Rahsia formula kejayaan
Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita semua mengucapkan rasasyukur ke hadrat Allah SWT justeru di atas rahmat dan limpah izin-Nyajua, esok sekali lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan kali ke-52dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Pertahankan keistimewaan perpaduan rakyat berbilang kaum
HARIini semua rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yangke-52. Tetapi suasana sambutan di seluruh negara tidak seperti biasakerana ulang tahun kemerdekaan jatuh pada bulan puasa Ramadan. Sambutandi peringkat Pusat, dibuat sederhana di Dataran Parlimen.

Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil
TINDAKANsekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketikamembuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnyasuatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.

BISIK-BISIK
AWANG terharu membaca kisah tiga beranak terbabit dalam kemalanganngeri di KM18 Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur-Klang semalam. Merekadalam perjalanan untuk membeli-belah keperluan Ramadan dan hari raya.

Ibadat puasa Ramadan unik
PUASAterdapat di dalam hampir kebanyakan agama. Di era ketamadunan Greekjuga sudah ada amalan-amalan puasa tertentu yang dipraktikkan.Hippocrates, bapa perubatan, juga mengesyorkan puasa kepada ramaipesakitnya. Syariat para Nabi terdahulu juga tidak terkecuali daripadaibadat puasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orangyang beriman difardukan ke atas kamu puasa seperti mana difardukan keatas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang-orangyang bertakwa . (Surah al-Baqarah:183)

Pembangunan kewangan mestilah pro-kemiskinan
KEPUTUSANkerajaan untuk memberi RM100 juta unit amanah saham kepada golonganyang dikategorikan sebagai miskin bandar merupakan satu lagi tindakanyang boleh membantu taraf hidup penduduk miskin di bandar.

Tujuh teori kepimpinan tokoh ternama
TAJUK: Evolusi Kepimpinan 1: Tinjauan Teori-Teori Terpilih

Arah tuju nasionalisme Asia Tenggara
ADA dua cara melihat nasionalisme. Pertama ialah nasionalisme sudahmati dan tiada gunanya lagi di dunia tanpa sempadan sekarang dan dalamarus globalisasi yang semakin mengecilkan kita semua. Keduanya, iamasih perlu dan bergantung kepada siapa dan di mana seseorang itubercakap, nasionalisme adalah satu-satunya jalan keluar dari sebarangbentuk penjajahan atau imperialisme budaya.






Minda Pengarang: Usah sesekali diroboh perpaduan kaum terbina sejak 52 tahun
HARIini kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dan formula atau rahsia yangmendasari kejayaan negara selama ini ialah perpaduan rakyat pelbagaikaum. Justeru, apa jua tindakan melampau yang membatasi sempadan kaumdan agama, perlu dielakkan bagi memastikan segala perancanganpembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti dinikmati sepanjang 52tahun lalu, dapat terus dikecapi untuk tahun-tahun mendatang.

Penjajahan nafsu musnah kemerdekaan
WALAUPUNsambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini tidak semeriahtahun-tahun sebelumnya kerana jatuh pada bulan puasa serta ancamanwabak selesema babi (H1N1), ia tidak seharusnya menghalang kitadaripada merenung sejenak erti sebenar kemerdekaan.

Cakap-Cakap
BILAdengar ada pihak membantah pembinaan rumah ibadat untuk kaum India diSeksyen 23, Shah Alam, Jumaat lalu, Mamat dah agak ini isu berat.Mereka bukan saja berarak tapi juga melakukan perbuatan yang bolehmenyinggung perasaan penganut agama lain. Kalau kita membantah sekalipun, biarlah dengan tidak menyinggung perasaan orang lain. Biarlah kitamenjadi umat yang dihormati.

Minda kita belum merdeka selepas 52 tahun
HARIini genap 52 tahun negara kita merdeka dan sepanjang tempoh itu,pembangunannya amat pesat dalam pelbagai aspek merangkumi ekonomi,sosial, politik, pendidikan dan kemasyarakatan hinggakan negara luarkagum dengan keupayaan Malaysia.

Antara gagasan universiti taraf dunia, cabaran siswazah bidang kerjaya
KETIKAditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970, matlamatyang tertulis sangat mudah tetapi sarat dengan makna yang cukupsimbolik � bagaimanakah memberikan pendidikan peringkat universitikepada orang Melayu khasnya serta memperkasa bahasa Melayu sebagaibahasa ilmu.




Detik sukar dilupakan
Industri hiburan dan sukan berkembang baik ketika itu. Malah kejayaanpasukan Tanah Melayu dalam sukan antarabangsa menunjukkan penduduktidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis.


Majalah Perancis versi Arab
Bagi majalah yang sudah sekian lama memperjuangkan hak-hak wanita,usaha menambat hati warga Arab tanpa meminggirkan amalan fahaman adalahsatu pencapaian yang sangat rumit.
Rahsia formula kejayaan

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita semua mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT justeru di atas rahmat dan limpah izin-Nya jua, esok sekali lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan kali ke-52 dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Lima puluh dua tahun yang lalu, sekumpulan patriot negara yang diterajui oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah berjaya mencapai kemerdekaan negara setelah hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan.

Pasca kemerdekaan kemudiannya menyaksikan tugas dan tanggungjawab untuk menentukan arah tuju tanah air yang satu ketika dahulu berada di dalam genggaman penjajah telah beralih ke tangan anak watan.

Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatar belakangkan pula pemberontakan komunis yang masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas di tambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak kala itu yang meramalkan bahawa Malaya ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun begitu, kita telah membuktikan bahawa sangkaan tersebut meleset sama sekali. Di dalam tempoh lima dekad merdeka kita telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju. Kita telah menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping kita juga berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama hanya dalam tempoh masa amat singkat yakni dua generasi sahaja.

Apakah formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan.

Sayangnya, masa yang berguling telah menyaksikan jambatan dibina oleh bapa-bapa kita dahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Mereka telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi untuk memuaskan agenda sempit mereka.

Di persimpangan ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama kita. Pokoknya, kita perlu terus mengurus kejayaan, membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan terpupuk selama ini.

Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malah akan musnah jika kita tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Benarlah kata orang, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang kita sedang kecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

Kejayaan ini hasil perjuangan, keringat, air mata dan darah para wira serta para wirawati negara sama ada yang didendang atau pun tidak. Ia dibangunkan oleh pendahulu-pendahulu kita yang lampau.

Ia dipertahankan oleh anggota pasukan keselamatan yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa. Ia disuburkan oleh para murabbi dan pendidik yang gigih berjuang di kelas-kelas dan bilik kuliah.

Ia dimakmurkan oleh wira swasta, wira korporat, para penjaja, waima peniaga kecil yang gigih dengan semangat keusahawanan mereka mencipta kemakmuran. Tuntasnya, ia dilincirkan pula oleh para penjawat awam yang gigih berkhidmat.

Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada ataupun tidak, tua atau muda.

Kendati itulah, saya ingin tegaskan bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia. Yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan untuk bekerja keras dan keberanian untuk mengambil risiko.

Di atas segala, sepanjang lebih lima dekad Malaysia telah melalui pelbagai detik dan panca peristiwa. Segalanya, dilalui penuh dengan suka duka, pahit manis dan jatuh bangun bersama dalam kemajmukan.

Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 69, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an.

Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redai dengan jaya. Ternyata walau apa pun, harus diinsafi bahawa kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lalu tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini kerajaan telah pun memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang kita menjadi sebuah negara yang maju.

Sebermula pentadbiran saya telah diutarakan konsep 1Malaysia yang berpaksi kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai teras hala tuju matlamat kerajaan. Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa yang konkrit.

Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara.

Akhir kalam, ayuhlah kita suburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Marilah kita realisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia - Marilah kita pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua.
Pertahankan keistimewaan perpaduan rakyat berbilang kaum

HARI ini semua rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yang ke-52. Tetapi suasana sambutan di seluruh negara tidak seperti biasa kerana ulang tahun kemerdekaan jatuh pada bulan puasa Ramadan. Sambutan di peringkat Pusat, dibuat sederhana di Dataran Parlimen.

Usia 52 tahun amat besar maknanya. Pelbagai peristiwa dan pengalaman pahit manis telah kita sama-sama harungi.

Apabila menonton iklan hari kemerdekaan di televisyen, ia membawa kenangan manis dan menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat kita yang berbilang kaum.

Dalam suasana hubungan kaum yang kini diasak dengan tindakan provokasi dan tuduhan melampau demi kepentingan kaum masing-masing, elok kita sama-sama renung dan fikirkan apa akan kita lakukan selepas ini. Adakah semua kaum di negara ini mahu bercakaran dan musnahkan perpaduan yang telah dijalin sejak lebih 52 tahun itu?

Ada kebenaran dalam perutusan Hari Kemerdekaan Perdana Menteri bahawa membaik pulih jambatan sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum adalah cabaran terbesar negara.

Jika kita buka minda dan fikirkan, kekeruhan hubungan antara kaum sebelum Mac 2008 tidaklah seburuk seperti sekarang. Semua kaum berbaik sangka dan tidak timbul tuduh-menuduh dan mencabar Perlembagaan negara. Hakikatnya perpaduan kaum yang diasaskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kini diasak dan cuba digoncang pihak tertentu kerana mahu rebut kuasa.

Perpaduan kaum adalah tunjang kekuatan dan kemakmuran Malaysia. Jika tunjang ini ditetak-tetak selalu, akhirnya ia akan musnah.

Begitu juga dengan perpaduan kaum, jika tidak dipelihara, kesan kemusnahannya sukar untuk dipulihkan seperti dahulu.

Sebab itu berulang-ulang kali pemimpin negara mengingatkan kita supaya pertahankan perpaduan kaum. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengingat tentang sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Pada hakikatnya, kejayaan dan kemakmuran negara ini sepanjang 52 tahun merdeka adalah hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua lapisan masyarakat.

Kita jangan lupa tentang keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap anasir-anasir yang sengaja dan berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.

Kerana mereka tahu, formula perpaduan kaum inilah menjadi rahsia kekuatan dan kejayaan Malaysia. Mahu tidak mahu, hakikatnya baik Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Cina, India dan kaum-kaum lain - inilah tanah air kita.

Adalah tanggungjawab kita semua untuk menentukan kemakmuran dan kestabilan Malaysia. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru lima bulan memimpin negara ini, elok kita beri sokongan dan dokongan kepada Najib dalam pelaksanaan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

TINDAKAN sekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketika membuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnya suatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.

Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam.

Label dan momokan Islam sebagai agama yang ganas seolah-olah sudah disahkan oleh tindakan bodoh mereka.

Islam amat bertegas tentang penghinaan kepada agama lain yang bakal mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah anutan mereka walau dengan nyawa sendiri.

Larangan provokasi ini dijelaskan oleh al-Quran, maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Keharmonian Malaysia yang sudah sekian lama terjalin di atas rasa toleransi kaum dan agama, pastinya akan mengundang kekeruhan apabila kepercayaan orang Hindu dihina sedemikian rupa.

Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.

Untuk itu satu langkah drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan terbabit.

Sekiranya pihak berkuasa agama boleh segera bersidang untuk mengeluarkan fatwa berikutan kenyataan politik sesetengah tokoh yang dirasakan mengancam akidah umat Islam, situasi kritikal seperti ini lebih lagi perlu diutamakan.

Jelaskan segera kepada penganut agama lain, bagaimana Islam melarang sama sekali tindakan sedemikian. Peranan pihak berkuasa agama perlu disegerakan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang melanda bertepatan dengan firman Allah, maksudnya:

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).

Hak penganut Hindu untuk mendirikan rumah ibadat mereka tidak pernah dibantah oleh Islam. Itulah keistimewaan Islam yang agak terbuka dengan pengamalan agama lain selagi mana penganut agama itu masih berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan bukannya harbi (memusuhi Islam).

Selain itu, pendekatan penerangan melalui media arus perdana perlu segera dibuat bagi mengubat luka para penganut Hindu di Malaysia.

Sekiranya tindakan lambat diambil, luka itu akan bertukar menjadi barah yang sukar diubati lagi.

Bahkan barah ini kelak boleh menjadi penyebab gagalnya gagasan 1Malaysia. Pengalaman perit konflik agama yang menumpahkan darah di negara luar perlu dijadikan teladan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Kepada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk melakukan sebarang tindakan provokatif di masa hadapan, silalah bertanya dahulu kepada ahlinya.

Hayatilah firman Allah: Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21:7]).

Jangan sampai apabila kekacauan telah meletus kerana tindakan bodoh sesetengah pihak, pihak yang tidak bersalah pula menerima kesan akibatnya.

Renunglah ancaman Allah di dalam ayat ini: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal[8:25]).

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan TilawahAl-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
BISIK-BISIK

AWANG terharu membaca kisah tiga beranak terbabit dalam kemalangan ngeri di KM18 Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur-Klang semalam. Mereka dalam perjalanan untuk membeli-belah keperluan Ramadan dan hari raya.

Si bapa yang memandu kereta Kancil meninggal dunia di tempat kejadian; isteri dan anaknya cedera parah.

Keluarga itu yang dari Dusun Tua, Hulu Langat sanggup memandu jauh untuk membeli-belah di sebuah pasar raya jualan murah, Mydin di Subang USJ.

Memang malang tidak berbau, sebuah lori treler kosong terbabas dari lorong bertentangan lalu merempuh Kancil itu.

Menurut wartawan meja jenayah Awang, lori itu dipercayai dipandu laju dan ia dipandu di lorong kanan di lebuh raya yang sibuk itu.

Apa yang Awang hendak sampaikan di sini ialah sikap pemandu treler besar seperti itu. Sehari sebelum itu, Awang pernah menegur pemandu sebuah lori treler di lebuh raya itu yang memandu dalam keadaan kurang sopan. Apa yang berlaku, pemandu itu seperti berdendam telah menghon ke arah Awang - tanda bantah kerana menegurnya.

Itulah sikap samseng segelintir pemandu lori yang banyak di atas jalan raya kita.

Mereka tidak peduli nyawa orang lain, kerana merasakan mereka besar dan gagah.

Awang - Terus menegur.
Ibadat puasa Ramadan unik

Oleh DR. MOHD. FAHMI ABDUL KHIR

PUASA terdapat di dalam hampir kebanyakan agama. Di era ketamadunan Greek juga sudah ada amalan-amalan puasa tertentu yang dipraktikkan. Hippocrates, bapa perubatan, juga mengesyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Syariat para Nabi terdahulu juga tidak terkecuali daripada ibadat puasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman difardukan ke atas kamu puasa seperti mana difardukan ke atas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah:183)

Al-Qurtubi menyatakan Allah SWT telah mensyariatkan puasa Ramadan kepada kaum Nabi Musa a.s dan kaum Nabi Isa a.s tetapi mereka telah mengubahnya dan menambah jumlah harinya kepada 50 hari.

Puasa Nasrani ialah meninggalkan makanan bersumberkan binatang seperti daging, susu, lemak dan lain-lain. Sesetengah Katolik berpuasa dengan tidak makan tetapi dibenarkan meminum air.

Orang Yahudi diwajibkan berpuasa selama dua puluh lima jam pada youm kabur. Terdapat agama yang hanya membenarkan memakan nasi ketika berpuasa. Ada juga agama yang membenarkan memakan sekali sahaja dalam sehari ketika berpuasa.

Terdapat kepercayaan yang menyuruh pengikutnya berpuasa pada waktu malam sahaja. Sesetengah agama hanya mewajibkan puasa kepada golongan ahli agama (sami). Amalan orang Parsi purba berpuasa dua hari berturut-berturut tanpa berbuka - pada bulan purnama. Terdapat pelbagai bentuk puasa lain yang diamalkan mengikut kepercayaan dan pegangan agama yang dianuti.

Dalam kepelbagaian bentuk puasa yang diamalkan, Islam datang mensyariatkan puasa yang ditakrifkan sebagai menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan bermula dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).

Islam juga menganjurkan tuntutan-tuntutan yang lain ketika berpuasa seperti menjaga akhlak dan menyempurnakan perkara-perkara sunat yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Apabila menyusuri aturan Islam dalam berpuasa, ternyata ia suatu syariat yang unik, menjangkau akal pemikiran manusia.

Ia bukanlah rekaan manusia bahkan ia datang daripada Allah SWT. Justeru, ia adalah sebahagian daripada nilai kemukjizatan syariat di dalam al-Quran.

Salah al-Khalidi menyatakan puasa yang disyariatkan oleh Islam bersifat fitrah dan sederhana. Ia bertitik tolak dari dasar syariat Islam yang bersifat wasati (sederhana).

Jika ditinjau ibadat puasa dalam agama-agama lain, ternyata puasa dalam Islam mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana ia tidaklah memudaratkan mereka yang mengamalkannya dan dalam masa yang sama ia tidaklah terlampau ringan.

Dari sudut perubatan, tempoh puasa Ramadan iaitu selama 14 hingga 16 jam sehari ternyata tidak memudaratkan kesihatan manusia yang normal.

Justeru, Islam menggalakkan mereka yang berpuasa menyegerakan berbuka puasa. Ini bagi memastikan tubuh badan kita menerima sumber makanan untuk diserap selepas tempoh yang dinyatakan di atas.

Dalam masa yang sama, tempoh tersebut mencukupi untuk melemahkan hawa nafsu manusia yang melampau, mencukupi untuk kita selami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang lain.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Komuniti Gerik, Perak
Pembangunan kewangan mestilah pro-kemiskinan

KEPUTUSAN kerajaan untuk memberi RM100 juta unit amanah saham kepada golongan yang dikategorikan sebagai miskin bandar merupakan satu lagi tindakan yang boleh membantu taraf hidup penduduk miskin di bandar.

Begitu juga, pengumuman kerajaan untuk membantu kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan untuk menambah pendapatan mereka terutamanya di kawasan bandar merupakan satu lagi kaedah yang bakal memperolehi hasilnya jika dilaksanakan dengan cara cekap dan berkesan.

Di sini, disyorkan dua strategi utama yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar golongan sasaran memperolehi hasilnya. Pertama, dalam usaha untuk memastikan pembangunan kewangan rakyat dengan mempertingkatkan pendapatan rakyat ke kelas tinggi, kerajaan seharusnya bukan sahaja menggunakan strategi pro-pertumbuhan tetapi juga strategi pro-kemiskinan.

Kedua, dalam usaha untuk mempertingkatkan golongan yang berpendapatan rendah serta berada dalam di bawah garis kemiskinan, kerajaan seharusnya menggunakan strategi mobilasi simpanan atau tabungan dan juga memudahkan pinjaman.

Langkah pertama ialah memperbanyakkan strategi-strategi pertumbuhan seperti memperkenalkan pelbagai industri yang bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan negara pada jumlah yang besar.

Strategi-strategi yang bakal digubal mestilah mencapai hasilnya berdasarkan Petunjuk Aras Utama (KPI) ekonomi iaitu pertumbuhan ekonomi mestilah dipertingkatkan kepada sekurang-kurangnya 8 peratus setiap tahun menjelang tahun 2020.

Di samping itu, kerajaan jangan sesekali mengambil mudah strategi-strategi yang pro-kemiskinan. Strategi ini amat penting kerana tiada gunanya negara menjadi negara maju pada tahun 2020, tetapi hasil kemajuan ini hanya dirasai dan dinikmati oleh segelintir golongan penduduk Malaysia.

Oleh itu, perbanyakkan strategi yang pro-kemiskinan tidak kira miskin tegar, miskin bandar atau miskin luar bandar. Semua golongan ini perlu diberi perhatian secukupnya.

Dicadangkan agar kerajaan membantu mereka dengan menggalakkan golongan ini menyimpan dengan cara memberi kefahaman, pendidikan dan kesedaran kepada mereka tentang aspek penyimpanan. Kepentingan tentang perkara ini amatlah penting agar golongan ini memahami cara-cara terbaik untuk menyimpan wang dan tidak mudah meminjam daripada golongan lintah darat seperti ah long.

Kerajaan harus mengunakan pelbagai pendekatan melalui media massa ataupun pelbagai kempen yang boleh dilaksanakan untuk mendidik golongan ini. Paling penting ialah pastikan golongan sasaran ini memperolehi kefahaman yang jitu mengenai aspek-aspek penyimpan, tabungan dan mengurus kewangan.

Seiring dengan ini, mereka haruslah dibantu dengan memudahkan mereka membuat sebarang pinjaman. Aspek paling penting yang perlu ditekankan di sini ialah mengurangkan kos pinjaman, maka peranan institusi kewangan amatlah penting dalam menjayakan strategi ini.

Ini kerana ramai golongan miskin bercita-cita untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi tidak mampu meminjam daripada institusi kewangan kerana dikenakan caj yang tinggi, di samping terpaksa mengharungi proses penapisan yang ketat oleh institusi kewangan.

Ada di antara mereka terpaksa berputih mata walaupun bercita-cita untuk memulakan perniagaan, tetapi apakan daya jika kos pinjaman tidak mampu ditanggung oleh mereka.

Permudahkan segala aspek bagi membolehkan golongan ini berniaga terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kewangan. Jika ini dapat diselesaikan, sudah tentu ramai daripada golongan ini dapat menunjukkan "bakat" mereka dalam dunia perniagaan, seterusnya keluar daripada garis kemiskinan.

Namun, dalam memastikan pembangunan kewangan berada pada tahap mampan dan terbaik melalui strategi pro-pertumbuhan dan pro-kemiskinan, jangan sesekali kita lupa satu aspek yang amat penting iaitu menangani rasuah.

Jika tidak, segala usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan kesemua agenda pembangunan kewangan tidak akan berjaya sama sekali bahkan keadaan akan bertambah buruk lagi dengan bakal menampakkan peningkatan jurang pendapatan yang besar di antara golongan kaya dengan golongan miskin.

Rasuah merupakan halangan paling utama. Maka, semua pihak jangan sesekali berkompromi dengan rasuah jika mahu melihat rakyat Malaysia maju dalam serba serbi terutamanya dari segi ekonomi pada tahun 2020.

Rohami Shafie

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia
Tujuh teori kepimpinan tokoh ternama

TAJUK: Evolusi Kepimpinan 1: Tinjauan Teori-Teori Terpilih

PENULIS: Prof. Khairil Annas Jusoh

PENERBIT: Kasturi Jingga Corporation Sdn. Bhd.

ISBN: 978-983-44810-0-1

PENGULAS: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

TIDAK dapat dipastikan, terdapat berapa banyak teori kepimpinan yang sudah diketengahkan oleh pengkaji bidang ini sehingga kini.

Lazimnya dalam perbincangan mengenai aspek kepimpinan, tiga teori utama sering sering dirujuk dalam menjelaskan bagaimana bermulanya sesebuah kepimpinan.

Teori-teori itu ialah Teori Keturunan (Heriditary Theory), Teori Psikologi (Psychological Theory) dan Teori Ekologi (Ecological Theory).

Namun sesuatu yang pasti, dalam setiap kelahiran dan peninggalan seorang pemimpin dunia yang diiktiraf sumbangannya kepada peradaban sesebuah bangsa, maka akan lahirlah teori kepimpinan yang cuba disesuaikan dengan senario kepimpinan pemimpin tersebut.

Kerana itu juga, teori-teori kepimpinan itu saling berkait rapat dan dipengaruhi oleh banyak faktor. Antaranya era kepimpinan pemimpin berkenaan, bangsa, budaya, ideologi, pengalaman hidup dan banyak lagi.

Namun dalam setiap kajian mengenai teori kepimpinan itu, ia berkongsi satu matlamat atau proses yang sama iaitu untuk mempengaruhi dan mengajak orang lain dalam mencapai sesuatu matlamat.

Ia dicapai oleh seseorang pemimpin hasil gabungan unsur kekuatan diri, kekuasaan dan kemudahan yang dimiliki serta ciri-ciri keperibadian dan kemampuan sosial yang ada.

Dalam teori kepimpinan juga, apa yang kebiasaannya cuba dirungkai ialah dua persoalan utama. Iaitu kenapa seseorang itu menjadi pemimpin dan apa yang membezakannya dengan pemimpin yang lain.

Buku ini juga tidak bergerak jauh daripada dua landasan persoalan utama itu dalam mengangkat teori kepimpinan sebagai intipati perbincangan.

Tujuh teori kepimpinan diketengahkan dan disorot oleh penulisnya menerusi kaca mata pemikiran, pemahaman dan perbandingan sesuai dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki.

Teori kepimpinan itu ialah Teori Lelaki Unggul, Teori Sifat dan Teori Karisma, Teori Transformasi serta Teori Tingkah Laku.

Teori lain termasuk Teori Gaya, Teori Kontigensi dan Situasional, Teori Transaksi dan Teori Kepimpinan Menurut Perspektif Islam.

Sebagai seorang dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman kerjaya yang cukup tinggi, teori-teori kepimpinan barangkali sudah terlalu sebati dalam diri penulis buku ini.

Khairil Anas mewakili tokoh muda yang telah membuktikan keupayaan dalam pelbagai bidang dan disiplin.

Dengan latar belakang pendidikan yang kukuh, beliau mencipta nama dalam bidang kesarjanaan, undang-undang, korporat dan politik selain banyak terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau kini juga merupakan pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain diberi penghormatan dan kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan utama dalam bidang akademik.

Antaranya sebagai Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Kanan Kehormat di Institut Pemikiran Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Najib sendiri berbesar hati menulis kata-kata pengantar atau perutusan untuk buku ini dengan turut menyelitkan sebuah sajak yang dinukilkan beliau sendiri bertajuk Harapan.

Umumnya, apa yang dibincangkan menerusi penerbitan buku pertama daripada empat siri evolusi kepimpinan ini merupakan sesuatu yang lazim dalam konteks perbincangan teori kepimpinan itu sendiri.

Ia seolah-olah membawa pembaca memahami dan mengenali teori-teori kepimpinan yang barangkali tidak banyak diangkat dan diperbincangkan oleh khalayak dewasa ini.

Pentingnya pemahaman mengenai teori kepimpinan ini kerana ia boleh dijadikan panduan dalam menyusun gerak kerja supaya lebih berkesan.

Ia juga memberikan asas dalam menentukan corak kepimpinan yang serba kompleks terutamanya dalam berdepan dengan cabaran kepimpinan pada zaman yang serba maju ini.

Dalam bab perbincangan Teori Sifat dan Teori Karisma misalnya, penulis memperkenalkan pembaca kepada pemula teori klasik Teori X dan Teori Y iaitu McGregor.

Meskipun sudah berusia lebih daripada 50 tahun, kedua-dua teori itu tetap popular dalam memperkatakan tentang aspek kepimpinan.

Malah sehingga kini, ramai pemimpin menilai apa yang dikatakan pemimpin yang baik dan buruk itu berdasarkan Teori X dan Teori Y.

Menerusi bab-bab perbincangan teori kepimpinan lain juga, beberapa nama pengkaji dan pemula teori lain dapat ditemui.

Antaranya James Burns dan Bernard M. Bass yang popular dengan asas Teori Transformasi, David McClelland iaitu pengkaji awal Teori Sifat dan Fred Fiedler pengkaji Teori Kontigensi.

Bagaimanapun di sebalik kupasan mengenai teori-teori asal kepimpinan itu, penulis tetap mencuri ruang untuk memuatkan pandangan dan berbahas dalam ruang lingkup pengamatan sendiri.

Namun apa yang paling mencuri perhatian menerusi buku ini sebenarnya ialah kehadiran tokoh-tokoh ternama sepanjang zaman yang menghiasi kebanyakan helaian muka surat buku ini.

Sekurang-kurangnya terdapat 24 orang individu berpengaruh ditonjolkan oleh penulis berserta dengan penerangan ringkas dalam bentuk nota kaki. Antaranya ialah kelima-lima bekas Perdana Menteri Malaysia serta Najib sendiri.

Pemimpin-pemimpin lain termasuk pengasas Fasisma, Benito Amilcare Andrea Mussolini, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston, Leonard Spencer Churchil, bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino dan Pengerusi Microsoft, Bill Gates.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana pemimpin-pemimpin yang ditonjolkan pada bab yang berbeza itu menepati ciri-ciri teori kepimpinan yang dibincangkan memandangkan tiada pengiktirafan rasmi diberikan.

Namun adalah diyakini, penulis menerusi pengamatan dan kajian beliau, dapat melihat ciri-ciri kepimpinan pemimpin tersebut yang membolehkan mereka diangkat sebagai tokoh bagi setiap teori kepimpinan.
Arah tuju nasionalisme Asia Tenggara

Oleh NOR FARIDAH ABDUL MANAF

ADA dua cara melihat nasionalisme. Pertama ialah nasionalisme sudah mati dan tiada gunanya lagi di dunia tanpa sempadan sekarang dan dalam arus globalisasi yang semakin mengecilkan kita semua. Keduanya, ia masih perlu dan bergantung kepada siapa dan di mana seseorang itu bercakap, nasionalisme adalah satu-satunya jalan keluar dari sebarang bentuk penjajahan atau imperialisme budaya.

Sempena satu simposium yang akan menyentuh antara lain isu tentang nasionalisme di Asia-Pasifik di mana sarjana terkenal Profesor Emeritus Benedict Anderson akan memberi ucaputama, penilis membaca kembali buku terkenalnya (1983), Imagined Communities yang kini telah diterjemahkan ke dalam hampir 40 bahasa dunia dan menjadi bahan rujukan dan teks wajib bagi pelajar-pelajar sains politik, sastera dan sejarah.

Anderson telah lama bersara tetapi masih giat menulis dan memberi ceramah dari satu benua ke satu yang lain. Beliau yang fasih pelbagai bahasa Asia (terutama Bahasa Indonesia) bermula sebagai pelajar, mengkaji hal ehwal Nusantara terutamanya di Indonesia.

Di dalam satu temu bual e-mel baru-baru ini, pandangan beliau telah ditinjau sama ada Nusantara sudah mencapai apa yang beliau impikan selama perjuangannya.

Perubahan politik di Asia Tenggara

Menurut pendapat Anderson, beliau mula jatuh cinta dengan Asia Tenggara terutama sekali Indonesia pada tahun 1962, hampir 50 tahun yang lampau.

Ketika itu impian Nusantara terutamanya Indonesia sangat berlainan dengan aspirasi-aspirasi yang ada sekarang. Di zaman itu gelora revolusi masih terasa, semangat nasionalisme sangat tinggi, cita-cita sosialisme disanjung, slogan sama rata sama rasa masih kukuh.

Pada pendapat Anderson, impian-impian ini tidak tercapai. Sekarang "revolusi" dianggap aneh dan kuno, semangat nasionalisme terus dipersoalkan, sosialisme dibakul-sampahkan, parti politik haluan kiri juga tidak ada, pertentangan antara kelas-kelas amat ketara dan kuasa oligarki seperti wujud tanpa nama.

Anderson kemudiannya membuat perbandingan antara Sukarno dan Megawati. Bagi Anderson, Megawati yang mengaku mewarisi idea-idea politik bapanya sebenarnya tidak mengerti idea-idea itu, juga tidak mengambil berat mengenainya.

Anderson berpendapat oligarki adalah musuh utama mana-mana politik dan melihat kekuatan kuasa di dalam politik Dunia Ketiga sebagai sesuatu kuantitatif dan penyebaran semangat nasionalisme bergantung banyak kepada kekuatan dan pengaruh media.

Sering kali asasinasi karektor perlu dan ini berlaku kepada ramai pemimpin Asia-Tenggara termasuk Sukarno. Dari seorang pemimpin yang disanjung oleh rakyat dan media, dia akhirnya musnah dengan pelbagai cerita wanita, seks dan korupsi.

Di Thailand pula pernah satu ketika Jeneral Prem yang menjadi Perdana Menteri Thailand hampir 10 tahun lamanya dituduh sebagai seorang homoseksual tetapi disebabkan suasana politik yang agak tenang, beliau tidak dibicarakan.

Apabila diusulkan kepada Anderson, asasinasi karektor sebegini tidak terhad kepada rantau Asia kerana di Amerika Syarikat juga berlaku kontroversi sedemikian, beliau bersetuju.

Persoalannya, sejauh mana strategi ini mampu bertahan di saat-saat kita hidup di tengah-tengah dunia maya yang tiada batas kerana kita boleh memilih "kebenaran" daripada pelbagai sumber terutama media alternatif.

Anderson berpendapat Amerika dan Eropah melihat Indonesia sebagai negara yang paling demokratik di kalangan negara ASEAN. Sebahagiannya kerana akhbar dan televisyen yang relatif terbuka, ekonomi yang tidak lagi bankrap dan penglibatan banyak parti dalam pilihan raya umum negara itu.

Secara peribadi, Anderson melihat masih banyak yang boleh diperbaiki kerana gelombang reformasi semakin surut, korupsi semakin bermaharajalela, undang-undang menjadi bahan ketawa banyak golongan, universiti-universiti sebahagian besar cuma berfungsi sebagai "kilang ijazah".

Anderson berpandangan suasana di Malaysia jauh berbeza dan ini menarik perhatiannya sebagai seorang pengkaji rantau ini.

Sastera sebagai simbol nasionalisme

Anderson di dalam bukunya Imagined Communities melihat sastera dan simbol-simbol kenegaraan yang lain itu sebagai perlu diadakan bagi membolehkan konsep kenegaraan dan semangat nasionalisme.

Bagaimanapun beliau berpendapat, kekitaan dan kenegaraan itu tidak semestinya berdasarkan kepada satu bahasa sahaja.

Semangat nasionalisme dan kenegaraan boleh dirasai di dalam apa bahasa sekali pun kerana yang merasai "kekitaan" itu adalah perasaan kita atau "imaginasi" kita. Jadi bagi Anderson, satu andaian yang silap untuk melihat sesebuah negara itu mesti berdasarkan satu bahasa.

Apabila ditanya mengenai perbandingan pencapaian sastera Indonesia dan Malaysia di mana penulis melihat Malaysia masih terlalu jauh di belakang Indonesia dalam menghasilkan karya-karya yang benar-benar hebat, Anderson berkata ini mungkin perbezaan pengalaman dan latar belakang etnik Indonesia yang lebih pelbagai daripada Malaysia.

Ini membolehkan Indonesia menghasilkan karya-karya yang lebih tragis berbanding dengan karya-karya Malaysia. Malangnya, rakyat Nusantara masih tidak mengenali di antara satu sama lain sehingga menjadi satu lelucon mengenai apa sahaja yang dikongsi bersama oleh Indonesia dan Malaysia.

Hubungan ASEAN sesama sendiri mungkin lebih baik sekarang dari sebelumnya memandangkan di Malaysia, filem-filem dan muzik-muzik Indonesia mendapat sambutan hangat.

Banyak karya pengarang-pengarang Indonesia menembusi pasaran Malaysia. Namun begitu, sangat sedikit hasil karya-karya Malaysia menembusi pasaran Indonesia.

Apa pendapat Anderson tentang ketidakseimbangan sebegini? Menurutnya, ini satu fenomena biasa bagi negara-negara yang merasakan mereka lebih besar.

Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, India, Republik Rakyat China, Brazil dan Indonesia biasanya sangat narsisis, suka memikirkan tentang halnya sendiri dan tidak mempedulikan dunia luar kecuali jika kepentingan-kepentingan mereka tergugat.

Sekiranya membaca akhbar-akhbar di negara-negara ini, 86 peratus berita adalah mengenai diri sendiri.

Ini tidak berlaku bagi negara-negara yang lebih kecil yang akan mempunyai minda yang jauh lebih terbuka.

Sikap Indonesia terhadap Malaysia begitulah, menurut Anderson. Begitu juga halnya antara Filipina dan Singapura.

Apa sebenarnya sedang berlaku di Asia Tenggara?

Anderson berpendapat faktor utama adalah jurang yang semakin runcing antara yang kaya dan miskin. Kita perlu mengkaji Gini coefficient (ukuran statistik mengenai ketidak-samarataan kaya-miskin rakyat sesebuah negara).

Menurut Anderson, jurang ini sangat besar di rantau ini. Masalah yang ditimbulkan oleh orang kaya baru juga menjadi satu isu kerana ada kecenderungan untuk menjadi rakus dan tidak bertanggungjawab. Di Thailand misalnya, sikap suka menghina dan sombong semakin ketara.

Anderson memberikan satu contoh di mana kubu "baju kuning" terang-terang berkata di corong mikrofon bahawa rakyat sebahagian besarnya bodoh dan seharusnya tidak berhak mengundi dalam pilihan raya umum.

Menurutnya, neofeudalisme sangat subur. Dalam menangani situasi sebegini, hanya ada dua kemungkinan untuk oligarki: tetap utuh atau pecah dengan sebahagian mereka ingin menggunakan kemarahan rakyat untuk berkuasa. Ini berlaku di Thailand tetapi belum di Indonesia.

Anderson mengingatkan bahawa oligarki juga boleh luntur apabila sesebuah kerajaan itu terlalu lama berkuasa, tiada idea baru dan hasilnya hanya tinggal kerakusan dan sinisme.

Simposium mengenai budaya dan sastera Asia Pasifik akan dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 20-23 November 2009. Sila emel ke Faridah.Manaf@gmail.com untuk maklumat lanjut.

(RENCANA ini adalah hasil perbincangan e-mel antara Prof. Madya Dr. Nor Faridah Abdul Manaf dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Prof. Emeritus Benedict Anderson dari Cornell University, New York.)
Minda Pengarang: Usah sesekali diroboh perpaduan kaum terbina sejak 52 tahun

HARI ini kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dan formula atau rahsia yang mendasari kejayaan negara selama ini ialah perpaduan rakyat pelbagai kaum. Justeru, apa jua tindakan melampau yang membatasi sempadan kaum dan agama, perlu dielakkan bagi memastikan segala perancangan pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti dinikmati sepanjang 52 tahun lalu, dapat terus dikecapi untuk tahun-tahun mendatang. Sebab itulah kita sedih apabila berlaku tunjuk perasaan di pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu, bagi membantah pemindahan kuil ke Seksyen 23 di situ. Mungkin elok isu ini dibincangkan terlebih dulu di kalangan penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian. Jika ini dilakukan, perkara seperti tunjuk perasaan membawa simbol berkaitan sesuatu agama tertentu itu tidak akan berlaku. Jika benar, penunjuk perasaan itu sudah beberapa kali menulis surat kepada kerajaan Selangor bagi menyuarakan bantahan mereka, maka elok Menteri Besarnya mencari jalan terbaik untuk menemui mereka terbabit. Segala rasa tidak puas hati atau bantahan boleh dipertimbangkan dalam pertemuan itu. Bagaimanapun, tunjuk perasaan oleh sekitar 50 orang Jumaat lalu, diadakan tiga hari menjelang Hari Kebangsaan. Kumpulan berkenaan mendakwa penduduk di Seksyen 23 membantah pemindahan kuil yang kini terletak di Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka. Bagaimanapun, lokasi yang disediakan untuk pemindahan kuil oleh kerajaan Selangor mungkin tidak sesuai kerana majoriti penduduk di kawasan itu beragama Islam dan semua ini perlu diselesaikan secara baik, bukan melampau.

Sepatutnya, dalam sebuah negara majmuk, tuntutan melampau, tanpa mengira kaum atau fahaman politik, tidak harus diadakan kerana kesannya boleh mengganggu ketenteraman awam. Malah, kerajaan boleh mengguna pakai undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap mereka terbabit. Kalau terbukti ada dalang yang menghasut di belakang insiden itu, kerajaan tidak perlu tunggu lama, tangkap mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tanpa mengira apa kedudukan mereka. Jika kerajaan berlembut, maka tindakan seperti itu akan berulang pada masa depan. Negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunakan terhadap pihak yang sengaja melakukan tindakan menyentuh sensitiviti sesuatu agama dan kaum seperti kes yang berlaku di Shah Alam itu. Kita berharap kepada sesiapa saja, supaya mengelak daripada mencetuskan isu sensitif dan kita harus mengutamakan keselamatan rakyat dan keamanan negara yang berbilang kaum. Polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang menjejaskan prinsip itu tidak kira kaum atau agama. Apa yang kita harapkan ialah isu yang dibangkitkan penduduk Seksyen 23 Shah Alam itu dapat diselesaikan segera. Ini penting bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang dan mencetuskan pertembungan kaum atau agama hingga memusnahkan keharmonian serta perpaduan rakyat yang sudah dipupuk sejak 52 tahun lalu.
Penjajahan nafsu musnah kemerdekaan

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my

Ramadan masa sesuai rakyat tingkat semangat patriotisme

WALAUPUN sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya kerana jatuh pada bulan puasa serta ancaman wabak selesema babi (H1N1), ia tidak seharusnya menghalang kita daripada merenung sejenak erti sebenar kemerdekaan.

Malah, ketiadaan acara berbentuk hiburan dan pesta, yang digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid serta upacara kesyukuran di tokong, kuil dan gereja menjelang ketibaan ambang kemerdekaan malam tadi, dilihat lebih bermakna kerana ia menterjemahkan sambutan itu dalam bentuk kesedaran, penghayatan dan kesyukuran.

Cuti umum dan laungan merdeka semata-mata tentu tidak membawa sebarang makna jika rakyat, terutama generasi muda gagal menghayati nilai kemerdekaan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata oleh nenek moyang kita dulu.

Dari segi usia, 52 tahun adalah angka yang melepasi tempoh kematangan dan kepada sesetengah orang sudah mencapai tahap kebijaksanaan. Bagaimanapun, sebagai sebuah negara yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama, apakah kita sudah benar-benar matang selepas 52 tahun merdeka?

Jawapannya tentulah tidak jika pelbagai perkembangan, terutama dalam bidang politik, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan ukuran. Insiden bantahan pembinaan kuil di Shah Alam adalah contoh terbaru betapa masih jauhnya kita, sebagai rakyat negara yang sudah 52 tahun merdeka, mencapai kematangan.

Wawasan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, untuk melihat Malaysia sebagai model sebuah negara demokrasi yang rakyatnya pelbagai kaum hidup dengan penuh harmoni, masih jauh untuk dicapai. Kerana itulah, antara langkah pertama Datuk Seri Najib Razak lakukan apabila menjadi Perdana Menteri ialah memperkenalkan konsep 1Malaysia.

Melihat sejarah tamadun bangsa yang maju, perjalanan kita sebagai satu bangsa merdeka dalam erti kata sebenar, masih jauh. Kita hanya merdeka daripada penjajahan dan penaklukan secara fizikal, tetapi penjajahan bentuk baru berlaku tanpa disedari.

Penjajahan minda, budaya dan ekonomi semakin berleluasa kerana globalisasi menjadikan dunia lebih sempit dan negara-negara merdeka semakin terhimpit. Rakyat yang kurang semangat patriotisme mudah dipengaruhi untuk melakukan perkara yang boleh mengancam semangat kemerdekaan dan perpaduan rakyat.

Kita belum merdeka sepenuhnya dari segi psikologi kerana ramai antara kita yang tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang serta cepat mengalah. Sebaliknya, ramai yang suka mencari jalan mudah sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri untuk mencapai sesuatu matlamat, baik di alam pekerjaan, perniagaan atau pun politik, fitnah, tuduh menuduh dan saling jatuh menjatuh tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara, pastinya bukan mencerminkan budaya satu bangsa yang merdeka dalam erti sebenar.

Hakikatnya, ramai daripada kita belum merdeka dari segi nafsu sehingga terlupa tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Kerana dijajah nafsulah, ramai yang mempunyai kuasa, menyalahgunakannya untuk memenuhi kepentingan diri dan kelompok.

Mereka yang belum ada kuasa tetapi bernafsu untuk berkuasa pula menggunakan pelbagai taktik kotor, tanpa mengira kesannya kepada perpaduan rakyat dan kedaulatan negara. Begitu juga dengan mereka yang sudah kehilangan kuasa, tetapi masih bernafsu untuk berkuasa.

Jika pemimpin politik bebas daripada penjajahan nafsu ini, tentunya krisis terbaru dalam MCA sekarang dan kemelut tanpa berkesudahan politik Terengganu yang muncul lagi minggu lalu, tidak berlaku. Begitu juga dengan pelbagai kemelut politik yang berlaku sejak pilihan raya umum lalu.

Sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini yang jatuh pada Ramadan, bulan bagi umat Islam menentang nafsu, adalah peluang terbaik kepada kita untuk membuat ikrar baru perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu. Sama seperti penjajahan minda dan budaya, penjajahan nafsu juga boleh memusnahkan kemerdekaan negara yang dicapai 52 tahun dulu.
Cakap-Cakap

BILA dengar ada pihak membantah pembinaan rumah ibadat untuk kaum India di Seksyen 23, Shah Alam, Jumaat lalu, Mamat dah agak ini isu berat. Mereka bukan saja berarak tapi juga melakukan perbuatan yang boleh menyinggung perasaan penganut agama lain. Kalau kita membantah sekali pun, biarlah dengan tidak menyinggung perasaan orang lain. Biarlah kita menjadi umat yang dihormati.

Mamat - buat jahat jangan sekali
Minda kita belum merdeka selepas 52 tahun

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


PERJUANGAN pemimpin terdahulu mencapai kemerdekaan sepatutnya menjadi pembakar semangat kepada generasi hari ini.

Minda kita belum merdeka selepas 52 tahun

HARI ini genap 52 tahun negara kita merdeka dan sepanjang tempoh itu, pembangunannya amat pesat dalam pelbagai aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan kemasyarakatan hinggakan negara luar kagum dengan keupayaan Malaysia.

Perjuangan pemimpin terdahulu menggapai kemerdekaan, pada tanggal 31 Ogos itu tidak pernah dilupakan serta terus menjadi nostalgia manis terhadap kegemilangan sejarah tanah air, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada generasi pasca merdeka untuk mengisi erti kemerdekaan itu.

Pada masa sama definisi merdeka tidak seharusnya jumud dan tertumpu kepada erti kebebasan daripada belenggu penjajah, sebaliknya perlu dirungkai secara menyeluruh dalam pelbagai ruang kehidupan.

Justeru, dalam meniti arus kemerdekaan itu, banyak pencapaian diperoleh dan bidang diterokai dengan rangka kerja yang komprehensif dalam pelbagai aspek sehingga nama Malaysia menjulang di persada antarabangsa.

Tetapi sudahkah merdeka minda kita?

PEMBANGUNAN ekonomi negara boleh dibanggakan, malah antara termaju di Asia Timur.

Bagi Pensyarah Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, kemerdekaan dalam erti kata lain adalah negara yang bebas daripada segala bentuk penaklukan termasuk minda.

Pada alaf baru, iklim dan corak pemikiran lama harus dibenamkan serta digantikan dengan semangat inginkan pembaharuan supaya sebarang perancangan untuk meningkatkan pembangunan negara tidak terganggu dengan pemikiran negatif.

Jika dilihat perubahan minda khususnya dari segi senario politik di negara ini, Ahmad Nidzamuddin berkata, kita masih konservatif dengan berpegang kuat pada asas budaya sehingga takut untuk membawa transformasi secara besar-besaran.

Katanya, dengan sikap yang tidak begitu terbuka itu menampakkan seakan ada budaya kebimbangan untuk menghadapi sebarang risiko bagi melakukan perubahan.

"Bagaimanapun, saya percaya minda yang agak statik adalah disebabkan berada di persimpangan untuk memenuhi atau menjaga hak kepentingan masing-masing berikutan negara dihuni oleh masyarakat majmuk," katanya.

Bagaimanapun, ledakan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih nampak ketara dan rakyat turut terpalit dengan mendapatkan apa saja maklumat tanpa sempadan.

Katanya, sepanjang 52 tahun merdeka, dari sudut penyebaran maklumat dianggap sebagai pencapaian yang drastik dan ini menjadikan minda mereka lebih terdedah dari segi penerimaan idea lain.

Cuma, berikutan kepesatan ICT itu juga menyebabkan wujudnya pertembungan pemikiran antara generasi lama dan muda kerana lebih terdedah kepada banyak sumber berkenaan.

"Dari segi sosiobudaya, masyarakat juga dilihat agak positif dan seimbang, tidak seteruk berbanding 13 Mei 1969 lalu. Jika dulu cakap saja Kepong orang menggambarkan ia kawasan Cina; Brickfields (India) dan Kampung Baru (Melayu). Hubungan interaksi antara kaum semakin baik," katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan 1Malaysia adalah wawasan tambahan Perdana Menteri untuk mewujudkan satu perasaan saling menghormati, bekerjasama dan mempererat hubungan antara kaum dengan masing-masing tahu hak mereka.

Cuma dalam mengisi erti kemerdekaan itu juga usaha 1Malaysia mampu menghilangkan banyak pemikiran negatif termasuk rasa terpinggir antara bangsa.

Sementara itu, Sejarawan, Prof Emiritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, menganggap minda masyarakat negara khususnya mengenai pembinaan bangsa negara masih gagal mencapai tahap diharapkan dan tidak wujud nilai murni walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Kepincangan itu adalah berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang menekankan kepada aspek pengkajian, pemahaman dan penghayatan terhadap subjek sejarah itu sendiri.

"Sistem pendidikan sekarang juga amat lemah dan cuai dalam penyediaan rangka sukatan pelajaran. Tambah buruk lagi apabila generasi ini terdedah kepada pengaruh luar. Sepatutnya sukatan pelajaran itu digubal semula di samping menyediakan buku sejarah dengan fakta yang betul.

"Buku sejarah yang ada ditulis oleh orang yang tidak mengkaji sejarah Malaysia secara keseluruhannya. Ini menyebabkan pemikiran generasi muda tidak diberi maklumat benar. Bagi saya, keadaan ini belum terlewat kerana setiap 20 hingga 30 tahun akan datang, wujud lagi generasi baru.

"Generasi ini yang perlu ditumpukan mengenai aspek kenegaraan untuk membawa kepada pembinaan sebuah bangsa yang dinamis," katanya.

Beliau menambah, ramai masyarakat yang masih bersifat ganjil, lebih mengutamakan diri sendiri, tidak begitu faham terhadap negara merdeka dan apa itu kerakyatan.

Malaysia, memang jauh lebih aman dan damai dengan penduduknya dilihat hidup bersatu padu serta saling memahami antara satu sama lain, namun dari segi pembinaan bangsa tidak begitu menyerlah.

Malah, negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia lebih mendahului Malaysia dalam aspek ini.

"Vietnam umpamanya, selepas saja tamat perang dengan Amerika Syarikat, mereka menanamkan keazaman untuk menjadi bangsa yang kuat. Begitu juga dengan Indonesia, dulu nampak mereka terkebelakang daripada kita, tetapi sekarang mereka mengejar Malaysia," katanya.

Namun bagi Malaysia, pembangunannya boleh dibanggakan. Misalnya, dalam pembangunan sektor ekonomi, negara bukan saja mampu menaikkan taraf hidup rakyatnya, malah antara yang termaju di Asia Timur walaupun hampir semua negara kini dihambat oleh krisis ekonomi global. Dalam sesetengah bidang Malaysia tidak lagi menjadi jaguh kampung.

Dalam bidang sukan, nama seperti Datuk Nicol David, terus gah sebagai pemain skuash nombor satu dunia yang digeruni, manakala Datuk Lee Chong Wei (badminton). Episod baru turut tercatat apabila kita menghantar angkasawan pertama, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, meneroka ke angkasa lepas, pada Oktober 2007 (sembilan hari berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa).

Justeru, sempena Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", dianggap pelengkap kepada aspirasi dan visi negara untuk terus mencipta nama.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai kesinambungan ke arah memantapkan lagi kegemilangan Malaysia di samping mampu mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu serta mempunyai semangat patriotisme berpandukan kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Namun, dalam tempoh lima dekad itu, sejauh mana pengisian kemerdekaan dicapai termasuk dari aspek pembangunan dan perubahan minda rakyat. Sudah majukan pembangunan minda kita?

Antara gagasan universiti taraf dunia, cabaran siswazah bidang kerjaya

Oleh Dr Anuwar Ali

IPT perlu hasil graduan penuhi tuntutan industri elak lambakan sesuatu jurusan

KETIKA ditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970, matlamat yang tertulis sangat mudah tetapi sarat dengan makna yang cukup simbolik � bagaimanakah memberikan pendidikan peringkat universiti kepada orang Melayu khasnya serta memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

UKM bermula dengan penuh kesederhanaan, tetapi berkembang dengan pesat daripada tiga fakulti kepada 12 fakulti dan 14 pusat penyelidikan sehingga hari ini. Kini UKM berjaya menghasilkan kira-kira 131,000 siswazah dalam pelbagai bidang.

UKM melihat barisan kepemimpinan yang datang dan pergi. Mereka semua mempunyai pemikiran dan dedikasi sama, iaitu mendokong hasrat murni penubuhan asalnya. Persoalannya sekarang ialah sejauh manakah universiti ini berjaya memenuhi aspirasi asal penaja UKM?

Semua Naib Canselor, mencuba sedaya upaya untuk memenuhi aspirasi itu dengan pelbagai pendekatan baru dalam corak tadbir urus dan pengurusan akademik, termasuk penstrukturan semula fakulti dan pentadbiran universiti, mewujudkan semangat kekitaan, disiplin dan akauntabiliti akademik serta mendekati pelajar, semuanya tanpa lari jauh daripada matlamat asal penubuhan UKM.

Saya melihat kejayaan sesebuah universiti terletak pada kualiti tenaga akademiknya, pengurusan dan kepemimpinannya; dan seterusnya mutu graduannya. Sejauh manakah unggulnya graduan yang sudah diasuh untuk menghadapi dunia sebenar di luar sana?

Itulah tanggungjawab sosial yang amat penting sebagai sebuah universiti � mengeluarkan graduan yang berdaya tahan, berinisiatif dan mampu bersaing.

Kerunsingan masyarakat, ibu bapa dan lebih-lebih lagi graduan ialah mengapa ramai graduan gagal mendapat tempat dalam dunia pekerjaan, terutama dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh dunia sekarang.

Kadar pengangguran di Malaysia pada suku pertama 2009 adalah empat peratus, suatu peningkatan yang tinggi berbanding 3.2 peratus pada 2008. Jumlah graduan bagi 2008 adalah sekitar 150,000 dan 80,000 adalah graduan universiti awam. Laporan kajian pengesanan pelajar bagi 2008 mendapati 21.7 peratus graduan universiti awam masih tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Apakah ini suatu kesilapan bagi universiti?

Sebenarnya kebolehpasaran graduan itu bukan terletak pada universiti tempat mereka belajar semata-mata. Nasib graduan ditentukan ciri-ciri lain, termasuk kelemahan ekonomi untuk menyerap semua graduan, terletak pada diri graduan itu sendiri serta perwatakan sosial seperti ketrampilan, kemahiran berinteraksi dan bekerja dalam satu pasukan, kemampuan berfikir secara kritikal dan mempunyai daya tahan tinggi.

Keyakinan diri juga menjadi ciri yang dinyatakan. Tidak boleh juga menyalahkan graduan sepenuhnya kerana mereka melalui proses pembelajaran yang panjang dan membentuk acuan sedemikian rupa.

Asasnya, bagi dunia pendidikan tinggi, suatu ironis berbicara mengenai universiti bertaraf dunia, jika sejumlah besar graduannya terumbang ambing dalam pasaran pekerjaan. Di manakah peranan universiti untuk menghasilkan pelajar yang sedia memasuki pasaran dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang tinggi nilai peribadinya.

Justeru, universiti mempunyai peranan yang kritikal dalam menghasilkan graduan sedemikian rupa. Mahu tidak mahu, universiti harus menghasilkan graduan mengikut keperluan industri atau pasaran kerja bagi mengelakkan penghasilan graduan yang melebihi dalam sesuatu bidang.

Dalam merancang perkembangan universiti, kita mesti mengambil kira produk atau hasilnya terlebih dulu, iaitu dalam bentuk tenaga manusia yang boleh menyumbang kepada keupayaan sesebuah negara. Dalam konteks UKM, tugas dan tanggungjawab yang dipikul adalah amat rumit dan penuh dengan pelbagai cabaran.

Kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini, sentiasa peka dan berwaspada serta meletakkan keutamaan kepada teras yang dihasratkan oleh penaja UKM zaman silam. Tanggungjawab itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk graduan yang dibekalkan dengan cara berfikir dan perwatakan yang membolehkan mereka mampu menghadapi apa juga keadaan dengan tenang dan penuh bijaksana. Bak kata pepatah 'kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.'

Jika universiti dapat memenuhi tuntutan ini, maka akan terzahirlah konsep kecemerlangan akademik yang sebenar. Penekanan seimbang haruslah diberikan antara pembentukan sebuah universiti 'bertaraf dunia,' dengan tanggungjawab membentuk sahsiah dan perwatakan unggul pada diri graduan.

Universiti akan dianggap gagal seandainya sehelai kertas yang dipanggil ijazah itu tidak dipamerkan dengan perwatakan murni graduan yang diperlukan dalam tamadun bangsa dan tanah air. Cabaran yang akan terus dihadapi oleh pimpinan akademik ialah bagaimanakah kita menangani masalah graduan menganggur yang semakin ramai saban tahun.

Adakah perlu kita membuat perubahan dari dalam, pada corak tadbir urus dan pedagogi pengajaran, atau mengalih penekanan kepada keperluan pelajar yang mahukan proses pembelajaran yang mantap, atau perlukah kita merenung kembali sejauh manakah sebenarnya yang sudah dicapai, sama ada pencapaian itu menepati agenda kebangsaan dan negara Malaysia, atau sebaliknya?

Memimpin universiti amat besar cabaran dan tuntutannya. Saya mengharapkan terbentuklah generasi pemimpin akademik yang ikhlas serta jujur untuk memenuhi tuntutan ini sepanjang zaman dan beliau yakin, dengan disiplin yang mantap serta keyakinan yang tinggi, kakitangan akademik serta warga UKM akan mencapai kecemerlangan seterusnya.

(Sedutan ucap balas penerimaan gelaran Profesor Emeritus, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali, Presiden/Naib Canselor OUM pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-37 di UKM Bangi 16 Ogos lalu)
Detik sukar dilupakan

Industri hiburan dan sukan berkembang baik ketika itu. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam sukan antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis.




APABILA menyebut tentang zaman darurat, pasti fikiran kita melayang memikirkan penderitaan kehidupan penduduk Tanah Melayu sepanjang detik hitam itu.

Tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik ketakutan penduduk yang bimbang menjadi mangsa keganasan anggota Parti Komunis Malaya (PKM), tersembunyi cerita sebuah kehidupan yang biasa dan tenang.

Memanglah tempoh darurat yang panjang dari tahun 1948 sehingga 1969 banyak menyimpan kisah duka. Tetapi hakikatnya, sepanjang detik itu juga, penduduk Tanah Melayu masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim, 72, bercerita tentangnya.

Dilahirkan di Kampar, Perak, Kay Kim memberitahu, ramai orang yang salah anggap mengenai zaman darurat.

"Bila orang sebut zaman darurat, mereka beranggapan rakyat ketika itu hidup perit dan menderita. Tetapi sebenarnya tidak.

"Mungkin di pinggir-pinggir bandar, saya akui hidup mereka sukar dan terdedah dengan ancaman komunis, tetapi jika ditinjau kehidupan di bandar-bandar besar, kehidupan mereka tidak terjejas dan penduduk menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.


SETIAUSAHA Tanah Jajahan, Alan Lennox Boyd (kiri) menandatangani perjanjian yang dicapai dalam perundingan merdeka dengan Tunku Abdul Rahman di London.


Menurutnya, sungguhpun ketika itu zaman darurat, masih terdapat pelbagai hiburan dan pertandingan sukan yang diadakan di bandar-bandar.

"Malah, pada awal tahun 1949, Tanah Melayu berjaya menjadi juara dunia badminton. Pelbagai pertandingan sukan yang lain turut muncul seperti bola sepak, ragbi, hoki, kriket dan olahraga," ujarnya kepada Kosmo!.

Ceritanya lagi, penduduk di bandar-bandar besar pada masa itu juga sudah didedahkan dengan tarian opera Cina, pertunjukan bangsawan, kabaret dan joget.

"Industri hiburan dan sukan berkembang baik ketika itu. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam sukan antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis. Tiada sabotaj dilakukan oleh pihak komunis sepanjang pertandingan sukan diadakan.

"Saya sendiri tidak berasa takut untuk menunggang basikal dari rumah ke bandar untuk bermain bola sepak," katanya yang merasai pengalaman perkembangan sosioekonomi zaman darurat semasa berumur 15 tahun.

Namun sebaliknya kisah yang ingin disampaikan oleh Lt. Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said.


KEBEBASAN sukar dinikmati apabila banyak sekatan jalan dan pemeriksaan terpaksa dilakukan bagi melumpuhkan kegiatan komunis ketika darurat.


Zaini bercerita, selepas dua tahun kelahirannya, Tanah Melayu diisytiharkan darurat (1948 - 1960). Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah Tanah Melayu apabila berlakunya peperangan terbuka di antara kerajaan dan PKM.

Sepanjang tempoh itu, komunis begitu bermaharajalela. Mereka menawan dan menguasai kawasan-kawasan tertentu untuk dijadikan markas bagi menyerang tentera kerajaan.

Justeru itu, banyak sekatan jalan raya diadakan oleh tentera British bagi melumpuhkan pergerakan komunis.

"Bayangkan, hampir setiap jalan pada masa itu dikawal dan ada sekatan. Penduduk yang ingin melaluinya diperiksa seperti seorang pesalah. Dalam suasana dan keadaan seperti itu, penduduk hidup dalam ketakutan," katanya.

Zaini memberitahu, ayahnya yang bekerja kampung mula mendaftarkan diri menyertai unit anggota polis yang dahulunya dikenali sebagai Police Depot untuk memperjuang dan mempertahankan Tanah Melayu.

"Keluarga saya kemudiannya berpindah ke kuarters polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur," tambahnya.


GAMBAR kenangan potret keluarga besar Datuk Seri Zaini Mohd. Said yang diambil dari album keluarga.


Lelaki yang pernah menyandang jawatan Panglima Medan Tentera Darat itu berkongsi perihal hidupnya sempena Hari Kemerdekaan ke-52 tahun yang disambut hari ini di seluruh negara.

Mengenang kisah zaman penjajahan Inggeris, katanya, ketika itu orang Melayu terpaksa tabik, tunduk dan berasa takut apabila berdepan dengan orang putih.

Anak sulung daripada 10 adik-beradik itu juga memberitahu, pada tahun 1956, beliau semakin bijak melihat dan menafsir keadaan Tanah Melayu ketika itu.

Zaini mula merasa marah dan mual dengan pemerintahan orang putih di Tanah Melayu walaupun pihak komunis ketika itu banyak yang telah berundur.

"Sungguhpun ketika itu, saya baru berusia 10 tahun tetapi kemarahan tetap berbuku di dalam hati. Saya marah melihat orang Melayu dijajah. Jadi, apabila tanggal 31 Ogos 1957 iaitu detik Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, saya berasa amat gembira melihat titik perubahan itu.

"Sebenarnya, setahun sebelum mencapai kemerdekaan, saya sudah mendengar ura-ura yang mengatakan bahawa Tanah Melayu bakal mencapai kemerdekaan.


PIHAK polis dan tentera sanggup berkorban nyawa demi maruah Tanah Melayu.


"Saya sudah dengar mengenainya di corong-corong radio apabila deejay menyebut nama Tunku Abdul Rahman. Ketika itu, timbul perasaan seronok dan ada harga diri.

"Sebelum merdeka, penduduk Tanah Melayu hidup seperti orang kerdil yang tunduk kepada orang putih," ceritanya yang mula menyertai tentera pada umur 19 tahun.

Apa pula cerita yang mahu dikongsi oleh Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, 59, mengenai zaman darurat dan era kemerdekaan Malaysia.

"Apabila komunis angkat senjata, tentera British mula merangka dan melancarkan strategi bagi menghapuskan komunis.

"Rancangan Briggs dilancarkan oleh Sir Henry Gurney pada pertengahan tahun 1950," kata wanita yang dilahirkan di Tanjung Keling, Melaka.


ZAINI asyik bercerita tentang pengalaman sebelum merdeka di rumahnya di Kajang, Selangor.


Ujarnya, tindakan itu dilakukan bagi menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan supaya tidak sampai kepada anggota PKM.

Selain itu, katanya, penduduk Cina yang tinggal di kawasan terpencil dan bertaburan di merata tempat dipindahkan untuk ditempatkan di Kampung Baru. Langkah itu diambil bagi mengelakkan mereka diugut oleh pihak komunis untuk mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

"Kampung-kampung baru itu dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan.

"Bukan setakat itu sahaja, tentera British juga banyak melakukan sekatan jalan raya bagi melumpuhkan pergerakan komunis," katanya.

Bercerita tentang keganasan yang dilakukan komunis ketika itu, Ramlah memberitahu, kebanyakan penduduk yang tinggal di kampung dan pinggir bandar sentiasa menerima ancaman komunis.

"Pihak komunis melakukan huru-hara dengan membakar kampung-kampung kecil. Mereka juga mengadakan sekatan jalan, menahan dan membakar bas serta merampas barang berharga penduduk.

"Malah, banyak penduduk di luar bandar dipujuk supaya menyertai komunis," katanya.

Mengenai detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau yang masih bersekolah rendah ketika itu sempat melihat persiapan kemerdekaan di bandar-bandar.

"Saya ikut ayah ke pekan dan lihat banyak bendera dipasang di bangunan.

"Di sana dan sini terdengar laungan kemerdekaan, baik di corong radio mahupun perbualan sesama penduduk," katanya yang ketika itu turut merasai keseronokan dan kemeriahan kemerdekaan apabila sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Keling, Melaka turut menyambut hari kemerdekaan dengan penuh meriah.

Menggeletar ketakutan

“CIKGU, buka pintu ni. Boleh tolong baiki motor saya yang rosak?” satu suara lembut diiringi ketukan kuat bertalu-talu pada pintu rumah Musa Arshad pada pukul dua pagi memecah hening Subuh.

Peristiwa itu berlaku tidak lama selepas berakhirnya penjajahan Jepun pada Ogos 1945.

Anak perempuan Musa, Rosdiah, yang ketika itu sedang memadam lampu damar baru sahaja selesai menikmati makanan sahur bersama suaminya, Said Amin.

Pada masa itu, umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan al-Mubarak.

Terkejut dengan ketukan yang kuat, Rosdiah pantas berlari mendapatkan suaminya di dalam bilik. Tubuh Rosdiah menggeletar ketakutan semasa dia mengejutkan si suami.

Said menyuruh isterinya bertenang dan tanpa berlengah, Said terus mengintai di celah-celah ruang rumah. Ketika itu, dia ternampak ramai orang bertopikan bintang tiga sedang mengepung rumah bapa mentuanya, Musa.

Said sedar kedatangan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) itu adalah untuk memburu Musa yang merupakan bekas guru yang pernah bekerja dengan Jepun.


DATUK SERI ZAINI MOHD. SAID


Bagaimanapun, Musa yang turut dikenali dengan kemahirannya membaiki motosikal sudah lari menyelamatkan diri ke rumah ibunya terlebih dahulu kerana sedar dirinya akan menjadi sasaran komunis.

Tinggallah Said dan Rosdiah yang baru sebulan berkahwin bersama dua orang adik Rosdiah yang masih kecil di rumah Musa di Kampung Sungai Machang, Ulu Lenggeng, Negeri Sembilan.

“Waktu itu Jepun sudah kalah dan berundur. Tentera British belum lagi kembali ke Tanah Melayu. Tidak ada yang berkuasa di Tanah Melayu melainkan komunis,” cerita Datuk Seri Zaini Mohd Said, 63.

Zaini menceritakan pengalaman cemas yang berlaku ke atas kedua-dua mertuanya ketika zaman sebelum merdeka.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Panglima Medan Tentera Darat berkongsi kisah itu sempena ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara yang disambut hari ini ketika ditemu bual Kosmo! di rumahnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Majalah Perancis versi Arab

Bagi majalah yang sudah sekian lama memperjuangkan hak-hak wanita, usaha menambat hati warga Arab tanpa meminggirkan amalan fahaman adalah satu pencapaian yang sangat rumit.




MAJALAH wanita dari Perancis, Elle dan Marie-Claire kini menembusi pasaran negara Arab. Sungguhpun begitu, kandungan artikel yang disiarkan tetap menjaga sensitiviti penduduk setempat. Langkah itu bukan mudah dilakukan kerana ia memerlukan pengubahsuaian yang menepati keperluan kedua-dua pihak.

Marie-Claire mengedarkan terbitannya di Kuwait dan Emeriah Arab Bersatu (UAE). Baru-baru ini, majalah itu melancarkan edisi terbarunya di Arab Saudi, Dubai dan Lebanon. Sebelum itu, Elle sudah pun dijual di Arab Saudi. Namun, nasib tidak menyebelahi Marie-Claire. Belum pun sempat dipasarkan kepada umum, 35,000 naskhah majalah tersebut menghadapi masalah.

Budaya

Masalah muncul apabila sebuah artikel yang memaparkan gambar pemain bola sepak wanita negara itu dalam persalinan seluar panjang, baju lengan panjang dan tudung, tidak diterima di Riyadh, sedangkan ia diterima di Jeddah.

"Masalah yang kami hadapi adalah untuk menyelaraskan budaya tempatan dengan konsep majalah. Ia sudah tentu sukar," kata Laurence Hembert Wermus yang mengetuai inisiatif pembangunan antarabangsa majalah Marie-Claire.

"Melihat konteks ekonomi yang tidak begitu menggalakkan, kami tidak akan melancarkan majalah baru di Perancis. Sebagai alternatif, pihak penerbit boleh membangunkan rangkaian edisi antarabangsa dan pasaran di Asia Barat yang nampak agak cerah," kata Sophie Renaud yang menerajui syarikat perundingan media, Carat France.

Beliau menambah: "Di negara asal, usaha melebarkan sayap majalah ini menggambarkan kekuatan dan betapa dinamiknya produk yang dipasarkan. Ia sekali gus meningkatkan kepercayaan bahawa ideanya diterima ramai dan sentiasa melangkah maju bagi membentuk masyarakat wanita yang berdaya saing."

Separuh bogel

Namun hakikat yang harus diterima adalah pasaran di sebelah timur Eropah itu tidak menerima gambar-gambar separuh bogel atau cerita-cerita yang membiaskan maksud seksual.


PENERBIT berdepan dengan masalah untuk menyelaraskan budaya tempatan dengan konsep majalah antarabangsa Elle dan Marie-Claire.


Pada April lalu, akhbar mingguan berbahasa Perancis telah dilarang edarannya di UAE kerana menampilkan bahagian belakang tubuh wanita yang bogel.

"Gambar itu disiarkan bersama artikel bertajuk Muslim dan Seks. Di negara Arab, penguatkuasaannya lebih ketat," jelas Sophie.

Bagi majalah yang sudah sekian lama memperjuangkan hak-hak wanita, usaha menambat hati warga Arab tanpa meminggirkan amalan fahaman adalah satu pencapaian yang sangat rumit.

"Kami amat berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan kecil yang tidak berbaloi. Ini kerana kesilapan kecil itu boleh menjadi punca sesebuah majalah dilarang jualannya dengan serta-merta.

"Memang ia bukan satu tindakan wajar bagi pembangunan sosial mahupun memartabatkan status wanita," kata Jean de Boisdeffre yang mengetuai jabatan media antarabangsa, Lagardere Active yang memiliki majalah Elle. Sebagai contoh, majalah itu mengelak untuk menyiarkan artikel yang menimbulkan kontroversi apabila Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengeluarkan kenyataan melarang pemakaian burqa.

"Penyampaiannya yang cukup provokatif dan boleh membangkitkan salah faham bahawa majalah ini mendukung polisi Perancis," ujarnya.


DI UAE, penerbit mengelak menggunakan gambar-gambar model yang memakai pakaian yang seksi.


Selain itu, penerbitan gambar-gambar juga berbeza dari satu negara ke satu negara lain. "Di UAE, kami mengelak menggunakan gambar-gambar model memakai mini skirt atau potongan leher baju yang mendedahkan payu dara di halaman fesyen. Di Arab Saudi, larangannya lebih ketat. Tiada juraian rantai dan mesti menutup lutut," kata Pengurus Pengarang Antarabangsa Marie-Claire, Florence Duluard.

Jalan selamat

Kedua-dua majalah itu mengambil jalan selamat dengan menyerahkan tugasan mencari bahan rencana kepada wartawan tempatan. Pada masa yang sama, majalah itu memberi ruang untuk memperkenalkan pereka tempatan dan label fesyen popular di Asia Barat.

"Mereka lebih mengetahui jenis kandungan majalah yang sesuai," jelas Jean de Boisdeffre yang menambah, sebanyak 80 peratus daripada kandungan majalah itu diubah mengikut kehendak serantau.

"Kami juga mempunyai banyak cerita fesyen dari seluruh pelosok dunia yang boleh dipilih dan disiarkan untuk tatapan penduduk Arab," tambahnya.

Mulai bulan depan, edisi majalah Marie-Claire menyelitkan artikel mengenai wanita dalam bidang fotografi.

"Kami juga menulis mengenai wanita atau pasangan yang menghadapi masalah," ujar Duluard.

"Kita tidak menyentuh isu sebegini secara langsung. Kami menyentuhnya dari sudut: 'Apakah pendekatan terbaik buat sepasang kekasih?' daripada menyatakan secara berani: 'Seorang wanita menghadapi masalah kerana suaminya gagal memuaskan keinginannya'." - AFP