Perlu Kajian Menyeluruh Mengenai Cadangan Persekolahan Satu Sesi - STU

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Sistem persekolahan satu sesi untuk melindungi kanak-kanak supaya selamat daripada bahaya hanya boleh dilaksanakan setelah kajian menyeluruh dijalankan oleh Kementerian Pelajaran, kata Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak (STU) William Ghani Bina.

Katanya walaupun kesatuan menyokong cadangan itu, sebarang langkah untuk melaksanakannya patut dilakukan dengan berhati-hati terutamanya mengenai impaknya terhadap struktur sosial dan standard pendidikan negara.

"Kami menyokong cadangan ini sejak sekian lama tetapi kami bimbang ada ibu bapa yang tidak bertanggungjawab mungkin akan menganggap sekolah ini sebagai pusat jagaan kanak-kanak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ghani berkata akhirnya guru mungkin akan memainkan peranan sebagai pengganti ibu bapa terbabit.

"Kita tidak mahu semua ini berlaku kerana kami akan dijadikan kambing hitam jika sesuatu berlaku kepada anak mereka," katanya dan menurutnya para guru akan mengalami tekanan tambahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan cadangan itu semalam untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya berikutan pembunuhan kejam pelajar berumur 8 tahun Nurin Jazlin Jazimin.

Ghani berkata sistem satu sesi patut membabitkan jadual guru dan ibu bapa yang sesuai.

"Sesi persekolahan kini bermula kira-kira 7 pagi. Di bawah sistem baru, ia patut bermula 8 pagi supaya rutin menghantar anak ke sekolah tidak menjadi sesuatu yang membebankan bagi ibu bapa," katanya.

Beliau berkata sesi pagi patut tamat pada 1 tengah hari dan ibu bapa patut digalakkan datang ke sekolah untuk makan tengah hari bersama-sama anak mereka, dan selepas itu pelajar boleh meneruskan dengan aktiviti kurikulum tambahan selama satu atau dua jam.

Menurut Ghani, melanjutkan persekolahan satu sesi hingga 4 petang kurang sesuai jika melibatkan terlalu banyak aktiviti pembelajaran atau fizikal kerana ia akan terlalu memenatkan pelajar dan guru.

-- BERNAMA

0 comments: