Malaysia tak tersenarai misi pengaman di Darfur

Oleh Azhar Abu Samah di New York

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menyenaraikan Malaysia dalam pasukan pengaman antarabangsa misi keamanan di Darfur, Sudan walaupun negara ini sudah menunjukkan minat menawarkan khidmatnya sejak awal lagi.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata tiada alasan memuaskan diberikan PBB di sebalik 'pengguguran' itu walaupun Sudan mahukan pembabitan Malaysia dalam misi berkenaan, tetapi badan dunia itu memberi tanggungjawab berkenaan kepada Thailand dan Bangladesh.

"Kerajaan masih memantau perkembangan dan buat masa ini Malaysia bukan salah satu negara yang akan menyumbang kepada misi keamanan di Darfur," katanya kepada pemberita di hotel kediamannya, St Regis, di sini semalam.

Syed Hamid berada di sini untuk menyertai mesyuarat peringkat tinggi mengenai perubahan iklim dunia sempena Perhimpunan Agung PBB ke-62 bermula semalam. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka tiba di sini esok dan berucap pada perhimpunan Jumaat ini.

Beliau berkata, PBB mungkin mempunyai pandangan berbeza kerana tidak memasukkan Malaysia, walaupun negara ini menunjukkan rekod cemerlang ketika berkhidmat di bawah panji PBB, termasuk yang terbaru di Lubnan.

Bagaimanapun, katanya, Sudan atau Kesatuan Afrika masih boleh meminta PBB memasukkan Malaysia dalam senarai pasukan pengaman di Darfur.

Syed Hamid berkata, Malaysia sejak awal lagi diajak berbincang mengenai Darfur dan diberi gambaran oleh PBB akan dipilih menjadi sebahagian daripada anggota misi keamanan.

"Tiada alasan diberikan PBB ketika kita jumpa (mengenai pengguguran Malaysia), sama ada kita tidak mampu atau tidak boleh...ini semua keputusan PBB," katanya.

Mengikut resolusi PBB mengenai Darfur, kira-kira 26,000 anggota pasukan pengaman akan ditempatkan di Sudan bagi membantu mengawal keamanan di negara Afrika yang bergolak itu.

Sebelum ini, Amerika Syarikat menyatakan kecenderungannya mengenai pembabitan Malaysia di Darfur seperti disampaikan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John D Negroponte kepada Syed Hamid ketika perbincangan dua hala di Manila, baru-baru ini serta ketika Negroponte berada di Filipina untuk menghadiri Forum Serantau Asean (ARF).

Malah, Malaysia sudah menghantar wakil khas ke Darfur yang akan memberi laporan penilaian situasi di kawasan berkenaan.

0 comments: