Showing posts with label Ku Seman Ku Hussain. Show all posts
Showing posts with label Ku Seman Ku Hussain. Show all posts
Antara U-Wei dan Joseph Conrad

Oleh Ku Seman Ku Hussain

NOVELIS Inggeris, Joseph Conrad telah menghasilkan beberapa novel besar pada abad ke-19. Antara novel Conrad ialah Almayer’s Folly (1895), An Outcast of the Islands (1896), The Nigger of the ‘Narcissus’ (1897), Heart of Darkness (1899), Lord Jim (1900), The Inheritors (with Ford Madox Ford) (1901) dan Typhoon (1902).

Satu-satunya novel Conrad yang menyentuh tentang alam Melayu ialah Almayer’s Folly. Ia mengenai seorang lelaki Belanda yang datang ke Borneo. Saya tidak pasti sama ada Conrad pernah ke Borneo atau tidak. Tetapi novel itu menyingkap landskap budaya dan sosial alam Melayu.

Sebuah novelnya yang lain, Heart of Darkness telah diadaptasi menjadi filem Apocalype Now (1979) oleh pengarah tersohor Francis Ford Coppola.

Apocalypse Now antara filem hebat Coppola yang berlatarkan Perang Vietnam. Bagaimanapun Heart of Darkness berlatarkan Afrika tetapi apabila melalui proses adaptasi, Coppola mengangkat kisah manusia tetapi memindahkan alamnya ke Vietnam. Daripada kelahiran Apocalypse Now, barangkali kita boleh membuat kesimpulan bahawa adaptasi bukanlah memindahkan naskhah teks kepada visual di filem. Buktinya Coppola tidak memindahkan tetapi menghasilkan sebuah karya baru yang diangkat dari sumber naskhah teks tadi.

Kini novel Almayer’s Folly akan menjadi filem Melayu – Hanyut apabila diadaptasi oleh U-Wei Haji Saari. Proses adaptasi sudah berlangsung dan kini menunggu penggambaran filem itu di Kuala Lipis, Pahang awal tahun depan. U-Wei juga seperti Coppola yang tidak memindahkan novel ke filem tetapi membuat sebuah karya baru yang berlatarkan Tanah Melayu pada abad ke-19.

Kalau Almayer’s Folly berlatarkan Borneo abad ke-19, U-Wei tidak memindahkan alam Almayer’s Folly tetapi mengambil kisah manusianya bergerak pada alam baru di Tanah Melayu.

Sebenarnya menghasilkan Hanyut dari sumber sebuah karya besar yang dikenali seluruh dunia bukan kerja mudah.

Proses adaptasi menuntut kefahaman yang tinggi terhadap naskhah teks sebelum membuat karya baru menjadi sebuah filem yang mediumnya visual. Kejujuran melulu kepada sumber teks hanya menjadikan sebuah filem yang disalin dari novel. Tetapi kalau mengambil contoh Heart of Darkness menjadi Apocalypse Now, filem Hanyut dari Almayer’s Folly adalah kelahiran karya baru.

Pembikinan Hanyut menandakan satu langkah meletakkan filem tempatan pada peta filem antarabangsa. Sifat antarabangsanya bukan kerana teknologi terkini setaraf Hollywood tetapi nilai antarabangsanya dari sifatnya yang tempatan.

Dalam kebanyakan karya seni termasuk filem, semakin tempatan sifatnya maka semakin tinggi nilai antarabangsanya. Ternyata U-Wei tidak terpengaruh dengan fahaman songsang bahawa filem berteknologi tinggi adalah bertaraf antarabangsa. Hanyut akan menjadi hebat kerana wajah tempatannya sama seperti Apocalypse Now. Hebat bukan kerana dihasilkan oleh produksi Hollywood.

Apa lagi novel Almayer’s Folly belum ‘disentuh’ oleh mana-mana pengarah tersohor dunia untuk diadaptasi kepada filem. Jadi, usaha U-Wei tentu tidak boleh dipandang ringan kerana beliau mengangkat sumber luar yang memberikan wajah tempatan apabila diangkat ke filem.

Dalam keadaan filem tempatan yang “berwajah” asing sekarang ini, kita sangat mengharapkan karya asing Conrad memberikan wajah tempatan kepada filem kita.
Sosiobudaya dalam filem

Oleh Ku Seman Ku Hussain

BANYAK pengkaji dan sarjana filem percaya bahawa karya filem adalah refleksi daripada proses sosialisasi yang berlaku dalam masyarakat. Filem menjadi cermin untuk melihat wajah dan jiwa masyarakat yang menaungi filem berkenaan.

Maka walaupun filem dianggap sebuah karya fiksyen tetapi ia terbina daripada pemikiran yang dibentuk oleh peristiwa dan pergulatan sosial di sekitarnya.

Tetapi filem bukanlah mengangkat realiti dan menampalkan ke filem. Tidak ada realiti dalam filem melainkan realiti yang ditafsirkan. Kerana itu, hal-hal dalam masyarakat tidak boleh diangkat secara realistik tetapi dipersembahkan sebagai karya seni yang teradun oleh pengaruh daripada sosialisasi. Bagaimanapun dalam konteks filem tempatan, cerminan sosial yang dicari dalam filem hampir tiada.

Sebahagian besar filem tempatan mengangkat realiti sebagai realiti, bukan sebagai sebuah tafsiran yang menzahirkan filem sebagai sebuah pemikiran. Walaupun ada kecenderungan memperlihatkan kepekaan karyawan terhadap isu sosial seperti rempit dan masalah moral tetapi tidak kelihatan sebagai pengisian sosial.

Maka kita boleh bertanya untuk apa menonton filem kalau yang dipaparkan itu sebuah realiti yang boleh dilihat di luar filem? Kalau begitu, lebih baik melihat pergulatan sosial di depan mata daripada bersusah payah menonton filem. Sosialisasi yang memberi pengaruh kepada karyawan bukanlah mendorong mereka mengangkat secara total hal yang berlaku di luar filem.

Filem sebagai sebuah tafsiran realiti tidak boleh dipinggirkan apabila mahu membuat filem yang berkaitan sosiobudaya. Karyawan filem mesti mempunyai sudut pandangan terhadap permasalahan sosial kemudian membuat justifikasi. Filem adalah sebuah pemikiran yang bertolak daripada permasalahan sosial yang berlaku di luar filem.

Kalau kita melihat perkembangan filemHollywood pada era Perang Vietnam, kita akan dapati banyak merupakan refleksi dan sudut pandangan karyawan filem terhadap Perang Vietnam. Perang itu berlaku hasil campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan generasi muda dekad 70-an secara umumnya menolak campur tangan AS. Maka lahirlah filem bernada protes dan marah kepada pemerintah.

Begitu juga dengan filem-filem yang dihasilkan oleh generasi kelima karyawan filem China yang ditandai oleh Zhang Yimou, misalnya memperlihatkan pemikiran generasi yang menolak komunisme di China. Walaupun filem-filem ini kelihatan menentang arus perdana China tetapi itulah cermin untuk melihat sosialisasi yang diangkat dengan baik dalam karya filem.

Di negara ini, kita pasti akan tercari-cari pengaruh sosialisasi dan politik yang menjadi salah satu pengisian dalam filem tempatan. Namun hanya ada beberapa filem yang memperlihatkan pengaruh sosial dalam pengisian tetapi sebahagian besar adalah sebuah fantasi sosial yang diambil daripada budaya filem Hollywood atau Hong Kong.

Kalau Rahim Razali dalam Abang memperlihatkan permulaan Melayu dalam sektor korporat, Nasir Jani tentang gejolak dunia anak muda dalam Kembara Seniman Jalanan, Hishamuddin Rais tentang kuasa anak muda dalam Dari Jemapoh Ke Manchester atau U-Wei Haji Saari tentang politik Melayu dalam Jogho, di mana lagi filem yang diberi pengisian sosial dan budaya? Apakah filem kita hanya menyampaikan mesej buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat saja?
Musang berbulu ayam

Oleh Zin Mahmud & Ku Seman Ku Hussain

Pandangan 1 - Setiap bangsa dan negara mempunyai wira. Mereka ini patriotik, sayangkan negara dan sanggup berkorban untuk bangsa. Tetapi kalaulah semua negara mempunyai wira, maka pasti mereka sentiasa berjaya.

Apabila disebut bangsa dan negara, ia merujuk kepada dua entiti yang boleh ditukar ganti. Negara adalah wilayah dan institusi-institusi pemerintahan dan pentadbiran. Sementara rakyat dan penduduknya adalah bangsa di negara itu.

Wira menggambarkan seseorang yang bukan saja memiliki semangat sayangkan bangsa dan negara yang luar biasa tetapi juga mempunyai keupayaan luar biasa. Maka jika ada wira-wira ini di kalangan bangsa berkenaan, pastinya negara mereka ini bukan saja selamat tetapi juga cemerlang.

Bagaimanapun itu tidak berlaku. Ada masa sesebuah bangsa dan negara tidak mempunyai wira, maka mungkin juga ia gagal untuk berjaya kerana keadaannya tanpa kepimpinan dan tenaga kepahlawanan bagi membelanya.

Tetapi tidak kurang pula bangsa dan negara kecundang kerana ada tokoh yang berlawanan dengan sifat seseorang wira. Sosok yang digelarkan sebagai pengkhianat ini bertentangan dengan sifat wira. Kalau seseorang wira itu menaikkan bangsa dan negara, maka pengkhianat adalah bertentangan dengan wira.

Bangsa dan negara adalah suatu entiti. Wira membela dan membangunkannya. Sementara pengkhianat menjatuh dan menghancurkannya.

Pandangan 2 - Sejarah adalah cermin untuk menoleh masa silam dan petunjuk masa depan. Suatu peristiwa dan watak-

watak manusia yang tercatat dalam sejarah tidak pernah mati dan tidak terhenti apabila berakhirnya sesuatu zaman. Maka, untuk menentukan tuju masa depan, kita wajar mengambil iktibar dari sejarah. Tujuannya yang buruk tidak berulang dan yang baik dapat dilangsungkan.

Salah satu watak yang tercatat dalam semua sejarah tamadun manusia selain daripada pejuang adalah pengkhianat. Tamadun sehebat mana sekalipun akan hancur, perjuangan yang sebesar apa sekali pun akan gagal apabila gagal menghapuskan pengkhianat yang berada di gelanggang yang sama. Orang Melayu menggambarkan pengkhianat tidak kira dalam konteks negara, masyarakat atau organisasi sebagai musang berbulu ayam.

Nama-nama seperti Si Kitul, Raja Mendaliar semasa Empayar Melaka, Brutus semasa Empayar Rom tahun 42 Sebelum Masihi, Aldrich Ames semasa era Perang Dingin Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Soviet, Augusto Pinochet seorang jeneral yang akhirnya merampas kuasa daripada Presiden Chile, Salvador Allende atau Alexander Butterfield pada era Presiden AS, Richard Nixon sentiasa menjelma walaupun dalam wajah dan bentuk yang lain.

Dalam budaya dan masyarakat apa sekalipun, manusia yang menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan adalah pengkhianat, apa lagi perbuatan itu memberi kesan buruk kepada rakyat.

Dalam semua sejarah manusia juga mencatatkan bahawa pengkhianat bukanlah dari luar. Tetapi watak pengkhianat adalah kalangan dalam masyarakat. Inilah yang menyukarkan untuk dikenalpasti yang mana musang dan musang yang berbulu ayam.
Apabila kita sanggup hilang jiwa

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DUA hari sebelum kita melangkah abad ke-21 dulu iaitu pada 30 Disember 1999, saya pernah menulis dalam ruangan ini tentang pembudayaan yang dilakukan oleh pedagang semasa era kegemilangan Melaka.

Ketika Melaka menjadi pusat perdagangan penting lima abad lampau, pedagang bukanlah semata-mata datang berdagang. Kedatangan pedagang terutama dari Barat ada agenda lain selain mencari rempah yang terdapat di rantau sebelah sini. Mereka membawa agenda 3G (gold, glory, gospel) melalui urusan perdagangan yang berpusat di Melaka. Kita tentunya tidak menyalahkan Melaka tetapi perlu belajar dari Melaka.

Kini dengan kepesatan teknologi komunikasi, proses pembudayaan boleh berlaku dengan begitu pesat. Kalau pada era kegemilangan Melayu dulu proses pembudayaan dilakukan oleh pedagang, kini proses yang sama berlaku kerana kepesatan teknologi.

Saya masih ingat ketika menjelang pesta alaf baru dulu, lebih 5,000 anak muda kita di Kuala Lumpur berbaris seawal pukul 3 pagi di hadapan sebuah pusat hiburan berjenama antarabangsa. Tujuannya hanyalah untuk mendapatkan 100 tiket percuma yang diedarkan untuk memeriahkan pesta sambutan alaf baru.

Kalau tidak silap pesta itu dihadiri oleh lebih 100,000 orang terutama remaja dari seluruh negara selain orang luar negara kerana dibuka kepada 150 negara seluruh dunia. Walaupun acara ini mencatatkan nama negara di peta antarabangsa mengenai sambutan alaf baru tetapi saya tidak gembira.

Proses pembudayaan ketika itu berlaku secara yang sangat tersusun. Cara hidup hedonisme dibawa masuk tanpa banyak pihak yang menyedarinya, birokrat pula sudah terlupa kerana ghairah menyambut kedatangan alaf baru.

Alaf baru berlaku begitu saja tanpa mengubah kita menjadi lebih berhati-hati dan memakukan jati diri pada tunggak budaya yang dimiliki. Jadi apa maknanya riuh-rendah melintasi abad 20 kepada abad 21 kalau secara spiritualnya kita tidak berubah apa-apa?

Bulan Ogos ini adalah bulan merdeka. Bulan ini pada saban tahun kita mengingatkan kembali detik kemerdekaan fasa pertama. Kemerdekaan fasa kedua tidak berlaku pada 31 Ogos tetapi terletak kepada sejauh mana kita mampu menangani proses pembudayaan yang menukar wajah dan jiwa kita.

Dulu Amerika Syarikat (AS) mengusulkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Tujuannya untuk membolehkan mereka memasuki pasaran negara-negara Dunia Ketiga. Tetapi pada masa yang sama ini membawa ideologi yang menjadi pemangkin kepada satu proses pembudayaan cara mereka.

Tanpa disedari, acara sambutan ulang tahun kemerdekaan pun sudah diresapi cara dan budaya yang dibawa dari luar. Cara menyambut ulang tahun kemerdekaan pun kita belum merdeka, bagaimana untuk mengecapi kemerdekaan? Kini proses pembudayaan menukar jiwa kita dilakukan oleh kalangan yang hampir dengan kita. Kita hanya mengikut kerana mahu menumpang kuasa politik mereka. Ah, malang sungguh kita pada era selepas kejatuhan empayar Melaka. Kita takut hendak berkata-kata kerana takut hilang kuasa.
Antara apresiasi dan poster filem

Oleh Ku Seman Ku Hussain

FILEM adalah sebuah karya yang teradun secara berseni antara pengalaman, pemikiran dan pengaruh dari luar diri karyawannya. Sama ada penulis lakon layar atau pengarah.

Filem adalah karya yang dalamnya teradun pelbagai seni: lukisan, lakonan, kesusasteraan dan muzik. Maka filem tidak boleh sewenang-wenang hanya diukur berdasarkan kelarisan jualan tiket dan melupakan seni menggarap dan mengadun semua cabang yang disebutkan tadi.

Kalau mengikut teori Auteur yang dicetuskan oleh pengkritik filem Andre Bazin, kesatuan cabang seni ini adalah tanggungjawab pengarah yang bertindak sebagai pengarang kepada filem yang ditanganinya. Teori yang diperhebatkan menerusi majalah filem Cashiers Du Cinema sekitar tahun 1950-an di Perancis itu tetap relevan hingga kini.

Maka untuk berlaku adil kepada filem dan orang yang menggarapnya, filem perlu “dibaca” dan tidak sekadar melihat lapisan di permukaan. Filem adalah makna yang berlapis-lapis dan kebijaksanaan pengarah faktor utama menjadi filem terbaik yakni tidak sekadar kulit tetapi isi. Untuk ‘membaca’ filem, apresiasi terhadap seni filem mesti dipertingkatkan. Media perlu turut memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh Andre Bazin.

Dalam konteks kita di mana letaknya apresiasi filem dalam pembangunan industri hari ini? Apresiasi adalah alat untuk mempertingkatkan kefahaman khalayak terhadap filem sekali gus menjadikan mereka boleh ‘membaca’ filem. Penulisan apresiasi tentang filem membantu karyawan menyampaikan pemikiran yang dituangkan dalam karya filemnya.

Filem perlu dikupas, dianalisis atau apa saja yang membawa maksud menyelongkar pemikiran karyawan di dalam filem. Usaha ini satu keperluan, bukan sekadar menyibuk. Berkarya dalam apa bidang sekalipun adalah proses yang tidak pernah berakhir. Di sinilah sumbangan mereka yang membuat apresiasi supaya filem yang kelam dan kabur dicerahkan dengan kupasan daripada sudut yang pelbagai.

Filem mempunyai bahasa dan nahunya sendiri. Ahli teori filem Bela Balazs dalam bukunya yang cukup terkenal, Theory of the Film, dia membincangkan tentang nahu filem. Terbuktilah filem memerlukan pencerahan untuk sampai kepada khalayak biasa. Pencerahan itu adalah apresiasi oleh mereka yang mampu “membaca” filem. Mereka ini boleh dipanggil pengkritik atau apa sahaja, yang penting kerja mereka perlu diberi perhatian.

Festival filem di negara ini sudah lama memadamkan kategori pengkritik filem. Anugerah ini dimulakan dengan inisiatif Persatuan Wartawan Filem Malaysia pimpinan Mustaffa AR tahun 1986. Hayatnya hanya beberapa tahun sahaja kerana penganjur festival filem lebih berminat mewujudkan kategori poster terbaik berbanding Pengkritik Filem. Dalam lain perkataan, poster lebih besar sumbangannya daripada kerja-kerja apresiasi filem. Keadaan ini memperlihatkan apresiasi filem tidak dianggap sebagai penyumbang kepada kemajuan industri filem negara ini.

Saya tidak pasti adakah festival filem yang akan berlangsung di Kota Kinabalu Ogos depan memasukkan kembali kategori pengkritik filem atau apresiasi filem. Sebenarnya mereka yang menghasilkan apresiasi filem tidak memerlukan anugerah atau hadiah. Tetapi industri filem memerlukan apresiasi filem kalau kita berhasrat mengubah tahap apresiasi filem kalangan masyarakat. Kalau tidak, biarlah di tahap sekarang supaya penonton tidak cerewet menelan filem-filem yang buruk.
Pengaruh Nixon dalam Obama

Oleh Ku Seman
Ku Hussain

Di sebalik "kekalahan" kepada dua wartawan akhbar Washington Post, Carl Bernstein dan Bob Woodword yang membongkar skandal Watergate tahun 1975, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon seorang realis melihat hubungan negaranya dengan dunia luar.

Walaupun selepas memegang tampuk kerajaan Nixon "diwariskan" sekian banyak masalah, beliau mempunyai pandangan yang jelas mengenai kedudukan AS dalam hubungan dengan negara lain, waima musuh utama AS.

Nixon menjadi Presiden ketika rakyat terutama golongan muda bangkit membantah tindakan AS terlibat dalam perang Vietnam. Luahan suara orang muda AS ini dapat dikesani dalam banyak genre budaya popular seperti filem dan muzik. Nixon berjaya mengembalikan ketenangan apabila mendengar suara hati orang muda dan rakyat supaya AS tidak harus terlibat mencari musuh di luar negara.

Hal yang hampir sama juga berlaku semasa Bush melancarkan perang ke atas Iraq hingga memusnahkan negara tersebut. Pungutan suara memperlihatkan penentangan terhadap tindakan Bush tetapi Bush memekakkan telinga. Bush tetap mahu melangsaikan hutang bapanya kepada Saddam Hussein kerana bapanya gagal menghancurkan Iraq dalam masa "tiga hari" dalam Perang Teluk awal 90-an dulu.

Nixon mengenepikan bongkak dan ego AS dengan membentangkan dasar luar yang mendekati negara-negara yang menjadi musuh. Nixon percaya, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Dasar luar Nixon telah menamatkan perang Vietnam walaupun memalukan AS, sanggup menemui musuh ketat seperti pemimpin komunis China, Mao Zedong untuk membina kepentingan AS pada masa depan. Wawasan Nixon tepat apabila kini China bakal menjadi kuasa ekonomi besar dan AS perlu berbaik-baik dengan China.

Dasar luar AS di tangan Nixon adalah antara yang paling jelas dalam sejarah negara itu. Nixon menjadi satu-satunya Presiden AS yang paling banyak diperkatakan, popular, dibenci sekaligus amat digeruni oleh musuh politik kerana kelicikannya. Tetapi dalam warna-warni peribadi Nixon, beliau diakui hebat dalam membentuk dasar luar ketika menerima tanggungjawab membina semula AS yang runtuh di tangan Presiden Lyndon Johnson. Sebenarnya Johnson juga melangsungkan dasar luar J.F Kennedy yang mati dibunuh pada 22 November 1963.

Dasar luar Nixon 40 tahun lalu kini dilangsungkan oleh Presiden Barack Obama, orang kulit hitam pertama yang menjadi Presiden AS selepas melangkahkan kaki ke Rumah Putih awal tahun ini. Selepas empat dekad akhirnya AS mengakui bahawa kuasa besar bukan lagi di tangan AS. Obama menjadi ular yang menyusur akar membuka lembaran rundingan dengan musuh-musuh AS; Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Venezuela, Hugo Chevez, melihat semula isu Iraq dan Rusia.

Nixonisme dalam pentadbiran Obama begitu jelas apabila satu demi satu dasar luar Obama yang dizahirkan selepas menjadi Presiden mengingatkan kita kepada Nixon seorang pemimpin gila kuasa tetapi realistik tentang masa depan AS. Maka tidak hairan kalau Obama dan Nixon berdiri sebagai realis yang meninggalkan keangkuhan AS sebelum ini.

Pilihan raya

Semasa kempen pilihan raya Presiden pada 16 Mei 1968, Nixon berkata, "Majoriti bukan kelompok kuasa tetapi kesatuan idea. Lelaki dan wanita dari semua latar belakang, semua parti mesti memberikan kesimpulan yang sama."

Obama juga berpendirian yang hampir sama dengan Nixon apabila berkata dalam kempen pilihan raya Presiden tahun lalu, "Majoriti baru bukan saja Demokrat tetapi juga Independen dan Republikan yang mencari pemimpin dan percaya bahawa kita terdesak dan mahukan sesuatu yang baru."

Kedua-dua petikan ini memperlihatkan persamaan laras prinsip kepimpinan antara Nixon dan Obama. Malah Obama dilihat melangsungkan dasar-dasar luar Nixon yang terbengkalai selepas dijatuhkan oleh akhbar Washington Post. Bayangkan selepas ruang masa 40 tahun AS tidak memanfaatkan jalan yang dirintis Nixon untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara yang berpotensi memberi manfaat kepada AS. Selama itu juga AS memperkecilkan Rusia dan China. AS gelojoh melancarkan demokrasi cara AS di Asia Barat. Ternyata konsep demokrasi yang diuar-uarkan oleh Bush tidak berhasil dengan kebangkitan negara seperti Iran yang mempunyai hubungan sangat akrab dengan Rusia. Rusia menjadi pembekal uranium kepada Iran yang didakwa AS bahan membuat senjata nuklear. Tetapi Iran mendakwa loji nuklear itu untuk tujuan tenaga. Maka AS terpaksa berhati-hati untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran kerana Rusia ada di belakang Iran.

Obama melihat ruang-ruang kegagalan Bush menundukkan Iran. Kerana itu dunia terkejut apabila Obama menghulurkan rundingan tanpa ugutan kepada Iran, musuh yang hampir diserang oleh Bush.

Walaupun karakter dan kehidupan peribadi Nixon sangat berbeza dengan Obama, kedua-dua mereka mempunyai pemikiran politik yang sama setidak-tidaknya melihat secara realistik himpitan terhadap AS dari luar.

Sesetengah pengkaji politik melihat kekuatan dan ketepatan dasar luar Nixon kerana beliau memiliki Henry Kissinger. Pada mulanya Kissinger menjadi penasihat keselamatan dan dinaikkan menjadi Setiausaha Negara. Kissinger banyak memainkan peranan memantapkan dasar luar Nixon terutama yang melibatkan hubungan AS dengan China dan Rusia.

Robert Dallek dalam bukunya, Nixon and Kissinger : Partner in Power antara lain menulis, "Hujah mengenai kejayaan perang Iraq, hubungan dengan China, Rusia serta ketegangan di Asia Barat antara Israel dan dunia Arab, saya percaya ia boleh dilihat dalam konteks Nixon dan Kissinger dan kuasa mereka untuk kebaikan dan sebaliknya."

Siapa pasangan Obama kalau dilihat dalam konteks Nixon dan Kissinger? Adakah Setiausaha Negara Hillary Clinton mampu dan boleh memainkan peranan seperti Kissinger 40 tahun lalu? Di sinilah kurangnya Obama kerana Hillary bukan Kissinger yang sangat pragmatik, realistik dan pintar dalam hubungan antarabangsa.

Obama realistik bahawa China akan menjadi kuasa ekonomi baru dan banyak faedah apabila AS mempunyai hubungan baik dengan China. Maka tidak hairanlah apabila dalam kempen pilihan raya Presiden tahun lalu, Obama banyak menekankan tentang pemulihan imej AS di mata dunia.

Dasar luar

Obama memperlihatkan bayangan dasar luarnya untuk tidak meneruskan dasar Bush terutama terhadap isu Iraq, Afghanistan, Iran dan mencari formula untuk berbaik-baik dengan Rusia. Selepas memasuki Rumah Putih, Obama menzahirkan dasar luarnya mendekati musuh-musuh AS sebagai bukti pendiriannya yang menolak unilateralisme era Bush.

Ketika Obama menerima "baton" daripada Bush, situasinya sama seperti Nixon yang menerima "baton" daripada Johnson. Nixon dihadiahkan dengan Perang Vietnam yang sangat kompleks oleh Johnson yang akhirnya berjaya ditamatkan walaupun AS mengalami kekalahan moral dan fizikal yang memalukan. Ini antara bukti memperlihatkan wujudnya nixonisme dalam pentadbiran Obama. Malah dasar luar Nixon itu masih relevan dalam konteks pasca perang dingin.

Obama realistik bahawa AS tidak boleh hidup dalam kesombongan yang diciptakan oleh Presiden sebelum ini. Dasar luar Bush yang mahu membuat pengstrukturan semula politik di Asia Barat dengan "menawan" Kuwait, menyerang Iraq dan merancang menyerang Iran kini telah dialih seratus peratus. Obama menambah 17,000 bala tentera di Afghanistan untuk membantu tentera Afghanistan memerangi Al Qaeda di sempadan Pakistan yang dianggap "syurga" pengganas.

Walaupun kini AS menjadi negara kuasa besar tunggal selepas keruntuhan Kesatuan Soviet dan negara-negara blok komunis dua dekad lalu, tentangan terhadap AS tetap hebat. Dasar luar Obama kelihatan sangat berhati-hati dengan kegagalan Bush selepas tragedi 11 September 2001. Bush tidak seperti Nixon, tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan cepat diselesaikan dengan menyerang Afghanistan yang dianggap "paksi kejahatan". Di sinilah bermulanya kejatuhan Bush apabila mencipta masalah baru tanpa menyelesaikan masalah yang sedia ada.

Selepas Afghanistan, Bush menyerang Iraq dengan alasan sangat mudah iaitu mempunyai loji senjata nuklear. Tetapi Bush tidak berkeras dan bertegas dengan Korea Utara yang secara terang-terangan mengaku membangunkan senjata nuklear. Serangan ke atas Iraq juga bertolak dari tragedi WTC tetapi sehingga kini tidak menguntungkan AS, di segi moral atau material.

Kejatuhan Nixon bukan kerana kegagalan dasar luar tetapi beliau seorang yang mabuk kuasa dan lupa daratan apabila di puncak kuasa. Dalam kelicikan "membunuh" musuh politik, Nixon terlupa kepada orang- orang di sekelilingnya yang belot apabila musuh menawarkan imbuhan yang lebih besar.

Misalnya bekas "orang kuat" Nixon sendiri seperti Alexander Butterfield dan John Dean. Butterfield menjual rahsia Nixon kepada beberapa buah penerbitan dan mereka menjadi kaya raya kerananya. Sementara Dean dipercayai ialah Deep Throat yang menjadi tukang bocor rahsia kabinet Nixon pada kedua-dua wartawan Washington Post hingga mengakibatkan kejatuhannya. Benarlah mata pen itu setajam pedang. Ini adalah kesilapan Nixon yang tidak pernah takut kepada ketajaman pengaruh dunia kewartawanan sehinggalah akhbar Washington Post menumbangkan beliau dengan skandal Watergate. Semoga Obama tidak melihat remeh kuasa wartawan dan media. Keberkesanan dasar luar juga memerlukan sokongan media.

Jangan seperti Nixon yang menganggap wartawan tidak lebih tukang sibuk dan pemusnah hidup dan kariernya. Kita boleh melihat kejatuhan Nixon dalam filem All The President's Men (1976) walaupun filem arahan Alan J. Pakula ini mempunyai ruang untuk berbohong terutama mengenai manusia seperti Nixon.

Nixon adalah manusia politik yang istimewa. Beliau salah seorang Presiden yang paling articulate dalam sejarah AS. Pandangan yang dialirkan menerusi The Memoirs of Richard Nixon (1990) memberikan perspektif hidupnya yang menarik. Maka tidak hairanlah kalau Obama menjadikan idealisme Nixon sebagai jurupandu politiknya.