Dua Rakyat Nigeria Yang Disyaki Terlibat Kes Bunuh Mungkin Gigolo?

Oleh B. Hariharasuthan

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Dua pelajar Nigeria yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh dua wanita di Kepong semalam mungkin bekerja sebagai gigolo.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berkenaan, yang berusia lewat 20-an, memasuki negara ini mengunakan pas lawatan pelajar.

Sumber polis yang boleh dipercayai memberitahu Bernama, polis sedang memastikan sama ada kedua-dua mereka telah menyalahgunakan pas lawatan, dengan berkhidmat sebagai teman lelaki sosial.

Rakyat Nigeria itu, yang biasa dilihat menemani wanita tempatan, kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pekerja pusat kecantikan Ang Chin Ping dan ajen jualan Wong Tan Yong.

Ang, 36, dan Wong, 32, ditemui mati dengan kesan tikaman. Sebilah pisau yang mempunyai kesan darah, dipercayai digunakan sebagai senjata dalam pembunuhan itu, turut ditemui dalam rumah berkenaan.

Ang, seorang ibu kepada dua anak, juga dipercayai telah didera secara seksual.

Dua wanita Indonesia, dipercayai rakan kepada rakyat Nigeria itu, juga ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan yang berlaku di sebuah rumah flat empat tingkat di Taman Usahawan itu.

Bernama difahamkan antara lain, polis kini menyiasat sama ada dua pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan kegagalan membuat transaksi duit.

Sumber itu berkata: "Menyedari bahawa dua rakyat Nigeria itu sentiasa mengunjungi rumah berkenaan, polis kini mencari motif pembunuhan itu.

"Pada masa ini, kami masih mengambil kenyataan daripada jiran-jiran mengenai sejauh mana dua mangsa itu mengenali orang yang disyaki penyerang mereka.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah enggan mengulas sama ada rakyat Nigeria itu terlibat dalam perkhidmatan teman sosial kerana siasatan masih dijalankan.

-- BERNAMA


0 comments: