan angka lebih diterima ramai, malah isu ini menjadi perdebatan di kalangan saintis sama ada perlu menambahkan keputusan statistik dalam keadaan di mana padanan DNA sudah disahkan tepat," katanya.

Primulapathi yang juga saksi ke-39 pendakwaan berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela J Kuldeep kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri dalam sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Kuldeep mengemukakan soalan itu selepas Primulapathi bersetuju dengan cadangannya bahawa beliau (Primulapathi) tidak menggunakan pangkalan data bangsa Mongolia ketika menjalankan ujian DNA berkenaan.

Saksi itu berkata, beliau tidak menggunakan pangkalan data bangsa Mongolia kerana makmal Jabatan Kimia tidak mempunyai kit pangkalan data terbabit, bagaimanapun beliau yakin bahawa ujian dijalankannya menunjukkan kebarangkalian 99.9999 peratus.

Kuldeep: Tetapi mengikut laporan ini, pengiraan kamu hanya 99.7 peratus?

Primulapathi: Saya setuju, tetapi ia masih dalam lingkungan 99.8 atau 99.9 peratus.

Kuldeep: Adakah kamu boleh membuat pengiraan jika menggunakan pangkalan data populasi bangsa Mongolia?

Primulapathi: Saya boleh jika ada, bagaimanapun dalam kes ini saya tidak mempunyai akses terhadap kit itu.

Kuldeep: Bolehkah kamu mendapatkannya?

Primulapathi: Saya perlu membuat pengesahan dengan kerajaan Mongolia sama ada mereka mempunyai pangkalan data itu, bagaimanapun dalam kes ini saya tidak membuat pengesahan itu.

Kuldeep: Adakah kamu setuju bahawa hasil keputusan ujian yang kamu jalankan adalah tidak tepat dan silap kerana tidak menggunakan pangkalan data itu?

Primulapathi: Ia tidak silap. Jika keputusan menunjukkan DNA berpadanan, ia adalah tepat. Standard antarabangsa menetapkan jika makmal tidak mempunyai kit pangkalan data itu, ia boleh menggunakan mana-mana pangkalan data populasi yang ada.

Sementara itu, Primulapathi tidak bersetuju dengan cadangan Kuldeep bahawa boleh berlaku kemungkinan spesimen bertukar atau tercemar ketika ujian DNA di makmalnya.

Katanya, beliau melarang empat pembantunya membuat ujian terhadap kes lain ketika mengendalikan spesimen itu dan sebarang pertukaran spesimen akan boleh dikenal pasti melalui keputusan analisis.

Kutldeep: Adakah kamu menjalankan ujian DNA itu sendiri?

Primulapathi: Saya dibantu lima pembantu dan mereka sentiasa berada di bawah pengawasan saya. Seorang daripadanya pembantu makmal, manakala selebihnya pegawai saintifik yang juga pakar DNA.

Kuldeep: Adakah pembantu makmal seorang pakar?

Primulapathi: Tidak.

Kuldeep: Setuju bahawa dalam laporan analisis kamu tidak menulis tarikh ujian dijalankan?

Primulapathi: Setuju.

Kuldeep: Adakah kamu setuju amat penting untuk berbuat demikian?

Primulapathi: Saya tidak setuju. Saya mempunyai rekod dalam buku nota.

Kuldeep: Bila kamu menjalankan ujian terbabit?

Primulapathi: Saya perlu merujuk nota dulu. Selepas menerima spesimen pada 11 November lalu, saya menjalankan ujian pada keesokan hari, sementara itu spesimen yang diterima pada 15 November, saya jalankan ujian pada hari sama dan yang diterima pada 17 November, dijalankan pada 19 November.

Kuldeep: Berapa lama diperlukan untuk menjalankan ujian itu?

Primulapathi: Ia bergantung kepada jenis spesimen. Jika ia darah cair, masa 24 jam diperlukan. Bagi tulang dan rambut serta kesan DNA, ia biasanya mengambil masa selama tiga hingga lima hari bergantung kepada kualiti spesimen.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Hardi Effendi Yaacob

KUALA LUMPUR: Polis yakin akan mendapat maklumat berhubung kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, apabila memperoleh imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditingkatkan di makmal Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, minggu ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di Washington, akan pulang ke negara ini beberapa hari lagi.

"Polis yakin rakaman ini dapat membantu siasatan kes ini," katanya, di sini, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini mengesahkan PDRM mendapatkan bantuan teknikal FBI bagi meningkatkan imej rakaman dipercayai suspek dirakam CCTV yang dipasang di premis bersebelahan tempat mayat Nurin Jazlin ditemui dalam sebuah beg sukan di Taman Petaling Utama, dekat sini, 17 September lalu.

Polis sebelum ini mendedahkan kelibat seorang wanita berbadan kecil berusia lingkungan 20-an yang dirakam CCTV yang ditempatkan di sebuah bengkel kereta bersebelahan lokasi mayat Nurin Jazlin ditemui.

Wanita itu dilihat menaiki kereta Kenari perak yang dipandu seorang lelaki.

Sementara itu, sumber lain memberitahu kad SIM telefon bimbit yang dikeluarkan daripada badan wanita Indonesia berusia 23 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Rabu lalu, sudah dihantar untuk ujian forensik siber di Cyberjaya.


Ujian itu dilakukan sekumpulan pakar Mimos Bhd, bertujuan mendapatkan maklumat terkandung di dalamnya, termasuk senarai nombor panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat atau diterimanya.

"Proses itu dijangka mengambil masa seminggu," katanya.

SHAH ALAM 7 Okt. – Perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-47 di Mahkamah Tinggi di sini esok akan diteruskan dengan keterangan oleh pakar ujian asid deoksiribonukleik (DNA), Primulapathi Jaya Krishnan.

Jika sebelum ini Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Petaling Jaya itu membuat pengesahan tentang padanan DNA pada bahan-bahan bukti, kali ini beliau akan berhadapan dengan soalan-soalan daripada peguam bela pula.

Pengesahan tentang padanan DNA Altantuya Shaariibuu dengan kesan darah pada sepasang selipar dan calitan pada jaket hitam milik Koperal Sirul Azhar Umar pasti akan dipersoalkan.

Begitu juga hasil ujian DNA ke atas tulang, tisu dan gumpalan rambut dari tempat kejadian yang sebelum ini disahkan milik anak kepada Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanja (ibu bapa Altantuya).

Peguam yang mewakili tertuduh kedua iaitu Kamarul Hisham Kamarudin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal dijangka mempunyai senarai soalan yang panjang untuk diajukan kepada saksi dalam sesi pemeriksaan balas.

Ini kerana sebahagian besar daripada keterangan Primulapathi yang berkaitan dengan hasil ujian DNA membabitkan anak guam mereka secara langsung.

Dalam kes itu, Cif Inpektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi di antara lot 12843 dan lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.