BEITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Tokoh korporat Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang lebih popular sebagai Datuk K dan bekas isterinya Tengku Zawyah Tengku Izham akan berbincang untuk menyelesaikan kes tuntutan rujuk mereka secara sulh (penyelesaian pertikaian secara damai), di luar mahkamah.
Peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Tengku Zawyah memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, semalam, pihaknya memerlukan masa untuk mendalami kes itu dan mencari penyelesaian.
Beliau yang baru dilantik bersama peguam Syarie Azmi Mohd Rais berkata, anak guamnya sebelum ini memfailkan permohonan rujuk pada 12 April lalu berikutan kekeliruan berhubung status mereka sebagai suami isteri.
“Ini dilakukan bagi mengelak mengambil ringan hukum Allah atas status berdasarkan hukum syarak, kerana mereka pernah tinggal bersekedudukan sebagai suami isteri ketika tempoh edah, seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor.
“Isu rujuk ditimbulkan apabila anak guam kami meminta khidmat nasihat daripada bahagian perundangan keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekitar Februari 2006 mengenai hak dan tuntutan selepas perceraian,” katanya.
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 12 Mac lalu mengesahkan talak pasangan itu kerana pelanggaran taklik oleh Tengku Zawyah pada 1 Februari 2004.
Berikutan itu, Hakim Syarie Muhammad Fauzi Ismail, membenarkan kes itu ditangguhkan sehingga 14 Jun ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai persefahaman.
Datuk Khalid, yang dianugerahkan Tokoh Usahawan Kedah 2006, dan Tengku Zawyah masing-masing tidak hadir bagi prosiding semalam. Peguam Muhammad Burok mewakili Datuk Khalid.
0 comments:
Post a Comment