Azamin Amin
Tue | Sep 25, 07 | 8:44:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Setelah Ketua Polis Negara (KPN) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat bersungguh-sungguh cuba menyatakan keluarga Nurin Jazlin Jazimin yang mati dibunuh kejam itu boleh didakwa jika terdapat unsur kecuaian,PAS telah mengambil inisiatif menawarkan khidmat guaman percuma bagi membela tuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata PAS sangat kecewa dengan tuduhan dan kenyataan angkuh KPN, Tan Sri Musa Hassan mengenai isu itu dengan disokong pula oleh Menteri Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang cuba untuk memberi gambaran negatif kepada keluarga malang itu.

"Di samping membela diri,PAS juga turut akan memberi khidmat guaman percuma kepada keluarga Nurin Jazlin Jazimin jika mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan media atau pihak-pihak yang melemparkan tuduhan negatif," katanya yang menghubungi Harakahdaily semalam.

Nazri dilaporkan berkata,"undang-undang tetap undang-undang dan kita kena ambil tindakan kerana antara Rukun Negara kita adalah untuk menegakkan undang-undang."

"Jadi kalau ada perbuatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan... tidak ada sesiapa pun boleh terlepas."

Nazri mengulas kenyataan Ketua Polis Negara mengenai kemungkinan ibu bapa Nurin Jazlin iaitu Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman didakwa kerana cuai mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

Semalam pihak Polis telah pun mengambil keterangan daripada ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin di rumah mereka di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan itu semalam dan difahamkan soal siasat polis lebih tertumpu kepada proses pengecaman mayat yang dibuatnya sebelum menuntut mayat anaknya itu

Mahfuz mengulangi kenyataannya yang tidak bersetuju dengan tuduhan cuai itu dan menganggap kedua-dua individu terbabit bersikap biadap dan tidak mempunyai rasa simpati serta dilihat cuba menyalahkan pihak lain di atas kelemahan kerajaan dan polis dalam menangani masalah kes culik dan bunuh kanak-kanak yang semakin membimbangkan ini.

"Sibuk nak menyalahkan orang lain sedangkan tumpuan fokus ialah mengesan pembunuhnya dahulu termasuk kanak-kanak yang hilang begitu ramai tahun ini sahaja," katanya

Dalam pada itu, berdasarkan statistik 'Orang Hilang/Jumpa Seluruh Negara' yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, 66 kes (10-13 tahun) dan 659 kes membabitkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun.

Statistik itu juga menunjukkan remaja perempuan Melayu paling ramai dilaporkan hilang iaitu 497 orang diikuti remaja lelaki Melayu sebanyak 119 orang.

Mahfuz berkata rakyat masih tertanya-tanya hasil siasatan polis setakat ini termasuk tidak puas hati dengan sikap polis yang dilihat cuba mengalih perhatian ramai daripada membicarakan kecekapan dan kewibawaan polis selama ini.

Antaranya pihak polis, cuba menyalahkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di premis perniagaan dan persendirian di seluruh negara yang menyebabkan sulit untuk mengecam penjenayah.

"Saya hairan juga, bagaimana polis masih tak dapat kenal pasti kesan cap jari pembunuh yang meninggalkan beg yang berisi mayat Nurin. Saya tak pasti sama ada pembunuh itu lebih bijak daripada polis atau sebaliknya," katanya. - mks.

Nyza Ayob
Tue | Sep 25, 07 | 8:03:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Salah satu cara untuk membendung penganiayaan dan pengeksploitasian seks terhadap kanak-kanak ialah melalui pengajaran subjek hak asasi manusia di sekolah.

Cadangan tersebut diutarakan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N. Siva Subramaniam dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily semasa melahirkan simpati atas kejadian menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menjadi mangsa pembunuhan dan jenayah seksual.

Siva semasa dihubungi menjelaskan, pendidikan hak asasi ini penting dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa dan juga kanak-kanak agar lebih berhati-hati terhadap keadaan sekeliling.

Jelasnya pada tahun 1995 kerajaan Malaysia yang telah menandatangani dan meratifikasi 'Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak(CRC)'.

Katanya, CRC dengan jelas telah menggariskan hak seseorang kanak-kanak serta tanggungjawab orang dewasa dan sesebuah negara.

Siva menjelaskan, Perkara 34 CRC menyatakan bahawa sesebuah negara hendaklah melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk pengeksploitasian seks dan penderaan seksual.

Katanya lagi, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil langkah proaktif bagi mencegah pengeksploitasian seks terus berleluasa.

Justeru bagi mencegah masalah ini, beliau mengesyorkan supaya CRC dijadikan sebahagian daripada kurikulum sekolah dan wajib disertakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Pengajaran ini akan memberi peluang kepada para guru untuk mendidik kanak-kanak mengenai hak mereka dan tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku pencabulan.

"Suhakam bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) untuk mencapai matlamat ini,"katanya yang turut mengecam segala bentuk penganiayaan dan pengeksploitasian seks terhadap kanak-kanak.

Tambah Siva lagi, buat masa ini Suhakam turut mengadakan kerjasama dengan KPM dalam melatih Jurulatih Utama Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral.

Bagaimanapun katanya, pembelajaran mengenai hak asasi manusia hanya disisipkan secara tidak langsung dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Siva berharap dengan mewajibkan pengajaran CRC di sekolah, akan memberi impak yang lebih berkesan kepada murid mengenai hak asasi kanak-kanak. - mks.






Lelaki mahu sewa premis bersama anak perempuan 2 minggu sebelum mayat dijumpai

KUALA LUMPUR: Polis mendapat satu lagi petunjuk berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin (gambar), 8, apabila seorang lelaki yang mencurigakan dilaporkan mahu menyewa sebuah rumah tidak jauh dari mayat kanak-kanak itu ditemui, minggu lalu.

Pemilik rumah itu dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kelmarin, memberitahu lelaki itu berminat menyewa rumahnya di Jalan PJS1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, kira-kira dua minggu sebelum mayat Nurin ditemui, 17 September lalu.

Menurut sumber, pemilik rumah berkenaan turut membantu polis membuat lakaran wajah suspek, yang dipercayai berusia lewat 20-an.

Dalam laporannya, pemilik rumah berkenaan juga memberitahu lelaki terbabit memaklumkan mahu menyewa rumah itu bersama anak perempuannya.

"Bagaimanapun, dalam perbincangan mengenai sewa rumah pada hari itu, lelaki terbabit memberitahu dia tidak membawa anaknya kerana bimbang dicabul.

"Pemilik rumah itu hairan kerana lelaki berkenaan berkata demikian walaupun tidak ditanya, tetapi ketika itu dia tidak mengesyaki apa-apa," katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, selepas pertemuan itu lelaki terbabit tidak menghubunginya semula.

"Pemilik rumah itu mula mengesyaki lelaki terbabit mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Nurin selepas penemuan mayat kanak-kanak itu dalam beg pakaian berhampiran rumahnya mendapat liputan meluas media," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mayat Nurin, pelajar Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak yang disumbat dalam beg pakaian, ditemui ditinggalkan berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama, 17 September lalu.

Mangsa yang dilaporkan hilang selepas keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, kira-kira jam 8 malam, 20 Ogos lalu, disahkan mati akibat jangkitan pada usus selepas kemaluannya ditusuk objek tumpul, dipercayai terung dan timun.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi berkata kes itu sedang disiasat secara terperinci berdasarkan segala maklumat, termasuk petunjuk baru diperoleh polis sebelum ini.

"Belum ada apa-apa perkembangan terbaru mengenai kes ini... semua masih dalam siasatan. Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, termasuk mengenai suspek supaya tampil membantu siasatan," katanya.

Difahamkan, polis sedang berusaha mengenal pasti identiti pembunuh kejam itu berdasarkan lakaran yang diperoleh serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mayat Nurin ditemui.

Oleh Nahar Tajri


BERI KERJASAMA: Pegawai Penyiasat Petaling Jaya, ASP Loh Pei Pei mengambil keterangan Jazimin mengenai kes bunuh anaknya di Wangsa Maju, semalam.

Bapa nafi balas dendam jadi motif

KUALA LUMPUR: "Saya tidak menyembunyikan apa-apa maklumat mengenai diri saya. Saya juga tiada sebarang perselisihan dengan orang lain yang boleh menyebabkan anak saya menjadi mangsa pembunuhan. Saya sedia disiasat," kata Jazimin Abd Jalil, 33, bapa Nurin Jazlin, 8, yang mayatnya ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama, Isnin minggu lalu.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengatakan antara motif yang disiasat dalam kes kehilangan Nurin sehingga menyebabkan kematiannya adalah balas dendam.

Faktor dendam dipercayai antara motif disiasat polis berdasarkan keadaan mayat yang teruk diseksa secara seksual sebelum mangsa dibunuh, selain diletakkan di tempat yang mudah dijumpai seolah-olah inginkan keluarga mangsa sedih dan marah.

Ketika ditemui Berita Harian, semalam, Jazimin berkata, beliau akan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan tidak mahu mengganggunya serta sedia membantu jika perlu.

"Saya sedia memberi komitmen berhubung kes ini dan tidak pernah lari dari memberi sebarang maklumat yang diperlukan pihak berkuasa," katanya selepas selesai memberi keterangan selama dua jam kepada sepasukan polis di rumahnya di Seksyen Satu Wangsa Maju di sini, semalam.

Keterangan itu diambil empat anggota polis diketuai Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Loh Pei Pei dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

Difahamkan keterangan itu berkaitan proses pengecaman mayat mangsa kali pertama dan kedua yang menimbulkan kontroversi apabila Jazimin menafikan mayat berkenaan adalah Nurin.

Pasukan polis berpakaian preman itu memasuki rumah Jazimin pada jam 1.10 tengah hari, dan dilihat keluar dua jam kemudian. Bagaimanapun mereka enggan mengulas mengenainya.

Sementara itu, keluarga Nurin terus menerima kunjungan pelbagai pihak yang datang melawat atas tujuan untuk menyampaikan derma atau menyampaikan ucapan takziah.

Antara yang hadir semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, guru dan kakitangan Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak serta wakil Pengurusan Pasar Raya Jaya Jusco Sdn Bhd.

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir


KEBANGGAAN NEGARA: Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Dr Faiz menjalani latihan terakhir di pusat latihan angkasa lepas Star City, Moscow.

PUTRAJAYA: Kedua-dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed, diisytiharkan layak menyertai misi Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini selepas mereka lulus semua ujian dengan cemerlang.

Keputusan lembaga penetapan krew agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos, itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di sini semalam.

Abdullah berkata, Dr Sheikh Muszaphar diletakkan dalam kumpulan krew pertama bersama angkasawan Russia, Yuri Malechenko dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS), manakala Dr Faiz dalam kumpulan krew kedua bersama Sharizan Sharipov (Russia) dan Michael Fincke (AS).

Kedua-dua kumpulan itu akan menjalani latihan terakhir di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, mulai 28 September ini dan pemilihan muktamad krew misi itu akan dibuat pihak Russia sebelum pelancaran Soyuz 15-S.

Perdana Menteri berkata, keputusan badan latihan angkasawan antarabangsa itu bermakna negara sudah melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa saja apabila diperlukan.

"Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan seperti dirancangkan dengan selamat dan jayanya," katanya.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, Tun Hanif Omar.

Dr Sheikh Muszaphar, 35, adalah bekas pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), manakala Dr Faiz, 26, pernah berkhidmat sebagai doktor gigi dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mereka dipilih daripada 11,275 calon yang memohon mengikuti program itu pada 2003. Kedua-duanya menjalani pelbagai latihan, termasuk di Russia selama setahun selepas dipilih untuk saringan akhir pada 4 September 2006.

Penghantaran angkasawan pertama negara dengan kos RM95 juta itu adalah sebahagian daripada program timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Misi selama 11 hari sehingga 21 Oktober itu akan mencatat sejarah tersendiri kerana untuk kali pertama seorang angkasawan beragama Islam akan berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.

Bercakap pada sidang media kemudian, Jamaludin menjelaskan peluang kedua-dua calon angkasawan negara untuk dipilih menyertai misi itu adalah sama. walaupun Dr Sheikh Muszaphar menjadi calon pilihan dan diletakkan dalam kumpulan krew pertama manakala Kapten Dr Faiz dalam kumpulan krew kedua.

Katanya, pemilihan krew ke misi itu bergantung kepada beberapa faktor lain, termasuk yang membabitkan rakan anggota dari Russia dan Amerika, bukan calon Malaysia semata-mata.

"Malah, (angkasawan pertama) Yuri Gagarin adalah calon nombor dua... begitu juga misi Apollo 13, (kumpulan krew pertama) tidak boleh pergi kerana (seorang anggota terkena) campak," katanya.

Jamaluddin berkata, pelancaran Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama Malaysia pada jam 9.21 malam 10 Oktober ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran khas Astro dan rangkaian tempatan lain.

"Perdana Menteri berserta rakyat Malaysia lain akan menyaksikan peristiwa itu secara langsung menerusi televisyen," katanya.

Sementara itu, Hanif berkata panel itu sudah memilih Dr Sheikh Muszaphar sebagai calon utama angkasawan negara, namun sejak enam bulan lalu segala keputusan terletak sepenuhnya di tangan pihak Russia.

"Kedua-dua mereka layak dan 15 hari terakhir adalah waktu paling kritikal... segalanya terserah kepada pengarah misi dan calon kedua juga perlu mempersiapkan diri untuk misi itu sehingga notis terakhir," katanya.
Angkasawan pertama bawa cabaran negara

KUALA LUMPUR: Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dipilih sebagai angkasawan pertama negara semalam bersedia untuk memikul tanggungjawab itu bermula 10 Oktober ini.

Bekas pakar ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu berjanji melakukan yang terbaik sepanjang tiga minggu akan datang untuk mempersiapkan diri sebelum memulakan misi ke angkasa lepas.

"Insya-Allah, berkat sokongan dan doa seluruh rakyat Malaysia, saya akan melakukan yang terbaik. Saya berasa gembira dengan pemilihan ini dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor melalui telefon sejurus namanya dan Kapten Dr Faiz Khaleed diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Sheikh Mustapha berkata, anaknya menyedari cabaran yang bakal dihadapi sebelum berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) melalui Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober ini.

Sementara itu, usaha mendapatkan Dr Faiz bagi mendapatkan ulasan tidak berhasil. Namun, ibunya, Maznah Mohamad berkata anak lelakinya kehilangan telefon bimbit ketika menjalani latihan seminggu lalu.

Sheikh Mustapha juga berkata, beliau sekeluarga gembira dan bangga dengan pemilihan Dr Muszaphar sebagai angkasawan pertama negara bersama Dr Faiz.

"Kami bersyukur kepada Allah atas kejayaannya. Apa yang diinginkan dan diusahakannya sejak lebih tiga tahun lalu untuk bergelar angkasawan pertama negara sudah tercapai.

"Kejayaan ini bukan kejayaan beliau seorang tetapi kedua-dua anak muda itu. Mereka sebenarnya adalah angkasawan pertama Malaysia," katanya kepada Berita Harian semalam.

Menceritakan debaran menanti pengumuman semalam, Sheikh Mustapha berkata ia sukar untuk digambarkan meskipun pada awalnya sudah mendengar desas-desus anak lelakinya terpilih sebagai calon utama.

Katanya, beliau dan isteri, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad dan seorang anak lelaki, Sheikh Taufik Shukor berkumpul di depan televisyen tepat jam 12 tengahari semalam sebaik dimaklumkan pengumuman akan disiarkan secara langsung.

"Perasaan kami ketika itu memang berdebar dan sebaik Perdana Menteri mengumumkan pemilihan Sheikh Muszphar, kami sangat terharu dan gembira.

"Memang dia layak untuk terpilih kerana memiliki kelebihan untuk bergelar angkasawan pertama negara," katanya sambil mengakui sebelum ini turut mendengar berita pemilihan anaknya itu melalui media luar negara.

Sementara itu, Maznah ketika mengulas keputusan kerajaan itu berkata mereka sekeluarga menerimanya dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga tetap gembira apabila Dr Faiz turut diiktiraf sebagai angkasawan negara.

Oleh Azman Zakaria dan Saufi Hamzah

PM juga cadangkan Rukun Tetangga tingkat rondaan, pengawasan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan diwujudkan persekolahan satu sesi bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah sebagai satu cara membendung jenayah seksual dan pembunuhan terhadap golongan berkenaan.

Perdana Menteri juga berkata, usaha hingga ke peringkat akar umbi mesti dilaksanakan dengan menghidupkan kembali Rukun Tetangga (RT) yang membabitkan semua pihak mengawasi dan memerhatikan keselamatan di kawasan masing-masing.

Katanya, persekolahan satu sesi sehingga waktu petang akan melegakan ibu bapa yang bekerja kerana tahu anak mereka berada di sekolah dan lebih selamat berbanding jika tinggal sendirian di rumah.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meneliti kemungkinan diadakan sekolah satu sesi dengan masa persekolahan dipanjangkan sehingga jam 4 petang dan pelajar membabitkan diri dalam kokurikulum, bersukan atau menyiapkan kerja rumah di sekolah.

"Banyak ibu bapa yang bekerja akan berasa lega kerana (biasanya) bila anak balik tak ada orang di rumah. Ini jadi satu kebimbangan kepada mereka.

"Adakah kemungkinan kita buka sekolah satu sesi dengan masuk waktu biasa dan dipanjangkan hingga jam 4 petang. Apabila pelajaran harian tamat, maka waktu tiga atau empat jam digunakan untuk kokurikulum, sukan atau buat kerja rumah buat...tak payah buat di rumah.

"Jam 4 petang balik dan masa itu ibu bapa yang pulang kerja boleh ambil anak atau anak pulang menaiki bas sekolah,� katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti di Menara Datuk Onn di sini, semalam.

Abdullah berkata, MT juga membincangkan isu kanak-kanak yang diseksa, usaha mengurangkannya serta berharap ia tidak berlaku lagi.

Katanya, walaupun polis berusaha mencegah jenayah kanak-kanak dan memburu penjenayah sehingga ditangkap, ia belum mencukupi kerana rakyat perlu berbuat sesuatu sehingga ke peringkat akar umbi.

Katanya, satu daripadanya adalah menghidupkan kembali RT untuk mengawasi kawasan perumahan dan kampung daripada dicerobohi pihak yang hendak melakukan jenayah atau sekurang-kurangnya mengetahui orang luar yang masuk ke kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, jika sekolah satu sesi dilaksanakan atau RT dihidupkan kembali, ia bukan bermakna segala masalah itu akan selesai.

"Kita perlu kombinasi beberapa cara yang membabitkan ibu bapa dan orang ramai. Amat penting keadaan seperti ini jika kita nak tangani atau hapuskan ancaman itu. Semua mesti laksanakan tanggungjawab masing-masing supaya keadaan akan jadi lebih baik, bukan kita serahkan kepada polis semata-mata," katanya.

Ditanya secara umum mengenai kecuaian ibu bapa menjaga anak, Abdullah berkata, ia adalah perkara serius kerana ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak mereka.

"Isu cuai ini pada satu prinsip adalah serius sebab kita mahu ibu bapa bertanggungjawab kepada anak mereka. Anak adalah di bawah jagaan ibu bapa selagi di bawah umur... amat penting ibu bapa memastikan anak mereka sentiasa dalam kawalan dan tidak berlaku apa-apa yang menyebabkan penderitaan atau yang menyebabkan anak cedera," katanya.

Beliau berkata, ia adalah perkara yang sukar untuk ditentukan dan perlu diperhalusi jika undang-undang mengenainya hendak digubal.

"Ibu bapa sibuk sebab bekerja, manakala anak di rumah. Bila anak balik sekolah, ibu bapa tak ada di rumah... orang boleh masuk rumah atau apabila kanak-kanak pergi berehat atau bermain di luar pun sudah menjadi satu perkara yang membimbangkan," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, kerajaan akan memutuskan cadangan Petronas menaikkan harga gas selepas mengambil kira hasil kajian kesannya terhadap rakyat dan industri.

Perdana Menteri berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan jabatan berkaitan akan menyediakan kertas kerja mengenai harga gas dan perbandingan harga di Malaysia dengan negara lain untuk pertimbangan Kabinet.

Beliau berkata, maklumat tambahan akan diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengenai kesan kenaikan harga gas terhadap industri di Malaysia.



BERTANYA KHABAR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa tiba di IJN jam 1.32 petang semalam untuk menziarahi Dr Mahathir. Turut hadir, Datuk Mustapa Mohamed (dua dari kanan) dan Datuk Dr Awang Adek Hussin (tiga dari kanan).

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad stabil dan sedang berehat apabila doktor memberinya ubat tidur selepas menjalani pembedahan kedua bagi membuang tisu luka pembedahan pertama yang dijangkiti kuman, kelmarin.

Anak Dr Mahathir, Datin Paduka Marina, dalam laman blognya yang digunakan sebagai sumber rasmi keluarga bekas Perdana Menteri, berkata beliau kali pertama melihat ayahnya selepas pembedahan kedua, semalam.

�Beliau diberi ubat tidur kerana perlu berehat. Bagaimanapun, ini bukannya bermakna beliau �tidak sedarkan diri� kerana doktor boleh menyedarkan beliau jika mereka mahu, tetapi setakat ini keadaan belum mengizinkan.

�Beliau boleh dengar dan bertindak balas apa yang kami kata,� katanya.

Sementara itu, jurucakap Institut Jantung Negara (IJN) ketika dihubungi menjelaskan Dr Mahathir stabil dan sedang berehat.

Dr Mahathir menjalani pembedahan selama tiga jam malam kelmarin selepas 19 hari menjalani pembedahan pintasan jantung pada 4 September lalu. Pembedahannya pada awal bulan ini memakan masa hampir lima jam.

Marina dalam blognya itu berkata, doktor pakar perlu membuat pembedahan sekali lagi (kelmarin) kerana luka pembedahan sebelum ini dijangkiti kuman.

�Tiada cara lain untuk membuangnya selain pembedahan.

�Sebelum pembedahan 4 September lalu, ayah kelihatan sihat dan cergas tetapi kali ini beliau semakin lemah dan usianya menjadi satu faktor,� katanya.

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Kenderaan dibiar terbuka, ditinggal setengah jam ketika panas enjin

SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau tidak pernah melihat sepasang selipar di dalam jip Suzuki milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, sebelum menyerahkan kenderaan itu kepada pegawai penyiasat kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketika dirujuk ID25 (gambar jip Sirul Azhar), saksi ke-24, Sarjan Rosli Ibrahim, 36, dari UTK Bukit Aman berkata, beliau pasti selipar seperti yang ditunjukkan dalam gambar itu tidak berada dalam jip berkenaan.

(Pada 18 Jun lalu, Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu, berkata pihak pendakwaan akan membuktikan sepasang selipar yang ditemui dalam kereta Sirul Azhar mempunyai kesan darah dan keputusan DNA mengesahkan ia darah mangsa)

Rosli berkata, beliau memasuki jip Sirul Azhar yang mempunyai nombor pendaftaran CAC 1883 sebanyak dua kali untuk menghidupkan enjin selama setengah jam sepanjang ketiadaan tertuduh, yang ketika itu mempunyai tugasan di Pakistan.

Beliau berkata, sebelum berlepas ke Pakistan tertuduh meninggalkan kunci jip di pejabat Komunikasi UTK dan berpesan kepadanya supaya menghidupkan enjin itu.

"Saya perhatikan keadaan dalam jip tertuduh dengan teliti kerana sebelum ini saya pernah pandu keretanya dan ada dua tempat duduk penumpang di bahagian belakang tetapi kali ini, saya lihat tempat duduk itu hanya tinggal satu (Satu lagi sudah dibuka).

"Saya nampak surat khabar, tapi selipar saya tidak nampak. Dari kali pertama saya hidupkan enjin hingga kunci diserahkan kepada ASP Tonny (Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan), selipar ini tidak pernah wujud," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Sirul Azhar, Ahmad Zaidi Zainal.

Rosli memberikan keterangannya dalam perbicaraan utama kes pembunuhan Altantuya yang bersambung semula petang semalam, selepas selesai prosiding bicara dalam perbicaraan pada sebelah pagi.

Rosli juga adalah saksi kedua pihak pembelaan bagi bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada keterangan diberikan Sirul Azhar kepada Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin berhubung penemuan barang kemas Altantuya dibuat secara sukarela, seterusnya boleh diterima mahkamah.

Menjawab soalan Ahmad Zaidi, Rosli berkata beliau tidak ingat tarikh sebenar enjin jip itu dihidupkan kerana tidak membawa bersama buku catatannya ke mahkamah semalam.

"Kali pertama saya memanaskan enjin saya tidak ingat, yang kedua pada 3 hari bulan iaitu tarikh yang sama saya serah kunci pada Deputi Superintendan Mohd Khairi Khairuddin.

"Selepas sembahyang Jumaat, saya balik ke pejabat, hidupkan enjin jip dan terus ke kantin. Selepas itu, saya matikan enjin, ambil kunci jip dan simpan kunci di stor komunikasi," katanya.

Disoal Ahmad Zaidi, Rosli bersetuju selama setengah jam enjin dihidupkan beliau minum di kantin, jip berada dalam keadaan terbuka (tidak berkunci) serta tiada sesiapa yang mengawalnya.

"Saya percaya kawasan itu selamat," katanya yang juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa sesiapa pun boleh memasuki jip ketika itu.

Ahmad Zaidi: Kunci jip disimpan dalam rak di atas meja kamu di pejabat komunikasi UTK. Adakah meja kamu dalam bilik atau di kawasan terbuka?

Rosli: Bercampur dengan orang lain.

Ahmad Zaidi: Berapa ramai ada akses ke bilik itu?

Rosli: Enam orang termasuk saya.

Ahmad Zaidi: Adakah pintu bilik dikunci atau dibuka?

Rosli: Kadangkala berkunci, kadangkala terbuka.

Disoal Tun Abdul Majid ketika pemeriksaan utama mengapa beliau menyerahkan kunci kepada Mohd Khairi, saksi itu berkata: 'Saya serah kerana Mohd Khairi minta dan saya tidak tahu sebabnya.'

Tun Abdul Majid: Selepas kamu serahkan kepada Mohd Khairi, apa yang berlaku?

Rosli: Mohd Khairi serahkan semula kunci itu kepada saya pada 6 hari bulan, pada sebelah petang.

Tun Abdul Majid: Selepas kunci diserahkan kepada kamu?

Rosli: Saya letakkan kunci itu kembali dalam rak di atas meja saya. Beliau berpesan kepada saya sekiranya pada malam itu pegawai penyiasat datang, dia minta saya serahkan kepada pegawai penyiasat.

Tun Abdul Majid: Ada pegawai penyiasat datang?

Rosli: Ya, pada jam 11 malam.

Rosli berkata, hanya beliau seorang yang menghidupkan enjin kenderaan itu dan tidak pernah menggerakkannya, beliau juga ke kantin untuk minum, sementara enjin kenderaan dihidupkan selama setengah jam.

Disoal sama ada beliau mengusik apa-apa dalam jip itu, Rosli berkata: 'Saya hanya perhatikan keadaan di dalamnya dan menyentuh gear saja.'

Sementara itu, dalam pemeriksaan semula, Rosli berkata walaupun tidak memerhati secara keseluruhan keadaan dalam jip tetapi beliau pasti tiada selipar di bahagian belakang jip seperti ditunjukkan di dalam gambar.

Beliau juga menyatakan tidak tahu milik siapakah selipar berkenaan.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Oleh Azhar Abu Samah di New York

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menyenaraikan Malaysia dalam pasukan pengaman antarabangsa misi keamanan di Darfur, Sudan walaupun negara ini sudah menunjukkan minat menawarkan khidmatnya sejak awal lagi.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata tiada alasan memuaskan diberikan PBB di sebalik 'pengguguran' itu walaupun Sudan mahukan pembabitan Malaysia dalam misi berkenaan, tetapi badan dunia itu memberi tanggungjawab berkenaan kepada Thailand dan Bangladesh.

"Kerajaan masih memantau perkembangan dan buat masa ini Malaysia bukan salah satu negara yang akan menyumbang kepada misi keamanan di Darfur," katanya kepada pemberita di hotel kediamannya, St Regis, di sini semalam.

Syed Hamid berada di sini untuk menyertai mesyuarat peringkat tinggi mengenai perubahan iklim dunia sempena Perhimpunan Agung PBB ke-62 bermula semalam. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka tiba di sini esok dan berucap pada perhimpunan Jumaat ini.

Beliau berkata, PBB mungkin mempunyai pandangan berbeza kerana tidak memasukkan Malaysia, walaupun negara ini menunjukkan rekod cemerlang ketika berkhidmat di bawah panji PBB, termasuk yang terbaru di Lubnan.

Bagaimanapun, katanya, Sudan atau Kesatuan Afrika masih boleh meminta PBB memasukkan Malaysia dalam senarai pasukan pengaman di Darfur.

Syed Hamid berkata, Malaysia sejak awal lagi diajak berbincang mengenai Darfur dan diberi gambaran oleh PBB akan dipilih menjadi sebahagian daripada anggota misi keamanan.

"Tiada alasan diberikan PBB ketika kita jumpa (mengenai pengguguran Malaysia), sama ada kita tidak mampu atau tidak boleh...ini semua keputusan PBB," katanya.

Mengikut resolusi PBB mengenai Darfur, kira-kira 26,000 anggota pasukan pengaman akan ditempatkan di Sudan bagi membantu mengawal keamanan di negara Afrika yang bergolak itu.

Sebelum ini, Amerika Syarikat menyatakan kecenderungannya mengenai pembabitan Malaysia di Darfur seperti disampaikan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John D Negroponte kepada Syed Hamid ketika perbincangan dua hala di Manila, baru-baru ini serta ketika Negroponte berada di Filipina untuk menghadiri Forum Serantau Asean (ARF).

Malah, Malaysia sudah menghantar wakil khas ke Darfur yang akan memberi laporan penilaian situasi di kawasan berkenaan.
SEREMBAN: Ibu seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dipercayai mengurung anaknya dalam sangkar besi di belakang rumah di Seremban 2 Sabtu lalu mendakwa ia kerana anaknya meniru tandatangannya dalam kad laporan kemajuan sekolah yang diserahkan guru.

Ibu berusia 37 tahun itu memberitahu demikian ketika disoal Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mizan Maulud dan pegawainya di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) pagi semalam

Mizan berkata, wanita yang sudah bercerai dengan bapa mangsa menafikan anaknya dikurung dalam sangkar besi, sebaliknya dalam bilik stor dengan alasan untuk memberi pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu.

"Kita sudah mengambil keterangan ibunya tetapi tidak boleh membuat kesimpulan atau menutup kes ini dengan hanya mendengar penafian sebelah pihak kerana siasatan harus menjurus kepada segenap aspek.

"Ini termasuk mendapatkan keterangan jiran, sekolah, lawatan ke rumah dan laporan siasatan polis. Kita akan kumpulkan semuanya dan membuat perbandingan sebelum mengambil tindakan," katanya.

Kelmarin, ibu terbabit dipercayai berang dan tidak tahan dengan kenakalan anak perempuannya bertindak mengurungnya dalam sangkar besi di belakang rumah di Seremban 2 semalaman.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dibebaskan empat anggota polis yang datang ke rumahnya jam 10 pagi selepas mendapat maklumat jiran yang mendengar tangisan mangsa.

Mangsa kemudian diambil dari rumahnya oleh anggota polis malam semalam sebelum dihantar ke HTJS untuk pemeriksaan, manakala ibunya dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) di Seremban 2.

Mizan berkata, mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, ibunya boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatannya yang mengurung mangsa boleh menyebabkan gangguan emosi kepada kanak-kanak itu.

"Ibu mangsa bagaimanapun memberitahu tidak tahu mengenai perkara itu (tindakan undang-undang boleh diambil terhadapnya). Bagaimanapun, kita perlu mengumpul semua maklumat dan diperhalusi sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Ditanya mengenai laporan pemeriksaan perubatan, Mizan berkata, beliau diberitahu doktor tidak ada unsur penderaan, sebaliknya hanya ada kesan gigitan nyamuk pada kaki mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya menunggu laporan dan siasatan JKM sebelum mengambil tindakan susulan.

"Kita akan menjalinkan kerjasama dengan JKM bagi menyelesaikan kes ini," katanya ditemui di pejabatnya.
Dua kanak-kanak lihat mangsa, rakan serumah ditikam hingga mati oleh rakyat asing

KUALA LUMPUR: Dua beradik berusia empat dan enam tahun terpaksa menyaksikan ibu mereka dan rakan serumahnya ditikam bertubi-tubi hingga mati oleh dua lelaki warga asing dalam kejadian di Jalan Metro Perdana Timur 2, Kepong di sini malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam, malah lebih menyedihkan dua kanak-kanak itu terpaksa bermalam bersama mayat ibu mereka dan rakan serumahnya lebih 12 jam, sebelum ditemui ibu saudaranya yang kebetulan ke rumah berkenaan jam 10.30 pagi semalam.

Berita Harian difahamkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan menangis sambil memeluk mayat ibu mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, ketika ditemui, berkata mayat kedua-dua wanita itu ditemui berlumuran darah, dengan beberapa kesan tikaman di badan.

Mayat Ang Chin Ping, 36, yang berasal dari Taiping ditemui di ruang tamu, manakala mayat rakan serumahnya, Wong Tan Yong, 32, berasal dari Market Street, Kepong ditemui dalam salah sebuah bilik tidur unit rumah kedai itu.

"Siasatan mendapati kedua-dua mayat itu terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam," katanya sambil memberitahu pihaknya masih berusaha mengesan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Katanya, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap, malah semua barang berharga dalam rumah berkenaan tidak dilarikan.

Berikutan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga Afrika yang menyewa di tingkat satu dipercayai boleh membantu siasatan pembunuhan itu.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.
SHAH ALAM: Unit Pemusnah Bom Polis Kuala Lumpur tidak menjumpai sebarang senjata api, peluru dan bahan letupan ketika membuat pemeriksaan di rumah Koperal Sirul Azhar Umar pada 7 November lalu, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu, semalam.

Sarjan S Nagendraroo, 47, yang bertugas di Cawangan Logistik dan Persenjataan Polis Kuala Lumpur, berkata beliau dan tiga anggota lain membuat pemeriksaan itu selepas diarahkan Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin daripada Unit D9 Bahagian Siasatan Jenayah KL.

Nagendraroo berkata, apabila tiba di flet tingkat tiga milik tertuduh kedua di Gugusan Semarak, Seksyen 4, Kota Damansara, beliau dan anggotanya diarahkan menunggu di luar rumah sementara Zulkarnain dan pasukan D9 yang berpakaian preman termasuk Sirul Azhar dalam keadaan bergari masuk ke dalam rumah.

Katanya, selepas 10 minit menunggu di luar rumah, Zulkarnain mengarahkan beliau dan dua anggotanya masuk ke dalam rumah membuat pemeriksaan manakala seorang lagi anggota menunggu di luar.

"Ketika masuk ke dalam rumah, saya lihat ada ramai pegawai dan anggota D9, manakala tertuduh berada di meja makan bahagian ruang tamu bersama seorang anggota D9 dikenali sebagai Koperal Chiam.

"Kemudian saya dan anggota memeriksa keseluruhan bilik dan bahagian utama rumah termasuk di bahagian dapur selama 20 minit.

"Selepas tidak menjumpai sebarang senjata api, peluru dan bahan letupan dalam rumah itu, saya memaklumkan kepada Zulkarnain yang kemudian mengarahkan kami pulang ke pejabat," katanya.

Saksi pendakwaan keenam dalam prosiding bicara dalam perbicaraan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah ketika sesi pemeriksaan utama.

Prosiding bicara dalam perbicaraan itu dijalankan bagi menentukan sama ada keterangan Sirul Azhar kepada Zulkarnain yang juga saksi ke-23 dalam perbicaraan utama, ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan di rumah tertuduh dibuat secara sukarela, seterusnya boleh diterima mahkamah.

Zulkarnain dalam keterangannya di mahkamah bulan lalu berkata, Sirul Azhar memaklumkan kepadanya: "Saya boleh tunjukkan barang kemas milik perempuan itu (Altantuya) yang saya simpan di rumah saya di Kota Damansara."

Apabila tiba di rumah itu, tertuduh dikatakan memberitahu Zulkarnain: "Saya simpan barang kemas itu di dalam jaket saya." Sirul Azhar juga mengangguk ketika ditunjukkan sama ada jaket berwarna hitam itu yang dimaksudkannya.

Sirul Azhar juga berkata: 'Inilah barang dia' sambil menunjukkan barang kemas yang dikeluarkan dari poket jaketnya oleh Zulkarnain.

Menjawab soalan peguam bela Hasnal Rezua Merican yang mewakili Sirul Azhar, sama ada beliau bertanya kepada Zulkarnain berhubung kemungkinan terdapat senjata api, peluru dan bahan letupan di rumah tertuduh sebelum membuat pemeriksaan, Nagendraroo berkata: "Tidak".

Hasnal: Adakah kamu setuju, oleh kerana ini bukan situasi kecemasan, kamu tidak perlu masuk dulu ke rumah itu?

Nagendraroo: Setuju.

Hasnal: Maka dengan itu, unit kamu menunggu di luar dulu?

Nagendraroo: Ya.

Hasnal: Saya cadangkan pasukan kamu yang terakhir yang masuk ke dalam rumah itu?

Nagendraroo: Itu saya tidak pasti kerana selepas selesai tugas saya dan anggota diarahkan pulang.

Hasnal: Saya cadangkan oleh kerana ini bukan ancaman, kamu tidak mengambil peduli siapa masuk ke dalam rumah?

Nagendraroo: Itu bukan tugas saya kerana kami hanya pasukan bantuan saja.

Hasnal: Kamu kata selepas 10 minit kamu dipanggil masuk. Anggaran 10 minit ini berdasarkan perlakuan apa?

Nagendraroo: Anggaran dari masa kami sampai dan mereka buka pintu sehingga dipanggil masuk.

Terdahulu, saksi kelima pendakwaan, Inspektor Koh Fei Cheow, 38, dalam keterangannya berkata, Zulkarnain tidak meninggikan suara, menghentak meja atau memberi janji atau dorongan kepada Sirul Azhar supaya menunjukkan barang kemas Altantuya di rumahnya ketika menyoal siasat tertuduh itu pada 7 November lalu di pejabat Zulkarnain di IPK KL.

Koh yang turut bersama-sama dalam bilik itu ketika sesi soal siasat berkata, beliau juga tidak mendengar Zulkarnain berjanji kepada tertuduh untuk menolongnya dan membebaskannya serta tidak akan membawa kes itu ke mahkamah jika dia (Sirul Azhar) memberikan kerjasama dengan menunjukkan barangan kemas itu.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid sama ada beliau tahu bahawa pegawai dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) membuat pemeriksaan terhadap rumah tertuduh, Koh menjawab, "Saya diberitahu Zulkarnain selepas menjalankan tugas".

Tun Abdul Majid: Ketika kamu dalam bilik bersama anggota D9 dan tertuduh, adakah Zulkarnain memaksa tertuduh menunjukkan sesuatu seperti barang kemas?

Koh: Tidak.

Tun Abdul Majid: Adakah tertuduh diminta untuk beraksi ketika gambar diambil?

Koh: Tidak.

Tun Abdul Majid: Adakah kamu mempunyai sebab untuk mengenakan tertuduh?

Koh: Tiada

Tun Abdul Majid: Selepas barang kemas diperoleh, adakah kamu sendiri menjalankan pemeriksaan lain di dalam bilik itu?

Koh: Ada.

Tun Abdul Majid: Pada waktu bila dan di bahagian mana dalam bilik itu?

Koh: Selepas Zulkarnain rampas barang kemas, beliau membawa barang kemas itu keluar dari bilik tidur ke ruang tamu. Selepas itu saya ada jalankan pemeriksaan secara biasa di dua bilik lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.
Ribuan penduduk tepuk tangan beri sokongan kepada penunjuk perasaan

YANGON: Seramai 100,000 termasuk 15,000 sami Buddha berarak di sepanjang bandar utama Myanmar semalam dalam bantahan anti junta paling besar pernah diadakan sejak 20 tahun, kata saksi.

Perarakan bermula dengan 10,000 sami dan penunjuk perasaan lain berarak dari pagoda Shwedagon, kawasan paling terkenal di Myanmar tetapi bilangan mereka bertambah sekurang-kurangnya tiga kali ganda dalam masa 45 minit selepas melalu ibu pejabat parti pembangkang yang diketuai Aung San Suu Kyi, kata saksi.

Beribu-ribu penduduk yang berada di tepi jalan juga tunduk hormat kepada sami sambil bertepuk tangan kepada penunjuk perasaan.

Sami berpakaian jubah oren dan merah membawa kain rentang pelbagai warna sementara seorang sami dilihat turut membawa patung kecil Buddha di tangannya.

Beberapa sami lain turut membawa mangkuk yang diterbalikkan yang biasanya digunakan mereka untuk memungut derma, sebagai tanda simbolik keengganan mereka menerima derma dari pihak tentera sebagai tanda bantahan.

Sementara itu di Bangkok, satu badan pemantau mendakwa pemerintah tentera Myanmar menahan 218 orang berikutan bantahan anti junta yang tercetus lima minggu lalu dan kadangkala didakwa turut memukul mereka yang ditahan ketika siasatan.

"Aktivis bukan saja dipukul ketika ditahan tetapi juga diberikan tekanan mental dan fizikal yang melampau," kata Bo Kyi, ketua Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik (Burma) yang berpejabat di Thailand.

Kebanyakan mereka yang ditahan adalah ahli parti pembangkang Aung San Suu Kyi, Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) atau sebahagian daripada pergerakan 88 Generation Student yang melakukan tunjuk perasaan sejak 19 Ogos lalu.

Mon Ko Naing dan pemimpin kumpulan 88 Generation Student yang lain yang mengetuai kebangkitan 1988 terhadap tentera juga tidak dibenarkan bertemu pihak luar sejak mereka ditahan, kata Bo Kyi.

"Pihak berkuasa belum mengumumkan apa-apa mengenai mereka atau membenarkan sesiapa melawat mereka," katanya.

Bo Kyi, bekas tahanan politik yang kini mengendalikan kumpulan pemantau penjara Myanmar berkata, sebanyak 46 daripada tahanan terbabit ditahan dalam keadaan hina di balai polis di Yangon.

"Mereka tidak dibenarkan mandi dan mereka tidak diberi makanan mencukupi. Beberapa orang juga cedera ketika mereka ditahan tetapi tidak diberikan rawatan perubatan," katanya.

Myanmar dipercayai mempunyai 1,100 tahanan politik dan yang paling terkenal ialah pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi yang menghabiskan masa 12 tahun sejak 18 tahun lalu dalam tahanan di kediamannya di Yangon. – AFP
LONDON: Sebuah firma keselamatan persendirian secara rahsia melakukan siasatan terhadap kehilangan Madeleine McCan yang sudah memasuki tempoh empat bulan berikutan ibu bapa mangsa bimbang polis Portugis gagal menjalankan operasi dengan baik terhadap anak mereka.

Control Risks Group (CRG) juga dipercayai menyemak beberapa laporan yang mengatakan Madeleine dilihat di beberapa tempat di seluruh dunia dan membina profil penculik terbabit.

Kate dan Gerry McCann menggunakan khidmat syarikat terbabit yang pekerja mereka adalah bekas ahli risikan dan pasukan khas selepas bimbang sekiranya pihak berkuasa di Algarve membuat andaian anak mereka sudah mati.

Satu sumber rapat kepada peguam pasangan terbabit mengesahkan bahawa CRG bekerja dengan keluarga terbabit sejak Mei lalu, tetapi enggan membincangkan berapa jumlah yang dibayar kepada mereka.

"Control Risks adalah satu daripada kumpulan yang menawarkan khidmat mereka kepada McCann. Anda boleh bayangkan mereka melakukan perkara yang tidak dilakukan pihak polis Portugis," katanya.

Rakan kepada pasangan terbabit berkata keputusan itu menunjukkan mereka percaya Madeleine masih hidup walaupun selepas 144 hari dia dilaporkan hilang dari katilnya di apartmen percutian mereka di Praia da Luz.

McCann pertama kali menghubungi syarikat penyiasatan persendirian kurang tiga minggu selepas anak perempuannya dilaporkan hilang 3 Mei lalu kerana bimbang sekiranya polis Portugis tidak dapat memeriksa semua laporan yang mendakwa pernah melihat kanak-kanak terbabit

Bagaimanapun mereka secara umum menafikan menggunakan perkhidmatan penyiasat persendirian apabila polis Portugis memaklumkan ia menyalahi undang-undang. � Agensi

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Polis hari ini mengambil keterangan daripada ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin di rumah mereka di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak itu baru-baru ini.

Pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, ASP Loh Pei Pei bersama tiga anggotanya tiba di kediaman pasangan itu pada pukul 1.10 tengah hari dan selesai mengambil keterangan kira-kira dua jam kemudian.

Bapa kanak-kanak malang itu, Jazimin Abd Jalil, 33, ketika ditemui selepas memberi keterangan berkata, soal siasat polis lebih tertumpu kepada proses pengecaman mayat yang dibuatnya sebelum menuntut mayat anaknya itu.

“Saya tidak tahu kenapa saya ditanya mengenai proses pengecaman mayat Nurin. Tapi tiada soalan yang memberi tekanan kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jazimin juga diberitahu bahawa suspek bagi kes pembunuhan anaknya itu masih belum dikesan dan polis masih giat menjalankan siasatan untuk menahan penjenayah itu secepat mungkin.

“Saya diberitahu kalau dapat tangkap (suspek), sebagai bapa kepada Nurin, polis akan panggil saya untuk berjumpa dengan dia (suspek) secara peribadi,” katanya.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Isnin lepas, mayat budak perempuan tidak berpakaian dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Petaling Jaya.

Setelah ujian DNA dijalankan, mayat itu disahkan adalah Nurin Jazlin.

Sementara itu, Jazimin turut berpesan kepada media supaya melaporkan berita secara tepat dan bersesuaian dengan fakta.

“Saya dah beri sepenuh kerjasama, jadi tolong jangan tikam saya dari belakang,” katanya yang turut menafikan khabar angin bahawa dia disoal siasat polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan anak perempuannya itu. - Bernama

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Penggunaan kaedah psikik mungkin akan ditimbang oleh polis sebagai sebahagian usaha untuk menyelesaikan kes pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazimin.

Jika betul, ini merupakan kali pertama kaedah psikik atau `pakar psikik’ digunakan bagi membantu siasatan polis dalam menyelesaikan kes jenayah.

Difahamkan bahawa kemungkinan mendapatkan khidmat pakar psikik tidak ditolak bagi membantu siasatan polis menyelesaikan kes itu.

Seorang pegawai kanan polis negeri berkata, walaupun polis kini menggunakan sumber dan rangkaian risikan mereka untuk mengesan pembunuh Nurin, mereka turut mengalu-alukan pakar dalam bidang psikik untuk membantu mereka dalam siasatan.

“Kenapa tidak, jika mereka boleh membantu kami mengesan suspek dalam kes pembunuhan Nurin? Mungkin penggunaan kaedah psikik baru bagi semua.

“Jika seseorang menawarkan kemahiran psikik untuk membantu siasatan kami, kami mungkin menimbangkannya.

“Tapi ini tidak bermakna polis tidak boleh menyelesaikan kes ini dengan menggunakan sumber dan tenaga yang ada,” katanya di sini hari ini.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, bantuan pakar psikik kadang kala digunakan polis bagi mengesan mayat yang belum ditemui, suspek malah bahan bukti.

Sementara itu, Pakar Forensik Hipnosis, Dr Sazali Ahmad berkata, melalui perantaraan jarak jauh dengan menggunakan bahan-bahan bukti yang ditemui seperti beg pakaian yang menempatkan mayat Nurin, ia boleh mengesan jejak penjenayah melalui “tenaga” yang ditinggalkan.

“Saya sedia membantu sekiranya pihak polis ingin bantuan menerusi kaedah psikik ini.

“Penyiasatan hipnosis dengan kembali ke memori lepas dikatakan boleh digunakan dalam usaha mengesan penjenayah kejam yang membunuh Nurin Jazlin.

“Sebaik-baiknya kaedah ini dilakukan ketika mayat itu baru dijumpai apabila “energy” di kawasan itu masih kuat,” katanya.

Bagaimanapun, kaedah itu masih boleh dijalankan walaupun kini sudah masuk hari kelapan mayat Nurin ditemui iaitu sejak Isnin lepas.

“Jika kami berada di tempat kejadian di mana mayat Nurin ditemui, kami masih lagi merasakan “sesuatu” yang kami panggil "energy" yang boleh membantu kami kembali kepada memori lepas untuk mengesan di mana Nurin ditinggalkan, jalan-jalan yang pernah dilalui penjenayah dan mereka yang melakukannya,” katanya.

Dr Sazali berkata, perantaraan jarak jauh itu boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih serta mempunyai kebolehan dan tahap kepekaan yang tinggi.

Beliau berkata, namun usaha itu memerlukan kerjasama polis untuk menganalisis hasil yang diperoleh daripada kaedah berkenaan.

“Sebelum ini, saya pernah jalankan “remote viewing” ke atas beberapa orang termasuk ahli keluarga allahyarham Nurin bagi mengesan mangsa sebelum ini.

“Kerjasama polis sangat baik untuk membantu menganalisis maklumat yang kita peroleh bagi menentukan kebenarannya,” katanya.

Beliau berkata, daripada analisis yang dilakukan dalam sesi terdahulu, terdapat beberapa petunjuk yang dilihat dalam perjalanan bawah sedar antaranya mangsa diikat tangannya ke belakang serta duduk dalam bilik gelap.

Namun mereka tidak dapat berhubung dengan minda Nurin yang dipercayai ketika itu tenaganya sangat lemah, katanya.

“Masa itu saya terlihat dua lelaki yang menjaga Nurin, jalan tanah merah yang terdapat kesan tayar kereta, petunjuk nama jalan serta lokasi rumah yang tidak jelas yang terletak di atas kawasan berbukit.

“Mungkin petunjuk-petunjuk ini boleh digunakan lagi bagi mengesan penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu,” katanya. - Bernama

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Polis hari ini mengambil keterangan Jazimin Abdul Jalil dan isterinya, Norazian Bistaman bagi membantu siasatan kes pembunuhan anak perempuan mereka, Nurin Jazlin, 8, yang mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, 17 September lalu.

Pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Supritendan Loh Pei Pei bersama empat anggota polis tiba di rumah keluarga Nurin Jazlin di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini pada pukul 1.10 petang ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, keterangan yang direkodkan selama dua jam itu lebih tertumpu kepada proses pengecaman mayat serta pembunuhan Nurin Jazlin.

“Kita ambil keterangan daripada mereka (ibu bapa Nurin Jazlin) untuk memperkuatkan lagi siasatan polis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butir-butir keterangan itu kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Sementara itu, Jazimin ketika ditemui selepas itu berkata, proses mengambil keterangan daripada beliau dan isterinya berjalan lancar.

“Saya tidak tahu kenapa saya ditanya mengenai proses pengecaman mayat anak saya. Tiada sebarang soalan yang memberi tekanan kepada saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai siasatan kes pembunuhan anaknya, beliau memberitahu, polis memaklumkan kepadanya bahawa tiada sebarang tangkapan dibuat setakat hari ini.

“Bagaimanapun, saya akan dimaklumkan oleh polis sekiranya terdapat maklumat terkini mengenai suspek,” ujarnya.

Jazimin meminta media tidak membuat spekulasi berhubung pembunuhan anaknya dan mengaitkannya dengan kematian Nurin Jazlin

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Usaha mencarinya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri selama sebulan tidak membuahkan hasil.

Selepas 27 hari dilaporkan hilang, pada 17 September lalu, polis menemui mayat seorang kanak-kanak yang disumbat di dalam sebuah beg di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 8.30 pagi.

PUTRAJAYA 24 Sept. - Angkasawan Malaysia yang akan ke stesen angkasa antarabangsa pada 10 Oktober depan akan ditentukan pada saat-saat akhir setelah kedua-dua calon negara kini diiktiraf sebagai angkasawan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Dr Sheikh Muszaphar Shukor ditempatkan dalam kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S, manakala Kapten Dr Faiz Khaleed menganggotai kumpulan krew kedua.

“Segala perubahan terakhir dalam pemilihan calon yang akan mengikuti misi ini akan ditentukan oleh pihak Russia kelak.

“Proses ini perlu bagi memastikan misi berjalan dengan lancar dan jayanya,” kata Abdullah ketika membuat pengumuman itu yang disiarkan secara langsung dari pejabatnya di sini hari ini.

Kedua-dua angkasawan negara akan berada di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan mulai 28 September bagi menjalani latihan terakhir sebelum pelancaran 10 Okt depan.

Beliau berkata, keputusan bagi pemilihan angkasawan negara berdasarkan kepada perakuan jawatankuasa panel pemilihan yang dipengerusikan oleh Tun Hanif Omar berasaskan kepada mesyuarat jawatankuasa kerja Lembaga Antara Kerajaan Rusia (Russian Intergovernmental Board) dan juga laporan akhir penilaian persediaan misi Soyuz 15-S oleh pihak Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos).

Abdullah berkata, kerajaan amat berbangga kerana Lembaga Penetapan Krew telah mengiktiraf bahawa kedua-dua calon angkasawan negara telahpun lulus dengan cemerlang dan mereka layak untuk mewakili Malaysia bagi misi pertama negara ke angkasa lepas.

Ini bermakna, katanya, negara telah dapat melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa diperlukan serta diberi pengiktirafan oleh badan latihan angkasawan antarabangsa.

Selain Dr Sheikh Muszaphar, 35, pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pihak Russia telah mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S terdiri daripada Yuri Malechenko dari Russia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.

Kumpulan krew kedua terdiri daripada Sharizan Sharipov dari Russia dan Michael Fincke dari Amerika Syarikat selain Kapten Dr Faiz, 27, yang merupakan seorang doktor gigi dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan sebagaimana dirancangkan dengan selamat dan jayanya,” kata Abdullah.

Program untuk menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas dimulakan pada 2003 apabila Russia bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.4 bilion buatan Russia oleh Malaysia.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata, penamaan krew di saat-saat akhir adalah perkara biasa memandangkan apa sahaja boleh berlaku dari sekarang sehinggalah waktu pelancaran.

“Ingat tak Yuri Gagarin (manusia pertama di angkasa lepas)... beliau bukanlah pilihan pertama.

“Beliau adalah pilihan kedua tetapi terpilih di saat-saat akhir memandangkan krew pilihan utama menghidap demam campak,” katanya.

Beliau berkata, keputusan akhir mengenai siapakah yang akan berada dalam Soyuz akan ditentukan oleh pengarah misi Russia sama ada pasukan krew pertama atau pasukan krew kedua atau pasukan campuran.

Dr Jamaludin mengesahkan sekurang-kurangnya seorang angkasawan Malaysia akan berada dalam roket Russia yang akan dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 9.21 malam (waktu Malaysia), 10 Oktober.

Jamaludin berkata, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz dipilih daripada sejumlah 11,275 calon sejak Agensi Angkasa Negara Malaysia (Angkasa) memulakan kempen saringan untuk program itu pada 2003.

Angkasawan Malaysia dijangka mengendalikan penyelidikan saintifik ke atas sel kanser di angkasa bagi mengkaji kesannya di persekitaran angkasa lepas.

Beliau berkata, kerajaan bercadang mengadakan siaran langsung pelancaran itu menerusi semua stesen televisyen tempatan dan mengesahkan bahawa Perdana Menteri akan menyaksikan detik bersejarah itu menerusi siaran langsung.

Dr Muszaphar dan Dr Faiz, kedua-duanya masih bujang, yang kini menjalani latihan 12 bulan di Yuri Gagarin Aerospace Training Centre di Star City di Moscow, masih belum mengetahui mengenai pengumuman itu dan akan dimaklumkan kemudian, kata Jamaludin.

Beliau berkata, pada mulanya agak sukar untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka juga boleh menjadi angkasawan.

Namun, secara beransur-ansur

“kemungkinan itu menjadi impian dan kini bertukar menjadi kenyataan.

“Angkasawan negara akan berlepas pada malam tujuh likur... Lailatulqadar... lepas tarawih pada 9.21 malam 10 Okt, kira-kira tiga hari sebelum Hari Raya Puasa,” kata Jamaludin ketika menekankan signifikan waktu pelepasan tersebut yang secara kebetulan ditetapkan oleh pihak Russia.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah angkasa lepas apabila seorang angkasawan beragama Islam dijangka berpuasa di angkasa lepas memandangkan misi yang dilaksanakan itu secara kebetulan dalam bulan Ramadan.

Hanif pula percaya berpuasa di angkasa lepas tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada angkasawan negara memandangkan Islam menyediakan ruang dalam memberikan kelonggaran bagi mengerjakan suruhan agama.

Ekspedisi ke angkasa lepas kali ini akan meliputi tempoh kira-kira 10 hari di ISS, yang terletak 402.34 km dari permukaan Bumi. - Bernama


Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Dr. Faiz Khaleed.
ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 24 Sept. – Malaysia melakar satu lagi sejarah sebelum menyertai kumpulan eksklusif negara yang menerokai angkasa lepas apabila kedua-dua calon angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed disahkan lulus semua ujian dengan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan, kedua-duanya layak mengikuti misi pertama negara ke angkasa lepas pada 10 Oktober ini dengan pemilihan terakhir akan dibuat pada hari berkenaan.

Ini bermakna salah seorang daripada dua calon tersebut berpeluang menjadi angkasawan pertama negara apabila kapal angkasa Soyuz 15-S berlepas dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dua minggu lagi.

Angkasawan yang bakal dipilih untuk ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) itu akan ditentukan oleh pihak Rusia pada saat-saat akhir, kata Perdana Menteri dalam pengumuman khas di pejabatnya di sini tengah hari ini.

Majlis pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen.

Menurut Abdullah, Sheikh Muszaphar ditempatkan dalam kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S manakala Faiz menganggotai kumpulan krew kedua.

“Kerajaan amat berbangga kerana Lembaga Penetapan Krew mengiktiraf bahawa kedua-dua calon angkasawan negara telah lulus dengan cemerlang dan mereka layak untuk mewakili Malaysia bagi misi pertama negara ke angkasa lepas.

“Segala perubahan terakhir dalam pemilihan calon yang akan mengikuti misi ini akan ditentukan oleh pihak Rusia kelak. Proses ini perlu bagi memastikan misi berjalan dengan lancar dan jaya,” katanya.

Turut hadir ketika pengumuman itu dibuat ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemilihan Angkasawan Negara, Tun Hanif Omar. Perdana Menteri memberitahu, jawatankuasa panel pemilihan telah membuat perakuan berasaskan kepada mesyuarat jawatankuasa kerja Lembaga Antara Kerajaan Rusia dan juga laporan akhir penilaian persediaan misi Soyuz 15-S oleh Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos).

Selain Sheikh Muszaphar, 35, pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pihak berkuasa angkasa lepas Rusia mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S dianggotai oleh Yuri Malechenko dari Rusia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan krew kedua pula terdiri daripada Sharizan Sharipov dari Rusia dan Michael Fincke dari AS selain Faiz, 27, yang merupakan seorang doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kedua-dua kumpulan krew itu akan berada di Baikonur Cosmodrome mulai Jumaat ini sebelum pelancaran yang dijadualkan pada 10 Oktober ini iaitu tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan pencapaian kedua-dua calon angkasawan itu, kata Perdana Menteri, negara berjaya melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa mereka diperlukan serta diberi pengiktirafan oleh badan latihan angkasawan antarabangsa.

“Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan sebagaimana yang dirancangkan dengan selamat dan jayanya,” kata beliau.

Angkasawan Malaysia yang terpilih bakal berada di ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

Di ISS, Sheikh Muszaphar atau Faiz akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Program angkasawan negara itu merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

PUTRAJAYA 24 Sept. – Kedua- dua calon angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed akan berhadapan dengan saat yang cukup kritikal dalam tempoh 10 hari sebelum salah seorang daripada mereka dipilih untuk mengikuti misi ke angkasa lepas pada 10 Oktober ini.

Pada saat-saat akhir, pihak Rusia boleh menentukan siapa yang layak untuk mengikuti misi itu meskipun keputusan awal Jawatankuasa Panel Pemilihan Angkasawan Negara memilih Sheikh Muszaphar sebagai calon utama manakala Faiz sebagai calon simpanan.

Dalam keadaan itu, Faiz turut perlu sentiasa berada dalam keadaan yang bersiap sedia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, dalam semua program angkasa lepas Rusia, sememangnya terdapat dua kumpulan krew yang terlibat.

Malah, katanya, perkara itu pernah terjadi kepada Yuri Gagarin iaitu manusia pertama berjaya sampai ke angkasa lepas dalam misi pada 1961.

Beliau berkata, Yuri Gagarin sebenarnya bukan calon utama angkasawan Rusia sebaliknya calon kedua. Calon pertama gagal kerana diserang demam campak.

“Hasil misi adalah terpulang kepada pengarah misi tersebut iaitu Rusia, kerana itu kita sekarang menghadapi pemilihan yang sebenar berbanding sebelum ini.

“Akan ada faktor psikologi dan perubatan yang akan menentukan sama ada terdapat perubahan atau tidak kerana daripada sekarang, ia bukan lagi di bawah kawalan kita tetapi sepenuhnya di bawah Rusia,” katanya.

Jamaluddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman angkasawan pertama negara yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Menurut Jamaluddin, apa yang pasti seorang rakyat Malaysia bakal mencatatkan sejarah sebagai angkasawan pertama yang berjaya menjejakkan kaki di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kerana kedua-duanya layak menyertai misi berkenaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri tidak dapat hadir ketika pelancaran misi tersebut memandangkan tarikh itu terlalu hampir dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan beliau bersama-sama rakyat Malaysia akan menyaksikan siaran langsung pelancaran misi itu.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, kerajaan bersedia meneruskan program penghantaran angkasawan negara ke angkasa lepas yang dianggarkan memakan belanja sebanyak RM103.2 bilion sekiranya rakyat mahu ia dilaksanakan.

KUALA LUMPUR 24 Sept. – ‘‘Ini baru permulaan, banyak lagi rintangan yang perlu saya tempuhi,’’ kata Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dalam perbualan telefon dengan bapanya selepas mengetahui namanya diumumkan sebagai calon utama angkasawan negara.

Bapa Sheikh Muszaphar, Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor berkata, beliau menelefon anaknya yang kini berada di Rusia untuk memaklumkan berita gembira itu.

‘‘Dalam perbualan tersebut, Sheikh Muszaphar memaklumkan yang beliau hanya akan menganggap dirinya berjaya setelah kembali ke tanah air selepas melaksanakan misi di angkasa lepas,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Khaleed Abdullah menganggap anaknya, Faiz berada pada kedudukan lebih mencabar berbanding calon utama angkasawan negara, Sheikh Muszaphar.

Katanya, sebagai orang nombor dua, Faiz perlu berusaha lebih gigih untuk menyaingi Sheikh Muszaphar dan seterusnya meyakinkan pihak Rusia bahawa dirinya lebih layak dipilih.

“Untuk mencapai status nombor satu, dia (Faiz) perlu benar-benar bekerja keras,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini.

Sementara itu abang Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berkata adiknya atau panggilan manjanya ‘Amus’ memang sering berangan untuk ke bulan.

Perkara itu dinyatakan oleh abangnya, Sheikh Taufik, 36, bahawa adik bongsunya itu sering merenung ke langit di waktu malam bagi melihat bulan dan bintang.

“Tetapi saya dan abang, Sheikh Ahmad, 37 sentiasa membuli dia sebab dia yang kecil pada masa itu, begitu pun hubungan kami tetap rapat dan begitu gembira sekali dengan kejayaannya menjadi angkasawan negara.

“Tuhan sahaja yang tahu, betapa berdebarnya kami adik beradik menunggu keputusan pemilihan yang akhir ini dan bersyukur Amus akhirnya terpilih untuk satu misi yang begitu mencabar.

“Saya berharap Amus akan bawa balik sesuatu sebagai ole-ole dari angkasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

SHAH ALAM 24 Sept. - Tiada sebarang bahan letupan mahupun peluru serta senjata api ditemui hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) di rumah tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Sarjan S. Nagendraroo, 47, memberitahu mahkamah tinggi di sini hari ini, pemeriksaan di tiga buah bilik di rumah Sirul Azhar pada 2 petang, 7 November 2006 mengambil masa selama 20 minit.

Setelah tiada bahan letupan dijumpai, kata Nagendraroo, Asisten Supritendan (ASP) Zulkarnain Samsudin telah mengarahkan pasukan UPB balik ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurut saksi itu yang bertugas di bahagian Logistik dan Persenjataan IPKKL, sepanjang pemeriksaan dijalankan, beliau tidak nampak anggota mahupun pegawai dari unit lain selain daripada unit Jenayah Utama (D9) IPK Kuala Lumpur (IPKKL).

Nagendraroo memberi keterangan selaku saksi keenam dalam prosiding bicara dalam perbicaraan yang masuk hari ketujuh hari ini.

Perbicaraan utama terhadap penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, bersama Cif Inspektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar masuk hari ke-39 hari ini.

Terdahulunya, ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Nagendraroo memberitahu bahawa ASP Zulkarnain telah meminta bantuan sepasukan anggota UPB untuk membantu tugas pemeriksaan senjata api, peluru dan bahan letupan.

Bertindak atas arahan tersebut, menurut saksi, beliau bersama pasukan telah menunggu ASP Zulkarnain, selepas Plaza Tol Kota Damansara sebelum menuju ke kawasan flat.

Nagendraroo berkata, selepas tiba dan menunggu selama 10 minit di luar, barulah ASP Zulkarnain mengarahkan UPB masuk ke dalam rumah Sirul Azhar.

"Ketika itu, saya lihat Sirul Azhar bergari bersama Koperal Chiam berada di ruang tamu rumah," kata Nagendraroo dengan nada suara yang agak laju.

Ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hasnal Redzua Merican, saksi itu menyatakan bahawa taklimat penugasan hanya dimaklumkan oleh ASP Zulkarnain kepada UPB ketika mendaki tangga ke rumah Sirul Azhar.

Prosiding bicara dalam perbicaraan selesai sebaik sahaja Nagendraroo selesai memberikan keterangan.

Perbicaraan bersambung pada sesi petang. Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin mendengar keterangan saksi bagi prosiding perbicaraan utama.

Sementara itu, Abdul Razak yang telah menjalani pembedahan mata pada 18 September lalu, hadir di mahkamah dengan memakai cermin mata gelap untuk melindungi matanya yang kelihatan masih bengkak. - Utusan

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan diwujudkan sekolah satu sesi yang tempohnya dipanjangkan sehingga pukul empat petang bagi mengatasi masalah anak-anak bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sekiranya dilaksanakan akan memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bekerja kerana mereka berpeluang menjemput sendiri anak-anak pulang dari sekolah.

“Idea ini baru terlintas dalam fikiran saya, Datuk Hisham (Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein). Ini satu kemungkinan, bukan arahan, supaya sekolah masuk pada waktu yang biasa pada sebelah pagi tetapi (sesi) tengah hari itu dipanjangkan sampai pukul 4 petang.

“Apabila pelajaran harian sudah habis, masa yang tinggal tiga atau empat jam lagi dapat digunakan untuk kegiatan kokurikulum dan lain-lain aktiviti.

“Kerja sekolah yang diberikan guru juga boleh dibuat di situ, tidak payah buat di rumah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) di sini hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu diharap dapat membendung kejadian jenayah seperti yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, daripada berulang kepada kanak-kanak lain yang tidak berdosa.

Selain itu, kata Abdullah, mesyuarat MT hari ini yang turut membincangkan kes Nurin Jazlin telah mencadangkan program Rukun Tetangga diaktifkan semula supaya kawasan perumahan sentiasa diawasi terutama jika ia dimasuki orang tidak dikenali.

Katanya, langkah itu selaras dengan pandangan MT bahawa kombinasi pelbagai cara perlu digunakan bagi mengatasi masalah jenayah dan ia harus melibatkan seluruh rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.

“Ini bukan bermakna segala masalah akan selesai. Tetapi kalau kita mahu ia berkurangan, mungkin ke tahap tidak akan berlaku lagi, maka kita mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya keadaan akan menjadi lebih baik lagi, insya-Allah.

Mengenai cadangan supaya tindakan mahkamah diambil terhadap ibu bapa yang hilang anak kerana cuai, Abdullah berkata, tindakan undang-undang seperti itu susah untuk dikuatkuasakan kerana kebanyakan ibu bapa bekerja.

PULAU PINANG 24 Sept. - “Saya berharap kematian anak saya akan dapat keadilan sewajarnya dan pembunuhnya akan dikenakan hukuman berat,” luah Ooi Eng Chew, 28, bapa kepada kanak-kanak malang, Shearwel Ooi Ying Ying, 3, yang percayai dibakar selepas dibunuh kira-kira dua bulan lalu.

Luahan Eng Chew itu agak mengejutkan pemberita yang membuat liputan kes itu di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini kerana sebelum ini, bapa malang itu senyap seribu bahasa dan enggan mengulas sebarang pertanyaan yang dilontar pemberita mengenai kematian anaknya itu.

Malah, beliau sering melarikan diri setiap kali pemberita datang menghampirinya sejak pulang dari China, tiga hari selepas anaknya itu dipercayai dibunuh, 5 Julai lalu.

Keadaannya jauh berbeza hari ini apabila dia yang ditemani ahli keluarganya yang hadir kira-kira pukul 8.30 pagi lagi turut membawa tiga keping sepanduk yang ditulisnya sendiri dalam bahasa Mandarin.

Antara yang menarik perhatian ialah dua keping gambar yang ditampal di atas sepanduk berwarna merah jambu, memaparkan gambar Ying Ying dan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual yang mayatnya disumbat di dalam beg pakaian di Petaling Jaya Isnin lalu.

“Dulu kes Ying Ying, mungkin kes yang hanya dianggap kecil. Sekarang kes Nurin, Kes yang begitu kejam dan besar. Pembunuhnya sangat kejam dan lebih kejam dari binatang. Pembunuhnya mesti dihukum berat,” luah Eng Chew melalui sepanduk itu.

"Ying Ying sudah mati. Namun kematiannya tidak boleh selesai hanya dengan bayaran ganti rugi wang. Ia melibatkan nyawa kanak-kanak yang tidak bersalah,'' katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret menetapkan 23 November depan untuk sebutan semula kes ibu Ying Ying.

Teh Hooi Wen, 28, dituduh membuat laporan palsu dan memasukkan dadah jenis methaphetamine ke dalam badannya.

Majistret Noorhisham Mohd. Jaafar menetapkan tarikh itu setelah dimaklumkan peguam bela, Khoo Chye Beng bahawa pihaknya akan mengemukan representasi kepada pihak pendakwaan berhubung kesilapan yang berlaku di dalam pertuduhan utama yang didakwa terhadap Hooi Wen.

Oleh Wan Najib Wan Daud

PULAU PINANG 24 Sept. – Sebanyak 16 batang sungai di seluruh negara yang kini diklasifikasikan tercemar atau mati (Kelas 5) mampu dipulihkan menjelang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah berkata, dalam tempoh tersebut, sungai-sungai itu akan dikategorikan dalam Kelas 2 dan boleh digunakan untuk mandi.

Beliau berkata, sungai-sungai tersebut dipilih berdasarkan kepentingan dan nilai sejarah.

‘‘Saya yakin kesemua sungai tersebut boleh dipulihkan melalui program Satu Sungai Satu Negeri dengan peruntukan RM400 juta,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan fotografi ‘Pesona Pantai Malaysia’ di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan pantai bersih, usaha memulihara sungai perlu dilakukan dengan menutup muara sungai dan pada masa yang sama mencari dan merawat punca pencemaran sungai.

Beliau memberitahu, semua kerja berkaitan pemulihan sungai itu dijangka siap dalam beberapa tahun sebelum ia menampakkan hasil yang diharapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Keizrul berkata, Sungai Batu Ferringhi di sini sepanjang 1.35 kilometer akan dibersih, dipulih dan dinaik taraf dengan kos sebanyak RM7 juta.

Katanya, turut terlibat ialah Sungai Satu sepanjang 1.2 kilometer (km), Sungai Mas (2.68 km), Sungai Kechil (2.87 km) dan Sungai Kelian (1.60 km).

Keizrul berkata, sungai-sungai itu merupakan sungai Kelas 3 dan akan ditransformasi ke Kelas 2 sekaligus memulihara kawasan di sepanjang pantai Batu Feringghi.

‘‘Kesemua sungai itu mengalir ke arah pantai Batu Ferringhi dan jika sungai itu tercemar maka pantai turut tercemar,” katanya.

Oleh ANGELINA SINYANG

KAMPAR 24 Sept. – Seorang wanita warga emas di Kampung Baru Kuala Dipang, di sini terpaksa hidup merempat seperti rakyat asing di tanah air sendiri kerana tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Salmah Mokhtar, 53, yang dilahirkan di Kampung Air Mati, Tanjung Tualang dekat sini mendakwa dia tidak memiliki dokumen penting itu kerana bapanya sudah meninggal dunia dan tidak pernah membuat sebarang permohonan kad pengenalan untuknya.

Menyedari akan keperluan memiliki dokumen pengenalan diri itu, katanya, dia telah beberapa kali cuba memohonnya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi usaha itu tidak mendatangkan hasil.

Disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, Salmah tidak layak menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan termasuk memohon bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Meskipun hidup daif dan terpaksa menumpang di rumah jirannya ketika ini, dia langsung tidak layak menerima sebarang bantuan malah sejak sekian lama wanita itu juga tidak dapat menunaikan kewajipan untuk mengundi pada pilihan raya.

‘‘Arwah ayah saya, Mokhtar Talib bekerja sebagai kakitangan di stesen kereta api dan sering berpindah-randah.

‘‘Apabila ibu saya meninggal dunia ketika saya berusia tiga tahun, ayah menyerahkan tiga adik-beradik saya yang lain untuk dijaga oleh ibu saudara manakala saya sekali lagi dibawa berpindah sebelum ayah berkahwin lain dengan seorang janda kira-kira empat tahun kemudian.

‘‘Adik-beradik yang dijaga oleh ibu saudara semuanya memiliki kad pengenalan tetapi saya tidak bernasib baik kerana ayah tidak membuat dokumen peribadi untuk saya dengan alasan sukar kerana kami sering berpindah,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Dipang di sini hari ini.

Salmah memberitahu, dia sudah memohon kad pengenalan sebanyak enam kali tetapi gagal kerana JPN memberi alasan dia gagal menunjukkan surat sokongan daripada bidan yang menyambut kelahirannya.

‘‘Apabila datang ke pejabat JPN, mereka minta saya mengisi borang tetapi apabila dihantar, mereka memberitahu permohonan itu tidak boleh diproses kerana saya tiada surat pengesahan daripada bidan yang menyambut kelahiran saya.

‘‘Alasan lain permohonan saya ditolak ialah saya juga gagal menunjukkan kupon pembelian beras yang biasa diberikan kepada orang kampung yang membeli beras pada sekitar tahun 50-an.

‘‘Bagaimana saya hendak mendapatkan pengesahan bidan sedangkan wanita tersebut sudah lama meninggal dunia dan siapa lagi masih menyimpan kupon pembelian beras yang diterima kira-kira 50 tahun lalu,” ujarnya.

Salmah yang kematian suami memberitahu, dia kini hidupnya ibarat sebatang kara apabila terpaksa menumpang di rumah jiran sekampung selepas kesemua 10 anaknya mendirikan rumah tangga dan berpindah ke tempat lain.

Menurut beliau, hanya tiga anaknya menetap di kampung yang sama manakala yang lain hilang tanpa khabar berita sehingga ke hari ini.

Ekoran kesempitan hidup, Salmah sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan bagi menyara hidup termasuk mengambil upah mengupas buah kedondong dengan bayaran 25 sen sekilogram.

Salmah berharap JPN dapat meluluskan permohonannya untuk mendapatkan kad pengenalan dengan segera.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Salmah boleh menziarahinya di alamat No. 65, Kampung Baru Kuala Dipang, 31850 Kampar, atau menghubungi abang tirinya, Lot Daud di talian 012-5347854.

Oleh Ruhaidini Abd Kadir

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang sebelum ini disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Pegawai berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditangkap di Putrajaya dekat sini pukul 10.30 pagi ini.

Suspek yang berusia lewat 40-an dan telah berkhidmat selama 20 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas.

Utusan Malaysia difahamkan, pegawai terbabit yang dipercayai mengumpul kekayaan secara haram ketika bertugas di Pahang dan Johor memiliki beberapa buah rumah dan lot tanah yang sebahagian besar terletak di Lembah Klang.

Pegawai terbabit yang pernah bertugas di Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) di Johor juga didakwa terlibat dalam beberapa kes penggubahan wang haram di Johor.

Sebelum ini, suspek telah dipanggil BPR untuk mengisytiharkan hartanya mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Suspek telah mengisytiharkan hartanya kepada Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya seperti yang diarahkan sebelum ini dan hasil siasatan mendapati harta-harta itu diperoleh melalui amalan salah guna kuasa.

Siasatan itu menjadikan sekurangkurangnya dua pegawai kanan Polis Bukit Aman sedang disiasat oleh BPR berhubung pemilikan harta melebihi tahap kemampuan sebagai penjawat awam, selain dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Seorang lagi ialah pegawai kanan berusia 50-an dikaitkan dengan pemilikan harta RM27 juta. Dia juga telah dipanggil oleh BPR untuk mengisytiharkan hartanya.

Pegawai kanan terbabit dikatakan memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perladangan di Lahad Datu, Sabah.

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad yang stabil selepas menjalani pembedahan membersihkan tisu luka di Institut Jantung Negara (IJN) kelmarin, hari ini memberikan reaksi kepada keluarganya dengan mengenyitkan mata.

Anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datin Paduka Marina dalam laman blognya menyebut, Dr. Mahathir sedar dan boleh mendengar serta memberi maklum balas kepada keluarga terdekat yang melawatnya.

“Semasa saya melawatnya buat pertama kali selepas pembedahannya pagi ini, saya memberitahu bahawa saya berada bersamanya dan beliau melakukan suatu yang cukup tipikal – mengenyitkan mata.

“Saya berasa seperti mahu menangis dan ketawa pada masa yang sama,” kata Marina dalam laman blognya, rantingsbymm. blogspot.com, pagi ini.

Semalam, Dr. Mahathir, 81, dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas melalui pembedahan tiga jam dengan 72 jam seterusnya dianggap tempoh yang genting.

Marina berkata, Dr. Mahathir bukannya tidak sedarkan diri, tetapi doktor meletakkan beliau dalam keadaan separa sedar.

“Pada masa ini, mereka (doktor) berpuas hati dengan keadaannya tetapi mereka bersikap berhati-hati kerana ia merupakan suatu yang perlu ditangani dari sehari ke sehari,” ujar beliau.

Sementara itu, IJN dalam satu kenyataan malam ini berkata, Dr. Mahathir sudah sedar dan keadaannya sedang dipantau rapi.

Para doktor di IJN gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan Dr Mahathir dan bekas Perdana Menteri itu sudah boleh menerima kunjungan anggota keluarga terdekat.

“Keadaan Dr. Mahathir stabil dalam Unit Rawatan Rapi IJN selepas menjalani prosedur pembedahan kedua pada Sabtu lalu,” menurut kenyataan itu.

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

ALOR GAJAH 24 Sept. – Kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang alasan yang diberikan oleh para penternak babi di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang untuk mengelak daripada mengosongkan ladang masing-masing Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi menangani isu itu, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, pada 30 September ini, sembilan kandang melibatkan lebih 15,000 ekor babi akan dikeluarkan daripada kawasan tersebut.

Menurutnya, tindakan mengurangkan ternakan babi di kawasan itu akan dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan biarpun ada penternak meminta tempoh itu dilanjutkan.

‘‘Kita tidak akan melayan sebarang alasan yang diberikan oleh penternak yang ingin melengahkan operasi mengurangkan ternakan babi di kawasan itu.

‘‘Ada antara mereka memberikan alasan sukar memindahkan ternakan yang terlalu banyak ke tempat lain, oleh itu mereka merayu lebih masa tetapi kita tidak akan layan,’’katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan operasi mengurangkan babi di negeri ini yang dimulakan kelmarin.

Pada 4 September lalu, kerajaan negeri telah menangguhkan operasi memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri ternakan mereka dari 160,000 ekor kepada 48,000 ekor dan mereka diberi tempoh sehingga 21 September.

Bagaimanapun, memandangkan proses pengurangan tersebut berjalan perlahan, kerajaan negeri memberi tempoh baru iaitu sehingga 4 Oktober ini.

Terdapat 87 penternak babi menjalankan usaha ternakan binatang tersebut di seluruh Parlimen Masjid Tanah.


Beratus ribu penduduk Myanmar berarak sebagai tanda protes terhadap junta tentera Myanmar dalam bantahan terbesar hampir 20 tahun diYangon, semalam. – Agensi.
YANGON 24 Sept. – Lebih 100,000 penunjuk perasaan antikerajaan diketuai oleh barisan sami Buddha berarak di sini hari ini dalam protes umum terbesar di Myanmar sejak pemberontakan prodemokrasi dihancurkan oleh tentera pada 1988.

Ketika penunjuk perasaan itu bergerak menghala pejabat Kementerian Pertahanan mengikut sebatang jalan yang lurus, bahagian belakang perarakan tidak lagi dapat dilihat dari depan. Perarakan itu merupakan yang terbesar dalam tempoh hampir 20 tahun,

Sami dan aktivis mendakwa bilangan peserta lebih 100,000 orang menyertainya walaupun kiraan sebenar sukar dibuat kerana mereka berada dalam keadaan bergerak.

Saksi melaporkan, dari depan perarakan itu mereka boleh melihat jalan lapan lorong dipenuhi manusia sejauh 1.6 kilometer.

Perarakan yang bermula dari pagoda Shwedagon itu menarik semakin banyak peserta dalam perjalanannya mengikut jalan-jalan di sini dalam cuaca mendung.

Kira-kira 20,000 sami Buddha mengetuai perarakan tersebut yang kemudian disertai oleh orang ramai pada hari yang digambarkan sebagai hari protes umum.

Penunjuk perasaan berarak sekurang-kurangnya lapan kilometer pada beberapa jam pertama dan melewati kampus lama Universiti Rangoon yang suatu masa dulu menjadi kancah protes antijunta tentera.

Pelajar dilihat menyertai perarakan hari ini, buat kali pertama dalam bilangan yang agak besar sejak perarakan diketuai oleh sami itu bermula di sini seminggu lalu.

Bantahan berkenaan telah menyebabkan junta tentera mengeluarkan kenyataan amaran untuk mengambil tindakan terhadap sami-sami Buddha yang mengetuai perarakan itu.

Sebelum itu dua orang selebriti terkenal negara ini turut menyumbang makanan dan minuman kepada para sami yang berarak dalam satu rancangan tontonan umum pertama kali dikendalikan oleh artis tempatan bagi menyatakan sokongan mereka.

Pelakon lelaki terkenal, Kyaw Thu mengikut jejak langkah pelawak yang dikenali sebagai Zargana menawarkan makanan dan minuman kepada lebih 600 sami yang berkumpul di pagoda Shwedagon di sini sebelum bantahan antikerajaan memasuki hari ketujuh oleh beribu-ribu sami.

Semalam, kira-kira 10,000 penduduk Myanmar menyertai 10,000 sami Buddha dan 150 rahib di sini dengan berarak meredah hujan dan banjir paras buku lali sebagai membantah junta tentera dan memberi sokongan terhadap ikon demokrasi yang ditahan junta tentera Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Peningkatan dalam bilangan penunjuk perasaan itu memungkinkan lagi berlakunya perubahan dalam politik dan menimbulkan kebimbangan sekiranya pasukan tentera akan bertindak ganas seperti yang mana berlaku dalam pemberontakan berdarah pada 1988 yang mengakibatkan beribu-ribu terbunuh.

Salah seorang diplomat Asia Tenggara berkata, rejim tentera itu kini menerima tekanan daripada China supaya tidak menggunakan kekerasan ketika terdapat desakan negara-negara jirannya agar dipercepatkan perubahan demokrasi.

“Kerajaan Myanmar sangat bertolak ansur terhadap penunjuk perasaan dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap sami-sami tersebut kerana menerima tekanan daripada China,” ujar diplomat tersebut kepada The Associated Press.

Tambahnya, sebarang tindakan tegas yang diambil oleh pihak junta akan memburukkan nama China memandangkan negara komunis itu bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun depan.

“Semua orang tahu bahawa China merupakan penyokong utama junta tentera Myanmar,” katanya.

Bantahan itu telah bermula pada 19 Ogos lalu sebagai satu bantahan terhadap kesukaran ekonomi selepas kerajaan menaikkan harga bahan bakar yang sekali gus meningkat taraf hidup penduduk negara ini.

– Agensi

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Seorang kerani kewangan sebuah syarikat dan rakan serumahnya ditemui mati akibat ditikam di sebuah pangsapuri di Metro Perdana Timur 2, Kepong, dekat sini hari ini.

Kedua-dua mangsa, Wong Tan Yong, 32 dan Ang Ching Ping, 36, ditemui oleh adik perempuan Chin Tiang yang kebetulan ke rumah mangsa kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku di antara pukul 12 tengah malam hingga awal pagi ini.

Menurut adik Ching Ping yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, hatinya mulai tidak tenteram selepas panggilannya tidak terjawab sejak malam tadi.

“Jadi, pagi ini saya terus ke rumah kakak saya dan apabila membuka pintu rumah saya mendapati kakak saya terbaring di lantai ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah, manakala kawannya di dalam bilik,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya lagi, dia mendapati dua anak buahnya berada dalam keadaan ketakutan di salah sebuah bilik.

“Saya terus menghubungi polis dan memaklumkan kejadian tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, mayat seorang mangsa ditemui di ruang tamu dan seorang lagi di bilik tidur.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berpakaian penuh itu tidak dirogol,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ekoran penemuan kedua-dua mayat itu, katanya, polis menahan dua lelaki warga Afrika yang merupakan jiran mangsa kira-kira dua jam kemudian.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek yang berusia 20-an hingga 30-an itu masih menuntut di sebuah kolej swasta berhampiran tempat tinggal mereka.

“Berdasarkan keterangan beberapa jiran, kami difahamkan berlaku pertengkaran antara suspek dan kedua-dua mangsa kira-kira pukul 12.30 malam tadi dan ia berlarutan sehingga beberapa jam.

“Jadi, kami percaya pembunuhan ini mungkin susulan pertengkaran itu.

“Bagaimanapun motif pertengkaran itu masih dalam siasatan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Menurutnya, Chin Ping mempunyai dua orang anak berusia empat dan enam tahun.

Chin Wah berkata, buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat mengenai suami kedua-dua mangsa.

Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

SEREMBAN 24 Sept. – Seorang ibu tunggal mendakwa dia mengurung anak perempuannya berusia tujuh tahun dipercayai dalam sangkar besi di sini Sabtu lalu bertujuan mengajarnya supaya bertanggungjawab dan bercakap jujur.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mizan Maulud berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa berang setelah mendapati anaknya itu meniru tandatangannya dalam kad laporan kemajuan sekolah.

"Wanita itu bagaimanapun menafikan anaknya dikurung dalam sangkar besi di belakang rumah tetapi di dalam stor," katanya yang menemui ibu tunggal itu di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini hari ini.

Semalam, seorang ibu yang dipercayai berang kerana tidak tahan dengan kenakalan anak perempuannya itu bertindak mengurungnya dipercayai dalam sangkar besi di rumahnya di Seremban 2.

Kanak-kanak itu bagaimanapun dibebaskan oleh empat anggota polis yang datang ke rumah berkenaan kira-kira pukul 10 pagi selepas mendapat maklumat daripada jiran yang mendengar tangisan mangsa.

Mangsa kemudiannya dihantar ke HTJ untuk pemeriksaan perubatan manakala ibunya dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Mizan berkata, selain keterangan ibu mangsa, pihaknya akan turut mengumpul maklumat daripada jiran mangsa, sekolah dan melalui lawatan ke rumah mangsa bagi membantu siasatan.

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, menurutnya, wanita itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di atas perbuatannya yang boleh mendatangkan gangguan emosi kepada mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seremban, Supritendan Azmi Abu Bakar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.