Oleh ABDUL YAZID ALIAS

KLANG 2 Okt. – “Tidak ada apa-apa saya hendak cakapkan,” itulah luahan seorang daripada empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian kejam kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazimin.

Lelaki berkenaan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuantan di sini, dengan nada perlahan memberitahu, beliau tidak mahu bercakap apa-apa lagi mengenainya.

Beliau yang juga enggan memberitahu namanya, merupakan antara yang ditahan polis di sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, semalam beliau dan tiga lagi lelaki yang ditahan masing-masing berusia di antara 27 hingga 33 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

Pembebasan tersebut dibuat setelah siasatan polis yang dijalankan ke atas mereka tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Sepatutnya, kesemua lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 3 Oktober ini.

Kes kematian Nurin Jazlin telah menarik perhatian pelbagai pihak setelah mendapat liputan meluas oleh media selepas hilang pada 8 Ogos lalu ketika keluar seorang diri ke sebuah pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Nurin Jazlin gagal dikesan setelah usaha dan gerakan mencari secara besar-besaran gagal menemui sebarang petunjuk.

Sebaliknya, pencarian tersebut berakhir setelah pihak polis berjaya menemui mayat kanak-kanak perempuan di dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan sebuah rumah kedai di Petaling Jaya, pada 17 September lalu.

KUALA LUMPUR 2 Okt. – “Saya terkejut apabila melihat gambar saya disiarkan dalam surat khabar hari ini. Pada hal saya cuma ke sana (Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya) untuk membantu kawan saya yang baru dibebaskan daripada tahanan reman polis,” kata Azwirabulkhairi Abdul Aziz, 27.

Beliau yang merupakan Setiausaha Eksekutif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berasa kesal dan kecewa dengan tindakan media yang memaparkan wajahnya tanpa pengesahan terlebih dulu.

“Sejak pukul 8 pagi ini, saya terima hampir ratusan panggilan telefon yang bertanya mengenai hal ini.

“Kebanyakannya daripada mereka adalah sanak saudara dan rakan-rakan saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Belia Antarabangsa Cheras di sini, hari ini.

Azwirabulkhairi bukan salah seorang daripada empat lelaki yang ditahan polis minggu lalu untuk membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Sebaliknya, beliau berada di IPD Petaling Jaya semalam untuk memberi sokongan moral kepada salah seorang lelaki yang dibebaskan yang merupakan sahabatnya.

Polis membebaskan rakannya itu bersama tiga lagi lelaki lain selepas mendapati mereka tidak terlibat dengan kes kehilangan dan pembunuhan Nurin Jazlin.

Bagaimanapun, jurugambar yang bertugas di IPD Petaling Jaya terkeliru dan merakamkan gambar Azwirabulkhairi.

Hari ini semua akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia menyiarkan gambar Azwirabulkhairi (yang ketika itu memakai baju kemeja putih berkotak) sebagai salah seorang lelaki yang dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan kes Nurin Jazlin.

Menceritakan perasaannya, Azwirabulkhairi yang merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, panggilan pertama diterimanya daripada seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terkejut dengan paparan gambar beliau dalam surat khabar yang mengaitkannya dengan lelaki-lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes Nurin Jazlin.

“Bukan saya nak kata, saya memang malu... bukan saya seorang saja, malah keluarga saya serta keluarga mertua saya terpaksa menanggung malu ekoran paparan gambar saya.

“Isteri saya bekerja dengan sebuah kementerian, malulah dia... kita tak tahu persepsi orang macam mana,” katanya yang aktif memberi ceramah dan motivasi di universiti dan kolej tempatan.

Azwirabulkhairi meminta kerjasama semua media supaya lebih berhati-hati dan tidak hanya memikirkan nilai komersial semata-mata dalam penyiaran berita.

Katanya: “Biarlah mahkamah memutuskan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya, janganlah media mengambil alih tugas mahkamah.”

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin supaya menghubungi polis bagi menyelesaikan kes pembunuhan itu.

JAKARTA 2 Okt. – Seorang anggota Parlimen Indonesia mahu kerajaan bertindak terhadap penggunaan lagu tradisional Indonesia Rasa Sayange dalam kempen Truly Asia anjuran kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong.

Hakam Naja dari Partai Amanah Nasional dipetik oleh akhbar Jakarta Post hari ini sebagai berkata, jika kerajaan dapat buktikan lagu itu milik Indonesia, ia hendaklah menyaman kerajaan Malaysia.

“Kerajaan perlu selidik asal-usulnya, sama ada ia dari Indonesia ataupun bukan,” katanya.

Rasa Sayange dipercayai berasal dari Maluku, Indonesia, dan dinyanyikan sejak generasi dahulu bagi menyatakan rasa cinta mereka kepada alam sekitar.

Hakam juga menuduh Malaysia telah menjadikan batik sebagai hak miliknya.

“Ini berlaku kerana kerajaan Indonesia tidak bertindak berhubung hak cipta atau untuk mempatenkan warisan negara. Jika sesiapa mahu menggunakan elemen budaya Indonesia, kerajaan perlu diberi pampasan,” kata Hakam.

Priyo Budi Santoso dari Parti Golkar pula berkata, Malaysia perlu meminta izin kerajaan Indonesia untuk menggunakan lagu itu kerana ia adalah warisan negara.

Pengerusi Majlis Hak Cipta Indonesia, Enteng Tanamal, berkata tindakan untuk menyaman Malaysia mungkin tidak akan berjaya kerana tidak ada siapa tahu siapa pencipta lagu itu.

“Bagaimana nak saman Malaysia jika tidak ada siapa yang tahu siapa pencipta lagu itu? Jadi biarlah Malaysia menggunakan lagu itu sebagai lagu tema pelancongan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan boleh menyemak dengan Jabatan Paten atau kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk cuba mengenal pasti pencipta lagu itu.

– Bernama

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) mahu pemerintah Indonesia mengemukakan bukti bahawa lagu Rasa Sayang yang digunakan oleh Malaysia bagi menarik pelancong ke negara ini merupakan warisan sejati republik itu dan penggunaannya perlu mendapat keizinan terlebih dahulu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, isu tersebut seharusnya tidak timbul kerana Rasa Sayang merupakan lagu yang dimainkan di nusantara sejak zaman-berzaman.

Katanya, banyak lagi lagu lain yang tidak dapat dibuktikan penciptanya tetapi menjadi penghubung dalam mengukuhkan persaudaraan orang Melayu di rantau ini.

‘‘Lagu-lagu seperti Rasa Sayang, Jauh Di Mata, Burung Pungguk dan Terang Bulan ialah lagu nusantara yang mengikat tali persaudaraan orang zaman dahulu dari kedua-dua negara.

‘‘Sila buktikan ia milik Indonesia sebab sebahagian lagu-lagu ini adalah lagu nenek moyang kita dan kita tidak boleh katakan seseorang itu menciptanya,’’ kata Rais ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran KeKKWa di Masjid Wilayah di sini, malam ini.

Beliau mengulas gesaan ahli-ahli Parlimen Indonesia, antaranya Hakam Naja dari Parti Amanah Nasional yang mahu pemerintah Indonesia menyaman kerajaan Malaysia kerana menggunakan lagu tradisonal Rasa Sayange dalam kempen ‘Malaysia: Truly Asia’ bagi menarik kemasukan pelancong asing.

Priyo Budi Santoso dari Parti Golkar pula mahu Malaysia meminta izin daripada pemerintah Indonesia untuk menggunakan lagu itu dengan mendakwa ia adalah warisan republik itu.

Lagu Rasa Sayange dipercayai berasal dari Maluku, Indonesia dan dinyanyikan sejak beberapa generasi dahulu bagi menyatakan rasa cinta mereka kepada alam sekitar.

Menurut Rais, beliau percaya pemerintah Indonesia tidak akan bertindak terburu-buru untuk menyaman kerajaan Malaysia tanpa sebarang bukti kukuh.

Jelasnya, tindakan tersebut sekiranya diambil hanya akan menjejaskan hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

‘‘Dari segi budaya, saya kira mereka tidak harus ambil jalan tersebut.

‘‘Kita pun boleh katakan sebahagian lagu kita mereka nyanyikan dan terbitkan di sana tanpa apa-apa honorarium kepada penyanyi asal dari negara ini,’’ katanya.

Rais sebelum itu menyampaikan sumbangan sebanyak RM225,500 kepada para penggiat seni yang mengalami masalah kesihatan serta golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan pelajar miskin.

Beliau turut mengerjakan solat tarawih secara berjemaah.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha KeKKWa, Datuk Zakiah Ahmad dan Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Mohamed Farid Noh


Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan kesal dengan laporan akhbar Indonesia, The Jakarta Post mengenai gesaan seorang Ahli Parlimen Indonesia yang mahu kerajaan negaranya menyaman Malaysia kerana menggunakan lagu tradisional Rasa Sayang untuk kempen 'Truly Asia' sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07).

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata lagu Rasa Sayang adalah lagu tradisi Melayu Nusantara dan sebagai negara serumpun yang memiliki banyak ciri persamaan, dakwaan itu tidak sepatutnya timbul.

Beliau berkata, dakwaan itu mungkin diutarakan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara yang berlaku terhadap rakyat Indonesia di negara ini dengan mencari isu yang boleh mencetus konflik antara kedua-dua negara.

"Jika mereka mahu saman, kita tunggu dan lihat... tapi mengapa mereka nak ambil tindakan undang-undang sedangkan kita negara serumpun yang sangat rapat dan banyak berkongsi persamaan, termasuk lagu Rasa Sayang," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Laporan kelmarin memetik Ahli Parlimen dari Parti Amanah Nasional, Hakam Naja yang mahu kerajaan Indonesia menyelidiki asal usul lagu Rasa Sayang dipercayai berasal dari Maluku, Indonesia sebelum menyaman Malaysia kerana menggunakan lagu itu untuk tujuan komersial.

Hakam juga menuduh Malaysia mengakui dan menjadikan kraf tangan tradisional Indonesia seperti batik dan wayang kulit sebagai miliknya.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Indonesia tiada hak mendakwa lagu Rasa Sayang sebagai milik mereka kerana lagu itu adalah milik Nusantara.

Bercakap selepas majlis berbuka puasa anjuran kementeriannya, di sini, malam tadi, beliau berkata, Rasa Sayang dan lagu seperti Jauh Di Mata, Burung Pungguk dan Terang Bulan adalah lagu Nusantara dan tiada pihak yang boleh mendakwa ia milik mereka.

"Saya cabar mana-mana pihak di Indonesia membuktikan siapa penciptanya dan sila tunjuk bukti," katanya.

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed kini dikuarantin di tempat khas di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bagi memastikan tahap kesihatan mereka baik menjelang tarikh pelancaran ke angkasa lepas, Rabu depan.

Menurut Faiz, mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan tanpa kebenaran bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit.

Walaupun dikuarantin, tambah beliau, keadaan di situ cukup selesa dan segala keperluan mereka tidak pernah diabaikan pihak Rusia.

“Di sini, kami berada di tempat khas di mana semua angkasawan Rusia sebelum ini dikuarantin supaya tahap kesihatan tidak merosot.

“Kami tidak dibenarkan keluar sesuka hati kerana takut terkena jangkitan, namun tempat ini selesa dan segala keperluan kami terjaga dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Faiz dan Sheikh Muszaphar dikuarantin sejak Rabu lalu di Baikonur Cosmodrome sebagai persiapan akhir menjelang pelancaran ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Di situ, kedua-dua mereka menjalani pelbagai latihan simulasi dan eksperimen bagi menyesuaikan diri apabila berada di angkasa lepas selama 10 hari nanti.

Selain itu, mereka juga meneruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan fizikal serta kekuatan mental.

Faiz berkata, sesi latihan di situ tidak seteruk sewaktu mereka mengikuti latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Moscow selama setahun sebelum ini.

Ini kerana, katanya, mereka perlu mendapat rehat secukupnya menjelang pelancaran ke ISS.

Faiz menambah, beliau juga tidak pasti aktiviti terperinci yang disediakan di situ sebelum tarikh pelancaran kerana mereka hanya disediakan dengan jadual harian.

KUALA LUMPUR: Program angkasawan negara bukan setakat menjalankan kajian saintifik serta melonjakkan kemajuan sains dan teknologi negara, sebaliknya perlu dilihat lebih menyeluruh, iaitu menggalak dan menanam minat generasi muda menerokai ilmu sains.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata program itu akan menyemarakkan semangat rakyat Malaysia untuk mendalami bidang sains dan teknologi, sekali gus meningkatkan aspek psikologi generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, kementerian merancang mengadakan pelbagai program khas untuk pelajar sekolah mengikuti program perjalanan angkasawan bertujuan menanam sikap bangga dengan kejayaan anak tempatan menerokai angkasa.

"Kira-kira lima juta pelajar sekolah dan 26 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaatnya dan menggunakan hasil kajian dan pengalaman angkasawan negara sebagai rujukan.

"Kedua-dua angkasawan itu akan dilantik sebagai duta angkasa, menjelajah ke sekolah apabila misi mereka berjaya," katanya dalam taklimat ringkas mengenai program angkasawan negara sempena jamuan berbuka puasa bersama media, di sini, malam tadi.

Seorang daripada dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha atau Dr Faiz Khaleed dijangka berlepas dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan menaiki pesawat Soyutz ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Projek angkasawan Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di dunia kerana dibangunkan pada asas timbal balas bagi pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.44 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Jamaludin berkata, pada 14 Oktober, angkasawan negara akan mengadakan sidang video pertama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari kedua.

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi amaran kepada semua penjawat awam di negara ini supaya tidak menerima sebarang bentuk hadiah sempena musim perayaan seperti hamper kerana ia boleh membuka peluang berlakunya perbuatan rasuah.

BPR dalam kenyataannya berkata, gejala seumpama itu dilihat begitu ketara terutama pada musim perayaan dan fenomena itu perlu dikawal sepenuhnya.

Amaran tersebut, kata kenyataan itu, sejajar dengan peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang secara jelas melarang seorang pegawai awam atau swasta menerima hadiah bertujuan mendapatkan balasan atau keistimewaan membabitkan tugas dan kuasanya.

‘‘Selain itu semua penjawat awam juga adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu pegawai awam dilarang daripada menerima atau memberi hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas awamnya,’’ kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, BPR mahu ketua-ketua jabatan mengingatkan pegawai dan kakitangan mereka supaya menghindari gejala berkenaan.

‘‘BPR sendiri akan membuat pemantauan ke atas ketua-ketua jabatan berhubung dengan perkara ini dan kepada mereka yang ditawarkan hadiah harus melaporkannya ke BPR,’’ kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, kegagalan penjawat awam membuat laporan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17, Akta Pencegahan Rasuah 1997.

‘‘Di bawah akta ini, seseorang yang disabitkan bersalah kerana tidak melaporkan tawaran rasuah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Laporan

‘‘Begitu juga dengan mereka yang telah diminta rasuah oleh pihak tertentu perlu juga membuat laporan kepada pegawai BPR atau polis paling hampir dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,’’ kata kenyataan itu lagi.

Ekoran terdapat banyak kemusykilan tentang isu itu khususnya pada musim perayaan ini BPR telah menubuhkan Pusat Khidmat Nasihat Pemberian/ Penerimaan Hadiah.

Pusat itu, kata kenyataan tersebut, dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Ibu Pejabat BPR, Putrajaya.

‘‘Orang ramai boleh menghubungi atau mengirim pesanan ringkas (SMS) melalui dua talian khas yang disediakan bagi memudahkan rujukan dibuat iaitu di talian 019-6000103 atau 019-6000104.

“Selain itu mereka juga boleh melayari laman web BPR iaitu www.bpr.gov.my atau emel kepada hadiah@bpr.gov.my,” kata kenyataan itu.

Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menubuhkan Pusat Khidmat Nasihat Pemberian/Penerimaan Hadiah untuk memberi khidmat nasihat kepada orang ramai mengenai sama ada sesuatu hadiah atau cenderamata yang diberi pada musim perayaan, dikategorikan sebagai rasuah.

Pusat yang akan dikendalikan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Ibu Pejabat BPR itu boleh dihubungi menerusi panggilan atau SMS ke dua talian khas iaitu 019-6000103 dan 019-6000104, selain laman web BPR, www.bpr.gov.my dan emel, hadiah@bpr.gov.my.

Ibu Pejabat BPR dalam kenyataannya di sini, semalam berkata pusat itu ditubuhkan berikutan pihaknya menerima banyak pertanyaan dan kemusykilan daripada orang ramai berhubung status sesuatu pemberian atau hadiah yang mereka terima sepanjang musim perayaan.

"Kerajaan memandang serius pemberian dan penerimaan hadiah terutama pada musim perayaan kerana jika dibiarkan, ia boleh membuka ruang rasuah apabila pemberian seumpama itu menjadi kemestian yang membabitkan urusan rasmi," katanya.

Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11 (a) Akta Pencegah Rasuah 1997 dengan jelas melarang pegawai awam atau swasta menerima hadiah yang bertujuan mendapat balasan atau keistimewaan membabitkan tugas dan kuasanya.

Selain itu, penjawat awam tertakluk kepada Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang mereka menerima atau memberi hadiah jika berkaitan tugas awam.

Susulan itu juga, Pekeliling Bil 3 Tahun 1998 iaitu Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah Di Dalam Perkhidmatan Awam dikeluarkan sebagai panduan.

Oleh Mohd Azis Ngah

SUNGAI BULOH: Kadar tol di semua lebuh raya tidak akan dinaikkan selagi kajian mengenai cadangan kenaikan membabitkan tujuh pemegang konsesi belum diserahkan kepada Kabinet, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Kita tidak akan menaikkan kadar tol walaupun selepas 1 Januari depan selagi belum dapat kelulusan Jemaah Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini semalam.

Beliau berkata, maklumat mengenai cadangan kenaikan itu sedang dikumpul dan apabila lengkap ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan nasihat dan pandangan sebelum dibentangkan di Kabinet.

Samy Vellu berkata, kementeriannya akan memastikan bahawa sebarang keputusan mengenai kadar tol tidak menambah beban pengguna dan pada masa sama tidak menjejaskan prestasi syarikat konsesi berdasarkan perjanjian sebelum ini.

Mengikut perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Expressways Berhad, kadar kenaikan tol perlu dikaji semula setiap tiga tahun.

Dalam perjanjian itu juga dinyatakan bahawa kadar kenaikan kadar tol Plus sepatutnya sebanyak 30 peratus, berbanding 10 peratus kenaikan yang diluluskan kerajaan sebelum ini.

Kali terakhir kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan naik pada 1 Januari 2005, iaitu pada kadar 10 peratus.

Bagaimanapun, kadar tol di lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang dinaikkan antara 20 hingga 60 peratus atau antara 30 sen dan RM1 pada 1 Januari tahun ini, selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Lebuh raya itu ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Mengenai punca lapan galang jambatan Lebuhraya Kajang-Seremban berdekatan Kampung Pajam dekat Nilai, Negeri Sembilan, yang runtuh Khamis lalu, Samy Vellu berkata, siasatan pakar mendapati kejadian itu berpunca daripada kedudukan sambungan galang yang tidak tepat beberapa inci dari kedudukan asal.

"Apabila mereka cuba memasang dan membaiki kedudukan galang kelapan, ia tergelincir menyebabkan tujuh lagi galang runtuh.

"Syukur kepada Tuhan kerana tiada sesiapa yang maut dalam kejadian ini. Mereka (kontraktor) sudah hantar surat minta maaf," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, eksekutif sebuah syarikat swasta, Azmi A Aziz, 32, bersama bapa, A Aziz Sedeh, 65, dan ibunya, Mahani Abdul Razak, 61, nyaris maut apabila keretanya melanggar satu galang yang runtuh sebelum mengundurkan kenderaannya.

Selang beberapa saat selepas itu, tujuh lagi galang yang satunya seberat 40 tan turut runtuh dan nyaris menghempap kereta mereka.

PUTRAJAYA: Isu ternakan babi di beberapa kawasan di Alor Gajah, Melaka sudah selesai, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa mahu menyatakan butirannya, Najib berkata penyelesaian dibuat menggembirakan semua pihak, termasuk penduduk dan penternak babi di kawasan terbabit.

"Tunggu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, keluarkan kenyataan," katanya selepas majlis menaik taraf Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) kepada Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Sebelum itu, Najib mempengerusikan mesyuarat berhubung isu itu yang turut dihadiri Mohd Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Mohd Ali ketika ditemui pada satu majlis selepas itu, enggan memberi sebarang ulasan berhubung hasil mesyuarat itu.

"Saya tidak mahu bagi kenyataan hari ini...," katanya.

Sebelum ini, Kabinet memutuskan supaya operasi memusnahkan babi di Alor Gajah, ditangguhkan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengurangkan bilangan haiwan itu.

Isu ternakan babi di Paya Mengkuang, Man Lok dan Bukit Beruang timbul apabila Kerajaan Melaka memutuskan untuk mengurangkan jumlah haiwan itu apabila pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan lagi bau busuk.

Penternak terbabit yang jelas melanggar beberapa syarat pihak berkuasa tetap berdegil walaupun diberi tempoh sehingga 31 Ogos lalu untuk berbuat demikian.


DIBANTAH: Peserta beraksi ketika menyertai pertandingan fesyen versi tempatan siri America�s Next Top Model, yang dianjurkan stesen televisyen persendirian di bandar raya Mazar-e-Sharif di utara Kabul.

Program televisyen Afghanistan cari bakat baru model dipandang serong

KABUL: Sebuah stesen televisyen bebas di utara Afghanistan mengambil risiko besar diserang golongan konservatif dengan melancarkan program mencari model di negara itu selepas ulama menyuarakan bantahan.

"Menurut undang-undang Syariah, Islam jelas menentang pertunjukan itu. Bukan saja ia diharamkan oleh Syariah, tetapi jika kita melaksanakan undang-undang Syariah dan membawa isu ini ke muka pengadilan, gadis yang mengambil bahagian perlu dihukum," kata salah seorang anggota majlis ulama Afghanistan, Abdul Raouf.

Di kawasan seperti wilayah Helmand, lokasi tentera Britain menentang pejuang Taliban, mengetahui nama isteri seorang lelaki lain, walaupun rakan rapat, dianggap tidak bermoral.

Program yang menepati piawaian Barat itu, bagaimanapun berjalan dalam suasana penuh sederhana. Kostum termasuk pakaian tempatan serta fesyen seperti seluar perang dan jeans yang dipadankan dengan jaket dan baju besar.

Semuanya dipastikan menutup kaki, lengan dan leher. Namun ia tetap mengundang kemarahan di Afghanistan, yang wanitanya di kebanyakan kawasan, terutama di wilayah puak di selatan, tidak pernah menunjukkan wajah kepada lelaki bukan muhrim.

Versi berbajet rendah rancangan realiti televisyen terkemuka Amerika Syarikat, 'America's Next Top Model', menyaksikan empat wanita Afghan berjalan di pentas peragaan dalam pelbagai pakaian sebelum seorang daripada mereka diisytiharkan pemenang oleh panel hakim.

Rancangan itu disiarkan Arzo TV di bandar raya Mazar-e-Sharif itu. Berbelas-belas wanita yang dijangka mengambil bahagian menarik diri kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.

Salah seorang model, Mah Gul, 18, memberitahu akhbar The Daily Telegraph: "Ia terjadi di semua negara di dunia, mengapa tidak Afghanistan? Saya tidak menerima sebarang bantahan dari rakyat atau kerajaan, dan saya mendapat keizinan bapa saya". - Agensi

YANGON 2 Okt. – Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari menemui pemimpin junta Myanmar dan orang-orang kanannya hari ini dalam usaha untuk menyelesaikan krisis politik negara ini.

Dua diplomat asing berkata, Ibrahim menemui Jeneral Kanan Than Shwe di ibu negara baru yang terpencil, Naypyidaw selepas berhari-hari pertemuan itu dilengah-lengahkan oleh junta.

Malah sementara menunggu pertemuan tersebut, Ibrahim dibawa oleh Timbalan Menteri Luar, Kyaw Thu ke pekan Lashio untuk menghadiri satu perhimpunan prokerajaan yang disertai oleh puluhan ribu penduduk.

Turut hadir ialah orang nombor dua, tiga dan empat dalam hierarki junta terdiri daripada Timbalan Jeneral Kanan, Maung Aye, Jeneral Thura Shwe Mann dan pemangku Perdana Menteri, Thein Sein, kata seorang lagi diplomat.

Butir-butir pertemuan itu tidak diumumkan.

Bagaimanapun jurucakap PBB, Farhan Haq sebelum itu memberitahu, Ibrahim akan menggesa junta “supaya menghentikan penindasan terhadap protes yang dilakukan secara aman, membebaskan tahanan dan mengambil langkah yang lebih menyeluruh dan lebih meyakinkan ke arah menegakkan demokrasi, hak asasi manusia dan perdamaian nasional.”

Sekembalinya ke Yangon selepas pertemuan dengan junta, Ibrahim mengadakan pertemuan kedua dengan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi sebelum dibawa ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Singapura.

Sementara itu, kumpulan-kumpulan pem- bangkang berkata, mereka tidak menaruh harapan tinggi terhadap lawatan utusan PBB itu.

“Lawatan itu tidak berfaedah kecuali beliau berjaya mengatur pertemuan antara Suu Kyi dengan Than Shwe.

“Misi beliau sangat lemah, beliau sepatutnya melakukan lebih daripada itu,” kata jurucakap ‘kerajaan’ Myanmar dalam buangan di Bangkok, Zinn Linn.

Ketika Ibrahim cuba merundingkan perdamaian antara junta dengan pembangkang, pasukan keselamatan mengundurkan sebahagian anggotanya dari Yangon yang kini tenang selepas askar dan polis menggunakan kekerasan untuk menghancurkan protes minggu lalu.

Protes

Perintah berkurung bermula 9 malam hingga 5 pagi dipendekkan kepada 10 malam hingga 4 pagi setiap hari.

Penduduk yang tidak dibenarkan keluar melancarkan protes bentuk baru malam tadi dengan memadamkan lampu dan menutup peti televisyen dari 8 malam hingga 8.15 malam semasa siaran berita yang disiarkan setiap malam oleh kerajaan.

Tidak jelas bilangan penduduk yang menyahut seruan aktivis supaya mereka melancarkan “protes senyap” terhadap junta itu.

Kumpulan penentang kerajaan berkata, sehingga 200 penunjuk perasaan dibunuh dan 6,000 lagi ditahan, berbanding 10 kematian yang dilaporkan oleh rejim.

“Keadaan kini sudah kembali seperti biasa di Myanmar,” kata Menteri Luar, Nyan Win pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Beliau berkata, pasukan keselamatan menahan diri daripada bertindak selama sebulan tetapi terpaksa “mengambil tindakan untuk memulihkan situasi.”

Nyan Win tidak menyebut tentang kematian, sebaliknya menuduh pihak asing sebagai punca keganasan.

“Perkembangan baru-baru ini menunjukkan ada anasir di dalam dan luar negara yang ingin menggagalkan proses semasa menuju demokrasi supaya mereka dapat mengambil kesempatan daripada huru-hara yang menyusul,” dakwa Nyan Win.

Kenyataan beliau itu menandakan junta tidak akan berganjak daripada pendirian kerasnya dan bersedia untuk memekakkan telinga terhadap tuntutan antarabangsa supaya demokrasi dipulihkan dan Suu Kyi dibebaskan.

– Agensi

Utusan PBB desak junta tentera hormati hak asasi manusia

LONDON: Beribu-ribu sami yang ditahan di bandar raya Yangon di Myanmar akan dihantar ke penjara di utara negara itu, kata sumber kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), ketika utusan Perbadanan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari, dilaporkan berunding dengan pemimpin tentera, Jeneral Than Shwe.

Gambari dilaporkan akan menggesa junta tentera Myanmar melakukan pembaharuan demokratik dan menghormati hak asasi manusia dengan membebaskan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi.

Kira-kira 4,000 sami ditangkap minggu lalu ketika kerajaan tentera cuba menamatkan bantahan prodemokrasi. Mereka ditahan di lapang lumba yang sudah tidak digunakan dan sebuah kolej teknikal.

Sumber kerajaan berkata, mereka akan dibawa keluar dari Yangon tidak lama lagi. Pakaian mereka ditanggalkan dan dirantai kaki, kata sumber.

Laporan juga menyebut sami yang ditahan enggan makan.

Negara itu menyaksikan bantahan selama hampir dua minggu, dalam cabaran paling serius kepada kepimpinan tentera selama lebih dua dekad.

Pihak berkuasa berkata, 10 maut ketika penunjuk perasaan disuraikan walaupun diplomat dan aktivis berkata bilangan yang terbunuh jauh lebih tinggi.

Penyiar pembangkang yang diharamkan, Suara Demokrasi Burma mengeluarkan gambar yang didakwa mereka mayat seorang sami terapung di sungai di Yangon.

Minggu lalu, beberapa kuil diserbu, sami dipukul dan dibunuh. Dengan ramai sami dipenjarakan, demonstrasi kini berakhir.

Kelmarin, tengah Yangon hampir kembali kepada normal, kata seorang wartawan, yang dinamakan atas alasan keselamatan, kepada BBC.

Kebanyakan kedai dan kuil dibuka semula dan rakyat meneruskan kehidupan masing-masing. Namun masih kelihatan sekumpulan askar di setiap sudut, kata wartawan berkenaan.

Suasana di Yangon masih tegang, dengan penduduk menyedari sami ditahan dan bimbang giliran mereka tiba tidak lama lagi.

Proses menamatkan bantahan, yang menyebabkan penunjuk perasaan tidak bersenjata dipukul, disembur gas pemedih mata, dan ditembak, mengundang kritikan antarabangsa malah dari jiran Myanmar di Asia Tenggara. � Agensi

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Oct 02, 07 | 3:50:50 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Pengumuman terkini, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S.Samy Vellu yang menyatakan mengenai betapa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengelakkan kenaikan 10 peratus bayaran tol hanya memberi 'signal' bahawa kenaikan akan berlaku menjelang 1 Januari 2008 nanti.

Signal 'awal' dari Samy ini sekaligus akan meneruskan lagi episod awal kepada siri penjajahan poket rakyat bagi memenangi hati kroni-kroni mengaut kekayaan negara.

Seperti biasa kerajaan Malaysia yang diterajui Umno/BN akan menggunakan hujah 'berdasarkan perjanjian, pemilik konsesi berhak menaikkan harga tol'.

Dan kerajaan juga katanya berpandangan sekiranya pemilik konsesi tidak dibenarkan menaikan harga tol maka kerajaan terpaksa menggunakan wang negara, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini

"Menjadi persoal siapa yang membuat perjanjian bodoh yang jelas berat sebelah ini? Maknanya syarikat kapitalis ini lebih berkuasa dari kerajaan BN yang lemah ini,"kata Badrul Hisham.

Usaha tutup kelemahan kerajaan

Perlu disedari kenaikan tol, hak dan perjanjian konsesi ini sebenarnya satu usaha terancang untuk menutup kelemahan dan amalan korupsi rompakan wang negara secara berterusan, katanya.

"Kita mengambil contoh pemegang kosesi terbesar lebuh raya di Malaysia, PLUS. Syarikat ini telah mengalami keuntungan sebanyak RM583 juta untuk separuh tahun 2007 (Januari-Jun 2007) dan berdasarkan rekod keuntungan ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun berdasarkan pertambahan jumlah kenderaan di Malaysia,"kata Badrul Hisham.

Malangnya kerajaan tidak boleh menghalang kenaikan seperti yang kononnya termaktub dalam perjanjian kerana 'perjanjian sulit' dengan pemegang saham syarikat tersebut, ujarnya.

Krisis 1997-1998 'bail out' jamin kepentingan kroni

Dalam isu ini, Badrul Hisham mengimbau sejarah sewaktu krisis ekonomi 1997-1999.

Ketika itu kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk menyelamatkan Kumpulan Syarikat UEM-Renong terutamanya Projek Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) melalui Khazanah Nasional yang kini secara efektif memegang ekuiti PLUS sebanyak 69 peratus, katanya.

Kerana usaha 'bail out' yang menjamin kepentingan kroni maka sehingga kini rakyat terus menderita, ujarnya.

"Setiap kali membayar tol kita bukan sahaja membayar harga menggunakan lebuh raya tetapi kita turut tolong membayar hutang 'bail out' yang dibuat oleh kroni,"ujarnya.

Mengulas pengumuman Samy Vellu itu beliau melihat bahawa tiga implikasi besar dari pengumuman tersebut akan dirasai.

Tiga implikasi jika harga tol naik

Pertamanya kerajaan akan menguar-uarkan kadar kenaikan dan kemudian akan mengumumkan 'dengan penuh rasa keprihatinan' bahawa kerajaan berkorban untuk tidak menaikkan (atau menaikkan separuh) kadar tol tetapi kerajaan berkorban dengan membayar sejumlah bilion Ringgit Malaysia kepada pemegang konsesi sebagai pampasan, katanya.

Ini kerana pilihan raya yang terlalu hampir, maka rakyat akan terus ditipu dengan lupa opsyen pertama ini dan yang akan rugi tetap rakyat, katanya.

Ringgit Malaysia yang dibayar ialah datangnya dari belanjawan negara juga sementara melaluinya pemimpin BN melalui kroni mereka akan terus menikmati keuntungan yang dikehendaki, katanya.

Pihak yang lebih rugi ialah rakyat Sabah dan Sarawak yang terpaksa melalui jalan yang teruk setiap hari tetapi wang mereka juga secara tidak langsung turut dirompak melalui belanjawan negara, katanya.

Implikasi kedua yang akan berlaku ialah jika rakyat berani rakyat bangkit dengan kesedaran dengan menunjukkan protes secara langsung dan tidak langsung, katanya.

Dari tidak membayar tol, menyertai protes-protes terbuka dan sekurang kurangnya rakyat sedar yang Malaysia sedang ditadbir oleh kerajaan yang bekerjasama dengan kapitalis merompak, katanya.

"Implikasi ketiga yang boleh mungkin berlaku ialah, lebih 'malangnya' jika kerajaan terus menaikkan harga tol kerana yakin tidak akan hilang undi.

"Walaupun pilihan raya amat hampir rakyat akan terus hilang maruah diri tertipu dan terus mengundi BN dan keyakinan ini diperkukuhkan dengan yakin betapa SPR telah sedia menjadi kuda tunggangan BN untuk menjamin kemenangan,"katanya sinis. - mks.

BUKIT KAYU HITAM 1 Okt. – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak bimbang dengan ‘petanda pelik’ berikutan terdamparnya puluhan ekor penyu karah di Kuala Tunjang, Air Hitam dekat sini sejak Sabtu lalu.

Menurut beliau, orang ramai tidak perlu khuatir dengan kejadian aneh tersebut meskipun ada yang beranggapan ia sebagai petanda kemungkinan berlakunya tsunami.

‘‘Lagipun kita mempunyai sistem amaran awal tsunami yang membolehkan kita membuat persedian awal,’’ katanya.

Mahdzir berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kuih raya kepada anggota tentera, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA) anjuran Pergerakan Wanita UMNO Kedah di Kem Batalion 305 Infantri di sini hari ini.

Jumaat lalu, penduduk di Kuala Tunjang dekat sini terkejut apabila berpuluh-puluh ekor penyu karah dewasa dan anak penyu ditemui tersangkut pada pukat milik nelayan serta terdampar di pantai berkenaan.

Mahdzir berkata, kehadiran puluhan penyu berkenaan merupakan satu fenomena yang menarik untuk dikaji memandangkan ia dipercayai kali pertama berlaku di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Sani Mohd. Isa berkata, pihaknya mendapati terdapat kira-kira 50 ekor penyu karah terdampar di pantai dan dua ekor daripadanya telah mati.

Katanya, kakitangan jabatan itu melepaskan semula sebahagian penyu berkenaan ke laut dengan bantuan penduduk kampung.

Menurutnya, penyu-penyu yang cedera pula akan dirawat di pusat penyu jabatan itu di Pulau Sayak dekat sini sebelum dilepaskan semula ke laut.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan penyu karah yang datang bersama timbunan kayu balak dan sampah sarap itu dihanyutkan ombak dari perairan Sumatera berikutan gempa bumi dan tsunami kecil yang berlaku kira-kira dua minggu lalu di kepulauan tersebut.

PARIT 1 Okt. – Kementerian Kerja Raya mungkin mengharamkan motosikal berkuasa tinggi daripada menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan jika pemiliknya terus mengabaikan aspek keselamatan dan undang-undang jalan raya.

Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penunggang motosikal berkuasa tinggi sering menjadikan lebuh raya itu sebagai medan berlumba sehingga membahayakan orang lain.

Malah, beliau sendiri pernah mengalami saat-saat yang menakutkan apabila terserempak dengan golongan itu yang menunggang dengan terlalu laju.

“Semalam, apabila saya berada di Lebuh raya Utara Selatan, saya lihat motosikal besar dipandu dengan laju sehingga 170 kilometer sejam, empat buah motosikal besar ditunggang sangat laju di lorong kanan.

“Jadi, saya suka memberi amaran kepada mereka bahawa ini (lebuh raya PLUS) bukan tempat untuk mereka mengadakan perlumbaan motosikal, saya mahu jumpa persatuan mereka dan beri nasihat.

“Kalau selepas itu mereka tidak mahu ikut nasihat, saya akan larang motosikal besar daripada menggunakan lebuh raya,” ujar beliau kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan jambatan Sungai Perak di Bota dekat sini hari ini.

Menurut Samy lagi, semua kenderaan yang menggunakan lebuh raya mesti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan terutama sekali berkaitan had laju bagi mengurangkan kemalangan maut di lebuh raya.

Jelas beliau, walaupun masih tidak ada undang-undang yang mengehadkan jumlah motosikal besar menggunakan lorong laju, namun tindakan mereka memandu terlalu laju amat membahayakan pengguna lain.

Katanya, keadaan itu juga tidak sepatutnya berlaku kerana pengguna atau kenderaan lain selain motosikal adalah pengguna yang membayar tol sedangkan penunggang motosikal tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Pengguna lebuh raya yang membayar tol mesti berasa selesa dan orang yang guna lebuh raya secara percuma (penunggang motosikal) mesti jaga sikit,” ujarnya.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kementeriannya telah membina sebanyak 16 menara pemerhatian polis di sepanjang Lebuh raya Utara Selatan bernilai RM1 juta.

Katanya, menara berkenaan akan digunakan oleh polis untuk mengesan pemandu yang melanggar pelbagai kesalahan selain memantau kelancaran trafik terutama sekali menjelang musim perayaan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mencadangkan lapan syarikat konsesi dan kerajaan masing-masing menyerap sebahagian kenaikan 10 peratus kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan Januari depan, supaya tidak membebankan pengguna, kata Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Beliau berkata, kementerian berharap kerajaan dan syarikat konsesi bertolak ansur dan berkongsi sama rata peningkatan terbabit walaupun perjanjian konsesi membenarkan kenaikan 10 peratus.

"Saya sudah mengemukakan kertas cadangan asas kepada Kabinet mengenai berapa sebenarnya kadar tol jika kenaikan 10 peratus dibenarkan dan kemungkinan reaksi pengguna berdasarkan pengalaman masa lalu.

"Kertas cadangan ini turut mengesyorkan beberapa pendekatan yang wajar diambil kerajaan dan bagaimana syarikat konsesi boleh memenuhi tanggungjawab sosial bagi mengekang kenaikan tol demi kebajikan pengguna," katanya ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan perangkaan hingga suku pertama tahun ini, 19 syarikat konsesi lebuh raya tempatan mengutip tol sebanyak RM23.66 bilion, termasuk jambatan Pulau Pinang dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Secara keseluruhan, semua syarikat berkenaan membelanjakan RM18.93 bilion bagi membina kemudahan terbabit dan menanggung kos purata RM41 juta sebulan bagi menyelenggara infrastruktur di bawah pengurusan masing-masing.

Plus Berhad yang menguruskan Lebuhraya Utara-Selatan mengutip tol RM15.94 bilion sejak mula beroperasi pada 1988 hingga Disember tahun lalu. Penang Bridge Sdn Bhd, yang memiliki konsesi kutipan tol bagi Jambatan Pulau Pinang memperoleh RM1.7 bilion manakala Lebuhraya Lingkaran Tengah Sdn Bhd, pengendali Lebuhraya Elite, mengutip RM1.05 bilion.

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

Samy Vellu beri amaran bertindak selepas lihat sendiri gelagat penunggang berlumba

PARIT: Selepas melihat sendiri empat penunggang motosikal berkuasa besar berlumba di Lebuhraya Utara-Selatan, Menteri Kerjaraya Datuk Seri Samy Vellu berkata kerajaan mungkin mengharamkan motosikal di lebuh raya itu jika mereka didapati mengancam nyawa pengguna lain.

Beliau berkata, tindakan tegas mesti diambil kerana penunggang motosikal didapati tidak mengendahkan undang-undang jalan raya termasuk menggunakannya untuk berlumba.

"Penunggang motosikal perlu menghormati pengguna lain di lebuh raya yang membayar tol sedangkan mereka menggunakannya secara percuma.

"Orang lain bayar. Dia (penunggang motosikal) tak bayar. Guna percuma.... kena jaga sikit.

"Sekarang kita tidak menghalang motosikal guna lebuh raya, tetapi kalau mereka tidak ikut peraturan, kita akan 'ban' motosikal daripada lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas melawat projek naik-taraf Jalan Ipoh-Lumut di Bota dekat sini, semalam.

Samy Vellu berkata, beliau pernah melihat penunggang motosikal kuasa besar di Lebuhraya Utara-Selatan menunggang laju hingga 170 kilometer sejam dan tidak mematuhi peraturan hingga empat motosikal bersaing dalam dua lorong.

"Saya ingin memberi amaran (lebuh raya) bukan tempat perlumbaan motosikal.

"Saya akan berjumpa persatuan (pemilik) motosikal dan memberi nasihat kerana kalau mereka tidak mahu ikut, kita akan haramkan motosikal daripada Lebuhraya Utara-Selatan," katanya.

Samy Vellu berkata, kerajaan berusaha untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya dengan menguatkuasakan peraturan dan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

Katanya, penunggang motosikal perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana undang-undang itu bertujuan menjaga keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 16 menara pemerhatian polis di seluruh negara dengan kos RM1.5 juta.

Katanya, semua menara itu siap Jun lalu dan sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan JKR bertanggungjawab menyelenggaranya.

Kabinet mengarahkan pembinaan itu Februari lalu sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya terutama pada musim perayaan.

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

PETALING JAYA 1 Okt. – Empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun yang ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Keempat-empat lelaki itu dibebaskan pada pukul 4.56 petang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya di sini selepas pihak polis gagal mendapat sebarang bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan kes kehilangan dan pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Kesemua mereka yang sepatutnya direman sehingga 3 Oktober ini dibebaskan tiga hari lebih awal.

Keluarga lelaki-lelaki itu hadir di IPD Petaling Jaya untuk menjemput mereka selepas dimaklumkan tentang pembebasan tersebut.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas mereka berempat juga disahkan tidak sepadan dengan kesan DNA pada mayat Nurin Jazlin.

Ketika ditanya sama ada pembebasan keempat-empat lelaki itu akan membuatkan siasatan menjurus kepada wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang masih ditahan reman, sumber itu enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika ditemui berkata:

‘‘Siasatan masih diteruskan. Jangan buat spekulasi tanpa sebarang kenyataan polis.”

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee ketika dihubungi juga enggan mengulas panjang berhubung pembebasan keempat-empat lelaki itu.

‘‘Kita akan adakan satu sidang media esok, saya harap semua pihak bersabar dan biarlah pegawai serta anggota saya yang buat kerja,” ujarnya.

Pada 28 September lalu, lima orang termasuk sepasang suami isteri ditahan di Shah Alam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Bagaimanapun, wanita berkenaan yang mengandung empat bulan dibebaskan selepas polis merekodkan kenyataannya manakala suaminya bersama tiga lelaki lain ditahan reman.

Susulan daripada penahanan mereka, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam.

Keesokan harinya, polis menahan seorang wanita warga Indonesia di Bazar Ramadan Nilai, Negeri Sembilan, berhampiran pasar raya Giant bagi membantu siasatan kes Nurin Jazlin.

Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Walaupun mendapat liputan meluas media dan usaha besar-besaran digerakkan untuk mencarinya, Nurin Jazlin tidak dapat dikesan.

Selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, pada 17 September lalu polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya.

Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa didera secara seksual.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob dan Nurhayati Abllah


TIADA BUKTI: Empat lelaki yang ditahan berhubung kes kematian Nurin Jazlin dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Suspek dilihat meninggalkan IPD Petaling Jaya bersama keluarga petang semalam

PETALING JAYA: Empat lelaki yang ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Keempat-empat lelaki itu dibebaskan tiga hari lebih awal berbanding tempoh tahanan reman tujuh hari yang diperoleh polis daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Menurut sumber, empat lelaki itu yang ditahan dalam tiga operasi ber asingan di Shah Alam, Khamis lalu, dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan soal siasat terhadap mereka.

Mereka dilihat meninggalkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira jam 4.56 petang dan menaiki tiga kenderaan berasingan bersama keluarga masing-masing.

Empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Ops Sunti, dipercayai hasil pemantauan rapi polis terhadap beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bapa mangsa, Jazimin Abd Jalil, 33, sejak kehilangan kanak-kanak itu 20 Ogos lalu.

Seorang wanita hamil, dipercayai isteri salah seorang lelaki itu, turut ditahan bersama mereka tetapi dibebaskan pada hari yang sama selepas keterangannya diambil.

Keempat-empat lelaki itu sebelum ini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua hari selepas itu, polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan kerana dipercayai mengurung Nurin sepanjang 27 hari kehilangannya sebelum ditemui mati.

Dengan pembebasan empat lelaki itu, hanya tinggal seorang suspek iaitu wanita Indonesia terbabit, yang kini ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama, petang semalam, berkata beliau belum dimaklumkan mengenai pembebasan terbabit.

"Dari mana anda (media) dapat sumber berita itu pun saya tidak tahu. Setakat ini, saya belum dimaklumkan mengenai pembebasan itu. Cuma, saya mintalah media tidak membuat sebarang spekulasi hingga mengganggu siasatan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis terpaksa membebaskan empat lelaki terbabit kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka.
PETALING JAYA: Satu objek asing, dipercayai kad SIM telefon bimbit, dikesan dalam perut wanita yang ditahan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Sabtu lalu berhubung kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Objek itu dikesan dalam pemeriksaan x-ray ke atas wanita terbabit di Unit Pengimejan Bio Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini semalam.

Sumber memberitahu Berita Harian, pemeriksaan x-ray itu mengesan objek berbentuk segi empat bersaiz kecil yang menyamai bentuk kebanyakan kad SIM di pasaran tempatan.

Usaha sedang dibuat bagi mengeluarkan objek itu, dipercayai kad SIM yang ditelan wanita berkenaan ketika ditahan di sebuah kedai cenderamata berhampiran sebuah pasar raya besar di Bandar Baru Nilai.

"Ada dua cara untuk mengeluarkan objek itu, sama ada menggunakan ubat pelawas (julap) atau pembedahan kecil di abdomen," kata sumber itu.

Dalam serbuan Sabtu lalu, polis merampas dua telefon bimbit dan empat kad SIM daripada wanita itu.
Bagaimanapun, wanita itu menyorok satu lagi kad SIM di bawah lidah sebelum menelannya ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Majistret di sini untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.

Difahamkan, kad SIM itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menganalisa maklumat di dalamnya.

Wanita yang berasal dari Jawa Barat itu, dikawal ketat dan dibawa menaiki kerusi roda dari wad ke Unit Pengimejan Bio Perubatan, PPUM, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam. Sejam kemudian dia dibawa semula ke wad. Dia juga dikatakan akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk ujian DNA.

Tinjauan mendapati wad yang menempatkan wanita itu dikawal rapi dua anggota polis bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, majikannya, Simon T S Yap yang ditemui di Nilai, berkata wanita berkenaan tinggal di gerainya di Thai Bazar di pasar raya itu, bukan menyewa bilik di Bandar Baru Nilai seperti dilaporkan.

Katanya, wanita itu yang dibayar gaji bulanan RM300, pernah memberitahu dia kehilangan pasport dan ada membuat laporan polis mengenainya.

"Bagaimanapun apabila saya minta, dia beritahu saya laporan polis itu tertinggal di rumahnya di Puchong, ketika bekerja di sebuah restoran di situ," katanya.

Yap serta beberapa pekerja lain memberitahu, wanita itu juga kerap berbalas mesej pesanan ringkas (SMS) serta membuat panggilan telefon ketika bekerja.

"Saya pernah menegurnya tetapi tidak diendah. Saya bercadang untuk memecatnya sejurus selepas tamat bazar pada 12 Oktober ini tetapi dia sudah ditahan polis. Saya sudah membuat laporan polis semalam (kelmarin) kerana tidak mahu dikaitkan dengannya," katanya.

Yap bagaimanapun yakin pekerjanya itu bukan wanita yang imejnya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi beg sukan yang memuatkan mayat Nurin ditemui.

Beliau berkata, wanita itu berada di kedai pada waktu imej berkenaan dirakamkan.

KHAIRUL AZRAN HUSSIN dan WAN SYAMSUL AMLY
KUALA LUMPUR 1 Okt. – Wanita warga Indonesia yang menelan kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) sebelum dia ditahan reman untuk membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin kelmarin enggan memberi kerjasama kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mengeluarkan kad tersebut.

Menurut sumber, wanita berumur 23 tahun yang disyaki ‘menjaga’ Nurin Jazlin sepanjang kehilangannya tidak memberi sebarang tindak balas atau mengendahkan arahan doktor untuk memakan sejenis ubat bagi mengeluarkan kad SIM tersebut dari badannya.

“Wanita itu masih ditempatkan di wad pembedahan di tingkat tujuh bangunan menara utama hospital ini.

“Dia berada dalam keadaan sedar dan tiada siapa dibenarkan untuk menemuinya atas arahan pihak polis sendiri,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Malah, kakitangan di wad itu juga tidak dibenarkan untuk membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah PPUM.

Semalam, wanita itu yang ditahan polis pada pukul 12 tengah malam Jumaat lalu bertindak menelan kad SIM itu yang dipercayai mengandungi maklumat penting bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Menurut sumber itu, doktor-doktor sedang berusaha mengeluarkan kad SIM tersebut yang ditelan oleh suspek semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Sabtu lalu.

Tindakan itu menyebabkan dia tercekik dan hampir pengsan semasa polis membawanya ke Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Sementara itu, wanita berkenaan dilihat keluar dari wad pada pukul 12.30 tengah hari ini. Dia dilihat menaiki lif dengan ditemani dua orang anggota polis.

Pihak media yang berada di sekitar PPUM dilarang memasuki kawasan lif dan pergerakan semua wartawan agak terhad.

Pengarah PPUM, Profesor Dr. Ikram Shah Ismail ketika dihubungi tidak memberi sebarang kenyataan dan masih menunggu laporan doktor yang bertugas.

“Belum, saya masih menunggu laporan tentang kes ini dan akan memberitahu perkembangan selanjutnya seandainya sudah mendapat maklumat kelak,’’ ujarnya.

NILAI 1 Okt. – Fitri, warga Indonesia yang dipercayai bertanggungjawab menjaga Nurin Jazlin Jazimin, 8, sepanjang tempoh kehilangannya adalah seorang yang suka bertelefon serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Majikannya yang merupakan pengusaha produk kraf dari Thailand, Yap Tiam Sing berkata, wanita itu bekerja sebagai pembantu jualan sambilan di kedai miliknya yang menjual barangan cenderamata.

“Fitri mula bekerja di sini pada 3 September lalu setelah datang secara terus (walk-in) untuk meminta kerja di sini.

“Selepas satu minggu bekerja, saya lihat dia gemar membuat panggilan telefon dan menghantar SMS walaupun ketika pelanggan ada di kedai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan pekerjanya itu di sini kelmarin untuk membantu siasatan kehilangan Nurin Jazlin.

Wanita itu juga dipercayai membuat beberapa panggilan telefon ke Rakan Cop untuk mengetahui perkembangan terbaru polis dalam usaha mengesan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu.

Sumber polis berkata, siasatan awal menunjukkan wanita berumur 23 tahun itu menggunakan sekurang-kurangnya lima kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua telefon bimbit untuk membuat panggilan itu serta menghantar SMS ke Rakan Cop.

Dia juga dipercayai menghubungi Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin, ketika kanak-kanak itu mula-mula hilang dan memberitahu bahawa Nurin Jazlin berada dalam jagaannya, kata sumber itu.

“Sepanjang Fitri bekerja di sini, saya tidak pernah pula melihat dia bersama dengan kanak-kanak atau lelaki.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa pada dirinya. Sebagai majikan, saya rasa Fitri tidak banyak mendatangkan masalah kepada saya dan menjaga kedai ini dengan baik.

“Tetapi saya tidak menjangka pula keadaan seumpama ini boleh berlaku. Saya terkejut apabila membaca surat khabar dan mendapati Fitri ditangkap,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Yap Tiam Sing telah membuat laporan polis mengenai penangkapan pekerjanya itu.

KUALA TERENGGANU 1 Okt. – Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula siasatan kes bunuh seorang jururawat yang ditemui mati selepas lehernya dikelar dan ditikam lebih 10 kali di perkarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 13 Ogos 2005 lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pasukan itu ditubuhkan susulan siaran sebuah stesen televisyen berbayar baru-baru ini yang mendakwa polis telah menutup siasatan kes tersebut.

Menurutnya, beliau sendiri akan mengetuai pasukan itu bersama enam pegawai lain termasuk Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan.

Katanya, ia turut dianggotai Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Manan Alwi serta timbalannya, Supritendan Abdul Halim Mohd. Ishak; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD), Deputi Supritendan Noor Mushar Mohamad dan pegawai penyiasat kes itu, Asisten Supritendan Samsudin Yaakob yang kini menjawat jawatan sebagai KBSJD Hulu Terengganu.

‘‘Kita masih menjalankan siasatan. Cuma setakat ini, tiada perkembangan terbaru dan polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi saya sendiri atau Samsudin di talian 012-9858300 atau Rakan Cop,’’ katanya kepada sidang akhbar di sini hari ini.

Dikejutkan

Dua tahun lepas, negara dikejutkan dengan kematian seorang jururawat, Norhayati Awang, 29, dalam keadaan ngeri dengan lehernya dikelar dan ditikam berkali-kali selepas dipercayai bergaduh dengan kenalan lelakinya di perkarangan HSNZ.

Mayatnya yang berlumuran darah ditemui dalam keadaan terduduk di lantai tempat duduk sebelah pemandu kereta Perodua Kancil pada pukul 9 malam.

Polis juga mendapati terdapat kesan kelaran sedalam 3.75 sentimeter pada tengkuk mangsa dari telinga kiri hingga kanan serta kesan lebih 10 tikaman termasuk di leher, dahi dan kedua-dua belah tangan.

Jalaluddin berkata, polis telah menjalankan siasatan terperinci dan enam lelaki telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mereka dibebaskan kerana tidak ada bukti kukuh yang boleh mengaitkan mereka dengan kes tersebut.

Selain itu, katanya, beliau juga akan mengarahkan pegawainya untuk berjumpa dengan keluarga mangsa di Kampung Limbong Kubur, Paka, Dungun selewat-lewatnya esok untuk menjelaskan perkembangan siasatan kes pembunuhan anak mereka.

SHAH ALAM: Seorang juruteknik berkata masa yang direkod pada kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem perakam masa kad Touch n' Go di plaza tol boleh berbeza jika berlaku kerosakan walaupun selepas diselaraskan.

Juruteknik Propel Bhd yang ditugaskan menyelenggara sistem CCTV untuk Plus Expressway Bhd, Rasidi Abdul Razak, 36, berkata berdasarkan pengalamannya, kerap terjadi masa pada CCTV dan Touch n' Go tidak sama.

"Ini boleh berlaku walaupun selepas dibuat pelarasan, terutama apabila berlaku kerosakan sistem contohnya disebabkan oleh kilat, kerosakan pada kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kesilapan manusia.

"Kerosakan itu boleh menyebabkan perbezaan masa di antara lima hingga 10 minit antara kedua-dua sistem walaupun masa pergerakan kenderaan di sesuatu plaza tol adalah sama," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-37 pendakwa.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam sesi pemeriksaan utama, adakah beliau tahu sama ada perakam masa pada CCTV dan Touch n' Go mempunyai waktu yang tepat dan selaras, saksi itu menjawab: "Sepatutnya selaras tetapi jika ada kerosakan, waktunya akan lari".

"Ini kerana sistem CCTV dan Touch n' Go dikawal server (pelayar) yang berbeza, sehubungan itu jika jam masa pada CCTV dipercepatkan, perakam waktu pada Touch n' Go tidak akan mengikut masa CCTV," katanya.

Menjawab soalan peguam bela Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, sama ada beliau ditugaskan membaik pulih sistem CCTV di Plaza Tol Kota Damansara pada 19 Oktober tahun lalu, Rasidi menjawab, "Tidak".

Pada tarikh itu, kad Touch n' Go milik Sirul Azhar direkodkan melakukan lima transaksi di antara Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Kota Damansara, iaitu pada malam sama wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang dan mati dibunuh.

Rasidi juga memberitahu mahkamah, sistem CCTV di Plaza Tol Kota Damansara mengalami kerosakan 14 Oktober tahun lalu, menyebabkan gambar tidak boleh dirakamkan dan imej pada paparan terhenti.

Berikutan itu, beliau membuat pembaikan terhadap sistem multiscope CCTV Plaza Tol Kota Damansara selepas dimaklumkan penyelianya.

Beliau berkata, selepas menutup sistem CCTV itu dan membuat pemantauan, barulah ia kembali berfungsi dengan normal.

Katanya, beliau kemudian membuat pembetulan kepada perakam masa CCTV itu supaya ia selaras dengan masa pada lorong Touch n' Go dan Smart Tag.

Sementara itu, rakannya yang juga juruteknik Propel, Mohd Rasidi Ariffin, 34, berkata beliau dan Rasidi turut membuat pembaikan pada sistem multiscope CCTV Plaza Tol Plus Kota Damansara pada 25 Oktober tahun lalu berikutan kerosakan sistem.

Tun Abdul Majid kemudian memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil 15 lagi saksi untuk memberikan keterangan sebelum menutup kes.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menangguhkan perbicaraan kepada Rabu ini.

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Saksi akui masalah teknikal sebabkan gambar tidak jelas

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu imej sebuah jip dan pemandunya yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Kota Damansara pada malam 19 Oktober 2006, malam sama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang, tidak jelas.

Pembantu Pengurusan Plus Expressway Bhd, Mohd Bahir Dal, 38, berkata walaupun CCTV itu dipasang betul-betul di depan pondok tol, imejnya tidak jelas kerana kamera berkenaan tidak mempunyai keupayaan untuk memfokus.

Menjawab soalan peguam tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Hazman Ahmad, Mohd Bahir berkata, imej rakaman CCTV di kebanyakan plaza tol tidak jelas kerana keadaan kamera atau kedudukan kenderaan yang jauh daripada kamera.

Disoal Hazman sama ada peratusan dikira oleh Plus bagi rakaman tidak jelas sehingga nombor pendaftaran dan pemandu kenderaan tidak dapat dipastikan, Mohd Bahir berkata sehingga kini belum ada pengiraan dibuat mengenainya.

Ketika diminta merujuk empat gambar rakaman CCTV imej kenderaan menyerupai sebuah jip yang melalui Plaza Tol Kota Damansara, Mohd Bahir berkata gambar dilabel A, B dan D menunjukkan kenderaan itu memasuki plaza tol, manakala gambar C ia keluar dari Plaza Tol Jalan Duta pada masa berbeza.

Saksi ke-36 pendakwa itu berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada jip yang dilihatnya dalam gambar C adalah kenderaan yang sama seperti dalam gambar A, B dan D.

Hazman: Gambar C kamu tidak pasti, jadi bagi gambar B dan D, bolehkah kamu katakan ia adalah kenderaan yang sama seperti dalam gambar A?

Mohd Bahir: Persamaannya hanyalah ia sebuah jip. Saya tidak boleh cakap ia adalah kenderaan sama serta tidak dapat pastikan siapa yang memandunya.

Hazman: Setuju, ada kemungkinan gambar B dan D bukan jip dalam gambar A?

Mohd Bahir: Ketika itu, berdasarkan P119 hanya jip ini yang lalu dan tiada jip lain.

(P119 adalah 'Maklumat Terperinci Pemilikan Kad Touch n' Go' bagi penama Koperal Sirul Azhar Umar iaitu tertuduh kedua, yang menunjukkan masa, tarikh, tempat dan rekod transaksi lain penggunaan kad berkenaan di plaza tol Kota Damansara dan Jalan Duta)

Hazman: Maksudnya, kamu buat andaian berdasarkan P119, bentuk jip dalam gambar B dan D sama dengan A?

Mohd Bahir: Ya.

Disoal Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin, Mohd Bahir berkata, sebelum ini beliau pernah melihat gambar pemandu kenderaan dengan jelas pada pita rakaman CCTV yang diambil di plaza tol lain.

Mohd Zaki: Di plaza tol Kota Damansara sebelum ini pernah nampak?

Mohd Bahir: Tidak.

Mohd Zaki: Kenapa di plaza tol lain dapat lihat, di Plaza Tol Kota Damansara tiada?

Mohd Bahir: Kamera tidak diletakkan dengan betul dan tidak mempunyai keupayaan untuk memfokus.

Terdahulu, disoal Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pemeriksaan utama, Mohd Bahir berkata dengan merujuk P119, pada transaksi 62833, jip Suzuki dengan nombor pendaftaran CAC 1883 (milik Sirul Azhar) memasuki plaza tol itu dan gambar CCTV (P116) yang dirakam adalah gambar A.

Tun Abdul Majid: Tapi masa masuk yang dicatatkan pada gambar A adalah 7:14:40 (7.14 petang) di Plaza Tol Kota Damansara, sedangkan dalam P119 masa keluar adalah 7:14:47 (7.14 petang) di Plaza Tol Jalan Duta. Jika dilihat pada masa ini, 7 saat diambil untuk masuk di Plaza Tol Kota Damansara dan keluar di tol Jalan Duta. Ini adalah mustahil, bukan?

Mohd Bahir: Ya.

Saksi bersetuju masa yang ditunjukkan rakaman dalam CCTV dan sistem Touch n' Go adalah berbeza kerana sistem berlainan.

Mohd Bahir berkata, gambar B, C dan D menunjukkan sebuah jip yang mempunyai nombor pendaftaran yang tidak jelas serta tidak dapat dipastikan jenisnya.

"Jip dalam gambar B dan D mempunyai bentuk yang lebih kurang sama seperti gambar A, manakala gambar C saya tidak pasti.

"Gambar A, B, C dan D ini dirakamkan daripada rakaman CCTV yang dihentikan seketika dengan berpandukan masa yang dinyatakan dalam transaksi P119," katanya.

Disoal Tun Abdul Majid, Mohd Bahir berkata, tiada rakaman pergerakan jip dibuat di Plaza Tol Jalan Duta kerana pada ketika itu, CCTV mengalami masalah teknikal.

Menjawab soalan Hazman sama ada beliau masih boleh pastikan ia jip yang sama walaupun tiada rakaman di Plaza Tol Jalan Duta, Mohd Bahir berkata beliau pasti ia kenderaan sama dengan merujuk pada masa dalam P119.

Perbicaraan bersambung Rabu depan.

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Gabungan 14 persatuan ikatan belia dan parti politik ‘bagi keamanan dan kebebasan di Myanmar’ menyerahkan memorandum bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat negara itu kepada wakil duta Myanmar di sini hari ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, matlamat utama penyerahan memorandum tersebut adalah bagi menyuarakan bantahan terhadap keganasan dan penindasan oleh junta tentera di negara itu.

‘‘Ini merupakan cara kami meluahkan kata hati dan kebimbangan ke atas nasib rakyat Myanmar yang sedang berusaha memperjuangkan hak rakyat di tanah air mereka.

‘‘Sebagai negara jiran, kami (wakil gabungan persatuan) mahukan pihak bertanggungjawab agar menghentikan pembunuhan serta membentuk keamanan tanpa menggunakan kekerasan,’’ katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum di kedutaan Myanmar di sini.

Tambah beliau, memorandum itu juga merupakan tanda protes terhadap pencabulan hak asasi oleh pihak tentera ke atas rakyat Myanmar selain pergolakan yang melibatkan isu keagamaan dan proses mengembalikan keamanan.

‘‘Kami juga menuntut pembebasan pemimpin Myanmar yang dipilih secara demokrasi iaitu Aung San Suu Kyi, seterusnya membenarkan pilihan raya yang bebas dan adil diadakan serta dipantau oleh badan antarabangsa,’’ katanya.

Turut hadir pada perhimpunan tersebut ialah Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong; dan Pengerusi Akademi Belia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Khairy berkata, penyerahan memorandum itu merupakan tanda sokongan gabungan persatuan belia terhadap ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menegaskan negara itu perlu menghentikan konflik politik.

Abdullah menyeru junta tentera Myanmar berusaha menstabilkan sistem demokrasi negara itu semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-62 di New York baru-baru ini.

RIYADH: Putera Arab Saudi, Putera Sultan bin Salman, orang Islam pertama ke angkasa lepas berkata, dunia Islam akan berbangga dengan kejayaan angkasawan Malaysia yang akan membuat pemerhatian dari sudut agama ketika berada di orbit.

"Pengalaman Malaysia di angkasa lepas akan menjadi kebanggaan kita sebagai umat Islam. Malaysia mempunyai visi dan kepemimpinan berpandangan jauh yang sanggup berusaha ke arah itu," kata anak saudara kepada Raja Abdullah Arab Saudi itu.

Pakar perubatan, Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Russia (ISS) 10 Oktober ini, dalam satu misi yang diharap dapat meningkatkan minat rakyat negara ini dalam kerjaya di bidang sains.

Beliau dipilih daripada 11,000 calon Malaysia untuk menaiki kapal angkasa ISS, dalam perjanjian yang diatur Malaysia dengan Russia sebagai sebahagian pakej pembelian jet pejuang Russia bernilai AS$1 bilion (RM3.44 bilion).

Putera Sultan berkata, kemajuan dalam bidang angkasa lepas sekali gus meningkatkan prestasi Malaysia di dunia Islam terutama Arab Saudi yang melihat kejayaan Malaysia sebagai negara Islam yang mampu bersaing dalam bidang sains dan teknologi.

Putera Sultan mengikuti misi ke angkasa lepas pada 1985 sebagai pakar muatan di dalam kapal angkasa Amerika, Discovery. Bagaimanapun sejak itu tidak banyak perkembangan baru dalam teknologi angkasa lepas di Arab Saudi, manakala kajian lebih tertumpu kepada bidang minyak dan petrokimia.

Putera Sultan berkata, hari pertama beliau di angkasa lepas adalah hari terakhir Ramadan ketika itu. Walaupun boleh bersolat serta berpuasa, beliau tidak dapat menghadap ke Makkah dan tidak dapat bersujud dengan betul.

"Saya bersolat subuh di menara pelancar dan ia hari paling indah dalam hidup saya. Saya juga dapat melihat anak bulan dari atas dek,� katanya, yang mendapatkan nasihat seorang ulama terkenal, Syeikh Abdul-Aziz bin Baz, sebelum ke angkasa lepas. "Selepas kembali daripada misi itu, saya menemui syeikh berkenaan. Beliau gembira dengan apa yang saya lakukan dan berharap beliau tidak buta agar dapat melihat gambar yang saya bawa. Ketika kembali ke bumi, ia seperti satu kejutan, saya terpaksa menjawab banyak soalan mengenai solat dan puasa," katanya. � Reuters

RIYADH 1 Okt. – Kerabat diraja Arab Saudi, Putera Sultan bin Salman yang menjadi orang Islam pertama ke angkasa lepas berkata, dunia Islam berbangga dengan angkasawan Malaysia yang dijadual berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Sultan terbang ke angkasa lepas pada 1985 selaku seorang pakar peralatan di dalam kapal angkasa Amerika Syarikat (AS), Discovery.

“Pengalaman Malaysia meneroka angkasa lepas membanggakan kami semua sebagai umat Islam.

“Malaysia mempunyai wawasan dan pucuk pimpinan yang yakin dengan wawasan itu dan menggerakkan rakyat untuk menyokongnya,” kata Sultan yang merupakan anak saudara kepada Raja Abdullah, dalam wawancara dengan Reuters semalam.

Semasa Sultan menyertai misi Discovery dahulu, hari pertama beliau berada dalam orbit ialah hari terakhir Ramadan.

Menurut putera itu, meskipun beliau dapat bersolat dan berpuasa, beliau tidak dapat menghadap Mekah dan tidak dapat sujud sepenuhnya.

“Solat bukanlah sukar sangat tetapi saya tidak dapat menghadap kiblat atau bersujud di lantai,” katanya.

Beliau turut menceritakan pengalamannya setelah kembali ke Bumi.

“Apabila saya pulang keadaan seolah-olah seperti satu kejutan.

“Saya perlu menjawab banyak soalan dan angkasawan Malaysia juga akan perlu menjawab soalan termasuk mengenai solat dan puasa (di angkasa lepas),” katanya.

Penerbangan Sultan pada 1985 mencipta sejarah bagi umat Islam tetapi sejak itu tidak banyak kemajuan dicapai oleh Arab Saudi dalam membina sektor penyelidikan dan pembangunan di luar industri minyak dan petrokimia

Angkasawan Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dijadual berlepas ke ISS pada 10 Oktober ini dalam misi yang diharap dapat membangkitkan minat rakyat Malaysia untuk membina kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.

Langkah Malaysia meneroka angkasa lepas telah menaikkan imejnya di dunia Islam terutamanya di negara ini.

Pengulas Saudi sering menyebut Malaysia sebagai contoh unggul sebuah negara Islam moden yang berjaya, menjalin hubungan baik dengan Barat di samping mampu bersaing dalam bidang sains dan teknologi. – Reuters

Oleh Abdul Halim Yusoff


MISI ANGKASA LEPAS: Krew kumpulan pertama Soyuz (dari kiri) Peggy Whitson dari Amerika Syarikat, Yury Malenchenko dari Russia dan Sheikh Muszaphar Shukor.

Angkasawan Malaysia laksana pelbagai kajian tingkat martabat bangsa

ANGKASAWAN pertama Malaysia ke angkasa lepas bukan sekadar hanya menjadi penumpang dalam roket Soyuz 15-S, Russia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Sebaliknya, mereka adalah angkasawan dan penyelidik yang akan melakukan beberapa kajian saintifik khusus yang bakal melonjakkan kemajuan bidang sains dan teknologi serta ekonomi Malaysia.

Program angkasawan dan penyelidikan sains yang mereka lakukan di angkasa lepas sudah pasti akan menyemarakkan obor semangat rakyat Malaysia untuk mendalami bidang sains dan teknologi, malah pada masa sama mempertingkatkan aspek psikologi.


Minda rakyat Malaysia akan disuburkan dengan perasaan bangga kerana martabat mereka di mata dunia sudah berubah, kini Malaysia sudah menyertai liga negara peneroka angkasa lepas.

Seperti yang dikatakan Duta Russia ke Malaysia, Alexander Karchava, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa pelancaran pada 10 Oktober nanti bukan setakat hebat kerana pelancaran itu sendiri memang satu pencapaian sains yang hebat. Tetapi lebih penting lagi, pelancaran itu menandakan bermulanya era baru bagi sebuah negara seperti Malaysia.

"Jika saya dapat nyatakan semula ungkapan manusia pertama ke bulan: ia bukan setakat langkah pertama bagi Malaysia di angkasa lepas, tetapi ia adalah lonjakan raksasa bagi bidang sains, teknologi dan sudah tentunya melonjakkan ekonomi negara ini," katanya dalam satu pertemuan dengan media di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Karchava yang nyatanya tumpang berbangga dengan pencapaian Malaysia itu, menjelaskan bahawa pelancaran pertama rakyat Malaysia ke angkasa lepas sesungguhnya adalah satu lagi peristiwa besar dalam sejarah Malaysia.

"Sebagai duta Russia di Malaysia, saya bangga kerana perkara ini berlaku ketika saya sedang berkhidmat di negara ini. Bagi saya masa penghantaran ini sungguh tepat kerana pada masa sama Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

"Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Russia. Banyak acara yang dianjurkan sempena ulang tahun ini, dan pelancaran ini adalah kemuncak bagi acara sambutan gilang gemilang sepanjang tahun ini," katanya yang berharap Malaysia akan mendapat banyak manfaat melalui projek angkasa lepas ini seperti yang dialami Russia.

Karchava berkata, roket Vostok yang membawa Yuri Gagarin menjadi manusia pertama keluar ke orbit angkasa lebih 40 tahun lalu memberi pengaruh yang besar kepada negara itu secara keseluruhannya.

Lebih penting lagi, pelancaran itu menjadi detik terpenting yang melonjakkan kemajuan sains, teknologi, ekonomi dan perasaan bangga negara itu.

Menceritakan lebih lanjut, Karchava mengakui program penyelidikan angkasa lepas sangat rapat dengan pembangunan aspek keselamatan negaranya, terutama kerana ia berkait rapat dengan keupayaan untuk membina roket. Justeru, ia sebenarnya banyak menyumbang kepada keupayaan Russia untuk (membangunkan persenjataan) dan membangunkan negaranya.

Ia juga berkait rapat dengan keupayaan rekaan, pembinaan dan pembangunan pelbagai jenis roket dan persenjataan termasuk untuk industri ketenteraan yang semuanya mendapat lonjakan besar daripada penyelidikan bidang angkasa lepas.

"Banyak hala tuju terbentuk daripada penerokaan angkasa lepas termasuk kajian perubatan angkasa lepas yang banyak menyumbang kepada penghasilan pelbagai ubatan lain.

"Penyelidikan dan penerokaan angkasa lepas memberi sumbangan besar kepada bidang sains dan ekonomi negara kami kerana ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan merangka jalan kepada pelbagai kajian saintifik yang tidak pernah kita jangkakan sebelum ini.

"Setiap kali pelancaran angkasa lepas dibuat, ia akan membantu melebarkan asas sains negara kami kerana setiap penerbangan itu membuka idea baru dalam penemuan sains serta merubah tanggapan terhadap bidang sains secara keseluruhan... dan saya yakin Malaysia akan turut mengikut jejak ini," katanya.

Bagi Malaysia yang kini memasuki era angkasa lepas, banyak bidang pembangunan selain sains dan teknologi malah turut merangkumi aspek psikologi. Kini semua rakyat bangga untuk mengatakan 'kami' sudah ke angkasa lepas dan ia juga memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, sebab ia sudah menyertai negara lain yang mempunyai projek angkasa lepas.

Angkasawan pertama Malaysia akan menyemarakkan minat ribuan remaja untuk menyertai bidang ini. Ketika idea ini dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan mahu projek ini membuatkan rakyat bangga dengan keupayaan mereka.

Projek ini juga diharap dapat menyuburkan keinginan di kalangan generasi muda Malaysia untuk mendalami bidang sains dan teknologi paling terkini.

Projek angkasawan Malaysia juga unik dan pertama seumpamanya di dunia kerana dibangunkan pada asas timbal balas bagi pembelian 18 jet pejuang termaju dan canggih Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

"Saya rasa idea untuk timbal balas pembelian pesawat pejuang tercanggih berkenaan adalah yang paling menarik dan memberangsangkan dalam janji niaga ini. Bila kami nak jual pesawat pejuang ini kepada Malaysia, kami rundingkan harganya tetapi kami menetapkan dalam hati bahawa ia tidak seharusnya hanya menguntungkan pihak kami saja.

"Jadi untuk mendapatkan janji niaga menang-menang, kami membantu Malaysia membeli peralatan pertahanan tercanggih untuk mempertahankan diri, tapi pada masa sama kami membantu mereka merealisasikan projek angkasawan negara.

"Setahu saya, program timbal balas ini menjadi penanda aras pertama dalam pelbagai aspek kerana tidak pernah komponen seperti ini dimasukkan dalam janji niaga dengan mana-mana negara sebelum ini," katanya.

Oleh Khirul Bahri Basarudin, Johan Afandi


MANFAAT RAMADAN: Najib bersama (dari kiri) Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Abdul Ghani bertadarus di kediaman Menteri Besar di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Keupayaan kerajaan memimpin dan mentadbir negara dengan memberi peluang kepada semua rakyatnya untuk bebas mengamalkan agama masing-masing adalah bukti Islam tidak pernah memusuhi agama lain serta sentiasa terbuka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berkata kerajaan yang bertunjangkan Umno sentiasa bersikap adil kepada rakyat yang tidak menganut Islam dan mereka bebas mengamalkan agama masing-masing, asalkan tidak memerangi Islam.

"Sebab itu, Malaysia menjadi contoh kepada negara Islam dan bukan negara Islam, bagaimana rakyat berbilang kaum dan agama hidup aman di bawah pemerintahan kerajaan Islam.

"Dunia sudah mengiktiraf kejayaan ini, jadi sudah tentu kerajaan mahu ia terus dikekalkan dan dengan pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita mahu ajaran Islam diamalkan lebih menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan bukan sekadar ibadat khusus semata-mata," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Masjid Taman Mutiara Rini, Skudai di sini, berharga RM3.5 juta, hasil sumbangan kerajaan Pusat serta anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mutiara Rini Sdn Bhd.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof dan Mufti negeri, Datuk Noh Gadot.

Mohd Najib berkata, kejayaan kerajaan menguruskan negara dengan baik serta diterima semua lapisan masyarakat, menyebabkan semua rakyat dapat mengamalkan pegangan agama masing-masing, termasuk juga umat Islam.

"Di sini (Malaysia), kita dapat lihat banyak masjid baru yang cantik, indah dan besar dibina di merata tempat tanpa rasa takut seperti di sesetengah negara. Ini semua menunjukkan kerajaan berjaya mentadbir negara dengan baik hingga rakyat dapat hidup dengan selesa tanpa perlu rasa takut walaupun tidak mengamalkan agama sama," katanya.

Beliau berkata, sekiranya umat Islam tidak mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara maka nasib mereka akan terus malang dan ditindas serta dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif.

"Sebagai contoh, Barat sentiasa mengaitkan dunia Islam dengan kemiskinan, taraf pendidikan dan kesihatan rendah, mundur dan lebih malang dikaitkan dengan keganasan.

"Sebab itu, kejayaan Malaysia menguruskan negara dengan baik di bawah pemerintahan Islam sebenarnya, membuka mata banyak pihak dan kita kini menjadi model kepada negara Islam lain di dunia," katanya.

Oleh Azman Zakaria


BANTAHAN AMAN: Khairy bersama pemimpin parti, pertubuhan, NGO dan belia berhimpun di hadapan Kedutaan Myanmar untuk menyerahkan memorandum.

Memorandum tuntut Myanmar pulih keamanan, elak pertumpahan darah

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 orang mewakili 14 pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan disokong Pemuda Barisan Nasional (BN) menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar di sini, semalam, membantah kekerasan melampau pihak berkuasa negara itu dalam meleraikan bantahan rakyat.

Memorandum itu turut menuntut supaya keamanan dan kestabilan dikembalikan di negara berkenaan tanpa sebarang kekerasan atau pertumpahan darah.


Sebelum itu, kira-kira jam 11 pagi, kumpulan berkenaan berarak secara aman sejauh kira-kira 100 meter ke pejabat kedutaan berkenaan di Jalan Rhu off Jalan Ampang Hilir di sini.

Kumpulan itu yang menggelar diri mereka "Ikatan Belia Malaysia Untuk Keamanan dan Kebebasan di Burma" turut membawa sepanduk antaranya tertulis "We Want Peace", "Stop The Killing" dan "Long Live Democracy."

Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, membaca memorandum empat halaman mengandungi enam perkara itu sebelum dibawa masuk ke pejabat kedutaan itu.


Katanya, kumpulan itu menuntut keamanan dipulihkan segera di Myanmar dan mendesak agar junta tentera mengeluarkan arahan kepada pegawai tentera supaya menghentikan penggunaan peluru hidup untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa.

"Kita meminta sistem pembangunan ekonomi yang sama rata dan tidak membebankan rakyat dilaksanakan serta hak asasi manusia dihormati termasuk membenarkan liputan media terhadap bantahan rakyat.

"Kita juga mendesak pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi dan tahanan politik lain, dibebaskan manakala pilihan raya yang bebas dan adil diadakan di bawah pengendalian dan pengawasan sebuah badan antarabangsa.

"Toleransi beragama mesti dihormati kerana keganasan bermula dengan tindakan terhadap paderi Buddha untuk menghalang mereka daripada memainkan peranan utama dalam tunjuk perasaan," katanya.

Pengerusi Akademi Belia, Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan memorandum itu kepada Menteri Kaunselor di kedutaan itu, Win Myint serta menerangkan isi kandungannya.

Dalam pertemuan kira-kira 10 minit itu, Saifuddin berkata, beliau memberitahu bahawa sebagai rakan dalam Asean, Malaysia bimbang dengan situasi di Myanmar.

Katanya, beliau mengulangi apa yang diperkatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-62, Sabtu lalu, yang mengkritik tindakan junta tentera menahan Suu Kyi dan meminta supaya pemimpin prodemokrasi itu serta tahanan politik lain di Myanmar dibebaskan.

"Wakil kedutaan itu berjanji untuk menyampaikan memorandum ini kepada kerajaan mereka di Yangon", katanya.


Penduduk meneruskan rutin harian di Yangon semalam selepas gelombang antijunta reda berikutan tindakan keras rejim Myanmar menangani tunjuk perasaan sejak beberapa hari lalu. – AP.
YANGON 1 Okt. – Selepas dua kali ‘dipermainkan’, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari akhirnya berpeluang menemui pemimpin junta Myanmar, Jeneral Than Shwe, esok.

Ibrahim pergi ke ibu kota pentadbiran, Naypyidaw semalam untuk kali kedua dalam tempoh dua hari dengan harapan untuk menemui Than Shwe, kata seorang pegawai PBB.

Bagaimanapun, seorang pegawai Kementerian Penerangan memberitahu AFP, sebaliknya Ibrahim hari ini dibawa ke Lashio, kira-kira 400 kilometer ke timur laut Naypyidaw, untuk menghadiri bengkel mengenai perhubungan Kesatuan Eropah-Asia.

“Ibrahim bertolak ke Lashio pagi ini dari Naypyidaw. Beliau akan balik untuk menemui jeneral kanan itu di Naypyidaw esok (hari ini),” kata pegawai itu, semalam.

Namun, jadual itu diubah lagi apabila beliau hanya dibenarkan menemui Than Shwe esok dan bukannya hari ini seperti yang diharapkan oleh utusan khas PBB itu.

Ibrahim semalam menemui pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi selama lebih sejam di Yangon semalam untuk membincangkan protes antikerajaan yang berlarutan sejak pertengahan Ogos dan kemudian merebak menjadi protes besar-besaran minggu lalu.

Sementara itu, junta Myanmar hari ini mengalihkan halangan yang menutup laluan ke dua kuil Buddha di Yangon iaitu tempat perhimpunan utama bagi penunjuk perasan antijunta sejak minggu lalu.

Langkah ini juga menunjukkan keyakinan junta yang semakin meningkat setelah berjaya mengekang cubaan menggulingkan kerajaan yang diketuai oleh sami-sami Buddha sebelum ini.

Namun demikian, tentera masih lagi mengawal ketat empat jalan masuk ke Pagoda Shwedagon, kuil yang dianggap suci oleh penganut Buddha Myanmar, iaitu tempat bermulanya tunjuk perasaan antijunta tersebut.

Tentera juga dikerah mengawal Pagoda Sule walaupun pagar yang diletakkan sebelum ini telah pun dialihkan.

Sehingga kini anggota keselamatan diletakkan di jalan-jalan utama serta tempattempat tumpuan bagi mengelakkan para penunjuk perasaan berkumpul.

Orang ramai ditahan di tepi jalan serta beg mereka diperiksa bagi bagi memastikan tiada sebarang kamera atau peralatan video digunakan setelah talian internet dihentikan bagi mengelakkan penyebaran gambar serta berita yang mengejutkan keluar negara.

– Reuters

TOKYO 1 Okt. – Jepun kini mempertimbangkan sama ada untuk mengenakan sekatan atau tindakan lain sebagai bantahan ke atas tindakan keras oleh junta tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi sehingga menyebabkan seorang wartawan negara ini terbunuh.

“Jepun akan mempertimbangkan langkah termasuk tindakan yang lebih keras ke atas Myanmar.

“Seperti yang kami sering katakan, Jepun sangat bimbang dengan proses pendemokrasian di sana termasuk keadaan hak asasi manusia dan kami akan terus membangkitkan isu ini,” kata ketua jurucakap Kabinet, Nobutaka Macbimura.

Menurutnya, wartawan yang terbunuh dipercayai akibat terkena tembakan pada jarak dekat.

Seorang pegawai Jepun telah berlepas ke Myanmar semalam bagi memberi tekanan terhadap junta tentera Myanmar.

Para pegawai Jepun juga dilaporkan berusaha mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Myanmar, Nyan Min dan Menteri Dalam Negeri, Mejar Jeneral Maung Oo.

Wartawan Jepun, Kenji Nagai, 50, terbunuh Khamis lalu apabila tentera melepaskan tembakan automatik ke arah para penunjuk perasaan.

Rakaman video oleh Fuji Television Network menunjukkan Nagai ditembak oleh askar Myanmar dari jarak dekat.

Para doktor di sebuah hospital di Yangon yang memberi taklimat kepada ketua APF News - tempat Nagasi bertugas, Toru Yamaji selepas bedah siasat mendakwa, mangsa terkena tembakan dari belakang yang turut menyebabkan beberapa tulang rusuknya patah.

– AP

YANGON: Wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari akhirnya diberi temu janji dengan ketua junta Myanmar, Jeneral Kanan Than Shwe hari ini bagi mencari penyelesaian terhadap krisis politik dihadapi negara itu yang mencetuskan tindakan ganas tentera terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi.

Gambari yang kelmarin menemui pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi yang dikenakan tahanan rumah di Yangon, untuk kali kedua dalam tiga hari kelmarin mengunjungi Naypyidaw, ibu negara pentadbiran baru Myanmar, untuk menemui Than Shwe, tetapi gagal.

Pegawai Kementerian Penerangan Myanmar berkata, wakil khas PBB itu dibawa melawat Lashio semalam untuk menghadiri bengkel mengenai hubungan Kesatuan Eropah dan Asia.

"Beliau akan kembali esok dan berjumpa dengan jeneral kanan esok (hari ini) ini di Naypyidaw," kata pegawai itu.

Sementara itu di BANGKOK, pemimpin tentera Thailand Jeneral Sonthi Boonyaratglin, berkata rejim tentera Myanmar tidak akan berubah pada masa terdekat ini.

"Pemerintah tentera mempunyai pendirian mereka sendiri yang sukar untuk berubah. Sebarang tekanan untuk menggantikan demokrasi di Myanmar adalah sukar," kata Sonthi dalam satu temubual dengan sebuah stesen televisyen tempatan.

"Myanmar membentuk rejim tentera mereka sendiri sejak sekian lama untuk melindungi kepentingan kebangsaan mereka,� kata Sonthi yang juga menyertai rampasan kuasa tentera di Thailand tahun lalu bagi menggulingkan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Myanmar yang menjadi jiran Thailand menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa berikutan tindakan tegas yang dikenakan kerajaan terhadap demonstrasi antijunta minggu lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 13 orang termasuk seorang pemberita Jepun dan memenjarakan beratus-ratus yang lain.

Menteri Pertahanan Thailand, Boonrawd Somtas juga memberitahu, bantahan pada masa ini terhadap junta Myanmar tidak akan membawa sebarang perubahan politik kepada negara yang diperintah tentera sejak 1962 itu.

"Sebarang perubahan tidak akan berlaku kecuali China, India dan Russia mengenakan tekanan yang serius terhadap junta," kata menteri terbabit.

China yang menjadi sekutu rapat Myanmar dan rakan perdagangan utama sentiasa enggan terbabit dalam hal ehwal dalaman negara Asia Tenggara itu yang sebelum ini dikenali sebagai Burma.

Walaupun masyarakat antarabangsa mengkritik Myanmar, China setakat ini enggan mengutuk tindakan kejam junta. � AFP