UTUSAN


GAMBAR eksklusif Utusan.

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan disumbat dalam sebuah beg pakaian di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini Isnin lalu mendapati kanak-kanak itu ialah Nurin Jazlin Jazimin, 8. Dia hilang sejak 20 Ogos lalu.

Ujian oleh Unit Forensik, Jabatan Kimia itu disahkan pihak polis dan hospital.

Bapa kanak-kanak malang itu, Jazimin Abdul Jalil, bagaimanapun sangsi dengan keputusan tersebut.

Sehubungan itu, polis mencadangkan ibu bapa Nurin Jazlin menjalani ujian kedua DNA di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jazimin diminta datang ke HKL pada pukul 12.15 tengah hari ini enggan mengakui mayat kanak-kanak perempuan itu adalah anaknya berdasarkan faktor fizikal mayat itu didakwanya berbeza daripada tubuh Nurin Jazlin.

Ibu mangsa, Norazian Bistaman pula mengakui mayat berkenaan memiliki lebih 50 peratus persamaan dengan tubuh anak perempuannya.

Katanya, beliau boleh menerima kematian Nurin Jazlin jika ujian DNA itu sahih.

Menurut Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain, bukti yang diperoleh daripada laporan forensik pihak polis itu adalah hasil ujian makmal ke atas rambut, kuku dan darah Jazimin dan Norazian.

Katanya, keputusan tersebut diperkuatkan lagi dengan rekod pergigian Nurin yang diambil secara berasingan di sekolahnya.

“Rekod pergigian Nurin yang hilang sejak sebulan lalu didapati sama dengan gigi mayat kanak-kanak malang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Shah Alam, Selangor petang ini menegaskan, ujian DNA yang dijalankan ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kanak-kanak yang mati itu dengan Jazimin dan Norazian.

Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan mengenai keputusan DNA itu tengah hari ini.

Bagaimanapun, selepas membuat pengecaman semula di bilik mayat HKL, kedua-duanya tetap menafikan mayat tersebut adalah anak perempuan mereka.

‘‘Memandangkan kedua-dua ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengesahkannya, maka polis akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti identiti sebenar mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam beg itu.

‘‘Pada masa sama, kita juga akan meneruskan siasatan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kes ini meliputi semua aspek,” katanya.

Pada 20 Ogos lepas, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini, yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Usaha pelbagai pihak mencari Nurin selama sebulan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri di seluruh negara gagal menemui kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama di Petaling Jaya.

Kawasan itu terletak kira-kira 40 kilometer dari rumah Nurin Jazlin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mayat kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun itu ditemui dalam keadaan bogel dengan kaki mengerekot selain terdapat kesan lebam di leher serta luka dan calar-calar di kaki. Berdasarkan bau, polis percaya mangsa telah meninggal dunia lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui.

Ibu bapa Nurin Jazlin yang dipanggil membuat pengecaman ke atas mayat itu Isnin lalu mengatakan kanak-kanak itu bukan anak mereka.

Khalid berkata, memandangkan Jazimin dan Norazian tidak mengecam mayat itu sebagai anak mereka, selain sampel darah pasangan itu, polis juga akan mengambil contoh darah kakak mangsa, Nurin Jazshira.

‘‘Kita akan cadangkan ibu bapa Nurin melakukan ujian DNA kali kedua,” katanya.

Khalid menambah, pihaknya juga selepas ini akan menjemput saudara-mara Nurin Jazlin seperti datuk, nenek atau ibu saudaranya untuk membuat pengecaman semula mayat yang ditemui.

Ditanya sebab utama kedua-dua ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengakui mayat tersebut anak mereka, Khalid berkata: ‘‘Ada kemungkinan fizikal mayat tersebut lain. Sebagai ibu bapa, ia satu keadaan yang amat sukar diterima.”

Beliau menambah: “Saya sendiri tidak berani mengesahkan apa-apa kerana keputusan DNA yang diketahui hari ini adalah hasil keputusan sains.’’

UTUSAN


KUALA LUMPUR 20 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan polis berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin kini menjurus kepada seorang suspek yang berada di Lembah Klang.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada suspek itu seorang warga tempatan atau asing mahupun ia berkaitan dengan perogol bersiri Kampung Baru.

‘‘Hasil siasatan (kes itu) akan siap esok dan tangkapan dijangka dibuat dalam beberapa hari lagi,’’ katanya kepada pemberita hari ini.

Musa sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pejabat Shahrizat di sini bagi membincangkan kejadian keganasan ke atas kanak-kanak yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Mengulas mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di dalam beg pakaian di Petaling Jaya Isnin lalu yang didapati sepadan dengan DNA Nurin Jazlin, Musa berkata, ujian itu boleh dijalankan sekali lagi ke atas ibu bapa Nurin Jazlin.

Beliau berkata, ujian DNA pertama yang dijalankan mendapati DNA kanak-kanak itu sepadan dengan sampel darah Jazimin Abdul Jalil dan isterinya, Norazian Bistaman.

‘‘Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian (tidak mengaku kanak-kanak itu anak mereka)... mungkin kerana tiada tanda suntikan BCG dan kewujudan tanda lahir pada kaki mayat sedangkan, menurut mereka, Nurin tidak memiliki tanda tersebut.

‘‘Oleh itu, identiti mayat kanak-kanak perempuan itu masih belum disahkan manakala ibu bapa Nurin Jazlin pula dipanggil oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad untuk disoal siasat,’’ katanya.

Bapa Nurin Jazlin dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada pukul 10.15 malam ini dan mengadakan perbincangan berhubung laporan DNA selama sejam.

UTUSAN

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Ujian asid deoksiribonukliek (DNA) ke atas darah, rambut dan kuku ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, disahkan sama dengan DNA mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya Isnin lalu.

Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, bukti yang diperoleh daripada laporan forensik polis itu diperkuatkan lagi dengan rekod pergigian Nurin Jazlin yang diambil di sekolahnya.

Rekod pergigian Nurin Jazlin yang hilang sejak 20 Oktober lalu didapati sama dengan gigi mayat tersebut.

Menurutnya, HKL mengambil inisiatif memeriksa rekod pergigian kanak-kanak tersebut selepas timbul keraguan berikutan ibu bapa Nurin Jazlin sendiri menafikan mayat itu adalah Nurin Jazlin dalam sesi pengecaman mayat yang dibuat di HKL.

‘‘Walaupun keputusan sampel gigi itu tidak terlalu kuat seperti DNA, sekurang-kurangnya ia memberi bukti tambahan selain laporan DNA yang baru diperoleh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Satu artikel mengenai DNA oleh American Association of Blood Bank (AABB) menyebut DNA merupakan kod genetik yang terdapat dalam sel tubuh manusia.

Di Malaysia sebelum ini keputusan DNA pernah diragui oleh keluarga penyanyi kumpulan Spoon, Sabiul Malik atau Along pada Januari 2000.

Ujian DNA ke atas rangka manusia yang ditemui dalam gaung di Kilometer 22.8 Jalan Hulu Langat-Kuala Klawang pada 6 Januari 2000 mengesahkan ia adalah Along.

Bagaimanapun, bapa Along, Tengku Shafiee Yusof yang diberitahu mengenai keputusan tersebut ketika itu enggan menuntut mayat berkenaan bagi dikebumikan kerana percaya ‘‘Along masih hidup.”

Pada 17 Jun 2003, misteri kehilangan penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian, 29, terjawab apabila ujian DNA mengesahkan mayat wanita rentung yang ditemui di dalam longkang Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) ialah mayatnya.

Dalam kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu, 28, model Mongolia yang dipercayai mati ditembak sebelum mayatnya diletupkan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pada November tahun lalu, sampel darah daripada enam orang ahli keluarganya telah diambil bagi mengesahkan kesahihan rangka yang ditemui.

Menurut Zaininah, keputusan ujian DNA tepat dan lengkap jika tiada sebarang kerosakan pada sampel.

‘‘Keputusan ujian DNA adalah tepat kecuali terdapat kerosakan pada sampel ujian itu.

‘‘Selagi tidak ada kerosakan pada sampel itu peratusan kesahihan itu adalah tepat,’’ jelasnya.

Zaininah menambah, HKL mengambil contoh darah ibu bapa Nurin pada Isnin lalu untuk ujian DNA. Ujian itu dibuat oleh Unit Forensik polis selepas mayat kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemui dalam sebuah beg di Petaling Jaya pada hari yang sama.

Beliau berkata, ujian gigi yang dilakukan HKL membuktikan jumlah dan kedudukan gigi Nurin Jazlin tidak ada bezanya dengan mayat yang ditemui di dalam beg itu.

‘‘Keputusan tersebut memberi bukti tambahan kepada HKL setelah kami menerima keputusan DNA mayat itu yang sepadan dengan DNA ibu bapa Nurin Jazlin,” katanya.

UTUSAN

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Ibu bapa kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, tetap menafikan mayat kanak-kanak yang ditemui dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya Isnin lalu adalah anak mereka walaupun dipanggil membuat pengecaman mayat kali kedua hari ini.

Sehubungan itu, mereka meminta supaya ujian asid deoksiribonukliek (DNA) dilakukan sekali lagi untuk mengesahkan kesahihan identiti mayat berkenaan.

Sambil menegaskan tidak mempunyai masalah untuk mengenal pasti anaknya yang hilang sejak sebulan lalu, Jazimin Abdul Jalil berkata, mayat kanak-kanak malang itu amat berbeza dengan fizikal Nurin Jazlin.

‘‘Saya ayah Nurin... saya lebih mengenali anak saya daripada orang lain. Dalam hati, saya berkata, mayat itu bukan anak saya.

‘‘Jika polis suruh saya ambil mayat tersebut, saya akan terima... saya akan mandikan dan akan mengebumikannya.

“Tetapi saya hendak polis teruskan usaha mencari Nurin sehingga dia ditemui dalam keadaan selamat,” kata Jazimin kepada pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini petang ini.

Jazimin yang dipanggil ke HKL untuk membuat pengecaman itu juga berkata, beliau pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan keadaan gigi dan parut Nurin Jazlin.

Parut

Katanya, Nurin Jazlin mempunyai kedudukan gigi yang rapat dan mempunyai parut akibat luka di pangkal paha.

‘‘Takkan saya tidak kenal anak saya sendiri. Gigi Nurin kecil dan rapat tetapi gigi mayat kanak-kanak itu besar serta jarang-jarang,’’ katanya.

Beliau menambah, rambut anaknya juga halus dan lurus manakala rambut mayat tersebut keriting serta kasar.

‘‘Muka mayat itu pun tidak memiliki wajah orang tempatan seperti Melayu, India mahupun Cina. Saya lihat rupa mayat itu macam warga asing sedangkan anak saya mempunyai wajah Melayu yang senang dikenal pasti.

‘‘‘Kebiasaannya, walaupun bila kita sudah tidak bernyawa, parut pasti kekal, namun saya dapati tiada kesan parut serupa dengan Nurin Jazlin (pada tubuh kanak-kanak yang mati itu),’’ katanya.

Isnin lalu, orang ramai dikejutkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini.

Penemuan mayat itu segera dikaitkan dengan kehilangan Nurin Jazlin yang hilang ketika pergi ke pasar malam dekat rumahnya di Wangsa Maju di sini pada 20 Ogos lalu.

UTUSAN

PUTRAJAYA 20 Sept. – Seorang lagi pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki mengumpul harta secara haram dianggarkan bernilai RM6 juta sejak beberapa tahun lalu.

Menurut sumber, pegawai berusia awal 50-an dan sudah berkhidmat lebih 20 tahun lalu itu dipercayai mengumpul kekayaan secara haram ketika bertugas di Pahang dan Johor.

Difahamkan, pegawai terbabit memiliki beberapa buah rumah dan lot tanah yang sebahagian besar terletak di Lembah Klang.

Pegawai terbabit sudah dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat BPR di sini.

Bagaimanapun, wartawan yang menunggu di ibu pejabat BPR itu pagi ini gagal menemuinya apabila dia tidak muncul seperti yang dijadualkan.

Difahamkan, ini bukan kali pertama pegawai polis itu disiasat BPR atas kesalahan berkaitan rasuah tetapi dilepaskan kerana tidak cukup bukti.

Pengisytiharan

Sebelum ini, seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman turut disiasat BPR berhubung kesalahan mengumpul harta secara haram. Dia disyaki mempunyai harta bernilai kira-kira RM27 juta.

Pegawai terbabit yang disiasat hari ini menyerahkan dokumen pengisytiharan hartanya kepada BPR Rabu lalu selepas diberikan tempoh selama 30 hari untuk berbuat demikian.

Julai lalu, akhbar melaporkan seorang pegawai kanan polis Bukit Aman disiasat BPR kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan gagal mengisytiharkan harta bernilai kira-kira RM27 juta.

Pegawai berusia 50-an itu turut dikatakan menjadi pengarah sebuah syarikat perladangan dan didakwa memiliki 5,000 saham dalam syarikat berkenaan yang terbabit dalam pembangunan tanah di Sabah yang mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

Berikutan itu, pegawai kanan polis berkenaan didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan arahan supaya penduduk terbabit ditangkap.

BPR menjalankan siasatan ke atas pegawai polis itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali.

UTUSAN

ALOR GAJAH 20 Sept. – Gara-gara tidak mencapai sasaran asal, kerajaan negeri telah melanjutkan tempoh bagi para penternak babi di daerah ini mengurangkan jumlah ternakan mereka sehingga 4 Oktober ini.

Walaupun tempoh 18 hari yang akan berakhir esok telah diberikan supaya penternak mengurangkan sendiri ternakan mereka sebanyak 97,241 ekor berbanding 160,000 yang ada sekarang tetapi sehingga hari ini hanya 23,824 ekor sahaja dikeluarkan.

Justeru, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, kerajaan negeri memberi tempoh 12 hari lagi bagi membolehkan ternakan dari kawasan Paya Mengkuang, Bukit Beruang, Man Lok dan Londang dekat sini dikeluarkan.

Beliau berkata, dalam tempoh lanjutan itu, penternak bersetuju untuk menutup kesemua kandang ternakan di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang.

‘‘MCA Melaka yang mewakili penternak perlu memastikan penternak melaksanakan janji mereka iaitu menutup ladang di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang serta menternak hanya 48,000 ekor di Paya Mengkuang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pengeluaran Babi di Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Pada 4 September lalu, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi berkaitan telah mengadakan operasi pemusnahan ternakan babi bagi mengurangkan jumlah ternakan tersebut dari 160,000 yang ada kepada 48,000 sahaja.

Operasi tersebut terpaksa dilakukan ekoran sikap para penternak babi terbabit tidak mengendahkan gesaan kerajaan supaya mengurangkan jumlah ternakan kerana berlaku pencemaran udara dan air yang teruk di kawasan terbabit.

Bagaimanapun operasi tersebut ditangguhkan setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri ternakan dari lebih 160,000 ekor kepada 48,000 ekor dan mereka diberi tempoh sehingga 21 September ini.

Abu Seman yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, mengikut jadual penutupan ladang oleh penternak, sebanyak lima kandang mengandungi 3,007 ekor babi di Man Lok akan ditutup esok.

Menjelang akhir bulan ini, sebanyak lima lagi kandang mengandungi 12,230 ekor babi di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang akan ditutup sementara sehingga tamat tempoh sebanyak 15 kandang mengandungi 22,576 ekor babi di Man Lok dan Bukit Beruang akan ditutup.

‘‘Semua kerja-kerja pengurangan babi itu akan dipantau dan kerajaan akan mengesahkan bahawa kandang terbabit ditutup. Jika tidak, kita akan bertindak tegas,” katanya.

Abu Seman berkata, tindakan juga akan diambil terhadap kandang babi di Paya Mengkuang yang dibina tidak mengikut peraturan dan mencemarkan alam sekitar serta menimbulkan bau busuk kepada penduduk sekitarnya.

BERITA HARIAN

POLIS hari ini mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lepas adalah Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan tengah hari ini mengenai keputusan DNA itu.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas.

Sementara itu di Kuala Lumpur, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, seorang pemandu teksi enggan menerima keputusan DNA itu bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.

"Saya ayah Nurin... Saya lebih mengenali anak saya dari semua orang.

Dalam hati saya berkata mayat itu bukan anak saya.


Jazimin juga berkata beliau pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan keadaan gigi dan parut yang dipunyai oleh Nurin.

Nurin, katanya, mempunyai kedudukan gigi yang rapat dan mempunyai parut akibat luka di pangkal pehanya. Jazimin berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan DNA tersebut pada pukul 12.30 tengah hari oleh polis daerah Petaling Jaya dan diminta datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman semula mayat tersebut.

Sebelum ini, Jazimin dan isterinya Norazian Bistaman, 35, telah dipanggil untuk proses pengecaman di HKL pada Isnin lepas dan tidak mengaku mayat itu anaknya, Nurin berdasarkan kepada keadaan fizikal kanak-kanak yang ditemui itu.

Norazian yang kelihatan sugul ketika ditemui pemberita berkata beliau rela menerima sebarang keputusan pihak berkuasa.

"Apa lagi yang boleh saya kata. Keputusan DNA menunjukkan itu anak saya. Saya reda dengan kehendak Ilahi.

"Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami," katanya dengan linangan air mata.

Norazian berkata sekiranya Nurin Jazlin selamat ditemui, perayaan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini adalah yang paling bermakna dalam hidupnya.

Malah pakaian raya untuk Nurin Jazlin sudahpun dibeli dan saya tetap akan menunggu kepulangannya," katanya sebak.

Oleh Azizi Othman




ECER tingkat pendapatan menerusi pembasmian kemiskinan, sedia peluang kerja

KUALA LUMPUR: Inisiatif pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang meliputi kawasan seluas kira-kira 66.736 kilometer persegi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor, dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM112 bilion.

Dimajukan dengan matlamat memacu pertumbuhan wilayah terbabit sebagai kawasan berdaya maju dan mapan, inisiatif ECER berteraskan usaha meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pembasmian kemiskinan serta penyediaan peluang pekerjaan.

Ini sekali gus menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan kerana Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah antara negeri yang purata pendapatan isi rumah penduduknya paling rendah di Malaysia.

ECER yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuantan akhir bulan depan, adalah inisiatif pembangunan wilayah ketiga selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Petronas adalah peneraju utama yang menyediakan pelan induk pelaksanaan ECER. Wilayah seluas separuh Semenanjung itu mempunyai 3.9 juta penduduk atau mewakili kira-kira 14.5 peratus daripada keseluruhan 26.8 juta penduduk negara ini

Daripada jumlah itu, majoritinya ialah etnik Melayu dengan sejumlah 86.6 peratus, diikuti Cina (7.8 peratus), India (1.8 peratus) manakala bangsa lain (3.8 peratus). Kadar pertumbuhan penduduk di ECER disasarkan berkembang 1.4 peratus berbanding 1.7 peratus purata negara.

Bagi memastikan kejayaannya, pelaksanaan ECER yang dijadualkan mengambil masa 12 tahun sehingga 2020, akan membabitkan tiga tempoh Rancangan Malaysia, iaitu RMK-9 (2006-2010), RMK-10 (2011-2015) dan RMK-11 (2016-2020).

Dengan pembangunan menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan fizikal, ECER menggariskan lima misi teras, iaitu:

  • Meningkatkan nilai tambah ekonomi.
  • Menambah keupayaan pengetahuan dan inovasi.
  • Menangani ketidakseimbangan sosio-ekonomi dengan cara membina dan produktif.
  • Memperbaiki mutu dan taraf hidup yang mampan.
  • Memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta institusi.


Presiden yang juga Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata daripada pelaburan keseluruhan RM112 bilion, sebanyak RM24 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh RMK-9, RM60 bilion (RMK-10) dan RM28 bilion (RMK-11).

Daripada jumlah itu, 20 peratus dijangka dilaburkan oleh sektor swasta, 14 peratus oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), 27 peratus menerusi dana inisiatif pembiayaan swasta (PFI) manakala bakinya oleh kerajaan.

"Sebahagian besar daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membangunkan rangkaian pengangkutan, iaitu jalan raya dan lebuh raya serta kemudahan infrastruktur utama lain," katanya dalam taklimat kepada media di sini, kelmarin.

Mohd Hassan berkata, pembangunan infrastruktur, terutama rangkaian pengangkutan lebih meluas dan prasarana cekap adalah faktor penentu dalam pembangunan wilayah berkenaan kerana ia mampu menarik kemasukan aliran pelaburan serta menambah nilai dalam ekonomi.

Antara projek peningkatan infrastruktur yang akan dilaksanakan ialah Fasa Tiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghubungkan Kuala Terengganu dan Kota Bharu, Fasa Empat LPT (Kuantan ke Johor Bahru) dan jalan menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah.

"Pelaksanaan ECER dijangka mewujudkan 561,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dengan kemiskinan tegar dihapuskan sepenuhnya," kata beliau.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER disasarkan meningkat daripada 5.7 peratus pada 2005 kepada 7.2 peratus menjelang 2020 dengan Terengganu dan Pahang masing-masing dijangka berkembang pada kadar 7.5 peratus, manakala Kelantan (6.4 peratus).

Mohd Hassan berkata, satu daripada komponen penting dalam pelaksanaan ECER ialah strategi meningkatkan daya maju sektor hartanah di wilayah terbabit terutama dengan memanfaatkan potensi Tanah Rizab Melayu.

Antara cadangan bagi merealisasikan usaha itu ialah menubuhkan sebuah dana amanah untuk membangunkan tanah terbabit. Menerusi cadangan ini, pemilik tanah terbabit akan dilantik sebagai anggota dana amanah berkenaan.

"Usaha membangunkan tanah rizab Melayu secara teratur itu perlu dilaksanakan kerana ia mewakili 40 peratus keluasan kawasan di ECER dan nilainya mesti ditingkatkan bagi memastikan kesan limpahan dinikmati masyarakatnya.

"Bagi memastikan ECER mempunyai guna tenaga yang cukup untuk menyokong pertumbuhannya, ia akan turut membabitkan usaha memantap serta menyusun semula lebih 190 institusi pendidikan yang kini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada dua bidang utama di ECER, iaitu pertanian dan pelancongan manakala sektor lain yang akan turut dimajukan ialah minyak dan gas, petrokimia, pembuatan serta bioteknologi," katanya.

Bagi memastikan pelaksanaan ECER berjalan lancar, Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur akan diwujudkan dengan dianggotai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri besar empat negeri terbabit, dua menteri serta wakil sektor swasta.

Majlis itu juga akan mempunyai seorang ketua pegawai eksekutif dan beroperasi seperti sebuah entiti swasta. Ketika ini, rang undang-undang mengenainya sedang dirangka dan akan dibentangkan untuk kelulusan negeri terbabit pada Disember.

INFO: Lima misi teras
  • Meningkatkan nilai tambah ekonomi
  • Menambah keupayaan pengetahuan dan inovasi
  • Menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dengan cara membina dan produktif
  • Memperbaiki mutu dan taraf hidup yang mapan
  • Memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta institusi

Oleh Aznan Bakar

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Sejumlah RM112 bilion akan dilaburkan untuk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hujung bulan depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, jumlah itu adalah peruntukan dalam tiga Rancangan Malaysia (RMK) dengan 40 peratus daripadanya akan digunakan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan dan kemudahan asas yang menjadi penentu penting kepada pertumbuhan pembangunan di wilayah berkenaan.

Katanya, Petronas merupakan perancang utama wilayah ekonomi itu, yang meliputi kawasan 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia.

“Daripada RM112 bilion itu, 20 peratus akan dibiayai oleh sektor swasta, 27 peratus melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bakinya oleh kerajaan,” katanya selepas taklimat kepada pengarang-pengarang kanan mengenai ECER di sini, semalam.

ECER akan dilancarkan di Kuala Terengganu dan Kota Bharu pada 30 Oktober dan di Kuantan pada 31 Oktober.

Ia merupakan wilayah pembangunan ketiga yang akan dilancarkan oleh Abdullah tahun ini selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Pembangunan Koridor Utara (Koridor Utara) yang meliputi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Dengan jumlah penduduk sebanyak 3.9 juta, dianggarkan RM30,000 perlu dibelanjakan ke atas setiap individu di wilayah itu dalam tempoh pelaksanaannya dari sekarang hingga 2020.

Bilangan penduduk di ECER merupakan 14.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini yang seramai 26.8 juta dan wilayah itu juga merupakan kawasan kediaman utama masyarakat bumiputera yang merupakan 86.6 peratus daripada penduduknya.

Ia diikuti oleh China 7.8 peratus, India 1.8 peratus dan lain-lain 3.8 peratus.

Peningkatan kemudahan jalan raya dan pengangkutan termasuk pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Terengganu dan Kota Bharu, fasa empat Lebuh Raya itu yang menghubungkan Kuantan ke Johor Bharu dan jalan raya menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah.

Selain itu, ia juga membabitkan pembinaan beberapa laluan jalan raya baru bagi menghubungkan ECER dengan wilayah-wilayah di Pantai Barat Semenanjung.

Menurut Hassan, matlamat utama pelan pembangunan ECER adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan di wilayah itu secara berdaya maju, seimbang dan mapan.

Dengan itu, katanya, ia akan dapat menangani ketidakseimbangan di wilayah itu kerana negeri-negeri di ECER mencatatkan pendapatan purata isi rumah antara yang paling rendah di Malaysia.

Pada ketika ini, Terengganu dan Kelantan adalah negeri yang mencatatkan kemiskinan tertinggi di Malaysia, yang mencatatkan 15.4 peratus dan 10.6 peratus kemiskinan di negara ini, dan diikuti oleh Pahang 4.9 peratus.

Di bawah pelan induk ECER katanya, sejumlah 561,000 pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2020 dan kemiskinan tegar disasarkan untuk dikurangkan kepada sifar.

Selain itu, wilayah ekonomi itu juga bertujuan untuk menggerakkan ekonomi, meningkatkan keupayaan bagi mendapatkan pengetahuan dan inovasi, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan, meningkatkan standard dan kualiti kehidupan dan mengukuhkan institusi dan melaksanakan keupayaan.

Selain menangani masalah akses ke wilayah itu, ketidakseimbangan dengan wilayah-wilayah lain di pantai barat dan kemiskinan tegar, ECER juga bermatlamat untuk menangani ketidakseimbangan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar.

“Pada masa yang sama ia juga akan menangani masalah infrastruktur asas, serta mengoptimumkan sektor hartanah, yang termasuk untuk meraih potensi Tanah Simpanan Melayu.

“Antara idea untuk mengoptimumkan Tanah Simpanan Melayu ialah secara mewujudkan satu amanah yang akan memajukan tanah berkenaan,” katanya.

Ini kerana Tanah Simpanan Melayu mewakili 40 peratus daripada tanah di ECER.

Hassan berkata, lebih 190 institut latihan dan institusi pengajian tinggi sedia ada yang terdapat dalam ECER juga akan dimaksimumkan peranannya supaya ia bukan sahaja untuk melatih orang tempatan meningkat ke rantaian nilai malah menarik mereka yang berada di luar untuk belajar di sana.

Selain pendidikan, katanya, sektor lain yang telah dikenal pasti untuk menyegarkan wilayah itu ialah pelancongan, minyak dan gas, petrokimia, pembuatan dan pertanian.

“Teras ECER ialah pertanian dan pelancongan,” katanya.

Mengenai pertanian, Hassan berkata, ia akan termasuk penanaman limau (sitrus), nanas, pemeliharaan kambing, penanaman herba dan pokok getah khusus bagi mendapatkan kayu yang akan digunakan untuk pembuatan perabot.

“Kami telah mengenal pasti kawasan 20,000 hingga 40,000 hektar bagi penanaman pokok getah untuk mendapatkan kayu,” katanya.

Dengan itu, katanya, aktiviti pembuatan perabot, yang kini tertumpu di selatan Semenanjung, akan tertarik ke ECER.

Bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI), Hassan berkata matlamatnya ialah untuk menarik semua jenis FDI, sama ada besar atau kecil, dalam bidang seperti pelancongan, pembuatan dan pendidikan.

Katanya, Petronas hanya bertanggungjawab untuk membangunkan pelan induk tersebut dan ECER akan diuruskan oleh sebuah majlis yang anggotanya termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar keempat-empat negeri, dua menteri Kabinet dan para wakil sektor swasta.

Petronas bagaimanapun katanya, akan menjadi salah satu wakil sektor swasta dalam majlis berkenaan yang akan mengendalikan ECER.

“Ia akan mempunyai satu majlis, rang undang-undangnya yang sedang digubal akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini,” kata Hassan.

PETALING JAYA: Misteri identiti mayat seorang kanak-kanak dalam beg pakaian yang disangka Nurin Jazlin Jazimin, 8, akan terjawab apabila keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui sebelum hujung minggu ini.

Sampel darah mangsa dikatakan sedang diuji untuk dipadankan dengan sampel darah ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman, yang diperoleh selepas proses pengecaman mayat berkenaan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Isnin lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, keputusan ujian itu penting bagi memadankan antara sampel darah mangsa dan ibu bapa Nurin, kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Wangsa Maju sejak sebulan lalu.

"Hasil ujian itu diharap dapat menjawab segala kekeliruan dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu dan misteri kehilangan Nurin. Ini termasuk dakwaan awal mayat itu adalah Nurin berdasarkan keadaan fizikalnya.

"Semua pihak, termasuk polis perlu menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak kekeliruan mengenai identiti mayat itu. Selagi keputusan ujian DNA belum keluar, jangan buat apa-apa andaian," katanya.

Beliau mengulas dakwaan kononnya polis sudah mengesahkan mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama di sini, Isnin lalu, sebagai Nurin berdasarkan keadaan fizikalnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya yang disumbat dalam beg pakaian dengan kaki mangsa dilipat ke dada, ditinggalkan berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama.

Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa dibunuh kurang dari 24 jam sebelum mayatnya ditemui, dengan kematian berpunca dari jangkitan kuman dalam kemaluannya, selain usus pecah akibat penderaan seksual.

Oleh Munira Yusoff

Permintaan mahu hakim bukan Islam dengar kes roboh �Kerajaan Langit� tak diterima

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan isteri pertama Ayah Pin, supaya panel hakim yang mendengar rayuannya terhadap perintah merobohkan bangunan dan replika yang didirikan di perkampungan mereka di Besut, Terengganu, didengar panel hakim bukan beragama Islam.

Panel tiga hakim diketuai Datin Paduka Zaleh Zahari berkata, peguam tidak patut memilih hakim yang mereka anggap patut mendengar kes mereka, kerana semua hakim mempunyai peranan sama iaitu melaksanakan keadilan mengikut undang-undang.


�Ini akan membuka pintu (kepada peguam lain) sedangkan kami sebagai hakim menjalankan tugas mengikut ketetapan yang dibenarkan undang-undang dalam semua aspek.

�Tujuan kami adalah untuk menyelesaikan kes ini dan kami tiada kepentingan peribadi atau terburu-buru untuk menamatkan kes ini,� katanya ketika menolak permohonan itu yang dibuat secara lisan oleh peguam Haris Ibrahim bagi pihak Che Minah Remeli di sini, semalam.

Turut bersidang Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Wira Abu Samah Nordin.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Haris untuk penangguhan prosiding bagi membolehkan Che Minah merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Haris membuat permohonan lisan supaya tiga hakim itu menarik diri daripada mendengar rayuan Che Minah dengan alasan anak guamnya bimbang mereka terpengaruh dengan fatwa kerajaan Negeri Terengganu, bahawa ajaran Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah.

Selain itu, katanya, anak guamnya juga bimbang dengan kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya Common Law dimansuhkan dan undang-undang Islam dimartabatkan, akan menyebabkan sistem perundangan negara diubah suai mengikut undangan-undang Islam.

Che Minah, 59, mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi memulakan prosiding terhadap dua pegawai Pejabat Tanah Daerah Besut kerana menghina satu perintah mahkamah.

Beliau yang juga pemilik tanah di perkampungan Kerajaan Langit kumpulan ajaran sesat itu, menamakan Pentadbir Tanah Besut, Datuk Wan Zahari Wan Ngah dan Penolong Pentadbir Tanah Besut, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, sebagai responden.

Pada 31 Julai 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut merobohkan struktur binaan di perkampungan Kerajaan Langit yang menjadi markas kumpulan ajaran Ayah Pin.

Oleh Johari Ibrahim dan Siti Fatimah Mohamed Anwar


TENGGELAM: Antara rumah ditenggelami banjir di Kampung Baru, Kota Kuala Muda di Sungai Petani, baru-baru ini.

Tiga takungan Mada masih di bawah paras tahap maksimum

ALOR STAR: Kerajaan negeri menolak dakwaan banjir yang melanda empat daerah di Kedah sehingga memaksa lebih 600 penduduk dipindahkan berpunca daripada air yang dilepaskan dari tiga empangan utama di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) tidak melepaskan air di Empangan Pedu, Ahning dan Muda kerana paras air di tiga empangan itu masih di bawah tahap maksimum.

Beliau berkata, paras air Empangan Pedu semalam ialah 94.2 meter berbanding tahap maksimum 96 meter.

"Paras air di Empangan Ahning pula ialah 354 kaki (106.2 meter) berbanding kapasiti maksimum 370 kaki (111 meter) dan Empangan Muda berada pada paras semasa 321 kaki (96.3 meter) berbanding tahap maksimum 370 kaki (111 meter)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Justeru, katanya, andaian kononnya Mada melepaskan air empangan berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan paras air beberapa sungai meningkat adalah tidak benar.

Mengenai bantuan kepada mangsa banjir di daerah Yan, Pendang dan Kota Star, Menteri Besar berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan negeri serta wakil rakyat bertindak cepat menghulurkan bantuan.

"Air laut tidak lagi pasang maksimum menyebabkan air sungai dapat dialirkan keluar ke laut lebih cepat dan keadaan akan bertambah baik sehari dua ini jika cuaca terus baik," katanya.

Selain itu, katanya, Mada juga sudah mengurangkan paras air di semua terusan miliknya bagi mengelakkan limpahan.

Mengenai langkah penebatan banjir, beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diberikan peruntukan keseluruhan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di sesebuah daerah supaya lebih berkesan.

Sementara itu, 80 lagi mangsa banjir membabitkan 19 keluarga dipindahkan ke Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah Pendang menjadikan jumlah mangsa di Pendang sehingga ini 243 orang.

Sementara itu, kira-kira 40 mangsa dari 10 keluarga di Kampung Permatang Limau, Alor Star dipindahkan pagi semalam apabila air Sungai Pendang mengalir ke Sungai Kedah.



UBAT RINDU: Jazimin dan isteri, Noraziah Bistaman bersama dua anak mereka Nurin Jazlisa, 1 tahun dan Nurin Jazhira, 9 tahun melihat gambar Nurin yang masih hilang.

PETALING JAYA: Bapa kanak-kanak hilang, Jazimin Abdul Jalil tetap yakin mayat dalam beg pakaian yang ditemui berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama, bukan anak perempuannya.

Beliau ketika dihubungi berkata, dia dan isteri memeriksa mayat itu berulang kali dan tidak jumpa apa-apa tanda yang dimiliki Nurin Jazlin yang hilang sejak sebulan lalu.

“Susunan gigi depannya (Nurin) kecil dan rapat, selain gigi taring yang sedikit panjang, tidak sama seperti mayat itu.


“Bagaimanapun, ada satu lagi tanda yang tidak boleh saya ceritakan kerana bimbang menjejaskan keselamatan Nurin. Biarlah ia menjadi rahsia saya dan isteri saja,” katanya yang yakin anaknya masih hidup.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, pula berkata pihaknya sedang mengenal pasti identiti seorang wanita yang imejnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis tempat beg berisi mayat itu ditemui.

Katanya, berdasarkan keadaan fizikal, wanita itu dipercayai berbangsa Melayu dan berusia lingkungan 20-an. “Polis sedang berusaha mengesannya untuk membantu siasatan. Dia didapati berada di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang Ahad lalu sebelum dijemput sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak.

“Wanita itu berambut hitam paras bahu, dengan ketinggian antara 1.55 hingga 1.6 meter. Ketika imejnya dirakamkan, dia memakai kemeja-T merah dan jeans biru,” katanya.

Beliau berkata, rakaman itu sudah dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis. Ditanya sama ada polis ada menerima sebarang maklum balas daripada ibu bapa atau waris kanak-kanak yang dibunuh kejam itu selepas gambarnya disiarkan media, beliau berkata, setakat ini belum ada perkembangan positif mengenainya.

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Seorang pakar pemakanan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyarankan supaya orang ramai kurangkan memakan ayam bagi membantu menjaga kesihatan.

Menurut mereka, pengambilan ayam secara berlebihan untuk jangka panjang boleh memburukkan kesihatan.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E. Siong berkata, pengguna seharusnya mempelbagaikan jenis makanan yang diambil bersama daging ayam.

Menurut beliau, pengguna boleh cuba memakan lebih banyak kekacang termasuk kacang dal dan soya sebagai sumber protein memandangkan harga ikan lebih mahal daripada ayam.

“Kekacang kaya dengan protein dan serat serta tidak mengandungi lemak tepu seperti yang terkandung dalam haiwan.

“Sebenarnya, kekacang berada dalam kelompok yang sama dengan daging, ayam, ikan dan telur dalam paras ketiga Garis Panduan Makanan,’’ jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kekacang tidak boleh mengganti daging ayam kerana kualiti proteinnya adalah kurang tetapi ia boleh dimakan sebanyak empat hingga lima kali dalam seminggu untuk mendapat sumber protein yang mencukupi.

“Pengguna boleh mengurangkan pengambilan ayam dengan memakan kekacang empat kali dalam seminggu, ikan (sekali seminggu) atau ayam (sekali seminggu), mempelbagaikan jenis makanan untuk mendapat keseimbangan,’’ ujarnya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris turut mencadangkan pengguna mengurangkan tabiat makan ayam pada musim perayaan atas faktor kesihatan.

Mohamed Idris berkata, ayam yang dikeluarkan pada musim perayaan berisiko tinggi kerana binatang ternakan itu disuntik dengan sejenis ubat bagi mempercepatkan pertumbuhan.

Katanya, ubat itu memberi kesan sampingan kepada manusia tetapi ia bergantung kepada daya ketahanan seseorang individu itu.

“Sebagai contoh, individu yang menghidap masalah alergi (alahan) mungkin akan menerima kesan daripada ubat itu.

“Difahamkan, kebanyakan ayam sebesar seminggu atau dua akan disuntik dengan ubat itu agar dapat dijual di pasaran dengan segera kerana permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan,” katanya.

Jelasnya, ubat itu memang diberi kelulusan tetapi tidak digalakkan kerana ayam itu akan menyusut selepas 42 hari.

Selain itu, tambahnya, sejenis antibiotik juga dimasukkan ke dalam makanan ayam bagi meningkatkan ketahanan terhadap jangkitan penyakit.

“Bagaimanapun, antibiotik itu tidak berbahaya kepada manusia,” katanya.

Oleh Saufi Hamzah, Shamshul Azree Samshir dan Hanneeyzah Bariah Baharin

PUTRAJAYA: Kabinet semalam membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan aplikasi eKesihatan yang mewajibkan semua pemandu kenderaan komersial menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian air kencing di klinik panel yang diperakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid dalam kenyataan satu perenggan mengumumkan aplikasi eKesihatan yang sepatutnya dilaksanakan 1 Oktober ini, ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam kenyataan kepada Bernama pula menjelaskan Kabinet berpendapat Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu dirujuk sebelum projek penswastaan itu dilaksanakan.

"EPU kemudian akan menyelaras pelaksanaannya dengan pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan," katanya.

Minggu lalu, JPJ mengumumkan semua pemandu kenderaan komersial yang hendak memperbaharui atau memohon Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) diwajib menjalani pemeriksaan kesihatan serta ujian air kencing di 611 klinik panel yang diperakui jabatan itu, mulai 1 Oktober ini.

Peraturan baru yang turut mewajibkan pemandu mendaftar dan menjelaskan bayaran RM80 di Pejabat Pos sebelum membuat pemeriksaan di klinik panel, bagaimanapun menimbulkan kontroversi apabila dibantah pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mendakwa pelantikan klinik panel itu melanggar Akta Perubatan 1971.

Selain itu, bayaran RM80 itu dianggap terlalu mahal dan Supremme Systems Sdn Bhd yang menerima kontrak bagi mengendalikan aplikasi berkenaan, didakwa akan meraih keuntungan 'atas angin' hampir RM400 juta dalam tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Supremmne Systems, Datuk Nordin Yahya, kelmarin menafikan dakwaan itu kerana syarikat berkenaan hanya menerima kontrak untuk tempoh lima tahun saja.

Ketika dihubungi Berita Harian semalam pula, Nordin berkata, Supremme Systems akan mematuhi keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan aplikasi berkenaan.

Nordin berkata, syarikat itu akan menghubungi JPJ bagi mengadakan perbincangan dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

"Malah, sehingga kini kita belum mendapat surat rasmi mengenai tawaran projek ini," katanya.

Ahmad Mustapha ketika dihubungi Berita Harian menjelaskan sementara pengumuman baru dibuat, JPJ kembali memproses pengeluaran lesen PSV dan GDL sama ada permohonan baru atau memperbaharuinya melalui kaedah lama yang menggunakan borang JPJL8/JPJL8A.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi, Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Yusof Lahir, mempersoalkan penswastaan urusan pemeriksaan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia hanya membebankan pemandu.

"Apa yang kita pertikaikan ialah kenapa pemandu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan melalui syarikat itu? Bukankah lebih baik jika ia dibuat di klinik yang diselia Kementerian Kesihatan?

"Penggunaan orang tengah hanya menyebabkan kos pemeriksaan kesihatan lebih mahal," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ketika ini, pemandu yang membuat permohonan baru PSV dan GDL dikenakan bayaran RM50 untuk laporan perubatan dan RM20 bagi mengemas kini laporan perubatan sebelum memperbaharui lesen.

Yusof berkata, Petekma yang mempunyai lebih 100,000 ahli juga bimbang pelaksanaan eKesihatan di klinik panel yang berdaftar dengan Supremme System, disalahgunakan sesetengah pihak.

"Sebelum ini pemandu yang ingin memohon PSV perlu menghadiri kursus di JPJ melalui agensi yang dilantik, tetapi apa yang berlaku sebahagian besar pemandu hanya membayar sejumlah wang kepada agensi itu untuk mendapatkan sijil kursus," katanya.

Presiden MMA, Datuk Dr Khoo Kah Lin dalam satu kenyataan semalam pula berkata, pihaknya mahu JPJ dan Supremme Systems merujuk persatuan itu sebelum melaksanakan eKesihatan.

"MMA sudah menghubungi JPJ dan Supremme Systems baru-baru ini, tetapi dimaklumkan pegawai yang berkenaan tiada di dalam negara dan mesyuarat hanya akan diadakan minggu depan," katanya.

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Kerajaan hari ini menangguhkan pelaksanaan sistem e-Kesihatan bagi pemandu kenderaan komersial yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid berkata, tarikh baru bagi melaksanakan sistem itu bagaimanapun masih belum ditetapkan.

Menurutnya, beliau diminta oleh Kementerian Pengangkutan untuk memaklumkan perkara itu melalui kenyataan akhbar untuk pengetahuan umum.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu mengapa keputusan itu dibuat kerana hari ini mesyuarat pasca-Kabinet tidak diadakan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Difahamkan, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet hari ini.

e-Kesihatan ialah pemeriksaan menyeluruh merangkumi ujian darah dan air kencing di 611 klinik panel yang ditetapkan sebelum keputusannya dihantar ke JPJ secara elektronik bagi mengelak pemalsuan.

Pemeriksaan itu wajib dilakukan semua pemandu yang ingin memperbaharui atau memohon lesen memandu kenderaan awam (PSV) serta lesen memandu barangan (GDL).

Peraturan baru itu turut mewajibkan pemandu menjelaskan bayaran sebanyak RM80 di pejabat pos.

Sabtu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, langkah kerajaan memperkenalkan sistem itu bertujuan mengatasi kelemahan sistem pemeriksaan kesihatan sedia ada.

Bagaimanapun, pelaksanaan sistem itu menimbulkan kontroversi bahawa syarikat yang menerima kontrak bagi mengendalikan sistem itu, akan meraih keuntungan ‘atas angin’ hampir RM400 juta dalam tempoh 15 tahun.

Antara yang membantah cadangan itu ialah Persatuan Pemilik Teksi Wilayah Persekutuan dan Persatuan Pekerja Teksi Kuala Lumpur.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut mendakwa pelantikan klinik panelnya melanggar Akta Perubatan 1971.

Malah Persatuan Pengguna Pulau Pinang dalam Forum Utusan hari ini turut membantah pelaksanaannya yang terdedah kepada penyelewengan.

Cadangan sebahagian daripada rombakan Perlembagaan Turki

ANKARA: Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan menyuarakan hasrat menarik balik pengharaman pemakaian tudung di universiti di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beliau dipetik Financial Times berkata, cadangan itu adalah sebahagian daripada rombakan Perlembagaan Turki.

"Hak wanita mendapat pendidikan tidak seharusnya disekat hanya kerana ketrampilan mereka. Perkara itu tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Barat, tetapi keadaan sebaliknya di sini. Sehubungan itu, saya percaya ia menjadi tanggungjawab utama ahli politik menyelesaikan masalah itu," katanya dalam temubual dengan akhbar itu di sini.

Kenyataan oleh pemimpin Parti Pembangunan dan Keadilan (AK) yang memerintah selepas meraih kemenangan besar mandat lima tahun dalam pilihan raya Julai lalu, dilihat boleh mencetuskan ketegangan baru dengan kelompok elit sekular, termasuk kalangan jeneral tentera.

Ini disebabkan jeneral tentera menuduh Erdogan sememangnya mahu memantapkan kedudukan Islam di Turki.

Pihak sekular sememangnya menganggap pemakaian tudung sebagai ancaman simbolik terhadap dasar lama Turki mengasingkan negara dan agama.

Mereka juga bimbang sebarang tindakan pembatalan pengharaman itu boleh memberi tekanan sosial terhadap wanita yang tidak menutup aurat untuk mula memakai tudung di Turki yang sememangnya didiami ramai umat Islam.

Bagaimanapun, Parti AK sudah menegaskan yang persoalan itu membabitkan hak kebebasan bersuara. Larangan pemakaian tudung di kampus dikuatkuasakan pada 1982 iaitu selepas berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Kerajaan Erdogan sudah berikrar menggantikan Perlembagaan era tentera dengan dokumen baru yang memberi tumpuan khusus kepada hak asasi individu dan kebebasan yang selaras dengan syarat ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) � blok yang ingin disertai Ankara.

"Kami mahukan Perlembagaan yang dapat memberi perlindungan serta jaminan yang negara itu berlandaskan undang-undang demokratik, sekular dan kepentingan sosial. Perlembagaan ini bakal meletakkan Turki di haluan sebenar dan sudah menjadi kewajipan kita membahaskannya serta membincangkannya dengan seberapa ramai rakyat," katanya.

Parti AK ketika ini membahaskan deraf teks yang dirangka sepasukan pakar undang-undang. Media tempatan sebaliknya berkata mereka masih bertelagah mengenai cara sesuai menyenaraikan isu tudung dalam Perlembagaan itu.

Pihak tentera yang sejak sekian lamanya menganggap dirinya sebagai �penjamin mutlak� peraturan sekular, sememangnya memantau debat itu dengan rapat. Malah, selain pihak tentera, pasaran saham Turki juga tidak terkecuali melihat perkembangan itu. � Reuters

JAKARTA 19 Sept. – Satu lagi gempa bumi baru berukuran 6.4 pada skala Richter telah melanda selatan Sumatera.

Menurut Jabatan Meteorologi, gempa itu berlaku di tempat yang sama ia melanda minggu lepas.

Gempa itu dikesan berlaku pada pukul 7.27 pagi waktu tempatan (3.27 petang waktu Malaysia) di kedalaman 26 kilometer dalam laut tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Pada minggu lepas, gempa bumi yang kuat berukuran 8.4 mengikut skala Ritcher melanda selatan Sumatera telah mengorbankan seramai 23 orang.

Sementara itu, Ketua Pemantau Boya Oseanografi Indonesia, Ridwan Djamaluddin berkata, boya untuk memberikan amaran awal tentang kedatangan tsunami akan dipasang di bahagian pantai selatan Sumatera minggu depan.

Beberapa boya lain telah pun dipasang sebelum ini yang mampu mengesan sebarang pergerakan aneh yang berlaku di dasar laut sekiranya terdapat gempa bumi.

– AP

BERITA HARIAN

Polis dapat petunjuk kes mayat dalam beg

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Hardi Effendi Yaacob




KUALA LUMPUR: Penemuan beberapa helaian rambut pada mayat kanak-kanak perempuan yang disumbat dalam beg pakaian (gambar) di Taman Petaling Utama di sini, kelmarin, dijangka dapat membantu polis mengenal pasti identiti pembunuhnya.

Helaian rambut itu serta sampel darah mangsa dikatakan dihantar ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurut sumber, kanak-kanak itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya yang disumbat dalam beg pakaian dengan kaki mangsa dilipat ke dada, ditinggalkan berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama.

"Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam sebelum mayatnya ditemui," katanya kepada Berita Harian.

Penemuan mayat kanak-kanak itu kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, pada mulanya disangka Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang selepas mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, selepas proses pengecaman dilakukan ibu bapa Nurin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang kelmarin, mayat itu disahkan bukan Nurin.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati ususnya pecah dan mengalami pendarahan teruk di bahagian dalam perut akibat disumbat benda keras, yang dipercayai timun dan terung.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan Jabatan Forensik HKL turut mengesahkan terdapat banyak kesan lebam di badan mangsa, dipercayai dipukul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa adalah warga asing kerana tiada kesan suntikan BCG ditemui pada lengannya.

"Berdasarkan keadaan fizikalnya, mangsa dipercayai berusia lapan hingga 10 tahun, dengan ketinggian 150 sentimeter dan berat kira-kira 18 kilogram serta mempunyai tanda lahir pada paha kiri.

"Mangsa bertubuh kurus, kulit cerah dan berambut kerinting paras telinga," katanya kepada pemberita di sini.

Polis semalam turut mengedarkan gambar mangsa dalam usaha mengesan waris kanak-kanak itu kerana mayatnya ditemui tanpa dokumen pengenalan diri.

"Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran turut dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu jika ada laporan kanak-kanak hilang di kawasan mereka. Bagaimanapun, belum ada apa-apa perkembangan positif setakat ini," katanya.

Orang ramai yang mengenali mangsa atau kehilangan anak perempuan diminta menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Arjunaidi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

"Ini pembunuhan yang kejam kerana membabitkan mangsa kanak-kanak. Melihatkan keadaan mayat dan kecederaan dialaminya, pembunuhnya seorang yang tidak berperikemanusiaan dan ada kemungkinan mengalami masalah mental," katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat beg berisi mayat itu ditemui dalam usaha mengesan suspek.

"Rakaman CCTV yang diberikan syarikat penerbitan itu tidak menunjukkan rakaman luar premis, kecuali rakaman dari kedai di sebelahnya tetapi fokus kamera tidak menghala ke tempat kejadian.

"Kita masih meneliti rakaman individu yang lalu lalang di tempat kejadian dalam tempoh 24 jam sebelum mayat ditemui," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Pembunuh yang bertanggungjawab terhadap kematian seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya dibogelkan dan disumbat dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya dekat sini semalam disifatkan sebagai sangat kejam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pembunuh terbabit juga tidak berperikemanusiaan.

‘‘Kejam dan sangat tidak berperikemanusiaan. Polis sedang menyiasat kes ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak berusia di antara enam hingga sembilan tahun dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di hadapan tangga sebuah premis di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini semalam.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Kuala Lumpur mendapati pembunuh telah melakukan penderaan seksual terhadap mangsa.

Mangsa mati akibat kecederaan dalam perut ekoran dirodok dengan objek tumpul secara seksual.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, pembunuhan kejam itu telah mendorong polis untuk mengkaji semula kes ‘Pencabul Kampung Baru’ yang diburu pihak berkuasa sejak tiga bulan lepas.

‘Pencabul’ itu dipercayai boleh membantu pihak polis untuk menyelesaikan dua kes pencabulan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dengan mangsa turut mengalami serangan seksual.

Penjenayah itu dipercayai menggunakan taktik memujuk mangsa supaya mengikutnya untuk mencari kucing milik suspek yang kononnya hilang sebelum mencabul mangsa.

Antara dialog yang pernah digunakan suspek; ‘‘Adik nampak kucing abang tak? Boleh tolong abang carikan kucing abang?’’

Sementara itu, mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes bunuh itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di talian 03-7966-2222.

BERITA HARIAN

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


SUASANA PILU: Norashila memeluk erat ibunya dalam pertemuan di Pantai Dalam, semalam.

KUALA LUMPUR: "Mak dan abah sayangkan kamu...abah masakkan sambal udang yang kau minta dan hantar mesej (melalui SMS) merayu kau pulang, tapi kenapa tak pulang," itulah rintihan ibu Norashila Jaafar, 12, kepada anaknya yang ditemui semula semalam, selepas tidak pulang ke rumah sejak malam Sabtu lalu.

Zaima Osman, 33, menitiskan air mata sebaik kedua-dua beranak itu dipertemukan di Balai Polis Pantai, dekat sini, selepas anaknya keluar dari rumah di Blok B-1-23A Apartmen Dahlia, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, dekat Rawang, jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Suasana pilu itu menyelubungi wartawan dan anggota polis apabila Zaima mendakap erat Norashila yang mulanya kelihatan bersahaja, tetapi turut memeluk erat ibunya sambil menitiskan air mata.

Norashila, pelajar Tahun Enam Sekolah Rendah Taman Bunga Raya serta dua rakannya, Rosbazla Mohd Basri dan Nursyakila Azlan, masing-masing berusia 14 tahun, ditemui di Pantai Dalam, jam 12 tengah hari semalam.

Norashila dikatakan mengajak dua rakannya itu mengikutinya kerana mahu 'membawa diri' selepas merajuk kerana dimarahi bapanya, Jaafar Abdullah, 38.

Berikutan itu, ketiga-tiga keluarga remaja berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Sentosa.

BERSYUKUR: Rosbazla dipeluk ibunya Rosminani Mat Sarif selepas ditemui di Pantai Dalam, semalam.

KASIH BAPA: Azalan Amad bertanyakan sesuatu kepada Nursyakila ketika bertemu semula anaknya.

Bagaimanapun, semalam Norashila menghubungi ibunya jam 9.30 pagi untuk memberitahu kedudukannya di Stesen Komuter Pantai Dalam, dekat sini.

Norashila kemudian diambil datuknya, Osman Mohd Ali, 55, dan dibawa ke Angkasapuri iaitu tempat datuknya bertugas, sebelum menunjukkan Rosbazla dan Nursyakila di sebuah siber kafe yang terletak beberapa meter dari stesen komuter berkenaan.

Zaima yang ditemui sebelum itu berkata, beliau cemas kerana suara Norashila seperti dalam ketakutan ketika menghubunginya.

"Setelah tahu kedudukan, saya terus hubungi bapa saya di Angkasapuri dan ketika bapa saya tiba, Norashila seperti bersembunyi di bawah jambatan.

"Saya begitu bimbang kerana kami berusaha menghubungi telefon bimbit suami saya yang dibawa anak saya itu, tapi tidak dijawab.

"Hanya sekali Norashila berjaya dihubungi nenek dan ibu saudaranya dan ketika itu anak saya meminta kami menambah kredit kad telefon bimbitnya," katanya.

Sementara itu, Norashila berkata, beliau dan dua rakannya itu hanya makan roti bagi mengalas perut sepanjang menghilangkan diri.

"Mulanya, saya hanya mahu keluar satu malam saja, tapi akhirnya jadi begini," katanya.

Katanya, bersama Rosbazla dan Nursyakila, dia mulanya bermalam di rumah rakan sekolahnya di Bukit Beruntung pada Sabtu sebelum keesokannya, menaiki komuter dari Rawang ke pusat beli-belah Mid Valley, di sini.

Mereka kemudian bertemu rakan lelaki Nursyakila, sebelum menaiki komuter dan berhenti di Stesen Pantai Dalam.

"Kami kemudian dibawa ke siber kafe itu dan bermalam di situ selama dua malam," katanya yang mengesahkan mereka tidak diperlakukan apa-apa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sulaiman Junaidi berkata, polis tidak mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kehilangan tiga remaja itu dan mereka diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.



UTUSAN MALAYSIA

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang bersama dua remaja berusia 14 tahun sejak Sabtu lalu, sebenarnya lari dari rumah setelah dimarahi bapanya.

Kanak-kanak tersebut, Norashila Jaafar telah kembali ke pangkuan keluarganya hari ini dan menceritakan pengalamannya berpindah-randah bagi mengelak daripada dimarahi oleh bapanya, Jaafar Abdullah, 40.

Norashila memberitahu, sepanjang ‘kehilangannya’ itu, dia menumpang tidur di kafe siber bersama dua anak jiran sebelum membuat panggilan kepada ibunya hari ini.

‘‘Sebelum ini, saya bermalam di rumah kawan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada malam Sabtu yang lalu, naik komuter ke pusat beli-belah Mid Valley keesokan pagi dan seterusnya naik bas ke Puchong.

‘‘Semalam, saya sekali lagi pergi ke Mid Valley dan kemudiannya mengikut kawan-kawan ke kafe siber,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norashila membuat panggilan kepada ibunya kira-kira pukul 10 pagi ini memberitahu dia berada di stesen komuter Pantai Dalam dan meminta ditambah nilai telefon bimbitnya.

Gadis itu ditemui oleh datuknya, dalam keadaan ketakutan di bawah sebuah jambatan berhampiran stesen komuter Pantai Dalam sebelum dibawa berjumpa dengan bapanya yang bekerja di Angkasapuri.

Pelajar Sekolah Rendah Taman Bunga Raya dilaporkan hilang bersama dua lagi remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan jirannya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, sebuah kawasan perumahan yang terletak kira-kira 50 kilometer ke utara Kuala Lumpur.

Dua remaja perempuan itu ialah Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

Sebelum ini, Jaafar telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bahru mengenai kehilangan Norashila.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Sulaiman Junaidi berkata, sebaik sahaja mendapat maklumat daripada Norashila, polis menemui dua lagi pelajar yang hilang itu di kafe siber di bangunan tiga tingkat, Lot 11, Jalan 2/112F, Pantai Dalam di sini.

Sulaiman berkata, kafe siber itu terletak lebih kurang 50 meter dari stesen komuter Pantai Dalam.

Tambahnya, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga remaja itu mendapati bahawa mereka keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing.

BERITA HARIAN


EDAR POSTER: Wakil PPP membantu mengedarkan poster Nurin yang hilang sejak tiga minggu lalu di Plaza Tol Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 poster kanak-kanak perempuan yang hilang sejak tiga minggu lalu, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diedarkan kepada pengguna Lebuh Raya Karak di Plaza Tol Gombak, di sini, semalam sebagai usaha mengesan kanak-kanak itu.

Naib Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Datin Ismalina Ismail, berkata usaha itu masih diteruskan selepas mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui di Petaling Jaya, kelmarin disahkan bukan Nurin.

"Sebanyak 5,000 poster diedarkan sebelum ini, terutama di Lembah Klang. Kali ini, jumlah itu dipertingkatkan kepada 10,000 keping, dengan harapan dapat diedarkan ke seluruh negara, sekali gus membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat untuk membantu mengesan Nurin," katanya.

Projek itu turut mendapat kerjasama Parti Progresif Penduduk (PPP), Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia (Perisi) dan MTD Capital Bhd selaku pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Ismalina berharap pengedaran poster itu dapat memberi kesedaran lebih meluas kepada orang ramai supaya lebih prihatin terhadap kehilangan Nurin.

"Saya agak terkejut apabila mendapati ada di kalangan masyarakat masih tidak mengetahui kes ini. Saya juga berharap kanak-kanak itu dapat ditemui semula Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil, berkata beliau terkejut dan berdebar apabila dimaklumkan mengenai penemuan mayat kanak-kanak perempuan kelmarin.

"Keadaan saya masa itu hanya Tuhan saja yang tahu tapi naluri saya berkata anak saya masih hidup, namun saya bersyukur mayat tersebut bukan anak saya," katanya.
BERITA HARIAN





KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling (Unit Kanak-kanak) sedang mengesan ibu bapa atau waris kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dikenali sebagai Yong Kian Tong (gambar).

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Maslinda Amiruddin, berkata kanak-kanak yang berada di bawah jagaan dan seliaan Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat itu dirujuk oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak institusi.

"Sehingga kini, tiada pihak yang tampil menuntut kanak-kanak berkenaan. Sehubungan itu, diharap keluarga atau waris terdekat dapat menghubungi talian 03-79571287 dengan segera.

"Mereka juga boleh ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di Tingkat 6A, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan, Petaling Jaya untuk menuntut kanak-kanak berkenaan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa patut dipersalah sepenuhnya dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah.

Musa menegaskan, tugas menjaga anak-anak bukannya terletak di bahu polis tetapi merupakan tanggungjawab hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.

“(Tugas menjaga) anak takkan hendak diserahkan kepada jiran pula untuk menjaganya, itu sudah jelas tanggungjawab ibu bapa.

“(Ibu bapa) kena jaga betul-betul anak masing-masing dan kena tahu setiap gerak-geri, ke mana mereka pergi dan apa mereka buat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai kehilangan tiga kanak-kanak perempuan di Bukit Beruntung, Selangor, kematian menyayat hati seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian dan misteri kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang masih belum terjawab sehingga ke hari ini.

Ketua Polis Negara memberitahu, ibu bapa juga perlu tahu dengan siapa anak masing-masing berkawan termasuk latar belakang orang yang mereka dampingi.

“Jika tanggungjawab itu dapat dihayati oleh setiap ibu bapa, kes kanak-kanak hilang akan dapat dibendung,’’ katanya.

Sementara itu, Statistik Orang Hilang/Jumpa Seluruh Negara yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, 66 kes (10-13 tahun) dan 659 kes membabitkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun.

Statistik itu juga menunjukkan remaja perempuan Melayu paling ramai dilaporkan hilang iaitu 497 orang diikuti remaja lelaki Melayu sebanyak 119 orang.

Mengulas fenomena itu, Musa berkata, pihak polis tidak dapat memastikan sama ada ia ada kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.

“Saya tidak mahu mengulas kehilangan mereka ini ada kaitan dengan sindiket atau ada elemen pendatang asing tanpa izin,’’ ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Kafe siber yang menjadi tempat ‘persembunyian’ tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang tiga hari lalu dan ditemui semula hari ini adalah lokasi kegemaran murid-murid melepak pada waktu persekolahan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke premis tersebut yang terletak di Kampung Pantai Dalam berdekatan Stesen Komuter Pantai Dalam mendapati hampir 20 murid sekolah sedang asyik bermain permainan video di premis itu.

Lebih menghairankan, premis yang beroperasi di tingkat satu bangunan rumah kedai tiga tingkat itu tidak mempunyai sebarang papan tanda perniagaan.

Tinjauan juga mendapati, pelajar yang kebanyakannya beragama Islam tanpa segan silu menikmati makanan ringan dan merokok di dalam kafe itu tanpa mengendahkan kemuliaan bulan Ramadan.

Ketika ditanya kepada pengendali premis itu, kadar bayaran bagi penggunaan Internet selama 40 minit ialah RM1 manakala untuk tempoh sejam dikenakan RM2.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa kesal dengan kewujudan kafe siber tersebut yang dikatakan boleh menghancurkan masa depan generasi muda di situ.

Menurut mereka, murid-murid sekolah sepatutnya berada di sekolah pada waktu pagi, sebaliknya mereka mengunjungi kafe siber itu seawal pukul 9 pagi.

Mereka turut mendakwa, kafe siber itu beroperasi sehingga subuh.

Norashila Jaafar, 12, yang hilang selepas pergi ke surau berhampiran rumahnya di Bukit Beruntung dekat sini untuk solat sunat tarawih pada Rabu lalu dilaporkan menumpang tidur di kafe siber itu.

Dia ditemui bersama dua remaja perempuan yang lari bersamanya iaitu Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

BERITA HARIAN

Oleh Norfatimah Ahmad

Kelemahan akan disenarai elak salah urus dana awam

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara akan mengesan kelemahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diperbaiki bagi menghasilkan laporan kewangan yang sempurna pada peringkat kementerian dan kerajaan negeri.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata penemuan dalam kajian dilaksanakan selepas selesai membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2006 itu akan turut mempertimbangkan beberapa perubahan pelaksanaan SOP.

"Kita akan senaraikan beberapa kelemahan dikesan, termasuk memastikan kesalahan berulang dan tindakan tidak mematuhi peraturan ditetapkan dalam kelulusan perbelanjaan dan draf penyata kewangan tidak berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan audit yang dibentangkan 7 September lalu mendedahkan beberapa persoalan termasuk kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk pembelian 13 peralatan dan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ia termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Turut didedahkan ialah tindakan ketua setiausaha kementerian berkenaan menandatangani 11 kontrak bernilai RM7.99 juta hingga RM74.2 juta berkaitan projek IKBN bagi pihak kerajaan, tetapi tiada surat penurunan kuasa dikemukakan ketika diaudit.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad memaklumkan beberapa SOP dalam sistem tadbir urus negara dijangka diubah berikutan isu salah urus dana awam termasuk pembelian peralatan serta pengurusan projek yang dibentangkan dalam laporan audit.

Shahrir berkata, langkah itu perlu untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Ambrin berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak untuk berbincang dan menjelaskan lebih terperinci beberapa isu dibangkitkan dalam laporan audit itu.

"PAC adalah antara pihak yang akan ditemui minggu depan,� katanya.

Beliau berkata, laporan audit tahun lalu lebih terperinci apabila pihaknya melaksanakan pendekatan baru dengan membezakan laporan penyata kewangan dengan aktiviti dan kajian khas jabatan atau agensi di peringkat negeri.

Mengenai Indeks Akauntabiliti terhadap semua kementerian dan kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan, Ambrin berkata, pelaksanaannya akan diperkenalkan untuk laporan audit tahun ini.
BERITA HARIAN

Oleh Johari Ibrahim dan Ahmad Che Doh


MANGSA BENCANA: Sebahagian penduduk di pusat pemindahan banjir Kampung Rantau Panjang, Kepala Batas, berikutan rumah mereka dinaiki air hampir satu meter, semalam.

Paras air Sungai Rambai naik kepada 2.34 meter

ALOR STAR: Seramai 152 lagi penduduk di dua kampung di daerah Pendang dipindahkan apabila kampung mereka dinaiki air lebih satu meter sejak pagi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa berpindah 163 orang.

Penduduk terbabit dari Kampung Rambai Padang dan Seberang Tanah Merah, dipindahkan pagi semalam apabila paras air Sungai Rambai meningkat daripada 2.31 meter pada jam 7 pagi kepada 2.34 meter menjelang petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Pendang berkata, semua mangsa banjir semalam daripada 34 keluarga berbanding dua keluarga yang dipindahkan kelmarin.

Beliau berkata, selain dua kampung berkenaan, kawasan lain di Pendang yang dinaiki air antara 0.5 hingga satu meter ialah Kampung Belakang Pendang, pekan Pendang, Banggol Besi, Lubuk Getah dan Batu 16.

Sementara itu, paras air Sungai Pendang tidak berubah iaitu 3.04 meter, 0.34 meter melebihi paras bahaya.

Banjir di Pendang berlaku apabila arus Sungai Pendang bertemu dengan Sungai Rambai yang menyebabkan air melimpah.

Berikutan itu, walaupun cuaca bertambah baik sejak pagi semalam, kawasan berkenaan masih dinaiki air yang dialirkan dari kawasan tadahan yang mengalami hujan sejak empat hari lalu.

Di Yan, 463 mangsa banjir dari dua kampung, Titi Teras dan Teroi Bukit, yang dipindahkan sejak Sabtu lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Yan berkata, bagaimanapun penduduk diarah terus berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Keadaan banjir di Kuala Muda juga bertambah baik apabila air Sungai Muda yang melimpah memasuki 11 kampung kelmarin surut semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri ketika dihubungi berkata, Pejabat Daerah Kuala Muda tidak membuka bilik gerakan kerana keadaan tidak membimbangkan, tetapi akan terus memantau keadaan.

Di KEPALA BATAS, seramai 108 penduduk daripada 27 keluarga di Kampung Rantau Panjang, Seberang Prai Utara (SPU) dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter, malam kelmarin.

SPU adalah daerah terbaru di negeri yang dilanda banjir selepas Seberang Prai Tengah (SPT) dan Seberang Prai Selatan (SPS) sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, semua mangsa banjir di SPT dan SPS dibenarkan pulang dan pusat pemindahan di kedua-dua daerah itu sudah ditutup, semalam.

Jurucakap Pejabat Daerah SPU berkata, penduduk berkenaan dipindahkan tengah malam kelmarin ke pusat pemindahan di kampung itu apabila paras air Sungai Muda meningkat.

"Paras air sungai yang semakin meningkat menyebabkan hampir 1,000 penduduk di lapan kampung di sepanjang sungai itu berada dalam kebimbangan tetapi hanya penduduk Kampung Rantau Panjang yang dipindahkan," katanya.

Antara kampung berkenaan ialah Kampung Pinang Tunggal, Pantai Kamlon, Tanjung Rambai, Kampung Titi Merdeka, Pengkalan Bongor dan Permatang Bendahari, kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Seorang penduduk Pantai Kamlon, Aziz Talib, berkata keluarganya sudah memindahkan barang ke tempat selamat termasuk ke tingkat atas rumahnya, sebaik saja air naik tengah malam kelmarin.

"Walaupun paras air sungai semakin surut, kami masih bimbang dilanda banjir jika berlaku hujan di Baling, Kedah," katanya.
UTUSAN MALAYSIA



KASIH ISTERI... Roziah Man, 59, berusaha membawa suaminya, Ramli Hassan, 72, yang uzur dengan menaiki tayar jentera pembajak sebagai rakit untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka dinaiki air di Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah, semalam. – Gambar Ismail Kamadin.

PENDANG 18 Sept. – Sebanyak 211 penduduk daripada 45 keluarga di 11 buah kampung di daerah ini telah berpindah ke Kompleks Rakan Muda Tanah Merah di sini apabila rumah mereka dinaiki air sejak tiga hari lalu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Pendang, Mohamad Subhi Abdullah berkata, banjir yang melanda kampung berkenaan belum menunjukkan tanda surut malah dijangka semakin naik walaupun hujan lebat tidak turun semalam.

“Mereka mula berpindah ke kompleks tersebut sejak pukul 10 pagi semalam sebagai langkah berjaga-jaga ekoran paras air sungai di daerah ini yang juga telah melepasi paras berbahaya,” katanya ketika ditemui di kompleks tersebut di sini hari ini.

Katanya, kampung terlibat ialah Kampung Belakang Pendang, Banggol Besi, Seberang Pendang, Lubuk Gajah, Alor Punti, Kampung Rambai Padang, Seberang Sungai Tanah Merah, Batu 16, Tanjung Radin, Sukamari dan Simpang Tiga Tobiar.

Menurutnya, paras air Sungai Pendang tengah hari ini mencatatkan bacaan 3.04 meter manakala paras berbahayanya adalah 2.7 meter.

Tiga sungai lain katanya, turut melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Rambai (2.34 meter), Sungai Cegar (4.85 meter) dan Sungai Lubuk Batu (6.56 meter).

Subhi memberitahu, kampung-kampung yang terlibat dengan banjir tersebut terletak di kawasan rendah dan sering mengalami banjir terutama jika hujan lebat berterusan beberapa hari.

“Anggota keselamatan seperti Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) juga kini berada di kawasan-kawasan berisiko untuk mengambil sebarang tindakan,'' ujarnya.

Dalam pada itu Subhi berkata, kompleks berkenaan mampu menampung kira-kira 500 orang sekiranya keadaan banjir bertambah buruk dan ia turut dibantu Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK) dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian dan Setiausaha PBANK, Abdul Aziz Embi turut mengunjungi mangsa banjir di kompleks berkenaan.

Md. Rozai turut meminta orang ramai yang rumah mereka dinaiki air agar berpindah sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

“Sesetengah mangsa banjir mengambil sikap tunggu dan lihat apabila rumah mereka dinaiki air pada sebelah siang tetapi menjadi panik pada waktu malam terutama jika bekalan elektrik terputus.

“Walaupun operasi menyelamat boleh dijalankan tetapi ia membahayakan bot-bot terlibat yang kipasnya mungkin tersangkut pada kawat pagar atau pukat serta halangan lain,” ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 18 Sept. – Hampir 500 rumah di 13 perkampungan sekitar Sungai Muda dan pesisir pantai Kuala Muda masih ‘berendam’ dalam air sejak tiga hari lalu.

Banjir yang melanda turut menjejaskan kehidupan lebih 1,500 penduduk di Mukim Kota Kuala Muda.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kebanyakan rumah di Kampung Rantau Panjang, Kampung Alor Jawi, Kampung Bukit Lalang, Kampung Pokok Kabu, Kampung Sireh dan Kampung Seberang Terus masih lagi dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Luar-Seberang Terus-Alor Nibong, Omar Ahmad, 50, berkata, keadaan semakin pulih pagi ini ekoran tiada lagi hujan sejak petang semalam.

“Banjir mula surut dan sehingga petang ini, air cuma berada pada paras 0.5 meter.

“Namun begitu, air masih lagi bertakung dan rumah seolah-olah masih berendam.

“Ini menimbulkan kesulitan terutama sewaktu penduduk menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di sini.

Omar bagaimanapun bersyukur kerana tiada penduduk yang perlu dipindahkan ke penempatan sementara.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Alor Jawi, Mariam Lebai Bakar, 75, berkata, beliau menghadapi kesulitan untuk menyediakan juadah berbuka puasa kerana air masih lagi bertakung di bahagian dapur rumah.

“Semua barang diangkat ke bahagian atas rumah sementara juadah berbuka pula dihantar oleh anak-anak yang tinggal di kawasan berdekatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kuala Muda memberitahu, setakat ini, tiada penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

“Jika tiada hujan berterusan dalam tempoh sehari dua ini, kita jangka banjir akan pulih di kawasan Kuala Muda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 463 mangsa banjir dari Kampung Titi Teras dan Kampung Teroi Bukit, Yan, dekat sini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir di kawasan mereka surut.

Mereka dipindahkan Sabtu dan Ahad lalu setelah rumah mereka ditenggelami air melebihi satu meter.

UTUSAN MALAYSIA

BENGKULU 18 Sept. – Gempa bumi susulan dengan kekuatan 5.8 pada skala Richter kembali menggegarkan Bengkulu pada pukul 3.41 petang ini menyebabkan ramai penduduk bertempiaran keluar dari rumah dan pejabat serta khemah kecemasan untuk menyelamatkan diri.

Sebelum itu, pada pukul 1.32 tengah hari gempa susulan dengan kekuatan 5.5 skala Richter telah berlaku di Bengkulu tetapi kerana pusatnya agak jauh ke tengah laut iaitu kira-kira 139 kilometer (km) ke barat daya Lais, gegarannya tidak kuat terasa.

Menurut maklumat Badan Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BMG), gempa 5.8 skala Richter itu berpusat di 96km ke barat laut Lais, di Bengkulu Utara dengan kedalaman 20km.

Seorang penduduk, Suryano berkata, gegaran yang dirasakan petang ini agak kuat sehingga dia sendiri dengan cepat membawa ibunya yang sudah tua keluar dari kedai runcit yang diusahakannya.

“Saya tidak mahu mengambil risiko kerana pengalaman pada Rabu lepas sudah cukup menakutkan kami,” katanya kepada Bernama.

Penduduk yang berada di bawah khemah kecemasan juga dilaporkan meninggalkan khemah walaupun ramai yang mengakui sebenarnya tidak tahu arah yang mahu dituju.

– Bernama

UTUSAN MALAYSIA

Oleh ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Walaupun diletakkan sebagai calon simpanan, Kapten Dr. Faiz Khaleed tetap berdebar menjelang pengumuman nama angkasawan pertama negara yang bakal dilakukan dalam masa terdekat.

Ini kerana, beliau mempunyai peluang yang sama dengan calon utama, iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Dalam hal ini, Faiz cuba untuk tidak memikirkan sangat tentang tarikh pengumuman tersebut sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan melengkapkan diri bagi menghadapi peperiksaan akhir.

Katanya, tanggungjawab beliau sekarang adalah untuk lulus semua peperiksaan dengan cemerlang bagi membolehkan misi negara berjaya dilaksanakan.

‘‘Tentu sekali jika saya fikirkan tentang hari pengumuman, hati terasa berdebar-debar tapi saya rasa pada tahap akhir ini, wajar jika tumpuan diberi sepenuhnya kepada latihan peperiksaan akhir sebelum berlepas ke Baikanour.

‘‘Jika terlalu memikirkan tentang hari pengumuman, ini boleh mengganggu konsentrasi terhadap latihan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, keputusan akhir pemilihan angkasawan negara akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mendapat laporan lengkap daripada panel khas.

Tambah beliau, keputusan itu akan diumumkan pada satu majlis khas yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Angkasawan negara sama ada Sheikh Muszaphar atau Faiz dijadualkan berlepas dari Baikanour, Kazakhstan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Faiz memberitahu, tahap akhir tersebut merupakan suatu peringkat yang kritikal kerana ia akan menunjukkan kepada pihak Rusia dan dunia tentang keseriusan Malaysia untuk menempatkan diri dalam kelompok Negara-Negara Angkasa Lepas (Space Nations).

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan membuat keputusan yang tepat dalam memilih calon.

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang kontraktor hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis serta Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi menuntut ganti rugi RM10 juta.

Ismail Abdullah yang juga Pengarah syarikat Teras Gandingan Sdn. Bhd. bertindak demikian kerana mendakwa menteri itu telah memfitnahnya melalui slot Buletin Utama yang disiarkan pada 28 Oktober tahun lalu.

Saman itu difailkan oleh peguamnya, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui firma guaman Tetuan M.K Othman & Co.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail mendakwa Teras Gandingan melalui satu tawaran kerja bertarikh 25 Ogos 2006 telah dilantik untuk membaik pulih dan menaik taraf Masjid Keratong 7, Rompin, Pahang dengan nilai pembayaran RM50,000.

Berikutan kelewatan tiba bahan-bahan yang ditempah dan kesuntukan masa, Unit Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Tanah dan Daerah Rompin melalui surat bertarikh 31 Oktober 2006 membenarkan masa kerja dilanjutkan dari 7 Oktober kepada 10 November tahun yang sama.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, TV3 (defendan kedua) telah secara salah dan niat jahat membenarkan penyiaran kata-kata yang mengandungi fitnah yang dibuat oleh defendan pertama (Dr. Jamaludin) melalui slot Buletin Utama yang disiarkan pada masa puncak.

Perkataan-perkataan itu, katanya, boleh difahami bahawa beliau dan syarikatnya gagal menyiapkan projek membaikpulih dan menaik taraf masjid itu sehingga mengakibatkan ia terbengkalai dan terbiar.

Dakwanya, kata-kata itu juga membawa maksud plaintif sengaja melengah-lengahkan kerja, menyalahgunakan peruntukan kerajaan dan mengkhianati wang rakyat dalam membangunkan projek-projek luar bandar itu.

Menurut Ismail, ia sekaligus merujuk bahawa beliau adalah kontraktor yang tidak amanah dan bertindak sebagai kuasa ghaib yang menyelewengkan projek-projek kerajaan.

Sebaliknya dakwa beliau, kenyataan itu tidak benar sama sekali serta bertujuan merosakkan nama dan perniagaannya memandangkan projek itu telah disiapkan dengan sempurna mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Memfitnah

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan pertama dalam memfitnah plaintif disengajakan di samping keuntungan untuk defendan kedua dari hasil berita yang disensasikan memandangkan ia disiar ke seluruh negara.

Berikutan penyiaran kata-kata fitnah itu, Ismail mendakwa menanggung malu yang amat berat serta terjejas kredibiliti, karakter dan reputasi peluang perniagaan selain dihina dan diperkecilkan di kalangan masyarakat.

Menurutnya, notis yang dihantar melalui peguam bagi meminta defendan-defendan menarik balik fitnah, memohon maaf dan membayar ganti rugi juga telah diabaikan oleh kedua-duanya.

Sehubungan itu, Ismail yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Sepakat, Kuala Rompin, Pahang dan Ketua Unit Peladang Daerah Rompin itu menuntut gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan sebanyak RM10 juta.

Beliau juga menuntut satu injunksi menghalang defendan-defendan atau pekerjanya menerbitkan semula perkataan-perkataan fitnah itu.

Turut dituntut ialah perintah agar defendan-defendan memohon maaf daripada plaintif dan menarik balik tuduhan yang mana ucapan maaf perlu dibuat selama tiga hari berturut-turut di slot Buletin Utama dan muka depan akhbar-akhbar utama bahasa Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA - LUAR NEGARA


Pelancong Thailand dan asing terus tiba di Lapangan Terbang Phuket semalam ketika pihak berkuasa terus menyiasat nahas yang mengorbankan 90 penumpang di negara ini. – AFP.

BANGKOK 18 Sept. – Polis telah menemui semua 89 mayat mangsa nahas udara di lapangan terbang Phuket dan semua autopsi telah diselesaikan.

“Semua mangsa rakyat Thai sudah dikenal pasti dan 21 daripada 57 mangsa warga asing sudah dikenal pasti dan autopsi turut dilakukan ke atas 36 mayat,” kata Ketua Polis, Mejar Jeneral Santhan Chayanon.

“Para pegawai forensik telah menyelesaikan pemeriksaan ke atas semua mayat. Gambar mereka sudah dirakam dan kami sedang mengumpul rekod pergigian, cap ibu jari dan contoh DNA serta menyimpan mayat dalam peti sejuk,” ujarnya.

Santhan berkata, para pegawai masih menunggu sanak-saudara untuk mengenal pasti mayat penumpang warga asing dan membawa bukti untuk menuntut mayat.

Bagaimanapun syarikat penerbangan pesawat malang itu, One-Two-Go Airline mengeluarkan angka yang sedikit berbeza.

Dalam notis yang dikeluarkan hari ini, ia menyatakan, 90 orang termasuk 53 warga asing dan 37 rakyat Thai terbunuh.

Pihak hospital dan polis tidak dapat mengesahkan angka yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan.

Perdana Menteri, Surayud Chulanont semalam berkata, enam lagi mangsa nahas yang cedera teruk masih dalam keadaan tenat berikutan nahas yang berlaku ketika pesawat One-Two-Go cuba mendarat ketika hujan lebat pada hari Ahad.

Pesawat malang membawa 130 penumpang dan anak kapal itu beralih arah dari landasan menyebabkan ia terhempas di kawasan tebing lalu terbakar dan terputus dua.

Sementara itu sanak-saudara mangsa nahas dari Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Jerman, Sweden dan Ireland telah mula tiba di Phuket pagi ini.

BERITA HARIAN - LUAR NEGARA


PHUKET: Penyiasat nahas pesawat tambang murah Thailand yang mengorbankan 89 nyawa memberi tumpuan khas kepada peranan juruterbang One-Two-Go Airlines dari Indonesia dan pengawal trafik, semalam.

Penilaian awal menunjukkan kepada kemungkinan juruterbang membuat kesilapan untuk mendarat sebagai punca utama nahas sekali gus kemalangan itu dikategorikan sebagai 'kesilapan manusia', lapor akhbar The Nation.

Seorang penumpang yang terselamat juga mendakwa, juruterbang tidak memberi sebarang amaran sebelum nahas berlaku yang dianggap bertujuan untuk menunjukkan keadaan terkawal.

Penerbangan OG 269 itu membawa 123 penumpang dan tujuh crew, termasuk juruterbang dan pembantunya dari Bangkok ke Phuket.

Ia terhempas dan tergelincir dari landasan ketika hujan lebat dan angin kencang sebelum terbakar.

Sumber Radio Aeronautik Thailand (Aerothai), yang mengawasi trafik udara, berkata pengawal trafik di lapangan terbang antarabangsa Phuket memaklumkan juruterbang mengenai cuaca buruk itu.

"Keputusan akhir sama ada mendarat dibuat oleh juruterbang, kami hanya memberitahu keadaan cuaca. Angin lintang agak kuat ketika itu. Dia tidak sepatutnya mendarat," kata sumber.

Bagaimanapun, kata akhbar itu, punca sebenar akan diketahui dua hari lagi apabila perakam data penerbangan dianalisis di Amerika Syarikat.

Satu transkrip perbualan antara menara kawalan dan pesawat terbabit menunjukkan bahawa pegawai memaklumkan kepada juruterbang mengenai angin lintang tetapi dia memutuskan untuk mendarat, kata ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Udara, Chaisak Ungsuwan, kepada The Nation TV.

"Perkataan terakhir juruterbang terbabit ialah 'mendarat'," katanya.

"Ada kemungkinan kemalangan pesawat itu berpunca dari angin lintang," kata Kajit Habnanonda, Presiden Orient-Thai Airlines yang memiliki One-Two-Go sebelum ini. � AP