Angkasawan Negara dibekal panduan ibadah ketika diangkasa

Azamin Amin
Tue | Sep 25, 07 | 11:10:48 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Syabas diucapkan kepada kedua-dua calon angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed yang disahkan lulus semua ujian dengan cemerlang untuk melayakkan mereka menerokai angkasa lepas yang dijadualkan pelancarannya pada 10 Oktober ini.

Dengan peluang yang diberikan termasuk sokongan dan dorongan masyarakat Malaysia seluruhnya, dan diharapkan kedua-dua mereka akan menimba sebanyak ilmu dan pengalaman bagi memastikan pembangunan sains angkasa dapat dipertingkatkan, berada pada landasan yang betul dan realistik disamping meneroka alam diciptaan Tuhan untuk umat manusia mengkaji dan mendalaminya.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya atau sudah sedia maklum kaedah beribadat angkasawan muslim ini di angkasa lepas nanti khususnya dari segi solat fardu yang wajib ditunaikan dan isu ini sekurang-kurangnya membuka minda umat Islam membicarakannya dengan lebih matang dan bijaksana lagi.

Untuk rekod,kedua-dua mereka bukanlah angkasawan Muslim pertama ke angkasa lepas kerana sebelum ini Putera Sultan bin Salman dari Arab Saudi, lebih awal mengukir nama dengan menaiki kapal angkasa Discovery pada 1985 dan diikuti pada tahun lepas Anousheh Ansari, jutawan wanita Amerika Syarikat yang berasal dari Iran, melancong ke angkasa lepas.

Berbeza dengan Putera Sultan dan Anousheh, yang melaksanakan ibadah mengikut kemampuan dan pengetahuan masing-masing, Malaysia membuat perancangan teliti mengenai cara beribadah di angkasa lepas.

Tunaikan solat

Angkasawan Islam kita dicadangkan supaya hanya menunaikan solat fardu lima kali dalam tempoh 24 jam mengikut perkiraan masa di bumi, ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di angkasa lepas.

Syor itu dibuat bagi mengatasi masalah angkasawan Islam yang mungkin terpaksa mengerjakan sehingga 80 waktu solat fardu dalam tempoh 24 jam kerana tempoh orbit ISS di angkasa lepas hanya 90 minit.

Mengikut perkiraan, ISS mampu mengelilingi bumi dalam tempoh hanya 90 minit, berbanding satu pusingan bumi yang memerlukan 24 jam dengan semua lima waktu solat fardu perlu dilaksanakan dalam tempoh itu.

Ini bermakna, setiap angkasawan Islam terpaksa melaksanakan sehingga 80 waktu solat fardu dalam tempoh 24 jam di bumi berikutan ISS mengelilingi bumi sebanyak 16 kali dalam tempoh berkenaan.

Naib Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, dalam keadaan berkenaan, pihaknya berpendapat adalah wajar supaya angkasawan Islam diberi kelonggaran berhubung tuntutan mengerjakan solat.

"Kelonggaran bersembahyang boleh dipraktikkan berdasarkan kepada kaedah rukhsah dan darurat yang memudahkan seorang Muslim untuk melaksanakan ibadah dalam keadaan bermusafir," katanya.

Alan Godlas, Profesor Agama Universiti Georgia, Amerika Syarikat, menimbulkan persoalan penting dalam pelaksanaan ibadah di angkasa lepas, terutama solat.

"Apabila memasuki orbit, kapal angkasa mengelilingi bumi sekali setiap 90 minit. Orang Islam menunaikan solat lima kali sehari berdasarkan kedudukan matahari di angkasa. Inilah cabarannya apabila sehari di angkasa lepas hanya 90 minit," katanya.

Arah kiblat

Begitu juga dengan arah kiblat ketika solat, Godlas berkata, ISS yang mengelilingi bumi kira-kira 28,000 kilometer sejam menyukarkan angkasawan Muslim menghadap Kaabah.

Untuk berwuduk, penggunaan air adalah sangat minimum dalam kapal angkasa. Malah dalam keadaan graviti mikro, air tidak jatuh ke bawah. "Bagaimanakah hendak berwuduk dalam keadaan begitu," kata Godlas.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Anan C Mohd, berkata sudah tentu cara pelaksanaan ibadah tidak sama kerana perbezaan besar antara bumi dan angkasa lepas.

Bagaimanapun, katanya setiap Muslim perlu melaksanakan ibadah seperti solat tanpa mengira tempat mereka berada.

Mengulas arah solat di angkasa lepas, katanya antara syarat sah solat ialah mesti menghadap Kaabah. Bagaimanapun garis panduan memberi beberapa pilihan lain, iaitu unjuran Kaabah, bumi dan mana-mana arah.

Kaedah wuduk

"Mengikut tertib, solat mesti menghadap Kaabah. Jika tiada pilihan lain, angkasawan boleh menghadap mana-mana arah. Paling penting ialah solat mesti dilakukan," katanya.

Dari segi cara solat, Anan memberitahu antara cara yang boleh dilakukan ialah mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa.

"Ini bukan luar biasa kerana angkasawan mempunyai tali pinggang yang diikat kepada kapal angkasa apabila tidak mahu terapung. Dalam keadaan statik itu, angkasawan boleh menunaikan solat," katanya.

Masalah air terhad untuk berwuduk diselesaikan dengan bertayammum. Bagaimanapun, katanya tanah atau debu mustahil dibawa ke dalam kapal angkasa kerana faktor keselamatan. Sehubungan itu, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin dalam kapal angkasa.

"Walaupun tiada debu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan cara itu kerana tiada pilihan lain," katanya.

Dalam isu berkaitan, katanya istinjak untuk membersihkan hadas besar atau kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu.

Berpuasa

Sementara itu, jika jadual pelancaran kapal angkasa tidak berubah, iaitu 10 Oktober, satu lagi ibadah yang bakal dilakukan angkasawan negara ialah berpuasa.

Anan berkata, Jakim menggalakkan angkasawan negara berpuasa di ISS kerana pengalaman ini sukar dirasai pada masa depan dan pada masa sama, mengetahui persamaan dan perbezaan berbanding berpuasa di bumi.

"Jika memberatkan dan menimbulkan masalah, angkasawan seperti musafir boleh meninggalkan puasa, tetapi perlu menggantikan semula.

Seperti solat, katanya waktu berbuka dan bersahur adalah mengikut waktu tempat kapal angkasa berlepas," katanya.

Sembilan hari, 333 kilometer dari bumi

Program angkasawan negara itu merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003 dan diharapkan kedua-dua mereka ini akan menimba sebanyak ilmu dan pengalaman bagi memastikan

Salah seorang daripada dua calon tersebut berpeluang menjadi angkasawan pertama negara apabila kapal angkasa Soyuz 15-S berlepas dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dua minggu lagi.

Selain Sheikh Muszaphar, 35, pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pihak berkuasa angkasa lepas Rusia mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S dianggotai oleh Yuri Malechenko dari Rusia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan krew kedua pula terdiri daripada Sharizan Sharipov dari Rusia dan Michael Fincke dari AS selain Faiz, 27, yang merupakan seorang doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kedua-dua kumpulan krew itu akan berada di Baikonur Cosmodrome mulai Jumaat ini sebelum pelancaran yang dijadualkan pada 10 Oktober ini iaitu tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Angkasawan Malaysia yang terpilih bakal berada di ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

(Sumber dipetik daripada laman web Mosti, Utusan online dan syukran.wordpress.com) - mr

0 comments: