Siasat tender Matrade -- MITI syak ada penyelewengan dalam proses pemberian projek

Oleh DALIZA ARIFFIN dan NORIZAN ABDUL MUHID


KUALA LUMPUR 23 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pemilik Menara Matrade yang siap selepas sembilan tahun, menuntut siasatan turut dijalankan ke atas proses pemberian tender projek itu bagi meneliti jika wujud sebarang penyelewengan.

Ia juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya untuk mendakwa bekas-bekas pengarah syarikat kontraktor terbabit ke mahkamah.

Jika semua prosedur siasatan ini dijalankan, ia dijangka menjadi satu tindakan perundangan terbesar membabitkan kes urus tadbir korporat dalam sejarah negara.

Menterinya, Datuk Seri Rafidah Aziz menegaskan, cadangan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mendakwa pengarah syarikat pemaju dan kontraktor projek itu ke mahkamah sahaja tidak mencukupi.

Malah, kata beliau kemungkinan berlakunya penyelewengan semasa di peringkat pemberian tender tidak harus diketepikan dan harus disiasat kerana kerajaan, Matrade dan para usahawan telah menanggung kerugian akibat kelewatan projek itu.

``Saya rasa inilah punca berlakunya kelewatan projek ini, kita perlu siasat bagaimana tender itu diberi, kenapa dan siapa yang menawarkannya,'' kata beliau.

Kontrak asal pembinaan Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia itu diserahkan kepada Perangsang International Sdn. Bhd. (PISB), tetapi ditamatkan Mac tahun lalu ekoran kegagalan syarikat itu menyiapkan projek tersebut.

PISB, syarikat pelaburan kerajaan Selangor pada masa itu, kemudian dijual kepada pihak lain.

Bangunan yang dibina pada 1997 dengan kos asal RM167 juta itu meningkat kepada RM287.5 juta, dengan kira-kira RM64.8 juta dibelanja untuk kerja pembaikan setelah beberapa kecacatan dikesan.

Menara Matrade menjadi kontroversi setelah projek pembinaannya tertangguh begitu lama sebelum diserahkan kepada MITI hari ini.

Rafidah menerima secara rasmi menara itu bagi pihak MITI daripada Kementerian Kerja Raya di sini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Samy Vellu dan beberapa pegawai kanan kedua-dua kementerian.

Selain itu, Rafidah memberitahu, ekoran kelewatan projek berkenaan, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan RM120 juta.

``Dengan jumlah sebanyak itu, kita boleh membina dua lagi bangunan Matrade,'' katanya.

Rafidah berkata, siasatan menyeluruh itu perlu melibatkan pihak yang menawarkan tender, nama kontraktor yang terpilih, syarat-syarat tender dan kos projek.

Jelasnya, selain kos tambahan, Matrade juga hilang punca pendapatan daripada sewaan ruang pameran kepada peniaga memandangkan premis sementara agensi itu di Jalan Raja Laut di sini, adalah sempit dan terhad.

``Kita inginkan penjelasan dan berharap JKR tidak mengulangi masalah yang sama pada masa akan datang,'' tegasnya.

Rafidah juga secara sinis menyatakan sepanjang tempoh kelewatan projek tersebut, kementeriannya menyaksikan pertukaran tiga ketua pengarah, empat Ketua Setiuasaha kementerian dan tiga pengerusi Matrade.

``Nasib baik saya dan Samy masih memegang jawatan menteri yang sama. Kalau tidak, sehingga kami bersara pun, tidak mungkin rasanya kami berdua dapat menjejakkan kaki ke sini,'' kata beliau.

Sementara itu, Samy memberi jaminan akan mengheret pengarah syarikat PISB ke mahkamah selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara untuk berbuat demikian.

``Tindakan mahkamah akan diambil ke atas pengarah-pengarah syarikat terbabit biarpun mereka mendakwa syarikat tersebut tidak lagi wujud.

``Mereka sudah buat kesalahan besar seperti ini. Mereka harus bertanggungjawab dan tidak boleh lari sahaja daripada masalah ini,'' katanya.

Jelas beliau, pihaknya sudah memulakan siasatan mengenai perkara itu dan keputusan siasatan akan didedahkan apabila waktu sesuai kelak.

Bagaimanapun, jelas beliau, perkara itu tidak perlu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet kerana ia adalah salah satu bidang tugas kementeriannya.

Kegagalan PISB menamatkan projek itu mengikut jadual mengakibatkan ia diarah membayar caj lewat serahan berjumlah RM41,750 sehari bagi tempoh 2,276 hari, iaitu sehingga tarikh kontrak ditamatkan.

PISB, sebelum dijual kepada sebuah syarikat lain, adalah subsidiari Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB), syarikat pelaburan kerajaan Selangor.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments: