Shahrizat Minta Semua Pihak Bantu Polis Jejak Penjenayah

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta semua pihak supaya membantu polis untuk menangkap penjenayah yang terlibat dalam kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

Beliau meminta supaya semua pihak memberi keutamaan kepada usaha memberkas penjenayah yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan berikutan cara pembunuhan terhadap kanak-kanak berumur lapan tahun itu.

Sehubungan itu, katanya laporan bahawa polis kemungkinan mendakwa bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, 33, kerana cuai menjaga anaknya itu hingga diculik tidak sepatutnya membantutkan usaha berterusan pihak berkuasa yang bertekad untuk menangkap pembunuh itu.

"Keluarga Nurin amat memerlukan sokongan dan keprihatinan semua pihak terutamanya ketika terpaksa melalui saat-saat memilukan seperti ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengenai kemungkinan ibu bapa Nurin Jazlin didakwa mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 jika terdapat unsur kecuaian.

Shahrizat berkata biarpun undang-undang mesti dilaksana dan dipatuhi, apa juga keputusan untuk melakukan pendakwaan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 mesti dibuat dengan teliti berdasarkan kepada fakta-fakta relevan bergantung kepada sesuatu kes.

-- BERNAMA

0 comments: