Kes bunuh Altantuya: 'Saya tak nampak selipar dalam jip'

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Kenderaan dibiar terbuka, ditinggal setengah jam ketika panas enjin

SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau tidak pernah melihat sepasang selipar di dalam jip Suzuki milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, sebelum menyerahkan kenderaan itu kepada pegawai penyiasat kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketika dirujuk ID25 (gambar jip Sirul Azhar), saksi ke-24, Sarjan Rosli Ibrahim, 36, dari UTK Bukit Aman berkata, beliau pasti selipar seperti yang ditunjukkan dalam gambar itu tidak berada dalam jip berkenaan.

(Pada 18 Jun lalu, Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu, berkata pihak pendakwaan akan membuktikan sepasang selipar yang ditemui dalam kereta Sirul Azhar mempunyai kesan darah dan keputusan DNA mengesahkan ia darah mangsa)

Rosli berkata, beliau memasuki jip Sirul Azhar yang mempunyai nombor pendaftaran CAC 1883 sebanyak dua kali untuk menghidupkan enjin selama setengah jam sepanjang ketiadaan tertuduh, yang ketika itu mempunyai tugasan di Pakistan.

Beliau berkata, sebelum berlepas ke Pakistan tertuduh meninggalkan kunci jip di pejabat Komunikasi UTK dan berpesan kepadanya supaya menghidupkan enjin itu.

"Saya perhatikan keadaan dalam jip tertuduh dengan teliti kerana sebelum ini saya pernah pandu keretanya dan ada dua tempat duduk penumpang di bahagian belakang tetapi kali ini, saya lihat tempat duduk itu hanya tinggal satu (Satu lagi sudah dibuka).

"Saya nampak surat khabar, tapi selipar saya tidak nampak. Dari kali pertama saya hidupkan enjin hingga kunci diserahkan kepada ASP Tonny (Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan), selipar ini tidak pernah wujud," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Sirul Azhar, Ahmad Zaidi Zainal.

Rosli memberikan keterangannya dalam perbicaraan utama kes pembunuhan Altantuya yang bersambung semula petang semalam, selepas selesai prosiding bicara dalam perbicaraan pada sebelah pagi.

Rosli juga adalah saksi kedua pihak pembelaan bagi bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada keterangan diberikan Sirul Azhar kepada Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin berhubung penemuan barang kemas Altantuya dibuat secara sukarela, seterusnya boleh diterima mahkamah.

Menjawab soalan Ahmad Zaidi, Rosli berkata beliau tidak ingat tarikh sebenar enjin jip itu dihidupkan kerana tidak membawa bersama buku catatannya ke mahkamah semalam.

"Kali pertama saya memanaskan enjin saya tidak ingat, yang kedua pada 3 hari bulan iaitu tarikh yang sama saya serah kunci pada Deputi Superintendan Mohd Khairi Khairuddin.

"Selepas sembahyang Jumaat, saya balik ke pejabat, hidupkan enjin jip dan terus ke kantin. Selepas itu, saya matikan enjin, ambil kunci jip dan simpan kunci di stor komunikasi," katanya.

Disoal Ahmad Zaidi, Rosli bersetuju selama setengah jam enjin dihidupkan beliau minum di kantin, jip berada dalam keadaan terbuka (tidak berkunci) serta tiada sesiapa yang mengawalnya.

"Saya percaya kawasan itu selamat," katanya yang juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa sesiapa pun boleh memasuki jip ketika itu.

Ahmad Zaidi: Kunci jip disimpan dalam rak di atas meja kamu di pejabat komunikasi UTK. Adakah meja kamu dalam bilik atau di kawasan terbuka?

Rosli: Bercampur dengan orang lain.

Ahmad Zaidi: Berapa ramai ada akses ke bilik itu?

Rosli: Enam orang termasuk saya.

Ahmad Zaidi: Adakah pintu bilik dikunci atau dibuka?

Rosli: Kadangkala berkunci, kadangkala terbuka.

Disoal Tun Abdul Majid ketika pemeriksaan utama mengapa beliau menyerahkan kunci kepada Mohd Khairi, saksi itu berkata: 'Saya serah kerana Mohd Khairi minta dan saya tidak tahu sebabnya.'

Tun Abdul Majid: Selepas kamu serahkan kepada Mohd Khairi, apa yang berlaku?

Rosli: Mohd Khairi serahkan semula kunci itu kepada saya pada 6 hari bulan, pada sebelah petang.

Tun Abdul Majid: Selepas kunci diserahkan kepada kamu?

Rosli: Saya letakkan kunci itu kembali dalam rak di atas meja saya. Beliau berpesan kepada saya sekiranya pada malam itu pegawai penyiasat datang, dia minta saya serahkan kepada pegawai penyiasat.

Tun Abdul Majid: Ada pegawai penyiasat datang?

Rosli: Ya, pada jam 11 malam.

Rosli berkata, hanya beliau seorang yang menghidupkan enjin kenderaan itu dan tidak pernah menggerakkannya, beliau juga ke kantin untuk minum, sementara enjin kenderaan dihidupkan selama setengah jam.

Disoal sama ada beliau mengusik apa-apa dalam jip itu, Rosli berkata: 'Saya hanya perhatikan keadaan di dalamnya dan menyentuh gear saja.'

Sementara itu, dalam pemeriksaan semula, Rosli berkata walaupun tidak memerhati secara keseluruhan keadaan dalam jip tetapi beliau pasti tiada selipar di bahagian belakang jip seperti ditunjukkan di dalam gambar.

Beliau juga menyatakan tidak tahu milik siapakah selipar berkenaan.

Perbicaraan bersambung hari ini.

0 comments: