Showing posts with label Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM ). Show all posts
Showing posts with label Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM ). Show all posts
Antara gagasan universiti taraf dunia, cabaran siswazah bidang kerjaya

Oleh Dr Anuwar Ali

IPT perlu hasil graduan penuhi tuntutan industri elak lambakan sesuatu jurusan

KETIKA ditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970, matlamat yang tertulis sangat mudah tetapi sarat dengan makna yang cukup simbolik � bagaimanakah memberikan pendidikan peringkat universiti kepada orang Melayu khasnya serta memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

UKM bermula dengan penuh kesederhanaan, tetapi berkembang dengan pesat daripada tiga fakulti kepada 12 fakulti dan 14 pusat penyelidikan sehingga hari ini. Kini UKM berjaya menghasilkan kira-kira 131,000 siswazah dalam pelbagai bidang.

UKM melihat barisan kepemimpinan yang datang dan pergi. Mereka semua mempunyai pemikiran dan dedikasi sama, iaitu mendokong hasrat murni penubuhan asalnya. Persoalannya sekarang ialah sejauh manakah universiti ini berjaya memenuhi aspirasi asal penaja UKM?

Semua Naib Canselor, mencuba sedaya upaya untuk memenuhi aspirasi itu dengan pelbagai pendekatan baru dalam corak tadbir urus dan pengurusan akademik, termasuk penstrukturan semula fakulti dan pentadbiran universiti, mewujudkan semangat kekitaan, disiplin dan akauntabiliti akademik serta mendekati pelajar, semuanya tanpa lari jauh daripada matlamat asal penubuhan UKM.

Saya melihat kejayaan sesebuah universiti terletak pada kualiti tenaga akademiknya, pengurusan dan kepemimpinannya; dan seterusnya mutu graduannya. Sejauh manakah unggulnya graduan yang sudah diasuh untuk menghadapi dunia sebenar di luar sana?

Itulah tanggungjawab sosial yang amat penting sebagai sebuah universiti � mengeluarkan graduan yang berdaya tahan, berinisiatif dan mampu bersaing.

Kerunsingan masyarakat, ibu bapa dan lebih-lebih lagi graduan ialah mengapa ramai graduan gagal mendapat tempat dalam dunia pekerjaan, terutama dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh dunia sekarang.

Kadar pengangguran di Malaysia pada suku pertama 2009 adalah empat peratus, suatu peningkatan yang tinggi berbanding 3.2 peratus pada 2008. Jumlah graduan bagi 2008 adalah sekitar 150,000 dan 80,000 adalah graduan universiti awam. Laporan kajian pengesanan pelajar bagi 2008 mendapati 21.7 peratus graduan universiti awam masih tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Apakah ini suatu kesilapan bagi universiti?

Sebenarnya kebolehpasaran graduan itu bukan terletak pada universiti tempat mereka belajar semata-mata. Nasib graduan ditentukan ciri-ciri lain, termasuk kelemahan ekonomi untuk menyerap semua graduan, terletak pada diri graduan itu sendiri serta perwatakan sosial seperti ketrampilan, kemahiran berinteraksi dan bekerja dalam satu pasukan, kemampuan berfikir secara kritikal dan mempunyai daya tahan tinggi.

Keyakinan diri juga menjadi ciri yang dinyatakan. Tidak boleh juga menyalahkan graduan sepenuhnya kerana mereka melalui proses pembelajaran yang panjang dan membentuk acuan sedemikian rupa.

Asasnya, bagi dunia pendidikan tinggi, suatu ironis berbicara mengenai universiti bertaraf dunia, jika sejumlah besar graduannya terumbang ambing dalam pasaran pekerjaan. Di manakah peranan universiti untuk menghasilkan pelajar yang sedia memasuki pasaran dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang tinggi nilai peribadinya.

Justeru, universiti mempunyai peranan yang kritikal dalam menghasilkan graduan sedemikian rupa. Mahu tidak mahu, universiti harus menghasilkan graduan mengikut keperluan industri atau pasaran kerja bagi mengelakkan penghasilan graduan yang melebihi dalam sesuatu bidang.

Dalam merancang perkembangan universiti, kita mesti mengambil kira produk atau hasilnya terlebih dulu, iaitu dalam bentuk tenaga manusia yang boleh menyumbang kepada keupayaan sesebuah negara. Dalam konteks UKM, tugas dan tanggungjawab yang dipikul adalah amat rumit dan penuh dengan pelbagai cabaran.

Kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini, sentiasa peka dan berwaspada serta meletakkan keutamaan kepada teras yang dihasratkan oleh penaja UKM zaman silam. Tanggungjawab itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk graduan yang dibekalkan dengan cara berfikir dan perwatakan yang membolehkan mereka mampu menghadapi apa juga keadaan dengan tenang dan penuh bijaksana. Bak kata pepatah 'kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.'

Jika universiti dapat memenuhi tuntutan ini, maka akan terzahirlah konsep kecemerlangan akademik yang sebenar. Penekanan seimbang haruslah diberikan antara pembentukan sebuah universiti 'bertaraf dunia,' dengan tanggungjawab membentuk sahsiah dan perwatakan unggul pada diri graduan.

Universiti akan dianggap gagal seandainya sehelai kertas yang dipanggil ijazah itu tidak dipamerkan dengan perwatakan murni graduan yang diperlukan dalam tamadun bangsa dan tanah air. Cabaran yang akan terus dihadapi oleh pimpinan akademik ialah bagaimanakah kita menangani masalah graduan menganggur yang semakin ramai saban tahun.

Adakah perlu kita membuat perubahan dari dalam, pada corak tadbir urus dan pedagogi pengajaran, atau mengalih penekanan kepada keperluan pelajar yang mahukan proses pembelajaran yang mantap, atau perlukah kita merenung kembali sejauh manakah sebenarnya yang sudah dicapai, sama ada pencapaian itu menepati agenda kebangsaan dan negara Malaysia, atau sebaliknya?

Memimpin universiti amat besar cabaran dan tuntutannya. Saya mengharapkan terbentuklah generasi pemimpin akademik yang ikhlas serta jujur untuk memenuhi tuntutan ini sepanjang zaman dan beliau yakin, dengan disiplin yang mantap serta keyakinan yang tinggi, kakitangan akademik serta warga UKM akan mencapai kecemerlangan seterusnya.

(Sedutan ucap balas penerimaan gelaran Profesor Emeritus, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali, Presiden/Naib Canselor OUM pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-37 di UKM Bangi 16 Ogos lalu)
Kecemerlangan UKM di ambang 40 tahun penubuhan

Oleh Abdul Razak Hussin
rencanabh@bharian.com.my

Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-37

Fasa transformasi gapai universiti terkemuka dunia menjelang 2018

SABTU lalu, tradisi lambang kegemilangan universiti diteruskan dengan berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-37 dan majlis ini berterusan sehingga Rabu ini.

Pada konvokesyen kali ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan 207 ijazah doktor falsafah, 174 ijazah sarjana kepakaran bidang perubatan dan pergigian, 1,357 ijazah sarjana, 5,607 ijazah sarjana muda, 251 diploma siswazah siswazah, 78 diploma dan sijil.

Sekali lagi, seperti tahun lalu, UKM menghasilkan peningkatan berterusan penerima doktor falsafah yang teramai sejajar dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan.

Pada majlis konvokesyen ini juga, UKM mengeluarkan graduan pertama daripada dua program baru, iaitu lapan graduan Sarjana Kepakaran Perubatan Kecemasan dan 13 graduan Sarjana Kesihatan Masyarakat (program setahun).

Dengan konvokesyen tahun ini, jumlah graduan UKM yang dilahirkan sejak penubuhannya 39 tahun lalu, sudah mencecah 131,593 orang. Ini adalah satu angka besar yang menjadi aset kepada pembangunan negara yang berterusan.

UKM lahir 39 tahun lalu atas perjuangan rakyat untuk menubuhkan sebuah universiti sebagai kemuncak kepada pelaksanaan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan. Kini, UKM berada di ambang 40 tahun penubuhannya. Dalam tempoh pendewasaan ini, UKM melaksanakan transformasi untuk melangkah sederap dengan universiti terkemuka dunia menjelang 2018.

UKM bukan hanya menjadi sebuah institusi pengajian tinggi bagi rakyat Malaysia, malah mampu merentasi benua dan menjadi pilihan kepada pelajar dari luar negara. Kini UKM menjadi labuhan ilmu kepada 2,587 pelajar antarabangsa dari 55 negara.

Kekuatan UKM menggerakkan fasa transformasi dalam ekosistem ilmu UKM didokong oleh pengukuhan lapan bidang tujahan atau 'nic'. Sebagai ikon identiti kebangsaan, UKM tidak terkecuali berada dalam arus perdana menyahut gagasan 1Malaysia dengan mengambil tanggungjawab memantapkan jati diri kebangsaan, pengukuhan negara bangsa, kepelbagaian budaya dan globalisasi yang diangkat sebagai bidang tujahan utama dalam memacu fasa transformasi UKM.

Dalam memperkasakan UKM sebagai universiti penyelidikan, serlahan bidang tujahan dan penghasilan pelajar pasca-siswazah menjadi pengukur kejayaan. Peningkatan prestasi dalam pengukur lain seperti menghasil inovasi bernilai komersial, peningkatan jumlah penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, meningkatkan hubungan strategik pada peringkat antarabangsa, pengiktirafan ciptaan warga UKM, terus dikembangkan.

Majlis konvokesyen ini, menyaksikan UKM berjaya menghasilkan graduan Fakulti Farmasi yang baru setahun ditubuhkan sebagai kesinambungan daripada jabatan asas di Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu sebelumnya. Penubuhan fakulti ini selaras dengan inisiatif memenuhi hasrat kerajaan yang menetapkan nisbah seorang ahli farmasi bagi setiap 200 penduduk dan sasaran Kementerian Kesihatan, iaitu 1,130 ahli farmasi setahun menjelang 2020.

Fakulti Undang-Undang turut sama meningkatkan citra universiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Warga akademik Fakulti Undang-Undang memberi sumbangan dalam membantu kerajaan menggubal polisi dan perundangan negara dalam pelbagai bidang seperti perundangan pengguna, keluarga, wanita, urus tadbir korporat, pendidikan tinggi, harta intelek, isu perlembagaan dan sebagainya.

Sebagai satu institut terawal di UKM, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menjadi ikon kebangsaan dan antarabangsa dalam memperjuangkan kesusasteraan, kebudayaan dan ketamadunan Melayu. ATMA berjaya menarik pelajar siswazah dari pelbagai negara Asia Tenggara, Asia Barat, New Zealand dan Amerika Syarikat untuk mendalami dan menyelidiki keunikan tamadun Melayu.

Sebagai antara satu pusat kecemerlangan penyelidikan, Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) mengetuai banyak projek penyelidikan pada peringkat kebangsaan. Satu projek yang menjadi kebanggaan dan masih berjalan adalah projek 'The Malaysian Cohort', iaitu projek nasional yang dibiayai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengumpul biospesimen daripada 100,000 penduduk Malaysia. UMBI turut menawarkan program Sarjana Perubatan Molekul dan program Doktor Falsafah Perubatan Molekul.

Fakulti Perubatan menjadi mercu tanda negara kepada kejayaan melahirkan doktor di kalangan anak watan yang pakar dalam pelbagai bidang kesihatan. UKM juga menjadi perintis utama di Malaysia dan Asean dengan menawarkan 'fellowship' (biasiswa) selama setahun kepada pakar perubatan dari luar negara untuk menjalani latihan di Pusat Perubatan UKM.

Usaha mengantarabangsakan latihan kepakaran ini adalah tanggungjawab sosial UKM dan pengiktirafan terhadap kepakaran ahli akademik UKM. Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu diiktiraf sebagai Fakulti Sains Kesihatan yang pertama di Malaysia.

Program Sains Bioperubatan, berjaya mendapat pengiktirafan dan akreditasi dari Institut of Biomedical Science (IBMS), United Kingdom, iaitu sebuah badan dunia dalam bidang bioperubatan.

Beberapa kejayaan lain turut ditempa, termasuk dalam aspek pendidikan kejuruteraan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) yang secara aktif melaksanakan proses meningkatkan program pengantarabangsaan pelajar dengan menganjurkan program mobiliti pelajar pada peringkat antarabangsa, proses pembelajaran di Fakulti Pendidikan yang berjaya mendedahkan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang bukan saja membabitkan pembelajaran dalam persekitaran Malaysia, malah juga di luar negara.

Malah, lulusan Pengajian Islam memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan pendidikan Islam dan berkhidmat sebagai pendidik serta pakar rujuk pelbagai sektor di dalam dan luar negara. Sumbangan mereka amat bermakna dalam membantu usaha kerajaan memberi kefahaman agama dan penghayatan nilai murni menerusi pendidikan dan manhaj ketamadunan yang sesuai dengan sekitaran Malaysia.

Dalam rangka meletakkan UKM di pentas pendidikan antarabangsa, UKM turut menggubal dan melaksanakan program kerjasama mobiliti pelajar membabitkan kerjasama UKM dengan universiti terkemuka dunia dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kemboja. Pelajar UKM dan pelajar antarabangsa dalam program ini bersama-sama mengambil kursus mengenai masyarakat orang asli dan kelestarian warisan hutan tropika membabitkan dua minggu perkuliahan dan dua minggu kerja lapangan.

Ini bukan saja satu pendekatan menempatkan UKM dalam pendidikan tinggi peringkat antarabangsa, malah lebih utama adalah untuk membuka spektrum pemikiran pelajar terhadap kepentingan meraikan kepelbagaian budaya dan menyesuaikan diri dengan keperluan silang budaya tanpa menghakis jati diri sebagai sebuah negara bangsa yang bertamadun tinggi.

Sekadar memaparkan beberapa pencapaian yang akan terus dibugar, UKM kini memasuki fasa selanjutnya dalam Pelan Transformasi yang direncanakan. Dengan meletakkan sasaran jangka pendek menjadi universiti terbaik sederap universiti terkemuka dunia pada 2018, menuntut iltizam lebih besar dan keutuhan semangat bagi seluruh warganya untuk berkongsi ilham dan harapan bagi mencipta masa depan yang gemilang.

Bukan sekadar untuk UKM, malah untuk negara membanggakannya sebagai sebuah universiti kebangsaan, yang lahir daripada aspirasi dan jerih keringat rakyat jelata hasil gagasan penubuhannya 106 tahun yang lalu.

Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat, UKM