Polis timbang dapatkan bantuan pakar psikik selesaikan kes Nurin

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Penggunaan kaedah psikik mungkin akan ditimbang oleh polis sebagai sebahagian usaha untuk menyelesaikan kes pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazimin.

Jika betul, ini merupakan kali pertama kaedah psikik atau `pakar psikik’ digunakan bagi membantu siasatan polis dalam menyelesaikan kes jenayah.

Difahamkan bahawa kemungkinan mendapatkan khidmat pakar psikik tidak ditolak bagi membantu siasatan polis menyelesaikan kes itu.

Seorang pegawai kanan polis negeri berkata, walaupun polis kini menggunakan sumber dan rangkaian risikan mereka untuk mengesan pembunuh Nurin, mereka turut mengalu-alukan pakar dalam bidang psikik untuk membantu mereka dalam siasatan.

“Kenapa tidak, jika mereka boleh membantu kami mengesan suspek dalam kes pembunuhan Nurin? Mungkin penggunaan kaedah psikik baru bagi semua.

“Jika seseorang menawarkan kemahiran psikik untuk membantu siasatan kami, kami mungkin menimbangkannya.

“Tapi ini tidak bermakna polis tidak boleh menyelesaikan kes ini dengan menggunakan sumber dan tenaga yang ada,” katanya di sini hari ini.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, bantuan pakar psikik kadang kala digunakan polis bagi mengesan mayat yang belum ditemui, suspek malah bahan bukti.

Sementara itu, Pakar Forensik Hipnosis, Dr Sazali Ahmad berkata, melalui perantaraan jarak jauh dengan menggunakan bahan-bahan bukti yang ditemui seperti beg pakaian yang menempatkan mayat Nurin, ia boleh mengesan jejak penjenayah melalui “tenaga” yang ditinggalkan.

“Saya sedia membantu sekiranya pihak polis ingin bantuan menerusi kaedah psikik ini.

“Penyiasatan hipnosis dengan kembali ke memori lepas dikatakan boleh digunakan dalam usaha mengesan penjenayah kejam yang membunuh Nurin Jazlin.

“Sebaik-baiknya kaedah ini dilakukan ketika mayat itu baru dijumpai apabila “energy” di kawasan itu masih kuat,” katanya.

Bagaimanapun, kaedah itu masih boleh dijalankan walaupun kini sudah masuk hari kelapan mayat Nurin ditemui iaitu sejak Isnin lepas.

“Jika kami berada di tempat kejadian di mana mayat Nurin ditemui, kami masih lagi merasakan “sesuatu” yang kami panggil "energy" yang boleh membantu kami kembali kepada memori lepas untuk mengesan di mana Nurin ditinggalkan, jalan-jalan yang pernah dilalui penjenayah dan mereka yang melakukannya,” katanya.

Dr Sazali berkata, perantaraan jarak jauh itu boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih serta mempunyai kebolehan dan tahap kepekaan yang tinggi.

Beliau berkata, namun usaha itu memerlukan kerjasama polis untuk menganalisis hasil yang diperoleh daripada kaedah berkenaan.

“Sebelum ini, saya pernah jalankan “remote viewing” ke atas beberapa orang termasuk ahli keluarga allahyarham Nurin bagi mengesan mangsa sebelum ini.

“Kerjasama polis sangat baik untuk membantu menganalisis maklumat yang kita peroleh bagi menentukan kebenarannya,” katanya.

Beliau berkata, daripada analisis yang dilakukan dalam sesi terdahulu, terdapat beberapa petunjuk yang dilihat dalam perjalanan bawah sedar antaranya mangsa diikat tangannya ke belakang serta duduk dalam bilik gelap.

Namun mereka tidak dapat berhubung dengan minda Nurin yang dipercayai ketika itu tenaganya sangat lemah, katanya.

“Masa itu saya terlihat dua lelaki yang menjaga Nurin, jalan tanah merah yang terdapat kesan tayar kereta, petunjuk nama jalan serta lokasi rumah yang tidak jelas yang terletak di atas kawasan berbukit.

“Mungkin petunjuk-petunjuk ini boleh digunakan lagi bagi mengesan penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu,” katanya. - Bernama

0 comments: