Teliti Pelbagai Aspek Sebelum Dakwa Ibu Bapa Cuai - Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pelbagai aspek harus diteliti sebelum ibu bapa boleh didakwa cuai dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka.

"Ini adalah satu perkara yang susah kita nak buat sebagai satu undang-undang kerana perlu dihalusi, kerana kebanyakan ibu bapa hari ini bekerja dan anak-anak pula ada di rumah selepas habis sesi persekolahan, dan ibu bapa tak ada.

"Jadi mereka sesama mereka, orang boleh masuk dalam rumah atau kalau mereka pergi bermain di luar pun sudah boleh jadi perkara yang membimbangkan," kata Perdana Menteri kepada pemberita di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa pihak termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan untuk menguatkuasakan peruntukan yang membenarkan ibu bapa yang didapati cuai dalam menjaga keselamatan anak-anak mereka didakwa.

Bagaimanapun Abdullah yang juga Presiden Umno berkata ini tidak bermakna ibu bapa terlepas daripada tanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.

"Isu cuai ini pada keseluruhannya, pada satu prinsip adalah serius sebab kita mahu ibu bapa bertanggungjawab kepada anak-anak mereka. Selagi mereka di bawah umur, mereka di bawah jagaan ibu bapa, jadi amat penting sekali ibu bapa memastikan anak-anak mereka sentiasa dalam kawalan supaya tidak berlaku apa-apa yang menyebabkan penderitaan, yang menyebabkan anak-anak itu cedera dan sebagainya," katanya.

Abdullah seterusnya mencadangkan supaya anak-anak yang bersekolah, tinggal di sekolah masing-masing selepas tamat sesi persekolahan, bagi mengatasi masalah anak-anak itu tinggal di rumah tanpa pengawasan ibu bapa.

Katanya anak-anak itu boleh mengikuti kegiatan kokurikulum, sukan dan sebagainya di sekolah sementara menunggu ibu bapa mereka habis bekerja.

"Cukup pukul 4 mereka boleh balik, dan pada waktu itu ibu bapa yang bekerja boleh pergi ambil mereka bawa balik atau balik dengan bas sekolah macam biasa," katanya.

Beliau berkata jika perkara itu boleh dilakukan, sekurang-kurangnya kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka, dapat diatasi.

Isu membawa ibu bapa yang didapati cuai ke muka pengadilan berbangkit rentetan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, yang sebelum itu diculik selepas keluar sendirian dari rumahnya untuk ke pasar malam.

Musa dilapor media sebagai berkata ibu bapa Nurin Jazlin boleh didakwa jika ada unsur kecuaian kerana ada peruntukan mengenai perkara itu di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

Perdana Menteri berkata isu jenayah terhadap kanak-kanak itu juga dibincang dalam mesyuarat MT hari ini dan anggota majlis bersetuju supaya kegiatan Rukun Tetangga di setiap kawasan ditingkatkan.

"Mereka boleh jadi pengawas, jadi kalau ada orang asing masuk ke kawasan itu, orang akan tahu," katanya.

Abdullah berkata bagaimanapun langkah itu sahaja tidak memadai tanpa kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa sendiri dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka.

-- BERNAMA

0 comments: