Pendidikan di sekolah mampu bendung jenayah terhadap kanak-kanak

Nyza Ayob
Tue | Sep 25, 07 | 8:03:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Salah satu cara untuk membendung penganiayaan dan pengeksploitasian seks terhadap kanak-kanak ialah melalui pengajaran subjek hak asasi manusia di sekolah.

Cadangan tersebut diutarakan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N. Siva Subramaniam dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily semasa melahirkan simpati atas kejadian menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menjadi mangsa pembunuhan dan jenayah seksual.

Siva semasa dihubungi menjelaskan, pendidikan hak asasi ini penting dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa dan juga kanak-kanak agar lebih berhati-hati terhadap keadaan sekeliling.

Jelasnya pada tahun 1995 kerajaan Malaysia yang telah menandatangani dan meratifikasi 'Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak(CRC)'.

Katanya, CRC dengan jelas telah menggariskan hak seseorang kanak-kanak serta tanggungjawab orang dewasa dan sesebuah negara.

Siva menjelaskan, Perkara 34 CRC menyatakan bahawa sesebuah negara hendaklah melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk pengeksploitasian seks dan penderaan seksual.

Katanya lagi, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil langkah proaktif bagi mencegah pengeksploitasian seks terus berleluasa.

Justeru bagi mencegah masalah ini, beliau mengesyorkan supaya CRC dijadikan sebahagian daripada kurikulum sekolah dan wajib disertakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Pengajaran ini akan memberi peluang kepada para guru untuk mendidik kanak-kanak mengenai hak mereka dan tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku pencabulan.

"Suhakam bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) untuk mencapai matlamat ini,"katanya yang turut mengecam segala bentuk penganiayaan dan pengeksploitasian seks terhadap kanak-kanak.

Tambah Siva lagi, buat masa ini Suhakam turut mengadakan kerjasama dengan KPM dalam melatih Jurulatih Utama Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral.

Bagaimanapun katanya, pembelajaran mengenai hak asasi manusia hanya disisipkan secara tidak langsung dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Siva berharap dengan mewajibkan pengajaran CRC di sekolah, akan memberi impak yang lebih berkesan kepada murid mengenai hak asasi kanak-kanak. - mks.



0 comments: