KUALA LUMPUR: Laman web khas pencarian Nurin Jazlin Jazimin yang diwujudkan bapa saudara mangsa ditukar kepada laman web memperingatinya selepas keluarga mangsa menerima hasil ujian DNA, sekali gus mengakui mayat kanak-kanak dalam beg pakaian yang ditemui di Taman Petaling Utama sebagai anak mereka.

Laman nurinjazlin.blogsport yang disusun Jasni Abd Jalil memuatkan pelbagai maklumat mengenai perkembangan terkini kes itu melalui komen dan laporan akhbar.

Blog itu juga memuatkan kronologi laporan akhbar mengenai operasi pencarian Nurin Jazlin oleh polis dan orang ramai serta cerita mengenai tanggapan masyarakat dan temu bual bersama keluarga serta rakan-rakannya.

Keratan laporan dimuatkan, bermula kali pertama kehilangan Nurin Jazlin dilaporkan akhbar pada 21 0gos lalu sehingga kepada perubahan pendirian ibu bapanya yang akur dengan hasil ujian DNA seperti diumumkan pihak berkuasa, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk menghukum ibu bapa cuai dalam penjagaan anak masing-masing.

Setiausaha Parlimennya, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata setiap tindakan terhadap ibu bapa cuai memerlukan siasatan terperinci termasuk tahap kecuaian, selain mengambil kira kebajikan semua pihak.

“Memang peruntukan itu ada tetapi kita tidak boleh menggunakannya sesuka hati. Kita perlu lihat semua aspek dan kesan jika tindakan diambil terhadap ibu bapa. Ia bukan sesuatu yang mudah walaupun niat kita untuk memastikan ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap anak,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis akan mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara supaya mendakwa ibu bapa kanak-kanak mangsa culik yang mati dibunuh, Nurin Jazlin Jazimin jika terdapat unsur kecuaian.

Mengikut Seksyen 33 akta itu, ibu bapa atau penjaga yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda yang tidak melebihi RM5,000.

KUALA LUMPUR: Penjenayah seksual yang membunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8, dipercayai seorang lelaki normal, mudah bergaul dan dilihat sebagai penyayang tetapi menjadikan kanak-kanak sasaran deraan bagi melepaskan rasa marah akibat penderaan dialaminya pada masa lampau.

Itu adalah profil personaliti yang diberikan Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din mengenai pembunuhan Nurin Jazlin yang mengejutkan seluruh negara.

Mohamed Fadzil yang juga juga Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia berkata, penjenayah terbabit mempunyai dwi-personaliti – ketika bersama masyarakat, pembunuh akan tonjolkan dirinya sebagai manusia sempurna, bersifat penyayang kepada mereka yang rapat.

“Apabila dia berada dalam dunia jijiknya, memang dia tidak memikir keperluan orang lain kerana lebih pentingkan nikmat dan keperluan dia untuk memuaskan nafsu hingga Nurin Jazlin menemui ajal,” katanya ketika dihubung Berita Minggu, semalam.

Mayat seorang budak yang ditemui dalam beg di Petaling Jaya Isnin lalu disahkan sebagai Nurin Jazlin selepas ujian DNA. Mayat Nurin Jazlin dikebumikan keluarganya kelmarin, sekali gus mengakhiri pencarian kanak-kanak lebih dikenali sebagai Kak Ngah yang hilang kira-kira sebulan lalu.




KUALA LUMPUR: Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan memasang cip khas pada MyKad pesalah banduan jenayah seksual bagi memudahkan usaha mengesan pergerakan mereka jika berlaku jenayah seumpamanya.

Pelaksanaan sistem yang masih pada peringkat cadangan itu akan membolehkan pihak berkuasa mengawasi pergerakan banduan itu sebaik menerima laporan kejadian jenayah seksual.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, berkata setiap pergerakan bekas banduan akan diketahui dan disalurkan kepada pusat penerimaan maklumat khas.

"Jika berlaku sebarang kejadian malang seperti berlaku baru-baru ini, polis hanya perlu mendapatkan maklumat lokasi bekas banduan jenayah berkenaan di pusat berkenaan.

"Melalui maklumat ini, polis boleh melaksanakan siasatan segera terhadap bekas banduan terbabit jika mereka mempunyai hubungan dengan kejadian selepas itu," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian bilik gerakan pusat pilihan raya Umno Bahagian Bandar Tun Razak, di sini, semalam.

Pusat berkenaan dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan diwujudkan khas menjelang pilihan raya untuk kempen BN.

Pada majlis itu, Kementerian Wilayah Persekutuan menyerahkan 71 komputer kepada 71 komuniti seluruh Parlimen Bandar Tun Razak bagi pembelajaran teknologi maklumat (IT).

Beliau berkata, penggunaan cip itu hampir sama seperti gelang khas yang akan diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat susulan daripada kematian menyayat hati Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menjadi mangsa jenayah seksual.

Ia akan dipakai individu yang pernah dipenjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan melaluinya pergerakan mereka akan diawasi serta maklumatnya dipaparkan di internet supaya orang ramai boleh merujuk laman web berkenaan jika berlaku sebarang kes jenayah kanak-kanak.

Tan berkata, pihaknya akan memperkenalkan cip terbaru itu selepas kajian mengenainya selesai dilakukan dalam masa sebulan yang akan memfokuskan terhadap teknologi dan hak manusia.

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Siti Nur Almizan Aripin


TINGGAL KENANGAN: Jazimin melihat kembali bunga yang dilekatkan pada dinding oleh Allahyarham Nurin Jazlin

Jazimin, Norazian tak mahu tragedi hitam menghantui kehidupan mereka

KUALA LUMPUR: Keluarga kanak-kanak malang, mangsa penderaan seksual dan pembunuhan kejam, Nurin Jazlin Jazimin, akan berpindah dari kediaman mereka di Seksyen 1, Wangsa Maju bagi melupakan tragedi hitam menimpa anak mereka.

Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abd Jalil, 33, berkata beliau, isteri Norazian Bistaman, 35, dan tiga anak mereka akan berpindah dari rumah yang baru diduduki hampir dua bulan itu untuk memulakan kehidupan baru di tempat lain.

�Di mana arah tujuan sama ada dekat Kuala Lumpur atau luar, belum dapat dipastikan... tapi akan berpindah dalam masa terdekat kerana Azian (isteri) tidak mahu kisah sedih ini menghantui kami jika masih tinggal di sini.

"Saya juga mungkin berhenti membawa teksi dan mencari pekerjaan lain," katanya ketika ditemui, di rumahnya, di sini, semalam yang masih dikunjungi orang ramai.

Jazimin berkata, sebenarnya beliau sekeluarga berpindah ke rumah pangsa berkenaan 20 hari sebelum kehilangan Nurin Jazlin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah.

"Ketika baru berpindah ke sini, dia rajin membantu ibunya mengemas dan menghias rumah.

"Tiga kuntum bunga mawar plastik gubahannya digantung di dinding rumah... itu juga perkara terakhir dibuat dan ditinggalkan Kak Ngah, petanda seolah-olah dia tahu akan pergi meninggalkan adik-beradik lain," katanya sambil menunjukkan kuntuman bunga dengan nada sebak sambil menyeka linangan air mata.

Jazimin berkata, bunga mawar berwarna hijau itu digubah sendiri anaknya beberapa hari sebelum kehilangannya dan tanpa disangka menjadi petanda beliau akan meninggalkan tiga adik beradik lain.

"Malah, dia juga berkeras meminta supaya tidak dialihkan bunga yang diletakkan di penjuru dinding ruang tamu ini... sebak rasanya melihat bunga ini yang akan menjadi kenangan kami sekeluarga sampai bila-bila.

"Sepatutnya dia menggubah empat kuntum bunga tanda empat beradik tapi ini tiga saja seperti sudah tahu dia akan pergi," katanya.

Malah, beberapa hari sebelum kehilangannya di kawasan pasar malam berhampiran rumah ini, Nurin Jazlin turut meminta ibunya membantu mengurut tapak kakinya.

"Dia memang anak manja, selama ini memang dia tak pernah minta untuk diurut... tapi hari itu tidak tahulah secara tiba-tiba dia dengan sifat semula jadi manjanya minta ibunya urut...," katanya.

Jazimin bagaimanapun reda dengan ketentuan tuhan dan bersyukur kerana mendapat kembali anaknya walaupun keadaan jasad jauh berbeza berbanding Nurin Jazlin ketika hilang sebulan lalu.

"Saya reda... pasrah. Walaupun hanya jasadnya namun saya bersyukur kerana anak yang ditatang bagai minyak penuh sejak kecil akhirnya ada pusaranya.

"Malah, saya berterima kasih kepada media yang selama ini banyak membantu dalam operasi mencari anak saya," katanya.

Kelmarin, jenazah Allahyarham Nurin Jazlin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Wangsa Maju, selepas solat Jumaat pada jam 2.20 petang.

Jazimin berkata, kakak Nurin, Nurin Jazhira, 9, sehingga kini masih tidak percaya Kak Ngah sudah tiada dan sering memberitahu adiknya akan pulang.

"Dia (Jazhira) selalu menangis dan kata terlalu rindu pada Kak Ngah, sering termimpi dan percaya adiknya akan pulang," katanya.

Mengulas keadaan isterinya, Jazimin berkata, Norazian sangat tertekan dengan kejadian yang menimpa dan memerlukan waktu untuk menenangkan fikiran.

Oleh Safuri Kamarudin


YANG TINGGAL: Sekolah pondok Bandar Hilir, Teloi dekat Sik musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

SIK: Empat puluh pondok musnah dan 30 pelajar Sekolah Pondok Bandar Hilir, Teloi, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran di institusi pendidikan agama berkenaan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kebanyakan pondok terbakar terletak di depan sekolah dan tidak berpenghuni kerana pelajarnya pulang ke kampung sempena cuti Ramadan.

Setiausaha sekolah pondok itu, Ismail Mahmud, 38, berkata api dipercayai bermula dari sebuah pondok tidak berpenghuni sebelum merebak dengan pantas kerana bangunan itu daripada papan.

"Ketika kejadian hanya 30 daripada 120 pelajar tinggal di pondok ini kerana yang lain pulang ke kampung bercuti Ramadan. Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ismail berkata, ketika kejadian, beliau sedang di rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

"Saya terjaga apabila terdengar loceng kecemasan dibunyikan pelajar. Sebaik keluar rumah saya dapati api sudah marak membakar pondok dan segera mengejutkan semua pelajar yang ada dan meminta mereka menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Sik, Halim Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.30 pagi dan tiga jentera bersama 22 anggota tiba ke tempat kejadian 15 minit kemudian.

"Kami mengerahkan masing-masing sebuah jentera dari balai bomba Sik, Baling dan Guar Chempedak bagi memadamkan api.

"Apabila tiba api sudah merebak ke banyak pondok kerana selain dibina agak rapat, ia dibuat daripada papan dan api mudah merebak," katanya.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal api.

Kebakaran dipercayai disebabkan litar pintas di sebuah pondok di situ kerana bekalan elektrik diperoleh melalui sambungan wayar dari bangunan utama sekolah agama berkenaan.

Sekolah pondok itu yang ditubuhkan pada 1993 mempunyai 80 pelajar lelaki dan 40 pelajar perempuan yang semuanya berusia 13 tahun ke atas. Ia menumpukan kepada pengajian kitab dan al-Quran.

Sementara itu, seorang pelajar Othman Ahmad, 18, ketika ditemui berkata, kebakaran itu berlaku ketika beliau selesai bertadarus al-Quran di surau bersama pelajar lain.

"Saya baru melelapkan mata apabila terdengar bunyi api yang marak dan bergegas bangun mengejutkan rakan lain. Kami tak sempat menyelamatkan semua barang," katanya.

Rakannya, Mohd Aris Yusof, 17, berkata, beliau tidur di asrama sekolah itu yang dibuat daripada konkrit tidak jauh dari pondok terbakar.

"Kami keluar menyelamatkan diri apabila dikejutkan rakan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Ismail Harun turut melawat tempat kejadian dan menyampaikan bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa.
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) akan menghantar memorandum kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa Kabinet menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rentetan krisis badan kehakiman negara sejak 1988.

Presidennya, Ambiga Sreenivasan, berkata kes terbaru membabitkan klip video kononnya mengandungi perbualan telefon antara seorang hakim kanan dan peguam yang didakwa cuba mempengaruhi pelantikan seorang hakim membuktikan betapa terjejasnya badan kehakiman negara.

Bercakap pada sidang media di sini, semalam, beliau berkata, Majlis Peguam akan menyerahkan surat kepada Perdana Menteri Rabu ini supaya dapat dibincangkan dalam Kabinet bagi mencari rumusan mengembalikan keyakinan umum terhadap badan kehakiman negara yang terjejas teruk sejak kebelakangan ini.

"Pada 6 Oktober ini, kami akan mengadakan mesyuarat agung tergempar jam 3 petang khusus bagi membincangkan krisis terbaru membabitkan badan kehakiman berikutan desakan sebahagian besar anggota.

"Majlis Peguam juga berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Kehakiman bagi memastikan pelantikan hakim benar-benar bebas campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat tergempar pucuk pimpinan tertinggi Majlis Peguam, khusus bagi membincangkan isu klip video itu.

Kata Ambiga, peguam dalam klip video itu akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Majlis Peguam yang dipengerusikan Tan Sri Khalid Ahmad manakala pihak polis dan jabatan Peguam Negara diminta bersikap telus menyiasat anggota kanan badan kehakiman yang dinamakan dalam klip itu.

Beliau bagaimanapun mengaku kesahihan klip video itu perlu dibuktikan terlebih dulu.

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan mengkaji kemungkinan memasukkan rekod jenayah seseorang ke dalam MyKad bagi memudahkan kerajaan memantau pergerakan golongan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Tan Chai Ho berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk mengkaji kebaikan dan keburukan pelaksanaannya.

Katanya, kesesuaian teknologi dan soal hak asasi manusia merupakan aspek yang perlu diambil kira sebelum melaksanakan cadangan tersebut.

“Bahagian Teknologi Kementerian perlu mengambil masa kira-kira sebulan untuk mengenal pasti sama ada cadangan ini praktikal atau sebaliknya.

“Selepas itu, cadangan ini perlu dikaji bersama dengan kementerian lain serta pertubuhan tertentu untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Bilik Gerakan Pilihan Raya UMNO Bandar Tun Razak oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan sistem pengesanan pesalah jenayah kanak-kanak untuk memastikan pergerakan penjenayah dipantau dan mereka tidak mengulangi perbuatan terbabit selepas menjalani hukuman.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dengan adanya sistem pengesanan itu, setiap pesalah yang didakwa di mahkamah perlu melaporkan kedudukan mereka.

Mengulas lanjut, Chai Ho menegaskan, cadangan memasukkan rekod jenayah ke dalam MyKad masih di peringkat awal dan kementeriannya akan mengumpulkan pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan mengenainya.-Utusan

Oleh: MUHD. NIZAM ABD. HAMID dan ROSMAWATI MION

ALOR STAR 22 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tradisi hidup berjiran yang saling membantu dan mengambil tahu antara satu sama lain perlu dihidupkan semula bagi memastikan kejadian yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, tidak berulang lagi.

Menurut Perdana Menteri, tradisi itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan masyarakat tetapi secara tidak langsung mewujudkan kawalan dan pemerhatian di kalangan mereka sekali gus dapat menjamin keselamatan masyarakat terlibat.

“Dengan ada kawalan seperti itu, kita harap tidak berlaku kes penculikan, rumah diceroboh dan rompakan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Malangnya, kata beliau, masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan sistem hidup berjiran yang baik malah jiran sebelah rumah pun tidak dikenali.

Menurutnya, sikap individualistik dan tidak mempedulikan orang lain hanya akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar dan mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko jenayah.

Sehubungan itu katanya, permuafakatan seperti Rukun Tetangga (RT) perlu diwujudkan di setiap penempatan penduduk supaya hubungan antara mereka dapat diperkukuhkan dan pada masa sama wujud jalinan kawalan keselamatan di tempat berkenaan.

Abdullah berkata, jika masyarakat mahu hidup aman dan tidak bimbang dengan soal keselamatan, setiap daripada mereka perlu mengamalkan sistem hidup kejiranan yang baik iaitu saling membantu dan mengambil tahu.

Tambah Perdana Menteri, kes pembunuhan Nurin Jazlin merupakan peristiwa sedih bagi negara ini dan semua rakyat berharap agar pihak berkuasa dapat mencari pembunuh kanak-kanak tidak berdosa itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengingatkan ibu bapa agar melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak dan sentiasa mengetahui pergerakan mereka.

Sudah menjadi lumrah di kalangan kanak-kanak, katanya, mereka bergerak cergas dan sentiasa mahu tahu sesuatu tetapi tidak menyedari mudarat yang bakal menimpa mereka.

“Anak-anak adalah satu pemberian Allah kepada kita, jadi kita kena menjaga dan memberi didikan yang sempurna kepada mereka,” ujarnya.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim di negeri ini serta berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama kira-kira 2,000 tetamu yang hadir.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim serta para pemimpin politik dari negeri ini dan Perlis.

Oleh: MOHD. SAIFULRIZAL MOHAMMED SHARIFF


NORAZIAN Bistaman bersama dua anaknya, Nurin Jazrina Jazimin (kiri) dan Nurin Jazshira di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Walaupun jasad Nurin Jazlin Jazimin, 8, sudah selamat disemadikan, namun suasana pilu masih menyelubungi keluarga kanak-kanak malang itu terutama ibunya, Norazian Bistaman yang hanya mampu membisu seribu bahasa.

Tidak ada kata yang mampu diucapkan oleh Norazian setiap kali disapa tetamu dan sahabat handai kecuali dengan deraian air mata.

Begitu juga dengan bapa mangsa, Jazimin Abdul Jalil yang masih kelihatan sebak dan tidak banyak bercakap.

Sementara itu, rumah keluarga mangsa hari ini bertali arus menerima kunjungan orang ramai dan sahabat handai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak malang itu.

Namun ia tidak mampu menghilangkan kesedihan Jazimin dan ahli keluarganya ekoran kehilangan Nurin Jazlin yang begitu tragis.

Jazimin yang sugul dilihat tidak banyak bercakap manakala Norazian hanya menyambut setiap soalan dengan deraian air mata.

Sementara itu ketika wartawan cuba mendapatkan reaksi Jazimin dan Norazian di rumah kanak-kanak malang itu di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini hari ini, seorang saudaranya dengan nada sedih berkata: “Kes Nurin dah berakhir.”

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Usaha mencarinya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri selama sebulan tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari Nurin Jazlin hilang, masyarakat digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Robert Phang Miow Sin menawarkan ganjaran peribadi RM5,000 kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin Jazimin.

Miow Sin berharap dengan ganjaran tersebut orang ramai akan tampil memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.

“Saya sangat sedih dan marah kerana masih ada manusia yang bertopengkan binatang dan sanggup melakukan penderaan seksual dan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Saya dan MCPF mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam itu dan penjenayah tersebut seharusnya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya pada sidang media di pejabat MCPF di sini hari ini.

Miow Sin berkata, kejadian yang berlaku terhadap Nurin itu boleh berlaku kepada kanak-kanak lain dan justeru itu, masyarakat perlu bekerjasama bagi membasmi sepenuhnya jenayah di negara ini.

“Saya melihat kes jenayah seksual seperti ini seperti satu trend dan kita perlu mengenal pasti cara untuk mengatasinya,” katanya.

Sementara itu, Miow Sin berkata, MCPF telah memperkenalkan penggunaan wisel sebagai salah satu cara pencegahan jenayah sejak beberapa bulan lepas dan setakat ini, sebanyak 10,000 wisel telah diagihkan kepada orang ramai.

“Orang ramai digesa membawa wisel ke mana sahaja mereka pergi sama ada di dalam atau di luar rumah sebagai alternatif menangani kes jenayah yang semakin meningkat.

“Apabila berlaku sesuatu jenayah dan dalam keadaan kecemasan, orang ramai boleh meniup wisel tersebut bagi menarik perhatian dan pertolongan orang awam seterusnya mengelakkan kejadian jenayah,” katanya.

Jelasnya, pada 3 Oktober depan, MCPF akan mengadakan program pencegahan jenayah di Wangsa Maju dan akan turut mengadakan program yang sama di tempat lain di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Siasatan bagi mengenal pasti suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, kanak-kanak yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati pada Isnin lalu masih diteruskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan sedang giat dijalankan dan polis berharap kes ini diselesaikan secepat mungkin.

Menurutnya, polis menyiasat kes itu dari pelbagai aspek bagi memastikan mereka yang terlibat tidak terlepas daripada menerima hukuman.

Ditanya kemungkinan suspek merupakan bekas banduan yang pernah terlibat dalam jenayah seksual, Musa berkata, polis sedang menjejaki pembunuh itu dan terlalu awal untuk membuat kenyataan.

Sementara itu, Musa berkata, individu yang pernah dipenjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan diwajibkan memakai gelang khas bercip apabila dibebaskan supaya polis dapat mengawasi pergerakan mereka.

“Pada masa ini kaedah tersebut telah diguna pakai di beberapa negara Barat bagi memantau pergerakan bekas banduan,” katanya.

MELAKA 22 Sept. – Umat Islam di seluruh negara digesa menganjurkan solat hajat dan memohon kepada Tuhan agar pembunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8, segera ditangkap dan menerima hukuman sewajarnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, solat hajat itu boleh dilakukan secara berjemaah di semua masjid, surau dan madrasah di seluruh negara, sebaik selesai solat tarawih pada setiap malam.

‘‘Kita juga berharap polis segera menjalankan siasatan rapi sehinggalah tertangkapnya pembunuh berkenaan yang disifatkan sebagai binatang.

‘‘Masyarakat mahukan keadilan terhadap jenayah yang dilakukan itu dan berharap pembunuhnya dapat diberkas dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Masjid Bukit Katil di sini, semalam.

Seramai 206 anak-anak yatim dan orang kurang upaya kawasan Bukit Katil dan Ayer Keroh menerima sumbangan, manakala 10 pusat kebajikan termasuk Pusat Serenti Tiang Dua dan Jabatan Penjara turut menerima RM2,000 sumbangan daripada MAIM.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Kerja Raya, Datuk Md. Yunus Husin dan Setiausaha MAIM, Halim Tawil.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka meminta ibu bapa supaya lebih berhati-hati dan tidak membiarkan anak-anak mereka keluar bersendirian tanpa diawasi orang lebih dewasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Pesanan Nurin Jazlin Jazimin supaya ibunya tidak menanggalkan tiga kuntum bunga mawar yang dipasangnya di penjuru rumahnya kira-kira sebulan lalu seolah-olah mahu ia menjadi kenangan abadi terhadapnya.

Bapa Allahyarham, Jazimin Abdul Jalil, 33, berkata, bunga berwarna hijau itu digantung oleh anak keduanya itu kira-kira 20 hari sebelum dia dilaporkan hilang.

“Ketika itu, dia (Nurin) ada berpesan kepada ibunya supaya tidak menanggalkan bunga tersebut. Kami tidak sangka bunga itu akan menjadi kenangan kami terhadap Nurin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini hari ini.

Menurut Jazimin, dia tidak menyangka atau membayangkan sesuatu yang buruk akan menimpa Nurin apabila dia berpesan begitu.

“Bagaimanapun, setelah dia meninggalkan kami, baru saya terasa, walaupun ia bunga biasa tapi ia amat bererti buat kami sekeluarga,” ujarnya.

Tambah Jazimin, dia reda dengan keputusan ujian DNA yang menunjukkan bahawa mayat kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa penderaan seksual yang disumbat di dalam beg pakaian di Petaling Jaya Isnin lalu adalah anaknya.

“Saya tak pernah terfikir akan bertemu semula anak saya dalam keadaan demikian.

“Apa yang saya harap dan doakan ialah akan berjumpa anak saya sebagaimana ibu bapa Yin (Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali) bertemu semula anak mereka dalam keadaan selamat,” jelasnya.

Jazimin seterusnya berkata, sekiranya pembunuh kejam itu ditangkap suatu hari nanti, dia ingin menjadi orang pertama yang berjumpa penjenayah terbabit.

Namun, dia tidak menyatakan sebab dia mahu berjumpa dengan penjenayah terbabit.

Oleh: RUHAIDINI ABD KADIR dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kematian tragis mangsa serangan seksual, Nurin Jazlin Jazimin, 8, telah berlalu.

Namun, nasib 319 kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun yang dilaporkan hilang bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini masih belum diketahui.

Adakah mereka akan melalui nasib sama yang dialami Nurin Jazlin atau kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat?

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang berkongsi kebimbangan itu berkata, unit baru polis dikenali Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak yang diwujudkan untuk menangani kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga akan diperluaskan untuk menjejaki mereka yang hilang.

“Kita tidak mahu rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan kes kematian tragis kanak-kanak dan remaja.

“Justeru, saya telah arahkan supaya peranan unit ini diperluaskan untuk mengumpul maklumat dan menjejaki kanak-kanak serta remaja yang dilaporkan hilang,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

KPN berkata demikian ketika diminta mengulas nasib 319 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang masih hilang seperti yang direkodkan dalam statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih membimbangkan, seramai 6,270 kanak-kanak di bawah kategori umur yang sama dilaporkan hilang sejak Januari 2004 hingga Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 4,237 atau 67.5 peratus pulang semula ke rumah mereka manakala 2,033 masih belum dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee memberitahu, unit itu yang juga dikenali sebagai D11 ditubuhkan bagi mengendalikan kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga terutama kes-kes seksual dan penderaan.

Pada masa yang sama, Musa meminta pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Perkara ini mesti ditangani oleh semua pihak dan masyarakat. Usaha menjejaki mereka tidak boleh bergantung kepada polis semata-mata sebaliknya semua anggota masyarakat perlu memberi kerjasama,’’ tegasnya.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, pasukan polis sentiasa melipat-gandakan usaha mereka dalam mencari remaja atau kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

“Walaupun kadangkala kekurangan anggota tetapi polis tidak ‘lepas tangan’ dalam terus mencari orang-orang hilang atau mangsa culik,’’ ujarnya.

Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menyambut baik usaha polis untuk menubuhkan unit baru itu.

Kata beliau, MCA akan bekerjasama dengan polis secara rapat dalam mengesan kanak-kanak atau remaja hilang.

“Kita akan menghubungi polis sebaik sahaja kita memperoleh maklumat mengenai mana-mana remaja atau kanak-kanak hilang,’’ ujarnya.

Daripada: RAMLI ABDUL KARIM


KEWAJIPAN...Walaupun Masjid Al-Hidayah di Desa Ranah Karya, Lubuk Pinang, Mukomuko di selatan Sumatera, hampir roboh akibat gempa bumi 10 hari lalu, namun seorang penduduk, Baharudin Tamat tetap memalu tabuh di masjid berkenaan menyeru jemaah menunaikan solat Isyak dan tarawih, malam tadi.

BENGKULU 22 Sept. – Ratusan ribu penduduk Mukomuko, Sumatera Selatan dan Pesisir Selatan, Sumatera Barat, dua daerah paling teruk dilanda kemusnahan akibat gempa bumi 10 hari lalu, masih dibelenggu ketakutan dan belum bersedia menyambung aktiviti harian ekoran gegaran susulan yang berterusan.

Ekoran itu, aktiviti ekonomi di kawasan terbabit terhenti apabila perniagaan tidak beroperasi dan kebun serta sawah tidak lagi dipeduli.

Keadaan itu berbeza sama sekali dengan situasi di kota Padang, Sumatera Barat yang mana aktiviti harian penduduknya pulih satu dan dua hari selepas gempa berkenaan yang dianggap penduduk sebagai kiamat kecil.

Semua itu disebabkan gegaran susulan yang masih berterusan pada setiap hari termasuk dengan kekuatan 4.8 pada skala Richter pada pukul 11.35 pagi ini (12.35 tengah hari Malaysia) yang berpusat di 21 kilometer ke barat daya Muaraaman, Bengkulu.

Gempa itu walaupun kecil tetapi cukup membuatkan para penduduk keluar dari rumah atau khemah masing-masing dan ia turut dirasai oleh wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia yang berada di sebuah hotel murah berbumbung zink dan siling kayu di Mukomuko.

Ekoran gegaran yang berterusan itu, penduduk Mukomuko yang terletak kira-kira 280 kilometer dari bandar ini terus berada dalam keadaan trauma dan tidak dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

Mereka kini menjadi penghuni khemah-khemah sementara bersebelahan dengan runtuhan rumah masing-masing.

Kebun dan sawah terus terabai sejak gempa berukuran 7.9 dan 7.7 mengikut skala Richter pada 12 dan 13 September lalu kerana masing-masing kini hanya memikirkan bagaimana untuk memastikan nyawa mereka selamat.

Paling tidak, mangsa terbabit sekadar keluar bermotosikal atau berjalan kaki ke pusat pengagihan bantuan tidak jauh dari khemah-khemah mereka untuk mengambil bekalan beras, mi segera dan juga barangan kebersihan diri.

Selebihnya mereka berehat di dalam khemah masing-masing sambil ‘meratapi’ kejadian yang menimpa diri, keluarga dan harta benda mereka.

“Kami bukan saja trauma malah buntu untuk berfikir kecuali mahu selamat, itulah yang paling penting. Sebab itulah kami lebih senang berehat dalam atau di luar tenda (khemah).

“Apa gunanya kami keluar bekerja sedangkan hati runsing memikirkan keselamatan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

“Tanyalah sesiapa pun, belum ada orang yang berani keluar kerja.

“Kiamat kecil kami belum berakhir, kami takut sebab gempa dan gegaran susulan masih berlaku pada setiap hari, kadang-kadang dua atau tiga kali, siapa berani keluar,” demikian kata Sumardi Zen, 53, penduduk pekan kecil Lubuk Pinang.

Lubuk Pinang terletak 25 kilometer dari Mukomuko, iaitu pemukiman terdiri enam kampung yang paling dahsyat mendapat kemusnahan selepas kedua-dua gempa besar pada malam dan pagi 1 Ramadan lalu.

Menceritakan kejadian itu, Sumardi berkata, dia dan isterinya, Kasniwara Sahar, 45, saling berpelukan bersama-sama dua daripada lapan anak mereka berusia empat dan enam tahun yang tidak henti-henti menangis ketakutan.

Katanya, salah seorang anak mereka, Reka, murid tahun satu sekolah rendah, berterusan melaungkan ‘Allahuakbar’ saat mereka berempat menyaksikan dengan mata sendiri dua rumah besar tiga tingkat bergoncang kuat dan kemudian salah satu daripadanya tumbang.

“Kami cuma fikir tentang mati ketika itu, rumah-rumah terutama yang dua atau tiga tingkat bergoyang macam pokok kelapa ditiup angin kuat.

“Seumur hidup saya, inilah gempa paling besar dan menakutkan pernah saya rasai. Buat masa ini memang tak terfikir lagi nak turun kebun,” katanya sambil membawa penulis dan jurugambar meninjau bahagian dapur dan belakang rumahnya yang runtuh.

Di pekan Lubuk Pinang itu sendiri, dua gempa tersebut telah meranapkan 147 rumah.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati rumah-rumah di situ kosong malah sebahagian besar premis termasuk kedai-kedai tidak lagi didiami menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti.

Ketua Pasukan Koordinasi Bantuan Gempa Lubuk Pinang, Mursal Kuntum berkata, gempa itu bukan saja merosakkan 98 rumah malah mengorbankan dua nyawa, termasuk seorang ibu baru bersalin yang terperangkap dalam runtuhan rumahnya.

Selain itu, secara keseluruhannya di mukim Lubuk Pinang, 10 masjid dan surau rosak teruk termasuk Masjid Al-Hidayah, Desa Ranah Karya yang runtuh hampir keseluruhan dindingnya.

Lapan buah sekolah turut menerima kesan daripada gempa tersebut.

Sementara itu di Sungai Sirah Hilir, Hilalang Panjang yang bersempadan dengan Mukomuko fenomena sama berlaku yang mana penduduknya masih enggan menyambung kegiatan ekonomi mereka.

Pada masa yang sama, kerosakan pada Jalan Padang-Bengkulu yang menyebabkan penduduk di Desa Sungai Kasai dan mukim Lunang Selaut terputus hubungan dengan dunia luar sudah dibaiki dan dibuka tengah malam tadi.

– Mingguan

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

PUTRAJAYA 22 Sept. – Orang Melayu masih merupakan golongan tertinggi yang tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.

Dalam program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas, 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, program yang menetapkan sasaran sebanyak 2.5 juta pemilih baru itu, mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan bumiputera.

“Secara keseluruhannya usaha itu gagal menarik kaum bumiputera termasuk penduduk pribumi di Sabah dan Sarawak. Saya tidak tahu apakah punca mereka tidak mahu berbuat demikian.

“Umur mereka pula adalah dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun. Saya pun hairan dengan sikap tidak endah mereka. Mereka langsung tidak sedar kegagalan mendaftarkan diri boleh memberi kesan kepada masa depan negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Berbanding kaum bukan bumiputera, Ab. Rashid berkata, mereka lebih peka dengan hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara.

“Sebagai contoh, kaum Cina, ibu bapa mereka sendiri ingatkan anak masing-masing supaya mendaftarkan diri sebagai pengundi. Saya amat memuji sikap yang ditunjukkan ini,’’ katanya lagi.

Ab. Rashid berkata, secara keseluruhan, jumlah mereka yang masih belum menjadi pemilih di negara ini adalah sebanyak 4.9 juta orang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, SPR meletakkan sasaran 2.5 juta orang akan mendaftarkan diri sebagai pemilih baru melalui program gerakan tersebut.

“Malangnya, hanya sejuta sahaja yang mendaftar dan 1.5 juta tidak mendaftar,” katanya.

Oleh: ZATUL HIDAYAH ZAINAL ABIDIN

ALOR GAJAH 22 Sept. – Selepas berhadapan dengan bau babi selama lebih 50 tahun lalu, akhirnya para penduduk di beberapa kampung di Masjid Tanah khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dekat sini dapat menikmati sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang lebih selesa.

Ini kerana, mereka tiada lagi menghidu bau yang meloyakan yang selama ini sudah menjadi sebati dalam kehidupan harian para penduduk terbabit yang rata-rata beragama Islam.

Semua masalah itu sudah berakhir berikutan tindakan kerajaan negeri dengan kerjasama para penternak mengurangkan ternakan babi di beberapa lokasi khususnya di Paya Mengkuang, Man Lok, Londang dan Bukit Beruang di sini.

Tindakan kerajaan negeri mengehadkan penternakan babi kepada 48,000 ekor dan berpusat di Paya Mengkuang itu disambut gembira oleh penduduk terbabit yang melihatnya sebagai satu sistem yang lebih baik serta mesra alam.

Seorang penduduk dari Telok Gong, Kuala Sungai Baru, Saleeh Manap berkata, hari raya tahun ini dapat disambut dengan udara yang bersih tanpa bau yang meloyakan.

Menurutnya, kalau selama ini dia segan untuk menjemput rakan-rakan dari luar kawasan itu datang ke rumahnya pada setiap kali hari raya tetapi kali ini dapat berbuat demikian.

“Jadi saya rasa sambutan hari raya tahun ini akan lebih bermakna kerana kami tidak lagi menanggung bau busuk yang meloyakan.

“Terima kasih kerajaan negeri dan penternak yang prihatin dengan masalah yang kami hadapi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 4 September lalu, kerajaan negeri menangguhkan operasi memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri ternakan mereka kepada 48,000 ekor.

Oleh: OPAT RATTANACHOT

SIK 22 Sept. – Seramai 160 pelajar Pusat Pengajian Islam Bandar Hilir, dekat sini hilang tempat tinggal apabila pondok yang didiami mereka musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi tersebut mengakibatkan 100 buah pondok dan barang-barang keperluan pelajar berkenaan musnah sama sekali.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Chok Kuan Lok berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai memaklumkan kejadian tidak lama selepas itu.

“Seramai 22 anggota bersama tiga jentera masing-masing dari Sik, Baling dan Guar Chempedak bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada pukul 3.59 pagi.

“Sewaktu kami sampai, api sedang marak membakar bangunan pondok yang setiap satu berukuran 2X3 meter ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, pagi ini.

Kuan Lok berkata, pihaknya mengambil masa selama 50 minit bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan lain.

“Bagaimanapun, keadaan dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi,’’ katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak sekolah pondok berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Pusat Pengajian Islam Bandar Hilir, Ismail Mahmud berkata, 80 pondok yang terbakar tersebut didiami pelajar lelaki manakala 20 lagi didiami pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 20 tahun.

“Ketika kejadian, hanya 30 pelajar berada di sini sementara pelajar lain pulang bercuti di kampung masing-masing sempena bulan Ramadan,” katanya.

Ismail memberitahu, berikutan kejadian tersebut, para pelajar berkenaan akan ditempatkan sementara di bangunan sekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ismail di talian 013-4884814 atau melalui akaun Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir (Bank Islam Malaysia Berhad) bernombor 02048010028139.

HAVANA 22 Sept. – Pemimpin Cuba, Fidel Castro kelihatan sihat dan cerdas dalam temu ramah selama sejam yang disiarkan oleh televisyen Cuba semalam dengan menjawab, “saya di sini” ketika diajukan soalan mengenai khabar angin, beliau sudah mati.

Dalam rakaman video pertama sejak lebih tiga bulan lalu, pemimpin berusia 81 tahun itu kelihatan pucat tetapi tetap bersemangat.

Beliau duduk sepanjang temu ramah tersebut, bercakap perlahan dan lambat serta tidak memandang mata penemu ramah.

Castro memberi amaran bahawa pentadbiran Presiden George W. Bush akan memerangi Iran walaupun ketika ini terpaksa menanggung kos yang tinggi di Iraq.

Ketika mempersendakan khabar angin di Amerika Syarikat (AS) bahawa beliau sudah meninggal dunia, Castro berkata:

“Mereka kata ‘saya sudah mati’, ‘jika saya mati’ dan ‘saya akan mati esok’ serta banyak lagi.

“Namun tidak ada siapa tahu bila mereka sendiri akan mati,” katanya sambil tersenyum sinis.

Walaupun cengkung, beliau kelihatan lebih kuat pada kemunculan kali ini.

Program televisyen yang dirakam terlebih dahulu itu pada mulanya dijadual hanya beberapa minit tetapi akhirnya ia disiarkan hampir sejam.

Menurut para pegawai Cuba, rakaman video tersebut dibuat semalam kerana Castro turut memperkatakan mengenai kenaikan harga minyak dan nilai mata wang euro yang semakin kukuh berbanding dolar AS, perkara yang sangat disenangi Castro.

Beliau juga memegang senaskhah buku baru yang ditulis oleh bekas Pengerusi Bank Pusat AS, Alan Greenspan.

Kali terakhir pemimpin Cuba ini muncul di khalayak ramai ialah pada 31 Julai tahun lalu apabila mengumumkan beliau akan menjalani pembedahan dan menyerahkan kuasa kepada adiknya, Raul.

– AP

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Nahar Tajri dan Ifwan Tun Tuah


IRINGI PEMERGIAN: Orang ramai mengiringi jenazah Nurin Jazlin (gambar kecil) ketika dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Setapak selepas solat Jumaat, semalam.

Keluarga terima keputusan ujian DNA, polis henti operasi mencari

KUALA LUMPUR: Pilu, marah dan geram mengiringi pemergian Nurin Jazlin, yang mayatnya dituntut keluarga selepas mereka menerima hakikat sekujur tubuh budak perempuan yang ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya Isnin lalu, adalah anak mereka.

Suasana pilu dan syahdu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam apabila bapanya, Jazimin Abd Jalil, 33, akhirnya mengalah kepada suratan takdir bahawa itulah 'Kak Ngah', anak kesayangan yang kepulangannya dinanti-nantikan mereka sekeluarga sejak sebulan lalu.

Rasa marah dan geram turut terdetik di hati setiap orang yang mengikuti kes ini kerana perbuatan manusia berhati binatang terhadap kanak-kanak tidak berdosa itu.

Bagi Norazian Bistaman, 35, tiada perkataan yang mampu diucapkan selain kucupan kerinduan dan linangan air mata ketika melihat jenazah anak keduanya dikafankan, didukung dan diturunkan ke liang lahad Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Wangsa Maju, selepas solat Jumaat jam 2.20 petang semalam,

Sebelum itu, pada jam 10 pagi, Jazimin yang sebelum ini berkeras mayat yang ditemui bukan anaknya terbuka hati dan menuntut jenazah Nurin Jazlin di bilik mayat HKL, diiringi tangisan ahli keluarga, kakitangan hospital dan orang ramai, tanpa mengira kaum, umur dan keturunan.

Jenazah Allahyarham, yang siap dimandi dan dikafan, dibawa keluar dengan sebuah van jenazah dari HKL jam 11.20 pagi ke Madrasah Assa'Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju, di mana Norazian serta ahli keluarga lain menunggu kepulangan puteri mereka yang tidak lagi bernyawa.

PILU: Nurin Jazlisa mententeramkan ibunya, Norazian ketika menanti jenazah Nurin Jazlin di kediaman mereka.

TERIMA TAKDIR: Jazimin menatap jenazah anaknya sebelum dikebumikan.
Norazian yang tidak dapat menahan perasaan dan menangis teresak-esak, terpaksa dipimpin ahli keluarga untuk mendekati jenazah anaknya dan terus mengucup dahinya buat kali terakhir.

Perasaan sedih turut menyelubungi kira-kira 500 orang yang sejak awal membanjiri kawasan madrasah itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Nurin Jazlin sebelum jenazahnya disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, diiringi ratusan kenalan, keluarga dan orang ramai yang bersimpati dengan nasib malang yang menimpa kanak-kanak itu.

Jazimin yang ditemui sejurus selepas pengebumian selesai berkata, beliau reda dengan ketentuan Allah yang menguji keluarganya dengan ujian berat pada bulan Ramadan ini.

"Apabila melihat jenazahnya selepas dimandi dan dikafankan, saya sedar itu anak saya. Ada banyak perbezaan berbanding sebelum ini (kelmarin) ketika saya dipanggil membuat pengecaman oleh polis. Saya terima hakikat pemergiannya walaupun hati saya hiba dan sedih. Tuhan lebih sayangkannya," katanya.

Penerimaan Jazimin dan keluarga ke atas keputusan DNA mengenai siapa kanak-kanak yang ditemui bogel, kemaluannya ditusuk dengan terung dan timun serta kakinya dilipat sebelum mayatnya disumbat ke dalam beg itu, juga mengakhiri pencarian Nurin Nazrin, yang hilang ketika dalam perjalanan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini, pada 20 Ogos lalu.

Bapa saudara Nurin Jazlin, Johari Abd Jalil, berkata Jazimin akur dengan keputusan ujian DNA selepas berbincang dengan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, malam kelmarin.

"Wajah Nurin Jazlin mula terserlah selepas dimandi dan dikafankan menyebabkan semua ahli keluarga menerima kenyataan bahawa kanak-kanak itu adalah Nurin. Kami hanya dapat menitiskan air mata untuknya.

Walaupun terdapat banyak kesan lebam di muka dan badan akibat diseksa tetapi wajahnya sangat tenang," katanya.

Datuknya, Abdul Jalil Yahya, 74, pula berkata, beliau yang rapat dengan Nurin Jazlin pasti mayat berkenaan adalah cucunya.

"Walaupun tadi (semalam) adalah kali pertama saya melihat mayat itu, saya yakin dia adalah Nurin berdasarkan bentuk dan iras wajahnya. Saya sangat sedih melihat kecederaan pada muka Nurin. Saya melihat jenazah Nurin sekejap saja kerana tidak sampai hati melihat keadaannya," katanya.

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Azrina Ahzan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedih dan marah dengan nasib yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, mahu polis berusaha bersungguh-sungguh untuk menangkap penjenayah yang melakukan pembunuhan kejam itu.

"Apa yang berlaku kepada Nurin Jazlin adalah satu kes jenayah yang menyayat hati. Saya amat sedih dan marah. Saya ucapkan takziah kepada keluarga Nurin Jazlin atas apa yang berlaku kepadanya.

"Polis sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menangkap penjenayah yang melakukan kekejaman terhadap Nurin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Polis Ke-71 di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di sini, semalam.

Pada mesyuarat sejam itu, Abdullah diberi taklimat mengenai kes Nurin Jazlin oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Bercakap kepada wartawan kemudian, Musa berkata, siasatan kes Nurin Jazlin ditumpukan kepada usaha memburu pembunuhnya selepas ibu bapa mangsa menerima hasil keputusan ujian DNA mengesahkan mayat dalam beg pakaian yang ditemui di Petaling Jaya pada Isnin lalu adalah anak mereka.

"Pencarian (Nurin) sudah berakhir dan kita akan cuba memberkas orang yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu," katanya sambil menambah siasatan mencapai banyak kemajuan dan polis akan membuat tangkapan apabila suspek dikenal pasti.

Ditanya sama ada siasatan polis mendapati suspek seseorang yang dikenali Nurin Jazlin, Musa berkata, beliau tidak boleh mendedahkan perkara itu kerana ia masih dalam proses siasatan.

"Saya tidak boleh nyatakan lebih daripada yang sepatutnya kerana itu akan menyebabkan suspek melarikan diri lebih jauh," katanya.

Ditanya sama ada kebimbangan itu bermaksud bapa Nurin Jazlin tidak akan dikaitkan, Musa berkata, polis akan menyiasat segala kemungkinan.

"Kita tidak boleh katakan orang ini atau orang itu... kita siasat semua," katanya.

Beliau juga menjelaskan, bapa Nurin Jazlin dipanggil polis kelmarin untuk diberitahu mengenai hasil ujian DNA itu dan bukan untuk disoal siasat.

Ditanya sama ada bedah siasat mayat Nurin Jazlin menemui kesan air mani, Musa berkata: "Saya tidak fikir saya boleh dedahkan semua ini kerana ia adalah fakta yang perlu dibawa ke mahkamah


TUMPUAN RAMAI: Jenazah Nurin Jazlin diusung keluar dari HKL selepas dituntut bapanya, Jazimin.

JOHOR BAHRU: "Saya tahu apa yang dirasai dan dilalui bapa Nurin. Ia adalah ujian sangat besar daripada Allah," kata bapa kepada kanak-kanak perempuan yang dirogol dan dibunuh di Gelang Patah dekat sini, kira-kira tiga tahun lalu.

Abdul Gani Juni, 54, (gambar) yang anaknya, Nurul Huda, dirogol dan dibunuh di pondok pengawal Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahu akan keperitan ditanggung keluarga Nurin Jazlin Jazimin, 8, terutama bapanya, Jazimin Abd Jalil, 33.

"Bapa Nurin perlu sentiasa mengingati Allah dan banyak berdoa. Walaupun beliau kelihatan tenang dari luarannya, saya percaya betapa runsingnya perasaan bila kehilangan anak," katanya di rumahnya di sini, semalam.

Abdul Gani berkata, beliau sebak mengenang nasib Nurin Jazlin kerana diperlakukan seperti anaknya.

Nurul Huda dirogol, diliwat dan dicekik hingga mati oleh tiga lelaki secara bergilir di pondok pengawal Stesen Jana Kuasa TNB Kampung Pekajang, Gelang Patah, pada 17 Januari 2004.

Abdul Gani berkata, pihak yang membunuh Nurin Jazlin adalah orang yang lupakan kekuasaan Allah dan sangat kejam.



"Dia ialah orang yang paling zalim antara mereka yang zalim hinggakan seolah-olah harga diri seseorang itu tidak berharga langsung dan hanya terletak pada pemikirannya sendiri," katanya.

Beliau juga tidak dapat menahan rasa bimbang setiap kali membaca laporan kes Nurin.

Abdul Gani yang menggunakan bantuan ubat penenang hingga kini bagi meredakan rasa sedih atas kehilangan anaknya yang turut diperlakukan dengan kejam berkata, beliau sering sebak apabila melihat kanak-kanak sebaya Nurul Huda.

Beliau diminta mengulas mengenai pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sampel darah mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama, Isnin lalu, disahkan sepadan dengan ibu bapa Nurin Jazlin.

Jazimin semalam menuntut mayat Nurin Jazlin dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Taman Ibukota di Setapak, Kuala Lumpur selepas Jumaat.

Mayat Nurin Jazlin ditemui terperosok dalam sebuah beg ditinggalkan depan sebuah kedai, 26 hari selepas beliau dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam.
KUALA LUMPUR: Raut wajah manusia boleh berubah akibat kesakitan melampau seperti penderaan dan kebuluran, terutama jika daya tahan mangsa sangat rendah kerana menghidap penyakit seperti yang dilalui Nurin Jazlin Jazimin sehingga menyukarkan waris mengecam mayatnya.

Pakar Perunding Pembedahan Maxillofasial, Jabatan Pembedahan Oral dan Maxillofasial, Universiti Malaya, Profesor Dr Zainal Ariff Abdul Rahman, berkata tisu lembut wajah seperti kulit, lemak dan otot berkemungkinan berubah disebabkan beberapa faktor seperti pengurangan dan penambahan kandungan air.

Beliau berkata perbezaan raut wajah dan fizikal berlaku kerana pipi kanak-kanak itu mungkin mengecut akibat kebuluran menyebabkannya kelihatan susut berbanding ketika sihat.

"Dia mungkin menjadi kurus kering dan susut badan selepas diseksa fizikal dan mengalami penderaan seksual melampau, ditambah pula penderitaan penyakit buah pinggang dan darah tinggi yang dihidapi.

"Raut wajahnya mungkin berubah kerana kelihatan sembab dan pucat akibat air yang berkumpul dalam tisu berikutan penyakit buah pinggang dihidapinya. Rahang pada wajah tidak akan berubah, tetapi hanya tisu lembut di bahagian itu boleh berubah menyebabkan pipi mangsa kelihatan susut.

"Pipi manusia ada seketul lemak yang boleh mengecut jika seseorang mengalami kebuluran," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Mengulas gigi mayat yang didakwa bapanya berbeza dengan gigi Nurin, beliau berkata, gusi boleh berubah bergantung kepada bentuk penderaan dan kekerasan yang dialami mangsa, tetapi keadaan gigi tidak berubah kecuali jika patah disebabkan terkena objek keras.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Bersekutu, Prof Madya Dr Latiffah Abdul Latiff, berkata jika tiada tanda suntikan BCG (Bacille Calmette Guerin) tidak bermakna kanak-kanak itu warga asing kerana kesannya tidak muncul jika suntikan BCG dilakukan dengan cara tidak betul ketika bayi.

"Setiap bayi warga Malaysia diwajibkan mengambil suntikan BCG dan kebiasaannya akan menyebabkan kesan pada pangkal kiri lengan. Jika tiada kesan ini, kanak-kanak itu mungkin tidak mendapat suntikan atau dilakukan dengan cara tidak betul," katanya.


RASA KEHILANGAN: Noradilah (dua dari kiri) sedih terkenangkan rakan baiknya Nurin ketika belajar di makmal di Kelas Dua Cemerlang Sekolah Kebangsaan Desa Setapak.

Guru alih meja Nurin tidak mahu kawan rapat terus dibelenggu kesedihan

KUALA LUMPUR: Berita kematian Nurin Jazlin Jazimin menjejaskan emosi rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak hingga pihak sekolah terpaksa mengalih kerusi dan meja yang digunakannya dari kelas Dua Cemerlang.

Pentadbiran sekolah mengambil tindakan itu kerana bimbang tragedi kejam dan menyayat hati dan penemuan mayat Nurin dalam beg yang dilaporkan media akan mempengaruhi emosi dan pelajaran rakan sekelasnya.

Sejurus membaca laporan kematian Nurin di hampir semua muka depan akhbar semalam, pihak sekolah juga mengadakan bacaan doa khas yang dihadiri 520 pelajar pada perhimpunan pagi sebelum sesi pembelajaran.

Guru Besar sekolah berkenaan, Asiah Zakariah, berkata warga sekolah sedih dan terkejut dengan berita kematian Nurin.

Katanya, sejak berita kehilangan Nurin dilaporkan sebulan lalu, emosi rakan rapat Nurin di kelas agak terganggu.

"Kami mengambil keputusan mengalih meja Nurin dalam kelas supaya rakan sekelasnya tidak terganggu dan dapat memberi tumpuan kepada pelajaran memandangkan liputan meluas akhbar menjejaskan perasaan mereka," katanya kepada Berita Harian semalam.

Guru kelas Nurin, Zuraini Ismail, berkata Nurin adalah seorang murid yang menyenangkan dan tidak menimbulkan masalah dalam kelas, mungkin disebabkan sikapnya yang agak pendiam.

"Nurin memang pendiam dan hanya bergaul dengan rakan sekelasnya saja. Memanglah saya sedih dengan apa yang berlaku padanya.

"Nurin memang pelajar yang baik, mata pelajaran yang dia suka ialah Bahasa Malaysia kerana dia pasti akan memberi tumpuan dalam subjek berkenaan. Dia pun tidak mempunyai masalah membaca," katanya.

Rakan sekelas Nurin, Noradilah Azman, sedih dengan berita kematian sahabatnya dan kehilangan itu amat dirasai kerana sebelum ini mereka terlalu rapat dan selalu makan tengahari dan bermain bersama-sama ketika waktu rehat.

Noradilah berkata, dia akan merindui Nurin setiap hari kerana sebelum ini mereka berdua banyak meluangkan masa bersama di sekolah selain selalu rehat di kantin dengan memesan makanan yang sama iaitu nasi ayam.

"Nurin baik... kami selalu rehat sama-sama di kantin, kemudian pesan makanan yang sama iaitu nasi ayam tapi sekarang tak lagi," katanya.

Makanan kegemaran Nurin seperti yang dikatakan Noradilah diakui sendiri pembantu kantin yang dikenali sebagai Cik Na.

Beliau berkata, Nurin kerap membeli nasi ayam atau nasi ayam merah daripadanya ketika waktu rehat bersama kakak dan rakannya.

"Saya kerap teman Nurin makan di tepi kantin ketika waktu rehat. Walaupun Nurin tidak banyak bercakap tetapi saya menyenanginya... kadangkala bila dia tak cukup duit saya tetap berikan apa yang dimahukan.

"Sekarang ini bila Nurin tak ada, saya memang sedih dan merasakan kehilangannya sebab selalu teman dia makan di kantin, bila fikir apa yang berlaku kepada Nurin memang saya sebak," katanya.


TURUT BERSEDIH: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menziarah jenazah Nurin sambil diperhatikan Norazian dan Jazimin, semalam.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menubuhkan unit baru dinamakan Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) yang dianggotai sepenuhnya oleh pegawai dan anggota wanita, berikutan peningkatan jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata unit itu dulu diletakkan di Bahagian Jenayah Berat (D9) dan dikenali sebagai D9(B) khusus untuk siasatan jenayah seksual, penderaan dan keganasan rumah tangga.

Katanya, D11 menyediakan suasana lebih selesa kepada mangsa yang kebanyakan kanak-kanak dan wanita untuk memberi keterangan kes mereka kerana akan dikendalikan pegawai wanita.

"Kita mulakan D9(B) Mei lalu yang dibantu 101 kaunselor profesional perjawatan awam yang sudah pun diluluskan dan kini dalam proses pengambilan untuk berkhidmat di D11 di semua negeri bagi membantu polis.

"Kita harap unit ini dapat menangani kes jenayah seksual yang semakin meningkat dan membimbangkan," katanya selepas memberikan taklimat kepada Wanita MCA Selangor yang membuat lawatan ke D11 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun mengetuai rombongan itu untuk melihat sendiri operasinya.

Wan berkata, polis juga akan menubuhkan Unit Perlindungan Kanak-Kanak (CPU) dan Pusat Sokongan Mangsa (VCC) di semua kontinjen negeri, berbanding hanya Pulau Pinang, Johor dan Bukit Aman, ketika ini.

Ia akan memudahkan orang ramai membuat laporan dan memberi perlindungan kepada mangsa dengan mudah dan cepat.


SELAMAT BERSEMADI: Ibu Nurin, Norazian Bistaman menyiram air mawar pada pusara anaknya sambil diperhatikan Jazimin (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota dekat Wangsa Maju, semalam.

Ibu bapa boleh didakwa: Musa

PUTRAJAYA: Polis akan mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara supaya mendakwa ibu bapa kanak-kanak mangsa culik yang mati dibunuh, Nurin Jazlin Jazimin, jika terdapat unsur kecuaian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sudah tiba masanya tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak diambil supaya semua ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak masing-masing.

"Walaupun peruntukan itu ada tetapi ia tidak pernah digunakan. Saya rasa sudah tiba masanya untuk ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak.

"Jika ada unsur kecuaian, kami akan cadangkan (supaya ibu bapa didakwa) kepada Pejabat Peguam Negara," katanya di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di sini, semalam.

Musa yang sebelum itu menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Polis Ke-71 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, diminta mengulas tindakan polis berikutan peningkatan bilangan kes kehilangan kanak-kanak disebabkan kecuaian ibu bapa.

Mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa atau penjaga yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Isu hukuman terhadap ibu bapa yang cuai itu dibangkitkan di Parlimen pada 9 Mei lalu berikutan peningkatan jumlah kanak-kanak hilang sejak 2003 iaitu sebanyak 1,914 kes.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, selepas perbincangan mengenai keselamatan kanak-kanak dengan polis dan badan sukarela, berikrar kementeriannya akan melakukan apa saja bagi memastikan kes kehilangan kanak-kanak seperti itu tidak berulang.

Shahrizat berkata, kementeriannya sebelum ini keberatan untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang cuai kerana ia dilihat sebagai isu sensitif dan mencampuri urusan keluarga.

"Undang-undang itu membenarkan kita mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang mengabaikan anak mereka. Mulai sekarang, kita akan mengenal pasti mereka yang sengaja mengabaikan anak dan menghadapkan mereka ke mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria, menggesa ibu bapa atau penjaga mesti mengiringi kanak-kanak di bawah 12 tahun di tempat awam bagi mengelak mereka daripada diculik.

Selain itu katanya, Akta Perlindungan Kanak-Kanak juga mesti dipinda bagi memastikan semua pihak tidak menjadikan kanak-kanak sebagai bahan menagih simpati atau dieksploitasi untuk tujuan negatif seperti menjadi buruh atau meminta sedekah.

ORANG ramai mengerumuni kereta jenazah yang membawa mayat Nurin Jazlin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak, selepas disembahyangkan di Madrasah Assa’Adah Seksyen 1, Wangsa Maju semalam.
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Jazimin Abdul Jalil yang akhirnya pasrah menerima hakikat kematian anak kesayangannya yang mati dalam keadaan tragis mahu pihak berkuasa segera memberkas pembunuh Nurin Jazlin dan mengenakan hukuman seberat-beratnya.

‘‘Saya reda dengan pemergian anak saya ini namun begitu saya mahu pihak berkuasa terus memburu pembunuh Nurin.

‘‘Pembunuh ini bersifat binatang, tidak berperikemanusiaan,’’ katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di Madrasah Assa’Adah Seksyen 1, Wangsa Maju di sini hari ini.

Jenazah anaknya, Nurin Jazlin, 8, yang menjadi mangsa deraan seksual dibawa ke madrasah itu selepas dibawa dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak.

Jazimin berharap polis bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai akan terus bekerjasama sehingga tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin.

Sementara itu, bapa saudara Nurin Jazlin, Syed Ja’afar Ahmad berkata, dia sungguh sedih atas kematian anak saudaranya itu dan berharap pembunuhnya akan dijatuhkan hukuman berat.

‘‘Kerajaan perlu berbuat sesuatu. Kalau boleh, pinda undang-undang bagi membolehkan hukuman berat seperti pancung kepala dilaksanakan,’’ katanya.

Seorang lagi bapa saudaranya, Ahmad Taim Bistaman, 45, menyifatkan pembunuh Nurin Jazlin sebagai seorang yang tidak berhati perut.

‘‘Bagaimana orang ini sanggup menyumbat Nurin di dalam sebuah beg pakaian. Ini sungguh kejam dan tidak berperikemanusiaan,’’ ujarnya yang baru sampai dari Selama, Perak.

Jihadi Abdul Jalil yang juga bapa saudara Nurin Jazlin berkata, abangnya Jazimin duduk bersendirian di dalam bilik di rumahnya malam tadi memikirkan mengenai anaknya.

‘‘Abang duduk secara bersendirian dalam bilik memikirkan perkara ini sebelum membuat keputusan untuk menuntut mayat Nurin Jazlin di HKL pagi tadi.

‘‘Saya tidak menyangka Nurin akan dibunuh dengan kejam. Saya juga seperti yang lain berharap hukuman berat akan dikenakan ke atas pembunuh,’’ ujarnya.


REDA....Norazian Bistaman menyiram kubur Nurin Jazlin sambil diperhatikan oleh Jazimin Abdul Jalil dan dua orang anaknya Nurin Jazshira dan Nurin Jazrina.
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed menjelaskan, kedatangan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya pada pukul 10.15 malam tadi bukan untuk disoal siasat.

Katanya, kehadiran Jazimin Abdul Jalil dan isterinya, Norazian Bistaman bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mayat seorang kanak-kanak yang ditemui dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya pada 17 September lalu.

Arjunaidi berkata, kedua-dua ibu bapa Nurin Jazlin datang ke IPD Petaling Jaya untuk meminta polis memberi mereka salinan keputusan DNA tersebut kerana mereka masih belum memperolehnya sedangkan keputusan DNA itu telah diumumkan oleh pihak media.

‘‘Bukan polis memanggil mereka datang ke IPD Petaling Jaya, sebaliknya ibu bapa Nurin Jazlin yang datang ke sini bersama saudara mereka.

‘‘Mereka tidak disoal siasat, sebaliknya mereka mahu melihat sendiri keputusan DNA tersebut,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Jazimin dan Norazian dipanggil ke IPD Petaling Jaya untuk disoal siasat. Mereka dilihat tiba di IPD tersebut pada pukul 10.15 malam sebelum mengadakan perbincangan selama sejam.

Arjunaidi menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kunjungan ibu bapa Nurin Jazlin ke IPD Petaling Jaya.

Katanya, hal berkaitan keputusan DNA yang masih belum diterima oleh keluarga Nurin Jazlin telah selesai hasil perbincangan mereka selama sejam malam tadi.

Beliau menjelaskan, tindakan segelintir media mendedahkan keputusan tersebut lebih awal menyebabkan polis tidak sempat untuk memaklumkan perkara itu kepada keluarga Nurin Jazlin terlebih dahulu.

PUTRAJAYA 21 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tragedi yang berlaku ke atas Nurin Jazlin Jazimin sebagai kes jenayah yang amat menyayat hati dan menyedihkan seluruh rakyat Malaysia.

“Kes Nurin, satu kes jenayah menyayat hati. Saya sedih dan marah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Polis di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku, Perdana Menteri menegaskan, polis sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menangkap penjenayah yang melakukan kekejaman ke atas Nurin.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, 8, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak, Kuala Lumpur yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Usaha pelbagai pihak mencari Nurin selama sebulan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri di seluruh negara gagal menemui kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama di Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pasukan penyiasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah ditubuhkan bagi bagi membantu usaha memburu dan menangkap suspek yang terlibat dalam pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan.

“Saya memandang serius kes ini dan kita sedang kumpul maklumat. Pasukan Siasatan Khas ini mempunyai strategi khas dan rangkaian mereka yang tersendiri sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

“Buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan kaedah atau bagaimana mereka akan membuat siasatan. Ini kerana kalau kita (polis) beritahu semua, nanti suspek akan larikan diri,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan suspek mungkin berada di luar Lembah Klang selepas media menyiarkan berita mengenai kehilangan dan kematian Nurin Jazlin.

“Saya minta semua pihak bekerjasama dalam kes ini dan jangan buat sebarang spekulasi dalam media. Kita cuba sedaya upaya,” katanya.

Pada 20 Ogos lepas, Nurin Jazlin, 8, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Usaha pelbagai pihak mencari Nurin selama sebulan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri di seluruh negara gagal menemui kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Sementara itu Bernama difahamkan polis telah merekod keterangan daripada seorang lelaki, yang berada berhampiran lokasi kejadian pada hari sebelum beg itu ditemui.

Lelaki itu dikatakan boleh menyalurkan maklumat yang penting dalam membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan Nurin.

Difahamkan polis juga cuba melihat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang di premis bersebelahan dengan premis di mana beg itu ditemui.

– Bernama

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi komitmen untuk membantu mengesan pembunuh Nurin Jazlin Jazimin dan mengharapkan kerjasama segenap lapisan rakyat sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

Menurut mereka, tidak cukup dengan menunjukkan simpati, perasaan sedih dan marah atas pembunuhan tragis kanak-kanak comel itu perlu diterjemahkan dengan usaha menjejak pembunuhnya yang tidak berhati perut itu.

Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, pembunuh Nurin Jazlin tidak patut dibiarkan terus hidup dan mencari ‘korban’ lain.

“Episod kehilangan Nurin Jazlin sudah selesai dengan penemuan mayatnya dalam keadaan yang menyedihkan.

“Sekarang kita sudah masuk bab baru iaitu mencari pembunuh yang tidak berhati perut itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yakin dengan kemampuan pihak polis untuk memburu pembunuh Nurin Jazlin.

Semalam, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang disumbat dalam sebuah beg pakaian di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini Isnin lalu mendapati mangsa itu ialah Nurin Jazlin Jazimin, 8 yang hilang sejak 20 Ogos lalu.

Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Kamarudin Ali pula berkata, orang ramai perlu memastikan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di tempat awam.

“Kes demi kes yang berakhir dengan kematian menunjukkan seolah-olah rakyat negara ini tidak pernah mengambil iktibar ke atas apa yang telah terjadi.

“Cukuplah... orang ramai kini perlu bersama-sama memburu pembunuh ini agar dia mendapat pengadilan setimpal,” tegasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berharap polis dengan dibantu oleh orang awam dapat segera mengesan pembunuh yang disifatkannya lebih kejam daripada haiwan.

“Doa dan solat hajat juga perlu dibuat untuk meminta setiap usaha yang dilakukan mendapat pertolongan Tuhan,” katanya.

Sementara itu, seorang budayawan, Prof. Dr. Siti Zainun Ismail menyifatkan pembunuh Nurin Jazlin sebagai seorang yang tidak berakal.

“Sembelih sahaja orang sebegini. Dia tidak layak untuk hidup kerana hanya menyusahkan orang sahaja,” katanya.

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Polis tidak menolak kemungkinan wujudnya pembabitan ‘Pencabul Kampung Baru’ dalam kes kematian Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya ditemui dalam keadaan menyedihkan Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christoper Wan Soo Kee berkata, siasatan polis juga bertumpu kepada pelbagai aspek termasuk terhadap ‘Pencabul Kampung Baru’ yang diburu pihak berkuasa sejak tiga bulan lepas.

‘‘Polis akan menyiasat kes kematian Nurin Jazlin dan mencari pembunuh kanak-kanak malang itu.

‘‘Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang bukan-bukan berkenaan kes ini. Saya harap orang ramai bersabar menunggu keputusan siasatan polis,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak kepada para pemimpin MCA di Auditorium Bukit Aman di sini.

Utusan Malaysia difahamkan, modus operandi ‘Pencabul Kampung Baru’ itu yang turut dipanggil ‘Abang Kucing’ ialah dengan menculik kanak-kanak perempuan menggunakan cerita kucing hilang dan berpura-pura menunjukkan muka sedih.

Penjenayah itu dipercayai menggunakan taktik memujuk mangsa supaya mengikutnya untuk mencari kucing miliknya yang kononnya hilang. Selepas diculik, kanak-kanak perempuan itu dicabul.

Suspek itu juga dipercayai menggunakan dialog:

‘‘Adik, nampak kucing abang tak?’’

‘‘Boleh tolong abang carikan kucing itu?’’

KUALA LUMPUR 21 Sept. – “Hati dan firasat saya mengatakan mayat itu benar-benar cucu saya kerana raut wajahnya seiras dengan bentuk muka ahli keluarga kami,’’ kata Abdul Jalil Yahya (gambar).

Beliau yang merupakan datuk kepada Nurin Jazlin Jazimin berkata, hatinya sungguh sedih sebaik sahaja mendengar berita kematian cucunya itu.

Katanya, beliau tidak menyangka Nurin Jazlin, 8, akan dibunuh dengan kejam dan disumbat di dalam beg pakaian.

‘‘Cucu saya masih kanak-kanak, mengapa dia diperlakukan seperti haiwan? Sungguh tidak berperikemanusiaan,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, beliau menaiki bas dari Alor Star ke Kuala Lumpur seorang diri semalam sebaik sahaja mendengar berita mayat Nurin Jazlin telah dijumpai.

‘‘Saya terlalu sedih dan tidak dapat digambarkan perasaan itu dengan kata-kata kerana dia merupakan salah seorang cucu saya yang cerdik.

‘‘Walaupun saya jarang berjumpa dengan Nurin Jazlin tetapi naluri saya sebagai datuk tetap menyayanginya,’’ kata beliau.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, anaknya (Jazimin) tidak menghadapi sebarang masalah kewangan.

‘‘Dia tidak pernah meminjam wang daripada saya malah Jazimin merupakan anak yang suka melakukan sesuatu dengan usahanya sendiri,’’ katanya.

Pada masa yang sama, Noraliza, 31, adik kepada Norazian Bistamin (ibu Nurin Jazlin), menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kes pembunuhan kejam ke atas Nurin Jazlin yang hilang selama sebulan mulai 20 Ogos lalu mempunyai kaitan dengan ceti haram.

“Saya berani bersumpah dengan nama Allah... adik saya memang tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak lebih-lebih lagi dengan ah long,” katanya.

Noraliza memberitahu, kehidupan keluarga adiknya itu memang dalam kesusahan namun mereka sekeluarga tidak pernah mengalami sebarang masalah kewangan dan rumah tangga.

“Hampir setiap minggu saya melawat kakak (Norazian) dan berkongsi setiap cerita dan masalah.

“Namun dalam apa jua situasi dia (Jazimin) memang tidak pernah mengalami sebarang masalah kewangan,” katanya yang menetap di Bandar Sri Damansara dekat sini.

Menurut Norazila, dakwaan mengaitkan Jazimin dengan Ah long bukan sahaja menambah bebanan ekoran kehilangan Nurin Jazlin, malah mengaibkan nama baik keluarganya pada mata masyarakat.

KUALA LUMPUR 21 Sept. – “Saya tidak percaya adik saya sudah meninggal dunia. Raut wajahnya berbeza ketika saya melihat jenazahnya dua hari lalu di Hospital Kuala Lumpur.

‘‘Hari ini apabila saya melihat semula jenazah, wajahnya sama seperti adik saya,” kata Nurin Jashira, 11, kepada pemberita ketika ditemui di Madrasah Assa’Adah Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Menurutnya, dia menangis apabila mendapat tahu adiknya itu sudah kembali ke rahmatullah.

‘‘Nurin merupakan adik kesayangan saya dan sering bermain-main dengan saya. Kini dia sudah tiada lagi,’’ ujarnya.

Sementara itu, rakan-rakan Nurin Jazlin yang turut ditemui berasa sedih dengan kejadian yang menimpa kawan mereka itu.

Farrah Liyana Fadzil, 11, berkata, setiap petang dia dan Nurin Jazlin bermain di padang permainan berhampiran rumah mereka.

‘‘Tetapi kini Nurin Jazlin sudah tiada lagi,’’ katanya.

Seorang lagi rakannya, Hafizah Harwan, 11, berkata, dia bersama rakan-rakannya yang lain sering pergi ke sekolah bersama Nurin Jazlin.

‘‘Dia suka berlari-lari anak bersama kami. Kami kesunyian kerana tidak lagi kedengaran gelak ketawa rakan baik kami itu,” ujarnya.


JAZIMIN Abdul Jalil memangku jenazah anaknya, Nurin buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak di sini hari ini apabila jenazah kanak-kanak mangsa bunuh dan deraan seksual, Nurin Jazlin Jazimin, 8, disemadikan kira-kira pukul 2.45 petang ini selepas solat Jumaat.

Bapa mangsa, Jazimin Abdul Jalil, 33, dan ibunya, Norazian Bistaman, 35, serta tiga adik-beradik Nurin Jazlin tidak dapat menahan tangisan mereka ketika jenazah itu diturunkan ke liang lahad.

Suasana bertambah pilu sewaktu 500 hadirin di tanah perkuburan itu memberi perhatian kepada bacaan talkin oleh Imam Madrasah Assa’Adah, Abdul Aziz Elias Zahari Abdullah.

Selesai upacara pengebumian yang diadakan ketika cuaca panas terik, Jazimin yang sebelum ini tidak dapat menerima hakikat bahawa kanak-kanak yang dibunuh itu adalah anaknya gagal mengawal emosi.

Pemandu teksi itu menangis teresak-esak di hadapan pusara Nurin Jazlin hingga terpaksa ditenangkan oleh keluarga terdekat. Isterinya, Norazian berdiri di sisi bersama tiga orang anak mereka iaitu Nurin Jazshira, 10; Nurin Jazrina, 6, dan Nurin Jazliza yang berusia setahun.

Jazimin yang berbaju Melayu merah jambu dan berseluar hitam kemudian dilihat memeluk isterinya yang berjubah dan bertudung hitam.

Norazian juga tidak dapat menerima hakikat pemergian anak kesayangan mereka.

‘‘Kita dah berikhtiar, nak buat macam mana.

‘‘Allah sayangkan Kak Ngah (Nurin Jazlin), nak buat macam mana. Allah sayangkan Kak Ngah,’’ bisik Jazimin sambil memeluk isterinya buat seketika.

Turut berada di tanah perkuburan itu menyaksikan pengebumian Nurin Jazlin yang hilang selama sebulan sebelum ditemui mati dalam keadaan tragis ialah Isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Puteri UMNO Wangsa Maju, Datin Ismalina Ismail dan kenalan rapat keluarga mangsa iaitu penyanyi dan pelakon, Hail Amir.

Selepas perasaannya kembali tenang, Jazimin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan tidak putus-putus mengirim ucapan takziah kepadanya sekeluarga.

Jenazah Nurin Jazlin dituntut dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pagi ini sebelum disembahyangkan di Madrasah Assa’Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tanah perkuburan itu.

Semalam, Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak yang ditemui dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya pada 17 September lalu ialah Nurin Jazlin.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat itu menggunakan sampel kuku, rambut dan darah ibu bapa Nurin Jazlin mendapati ia sepadan.

Jazimin petang semalam masih tidak mahu menerima keputusan DNA itu, tetapi mengubah fikirannya selepas bertemu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad malam tadi.

Imam sembahyang jenazah, Abdul Aziz Elias Zahari juga dilihat menangis teresak-esak ketika membaca doa selepas mengimamkan solat berkenaan yang disertai 200 jemaah.

Keluarga terdekat dan ribuan orang ramai tanpa mengira peringkat umur dan kaum turut menziarah. Turut datang ialah rakan-rakan sekolah dan guru-guru Nurin Jazlin yang berkumpul di madrasah itu bagi menatap buat kali terakhir jenazah mangsa yang tiba kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ibunya, Norazian, tidak mampu untuk berkata-kata. Setiap pertanyaan pemberita dan kenalannya hanya disambut dengan esakan wanita itu.

Antara yang turut menziarahi jenazah Nurin Jazlin di madrasah itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Zulhasnan Najib Baharudin.

Sementara menunggu jenazah anaknya disembahyangkan, Jazimin sempat menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah bagi dirinya dan isteri berserta anak-anaknya.

Beliau juga membayar zakat fitrah untuk Allahyarham Nurin Jazlin.

Zakat fitrah untuk enam orang yang nilai keseluruhannya RM28.20 diterima oleh Amil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Abdul Manan Abdullah.

Jazimin datang ke rumah mayat (HKL) pagi ini bagi menuntut jenazah anak keduanya daripada empat beradik itu.

Beliau tiba kira-kira pukul 10 pagi.

Sepanjang proses menuntut mayat dan menunggu jenazah anaknya dikafankan, beliau kelihatan sugul dan tidak dapat menahan perasaan mengenangkan anak perempuannya menjadi mangsa bunuh dan penderaan seksual.

Jazimin, yang ditemani keluarga dan sanak saudara, dibenarkan membawa keluar mayat anaknya pada pukul 11.15 pagi.

Selepas bacaan doa, jenazah dibawa keluar dari pekarangan hospital dengan sebuah van sambil disaksikan dengan wajah sayu oleh orang ramai dan kakitangan HKL.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Usaha mencarinya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri selama sebulan tidak membuahkan hasil. Pada 17 September lalu, mayat seorang kanak-kanak yang disumbat di dalam sebuah beg ditemui di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 8.30 pagi.

Jazimin dan Norazian pada mulanya menafikan mayat kanak-kanak itu Nurin Jazlin yang rambutnya telah dipotong pendek, tubuhnya kurus kering dan mengalami kecederaan akibat deraan seksual. Empat hari selepas itu ujian DNA yang dijalankan mengesahkan mayat itu ialah Nurin Jazlin.

Oleh: ROZAMAN ISMAIL

PUTRAJAYA 21 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, polis perlu menyiasat segera dakwaan kewujudan klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang bercakap dengan seseorang berhubung pelantikan hakim-hakim di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menentukan sama ada klip video berkenaan boleh dipercayai atau tidak.

‘‘Klip video dan transkripnya telah dihantar ke pejabat saya. Soalnya, adakah ia betul dan boleh dipercayai?

‘‘Ini yang penting kerana video itu menunjukkan seorang peguam bercakap seorang diri sahaja. Lagi seorang kita tidak tahu siapa yang bercakap,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Polis ke-71 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Abdullah diminta mengulas pendedahan sebuah parti politik pembangkang mengenai rakaman video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual dalam telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim.

Menurut Perdana Menteri, siasatan itu perlu dijalankan kerana klip video itu membawa cerita yang menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara ini dan tidak boleh dipandang ringan.

‘‘Laporan itu sudah tentu akan memberi nama tidak baik kepada sistem kehakiman kita,” katanya.

Menurut Abdullah, Malaysia mempunyai undang-undang dan tindakan boleh diambil ke atas mereka yang terlibat menimbulkan dakwaan tidak betul kerana perbuatan itu dilihat sebagai satu tindakan untuk menimbulkan rasa marah dan benci rakyat terhadap sistem kehakiman.

‘‘Kalau tuduhan dan klip video itu tidak betul, sudah tentu ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Ditanya sama ada sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, Perdana Menteri menegaskan, langkah tersebut tidak perlu kerana kesahihan klip video itu belum dibuktikan lagi.

‘‘Tak payah kita buat... maklumat yang dikemukakan pun belum ditentukan sah.

‘‘Apa perlunya suruhanjaya sedangkan maklumat itu belum sahih? Kalau betul, itu soal lain,” tegas Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini melahirkan rasa dukacita atas dakwaan dusta yang mengaitkan nama baginda dengan kegiatan Al-Arqam.

Kekesalan Seri Paduka itu dizahirkan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan dalam satu kenyataan di sini.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa kumpulan ajaran sesat yang diharamkan dan berselindung dengan nama perniagaan, Rufaqa Corporation Sdn. Bhd., dipercayai kembali aktif dengan menyebarkan propaganda kepada para anggotanya, yang mendakwa kegiatan mereka direstui Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil dilaporkan berkata, pihaknya mengesan pengikut fanatik Al-Arqam menyebarkan propaganda itu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anggotanya di seluruh negara.

Kumpulan itu juga didakwa mempunyai bendera kuning yang diletakkan dalam kenderaan masing-masing sebagai lambang kononnya perjuangan mereka bagi menjatuhkan pemerintahan ketika ini, direstui Seri Paduka.

– Bernama

ALOR GAJAH 21 Sept. – Sebanyak enam kandang melibatkan 5,824 ekor babi telah dipindahkan dari tiga lokasi di Masjid Tanah dekat sini sejak awal bulan ini sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri, Koh Nai Kwong berkata, ketiga-tiga lokasi yang terlibat ialah di Londang, Man Lok dan Bukit Beruang.

Menurut beliau, empat kandang tersebut telah ditutup dan dipindahkan pada awal bulan ini manakala selebihnya dilakukan semalam.

“Proses pemindahan babi di kawasan ini dijalankan mengikut jadual yang telah dipersetujui. Kami berharap proses ini berjalan lancar sehingga berakhir pada 4 Oktober ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan babi di Londang, dekat sini hari ini. Ladang tersebut dipercayai satu-satunya ladang babi di kampung tersebut yang telah dikosongkan semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman.

Terdapat 87 penternak babi menjalankan usaha menternak binatang tersebut di seluruh kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Pada 4 September lepas, kerajaan negeri menangguhkan operasi memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri ternakan mereka daripada 160,000 ekor kepada 48,000 ekor dan mereka diberi tempoh sehingga hari ini.

Bagaimanapun, memandangkan proses pengurangan tersebut berjalan agak perlahan, kerajaan negeri memberi tempoh baru iaitu sehingga 4 Oktober ini.

Mengikut jadual, sebanyak lima kandang mengandungi 3,007 ekor babi di Man Lok ditutup semalam manakala lima kandang melibatkan 12,230 ekor lagi di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang akan ditutup pada 30 September ini.

Pada 4 Oktober ini, iaitu tarikh akhir proses tersebut, sebanyak 15 kandang mengandungi 22,576 ekor babi di Man Lok dan Bukit Beruang pula akan ditutup.

Nai Kwong berkata, beliau akan mengadakan beberapa siri perbincangan lagi dengan para penternak babi di daerah ini bagi menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.

“Esok saya akan mengadakan perbincangan lagi dengan para penternak terutama untuk menyelesaikan masalah berhubung isu ambil alih tanah oleh kerajaan negeri,” kata beliau.