Sekolah Satu Sesi Mungkin Dilaksanakan Sepenuhnya Pada Tahun 2010

KOTA BAHARU, 25 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan sepenuhnya sekolah satu sesi sehingga ke sebelah petang seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin akan terlaksana seawal tahun 2010, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini kerana ketika itu Kementerian Pelajaran sudah bersedia melaksanakan sekolah satu sesi itu sepenuhnya, selepas segala masalah-masalah yang berbangkit dapat diatasi.

"Ketika itu sudah sampai masanya untuk kita melihat keberkesanan Pelan Pendidikan Lima Tahun yang dirancang, serta meneliti (menangani) segala permasalahan terhadap sistem pelajaran dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan akhbar selepas Majlis Perasmian Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 dan perasmian Makmal j-QAF yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 2, Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri mencadangkan supaya diwujudkan sekolah satu sesi yang tempoh sesi pembelajarannya dipanjangkan sehingga ke pukul 4 petang bagi mengatasi masalah anak-anak bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.

Perdana Menteri berkata sekiranya langkah itu dilaksanakan ia akan memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bekerja kerana mereka berpeluang menjemput sendiri anak-anak pulang dari sekolah.

Mengulas perkara itu Hishammuddin berkata, Kementerian Pelajaran ketika ini sedang mengumpulkan maklumat berhubung keberkesanan, kebaikan dan kelemahan persekolahan satu sesi itu, sebelum melaksanakannya secara keseluruhan.

"Saya rasa 60 peratus sekolah-sekolah di seluruh negara sudah melaksanakan persekolahan satu sesi ini, dan Insya Allah hasrat Perdana Menteri itu mampu jua dilaksanakan nanti," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Abdullah bahawa ibu bapa tentu akan berasa lega apabila masa anak-anak mereka akan banyak dihabiskan di sekolah, sekaligus keselamatan mereka lebih terjamin.

Majlis di sini petang ini menyaksikan 2,560 pelajar khatam Al-Quran, berbanding 1,800 pelajar pada program Khatam Al-Quran Perdana di Selangor tahun lepas.

-- BERNAMA

0 comments: