Angkasawan Malaysia ke ISS ditentukan pada saat-saat akhir - PM

PUTRAJAYA 24 Sept. - Angkasawan Malaysia yang akan ke stesen angkasa antarabangsa pada 10 Oktober depan akan ditentukan pada saat-saat akhir setelah kedua-dua calon negara kini diiktiraf sebagai angkasawan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Dr Sheikh Muszaphar Shukor ditempatkan dalam kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S, manakala Kapten Dr Faiz Khaleed menganggotai kumpulan krew kedua.

“Segala perubahan terakhir dalam pemilihan calon yang akan mengikuti misi ini akan ditentukan oleh pihak Russia kelak.

“Proses ini perlu bagi memastikan misi berjalan dengan lancar dan jayanya,” kata Abdullah ketika membuat pengumuman itu yang disiarkan secara langsung dari pejabatnya di sini hari ini.

Kedua-dua angkasawan negara akan berada di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan mulai 28 September bagi menjalani latihan terakhir sebelum pelancaran 10 Okt depan.

Beliau berkata, keputusan bagi pemilihan angkasawan negara berdasarkan kepada perakuan jawatankuasa panel pemilihan yang dipengerusikan oleh Tun Hanif Omar berasaskan kepada mesyuarat jawatankuasa kerja Lembaga Antara Kerajaan Rusia (Russian Intergovernmental Board) dan juga laporan akhir penilaian persediaan misi Soyuz 15-S oleh pihak Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos).

Abdullah berkata, kerajaan amat berbangga kerana Lembaga Penetapan Krew telah mengiktiraf bahawa kedua-dua calon angkasawan negara telahpun lulus dengan cemerlang dan mereka layak untuk mewakili Malaysia bagi misi pertama negara ke angkasa lepas.

Ini bermakna, katanya, negara telah dapat melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa diperlukan serta diberi pengiktirafan oleh badan latihan angkasawan antarabangsa.

Selain Dr Sheikh Muszaphar, 35, pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pihak Russia telah mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S terdiri daripada Yuri Malechenko dari Russia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.

Kumpulan krew kedua terdiri daripada Sharizan Sharipov dari Russia dan Michael Fincke dari Amerika Syarikat selain Kapten Dr Faiz, 27, yang merupakan seorang doktor gigi dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan sebagaimana dirancangkan dengan selamat dan jayanya,” kata Abdullah.

Program untuk menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas dimulakan pada 2003 apabila Russia bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.4 bilion buatan Russia oleh Malaysia.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata, penamaan krew di saat-saat akhir adalah perkara biasa memandangkan apa sahaja boleh berlaku dari sekarang sehinggalah waktu pelancaran.

“Ingat tak Yuri Gagarin (manusia pertama di angkasa lepas)... beliau bukanlah pilihan pertama.

“Beliau adalah pilihan kedua tetapi terpilih di saat-saat akhir memandangkan krew pilihan utama menghidap demam campak,” katanya.

Beliau berkata, keputusan akhir mengenai siapakah yang akan berada dalam Soyuz akan ditentukan oleh pengarah misi Russia sama ada pasukan krew pertama atau pasukan krew kedua atau pasukan campuran.

Dr Jamaludin mengesahkan sekurang-kurangnya seorang angkasawan Malaysia akan berada dalam roket Russia yang akan dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 9.21 malam (waktu Malaysia), 10 Oktober.

Jamaludin berkata, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz dipilih daripada sejumlah 11,275 calon sejak Agensi Angkasa Negara Malaysia (Angkasa) memulakan kempen saringan untuk program itu pada 2003.

Angkasawan Malaysia dijangka mengendalikan penyelidikan saintifik ke atas sel kanser di angkasa bagi mengkaji kesannya di persekitaran angkasa lepas.

Beliau berkata, kerajaan bercadang mengadakan siaran langsung pelancaran itu menerusi semua stesen televisyen tempatan dan mengesahkan bahawa Perdana Menteri akan menyaksikan detik bersejarah itu menerusi siaran langsung.

Dr Muszaphar dan Dr Faiz, kedua-duanya masih bujang, yang kini menjalani latihan 12 bulan di Yuri Gagarin Aerospace Training Centre di Star City di Moscow, masih belum mengetahui mengenai pengumuman itu dan akan dimaklumkan kemudian, kata Jamaludin.

Beliau berkata, pada mulanya agak sukar untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka juga boleh menjadi angkasawan.

Namun, secara beransur-ansur

“kemungkinan itu menjadi impian dan kini bertukar menjadi kenyataan.

“Angkasawan negara akan berlepas pada malam tujuh likur... Lailatulqadar... lepas tarawih pada 9.21 malam 10 Okt, kira-kira tiga hari sebelum Hari Raya Puasa,” kata Jamaludin ketika menekankan signifikan waktu pelepasan tersebut yang secara kebetulan ditetapkan oleh pihak Russia.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah angkasa lepas apabila seorang angkasawan beragama Islam dijangka berpuasa di angkasa lepas memandangkan misi yang dilaksanakan itu secara kebetulan dalam bulan Ramadan.

Hanif pula percaya berpuasa di angkasa lepas tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada angkasawan negara memandangkan Islam menyediakan ruang dalam memberikan kelonggaran bagi mengerjakan suruhan agama.

Ekspedisi ke angkasa lepas kali ini akan meliputi tempoh kira-kira 10 hari di ISS, yang terletak 402.34 km dari permukaan Bumi. - Bernama

0 comments: