UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Pembunuh yang bertanggungjawab terhadap kematian seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya dibogelkan dan disumbat dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya dekat sini semalam disifatkan sebagai sangat kejam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pembunuh terbabit juga tidak berperikemanusiaan.

‘‘Kejam dan sangat tidak berperikemanusiaan. Polis sedang menyiasat kes ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak berusia di antara enam hingga sembilan tahun dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di hadapan tangga sebuah premis di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini semalam.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Kuala Lumpur mendapati pembunuh telah melakukan penderaan seksual terhadap mangsa.

Mangsa mati akibat kecederaan dalam perut ekoran dirodok dengan objek tumpul secara seksual.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, pembunuhan kejam itu telah mendorong polis untuk mengkaji semula kes ‘Pencabul Kampung Baru’ yang diburu pihak berkuasa sejak tiga bulan lepas.

‘Pencabul’ itu dipercayai boleh membantu pihak polis untuk menyelesaikan dua kes pencabulan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dengan mangsa turut mengalami serangan seksual.

Penjenayah itu dipercayai menggunakan taktik memujuk mangsa supaya mengikutnya untuk mencari kucing milik suspek yang kononnya hilang sebelum mencabul mangsa.

Antara dialog yang pernah digunakan suspek; ‘‘Adik nampak kucing abang tak? Boleh tolong abang carikan kucing abang?’’

Sementara itu, mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes bunuh itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di talian 03-7966-2222.

BERITA HARIAN

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


SUASANA PILU: Norashila memeluk erat ibunya dalam pertemuan di Pantai Dalam, semalam.

KUALA LUMPUR: "Mak dan abah sayangkan kamu...abah masakkan sambal udang yang kau minta dan hantar mesej (melalui SMS) merayu kau pulang, tapi kenapa tak pulang," itulah rintihan ibu Norashila Jaafar, 12, kepada anaknya yang ditemui semula semalam, selepas tidak pulang ke rumah sejak malam Sabtu lalu.

Zaima Osman, 33, menitiskan air mata sebaik kedua-dua beranak itu dipertemukan di Balai Polis Pantai, dekat sini, selepas anaknya keluar dari rumah di Blok B-1-23A Apartmen Dahlia, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, dekat Rawang, jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Suasana pilu itu menyelubungi wartawan dan anggota polis apabila Zaima mendakap erat Norashila yang mulanya kelihatan bersahaja, tetapi turut memeluk erat ibunya sambil menitiskan air mata.

Norashila, pelajar Tahun Enam Sekolah Rendah Taman Bunga Raya serta dua rakannya, Rosbazla Mohd Basri dan Nursyakila Azlan, masing-masing berusia 14 tahun, ditemui di Pantai Dalam, jam 12 tengah hari semalam.

Norashila dikatakan mengajak dua rakannya itu mengikutinya kerana mahu 'membawa diri' selepas merajuk kerana dimarahi bapanya, Jaafar Abdullah, 38.

Berikutan itu, ketiga-tiga keluarga remaja berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Sentosa.

BERSYUKUR: Rosbazla dipeluk ibunya Rosminani Mat Sarif selepas ditemui di Pantai Dalam, semalam.

KASIH BAPA: Azalan Amad bertanyakan sesuatu kepada Nursyakila ketika bertemu semula anaknya.

Bagaimanapun, semalam Norashila menghubungi ibunya jam 9.30 pagi untuk memberitahu kedudukannya di Stesen Komuter Pantai Dalam, dekat sini.

Norashila kemudian diambil datuknya, Osman Mohd Ali, 55, dan dibawa ke Angkasapuri iaitu tempat datuknya bertugas, sebelum menunjukkan Rosbazla dan Nursyakila di sebuah siber kafe yang terletak beberapa meter dari stesen komuter berkenaan.

Zaima yang ditemui sebelum itu berkata, beliau cemas kerana suara Norashila seperti dalam ketakutan ketika menghubunginya.

"Setelah tahu kedudukan, saya terus hubungi bapa saya di Angkasapuri dan ketika bapa saya tiba, Norashila seperti bersembunyi di bawah jambatan.

"Saya begitu bimbang kerana kami berusaha menghubungi telefon bimbit suami saya yang dibawa anak saya itu, tapi tidak dijawab.

"Hanya sekali Norashila berjaya dihubungi nenek dan ibu saudaranya dan ketika itu anak saya meminta kami menambah kredit kad telefon bimbitnya," katanya.

Sementara itu, Norashila berkata, beliau dan dua rakannya itu hanya makan roti bagi mengalas perut sepanjang menghilangkan diri.

"Mulanya, saya hanya mahu keluar satu malam saja, tapi akhirnya jadi begini," katanya.

Katanya, bersama Rosbazla dan Nursyakila, dia mulanya bermalam di rumah rakan sekolahnya di Bukit Beruntung pada Sabtu sebelum keesokannya, menaiki komuter dari Rawang ke pusat beli-belah Mid Valley, di sini.

Mereka kemudian bertemu rakan lelaki Nursyakila, sebelum menaiki komuter dan berhenti di Stesen Pantai Dalam.

"Kami kemudian dibawa ke siber kafe itu dan bermalam di situ selama dua malam," katanya yang mengesahkan mereka tidak diperlakukan apa-apa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sulaiman Junaidi berkata, polis tidak mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kehilangan tiga remaja itu dan mereka diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.



UTUSAN MALAYSIA

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang bersama dua remaja berusia 14 tahun sejak Sabtu lalu, sebenarnya lari dari rumah setelah dimarahi bapanya.

Kanak-kanak tersebut, Norashila Jaafar telah kembali ke pangkuan keluarganya hari ini dan menceritakan pengalamannya berpindah-randah bagi mengelak daripada dimarahi oleh bapanya, Jaafar Abdullah, 40.

Norashila memberitahu, sepanjang ‘kehilangannya’ itu, dia menumpang tidur di kafe siber bersama dua anak jiran sebelum membuat panggilan kepada ibunya hari ini.

‘‘Sebelum ini, saya bermalam di rumah kawan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada malam Sabtu yang lalu, naik komuter ke pusat beli-belah Mid Valley keesokan pagi dan seterusnya naik bas ke Puchong.

‘‘Semalam, saya sekali lagi pergi ke Mid Valley dan kemudiannya mengikut kawan-kawan ke kafe siber,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norashila membuat panggilan kepada ibunya kira-kira pukul 10 pagi ini memberitahu dia berada di stesen komuter Pantai Dalam dan meminta ditambah nilai telefon bimbitnya.

Gadis itu ditemui oleh datuknya, dalam keadaan ketakutan di bawah sebuah jambatan berhampiran stesen komuter Pantai Dalam sebelum dibawa berjumpa dengan bapanya yang bekerja di Angkasapuri.

Pelajar Sekolah Rendah Taman Bunga Raya dilaporkan hilang bersama dua lagi remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan jirannya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, sebuah kawasan perumahan yang terletak kira-kira 50 kilometer ke utara Kuala Lumpur.

Dua remaja perempuan itu ialah Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

Sebelum ini, Jaafar telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bahru mengenai kehilangan Norashila.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Sulaiman Junaidi berkata, sebaik sahaja mendapat maklumat daripada Norashila, polis menemui dua lagi pelajar yang hilang itu di kafe siber di bangunan tiga tingkat, Lot 11, Jalan 2/112F, Pantai Dalam di sini.

Sulaiman berkata, kafe siber itu terletak lebih kurang 50 meter dari stesen komuter Pantai Dalam.

Tambahnya, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga remaja itu mendapati bahawa mereka keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing.

BERITA HARIAN


EDAR POSTER: Wakil PPP membantu mengedarkan poster Nurin yang hilang sejak tiga minggu lalu di Plaza Tol Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 poster kanak-kanak perempuan yang hilang sejak tiga minggu lalu, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diedarkan kepada pengguna Lebuh Raya Karak di Plaza Tol Gombak, di sini, semalam sebagai usaha mengesan kanak-kanak itu.

Naib Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Datin Ismalina Ismail, berkata usaha itu masih diteruskan selepas mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui di Petaling Jaya, kelmarin disahkan bukan Nurin.

"Sebanyak 5,000 poster diedarkan sebelum ini, terutama di Lembah Klang. Kali ini, jumlah itu dipertingkatkan kepada 10,000 keping, dengan harapan dapat diedarkan ke seluruh negara, sekali gus membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat untuk membantu mengesan Nurin," katanya.

Projek itu turut mendapat kerjasama Parti Progresif Penduduk (PPP), Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia (Perisi) dan MTD Capital Bhd selaku pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Ismalina berharap pengedaran poster itu dapat memberi kesedaran lebih meluas kepada orang ramai supaya lebih prihatin terhadap kehilangan Nurin.

"Saya agak terkejut apabila mendapati ada di kalangan masyarakat masih tidak mengetahui kes ini. Saya juga berharap kanak-kanak itu dapat ditemui semula Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil, berkata beliau terkejut dan berdebar apabila dimaklumkan mengenai penemuan mayat kanak-kanak perempuan kelmarin.

"Keadaan saya masa itu hanya Tuhan saja yang tahu tapi naluri saya berkata anak saya masih hidup, namun saya bersyukur mayat tersebut bukan anak saya," katanya.
BERITA HARIAN





KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling (Unit Kanak-kanak) sedang mengesan ibu bapa atau waris kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dikenali sebagai Yong Kian Tong (gambar).

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Maslinda Amiruddin, berkata kanak-kanak yang berada di bawah jagaan dan seliaan Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat itu dirujuk oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak institusi.

"Sehingga kini, tiada pihak yang tampil menuntut kanak-kanak berkenaan. Sehubungan itu, diharap keluarga atau waris terdekat dapat menghubungi talian 03-79571287 dengan segera.

"Mereka juga boleh ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di Tingkat 6A, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan, Petaling Jaya untuk menuntut kanak-kanak berkenaan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa patut dipersalah sepenuhnya dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah.

Musa menegaskan, tugas menjaga anak-anak bukannya terletak di bahu polis tetapi merupakan tanggungjawab hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.

“(Tugas menjaga) anak takkan hendak diserahkan kepada jiran pula untuk menjaganya, itu sudah jelas tanggungjawab ibu bapa.

“(Ibu bapa) kena jaga betul-betul anak masing-masing dan kena tahu setiap gerak-geri, ke mana mereka pergi dan apa mereka buat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai kehilangan tiga kanak-kanak perempuan di Bukit Beruntung, Selangor, kematian menyayat hati seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian dan misteri kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang masih belum terjawab sehingga ke hari ini.

Ketua Polis Negara memberitahu, ibu bapa juga perlu tahu dengan siapa anak masing-masing berkawan termasuk latar belakang orang yang mereka dampingi.

“Jika tanggungjawab itu dapat dihayati oleh setiap ibu bapa, kes kanak-kanak hilang akan dapat dibendung,’’ katanya.

Sementara itu, Statistik Orang Hilang/Jumpa Seluruh Negara yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, 66 kes (10-13 tahun) dan 659 kes membabitkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun.

Statistik itu juga menunjukkan remaja perempuan Melayu paling ramai dilaporkan hilang iaitu 497 orang diikuti remaja lelaki Melayu sebanyak 119 orang.

Mengulas fenomena itu, Musa berkata, pihak polis tidak dapat memastikan sama ada ia ada kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.

“Saya tidak mahu mengulas kehilangan mereka ini ada kaitan dengan sindiket atau ada elemen pendatang asing tanpa izin,’’ ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Kafe siber yang menjadi tempat ‘persembunyian’ tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang tiga hari lalu dan ditemui semula hari ini adalah lokasi kegemaran murid-murid melepak pada waktu persekolahan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke premis tersebut yang terletak di Kampung Pantai Dalam berdekatan Stesen Komuter Pantai Dalam mendapati hampir 20 murid sekolah sedang asyik bermain permainan video di premis itu.

Lebih menghairankan, premis yang beroperasi di tingkat satu bangunan rumah kedai tiga tingkat itu tidak mempunyai sebarang papan tanda perniagaan.

Tinjauan juga mendapati, pelajar yang kebanyakannya beragama Islam tanpa segan silu menikmati makanan ringan dan merokok di dalam kafe itu tanpa mengendahkan kemuliaan bulan Ramadan.

Ketika ditanya kepada pengendali premis itu, kadar bayaran bagi penggunaan Internet selama 40 minit ialah RM1 manakala untuk tempoh sejam dikenakan RM2.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa kesal dengan kewujudan kafe siber tersebut yang dikatakan boleh menghancurkan masa depan generasi muda di situ.

Menurut mereka, murid-murid sekolah sepatutnya berada di sekolah pada waktu pagi, sebaliknya mereka mengunjungi kafe siber itu seawal pukul 9 pagi.

Mereka turut mendakwa, kafe siber itu beroperasi sehingga subuh.

Norashila Jaafar, 12, yang hilang selepas pergi ke surau berhampiran rumahnya di Bukit Beruntung dekat sini untuk solat sunat tarawih pada Rabu lalu dilaporkan menumpang tidur di kafe siber itu.

Dia ditemui bersama dua remaja perempuan yang lari bersamanya iaitu Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

BERITA HARIAN

Oleh Norfatimah Ahmad

Kelemahan akan disenarai elak salah urus dana awam

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara akan mengesan kelemahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diperbaiki bagi menghasilkan laporan kewangan yang sempurna pada peringkat kementerian dan kerajaan negeri.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata penemuan dalam kajian dilaksanakan selepas selesai membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2006 itu akan turut mempertimbangkan beberapa perubahan pelaksanaan SOP.

"Kita akan senaraikan beberapa kelemahan dikesan, termasuk memastikan kesalahan berulang dan tindakan tidak mematuhi peraturan ditetapkan dalam kelulusan perbelanjaan dan draf penyata kewangan tidak berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan audit yang dibentangkan 7 September lalu mendedahkan beberapa persoalan termasuk kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk pembelian 13 peralatan dan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ia termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Turut didedahkan ialah tindakan ketua setiausaha kementerian berkenaan menandatangani 11 kontrak bernilai RM7.99 juta hingga RM74.2 juta berkaitan projek IKBN bagi pihak kerajaan, tetapi tiada surat penurunan kuasa dikemukakan ketika diaudit.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad memaklumkan beberapa SOP dalam sistem tadbir urus negara dijangka diubah berikutan isu salah urus dana awam termasuk pembelian peralatan serta pengurusan projek yang dibentangkan dalam laporan audit.

Shahrir berkata, langkah itu perlu untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Ambrin berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak untuk berbincang dan menjelaskan lebih terperinci beberapa isu dibangkitkan dalam laporan audit itu.

"PAC adalah antara pihak yang akan ditemui minggu depan,� katanya.

Beliau berkata, laporan audit tahun lalu lebih terperinci apabila pihaknya melaksanakan pendekatan baru dengan membezakan laporan penyata kewangan dengan aktiviti dan kajian khas jabatan atau agensi di peringkat negeri.

Mengenai Indeks Akauntabiliti terhadap semua kementerian dan kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan, Ambrin berkata, pelaksanaannya akan diperkenalkan untuk laporan audit tahun ini.
BERITA HARIAN

Oleh Johari Ibrahim dan Ahmad Che Doh


MANGSA BENCANA: Sebahagian penduduk di pusat pemindahan banjir Kampung Rantau Panjang, Kepala Batas, berikutan rumah mereka dinaiki air hampir satu meter, semalam.

Paras air Sungai Rambai naik kepada 2.34 meter

ALOR STAR: Seramai 152 lagi penduduk di dua kampung di daerah Pendang dipindahkan apabila kampung mereka dinaiki air lebih satu meter sejak pagi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa berpindah 163 orang.

Penduduk terbabit dari Kampung Rambai Padang dan Seberang Tanah Merah, dipindahkan pagi semalam apabila paras air Sungai Rambai meningkat daripada 2.31 meter pada jam 7 pagi kepada 2.34 meter menjelang petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Pendang berkata, semua mangsa banjir semalam daripada 34 keluarga berbanding dua keluarga yang dipindahkan kelmarin.

Beliau berkata, selain dua kampung berkenaan, kawasan lain di Pendang yang dinaiki air antara 0.5 hingga satu meter ialah Kampung Belakang Pendang, pekan Pendang, Banggol Besi, Lubuk Getah dan Batu 16.

Sementara itu, paras air Sungai Pendang tidak berubah iaitu 3.04 meter, 0.34 meter melebihi paras bahaya.

Banjir di Pendang berlaku apabila arus Sungai Pendang bertemu dengan Sungai Rambai yang menyebabkan air melimpah.

Berikutan itu, walaupun cuaca bertambah baik sejak pagi semalam, kawasan berkenaan masih dinaiki air yang dialirkan dari kawasan tadahan yang mengalami hujan sejak empat hari lalu.

Di Yan, 463 mangsa banjir dari dua kampung, Titi Teras dan Teroi Bukit, yang dipindahkan sejak Sabtu lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Yan berkata, bagaimanapun penduduk diarah terus berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Keadaan banjir di Kuala Muda juga bertambah baik apabila air Sungai Muda yang melimpah memasuki 11 kampung kelmarin surut semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri ketika dihubungi berkata, Pejabat Daerah Kuala Muda tidak membuka bilik gerakan kerana keadaan tidak membimbangkan, tetapi akan terus memantau keadaan.

Di KEPALA BATAS, seramai 108 penduduk daripada 27 keluarga di Kampung Rantau Panjang, Seberang Prai Utara (SPU) dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter, malam kelmarin.

SPU adalah daerah terbaru di negeri yang dilanda banjir selepas Seberang Prai Tengah (SPT) dan Seberang Prai Selatan (SPS) sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, semua mangsa banjir di SPT dan SPS dibenarkan pulang dan pusat pemindahan di kedua-dua daerah itu sudah ditutup, semalam.

Jurucakap Pejabat Daerah SPU berkata, penduduk berkenaan dipindahkan tengah malam kelmarin ke pusat pemindahan di kampung itu apabila paras air Sungai Muda meningkat.

"Paras air sungai yang semakin meningkat menyebabkan hampir 1,000 penduduk di lapan kampung di sepanjang sungai itu berada dalam kebimbangan tetapi hanya penduduk Kampung Rantau Panjang yang dipindahkan," katanya.

Antara kampung berkenaan ialah Kampung Pinang Tunggal, Pantai Kamlon, Tanjung Rambai, Kampung Titi Merdeka, Pengkalan Bongor dan Permatang Bendahari, kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Seorang penduduk Pantai Kamlon, Aziz Talib, berkata keluarganya sudah memindahkan barang ke tempat selamat termasuk ke tingkat atas rumahnya, sebaik saja air naik tengah malam kelmarin.

"Walaupun paras air sungai semakin surut, kami masih bimbang dilanda banjir jika berlaku hujan di Baling, Kedah," katanya.
UTUSAN MALAYSIA



KASIH ISTERI... Roziah Man, 59, berusaha membawa suaminya, Ramli Hassan, 72, yang uzur dengan menaiki tayar jentera pembajak sebagai rakit untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka dinaiki air di Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah, semalam. – Gambar Ismail Kamadin.

PENDANG 18 Sept. – Sebanyak 211 penduduk daripada 45 keluarga di 11 buah kampung di daerah ini telah berpindah ke Kompleks Rakan Muda Tanah Merah di sini apabila rumah mereka dinaiki air sejak tiga hari lalu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Pendang, Mohamad Subhi Abdullah berkata, banjir yang melanda kampung berkenaan belum menunjukkan tanda surut malah dijangka semakin naik walaupun hujan lebat tidak turun semalam.

“Mereka mula berpindah ke kompleks tersebut sejak pukul 10 pagi semalam sebagai langkah berjaga-jaga ekoran paras air sungai di daerah ini yang juga telah melepasi paras berbahaya,” katanya ketika ditemui di kompleks tersebut di sini hari ini.

Katanya, kampung terlibat ialah Kampung Belakang Pendang, Banggol Besi, Seberang Pendang, Lubuk Gajah, Alor Punti, Kampung Rambai Padang, Seberang Sungai Tanah Merah, Batu 16, Tanjung Radin, Sukamari dan Simpang Tiga Tobiar.

Menurutnya, paras air Sungai Pendang tengah hari ini mencatatkan bacaan 3.04 meter manakala paras berbahayanya adalah 2.7 meter.

Tiga sungai lain katanya, turut melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Rambai (2.34 meter), Sungai Cegar (4.85 meter) dan Sungai Lubuk Batu (6.56 meter).

Subhi memberitahu, kampung-kampung yang terlibat dengan banjir tersebut terletak di kawasan rendah dan sering mengalami banjir terutama jika hujan lebat berterusan beberapa hari.

“Anggota keselamatan seperti Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) juga kini berada di kawasan-kawasan berisiko untuk mengambil sebarang tindakan,'' ujarnya.

Dalam pada itu Subhi berkata, kompleks berkenaan mampu menampung kira-kira 500 orang sekiranya keadaan banjir bertambah buruk dan ia turut dibantu Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK) dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian dan Setiausaha PBANK, Abdul Aziz Embi turut mengunjungi mangsa banjir di kompleks berkenaan.

Md. Rozai turut meminta orang ramai yang rumah mereka dinaiki air agar berpindah sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

“Sesetengah mangsa banjir mengambil sikap tunggu dan lihat apabila rumah mereka dinaiki air pada sebelah siang tetapi menjadi panik pada waktu malam terutama jika bekalan elektrik terputus.

“Walaupun operasi menyelamat boleh dijalankan tetapi ia membahayakan bot-bot terlibat yang kipasnya mungkin tersangkut pada kawat pagar atau pukat serta halangan lain,” ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 18 Sept. – Hampir 500 rumah di 13 perkampungan sekitar Sungai Muda dan pesisir pantai Kuala Muda masih ‘berendam’ dalam air sejak tiga hari lalu.

Banjir yang melanda turut menjejaskan kehidupan lebih 1,500 penduduk di Mukim Kota Kuala Muda.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kebanyakan rumah di Kampung Rantau Panjang, Kampung Alor Jawi, Kampung Bukit Lalang, Kampung Pokok Kabu, Kampung Sireh dan Kampung Seberang Terus masih lagi dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Luar-Seberang Terus-Alor Nibong, Omar Ahmad, 50, berkata, keadaan semakin pulih pagi ini ekoran tiada lagi hujan sejak petang semalam.

“Banjir mula surut dan sehingga petang ini, air cuma berada pada paras 0.5 meter.

“Namun begitu, air masih lagi bertakung dan rumah seolah-olah masih berendam.

“Ini menimbulkan kesulitan terutama sewaktu penduduk menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di sini.

Omar bagaimanapun bersyukur kerana tiada penduduk yang perlu dipindahkan ke penempatan sementara.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Alor Jawi, Mariam Lebai Bakar, 75, berkata, beliau menghadapi kesulitan untuk menyediakan juadah berbuka puasa kerana air masih lagi bertakung di bahagian dapur rumah.

“Semua barang diangkat ke bahagian atas rumah sementara juadah berbuka pula dihantar oleh anak-anak yang tinggal di kawasan berdekatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kuala Muda memberitahu, setakat ini, tiada penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

“Jika tiada hujan berterusan dalam tempoh sehari dua ini, kita jangka banjir akan pulih di kawasan Kuala Muda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 463 mangsa banjir dari Kampung Titi Teras dan Kampung Teroi Bukit, Yan, dekat sini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir di kawasan mereka surut.

Mereka dipindahkan Sabtu dan Ahad lalu setelah rumah mereka ditenggelami air melebihi satu meter.

UTUSAN MALAYSIA

BENGKULU 18 Sept. – Gempa bumi susulan dengan kekuatan 5.8 pada skala Richter kembali menggegarkan Bengkulu pada pukul 3.41 petang ini menyebabkan ramai penduduk bertempiaran keluar dari rumah dan pejabat serta khemah kecemasan untuk menyelamatkan diri.

Sebelum itu, pada pukul 1.32 tengah hari gempa susulan dengan kekuatan 5.5 skala Richter telah berlaku di Bengkulu tetapi kerana pusatnya agak jauh ke tengah laut iaitu kira-kira 139 kilometer (km) ke barat daya Lais, gegarannya tidak kuat terasa.

Menurut maklumat Badan Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BMG), gempa 5.8 skala Richter itu berpusat di 96km ke barat laut Lais, di Bengkulu Utara dengan kedalaman 20km.

Seorang penduduk, Suryano berkata, gegaran yang dirasakan petang ini agak kuat sehingga dia sendiri dengan cepat membawa ibunya yang sudah tua keluar dari kedai runcit yang diusahakannya.

“Saya tidak mahu mengambil risiko kerana pengalaman pada Rabu lepas sudah cukup menakutkan kami,” katanya kepada Bernama.

Penduduk yang berada di bawah khemah kecemasan juga dilaporkan meninggalkan khemah walaupun ramai yang mengakui sebenarnya tidak tahu arah yang mahu dituju.

– Bernama

UTUSAN MALAYSIA

Oleh ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Walaupun diletakkan sebagai calon simpanan, Kapten Dr. Faiz Khaleed tetap berdebar menjelang pengumuman nama angkasawan pertama negara yang bakal dilakukan dalam masa terdekat.

Ini kerana, beliau mempunyai peluang yang sama dengan calon utama, iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Dalam hal ini, Faiz cuba untuk tidak memikirkan sangat tentang tarikh pengumuman tersebut sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan melengkapkan diri bagi menghadapi peperiksaan akhir.

Katanya, tanggungjawab beliau sekarang adalah untuk lulus semua peperiksaan dengan cemerlang bagi membolehkan misi negara berjaya dilaksanakan.

‘‘Tentu sekali jika saya fikirkan tentang hari pengumuman, hati terasa berdebar-debar tapi saya rasa pada tahap akhir ini, wajar jika tumpuan diberi sepenuhnya kepada latihan peperiksaan akhir sebelum berlepas ke Baikanour.

‘‘Jika terlalu memikirkan tentang hari pengumuman, ini boleh mengganggu konsentrasi terhadap latihan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, keputusan akhir pemilihan angkasawan negara akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mendapat laporan lengkap daripada panel khas.

Tambah beliau, keputusan itu akan diumumkan pada satu majlis khas yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Angkasawan negara sama ada Sheikh Muszaphar atau Faiz dijadualkan berlepas dari Baikanour, Kazakhstan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Faiz memberitahu, tahap akhir tersebut merupakan suatu peringkat yang kritikal kerana ia akan menunjukkan kepada pihak Rusia dan dunia tentang keseriusan Malaysia untuk menempatkan diri dalam kelompok Negara-Negara Angkasa Lepas (Space Nations).

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan membuat keputusan yang tepat dalam memilih calon.

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang kontraktor hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis serta Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi menuntut ganti rugi RM10 juta.

Ismail Abdullah yang juga Pengarah syarikat Teras Gandingan Sdn. Bhd. bertindak demikian kerana mendakwa menteri itu telah memfitnahnya melalui slot Buletin Utama yang disiarkan pada 28 Oktober tahun lalu.

Saman itu difailkan oleh peguamnya, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui firma guaman Tetuan M.K Othman & Co.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail mendakwa Teras Gandingan melalui satu tawaran kerja bertarikh 25 Ogos 2006 telah dilantik untuk membaik pulih dan menaik taraf Masjid Keratong 7, Rompin, Pahang dengan nilai pembayaran RM50,000.

Berikutan kelewatan tiba bahan-bahan yang ditempah dan kesuntukan masa, Unit Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Tanah dan Daerah Rompin melalui surat bertarikh 31 Oktober 2006 membenarkan masa kerja dilanjutkan dari 7 Oktober kepada 10 November tahun yang sama.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, TV3 (defendan kedua) telah secara salah dan niat jahat membenarkan penyiaran kata-kata yang mengandungi fitnah yang dibuat oleh defendan pertama (Dr. Jamaludin) melalui slot Buletin Utama yang disiarkan pada masa puncak.

Perkataan-perkataan itu, katanya, boleh difahami bahawa beliau dan syarikatnya gagal menyiapkan projek membaikpulih dan menaik taraf masjid itu sehingga mengakibatkan ia terbengkalai dan terbiar.

Dakwanya, kata-kata itu juga membawa maksud plaintif sengaja melengah-lengahkan kerja, menyalahgunakan peruntukan kerajaan dan mengkhianati wang rakyat dalam membangunkan projek-projek luar bandar itu.

Menurut Ismail, ia sekaligus merujuk bahawa beliau adalah kontraktor yang tidak amanah dan bertindak sebagai kuasa ghaib yang menyelewengkan projek-projek kerajaan.

Sebaliknya dakwa beliau, kenyataan itu tidak benar sama sekali serta bertujuan merosakkan nama dan perniagaannya memandangkan projek itu telah disiapkan dengan sempurna mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Memfitnah

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan pertama dalam memfitnah plaintif disengajakan di samping keuntungan untuk defendan kedua dari hasil berita yang disensasikan memandangkan ia disiar ke seluruh negara.

Berikutan penyiaran kata-kata fitnah itu, Ismail mendakwa menanggung malu yang amat berat serta terjejas kredibiliti, karakter dan reputasi peluang perniagaan selain dihina dan diperkecilkan di kalangan masyarakat.

Menurutnya, notis yang dihantar melalui peguam bagi meminta defendan-defendan menarik balik fitnah, memohon maaf dan membayar ganti rugi juga telah diabaikan oleh kedua-duanya.

Sehubungan itu, Ismail yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Sepakat, Kuala Rompin, Pahang dan Ketua Unit Peladang Daerah Rompin itu menuntut gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan sebanyak RM10 juta.

Beliau juga menuntut satu injunksi menghalang defendan-defendan atau pekerjanya menerbitkan semula perkataan-perkataan fitnah itu.

Turut dituntut ialah perintah agar defendan-defendan memohon maaf daripada plaintif dan menarik balik tuduhan yang mana ucapan maaf perlu dibuat selama tiga hari berturut-turut di slot Buletin Utama dan muka depan akhbar-akhbar utama bahasa Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA - LUAR NEGARA


Pelancong Thailand dan asing terus tiba di Lapangan Terbang Phuket semalam ketika pihak berkuasa terus menyiasat nahas yang mengorbankan 90 penumpang di negara ini. – AFP.

BANGKOK 18 Sept. – Polis telah menemui semua 89 mayat mangsa nahas udara di lapangan terbang Phuket dan semua autopsi telah diselesaikan.

“Semua mangsa rakyat Thai sudah dikenal pasti dan 21 daripada 57 mangsa warga asing sudah dikenal pasti dan autopsi turut dilakukan ke atas 36 mayat,” kata Ketua Polis, Mejar Jeneral Santhan Chayanon.

“Para pegawai forensik telah menyelesaikan pemeriksaan ke atas semua mayat. Gambar mereka sudah dirakam dan kami sedang mengumpul rekod pergigian, cap ibu jari dan contoh DNA serta menyimpan mayat dalam peti sejuk,” ujarnya.

Santhan berkata, para pegawai masih menunggu sanak-saudara untuk mengenal pasti mayat penumpang warga asing dan membawa bukti untuk menuntut mayat.

Bagaimanapun syarikat penerbangan pesawat malang itu, One-Two-Go Airline mengeluarkan angka yang sedikit berbeza.

Dalam notis yang dikeluarkan hari ini, ia menyatakan, 90 orang termasuk 53 warga asing dan 37 rakyat Thai terbunuh.

Pihak hospital dan polis tidak dapat mengesahkan angka yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan.

Perdana Menteri, Surayud Chulanont semalam berkata, enam lagi mangsa nahas yang cedera teruk masih dalam keadaan tenat berikutan nahas yang berlaku ketika pesawat One-Two-Go cuba mendarat ketika hujan lebat pada hari Ahad.

Pesawat malang membawa 130 penumpang dan anak kapal itu beralih arah dari landasan menyebabkan ia terhempas di kawasan tebing lalu terbakar dan terputus dua.

Sementara itu sanak-saudara mangsa nahas dari Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Jerman, Sweden dan Ireland telah mula tiba di Phuket pagi ini.

BERITA HARIAN - LUAR NEGARA


PHUKET: Penyiasat nahas pesawat tambang murah Thailand yang mengorbankan 89 nyawa memberi tumpuan khas kepada peranan juruterbang One-Two-Go Airlines dari Indonesia dan pengawal trafik, semalam.

Penilaian awal menunjukkan kepada kemungkinan juruterbang membuat kesilapan untuk mendarat sebagai punca utama nahas sekali gus kemalangan itu dikategorikan sebagai 'kesilapan manusia', lapor akhbar The Nation.

Seorang penumpang yang terselamat juga mendakwa, juruterbang tidak memberi sebarang amaran sebelum nahas berlaku yang dianggap bertujuan untuk menunjukkan keadaan terkawal.

Penerbangan OG 269 itu membawa 123 penumpang dan tujuh crew, termasuk juruterbang dan pembantunya dari Bangkok ke Phuket.

Ia terhempas dan tergelincir dari landasan ketika hujan lebat dan angin kencang sebelum terbakar.

Sumber Radio Aeronautik Thailand (Aerothai), yang mengawasi trafik udara, berkata pengawal trafik di lapangan terbang antarabangsa Phuket memaklumkan juruterbang mengenai cuaca buruk itu.

"Keputusan akhir sama ada mendarat dibuat oleh juruterbang, kami hanya memberitahu keadaan cuaca. Angin lintang agak kuat ketika itu. Dia tidak sepatutnya mendarat," kata sumber.

Bagaimanapun, kata akhbar itu, punca sebenar akan diketahui dua hari lagi apabila perakam data penerbangan dianalisis di Amerika Syarikat.

Satu transkrip perbualan antara menara kawalan dan pesawat terbabit menunjukkan bahawa pegawai memaklumkan kepada juruterbang mengenai angin lintang tetapi dia memutuskan untuk mendarat, kata ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Udara, Chaisak Ungsuwan, kepada The Nation TV.

"Perkataan terakhir juruterbang terbabit ialah 'mendarat'," katanya.

"Ada kemungkinan kemalangan pesawat itu berpunca dari angin lintang," kata Kajit Habnanonda, Presiden Orient-Thai Airlines yang memiliki One-Two-Go sebelum ini. � AP
BERITA HARIAN

Oleh Nurhayati Abllah


PEMBUNUHAN NGERI: Beg yang mengandungi mayat kanak-kanak yang ditemui Cheng di tepi tangga kedai majikannya.

Pekerja sangka barang di tepi tangga milik majikan

PETALING JAYA: Seorang pekerja di sebuah syarikat perundingan penerbitan buku di Taman Petaling Utama, di sini, menemui sebuah beg pakaian di dalamnya mengandungi mayat seorang kanak-kanak perempuan yang kakinya dilipat ke dada.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Cheng Yen Feng, 32, menemui beg biru yang diletakkan di tepi tangga kedai tempat dia bekerja di Jalan PJS 1/48, PJS 1, Taman Petaling Utama.

Beliau berkata, pada mulanya dia menyangkakan beg berkenaan milik majikannya dan cuba membawa masuk beg itu ke dalam kedai sebelum menelefon majikan.


"Saya tidak mengetahui kandungan beg kerana bimbang untuk membukanya, tetapi saya dapat rasakan beg itu sungguh berat.

"Saya hanya tahu beg itu menyimpan mayat seorang kanak-kanak selepas majikan saya membukanya sebaik tiba di kedai kira-kira jam 9.15 pagi," katanya ketika di temui semalam.

Pengurus Besar IMM Management Sdn Bhd, Yeoh Huat Lip, 51, berkata dia bergegas ke syarikatnya selepas menerima panggilan telefon daripada Cheng dan sebaik beg pakaian itu dibuka, dia mendapati sepasang kaki kanak-kanak terjulur.

"Pekerja saya menangis ketakutan selepas melihat dan mengetahui beg yang diheretnya berisi mayat kanak-kanak perempuan berusia lingkungan 6 hingga 10 tahun.

"Mayat itu agak berbau serta dihurungi lalat dan saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya.

Katanya, dia hairan kenapa beg pakaian itu ditinggalkan di tangga bangunan syarikatnya sedangkan pintu masuk ke tangga itu berkunci dan salinan kunci berkenaan dipegang olehnya serta lima lagi penyelia syarikat.

"Syarikat saya beroperasi hanya separuh hari pada Sabtu dan Ahad cuti. Jadi, saya tidak tahu bagaimana pintu jeriji itu boleh dibuka dan beg berkenaan diletakkan di situ," katanya.

Dipercayai, mayat kanak-kanak malang itu mempunyai kesan calar di kaki, kesan lebam di leher dan berbangsa Melayu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata pihaknya mengesahkan mayat itu kanak-kanak perempuan yang berusia lingkungan enam hingga sembilan tahun.

"Berdasarkan keadaan mayat, polis mengesyaki kanak-kanak itu sudah ditinggalkan di dalam beg berkenaan kira-kira enam jam lalu.

"Bagaimanapun sehingga kini polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan daripada Jabatan Forensik," katanya.
BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Ketika dipanggil untuk mengesahkan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui polis, pasangan Jazimin Abd Jalil, 33, dan Norazian Bistaman, 35, diselubungi kesedihan bahawa mereka akan mengecam anak mereka yang hilang hampir empat minggu lalu.

"Alhamdulillah...mayat itu bukan anak saya," kata Jazimin sebaik membuat pengecaman mayat seorang kanak-kanak perempuan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam

Jazimin yang mengakui berdebar dan fikirannya berkecamuk selepas menerima panggilan telefon daripada polis kira-kira jam 1 petang semalam, untuk mengecam mayat yang ditemui dalam beg pakaian di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, semalam.

Sepanjang perjalanan ke HKL, beliau dan isteri berdoa anak mereka, Nurin Jazlin atau Kak Ngah, 8, masih hidup. Nurin Jazlin hilang ketika ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, 20 Ogos lalu.

"Pada mulanya, saya memang takut dan tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang selepas diminta membuat pengecaman. Namun perasaan itu hilang selepas mendapati mayat itu adalah orang lain.

"Saya kenal anak saya, tengok daripada wajahnya (mayat) memang jauh berbeza daripada wajah Kak Ngah. Sekarang ini, saya hanya berserah kepada Allah.

"Saya masih mengharapkan anak saya masih hidup. Apa pun, saya tetap akan mencari Nurin Jazlin sampai dapat," kata Jazimin.

Beliau bersama isteri dan ditemani dua saudaranya tiba di bilik mayat HKL pada jam 1.40 petang walaupun lega dan bersyukur mayat itu bukan Nurin Jazlin, tetap dilihat gagal menahan sebak dan air mata.

Mereka yang meninggalkan pekarangan bilik mayat itu jam 2.45 petang selepas darah masing-masing diambil untuk untuk ujian DNA.

Hingga kini, gerakan mengesan Nurin Jazlin iaitu murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak masih dijalankan pelbagai pihak.

Mayat kanak-kanak perempuan dalam beg itu yang berusia antara enam hingga sembilan tahun, ditemui dengan kakinya dilipat hingga ke dada oleh pengurus besar satu syarikat jam 9.15 pagi di tangga premis perniagaannya.

Sementara itu, sumber polis berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hingga kini (6 petang, semalam), tiada keluarga melaporkan kehilangan kanak-kanak atau datang menuntut mayat terbabit. Polis percaya kanak-kanak perempuan itu daripada keluarga kacukan berikutan warna kulit yang gelap," katanya ketika dihubungi, semalam
UTUSAN MALAYSIA

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman dan Tan Ming Wai


Anggota polis membawa karung plastik berisi mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg di Petaling Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tragedi malang membabitkan kanak-kanak perempuan tidak berdosa berlaku satu demi satu, seolah-olah tidak ada kesudahannya.

Terbaru ialah kejadian yang membabitkan dua mangsa yang masih tidak mengerti apa-apa.

Ketika misteri kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, masih belum terjawab, orang ramai hari ini dikejutkan dengan penemuan menyayat hati mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini.

Sebelum itu, dua hari lalu, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Norashila Jaafar dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, sebuah kawasan perumahan yang terletak kira-kira 50 kilometer ke utara Kuala Lumpur.

Norashila hilang bersama dua lagi remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan jirannya.

Dalam kejadian di Petaling Jaya pagi ini, mayat kanak-kanak berusia antara enam hingga sembilan tahun ditemui dalam keadaan berbogel di dalam sebuah beg pakaian. Kaki mangsa mengerekot manakala terdapat kesan lebam di leher selain luka dan calar-calar di kaki.

Identiti kanak-kanak yang berambut pendek dan berkulit sawo matang itu belum dapat dikenal pasti.

Apa yang pasti kanak-kanak perempuan itu disahkan bukan Nurin Jazlin setelah pengecaman dibuat oleh ibu bapa Nurin petang ini.

Bagaimanapun, pihak hospital tetap mengambil contoh darah ibu bapa Nurin untuk ujian asid deoksiribonukliek (DNA) bagi mengesahkan kanak-kanak itu bukan Nurin Jazlin.

Berdasarkan bau mayat, polis percaya mangsa telah meninggal dunia lebih enam jam sebelum ia ditemui.

Polis yang menerima maklumat mengenai mayat kanak-kanak malang itu terus menghubungi ibu bapa Nurin Jazlin untuk proses pengecaman di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Meskipun disahkan bukan Nurin Jazlin, pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman menyifatkan kematian kanak-kanak yang belum dikenal pasti identitinya itu cukup tragis. Norazian menangis ketika membuat pengecaman itu.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, beg yang berisi mayat mangsa ditemui oleh seorang pekerja syarikat IMM Management Sdn. Bhd., Cheng Yan Fang, 32, yang baru hendak memulakan tugasnya di premis syarikat pengedaran buku itu pada pukul 8.30 pagi ini.

“Ketika beg itu dibuka, keadaan kaki mangsa mengerekot selain terdapat kesan lebam di lehernya,” kata Mohamad Shukor ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, punca kematian dan identiti mangsa masih disiasat.

Yan Fang pula memberitahu, dia menyangka beg yang ditinggalkan di hadapan tangga premis syarikat itu milik majikannya lalu terus membuka kunci jeriji dan membawanya masuk ke dalam.

“Kemudian pada pukul 9 pagi, apabila majikan saya sampai, saya telah memaklumkan kepadanya tentang beg itu. Dia membuka beg itu dan mendapati terdapat mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan berbogel di dalamnya,’’ kata beliau.

Dalam satu lagi kejadian kanak-kanak hilang di Bukit Beruntung, Norashila yang merupakan pelajar tahun enam Sekolah Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung didapati tidak pulang ke rumah selepas ke surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat sunat tarawih.

Berikutan kehilangan Norashila, bapanya, Jaafar Abdullah, 40, seorang pemandu di Jabatan Penerangan, membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa pada hari kehilangan mangsa.

Norashila yang merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik berambut pendek, bersusuk gempal dan memiliki ketinggian 150 sentimeter.

Menurut Jaafar, anaknya itu membawa bersamanya telefon bimbit tanpa pengetahuannya tetapi talian itu tidak dapat dihubungi sehingga ke hari ini.

UTUSAN MALAYSIA


Norashila Jaafar.


KUALA LUMPUR 17 Sept. – Keluarga Norashila Jaafar, 12, yang hilang selepas pergi ke surau berhampiran rumahnya di Bukit Beruntung, dekat sini untuk solat sunat tarawih kelmarin, berharap anak sulung itu ditemui segera.

Bapanya, Jaafar Abdullah, 40, memberitahu, walaupun dia sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa mengenai kehilangan Norashila tetapi sehingga kini, tiada sebarang maklumat diterima mengenai anaknya itu.

‘‘Sebelum ke surau malam Sabtu lalu, Norashila ada mengambil wang ibunya sebanyak RM50 dan telefon bimbit saya tanpa pengetahuan kami.

‘‘Dia langsung tidak menunjukkan sebarang petanda dan tidak pulang ke rumah selepas ke surau di blok berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, dekat sini hari ini.

Jaafar, seorang pemandu di Jabatan Penerangan ada beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbit yang dipegang Norashila, namun gagal.

“Apa yang pelik, semalam, telefon isteri saya ada terima satu panggilan misteri yang menggunakan talian telefon tetap, namun ia tiada suara,” jelasnya.

Katanya, Norashila yang belajar di Sekolah Rendah Taman Bunga Raya di sini berubah sikap sejak kebelakangan ini dan suka memberontak.

“Kalau sebelum ini, ibunya meminta dia keluar beli barang, dia akan berbuat demikian namun keadaan tidak lagi sama seperti dulu,” jelasnya.

Dalam hal ini, Jaafar merayu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengetahui di mana Norashila berada agar segera menghubunginya di talian 019-3426937.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan Norashila hilang bersama-sama jirannya, dua remaja perempuan yang berusia 14 tahun.

Dua remaja perempuan yang hilang itu ialah Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

BERITA HARIAN - DUNIA



CARI PUNCA: Penyiasat memeriksa badan pesawat MD-82 yang hampir hangus di lapangan terbang Phuket semalam.

Perubahan kelajuan angin mungkin punca nahas di Phuket

PHUKET: Pihak berkuasa Thailand semalam meneruskan pencarian serpihan bangkai pesawat yang terhempas dan membunuh 89 orang � kebanyakannya warga asing � di pulau peranginan Thailand di sini, menemui perakam data pesawat, tetapi mengatakan masih terlalu awal untuk mengumumkan punca nahas.

Pesawat tambang murah, One-Two-Go yang membawa 123 penumpang dan tujuh anak kapal dalam perjalanan dari Bangkok ke Phuket apabila ia tergelincir dari landasan kelmarin ketika mendarat cemas dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat, menyebabkannya dan penumpang terbakar serta yang lain menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkap pesawat.


Penyiasat berkata semalam, mereka menjumpai dua perakam data pesawat dikenali sebagai kotak hitam, yang diharapkan dapat menjawab persoalan mengenai punca nahas dalam tempoh beberapa minggu lagi.

�Kami masih belum dapat memberitahu punca nahas,� kata Menteri Pengangkutan, Theera Haocharoen. �Pegawai sudah menjumpai kotak hitam dan akan menghantarnya untuk dianalisis di Amerika Syarikat. Mudah-mudahan, kita akan mengetahui punca dalam tempoh beberapa hari lagi.�

Mereka yang maut, termasuk 55 warga asing dan 34 rakyat tempatan, kata Dalad Tantiprasongchai, anak perempuan pengerusi Orient-Thai Airlines, yang memiliki One-Two-Go. Beliau bagaimanapun, tidak menyediakan secara terperinci senarai warga asing terbabit selain mengatakan mereka datang daripada sekurang-kurangnya 10 negara.

Juruterbang berbangsa Indonesia dan pembantu juruterbang warga Thailand turut terbunuh dalam kemalangan itu.

Dalad juga berkata, syarikat penerbangan itu akan menyediakan bantuan awal 100,000 baht (RM10,625) kepada keluarga mangsa bagi menampung kos pengebumian dan kos lain.

�Kami sangat kesal dengan apa yang berlaku,� kata Dalad, membaca daripada kenyataan yang disediakan. �Kami melakukan yang terbaik untuk menyiasat punca kemalangan ini dan sedang berusaha membantu mereka yang terselamat serta keluarga dan saudara mara mereka untuk melaluinya secepat mungkin.�

Pesawat MD-82 itu merempuh dinding penghadang dan terpecah dua selepas terbabas. Mereka yang terselamat menceritakan detik-detik itu di tengah-tengah keadaan huru-hara, asap tebal dan kebakaran.

�Sebaik saja pesawat berlanggar, keadaan bertukar menjadi gelap dan segala-galanya jatuh,� kata Mildred Furlong, 23, pelayan dari British Columbia, Kanada. Pesawat mula dipenuhi asap dan terbakar, katanya. Seorang penumpang di depannya terbakar, sementara seorang lagi di belakang menendang tingkap pesawat.

�Tidak dipastikan berapa ramai daripada 78 rakyat asing maut di dalam pesawat, tetapi mereka, termasuk pelancong dari Perancis, Jerman, Israel, Australia dan Britain,� kata Timbalan Gabenor Wilayah Phuket, Worapot Ratthaseema. Kerajaan mengeluarkan senarai mengatakan hampir 30 warga asing terselamat.

Kira-kira 60 mayat dijumpai, tetapi ia mengambil masa berjam-jam untuk mengeluarkannya. Sebahagian daripada pesawat yang bengkok itu berasap di tepi landasan, sementara pegawai memakai topeng membawa keluar mayat dibungkus dengan pembalut putih ke arah bangunan penyimpangan lapangan terbang.

Mereka yang terselamat mengatakan pesawat mendarat dengan kasar dan tidak terkawal.

�Anda boleh tahu jika pesawat yang dinaiki itu bermasalah kerana ia mendarat kemudian cuba naik semula untuk kali kedua,� kata John Gerard O�Donnell dari Ireland, bercakap dari katil hospitalnya.

�Saya berjaya keluar dari sayap pesawat...pintu keluar yang kemek dan perlu meloloskan diri untuk keluar. Saya ternampak rakan saya, dia berada di luar terlebih dulu daripada saya. Tidak lama kemudian pesawat terbakar dan saya melecur teruk di muka, kaki dan tangan,� katanya.

Nahas itu kemungkinan menimbulkan persoalan baru mengenai keselamatan pesawat tambang murah di Asia Tenggara yang mengalami pertumbuhan pesawat sejak beberapa tahun lalu dan biasanya bertungkus-lumus mencari juruterbang berkualiti. Tiada satu pun daripada pesawat tambang murah Thailand mengalami kemalangan besar sebelum ini, tetapi ada beberapa kejadian maut di Indonesia. � AP
UTUSAN MALAYSIA


PHUKET 17 Sept. – Punca nahas pesawat One-Two-Go di sini semalam terus menjadi tanda tanya walaupun maklumat awal mendapati ia kemungkinan berlaku akibat kesilapan juruterbang selain kerana faktor angin.

Akhbar Bangkok Post hari ini memetik seorang pegawai penerbangan kanan sebagai berkata, juruterbang pesawat telah memaklumkan kepada menara kawalan tentang hasratnya untuk membatalkan pendaratan kerana dia tidak dapat melihat landasan.

Juruterbang dikatakan menerima kebenaran pembatalan itu pada saat akhir, tetapi ketika itu pesawat malang tersebut telah pun mencecah landasan.

Laporan itu disokong oleh kenyataan mangsa terselamat yang menceritakan bagaimana pesawat bersiap sedia untuk mendarat dalam hujan lebat apabila ia tiba-tiba cuba naik semula sebelum terhempas dan merempuh tebing penghadang di hujung landasan sebelum terbelah dua lalu terbakar.

“Juruterbang cuba menaikkan semula pesawat. Dia cuba membelok ke kanan dan pesawat kemudian merempuh tebing,” kata seorang penumpang dari Kanada, Millie Furlong, 23.

“Saya fikir dia menyedari landasan itu terlalu dekat atau pesawat terlalu laju atau dipukul angin,” kata seorang lagi mangsa yang cedera, Robert Borland dari Australia.

Menurut Borland, ketika itu juruterbang meningkatkan kelajuan pesawat dan cuba naik semula.

“Saya menyangka dia akan berpusing sekali lagi tetapi kemudian segala-gala menjadi gelap-gelita apabila kami terhempas,” tambah beliau.

Sementara itu, Presiden Orient Thai Airways, Kajit Habnanonda berkata, kelajuan angin yang berubah secara mendadak sehingga boleh mengganggu pesawat berlepas dan mendarat mungkin menjadi punca nahas itu.

“Ada kemungkinan kapal terbang itu terhempas disebabkan perubahan kelajuan angin,” kata Kajit sambil menambah, hujan lebat dipercayai menjadi faktor menyebabkan pesawat terbabas dari landasan.

Dalam pada itu, seorang mangsa menyifatkan apa yang berlaku dalam pesawat One-Two-Go itu sebagai sangat mengerikan.

– Agensi

UTUSAN MALAYSIA - LUAR NEGARA


PARA petugas forensik Thailand memeriksa mayat-mayat penumpang penerbangan tambang murah One-Two-Go yang terlibat dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, semalam. – AFP.

PHUKET 17 Sept. – Pihak berkuasa Thailand telah menjumpai kedua-dua perakam data penerbangan dalam nahas pesawat One-Two-Go di sini tetapi menegaskan masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Pesawat tambang murah itu membawa 123 penumpang dan tujuh krew dari Bangkok ke sini apabila ia terbabas lalu terbakar ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang semalam.

Penyiasat hari ini berkata, mereka menemui kedua-dua “kotak hitam” pesawat tersebut dan berharap analisis data daripada perakam itu boleh memberi sedikit gambaran mengenai punca kejadian dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Kami masih belum dapat menyatakan punca nahas itu.

“Pegawai telah menemui kotak hitam dan akan menghantarnya ke Amerika Syarikat (AS) untuk dianalisis,” kata Menteri Pengangkutan, Theera Haocharoen.

Bilangan angka korban nahas yang terburuk dalam sejarah Thailand telah meningkat kepada 89 orang termasuk 55 warga asing manakala 41 terselamat.

Berdasarkan senarai yang ada antara penumpang asing yang terbunuh adalah empat rakyat Amerika Syarikat, tiga rakyat Iran, Peranchis, British, Sweden dan juga Australia.

Sementara itu, Dalad Tantiprasongchai, anak perempuan Pengerusi Orient Thai Airways, syarikat penerbangan yang memiliki One-Two-Go berkata, syarikat itu akan menghulurkan bantuan permulaan 100,000 baht (RM10,625) kepada keluarga mangsa terkorban untuk pengkebumian dan kos-kos lain.

“Kami sangat sedih kerana banyak nyawa yang terkorban.

“Kami melakukan yang terbaik untuk menyiasat kejadian ini dan sedang berusaha membantu mangsa yang terselamat serta ahli keluarga mereka untuk pulih daripada tragedi ini secepat mungkin,” kata Dalad.

Nahas itu bakal menimbulkan persoalan baru mengenai tahap keselamatan dalam industri penerbangan tambang murah yang mengalami pertumbuhan pesat di Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan.

Syarikat penerbangan sering mengalami kesulitan untuk mencari juruterbang berkelayakan.

Nahas semalam adalah yang pertama membabitkan syarikat penerbangan tambang murah Thailand tetapi sebelum ini sudah ada beberapa kemalangan maut di Indonesia.

Menurut data penerbangan Thai dan AS, pesawat yang nahas semalam dikeluarkan dan digunakan pada 1983 dan mula terbang di negara ini pada Mac lalu.

Syarikat penerbangan One-Two-Go mula beroperasi pada Disember 2003.

– AP

UTUSAN MALAYSIA - LUAR NEGARA

PHUKET 17 Sept. – Pasukan penyelamat malam ini berjaya mengeluarkan mayat terakhir dari pesawat McDonnell Douglas (MD-82) yang hangus selepas terbabas dari landasan dan melanggar tebing penghalang, semalam.

Usaha mengeluarkan kesemua mangsa dari bangkai pesawat itu berjaya dilakukan setelah pasukan penyelamat terpaksa menghentikan kerja-kerja tersebut disebabkan hujan lebat, petang ini.

Hujan lebat yang dibawa oleh angin monsun sejak awal pagi sebelum ini menyebabkan usaha mengeluarkan lima mayat yang terperangkap di dalam bangkai pesawat tambang murah itu terpaksa ditangguhkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Sansern Wongcha-um berkata, mayat terakhir itu menjadikan jumlah korban nahas di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket itu meningkat kepada 89 orang termasuk 55 warga asing.

Nahas terbaru ini dijangka menimbulkan persoalan berkaitan isu keselamatan pesawat tambang murah yang berkembang seperti cendawan selepas hujan di Asia sejak sedekad lalu.

Sementara itu, seorang pegawai hospital berkata, lima daripada mangsa yang terselamat kini berada dalam keadaan kritikal dengan kesan melecur pada badan sehingga 60 peratus.

Empat rakyat Thailand, lapan warga Britain, lima Iran dan empat lagi daripada Jerman adalah antara yang cedera.

Sementara itu, akhbar The Bangkok Post memetik seorang pegawai kanan penerbangan sebagai berkata, juruterbang pesawat itu memberitahu menara kawalan bahawa dia terpaksa membatalkan pendaratan kerana gagal melihat landasan dan cuba menaikkan kembali pesawat sebelum melanggar tebing penghalang di luar landasan.

– Reuters

UTUSAN MALAYSIA

SHAH ALAM 17 Sept. – Keputusan kerajaan negeri Perlis membenarkan Hakim Mahkamah Syariah mengizinkan wanita berkahwin tanpa wali boleh menimbulkan percanggahan serta perselisihan pendapat di kalangan pentadbir agama di negeri-negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, ia keputusan yang dibuat sendiri di negeri itu tanpa mengambil kira pandangan semua pihak.

Menurutnya, walaupun keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa agama negeri itu tetapi ia seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.

‘‘Kita faham bidang kuasa agama Islam terletak kepada negeri masing-masing termasuk di Perlis.

“Bagaimanapun, perkara ini harus diteliti serta mendapat pandangan serta nasihat daripada mufti negeri lain sebelum diputuskan supaya tidak timbul perselisihan yang boleh menimbulkan pertikaian dan seterusnya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

‘‘Kita tidak mahu hanya kerana untuk memudahkan perkahwinan, keputusan yang tidak dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan boleh mengakibatkan perkara-perkara yang mengelirukan termasuk perlanggaran enakmen tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Memudahkan

Abdul Rahman mengulas keputusan kerajaan negeri Perlis semalam yang memberi kuasa kepada Hakim Mahkamah Syariah membenarkan mana-mana pasangan meneruskan perkahwinan walaupun tanpa mendapat persetujuan atau kebenaran daripada wali.

Keputusan membabitkan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam (Pindaan) 2007 itu telah diputuskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, 11 September lalu bagi memudahkan pasangan yang hendak berkahwin setelah menghadapi kesukaran mendapat persetujuan wali pasangan perempuan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pelaksanaan pindaan enakmen tersebut perlu memikirkan bahawa perkahwinan tanpa wali merupakan perkahwinan yang dilangsungkan tanpa restu ibu bapa.

Katanya, walaupun Islam membenarkan pengunaan wali hakim dalam sesuatu perkahwinan, peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam perkara itu perlu ditekankan.

“Saya harapkan keputusan ini perlu disusuli dengan satu pendekatan yang terbaik agar sesebuah perkahwinan itu tidak menimbulkan sebarang pertikaian di antara pasangan mahupun ibu bapa pasangan terbabit.

“Ini kerana kita tidak mahu keadaan sedemikian akan mempengaruhi serta memberi kesan negatif kepada perkahwinan mereka.

“Jika keadaan ini berlaku, apa gunanya kita permudahkan perkahwinan sedangkan ia menjadi punca kepada keruntuhan institusi kekeluargaan Islam,” jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA


Anggota penyelamat membawa keluar penumpang cedera dari bangkai pesawat yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket di selatan Thailand, lewat petang semalam. Sekurang-kurangnya 88 orang terbunuh manakala 42 lagi cedera dalam nahas terbabit.

BANGKOK 16 Sept. – Sebuah pesawat tambang murah dilaporkan terhempas dan terbabas lalu terbakar ketika mendarat sewaktu hujan lebat di sebuah lapangan terbang di wilayah Phuket mengakibatkan sekurang-kurangnya 88 orang terkorban manakala 42 lagi cedera.

Pesawat One-To-Go yang dimiliki Orient Thai Airways membawa 130 penumpang serta krew dalam perjalanan ke Phuket dari Bangkok dengan sebahagian besarnya adalah pelancong asing selain rakyat tempatan, lapor agensi berita asing.

Setakat ini, hanya 42 penumpang disahkan terselamat termasuk pelancong dari Australia, Austria, Britain, Iran, Ireland, Itali dan Belanda.

Timbalan Gabenor wilayah Phuket, Worapot Ratthaseema berkata, kemungkinan 90 hingga 100 orang mati dalam nahas berkenaan berdasarkan hanya 42 orang yang berjaya menyelamatkan diri.

“Saya percaya 90 hingga 100 penumpang terkorban dalam nahas tersebut,” katanya sambil menambah lapangan terbang terpaksa ditutup buat sementara akibat kemalangan tersebut.

“Tahap penglihatan di landasan sangat teruk ketika juruterbang cuba mendarat.

“Juruterbang cuba membuat satu pusingan tetapi hilang kawalan dan pesawat terhempas sebelum terputus dua,” ujar Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Wilayah Phuket, Anchalee Wanitthepphabutr.

Mangsa-mangsa yang terkorban dan cedera telah dibawa ke beberapa hospital berhampiran Phuket.

Pengarah Pihak Berkuasa Pengangkutan Udara Thailand, Chaisak Angsuwan berkata, pesawat MD-82 yang malang itu cuba mendarat dalam keadaan hujan lebat dan menggelongsor ke luar landasan hingga merempuh tebing kawasan hutan tebal.

Katanya, juruterbang pesawat itu dikatakan meminta kebenaran mendarat.

“Menara kawalan membenarkannya tetapi pesawat terhempas di atas landasan dan terputus dua,” kata Chaisak.

– Agensi

BERITA HARIAN

88 penumpang terbunuh


OPERASI MENYELAMAT: Pasukan Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran pada pesawat milik One-Two-Go Airlines sejurus terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, semalam.




UTUSAN MALAYSIA

BANGKOK 17 Sept. - Lima puluh warga asing antara 88 orang yang terbunuh apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah Thailand, One-Two-Go Airlines terbabas dari landasan selepas mendarat dalam cuaca buruk di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket semalam.

Kedua-dua juruterbang terbunuh manakala 42 orang, termasuk dua krew, terselamat dalam nahas udara terburuk di negara ini, yang pertama membabitkan syarikat penerbangan tambang murah.

Syarikat penerbangan itu berkata, tiga daripada mangsa yang cedera masih ditempatkan di unit rawatan rapi.

Pada 1998, sebuah pesawat Thai Airways terhempas di Surat Thani, selatan Thailand, mengorbankan kesemua 101 orang.

Antara yang terbunuh dalam nahas semalam termasuk warga Jerman, Australia, Britain, Perancis, Israel dan Thailand, manakala yang cedera pula termasuk rakyat Thailand, Ireland, Australia, Iran, Austria, Sweden dan Britain.

Lapangan terbang itu, yang ditutup selepas kemalangan semalam, dijangka dibuka semula menjelang 5 petang hari ini.

Pengarah Lapangan Terbang Phuket, Pornchai Eua-aree memberitahu media bahawa juruterbang cuba menerbangkan semula pesawat selepas mendarat tetapi gagal memperoleh semula tenaga yang mencukupi.

Pesawat McDonnell Douglas MD82, yang memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang di sini, terbabas di landasan sebelum melanggar benteng tanah dan terputus dua lalu terbakar semasa hujan lebat.

Mangsa yang terselamat berkata, juruterbang cuba membantutkan pendaratan pertama tetapi gagal.

Pekerja penyelamat bertungkus-lumus dalam hujan lebat dan kebakaran dalam pesawat itu untuk mencari mangsa yang masih hidup memandangkan banyak penumpang yang mati terbakar.

Pihak berkuasa turut menjumpai “kotak hitam” perakam data penerbangan yang akan membantu memastikan punca insiden itu.

Hujan lebat di Phuket dan beberapa bahagian lain di wilayah selatan sejak beberapa hari lepas, dan Jabatan Meteorologi mengeluarkan kenyataan pagi ini memberi amaran kepada penduduk di 10 wilayah selatan mengenai hujan lebat dan kemungkinan banjir.

Pengarah Urusan Orient Thai yang memiliki One-Two-Go, Udom Thantprasongchai berkata, pesawat itu dikendalikan oleh juruterbang berpengalaman, sambil menambah syarikat berkenaan akan membayar pampasan kepada kesemua penumpang yang terjejas.

Pesawat MacDonnel Douglas MD82 itu boleh memuatkan 175 penumpang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Udara, Chaiyasak Angkhasuwan berkata, syarikat penerbangan itu membeli insurans US$300 juta bagi setiap kemalangan membabitkan pesawatnya.

One-Two-Go Airlines, pesawat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Bangkok dan anak syarikat domestik Orient Thai Airlines, memulakan operasi pada Disember 2003 dengan perkhidmatan Bangkok-Chiang Mai.

Baru-baru ini syarikat itu menambah penerbangan harian dari Don Muang ke Phuket, dengan melakukan enam penerbangan sehari. - Bernama

BERITA HARIAN

Penumpang nampak mayat terbakar ketika keluar dari pesawat

BANGKOK: Mangsa yang terselamat menceritakan saat-saat cemas selepas pesawat tambang murah Thailand terhempas apabila mereka cuba keluar dari tingkap ketika kapal terbang itu diselubungi api dan asap tebal.

�Saya nampak penumpang dijilat api ketika melangkah mayat mereka keluar dari pesawat,� kata seorang mangsa, Parinwit Chusaeng kepada krew televisyen Nation TV, semalam.

�Saya takut pesawat itu akan meletup, jadi saya lari,� katanya. Selepas keluar, katanya, dia melihat ke belakangnya dengan pesawat One-Two-Go Airlines versi MacDonnel Douglas MD82 dimamah api di hadapan dan belakangnya.

�Saya nampak pesawat itu terbakar dan banyak asap menyelubunginya,� kata mangsa itu.

Pesawat berkenaan membawa 130 penumpang dan krew dari Bangkok ke Phuket.

Sementara itu, Pengerusi Orient Thai Airlines, Udom Tantiprasongchai, yang mengendali pesawat tambang murah One-Two-Go, berkata perkara pertama yang akan dilakukannya ialah pergi ke Phuket bersama pegawai firma insurans.

�Kami perlu lakukan apa yang terdaya untuk menjaga kebajikan mereka yang cedera termasuk keluarga mangsa.

�Kami kesal dengan tragedi buruk ini. Saya tahu apa yang kamu tahu. Saya akan siasat lebih lanjut puncanya,� kata Udom yang berjanji mangsa akan menerima pampasan maksimum.

Udom, bagaimanapun, turut menyuarakan rasa terkejut atas nahas udara itu yang membabitkan pesawat berkenaan.

�Ini adalah kemalangan pertama dalam tempoh satu dekad sejak kami beroperasi, jadi kami tentunya terkejut,� katanya.

Akhbar The Nation melaporkan, kenyataan Udom di luar kebiasaan kerana beliau biasanya tidak suka publisiti.

Udom memulakan Orient Thai Airlines selepas pihak berkuasa Thailand melaksanakan dasar udara terbuka.

Orient Thai Airlines menjadikan Bangkok sebagai destinasi utama sambil menyewa khidmat di Asia Tenggara. Ibu pejabatnya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang.

Sanak-saudara mangsa dilaporkan semakin ramai berkumpul di lapangan terbang berkenaan bagi mendapatkan berita terkini anggota keluarga mereka.

Pengusaha agensi pelancongan asing juga memeriksa senarai penumpang bagi mengenal pasti identiti yang maut dan hilang.

Pegawai berkata, mangsa mungkin mati ketika pesawat itu mendarat atau disebabkan sesak nafas kerana kebakaran atau letupan. Selain itu, hujan masih turun sekali gus menjejaskan operasi menyelamat.

Berdasarkan keterangan awal, beberapa mangsa yang terselamat terpelanting keluar pesawat ketika ia terhempas dalam keadaan hujan lebat.

Pasukan penyelamat dan petugas tentera laut kini terbabit dalam operasi menyelamat. Semua penerbangan masuk dan keluar ke lapangan terbang Phuket kini dibatalkan.

Ketua pihak berkuasa pentadbiran Phuket, Anchalee Wanitthepphabutr, memberitahu televisyen TITV bahawa, penumpang yang maut dan cedera dihantar ke beberapa hospital di wilayah itu.

Kemalangan udara itu adalah yang terburuk di Thailand sejak 11 Disember 1998, apabila 101 orang maut selepas pesawat Thai Airways terhempas dalam keadaan hujan lebat di Surat Thani, 530 kilometer ke selatan Bangkok. Dalam kejadian itu, 45 orang selamat. � Agensi
UTUSAN MALAYSIA

SEORANG mangsa warga asing terselamat dalam nahas pesawat diberikan rawatan di sebuah hospital di Phuket. – Agensi.

PHUKET 16 Sept. – Seorang saksi terpaku apabila melihat bebola api keluar dari kapal terbang tambang murah ketika pesawat itu mendarat di pusat peranginan Phuket sebelum melanggar tebing yang menyebabkan 88 terbunuh.

Pesawat MD-82 yang malang itu membawa 130 penumpang termasuk krew dikatakan terhempas ketika mendarat dalam hujan lebat dan terbahagi dua.

Menurut pelancong dari Paris, Marine Keisel yang berada dalam sebuah lagi kapal terbang di belakang pesawat yang terhempas itu dan melihat sepenuhnya kemalangan yang berlaku itu.

“Kapal itu terbakar ketika mendarat,’’ beliau memberitahu AFP di Lapangan Terbang Phuket .

“Kami dapat melihat dengan jelas api keluar daripada dalam kapal dan kemalangan itu menyebabkan berlaku keadaan huru-hara di dalam kapal yang saya naiki,” jelasnya.

Pesawat itu berlepas dari Bangkok ke pusat peranginan itu dalam keadaan hujan lebat dan jarak penglihatan yang rendah.

Ia terhempas di atas landasan ketika melakukan pendaratan menyebabkan 88 penumpang maut kerana terbakar dan tercampak keluar manakala 42 lagi dilaporkan selamat.

Sementara itu, pihak berkuasa pula, pesawat itu terbahagi dua akibat impak sewaktu mendarat dengan bahagian ekor berada di landasan dan bakinya yang lain di antara pokok-pokok.

Udom Tantiprasongchai, Pengerusi Orient Thai Airlines yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan tambang murah itu melahirkan rasa kesal atas tragedi itu dan berjanji mengadakan penyiasatan penuh.

– AFP

BERITA HARIAN


KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei mempamer kebangkitan hebat sejak kegagalan di Kejohanan Dunia apabila merangkul kejuaraan badminton Terbuka Jepun dengan membenam juara Olimpik, Taufik Hidayat pada perlawanan akhir semalam di Tokyo, semalam.

Selepas menumbangkan juara dunia dua kali, Lin Dan di separuh akhir kelmarin, jaguh nombor satu negara itu berhempas pulas dalam pertarungan satu jam lima minit sebelum menundukkan bintang Indonesia, Taufik 22-20, 19-21, 21-19.

Chong Wei, 25, merupakan pemain Malaysia kedua berjaya memenangi gelaran perseorangan lelaki Terbuka Jepun selepas Mohd. Roslin Hashim melakukannya buat kali pertama pada 2001.

Malah, ini juga merupakan kejuaraan keempat buat Malaysia sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1984 selepas pasangan Razif Sidek-Jalani Sidek menang pada 1986, diikuti oleh Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1998.

Kemenangan ini juga memberikan kejuaraan antarabangsa ketiga buat Chong Wei sepanjang 2007 selepas turut menjuarai Terbuka Indonesia (Mei) dan Filipina (Julai).

Ia sekali gus menebus kekecewaannya yang tersungkur seawal pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan lalu setelah dikecewakan oleh rakan senegara Taufik, Sony Dwi Kuncoro.

“Adalah menjadi impian saya untuk merangkul kejuaraan Olimpik, dunia, Seluruh England dan Terbuka Jepun, jadi saya sangat gembira kerana berjaya memenangi salah satu daripadanya hari ini.

“Ini mungkin hanya satu permulaan untuk saya memburu kejuaraan yang lebih besar selepas ini, terutama ketika Sukan Olimpik di Beijing menanti tahun depan,’’ kata Chong Wei.

Dalam perlawanan semalam, pemain nombor empat dunia itu menguasai gelanggang dengan baik dan sering mengutip mata menerusi smash kencang untuk mengatasi permainan drop yang menjadi senjata Taufik.

Chong Wei, 25, juga memaksa Taufik menyelamatkan lima mata perlawanan di set penentuan sebelum mengesahkan kejuaraan selepas mengharungi 65 minit perlawanan.

Pada set pembukaan, Chong Wei dipaksa menyelamatkan mata set selepas ketinggalan 19-20, sebelum bangkit dengan kemenangan 22-20.

Taufik pula bermain lebih baik pada set kedua dengan bangkit daripada ketinggalan enam mata untuk mengutip lapan mata berturut-turut, dan mendahului 17-15 sebelum menamatkan saingan dengan 21-19.

Chong Wei, pemenang pingat emas Sukan Komanwel lebih banyak mendominasi saingan akhir dengan mendahului 15-8 pada set ketiga sebelum melakukan smash untuk menamatkan saingan.

Kemenangan ini membolehkan bekas pemain nombor satu dunia itu membawa pulang hadiah lumayan AS$16,000 (RM54,400), sementara Taufik meraih AS$6,400 (RM21,760).

“Dia (Taufik) adalah pemain hebat yang telah memenangi kejuaraan Olimpik dan dunia. Hari ini saya turun sebagai pencabar terkuat, dan saya hanya mengikut rentak permainan sendiri.

“Apabila dia berjaya mengejar di akhir set ketiga pada kedudukan 20-19, saya cuba menenangkan diri dan menanti dia melakukan kesilapan,’’ kata Chong Wei, yang memperbaiki rekod pertemuannya dengan Taufik kepada 3-4.

Sementara itu, pemain Denmark, Tine Rasmussen melakar kejutan terbesar pada pusingan kelapan kejohanan Siri Super itu apabila menumpaskan bekas juara dunia dua kali, Xie Xingfang dari China 21-17, 21-15 untuk muncul juara perseorangan wanita.

“Saya tidak langsung memikirkan tentang menang atau kalah ketika memasuki gelanggang kerana sedar saya bakal berdepan lawan yang hebat.

“Jika kalah sekali pun saya tetap gembira kerana telah melayakkan diri ke akhir,’’ kata Rasmussen, yang mengejutkan juara Eropah, Xu Huaiwen (Jerman), juara Asia, Jiang Yanjiao (China), pemain nombor satu dunia, Zhang Ning (China) dan Lu Lan (China) dalam laluan ke final.

Rasmussen membawa pulang hadiah kemenangan AS$13,800 (RM46,920) dan pemain nombor dua dunia, Xingfang meraih AS$5,520 (RM18,768).

Pasangan berpengalaman Indonesia/Amerika Syarikat, Candra Wijaya-Tony Gunawan mempertahankan kejuaraan beregu lelaki selepas menundukkan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto 21-18, 21-17.

Kejuaraan beregu wanita pula milik Yang Wei-Zhang Jiewen dari China yang menang 21-17, 21-5 ke atas rakan senegara, Zhao Tingting-Yu Wang.

Pasangan nombor satu dunia, Zheng Bo-Gao Ling dari China pula menundukkan juara baru dunia, Nova Widianto-Lilyana Natsir dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk muncul juara beregu campuran.





SUKAN

LUMAYAN: Chong Wei menggigit pingat emas serta replika cek selepas muncul juara menewaskan Taufik Hidayat pada saingan final Terbuka Jepun di Tokyo, semalam. Chong Wei menang 22-20, 19-21, 21-19.

Muncul juara Terbuka Jepun

IGAUAN perit Kejohanan Dunia lalu bingkas dihapuskan pemain utama negara, Lee Chong Wei yang mempamer tahap aksi terbaik dalam laluan mengungguli Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, semalam.

Gelaran kedua Siri Super Dunia dalam tempoh empat bulan itu jadi miliknya selepas pertarungan epik berlanjutan selama 65 minit sebelum menumbangkan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat 22-20, 19-21, 21-19.

Gembiranya jelas ketara apabila melonjak sebagai tanda meraikan kejayaan sebelum bingkas memeluk jurulatih, Misbun Sidek, sebagai tanda penghargaannya.

“Kemenangan ini amat manis bagi saya. Saya gembira kerana saya menang selepas kekecewaan pada Kejohanan Dunia lalu. Saya sudah buktikan bahawa saya mampu jika tiada yang mengganggu,” katanya ketika dihubungi di Tokyo, petang semalam.

Malah Chong Wei sendiri mengakui betapa kemenangan kali ini – dicapai selepas menumbangkan dua pemain utama dunia – Lin Dan dari China serta Taufik, hadir di luar ramalannya

“Apabila saya dimaklumkan mengenai undian ini, saya sudah bayangkan laluan yang sukar, bermula dengan Hafiz (Hashim), Ronald Susilo dan Chen Jin sebelum Lin Dan dan Taufik.

“Ketika itu, matlamat saya hanya berusaha memberi persembahan yang terbaik. Saya memang gembira kerana akhirnya berjaya muncul juara,” katanya.

Chong Wei turut memuji tentangan dijelmakan Taufik yang dianggapnya sebagai paling sukar pernah dihadapinya.

“Taufik adalah pemain hebat yang sudah memenangi pingat emas Olimpik dan gelaran dunia. Hari ini, saya gembira kerana berjaya mempamerkan rentak permainan sebenar.

“Selepas kedudukan terikat 1-1, ketika dia cuba mengejar saya pada penghujung set ketiga, saya cuba menenangkan diri dan tidak terburu-buru. Saya bersikap sabar dan hanya menantinya membuat kesilapan,” katanya.

Kejayaan itu juga pastinya akan membantu Chong Wei yang terus bergegas bersama beberapa pemain negara lainnya untuk menyertai Kejohanan Terbuka Taiwan bermula, Rabu ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pemain wanita Denmark, Tine Rasmussen melengkapkan lakaran gemilang miliknya apabila mengejutkan pilihan kedua, Xie Xingfang untuk muncul juara dengan kemenangan 21-15 21-17.

Kombinasi Tony Gunawan-Chandra Wijaya pula mengungguli acara beregu lelaki ketika gandingan China, Yang Wei-Zhang Jiewen menewaskan rakan senegara, Zhao Tingting-Yu Yang untuk merangkul acara beregu wanita.

Zhang Bo-Gao Ling pula muncul juara acara beregu campuran selepas menundukkan pasangan Indonesia, Nova Widianto-Lilyana Natsir 21-19, 21-14.



BERITA HARIAN

HENTIKAN PERANG: Kira-kira 100,000 penunjuk perasaan antiperang berarak ke Capitol Hill untuk menuntut perang di Iraq ditamatkan di Washington, semalam.

Rakyat Amerika desak presiden segera undur askar dari Iraq

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 100,000 penunjuk perasaan antiperang berarak di seluruh ibu negara Amerika Syarikat, Washington dan bertempur dengan polis berhampiran bangunan Capitol yang menyaksikan lebih 190 orang ditahan.

Mereka berarak dari Rumah Putih ke Capitol kelmarin untuk menuntut perang di Iraq ditamatkan dengan mengibarkan kain rentang, papan tanda dan melaungkan, �Apa yang kami mahu? Tentera berundur. Bila kami mahu? Sekarang.�

Protes itu dianggap tindakan membantah keputusan Presiden George W Bush untuk mengekalkan askar Amerika di Iraq.

Veteran tentera, Justin Cliburn, 25, antara kontinjen veteran Iraq yang turut serta.

�Kita menjajah rakyat yang tidak mahukan kita berada di sana. Kami di sini untuk menunjukkan bukan sekumpulan orang tua era 60-an yang menentang peperangan,� katanya.

Sementara golongan yang menyokong pencerobohan itu pula berbaris di kaki lima di belakang halangan besi. Kedengaran maki hamun dilemparkan antara kedua-dua kumpulan itu.

Tangkapan dibuat selepas penunjuk berbaring di halaman Capitol dalam yang digelar mereka �mati� � dengan tanda di atas tubuh untuk mewakili anggota tentera yang maut di Iraq. Apabila polis tidak bertindak, sebahagian mereka mula memanjat halangan Capitol.

Kebanyakan ditahan tanpa melawan selepas mereka melompat dari halangan, tetapi sebahagian lagi mula marah apabila polis cuba menolak mereka. Penunjuk perasaan membalas dengan membaling papan tanda dan menjerit: �Anda memalukan.�

Bilangan yang ditahan oleh polis Capitol kelmarin lebih tinggi berbanding perhimpunan antiperang terdahulu di Washington tahun ini. Lima ditahan dalam satu bantahan di luar Pentagon Mac lalu apabila mereka berjalan di atas jambatan yang ditutup untuk menghalang demonstrasi, dan enggan beredar.

Pada perhimpunan Januari lalu, kira-kira 50 penunjuk perasaan dihalang berhampiran Capitol, tetapi bersurai tanpa sebarang bantahan.

Penunjuk perasaan berkumpul awal kelmarin berhampiran Rumah Putih di Lafayette Park dengan papan tanda berbunyi:

�Tamatkan perang sekarang� dan menggesa Presiden George W Bush didakwa kerana melakukan jenayah. Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan ANSWER dan beberapa kumpulan lain.

Penganjur menganggarkan hampir 100,000 menghadiri perhimpunan dan perarakan berkenaan. Ia tidak dapat disahkan dan polis tidak dapat memberikan anggaran mereka. � AP

UTUSAN MALAYSIA

Oleh: NIZAM YATIM

KOTA BHARU 26 Mei - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) bersetuju dengan cadangan supaya kaum lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan seumpama itu tetapi dengan syarat mendapat keizinan wanita yang akan dikahwini dan diadakan perjanjian bertulis antara kedua-dua belah pihak.

``Mesti ada pengakuan bertulis daripada perempuan dalam perjanjian yang menyatakan bahawa saya izinkan suami tidak beri duit serta nafkah zahir lain dan tidak cukup giliran pun tidak apa,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di pejabat Pas negeri di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid kelmarin supaya perkahwinan itu dibenarkan kerana membawa pelbagai kebaikan termasuk mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, perjanjian bertulis hanyalah satu keperluan dari segi teknikal bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah sekiranya isteri yang dikahwini secara misyar berubah fikiran dan membuat tuntutan untuk mendapatkan nafkah zahir di mahkamah.

Mengenai bantahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam - termasuk oleh Dewan Muslimat Pas sendiri - dengan alasan masalah wanita tidak berkahwin tidak harus dilayan sebagai kes kebajikan, Nik Abdul Aziz berkata:

``Golongan wanita tidak sepatutnya rasa terhina kerana ia dibuat hanya setelah mendapat keizinan bakal isteri.

``Nak hina macam mana, dia sendiri izin, orang nak kahwin dengan saya dan saya hendak beri rumah sebuah, mari dua kali seminggu pun tak apa,'' ujarnya.

Tambah Nik Abdul Aziz, pandangan beliau itu bukan sahaja merujuk kepada rakyat Kelantan malah untuk semua orang kerana Islam itu untuk seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada pelaksanaan perkahwinan misyar itu akan melibatkan pindaan enakmen agama Islam di negeri-negeri.

Ketua Muslimat Pas, Azizah Khatib Mat semasa menolak cadangan kahwin misyar itu semalam berkata, cara itu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.
UTUSAN MALAYSIA

WASHINGTON 26 Mei - Akhirnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair membuat pengakuan berterus terang mengenai kesilapan dan salah langkah yang mereka lakukan berhubung perang di Iraq.

Mereka mengakui perang tersebut telah menimbulkan kekecewaan dan kebimbangan mendalam di negara masing-masing.

Bagaimanapun pada sidang media luar biasa selama 50 minit di White House semalam, dua sekutu rapat itu menegaskan negara mereka mesti terus menempatkan tentera di Iraq dan masyarakat antarabangsa perlu menyokong kerajaan baru di Baghdad.

Kedua-dua pemimpin itu memang diketahui tidak mudah mengakui kesilapan masing-masing tetapi pada sidang media tersebut mereka mengakui tersilap langkah, melahirkan rasa kesal dan kebimbangan dengan apa yang berlaku di Iraq sekarang.

Bush berkata, perkara yang paling dikesali oleh beliau dalam perang itu ialah skandal penderaan tahanan di penjara Abu Ghraib, Baghdad.

Blair pula mengakui, usaha untuk membebaskan Iraq daripada pengaruh Parti Baath pimpinan Saddam Hussein, termasuk menyingkirkan anggota parti itu daripada kerajaan dan pasukan keselamatan Iraq tidak ditangani dengan betul.

Sikap kedua-dua pemimpin tersebut semalam berbeza sama sekali dengan keangkuhan yang ditunjukkan oleh mereka pada sidang media sebelum ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

Tidak syak lagi perang Iraq telah menimbulkan rasa kecewa dan bimbang di Amerika.

``Apabila kita menonton televisyen dan menyaksikan orang tidak bersalah terbunuh setiap hari, ini mempengaruhi mentaliti rakyat di negara ini,'' kata Bush.

Presiden AS itu menambah, beliau juga menyesal membuat kenyataan-kenyataan berani yang mencabar gerila anti-Amerika di Iraq pada Julai 2003 apabila serangan terhadap askar AS dan orang awam Iraq kian meningkat.

``Saya mendapat pengajaran daripada perkara ini supaya menyuarakan pandangan saya dengan cara lebih halus,'' tegas beliau.

Kedua-dua Bush dan Blair telah menyaksikan populariti mereka menjunam dalam tempoh setahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan perang di Iraq, tetapi mereka tetap mempertahankan keputusan untuk melancarkan serangan pada Mac 2003 itu.

``Keputusan untuk menggulingkan Saddam memang penuh kontroversi. Kita tidak menemui senjata pemusnah besar-besaran yang kita percaya ada di sana, menyebabkan timbul persoalan sama ada pengorbanan di Iraq wajar atau tidak,'' kata Bush.