Angkasawan Malaysia Ada Kelonggaran Beribadat Di Angkasa, Kata Mufti

KANGAR, 24 Sept (Bernama) -- Angkasawan Malaysia yang kedua-duanya beragama Islam wajib menunaikan sembahyang di angkasa lepas apabila menyertai misi Soyuz 15-S pada 10 Okt ini namun mereka mempunyai kelonggaran yang memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab itu.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed yang salah seorang daripadanya akan terpilih menyertai misi itu wajib bersembahyang mengikut kesesuaian suasana berdasarkan andaian waktu di muka bumi tempat mereka berlepas ke angkasa lepas.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata di angkasa lepas, mereka sudah pasti terikat dengan prosedur tertentu, oleh itu mereka boleh bersembahyang mengikut keupayaan masing-masing.

Katanya oleh kerana mereka akan berlepas ke angkasa lepas dari Baikanor Cosmodrome, Kazakhstan, maka waktu ibadat mereka juga berasaskan andaian mereka berada di bumi Kazakhstan.

"Mereka tidak perlu melakukan solat 80 kali sehari kerana mengikut pusingan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang berpusing mengelilingi bumi 16 kali sehari," katanya sebagai mengulas persiapan dua angkasawan Malaysia ke angkasa lepas.

Mohd Asri berkata jika angkasawan asyik bersembahyang mengikut pusingan itu maka mereka tidak boleh memberi tumpuan kepada matlamat sebenar.

Beliau berkata sebagai umat Islam, mereka juga perlu berpuasa yang juga bersandarkan kepada andaian waktu di muka bumi tempat mereka berlepas ke angkasa lepas.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Dr Sheikh Muszaphar ditempatkan dalam kumpulan krew pertama untuk misi itu manakala Dr Faiz menganggotai kumpulan krew kedua.

Kedua-dua angkasawan negara akan berada di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan mulai 28 Sept bagi menjalani latihan terakhir sebelum pelancaran 10 Okt depan.

-- BERNAMA

0 comments: