Showing posts with label Anwar Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Anwar Ibrahim. Show all posts
Anwar pengkhianat Melayu?

Dua isu menarik perhatian Awang sepanjang minggu ini. Salah satunya ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu pada Khamis lalu.

Akhbar Utusan Malaysia pada muka depannya menggariskan kesemua tujuh wasiat itu untuk dijadikan renungan rakyat semua kaum.

Awang menjunjung kasih kepada baginda kerana tidak putus-putus memperingatkan rakyat tentang asas kenegaraan dan realiti sejarah Malaysia yang berpaksikan Melayu.

Walaupun Raja Nazrin turut menjadi sasaran kritikan dan penghinaan oleh pihak tertentu dan ramai individu di laman-laman web dan blog, baginda tidak pernah berhenti menyuarakan kebenaran berdasarkan fakta dan hujah yang bernas. (Belum pernah dalam sejarah, raja-raja Melayu dihina sebagaimana yang berlaku selepas pilihan raya umum lalu)

Satu lagi isu yang panas ialah kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pemimpin pembangkang dan peneraju PKR, Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

Kenyataan Muhyiddin mendapat gelombang reaksi banyak pihak yang menyokong beliau. Tindakan Anwar yang dikatakan mahu menyaman Muhyiddin sebanyak RM100 juta selain media yang melaporkannya, tidak menghalang banyak pihak mengeluarkan kenyataan melabel Anwar sebagai pengkhianat Melayu.

Awang percaya Anwar juga faham tentang sentimen masyarakat Melayu yang rata-rata marahkan beliau atas banyak tindak-tanduknya menggugat kepentingan Melayu semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.
'Jerat' Anwar tidak mengena

Oleh ROZAMAN ISMAIL dan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

BARISAN Nasional (BN) membuat keputusan bijaksana apabila tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti hujung bulan ini.

Keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN dibuat atas dasar pilihan raya tersebut hanyalah satu permainan politik parti pembangkang. Ia bukan atas keperluan sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan.

Dan orang yang paling kecewa dengan keputusan itu sudah tentulah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. 'Jerat' berumpankan provokasi yang dipasang, tidak mengena kali ini.

Anwar pastinya sangat-sangat berharap BN sebagai parti pemerintah termakan dengan provokasi itu. Beliau mahu melihat parti pemerintah terjerumus sekali lagi dalam siri permainan politik pakatan pembangkang - khususnya PKR.

'Permainan' Anwar pada dua pilihan raya kecil terdahulu kelihatan sedikit menjadi walaupun tembelang sebenar sudah mula kelihatan kini.

Isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail sanggup meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali memburu cita-cita politiknya yang sudah lama terbantut sejak pemecatannya.

Anwar menang di Permatang Pauh dan melihat pilihan raya kecil itu sebagai pembuka jalan kepada cita-cita' yang tidak pernah kesampaian. Bagi meneruskan momentum 'kemenangan', beliau 'mencetuskan' pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Kedah.

V. Arumuguam yang sedang berdepan dengan isu moral meletakkan jawatan bagi membolehkan satu lagi pilihan raya kecil diadakan. Anehnya seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang terang-terangan terlibat dalam isu moral (apabila gambar separuh bogelnya tersebar di Internet) tidak pula diarah meletak jawatan.

Barangkali pilihan raya kecil Bukit Lanjan adalah strategi Anwar seterusnya selepas ini. Pilihan raya kecil ketiga di Penanti pula diadakan hanya kerana prestasi buruk bekas wakil rakyatnya, Mohamad Fairus Khairuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.

Prestasi buruk Fairus sebagai Timbalan Ketua Menteri menjadi buah percakapan penduduk di Penanti dan merosakkan imej PKR.

Parti itu dilabel sebagai parti yang mempunyai wakil rakyat yang tidak berkualiti kerana pemilihannya dibuat sekadar "tangkap muat".

Melihat kepada sebab-musabab ketiga-tiga pilihan raya kecil itu diadakan, ia tidak lain daripada agenda peribadi dan permainan politik terancang Anwar.

Pertamanya, pemimpin PKR itu mahu momentum kemenangan parti itu berterusan sehingga di dibawa ke pilihan raya umum akan datang.

Anwar memperolehi mileage yang cukup besar menerusi kemenangan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Ia seolah-olah menggambarkan bahawa Anwar mendapat sokongan yang cukup kuat daripada rakyat Malaysia walaupun realitinya tidak sedemikian.

Kedua, Anwar mahu terus menjadikan pilihan raya kecil sebagai pentas terbaik "membelasah" BN secara terus-terusan dengan pelbagai dakyah dan fitnah ciptaannya.

Ketiga, pilihan raya adalah strategi terbaik bagi menutup keretakan dan keberantakan 'rumah tangga' pakatan pembangkang yang dibina atas pakatan longgar antara PKR, DAP dan Pas.

Pemimpin PKR itu mahu memberi satu gambaran bahawa pakatan pembangkang semakin bersatu.

Pakatan pembangkang mahu diperlihatkan kepada rakyat sebagai satu pakatan yang semakin kukuh walaupun realitinya mereka sedang berdepan dengan krisis demi krisis yang sudah menjadi rahsia terbuka.

Apa yang paling penting, Julai ini Anwar akan berdepan dengan perbicaraan mahkamah berhubung tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pilihan raya kecil ini pada tanggapan Anwar, sekurang-kurangnya dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada isu kes liwatnya apatah lagi jika calon PKR menang di Penanti.

Ujian paling besar bagi Anwar ialah bagaimana mengalihkan perhatian rakyat daripada isu liwat tersebut.

Melihat kepada faktor-faktor tersebut, BN merasakan ia tidak perlu terikut-ikut apatah lagi terperangkap dengan segala taktik dan perancangan teliti pemimpin PKR itu.

Lagipun pilihan raya keci di Penanti itu diadakan bukan kerana calonnya meninggal dunia atau sebab-sebab yang termaktub dalam Perlembagaan seperti kematian, muflis dan sebagainya. Jadi tidak rugi dan tidak menjadi kudis pun jika BN tidak bertanding.

Pilihan raya Penanti adalah 'proses demokrasi' ciptaan Anwar.

Daripada sisi lain, keputusan BN itu mungkin mengundang pelbagai tanggapan berbeza. Di kalangan penyokong kerajaan, akan ada yang berasa kecewa.

Tanpa kehadiran calon BN, maka pilihan raya kecil kali ini tidak memberi makna kepada mereka. Apatah lagi jentera pilihan raya parti yang sudah bersiap sedia lebih awal.

Bagaimanapun, pendirian BN perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas dan terbuka.

Apa yang pasti parti-parti pembangkang sudah pasti cuba memanipulasi keputusan BN untuk tidak bertanding.

Peluang ini akan digunakan untuk meniup kebencian bahawa BN sudah tidak lagi mempedulikan nasib penduduk di Penanti.

Kerana itu juga, penjelasan berhubung pendirian untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh dan sampai kepada rakyat.

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, rakyat terutamanya penduduk di Penanti perlu memahami pendirian BN untuk memberi fokus kepada ekonomi negara apabila memutuskan untuk tidak bertanding.

Pendirian itu merupakan satu objektif yang dilihat memenuhi sasaran perjuangan untuk semua rakyat Malaysia.

Sesuatu yang pasti, keputusan untuk tidak turut serta dalam pilihan raya kecil Penanti adalah satu mesej jelas BN.

Bahawa kerajaan tidak akan sesekali menjadikan penularan politik jelik yang dipopularkan oleh pembangkang itu sebagai satu trend dalam budaya politik demokrasi di Malaysia.

Anwar dan PKR mungkin menang mudah di Penanti 31 Mei ini. Dan Pulau Pinang pula bakal mendapat Timbalan Ketua Menteri Melayu yang lebih bijak, cerdik dan lebih elok imejnya.

Tetapi realitinya Anwarlah yang paling kecewa. Kali ini, belantik yang menjerat lawannya sebelum ini tiba-tiba membingkas, menjerut dirinya sendiri!
Anwar, Anifah dan Penanti

ISU kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang mendedahkan bahawa beliau pernah ditawar sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai habuan jika beliau melompat ke parti pembangkang itu mendapat reaksi di kalangan penulis blog hujung minggu ini.

Kalangan penulis berkenaan menganggap pendedahan yang dibuat Anifah di Washington itu memberi satu tamparan kepada Anwar menjelang pilihan raya kecil Penanti, pada hujung bulan ini.

Shamsul Yunos (marahku.blogspot.com) pada 17 Mei menulis bahawa dengan pendedahan yang dibuat Anifah tentang sogokan jawatan yang ditawarkan Anwar, maka terbukalah satu lagi pekung.

Tulisnya, sebelum ini mereka menuduh Barisan Nasional (BN) yang menyogok wakil pakatan pembangkang tetapi jelas semua yang meninggalkan pakatan itu tidak ada yang menyatakan BN menawarkan sebarang jawatan.

"Kini seorang menteri persekutuan telah tampil untuk menyatakan kisah di sebalik tabir politik Anwar. Belum lagi kita dengar kisah mereka yang dituruti oleh ejen Anwar ke Taiwan. Berapa juta atau puluh juta atau kamar kuasa mana di Putrajaya pula yang ditawarkan oleh Anwar kepada mereka untuk menghampakan niat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12," tulisnya.

Tulis Shamsul, beliau menjangkakan pihak pembangkang akan memberikan beberapa alasan berhubung pendedahan itu, termasuk menyatakan ia adalah strategi dalam perang. Memujuk serta melompat parti adalah taktik suci bagi mereka, sebaliknya jijik jika ia dilakukan oleh BN.

Khairul Ryezal dalam blog Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) pada 17 Mei menulis bahawa peristiwa 16 September 2008 bukan perkara yang baru manakala kisah beberapa pemimpin pembangkang yang mengepalai rombongan ke Taiwan untuk memancing ahli-ahli Parlimen BN bukan perkara yang orang tidak tahu.

"Dr. Puad Zarkashi pernah mengadakan ceramah kepada perwakilan UMNO berkenaan gimik Anwar untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang. Kenapa pada masa itu Anwar tidak mahu menyaman Dr. Puad dan media yang melaporkan berita dan cerita kartun 16 September?," tulisnya.

Katanya, kemarahan Anwar terhadap Anifah mungkin disebabkan pendedahan itu dibuat di Washington kerana tidak mahu tembelangnya diketahui oleh kroni-kroni di Amerika Syarikat.

"Mungkin Anifah Aman tersilap dengar, mungkin bukan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang Anwar tawarkan. Mana boleh jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apa beliau hendak bagi alasan dekat Lim Kit Siang!," tulisnya.

Ahirudin Attan (www.rockybru.com.my) 17 Mei pula menulis, para penulis blog sosio-politik tempatan kini melihat dengan teliti dan dari pandangan yang berbeza terhadap Anifah selepas beliau mendedahkan tawaran Anwar di hadapan Setiausaha Agung Amerika Syarikat, Hillary Clinton.

"Penulis blog Pasquale (barkingmagpie.blogspot.com), yang setia kepada Najib menyanjung tinggi dengan apa yang telah dilakukan oleh Anifah iaitu menanduk lembu dengan tanduknya.

"Din Marican (dinmerican.wordpress.com) dari PKR pula mahukan Perdana Menteri memecat Anifah demi mempertahankan ketuanya melalui tulisannya Kenapa Anifah Aman menyerang Anwar?"

Al-Azharri Siddiq Kamunri (www.jentayuabaka.com) pada 16 Mei menulis bahawa pendedahan tersebut mungkin antara sebab Allah tidak mengizinkan Anwar menjadi Perdana Menteri pada 16 September lalu.

"Terkini Anwar hendak menyaman pula Anifah Aman. Pendek kata semua orang hendak disamannya. Pembaca boleh cari dah berapa banyak saman Anwar. Bayangkan kalau jadi Perdana Menteri, agaknya kalau Anwar jadi PM semua orang tidak boleh bercakap," tulisnya.

Katanya, kerja saman menyaman telah menjadi trend di kalangan pemimpin pembangkang yang diketuai oleh Anwar sendiri dan ia berbeza dengan pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas.

Sementara itu sebuah blog yang menamakan dirinya X-PKR (x-pkr.blogspot.com) pada 17 Mei pula melihat isu-isu yang berlaku sekarang akan memberi impak kepada Anwar menjelang pilihan raya kecil Penanti.

"Saya percaya satu dunia teruja menantikan pengumuman BN sama ada menyahut cabaran di Penanti. Penyokong BN menantikannya bagi meneruskan kesinambungan perjuangan, manakala pembangkang menanti saat ini bagi 'membelasah' BN menerusi media-media asing tatkala kempen berlangsung nanti," tulisnya.

"Bukan itu yang beliau cari sebenarnya. Jika PKR menang, imej beliau di mata umum akan melonjak. 'Anwar tetap punya sokongan', lapor media pembangkang. Media asing akan melonjakkan imej Anwar. Jika PKR kalah, akan dilaporkan BN masih dengan perangai lama, penipu dan sebagainya. SPR bakal dipersalahkan,'' tulis blog tersebut.

Katanya, bagi menghadapi Anwar, satu tindakan di luar kotak diperlukan tanpa perlu terikat dengan taktik konvensional yang sudah lapuk.

''Perlu tindakan drastik luar jangka. Saya percaya lawan Anwar semakin matang menghadapi beliau. Usahlah terperangkap dengan mainan Anwar yang hanya mahukan publisiti bagi melonjakkan dirinya. Rakyat tidak pernah Anwar dahulukan, yang penting hanya dirinya sahaja,'' tulis blog itu.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

lukman@utusan.com.my