Showing posts with label BUBAR DUN Perak. Show all posts
Showing posts with label BUBAR DUN Perak. Show all posts
Kisah bubar DUN Perak terus dihangatkan

Cermin Belakang
DR. FIRDAUS ABDULLAH

SETELAH melakukan kekecohan di Dewan Rakyat baru-baru ini, pihak yang berkempen untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meneruskannya melalui isu terakhir sebuah majalah yang tidak henti-henti menghentam Barisan Nasional. Majalah berbahasa Inggeris itu memaparkan tajuk BUBAR di muka depan.

Mengiringi gambar kulitnya, halaman-halaman utama dalam majalah itu memuatkan artikel yang berhujah agar DUN Perak dibubar dan diadakan pilihan raya baru.

Alasan berulang-ulang dikemukakan. Bagi mereka, DUN Perak perlu dibubarkan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Hujah-hujah tersebut dikemukakan seolah-olah amalan demokrasi cara mereka itu benar-benar akan membawa kesejahteraan kepada rakyat. Seolah-olah pilihan raya baru itu akan membawa "keamanan dan kestabilan". Seolah-olah Perak kini tidak lagi aman dan stabil.

Mereka ghairah mengeluarkan pendapat mengenai isu itu dan melupakan hakikat bahawa pilihan raya baru akan menelan belanja ratusan juta ringgit. Malah akan turut menyebabkan suhu politik bertambah panas dan konflik sosial semakin meruncing.

Mereka sekali lagi membuktikan sikap double standard yang berterusan. Seolah-olah hanya mereka yang jujur dalam berpolitik. Sedangkan kenyataannya mereka mengamalkan demokrasi secara "terpilih-pilih" sekadar untuk memenuhi selera dan kepentingan politik sendiri.

Dalam bahasa Inggeris perbuatan mereka itu dirujuk sebagai shifting the goal post - dengan meminjam istilah kiasan dalam permainan bola sepak.

Dalam bahasa Melayu klasik, ia disamakan dengan ungkapan "tiba di mata sendiri dipicingkan, tiba di perut sendiri dikempiskan; di padang sendiri berjengket-jengket, di padang orang menerjang-nerjang."

Pembangkang akan melakukan apa sahaja untuk berkuasa. Termasuk membuat kecoh di DUN seperti yang dilakukan di Perak pada April lalu. Ia diulang lagi di Dewan Rakyat pula pada awal Jun lalu.

Mereka tidak teragak-agak mencemarkan kemuliaan "majlis demokrasi" seperti mencetuskan huru-hara dalam Dewan Undangan Negeri Perak pada bulan April yang lalu. Dan kemudian perbuatan yang bertentangan dengan "adab dan adat" demokrasi itu mereka cuba ulang kembali di Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) awal Jun yang lalu.

Beberapa ahli akademik bersetuju bahawa untuk mewujudkan kestabilan politik, khususnya di Perak, satu pemerintahan majoriti yang muktamad (decisive majority) diperlukan.

Tadbir urus yang berkesan untuk pembangunan negeri akan dapat direalisasikan melalui sinergi antara pimpinan politik yang berwawasan dengan pentadbir yang mahir dan berpengalaman.

Tetapi pangkal persoalan di Perak ialah DUN kini dianggotai oleh kekuatan yang hampir seimbang antara dua pakatan politik iaitu Barisan Nasional dan pakatan pembangkang.

Ertinya tidak akan wujud satu kekuatan politik yang boleh dianggap sebagai mempunyai "kuasa majoriti muktamad". Paling ideal ialah supaya DUN Perak diperintah oleh parti politik yang mempunyai majoriti muktamad.

Tetapi umumnya mereka berpendapat, satu pilihan raya baru pada masa ini tidak mungkin dapat melahirkan DUN seperti itu.

Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Mustafa Isahak menegaskan: apakah jaminan pilihan raya baru akan dapat mewujudkan satu decisive majority?

Bukan sesuatu yang mustahil sekiranya keputusan pilihan raya baru itu hampir sama dengan apa yang diputuskan pada PRU 12.

Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat, kadar kemenangan kedua-dua belah pihak tidak mungkin banyak berubah jika satu lagi pilihan raya diadakan pada masa ini.

Baginya, ia akan hanya membazirkan wang rakyat. Membuang masa dan tenaga. Malah mungkin menjadikan suasana lebih tegang.

Kesimpulannya, lebih baik diberi kesempatan kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan barisan exconya untuk membuktikan kemampuan memakmurkan Perak.

Pada masa yang sama kata Sivamurugan, pakatan pembangkang boleh menggunakan masa yang ada dengan menunjukkan teladan sebagai pembangkang yang konstruktif dan sekali gus memperlihatkan keupayaan menghormati demokrasi secara berhemah, beradab dan beradat.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Dewan Perniagaan Cina desak bubar DUN

AKHBAR Sin Chew Daily pada Ahad lalu memaparkan berita bertajuk Dewan Perniagaan Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor Desak Bubar DUN. Ia melaporkan perhimpunan agung tahunan dewan itu sebulat suara meluluskan usul merayu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia untuk membolehkan pemilihan semula, agar pengundi negeri Perak mengundi memilih kerajaan mereka.

Perhimpunan itu berpendapat, kemelut politik negeri Perak yang membawa kesan dan risiko terhadap undang-undang Perlembagaan yang sangat serius.

Ia menyebabkan hubung kait struktur perundangan dalam negara ini semakin bercelaru. Sebab itulah menurut mereka, baginda Sultan Perak perlu membubarkan DUN.

Begitu juga akhbar Oriental Daily pada hari yang sama. Ia juga mengenai Dewan Perniagaan Cina tetapi di Negeri Sembilan. Menurut akhbar itu, dewan berkenaan telah mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Isi surat itu ialah rayuan agar DUN Perak dibubarkan untuk mengembalikan kuasa politik kepada rakyat.

Dewan itu juga menjelaskan, mereka turut merayu Perdana Menteri supaya melakukan tindakan keras terhadap budaya politik nepotisme dan birokrasi dalam pentadbiran kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri juga digesa supaya menangani amalan rasuah yang menghalang kemajuan negara, meneruskan sistem telus yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, memastikan pelaksanaan dan amalan perundangan berjalan dengan berkesan.

Dewan itu turut memuji pelbagai langkah pembaharuan oleh pentadbiran Najib dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Bagaimanapun, demi merealisasikan konsep “Satu Malaysia”, Perdana Menteri didesak agar membubarkan DUN Perak dengan secepat mungkin.

Tun Dr. Mahathir Silap

Ruangan komentar isu semasa dalam akhbar Kwong Ming Yit Poh pada Sabtu lalu mengutarakan tajuk: “Kata-kata Tun Dr. Mahathir Itu Silap”.

Ia memberi komen bahawa kini pentas politik Perak selain daripada dua kes ‘kembar” Menteri Besar dan Speaker, ada khabar angin mengatakan DUN itu mungkin akan dibubarkan berikutan pakatan pembangkang sedia berbincang dengan Perdana Menteri untuk mengatasi kepincangan politik di negeri itu.

Walaupun khabar angin itu tidak diakui oleh mana-mana pihak, rakyat berharap untuk melihat kembali keyakinan pelabur terhadap ekonomi negeri itu dan mahu hidup dalam keadaan tenang.

Sekarang rakyat Perak gembira kerana dua pihak yang bersengketa, ada niat mahu mencari jalan keluar.

Apakah hasilnya pertemuan kedua-dua pihak tersebut? Sama ada membentuk kerajaan campuran ataupun bersetuju membubarkan DUN? Tun Mahathir tidak setuju DUN dibubarkan. Alasannya ia membazirkan banyak wang rakyat kerana perlu mengadakan pilihan raya negeri.

Beliau sebaliknya mencadangkan agar ADUN Barisan Nasional melakukan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pakatan pembangkang.

Walaupun begitu, cadangan Dr. Mahathir itu tidak dapat menyelesaikan masalah, sebab peristiwa 7 Mei iaitu ketika pertukaran Speaker DUN Perak menjadi kelam-kabut sehingga menjadi bahan ketawa rakyat negara ini.

Ramai yang berpendapat pertemuan pemimpin pakatan pembangkang dengan Perdana Menteri adalah permulaan yang baik, walaupun ia hanya gimik politik. Perkembangan kemelut politik Perak ini, siapakah betul dan siapakah salah?

Pengundi Perak sudah tentu ada perkiraan mereka. Perak hanya boleh melalui pilihan raya, biar rakyat sekali lagi menjadi ‘tauke’ dan hakim.

Biar mereka memilih pemimpin baru dan mengembalikan ketenangan di negeri itu, lapor akhbar berkenaan.